Saturday, October 08, 2016

Misi Solo Blaine Gibson Rungkai Misteri MH370


Lelaki itu mengenakan jaket kulit berona coklat gelap dan topi jenis fedora daripada warna sedondon. Riak wajahnya serius sekali.

Blaine Gibson

Dengan penampilan sedemikian, lagaknya saling tidak tumpah seperti karakter ahli arkeologi, Dr. Henry Walton Indiana Jones Jr. dalam siri fiksyen arahan Steven Speilberg, Indiana Jones.

Seperti Jones, lelaki berkenaan, Blaine Gibson, 58, punya misi tersendiri. Jika dalam filem tersebut, Jones mencari tabut perjanjian atau sejenis peti berisi batu yang bertulis 10 Rukun dipanggil Lost Ark of the Covenant, Gibson pula dalam usaha mencari petunjuk bagi merungkai misteri terbesar dalam sejarah penerbangan moden dunia.

Penyiasat amatur dari Seattle, Amerika Syarikat itu bergerak secara solo ke beberapa buah negara di timur Afrika untuk mengesan serpihan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 yang hilang sejak 8 Mac 2014.

Gibson yang juga seorang peguam merupakan individu pertama yang ‘menaja diri’ menjalankan usaha mencari serpihan pesawat MH370 dan benar-benar menjumpainya.

Antara serpihan yang ditemui dan disahkan milik pesawat berkenaan adalah panel penstabil dengan cetakan stensil bertulis No Step yang dijumpai di Mozambique pada 27 Februari lalu.

Menurut Gibson, dia berasa sangat teruja dan tidak akan berputus asa untuk meneruskan pengembaraannya sehingga misteri kehilangan pesawat MH370 dapat diselesaikan.

Katanya, sebagai seorang pengembara, dia lazimnya mengembara dari satu negara ke negara lain tanpa tujuan utama, namun kehilangan pesawat MH370 seolah-olah memberikannya satu misi untuk dilaksanakan.

“Ini adalah misi terbaharu sehingga saya mendapat maklumat tentang perkara sebenarnya yang berlaku kepada pesawat itu serta anak kapalnya,” ujarnya seperti dipetik portal Associated Press.

Penemuan sulung

Cerita Gibson, idea untuk memulakan pengembaraan mencari serpihan pesawat MH370 tercetus selepas mendengar berita mengenainya di kaca televisyen.

“Laporan berita tentang kehilangan pesawat itu ke udara hampir setiap hari selama beberapa bulan. Saya membuat ‘penyiasatan’ dalam diam dengan membaca artikel dan berita mengenainya.

“Sehinggalah pada suatu hari saya terbaca tentang majlis memperingati ulang tahun pertama kehilangannya dan terus menempah tiket penerbangan ke Kuala Lumpur bagi menyertai acara tersebut,” katanya.

Pada majlis itu, Gibson mengambil peluang beramah mesra dengan ahli keluarga dan mendengar kisah mereka.

“Saya tersentuh mendengar nasib keluarga mangsa. Saya tidak dapat membayangkan perasaan mereka yang tidak mendengar khabar berita daripada orang tersayang dalam masa setahun.

“Jadi saya terfikir untuk mencarinya sendiri. Saya dapat merasakan serpihannya pasti dihanyutkan ke mana-mana pesisiran pantai dan menunggu masa untuk ditemui,” tambahnya.

Dalam masa setahun, Gibson melawat pantai-pantai di sekitar Malaysia sehingga ke Mauritius dan Maldives dengan matlamat untuk mencari serpihan pesawat berkenaan.

Malah, dia sanggup ‘turun’ ke Mozambique biarpun tidak pernah menjejakkan kaki ke negara itu semata-mata untuk mencari serpihan pesawat tersebut yang berkemungkinan berbaki di pesisiran pantai tersebut.

“Saya diberitahu pakar oseanografi Australia, David Griffin bahawa serpihan MH370 mungkin dibawa arus ke sini (Mozambique).

"Sungguh tidak disangka, ia membuahkan hasil selepas terjumpa serpihan berbentuk segi tiga yang merupakan panel penstabil pada sayap kapal terbang itu,” ujarnya sambil memberitahu, serpihan tersebut merupakan penemuan sulung membabitkan pesawat MH370 sepanjang hampir setahun menjalankan misi mencari.

Hampir putus asa

The ‘no step’

Serpihan panel penstabil dengan cetakan stensil bertulis No Step ditemui Gibson di Mozambique pada 27 Februari lalu.

Gibson mengakui, kerja-kerja mencari serpihan pesawat itu tidak mudah dan berdepan dengan pelbagai cabaran serta rintangan.

“Bayangkan saya mencarinya di banyak tempat termasuk di Pulau Reunion dan Mauritius tetapi langsung tidak menemui apa-apa. Saya sangat kecewa dan hampir berputus asa,” tuturnya sambil memberitahu, pencarian itu tidak ditaja mana-mana pihak dan bukan bertujuan mengaut keuntungan.

Sehingga hari ini, Gibson telah menemui sebanyak 13 serpihan dipercayai milik MH370 di Madagascar dengan bantuan penduduk tempatan.

Digelar dengan panggilan Indiana Jones moden, lelaki itu turut menemui beberapa barang peribadi termasuk beg galas dan sarung komputer riba.

Pada 12 September lalu, dia membawa dua keping serpihan dengan kesan terbakar yang ditemui di Sainte Luce, tenggara Madagascar ke Australia untuk ujian forensik.

Bagaimanapun Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) yang menyelaras operasi mencari pesawat MH370 menjelaskan, pihaknya tidak dapat mengaitkan serpihan-serpihan tersebut dengan pesawat berkenaan.

Ketika ini, Australia mengetuai misi pencarian MH370 dengan menggunakan kenderaan tanpa pemandu dalam air dan peralatan sonar. Misi pencarian itu yang juga melibatkan Malaysia dan China mencakupi lebih 110,000 kilometer persegi.

Pencarian itu dijangka tamat menjelang bulan Disember depan jika tiada maklumat baharu dan signifikan diperoleh.

Pelajari ilmu

Bekas Timbalan Perdana Menteri Australia, Warren Truss yang menyelia misi pencarian itu sehingga bersara daripada politik pada bulan Februari lepas, menjangkakan lebih banyak penemuan Gibson akan disahkan.

“Dia pasti telah memberi sumbangan yang membina untuk misi pencarian ini,” kata Truss seperti dipetik portal news.com.au.

Bagi Gibson, dia tidak pasti lokasi pencarian seterusnya, namun dia berhasrat untuk ke Seychelles dan Pulau Comoro untuk meneruskan misi tersebut.

“Saya rasa berpuas hati setiap kali menyerahkan serpihan yang ditemui ke tangan pihak berkuasa. Sepanjang tempoh pencarian, saya dapat mempelajari tentang ilmu penerbangan, oseanografi, biologi marin dan juga politik. Selain itu, saya juga dapat mempelajari tentang budaya masyarakat tempatan.

“Namun, pada masa sama saya tidak turut berasa sedih lebih-lebih lagi dengan bukti yang ada, kita tahu pesawat ini terhempas,” katanya.

Penerbangan MH370 yang membawa 239 orang penumpang termasuk anak kapal itu hilang ketika dalam penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk ke Beijing, China.

Pada 29 Januari 2015, Jabatan Penerbangan Awam Malaysia telah mengisytiharkan penerbangan MH370 sebagai kemalangan dan semua mereka di dalam pesawat itu dianggap maut.

BACA INI JUGA: MH370: Apa Yang Kita Tahu Dan Apa Tidak?

Sumber: Kosmo

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon