Friday, May 30, 2014

Unik! Tradisi Kikir Gigi Membuang Sikap Buruk


Upacara mengikir gigi di Bali, Indonesia merupakan salah satu amalan yang unik dalam masyarakat Hindu. Ia turut dikenali sebagai menatah, memandes dan mesangih.

menatah, memandes dan mesangih
Gigi merupakan simbol nafsu, ketamakan, kemarahan, 
kekeliruan dan cemburu dalam kepercayaan Hindu.

Perkataan tatah bererti pahat. Istilah menatah ini dihubungkan dengan upacara memahat gigi melibatkan enam batang gigi rahang atas iaitu empat batang gigi kacip dan dua batang gigi taring. Gigi-gigi itu masing-masing dipahat sebanyak tiga kali sebagai satu simbolik sebelum diratakan menggunakan kikir.

Istilah mesangih pula muncul daripada cara mengasah gigi dengan kikir sehingga gigi menjadi rata. Mengikut bahasa Bali, mesangih turut disebut sebagai memandes.

Dalam kepercayaan Hindu, gigi merupakan simbol nafsu, ketamakan, kemarahan, kekeliruan dan cemburu.

Tradisi ini juga melambangkan perubahan diri seorang remaja menjadi dewasa sama ada lelaki mahupun wanita.

Pendeta akan mengikir gigi menggunakan peralatan khas seperti tukul kecil dan pengikir.

Kesemua peralatan yang digunakan akan disucikan dulu bersama air suci sebelum tradisi ini dimulakan.

menatah, memandes dan mesangih [2]
Enam batang gigi atas termasuk taring akan 
dikikir rata dalam upacara menatah ini.

Pihak keluarga juga akan menyediakan barangan lain seperti cermin, tebu dan kelapa muda.

Pada umumnya, tradisi unik ini seringkali diadakan bersama upacara keagamaan lain seperti ngaben, iaitu upacara melibatkan api atau majlis perkahwinan.

Ia turut dilakukan bersama-sama sanak saudara yang sudah menginjak dewasa tetapi belum pernah melakukan upacara tersebut.

Mereka yang menjalani tradisi ini akan dikuarantin di dalam rumah sepanjang hari sebelum upacara berlangsung.

Ia bertujuan untuk melindungi mereka daripada pengaruh negatif kerana mereka masih dianggap belum matang sekiranya tidak menjalani upacara tersebut.

Tradisi ini selalunya diadakan sebelum matahari terbit. Selepas selesai upacara ini, seorang remaja akan dianggap sudah dewasa dan matang. -Kosmo

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon