Thursday, June 22, 2017

Nor Syamimi Azhari, Gadis Cantik Penjual Aiskrim Yang Viral


"Biarpun menunggang motosikal menjual aiskrim dan kadang-kala terpaksa meredah hujan dan panas, saya tak kisah.”

Nor Syamimi Azhari

"Saya lebih suka berdikari mencari duit sendiri terutama bagi membeli kelengkapan untuk Aidilfitri ini," kata Nor Syamimi Azhari, 22, yang video dan gambarnya menjual aiskrim dengan motosikal tular di laman sosial.

Nor Syamimi yang juga penuntut tahun ketiga, Jurusan Pendidikan Biologi, Fakulti Sains, Universiti Putra Malaysia (UPM) membantu bapanya, Azhari Hashim, 50, menjual aiskrim di sekitar Pekan Kuah, Langkawi.

Menurutnya, dia tidak menyangka video dan gambar yang diambil pada Mac lalu dan dimuat naik di Facebook miliknya menggunakan nama Syamimi Azhari sejak semalam, tular di laman sosial.

"Saya sudah empat tahun membantu bapa menjual aiskrim yang saya lakukan ketika cuti semester.

"Pada awalnya, bapa ada bertanya kepada saya, tak malu ke nanti terutama dengan kawan-kawan. Saya kemudian beritahunya bahawa saya tidak peduli apa yang orang akan kata sebaliknya apa yang saya lakukan ini dapat membantu menambah pendapatan.

"Biasanya saya boleh dapat RM150 sehari dan dalam sebulan saya boleh dapat dalam lebih RM1,000.

"Apa yang penting kena rajin. Saya sukakan cabaran dan tahan lasak. Jadi, berniaga seumpama ini tidak menjadi masalah pada diri saya," katanya ketika dihubungi.

Nor Syamimi Azhari

Katanya yang juga anak tunggal, peluang seperti itu turut diambil sepanjang Ramadhan ini dan ketika umat Islam mahu menyambut Aidilfitri.

"Kebiaasannya pada hari biasa, saya mula berniaga pada 11 pagi hingga 5 petang manakala pada Ramadhan bermula 5 petang hingga 8.30 malam.

"Pada Ramadhan ini saya juga fokus pada mereka yang mengadakan majlis berbuka puasa," katanya.

Katanya, dia juga akan menjual aiskrim sepanjang Adilfitri nanti bermula Aidilfitri ketiga.

"Biarpun orang lain masih sibuk berhari raya namun saya merancang untuk berniaga selain memfokus kepada mereka yang mahu mengadakan majlis rumah terbuka nanti.

"Selain dapat membantu ibu bapa, saya harap dengan berniaga ini juga saya dapat meringankan beban mereka terutama untuk membiayai pengajian yang masih berbaki setahun lagi," katanya.

BACA INI JUGA: Wajah Cantik 'Miss World', Sumandak Cantik Keningau Viral

sumber: hmetro

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon