Thursday, November 18, 2021

Kultus Ajaran Sesat NXIVM Yang Mencemar Legasi Siri TV Popular 'Smallville'


Salah satu siri TV popular yang menjadi fenomena antarabangsa suatu ketika dahulu adalah 'Smallville' yang memaparkan kisah watak Clark Kent membesar sebelum bergelar 'Superman', mendapat sambutan hangat di seluruh dunia, memacu nama aktor Tom Welling serta dua pelakon cantik Kristin Kreuk dan Allison Mack.

Kultus ajaran sesat Smallville

Walaupun berjalan selama 10 musim dari tahun 2001 sehingga tahun 2010, tidak ramai yang mengetahui dalam masa yang sama, dua nama besar siri itu terpalit dengan sebuah kultus ajaran sesat semasa di kemuncak populariti.

Dua pelakon Smallville ahli kultus

Pada tahun 2018, salah seorang pelakon utama siri Smallville, Allison Mack, ditangkap pihak polis atas dakwaan pemerdagangan manusia yang berkait dengan sebuah kultus bernama NXIVM (disebut NEXIUM).

Ditubuhkan pada tahun 1998, NXIVM didaftar sebagai sebuah syarikat jualan langsung oleh seorang lelaki bernama Keith Raniere, yang menawarkan khidmat konsultansi dan program eksekutif sokongan bagi membina kerjaya golongan profesional.

Kisah bagaimana produksi siri TV Smallville terpalit dengan kultus ini bermula selepas Kristin Kreuk, pelakon utama siri itu menyertai salah satu program yang ditawarkan NXIVM bagi mengembangkan kerjayanya pada tahun 2006.

Penyertaannya disyorkan teman lelakinya ketika itu, Mark Hildreth, salah seorang anggota NXIVM yang diharap dapat membantu Kristin membuang rasa malu yang dihadapinya dalam kerjaya agar membolehkan kariernya melonjak ke tahap lebih tinggi.

Mengakui keberkesanan program itu, Kristin mengesyorkan Allison Mack, pelakon watak 'Chloe Sullivan' dalam produksi Smallville untuk turut sama menyertai program yang ditawarkan.

Allison Mack 100% komited dalam menjayakan program yang disertainya dan disinilah kisahnya bermula.

Merekrut Hamba Wanita

Untuk beberapa tahun selepas itu, tidak ada apa-apa berita aneh kedengaran berkenaan penglibatan Kristin Kreuk, Allison Mack dan syarikat MLM itu.

'Smallville' menamatkan produksinya dan kesemua bintang utamanya termasuklah Kristin dan Allison meneruskan kerjaya masing-masing dalam haluan sendiri.

Sehinggalah awal tahun 2017, seorang pelakon Kanada bernama Sarah Edmondson mendedahkan tentang penglibatan dirinya dalam sebuah kultus rahsia bernama 'Dominus Obsequious Sororium' singkatannya DOS, yang membawa maksud 'Tuan Kepada Hamba Wanita'.

DOS bergerak sebagai sebuah komuniti wanita dalam NXIVM yang dipertanggungjawabkan mencari jalan terbaik memuaskan nafsu pengasas mereka, Keith Raniere.

Apa yang sangat memeranjatkan, Sarah mendedahkan tulang belakang utama kumpulan ini adalah Allison Mack.

Sarah mendakwa pada awal penyertaan, dia menyertai satu majlis yang diadakan di rumah Allison di mana kulitnya dicacah menggunakan besi panas bersimbolkan empat huruf; 'AM' mewakili 'Allison Mack' dan 'KR' yang mewakili 'Keith Raniere' - bagi membuktikan kesetiaannya kepada kumpulan tersebut.

Sarah mendedahkan antara syarat lain yang ditetapkan Allison dan Keith Raniere untuk keanggotaan mereka diterima, adalah untuk setiap calon wanita menyerahkan gambar mereka dalam keadaan memalukan, sebagai jaminan kerahsiaan berkenaan kegiatan kumpulan mereka.

Ada juga kes Allison sendiri bertindak sebagai jurufotonya.

Jual Tubuh Demi Karier

Parut Kultus

Allison Mack mula menyertai NXIVM pada tahun 2006 atas jaminan Keith boleh membantu mengembangkan karier beliau.

Allison diberikan layanan istimewa selepas menyatakan minat, diterbangkan menggunakan jet peribadi milik salah seorang individu berpengaruh organisasi sesat tersebut bagi menemui pengasas mereka.

Tanpa perlu menjalani kursus induksi seperti peserta lain, Allison diberikan layanan khas sejak hari pertama penyertaan, diperkenalkan ke dalam program kendalian NXIVM.

Situasi itu dimanipulasi Allison, meletakkan dirinya dapat bertindak sebagai orang kanan Keith Raniere dan menjadi individu kedua paling berkuasa dalam organisasi NXIVM.

Untuk sampai ke tahap itu, bermacam pengorbanan telah dilakukan Allison, dengan tubuhnya dijadikan bahan gadaian utama.

Selain memuaskan nafsu Keith, Allison juga diberikan tanggungjawab mencari individu-individu wanita berpotensi bagi diserap masuk ke dalam DOS, yang bertindak sebagai kumpulan paling rapat hubungannya dengan Keith dalam struktur NXIVM.

Allison dan seorang wanita bernama Nancy Salzman juga diberikan kuasa untuk menghukum dan mengugut mana-mana wanita yang ingkar, enggan mematuhi permintaan atau syarat yang ditetapkan Keith atau NXIVM.

Ekoran laporan yang dibuat oleh Sarah Edmondton serta pendedahan besar-besaran dalam New York Times, FBI telah membuka kertas siasatan dan berjaya menangkap Keith Raniere pada bulan Mac 2018 di Puerto Vallarta, Mexico.

Ketika itu dia ditemani beberapa orang wanita termasukla Allison Mack dalam sebuah villa mewah, yang diberkas sebulan selepas itu di rumahnya di Brooklyn.

Tidak Mengaku Bersalah

Kristin Kreuk Tidak bersalah

Dalam sebuatan awal kes, Allison berdepan pelbagai tuduhan melibatkan pemerdagangan manusia, mengugut serta bertindak merakamkan sendiri gambar wanita tanpa kerelaan, semata-mata untuk dijadikan hadiah kepada tuannya, Keith Raniere. Dia tidak mengaku bersalah atas semua dakwaan.

Perbicaraan yang berjalan hampir 2 tahun mendapati sebaliknya. Penglibatan Keith Raniere sebagai ketua kepada kultus NXIVM mensabitkan hukuman penjara 120 tahun - majoriti hukumannya melibatkan kekejamannya memaksa wanita bekerja sebagai hamba.

Allison Mack dijatuhkan hukuman penjara 3 tahun pada 30 Jun 2021 selepas menukar pengakuan kepada akuan bersalah; mengelak hukuman penjara 17 tahun seperti jangkaan awal.

Allison mengakui mindanya dicemari ajaran Keith yang membuatkan dirinya bertindak di luar pertimbangan normal.

Walau demikian, saksi-saksi perbicaraan mendedahkan peranan besar Allison dalam kultus tersebut, bertindak sebagai mentor yang fokus tugasnya untuk meyakinkan wanita-wanita lain agar melakukan hubungan seks dengan Keith sebagai kaedah pemulihan diri.

Selain itu Allison juga didenda USD$20,000 serta dikenakan tambahan 1,000 jam kerja komuniti.

Kristin Kreuk Tidak Terlibat

Kultus Ajaran Sesat NXIVM

Bagi Kristin Kreuk yang menjadi individu membawa masuk Allison Mack ke dalam NXIVM, dia menafikan penglibatannya dalam kultus seksual organisasi DOS kendalian Allison.

Kristin mendakwa dia telah meninggalkan NXIVM pada tahun 2012 serta langsung tidak tahu wujudnya gerakan rahsia kumpulan wanita pemuas nafsu Keith Raniere yang dikendalikan sendiri rakan baiknya itu.

Bagaimanapun, satu dokumen bukti bergambar dalam mahkamah menunjukkan Kristin Kreuk pernah menyertai aktiviti NXIVM sekitar tahun 2014 bersama-sama barisan individu tertinggi organisasi tersebut.

Berbeza dengan Sarah Edmondton serta ramai lagi wanita yang tampil menjadi saksi kes perbicaraan melibatkan Keith Raniere dan Allison Mack, Kristin Kreuk memilih untuk mendiamkan diri, tegas mengatakan dia tidak tahu.

Walaupun bagaimanapun, beberapa projek yang dipelopori dan disertai Kristin Kreuk semasa menyertai NXIVM jelas dibentuk untuk menarik minat gadis-gadis muda remaja masuk ke dalam organisasi mereka.

Sama ada Kristin Kreuk tahu atau tidak apa yang berlaku di sebalik semuanya, hanya dia yang tahu.

Apa yang kita tahu, memang sukar untuk menonton semula 'Smallville', menyaksikan kembali lakonan Allison Mack yang comel wajah dan perwatakannya.

Dalam dunia nyata dia yang luarannya cukup cantik, ternyata sanggup memperhambakan diri sendiri dan wanita lain demi kepuasan nafsu seorang lelaki.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: iluminasi

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon