Monday, September 30, 2013

Kontroversi Pak Mie Penjaga Anjing Melayu


Kisah tanah dimana kawasan perlindungan anjing dan kucing yang didirikan Pak Mie telah mendapat perhatian pihak berwajib setelah ramai yang mengadu tentang apa yang dilakukan oleh pasangan suami isteri ini.

Anjing

Pada 4 september yang lalu Pak Mie telah menerima satu surat yang menghendakkan beliau keluar dari tempat perlindungan beliau pada 19 september 2013. Bagaimana dengan nasib anjing dan kucing yang diperlihara Pak Mie? Ikuti rakaman perbualan telefon wartawan KiniTv bersama Pak Mie mengenai isu berkenaan.



Kisah bermula



Pak Mie Menyayangi Anjing Lebih Dari Dirinya Sendiri!


Peristiwa hampir lemas di sungai setahun lalu telah menyemai sifat menyayangi anjing melebihi binatang lain dalam diri Halija Idris.

Wanita lewat 60an ini tidak menyangka, semasa dia hampir hanyut dibawa arus sungai, dua ekor anjing sanggup menggadai nyawa mengheretnya ke tebing sungai.

Halija Idris atau Mak Intan kemudiannya menangis ketakutan lalu anjing tersebut dipeluk lalu diciumnya. Kalau bukan kerana pertolongan anjing-anjing tersebut, mungkin dia sudah meninggal dunia. Maka, sejak hari itu, nilai kasih sayangnya melebihi segalanya sehingga dia sanggup berjaga malam semata-mata ingin memastikan anjing peliharaannya selamat.

Tertarik dengan kisah kasih sayang ini, sepasang suami isteri datang membuat liputan tentang kehidupan Mak Intan dan suaminya, Md. Azmi Ismail. Sekitar bulan November tahun lepas, Hisyam Salleh dan Rahmah Ghazali tiba di 'Shelter Pak Mie' untuk mendengar dan melihat sendiri ketabahan pasangan suami isteri ini.

Dengan belanja sekitar RM3,000, kedua-dua suami isteri ini telah menghasilkan sebuah dokumentari pendek bertajuk 'A Story Hero'. Dokumentari pendek ini telah menceritakan segala-galanya tentang kehidupan Mak Intan dan Pak Mie yang sanggup berbakti untuk menjaga dan membela anjing dan kucing.

Paling menarik, dokumentari ini telah berjaya meraih perhatian Cluj Shorts International Film Festival untuk menyenaraikan dokumentari ini diperingkat antarabangsa. Dokumentari ini adalah satu-satunya wakil ASEAN dalam perayaan filem antarabangsa ini. Untuk pengetahuan anda, Cluj Shorts International Film Festival telah memulakan edisi pertamanya pada 19 hingga 20 April lalu di Cinema Victoria, Vluj-Napoca, Romania.

Meskipun begitu, bagi Mak Intan dan Pak Mie, segala usaha mereka ini bukanlah untuk dijaja kepada umum. Mereka berjasa kepada haiwan kerana menyedari jasa yang dilakukan haiwan tersebut kepada diri mereka.

Pak Mie Shelter
Beginilah keadaan shelter Pak Mie yang memuatkan 
hampir 700 ekor anjing dan 200 ekor kucing.

Sebenarnya, sejak empat tahun lalu, mereka telah mengusahakan rumah perlindungan ini. Menyedari isu sensitif, mereka tidak menghebohkan kepada umum. Namun, kehadiran Hisyam Salleh dan Rahman Ghazali telah mula membuka mata masyarakat tentang kisah mereka yang berasal dari Alor Setar, Kedah ini.

Mungkin ada diantara kita yang pernah melihat anjing dan kucing yang berkeliaran di jalanan bukan? Begitu juga dikedai-kedai makan. Sedarkah kita bahawa makhluk tersebut memerlukan perhatian kita? Paling tidak, menghulurkan cebisan sisa makanan kepada 'mereka'.

Bagi Mak Intan dan Pak Mie, haiwan yang berkeliaran itu menjadi tanggungjawab mereka untuk menjaga dan membelanya. Tidak kira yang cacat, buta, kurap atau patah kaki, semuanya dikutip dan dibawa balik untuk dijaga dengan seelok mungkin.

Soalnya kenapa mereka sanggup menjaga haiwan terbiar ini sedangkan mereka mengetahui bahawa anjing adalah suatu hal yang sensitif dalam masyarakat Melayu?

Jawapannya cukup mudah. Semua itu kerana kasih sayang!

Menurut Pak Mie, sayang dan cintanya terhadap anjing dan kucing tidak setanding dengan nilai kasih sayang isterinya. Mak Intan sebenarnya mempunyai sifat menyayangi binatang tersebut melebihi dirinya sendiri. Dengan kata lain, banyak urusan penjagaan diuruskan oleh Mak Intan sendiri.

Setiap hari, jumlah haiwan peliharaan mereka semakin bertambah. Terkini, jumlah anjing dalam jagaan mereka telah melebihi 700 ekor, manakala kucing pula mencecah 200 ekor. Percayalah bahawa anda tidak akan mampu melihat jumlah sebesar ini melainkan di 'Rumah Perlindungan Haiwan Pak Mie' sahaja.

Tegas Pak Mie lagi, segala perbelanjaan untuk menguruskan rumah perlindungan ini datang daripada duit poket mereka suami isteri. Makanan akan dimasak sendiri. Mereka memerlukan hampir 50 kilogram beras setiap hari dengan kos RM500 termasuk Friskies untuk makanan kucing.

Oleh kerana kesuntukan sumber kewangan, rumah perlindungan ini tidak mempunyai bekalan elektrik dan air. Kedua-dua suami isteri ini hanya mampu menyediakan generator sebagai sumber tenaga dengan kos sekitar RM20 semalaman. Biarpun penuh kesusahan dan kekurangan, namun, Pak Mie langsung tidak patah semangat untuk terus berjuang menjaga semua haiwan tersebut.

Untuk menjaga keselamatan semua anjing dan kucing peliharaannya, Pak Mie dan Mak Intan sanggup tidur di dalam kereta setiap malam. Tanpa tilam yang empuk dan selimut yang mampu menghilangkan kesejukan, mereka lebih selesa memilih cara hidup begini.

Peristiwa dicaci dan dihina oleh mesyarakat sekeliling adalah perkara biasa bagi mereka suami isteri. Menurut Mak Intan, dia pernah diludah oleh orang kampung ketika berada di pasar. Orang kampung menyifatkannya sebagai orang yang tidak tahu mengenal halal dan haram!

Namun, Mak Intan tidak pernah menyesal mahupun berasa marah dengan kejahilan bangsanya sendiri. Dia sedar garis pemisah antara halal dan haram. Begitu juga dalam kehidupan seharian mereka. Tegasnya, orang tidak perlu tahu urusan Islamnya, hanya Allah sahaja yang layak menilai perbuatan mereka.

Bagi Pak Mie pula, dia sedar apa yang dilakukannya tidak salah. Dia hanya membantu haiwan yang tiada tempat berlindung. Selagi nyawa dikandung badan, mereka suami isteri akan tetap menjaga dan merawat semua haiwan peliharaan ini.

Bagi anda yang senang mencaci, mengata dan mengaku memiliki sifat perikemanusiaan, sanggupkah anda menggantikan tempat pasangan ini seandainya mereka sudah tiada kelak?

-Sentiasapanas.com

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon