Tuesday, October 22, 2013

 Kalimah ALLAH Milik Semua - Dr. Asri

Kalimah ALLAH Milik Semua - Dr. Asri

Isu kalimah ALLAH yang bermula pada 2009 kembali panas selepas Mahkamah Rayuan Isnin lalu menetapkan majalah The Herald tidak boleh menggunakan kalimah tersebut dalam percetakan mereka.

Dr. Asri

Namun, persoalan yang terus bermain di minda rakyat sekarang adalah, adakah kalimah tersebut boleh dibenarkan atau tidak kepada bukan Islam? Ada yang berasa boleh dan ramai yang berkata tidak boleh. Malah, percanggahan begini boleh mengelirukan umat Islam serta bukan Islam.

Pendakwah terkenal, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, setiap hari orang Islam seluruh dunia melafazkan ayat dalam Surah al Fatihah, yang berbunyi ‘segala puji bagi ALLAH Tuhan segala alam’.

“Tiada Muslim pun yang menyebut ‘segala puji bagi ALLAH Tuhan kaum Muslimin sahaja’. Ini kerana Muslim mengakui ALLAH itu Tuhan untuk semua, bukan untuk kaum dan pihak tertentu sahaja.

“Maka isu kalimah ALLAH tidak pernah timbul di negara-negara Arab. Bahkan mereka mungkin sukar untuk faham dan hairan apabila kita memberitahu kita menghalang pihak Kristian memanggil Tuhan itu ALLAH. Di Sabah dan Sarawak juga sudah berpuluh tahun mereka
menggunakannya,” kata bekas Mufti Perlis itu.

Katanya, isu kalimah ALLAH ini menjadi sejarah menarik dan tersendiri di Semenanjung Malaysia kerana masalah ini tidak pernah wujud di negara-negara Arab kerana Kristian Arab menggunakan perkataan ALLAH apabila merujuk kepada Tuhan sejak sebelum dan selepas
zaman Nabi Muhammad SAW.

Isu Kalimah ALLAH

“Bahkan kaum Quraisy sebelum kehadiran Nabi Muhammad SAW juga guna nama ALLAH. Bapa Nabi Muhammad SAW bernama Abdullah, yang bermaksud hamba ALLAH,padahal bapa Nabi Muhammad SAW tidak sempat pun bertemu dengan Nabi Muhammad SAW sebagai Rasulullah,” katanya.

Kata Asri, Kristian Qibti di Mesir juga sejak sekian lama memanggil Tuhan sebagai ALLAH.

“Demikian juga Kristian Lebanon dan Jordan. Gereja-gereja mereka berdoa dengan memanggil ALLAH sejak zaman silam. Apa yang hendak dihairankan, asal-usul ajaran mereka dari ajaran Nabi Isa AS.

“Bukan sahaja perkataan ALLAH. Banyak lagi perkataan yang membabitkan akidah yang sama antara Islam dan Kristian, (termasuk) nama para nabi; Ibrahim, Musa, Harun, Isa dan lain-lain,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, keadaan di Malaysia berbeza dan tidak mengizinkan kalimah ALLAH digunakan oleh bukan Islam, malah kerajaan boleh menetapkan peraturan supaya tidak berlaku kekeliruan sehingga menyebabkan provokasi.

"Berdasarkan hukum agama, kalimah ALLAH adalah untuk semua lapisan masyarakat, tanpa mengira agama, bangsa dan budaya. Demi kesejahteraan dan menghormati beberapa negeri, ia diselaraskan supaya tidak dibenarkan. Kerajaan perlu juga harus tampil menjelaskan mengapa ia (kalimah ALLAH) tidak boleh digunakan.

"Mungkin ada sesetengah pihak mendakwa kalimah ALLAH di dalam Bible seolah-olah ada agenda tertentu. Kerana itu, saya katakan, kerajaan tampil dengan peraturan sebegini. Cuma, tiada penjelasan yang dibuat. Mesti ada hujah,” katanya.

Dalam membuat perbandingan isu kalimah ALLAH di negara ini, Asri turut memberi satu contoh di mana seorang pekerja kaunter keluar menunaikan solat sunat dhuha, dan ketiadaan pekerja kaunter itu menyebabkan keadaan menjadi kelam-kabut walaupun untuk beberapa minit.

“Lalu ketuanya mengeluarkan peraturan, tidak membenarkan solat dhuha di pejabat kerana tidak mahu keadaan yang sama berulang. Ia jelas, bukan tidak membenarkan solat, tetapi jangan dilakukan pada waktu bekerja, memandangkan pekerjaannya berbentuk perkhidmatan,” katanya.

Isu Kalimah ALLAH

Asri berkata, kalimah ALLAH sebenarnya sudah lama digunakan masyarakat bukan Islam, termasuk dalam lagu negeri masing-masing.

“Pernah ke dengar (dalam) lagu negeri, baris yang ada kalimah ALLAH, orang bukan Islam tukar kepada nama Tuhan mereka?

“ALLAH adalah untuk semua. ALLAH itu menjelaskan Tuhan yang satu. Contoh lain yang saya ambil, seorang Cina mengatakan: ‘Hari ini Tuhan ALLAH kasi turun hujan. Adakah kita nak marah Cina itu? Adakah perlu kita betulkan ayatnya dengan mengatakan Tuhan kamu bukan ALLAH? Jika ada, ia sudah tidak mengesakan ALLAH lagi,” katanya.

“Itu adalah realiti. Kalau ada yang keliru, mereka tidak jelas dengan akidah. Saya tidak bela orang kafir, tetapi kafir di Arab menggunakan kalimah ALLAH sejak dahulu lagi.

"Mereka ini digelar musyrikin kerana mendakwa ada tuhan lain selain ALLAH. Ia sudah tertulis di dalam al-Quran,” katanya.

Sumber: SinarOnline

Friday, October 18, 2013

Pengharaman Kalimah Allah Hanya Untuk Akhbar Herald

Pengharaman Kalimah Allah Hanya Untuk Akhbar Herald

Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) hari ini menjelaskan, keputusan tidak boleh menggunakan kalimah Allah yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan Isnin lalu hanya melibatkan majalah mingguan terbitan gereja, Herald dan tidak termasuk penerbitan lain.

Isu Kalimah Allah

Perkara ini diperjelaskan dalam satu kenyataan media yang diedarkan pada hari ini sebagai respon terhadap kebimbangan masyarakat Kristian di Sabah dan Sarawak terhadap pengharaman Bible dalam bahasa Melayu yang dikenali sebagai Al-Kitab.

Persatuan itu memberi jaminan, penganut Kristian di sana tidak akan terjejas dengan keputusan mahkamah tersebut.

Pada masa sama persatuan menasihatkan masyarakat supaya benar-benar membaca dan memahami keputusan mahkamah sebelum membuat kesimpulan sendiri atau sebarang kenyataan yang boleh disalahtafsirkan.

Isnin lalu, panel tiga hakim yang terdiri daripada Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Mohamed Apandi Ali serta Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abdul Aziz Abd Rahim dan Datuk Mohd Zawawi Salleh membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini sekaligus menghalang The Herald daripada menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya.

Bagaimanapun, pihak gereja yang mempunyai masa untuk membuat rayuan dalam masa 30 hari mengakui akan berbuat demikian.

Pengharaman Kalimah Allah Usaha UMNO Dapatkan Sokongan

Isu Kalimah Allah

Keputusan Mahkamah Rayuan menghalang penganut Kristian daripada menggunakan kalimah Allah dilihat sebagai usaha Umno memenangi semula sokongan orang Melayu menurut BBC dalam ruangan komentarnya kelmarin.

Wakilnya, Jennifer Pak yang hadir ketika keputusan dibacakan mahkamah menjelaskan bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana populasi penganut Kristian di Malaysia hanyalah 9%.

"Ramai yang percaya isu ini tercetus daripada pertelingkahan di antara Umno dan PAS tetapi isu sama juga yang dimainkan semasa dan selepas pilihanraya."

Katanya, bukan semua umat Islam menyokong keputusan kerajaan untuk menghalang Kristian menggunakan kalimah itu tetapi Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) yang terlalu bersemangat menyokong usaha itu.

Sementara itu, sebuah akhbar di Emiriah Arab Bersatu (UAE), The National terkejut dengan keputusan yang dibacakan oleh Mahkamah Rayuan.

"Keputusan mahkamah Malaysia bukan sahaja bercanggah dengan amalan beragama tetapi sejarah kalimah itu sendiri. Kalimah Allah itu berasal daripada perkataan 'al-ilah' yang bermaksud tuhan.

Kalimah itu telah digunakan di serata dunia dan memasuki alam Melayu dari negara Arab," kata pengarangnya.

"Kalimah Allah tidak hanya eksklusif untuk Islam malah Kristian dan Yahudi juga menggunakan kalimah itu merujuk kepada tuhan sebelum kedatangan Islam.

"Al-Quran sendiri dalam Surah Al-Ankabut menjelaskan umat Islam harus menjelaskan kepada kaum (Kristian dan Yahudi) bahawa tuhan adalah satu."

Akhbar itu turut mengambil contoh UAE menjadi negara Islam dengan pecahan populasi Kristian dan Hindu tetapi boleh hidup bersama mengamalkan kepercayaan masing-masing tanpa ada diskriminasi.

Akhbar di Timur Tengah juga kerap memainkan isu ini beberapa kali sejak ia mula didebatkan di Malaysia pada awal 2010.

Pada Januari 2010, seorang kolumnis akhbar di sana menyebut, "Malaysia telah bertindak kejam kepada penganut Kristian dengan menggunakan isu kalimah Allah yang menunjukkan mereka sendiri tidak cukup arif tentang Islam.

"Dalam Islam, Allah merujuk kepada kalimah Arab yang merujuk Tuhan Maha Besar dan Pencipta sekalian alam.

Allah juga adalah tuhan kepada Nabi Noh, Ibrahim, Musa, Isa, Muhammad dan nabi-nabi yang lain," kata Akash Sagar.

Keterangan dan Hujah Majlis Fatwa Kebangsaan

Isu Kalimah Allah

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-82 yang bersidang pada 5 - 7 Mei 2008 telah membincangkan Isu Tuntutan Penganut Kristian Terhadap Penggunaan Kalimah Allah.

Muzakarah telah memutuskan bahawa lafaz Allah merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan ia tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam lain.

Oleh itu wajib bagi umat Islam menjaganya dengan cara yang terbaik dan sekiranya terdapat unsur-unsur penghinaan atau penyalahgunaan terhadap kalimah tersebut, maka ia perlu disekat mengikut peruntukan undang-undang yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Keterangan/Hujah:
  1. Perkataan Allah yang digunakan oleh umat Islam adalah merujuk kepada Allah Yang Maha Esa dan lafaz Allah yang telah digunakan oleh orang-orang kristian adalah merujuk kepada ‘Tuhan Bapa’ iaitu salah satu oknum daripada akidah trinity. Ia berbeza sama sekali dengan apa yang dimaksudkan oleh Reverand Datuk Murphy Pakiam, Archbishop of Kuala Lumpur bahawa perkataan Allah telah lama digunakan oleh orang-orang kristian sejak sebelum kedatangan Rasulullah s.a.w. Selain daripada itu, lafaz Allah juga, tidak pernah disebut di dalam teks bahasa Greek yang merupakan bahasa asal usul penulisan Bible. Ini adalah kerana perkataan Tuhan di dalam bahasa Greek adalah ‘Theos’ bukannya Allah.
  2. Perkataan Allah juga tidak pernah terdapat di dalam bahasa asal Perjanjian Lama yang dikenali sebagai Taurat dan Perjanjian Baru yang dikenali sebagai Bible. Ini adalah kerana Perjanjian Lama ditulis dalam bahasa Hebrew manakal Perjanjian Baru ditulis dalam bahasa Greek. Perkataan Hebrew yang membawa maksud Tuhan ialah El, Eloh,Elohim dan juga Yhwh.
  3. Kalimah Allah Lafz al-Jalalah adalah khusus dan mutlak untuk agama Islam dan mafhumnya berbeza dengan mafhum Allah yang digunakan oleh agama lain seperti Kristian.
  4. Perintah mahkamah yang dipohon oleh Catholic Herald Weekly untuk mengisytiharkan bahawa larangan penggunaan kalimah Allah yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan bukan eksklusif kepada agama Islam boleh memberi kesan yang besar kepada kedudukan agama Islam sekiranya orang Islam sendiri tidak peka dan perhatian yang sewajarnya tidak diberikan oleh pihak berkuasa agama di negara ini.
  5. Walaupun dari segi sejarah kalimah Allah telah digunakan sejak sebelum kedatangan Islam lagi, namun penggunaanya adalah berbeza dan perlu dilihat dari segi substancenya. Kalimah Allah yang digunakan oleh Kristian adalah bersifat Taslis dan syirik, sedangkan bagi Islam ia bersifat tauhid.
  6. Kalimah Allah merupakan lafaz suci yang perlu dijaga dan berkait dengan akidah. Umat Islam perlu peka dan bertanggungjawab dalam isu ini. Sikap membenarkan sesiapa sahaja menggunakan kalimah tersebut semata-mata untuk menunjukkan bahawa Islam meraikan agama lain hanya akan mendatangkan mudharat yang lebih besar kepada agama dan umat Islam.
  7. Umat Islam perlu tegas dalam menjaga kesucian dan identiti agama kerana bersikap terlalu terbuka sehingga membenarkan perkara-perkara yang menjadi hak Islam disalahgunakan oleh agama lain adalah amat merbahaya kerana matlamat utama kristian menggunakan kalimah Allah adalah untuk mengelirukan umat Islam dan menyatakan bahwa semua agama adalah sama.
  8. Kalimah Allah sebenarnya tidak ada di dalam Bible, yang digunakan ialah perkataan God. Tetapi di dalam Bible yang diterjemahkan ke bahasa Melayu, perkataan God ditejemahkan sebagai Allah.
  9. Isu penggunaan kalimah Allah oleh agama bukan Islam ini melibatkan isu berkaitan Siasah Syar’iyyah dan Kerajaan wajib menjaga kesucian agama dan umat Islam. Fatwa perlu dikeluarkan oleh Jawatankuasa ini bagi menjaga kesucian agama dan akidah umat Islam.
  10. Pertimbangan Jawatankuasa dalam melarang penggunaan kalimah Allah oleh agama bukan Islam bukan hanya dilihat dari aspek keselamatan, tetapi factor utama adalah berasaskan akidah dan kesucian agama Islam.
  11. Dalam keadaan di mana agama dan umat Islam dihimpit dengan pelbagai gerakan yang cuba menghakis kedaulatan Islam sebagai agama rasmi negara, umat Islam perlu bersatu dan menunjukkan ketegasan dalam menjaga maruah agama.

-Sentiasapanas.com

Thursday, October 17, 2013

Lim Guan Eng Nekad Pertahan Kalimah Allah!

Lim Guan Eng Nekad Pertahan Kalimah Allah!

DAP tetap bertegas dengan pendiriannya berhubung penggunaan kalimah ALLAH.

Isu Kalimah Allah

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, parti itu tetap mempertahankan dan tidak akan berganjak daripada pendirian mereka sebelum ini.

“Walaupun Mahkamah Rayuan memutuskan Gereja Katolik dilarang menggunakan kalimah ALLAH dalam penerbitan akhbar mingguannya The Herald, kita (DAP) tetap dengan pendirian seperti sebelum ini. Pendirian DAP berhubung isu kalimah ALLAH adalah jelas.

(Baca: Tahukah Anda Maksud Sebenar Kalimah 'Allah'?)

“Saya rasa anda semua tahu apakah pendirian DAP berhubung isu ini, namun pendirian berkenaan tidak mewakili suara pakatan pembangkang,” katanya kepada media semalam.

Mahkamah Rayuan sebelum ini memutuskan Gereja Katolik dilarang menggunakan kalimah ALLAH dalam penerbitan akhbar mingguannya, The Herald.

Ini bermakna keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 31 Disember 2009 yang membenarkan penggunaan kalimah ALLAH dalam penerbitan Roman Katolik adalah dibatalkan.

Mahkamah Rayun juga berpendapat, tiada alasan mengapa Gereja Katolik berkeras menggunakan kalimah itu dalam penerbitannya, jika dibenarkan akan menyebabkan kekeliruan dalam masyarakat.

Bagaimanapun, Guan Eng berkata, Pakatan Rakyat (PR) akan mengadakan mesyuarat pada hari ini bagi membincangkan isu berkenaan.

“PR akan bermesyuarat esok (hari ini) untuk membincangkan pendirian ketiga-tiga parti berhubung isu ini. Mesyuarat itu menentukan pendirian PR dengan tidak mengetepikan pendirian mana-mana parti di dalamnya (PR).

“Mesyuarat ini juga diadakan bagi menghormati ketiga-tiga parti dalam mengeluarkan satu kenyataan bersama. Saya tidak boleh bercakap mewakili pakatan pembangkang kerana isu ini adalah sensitif, jadi kita akan tunggu mesyuarat PR dalam menentukan pendirian pakatan terhadap isu ini,” katanya.

Sebelum ini, Guan Eng pernah mendesak kerajaan supaya membenarkan penggunaan kalimah ALLAH dalam Bible versi bahasa Melayu seperti yang diamalkan di Sabah dan Sarawak sejak 50 tahun lalu ketika menyampaikan perutusannya sempena Hari Natal tahun lalu.

Pada awal tahun ini, PR mengambil pendirian menyatakan Islam tidak menghalang penganut agama lain menggunakan kalimah ALLAH dalam amalan mereka walaupun tidak mencapai maksud asal bahasa al-Quran yang seterusnya turut dipersetujui Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu.

Sumber: Sinar Online

Monday, October 14, 2013

Mahkamah Putuskan Kalimah 'Allah' Hanya Milik Umat Islam

Mahkamah Putuskan Kalimah 'Allah' Hanya Milik Umat Islam

Gereja Katolik dihalang Mahkamah Rayuan dari menggunakan kalimah Allah dalam akhbar mingguan berbahasa Melayu Herald sebagai rujukan kepada tuhan bagi agama Kristian.

Isu Kalimah Allah

Keputusan diumumkan oleh panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Mohamed Apandi Ali dalam keadaan mahkamah yang penuh padat.

Pihak gereja boleh mengemukakan rayuan ke Mahkamah Persekutuan sekiranya keputusan itu bercanggah dengan kepentingan umum.

(Baca: Hujah Dan Fakta Penolakan Penggunaan Kalimah Allah Oleh Umat Kristian)

Pada 10 September, panel mendengar hujah peguam kerajaan, Suzana Atan yang menyatakan keadaan akan menjadi tegang sekiranya kalimah Arab Allah dibenar untuk penerbitan mingguan Katolik Herald dalam bahasa Melayu.

Suzana memberi contoh selepas Mahkamah Tinggi membuat keputusan, terdapat beberapa insiden serangan ke atas beberapa rumah ibadat.

Katanya, kalimah Allah mengundang pelbagai kekeliruan kepada penganut agama Islam dan Kristian kerana kedua-dua agama mempunyai tafsiran berbeza mengenai kalimah itu.

Menurutnya lagi, menteri mempunyai kuasa mutlak di bawah Akta Penerbitan dan Mesin Cetak 1984 bagi meletakkan syarat ke atas permit penerbitan tersebut.

Suzana berkata Mahkamah Tinggi terkhilaf kerana keputusannya mewujudkan persengketaan dan kekacauan dalam masyarakat.

Manakala, peguam Porres Royan yang mewakili gereja berkata hakim Mahkamah Tinggi Lau Bee Lan tidak salah dalam penghakimannya kerana larangan berkenaan adalah satu bentuk pencerobohan kepada kebebasan agama dan kebebasan bersuara.

Katanya, keselamatan negara dan hujah Putrajaya adalah satu kenyataan lemah.

Isu Kalimah Allah

Royan menjelaskan pada 1982 terdapat arahan pengecualian di mana kalimah itu boleh digunakan oleh Al-Kitab yang diimport dari Indonesia dan menggunakan dialek Sabah dan Sarawak.

Herald telah menggunakan kalimah Allah semenjak 1994.

Royan berkata kerajaan telah membenarkan Al-Kitab dalam bahasa Indonesia dan bahasa Melayu yang mengandungi kalimah Allah yang diimport dan dicetak dalam negara.

(Baca: Tahukah Anda Maksud Sebenar Kalimah 'Allah'?)

Isu kalimah Allah bermula pada awal 2009 apabila Kementerian Dalam Negeri (KDN) membatalkan permit akhbar Herald menggunakan kalimah Allah merujuk kepada tuhan.

Tindakan tersebut menyebabkan gereja mengemukakan saman kepada kerajaan kerana melanggar hak dalam Perlembagaan.

Mahkamah Tinggi kemudian membenarkan semakan keputusan dan membatalkan pengharaman oleh KDN untuk menggunakan kalimah Allah oleh Herald.

Hakim turut menjelaskan gereja mempunyai hak dalam Perlembagaan untuk menggunakan kalimah Allah dalam akhbarnya kerana agama selain Islam boleh mengamalkannya secara aman dan harmoni.

Katanya, meskipun Islam merupakan agama Persekutuan, ia tidak memberi kuasa kepada kerajaan menghalang gereja menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya.

[Sumber]

Monday, October 07, 2013

Hujah Dan Fakta Penolakan Penggunaan Kalimah Allah Oleh Umat Kristian

Hujah Dan Fakta Penolakan Penggunaan Kalimah Allah Oleh Umat Kristian

Tujuan artikel ini diterbitkan ialah sebagai pemangkin kepada usaha umat Islam di dalam mempertahankan kalimah ALLAH dari dipermainkan oleh golongan yang TIDAK LAYAK untuk memanggil nama tuhan mereka seperti di dalam ajaran Islam.


Kita janganlah LUPA dan ALPA dek kerana polimik di mana mayat Ching Peng perlu ditanam atau sibuk memperkatakan soal siapakah calon yang layak di dalam pemilihan Persidangan Agong UMNO (PAU) yang akan datang.

Itu semua diketepikan seketika oleh kita kerana AGENDA menyerang INSTITUSI AGAMA ISLAM lebih penting demi kepentingan umat Islam di Malaysia.

Isu penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam kembali mengambil tempat di dada-dada akhbar. Ini disebabkan kes berkenaan telah ditetapkan untuk perbicaraan oleh Mahkamah Rayuan Putrajaya.

Tarikh 22 Ogos lalu merupakan detik penting bagi umat Islam.

Tarikh tersebut ditetapkan bagi mendengar permohonan sebuah Gereja Katolik bagi mengenepikan rayuan pihak kerajaan di dalam kes larangan penggunaan kalimah suci Allah di dalam penerbitan Bahasa Melayu buletin gereja tersebut.

Dua peristiwa besar berkaitan kalimah ALLAH membuktikan kewujudan
 tangan-tangan ghaib yang cuba meruntuhkan Institusi Islam di Malaysia

Permohonan pengenepian rayuan dibuat atas alasan terdapat surat yang ditulis oleh Perdana Menteri kepada Majlis Gereja Malaysia yang antara lain membenarkan penerbitan Bible berbahasa Melayu/Indonesia di Malaysia. Oleh itu, pihak gereja berpendapat bahawa secara tersiratnya Kerajaan membenarkan pihak gereja menggunakan kalimah suci tersebut di dalam buletin mereka yang dikeluarkan secara berkala.

Umat Islam berasa lega dan bersyukur kerana pada tarikh tersebut juga panel tiga orang hakim Mahkamah Rayuan Putrajaya telah membuat keputusan menolak permohonan pihak gereja tersebut. Mahkamah Rayuan Putrajaya telah menangguhkan kes rayuan berhubung penggunaan kalimah Allah pada satu tarikh yang akan ditetapkan kelak pada awal bulan Oktober 2013.

Dakyah-Dakyah Kristian

Dalam akhbar The Sun bertarikh 24 Disember 2007, terdapat laporan bertajuk ‘Church leaders explain use of ‘Allah’. Terdapat lima alasan utama yang dikemukakan oleh laporan tersebut mengapa Gereja Katolik ingin meneruskan penggunaan kalimah ‘Allah’ di dalam akhbar terbitan mereka. Alasan yang dikemukakan ialah seperti berikut:
  1. Mendakwa mereka mengikut Bible. Bible dalam bahasa Melayu menggunakan kalimah ‘Allah’ sebagai terjemahan istilah God dan ‘Tuhan’ sebagai terjemahan untuk istilah Lord.
  2. Mendakwa bahawa mulai awal abad ke-19, para penganut Katolik di Malaya telah pun memiliki buku-buku doa dalam bahasa Melayu dan kalimah ‘Allah’ telah digunakan sebagai terjemahan kepada istilah God. Para penganut Katolik Malta juga menggunakan kalimah ‘Allah’ untuk merujuk kepada Tuhan dan demikian juga masyarakat Kristian di Indonesia, Pakistan dan Asia Barat.
  3. Mendakwa ayat-ayat al-Quran sendiri telah menunjukkan bahawa golongan bukan Islam juga telah menggunakan lafaz Allah.
  4. Mendakwa bahawa segmen (terjemahan) dalam bahasa Malaysia diwujudkan untuk memenuhi keperluan kepelbagaian etnik dan bahasa yang wujud di Malaysia sebagaimana yang wujud di dalam populasi penganut Katolik di Malaysia.
  5. Mendakwa kerajaan tidak mempunyai hak untuk campurtangan dalam urusan dalaman gereja berdasarkan hak yang diberi oleh Perkara 11(3)A Perlembagaan Persekutuan.

Matlamat utama kalimah ALLAH dicabar oleh golongan bukan 
Islam hanyalah untuk memenuhi agenda memurtadkan umat Islam.

Hujah-hujah Menolak Alasan Pihak Gereja Katolik

Alasan pertama (1): Mendakwa mereka mengikut Bible. Bible dalam bahasa Melayu menggunakan ‘Allah’ sebagai terjemahan istilah God dan ‘Tuhan’ sebagai terjemahan untuk istilah Lord.

Hujah-hujah Menolak:

Asal-Usul Istilah Allah

Pelbagai nama panggilan kepada tuhan yang sepatutnya digunapakai oleh golongan 
bukan Islam diabaikan oleh mereka. Sebaliknya kalimah ALLAH 
dituntut oleh mereka bagi menimbulkan kekeliruan kepada umat Islam.

Kalimah ‘Allah’ adalah kata nama khas berasal daripada bahasa Arab. Kalimah ini tidak boleh digunakan dalam bentuk atau makna-makna lain.

Menurut nahu Arab, kalimah ini tidak boleh diumum, dikecil, dilelaki, diperempuan atau diterbitkan nama-nama lain daripadanya.

Kalimah ‘Allah’ adalah bebas dari segi struktur nahu dan maknanya dari segala korupsi. Kita tidak boleh memanipulasikannya dengan apa cara sekalipun dalam bahasa asalnya.

Menurut Bahagian Hal Ehwal Islam, JPM (1990), kalimah Allah dari segi struktur linguistik, ia adalah lebih superior daripada apa jua perkataan daripada apa jua bahasa dalam memelihara dan mempertahankan makna ke-Esaan dan keunikan satu-satunya Tuhan yang layak disembah.

Oleh kerana itu, umat Islam tidak sekali-kali menterjemahkan ‘Allah’ kepada apa jua bahasa melainkan dikekalkan lafaznya yang asal iaitu ‘Allah’.

Istilah Allah Di Peringkat Antarabangsa

Di peringkat antarabangsa, penggunaan kalimah ‘Allah’ dari segi istilah adalah amat sinonim dengan agama dan umat Islam. Ia diiktiraf oleh kamus-kamus serta eksiklopedia terkemuka di dunia. Antaranya:
  • Kamus Oxford – Allah: Name of God among Muslims.
  • Eksiklopedia Britannica – Allah: “God”, the one and only God in the religion of Islam.
  • Eksiklopedia Katolik – Let it be noted that although Allah is an Arabic term, it is used by all Moslems, whatever be their language, as the name of God.

Istilah Allah Di Malaysia

Dalam konteks Malaysia kalimah ‘Allah’ tidak diterjemahkan kepada bahasa Melayu atau bahasa Malaysia malah ia dikekalkan tanpa terjemahan. Oleh itu kalimah ‘Allah’ di Malaysia adalah merujuk terus kepada makna yang terkandung di dalam teks al-Quran tanpa pengubahsuaian pada lafaz (terjemahan) mahupun maksud kalimah tersebut.

Ini terbukti sebagaimana definisi ‘Allah’ yang kemukakan oleh Kamus Dewan Edisi Empat:
  • Allah: Ar (Asal bahasa Arab) Tuhan (Yg Esa); ~ azzawajalla Tuhan Yg Maha Baik dan Maha Mulia; ~ subhanahu wa taala terpujilah Tuhan yg Maha Tinggi.

Kamus Pelajar pula mendefinisikan kalimah ‘Allah’ seperti berikut:
  • Tuhan Yang Maha Esa, Yang bersifat dengan sifat-sifat Yang Maha Sempurna dan Yang mencipta alam ini. Oleh itu kalimah ‘Allah’ tidak boleh dianggap sebagai terjemahan tuhan dalam bahasa Melayu atau ‘god’ dalam bahasa Inggeris kerana ia adalah lafaz bahasa Arab yang dikekalkan sebagai mematuhi kitab suci umat Islam yang telah membudaya dalam masyarakat Islam dan dimaklumi sebaiknya oleh bukan Islam di negara ini.

Percanggahan Istilah Allah

Istilah Allah adalah sinonim dengan umat Islam. Ia telah diperakui 
di dalam pelbagai kamus dan terjemahan di peringkat antarabangsa.

Perbuatan pihak Gereja Katolik menterjemahkan perkataan ‘god’ kepada ‘Allah’ juga tidak menepati istilah yang digunapakai oleh masyarakat di negara ini. Perkataan ‘god’ menurut Kamus Dewan Inggeris – Melayu ialah:
  • n 1. male deity, dewa, tuhan; (archaic) betara: the Greek ~s, dewa-dewa Yunani; 2. idol, berhala, patung; 3. so., st. deified, tuhan: money has become his ~, wang telah menjadi tuhan baginya; make a ~ of /so., st/, bertuhankan /sso, sst/; 4. G~, Tuhan; (in Islam) Allah.

Takrifan ini dibuat oleh Kamus Dewan berdasarkan budaya yang menjadi amalan masyarakat di negara ini.

Ini bermakna ‘god’ bagi selain Islam diterjemahkan sebagai dewa dan tuhan.

Manakala ‘God’ (huruf ‘g’ besar) ia digunakan sebagai kata ganti nama yang merujuk kepada ‘Allah’ dan bukan terjemahan bagi kalimah ‘Allah’ dalam bahasa Inggeris (seperti pada takrif no. 4 di atas).

Ia seperti juga umat Islam menggunakan huruf besar untuk setiap huruf pertama bagi kata-kata ganti nama yang lain apabila merujuk kepada ‘Allah’ seperti Aku, Kami, Dia dan Engkau.

Kredibiliti Penterjemahan Istilah Allah

Bible bahasa Melayu yang didakwa sebagai rujukan kepada penggunaan kalimah ‘Allah’ juga tidak boleh diterima berdasarkan faktor kredibiliti penterjemahan dan perundangan Malaysia.

Maksud kredibiliti perterjemahan iaitu sehingga kini tidak diketahui pihak berautoriti yang terlibat dalam penterjemahan Bible ke dalam bahasa Melayu (misalnya adakah Dewan Bahasa dan Pustaka dirujuk dalam hal ini?).

Tambahan pula, faktor perundangan menegah penggunaan kalimah-kalimah tertentu yang menjadi hak eksklusif umat Islam untuk digunakan oleh bukan Islam.

Oleh itu alasan yang mengatakan mereka merujuk kepada Bible bahasa Melayu adalah tertolak dengan sendirinya kerana kesahihan penterjemahan Bible tersebut boleh dipertikai.

Alasan kedua (2): mendakwa bahawa mulai awal abad ke-19, para penganut Katolik di Malaya telah pun memiliki buku-buku doa dalam bahasa Melayu dan perkataan ‘Allah’ telah digunakan sebagai terjemahan kepada istilah God. Para penganut Katolik Malta juga menggunakan perkataan ‘Allah’ untuk merujuk kepada Tuhan dan demikian juga masyarakat Kristian di Indonesia, Pakistan dan Asia Barat.

Hujah-hujah Menolak

Penyebaran Agama Kristian

Penyebaran agama Kristian secara penaklukan aktif 
dikembangkan oleh penjajah ke atas penduduk tempatan

Alasan ini adalah bertitik tolak daripada sejarah kedatangan mubaligh Kristian ke Tanah Melayu dan Nusantara.

Sejarah telah mencatatkan antara misi utama kedatangan penjajah Barat ke Asia Tenggara adalah untuk mengaut hasil bumi dan menyebarkan agama Kristian ke seluruh rantau ini.

Antara usaha-usaha yang giat dilakukan oleh para mubaligh ini ialah menterjemahkan Bible ke dalam bahasa penduduk tempatan termasuk menjalankan upacara keagamaan dalam bahasa yang difahami oleh masyarakat setempat.

Contohnya, hasil kajian yang dijalankan oleh Stephen Neill pada tahun 1956 bertajuk “Colonialism and Christian Missions” menerangkan Bible yang diterjemahkan oleh Mekhior Leidekler dalam tahun 1733, telah diterima sebagai satu hasil terjemahan yang standard dan digunakan dengan meluas pada abad ke-18 dan ke-19 di Semenanjung Tanah Melayu dan Indonesia.

Kegiatan menterjemah Bible ini telah terus meningkat dengan munculnya penjajah Inggeris di Tanah Melayu selepas menguasai Pulau Pinang pada tahun 1786 dan Melaka pada tahun 1795. Stamford Raffles ialah seorang tokoh penjajah Inggeris yang terlibat secara langsung dalam kegiatan mengembangkan agama Kristian menerusi kegiatan menyebar terjemahan kitab Bible.

Majalah tempatan yang diterbitkan oleh aktivis Kristian 
sebagai medium penyebaran propaganda agama Kristian.

Dalam tahun 1852, versi terjemahan dalam tuliasan rumi dan jawi diterbit dan disebarkan dengan meluas di Tanah Melayu. Stamford Raffles juga merupakan seorang penyokong kuat usaha para mubaligh Protestant dari Pertubuhan Mubaligh London yang berhasrat untuk mendirikan pusat percetakan di Melaka, Pulau Pinang, Singapura dan Betawi.

Selain mencetak terjemahan Bible, kegiatan percetakan ini juga menerbitkan majalah-majalah Melayu yang mengandungi pelbagai bidang ilmu pengetahuan yang diselitkan dengan propaganda Kristian dengan bertujuan pengembangan agama di Tanah Melayu. Sekitar tahun 1821 – 1905 pelbagai majalah diterbitkan seperti Buletin Arifin, Cermin Mata, Sahabat dan Warta Melayu.

Kegiatan menyebarkan bahan propaganda Kristian ini kemudiannya telah disertai oleh para paderi Protestant dari Amerika Syarikat yang mewakili Lembaga Pesuruhjaya-pesuruhjaya Amerika di Luar Negeri (The America Board of Commisioners of Foreign Missions).

Kesemua fakta ini menunjukkan adalah menunjukkan ada alasan yang nyata untuk kerajaan tidak membenarkan pihak Kristian pada hari ini menggunakan kalimah ‘Allah’ di dalam Bible bahasa Melayu.

Ini kerana terjemahan tersebut tidak melambangkan literature sebenar doktrin agama Kristian sebaliknya bahasa hanya dieksploitasi sebagai perantara untuk menyebarkan dakyah Kristian.

Latar Belakang Bahasa Melayu

Slogan Gold, Glory and Gospel menjadi doktrin penjajah Barat 
di dalam menyebarkan agama Kristian kepada penduduk tempatan.

Percubaan untuk membandingkan Malaysia dengan negara-negara lain yang menggunakan kalimah ‘Allah’ bagi merujuk kepada ‘god’ juga tertolak.

Ini kerana setiap bahasa yang digunakan oleh setiap bangsa di negara tertentu mempunyai sejarah dan kebudayaan yang berbeza.

Dalam kes ini latar belakang bahasa Melayu yang digunakan oleh penduduk Malaysia lahir daripada rahim agama Islam dan kebudayaan Melayu – budaya Melayu itu sendiri terhasil daripada agama Islam.

Oleh itu, ia wajib mencerminkan kelaziman Melayu yang berpunca daripada agama Islam. Ini sudah tentu berbeza dengan latar belakang bahasa Melayu yang terdapat di Indonesia dan Singapura.

Faktor Teologi Dan Kebudayaan

Berkenaan penggunaan kalimah ‘Allah’ oleh penganut Kristian di Asia Barat juga tidak boleh dijadikan hujah.

Bangsa Arab bukan Islam sememangnya telah lama menggunakan kalimah ‘Allah’ berdasarkan faktor teologi dan kebudayaan yang telah sedia wujud di Asia Barat.

Perkara ini dijelaskan sendiri oleh al-Quran apabila al-Quran datang untuk menjernih dan menyucikan semula penyalahgunaan maksud kalimah ‘Allah’ yang digunapakai oleh golongan Jahiliyyah dan ahli kitab yang terdiri daripada Yahudi dan Nasrani.

Konteks Estimologi Dan Semantik

Kalimah Allah hanya layak dan eksklusif digunakan oleh umat Islam sahaja.

Dalam konteks etimologi dan semantik pula, alasan Gereja Katolik untuk merujuk kepada masyarakat Kristian Arab adalah tersasar jauh.

Mereka tidak boleh membandingkan apa yang berlaku kepada Kristian Arab dengan Kristian di Malaysia. Apa yang berlaku di negara-negara Arab ialah pihak Kristian Arab menterjemahkan Bible daripada bahasa Suryani (Syria/Syam) atau Aramik dan bahasa Ibrani (Hebrew) kepada bahasa Arab.

Perlu diketahui bahasa Arab, Aramik dan Ibrani berada dalam rumpun bahasa yang sama iaitu rumpun Semitik. Oleh itu, Kristian Arab mempunyai hak untuk berhujah bahawa kalimah ‘Allah’ berkemungkinan berasal daripada nama asal tuhan mereka dalam bahasa Aramik atau Ibrani.

Tetapi apa pula rasional pihak gereja Kristian untuk menterjemahkan ‘god’ dalam Bible bahasa Inggeris kepada ‘Allah’ dalam Bible bahasa Melayu?

Bukankah kedua-duanya adalah dua rumpun bahasa yang jauh berbeza dari segi etimologi dan semantik bahkan suasana yang membudayai penggunaan bahasa-bahasa itu?

Alasan ketiga (3): Mendakwa ayat-ayat al-Qur’an sendiri telah menunjukkan bahawa golongan bukan Islam juga telah menggunakan lafaz Allah.

Hujah-hujah menolak:

Ayat Al-Quran

Pihak gereja Katholik sering merujuk kitab suci al-Quran untuk mencari hujah-hujah bernas yang boleh menimbulkan keraguan dan persepsi negatif kepada umat Islam.

Semua ini berlaku ekoran kegagalan mereka menarik dan menyakinkan umat Islam untuk menukar agama kerana terdapat banyak peringatan oleh Allah S.W.T tentang tipu daya kaum Yahudi dan Nasrani.

Di antara ayat yang sering dirujuk oleh pihak gereja Katholik ialah Surah al- ‘Ankabut ayat 61:

Maksudnya: Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “Siapakah yang menciptakan langit dan bumi dan memperjalankan matahari dan bulan?” Sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah”. Maka mengapa mereka terpedaya?

Begitu juga Surah al-Ma’idah ayat 73:

Maksudnya: Demi sesungguhnya telah kafirlah orang yang berkata: “Bahawasanya Allah ialah salah satu daripada tiga tuhan”. Padahal tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Tuhan yang Maha Esa. Dan jika mereka tidak berhenti dari apa yang mereka katakan itu, sudah tentu orang-orang yang kafir dari antara mereka akan dikenakan azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

Huraian Al-Quran

Kedua-dua ayat tadi sebenarnya tidak boleh menjadi hujah bagi golongan bukan Islam untuk menggunakan kalimah ‘Allah’. Ia berdasarkan alasan-alasan berikut:

Dalam surah al-‘Ankabut ayat 61, al-Qur’an hanya merakamkan sejauhmana kefahaman masyarakat Arab Jahiliyyah menggunakan kalimah ‘Allah’.

Ia bukan untuk mengiya atau membenarkan penggunaan tersebut. Sebaliknya ia mahu menjelaskan bagaimana kalimah ‘Allah’ sudah dikenal oleh masyarakat Arab sebelum Islam.

Daripada informasi ayat-ayat seperti ini, al-Qur’an menjelaskan orang Arab Jahiliyyah hanya mengenal Allah sebagai (1) pencipta langit dan bumi; (2) yang memudahkan peredaran matahari dan bulan; (3) yang menurunkan air dari langit; dan (4) tempat menggantungkan harapan.

Konsep ini jelas bertentangan dengan konsep ‘Allah’ yang sebenar iaitu sebagai Zat yang wajib disembah dan tidak dipersekutukan.

Manakala surah al-Ma’idah ayat 73 pula tidak boleh menjadi alasan kepada pihak Kristian untuk menggunakan kalimah ‘Allah’. Ini kerana Allah SWT sendiri menafikan golongan yang mengatakan Zat-Nya itu satu oknum daripada tiga oknum (triniti).

Malah mereka dianggap kafir. Ini bermakna sebutan ‘Allah’ yang keluar dari lidah golongan Kristian itu adalah sia-sia dan tiada nilai di sisi Allah kerana ia tidak merujuk kepada kalimah ‘Allah’ yang sebenar.

Sebagaimana maklum, kalimah ‘Allah’ merujuk kepada zat (esensi) yang dinamakan. Sebagai perumpamaan mudah, perkataan ‘kereta’ adalah merujuk kepada kenderaan bermotor.

Oleh itu, tiada makna bagi orang yang menggunakan perkataan ‘kereta’ untuk merujuk kepada alat menjahit pakaian. Sekiranya ia masih menggunakan perkataan ‘kereta’ tetapi merujuk kepada alat yang salah, ini bermakna penggunaan perkataan itu adalah sia-sia dan tidak bermakna.

Kegagalan Gereja Katolik

Cadangan penggunaan kalimah Allah di dalam Bible telah 
mencetuskan perasaan amarah di kalangan umat Islam.

Menjadikan al-Quran sebagai rujukan untuk menyokong alasan golongan bukan Islam menggunakan kalimah ‘Allah’, bukanlah satu alasan bagi Gereja Katolik tetapi hujah bagi umat Islam.

Ia melambangkan kegagalan Gereja Katolik untuk berhujah berasaskan teks asal kitab agama mereka. Bagi umat Islam, ini menjadi bukti bahawa al-Quran merupakan kitab suci yang memiliki fakta-fakta yang utuh dan konsisten.

Ia juga menjadi bukti bahawa Gereja Katolik menggunakan al-Quran sebagai sumber paling dipercayai untuk mengakui ‘Allah’ sebagai nama tuhan berbanding berhujah berdasarkan perbahasan sejarah dan ilmu bahasa.

Oleh yang demikian, fakta-fakta mengenai ‘Allah’ sepertimana yang dibentangkan oleh al-Quran juga hendaklah diterima.

Atau adakah Gereja Katolik ingin mengatakan bahawa lafaz ‘Allah’ di dalam al-Quran itu merujuk kepada lafaz Elohim dalam kitab asal mereka berbahasa Ibrani?

Jika kalimah ‘Allah’ dan Elohim itu merujuk kepada hakikat yang sama, mengapa pula konsepnya berbeza. Al-Qur’an mengatakan Allah itu Maha Esa dan tidak mempunyai anak sebaliknya Gereja Katolik berpegang kepada konsep triniti. Ini sekaligus member makna konsep ‘Allah’ di dalam Islam adalah amat konsisten sehingga umat Islam tidak perlu menterjemahkannya kepada mana-mana bahasa dunia.

Ia berbeza dengan konsep ketuhanan agama Kristian yang tidak memiliki sumber yang jelas dan konsisten sehingga memerlukan penterjemahan dan pinjaman daripada bahasa lain.

Alasan keempat (4): Mendakwa bahawa segmen (terjemahan) dalam Bahasa Malaysia diwujudkan untuk memenuhi keperluan kepelbagaian etnik dan bahasa yang wujud di Malaysia sebagaimana yang wujud dalam populasi penganut Katolik di Malaysia.

Hujah-hujah Menolak:

Terjemahan Bahasa Malaysia

Alasan penterjemahan kepada Bahasa Malaysia sebagai lambang kepelbagaian yang wujud dalam populasi masyarakat Kristian Katolik juga tidak boleh diterima.

Perlu diketahui bahawa bahasa Malaysia berasal daripada Bahasa Melayu. Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan menyebut Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi Malaysia.

Perlu diingat bahawa ketika perlembagaan digubal, istilah “Malaysia” belum wujud. Oleh itu, apabila kita merujuk kepada bahasa Malaysia ia sudah tentu merujuk kepada bahasa Melayu yang sekaligus merujuk kepada masyarakat Melayu Islam.

Justeru peristilahan-peristilahan khusus yang telah menjadi syiar dan perlambangan kepada masyarakat Melayu Islam sudah tentu tidak sekali-kali boleh diubah konsepnya untuk diterap kepada satu budaya dan agama yang lain.


Aktiviti terjemahan dan pencetakan Bible di dalam 
pelbagai bahasa tempatan aktif dijalankan oleh mubaligh 
Kristian demi mengukuhkan pengaruh mereka.

Memaksakan penggunaan kalimah ‘Allah’ dalam kalangan Kristian Katolik yang bertutur dalam bahasa Melayu di negara ini juga, secara logiknya sudah pasti memberi kesan negatif terhadap konsep ketuhanan dalam agama Kristian.

Telah dimaklumi bahawa kalimah ‘Allah’ itu adalah kalimah yang didominasi oleh umat Melayu Islam secara politik dan kebudayaan yang terdiri daripada 60% penduduk Malaysia berbanding hanya 9.1% penganut Kristian pelbagai mazhab.

Bukankah dengan penggunaan peristilahan yang sama bakal menimbulkan kecelaruan dalam kalangan penganut Kristian berbahasa Melayu sendiri?

Justeru, penterjemahan yang lebih tepat seperti ‘Tuhan’ sepatutnya digunakan oleh Gereja Katolik bagi menjamin kepercayaan agama Kristian sentiasa terpelihara selain mengelakkan kekeliruan.

Alasan kelima (5): Mendakwa kerajaan tidak mempunyai hak untuk campurtangan di dalam urusan dalaman gereja berdasarkan hak yang diberi oleh Perkara 11(3a) Perlembagaan Persekutuan.

Hujah-hujah menolak:

Perlembagaan Persekutuan

Alasan ini adalah tidak benar sama sekali. Sebaliknya kerajaan telah diberi hak oleh Perlembagaan Persekutuan dalam Perkara 11(4) (untuk mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan ugama antara orang-orang yang menganuti ugama Islam).

Di bawah peruntukan ini kerajaan (sama ada kerajaan persekutuan atau kerajaan negeri) telah menggubal undang-undang mengawal dan menyekat pengembangan agama-agama bukan Islam terhadap umat Islam.

Sebagai contoh Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam Negeri Terengganu 1980, Seksyen 9 menyebut; (melarang seseorang (bukan Islam) daripada menggunakan perkataan-perkataan tertentu untuk menggambarkan antaranya kepercayaan atau konsep mana-mana agama bukan Islam.

Perkataan-perkataan itu termasuklah Allah, Ilahi, Rasul, Nabi, Wahyu, Iman, Imam, Syariah, Ulama, Dakwah, Ibadah, Injil dan lain-lain).

Peruntukan ini jelas menunjukkan bahawa menggunakan kalimah ‘Allah’ sebagai terjemahan kepada perkataan ‘god’ di dalam Bible adalah menyalahi undang-undang yang sedang berkuatkuasa di negara ini.

Oleh itu, ia tidak boleh disifatkan sebagai urusan dalaman gereja.

Natijah kepada usaha menggunakan kalimah Allah di dalam Bahasa Melayu 
adalah untuk menimbulkan kekeliruan dan kecelaruan terhadap minda umat Islam.

Kesimpulan

Berdasarkan hujah-hujah yang telah dinyatakan, TIADA SEBAB untuk kerajaan MEMBENARKAN penggunaan kalimah ‘Allah’ kepada pihak Kristian. Malah keputusan kerajaan adalah selari dengan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang menobatkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan.

Umat beragama di Malaysia telah sedia maklum bahawa sebarang isu yang berkaitan dengan Islam sama ada secara langsung atau tidak seharusnya menghormati kedudukan istimewa agama Islam dan umat Melayu Islam di negara ini.

Sumber:
Ibn Kathir, Tafsir al-Qur’an al-‘Azim
Al-Thabari, Jami‘ al-Bayan fi Tafsir al-Qur’an
_______(1990), Mengapa Kalimah Allah?, Bahagian Hal Ehwal Islam, JPM KL.
A.S Hornby (1985), Oxford Advanced Learner’s Dictionary Of Current English, Oxford University Press, Great Britain.
Neill,S (1956). Colonialism and Christian Missions. London: Lutterworth Press.
Berita Harian, 4 Februari 1997
Utusan Malaysia bertarikh 3 Februari 1997
Al-Kitab, The Bible Society Of Malaysia
http://www.news.com.au/story/0,23599,22254040-13762,00.html.
http://www.coptichistory.org/new_page_197.htm
http://www.britannica.com/eb/article-9005770/Allah.
http://www.newadvent.org/cathen/01316a.htm.
http://sbmb.dbp.gov.my/knb/cariankata/dbp_ka_rujukan_kamus_dbp.aspx.
http://sbmb.dbp.gov.my/knb/cariankata/dbp_ka_rujukan_kamus_dbp.aspx.
http://www.foxnews.com/story/0,2933,293394,00.html.

[Sumber]

Thursday, September 12, 2013

 Isu Kalimah Allah: Penganut Kristian Digesa Kembali Kepada Kepercayaan Asal

Isu Kalimah Allah: Penganut Kristian Digesa Kembali Kepada Kepercayaan Asal

Persatuan Pengguna Islam Sedunia (IMCA) menggesa agar penganut Kristian patuh semula kepada kepercayaan asal mereka tanpa mengubah suai istilah-istilah dan konsep yang sedap didengar orang bukan Kristian.

IMCA gesa Kristian patuh kepada ajaran asal.

Setiausaha Agung IMCA, Sheikh Abd. Kareem S. Khadaeid berkata, IMCA sebagai persatuan antarabangsa tidak mahu "mencari gaduh" dengan sesiapa dan hanya mengharap masyarakat Kristian menghormati agama lain terutama Islam.

"Kami yakin bahawa orang Kristian yang teguh dengan agama dan iman mereka patut menzahirkan kepercayaan mereka dalam keadaan asal.

"Mereka (Kristian) yang mendakwa diri mereka sebagai orang beriman perlu ikhlas dengan kebenaran itu.

(Baca: Tahukah Anda Maksud Sebenar Kalimah 'Allah'?)

"Jika penganut Kristian berhasrat, mereka patut memperkenalkan kata nama Aramic bagi Tuhan yang digunakan sendiri oleh Jesus seperti Eloi, Eli, Eloah, Elohim, Yahweh atau Jehovah ke dalam perbendaharaan Bahasa Melayu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar mengenai surat terbuka kepada masyarakat Kristian dalam satu sidang akhbar anjuran Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di sini hari ini. Turut hadir Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan.

Tegas Sheikh Abd. Kareem lagi, jika masyarakat Kristian terutama Mingguan Katholik Herald mahu menggunakan kalimah Allah dalam bible bahasa Malaysia mereka, kenapa tidak dilakukan ke dalam bible bahasa-bahasa lain juga.

"Malah, semalam ada paderi mereka yang mengatakan ini bukan perancangan namun kajian terperinci saya di seluruh dunia sejak dahulu lagi sudah ada konsep 'contextualization' yang mengunakan elemen yang diamalkan Islam dan diserapkan ke dalam Kristian untuk membolehkan umat Islam yang murtad tidak kekok.

"Jadi, adakah mereka ikhlas dalam isu penggunaan kalimah Allah ini? " tegasnya.

Menurut Sheikh Abd. Kareem, masyarakat masa kini sudah terlalu banyak masalah dan tidak perlu ditambah dengan masalah baru yang mampu menggugat masa depan umat sejagat.

Kerajaan sekat guna kalimah Allah elak kekeliruan agama

Isu kalimah Allah

Kerajaan bertindak berlandaskan undang-undang ketika melarang majalah mingguan Herald daripada menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya bagi mengelak kekeliruan agama yang boleh mengancam ketenteraman awam serta menimbulkan sensitiviti keagamaan.

Arahan bertarikh 7 Januari 2009 yang dikeluarkan oleh Menteri Dalam Negeri itu munasabah dan selaras dengan Enakmen-Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam Kepada Orang Islam (Negeri-Negeri).

Perkara tersebut dinyatakan sewaktu Mahkamah Rayuan mendengar rayuan Kerajaan dan enam pihak lain yang tidak berpuas hati dengan keputusan kontroversi Mahkamah Tinggi membenarkan kalimah suci itu digunakan dalam seksyen Bahasa Melayu majalah tersebut.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Seri Mohamed Apandi Ali yang bersidang bersama Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim dan Datuk Mohd. Zawawi Salleh selepas mendengar penghujahan dalam mahkamah yang penuh sesak, menangguhkan keputusan hingga bulan depan.

Peguam Kanan Persekutuan, Suzana Atan yang mewakili perayu-perayu sebelum itu berhujah, Menteri Dalam Negeri membuat pertimbangan keharmonian masyarakat berbilang kaum, agama dan budaya boleh terancam jika kalimah Allah digunakan dalam penerbitan itu.

Beliau menyatakan, masyarakat Islam di negara ini amat sensitif terhadap perkara berhubung isu agama terutamanya penggunaan kalimah Allah yang merujuk kepada Tuhan bagi penganut agama itu.

''Kalimah Allah merupakan kalimah suci umat Islam dan diletakkan pada kedudukan yang paling tinggi yang kesuciannya mesti dipelihara. Ia merujuk kepada keesaan-Nya dan tidak boleh disamakan dengan konsep Triniti mengikut kepercayaan penganut Kristian,'' hujah beliau.

Sehubungan itu, Suzana menyatakan, kalimah Allah bukan semata-mata terjemahan kepada perkataan Tuhan seperti yang dinyatakan dalam Herald tetapi merupakan kata nama khas bagi Tuhan untuk masyarakat Islam.

Dalam hujahnya, Suzana turut membangkitkan bukti baharu berhubung keharmonian kaum yang tercemar melalui afidavit yang menyatakan beberapa kejadian antaranya cubaan membakar gereja berikutan keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Beliau turut menyatakan, arahan tersebut merupakan tindakan awal menteri dan tidak memerlukan insiden sebenar yang menggugat ketenteraman awam berlaku terlebih dahulu sebelum membolehkan arahan dikeluarkan.

Sehubungan itu, kata beliau, tiada bukti yang menunjukkan menteri berkenaan bertindak atas niat jahat atau melaksanakan budi bicara secara tidak munasabah ketika mengeluarkan sekatan terhadap majalah berkenaan.

Sementara itu, peguam Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman yang mewakili Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) berhujah, kalimah Allah tidak boleh digunakan oleh agama lain kerana kalimah itu hak eksklusif umat Islam dan tiada bukti menunjukkan perkataan itu sebahagian daripada agama Kristian.

''Jika seseorang menggunakan kalimah Allah, ia merupakan seorang Islam,'' hujah beliau.

Abdul Aziz turut mempertikaikan terjemahan perkataan Allah kerana Injil yang asli adalah dalam bahasa Ibrani (Hebrew) yang kemudian diterjemahkan kepada bahasa Latin.

Menurut beliau, kitab terjemahan di Sabah dan Sarawak tidak asli kerana Bible dalam bahasa Inggeris yang telah diterjemahkan tidak mengandungi kalimah Allah.

(Baca: Apa Sebenarnya Motif Tersirat Disebalik Polemik Kalimah Allah?)

Dalam pada itu, Mubashir Mansor yang berhujah bagi pihak Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) menyatakan, sekatan itu munasabah bagi menghalang isi kandungan majalah itu yang turut boleh diakses secara dalam talian, disebarkan kepada umat Islam.

Peguam itu turut mempertikaikan penggunaan kalimah Allah yang diterjemahkan dalam seksyen bahasa Melayu kerana Kitab Bible versi bahasa Inggeris tidak terkandung kalimah berkenaan.

Hujah Mubashir, Terengganu melaksanakan enakmen yang melarang penggunaan perkataan itu dalam kalangan bukan Islam dan mereka perlu mendapat kebenaran Sultan untuk menggunakannya.

Mahkamah turut mendengar penghujahan Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) yang menyatakan, Mahkamah Tinggi terkhilaf dalam keputusannya kerana gagal menimbangkan bahawa Islam adalah agama Persekutuan dan tidak boleh berdiri sama tinggi dengan agama lain.

Pada sebelah petang, Porres Royen yang mewakili Gereja Roman Katolik berhujah, penggunaan kalimah Allah tidak harus disekat kerana ia bukan merupakan satu kesalahan memandangkan perkataan itu hanya digunakan untuk penganut Kristian.

Beliau menghujahkan, isu yang ditimbulkan itu bukan perkara baharu kerana perkataan tersebut telah digunakan sejak zaman berzaman lamanya dan tiada perkataan lain yang lebih sesuai bagi menggantikan perkataan Tuhan melainkan dengan menggunakan kalimah Allah.

Seorang lagi peguam pihak gereja, Benjamin Dawson turut berhujah, kalimah Allah yang digunakan dalam bahasa Indonesia di Sabah dan Sarawak serta di negara jiran itu tidak langsung membangkitkan sebarang kekacauan.

Menurut beliau, perkataan itu merupakan yang sama digunakan dalam Bible dan juga al-Quran dan tidak sesuai untuk mengubahnya kerana telah lama digunakan dan penerbitan itu hanya khusus untuk penganut Kristian.

Pada 31 Disember 2009, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh Ketua Paderi Roman Katolik Kuala Lumpur, Tan Sri Murphy Pakiam agar Herald dibenarkan menggunakan kalimah Allah.

Mahkamah Tinggi berpuas hati bahawa keputusan Menteri Dalam Negeri melarang penerbitan Herald daripada menggunakan kalimah Allah dalam majalah edisi bahasa Malaysia, adalah menyalahi undang-undang, batal dan tidak sah. -Utusan

Friday, August 23, 2013

Apa Sebenarnya Motif Tersirat Disebalik Polemik Kalimah Allah?

Apa Sebenarnya Motif Tersirat Disebalik Polemik Kalimah Allah?

Kebiasaanya, sesuatu perkara yang hendak dilakukan tanpa bermotifkan sesuatu, itu namanya sia-sia atau bodoh.


Adakah sia-sia puak Kristian ingin menggunakan kalimah Allah dalam Bible di setiap gereja mereka? Sudah pasti jawapannya TIDAK.

Mereka sudah lama merancang secara terperinci mengenai perkara ini dengan begitu halus sehinggakan tidak dapat terbayang dalam benak kepala kita bagi mereka yang tidak suka berfikir.

(Baca: Tahukah Anda Maksud Sebenar Kalimah 'Allah'?)

Kalaulah ada orang mengatakan ;”ah! biarlah, dia..dia. aku..aku. Yang penting sekarang Malaysia aman.”

Memang benar sekarang mungkin negara kita AMAN kerana kita masih dipimpin oleh orang Islam, TIDAK MUSTAHIL pada 25 tahun, 50 tahun, 75 tahun atau 100 tahun akan datang, Malaysia sudah dirampas oleh golongan ANTI-ISLAM.

Siapa yang akan merasai BAHANA dan BENCANA ini, kalau bukan anak-anak dan keturunan kita sekarang? Oleh itu, fikir-fikirlah tindakan yang perlu diambil demi masa hadapan generasi akan datang.

Sehubungan itu, kalimah Allah bolehlah dikategorikan sebagai kalimah suci yang melambangkan Islam itu sendiri.

Umat Islam semestinya mempertahankan penggunaan kalimah ini agar ianya tidak tersasar dari maksud sebenar. Ia adalah kewajipan bagi umat Islam dalam mempertahankan kesucian Islam itu sendiri.

Asas Polemik Kalimah Allah

Semuanya bermula sejak tahun 2007 di mana akhbar The Sun bertarikh 24 Disember 2007 telah menyiarkan sebuah laporan oleh wartawan Joseph Masilamany yang bertajuk ‘Church leaders explain use of Allah”.

Berdasarkan kepada petikan laporan tersebut, beliau mengemukakan pendapat bahawa “penggunaan perkataan ‘Allah’ untuk merujuk kepada Tuhan di kalangan penganut agama Kristian telah diamalkan dengan meluas untuk beberapa generasi di banyak negara dan bukan bertujuan menyinggung perasaan atau mengelirukan masyarakat Islam”, ini tentunya menurut para pemimpin Kristian.

Tindakan Paderi Lawrence Andrews menfailkan larangan 
penggunaan kalimah Allah di Mahkamah menjadititik permulaan 
penentangan penggunaan kalimah Allah oleh umat Islam.

Wartawan tersebut menemu ramah penyunting akhbar mingguan Katolik tempatan, Paderi Lawrence Andrews, dan agaknya turut berbicara dengan Setiausaha Agung Majlis Gereja-Gereja Malaysia, Rev. Herman Shastri.

Paderi Lawrence dilaporkan mendakwa, “istilah ‘Allah’ yang digunakan oleh orang Kristian atau dalam tulisan mereka tidak bermaksud menggusarkan masyarakat Islam atau mencetuskan kekeliruan.

Kami mengikut Bible. Bible dalam bahasa Melayu menggunakan ‘Allah’ sebagai terjemahan istilah God dan ‘Tuhan’ sebagai terjemahan untuk istilah Lord.”

Terdapat lima alasan utama yang dikemukakan oleh laporan tersebut mengapa Gereja Katolik ingin meneruskan penggunaan kalimah ‘Allah’ di dalam akhbar terbitan mereka. Alasan yang dikemukakan ialah seperti berikut:
  1. Mendakwa mereka mengikut Bible. Bible dalam bahasa Melayu menggunakan kalimah ‘Allah’ sebagai terjemahan istilah God dan ‘Tuhan’ sebagai terjemahan untuk Lord.
  2. Mendakwa bahawa mulai awal abad ke-19, para penganut Katolik di Malaya telah pun memiliki buku-buku doa dalam bahasa Melayu dan kalimah ‘Allah’ telah digunakan sebagai terjemahan kepada istilah God. Para penganut Katolik Malta juga menggunakan kalimah ‘Allah’ untuk merujuk kepada Tuhan dan demikian juga masyarakat Kristian di Indonesia, Pakistan dan Asia Barat.
  3. Mendakwa ayat-ayat al-Quran sendiri telah menunjukkan bahawa golongan bukan Islam juga telah menggunakan lafaz Allah.
  4. Mendakwa bahawa segmen (terjemahan) dalam bahasa Malaysia diwujudkan untuk memenuhi keperluan kepelbagaian etnik dan bahasa yang wujud di Malaysia sebagaimana yang wujud di dalam populasi penganut Katolik di Malaysia.
  5. Mendakwa kerajaan tidak mempunyai hak untuk campurtangan dalam urusan dalaman gereja berdasarkan hak yang diberi oleh Perkara 11(3)A Perlembagaan Persekutuan.

Hujah-Hujah Politikus Terhadap Kalimah Allah

Sepatutnya isu ini perlulah diperbincangkan secara ilmiah di kalangan para Ulamak, Ketua Agama dan wakil Kerajaan (JAKIM) bagi mencari titik pertemuan berkaitan isu penggunaan kalimah ALLAH. Tetapi sayang, ianya hanyalah ILUSI di siang hari.

Apa tidaknya, para Politikus yang tidak berkelayakan atau tahu berkaitan agama tetapi memanipulasi isu ini demi kelangsungan politik mereka.

Di bawah ini adalah petikan kenyataan yang dikeluarkan oleh mereka yang merasakan ia lebih tahu dan arif tentang isu ini. Tetapi apabila dikaji semua adalah HYPOCRISY.

Pencanggahan pendapat dan pendirian dalam PAS membuktikan 
tiada kesepakatan umat Islam dalam menjaga kepentingan Islam.

Hadi Awang - Islam tidak menghalang penganut agama lain menggunakan kalimah ‘Allah’ dalam amalan mereka, walaupun tidak mencapai maksud asal bahasa al-Quran.

Anwar Ibrahim - Saya alu-alukan pendirian Pas itu sebagai pendirian bersama Pakatan Rakyat. Beliau (Hadi Awang) mahu ia jelas bahasa semua pihak termasuk pihak gereja dan bukan Islam hendaklah menghormati isu itu dan bagaimana umat Islam mulikan nama Allah.

Nik Aziz Nik Mat - Saya bersetuju orang bukan Islam termasuk pemimpin mereka dibenarkan menggunakan kalimah ‘Allah’ walaupun perkataan itu merupakan hak eksklusif bagi orang Islam.

Mohamad Sabu - Orang bukan Islam boleh guna kalimah ‘Allah’.

Tuan Ibrahim Tuan Man - Pas berpendirian bahawa Bible Bahasa Melayu harus menggantikan istilah ‘God’ dengan tuhan, bukannya Allah untuk mencerminkan maksud sebenar daripada teks asal.

Dr Abdul Rani Osman - Mencemuh Lim Guan Eng membangkitkan penggunaan kalimah ‘Allah’. Ia tidak boleh dijadikan polemik kerana sangat sensitif melibatkan umat Islam dan boleh menimbulkan ketegangan jika tidak ditangani dengan sebaik-baiknya.

Harun Din – Sesiapa yang bersetuju kalimah ‘Allah’ boleh digunakan oleh orang kafir dan bersengkokol dengannya, maka ia akan jatuh kufur.

Janji Dr. Haron Din mempertahankan penggunaan kalimah Allah 
mendapat sokongan dari akar umbi penyokong PAS dan UMNO.

Kesimpulan

Jika kita melihat kepada scenario terkini, umat Islam didapati kurang peka dan pekak kepada isu ini. Masing-masing mengambil jalan mudah iaitu “WAIT and SEE” tanpa mengambil tindakan sewajarnya.

Sekurang-kurangnya, kita boleh menyatakan sokongan di dalam semua petisyen yang diusahakan oleh NGO Islam atau menyebarkan artikal-artikal berkaitan isu kalimah Allah.

Namum begitu, pihak politikus beragama Islam sepatutnya berganding bahu tanpa menjadikan ideologi parti sebagai batasan dalam menyuarakan pandangan umat Islam tentang isu ini.

Bersatu Islam teguh, Bercerai Islam runtuh.

Benarlah sabda Rasullulah S.A.W tentang akan tiba pada suatu zaman, Islam akan diserang dan dipermainkan oleh musuh Allah S.W.T samada dari dalaman atau luaran seperti yang disabdakannya untuk renungan kita semua;

Akan datang suatu zaman di mana agama Islam hanya tinggal namanya sahaja, dan al-Quran pula hanya tinggal huruf dan tulisannya. Masjid-masjidnya cantik dan megah, tetapi sunyi daripada petunjuk. Ulama mereka adalah manusia yang paling jahat di antara yang ada di bawah langit. Daripada para ulama ini muncul bermacam-macam fitnah dan (fitnah itu) kembali ke dalam lingkungan mereka.” – Riwayat Baihaqi

[Sumber]

Penggunaan Kalimah ‘Allah’ Dalam Akhbar Mingguan ‘The Herald’ Perlu Diselesaikan

Penggunaan Kalimah ‘Allah’ Dalam Akhbar Mingguan ‘The Herald’ Perlu Diselesaikan

Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa kontroversi berhubung isu penggunaan kalimah ‘Allah’ dalam sebuah akhbar mingguan Katolik ‘The Herald’ perlu diselesaikan.


Sehubungan itu, panel tiga hakim diketuai Datuk Seri Abu Samah Nordin mengarahkan rayuan kerajaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi, yang membenarkan The Herald menggunakan kalimah ‘Allah’, didengar pada 10 Sept ini.

Panel hakim yang turut dianggotai Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim dan Datuk Rohana Yusuf itu membuat keputusan berkenaan selepas sebulat suara menolak permohonan Gereja Katolik untuk membatalkan rayuan kerajaan.

(Baca: Tahukah Anda Maksud Sebenar Kalimah 'Allah'?)

Dalam penghakimannya, Abu Samah berkata bekas Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memfailkan afidavit yang memperjelas bahawa isu penggunaan kalimah ‘Allah’ bukanlah sebahagian daripada penyelesaian 10 perkara.

“Oleh itu, ia tidak terpakai dalam kes ini. Perkara ini (rayuan) tidak boleh dianggap akademik kerana masih terdapat isu dan kontroversi yang perlu diselesaikan,” katanya. Berdasarkan persetujuan bersama pihak gereja, Kementerian Dalam Negeri (KDN), kerajaan dan Majlis Agama Islam di enam negeri, Mahkamah Rayuan tidak membuat sebarang perintah berhubung kos.

Gereja Katolik memfailkan permohonan bagi membatalkan rayuan kerajaan pada 8 Julai lepas.

Pada 16 Feb 2010, pihak gereja memfailkan semakan kehakiman dengan menamakan KDN serta kerajaan sebagai responden, dan memohon antara lain, satu deklarasi bahawa keputusan Menteri Dalam Negeri yang melarang penggunaan kalimah ‘Allah’ dalam The Herald adalah tidak sah.

Akhbar mingguan itu, yang dicetak dalam empat bahasa, menggunakan kalimah ‘Allah’ sebagai terjemahan untuk ‘God’ bagi seksyen bahasa Malaysia terutama bagi memenuhi keperluan masyarakat di Sabah dan Sarawak.

Bagaimanapun, kerajaan berhujah penggunaan kalimah ‘Allah’ hanya boleh digunakan secara eksklusif oleh umat Islam.

Pada 31 Dis 2009, Mahkamah Tinggi mengisytiharkan keputusan KDN melarang The Herald menggunakan kalimah ‘Allah’ adalah salah, batal dan tidak sah.

Kerajaan kemudian mengemukakan rayuan berhubung keputusan itu.

Terdahulu, peguam Porres Royan, yang mewakili pihak gereja, berhujah rayuan kerajaan harus dibatalkan kerana tidak ada sebarang kontroversi atau pertikaian berhubung penggunaan kalimah ‘Allah’ dalam penerbitan Katolik.

Beliau berkata ini kerana penyelesaian sepuluh perkara yang ditandatangani Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan dialamatkan kepada pengerusi Persekutuan Kristian Malaysia Ng Moon Hing membenarkan penganut Kristian menggunakan kalimah ‘Allah’ dalam kitab Bible Bahasa Indonesia/Bahasa Malaysia serta bahasa pribumi Iban, Kadazan-Dusun dan Lun Bawang.

“Kami berpendapat kerajaan sudah mengubah pendiriannya berhubung penggunaan kalimah berkenaan,” katanya sambil menambah penyelesaian sepuluh perkara itu merupakan keputusan kolektif Kabinet dan ia turut membincangkan isu kalimah ‘Allah’.

Porres berkata kesannya ialah kalimah ‘Allah’ kini boleh digunakan dalam Bible Bahasa Indonesia/Bahasa Malaysia serta bahasa pribumi lain dan kitab ini boleh diimport serta dicetak.

“Jika kabinet sudah memberi kebenaran berhubung penggunaan kalimah itu dalam Bible, maka sudah semestinya ia boleh juga digunakan dalam penerbitan,” katanya.

Sementara itu, Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan yang mewakili KDN dan kerajaan berhujah bahawa rayuan mereka tidak harus dibatalkan kerana terdapat isu yang perlu diputuskan.

“Permohonan yang difail pemohon adalah remeh dan perlu ditolak,” katanya.

Beliau berkata isu di depan Mahkamah Tinggi adalah berkaitan kuasa budi bicara Menteri Dalam Negeri mengikut Akta Mesin Cetak dan Penerbitan berhubung permit pencetakan The Herald manakala penyelesaian sepuluh perkara membincangkan isu kitab Bible.

Peguam Mubashir Mansor, yang mewakili Majlis Agama Islam Terengganu pula berhujah semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi terhad kepada keputusan pentadbiran KDN bertarikh 7 Jan 7 2009.

Oleh itu, beliau berkata penyelesaian sepuluh perkara tidak boleh diambil kira kerana dibuat selepas Mahkamah Tinggi mengeluarkan perintah berhubung permohonan semakan kehakiman oleh pihak gereja.

“Surat Perdana Menteri bertarikh 11 April 2011 itu tidak menyentuh perjara dalam rayuan berkenaan. Beliau tidak mengatakan bahawa The Herald boleh menggunakan kalimah Allah,” kata Mubashir.

Peguam Hanif Khatri Abdulla, yang mewakili Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) berkata arahan Kabinet adalah khusus untuk import dan eksport kitab Bible secara fizikal namun tidak menyentuh kandungannya.

Beliau berkata Hishammuddin, dalam afidavitnya memperjelas mengapa penyelesaian sepuluh perkara dikeluarkan dan apa yang dipertimbang serta sebaliknya.

Hishammuddin juga berkata Kabinet tidak membuat sebarang keputusan berhubung penggunaan kalimah Allah.

Hishammuddin berkata keputusan Kabinet pada 11 April 2011 hanyalah mencari jalan untuk mengatasi masalah berhubung import, pencetakan, pengagihan serta penggunaan kitab Bible dalam Bahasa Malaysia di negara ini.

Lebih 300 anggota badan bukan kerajaan (NGO) seperti Perkasa, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dan Macma berhimpun di pekarangan mahkamah seawal 7 pagi.

-BERNAMA

Monday, January 14, 2013

PAS Keliru Pilih Antara Politik Dan Agama Isu Kalimah Allah

PAS Keliru Pilih Antara Politik Dan Agama Isu Kalimah Allah

Pening! Itulah kata-kata seorang kawan dalam Pas apabila ditanya pandangannya berhubung isu kalimah Allah yang melibatkan parti itu. Kawan penulis ini mengakui ahli-ahli Pas di peringkat umbi kecewa dengan apa yang berlaku.


Keputusan Pas untuk bersama-sama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP bagi membenarkan bukan Islam menggunakan kalimah Allah dikatakan meletakkan ahli-ahli Pas tersepit.

Mereka juga turut keliru apabila Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyokong langkah tersebut sedangkan beberapa ulama yang cukup dihormati dalam Pas seperti Timbalan Mursyidul Am, Datuk Haron Din dan Ketua Dewan Ulama, Datuk Harun Taib menentang langkah itu. Kedua-duanya berpendapat penggunaan kalimah Allah tetap eksklusif untuk umat Islam sahaja.

Walaupun ada pihak lain dalam Pas seperti Dewan Pemuda yang diketuai oleh Nasruddin Hassan turut membuat pendirian menyokong Abdul Hadi, namun orang tidak mempedulikannya kerana mereka amat memahami pendirian politik dewan itu tidak konsisten dan kadang kala dilihat seperti lalang sahaja.

Apa yang penting bagi ahli-ahli Pas di peringkat akar umbi ialah pendirian kepimpinan kanan dan golongan ulama. Sebab itu mereka pening dan keliru yang mana satukah pendirian Pas apabila berlaku percanggahan pendapat antara kedua-dua kumpulan itu.

Namun begitu berdasarkan tinjauan rambang dan maklumat rakan-rakan dalam Pas, mereka mengakui majoriti ahli parti itu mahu Pas menarik balik persetujuan menyokong bukan Islam menggunakan kalimah Allah.

Sebab itulah mereka mengharapkan, Majlis Syura Ulama Pas yang dijangka bermesyuarat malam ini di Kuala Lumpur akan membuat satu ketetapan iaitu menolak keputusan pakatan pembangkang dalam soal berkenaan kerana imej Pas dikatakan semakin terjejas berikutan isu kalimah Allah ini.

Menurut sumber dalaman Pas kepada penulis, sepatutnya kepimpinan parti itu tidak boleh tergopoh-gapah menyatakan persetujuan bersama-sama PKR dan DAP kerana isu tersebut bukannya soal remeh.

''Kepimpinan parti patut membawanya untuk perbincangan di peringkat majlis syura, biarlah majlis itu tentukan, bukannya begitu mudah memberi sokongan yang akhirnya Pas dilihat tidak sefahaman," kata sumber itu ketika dihubungi di Kuala Lumpur.

Apa yang menimbulkan persoalan ialah sikap Abdul Hadi yang menafikan bahawa berlaku percanggahan pendapat antara pemimpin Pas berhubung isu berkenaan dan menganggap isu kalimah Allah ini ditimbulkan kerana menjelang pilihan raya.

Tetapi semua orang dapat menyaksikan bagaimana tegasnya, Haron Din, Harun Taib dan Nasharudin Mat Isa mempertahankan pendirian mereka, biarpun beberapa pemimpin Pas menyatakan adalah menjadi hak Presiden parti untuk menyokong apa juga pendirian bersama PKR dan DAP.

Ketegasan pemimpin-pemimpin bertaraf ulama itu membuktikan mereka konsisten dengan pendirian bahawa kalimah Allah tidak boleh digunakan oleh bukan Islam dan sudah pasti pandangannya sehaluan dengan majoriti ahli Pas.

Mereka memahami bahawa dalam keadaan genting bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13, Pas berada dalam kedudukan perlu menyokong apa sahaja tindakan PKR dan DAP serta perlu senada di peringkat dalam parti.

Pas tidak boleh dilihat tidak sehaluan dengan kedua-dua parti berkenaan dan berlaku percanggahan pendirian dalam sesuatu isu di peringkat dalaman, namun isu kalimah Allah bukan sekadar isu untuk Pas menjaga hati PKR dan DAP atau menunjukkan semua pemimpin Pas sekata.

Tetapi jauh daripada itu ialah ahli-ahli Pas mahu tahu apa rasionalnya bukan Islam diberi keistimewaan tersebut sedangkan sebelum ini selama berpuluh-puluh tahun tiada tuntutan seumpama itu dilakukan, kenapa sekarang baru ia dibuat, apakah agenda tersembunyi di sebalik semua ini?

Sebab itulah lebih 95 peratus ahli Pas kecewa dengan pendirian pucuk pimpinan parti yang dilihat begitu mudah memberi sokongan tanpa melihat kesannya dari segi jangka masa panjang.

Apatah lagi, mereka terpaksa menerima hakikat bahawa mereka tidak mempunyai apa-apa lagi perisai untuk berhujah bahawa Pas melakukan itu bukan kerana politik, ia memandangkan semua orang tahu sejauhmanakah kekuatan Pas dalam pakatan pembangkang.

Penjelasan

Pas tidak akan berani berkata tidak kepada apa-apa juga perkara yang dipersetujui oleh DAP dan PKR termasuklah juga dalam soal kalimah Allah. Keadaan inilah yang memungkinkan sesetengah ulama dalam Pas yang masih lagi berpegang teguh kepada perjuangan Islam menentang persetujuan Pas.

Apa yang lebih mengelirukan ahli-ahli Pas ialah cara penjelasan yang diberikan oleh pemimpin-pemimpin parti itu mengenai setakat mana bukan Islam boleh menggunakan kalimah Allah.

''Ada yang kata tidak boleh digunakan dalam Bible dan ada pula yang kata hanya untuk amalan biasa...semua ini memeningkan ahli-ahli Pas kerana apa yang mereka tahu orang bukan Islam tidak boleh menggunakan kalimah Allah.

''Istilah jangan disalahgunakan pun seperti diputuskan oleh pakatan pembangkang juga telah menimbulkan kekeliruan, apa maksud sebenar?

''Soalnya kalau pun berlaku salahguna bolehkah pemimpin-pemimpin Pas berbuat sesuatu untuk mengambil tindakan?,'' tanya seorang pemimpin muda Pas di peringkat kawasan kepada penulis ketika dihubungi.

Oleh itu kata pemimpin berkenaan, Pas tidak ada pilihan selain memastikan segala persetujuan dengan pakatan pembangkang berhubung isu kalimah Allah ditarik balik.

Selain itu, ahli-ahli Pas juga mahu percanggahan pendapat antara pemimpin-pemimpin parti tersebut diselesaikan segera kerana ini bukan kali pertama ia berlaku.

''Dulu dalam isu Nasharudin Mat Isa, ada pemimpin Pas mahu beliau dikenakan tindakan kerana bertelagah dengan Karpal Singh tetapi golongan ulama mempertahankan Nasharudin.

''Isu ini pun sudah cukup memeningkan kepala ahli-ahli Pas kerana mereka tidak faham kenapa setiap kali ada pemimpin Pas menegur pemimpin PKR atau DAP biar pun dalam perkara berkaitan prinsip Pas, mereka akan dikenakan tindakan.

''Nasib baiklah golongan ulama bertindak sebagai 'pendamai' kalau tidak entah berapa ramai pemimpin Pas akan dipecat daripada parti semata-mata kerana berselisih dengan pemimpin-pemimpin kedua-dua parti berkenaan,'' kata pemimpin muda itu lagi.

Apa pun, tumpuan kini adalah bagaimana Pas mahu menangani percanggahan pendapat antara pemimpin-pemimpinnya dalam isu kalimah Allah. Namun apa yang pasti, ahli-ahli parti itu di peringkat umbi mahukan golongan ulama tegas menolak penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam.

Ia memandangkan isu tersebut benar-benar menguji sejauhmanakah ketegasan Pas dalam mempertahankan perkara berkaitan kesucian Islam.

[Sumber]

Tahukah Anda Maksud Sebenar Kalimah 'Allah'?

Tahukah Anda Maksud Sebenar Kalimah 'Allah'?

Masing-masing pihak mahu menyebut Tuhan dengan nama Allah Taala. Ini sebuah petanda yang sungguh indah sekiranya Allah, mengikut kamus Dewan Bahasa yang membawa makna Tuhan Yang Maha Esa, tidak ada sekutu bagi-Nya, disembah secara mutlak. Tetapi jika Allah diibadahi bersama dengan tuhan yang lain, maka ia telah menyalahi makna Kamus Dewan yang menjadi tunggak Bahasa Kebangsaan.


Allah, sebuah nama khusus untuk Tuhan yang disadur dari bahasa Arab. Ibn Qayyim berkata bahawa kalimah Allah mempunyai makna asal, di mana kata asalnya adalah al Ilah. Ini sebagaimana pendapat ahli bahasa terkenal Sibawaih dan majoriti sahabatnya kecuali beberapa orang yang berpendirian sebaliknya (tanpa sebarang hujah). Lafaz Allah mencakup seluruh makna Al asma' Al Husna dan sifat-sifat-Nya yang maha tinggi.

Permulaan kepada perbincangan ini adalah apabila wujudnya tafsiran firman Allah SWT di dalam Surah az-Zumar, ayat 38 maksudnya, "Dan sungguh jika kamu bertanya kepada mereka: Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?, nescaya mereka menjawab: Allah."

Menunjukkan orang Arab jahiliyah telah mensyirikkan Allah, mereka memang mengetahui bahawa Allah adalah Tuhan yang menciptakan dan mematikan, Tuhan yang memberi rezeki dan mentadbir alam ini. Di samping mereka mengetahui bahawa Allah adalah Tuhan yang sebenar, mereka juga memuja tuhan yang lain. Sama seperti kaum Nasrani, yang memiliki keyakinan triniti; Tuhan Bapa iaitu Allah, Anak Tuhan iaitu Jesus dan Roh Kudus.

Budaya adalah amalan yang diterima bersama. Sudah menjadi budaya orang Arab sejak zaman berzaman memanggil Tuhan sebagai Allah tanpa mengira agama. Maka orang Arab Kristian pun menamakan Tuhan Bapa sebagai Allah, sama seperti orang Arab Islam dan orang Yahudi.

Dalam prinsip Islam ada kaedah yang disebut al 'adah muhakkamah iaitu budaya yang tidak bersalahan dengan syarak boleh menjadi hukum. Merujuk Arab Kristian sebagai alasan adalah tidak tepat sebab berbeza kebudayaan. Orang Kristian Arab memanggil Isa sebagai Yasu' sementara orang Kristian di Malaysia memanggil Jesus. Hakikatnya di Malaysia hanya orang Islam selama ini menggunakan kalimah Allah dan umat Kristian menggunakan kalimah Tuhan.

Terdapat kaedah lain yang dijelaskan oleh Imam As Syatibi iaitu "Melihat kepada kesan aplikasi". Diambil berdasarkan beberapa dalil antaranya adalah hadis Nabi ini: "Jika tidak kerana kaum kau masih baru meninggalkan kepercayaan jahiliyah, nescaya aku akan bangunkan Kaabah di atas binaan Ibrahim". (Riwayat Bukhari & Muslim). Hadis ini menunjukkan Nabi membiarkan binaan Kaabah yang dibina tidak mengikut struktur yang diasaskan oleh Nabi Ibrahim selepas roboh akibat banjir kerana memikirkan implikasinya. Walhal membina kembali Kaabah mengikut struktur asal merupakan sebuah yang harus.

Kerana implikasi merobohkan Kaabah pada masa itu akan membawa 'kerosakan' yang lebih besar berbanding kesalahan struktur Kaabah tersebut. Hadis ini membawa dua pengajaran iaitu melihat kesan akhir daripada sebuah tindakan, serta terkadang peraturan yang tidak harus dilakukan akan menghasilkan impak yang membawa kebaikan.

Ada juga orang yang berdalil dengan lagu negeri yang mengandungi perkataan Allah. Ini satu hujah yang sangat ajaib. Pertamanya bilakah lagu negeri tersebut menjadi lagu Gospel yang dinyanyikan didalam gereja? Keduanya jika orang Kristian melihat papan tanda yang tertera perkataan Allah, lalu menyebutnya, apakah papan tanda itu telah menjadi bahan selebaran agama Kristian?

Kita bukan mahu menutup mulut umat Kristian daripada menyebut nama Allah atau melarang mereka membaca perkataan Allah. Tetapi kita sedang bahaskan penggunaan kalimah Allah dalam bahan dakwah Kristian seperti Bible dan makalah-makalah yang mereka terbitkan. Alasan tidak keruan seperti ini adalah tindakan apologetik. Kesimpulannya pengharaman kalimah Allah dalam Bible dan selebaran dakwah Kristian memiliki dalil agama selaras dengan perlembagaan negara malah didokong oleh sosiobudaya.

Tuhan Bapa dalam pelbagai bahasa

Budaya Islam dalam mewacanakan ilmu menggunakan Bahasa Arab maka seluruh umat Islam tanpa mengira ras dan geografi - dari Timur hingga Barat - berkongsi pengetahuan dan kebudayaan yang sama. Orang Jepun yang menduduki Gunung Fuji tetap memanggil masjid sama seperti orang Eskimo yang memakai baju bulu dan hidup di belantara salji.

Begitu juga Tuhan Yang Esa dipanggil Allah oleh seluruh umat Islam sejak Islam didakwahkan oleh Nabi Muhammad SAW. Ketika bangsa Melayu memeluk Islam, nenek moyang kita memanggil Tuhan tersebut dengan nama Allah sedangkan sebelum itu mereka memanggil Brahman. Kosa kata Brahman dihapuskan sementara kata Tuhan dikekalkan sampai hari ini.

Ini sangat berbeza dengan nama Tuhan bagi agama Kristian, yang setiap bangsa menyebutnya sesuai dengan bahasa ibunda mereka. Umat Kristian Cina menulis perkataan shĂȘn atau shang-ti, sementara orang Kristian Korea menulis cheon-ju atau haneunim untuk Tuhan. Sedangkan orang Greek memanggil ho-theos atau ho-kurios. Sebaliknya orang Islam di China, atau di Korea atau di Greek senada seirama memanggil Allah sebagai nama Tuhan.

Kita perlu tahu bahawa masyarakat Sabah dan Sarawak menerima budaya masyarakat Indonesia, malah jika kita ke Kota Kinabalu, dengan mudah boleh menjumpai Al kitab terjemahan Indonesia. Jadi dalam Al kitab tersebut memang tertulis perkataan Allah ketika merujuk kepada Tuhan Bapa. Namun hakikatnya bukanlah budaya masyarakat Kristian di sana memanggil Allah.

Contoh mudah adalah ketika umat Islam membaca Al kitab terjemahan Indonesia, terjumpa perkataan Yesus, kita tetap akan memanggil Nabi Isa. Begitu juga ketika kita membaca karya sasterawan Indonesia yang dicalonkan Hadiah Nobel, Bapak Pram: ketika beliau menulis perkataan 'kebutuhan', apakah kita juga akan menggunakan perkataan yang sama dalam perbualan kita? Pasti tidak! Kita tetap menggunakan perkataan yang diterima oleh budaya kita iaitu 'keperluan'.

Jangan jadikan modal politik

Maka, isu kalimah Allah ini lebih dilihat sebagai modal politik pembangkang. Mereka telah terdesak sehingga menjadikan agama sebagai bahan mainan. Sedangkan isu agama merupakan perkara sensitif. Dalam sejarah dunia telah tercatit peperangan disebabkan agama. Kita tidak mahu negara kita bergolak kerana sentimen yang dibangkitkan oleh DAP. Cukuplah Syria berperang disebabkan Bashar al-Assad yang menganut agama Syiah cuba menghapuskan kaum Sunni. Peliknya Mat Sabu boleh menyokong perjuangan Bashar.

Umat Islam Malaysia mengisi komposisi 60 peratus sedangkan umat Kristian berjumlah sembilan peratus. Saya hairan ketika Lim Guan Eng mendesak kerajaan sedangkan majoriti bersama kerajaan.

Bagaimana DAP mengatakan bahawa mereka adalah pejuang demokrasi sedangkan dalam isu ini majoriti menolaknya. Nampaknya DAP sudah tidak demokratik, yang tinggal hanyalah nama parti seperti pepatah Cina menyebut "menggantung kepala kambing, menjual daging anjing". Bayangkan jika mereka menguasai negara, apa yang akan berlaku kepada kaum Cina yang menganut Buddha, Teoisme, Confucius dan agama dan budaya lain. Bagaimana pula dengan nasib Islam sendiri? Ini persoalan yang sangat serius.

Kita ini adalah bangsa Melayu yang masih memiliki sultan dan raja. Telah menjadi rukun kehidupan kita untuk mentaati raja dan pantang untuk menderhaka. Oleh sebab itu kita wajar menghormati keputusan raja dalam isu kalimah Allah kerana institusi raja yang bertanggungjawab dalam masalah agama Islam. Bagaimana kita ingin dihormati seandainya kita tidak pernah menghormati orang lain? Bagaimana kita ingin menegakkan nasib Melayu kalau sultan sebagai lambang bangsa kita diabaikan? Sultan dan Melayu tidak dapat dipisahkan.

Agenda pluralisme dan Kristianisasi

Saya tidak tahu apakah Lim Guan Eng berdoa kepada Tuhan Bapa dengan memanggil Allah dan memanggil Bonda Maria dengan nama Ibu Maryam. Malah saya juga tidak tahu apakah penganut Kristian di Malaysia sama ada di Semenanjung atau di Borneo memanggil Gabriel dengan nama Jibril, Gog dan Magog dengan Yakjuj dan Makjud, Mesiah dengan perkataan Al Masih. Malah saya sendiri tidak tahu apakah umat Kristian memanggil Haliluyah dengan sebutan Alhamdulillah. Jika tetap mahu guna kalimah Allah maka guna juga kata Alhamdulillah.

Jika DAP mahu menukar perkataan Tuhan kepada Allah maka perlu tukar semua nama dan perkataan lain yang semakna, seperti yang disebutkan tadi. Implikasinya lebih daripada itu: Gereja Jesus Benar wajar di tukar kepada Gereja Isa Benar. Gereja True God wajar ditukar kepada Gereja Allah Yang Sebenar. Gereja Immanuel perlu di tukar kepada Gereja Allah Menyertai Kita. Church of God kepada Gereja Allah.

Isu kalimah Allah ini dilihat sebagai agenda pluralisme dan taqrib (pendekatan) antara agama. Umat Islam wajar meninjau gerakan Kristianisasi di Indonesia yang sangat marak. Sekjen Kementerian Agama, Bahrul Hayat menjelaskan pertumbuhan gereja di sana adalah yang tercepat di dunia, mencapai 190 peratus setiap tahun. Gerakan Kristianisasi bermula dengan menterjemah Bible ke dalam bahasa Indonesia termasuk menggunakan nama Allah.

Ini bertepatan dengan teori psikologi yang disebut sebagai Homophily iaitu 'sama wajah'. Apabila pendakwah memiliki persamaan dengan orang yang didakwah maka proses mempengaruhi lebih mudah dilakukan.

Apabila Bible telah diterjemah ke dalam bahasa Melayu termasuk perkataan tuhan ditukar kepada Allah, maka darjah 'sama wajah' semakin besar. Umat Islam semakin terdedah kepada masalah murtad dan jumlah mereka akan bertambah.

Dahulu Pas menyalahkan kerajaan sebab isu murtad. Apa yang kerajaan sedang lakukan adalah untuk menangani masalah ini. Tapi hari ini Pas membuka pintu untuk orang Melayu murtad secara senyap. Nampaknya perjuangan akidah bukan lagi menjadi keutamaan mereka.

Selama ini rakyat Malaysia hidup dalam keadaan harmoni dan saling menghormati. Sebagai contoh di Sabah dan Sarawak, jika ada sekolah ganti pada hari Sabtu, guru-guru dari Gereja SDA tidak datang ke sekolah sebab hari Sabtu tidak boleh bekerja, dikhususkan untuk beribadah.

Guru-guru Islam memahami dan menghormati hukum dan peraturan Gereja SDA. Apakah kita ingin memaksa penganut Gereja SDA wajib datang ke sekolah juga?

Ini sungguh tidak wajar. Begitulah sebaliknya, umat Kristian wajar memikirkan sensitiviti umat Islam.

BACA INI JUGA: Kenapa Kalimah ALLAH Hanya Layak Untuk Umat Islam?

[Sumber]