Tuesday, February 26, 2013

Malaysia Bakal Miliki Taman Jurassic Park Pertama Di Asia

Malaysia Bakal Miliki Taman Jurassic Park Pertama Di Asia

Melaka bakal mempunyai sebuah taman haiwan purba dikenali sebagai ‘Jurassic Park’ bernilai RM200 juta yang dirancang dibina bersama beberapa projek pelancongan lain di Dataran 1Malaysia, di sini.


Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, berkata destinasi pelancongan yang pertama seumpamanya di Asia itu akan mempamerkan 200 spesies dinosaur melalui kaedah hidrolik dan elektronik.

Beliau berkata, Jurassic Park itu akan dibina bersebelahan dengan sebuah lagi taman tema iaitu Melaka Sea World, membabitkan kawasan seluas 12.1 hektar yang akan dilaksanakan secara usahasama oleh Yayasan Melaka dan syarikat swasta, Eden Incorporation Berhad.

“Perbincangan mengenai projek ini berjalan lancar dan memorandum persefahaman (MoU) dijangka ditandatangani pada Mac depan,” katanya kepada pemberita selepas sesi taklimat mengenai projek itu di Seri Negeri di sini, hari ini.

Katanya, Jurassic Park itu dijangka siap dibina dalam tempoh dua tahun selepas MoU berkenaan ditandatangani.

Mohd Ali berkata, Jurassic Park itu dijangka mampu menarik lebih satu juta pelancong setahun.

Sementara itu, beliau berkata, kawasan Dataran 1Malaysia turut akan menempatkan Melaka Sea World yang akan dilengkapi galeri ikan paus terbesar di negara ini di atas tapak berkeluasan 60.7 hektar.

Beliau berkata projek lain yang turut dibina di kawasan itu termasuk Dataran Peta Malaysia bernilai RM2 juta, 21 restoran bas dan 20 chalet bas bernilai RM2.7 juta serta tiga padang bola bernilai RM1.4 juta.

–BERNAMA

Isu Lahad Datu Polis Tutup Rundingan!

Isu Lahad Datu Polis Tutup Rundingan!

Polis memutuskan untuk bertindak berlandaskan undang-undang negara selepas mengambil kira pelbagai faktor bagi merungkai isu pencerobohan warga Filipina yang mendarat di Kampung Tanduo, kira-kira 130 kilometer dari pekan Lahad Datu.

Polis Tutup Rundingan

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata polis akan menggunakan undang-undang berkaitan untuk mendakwa mereka yang kini dalam kepungan pihak keselamatan bagi memastikan tiada yang terlepas keluar dan tiada kemasukan orang yang tidak berkenaan ke kawasan itu.

“Kita akan membuat keputusan selepas melihat pelbagai faktor termasuk mengkaji kawasan persekitaran dan dalaman sebelum bertindak. Kita menunggu masa yang sesuai dan ini bermakna tiada lagi rundingan. Kita akan berlandaskan undang-undang…kalau ingin dakwa di mahkamah kita akan gunakan…ini terpulang kepada kita.

“Kami tidak kira mereka datang dari mana sama ada dari Kesultanan Sulu… tapi kita tahu mereka adalah orang luar yang datang ke negara kita dan mencabuli undang-undang dan kedaultan negara.

“Kita boleh lihat kesalahan itu banyak. Mungkin kita boleh mengambil tindakan di bawah kesalahan Kanun Keseksaan atau bersama undang-undang yang berkaitan,” katanya kepada pemberita di Kompleks Pasukan Polis Marin Lahad Datu di sini hari ini.

Hamza berkata polis akan menggunakan pendekatan yang bersesuaian dan tidak akan berkrompomi terhadap isu pencerobohan ke atas negara ini bagi menjamin dan mempertahankan kedaulatan tanah air.

Beliau turut menafikan berlaku perbalahan sehingga mengakibatkan dua kematian di kawasan itu dan menambah pihaknya akan menyiasat perkara itu.

“Setakat tembakan kita ada dengar tapi saya berani mengatakan tembakan bukan dari pasukan keselamatan. Tembakan dari dalam pun kita tidak berani hendak mengesahkan…mungkin tembakan ke atas binatang atau amaran (kumpulan penceroboh),” katanya mengulas laporan yang disiarkan media altenatif.

Beliau meminta masyarakat tidak gusar kerana keselamatan masih terkawal, meskipun pada masa kini, kumpulan itu kemungkinan berdepan masalah kekurangan bekalan air, makanan dan minyak.

Sementara itu, beliau mengesahkan polis menahan empat individu atas kesalahan tidak mempunyai dokumen yang sah pada awal pagi semalam di satu kawasan di Lahad Datu, namun kesemua mereka bukan anggota kumpulan terbabit.

Ketika ditanya mengenai kapal Filipina yang didakwa akan digunakan untuk membawa kumpulan itu pulang ke negara asal, Hamza berkata kapal itu tidak berada di perairan negara ini.

Polis mengenal pasti kumpulan warga Filipina yang mendarat di Kampung Tanduo sejak 12 Feb lepas sebagai waris berketurunan ‘Raja Sulu’ dari Selatan Filipina.

-Sentiasapanas.com


Rita Rudaini Sebak Aidil Hendak Menceraikannya

Rita Rudaini Sebak Aidil Hendak Menceraikannya

Pergolakan rumah yang tercetus sejak setahun lalu, antara pelakon Rita Rudaini dan bintang bola sepak kebangsaan, Mohd Aidil Zafuan Abdul Razak masih belum menemui jalan penyelesaian.


Sebentar tadi telah berlangsungnya prosiding permohonan perceraian mereka bertempat di Mahkamah Rendah Syariah Seremban, Negeri Sembilan. Sebelum ini Adil pernah membuat permohonan perceraian di Mahkamah Syariah Petaling Jaya namun permohonannya ditolak.

Aidil, 26, yang diwakili oleh peguam Nor Arif bertegas mahu bercerai malah menyatakan kesediaannya untuk melafaz cerai pada hari ini. Pemain pasukan Johor Darul Takzim (JDT) itu berkata dia sudah tidak mahu lagi meneruskan proses perbicaraan kerana perbincangan sudah banyak kali dibuat dan dilihat tiada jalan penyelesaian.

Sebelum itu Hakim Hamizan Mohd Nor bertanya kepada Aidil adakah dia masih menyayangi isterinya, Aidil menjawab, “saya sudah tidak sayangkan dia. Saya tak ingin lagi hidup begini sebab dah berlarutan dan tiada jalan penyelesaian”, kata Aidil

Bagaimanapun, Rita tidak bersetuju untuk mengakhiri ikatan perkahwinan mereka dengan perceraian.

Rita, 37, yang diwakili peguam Datuk Mohd Zaidi Mdm Zain berkata, pihak anak guamnyanya memohon untuk berbincang semula dan ditubuhkan satu jawatankuasa pendamai.

Kemudian Hamizan bertanya pula kepada Rita adakah dia masih menyayangi suaminya, aktres itu menjawab,

“Selagi dia masih sah sebagai suami saya, saya sayangkan dia. Saya hanya mahu tahu apa kesalahan saya sehingga dia mahu menceraikan saya”, ujar Rita dengan nada sebak.

Justeru pihak mahkamah telah memutuskan agar jawatankuasa pendamai ditubuhkan bagi memberi peluang kedua-dua pihak dapat berbincang dan sekiranya tiada penyelesaian, barulah lafaz cerai boleh dibuat. Proses jawatankuasa pendamai akan diadakan pada 8 Mac 2013 yang akan dipengerusikan oleh pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan.

Rita dan Aidil bernikah di Songkhla, Thailand pada 28 Februari 2008. Hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Airit Rayyan Rizqin, 4, dan Airit Qaqa Arjuna, 2.

–MalaysianDigest

Pakatan Rakyat Umum Manifesto PRU 13

Pakatan Rakyat Umum Manifesto PRU 13

Konvesyen Pakatan Rakyat kali keempat yang berlangsung di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) pada Isnin memberikan tumpuan kepada pelancaran manifesto Pilihan Raya Umum ke-13.


Dengan tema ‘Pakatan Harapan Rakyat’ tumpuan utama manifesto mereka menjurus kepada empat tonggak utama iaitu Rakyat Bersaudara, Ekonomi Rakyat, Kerajaan Rakyat dan Kesejahteraan Rakyat.

Antara pemimpin kanan Pakatan Rakyat yang hadir ialah, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Antara perkara yang dijanjikan dalam manifesto Pakatan Rakyat ialah menyediakan sejuta peluang pekerjaan selepas mengambil alih kerajaan Pusat, mewujudkan tabung dengan dana bernilai RM 2 bilion bagi membantu pelaksanaan gaji minimum, meningkatkan jalur pendapatan cukai tahunan maksima daripada RM200,000 kepada RM400,000.

Pakatan Rakyat juga turut menjanjikan pemansuhan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) serta saman AES yang dikeluarkan, menaikkan sumbangan kerajaan dalam Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) daripada 15 kepada 20 peratus.

Pakatan Rakyat juga mahu mewujudkan Suruhanjaya Kontrak dan Konsesi Awam bagi menilai semula semua projek yang telah dianugerahkan kepada pihak tertentu tanpa melalui tender terbuka, menghentikan projek nadir bumi Lynas di Gebeng dan menilai semula semua fasa Projek Petrokimia Bersepadu (Rapid) di Pengerang.

Selain itu, Pakatan Rakyat mahu mewujudkan Skim Perintis Rakyat untuk melatih 1 juta lepasan sekolah yang tidak melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi dalam bidang teknikal, menubuhkan lima lagi universiti dan 25 sekolah vokasional baru.

Turut dijanjikan, Skim Bonus Warga Emas dengan insentif sebanyak RM1,000 setahun, Caruman Wanita Malaysia, kerajaan akan sumbang caruman sebanyak RM50 sebulan bagi setiap isteri yang layak, manakala suami akan sumbang caruman antara RM10 hingga RM100 sebulan, mengikut kadar pendapatan, memelihara hak tanah dan kebajikan Orang Asli.

-mStar

Dua Kelompok Berbeza Orang-orang Fakir Miskin

Dua Kelompok Berbeza Orang-orang Fakir Miskin

Ada dua kelompok berbeza dalam kalangan orang-orang fakir dan miskin. Ada kelompok yang meminta-minta dan ada kelompok yang enggan meminta-minta.

Fakir Miskin

Dalam hal ini, cuba kita renungi firman Allah SWT di dalam surah al-Ma'arij, ayat 24 dan 25: Dan orang-orang yang di dalam hartanya ada hak yang tertentu (bagi orang-orang fakir dan miskin), yang meminta-minta dan juga yang enggan meminta-minta.

Sebenarnya, sifat suka menzahirkan atau menyembunyikan kemiskinan ini mempunyai perkaitan yang amat rapat dengan tahap keimanan di dalam diri seseorang.

Orang yang teguh imannya, maka mereka mempunyai suatu senjata rahsia, iaitu 'kaya jiwa' atau 'kekayaan hati', yang menjadikan mereka cukup tinggi maruah dirinya.

Natijahnya, mereka amat malu menyatakan kemiskinan, bahkan seboleh-bolehnya mereka akan cuba menyembunyikan kemiskinannya daripada pengetahuan orang lain, walhal orang lain memang tahu bahawa mereka memang miskin.

Jujurnya, sikap ini mampu menerbitkan rasa hormat masyarakat kepada mereka dan sekali gus mengangkat martabat mereka pada kaca mata manusia.

Allah SWT menukilkan di dalam al-Quran dengan firman-Nya: (Berinfaklah) kepada orang-orang fakir yang terikat (oleh jihad) di jalan Allah; mereka tidak dapat (berusaha) di bumi; orang yang tidak tahu menyangka mereka orang kaya kerana (mereka) memelihara diri daripada meminta-minta. Kamu kenal mereka dengan melihat sifat-sifatnya, mereka tidak meminta kepada orang secara mendesak. Dan apa saja harta yang baik yang kamu nafkahkan (di jalan Allah), maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahui. (al-Baqarah: 273)

Bahkan Nabi Muhammad SAW turut menegaskan seperti mana yang dilaporkan oleh Abu Hurairah RA: "Yang dinamakan orang miskin (itu) bukanlah orang yang berkeliling-kelalang meminta-minta kepada orang ramai, lalu peminta-minta itu diberi orang (dengan) sesuap dua suap (makanan), atau sebutir dua butir kurma. Lalu bertanya para sahabat: "Kalau begitu, siapakah yang dinamakan miskin itu ya Rasulullah?" Jawab baginda: "Orang miskin itu sesungguhnya ialah orang yang tidak memiliki apa-apa untuk menutupi keperluannya, namun keadaannya itu tidak diketahui orang supaya orang bersedekah kepadanya dan tidak pula dia meminta-minta ke sana-sini". (Muslim)

Apa yang patut disedari oleh orang-orang miskin, bahawa kemiskinan yang menimpa mereka adalah suatu ujian. Seandainya mereka bersabar, maka mereka beroleh pahala yang besar.

Bahkan orang-orang miskin amat sedikit hisabnya di sisi Allah di mahkamah akhirat. Lalu, ia memudahkan mereka memasuki syurga Allah lebih awal berbanding orang-orang kaya yang panjang hisabnya.

Ibnu Abbas telah melaporkan bahawa Nabi Muhammad SAW pernah menukilkan suatu hadis: (Kala baginda dibawa melihat neraka dan syurga pada peristiwa Israk wal Mi'raj): Aku melihat ke syurga, maka kelihatan olehku kebanyakan penghuninya ialah orang-orang miskin. Dan aku melihat pula ke neraka, maka kelihatan olehku kebanyakan penghuninya ialah wanita. (Muslim)

Oleh itu, orang-orang miskin hendaklah menyemai benih kekayaan hati, yakni menyuburkan jiwa dengan zikrullah dan ilmu, mengukuhkan tauhid dalam dada dengan jitu, tidak berprasangka dengan Allah atas kemiskinan mereka itu, bahkan cuba berusaha merubah kehidupannya selagi mampu.

Andai mereka berusaha, maka tidak mustahil Allah SWT akan mengurniakan kekayaan kepada mereka, sama ada kekayaan zahir atau fizikal, juga kekayaan hati yang lebih praktikal dan kekal.

Hakikatnya, orang yang kaya hati itulah sebenar-benarnya kaya, kerana mereka memandang kekayaan dunia tidak lebih hanya sementara cuma.

Apa yang utama bagi mereka adalah kaya hati dengan iman dan takwa. Bahkan orang yang kaya hatilah yang akan melestarikan harta kekayaannya atas nama sedekah, infak dan zakat.

Tepatlah sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW: "Bukanlah kekayaan itu harta yang melimpah, akan tetapi kekayaan (yang sebenar-benarnya) ialah kaya jiwa". (Bukhari dan Muslim).

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA: Kenapa Hati Manusia Tidak Tenang?

Sumber: utusan

Dituduh Ambil Dadah Gara-gara Menyerupai Watak Popeye

Dituduh Ambil Dadah Gara-gara Menyerupai Watak Popeye

Melihat biseps Moustafa Ismail, 25, yang sungguh besar itu pasti membuatkan sesiapa sahaja teringatkan watak kartun kegemaran ramai, Popeye.

Dituduh Ambil Dadah Gara-gara Menyerupai Watak Popeye

Namun, tidak seperti Popeye, Moustafa cukup benci dengan sayur bayam. Biseps gergasinya itu juga bukan kerana makan bayam tetapi hasil diet protein dan karbohidrat yang tinggi.

Setiap hari, ahli bina badan dari Massachusetts ini mengambil kira-kira tujuh paun protein, sembilan paun karbohidrat dan tiga gelen air bagi memastikan bisepsnya kekal berukuran 31 inci - sebesar pinggang lelaki kurus.

Dia yang mampu mengangkat berat sehingga 600 paun menempa nama di dalam Guinness Book of World Records sebagai lengan terbesar di dunia tahun lalu.

Moustafa mula obses membina badan terutama bahagian lengannya selepas dipersenda oleh seorang tetamu di majlis perkahwinan bapa saudaranya di kampungnya di Mesir kerana berat badan yang berlebihan.

Sejak itu, dia nekad melakukan senaman setiap hari dari pukul 5 pagi hingga 8 pagi yang tertumpu kepada kardio dan latihan kekuatan dengan mengangkat berat.

Selain itu, dia mengambil sejumlah besar ayam, makanan laut dan minuman protein setiap hari selain vitamin. Moustafa mula membina badan di kampung halamannya di Mesir sebelum berpidah ke Amerika Syarikat pada 2007.

Bagi membayar yuran keahlian gim serta keperluan dietnya, dia bekerja sebagai atendan di dua buah stesen minyak.

Namun, kontroversi pernah melandanya apabila dia dituduh mengambil steroid atau melakukan implan bagi mendapatkan lengan Popeye tersebut.

Dia kemudian terbang ke Tokyo, Jepun bagi menjalani ujian darah dan sinaran-X pada ototnya dan terbukti tiada yang abnormal pada dirinya.

Selepas tidak lagi dipersenda, Moustafa bagaimanapun menghadapi cabaran lain iaitu mencari baju sesuai kerana bahagian lengannya yang luar biasa besarnya.-Utusan

Pembuat Sos Pedas Terkenal Meninggal Dunia

Pembuat Sos Pedas Terkenal Meninggal Dunia

Ketua pegawai eksekutif dan pengerusi lembaga Syarikat McIlhenny, syarikat yang membuat tanda niaga sos pedas Tabasco dan produk lain, Paul C. McIlhenny meninggal dunia, menurut syarikat itu, Ahad. Beliau berusia 68 tahun.


Satu kenyataan syarikat yang dikeluarkan di ibu pejabat Pulau Avery di selatan Louisiana berkata McIlhenny meninggal dunia pada Sabtu.

McIlhenny merupakan salah seorang ahli keluarga yang mempunyai syarikat berusia 145 tahun dan menghasilkan sos Tabasco yang terkenal di dunia untuk beberapa generasi.

Menurut kenyataan, beliau menyertai syarikat itu pada tahun 1967 dan secara langsung menyelia pengeluaran dan kualiti semua produk yang dijual di bawah jenama Tabasco selama 13 tahun.

Di bawah bimbingan McIlhenny, syarikat itu mengalami pertumbuhan rekod dalam jualan dan pendapatan selama bertahun-tahun dan turut memperkenalkan beberapa perisa baru, sos dan produk lain.

"Semua di syarikat McIlhenny dan keluarga McIlhenny dan Avery amat sedih dengan berita ini," kata Tony Simmons, presiden Syarikat McIlhenny dan ahli keluarga McIlhenny.

"Kami jelas akan merindui kepimpinan Paul tetapi secara khususnya lebih akan merasakan kehilangan kepintaran, daya tarikan dan kelucuannya yang tidak memberikan tekanan."

-mStar

Pelik! Hotel Berbentuk Patung Kuda Gergasi

Pelik! Hotel Berbentuk Patung Kuda Gergasi

Info Pelik. Ramai antara kita yang tahu kisah Perang Trojan melibatkan tentera Sparta dan Troy, terutamanya selepas epik perang Zaman Gangsa itu difilemkan pada 2004.


Filem Troy arahan Wolfgang Petersen dan dibintangi pelakon terkenal seperti Brad Pitt, Eric Bana, Orlando Bloom dan Diane Kruger itu berjaya meraih kutipan RM1.5 bilion.

Apa yang menarik dalam kisah sejarah itu, apabila tentera Sparta yang gagal membolosi keutuhan benteng pertahanan Troy telah membuat tipu muslihat dengan mencipta patung kuda gergasi untuk diberikan kepada musuh mereka itu.

Tindakan itu untuk memperdaya musuh supaya menyangkakan tentera Sparta telah berundur, sedangkan mereka sebenarnya bersembunyi di dalam patung kuda gergasi itu.

Mungkin terpengaruh dengan kisah Perang Trojan ini, seorang lelaki Belgium, Dominique Noel, mencipta sebuah hotel yang berbentuk seperti seekor kuda gergasi.

Hotel ciptaan Noel itu dikategorikan antara yang paling pelik dan menakjubkan di dunia.

Cuma berbeza dengan kuda Trojan yang menempatkan tentera secara berasa-asak, hotel Noel yang dikenali sebagai La Balade Des Gnomes itu cukup selesa dan dihiasi ukiran dalaman yang menakjubkan.

Selain dapat bermalam di dalam kuda Trojan itu, pengunjung turut berkesempatan tidur dengan 'ikan duyung'.

La Balade Des Gnomes yang terletak di Durbuy, Belgium, dijamin pasti memberikan pengalaman unik kepada pengunjungnya.

Hal ini kerana, hiasan bilik tidurnya berlatarkan angkasa lepas sehinggalah habitat yang lengkap dengan sungai serta ikan emas.

Anda juga boleh berkongsi bilik dengan 'ikan duyung' yang terapung di kolam renang di dalam sebuah perahu.

Menurut Noel yang juga seorang arkitek, dia mencipta hotel itu untuk mereka yang mempunyai minat mendalam terhadap hidupan semulajadi.

"Ia dibina sepenuhnya menggunakan bahan-bahan semulajadi dengan sentuhan moden yang sederhana," katanya.

La Balade Des Gnomes pada asalnya dibina untuk melengkapi restoran miliknya, La Gargouille yang terletak bersebelahan.

Sesiapa yang berminat untuk menginap di hotel ini, bayaran yang dikenakan antara 50 pound hingga 125 pound (RM237 hingga RM593) semalam.

-Utusan

Monday, February 25, 2013

Ibu Jari Putus Diseret Lembu

Ibu Jari Putus Diseret Lembu

Info Ngeri. Seorang penternak lembu terputus ibu jari kanan akibat terbelit tali lembu di Kampung Charuk Ketiak, MukimPelubang, Jitra, Sabtu.

Gambar hiasan

Kejadian berlaku kira-kira 6 petang ketika dia mahu memasukkan lembu-lembunya ke dalam kandang yang terletak kira-kira 600 meter dari rumahnya.

Shuid Ariffin, 65, berkata kejadian berlaku apabila lembu-lembunya didatangai sekumpulan anjing dari kawasan berhampiran.

Akibat itu seekor anak lembu betina berusia setahun yang dia sedang memegang talinya menjadi terkejut dan terus mengheret tali itu.

"Tanpa disedari, tali itu telah membelit ibu jari saya. Saya lihat darah keluar dari jari saya dan saya rasa kebas. Kemudiannya baru saya perasan ibu jari saya telah putus kira-kira satu inci (2.54 sm)," katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, Ahad.

Shuid berkata apabila mendapati jarinya putus, dia segera mengayuh basikalnya balik ke rumah sambil memegang jari yang putus itu dengan tangan kiri.

Dia kemudiannya dibawa ke Hospital Jitra oleh jirannya sebelum dia dirujuk ke HSB.

Dia yang mengidap penyakit darah tinggi berkata doktor memberitahu yang jarinya terpaksa dibedah, namun terpaksa menunggu sehingga keadaan darahnya stabil.

"Doktor kata jika darah saya makin elok, baru boleh bedah. Saya pun tak pasti sama ada jari saya boleh dicantum balik atau tidak," katanya.

Shuid berkata dia reda dengan kejadian itu dan tidak serik untuk terus membela lembu.

"Saya memang minat bela lembu. Sudah lebih 10 tahun saya bela lembu," ujarnya.-BERNAMA

Mel Gibson Ligat Bersosial Dengan 3 Wanita Sekaligus

Mel Gibson Ligat Bersosial Dengan 3 Wanita Sekaligus

Walaupun usia Mel Gibson sudah pun mencecah 56 tahun, ia tidak menghalang pelakon itu untuk ligat bersosial.


Menurut laporan portal Digital Spy, bintang filem Braveheart ini telah berfoya-foya dengan tiga orang wanita sekaligus dalam satu malam di sebuah kelab malam pada Rabu lalu di Miami.

Salah stau sumber memberitahu, Mel sempat mencium seorang wanita berambut perang sebelum beralih ke wanita lain yang sedang menari ketika itu.

"Tidak lama kemudian, Mel menuju ke arah sebuah meja yang diduduki oleh wanita yang ketiga pula sambil, meluahkan rasa kagum dengan kecantikan wanita tersebut.

"Malah dia turut menunjukkan koleksi foto bekas kekasihnya menerusi telefon bimbitnya untuk membuktikan kata-kata luahan terhadap wanita itu bukanlah 'ayat manis' darinya," kata sumber tersebut.

Mel bukan sahaja dilihat berfoya-foya dengan tiga wanita sekaligus tetapi juga menghabiskan beberapa botol alkohol sepanjang malam bersama rakan-rakannya yang lain.

-mStar