Thursday, November 01, 2012

Suku Korowai Tinggal 165 Kaki Diatas Pokok

Suku Korowai Tinggal 165 Kaki Diatas Pokok

Tidak ramai di antara kita yang mengetahui kewujudan pelbagai kaum asli di negara sendiri apatah lagi di negara-negara lain.

Suku Korowai

Seperti di negara Indonesia, terdapat satu kaum asli yang masih lagi wujud hingga kini di pedalaman Papua.

Suku itu adalah suku Korowai di mana masyarakatnya hidup di dalam hutan dan terpisah dengan manusia lain serta kehidupan yang moden.

Suku Korowai dijumpai oleh seorang pengembara dari Belanda pada tahun 1974.

Suku Korowai

Kehidupan mereka cukuplah dengan menjalankan aktiviti seperti memburu dan menangkap ikan di dalam hutan yang tidak seperti manusia lain yang bergantung hidup dengan menggunakan duit dan harta.

Uniknya, mereka membina rumah sendiri dengan menggunakan kayu hutan setinggi hampir 50 meter.

Suku Korowai

Rumah itu dipanggil sebagai ‘Rumah Tinggi’.

Sebab utama mereka mendirikan rumah setinggi itu kerana untuk mengelakkan nyamuk, gangguan binatang buas dan juga mengelakkan bising dari jiran-jiran mereka.

Suku Korowai

Malah, mereka juga percaya rumah yang tinggi mampu mengelakkan gangguan dari roh-roh yang jahat.

Bahasa pertuturan mereka juga berbeza dengan bahasa yang digunakan oleh orang Indonesia.

Suku Korowai

Bagi suku Korowai, mereka menggunakan bahasa Awyu-Dumut (Papua Tenggara) untuk berkomunikasi antara satu sama lain.

BACA INI JUGA: Suku Kaum Luarbiasa Yang Kebal Racun Arsenik!

Google Kena Bayar Cukai AS$1.3 Bilion!

Google Kena Bayar Cukai AS$1.3 Bilion!

Pihak berkuasa cukai Perancis semalam mengemukakan satu tuntutan bernilai AS$1.3 bilion RM3.95 bilion) ke atas Google berikutan satu pertelagahan pampasan ke atas enjin carian itu.


Akhbar mingguan Canard Enchaine di dalam edisi terbarunya, melaporkan bahawa tuntutan cukai itu membabitkan bayaran perpindahan yang ditetapkan antara syarikat Google di Ireland dan cawangan Perancis bagi tempoh empat tahun, tetapi tidak memberi butir terperinci.

Bagaimanapun, jurucakap Google Perancis menafikan perkara itu dan berkata, pihaknya tidak menerima sebarang notis. “Kami sentiasa bekerjasama dengan pihak berkuasa Perancis hingga sekarang,”kata beliau di dalam satu e-mel yang dihantar kepada media.

–AFP

China Haramkan Alat Permainan Helikopter Kawalan Radio

China Haramkan Alat Permainan Helikopter Kawalan Radio

China semalam mengharamkan penjualan helikopter dan kapalterbang kawalan radio di bandar raya ini.


Langkah itu bertujuan meningkatkan kawalan keselamatan menjelang perubahan pucuk pimpinan sekali dalam satu dekad berlangsung di Beijing.

Bagi beberapa model helikopter dan kapal terbang, yang hanya boleh dikawal dalam jarak beberapa meter saja pembeli mesti membuktikan identiti mereka kepada penjual, lapor akhbar Youth Daily.

Kedai lain diarah menggantung sama sekali penjualan mainan itu.

Tindakan berkenaan adalah sebahagian daripada usaha meningkatkan keselamatan ketika Parti Komunis bersiap sedia untuk satu majlis penyerahan kuasa yang dijual berlangsung pada Kongres ke-18 Parti Komunis, bermula 8 November.

Kira-kira 1.4 juta sukarelawan digerakkan untuk membantu melindungi perhimpunan yang dijangka dihadiri ramai jemputan.

Beijing turut mengenakan tekanan ke atas pengkritik kerajaan menjelang mesyuarat itu.

Aktivis, Hu Jia dipaksa meninggalkan bandar raya berkenaan dan tinggal di rumah keluarganya di Anhui sehingga kongres itu tamat, kata Human Rights Watch, kumpulan hak asasi yang berpejabat di New York.

Media tempatan juga melaporkan mengenai peningkatan dalam pemeriksaan identiti terhadap penumpang kenderaan awam di Beijing.

Pegawai keselamatan turut meningkatkan pengawasan ke atas perkhidmatan kereta api dari Xinjiang, wilayah barat laut negara itu yang majoriti penduduknya beragama Islam. Isu itu dibincangkan dengan meluas oleh pengguna Internet di laman sembang paling popular negara itu, Sina Weibo.

Seorang pengguna berkata, dia diarah mengisi borang apabila menaiki sebuah teksi. Antara yang perlu dinyatakan dalam borang itu ialah maklumat peribadi dan destinasinya.

Seorang pengguna lain berkata, dia tidak dibenarkan membeli pisau kerana sekatan yang dikenakan menjelang perhimpunan berkenaan.

-AFP

Kasino Terbesar di Asia Bakal Dibina

Kasino Terbesar di Asia Bakal Dibina

Bandar Pelabuhan Incheon akan bergabung dengan sekumpulan pelabur untuk membina sebuah kasino besar bagi menyaingi Macau menjelang 2030.

Macau Casinos

Selain kasino, pemaju terbabit, Eightcity berkata, projek di Pulau Yongyu-Muui berhampiran Lapangan Terbang Incheon itu juga akan mempunyai hotel, pusat beli-belah, taman tema, trek lumba kereta, lereng untuk meluncur salji dan sebuah marina.

Pelabur lain dalam projek 8City itu, termasuk pengendali rangkaian hotel mewah, Kempinski, syarikat penerbangan, Korean Air dan Daewoo Engineering and Construction.

Kerja pembinaan di kawasan seluas 80 kilometer persegi, tiga kali lebih besar daripada Macau, akan bermula tahun depan.

-AFP

Kejam! 10 Tahun Dipaksa Minum Bahan Peluntur

Kejam! 10 Tahun Dipaksa Minum Bahan Peluntur

Seorang kanak-kanak perempuan yang menjadi bahan penderaan sejak sedekad lalu dipaksa meminum bahan peluntur daripada baju yang kotor digunakan untuk mencuci tandas, kata pendakwa di mahkamah semalam.


Mulutnya dibiarkan kepanasan selepas Christine Morgan, 61, menyumbatkan kain buruk itu ke dalam mulut kanak-kanak terbabit.

Christine turut menekan kepala kanak-kanak malang ke dalam air mandian, mengancam untuk membunuh dan menampar mukanya.

Keganasan dilakukan termasuk mencekak leher kanak-kanak itu bermula ketika mangsa hanya berusia empat tahun.

Mahkamah Agung Southampton diberitahu mangsa kini sudah dewasa tetapi masih mengalami mimpi ngeri dan dihantui perbuatan janda terbabit. Hakim semalam memberitahu Christine dia mungkin berdepan hukuman penjara selepas juri mengambil masa lima jam untuk mensabitkannya dengan dua tuduhan kekejaman terhadap kanak-kanak di bawah 16 tahun.

Mangsa yang tidak didedah identitinya atas sebab undang-undang memberi keterangan di sebalik tabir agar dia tidak dapat dilihat dari dok di mahkamah.

Dia memberitahu bagaimana Christine menyatakan kepadanya beberapa detik sebelum menekan kepalanya ke dalam air: “Tiada sesiapa mahukan kamu - Saya akan membunuh kamu dalam air mandian ini.”

Mangsa berkata: “Saya masih mengalami mimpi ngeri ketika ditolak ke dalam air. Itu insiden yang akan selalu saya ingat.”

Mangsa berkata dia ditinggalkan dengan rasa terbakar dalam mulutnya dan rasa sakit selepas dipaksa memakan kain buruk yang dibasahi bahan peluntur.

Pendakwa raya Elizabeth Bussey-Jones berkata: “Mangsa menjelaskan sejak dari kecil lagi dia menjadi bahan kepada pelbagai jenis penderaan,” katanya.

-Hmetro

Ahli Perniagaan Wanita Terkenal India Bunuh Diri

Ahli Perniagaan Wanita Terkenal India Bunuh Diri

Seorang usahawan terkemuka India ditemui mati tergantung hanya beberapa hari selepas dia membuat laporan polis diganggu oleh mentuanya.


Akanksha Rathi, 32, memberitahu polis, ibu dan bapa mentuanya cuba untuk menghalang dia daripada menuntut harta pusaka suaminya, Anirudh Rathi. Mereka mendakwa, Akanksha tidak pernah bersikap baik terhadap suaminya.

Ahli perniagaan wanita yang glamor itu dan terkenal di kalangan perniagaan keluli yang didominasi kaum lelaki ditemui mati di kediaman ibu bapanya di sini pada 23 Oktober lalu hanya beberapa minggu selepas suaminya mati akibat serangan jantung.

Akanksha mendakwa keluarga suaminya melakukan penderaan mental ekoran kematian Anirudh pada 4 September lalu dan cuba menghalangnya mewarisi sebahagian empayar perniagaan keluli keluarga itu. Akanksha memulihkan sebuah cawangan perniagaan keluarga itu dengan keuntungan 43 juta pound (RM215 juta) setahun sejak beberapa tahun lalu dan dia telah memenangi Anugerah Keusahawanan Asia Pasifik pada 2009.

Polis berkata, ibu bapa Anirudh merampas harta menantunya itu dan mendakwa dia tidak berhak untuk mewarisi harta berkenaan selepas dia berkunjung ke New Delhi untuk menghadiri upacara keagamaan untuk Anirudh. Dia kemudian dilaporkan hilang dan ditemui tergantung pada kipas siling di kediamannya selepas mengambil pil tidur.

Pasangan itu berkahwin pada 2004 atas dasar suka sama suka walaupun mendapat tentangan daripada ibu bapa Anirudh.

Keluarga Anirudh adalah satu daripada keluarga terkaya kasta Jat di India. Jurucakap polis Abid Khan memberitahu media: “Akanksha memfailkan aduan mengenai gangguan berkaitan hantaran kahwin terhadap mentuanya awal bulan lalu.

“Dia menuduh mereka menyeksanya secara mental dan melemparkan kata-kata kesat terhadapnya.

“Kami telah menghantar pasukan ke Delhi untuk menahan tertuduh yang dinamakan dalam laporan dibuat, tetapi mereka memperoleh ikat jamin,” katanya.

Aktivis hak asasi wanita berkata kematian Akanksha menggambarkan ‘hakikat sedih’ kebanyakan wanita di India di mana kecantikan atau kejayaan tidak dapat mengatasi prejudis kasta.

Ibu Akanksha, Anita Singh berkata: “Justeru tidak dapat menangani trauma dihadapinya, anak perempuan saya mengakhiri hidupnya.”

-DM

Cemas! Ibu dan Anak Dilarikan Penjenayah Paling Dikehendaki

Cemas! Ibu dan Anak Dilarikan Penjenayah Paling Dikehendaki

“Aku nak kereta, kalau tak aku tembak!,” kata seorang penjenayah paling dikehendaki polis sambil mengacukan pistol di leher Siti Norhafizah Omar, 27, sebelum melarikan kereta Perodua Myvi bersama anak lelakinya berusia setahun lima bulan dalam kejadian berhampiran Masjid Kampung Paloh, Gua Musang, awal pagi semalam.

Anggota polis mengawal tempat kejadian, semalam.

Penjenayah itu, Zawa Abdul Halim, 34, dalam buruan polis berkaitan kejadian tembak di Paloh, kelmarin dan beberapa jam kemudian dia ditembak mati selepas berbalas tembakan dengan anggota polis di Kilometer 45, Kampung Kemuning, di sini, jam 7.30 pagi semalam.

Biarpun dilarikan 100 kilometer (km) dan berada dalam kereta ketika berlaku kejadian berbalas tembakan, anak Siti Norhafizah, Mohd Haikal Harraz Hasrizal terselamat tanpa kecederaan.

Selepas dikejar polis, Zawa yang terbabit samun, curi kereta, pecah rumah dan pengedaran dadah, terbabas apabila Perodua Myvi dicurinya itu terlanggar pembahagi jalan.

Bagaimanapun, ketika keluar dari kereta dia melepaskan beberapa das tembakan ke arah sekumpulan anggota polis dan satu daripadanya mengenai tangan dan rusuk kanan Koperal Mat Raduan Mat Hassan, 50, yang kemudian dikejarkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

-Hmetro
Ibu dan Anak Terperosok Bawah Bas

Ibu dan Anak Terperosok Bawah Bas

Info Ngeri. Seorang wanita dan anak lelakinya terbunuh dalam keadaan ngeri selepas terperosok dan tersepit dalam kereta selepas kenderaan itu dirempuh sebuah bas persiaran, awal pagi semalam.

Kereta dipandu mangsa selepas terbabit nahas ngeri, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.45 pagi itu, mangsa, Nurni Ahmad, 37, dan anak lelaki tunggalnya, Ikmal Daniel Abdullah, 7, ditemui pasukan bomba dan penyelamat dalam keadaan berlumuran darah di Kilometer 46, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur dekat Temoh, di sini.

Mangsa yang memandu Proton Saga dari Tapah untuk pulang ke rumahnya di Ipoh dikatakan bertembung dengan sebuah bas persiaran yang terbabas memasuki laluan bertentangan.

Pada masa sama, sebuah motosikal dari arah Tapah yang tidak sempat mengelak turut merempuh bahagian belakang kereta mangsa menyebabkan penunggang dan motosikalnya terpelanting masuk ke dalam kereta mangsa.-Hmetro

Jurunikah Enggan Nikahkan Gadis Culik Dari Malaysia

Jurunikah Enggan Nikahkan Gadis Culik Dari Malaysia

Misteri kehilangan seorang remaja perempuan, Norshahirah Zaman Huri, 17, sejak 10 hari lalu terjawab apabila mangsa dikesan hampir berkahwin dengan seorang pemuda dari Pulau Batam, Indonesia, tetapi dihalang jurunikah di negara itu.


Difahamkan, jurunikah yang juga ketua masyarakat pulau berkenaan menghalang pernikahan itu selepas mendapati mangsa rakyat Malaysia dan di bawah umur untuk berkahwin.

Susulan itu, jurunikah terbabit menahan Norshahirah dan menyerahkan teman lelakinya dikenali sebagai Patah kepada pihak berkuasa republik itu kerana disyaki menculik mangsa.

Mangsa dijaga rapi jurunikah terbabit sebelum ibu bapa mangsa yang tinggal di Kampung Jawa, di sini, dihubungi memaklumkan penemuan anak gadis mereka, Rabu lalu.

Susulan itu, Norshahirah dihantar pulang ke Jeti Larkin, Johor jam 8 pagi semalam sebelum disambut bapanya, Zaman Huri Tan, 51, ibu, Maria Mohd Noh, 49, dan Ketua Kampung Jawa, Zara’ai Nekmat, 64.

-Hmetro
DJ Hot FM Disamun RM5,000

DJ Hot FM Disamun RM5,000

Seorang penyampai radio Hot FM Terengganu kerugian wang hantaran perkahwinannya sebanyak RM5,000 apabila disamun dua lelaki bersenjatakan pisau lipat dalam kejadian di Jalan Pusara, semalam.


Mohd Hermansani Aminudin, 29, atau lebih dikenali sebagai Bell di kalangan pendengar stesen itu berkata, kejadian berlaku jam 12.30 tengah malam ketika dia dalam perjalanan untuk menemui rakan di sebuah warung di Jalan Kamaruddin, selepas pulang dari bank di pusat bandar.

Menurunya, ketika tiba di tempat kejadian, kereta dipandunya dipintas sebuah motosikal dinaiki dua lelaki yang menutup sebahagian muka mereka dengan kain dan bertopi keledar.

“Secara tiba-tiba, penunggang terbabit menjatuhkan motosikalnya di hadapan kereta menyebabkan saya terpaksa memberhentikan kenderaan yang dipandu dalam kelajuan kira-kira 30 kilometer sejam.

“Mereka kemudian meluru ke arah saya sebelum salah seorang daripada lelaki terbabit menarik saya yang sudah keluar dari kereta lalu mengacukan sebilah pisau ke perut manakala rakannya bertindak menyelongkar dalam kenderaan.

“Mereka menggeledah kereta saya dan menemui satu sampul surat mengandungi baki wang hantaran RM5,000 diletakkan dalam ruang simpanan di papan pemuka.

Katanya, dia menyedari diekori seorang penunggang motosikal beberapa kali sejak awal bulan lalu ketika pulang ke rumah dari tempat kerja, tetapi tidak mengesyaki individu terbabit berniat buruk terhadapnya.

-Hmetro