Wednesday, April 30, 2014

Selfie Yang Membawa Padah!


Istilah selfie kini menjadi semakin popular dalam kalangan mereka yang gemar mengambil gambar sendiri dan dikongsi di laman-laman sosial untuk tatapan dan komen oleh rakan-rakan alam maya.

Selfie-bawa-padah

Apa itu selfie? Selfie adalah perbuatan menangkap gambar sendiri menggunakan telefon bimbit atau webcam atau apa jua alat elektronik yang mempunyai kamera dan kemudiannya dimuat naik ke laman-laman sosial individu tersebut seperti instagram, facebook, wechat dan sebagainya.

Pada asalnya,ia dikenali sebagai self-potrait di dalam bahasa Ing­geris dan kemudiannya disingkatkan menjadi selfie.

Sejarah selfie ini dikatakan bermula sejak 1920 yang mana gambar selfie pertama diambil oleh Joe Byron di atas bumbung sebuah bangunan di New York. Kemudiannya gambar selfie tersebut ditayangkan di Muzium Bandaraya New York untuk dijadikan tatapan orang ramai.

Kini selfie telah menjadi suatu fenomena yang kian popular di seluruh dunia terutamanya bagi mereka yang suka menangkap gambar sendiri.

Malah fenomena ini tidak mengira usia baik golongan remaja mahupun golongan dewasa.

Jika seseorang itu menangkap gambar sendiri untuk tatapan diri sahaja dan tidak dimuat naik di mana-mana laman sosial, maka ia bukanlah diistilahkan sebagai ­selfie.

Melainkan individu tersebut memuat naik gambar yang diambil ke dalam laman-laman sosial untuk dipertontonkan oleh rakan-rakan alam maya.

Persoalannya adakah perbuatan selfie ini mendatangkan faedah atau membawa padah kepada seseorang?

Pada 3 Mac lepas, berlaku kejadian dua gadis mati lemas ketika mandi di Sungai Lebir Manik Urai Lama, Kuala Krai. Insiden itu berlaku gara-gara kedua-duanya asyik merakam gambar selfie bersama-sama. Menurut kenyataan rakan mangsa, mereka dikatakan bergambar menggunakan telefon bimbit sebelum tergelincir dan dihanyutkan arus sungai.

Di London pula, seorang remaja lelaki, Danny Bowman, 19, yang terlalu taksub selfie menghabiskan masa 10 jam sehari untuk mengambil hampir 200 keping gambar dirinya menggunakan telefon pintar. Dia juga sanggup berhenti sekolah, tidak keluar rumah selama enam bulan dan menurunkan berat badannya sehingga 12 kilogram semata-mata untuk menjadikan dirinya kelihatan sempurna apabila bergambar.

Selain itu, ada juga segelintir masyarakat yang bergambar selfie tidak kena pada tempatnya. Contohnya merakamkan aksi selfie ketika dikejar kerbau di Texas. Golongan ini tidak mementingkan keselamatan asalkan dapat selfie walaupun perlu berhadapan dengan situasi ekstrem yang boleh membahayakan diri sendiri.

Pakar Perunding Psikiatri dan Psikologi, Dr. Wan Mohd. Rushidi Wan Mahmud berpendapat selfie mungkin menunjukkan ciri-ciri narcisstic (suka diri sendiri) yang ada pada diri seseorang.

Dalam erti kata lain, mereka ingin menonjolkan keistimewaan yang dimiliki yang kadangkala tidak terserlah di mata orang lain jika tidak ditonjolkan secara begitu.

Katanya lagi, orang yang mempunyai kecelaruan personaliti mempunyai sifat-sifat yang perlukan pujian dan sanjungan berterusan daripada orang lain dan me­nyimpan kepercayaan bahawa mereka ialah seorang yang istimewa dan berhak mendapat tempat di hati masyarakat.

Namun, jika dilihat di negara barat kini terdapat trend terbaharu lebih ekstrem iaitu ‘sellofies’ yang mana seseorang itu mengambil gambar sambil memakai sellotape di seluruh muka kemudian memuat naik di laman-laman sosial untuk tatapan orang ramai.

Individu yang mengikut trend ini sanggup bersusah-payah membalut wajah mereka dengan sellotape sehinggakan wajah kelihatan hodoh semata-mata untuk dijadikan bahan ketawa dan nampak melucukan di mata orang ramai.

Inilah natijah apabila dunia semakin maju, alat elektronik semakin canggih, malah pemikiran manusia semakin jauh ke hadapan yang kadangkala melebihi batas pemikiran seseorang itu.

Sudah menjadi lumrah manusia yang sentiasa ingin mencetuskan suatu inovasi yang boleh diaplikasikan dan menjadi ikutan ramai dalam kehidupan seharian seperti trend selfie ini.

Namun seseorang itu perlulah bijak berfikir apabila ingin mengikuti trend terbaru yang diperkenalkan sama ada ianya mendatangkan faedah atau membawa padah kepadanya.

Oleh FATHIAH MD. HATA
*PENULIS ialah penuntut Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

BACA INI JUGA: Gambar Selfie Rakam Imej Hantu!

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon