Sunday, March 31, 2013

Pengganas Suluk Musnahkan Harta Benda Penduduk

Pengganas Suluk Musnahkan Harta Benda Penduduk

Kehidupan kira-kira 1,400 penduduk di Kampung Tanjung Labian di sini ibarat sudah jatuh ditimpa tangga apabila mereka terpaksa menghadapi masa depan suram dan beban hutang gara-gara pencerobohan pengganas Sulu sejak 12 Februari lalu.


Selepas sebulan meninggalkan rumah dan menghuni pusat pemindahan ekoran insiden pencerobohan pengganas Sulu, sebahagian penduduk dibawa memasuki kawasan kampung itu sebelum dikejutkan dengan penemuan banyak harta masing- masing yang musnah terbakar atau dirosakkan.

Tidak cukup dengan rumah, kedai runcit dan bengkel kenderaan, peralatan untuk mencari sesuap nasi seperti bot nelayan turut dimusnahkan.

Sedih dengan apa yang dilihat, beberapa orang penduduk meraung, menangis, menjerit, terduduk dan bertakbir.

Siti Aminah Hiya, 21, berkata, kehidupannya kini sudah tidak bermakna apabila rumah yang dihuni beberapa tahun lalu musnah.

Lebih memburukkan keadaan apabila bot dan enjin yang diguna oleh suami ke laut menangkap ikan turut terbakar.

"Bot dan enjin ini saya dapat hasil pinjaman Amanah Ikhtiar Malaysia sebanyak RM1,500 beberapa bulan lalu dan baru sekali saya bayar balik pinjaman.

"Sekarang bot sudah hancur, bagaimana saya dan suami hendak mencari rezeki bayar balik pinjaman? Rumah juga dibakar dan apa yang ada sekarang hanyalah baju yang kami pakai ini," katanya.

-Kosmo

Hantu Puaka Pengganas Suluk Berkeliaran Di Kg Tanduo

Hantu Puaka Pengganas Suluk Berkeliaran Di Kg Tanduo

Ketahanan mental anggota keselamatan yang bertugas di Kampung Tanduo di sini terus diuji apabila mereka dipercayai sering terlihat kelibat tiga lelaki sedang berkeliaran di kawasan tersebut.

Gambar hiasan

Sumber memaklumkan, kelibat tiga lelaki itu dipercayai roh pengganas Sulu yang ditembak mati dalam pertempuran 1 Mac lalu.

Katanya, kelibat lelaki itu hanya dapat dilihat pada waktu Maghrib.

"Perkara ini tidak logik tetapi inilah yang didakwa dialami anggota keselamatan.

"Mereka lihat tiga lelaki berkeliaran dengan seorang daripadanya memakai serban putih," dakwa sumber itu di sini semalam.

Selepas beberapa saat, kelibat tiga lelaki itu akan hilang.

"Di kampung tersebut ada tiga lubang kubur yang menempatkan ramai mayat pengganas.

"Kebanyakannya mempunyai tangkal di pinggang yang kononnya bertujuan menjadikan mereka kebal," tambahnya.

-Hmetro

Saturday, March 30, 2013

Pengganas Suluk Tidak Tahu Mengucap Dua Kalimah Syahadah!

Pengganas Suluk Tidak Tahu Mengucap Dua Kalimah Syahadah!

Rata-rata pengganas Sulu yang ditahan oleh pasukan keselamatan sepanjang 25 hari Ops Daulat didapati tidak tahu mengucap dua kalimah syahadah walaupun mereka mengakui beragama Islam.


Menurut sumber, perkara tersebut terbongkar apabila anggota keselamatan melakukan soal siasat terhadap pengganas-pengganas terbabit yang ditahan di daerah ini dan Lahad Datu sepanjang operasi itu.

“Soal siasat yang dijalankan mendapati rata-rata pengganas tersebut mengaku diri mereka beragama Islam.

“Bagaimanapun, apa yang mengejutkan, ada dalam kalangan mereka yang tidak tahu mengucap dua kalimah syahadah.

“Tindakan itu membayangkan seolah-olah mereka yang terlibat ini tidak mempunyai asas dalam ilmu agama Islam,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Selain itu, anggota kumpulan pengganas tersebut yang ditahan dan terbunuh juga didapati memakai tangkal pada anggota badan mereka yang dipercayai boleh menjadikan mereka kebal ketika berdepan dengan pihak keselamatan.

Sebahagian besar pengganas Sulu yang maut dan diberkas pihak berkuasa didapati memakai pelbagai tangkal yang tertulis ayat khurafat di leher, lengan, tangan dan pinggang masing-masing yang dikatakan boleh menjadikan mereka kebal.

Mengulas lanjut, sumber itu memberitahu, berdasarkan soal siasat, anggota pengganas yang ditahan itu mendakwa mereka sanggup berperang dengan pasukan keselamatan Malaysia kerana ia dianggap jihad kepada ketua kumpulan pengganas Sulu, Jamalul Kiram III.

Sumber itu menjelaskan, seorang tahanan pengganas yang berusia 25 tahun bertindak membunuh diri di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau pada 15 Mac lalu didakwa bertindak demikian atas alasan sama iaitu jihad.

“Kita telah menahan bapa si mati di balai yang sama dan dia tidak sedih dengan tindakan anaknya itu malah berbangga dan kematian anaknya itu selain membuatkan dia lebih kuat,” katanya.

Difahamkan, bapa si mati merupakan seorang berpangkat panglima dalam kumpulan pengganas tersebut dan ditugaskan melakukan keganasan di daerah ini bersama anaknya.

Punca kematian suspek yang ditahan di bawah Seksyen 130(c) Kanun Keseksaan yang dibacakan bersama dengan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) tidak didedahkan.

Untuk rekod, setakat semalam, seramai 68 anggota pengganas Sulu terbunuh dalam Ops Daulat yang dilancarkan awal bulan ini manakala jumlah yang ditahan di bawah SOSMA ialah seramai 103 orang.

-Kosmo

Friday, March 29, 2013

Hanya Tinggal 10 Pengganas Di Lahad Datu!

Hanya Tinggal 10 Pengganas Di Lahad Datu!

Pasukan keselamatan percaya saki baki pengganas kurang daripada 10 orang.


Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib mengesahkan perkara itu pada sidang media hari ini.

Pasukan keselamatan juga mengesahkan Kampung Tanjung Labian sudah selamat daripada ancaman pengganas selepas operasi pembersihan dan penggeledahan selesai dilakukan.

Sehubungan itu pihaknya akan membawa masuk beberapa penduduk esok hari bersama pasukan penilaian.

-Mynewshub

Kampung Tanduo Akan Ditutup Selama-lamanya!

Kampung Tanduo Akan Ditutup Selama-lamanya!

Kampung Tanduo yang menjadi lokasi pendaratan kumpulan pengganas Sulu dan diduduki penduduk tempatan sejak 50 tahun lalu akan ditutup dan tidak lagi menjadi kawasan penempatan penduduk.


Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata, semua penduduk kampung itu yang kini menghuni pusat pemindahan sementara akan dipindahkan ke lokasi baharu yang diputuskan kemudian.

Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas penilaian Majlis Keselamatan Negara (MKN) mendapati rumah di kampung itu mengalami kerosakan teruk.

Katanya, 12 rumah di kampung itu boleh dikatakan musnah sama sekali akibat pencerobohan pengganas di kampung itu.

“Sebelum ini kita wujudkan pasukan penilaian untuk melihat sejauh mana kerosakan dan kerugian dialami penduduk Kampung Tanduo selain aspek keselamatan.

-Hmetro

Thursday, March 28, 2013

Pengganas Cuba Tetak Anggota Polis Mati Ditembak

Pengganas Cuba Tetak Anggota Polis Mati Ditembak

Pasukan keselamatan menembak mati seorang pengganas dalam pertempuran di Kampung Simunul, Semporna pagi tadi.


Turut ditahan dua wanita masing-masing isteri dan anak kepada pengganas terbabit pagi tadi.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib mengesahkan kejadian itu pada sidang media sebentar tadi dan memaklumkan empat lelaki turut ditahan dipercayai tiada dokumen pengenalan diri.

Kenyataan penuh beliau di bawah ini;

Pada jam lebih kurang 9.00 pagi, semasa membuat pemeriksaan di salah sebuah rumah di Kampung Simunul, pasukan keselamatan telah diserang oleh seorang pengganas dengan bersenjatakan sebilah parang. Pasukan keselamatan tersebut sempat mengelak dan serangan hanya terkena baju kalis peluru dan pengganas tersebut telah ditembak mati.

Dalam kejadian ini, pihak polis telah berjaya menangkap enam orang pengganas dengan pecahan empat lelaki dan dua perempuan serta turut telah merampas sebilah parang.

Daripada enam orang pengganas yang ditangkap, dua orang perempuan disiasat di bawah SOSMA dan empat orang lelaki lagi di bawah Akta Imigresen.

Statistik terkini jumlah tangkapan yang di siasat di bawah Security Offences (Special Measures) Act 2012, (SOSMA) adalah seramai 121 tangkapan. tangkapan kes-kes lain seramai 322 orang.

Jumlah mayat pengganas yang berjaya dibawa keluar adalah seramai 41 orang dan 02 mayat kanak-kanak serta jumlah pengganas yang ditembak mati adalah seramai 65 orang dan 02 orang mayat kanak-kanak.

Orang ramai dinasihati jangan mendengar khabar angin yang tidak benar dan sekiranya terdapat apa-apa maklumat sila lapor kepada pihak polis atau balai polis yang berdekatan.

-Mynewshub

Wednesday, March 27, 2013

Robohkan Saja 'Filipina Mini' Di Kampung Simunul, Semporna!

Robohkan Saja 'Filipina Mini' Di Kampung Simunul, Semporna!

Pengikut Jamalul Kiram III dipercayai bersembunyi di Kampung Simunul, Semporna, sebelum menyerang pegawai dan anggota polis hingga menyebabkan enam daripadanya terkorban pada 2 Mac lalu, kerana yakin lokasi itu paling selamat daripada pemantauan pihak berkuasa.

Perkampungan Simunul, Semporna, berlaku pertempuran 
sepasukan menyebabkan lima anggota polis maut.

Ini berikutan reputasi perkampungan atas air itu sebagai sarang jenayah hingga digelar ‘kampung samseng’ oleh penduduk tempatan.

Imej negatif itu menyebabkan kumpulan pengganas memilih kampung terbabit sebagai lokasi persembunyian dan serangan, biarpun kedudukannya jauh dari perairan Filipina berbanding satu lagi lokasi serangan iaitu Kampung Tanduo di Lahad Datu yang dekat dengan perairan negara jiran itu.

Daripada maklumat penduduk tempatan, Kampung Simunul dikenali penduduk daerah itu sebagai sarang jenayah membabitkan aktiviti penyeludupan rokok dan dadah, termasuk transit kemasukan pendatang haram.

Malah, kebanyakan penduduk sekitar tidak berani memasuki kampung itu kerana dibanjiri pendatang tanpa izin dari negara jiran hingga digelar Filipina mini.

-Hmetro

Kisah Pengalaman Ngeri Ditetak Pengganas Suluk

Kisah Pengalaman Ngeri Ditetak Pengganas Suluk

Inspektor Mohamad Hasnal Jamil menanggung kesakitan hampir 21 jam akibat ditembak dan tangan kanannya hampir putus ditetak berkali-kali oleh pengganas Sulu di Semporna awal Mac lalu, dan pada Selasa, beliau berkongsi cerita tanpa sedikit pun semangat juangnya luntur demi negara.


“Cuma sedikit terkilan dengan pandangan sesetengah pihak yang mengatakan peristiwa itu hanya sandiwara. Kami tidak minta dihargai cukuplah percaya apa yang kami lalui bukan perkara main-main.

“Kami berjuang demi bangsa dan negara. Kalau sesiapa yang mengatakan ia sandiwara, jika berani pergilah ke sana dan lihatlah sendiri,” katanya pada majlis penghargaan dan sumbangan perwira ‘Operasi Daulat’ oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan di sini.

Menurut Mohamad Hasnal, 31, beliau ditembak tiga kali mengenai perut dan lengan kirinya, ditetak tiga kali di kepala dan tiga kali di tangan kanan semasa bertempur dengan musuh di Kampung Seri Jaya, Semunul, Semporna Sabah, kira-kira pukul 7.30 malam, 2 Mac lepas.

“Selepas terkena tembakan itu, saya diserang pula oleh pengganas yang cuba menetak dengan parang, mujurlah saya dapat melawan kalau tidak mungkin menyebabkan leher saya putus.

“Dalam keadaan berlumuran darah saya terpaksa berlari menyelamatkan diri di sebuah rumah kecil di kawasan berhampiran tempat pertempuran,” katanya yang ketika itu merasakan detik kematian begitu hampir.

Beliau bersembunyi di rumah itu bersama sekujur tubuh rakannya yang terkorban bersama sembilan anggota yang lain. Hanya doa yang dapat diungkapkan di saat itu memohon perlindungan Allah.

“Rakan-rakan lain juga banyak memberi sokongan dan kata-kata perangsang untuk saya tabah dan kuatkan semangat, sementara menanti bantuan tiba, mereka membantu saya untuk minum, yang ada hanya air hujan,” katanya.

Malam dirasakan terlalu panjang baginya, ditambah pula tidak dapat melelapkan mata kerana badannya dihurungi lalat dan semut, sebab terlalu banyak darah yang keluar.

Dalam keadaan parah, beliau masih menyembunyikan perkara sebenar apabila dapat menghubungi isterinya pada keesokan pagi.

“Saya perlu tutup telefon sebab bimbang dapat dikesan pengganas, jadi saya cuma beritahu akan menghubungi isteri petangnya.

“Rakan-rakan hanya dapat menjenguk sekejap-sekejap kerana mereka perlu sentiasa berjaga mengawasi pergerakan musuh,” katanya.

Bantuan tiba kira-kira pukul 5.30 petang (3 Mac), dan wira negara itu diterbangkan ke Hospital Tawau untuk rawatan dan pembedahan.

Dua hari kemudian beliau sekali lagi menjalani pembedahan di Hospital Selayang, Kuala Lumpur pula.

Anak kelahiran, Felda Teloi Timur, Sik Kedah itu berkata apa yang dialami tidak melemahkan semangatnya untuk terus menabur bakti, kerana baginya insiden ini antara cabaran dalam tugasan, dan tanggungjawabnya mempertahan kedaulatan negara.

Mohamad Hasnal hadir bersama balu dan waris yang terkorban dalam insiden pencerobohan pengganas di Lahad Datu dan Semporna pada majlis itu.

Dua anggota polis terkorban di Lahad Datu pada 1 Mac dan enam di Semporna Sabah pada 2 Mac.

Beberapa orang lagi cedera dan seorang anggota tentera turut gugur dalam satu lagi pertempuran di Lahad Datu.

Seorang anggota tentera terbunuh dalam kemalangan mengikuti konvoi Operasi Daulat itu.

Suasana pilu turut dirasakan pada majlis itu, apabila syair bertajuk “Ayahku Seorang Perwira” hasil nukilan Setiausaha Akhbar Menteri KPDNKK Datuk Ruhaidini Abd Kadir, dilagukan oleh Tengku Khalidah Tengku Bidin.

-BERNAMA

Tuesday, March 26, 2013

Pengganas Suluk Serah Diri Selepas 15 Hari Tak Makan

Pengganas Suluk Serah Diri Selepas 15 Hari Tak Makan

Berhubung statistik terkini Operasi Daulat, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, berkata seramai 429 individu telah ditangkap dan daripada jumlah itu 116 ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) dengan 42 daripadanya telah dibebaskan.


Beliau berkata 42 mayat musuh telah dibawa keluar dari kawasan pertempuran termasuk dua mayat kanak-kanak yang terbunuh dalam pertempuran di Kampung Tanjung Batu dua hari lepas, manakala 29 mayat telah dikebumikan.

Berhubung seorang pengganas Sulu yang menyerah diri di kawasan Kampung Tanjung Batu petang semalam, Khalid berkata keadaan fizikal militan itu yang lesu setelah 15 hari tidak menjamah makanan adalah gambaran kepada keadaan yang dialami saki-baki pengganas yang bersembunyi di kampung terbabit.

“Jadi kita harap pengganas lain yang berada di dalam semak dan paya berhampiran supaya turut berbuat demikian kerana sudah ketiadaan bekalan makanan selain kehilangan arah berikutan pemerintah tentera mereka telah ditangkap,” katanya.

Dalam pada itu, Khalid berkata 20 ketua keluarga dari Kampung Tanduo telah dibawa masuk ke perkampungan terbabit pagi ini bersama pegawai dari Pejabat Daerah Lahad Datu bagi membolehkan mereka melawat rumah dan harta benda masing-masing.

Ini adalah sebahagian daripada proses penilaian yang sedang dijalankan Majlis Keselamatan Negara serta Majlis Daerah Lahad Datu, dan dibantu Majlis Keselamatan Negeri bagi menilai kerosakan dan jumlah ganti rugi yang perlu diberikan.

-Mynewshub

Nur Misuari Dan Anwar Bertemu Dua Kali Sebelum Pencerobohan!

Nur Misuari Dan Anwar Bertemu Dua Kali Sebelum Pencerobohan!

Pengendali portal propembangkang, Raja Petra Kamaruddin mendakwa memang berlaku pertemuan antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Nur Misuari bagi membincangkan isu politik di Sabah.


Dakwanya, pertemuan pertama Ketua Pembangkang dengan bekas Pengerusi Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) itu berlangsung pada 16 Julai 2012 di Hotel Crowne Plaza, Jakarta dan diatur oleh sahabat baik Anwar sendiri.

Pertemuan seterusnya pula dakwa Raja Petra, berlaku pada 4 Ogos 2012 di Manila bertujuan memuktamadkan segala perbincangan yang dibuat di Jakarta dan penerbangan ke sana menggunakan pesawat Malaysia Airlines.

“Dalam pertemuan itu, Anwar dikatakan meminta pertolongan Nur Misuari bagi memastikan kemenangan pakatan pembangkang pada pilihan raya umum akan datang dengan tumpuan khusus perbincangan adalah berkait isu Sabah.

-Utusan

Azzimuddie Masih Di Sabah - Jacel Kiram

Azzimuddie Masih Di Sabah - Jacel Kiram

Ketua gerombolan pengganas Sulu di Sabah, Azzimuddie Kiram didakwa masih berada di Sabah, walaupun pihak media Malaysia melaporkan dia telah melarikan diri dan kembali ke negara ini, dakwa anak pemimpin pengganas Sulu, Jacel Kiram semalam.


“Kami bercakap dengannya (Azzimuddie) melalui telefon pagi tadi (semalam),” kata Jacel kepada akhbar dalam talian Rappler.com

Katanya, perbualan rutin selama 30 saat setiap hari itu membuktikan Azzimuddie masih berada di Sabah.

Pihak berkuasa Malaysia sebelum ini menyatakan bahawa Azzimuddie, 72, telah meninggalkan orang-orangnya di Lahad Datu dan kini sedang bersembunyi untuk mengelak daripada ditangkap pihak berkuasa negara tersebut.

Jacel menegaskan, bapa saudaranya itu dan beberapa pengikutnya sedang menyembunyikan diri di Sabah.

Dia juga menafikan Datu Amirbahar Hushin Kiram, 40 yang ditahan pihak berkuasa Malaysia berpangkat jeneral dalam tentera Kesultanan Sulu.

Katanya, Amirbahar telah menjadi penduduk tetap Sabah sejak empat tahun lalu.

“Dengan penahanan Amirbahar, pihak berkuasa Malaysia memberitahu masyarakat antarabangsa yang mereka berjaya mengawal keadaan dan ia tidak benar,” kata Jacel.

“Kami perlu berhati-hati. Dia bukan seorang jeneral,” tambahnya.

Sebelum ini Jacel pernah menipu dengan menunjukkan sekeping gambar palsu yang didakwanya sebagai anggota keselamatan Malaysia yang mati selepas bertempur dengan pengikut bapanya.

Gambar itu merupakan askar-askar Thailand yang terkorban pada tahun 2007 yang disiarkan di internet.

Azzimuddie dan sejumlah pengikutnya memasuki Lahad Datu, Sabah pada 12 Februari lalu untuk menuntut tanah yang didakwa hak milik nenek moyang mereka.

-Agensi

Monday, March 25, 2013

Kisah Komando VAT 69 Di Hujani Peluru Dari Jarak 10 Meter

Kisah Komando VAT 69 Di Hujani Peluru Dari Jarak 10 Meter

‘Ibarat hujan peluru’ itulah ungkapan angota-anggota Komando VAT69 bagi menggambarkan pertempuran dengan pengganas dari selatan Filipina di Lahad Datu 1 Mac lepas.


Insp Azwanazlee Saffiai, 33, berkata terdapat dua pasukan yang bertempur dengan kumpulan militan itu iaitu Pasukan Gerakan Khas (PGK) VAT 69 Bravo dan Charlie.

Bertindak sebagai komander kumpulan bagi sektor Bravo terdiri daripada 34 anggota dan pegawai, beliau berkata pertempuran berlaku selepas pengganas cuba mengepung pasukan keselamatan Charlie.

“Sewaktu cuba mengepung pasukan keselamatan Charlie yang juga dianggotai 34 anggota dan pegawai, pengganas memasuki kawasan sektor Bravo dan mereka kemudian mengeluarkan arahan supaya sektor kami (Bravo) beredar meninggalkan kawasan.

“Kami (Bravo) enggan berganjak sebaliknya cuba mendapatkan arahan daripada Komander untuk melepaskan tembakan.

”Pihak pengganas yang sebelum itu memberi amaran ‘berambus Tiger, balik’ (kepada kami) telah melepaskan tembakan kerana kami tidak mahu berundur,” katanya.

“Mereka (pengganas) cuba rapat dengan kami dan mengacukan senjata serta melepaskan tembakan bertubi-tubi dalam jarak kira-kira 10 meter,” katanya.

Pertempuran yang berterusan selama sejam itu mengorbankan dua anggota polis iaitu ASP Zulkifli Mamat, 29, dan Sjn Sabaruddin Daud, 46.

Pasukan keselamatan menembak mati 15 musuh.

Azwanazlee berkata dalam pertempuran di kawasan kelapa sawit yang berpaya itu, beliau mendapati beberapa anggota pengganas sukar ditumpaskan walaupun ditembak bertubi-tubi.

“Kami rasa mereka seolah-olah memakai ilmu kebal kerana walaupun telah ditembak berkali-kali tetapi tidak jatuh. Arahan untuk menembak di bahagian kepala diterima dan ia akhirnya berjaya menumpaskan pengganas itu,” katanya.

Berkongsi pengalaman sama, Kpl Muhammad Imran Abd Talib, 28, yang diatur gerak dalam satu lagi pasukan iaitu sektor Alpha di Kampung Tanduo, berkata beliau dapat menumpaskan pengganas dalam jarak yang paling dekat iaitu kira-kira dua meter.

“Saya masuk kampung Tanduo pada 28 Feb dan pada pagi 1 Mac saya dan rakan lain diletakkan dalam keadaan siap siaga. Ketika itu kami sedang menyediakan makanan sebelum mendengar bunyi tembakan di kawasan sektor Bravo,” kata anak bekas komando itu.

Beliau berkata pokok kelapa sawit menjadi tempat perlindungan daripada serangan pengganas.

“Bertempur dalam hutan tidak sama dengan bertempur di kawasan ladang kelapa sawit dengan binaan rumah yang tidak banyak.

”Pemandangan menjadi lebih luas dania mudah untuk dilihat musuh, itu antara cabaran yang harus ditempuhi ketikaitu.

“Selepas bertempur saya lihat tempat perlindungan saya dipenuhi kesan tembakan. Saya bersyukur kerana peluru yang datang seperti hujan itu tidak mengenai saya,” katanya.

Muhammad Imran yang terpaksa menangguhkan pertunangannya, berkata beliau bangga kerana dapat menyumbang kudrat demi mempertahankan negara

Sementara itu, dalam keadaan musuh menyerang bertalu-talu dan anggota pasukan komando VAT69 ini membalas tembakan mempertahan diri dan negara, dalam insiden 1 Mac lepas, Kpl Mohamad Asrul Osman tidak sedar rakan di sebelahnya gugur dalam pertempuran selama sejam itu.

Beliau berkata laungan ‘Allahhuakbar’ menjadi perisai ketika diserang musuh yang jaraknya agak dekat dalam insiden pencerobohan pengganas militan di Lahad Datu, Sabah.

“Ketika pertempuran saya meniarap bersebelahan arwah (Sjn Sabaruddin Daud, 46). Kami diserang bertalu-talu dan angin daripada tembakan itu memang jelas dirasai betul-betul di sebelah telinga saya.

“Saya tidak sangka tembakan itu mengenai Sabaruddin dan hanya mengetahuinya apabila saya menepuk belakang beliau untuk berundur, tetapi beliau sudah kaku ketika itu,” katanya .

Mohamad Asrul, 33, berkata beliau cedera pada cuping telinga dan kolar pakaian seragamnya koyak rabak dalam pertempuran yang turut mengorbankan ASP Zulkifli Mamat.

“Meskipun hati sebak melihat rakan gugur, ia tidak menjadi kekangan pada saya untuk meneruskan perjuangan demi membela tanah air,” katanya.

Semangat juang yang ditunjukkan pasukan keselamatan negara itu berjaya membunuh 15 musuh.

Beliau berkata kira-kira pukul 5 petang hingga keesokannya harinya (2 Mac) semua pegawai dan anggota diletak dalam keadaan siap siaga bagi menumpaskan pengganas.

“Sehingga kini saya masih terbayang kejadian menimpa Allahyarham,” katanya.

Beliau berkata pengalaman bertempur dengan pengganas yang merupakan pengalaman pertama baginya, itu mendidiknya menjadi lebih berani dan sanggup mempertaruh nyawa sendiri demi menjaga kedaulatan negara.

“Saya masuk Komando pada 2003, insiden pencerobohan di Lahad Datu memberi peluang kepada saya merasai sendiri apa apa yang telah orang lama ceritakan mengenai pertempuran dengan komunis dan bagaimana perasaan bertempur dalam situasi sebenar,” katanya.

Mengambil pendekatan untuk tidak merisaukan orang tersayang, Mohamad Asrul berkata beliau memberitahu ibunya bahawa beliau sedang mengikuti kursus.

“Isteri saya pula hanya dimaklumkan bahawa saya terlibat dalam pertempuran ini tetapi tidak pernah memberitahunya apa yang saya lalui termasuk kecederaan yang saya alami,” katanya.

-BERNAMA

Semporna Adalah Ibu Pejabat Pengganas!

Semporna Adalah Ibu Pejabat Pengganas!

Seorang pemimpin kanan dipercayai berjawatan ketua perisik dikenali sebagai  kini menjadi orang buruan utama pasukan keselamatan dalam usaha melumpuhkan terus pergerakan saki-baki kumpulan pengganas yang menceroboh Sabah sejak 12 Februari lalu.

Anggota tentera membawa keluar dua daripada empat mayat pengganas yang 
ditembak mati dalam satu pertempuran di Kampung Tanjung Batu, semalam.

Menurut sumber, dia yang dipercayai ada hubungan keluarga dengan Jamalul Kiram yang mendakwa dirinya Sultan Sulu, dikatakan antara individu yang menyertai kumpulan pengganas terbabit membuat rundingan dengan pasukan keselamatan, Februari lalu.

“Sejurus selepas berlaku pertempuran pada 1 Mac lalu, Datu Piah menghilangkan diri, tetapi dipercayai masih berada di negeri ini,” katanya.

Sumber itu berkata, pasukan keselamatan turut percaya Semporna ialah markas utama pengganas kerana di situlah mereka melakukan perancangan serta mengatur strategi.

“Semporna adalah ibu pejabat pengganas dan di Lahad Datu pula ‘medan permainan’ mereka,” katanya.

-Hmetro

Sunday, March 24, 2013

Agbimuddin Kiram Dianggap Wira Selepas Berjaya Lolos Ke Filipina

Agbimuddin Kiram Dianggap Wira Selepas Berjaya Lolos Ke Filipina

Agbimuddin Kiram dianggap sebagai lagenda dan wira di kalangan umat Islam Filipina kerana berjaya meloloskan diri dari ditangkap oleh pasukan keselamatan Malaysia, kata kolumnis The Philippine Daily Inquirer.

Agbimuddin dianggap ‘wira’ oleh umat Islam Filipina, kata kolumnis.

Dalam kolum “As I see it”, wartawan veteran Neal H. Cruz mengatakan menyukai “raja muda” Sulu dan dakwaan keganasan yang dihadapi warga Filipina di Sabah sama seperti perjuangan kaum Indian dan Afrika di Amerika, yang ditindas oleh pendatang imigran dari Eropah.

Cruz berkata jika Agbimuddin ditemui mati, ketua militan itu akan disanjung lebih hebat.

Beliau berkata Presiden Filipina Benigno Aquino III perlu dipersalahkan, kerana sikapnya mengenai krisis Sabah “mengundang kemarahan”.

“Beberapa tahun dari sekarang, cerita Kesultanan Sulu dan wira-wiranya akan tersebar, tentang bagaimana mereka ditindas oleh kerajaan Malaysia dan FIlipina dan cerita itu akan berterusan zaman berzaman,” kata kolumnis itu dalam tulisannya.

“Sebuah buku akan ditulis tentang mereka, sebuah filem akan difilemkan tentang mereka, sama seperti sejarah Indian dan Afrika di Amerika pada masa lalu.”

Agbimuddin dan 235 pengikutnya dikepung dalam pertempuran ganas dengan ribuan anggota keselamatan Malaysia yang mempunyai senjata berat, jet pejuang, kereta kebal dan bom dalam 18 hari selepas Ops Daulat dilancarkan pada 5 Mac lalu.

Agbimuddin, “raja muda” dan adik kepada Jamalul Kiram III yang mengaku dirinya sebagai Sultan Sulu, mendarat di Sabah untuk merampas semula negeri yang didakwa miliknya empat abad lalu, berjaya melarikan diri walaupun dikepung hebat oleh pasukan keselamatan Malaysia.

Menurut laporan dari sumber risikan Malaysia semalam, pemimpin puak bersenjata itu berjaya melarikan diri dari Sabah pada 11 Mac dan ke satu pulau di selatan Filipina untuk melarikan diri dari ditangkap pihak berkuasa Filipina.

Laporan menunjukkan 63 pengikut Agbimuddin dibunuh, dan yang lain sama ada melarikan diri pulang ke Filipina atau menyembunyikan diri di Lahad Datu.

Cruz berkata pertempuran harus ditamatkan, dan Putrajaya serta Manila harus bertemu dengan Sultan Sulu untuk menamatkan krisis ini.

“Membunuh dan mempenjarakan pengikut Sultan tidak akan menyelesaikan masalah tetapi memburukkan keadaan, jadi mereka perlu berbincang,” katanya lagi.

Beliau berkata pentadbiran Aquino tidak mengendahkan keluarga Kiram dari mula walaupun presiden itu berkata beliau sudi untuk berbincang dengan keluarga tersebut.

Cruz mengingatkan mengenai surat yang dihantar oleh keluarga Kiram kepada Aquino apabila beliau mula-mula memegang jawatan presiden pada 2010, dan meminta Aquino membantunya tentang tuntutan Sabah. “Tetapi Malacanang mendakwa surat tersebut 'hilang',” katanya lagi.

“Hilang atau tak ambil peduli? Pegawai kerajaan tidak mahu bercakap dengan beliau (Sultan), sebaliknya bercakap dengan adiknya, yang tidak boleh membuat apa-apa keputusan.

“Jika tidak mahu ke rumahnya di Taguig, kenapa tak berikan mereka tambang teksi ke Malacanang supaya mereka boleh berbincang?”

Cruz menyambung dengan berkata walaupun presiden mengatakan keinginan untuk “berbincang”, tetapi pihak berkuasa Filipina menahan pengikut Kiram dan mendakwanya di mahkamah.

Cruz berkata penahanan 36 individu di bot ketika di pesisiran pantai Filipina, dan mendakwa lapan warga Filipina kerana keganasan di Sabah.

“Warga Filipina, dibawah pemerintahan Presiden Aquino, kini tersepit antara dua pihak,” katanya yang berkata jika mereka terus tinggal di Sabah atau pulang, mereka akan ditahan dan dihukum.

“Jadi, apa yang mereka boleh buat? Ada yang akan terus tinggal di situ dan mati dalam pertempuran, membunuh beberapa rakyat Malaysia, dan bertemu bidadari di alam barzakh,” katanya lagi.

[Sumber]

Inilah kebodohan melampau negara yang hidup dengan kisah peperangan, pembunuhan, penculikan, pelacuran dan segala bentuk kejahatan. Menceroboh negara orang lain, melakukan pembunuhan kejam kemudian dianggap wira!? Adakah mereka tidak sedar, hampir sejuta rakyat Filipina tanpa dokumen sah 'mencari makan' di Sabah? Kerajaan sepatutnya bertegas dari dahulu untuk menangkap PTI yang berkeliaran dan menghantar mereka balik ke negara Pengganas!

Saturday, March 23, 2013

8 Sniper Wanita Pengganas Sulu Dipercayai Kebuluran

8 Sniper Wanita Pengganas Sulu Dipercayai Kebuluran

Sekumpulan wanita Sulu yang direkrut menjadi penembak tepat oleh gerombolan pengganas yang diketuai Azzumuddie Kiram yang menceroboh negeri ini sejak 12 Februari lalu, kini dipercayai hidup menderita kerana tiada makanan.

Rumah seorang penduduk Kampung Kembara Sakti, Lahad Datu 
yang terbakar selepas diceroboh empat lelaki bersenjata kelmarin.

Mereka kini dipercayai hilang arah menyembunyikan diri di dalam hutan selepas Azzumuddie sudah meninggalkan kumpulan tersebut manakala pasukan keselamatan pula giat melancarkan Ops Daulat bagi memburu saki-baki pengganas itu.

Baki pengganas wanita yang bersembunyi kini dipercayai hidup dalam keadaan kusut masai dan badan kurus kerana tiada makanan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya percaya seramai lapan wanita menyertai puak pengganas Sulu dengan seorang daripada wanita itu telah ditembak mati dalam pertempuran pada 1 Mac lalu.

"Memang ada wanita dalam kumpulan pengganas Sulu dan kita sudah menembak seorang daripada pengganas wanita itu," kata beliau pada sidang akhbar di sini kelmarin.

-Kosmo

Menteri Pertahanan Pengganas Sulu Berjaya Ditangkap!

Menteri Pertahanan Pengganas Sulu Berjaya Ditangkap!

Berikut adalah dua keping gambar yang memperlihatkan wajah Jeneral Perang Dan Menteri Pertahanan Sulu yang dikenali sebagai Datuk Amir Baha@Datuk Bahang.


Jeneral itu ditahan di satu kawasan paya bersama isterinya pukul 1.30 pagi, Sabtu lalu.

Turut ditahan ketika itu ialah seorang talibarut (warga tempatan) yang bertindak menyediakan segala keperluan kepada militan pengganas sejak awal pendaratan mereka di Kampung Tanduo sehingga kini.


Penahanan itu disahkan Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar yang berkata, kejayaan itu menandakan pergerakan pengganas di kawasaN Lahad Datu sebagai lumpuh.

“Dengan penahanan ‘military commander’ atau pemerintah tentera Sulu serta tali barut pengganas ini, saya berpendapat kumpulan militan kini lumpuh dengan tertangkapnya dua individu terbabit,” katanya pada sidang akhbar di Markas Operasi Felda Sahabat 16, dekat sini pagi tadi.

-Mynewshub

Malaysia Nafi Hantar Komando Untuk Bunuh Jamalul Kiram III

Malaysia Nafi Hantar Komando Untuk Bunuh Jamalul Kiram III

Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini menyangkal dakwaan kononnya sepasukan komando tentera dihantar ke Filipina untuk membunuh pemimpin pengganas Sulu, Jamalul Kiram III.


“Saya minta Jamalul Kiram janganlah khuatir, kita tidak akan menceroboh masuk ke Filipina dan tidak sejahat beliau untuk melakukan pembunuhan di negara orang.

“Janganlah lakukan ”reverse psychology” hanya untuk mendapat simpati daripada penyokong-penyokongnya,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Pingat Jasa Malaysia kepada 50 bekas tentera di sini.

-BERNAMA

Friday, March 22, 2013

Wajah Pengganas Wanita Suluk Yang Ditangkap Macam Ahli Sihir!

Wajah Pengganas Wanita Suluk Yang Ditangkap Macam Ahli Sihir!

Dalam sidang akhbar semalam, kita semua dimaklumkan yang pasukan keselamatan berjaya menembak mati seorang pengganas ketika operasi penggeledahan di Kampung Tanjung Batu pada kira-kira 1.30 tengah hari Rabu, menjadikan jumlah keseluruhan yang maut 63 orang.


Seorang militan wanita berusia lewat 40-an serta tidak bersenjata turut ditahan dalam operasi itu.

Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata kejadian itu susulan daripada pertempuran yang tercetus pada 11.30 pagi yang menyebabkan seorang anggota tentera cedera di jari kiri akibat terkena serpihan peluru.

“Susulan itu, pasukan keselamatan terus menjejaki musuh dan berlaku pertempuran di mana pasukan kita telah membunuh seorang daripada mereka serta menahan seorang wanita,” katanya.

Ketika ini di Lahad Datu heboh diperkatakan mengenai sekeping gambar yang didakwa pengganas wanita tersebut.

Tubuhnya kelihatan kurus dan tidak bermaya, pucat serta ketakutan.

Sehingga berita ini ditulis, belum ada mana-mana pihak yang mengesah atau menafikan perkara itu.

Difahamkan, pengganas wanita yang diberkas semalam juga dipercayai kuat mengamalkan ilmu hitam seperti mana rakan-rakannya yang lain.

Apapun tak kira sama ada pengganas itu secantik Siti Nurhaliza atau seseksi Angelina Jolie, atau berpenampilan seperti Mak Lampir sekalipun, yang penting dia telah diberkas!

Dia mesti diadili seadil-adilnya dan dihukum seberat-berat hukuman jika terbukti bersalah.

Tahniah pasukan keselamatan negara!

-Mynewshub

Thursday, March 21, 2013

Mayat Pengganas Mereput Dalam Tempoh Singkat Angkara Ilmu Hitam

Mayat Pengganas Mereput Dalam Tempoh Singkat Angkara Ilmu Hitam

Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, tetapi berdasarkan tanda-tanda yang ditemui pada mayat pengganas itu, mereka menggunakan ilmu kebatinan yang berunsur syirik.

Pengganas

Antara benda-benda berunsur syirik yang ditemui pada mayat pengganas ialah tangkal yang mereka percayai boleh menjadikan anggota militan kebal dan takwim bagi meramal hari yang sesuai untuk menyerang pasukan keselamatan.

Menurut sumber pasukan keselamatan, terdapat pengganas yang mati ditembak memakai tangkal dan mempunyai tatu ayat al-Quran di badan.

“Mereka mungkin kebal dengan peluru tetapi tidak setiap masa. Malah jika kulit mereka tidak lut namun letupan mortar mampu membunuh mereka,” katanya.

Beliau berkata ada satu mayat pengganas yang mempunyai kesan hitam dipercayai kesan peluru namun kemungkinan kematian pengganas itu disebabkan luka dalaman akibat bunyi dan letupan mortar.

“Peliknya pengamal ilmu batin ini, mayat pengganas cepat busuk dan dihurungi ulat dalam tempoh sejam. Jika manusia biasa ulat akan hurungi mayat itu jika dibiarkan lebih dari dua atau tiga hari,” katanya.

Pegawai Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat) Sabah Mej Anuar Mat Zin berkata Islam melarang menggunakan ilmu kebatinan yang boleh menyekutukan Allah dalam menegakkan sesuatu perjuangan kerana ia lari daripada landasan agama.

Beliau berkata perbuatan itu boleh merosakkan akidah sekaligus menjadikan perjuangan mereka adalah perbuatan sia-sia.

“Perbuatan memuja sesuatu ilmu seperti untuk kebal adalah salah di sisi Islam, Islam tidak menerima perjuangan seperti itu biar apapun niat dan matlamatnya,” katanya yang turut terlibat dalam Operasi Daulat dalam membanteras kumpulan pengganas itu.

Beliau berkata soal ajal dan maut adalah di tangan Allah dan tiada siapa atau kuasa yang dapat mengubahnya.

Pengganas yang didakwa menggunakan ilmu batin untuk kebal turut memakai tangkal dan kad meramal hari, iaitu ilmu Kutika yang dipelajari daripada buku Tajul Muluk dan perkara itu disahkan Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

“Itu mungkin kepercayaan mereka,” katanya selepas ditemui pemberita di markas operasi Felda Sahabat 16, dekat sini semalam.

Anggota Parlimen Silam Salleh Kalbi pula menyifatkan amalan kebatinan pengganas tidak melambangkan mereka seorang pejuang jihad seperti yang cuba digembar-gemburkan pihak tertentu di negara ini.

“Menurut Islam adalah haram bagi mana-mana pihak yang ingin mengganggu-gugat negara yang berdaulat, iaitu pemimpinnya dipilih oleh rakyat dengan kerelaan hati mereka.

“Tetapi ia dibenarkan jika kedaulatan negara terancam seperti Palestin kerana ia demi mempertahankan kedaulatan negara itu yang telah dirampas,” katanya yang menyifatkan pengorbanan pasukan keselamatan adalah satu jihad kerana mempertahankan negara berdaulat. –BERNAMA

BACA INI JUGA: Mayat Masih Sempurna Selepas 6 Tahun Dikebumikan!

Sah! Ketua Pengganas Sudah Lari Ke Filipina Tinggalkan Pengikut

Sah! Ketua Pengganas Sudah Lari Ke Filipina Tinggalkan Pengikut

Ketua pengganas, Agbimuddin Kiram sudah melarikan diri ke selatan Filipina meninggalkan pengikutnya sejak 11 Mac lalu, seminggu selepas Ops Daulat dilancarkan.


Perkara itu disahkan Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, maklumat itu diperoleh hasil risikan pasukan keselamatan yang mendapati ketua pengganas itu kini bersembunyi di pulau kecil di selatan Filipina bagi mengelak ditangkap pasukan keselamatan negara berkenaan.

Katanya, Agbimuddin dipercayai bersembunyi daripada dikesan pengikutnya di selatan Filipina kerana bimbang keselamatannya terancam berikutan tindakan meninggalkan kumpulan pengganas pimpinannya di FELDA Sahabat.

-Beritaharian