Saturday, May 29, 2021

Menentang Kepandiran Bangsa Kayangan

Menentang Kepandiran Bangsa Kayangan

Dalam dunia yang penuh dengan peperangan dan penindasan ini barangkali hanya ada dua jenis manusia yang wujud: si kaya atau golongan kayangan, dan si miskin yang marhaen dan selain daripada yang dua itu, adalah tiada atau cuma fatamorgana.

Kayangan Malaysia

Dalam kesibukan peperangan itu kita sebenarnya lebih suka menidakkan, malah sejak dulu lagi kita selalu diajar untuk menghindar.

Lebih teruk daripada itu kita dididik agar mengabaikan segala macam jenis peperangan berkenaan.

Hasilnya, kita perlahan-lahan menjadi suatu masyarakat jahil yang memiliki kecenderungan untuk mengabaikan penindasan waima berlaku di bawah hidung sendiri.

Secara berstruktur dan bersistematik tanpa sedar kita pun menjadi suatu koloni manusia yang pasrah dan percaya bahawa tidak ada apa yang dapat kita lakukan bagi melawan ketidakadilan.

Sindrom kepandiran - atau bahasa lebih lunaknya ignorance syndrome - sebeginilah yang sebenarnya melemahkan kuasa rakyat dalam masyarakat.

Sementara cengkaman pemikiran feudal dan jiwa hamba menambahkan lagi parah yang ada.

Jika bukan itu yang berlaku, apa lagi penjelasan yang boleh diberi untuk menerangkan bagaimana kaum kayangan boleh bersenang-lenang bebas daripada hambatan SOP ketika orang biasa pula dijerut dengan ancaman kompaun yang maha firaun?

Misalnya, kebebasan menerima pelawat di hospital bagi meraikan kedatangan anak yang baru keluar dari rahim wanita terpilih.

Ketika ribuan pelajar berantakan menanti arahan mengenai masa esok yang menggerunkan dan ibu bapa kerisauan melihat pengurusan sekolah yang masih kelam-kabut, ada menteri kayangan yang bersedap-sedapan mengunyah kurma gadang dan mahal semasa berbuka puasa.

Keberanian mahu digertak

Barangkali mereka sudah ada jawapan yang tuntas untuk mengelak tanggungjawab apabila disoal di hadapan Tuhan nanti.

Pada masa yang sama kita juga kagum betapa kebanyakan orang tetaplah pasrah tanpa enggan melawan.

Kisah-kisau lampau mengajar kita bahawa gerakan kesedaran bagi membangkitkan rasa sepatutnya dalam kalangan masyarakat ini hanya boleh terjadi atas dua sebab.

Pertama, apabila seluruh kita mengalami kemelaratan total dan kedua apabila seluruh komuniti seniman mampu berpakat untuk menggunakan seni mereka sebagai senjata.

Dan penguasa barangkali menyedari hal berkenaan dan kerana itulah susuk seperti Fahmi Reza itu diserbu, pintu rumahnya dipecahkan dan dirinya ditangkap.

Dek kerana cuba membangkitkan kesedaran rakyatlah maka keberanian Fahmi itu cuba digertak dan kebebasan hasil seninya mahu dipenjarakan.

Jika anda masih keliru, biarlah kita jelaskan bahawa peperangan yang dimaksudkan dalam tulisan ini ialah tentang perang yang jarang buku-buku sejarah mahu kenang, iaitu deretan kisah murbawan yang ditekan.

Peperangan yang mahu disampaikan dalam tulisan ini juga adalah tentang pemerasan antara kelas, ketidaksetaraan perlaksanaan hukum, konflik sosial yang mewujudkan amalan pilih bulu dan kasta yang sebelum ini tidak ramai yang mahu mengendahkan.

Visual-visual satira yang dibawa Fahmi adalah seni yang sah. Ia adalah kebudayaan sastera yang bergenrekan satira.

Niatnya tidak lain dan tidak bukan adalah untuk meruntuhkan tembok besar kepandiran yang sekian lama dibina oleh bangsa kayangan agar mereka boleh terus bersedap-sedapan atas penindasan.

Fahmi membawakan lambang-lambang pembaharuan. Karyanya adalah kritikan yang segar, dihiasi warna-warni keberanian yang bersesuaian dengan zaman dengan matlamat membangkitkan kesedaran.

Sebagaimana novel Shit! karya Shahnon Ahmad yang berjaya mengeluarkan segala kekotoran dan busuk isi perut politik, Fahmi juga mahu melawan dengan cara mendedahkan segala tembelang, penyelewengan dan pemesongan akhlak bangsa kayangan.

Oleh kerana ianya adalah satira, sudah barang tentulah sarkasme dibawa visual Fahmi sarat dengan jenaka tajam yang menganjingkan kebodohan segelintir artisan, hartawan, kuasawan dan bagsawan yang berasa sangat kayangan.

Mencucuk-cucuk naluri orang

Pihak yang menentang perjuangan seumpama itu termasuklah para 'waibi' yang berasa suci, namun terlupa Nabi Muhammad SAW itu dihantar Tuhan bukanlah untuk menjadi raja, pemerintah, presiden parti, ketua kerajaan atau mengetuai mana-mana syarikat berkaitan kerajaan.

Sebaliknya nabi diutus untuk menentang segala jenis penindasan yang berpunca dari bangsa kayangan.

Pemerasan si kaya atau bangsa kayangan terhadap rakyat bawahan disentak oleh nabi dengan ajaran Islam yang sempurna dan tidak mengenal pilih kasih.

Pun begitu, bagi bangsa kayangan Makkah yang mendominasi serta memonopoli segala kekayaan di kota raya itu melihat nabi sebagai manusia yang biadab lagi menghina.

Justeru waibi tertentu yang ghairah mengadukan Fahmi kepada polis sepatutnya faham sedangkan nabi yang ditugaskan - antara lain - untuk meluruskan akhlak bangsa yang semakin edan itu juga dilabel gila lagi biadab.

Muhammad menjadi nabi pada saat sindrom kejahilan diarusperdanakan hingga kerja-kerja menegur melawan penindasan tidak ada sesiapa yang mahu melaksanakannya.

Fahmi sudah tentu bukan nabi. Dia sekadar manusia yang sentiasa terdedah kepada salah dan dosa, tetapi dia sedang mencucuk-cucuk naluri ramai orang dengan satiranya.

Fahmi mahu membuka mata masyarakat agar faham bahawa keadilan tidak akan tertegak tanpa keberanian.

Karya-karyanya yang sejak dulu dianggap melampau dan menyinggung adalah jeritan kepada ramai orang agar bersama-sama mematikan sindrom pandir sesegera mungkin.

Jika ada bangsa kayangan yang terasa hati, terluka atau sakit hatinya, di sisi lain ada ramai yang tersenyum puas kerana di sebalik kelucuan itu sakit dan marah yang tersimpan lama dalam dada terluahkan juga walaupun melalui orang bernama Fahmi.

Nak tahu mengapa Fahmi ditangkap dan seninya mahu dimandulkan?

Jawapannya ialah kerana penguasa kayangan sedar dia membawa kesedaran dan jika tidak ditindaki segera, semua rakyat akan bangkit daripada sindrom kejahilan.

BACA INI JUGA:
sumber: malaysiakini

Khasiat Dan Manfaat Rempah Sumac Tinggi Anti-Oksidan

Khasiat Dan Manfaat Rempah Sumac Tinggi Anti-Oksidan

Sumac atau juga disebut sumach, sumak, soumak, sumaq, berasal dari bahasa Perancis Lama, Bahasa Syria atau Arab سُمَّاق‎ (summāq) yang bermaksud 'merah', terkenal di Timur Tengah, Afrika, dan Amerika Utara.

Sumac

Rempah Sumac mempunyai rasa masam seakan lemon dan sering digunakan dalam pelbagai jenis masakan.

Secara botaninya, sumac adalah pokok renek dan kecil yang boleh mencapai ketinggian 1–10 meter, daun berpilin, bunganya padat dan sangat kecil, kehijauan, putih krim atau merah dengan 5 kelopak buahnya membentuk kelompok padat buah berbiji merah.

Rempah Sumac dihasilkan daripada biji kering pohon Rhus coriaria, iaitu nama saintifiknya.

Khasiat Sumac Untuk Kesihatan

Rempah Sumac ini telah digunakan sejak sekian lama bukan hanya kerana warna dan rasanya yang menaikkan lagi selera dalam hidangan, tetapi juga pelbagai kelebihan sumac terhadap kesihatan.

Berikut adalah antara khasiat sumac yang telah dikaji secara saintifik.

1. Mengawal Kandungan Gula Dalam Darah

Menurut Dr. Josh Axe menerusi Dr. Axe.com, kajian telah membuktikan bahawa khasiat sumac dapat membantu mengekalkan bacaan gula normal dalam darah, serta membantu menurunkan kadar gula sehingga 13%.

Hal ini turut disokong oleh sebuah kajian yang diterbitkan pada tahun 2014 menerusi Journal of Research in Medical Sciences, di mana ia dikatakan berpotensi mengawal kadar insulin dan menstabilkan kadar gula dalam darah.

2. Kaya Anti-Oksidan

Salah satu kelebihan sumac juga adalah kerana kandungan anti oksidannya yang tinggi berbanding kebanyakan herba dan rempah lain.

Menurut sumber, kandungan anti oksidan yang terdapat dalam sumac adalah melebihi kayu manis, oregano, acai berry serta banyak lagi buah-buahan dan sayuran lain.

3. Mengurangkan Kadar Kolesterol

Dalam sebuah kajian oleh Tehran University of Medical Sciences di Iran, antara khasiat sumac adalah, ia berupaya mengurangkan kadar kolesterol dan trigliserida.

Seperti yang kita tahu, kadar kolesterol yang terlalu tinggi dalam arteri akan membentuk sumbatan pada otot jantung hingga terpaksa bekerja lebih keras sekali gus menjadi faktor risiko terhadap penyakit jantung.

4. Digunakan Secara Tradisional Untuk Kesihatan Wanita

Sumac juga boleh dijadikan jus atau teh dan ia digunakan secara turun-temurun untuk merawat masalah kesihatan wanita, menambah susu ibu, mengurangkan kesakitan senggugut dan cramp (krem).

Ia turut digunakan secara luaran untuk mengatasi masalah discaj vagina yang berlebihan.

5. Membantu Kekuatan Tulang

Terdapat kajian mendakwa sumac berpotensi digunakan untuk meningkatkan kekuatan tulang.

Ini kerana ia mampu mencegah pereputan tulang serta menghilangkan risiko kehilangan jisim tulang.

6. Tinggi Vitamin C

Jus sumac biasa dijadikan minuman oleh orang asli Amerika untuk merawat demam, batuk dan penyakit skurvi oleh kerana sifatnya yang kaya dengan vitamin C.

7. Mengurangkan Kesakitan Otot

Dalam Hungarian Academy of Sciences, kajian mendapati bahawa jus sumac mampu mengurangkan kesakitan otot yang dialami selepas bersenam.

Disebabkan kandungan anti-oksidannya yang tinggi, ia turut membantu mengurangkan inflamasi dan memberi kelegaan kepada sesiapa yang mengambilnya secara sederhana.

CARA GUNA SUMAC

Letakkan 1 sudu teh serbuk sumac ke dalam cawan dan campurkan dengan air panas. Minum ketika suam. Juga boleh dibancuh sejuk dan boleh dicampurkan dengan madu. Minum sehari sekali pun sudah mencukupi.

Juga boleh dicampurkan ke dalam makanan seperti salad, untuk perapan daging, ayam dan sebagainya.

Rasanya masam seperti ribena, roselle dan delima.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: mysihat

Lantikan Politik GLC Rasuah Yang Menjahanamkan Negara!

Lantikan Politik GLC Rasuah Yang Menjahanamkan Negara!

Negara dapat membuat penjimatan besar jika kerajaan tidak lagi melantik orang politik ke jawatan bukan eksekutif di syaikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC), dan sebenarnya boleh beroperasi secara profesional dengan kakitangan yang mahir tanpa perlu campur tangan orang politik.

GLC

Pada masa sama, syarikat GLC terbabit sememangnya berada dalam kawalan menteri dan kabinet.

Amalan yang ada sekarang sejak dahulu lagi adalah satu bentuk rasuah politik.

Tugas dan tanggungjawab ahli parlimen yang tidak menganggotai kabinet ialah menjadi penggubal undang-undang sepenuh masa.

Dan disitulah sebenarnya kerja hakiki ahli politik, bukannya menguruskan LRT, sebagai contoh.

Dalam setiap GLC sudah ada pegawai eksekutif yang dibayar gaji tinggi untuk menjalankan operasi syarikat terbabit dan tidak ada keperluan menambah beban kewangan entiti itu dengan melantik orang politik.

Bayangkan berapa bilion ringgit dapat diselamatkan setiap tahun sekiranya jawatan-jawatan bukan eksekutif ini dilupuskan?

Sebagai contoh dan perbandingan paling ketara, bagaimana suatu ketika dahulu syarikat penerbangan tambang murah AirAsia mampu mencatatkan keuntungan, sedangkan MAS merekodkan ratusan juta kerugian setiap tahun?

Keadaan ini berlaku kerana MAS terpaksa membayar emolumen yang sangat tinggi kepada ahli politik yang dilantik sebagai lembaga pengarah, sehingga mencatat kerugian berpanjangan.

Menjarah GLC

Jawatan pengerusi bukan eksekutif sewajibnya dilupuskan kepada banyak lagi GLC lain seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB), Felcra, Felda, Risda, Lembaga Tabung Haji, Syarikat Perumahan Negara, Permodalan Nasional Bhd (PNB), Majlis Amanah Rakyat (Mara), Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan banyak lagi.

Biarkan orang profesional yang layak, bermerit dan berintegriti menjalankan operasi GLC tersebut.

Bukannya ahli politik yang sememangnya tidak boleh dipercayai dan tidak amanah.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: malaysiakini

Thursday, May 27, 2021

'Lockdown' 2 Bulan Rahsia Wuhan Bebas Covid-19!

'Lockdown' 2 Bulan Rahsia Wuhan Bebas Covid-19!

Pada lewat bulan Disember 2019, pihak berkuasa kesihatan di Wuhan, China mengesan sejumlah kes penyakit paru-paru dikalangan penduduk dengan kebanyakan daripada mereka mempunyai sejarah berkunjung ke Pasar Makanan Laut Huanan di ibu negeri wilayah Hubei.

Wuhan

Penyakit paru-paru itu kemudiannya dikenali sebagai Covid-19 dan Wuhan merupakan bandar raya pertama di dunia yang melaporkan tentang kewujudan pandemik tersebut dan pada 19 Februari 2020, sebanyak 44,412 kes jangkitan pandemik itu dilaporkan di Wuhan dan 74,280 kes jangkitan itu berlaku di China.

Pada tarikh itu, angka kematian yang dicatatkan di Wuhan ialah 1,497 orang manakala di China ialah 2,009 orang sebelum ia mencatatkan lebih 50,000 kes keseluruhan dan lebih 46,000 kes sembuh serta hampir 4,000 kematian akibat Covid-19 sehingga Mei 2021.

Pasukan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pernah memutuskan bahawa virus Covid-19 mungkin berjangkit dari haiwan kepada seorang manusia sebelum tersebar di Wuhan dan berlakunya wabak di pasar Huanan di bandar raya tersebut serta menjadi pandemik di hampir kebanyakan negara di dunia.

Sebelum ini, para penyelidik pandemik itu termasuk dari Akademi Perubatan Sains Shandong di China berkata, analisis mereka mendapati kelawar mungkin menjadi perumah asal virus Covid-19.

Menurut para penyelidik itu, haiwan-haiwan hidupan liar di Pasar Makanan Laut Huanan kemungkinan menjadi haiwan perantara yang menyebabkan virus Covid-19 itu tersebar kepada manusia.

Namun persoalannya, bagaimana ketika banyak negara lain masih bergelut dengan peningkatan kes Covid-19, malah sudah bersilih kali melakukan lockdown, Wuhan bukan sahaja pulih daripada penularan pandemik Covid-19, bahkan cuma mencatatkan satu kes sahaja dari 6 hingga 19 Mei 2021.

Mengimbau kembali kronologi Covid-19 di Wuhan, berikutan kes positif yang semakin meningkat pada tahun 2020, pihak berkuasa negeri itu melaksanakan 'lockdown' bermula pada 23 Januari 2020 sebelum berakhir pada 8 April 2020 iaitu selama lebih dua bulan.

Ia merupakan 'lockdown' pertama dilaksanakan di dunia berikutan penularan pandemik Covid-19.

Pergerakan penduduk keluar ke bandar raya-bandar raya lain disekat manakala pengangkutan awam seperti bas dan tren bawah tanah dilarang beroperasi manakala penerbangan, perkhidmatan kereta api serta bas jarak jauh tidak dibenarkan semasa pelaksanaan 'lockdown' itu.

Sambutan Tahun Baharu Cina dan keraian melibatkan perhimpunan orang ramai dibatalkan manakala mengembara ke luar negara untuk tujuan melancong serta penjualan tiket penerbangan termasuk tempahan hotel dilarang dilakukan semasa perintah 'lockdown' itu dikuatkuasakan.

Lebih banyak hospital didirikan oleh pemerintah China untuk merawat pesakit-pesakit Covid-19 manakala ribuan penduduk dikuarantin di hospital-hospital baharu dan ribuan kakitangan perubatan di seluruh negara datang ke Wuhan serta di beberapa bandar raya lain di wilayah Hubei untuk menghulurkan bantuan.

Menurut artikel dalam Global Health Research and Policy, banyak garis panduan bagi menghalang penularan Covid-19 turut dikeluarkan antaranya ialah kerap membasuh tangan, memakai pelitup muka dan memakai gogal merupakan cara efektif untuk mengelak daripada terkena jangkitan Covid-19.

Penduduk juga tidak dibenarkan untuk keluar menemui komuniti lain dan mereka mematuhi larangan tersebut manakala menurut portal berita RT, kebanyakan perniagaan tempatan dan kilang turut ditutup bagi menghalang penularan Covid-19.

Perintah 'lockdowan' itu ditarik balik pada 8 April manakala tiada kes baharu Covid dilaporkan dalam tempoh beberapa bulan sehinggalah buat pertama kalinya pada 18 Mac 2020.

Selepas 'lockdown' ditarik balik, langkah-langkah pencegahan penularan pandemik itu dibuat di stesen-stesen pengangkutan awam apabila kakitangan-kakitangannya memakai pakaian pelindung diri yang kebanyakannya berwarna putih.

Sebahagian penumpang dilihat memakai dua pelitup muka, sarung tangan dan pakaian pelindung diri selain diwajibkan menunjukkan kod hijau pada aplikasi di telefon bimbit bagi membuktikan mereka benar-benar sihat.

Semua itu berlaku sebelum China meluluskan vaksin pertamanya, Sinopharm untuk kegunaan penduduk negara itu pada 30 Disember 2020 dan menurut Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan, sehingga 1 Mei 2021, lebih 265 juta daripada 1.4 bilion penduduknya (hampir 20 peratus) sudah menerima suntikan vaksin keluaran syarikat ubat-ubatan negaranya.

Menurut agensi berita Xinhua, berdasarkan laporan biro statistik Wuhan, bagi tempoh tiga bulan pertama tahun 2021, Keluaran Produk Domestik bandar raya itu kini sudah mencapai kira-kira AS$55 bilion (RM228.03 bilion).

Ekonomi bandar raya itu telah berkembang sebanyak 58.4 peratus pada suku pertama iaitu setahun selepas ekonominya terjejas disebabkan oleh Covid-19.

China telah berjaya mengawal pandemik itu menerusi 'lockdown' dan kawalan sempadan sejak pertengahan tahun 2020 lalu dengan hanya 17 kes Covid-19 dilaporkan dalam kalangan pengembara yang menjalani kuarantin.

Malah, ketika Wuhan dilanda kes menggila Covid-19 dan menjadi negara paling tinggi kes pembunuh itu pada Mac tahun 2020, selepas setahun semuanya sudah berubah sama sekali.

Peliknya, walaupun mempunyai 1.4 bilion penduduk, pada 18 Mei 2021 lalu China cuma mencatatkan 14 kes harian.

Dan lebih mengejutkan ketika kes positif Covid-19 di Malaysia mencanak naik, China cuma mencatatkan 90,000 kes!

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: sinarharian

Bau Pudina Penghalau Tikus Ampuh!

Bau Pudina Penghalau Tikus Ampuh!

Tikus adalah sejenis haiwan yang kehadirannya tidak diundang di rumah kita kerana selain gemar merosakkan barang dan mencuri makanan, ia juga mampu menyebarkan pelbagai penyakit, bagaimanapun membasminya bukan perkara mudah kerana ia adalah haiwan pemusnah yang cukup licik dan bijak melarikan diri.

Halau Tikus

Tetapi sebenarnya terdapat sejenis minyak yang boleh digunakan untuk menghalang tikus daripada mendekati rumah anda iaitu minyak pudina.

Meskipun penggunaan bahan semula jadi jarang berhasil namun minyak pudina dikatakan berkesan kerana ia mempunyai hubung kait dengan sifat tikus yang tidak gemar akan baunya.

Menanam pokok pudina di sekeliling rumah juga membantu menghalau tikus.

Seperti mana yang kita tahu, penglihatan tikus sangat terhad tetapi deria baunya sangat tajam. Tikus cukup sensitif dengan bau pudina yang menyengat hidungnya.

Sementara itu, anda juga boleh meletakkan pokok pudina di sekeliling rumah atau kawasan laluannya agar ia takut mendekati rumah anda.

Minyaknya pula boleh disembur atau ditaburkan di laluan atau lubang tempat dipercayai membolehkan tikus meloloskan diri masuk ke dalam rumah terutamanya dapur.

Dengan cara ini ia tidak akan berani mendekati rumah anda kerana bau pudina itu sudah cukup menjadi ancaman kepadanya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: mstar

Maksud Mimpi Melihat Binatang Pelik

Maksud Mimpi Melihat Binatang Pelik

Sudah menjadi kebiasaan bagi kita sering bermimpi yang dianggap bunga tidur yang tidak bererti apa-apa, tetapi mimpi juga adakalanya melambangkan sesuatu yang berkaitan tentang hidup kita di alam nyata.

Mimpi aneh

Mimpi bertemu binatang punya banyak pengertian dan maknanya, biasanya ada hubungan dengan perubahan dan rasa tidak tenang dan beberapa di antaranya akan kami rangkumkan di bawah, terutamanya apabila kita bermimpi melihat binatang pelik.

1. Maksud mimpi bertemu binatang di dalam rumah

Mimpi melihat binatang di dalam rumah menandakan anda sedang memerlukan ketenangan.

Saat ini anda sedang mengalami kebingungan dalam hidup dan memerlukan kepastian.

Anda juga mungkin sedang berusaha melayani sikap seseorang yang membuat diri tidak tenang dan cuba bersikap jujur dengan kemahuan dan keinginan diri sendiri.

2. Maksud mimpi melihat binatang kecil

Ini bererti anda punya sikap keanak-anakan dan saat ini, anda perlu mengubah sikap dan pemikiran, bersikap seperti orang dewasa untuk menyelesaikan sebarang masalah.

3. Maksud mimpi melihat katak

Melihat katak dalam mimpi dipercayai mempunyai maksud positif kerana melambangkan cinta dan kemakmuran.

Saat melihat katak melompat juga boleh bererti wujudnya impian dan cita-cita lama anda.

Melihat katak bermaksud suatu petunjuk, menandakan perubahan dalam hidup yang akan anda alami dalam waktu terdekat.

4. Maksud mimpi melihat binatang yang tidak anda ketahui jenisnya

Maksud mimpi melihat binatang aneh dan pelik atau tidak diketahui jenisnya merupakan petanda akan ada peristiwa dan kejadian tidak terduga yang mengejutkan anda dalam waktu dekat.

Kamu merasa khuatir dengan beberapa masalah yang akhir-akhir ini mengganggu hidupmu dan jika tidak mampu menyelesaikannya, justeru akan memunculkan masalah-masalah yang lain.

Jika dalam mimpi anda melihat binatang tersebut hidup di darat, maka ia akan berpengaruh terhadap kerugian rezeki anda.

5. Maksud mimpi melihat binatang dengan bentuk yang aneh

Dalam mimpi, realiti boleh saja terlihat berbeza, jadi bila anda melihat binatang yang diketahui tetapi dengan keanehan dan kelainan, misalnya gajah berwarna perak, atau kuning berwarna hijau, ini menandakan masalah rumit yang sedang anda hadapi dan membuatkan anda stres memikirkannya.

Wallahu a'lam.

p/s: Ini adalah untuk pengetahuan dan pembacaan semata-mata dan bukanlah sebagai kepercayaan 100%.

BACA INI JUGA:
sumber: womantalk

Monday, May 24, 2021

PKP 3.0: Kerajaan Gagal!

PKP 3.0: Kerajaan Gagal!

Siapa yang menang dan siapa yang kalah susulan mesyuarat terbaharu Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan keputusan untuk tidak melaksanakan sekatan pergerakan penuh dalam perang melawan wabak Covid-19?

Kerajaan+Gagal

Rakyat dan negara kita yang kalah, tetapi kerajaan pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menganggap mereka telah menang.

Perkara ini sangat meragukan walaupun beberapa kajian populariti kononnya mengatakan Muhyiddin Yassin jauh mendahului pemimpin lain.

Seorang doktor, mengenai pandangannya terhadap keputusan MKN seperti yang diumumkan oleh Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri.

Jawapannya:

"Dari pandangan perubatan, langsung tak masuk akal."

"Dari segi kelangsungan hidup politik, baik untuk mereka."

"Untuk rakyat, habislah"!

Nampak gayanya, jenaka "MCO – Making Confusing Orders; CMCO – Continue Making Confusing Orders; EMCO – Even More Confusing Orders; RMCO – Repeatedly Making Confusing Orders" di media sosial tidak akan berakhir dalam masa terdekat.

Apabila Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah meminta rakyat untuk melakukan "lockdown kendiri" selama dua minggu untuk membantu Kementerian Kesihatan (KKM) memutuskan rantaian jangkitan Covid-19, seolah-olah dia sendiri sudah tiada pilihan lagi kerana barangkali dia tidak mampu mendapatkan MKN untuk menerima cadangannya.

Hanya mereka yang sangat optimis sahaja yang akan percaya bahawa langkah-langkah yang diambil oleh MKN boleh memutuskan rantaian jangkitan dalam masa dua minggu.

Kini, rakyat hanya ditinggalkan dengan "lockdown kendiri" -- mengelakkan 3C (kawasan yang sesak, sempit dan sembang dengan jarak dekat) dan mengamalkan 3W (wash, wear dan warn).

Sekiranya perkara ini memadai, kita tidak perlu pun melalui PKP, PKPB, PKPD, dan PKPP.

Tetapi dengan beberapa hari berturut-turut negara mencatatkan jumlah kes baru melepasi paras 6,000 kes, dengan jumlah kes terkumpul kini lebih daripada setengah juta dan kadar kematian lebih 2000 orang, 32 juta rakyat Malaysia perlu menunjukkan kepada dunia yang kita berdisiplin dan mampu untuk melaksanakan "lockdown kendiri".

Pada masa sama, kita tidak boleh berhenti menuntut kerajaan untuk membawa dasar-dasar yang lebih baik untuk mengawal wabak Covid-19 ini.

Muhyiddin diseru untuk mengetepikan pertimbangan lain dan menasihati Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong untuk memanggil sidang Parlimen dan DUN untuk membentuk barisan melawan Covid-19 yang kuat dengan lima matlamat:
  • Mobilisasi kebangsaan.
  • Mengembalikan kepercayaan dan keyakinan rakyat.
  • Pakej rangsangan ekonomi untuk membantu golongan memerlukan.
  • Ujian saringan saringan besar-besaran.
  • Mempercepatkan program vaksinasi.

Walaupun Parlimen dan DUN telah digantung sidangnya, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar telah menitahkan ahli-ahli Parlimen dan DUN di negeri itu untuk bermesyuarat membincangkan masalah Covid-19 ini yang kini semakin teruk.

Sekiranya jangkaan baru disemak Kementerian Kesihatan terbukti tepat, kita akan melihat peningkatan harian di sekitar 8,000 kes sehari pada Jun.

Adakah kita akan melihat 10,000 kes sehari menjadi norma baru di Malaysia?

Kadar peningkatan harian kes Covid-19 di Malaysia melebihi kadar di Indonesia dan perkara ini seakan-akan mengiyakan kenyataan pihak berkuasa di Indonesia untuk rakyat mereka tidak mengikuti jejak langkah Malaysia atau India dalam menguruskan wabak ini.

Malah, India sendiri melihat kadar penurunan mendadak sebanyak 42 peratus berbanding dengan kemuncak 414,433 kes pada 6 Mei 2021.

Semua negeri sepatutnya mengikut langkah nasihat Sultan Johor dan mengadakan mesyuarat dalam kalangan ahli Parlimen dan Adun untuk menyemak perkembangan terkini berkenaan Covid-19.

Menjadi satu idea yang baik untuk wakil rakyat kayangan membentuk barisan bersatu di Parlimen dan DUN untuk mencapai kelima-lima objektif di atas.

Ia perlu didorong oleh konsensus sama ada secara formal atau sebaliknya tanpa sebarang "undi tidak percaya" untuk membolehkan penggal Parlimen dan DUN sedia ada dipenuhkan sehingga Mei 2023, melainkan jika keadaan Covid-19 bertambah baik dengan lebih awal.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: malaysiakini

Thursday, May 20, 2021

Covid-19: Cara Kerajaan Islam Dahulu Menangani Wabak Berbahaya

Covid-19: Cara Kerajaan Islam Dahulu Menangani Wabak Berbahaya

Di saat-saat genting yang negara kita hadapi, bahkan dunia yang sangat tenat kini, sangat penting untuk kita patuhi saranan ahli agama khususnya ulama dan juga pakar perubatan, kerana jika hanya bermodal semangat tanpa ilmu, maka akan lebih banyak merosak berbanding memperbaiki.

Wabak

Mari kita sorot kembali kepada lembaran sejarah Islam, seharusnya kita menyauk hikmahnya. Sejarah ini bukan hanya sekadar dinikmati kehebatan kisah-kisah masa lampau, tetapi juga untuk belajar daripada musibah zaman dulu agar tidak berulang lagi pada zaman ini.

Menyikapi suasana bencana yang kita bahkan seantero dunia sedang depani kini, ulama telah banyak menulis buku-buku berkaitan tentang 'treatment' menghadapinya.

Tinggal mahu atau tidak sahaja lagi untuk dinafi mahupun diikuti, namun fikirlah orang lain dan bukan hanya diri kita sendiri yang tidak mahu menelusuri, mengikuti mahupun mempercayainya.

Dr Ali Muhammad Audah yang telah menghimpunkan 24 kitab sepanjang zaman mengisahkan bagaimana umat mengalami bencana (dalam hal ini wabak penyakit) dan bagaimana pemerintah mereka menanganinya.

CARA PEMERINTAH ISLAM MELAWAN PENYAKIT BERJANGKIT

Antara pelajaran terpenting yang perlu kita ketahui adalah kisah yang ditulis oleh Imam Ibnu Hajar al-Asqalani dalam kitabnya 'Badl al-Maun fi Fadhli At-Tha'un' mengenai wabak penyakit menyerang kota Damsyik pada tahun 749 Hijrah atau sekitar tahun 1348 Masihi.

Maka, waktu itu majoriti ulama memberi saranan agar masyarakat tidak berkumpul dan menjauhkan diri daripada majlis-majlis serta tempat yang ramai orang, namun apakah yang terjadi selepas itu?

Masyarakat tidak mengikuti saranan yang diberikan para ulama dan mereka keluar menuju lapangan luas bersama para pemimpin negara. Mereka berdoa dan meminta pertolongan Allah secara beramai-ramai.

Sungguh menakutkan, wabak itu semakin menular padahal sebelum mereka berkumpul, mangsa kematian adalah sangat sedikit.

Hadis Rasulullah telah mengingatkan.

Seterusnya Imam Ibnu Hajar pun mengisahkan apa yang terjadi itu pernah juga terjadi pada zaman selepasnya ketika wabak melanda Kaherah (Mesir), tepatnya pada 27 Rabiul Akhir tahun 833 Hijrah (1430 Masihi) yang mana pada awalnya kes kematian kurang daripada 40 orang.

Masyarakat pada masa itu keluar ke tanah lapang pada 4 Jamadilawal setelah mereka melakukan puasa tiga hari sebagaimana yang dilakukan ketika akan solat istisqa' (mohon hujan).

Mereka berkumpul untuk tujuan berdoa kemudian pulang ke rumah masing-masing, namun tidak sampai sebulan setelah agenda berkumpul mereka itu, jumlah kematian meningkat mendadak menjadi 1,000 orang setiap hari dan terus bertambah.

GILA KUASA

Sungguh perkara itu telah terjadi di negara kita ini dengan permulaannya adalah ketika berlangsungnya Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tahun 2020 lalu.

Betapa pihak kerajaan yang menyeru jangan keluar atau masuk ke tempat yang dijangkiti, tetapi itulah yang berbondong-bondong ahli politik lakukan!

Sunnah Nabi Muhammad SAW dalam mengendalikan sesuatu wabak penyakit yang melanda sesebuah tempat sebagaimana mafhum hadis berikut:

"Jika kamu mendengar wabak melanda suatu negeri, maka jangan kamu memasukinya. Dan jika kamu berada di daerah itu, janganlah kamu keluar untuk lari daripadanya." (Hadis Riwayat Bukhari & Muslim)

Maka sejak usai PRN Sabah yang kali pertamanya berlangsung ketika negara berdepan serangan pandemik Covid-19, jangkitan di Semenanjung terus meningkat. Masihkah kita ingat keadaan itu?

Sejak awal lagi beberapa penganalisis menduga kelangsungan pilihan raya itu akan mengundang suatu yang negatif terhadap usaha membendung penyebaran Covid-19 di negara ini.

Ia jelas terbukti apabila kes baharu meningkat mendadak selepas PRN Sabah pada 26 September 2020 dan hal ini tidak dinafikan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin dalam ucapan khas beliau 6 Oktober 2020.

Berbalik kepada kisah yang ditulis oleh Imam Ibnu Hajar, beberapa orang pada waktu itu telah memberi fatwa bahawa berkumpul untuk berdoa itu perlu kerana beranggapan seharusnya demikian.

Ada juga yang menyatakan bahawa dulu, pada zaman seorang raja bernama al-Muayyad, situasi seperti itu terjadi dan wabak boleh ditangani dan hilang.

Hakikatnya, ulama telah menetapkan fatwa bahawa tidak berkumpul adalah keadaan yang lebih utama untuk menghindarkan diri daripada fitnah penyakit.

PATUHILAH SARANAN

Ya, kita wajib hanya takut kepada Allah, bukan Covid-19, namun kerana takutkan pada Allah, maka laksanakanlah sunnatullah yang perlu diikhtiarkan, bukan tidak kisah sahaja.

Oleh itu, perlu satu kaedah yang lebih rasional serta kritis kerana ia berkaitan keselamatan dan nyawa manusia yang nilainya amat besar. Ia tidak lain dan tidak bukan, fatwa daripada mufti yang perlu diselaraskan di setiap negeri. Jika tidak, boleh jadi wabak ini sukar dibendung. Setakat denda dan hukuman, sebenarnya ia akan menambah masalah baru pada rakyat.

Maka bersegeralah pihak yang sepatutnya melaksanakan selagi masih ada kesempatan ini. Boleh jadi itulah jalan dan petunjuk yang sebaiknya diikuti, bukan menambahkan bebanan rakyat yang sedia ada.

Kita sebagai rakyat dan masyarakat yang punya agama, segeralah sedar agar tidak terus mementingkan diri. Berlaku ihsanlah terhadap manusia lainnya yang berusaha melakukan yang terbaik untuk memutuskan rantaian wabak ini.

Dr Majdi al-Hilali menulis dalam kitabnya 'Innahu al-Quran Sirru Nahdhatina' bahawa umat yang memandang rendah terhadap usaha manusia bermaksud telah mengkhianati Allah.

Ini kerana Allah SWT memberikan kepada manusia hukum, sebab dan akibat. Tentunya yang tidak peduli dengan semua itu tandanya mereka tidak mensyukuri nikmat yang dikurniakan-Nya.

Beliau menjelaskan bahawa usaha manusiawi itu boleh jadi dalam bentuk 'physical distancing', menetap di rumah saja jika tiada keperluan yang mendesak di luar, sentiasa memakai penutup mulut (mask).

Begitu juga fatwa ulama tentang menghindarkan diri daripada tempat yang ramai, termasuk saranan sementara waktu untuk tidak solat di masjid dan surau, keputusan itu semuanya dengan dalil dan musyawarah yang panjang, tentunya bukan berlandaskan ego dan kepentingan peribadi.

Kerana nyawa seorang manusia itu mahal harganya, Umar bin Khattab r.a., imannya tinggi tetapi ketika diberi pilihan untuk datang ke daerah wabak atau kembali ke Madinah, beliau memilih untuk pulang ke Madinah.

Kalimahnya yang terkenal, "Kita pergi daripada takdir Allah kepada takdir Allah yang lain."

Atau bahasa mudahnya dapat kita ertikan sebagai, selamatkanlah diri kita daripada terjebak dengan sesuatu wabak itu, maka tetaplah di tempat yang didiami sendiri itu.

Makanya, ambillah pelajaran daripada sejarah ini agar kita muhasabah dan tidak jatuh di tempat yang sama dua kali dan kelak wabak pandemik yang melanda seantero ini segera dihilangkan Allah, hingga masjid kembali ramai dengan umat yang merindui serta kita semua dapat kembali hidup sebagaimana biasanya sebelum pandemik ini hadir.

Teruslah sama perbaikinya

Betapa ramai yang pernah terkena virus ini lalu sembuh dan dapat kembali hidup seperti biasa dan berapa ramai juga yang dijangkiti lalu ia pergi menghadap Ilahi.

Fikirlah agar kita terus berusaha melandaikan lekuk jangkitan ini. Hindarkan sikap pentingkan diri, prihatinlah dengan insan lain di sekeliling yang sangat berhati-hati.

Sampai bila kita semua hendak menunggu undang-undang, menunggu fatwa, menunggu penguatkuasaan atau menunggu diri sendiri dijangkiti Covid-19 terlebih dahulu? Nauzubillah.

Sewajarnya inilah masanya masyarakat menggunakan 'common sense' dan rasa tanggungjawab untuk sama-sama memerangi wabak ini.

Apa pun, kita tidak patut salahkan sesiapa lagi. Menoleh ke belakang dan menuding jari kepada mana-mana pihak hanya merugikan dan membuang masa berharga dalam menghadapi dan berjuang menghapuskan Covid-19 ini.

Rasional dan jalan terbaiknya ialah kita semua perlu melihat bagaimana untuk menghadapinya ke arah lebih baik dan memastikan kes baharu tidak terus meningkat hari demi hari.

Maka teruskan usaha-usaha kita bersama doa agar Allah segera melenyapkan virus ini di bumi Malaysia dan seluruh dunia. Ayuhlah!

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:
sumber: malaysiakini

Thursday, May 06, 2021

Bill Gates Hilang Separuh Kekayaan Selepas Bercerai!?

Bill Gates Hilang Separuh Kekayaan Selepas Bercerai!?

Pengasas Microsoft, Bill Gates dan isteri, Melinda, mengumumkan akan bercerai dan dalam proses mengakhiri perkahwinan selama 27 tahun, yang dibuat dalam satu kenyataan bersama, oleh pasangan tersebut menerusi laman Twitter.

Bill Gates

"Selepas banyak memikirkan dan berusaha menjayakan hubungan ini, kami telah membuat keputusan untuk menamatkan perkahwinan kami," demikian menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu juga mengatakan mereka akan meneruskan kerjasama di Yayasan Bill & Melinda Gates, iaitu badan amal gergasi yang membiayai program kesihatan global, kesaksamaan gender, pendidikan dan pelbagai kegiatan amal lain.

"Kami terus berkongsi kepercayaan dalam misi ini dan akan terus bekerja bersama di yayasan itu namun kami tidak lagi boleh bersama sebagai pasangan dalam fasa kehidupan akan datang," tulis kenyataan itu.

Pengumuman itu dibuat dua tahun selepas perceraian pengasas Amazon, Jeff Bezos, salah satu orang terkaya di dunia dengan isterinya, MacKenzie.

Bill Gates senaraikan baik dan buruk kahwin sebelum bercerai

Dua tahun sebelum mengumumkan perceraian dengan isterinya, Melinda, Bill Gates telah menyenaraikan kebaikan dan keburukan perkahwinan di papan putih dalam siri tiga episod Netflix, "Inside Bill's Brain."

Setelah setahun sebagai pasangan kekasih, selepas pertemuan mereka pada 1987, Melinda menggambarkan bagaimana hubungan mereka berada di persimpangan dan Bill harus membuat keputusan.

Suatu hari ketika Melinda masuk ke bilik tidur Bill, dia telah membuat senarai di papan tulis.

"Tersenarai di papan tulisnya kebaikan dan keburukan berkahwin," kata isterinya dalam dokumentari itu, sambil tertawa mengenangkan memori tersebut.

Melinda adalah eksekutif kanan Microsoft sebelum bertemu dan mengahwini Bill.

Pasangan itu akhirnya mengikat hubungan di Lanai, Hawaii, ketika Gates berusia 38 dan Melinda 29 tahun, lapor Associated Press.

Mereka menubuhkan Yayasan Bill dan Melinda Gates pada tahun 2000 dan pasangan itu telah mengeluarkan AS$45 bilion untuk menangani masalah global seperti kesemaan gender dan kemiskinan.

Pada tahun 2019, setelah merayakan ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-25, Melinda memberitahu The Sunday Times bahawa perkahwinan mereka kadang-kadang "sangat sukar".

"Kami baru sampai ke titik di mana Bill dan saya berdua dapat mentertawakan lebih banyak perkara.

"Dan, percayalah, saya dapat mengingati hari-hari yang sangat sukar dalam perkahwinan kami di mana anda berfikir, 'bolehkah saya melakukan ini?'" Kata Melinda.

Dalam wawancara itu, dia teringat bagaimana beliau sangat marah kepada Bill kerana memilih untuk membaca buku Winston Churchill daripada membantunya membuat persiapan kepada ketiga-tiga anaknya ketika mereka bersiap-siap untuk keluar.

Dia memberitahu media bahawa Bill berjuang untuk mencari keseimbangan kerja-kehidupan.

Bakal Hilang Separuh Kekayaan

Sementara itu, Bill Gates, yang bernilai $124 billion, membuat kenyataan di Twitter tentang masa depan empayar Gates dan kekayaannya kini tergantung.

Bill Gates mengatakan mereka memutuskan untuk "mengakhiri perkahwinan kami" setelah "banyak berfikir dan banyak kerja" – dua tahun setelah pasangan itu meraikan ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-25 dan isterinya mengakui kehidupan perkahwinan itu "sangat sukar."

Melinda berkata bahawa mereka telah membesarkan "tiga anak luar biasa" dan pada masa yang sama berusaha untuk menolong orang lain di seluruh dunia.

"Kami terus berkongsi kepercayaan dalam misi dan akan meneruskan pekerjaan kami di yayasan itu, tetapi kami tidak lagi percaya bahawa kami dapat hidup bersama sebagai pasangan dalam fasa kehidupan seterusnya," tulis Bill Gates.

"Kami meminta ruang dan privasi untuk keluarga kami ketika kami mulai menjalani kehidupan baru ini," dia menyimpulkan.

Melinda turut menulis pernyataan twitter yang serupa.

Gergasi teknologi, Bill Gates adalah orang terkaya di dunia sehingga Jeff Bezos dari Amazon memintasnya pada tahun 2017.

Lelaki berusia 64 tahun itu menjadi orang ke dua terkaya di dunia – dengan kekayaan $124 bilion – ketika dia turun dari takhta Microsoft untuk memberi tumpuan kepada usaha amal mereka.

Namun, walaupun dia telah memberikan AS$50 bilion untuk amal sejak tahun 1994, Gates memperoleh wang pada kadar yang lebih cepat daripada apa yang dia sumbangkan.

Sepanjang perkahwinannya dengan Melinda, mereka dianugerahkan seramai 3 orang anak iaitu Jennifer, 25, Rory, 21 dan Phoebe, 18.

Perceraian antara Bill Gates dan Melinda ini diramal akan merekodkan kos perceraian termahal di dunia yang masih dalam peringkat rundingan.

Untuk rekod, kos perceraian antara Jeff Bezos dan MacKenzie Bezos pada tahun 2019 dahulu dianggarkan berjumlah USD38 bilion, sekali gus menjadikan bekas isteri pembangun Amazon.com itu sebagai wanita ketiga terkaya di dunia.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: 1 | 2

Wednesday, May 05, 2021

Pendidikan Seks Cara Islam

Pendidikan Seks Cara Islam

Seks bukanlah suatu taboo yang tidak dibincangkan langsung dalam pendidikan Islam, kerana ia dianggap tuntutan fitrah manusia sepertimana makan, minum dan tidur. Ia tidak diajar secara lucah, tetapi dengan ilmiah, kerana Islam menghormati maruah dan mengiktiraf tuntutan nafsu manusia. Tidak wajar dijadikan jenaka.

Pendidikan seks

Junaid Baghdadi berkata, "Aku memerlukan seks sebagaimana aku memerlukan makanan." Imam al-Ghazali menjelaskan, "Maka isteri adalah makanan (batin) dan jalan kebersihan hati."

Kitab Ihya Ulumiddin menerangkan tujuan zakar lelaki dan vagina perempuan.

"Allah taala telah menciptakan suami isteri. Dijadikan tanda kelakian (zakar) dan dua buah pelir. Dijadikan air yang hanyir dalam tulang belakang lelaki dan disediakannya bagi air yang hanyir itu dalam dua buah pelir, urat-urat dan tempat-tempat mengalir.

"Dijadikannya rahim perempuan, tempat ketetapan dan tempat simpanan air yang hanyir itu. Dan dikerasinya kehendak nafsu syahwat kepada sesama sendiri, lelaki dan perempuan. Maka segala perbuatan dan alat itu menjadi saksi nyata dengan lisan yang tegas untuk melahirkan dari iradah Penciptanya. Dan menyerukan sekalian yang berakal fikiran untuk mengenali apa yang di sediakan untuknya."

Begitulah ketinggian tamadun ilmu Islam; zakar, vagina dan air mani pun ada falsafah yang tinggi.

Seks tidak dilucahkan dalam kitab-kitab ulama. Melucahkan seks atau menormalisasikan lawak rogol (rape joke) adalah pembodohan akal yang tidak pernah dilazimi salafussoleh. Saat berbicara soal ini, sikap malu dan matang adalah perlu.

Ulama mendidik lelaki dan perempuan dengan sikap malu, sehinggakan seks bebas dianggap aib besar. Maka jalan zina jua dianggap sebagai perkara memalukan. Pakai seksi, menonton porno, ugut rogol dan lain-lain, ini semua adalah jalan zina yang keji. Bimbang sekali, membiasakan lidah dengan perkara lucah akan melenturkan hati untuk tidak malu dengan zina.

Malah, menjadikan seks sebagai bahan lawak adalah mengkhianati sikap malu yang dianjurkan Nabi! Lidah yang menuturkan perkara kotor itu, kelak akan dipersoal di hadapan Allah.

Rasulullah bersabda, "Sesungguhnya orang yang berkata-kata dengan perkataan yang mentertawakan teman-teman duduknya, maka dia akan jatuh dengan perkataan itu lebih jauh dari bintang surayya." (HR Ibnu Abi Dunya)

Rasulullah bersabda, "Tidaklah orang mukmin itu pencela, pengutuk, pelaku perbuatan keji dan berlidah kotor." (HR Tirmizi)

Rasulullah bersabda, "Jagalah dirimu daripada kekejian! Kerana Allah tidak menyukai kekejian dan perbuatan keji." (HR Ibn Hibban)

Ibn Abbas berkata, "Barangsiapa berdosa dengan suatu dosa dan dia tertawa, nescaya dia masuk neraka dan dia menangis."

"Percakapan tentang perempuan termasuk perkara maksiat." (Imam al-Ghazali)

Salman al Farisi berkata, "Manusia yang terbanyak dosanya di hari kiamat, ialah yang terbanyak perkataannya pada perbuatan maksiat terhadap Allah."

"Orang yang keji dan melakukan perkara keji, akan dibangkitkan di hari kiamat dalam bentuk anjing atau dalam perut anjing." (Ihya Ulumiddin)

"Bolehkah Saya Berzina?"

Lihatlah sirah di saat Rasulullah mendidik pemuda dengan sikap malu. Seorang pemuda datang bertemu Nabi dan bertanya, bolehkah dia berzina. Apa jawab Nabi? Mafhumnya:

Kata Baginda, "Adakah engkau suka ibumu berzina?"

"Tidak! Dijadikanlah kiranya aku oleh Allah tebusan engkau!"

"Manusia pun begitu, tidak menyukai zina untuk ibu mereka. Adakah engkau menyukai zina untuk anak perempuan engkau?"

"Tidak! Dijadikanlah kiranya aku oleh Allah tebusan engkau!"

"Manusia pun begitu, tidak menyukai zina untuk anak perempuan mereka."

"Adakah engkau menyukai zina untuk saudara perempuan engkau?"

Dijawab oleh anak muda itu; "Tidak! Dijadikanlah kiranya aku oleh Allah tebusan engkau!" Dan Nabi pun menyambung; "Manusia tidak menyukainya."

Kemudian Nabi meletakkan tangan ke dada anak muda itu dan berdoa: "Ya Allah tuhanku, sucikanlah hatinya, ampunilah dosanya dan peliharalah kemaluannya."

Setelah itu, yang paling dibenci anak muda ini adalah zina.

Pendidikan Seks Cara Islam, Bukannya Kaedah Orang Barat!

Lihatlah pendekatan kaunseling Nabi, secara psikologi dan spiritual. Yang salah itu salah. Perkara salah tidak diselesaikan dengan cara salah.

Di sini Nabi fokus kepada penyelesaian dan tidak menjadikannya jenaka. Hati manusia mudah menganggap ringan dengan sesuatu yang dianggap lawak. Seks bukan lawak. Di sini Nabi mengaitkan seks bebas dengan maruah dan pemuda itu sendiri merasa malu. Sungguh halus dakwah Nabi.

Ulama tidak segan menuliskan seks secara ilmiah.

Berbicara soal seks tidak salah. Yang salah adalah melucahkan seks.

Ibnu Umar seorang sahabat, pernah berbuka puasa dengan seks, sebelum makan. Pernah sekali dia melakukannya dengan tiga orang hamba perempuan sebelum solat Isyak.

Ada seorang sahabat Nabi yang mempunyai syahwat besar, sampaikan isteri-isterinya tidak larat melayan. Akhir sekali, Nabi mengahwinkan sahabat itu dengan seorang wanita lain, dan isteri barunya itu mampu memenuhi semua keinginan syahwatnya.

Saidina Ali menikahi perempuan lain seminggu setelah Fatimah wafat.

Fayyadh bin Nujaih berkata, "Apabila naik zakar lelaki, maka hilanglah 2/3 akalnya." Sesetengah berkata, "1/3 agamanya."

Ibnu Abbas menafsirkan QS Falaq ayat ke-3: "Dan dari kegelapan (malam) ketika ia telah datang," sebagai bangunnya kemaluan lelaki. Maknanya mengerasnya syahwat itu, akal dan agama tidak lagi berfungsi.

Seorang pemuda pernah mengadu kepada Ibnu Abbas, "Sesungguhnya aku seorang pemuda yang tidak mempunyai isteri. Kadang-kadang aku takut terjadi perkara jahat kepadaku. Kadang-kadang aku keluarkan mani dengan tanganku sendiri (melancap). Adakah itu suatu maksiat?"

Maka Ibnu Abbas memalingkan muka dan berkata, "Ah kotor sekali! Kahwin dengan hamba perempuan adalah lebih baik daripada itu. Dan itu adalah lebih baik daripada zina."

Imam al-Ghazali menekankan soal malu dalam pendidikan seks. Merasa jijik dengan jalan zina adalah tanda hati yang sihat. Maka merasa kelakar dengan perkara jijik boleh mengotorkan hati. Jangan dijadikan kebiasaan. Bimbang tompok kecil menjadi besar sehingga seluruh hati bertukar hitam.

Untuk mengelakkan seks bebas atau rogol, maka ulama menyarankan tiga perkara: Menundukkan pandangan, Puasa, Kahwin.

Ketiga-tiga perkara ini perlu dilaksanakan semampu mungkin. Jikalau mampu, berkahwinlah. Maka menundukkan pandangan dan berpuasa menjadi lebih mudah. Jika tidak, tundukkanlah pandangan dan berpuasa sehingga sampai jodoh.

Tidak menjaga pandangan akan mengeraskan syahwat dan jika berulangkali dibuat boleh membuat nafsu membuak-buak sehingga sukar ditolak. Melabuhkan pakaian bagi perempuan juga tidak terkecuali, kerana ia membantu lelaki menundukkan pandangan.

"Marriage did not end the fight. It just makes it easier."

Kahwin itu menyempurnakan separuh agama. Yang separuh lagi itu masih perlu diperjuangkan.

Dalam semua soal, lelaki dan perempuan sama-sama perlu berjuang.

Lelaki perlu berjuang menundukkan pandangan, perempuan perlu berjuang melabuhkan pakaian. Lelaki perlu berjuang mengumpul duit kahwin, perempuan perlu berjuang memujuk wali.

Lelaki dan perempuan sama-sama perlu berjuang menjaga maruah dan kehormatan, kerana neraka itu bukan untuk wanita seorang, dan syurga itu bukan hanya untuk lelaki. Syurga itu untuk orang-orang soleh dari lelaki dan perempuan, neraka itu untuk orang-orang derhaka daripada lelaki dan perempuan. Allah itu maha adil.

Ini baru sekadar pada bab adab & tasawuf. Belum lagi bab feqh, yang lebih luas perbahasan seks dan seksualiti.

Kitab Qurrotul 'Uyun karya Syeikh Muhammad At-Tihami bin Al-Madani Kanun, membincangkan adab jimak.

Kitab Al-Rawd al-'Athir fi' Nuzhat al-Khathir, karangan Syaikh al Imam al-Allamah al-Humam Sayiddi Muhammad al Nafzawi membincangkan petua seks.

Kitab al-Fiqh al-Manhaji Ala al-Mazhab al-Imam al-Syafie karya Dr. Mustofa Al-Khin, Dr. Mustofa Al-Bugho & Ali Asy-Syarbaji memasukkan bab berkenaan haid, nifas dan istihadah.

Lihatlah kesungguhan ulama, tidak meninggalkan umat dalam kejahilan. Tidak memperbodohkan umat dengan lawak lucah. Seks dibincangkan secara ilmiah. Ulama boleh membahaskan seks secara sihat. Mengapa tidak kita contohi pewaris Nabi?

Berdoalah kita, agar dijauhkan lidah, mata dan hati daripada perkara menjijikkan.

Rujukan: Imam al-Ghazali. Ihya Ulumiddin.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:
sumber: thepatriots