Friday, September 26, 2014

Kisah Umar Al-Khattab Menahan Bebelan Isterinya


Dikisahkan, pada zaman Saidina Umar Al-Khattab, terdapat pasangan suami isteri yang selalu bertengkar, berpunca dari tabiat isteri yang terlalu kuat membebel terhadap suaminya.

Isteri membebel

Sehinggalah suami tidak lagi dapat menahan kesabaran mendengar leteran isteri saban hari, lalu si suami memarahi isterinya. Isteri pula tidak hanya berdiam diri ketika dimarahi, berlakulah pergaduhan dan pertengkaran hampir saban hari.

Pada suatu hari, suami merasakan keadaan rumah tangga mereka sudah tidak bahagia lagi. Suami memutuskan untuk berjumpa dengan Khalifah Umar Al-Khattab dengan niat untuk mendapatkan tips atau nasihat dari beliau, bagaimana cara untuk mengatasi masalah tabiat isterinya yang suka membebel di samping untuk mengadu kelakuan isterinya kepada Khalifah Umar Al-Khattab.

Setibanya dirumah Khalifah Umar Al-Khattab, suami mendengar suara isteri Khalifah Umar Al-Khattab sedang membebel kepada beliau. Tetapi tidak pula kedengaran suara Khalifah Umar menjawab.

Bila mendapati isteri Khalifah Umar pun mempunyai tabiat yang sama dan mengenangkan Khalifah Umar juga mengalami nasib yang serupa dengan dirinya, suami membatalkan sahaja hasratnya untuk bertemu Khalifah Umar untuk mengadu hal rumah tangganya.

Ketika suami tadi berpaling untuk pulang, tiba-tiba Khalifah Umar memanggilnya dan bertanya, “Apa hajat kamu datang kemari?”

Lalu suami tadi menjawab, “Tujuan saya kemari untuk mengadu hal isteriku yang kuat membebel, tapi bila mendapati dirimu juga mengalami nasib yang sama, saya batalkan saja hasrat itu.”

Mendengar jawapan dari suami itu, Khalifah Umar tersenyum lalu menjawab, “Tidak patut sekiranya aku tidak bersabar dengan kerenahnya.

Bukankah dia telah memasak, membasuh pakaian untukku, menyabung nyawa melahirkan zuriat-zuriatku, membesarkan anak-anakku, dan tempat aku mendapat hajatku?

Sabarlah, kerana sesungguhnya keadaan itu tidak lama. Pasti akan pulih sendiri.”

Begitulah hebatnya peribadi seorang insan yang mulia disisi Allah dan Rasul, seorang panglima yang sangat digeruni di medan peperangan dalam menegakkan panji Islam, tetapi demi kasih kepada isterinya dan untuk mengekalkan kebahagiaan rumahtangga, beliau sanggup berdiam diri dan bersabar melayan kerenah isterinya.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA: Apabila Bersuara, Adakah Anda Menegur Atau Mengutuk?

4 comments

  1. Subhanallah..
    ini la yang aku amalkan selama ini..
    sabar..sesungguhnye org yg dapat menahan kesabarannya itu adalah mulia di sisi Allah..

    ReplyDelete
  2. Dah baca sebelum ini. apa pun terima kasih atas perkongsian

    ReplyDelete
  3. Sesungguhnya Allah sentiasa bersama2 org yg sabar...

    ReplyDelete
  4. Saya mendapat wassup yg menyatakan bahawa kisah Umar dileteri adalah palsu. Wallahuaklam.

    ReplyDelete

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon