Saturday, June 07, 2025

Ajaibnya Keikhlasan


Apabila disebut perkataan ajaib, tentunya ada kaitan dengan sesuatu perkara yang tidak terjangkau oleh pemikiran kita yang terbatas kerana tiada penerangan saintifik mampu menjelaskan situasi berkenaan.

Kisah Amir Naik Haji
Kisah Amir.

Tidak kira sama ada mempunyai pegangan agama atau tidak, berpendidikan atau tiada, apabila berlaku keajaiban, kesemuanya cukup gembira dan terharu dengan kejadian tersebut.

Namun, ada juga yang berduka dengan kelalaiannya sendiri setelah ditarik nikmat yang dikecapi selama ini.

Sebetulnya, keajaiban boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Ada ketikanya seseorang yang telah koma berpuluh tahun telah sedar dan pulih, serta dapat hidup seperti sediakala.

Ada juga yang berjaya mengandung anak pertama setelah usianya begitu lanjut dan hampir berputus harap untuk mendapatkan zuriat.

Begitu juga dengan pelajar yang begitu lambat dan cukup lemah dalam pelajaran sewaktu di sekolah rendah akhirnya boleh menjadi seorang doktor pakar.

Malah, ada juga yang bertemu jodoh dengan kekasih lama setelah begitu lama berpisah.

Selain itu, keajaiban juga boleh berlaku dalam proses perkembangan kehidupan manusia. Kalau dahulu mereka hidup susah dan miskin, namun telah menjadi kaya-raya hanya kerana bekerja sebagai tukang kebun kepada seorang jutawan yang tidak mempunyai anak untuk mewarisi hartanya.

Begitu juga dengan orang yang bergelar super jutawan boleh jatuh miskin kerana ditipu oleh rakan baik sendiri.

Kisah tentang keajaiban juga diceritakan dalam satu hadis sahih oleh Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda, "Seorang pelacur diampuni oleh ALLAH. Wanita itu lalu berhampiran seekor anjing di sebuah perigi. Anjing itu hampir mati kerana kelaparan. Lalu wanita itu menanggalkan seliparnya, kemudian mengikat dengan tudung kepalanya, lalu mengambil air untuk anjing tersebut. Wanita itu diampuni dosanya kerana hal tersebut." (Hadis Riwayat Bukhari)

Hakikatnya, keajaiban berlaku bukan disebabkan oleh pemberian daripada pelacur itu, namun disebabkan oleh keikhlasan yang ada dalam hati wanita itu yang menyebabkan perbuatan tersebut diangkat begitu tinggi di sisi ALLAH SWT.

Isu keikhlasan juga pernah dikongsi cerita oleh Mufti Menks dari Zimbabwe berkaitan doa seorang wanita yang dimakbulkan ALLAH untuk bertemu dengan seorang doktor di Pakistan yang mempunyai kepakaran dalam bidang neurologi.

Kesan doa wanita tersebut menyebabkan kapal terbang kecil yang dinaiki oleh doktor itu seperti 'dipaksa' untuk mendarat cemas di perkampungan beliau.

KISAH AMIR NAIK HAJI

Amir adalah seorang rakyat Libya yang pergi ke lapangan terbang untuk berangkat menunaikan haji, namun semasa dia sedang menyelesaikan urusan imigresen, pihak keselamatan mendapati ada masalah keselamatan yang berkaitan dengan namanya.

Pegawai keselamatan berkata kepadanya, "Kami akan cuba selesaikan, tapi kamu perlu tunggu sekejap."

Dalam masa itu, semua jemaah haji lain telah selesai urusan mereka, menaiki kapal terbang, pintu ditutup, dan selepas masalah Amir diselesaikan, malangnya juruterbang menolak untuk membuka pintu semula. Kapal terbang itu pun berlepas tanpanya.

Pegawai keselamatan di lapangan terbang berkata, "Apa boleh buat, nampaknya bukan rezeki kamu untuk pergi haji tahun ini."

Tapi Amir tetap bertegas dan berkata, "Saya takkan balik. Saya sudah berniat untuk haji dan insyaAllah saya akan tetap pergi."

Tiba-tiba mereka menerima laporan bahawa pesawat itu mengalami kerosakan teknikal dan terpaksa berpatah balik ke lapangan terbang. Kapal terbang itu dibaiki, tetapi juruterbang masih enggan membuka pintu.

Pegawai keselamatan kembali berkata, "Nampaknya bukan rezeki kamu juga kali ini."

Namun Amir dengan penuh keyakinan menjawab, "Niat saya tetap untuk haji dan InsyaAllah saya akan tetap pergi."

Tidak lama selepas itu, pesawat yang sama mengalami kerosakan sekali lagi dan terpaksa kembali semula.

Ketika itu, juruterbang akhirnya berkata, "Saya takkan berlepas selagi Amir belum naik pesawat ini."

Akhirnya, Amir menaiki pesawat itu, berlepas ke Arab Saudi dan kemudian memuat naik video dari sana dengan wajah yang benar-benar gembira dari lubuk hati.

"Sesungguhnya perintah-Nya apabila Dia menghendaki sesuatu hanyalah berkata kepadanya: Jadilah! Maka jadilah ia." (Surah Yasin: 82)

Niat yang ikhlas tidak akan pernah disia-siakan oleh Allah SWT.

YAKIN PERTOLONGAN ALLAH

Justeru, niat yang benar-benar ikhlas kepada ALLAH dalam melakukan kebajikan dan sentiasa berdoa kepada ALLAH dengan penuh pengharapan akan membantu kita memperoleh apa yang tidak terfikir untuk diperoleh.

Pupuklah niat yang ikhlas dalam diri sepanjang masa agar sentiasa mendapat keberkatan ALLAH SWT.

Umar bin al-Khattab r.a. telah berkata, "Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat." (Hadis Riwayat Bukhari)

Selain itu, kesabaran dan ketabahan kita mendepani setiap ujian serta cabaran akan menjadikan kita lebih kuat dan diangkat darjat yang lebih tinggi oleh ALLAH SWT.

Pun begitu, bagi mereka yang masih menganggap bahawa nikmat yang diperoleh bukannya ujian untuk mereka, menyebabkan segala nikmat yang dikecapi selama ini akan ditarik dengan begitu mudah oleh ALLAH SWT.

Keajaiban yang dikurniakan kepada kita disebabkan tiga perkara penting iaitu; sentiasa menanamkan perasaan ikhlas dalam diri, bersabar dan jangan mudah berputus harap dengan ujian yang diterima serta sentiasa menyedari bahawa segala nikmat dikurniakan ALLAH SWT, sebenarnya adalah ujian yang lebih besar kepada kita.

Biasakan lidah sentiasa menyebut ungkapan 'Cukuplah ALLAH bagiku' supaya kita sentiasa terlindung dan mendapat bimbingan.

Semoga memberi manfaat.

-Sentiasapanas.com

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon