Saturday, June 20, 2026

MyKad Terbaharu Malaysia 2026: 53 Ciri Keselamatan Yang Anda Perlu Tahu

MyKad Terbaharu Malaysia 2026: 53 Ciri Keselamatan Yang Anda Perlu Tahu

Selepas lebih dua dekad menggunakan MyKad sebagai dokumen pengenalan rasmi negara, kerajaan Malaysia memperkenalkan MyKad Struktur Baharu yang dilengkapi pelbagai teknologi keselamatan terkini bagi mengurangkan risiko pemalsuan identiti serta meningkatkan perlindungan data peribadi rakyat.

MyKad Terbaharu Malaysia 2026
Gambar hiasan.

Pelaksanaan MyKad generasi baharu ini bermula secara berperingkat pada Jun 2026 melalui Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Ia merupakan antara pembaharuan terbesar dalam sistem identiti negara sejak MyKad pertama diperkenalkan pada tahun 2001.

Apa Yang Baharu Pada MyKad 2026?

MyKad baharu bukan sekadar mempunyai reka bentuk yang lebih moden, malah dilengkapi teknologi keselamatan bertaraf tinggi.

Antara pembaharuan utama ialah:
53 ciri keselamatan baharu.
Kod QR untuk tujuan pengesahan identiti.
Cip pintar generasi terkini.
Sistem penyulitan (enkripsi) yang lebih kukuh.
Teknologi hologram baharu.
Mikroteks keselamatan.
Ukiran laser berketepatan tinggi.
Ciri keselamatan ultraungu (UV).
Corak keselamatan Guilloche yang sukar dipalsukan.

Kesemua teknologi ini dibangunkan bagi mengelakkan kegiatan pemalsuan kad pengenalan yang semakin canggih.

53 Ciri Keselamatan Berbanding 23 Sebelum Ini

Versi MyKad yang digunakan sebelum ini mempunyai sekitar 23 ciri keselamatan.

Melalui MyKad Struktur Baharu, jumlah tersebut meningkat kepada 53 ciri keselamatan, menjadikannya antara kad pengenalan paling selamat di rantau Asia Tenggara.

Antara teknologi keselamatan tersebut termasuk:
Hologram anti-pemalsuan.
Laser engraving.
UV security features.
Microtext.
Guilloche pattern.
QR Verification.
Cip dengan tahap enkripsi lebih tinggi.

Fungsi Kod QR Pada MyKad Baharu

Salah satu pembaharuan paling ketara ialah penggunaan Kod QR.

Kod QR ini bukan untuk kegunaan harian orang awam seperti pembayaran digital, sebaliknya digunakan oleh pihak berkuasa bagi:
Pengesahan identiti yang lebih pantas.
Penguatkuasaan undang-undang.
Pengesahan ketulenan MyKad.
Mengurangkan risiko penggunaan MyKad palsu.

Kod QR ini membantu mempercepat proses semakan identiti ketika operasi keselamatan.

Cip Baharu Dengan Enkripsi Lebih Tinggi

MyKad terkenal sebagai antara kad pintar pertama di dunia yang menggabungkan data biometrik dan cip elektronik.

Versi baharu menggunakan cip yang mempunyai:
Kapasiti lebih baik.
Tahap keselamatan lebih tinggi.
Sistem penyulitan data yang dipertingkat.

Perlindungan lebih kukuh terhadap cubaan penggodaman.

Ini penting dalam era digital apabila jenayah identiti semakin meningkat.

Adakah Semua Rakyat Malaysia Perlu Tukar MyKad?

Jawapannya: Tidak.

Kerajaan menegaskan bahawa:
MyKad lama masih sah digunakan.
Penukaran tidak diwajibkan.
Orang ramai tidak perlu tergesa-gesa hadir ke pejabat JPN.

Pelaksanaan dilakukan secara berperingkat bagi mengelakkan kesesakan di kaunter JPN.

Siapa Yang Akan Menerima MyKad Baharu Dahulu?

Pada fasa awal, pengeluaran MyKad baharu diberikan kepada:
Permohonan MyKad pertama.
Penggantian MyKad rosak.
Kehilangan MyKad.
Kes-kes tertentu yang diproses oleh JPN.

Pelaksanaan bermula di Ibu Pejabat JPN Putrajaya dan beberapa pejabat JPN terpilih sebelum diperluaskan ke seluruh negara.

Kenapa Kerajaan Memperkenalkan MyKad Baharu?

Perubahan ini dibuat kerana ancaman keselamatan semakin kompleks.

Antara objektif utama ialah:
Mengurangkan pemalsuan dokumen.
Meningkatkan keselamatan identiti rakyat.
Memperkukuh perlindungan data peribadi.
Menyokong transformasi digital kerajaan.
Memastikan sistem identiti negara kekal relevan.

Selain itu, peningkatan ciri keselamatan dapat membantu agensi penguat kuasa mengesan identiti palsu dengan lebih pantas.

Kelebihan MyKad Struktur Baharu

Antara manfaat utama ialah:
Keselamatan identiti lebih tinggi.
Sukar dipalsukan.
Pengesahan lebih pantas menggunakan QR.
Perlindungan data lebih kukuh.
Teknologi cip yang lebih moden.
Selaras dengan perkembangan teknologi digital negara.

Kesimpulan

Pengenalan MyKad Struktur Baharu 2026 membuktikan komitmen kerajaan dalam memperkukuh sistem identiti nasional melalui teknologi moden dan ciri keselamatan bertaraf tinggi.

Dengan 53 ciri keselamatan, kod QR, cip pintar yang dipertingkat serta teknologi anti-pemalsuan, MyKad baharu dijangka menjadi antara kad pengenalan paling selamat di dunia.

Walau bagaimanapun, orang ramai tidak perlu terburu-buru menukar MyKad sedia ada kerana kerajaan telah mengesahkan bahawa MyKad lama masih sah digunakan.

Penukaran akan dilakukan secara berperingkat mengikut keperluan yang ditetapkan oleh JPN.

Semoga memberi manfaat.

-Sentiasapanas.com

SBDJ Siri 284: Selamat Jalan Kawan

SBDJ Siri 284: Selamat Jalan Kawan

"Kamu salah orang, dia baru datang dari Medan bersama aku," ulang datuk cuba menenangkan perasaan si pemandu lori.

SBDJ Siri 284 Selamat Jalan Kawan
Gambar hiasan.

"Ah..." si pemandu mendengus marah.

Dia tidak dapat mengawal perasaannya bila ada orang lain mahu campur tangan dalam urusannya. Dia alihkan muncung pistol dari kepala Jamaluddin ke dada datuk.

"Kamu jangan campur, kamu diam," jeritnya.

"Sabar," pujuk datuk.

"Kamu diammm..." sergahnya lantang. Muka datuk diludahnya sambil muncung pistol dihalakan ke kepala Jamaluddin semula.

Beberapa orang yang baru datang ke situ dan menerima penjelasan dari kawan-kawan si pemandu segera menyalahkan Jamaluddin kerana cuba memasukkan pasir ke dalam periuk nasi orang lain.

"Bertenang dulu, biar saya jelaskan semuanya," datuk bagaikan merayu.

Ternyata usaha datuk sia-sia. Rasa marah terus membara dalam dada si pemandu. Dengan siku kiri, bahu datuk disingungnya. Tetapi, datuk masih berlembut juga.

"Eh, kamu siapa?" untuk kesekian kalinya si pemandu menyergah datuk.

"Saya kawannya, dia bukan orang sebarangan. Tak baik buat kawan saya begitu. Menjatuhkan maruah orang ditengah khalayak ramai dilarang oleh agama," datuk masih berlembut.

"Ehh syaitan tuaaaaa, puhhh..."

Buat kesekian kalinya bersemburan air liur pemandu lori singgah diwajah datuk. Dia sudah tidak mampu mengawal perasaan. Kemarahannya sudah meluap-luap.

Seperti tadi juga, datuk dengan tenang mengesat air liur si pemandu diwajahnya. Datuk masih mampu tersenyum. Masih mahu memujuk si pemandu yang sudah diresapi hantu syaitan.

Dalam keadaan yang tegang itu, dua orang pemuda menarik datuk ke satu sudut.

"Jangan campur."

Itulah yang dibisikkan oleh kedua-dua lelaki ke cuping telinga datuk. Buat seketika datuk termanggu.

Kemudian dia gelengkan kepala sambil menolak bahu kedua-dua lelaki yang berada disebelah kanan dan kirinya.

Kedua-dua lelaki itu bertindak balas. Pemuda sebelah kanan menekan bahu kanan datuk dengan siku. Manakala yang sebelah kiri memegang tangan kiri datuk lalu dipulas ke belakang.

"Eh kenapa ni," kata datuk lembut.

Tiada jawapan yang diterima. Tetapi, pemuda sebelah kanan mula main kasar. Dia menghentak kepala lututnya ke pangkal paha datuk. Akibatnya datuk terasa sakit dan kebas.

"Lepaskan saya," pinta datuk.

"Jangan lepaskan," pemuda sebelah kiri keluarkan arahan.

"Kenapa buat saya begini," datuk minta kepastian.

"Kamu Melayu Semenanjung?" pemuda sebelah kanan menyoal.

"Iya," sahut datuk tegas.

"Kalau begitu jangan tunjuk jaguh di Jakarta. Jangan campur dalam urusan orang disini," pemuda sebelah kanan memberikan amaran tanpa tulis.

TOLAK

Kedua-dua anak muda itu menolak datuk serentak ke arah longkang kotor. Kerana datuk sudah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan, tolakan itu tidak mendatangkan kesan.

Datuk tidak bergerak walau seinci pun dari tempatnya berdiri. Sepasang kakinya seolah-olah melekat dibumi.

"Ah... tak bergerak."

Serentak kedengaran suara kedua-dua anak muda separuh menjerit.

Mereka merasakan ada tangan ghaib yang merentap (menarik) mereka dari belakang hingga kedua-duanya jatuh terkapar dibumi, tidak mampu bangun.

Saat kedua-dua anak muda berusaha untuk berdiri, datuk segera meninggalkan mereka.

Datuk bergegas menuju ke tempat Jamaluddin yang sedang diugut oleh pemandu lori. Keadaan tidak banyak berubah dari tadi.

Si pemandu masih menghalakan muncung pistolnya ke kepala Jamaluddin. Mulutnya bertambah celupar mengutuk dan memaki hamun Jamaluddin.

Dan orang ramai yang mengerumuni (Jamaluddin dan pemandu) masih tidak berganjak dari tempat masing-masing.

Mereka mahu melihat bagaimana drama yang mendebarkan itu berakhir. Mereka mahu melihat siapa yang handal diantara mereka.

Orang ramai mahu melihat siapa yang berdiri tegak dan siapa pula yang terbujur kaku menjadi mayat.

Secara tiba-tiba saja si pemandu melepaskan tembakan ke udara. Sebahagian daripada penonton bertempiaran lintang pukang. Sebahagiannya tidak bergerak. Pemandu lori masih memcekak leher baju jamaluddin.

"Eh kamu salah orang."

Semua biji mata tertumpu ke arah datuk yang melangkah dalam keadaan tempang. Pahanya masih terasa sakit akibat dihentak oleh pemuda dengan kepala lutut.

Kerana perjalanan agak terganggu, datuk bertindak agak kasar. Orang ramai yang berada dikiri kanan laluannya ditolak.

PROTES

Memang ada yang memprotes cara datuk bertindak. Tetapi, mereka tidak berani bersuara.

"Tolong ke tepi, saya nak jumpa mereka," datuk minta laluan.

"Kaki kacau," terdengar suara sumbang dari arah belakang.

Datuk mempersetankan semuanya itu. Datuk terus melangkah dalam keadaan kelam-kabut dan tolak menolak itu datuk berhasil juga menghampiri Jamaluddin dan pemandu.

"Jangan pengapakan sahabat saya," datuk merayu.

"Ini bukan urusan awak," sergah pemandu lori lebih tegas dan lebih berani dari tadi. Malah dia mencebekkan bibirnya ke arah datuk.

"Tapi, dia sahabat saya," jawab datuk.

"Kamu mempertahankan perbuatannya yang salah?"

"Tidak, saya mahu menerangkan keadaan sebenar."

"Tak perlu, apa kamu mahu aku tembak kepala kamu," si pemandu mula alihkan muncung pistol ke arah datuk.

Gementar juga perasaan si pemandu bila melihat datuk tidak memperlihatkan rasa cemas atau takut. Malah kelihatan tenang dan bersahaja.

"Awak pergi jauh kalau sayangkan nyawa. Kalau tak bergerak saya tembak awak sampai awak mati," kata si pemandu sambil melepaskan tembakan ke udara.

Datuk tidak juga menjauhkan diri darinya.

"Awak tak takut mati?" tanya pemandu lori.

"Orang pengecut dan tak beriman saja yang takutkan mati. Awak tahu, mati itu perkara biasa. Semua orang mati. Awak juga mesti mati."

"Eh, pelik, ada orang tak takut mati," keluh si pemandu.

"Saya mahu cari penyelesaian dan mahu menerangkan kedudukan sebenarnya. Dia memang tak tahu hal ini. Ada orang mahu mengkhianati dirinya, saya kenal dia."

"Huhhhh..." si pemandu menarik nafas panjang.

Pistol segera dimasukkan ke dalam kotak khas seterusnya disembunyikan dalam baju labuh yang dipakainya.

SURAI

Orang yang berkumpul segera bersurai, mereka mengira semuanya sudah berakhir. Jamaluddin menarik nafas lega dan cuba menerangkan sesuatu pada si pemandu lori.

Belum pun sempat dia membuka mulut. Pemandu lori terus menampar muka Jamaluddin.

Dan Jamaluddin yang merasakan dirinya dicabar untuk sekian kali, mahu bertindak balas.

Datuk segera memberi isyarat pada Jamaluddin supaya jangan bertindak.

Jamaluddin segera mematuhi arahan tersebut, walaupun hatinya panas membara.

Dia tahu, datuk berbuat demikian mempunyai tujuan tertentu. Mungkin datuk mengambil sikap mengalah dulu sebelum bertindak.

"Aku yakin kamu salah orang," perlahan-lahan datuk bersuara sambil menatap biji mata si pemandu lori.

"Ah..." si pemandu lori mengeluh sambil menggosok-gosok pangkal hidungnya dengan hujung jari kelingking.

"Mana budak dua orang tadi, mereka beritahu aku yang kamu melaporkan perbuatan aku pada polis," sambung pemandu lori.

"Kamu dipermainkan oleh kawan-kawan kamu sendiri," kata Jamaluddin.

"Ahhh.. kamu diam."

Jerit pemandu lori pada Jamaluddin sambil mengangkat tangan kanannya setinggi mungkin.

Belum pun sempat telapak tangan itu singgah dimuka Jamaluddin, pergelangan tangan si pemandu lori segera disambar oleh datuk dan terus dikilas ke belakang dan ditolak ke depan.

Si pemandu lori jatuh tersungkur dibumi. Jamaluddin segera menerkam kerahnya dan mengambil pistol yang disembunyikan.

Secara mendadak dua pemuda yang mahu menjatuhkan datuk ke dalam longkang segera datang. Mereka menerkam ke arah Jamaluddin.

"Kamu berdua yang menfitnah aku? Kenapa ini kamu lakukan pada aku Kudus, kenapa kamu buat aku begini Kamsah," kata Jamaluddin pada kedua-dua pemuda.

BERTARUNG

"Kita bertarung dulu, kemudian baru kita jelaskan," serentak mereka menjawab.

Tanpa membuang masa mereka terus membuka langkah silat menyerang Jamaluddin.

Datuk memberikan ruang untuk Jamaluddin bertarung dengan orang yang dikenalinya.

Orang pertama yang datang menyerang tewas ditangan Jamaluddin.

Melihat kawannya jatuh tidak bergerak, orang kedua tidak jadi melakukan serangan pada Jamaluddin.

Dia segera minta maaf pada Jamaluddin dan menerangkan memang mereka berdua memberitahu pada pemandu lori yang Jamaluddin memberikan laporan pada polis atas kegiatan mengedar dadah secara kecil-lecilan dikawasan tersebut.

Mereka berbuat demikian kerana Jamaluddin selalu menasihatkan supaya jangan menjadi 'barua' pada pemandu lori tolong jualkan dadah.

Sebaik saja penjelasan diberikan oleh kedua-dua pemuda, sebuah peronda polis sampai ke tempat kejadian.

Rupa-rupanya ada orang mengubungi pihak polis ketika si pemandu lori melepaskan tembakan ke udara buat pertama kali tadi.

Semasa si pemandu lori dan dua kawannya masuk ke dalam perut kereta peronda polis, kami dikejutkan dengan jeritan orang ramai, "Gedung terbakar, gedung terbakar."

Tidak jauh dari tempat kami berdiri, beberapa orang segera berlari ke arah bengunan papan membawa baldi dan kayu untuk memadamkan api yang kian marak memusnahkan bangunan tersebut.

Kami segera membantu orang ramai. Dan kami diberitahu bangunan papan itu sengaja dibakar oleh anak buah pemandu lori agar kegiatannya tidak dapat dikesan oleh pihak berkuasa.

Seminggu setelah peristiwa itu, saya dan datuk berpisah dengan Jamaluddin.

Kami pulang ke tanah air.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 284/284

BACA: SBDJ Siri 283: Pendekar Di Ugut Pemandu Lori
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

Semoga memberi manfaat.

-Sentiasapanas.com

Friday, June 19, 2026

Kekalahan AS & Israel Dalam Perang Melawan Iran

Kekalahan AS & Israel Dalam Perang Melawan Iran

Konflik tiga bulan antara pakatan Amerika Syarikat (AS) dan Israel menentang Iran telah mencapai satu titik perubahan yang dramatik. Setelah berminggu-minggu rundingan sengit, Iran dan AS menandatangani Nota Persefahaman (MoU) yang secara rasmi menghentikan perang, di Islamabad, Pakistan.

Kekalahan AS & Israel Dalam Perang Melawan Iran

Walaupun disambut sebagai kejayaan diplomatik, dokumen ini menandakan kegagalan strategik yang nyata bagi matlamat asal peperangan yang dilancarkan oleh AS dan sekutunya.

Iran bukan sahaja bertahan, malah muncul sebagai pemenang strategik, manakala pengaruh Israel di Washington dan seluruh wilayah Asia Barat kini terhakis dengan ketara.

MoU

Terdapat dua lokasi yang berbeza yang berkaitan dengan memorandum persefahaman (MoU) antara Amerika Syarikat dan Iran.

Penandatanganan Awal (Secara Elektronik): Perjanjian ini dirujuk sebagai "Memorandum Islamabad" dan telah ditandatangani secara elektronik oleh presiden kedua-dua negara pada 18 Jun 2026. Pakistan, sebagai mediator, mengesahkan dokumen ini.

Penandatanganan Fizikal Presiden AS: Presiden AS Donald Trump menandatangani salinan fizikal dokumen ini di Istana Versailles, Perancis, ketika menghadiri jamuan makan malam bersama Presiden Perancis Emmanuel Macron selepas Sidang Kemuncak G7.

Secara ringkasnya, MoU itu sendiri secara rasmi dipanggil Memorandum Islamabad, tetapi Presiden AS menandatanganinya di Perancis.

Satu majlis menandatangani secara rasmi juga dijadualkan berlangsung di Switzerland pada 19 Jun 2026.

Syarat Utama Tamatkan Perang Timur Tengah

Selepas hampir empat bulan konflik yang menggugat kestabilan Asia Barat, Amerika Syarikat (AS) dan Iran akhirnya mendedahkan kandungan Memorandum Persefahaman (MOU) yang mengandungi 14 syarat utama sebagai asas kepada rundingan damai.

Dokumen tersebut bukanlah perjanjian damai muktamad, sebaliknya menjadi rangka kerja bagi menghentikan peperangan, memulihkan hubungan diplomatik dan membuka ruang kepada rundingan yang lebih menyeluruh dalam tempoh 60 hari akan datang.

14 Syarat Utama Perjanjian Damai AS-Iran

1. Gencatan Senjata Serta-Merta

Semua operasi ketenteraan dihentikan serta-merta di seluruh kawasan konflik termasuk di Lubnan.

2. Hormati Kedaulatan Negara

AS dan Iran bersetuju menghormati kedaulatan serta integriti wilayah masing-masing.

3. Tiada Campur Tangan

Kedua-dua negara tidak akan campur tangan dalam urusan dalaman negara lain.

4. Rundingan Damai Selama 60 Hari

Perjanjian damai muktamad perlu dirunding dan dimeterai dalam tempoh maksimum 60 hari, dengan lanjutan jika dipersetujui bersama.

5. Pembukaan Semula Selat Hormuz

Iran memberi jaminan keselamatan kepada kapal dagang yang melalui Selat Hormuz.

6. Penarikan Sekatan Laut

AS akan menarik balik sekatan laut terhadap Iran secara berperingkat.

7. Pelonggaran Sekatan Ekonomi

Sekatan ekonomi akan dikurangkan mengikut tahap pematuhan Iran terhadap syarat perjanjian.

8. Pelepasan Aset Iran

Sebahagian aset Iran yang dibekukan di luar negara akan dilepaskan secara berperingkat.

9. Kerjasama Keselamatan Maritim

Kedua-dua negara akan bekerjasama memastikan keselamatan pelayaran di Teluk Parsi dan Selat Hormuz.

10. Program Nuklear Iran

Iran mengekalkan pendiriannya bahawa program nuklearnya adalah untuk tujuan aman, manakala isu stok uranium diperkaya akan dirunding di bawah pemantauan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).

11. Tiada Sekatan Baharu

AS bersetuju tidak mengenakan sekatan ekonomi baharu sepanjang tempoh MOU berkuat kuasa.

12. Tiada Operasi Ketenteraan Baharu

Kedua-dua pihak berjanji tidak melancarkan serangan baharu sepanjang proses rundingan berlangsung.

13. Pemantauan Pematuhan

Pelaksanaan MOU akan dipantau melalui mekanisme bersama bagi memastikan kedua-dua pihak mematuhi komitmen yang dipersetujui.

14. Perjanjian Damai Muktamad

Hasil rundingan akan diterjemahkan kepada perjanjian damai yang lebih komprehensif, dengan sasaran mendapat pengiktirafan antarabangsa.

Adakah Perang Benar-Benar Tamat?

Walaupun MOU ini memberi harapan baharu, beberapa isu penting masih belum diselesaikan sepenuhnya, antaranya:
  • Had sebenar program nuklear Iran.
  • Mekanisme pelonggaran sekatan ekonomi.
  • Program peluru berpandu balistik Iran.
  • Pengaruh kumpulan sekutu Iran di rantau Asia Barat.
Ini bermakna MOU tersebut lebih tepat dianggap sebagai langkah awal ke arah keamanan, bukannya penamat mutlak kepada konflik.

Matlamat Perang yang Gagal

Apabila AS dan Israel melancarkan kempen ketenteraan besar-besaran terhadap Iran pada 28 Februari 2026, matlamat mereka adalah jelas, menggulingkan rejim (regime change), memusnahkan program nuklear dan keupayaan peluru berpandu Iran, serta melemahkan "Paksi Penentangan" (Axis of Resistance) yang diketuai Tehran.

Namun, analisis daripada pelbagai sumber, termasuk pengakuan daripada penyelidik Israel sendiri, menunjukkan bahawa ketiga-tiga matlamat ini gagal tercapai.

Menurut Danny Citrinowicz, seorang penyelidik kanan dari Institut Kajian Keselamatan Dalam Negeri Israel, kempen yang dikenali sebagai "Roar of the Lions" ini bukan sahaja gagal melemahkan Iran, malah berakhir dengan pengukuhan kedudukan ekonomi, politik dan keselamatan Tehran.

Begitu juga laporan oleh Agence France-Presse (AFP) memetik penganalisis kanan Israel, Mairav Zonszein dari International Crisis Group, yang mengakui bahawa Perdana Menteri Benjamin Netanyahu gagal dalam ketiga-tiga objektif utamanya: Menghapuskan program nuklear, merendahkan keupayaan peluru berpandu dan melemahkan kerajaan Iran.

Ketua Pembangkang Israel, Yair Lapid, menggambarkan keputusan ini sebagai bencana politik terbesar dalam sejarah negara itu.

Kejutan: Iran Lebih Kuat, Israel Terpinggir

Kegagalan ini menjadi lebih signifikan apabila ia membawa kepada pengukuhan Iran.

Daripada runtuh, sistem politik Iran menunjukkan daya tahan yang luar biasa, dengan pemilihan Ayatollah Seyyed Mojtaba Hosseini Khamenei sebagai Pemimpin Tertinggi yang baharu berjalan lancar dan mencerminkan perpaduan elit.

Secara ketenteraan, Iran kekal sebagai kuasa dominan di rantau ini.

Ketua Pengarah Center for Strategic and International Studies (CSIS) mengakui bahawa serangan peluru berpandu Iran tepat mengenai sasaran, dengan bukti satelit menunjukkan kawah yang tidak rawak di pangkalan-pangkalan AS yang diserang.

Menurut laporan Kongres AS, kos kepada Washington adalah besar, dengan kehilangan 42 pesawat, termasuk 18 pesawat berawak seperti F-15E dan F-35A, dalam tempoh 40 hari pertama konflik.

Ini berbeza dengan Israel yang tidak melaporkan kehilangan pesawat berawak.

Lebih memalukan, pengaruh Israel ke atas pembuat keputusan Washington telah merosot dengan ketara.

Penyelidik Israel Citrinowicz menyatakan bahawa Tehran, sebagai pertukaran untuk konsesi terhad, memperoleh manfaat ekonomi yang besar tanpa melepaskan aset strategiknya seperti program peluru berpandu, sokongan kepada sekutu serantau atau hak pengayaan uranium.

Sementara itu, hubungan antara Presiden Donald Trump dan Netanyahu menjadi renggang secara terbuka, dengan Trump mengkritik tindakan Israel yang dilihat boleh menjejaskan rundingan dan memanggil Netanyahu "gila" dan "tidak bersyukur".

Perbezaan Strategi AS-Israel dan Pengakhiran Perang

Perbezaan matlamat antara AS dan Israel menjadi faktor utama yang membawa kepada kegagalan pakatan ini.

Menurut penganalisis Aisha Kusumasomantri, pada awalnya kedua-dua pihak mahu melemahkan Iran, namun Washington kemudian mengambil pendekatan yang lebih terhad kerana tekanan domestik.

Hanya 29% rakyat AS menyokong pengendalian perang oleh Trump dan konflik ini dianggap "sangat tidak popular".

Keutamaan Washington beralih kepada menstabilkan keadaan dan mendapatkan persetujuan dengan kerajaan Iran yang sedia ada, manakala Israel masih mahu meneruskan perubahan rejim.

Kesan daripada perbezaan ini menyebabkan Israel terpaksa menghadapi "kekalahan paling gilang-gemilang" (glorious defeat), di mana kejayaan ketenteraan di medan perang tidak diterjemahkan kepada keuntungan strategik jangka panjang.

Walaupun Israel dan AS berjaya memusnahkan banyak sasaran ketenteraan Iran, Tehran mengekalkan keupayaan untuk membalas dan terus mengancam untuk menutup Selat Hormuz, yang memberi kesan besar kepada ekonomi global.

Akhirnya, Iran berjaya memaksa Trump mencari jalan keluar diplomatik, sekali gus mengubah "imbangan kerentanan" (balance of vulnerability) memihak kepada Tehran.

Kesimpulan: Satu Titik Balik di Asia Barat

Perang ini telah mendedahkan batasan kuasa ketenteraan yang jelas.

Negara-negara Arab di Teluk Parsi, yang sebelum ini menjadi sekutu rapat AS, mula menjarakkan diri dan menyedari bahawa menjadi tuan rumah kepada pangkalan AS merupakan liabiliti, bukan aset, kerana ia menjadi sasaran serangan Iran.

Keyakinan terhadap komitmen keselamatan AS telah terhakis dengan teruk dan negara-negara serantau kini lebih cenderung untuk membangunkan keupayaan pertahanan sendiri dan kepelbagaian strategik.

Bagi Israel, "titik balik strategik" ini memaksanya untuk menilai semula andaian dan dasar beberapa dekad terhadap Republik Islam Iran.

Kini, Israel didapati lebih terasing daripada sebelumnya dalam isu Iran dan merupakan satu-satunya aktor yang masih menekankan pilihan ketenteraan.

Kemenangan strategik Iran dalam perang ini telah mengubah secara asas landskap geopolitik Asia Barat, menandakan permulaan era baru di mana Tehran duduk di kerusi pemandu, manakala kuasa hegemonik AS dan sekutunya berhadapan dengan realiti baru yang tidak dapat diubah.

Semoga memberi manfaat.

-Sentiasapanas.com

SBDJ Siri 283: Pendekar Di Ugut Pemandu Lori

SBDJ Siri 283: Pendekar Di Ugut Pemandu Lori

Seluruh perhatian tertumpu ke arah wajah lelaki bertubuh besar, tegap dan tinggi. Sepasang telapak tangannya berpaut pada jenang pintu warung.

"Saya waris terdekatnya," ujar lelaki itu lalu membuka bajunya.

"Memang dia pahlawan, ini warisnya kiri kanan, siapa mahu mencuba, silakan," lelaki itu terus menepuk dada bidangnya berkali-kali.

SBDJ Siri 283 Pendekar Di Ugut Pemandu Lori

Pak Jabbar angkat tangan ke arahnya seraya tersenyum. Lelaki berkulit sawo matang itu membalas angkat tangan Pak Jabbar. Senyum Pak Jabbar dibalasnya.

"Kamu memang keturunan pahlawan Betawi," kata Pak Jabbar.

"Iya, memang betul cakap aku. Orang tua ini mengakuinya."

"Sila masuk, Rahmat," pelawa Pak Jabbar.

"Terima kasih Pak Jabbar. Beritahu mereka aku keturunan Si Pitung."

"Iya, aku bagi tahu," jawab Pak Jabbar.

Lelaki itu terus memusingkan badan ke arah muka lorong. Dia melangkah dengan tenang. Dia bersiul-siul kecil. Saya tak tahu lagu apa yang disiulkannya.

Pak Jabbar terus menyorot ke arah lelaki itu, hingga hilang dibalik liku jalan.

Sebelum itu, dia (lelaki) menoleh ke arah kami yang berada dalam perut warung. Dua tiga kali Pak Jabbar gelengkan kepala.

"Siapa dia yang sebenarnya Pak Jabbar," Jamaluddin ajukan pertanyaan.

Pak Jabbar buat tidak kisah dengan pertanyaan itu. Dia seperti sedang memikirkan sesuatu.

"Kesian dia," Zubir seperti mengeluh.

Keadaan itu membuatkan Jamaluddin semakin resah.

"Dia orang gila," kata saya keras.

"Tamar, jaga mulut, ini tempat orang," herdik datuk.

"Maafkan saya," kata saya pada Pak Jabbar yang masih termenung.

"Kamu tak salah, sesiapa pun akan beranggapan seperti kamu," lembutnya suara Pak Jabbar, macam suara seorang datuk kepada cucunya.

"Kamu terangkan pada mereka Zubir," satu arahan untuk Zubir.

Suara Pak Jabbar tidak selembut tadi. Keras dan tegas, penuh keyakinan. Zubir menarik nafas dalam-dalam, kemudian anggukkan kepala, tanda akur dengan arahan teman rapatnya.

"Apa yang dikatakan Rahmat tu memang benar. Memang dia waris terdekat Si Pitung. Tapi, fikirannya tak betul," Zubir bersuara dengan nada suara yang lemah.

"Maksudnya gila," kata Jamaluddin seperti berbisik. Zubir geleng kepala berkali-kali.

"Ada gangguan perasaan," celah datuk.

"Itu bahasa yang baik," sahut Pak Jabbar.

BERSILAT SENDIRI

"Ada ketikanya dia bercakap seorang diri dan bersilat sendiri ditengah-tengah jalan. Mencabar siapa saja untuk bertarung dengannya. Kerana orang-orang disini tahu masalahnya, semuanya buat tak kisah," lanjut Zubir.

Anak matanya menatap setiap wajah yang berada didepannya.

"Selain dari dia, ada lagi tak waris Si Pitung?" saya bertanya dengan harapan tidak mendapat teguran dari datuk.

"Ada, malah ada diantara mereka jadi saudagar dan orang penting kerajaan. Cuma si Rahmat yang tak menjadi.

"Dia jadi begitu akibat dilanggar kereta, kepalanya terhempas ke batu.

"Berbulan-bulan dia koma. Pulih dari koma, itu yang dia dapat," Pak Jabbar cuba menerangkan kedudukan sebenar.

"Itu sebabnya, bukan kerana sumpah," sampuk Jamaluddin.

"Eh, kamu," kata datuk.

Semua yang ada disitu ketawa geli hati. Pertanyaan yang diajukan Jamaluddin lucu sekali.

"Hebat juga Si Pitung ini," bisik hati saya.

"Iya, dia memang hebat."

Saya terkejut, Pak Jabbar bagaikan tahu apa yang bermain dalam hati. Ini membuat saya cemas.

"Si Pitung memang rapat dengan orang-orang miskin. Perbuatannya itu menimbulkan kebimbangan dikalangan orang-orang Belanda. Mereka sentiasa mengawasi kegiatan Si Pitung.

"Mereka tahu, disamping rapat dengan orang miskin, Si Pitung juga menanamkan rasa benci dihati orang miskin terhadap orang Belanda," Pak Jabbar terbatuk.

Setelah batuk, dia tidak meneruskan percakapan yang terhenti. Membuat suasana dalam warung bungkam sejenak.

MERENUNG

Pak Jabbar bangun, berlegar-legar dalam perut warung sebelum berhenti disatu sudut.

Tangan kanannya memegang tiang warung, sementara tangan kirinya terletak dibibir meja. Dia merenung sayu ke dada lorong.

"Ahhh..."

Berkali-kali Pak Jabbar menumbuk tiang warung. Semua mata tertumpu ke arahnya.

Wajah Zubir nampak cemas tetapi, datuk masih bertenang. Dia bagaikan tahu apa yang bergelora dalam batin Pak Jabbar.

"Dia dikhianati bangsa sendiri," mengejut saja datuk bersuara lantang.

Pak Jabbar segera memusingkan badan, menghadapi datuk.

"Semasa rakyat miskin gembira melihat orang Belanda jadi kelam kabut dan cemas, akibat tindakan Si Pitung. Dia dikhianati bangsa sendiri. Inilah kelemahan orang kita," suara Pak Jabbar mula kendur.

Dia melangkah kerana mahu bergabung semula dengan kami.

"Jaguh rakyat dikhianati bangsa sendiri, dia dapat ditangkap Belanda, dibicarakan dimahkamah ikut acuan Belanda. Dia dijatuhkan hukuman mati oleh mahkamah penjajah pada 1896. Sungguh malang nasib Si Pitung," suaranya bergetar.

Wajahnya nampak sedih sekali. Datuk segera mendekatinya dan membisikkan sesuatu padanya. Saya lihat Pak Jabbar mengukir senyum sambil merenung ke arah Zubir.

"Kata sahabat kita dari Tanah Melayu, perkara yang sama berlaku juga dinegaranya.

"Orang Inggeris menggunakan undang-undang sendiri untuk membunuh pejuang bangsa.

"Kita dengan hukum tembak sampai mati. Disana dihukum gantung sampai mati seperti yang dilakukan oleh Inggeris terhadap wira Melayu yang bernama Datuk Sagor," sambil berdiri Pak Jabbar mengungkapkan kata-kata itu, penuh semangat, anak matanya tetap menatap wajah datuk.

"Bila kita ke sana, kamu tunjukkan makam pahlawan Perak yang berani. Kenalkan aku dan Zubir pada warisannya," Pak Jabbar mengutarakan sebuah permintaan. Datuk anggukkan kepala.

"Selain dari dia siapa lagi pahlawan Perak yang berjaya menggerakkan semangat kemerdekaan dan bencikan Inggeris.

"Mereka patut dihargai, tanpa tiupan semangat dari mereka, kita tak akan merdeka atau bebas dari penjajah," Zubir pula menyoal.

"Ada," kata saya menyampuk.

"Siapa?" Jamaluddin juga turut buat kacau daun.

"Datuk Maharaja Lela," penuh bangga saya menyebut nama orang saya kenal, pada nama saja.

"Memanglah kita bangsa dua serumpun."

PARANG DITANGAN

Ada suara asing diluar warung. Semua yang ada dalam warung halakan biji mata pada lelaki yang bernama Rahmat. Dia tersengih dengan parang ditangan. Kepalanya dililit dengan kain merah.

Sepasang kaki seluar panjang digulung sehingga paras bawah lutut. Peluh mengalir ditubuh tanpa baju.

"Aku sudah dengar apa yang kamu semua cakap, cuma aku nak tanya satu perkara."

Saya dan Jamaluddin berpandangan.

"Apa yang mahu kamu tanyakan, Rahmat," Pak Jabbar renung mukanya sejenak.

Rahmat tersengih. Dua tiga kali dia garu hujung dagunya.

"Ada yang kurang bila menyebut nama saya."

"Apa yang kurangnya, Rahmat."

"Tak sebut nama Si Pitung selepas nama saya."

"Aku minta maaf Rahmat," ujar Pak Jabbar.

"Tadi masa mula-mula aku datang ke sini tadi, kau tak sebut pun nama Pitung selepas sebut nama aku. Itulah sebab aku datang ke sini semula."

"Lagi sekali maaf, Rahmat," ujar Pak Jabbar.

Semua yang ada dalam warung senyum sinis.

"Apa lagi yang mahu kamu tanya, Rahmat," susul Pak Jabbar.

"Tanyalah sekarang supaya perkara yang kamu fikir dapat diselesaikan, macam Si Pitung selesaikan masalah. Kamu waris Si Pitung mesti pandai macam dia," Pak Jabbar cuba berdiplomasi dengan harapan Rahmat akan cepat beredar dari situ.

Tetapi, si Rahmat bagaikan terkhayal bila namanya digandingkan Si Pitung. Senyumnya terus melebar dibibir.

"Antara Si Pitung dengan Datuk Maharaja Lela dan Datuk Sagor, siapa yang kuat dan gagah?"

"Sama kuat sama gagah Rahmat."

"Mana boleh macam tu."

"Mesti boleh, mereka semua benci orang kulit putih. Si Pitung bencikan Belanda. Maharaja Lela benci Inggeris. Semuanya lawan orang Eropah."

"Kalau macam tu, kita tak boleh gaduh dengan bangsa dua serumpun."

"Itu yang betulnya. Rahmat pewaris Si Pitung tak boleh bergaduh sama-sama sebangsa," Pak Jabbar bagaikan separuh menjerit meluahkan kata-kata itu.

Rahmat ketawa terkikih. Dia membuka silat sambil menyeru nama Si Pitung. Kemudian beredar dengan tenang.

MELAMBAI TANGAN

Bila Rahmat sudah beredar agak jauh dari kawasan warung menuju ke lorong yang sedang dilalui beberapa kenderaan ringan, pemandu kenderaan melambai-lambaikan tangan pada Rahmat. Kepalang gembira Rahmat, dia menerima lambaian.

"Dalam tak betulnya itu, ada kata-katanya yang boleh membuat kita berfikir," Jamaluddin memberi komentar.

"Kerana kita dah cap dia gila. Cakap betul pun kita kata cakap orang gila," pintas Zubir.

"Sekarang kamu mahu ke mana lagi," tanya Pak Jabbar pada Jamaluddin.

"Mahu bawa mereka ni berjalan lagi. Saya nak bawa mereka ke kawasan rumah peninggalan Si Pitung dan beberapa kawasan sejarah," jelas Jamaluddin.

"Bagus," sahut Zubir.

Saya dan datuk minta diri pada Pak Jabbar. Begitu juga dengan Jamaluddin. Kami meninggalkan warung Pak Jabbar menuju lorong yang bersambung dengan jalan besar.

Sambil berjalan tu, kami bertiga berharap tidak akan terserempak dengan Rahmat.

Dibawah matahari petang yang kian redup, kami rancak melangkah. Lorong warung Pak Jabbar sudah jauh ditinggalkan.

Kami, kini berada dijalan besar yang sibuk dengan kenderaan besar dan kecil.

"Hati-hati, pemandu disini kurang ajar sedikit," Jamaluddin mengingatkan datuk yang secara tidak sengaja berada agak jauh ke tengah jalan menyebabkan dirinya hampir dihimpit lori kecil.

Saat kami berada dilaluan yang betul. Kami bertiga terkejut dengan tindakan pemandu sebuah lori besar yang berhenti secara mengejut.

Belum sempat berkata apa-apa, pemandu lori melompat turun terus menerkam ke arah Jamaluddin sambil mengacukan muncung pistol ke kepala Jamaluddin. Leher baju Jamaluddin dicekaknya.

Kejadian yang tidak diduga itu menarik perhatian ramai.

Jamaluddin dan lawannya terus dihurungi orang ramai, beberapa buah kenderaan turut berhenti.

Lalu lintas terganggu, kawasan yang dikiri kanannya terdapat bangunan batu lama mula sesak dan sibuk.

"Apa salah saya," kata Jamaluddin cemas.

"Kamu jadi tali barut kerajaan, menyebabkan aku dilokap seminggu, lori aku disyaki bawa dadah."

"Kamu salah orang."

"Tidak, aku pasti kamu, sudah lama aku cari kamu," kemarahan si pemandu tidak dapat dibendung lagi.

Orang kian ramai berpusu datang ke situ. Mereka hanya menanti saat pistol meletup dan melihat mayat terbujur kaku.

"Kamu silap orang, dia baru datang dari Medan bersama aku," datuk cuba menenangkan si pemandu yang macam harimau lapar.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 283/284

BACA: SBDJ Siri 282: Jaguh Orang Miskin
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

Semoga memberi manfaat.

-Sentiasapanas.com

Sunday, June 07, 2026

Nabi-nabi yang Dibunuh oleh Bangsa Israel Menurut Sejarah dan Kitab-Kitab Suci

Nabi-nabi yang Dibunuh oleh Bangsa Israel Menurut Sejarah dan Kitab-Kitab Suci

Para nabi diutuskan oleh Allah untuk membimbing manusia ke jalan yang benar, namun sejarah mencatatkan bahawa tidak semua umat menerima seruan para nabi dengan baik. Al-Quran sendiri menyebut bahawa sebahagian daripada Bani Israel bukan sahaja mendustakan para nabi, malah ada yang bertindak membunuh mereka.

Nabi-nabi yang Dibunuh Bangsa Yahudi

Firman Allah, "Maka patutkah setiap kali datang kepada kamu seorang rasul membawa apa yang tidak diingini oleh hawa nafsumu, kamu menyombongkan diri, lalu sebahagian kamu dustakan dan sebahagian yang lain kamu bunuh." (Surah Al-Baqarah: 87)

Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah ayat 87, "Apakah setiap kali datang kepada kamu seorang rasul membawa sesuatu yang tidak sesuai dengan keinginan kamu, lalu kamu menyombongkan diri? Maka sebahagian kamu dustakan dan sebahagian yang lain kamu bunuh."

Adakah Al-Quran Menyebut Nabi-Nabi Dibunuh?

Ya. Al-Quran beberapa kali menyebut bahawa sebahagian Bani Israel membunuh nabi-nabi mereka.

Firman Allah, "Dan mereka membunuh para nabi tanpa alasan yang benar." (Surah Ali Imran: 112)

Firman Allah lagi, "Mereka membunuh nabi-nabi tanpa hak." (Surah Al-Baqarah: 61)

Namun Al-Quran tidak menyenaraikan secara terperinci nama semua nabi yang dibunuh.

Oleh itu, para ulama merujuk kepada hadis, tafsir serta sumber sejarah Yahudi dan Kristian untuk mengenal pasti tokoh-tokoh yang dipercayai syahid.

1. Nabi Sya'ya A.S. (Isaiah)

Nabi Sya'ya atau Isaiah merupakan salah seorang nabi yang paling berpengaruh dalam sejarah Bani Israel.

Baginda hidup ketika Kerajaan Yehuda sedang mengalami kemerosotan moral yang sangat serius. Pada zaman tersebut, masyarakat semakin jauh daripada ajaran Taurat.

Amalan penyembahan berhala mula berleluasa, golongan kaya menindas orang miskin dan para pemimpin politik menggunakan agama demi kepentingan mereka sendiri.

Nabi Sya'ya tampil memberi amaran bahawa Allah akan menurunkan hukuman jika masyarakat tidak kembali kepada jalan yang benar.

Baginda menyeru rakyat supaya meninggalkan kezaliman, bertaubat dan kembali menyembah Allah semata-mata.

Menurut tradisi Yahudi dan Kristian yang berkembang kemudian, seruan Nabi Sya'ya menyebabkan baginda dibenci oleh pemerintah.

Pada zaman pemerintahan Raja Manasseh, yang terkenal dengan penyembahan berhala dan penindasan terhadap golongan agama, Nabi Sya'ya dikatakan menjadi sasaran penganiayaan.

Riwayat tradisional menyebut bahawa Nabi Sya'ya bersembunyi di dalam batang pokok untuk mengelakkan penangkapan.

Namun, tempat persembunyian tersebut ditemui dan pokok itu digergaji sehingga terbelah dua bersama tubuh baginda.

Walaupun kisah ini sangat terkenal dalam tradisi agama, para ahli sejarah moden menyatakan bahawa bukti sejarah bebas mengenai cara kematian tersebut agak terhad.

Namun demikian, tradisi Yahudi, Kristian dan sebahagian sumber Islam menerima bahawa Nabi Sya'ya mati sebagai syahid akibat penentangan terhadap dakwahnya.

Anggaran Tahun Kejadian

Peristiwa ini dipercayai berlaku antara, 686 Sebelum Masihi hingga 680 Sebelum Masihi.

Ini menjadikan Nabi Sya'ya antara nabi terawal yang dipercayai dibunuh oleh golongan yang menolak ajaran Allah dalam sejarah Bani Israel.

2. Nabi Uriah bin Shemaiah

Nabi Uriah merupakan salah seorang nabi yang disebut dalam Kitab Yeremia.

Walaupun namanya tidak disebut dalam Al-Quran, beliau dianggap sebagai nabi yang menyeru Bani Israel supaya kembali kepada hukum Allah.

Pada zaman Nabi Uriah, Kerajaan Yehuda sedang menghadapi ancaman besar daripada Empayar Babilon.

Para nabi memberi amaran bahawa kejahatan masyarakat akan menyebabkan negara mereka dihancurkan. Namun golongan pemerintah enggan menerima teguran tersebut.

Nabi Uriah menyampaikan mesej yang hampir sama dengan Nabi Yeremia. Baginda memberi amaran bahawa Yerusalem akan dimusnahkan jika rakyat tidak bertaubat.

Amaran ini menyebabkan Raja Jehoiakim berasa marah. Baginda dianggap sebagai ancaman kepada kestabilan politik kerajaan. Menyedari nyawanya terancam, Nabi Uriah melarikan diri ke Mesir.

Namun pelarian itu tidak berjaya menyelamatkannya. Raja Jehoiakim menghantar pegawai khas ke Mesir untuk menangkap beliau.

Setelah berjaya ditangkap, Nabi Uriah dibawa kembali ke Yerusalem dan dihukum mati menggunakan pedang.

Kisah ini merupakan antara peristiwa pembunuhan nabi yang mempunyai dokumentasi paling jelas dalam sumber Yahudi.

Anggaran Tahun Kejadian

Peristiwa tersebut dipercayai berlaku sekitar, 609 Sebelum Masihi hingga 598 Sebelum Masihi.

3. Nabi Zakaria a.s.

Nabi Zakaria a.s. merupakan seorang nabi yang sangat dihormati dalam Islam. Baginda terkenal sebagai penjaga Maryam dan ayah kepada Nabi Yahya a.s.

Baginda hidup pada zaman Palestin berada di bawah pengaruh Empayar Rom. Pada ketika itu, masyarakat menghadapi pelbagai bentuk kerosakan moral dan penyelewengan agama.

Sebagai seorang nabi, Zakaria menyeru manusia kembali kepada ketaatan kepada Allah.

Menurut banyak kitab tafsir Islam seperti Tafsir Ibn Kathir dan Tafsir al-Tabari, Nabi Zakaria menghadapi tentangan hebat daripada golongan tertentu yang tidak menyukai dakwah baginda.

Apabila tekanan semakin memuncak, Nabi Zakaria terpaksa melarikan diri bagi menyelamatkan nyawa.

Riwayat yang terkenal menyebut bahawa baginda bersembunyi di dalam sebatang pokok yang terbelah secara mukjizat.

Namun syaitan dikatakan menunjukkan tempat persembunyian itu kepada musuh-musuh baginda. Mereka kemudiannya menggergaji pokok tersebut sehingga Nabi Zakaria terbunuh.

Perlu dijelaskan bahawa kisah ini banyak berasal daripada riwayat Israiliyyat yang diterima oleh sebahagian ulama sebagai sejarah, tetapi tidak mencapai tahap kepastian mutlak seperti nas Al-Quran.

Walaupun terdapat perbezaan mengenai butiran kematiannya, majoriti ulama Islam menerima bahawa Nabi Zakaria dibunuh oleh golongan yang menolak ajaran Allah.

Anggaran Tahun Kejadian

Para pengkaji biasanya menganggarkan kematian Nabi Zakaria a.s. berlaku sekitar, 20 Sebelum Masihi hingga 5 Sebelum Masihi.

Peristiwa ini berlaku tidak lama sebelum kelahiran Nabi Isa a.s.

4. Nabi Yahya a.s.

Nabi Yahya a.s. merupakan anak kepada Nabi Zakaria a.s. dan antara nabi yang paling banyak dipuji dalam Al-Quran.

Allah menggambarkan baginda sebagai seorang yang suci, bertakwa, lembut hati dan sangat taat kepada perintah Tuhan.

Ketika dewasa, Nabi Yahya a.s. memainkan peranan penting dalam membimbing masyarakat Bani Israel.

Baginda terkenal kerana keberaniannya menegur pemerintah yang melakukan kesalahan walaupun tindakan tersebut boleh mengancam nyawanya.

Menurut sumber sejarah Kristian dan beberapa sumber Islam, pemerintah wilayah Galilee ketika itu ialah Herod Antipas.

Herod bercadang mengahwini Herodias, seorang wanita yang mempunyai hubungan kekeluargaan yang dilarang menurut hukum agama.

Nabi Yahya a.s. secara terbuka mengkritik rancangan tersebut dan menyatakan bahawa perkahwinan itu bertentangan dengan hukum Allah.

Teguran ini menimbulkan kebencian yang mendalam dalam kalangan pihak istana. Akhirnya Nabi Yahya a.s. ditangkap dan dipenjarakan.

Menurut catatan sejarah yang paling terkenal, Herodias mencari peluang untuk membalas dendam terhadap Nabi Yahya a.s.

Setelah satu majlis besar diadakan di istana, beliau berjaya mempengaruhi Herod supaya menjatuhkan hukuman mati ke atas nabi tersebut.

Nabi Yahya kemudian dipancung di dalam penjara.

Kepala baginda dibawa kepada pihak istana sebagai bukti hukuman telah dilaksanakan.

Peristiwa ini merupakan antara kematian nabi yang paling banyak disokong oleh sumber sejarah dan dianggap mempunyai asas sejarah yang kuat oleh ramai pengkaji.

Anggaran Tahun Kejadian

Kematian Nabi Yahya a.s. dipercayai berlaku sekitar, 28 Masihi hingga 30 Masihi

5. Cubaan Membunuh Nabi Isa a.s.

Selepas Nabi Yahya, Nabi Isa a.s. meneruskan dakwah dalam kalangan Bani Israel.

Baginda menyeru manusia kembali kepada tauhid, menghapuskan kemunafikan agama dan memperbetulkan penyelewengan yang berlaku dalam masyarakat.

Dakwah Nabi Isa a.s. mendapat sambutan daripada sebahagian rakyat biasa tetapi ditentang oleh sebahagian pemimpin agama dan politik.

Menurut Al-Quran, satu konspirasi dirancang untuk menangkap dan membunuh Nabi Isa a.s., namun Allah menggagalkan rancangan tersebut.

Firman Allah dalam Surah An-Nisa ayat 157, "Dan mereka tidak membunuhnya serta tidak menyalibnya, tetapi diserupakan bagi mereka."

Menurut aqidah Islam, Nabi Isa a.s. tidak dibunuh dan tidak mati di atas salib. Allah mengangkat baginda ke langit dan baginda akan turun semula menjelang akhir zaman.

Oleh itu, Nabi Isa a.s. tidak termasuk dalam senarai nabi yang berjaya dibunuh walaupun terdapat usaha yang jelas untuk membunuh baginda.

6. Pembunuhan Ramai Nabi yang Tidak Diketahui Namanya

Selain nama-nama yang disebut di atas, ramai ulama berpendapat terdapat sejumlah besar nabi lain yang dibunuh tetapi nama mereka tidak direkodkan secara terperinci.

Al-Quran menggunakan bentuk jamak apabila menyebut pembunuhan para nabi, menunjukkan bahawa peristiwa tersebut berlaku lebih daripada sekali.

Firman Allah dalam Surah Ali Imran ayat 181, "Mereka telah membunuh nabi-nabi tanpa alasan yang benar."

Sebahagian ulama tafsir menyatakan bahawa jumlah sebenar nabi yang dibunuh mungkin jauh lebih ramai daripada yang diketahui hari ini.

Malah terdapat beberapa riwayat yang menyebut bahawa pada zaman tertentu, puluhan nabi dibunuh dalam tempoh yang singkat.

Namun kebanyakan riwayat tersebut mempunyai perbahasan dari sudut kesahihan dan tidak dapat dipastikan secara sejarah.

Kesimpulan

Al-Quran secara tegas menyatakan bahawa sebahagian daripada Bani Israel pernah membunuh para nabi yang diutuskan kepada mereka.

Walaupun tidak semua nama nabi tersebut diketahui, sumber Islam, Yahudi dan Kristian menunjukkan beberapa tokoh utama yang dipercayai menjadi mangsa penentangan terhadap kebenaran.

Antara nama yang paling sering disebut ialah Nabi Sya'ya, Nabi Uriah, Nabi Zakaria dan Nabi Yahya.

Dalam kalangan mereka, kematian Nabi Yahya dan Nabi Uriah mempunyai sokongan sejarah yang lebih kukuh, manakala kisah Nabi Zakaria dan Nabi Sya'ya banyak bergantung kepada tradisi keagamaan yang diwarisi turun-temurun.

Apa yang paling penting untuk difahami ialah Al-Quran menjadikan kisah-kisah ini sebagai pengajaran tentang bahaya kesombongan, penyalahgunaan kuasa dan penolakan terhadap wahyu Allah.

Kejatuhan sesuatu masyarakat tidak bermula dengan kelemahan ketenteraan atau ekonomi semata-mata, tetapi bermula apabila mereka menolak kebenaran yang dibawa oleh para nabi dan mengutamakan hawa nafsu mengatasi petunjuk Tuhan.

Wallahu a'lam.

Semoga memberi manfaat.

-Sentiasapanas.com

Saturday, June 06, 2026

Asal-Usul Bagaimana Bangsa Cina Mencipta Kertas: Penemuan Yang Mengubah Dunia

Asal-Usul Bagaimana Bangsa Cina Mencipta Kertas: Penemuan Yang Mengubah Dunia

Hari ini kita menulis nota, membaca buku, mencetak dokumen dan membungkus pelbagai barang menggunakan kertas. Ia kelihatan begitu biasa sehingga ramai yang tidak pernah terfikir dari mana datangnya bahan yang sangat penting ini.

Asal-Usul Bangsa Cina Mencipta Kertas

Hakikatnya, penciptaan kertas merupakan salah satu penemuan paling berpengaruh dalam sejarah manusia.

Tanpa kertas, perkembangan ilmu pengetahuan, pendidikan, pentadbiran kerajaan, perdagangan dan penyebaran agama mungkin berlaku jauh lebih perlahan.

Kebanyakan ahli sejarah bersetuju bahawa kertas seperti yang kita kenali hari ini pertama kali dicipta di China.

Penemuan ini kemudian tersebar ke seluruh dunia dan akhirnya menjadi asas kepada perkembangan tamadun moden.

Dunia Sebelum Kertas

Sebelum kertas dicipta, manusia menggunakan pelbagai bahan untuk menulis, bergantung kepada sumber yang terdapat di kawasan masing-masing. Setiap bahan mempunyai kelebihan dan kelemahan tersendiri.

Antara bahan yang pernah digunakan ialah:
Batu – Digunakan untuk mengukir undang-undang, perjanjian dan catatan penting kerana tahan lama, tetapi sangat berat dan sukar dipindahkan.
Tanah liat – Tamadun Mesopotamia menulis menggunakan paku khas pada kepingan tanah liat yang kemudian dikeringkan atau dibakar.
Tulang dan cangkerang kura-kura – Digunakan di China purba untuk merekodkan ramalan dan upacara keagamaan.
Papirus – Dihasilkan daripada tumbuhan papirus yang tumbuh di tebing Sungai Nil dan menjadi bahan penulisan utama di Mesir kuno.
Daun palma atau daun lontar – Banyak digunakan di India dan Asia Tenggara untuk menulis kitab agama, sastera dan rekod sejarah.
Kulit binatang (parchment dan vellum) – Digunakan secara meluas di Timur Tengah dan Eropah kerana tahan lama, tetapi mahal untuk dihasilkan.
Kepingan buluh dan kayu – Menjadi bahan penulisan utama di China sebelum penciptaan kertas, namun berat dan memerlukan ruang penyimpanan yang besar.
Kain sutera – Kadangkala digunakan oleh golongan bangsawan China untuk menulis dokumen penting, tetapi harganya terlalu mahal untuk kegunaan umum.

Walaupun bahan-bahan ini membolehkan manusia merekodkan ilmu dan sejarah, kebanyakannya mahal, berat atau sukar dihasilkan.

Setiap bahan ini mempunyai kelemahannya sendiri.

Tulisan pada batu sangat tahan lama tetapi berat dan sukar dibawa. Kulit binatang pula mahal untuk dihasilkan. Di China purba, ramai penulis menggunakan kepingan buluh yang diikat bersama.

Masalahnya, satu buku boleh menjadi sangat berat.

Sebagai contoh, sebuah manuskrip panjang mungkin memerlukan berpuluh-puluh atau ratusan keping buluh. Ini menyukarkan penyimpanan dan pengangkutan dokumen.

Kerajaan China ketika itu memerlukan satu bahan yang lebih ringan, murah, dan mudah dihasilkan.

Tamadun China dan Keperluan Baharu

Sekitar dua ribu tahun lalu, China merupakan salah satu tamadun paling maju di dunia.

Kerajaan memerlukan banyak rekod pentadbiran seperti cukai, undang-undang, rekod ketenteraan, data penduduk dan surat rasmi.

Semakin besar empayar, semakin banyak dokumen yang perlu disimpan.

Keadaan ini mendorong para sarjana dan pegawai kerajaan mencari bahan penulisan yang lebih praktikal.

Cai Lun: Tokoh Yang Dikenali Sebagai Pencipta Kertas

Cai Lun (sekitar 50–121 Masihi) ialah seorang pegawai istana pada zaman Dinasti Han Timur yang secara tradisinya dikenali sebagai pencipta kertas.

Walau bagaimanapun, kajian arkeologi moden menunjukkan bahawa bentuk awal kertas mungkin telah wujud di China sebelum zaman Cai Lun.

Oleh itu, ramai ahli sejarah berpendapat bahawa Cai Lun bukanlah orang pertama yang mencipta kertas dari kosong, sebaliknya beliau berjaya memperbaiki dan menyeragamkan proses pembuatannya sehingga boleh digunakan secara meluas.

Pada tahun 105 Masihi, Cai Lun dilaporkan mempersembahkan kaedah baharu pembuatan kertas kepada Maharaja China.

Beliau menggunakan bahan-bahan murah dan mudah diperoleh seperti kulit pokok mulberi, kain buruk, jaring ikan lama, serat tumbuhan dan sisa kain.

Bahan-bahan tersebut direndam, dihancurkan menjadi pulpa, dicampur dengan air, kemudian ditapis dan dikeringkan sehingga menjadi helaian nipis yang sesuai untuk menulis.

Penemuan ini mempunyai beberapa kelebihan besar.

Lebih ringan daripada kepingan buluh dan kayu, lebih murah daripada kain sutera, lebih mudah disimpan dan diangkut dan sesuai untuk penulisan dan penyimpanan dokumen.

Hasil inovasi Cai Lun, penggunaan kertas berkembang pesat di seluruh China sebelum akhirnya tersebar ke Asia Tengah, dunia Islam, dan Eropah.

Penemuan ini membantu mempercepatkan penyebaran ilmu pengetahuan, perkembangan pendidikan, serta kemajuan tamadun manusia.

Atas sumbangannya yang besar, Cai Lun sering dikenang sebagai "Bapa Kertas", walaupun bukti sejarah menunjukkan bahawa beliau lebih tepat digambarkan sebagai tokoh yang menyempurnakan teknologi pembuatan kertas daripada pencipta mutlaknya.

Bagaimana Cai Lun Menghasilkan Kertas?

Cai Lun menggunakan bahan-bahan yang mudah diperoleh dan prosesnya agak menarik.

Pertama, bahan-bahan tersebut direndam di dalam air sehingga lembut.

Kemudian ia dihancurkan menjadi pulpa atau bubur serat.

Pulpa itu dicampurkan dengan air dan ditapis menggunakan bingkai khas.

Apabila air mengalir keluar, lapisan serat nipis tertinggal di atas permukaan penapis.

Lapisan tersebut dikeringkan dan ditekan sehingga menjadi helaian nipis yang boleh digunakan untuk menulis.

Kaedah asas ini masih menjadi asas kepada industri kertas moden walaupun teknologi hari ini jauh lebih canggih.

Mengapa Kertas Baharu Ini Sangat Istimewa?

Penciptaan dan penambahbaikan kertas oleh Cai Lun membawa perubahan besar kepada tamadun manusia.

Berbanding bahan penulisan yang digunakan sebelum itu seperti buluh, kayu, sutera dan kulit binatang, kertas mempunyai banyak kelebihan.

1. Lebih Ringan

Sebelum kertas digunakan secara meluas, masyarakat China menulis pada kepingan buluh yang berat dan sukar dibawa. Sebuah dokumen yang panjang boleh terdiri daripada puluhan atau ratusan keping buluh.

Kertas jauh lebih ringan, menjadikannya mudah dibawa, disimpan dan dihantar ke tempat lain.

2. Lebih Murah Dihasilkan

Cai Lun menggunakan bahan-bahan terpakai seperti kain buruk, kulit pokok dan jaring ikan lama. Ini menjadikan kos pengeluaran kertas jauh lebih rendah berbanding sutera atau kulit binatang.

Akibatnya, lebih ramai orang dapat menggunakannya untuk menulis dan belajar.

3. Mudah Ditulis

Permukaan kertas lebih licin dan sesuai digunakan dengan dakwat serta berus tulisan Cina. Tulisan menjadi lebih kemas, jelas dan mudah dibaca.

4. Mudah Disimpan

Dokumen yang ditulis di atas kertas boleh dilipat atau digulung. Ini menjimatkan ruang berbanding kepingan kayu atau buluh yang memerlukan tempat penyimpanan yang besar.

5. Mudah Dihasilkan Secara Besar-Besaran

Kaedah pembuatan yang diperkenalkan Cai Lun membolehkan kertas dihasilkan dalam kuantiti yang banyak. Kerajaan dapat menyimpan lebih banyak rekod pentadbiran dan dokumen rasmi.

6. Membantu Penyebaran Ilmu

Apabila kos bahan penulisan menjadi lebih murah, buku dan manuskrip dapat dihasilkan dengan lebih banyak. Ini mempercepatkan penyebaran ilmu pengetahuan, pendidikan dan budaya.

7. Memudahkan Urusan Kerajaan

Empayar China yang luas memerlukan rekod cukai, undang-undang, surat rasmi dan data penduduk. Kertas memudahkan penyimpanan serta pengurusan maklumat tersebut.

8. Lebih Praktikal Berbanding Sutera

Sebelum kertas digunakan secara meluas, golongan bangsawan kadangkala menulis pada sutera. Walaupun berkualiti tinggi, sutera sangat mahal. Kertas menawarkan alternatif yang jauh lebih ekonomik tanpa mengorbankan fungsi.

Rahsia Yang Dijaga China

Selama beberapa abad, teknik pembuatan kertas dianggap sebagai rahsia penting China.

Kerajaan China memperoleh kelebihan besar dalam bidang pentadbiran, pendidikan dan penyebaran ilmu.

Ketika banyak tamadun lain masih bergantung kepada bahan penulisan yang mahal, China sudah mempunyai sistem dokumentasi yang lebih maju.

Rahsia ini tidak mudah dikongsi dengan dunia luar.

Namun, sejarah akhirnya mengubah keadaan.

Bagaimana Rahsia Kertas Sampai Ke Dunia Islam?

Perang Talas merupakan salah satu pertempuran paling penting dalam sejarah dunia yang berlaku pada tahun 751 Masihi.

Pertempuran ini berlaku di kawasan Sungai Talas, yang terletak di Asia Tengah, antara tentera Khalifah Abbasiyah yang dibantu oleh suku Turki Karluk dan tentera Dinasti Tang dari China.

Walaupun tidak begitu terkenal seperti peperangan besar lain, Perang Talas mempunyai kesan yang sangat besar terhadap perkembangan politik, budaya dan teknologi di Asia.

Pada abad ke-8, Empayar Islam Abbasiyah sedang berkembang pesat ke arah timur, manakala Dinasti Tang China pula berusaha meluaskan pengaruhnya ke Asia Tengah.

Kedua-dua kuasa besar ini akhirnya bertembung dalam perebutan pengaruh di kawasan yang menjadi laluan penting perdagangan Jalan Sutera.

Ketegangan antara kedua-dua pihak semakin memuncak apabila beberapa kerajaan kecil di Asia Tengah meminta bantuan daripada salah satu kuasa besar tersebut. Keadaan ini akhirnya membawa kepada pertempuran besar di Talas.

Perang Talas berlangsung selama beberapa hari. Pada peringkat awal, tentera Dinasti Tang berjaya memberikan tentangan yang hebat kepada tentera Abbasiyah.

Namun, keadaan berubah apabila suku Karluk yang pada mulanya menyokong China bertukar pihak dan menyebelahi tentera Islam.

Tindakan ini menyebabkan tentera Tang kehilangan kelebihan mereka dan akhirnya mengalami kekalahan besar.

Kemenangan Abbasiyah mengukuhkan kedudukan Islam di Asia Tengah, manakala pengaruh China di rantau tersebut mula berkurangan.

Tukang Kertas Di Tawan

Menurut tradisi sejarah yang terkenal, beberapa tukang kertas China ditawan selepas pertempuran tersebut.

Mereka dikatakan memperkenalkan teknik pembuatan kertas kepada dunia Islam.

Walaupun sesetengah ahli sejarah masih membahaskan butiran tepat peristiwa ini, tidak dapat dinafikan bahawa teknologi kertas mula berkembang pesat di wilayah Islam selepas abad ke-8.

Dunia Islam Menambah Baik Teknologi Kertas

Selepas teknologi pembuatan kertas diperkenalkan ke dunia Islam pada abad ke-8 Masihi, para ilmuwan dan pengusaha Muslim tidak sekadar meniru teknik yang dipelajari daripada China.

Sebaliknya, mereka melakukan pelbagai penambahbaikan yang menjadikan kertas lebih berkualiti, lebih murah dan lebih mudah dihasilkan secara besar-besaran.

Perkembangan ini membantu menjadikan dunia Islam sebagai pusat ilmu pengetahuan yang terkemuka pada Zaman Keemasan Islam.

Penambahbaikan dalam Proses Pembuatan

Pembuat kertas Muslim mula menggunakan bahan mentah yang lebih mudah diperoleh seperti kain linen, kapas dan kain terpakai.

Mereka turut memperkenalkan penggunaan kilang berasaskan kuasa air bagi membantu menghancurkan bahan mentah menjadi pulpa dengan lebih cekap.

Kaedah ini membolehkan pengeluaran kertas dilakukan dalam jumlah yang lebih besar berbanding kaedah tradisional yang digunakan sebelum itu.

Kertas yang Lebih Berkualiti

Antara inovasi penting yang diperkenalkan oleh pengusaha Muslim ialah proses penggilapan permukaan kertas menggunakan batu licin atau bahan khas.

Teknik ini menghasilkan permukaan yang lebih halus dan sesuai untuk tulisan kaligrafi Arab.

Kertas yang dihasilkan juga lebih tahan lama serta mampu menyerap dakwat dengan lebih baik, menjadikannya pilihan utama bagi penyalinan manuskrip dan dokumen rasmi.

Pusat Pengeluaran Kertas Dunia Islam

Bandar Samarkand menjadi antara pusat pengeluaran kertas terawal dalam dunia Islam.

Dari situ, teknologi tersebut berkembang ke Baghdad, yang kemudiannya muncul sebagai pusat industri kertas terbesar pada zamannya.

Kilang-kilang kertas turut berkembang di Damascus, Cairo dan Cordoba sebelum akhirnya mempengaruhi industri kertas di Eropah.

Mendorong Kemajuan Ilmu Pengetahuan

Kertas yang lebih murah dan mudah diperoleh membantu mempercepatkan penyebaran ilmu dalam dunia Islam.

Ribuan buku dalam bidang sains, matematik, perubatan, falsafah, astronomi dan agama dapat disalin serta diedarkan dengan lebih meluas.

Institusi seperti Baitul Hikmah mendapat manfaat besar daripada perkembangan industri kertas ini kerana kos menghasilkan manuskrip menjadi jauh lebih rendah berbanding penggunaan papirus atau kulit haiwan.

Warisan kepada Dunia

Penambahbaikan yang dilakukan oleh dunia Islam terhadap teknologi kertas menjadi asas kepada perkembangan industri percetakan dan penyebaran ilmu di Eropah pada abad-abad berikutnya.

Tanpa inovasi yang diperkenalkan oleh para pengusaha dan ilmuwan Muslim, penyebaran ilmu pengetahuan mungkin tidak berlaku sepantas yang dicatatkan dalam sejarah.

Kertas Sampai Ke Eropah

Dari dunia Islam, teknologi pembuatan kertas akhirnya sampai ke Eropah.

Pada mulanya, ramai orang Eropah masih menggunakan kulit haiwan yang dikenali sebagai parchment.

Namun lama-kelamaan, kertas menjadi pilihan utama kerana kosnya yang lebih rendah.

Apabila mesin cetak ciptaan Johannes Gutenberg muncul pada abad ke-15, permintaan terhadap kertas meningkat secara mendadak.

Gabungan antara mesin cetak dan kertas murah menyebabkan ilmu pengetahuan tersebar dengan pantas.

Buku yang dahulu hanya mampu dimiliki golongan elit kini boleh diakses oleh lebih ramai orang.

Bagaimana Kertas Mengubah Dunia?

Dengan kemunculan kertas, ilmu pengetahuan menjadi lebih mudah direkodkan dan dikongsi kepada masyarakat.

Menjadikan Ilmu Lebih Mudah Diakses

Sebelum penciptaan kertas, buku dan dokumen sangat mahal kerana menggunakan bahan yang sukar diperoleh.

Apabila kertas mula dihasilkan secara besar-besaran, kos penulisan menjadi lebih rendah.

Keadaan ini membolehkan lebih banyak buku diterbitkan, disalin dan diedarkan.

Ilmu yang sebelum ini hanya dimiliki oleh golongan tertentu akhirnya dapat diakses oleh lebih ramai orang.

Mempercepatkan Perkembangan Pendidikan

Kertas memainkan peranan penting dalam perkembangan sekolah, perpustakaan, dan pusat pengajian.

Pelajar dapat menyalin nota, manakala guru boleh menyediakan bahan pembelajaran dengan lebih mudah.

Kemudahan ini membantu meningkatkan kadar celik huruf dan mempercepatkan perkembangan pendidikan di pelbagai tamadun dunia.

Mengukuhkan Sistem Pentadbiran

Kerajaan dan empayar memerlukan rekod yang teratur untuk mengurus cukai, perdagangan, undang-undang dan urusan pentadbiran.

Kertas membolehkan dokumen rasmi disimpan dengan lebih sistematik.

Oleh sebab itu, banyak kerajaan besar mampu mengurus wilayah yang luas dengan lebih cekap berbanding zaman sebelumnya.

Mendorong Kemajuan Sains dan Teknologi

Ramai ilmuwan merekodkan penemuan mereka di atas kertas.

Catatan dalam bidang matematik, astronomi, perubatan, kejuruteraan dan falsafah dapat disimpan serta diwariskan kepada generasi seterusnya.

Tanpa kertas, banyak pengetahuan mungkin hilang atau sukar disebarkan kepada masyarakat yang lebih luas.

Membantu Perkembangan Percetakan

Kesan terbesar kertas terhadap dunia dapat dilihat melalui perkembangan teknologi percetakan.

Apabila mesin cetak diperkenalkan, jutaan buku dapat dihasilkan dengan cepat dan murah.

Gabungan kertas dan percetakan mempercepatkan penyebaran ilmu, idea dan maklumat ke seluruh dunia.

Ia turut menyumbang kepada kebangkitan pendidikan, revolusi saintifik dan perkembangan tamadun moden.

Mengubah Ekonomi dan Perdagangan

Kertas bukan sahaja digunakan untuk buku dan surat-menyurat. Ia juga digunakan dalam kontrak perdagangan, rekod kewangan, wang kertas, peta, dan pelbagai dokumen perniagaan.

Penggunaan kertas membantu mewujudkan sistem ekonomi yang lebih teratur dan memudahkan urusan perdagangan antarabangsa.

Membentuk Dunia Moden

Walaupun dunia kini semakin beralih kepada teknologi digital, kertas masih memainkan peranan penting dalam pendidikan, perniagaan, seni, pembungkusan dan dokumentasi rasmi.

Selama berabad-abad, kertas telah menjadi asas kepada penyebaran ilmu dan pembangunan tamadun manusia.

Banyak kemajuan yang dinikmati hari ini bermula daripada keupayaan manusia merekodkan dan berkongsi maklumat melalui helaian kertas.

Adakah China Benar-Benar Pencipta Kertas?

Berdasarkan bukti arkeologi, bentuk awal kertas telah ditemui di China sebelum zaman Cai Lun.

Penemuan ini menunjukkan bahawa masyarakat China mungkin telah bereksperimen dengan bahan seperti kertas lebih awal.

Namun, Cai Lun tetap dikenang kerana beliau berjaya memperkemaskan teknik pengeluaran sehingga boleh digunakan secara meluas dan praktikal.

Oleh sebab itu, beliau sering dikaitkan dengan penciptaan kertas walaupun proses perkembangannya mungkin berlaku secara berperingkat.

Kesimpulan

Asal-usul kertas bermula di China, hasil keperluan sebuah tamadun besar yang memerlukan cara lebih mudah untuk menyimpan dan menyebarkan maklumat.

Melalui usaha tokoh seperti Cai Lun, kertas berkembang daripada bahan eksperimen kepada satu inovasi yang mengubah dunia.

Daripada istana maharaja China, teknologi ini bergerak ke dunia Islam, kemudian ke Eropah, sebelum akhirnya digunakan di seluruh dunia.

Hari ini, walaupun era digital semakin berkembang, kertas masih memainkan peranan penting dalam kehidupan manusia.

Tanpa penemuan hebat ini, sejarah pendidikan, sains, agama dan tamadun manusia mungkin akan kelihatan sangat berbeza.

Kertas bukan sekadar helaian nipis yang kita gunakan setiap hari, tetapi warisan agung tamadun China yang terus memberi manfaat kepada seluruh dunia sehingga kini.

Semoga memberi manfaat.

-Sentiasapanas.com

Friday, June 05, 2026

SBDJ Siri 282: Jaguh Orang Miskin

SBDJ Siri 282: Jaguh Orang Miskin

"Kamu semua pulang, jangan sampai aku patah-patahkan tulang-tulang kamu, jangan buat kacau di kampong," Pak Jabbar memberi amaran.

Tetapi anak muda yang tidak dapat mengawal perasaan terus menerpa ke arah Pak Jabar dengan niat mahu melepaskan penumbuk sulung.

SBDJ Siri 282 Jaguh Orang Miskin

Belum pun sempat penumbuk sulung sampai ke tubuh Pak Jabbar, sepasang lengan anak muda ditangkap oleh Pak Jabbar. Anak muda itu di julang tinggi dan dilambung ke udara.

Semasa tubuh anak muda yang dilambung mahu jatuh ke tanah, Pak Jabbar mendepangkan kedua-dua belah tangannya menyambut tubuh anak muda tersebut.

Bila tubuh anak muda berada di atas sepasang tangan Pak Jabbar, dia terus mennjerit minta ampun. Serentak dengan itu anak muda tersebut terkencing.

Saat Pak Jabbar mahu menghempaskan anak muda itu ke bumi, kawan-kawan anak muda segera melutut minta ampun pada Pak Jabbar supaya kawan mereka tidak diapa-apakan oleh Pak Jabbar.

Datuk dan Zubir pun juga turut memainkan peranan penting menenangkan serta menyabarkan Pak Jabbar.

Api kemarahn Pak Jabbar terus menurun dengan drastik sekali. Anak muda itu segera diletakkan atas bumi. Dia tidak mampu berdiri.

"Bawa kawan kamu keluar dari kampong ini. Jika aku lihat kamu semua berkeliaran dalam kampung ini, buruk padahnya. Masa itu jangan salahkan aku," ujar Pak Jabbar.

"Baik Pak, taubat kami tak buat lagi perkara macam ini. Kami tak akan kejar pencuri hingga ke sini," itu janji ketua kumpulan ank muda.

"Bagus, lain kali kalau tangkap orang jahat, serahkan pada polis, jangan buat undang-undang sendiri," sambung Pak Jabbar.

Kumpulan anak muda segera bersurai dan beredar dari kawasan tersebut.

Kami kembali masuk ke warung milik Pak Jabbar. Dan Zubir kembali menyambung kisah tentang Betawi.

"Awak tahu, sejarah Jakarta ini cukup panjang. Sejak dipanggil Betawi lagi, penuh dengan cerita pahlawan jagoan membela nasib rakyyat yang ditindas," Zubir bagaikan memberi ceramah pada saya dan datuk.

"Setiap kampung di sini ada pendekarnya. Mereka jadi banteng dan galang ganti, kalau ada musuh mahu mengacau mereka akan ke depan. Macam kata orang tua-tua, setiap hutan ada harimaunya," Zubir berhenti bercakap. Dia toleh kiri, toleh kanan.

"Hubungan antara seorang pendekar dengan pendekar lain cukup erat dan rapat sekali. Begitu juga hubungan antara pendekar dengan alim ulama, macam isi dengan kuku," sambung Zubir.

Gerak tubuh dan cara dia bercakap mengingatkan saya pada tuan guru Haji Nawawi yang mengajar ilmu Tasauf di surau kampung saya pada setiap Selasa, selepas waktu maghrib.

TUBUH

Dilihat dari sisi, bentuk tubuhnya dan tingginya saling tak tumpang macam ustaz tersebut. Cuma perbezaan yang ketara ialah dari segi pengucapan bahasa.

Zubir menggunakan dialek Jakarta (Betawi), sedangkan Haji Nawawi bercakap dalam loghat Perak. Dan sesekali tersasul loghat Kedah atau Pulau Pinang.

"Jagoan (pendekar) memang perlu ada dan amat penting. Kalau sesebuah kampung di datangi perompak, jagoan kampung tersebut merasa nama baiknya tercemar.

"Orang yang membuat kejahatan itu tidak menghormatinya.

"Bagi memulihkan namanya si jagoan itu akan berusaha menangkap orang yang membuat kejahatan tersebut," cukup bersemangat Zubir bercakap.

Tetapi beberapa detik selanjutnya, Pak Jabbar mengeluh panjang.

Dengan ekor mata Zubir menyorot keadaan sekitar. Semuanya macam biasa, tiada perkara ganjil terjadi.

"Kenapa nampak resah," datuk yang tadi banyak mendengar mula bersuara.

Muka Jabbar direnungnya. Biji mata Jamaludin sering berubah matlamat. Sebentar renung batang hidung datuk, sekejap tatap wajah Pak Jabbar. Zubir bagaikan enggan mahu meneruskan cerita tentang bumi Betawi.

"Kenapa nampak resah?" ulang datuk lagi.

"Tak ada apa-apa," jawap Pak Jabbar bersama segaris senyum panjang. Tetapi senyuman itu tidak dapat membunuh keresahan yang bersarang dalam dada Zubir.

"Kurang senang dengan saya?" Tanya Zubir tiba-tiba.

"Kenapa aku mesti kurang senang dengan kamu," sanggah Pak Jabbar, tanpa merenung muka Zubir.

"Saya banyak bercerita tentang Betawi pada tetamu-tetamu."

"Eh kamu, aku tak fikir ke arah itu," bersahaja Pak Jabbar menjawab.

Semua yang ada di situ berpandangan sesama sendiri.

"Kamu bercakap perkara yang benar," ucap Pak Jabbar.

Semua yang berada di situ tersenyum dan menarik nafas panjang terutama sekali Zubir.

TENANG

Bila suasana terasa tenang dan damai, Pak Jabbar mengulangi cerita zaman pemerintahan Belanda.

Dia menyebut perbezaan ekonomi rakyat peribumi dengan kaum pendatang (penjajah) amat jauh bezanya.

Orang Belanda yang dipanggil tuan besar hidup mewah. Sementara orang Betawi jadi pengemis di bumi sendiri. Duduk di pondok using beratapkan rumbia.

"Paling celaka pemerintah Belanda masa itu membenarkan orang Belanda memiliki tanah seluas-luasnya. Tanah itu dirampas dari rakyat peribumi. Tetapi ada juga yang dibeli," Ungkap Pak Jabbar.

"Tanah itu mereka buat apa?" Jamaluddin menyoal.

"Mereka jadikan ladang pertanian, yang mengusahakan tanah itu orang kita. Datuk nenek kita," jelas Pak Jabbar.

Setiap kali Pak Jabbar berhenti bercerita, Zubir anggukan kepala, mengiakan apa yang diungkapkan oleh orang tua tersebut.

Saya lihat datuk mendengar penuh minat. Tiada sebarang komentar yang terluah dari kelopak bibirnya. Barangkali dalam hati kecilnya lanun yang suka merampas hak orang yang dijajahnya.

"Penjajah ni di mana-mana sama," Jamaludin mengeluh kecil sambil menelan air liur.

"Iya," angguk datuk.

"Para petani yang mengusahakan tanah orang Belanda itu hidupnya tertekan, mereka dikenakan cukai, sedangkan sebahagian besar hasilnya diserahkan pada pemilik tanah. Sesiapa yang ingkar dikenakan hukuman yang berat," tanpa diminta Zubir masuk campur.

"Keadaan yang menimpa penduduk Betawi semakkin parah, bila tuan-tuan tanah yang dianggap sebagai raja memelihara tukang-tukang pukul dan samseng sebagai penngutip cukai," tambah Zubir.

"Betul cakap kamu," sahut Jamaludin.

Tetapi, kisah selanjutnya diserahkan oleh Zubir kepada Pak Jabbar untuk meneruskannya. Alasannya, Pak Jabbar lebih tahu dan banyak pengalaman.

Kata Pak Jabbar, akibat tekanan itu rakyat melawan dan muncul nama-nama seperti si Pitung, Si Jampang, Macan Kemayoran. Mereka di gambarkan sebagai pendekar yang menentang Belanda, membela rakyat tertindas.

Ketika menyebut nnama para pendekar tersebut, Pak Jabbar nampak bersemangat sekali. Malah ada seketikanya dia memperlihatkan gaya dan cara pendekar itu bertarung.

HIBUR

Kami yang berada di situ terhibur melihat gaya Pak Jabbar bercerita. Beberapa orang yang lalu di tepi warung tidak ambil kisah dengan apa yang berlaku dalam warung.

Pada hemat mereka, Pak Jabbar yang secara diam-diam dikenali sebagai dukun sedang menerangkan sesuatu pada pelanggannya.

"Macam si Pitung, jaguh silat dari Rawabelang ini suka merompak tapi, bagi penduduk dia bukanlah penjahat biasa.

"Kerana yang di rompaknya adalah harta orang Belanda, terutama di kawasan Betawi dan Master Cornelis (Jatinegara).

"Semua harta rompakan itu diberikan kepada rakyat miskin, kerana itulah si Pitung dipanggil "Robinhood Betawi"," tutur Pak Jabbar.

"Memang, dia pahlawan."

Terdengar suara jeritan seseorang diluar warung. Kami segera menoleh ke arah tersebut. Seorang lelaki separuh baya berdiri betul-betul di depan pintu masuk warung.

Tiada siapa yang tahu apakah dia mendengar perkara yang dibincangkan.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 282/284

BACA: SBDJ Siri 281: Peluru Dalam Badan Zubir
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

Semoga memberi manfaat.

-Sentiasapanas.com

Kisah Pemberontakan Bar Kokhba: Kebangkitan Terakhir Bangsa Yahudi

Kisah Pemberontakan Bar Kokhba: Kebangkitan Terakhir Bangsa Yahudi

Pemberontakan Bar Kokhba merupakan salah satu peristiwa paling penting dalam sejarah bangsa Yahudi. Ia bukan sekadar peperangan menentang Empayar Rom, tetapi juga menjadi titik perubahan yang mengakhiri harapan Yahudi untuk mengembalikan kerajaan mereka di Tanah Suci selama hampir dua ribu tahun.

Kisah Pemberontakan Bar Kokhba
Gambar hiasan.

Ramai sejarawan menganggap pemberontakan ini sebagai kebangkitan terakhir Yahudi dalam era kuno sebelum mereka tersebar ke seluruh dunia.

Peristiwa yang berlaku antara tahun 132 hingga 136 Masihi ini mengorbankan ratusan ribu nyawa dan membawa kepada kemusnahan besar di Judea.

Selepas kekalahan tersebut, Empayar Rom mengambil tindakan keras yang mengubah landskap politik, agama dan demografi wilayah itu selama berabad-abad.

Penjajahan Rom

Sebelum tercetusnya pemberontakan, wilayah Judea telah lama berada di bawah penguasaan Rom. Pada tahun 63 Sebelum Masihi, jeneral Rom, Pompey menakluk Jerusalem dan meletakkan Judea di bawah pengaruh Rom.

Hubungan antara bangsa Yahudi dan pemerintah Rom sentiasa tegang.

Orang Yahudi berpegang teguh kepada kepercayaan bahawa mereka adalah umat pilihan Tuhan dan hanya Tuhan berhak memerintah mereka. Sebaliknya, Rom menuntut kesetiaan mutlak kepada maharaja.

Ketegangan ini menyebabkan beberapa siri pemberontakan. Yang paling terkenal ialah Perang Yahudi-Rom Pertama yang berakhir dengan kemusnahan Bait Suci Kedua pada tahun 70 Masihi.

Walaupun Jerusalem telah dimusnahkan, semangat nasionalisme Yahudi tidak pernah padam.

Maharaja Hadrian dan Dasar Kontroversinya

Pada awal abad kedua Masihi, Rom diperintah oleh Hadrian. Pada mulanya, beliau dilihat lebih bertolak ansur berbanding pemerintah sebelumnya.

Namun, keadaan berubah apabila Hadrian merancang untuk membangunkan semula Jerusalem sebagai sebuah kota Rom yang dikenali sebagai Aelia Capitolina.

Lebih menimbulkan kemarahan orang Yahudi ialah rancangan membina kuil bagi dewa Rom Jupiter di kawasan yang dianggap suci oleh mereka.

Selain itu, beberapa sumber sejarah menyatakan Hadrian turut mengehadkan amalan agama tertentu termasuk sunat, yang merupakan amalan penting dalam agama Yahudi.

Tindakan-tindakan ini mencetuskan kemarahan besar dalam kalangan masyarakat Yahudi di Judea.

Kemunculan Simon Bar Kokhba

Dalam suasana tegang itu muncul seorang pemimpin karismatik bernama Simon Bar Kokhba.

Nama asalnya dipercayai Simon ben Kosiba. Gelaran "Bar Kokhba" bermaksud "Anak Bintang". Gelaran ini diberikan kerana ramai pengikutnya percaya beliau merupakan Mesias yang dinantikan.

Tokoh agama terkenal Yahudi, Rabbi Akiva, menyokong Bar Kokhba dan mengisytiharkannya sebagai pemimpin yang berpotensi membebaskan Israel daripada penjajahan Rom.

Sokongan tersebut memberikan legitimasi besar kepada gerakan pemberontakan yang sedang berkembang.

Permulaan Pemberontakan Tahun 132 Masihi

Pada tahun 132 Masihi, orang Yahudi melancarkan pemberontakan secara besar-besaran terhadap Rom.

Mereka menggunakan taktik gerila yang sangat berkesan. Terowong bawah tanah, kubu tersembunyi dan rangkaian gua digunakan untuk menyerang tentera Rom secara mengejut.

Kejayaan awal mereka sangat mengejutkan pihak Rom.

Beberapa kubu Rom berjaya ditawan dan sebahagian besar Judea jatuh ke tangan pemberontak.

Penubuhan Negara Yahudi Sementara

Salah satu pencapaian terbesar Bar Kokhba ialah penubuhan sebuah pemerintahan Yahudi yang bebas.

Syiling-syiling baru ditempa dengan tulisan Ibrani dan simbol keagamaan Yahudi. Syiling tersebut menjadi bukti bahawa pemberontak bukan sekadar menentang Rom tetapi cuba membina semula negara mereka.

Dokumen-dokumen yang ditemui di kawasan gurun Judea menunjukkan bahawa Bar Kokhba mentadbir wilayah yang dikuasainya dengan sistem pentadbiran tersusun.

Bagi ramai orang Yahudi ketika itu, impian mengembalikan Kerajaan Israel kelihatan semakin hampir menjadi kenyataan.

Tindak Balas Empayar Rom

Kejayaan pemberontakan menyebabkan Rom bertindak balas dengan kekuatan penuh.

Hadrian memanggil jeneral-jeneral terbaik dari seluruh empayar untuk menghancurkan kebangkitan tersebut.

Antara tokoh utama yang dihantar ialah Sextus Julius Severus yang ketika itu dianggap antara komander paling berpengalaman dalam tentera Rom.

Berbeza dengan peperangan biasa, Severus mengelakkan pertempuran terbuka yang boleh menyebabkan kerugian besar kepada tenteranya.

Sebaliknya, beliau menggunakan strategi kepungan dan pemusnahan sistematik terhadap kubu-kubu Yahudi.

Kampung-kampung dibakar, bekalan makanan diputuskan dan laluan komunikasi dihancurkan.

Kejatuhan Betar

Kemuncak pemberontakan berlaku di kota kubu Betar yang menjadi pusat pertahanan terakhir pemberontak Yahudi.

Tentera Rom mengepung kota tersebut dalam tempoh yang panjang sebelum akhirnya berjaya menembusinya sekitar tahun 135 Masihi.

Pertempuran di Betar sangat berdarah.

Menurut tradisi Yahudi, sejumlah besar penduduk terbunuh apabila kota itu jatuh ke tangan Rom.

Bar Kokhba sendiri dipercayai terbunuh semasa atau selepas kejatuhan Betar.

Kematian beliau menandakan berakhirnya pemberontakan secara efektif.

Kemusnahan Judea

Selepas kemenangan Rom, tindakan balas yang dikenakan amat keras. Banyak bandar dan kampung Yahudi dimusnahkan.

Sumber sejarah Rom yang ditulis oleh Cassius Dio menyatakan bahawa ratusan ribu orang terbunuh dalam peperangan dan kebuluran.

Walaupun angka sebenar diperdebatkan oleh sejarawan moden, tidak diragui bahawa kemusnahan yang berlaku adalah sangat besar.

Ekonomi Judea runtuh dan populasi Yahudi merosot dengan ketara.

Penukaran Nama Judea kepada Syria Palaestina

Salah satu langkah paling penting yang diambil oleh Hadrian ialah menghapuskan identiti politik Yahudi di wilayah tersebut.

Wilayah Judea ditukar namanya kepada Syria Palaestina.

Ramai sejarawan percaya langkah ini bertujuan mengurangkan kaitan sejarah antara bangsa Yahudi dengan tanah tersebut.

Nama inilah yang akhirnya berkembang menjadi istilah "Palestin" yang dikenali pada zaman moden.

Larangan Memasuki Jerusalem

Selepas pemberontakan berakhir, orang Yahudi dilarang memasuki Jerusalem kecuali pada hari-hari tertentu.

Kota itu dibangunkan semula sebagai Aelia Capitolina dengan ciri-ciri bandar Rom.

Kuil-kuil pagan didirikan dan simbol-simbol Rom memenuhi kawasan tersebut.

Bagi masyarakat Yahudi, kehilangan akses kepada Jerusalem merupakan satu tragedi besar dari sudut agama dan identiti kebangsaan.

Kesan Terhadap Agama Yahudi

Kekalahan Bar Kokhba membawa perubahan mendalam kepada agama Yahudi.

Selepas kehilangan harapan untuk mencapai kemerdekaan melalui peperangan, ramai pemimpin agama memberi tumpuan kepada pengajian kitab, pendidikan dan kehidupan komuniti.

Pendekatan ini membantu agama Yahudi bertahan walaupun masyarakatnya tersebar ke pelbagai wilayah dunia.

Peralihan daripada perjuangan bersenjata kepada pembangunan institusi keagamaan menjadi faktor utama kelangsungan identiti Yahudi sepanjang diaspora.

Adakah Bar Kokhba Seorang Mesias?

Pada awal pemberontakan, ramai yang percaya Bar Kokhba ialah Mesias. Namun selepas kekalahannya, pandangan tersebut berubah.

Sesetengah rabbi mula memanggilnya "Bar Koziba" yang membawa maksud "Anak Pembohong", sebagai tanda kekecewaan terhadap kegagalan gerakan itu.

Peristiwa ini menjadikan masyarakat Yahudi lebih berhati-hati terhadap individu yang mendakwa atau dianggap sebagai Mesias pada masa hadapan.

Warisan Pemberontakan Bar Kokhba

Walaupun berakhir dengan kekalahan, Bar Kokhba kekal sebagai simbol keberanian dan perjuangan dalam sejarah Yahudi.

Bagi sesetengah pihak, beliau dianggap wira yang berusaha mengembalikan kemerdekaan bangsanya.

Bagi pihak lain, pemberontakan tersebut dilihat sebagai keputusan yang membawa bencana besar kepada rakyat Judea.

Perdebatan mengenai tokoh ini masih berterusan dalam kalangan ahli sejarah hingga hari ini.

Kesimpulan

Pemberontakan Bar Kokhba antara tahun 132 hingga 136 Masihi merupakan kebangkitan besar terakhir bangsa Yahudi menentang Empayar Rom pada zaman kuno.

Dipimpin oleh Simon Bar Kokhba dan disokong oleh sebahagian pemimpin agama, pemberontakan ini pada mulanya berjaya menubuhkan pemerintahan Yahudi yang merdeka.

Namun kekuatan ketenteraan Rom akhirnya menghancurkan gerakan tersebut.

Kejatuhan Betar, kemusnahan Judea, penukaran nama wilayah kepada Syria Palaestina dan larangan terhadap orang Yahudi memasuki Jerusalem telah meninggalkan kesan yang mendalam terhadap sejarah Timur Tengah.

Peristiwa ini bukan sahaja mengubah nasib bangsa Yahudi, malah membentuk perkembangan politik, agama dan identiti rantau tersebut selama hampir dua ribu tahun berikutnya.

Wallahu a'lam.

Semoga memberi manfaat.

-Sentiasapanas.com

Thursday, June 04, 2026

SBDJ Siri 281: Peluru Dalam Badan Zubir

SBDJ Siri 281: Peluru Dalam Badan Zubir

Dalam suasana yang agak tenang itu, secara mengejut Zubir menghulurkan tangan kanan pada Pak Jabbar. Dengan pantas pula Pak Jabbar menyambutnya lalu dipulas ke belakang. Muka Zubir berpeluh dan mengerang kesakitan.

SBDJ 281 Peluru Dalam Badan Zubir

Pak Jabbar melepaskan satu hentakan dengan siku ke pangkal pinggang sebelah kanan. Zubir tersungkur atas lantai warung.

Perlahan-lahan Zubir duduk mencangkung dengan membelakangi Pak Jabbar.

"Bersedia," tanya Pak Jabbar.

"Bersedia."

"Sakit sedikit, sebab ini yang terakhir," kata Pak Jabbar lalu mengambil secawan air sejuk dari dalam peti kayu hitam yang sejak tadi berada tidak jauh darinya.

"Minum air."

Zubir mematuhi perintah Pak Jabbar.

"Bersedia Zubir."

"Sedia," kata Zubir keras penuh keyakinan.

Saya dan datuk serta Jamaluddin tercengang melihat apa yang berlaku didepan mata.

Sesungguhnya kami tidak tahu apakah semuanya sudah dirancang atau berlaku secara kebetulan. Sukar untuk diteka dan mencari jawapannya.

Samada suka atau tidak, samada cemas atau takut, kejadian itu terpaksa disaksikan.

"Ahh..."

Zubir mengerang menahan kesakitan.

"Sabar," pujuk Pak Jabbar.

Tiada jawapan dari Zubir, Pak Jabbar terus menghentakkan penumbuk ke belakang Zubir. Mula-mula secara perlahan-lahan, kemudian bertukar agak kasar dan keras.

"Ahh aduhhhh..."

Suara jeritan Zubir menguasai setiap inci ruang warung, melepasi sempadan kampung, melepasi setiap liku dan lorong. Pak Jabbar tukar taktik dari menumbuk kepada menjamah setiap urat sendi.

"Ahhh..."

Untuk sekian kalinya Zubir menjerit. Pak Jabbar meneruskan tugasnya. Tidak memadai dengan tangan, dia gunakan kaki.

Orang yang lalu dilorong depan warung menganggap jeritan Zubir sebagai perkara biasa saja.

"Ahhh..."

Zubir tersedak, ada sesuatu yang terpancut dari mulut dan terus jatuh ke lantai. Dari duduk mencangkung, Zubir terus terkapar kaku atas lantai.

Pak Jabbar ambil segelas air dari peti kayu hitam lalu dijirus ke badan Zubir. Kaki dan tangan Zubir bergerak.

"Apa rasanya?" tanya Pak Jabbar.

"Tak sakit," kata Zubir sambil bangun dan terus duduk berdepan dengan Pak Jabbar.

"Tangan kanan kamu."

HULUR TANGAN

Zubir hulurkan tangan kanan kepada Pak Jabbar. Perlahan-lahan urutan dilakukan oleh Pak Jabbar. Dimulai dari telapak tangan dan akhirnya ke seluruh badan Zubir dipicit, diurut dan diramas sesuka hati.

Wajah Zubir yang tadi pucat lesi, merah dan nampak bertenaga sekali. Pak Jabbar menyuruh Zubir melakukan senaman anak kucing dan berjalan serta berlari anak dalam warung.

"Duduk."

Zubir dengar perintah Pak Jabbar.

"Ini peluru terakhir yang keluar dari rusuk kamu, lepas ini dengan izin Allah kamu tidak berjalan miring lagi.

"Semuanya ada dua peluru dalam rusuk kamu, sekarang semuanya sudah aku keluarkan," Pak Jabbar menunjukkan peluru yang berhasil dikeluarkan dari tubuh Zubir.

"Simpan sebagai tanda kenangan."

Zubir menyambut peluru yang dihulurkan Pak Jabbar kepadanya dan terus dimasukkan ke dalam sakunya.

"Semoga Allah memperkenankan niat aku untuk menolong mengurangkan sakit yang sudah lama kau tanggung, kalau tak silap hampir berbelas tahun," nada suara Pak Jabbar rendah sekali.

Matanya menatap sayu wajah Zubir, ada genangan air jernih dikelopak matanta.

"Kita berjuang bersama-sama menentang golongan komunis, aku yang berada dalam barisan hadapan sepatutnya menjadi korban peluru tentera yang cuba meleraikan rusuhan.

"Rupanya takdir Allah menentukan dan kamu yang berada dibelakang jadi mangsa peluru tentera," sambung Pak Jabbar sambil merenung lantai warung.

"Allah juga menentukan ikhtiar yang kamu lakukan untuk menolong aku dimakbulkan.

"Menurut doktor pakar, peluru itu tak dikeluarkan bagi mengelakkan aku lumpuh seluruh badan, kalau kedua-duanya dikeluarkan aku mati. Inilah kebesaran dan kelebihan-Nya," Zubir bersuara dalam sedu.

Dan kami bertiga melihat sebuah drama pilu didepan mata. Pak Jabbar dan Zubir berdakapan bersama dengan iringan tangisan.

Dalam tangisan itu mereka menyebut beberapa nama yang terkorban dalam satu rusuhan besar menentang pengaruh komunis yang mahu melenyapkan rasa cinta orang Betawi terhadap agama Islam.

Sudah hampir sepuluh minit peristiwa dakap dan sedu sedan berakhir. Malah masing-masing (Pak Jabbar dan Zubir) sudah kembali duduk dikerusi mereka duduk tadi.

Mereka masih belum bersedia menceritakan agenda ganjil yang dilakukan didepan kami.

BERLALU

Apakah perkara itu sengaja diatur sedemikian rupa untuk memberitahu kami betapa hebatnya manusia yang bernama Pak Jabbar atau peristiwa itu terjadi secara kebetulan.

"Apa yang dilihat tadi, bukan mahu menunjuk-nunjuk hebat, semuanya cara kebetulan.

"Sebelum Jamaluddin datang membawa kamu berdua kesini, aku sudah berjanji mahu keluarkan peluru dari badan Zubir.

"Bila sampai gerak hati saya untuk melakukannya, mesti disegerakan, tak kira tempat, tidak boleh lambat seminit pun, juga tak boleh cepat seminit.

"Pokoknya, mesti tepat pada waktunya, kalau tidak tak akan menjadi,” terang Pak Jabbar.

Datuk menghela nafas dalam-dalam, dia faham benar dengan masalah yang diutarakan oleh Pak Jabbar.

"Saya berharap tetamu saya tak beranggapan hal-hal yang buruk pada saya," kata-kata itu Pak Jabbar tujukan kepada datuk.

"Saya faham," jawab datuk pendek.

"Terima kasih," Pak Jabbar tenung bijij mata datuk. Mereka berbalas senyum.

Sementara itu, Jamaluddin dan Zubir sudah pun berada diluar warung.

Zubir menceritakan pada Jamaluddin secara terperinci bagaimana siksanya dia menanggung rasa sakit akibat dari peluru senapang yang berada dalam tubuhnya.

Saya keluar dari warung lalu bergabung dengan Zubir dan Jamaluddin. Hanya Pak Jabbar dan datuk saja yang berada dalam warung.

"Kalau waktu malam, saya tak boleh tidur, seluruh sendi terasa sakit, macam dicucuk dengan jarum lebih-lebih lagi kalau waktu malam sejuk.

"Kalau musim hujan ada pula petir, peluru dalam badan terasa bergerak-gerak, masa itu aku rasa maut sudah dekat benar dengan aku," Zubir bercerita dengan penuh perasaan.

"Macam mana boleh tahu Pak Jabbar boleh mengubatinya?" Jamaluddin menyoal.

"Aku tak pernah menceritakan padanya, setelah lima tahun berulang-alik ke hospital, doktor beritahu peluru itu tak boleh dikeluarkan.

"Kalau aku mahu selamat mesti disimpan terus,” Zubir berhenti bercakap kerana diganggu bunyi motor yang lalu dilorong depan warung.

“Perkara ini aku rahsiakan dari Jabbar, hinggalah pada suatu hari semasa kami berjalan-jalan, tiba-tiba hujan turun bersama guruh dan petir, kami berteduh dipondok tepi jalan.

"Jabbar terkejut melihat muka aku jadi biru dan berguling-guling menahan kesakitan, masa itulah baru aku buka rahsia dan Jabbar sanggup cuba mengubatinya.

"Dia minta aku merahsiakan apa yang dibuatnya padaku," Zubir menggigit bibir, kemudian berjalan didepan saya dan Jamaluddin, langkahnya nampak teratur, tidak terlalu miring ke kanan.

"Enam bulan berurut, sebiji peluru dapat dikeluarkan, tiga tahun kemudian peluru kedua dikeluarkan macam mana yang kamu saksikan tadi," lanjut Zubir dan mengajak kami masuk ke perut warung.

Belum pun sempat kami melangkah kaki, terdengar suara pekik sorak bersama jeritan minta tolong.

Kami tidak jadi masuk ke dalam warung. Malah datuk dan Pak Jabbar terburu-buru keluar.

"Suara siapa minta tolong," tanya Pak Jabbar pada Zubir sambil matanya merenung ke arah lorong yang terbentang didepan warung.

"Siapa yang berlari tu?" muka Jamaluddin nampak cemas.

Semua yang berada disitu menghalakan biji mata ke arah seorang lelaki yang sedang berlari sambil dikejar oleh sekumpulan lelaki dengan membawa kayu dan parang.

Lelaki yang dikejar itu menjerit minta tolong dan ampun. Orang ramai mengejar sambil membalingkan kayu dan batu ke arah lelaki itu.

"Leraikan Zubir."

Dengan sekelip mata Zubir hilang dari sisi saya dan Jamaluddin. Dia sudah berada ditengah-tengah lorong menghalang orang mengejar lelaki yang diburu.

Bila saya menoleh ke belakang, datuk dan Pak Jabbar sudah lesap, sedar-sedar mereka sudah berada dilorong memegang lelaki yang dikejar oleh kumpulan orang ramai.

"Ayuh kita ke sana, Tamar."

"Ayuh."

Saya dan Jamaluddin segera berlari ke arah kumpulan yang membantah tindakan Zubir menghalang mereka memburu lelaki yang dipegang oleh datuk dan Pak Jabbar.

"Kenapa dia dikejar?" tanya Zubir keras.

"Pencuri," jawab mereka beramai-ramai.

"Apa yang dicurinya?" tanya Zubir algi.

"Dia mencopet wang saya di pasar Tanah Abang, saya kejar dia hingga dia lari ke mari. Saya minta tolong orang ramai menangkapnya," kata lelaki berambut panjang.

"Kami mahu bakar hidup-hidup," jawab kumpulan yang sedang marah.

Semuanya merenung ke arah anak muda yang mengeletar ketakutan. Pak Jabbar cuba menenangkan.

"Kamu dari mana?" lembut Pak Jabbar menyoal.

"Saya asli Jatim, pak."

"Kamu yang mencuri wangnya?"

"Iya, pak."

"Bakar dia, bakar."

Laungan suara orang ramai bergema.

MEMERIKSA

Pak Jabbar menyuruh Jamaluddin memeriksa badan anak muda yang mendakwa berasal dari Jawa Timur (Jatim). Sebuah dompet kulit hitam ditemui dan terus diserahkan kepada Pak Jabbar.

"Siapa yang punya dompet ini."

"Saya," jawab seorang lelaki berusia awal empat puluhan.

"Ambil dan periksa, kalau duit kamu berkurangan."

"Terima kasih."

Lelaki itu mengambil dompet yang dihulurkan kepadanya oleh Pak Jabbar, terburu-buru dia menghitung wang dalam dompetnya.

"Ada yang hilang?"

"Tak, semuanya cukup pak," kata lelaki itu.

"Sekarang anggap perkara ini selesai, pulang semua. Kalau ada yang menghukum orang ini, lehernya aku patahkan," keras sekali suara Pak Jabbar.

Beberapa orang pemuda enggan berganjak dari tempat berdiri, mereka memprotes keputusan Pak Jabbar.

"Tak boleh dilepaskan begitu saja, dia harus dihukum dan harus diajar," seorang anak muda rapat ke arah Pak Jabbar dengan lagak berani.

Beberapa orang kawannya memberikan semangat untuk menentang Pak Jabbar.

"Eh, kamu siapa mahu jatuhkan hukum sendiri," sergah Pak Jabbar dengan wajah serius. Si pemuda itu tergamam.

"Siapa yang beri kuasa kepada kamu untuk menghukum orang, sesuka hati mahu bakar orang, kamu fikir kamu raja disini.

"Aku bebaskan orang ini, jangan ganggu dia. Kalau tak puas hati laporkan pada polis, jangan buat undang-undang sendiri.

"Saya tak puas hati," jerit anak muda itu.

Dengan pisau ditangan dia cuba menerkam ke arah si pencolek saku.

"Jangannnnnnnn..." jerit Pak Jabbar dan terus menerkam ke arah anak muda yang panas baran.

Pisau ditangan anak muda itu dirampas dan diramas hingga darah merah bercucuran dari celah jari jemarinya.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 281/284

BACA: SBDJ Siri 280: Pendekar Itu Namanya Mahruf
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

Semoga memberi manfaat.

-Sentiasapanas.com