Sunday, May 31, 2020

18 Cara Untuk Kita Hidup Selamat Di Samping Covid-19

18 Cara Untuk Kita Hidup Selamat Di Samping Covid-19

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah pun mengeluarkan amaran, COVID-19 yang pertama kali muncul di Wuhan, China akhir tahun 2019 yang lalu tidak akan hilang dan penduduk dunia perlu menerima hakikat dan belajar hidup dengannya.

Hidup Bersama Covid-19

Jadi, dibawah ini adalah sesuatu yang praktikal dan jujur disebalik usaha keras seluruh dunia untuk menghentikan penyebaran pandemik COVID-19, namun mungkin tidak akan berjaya dihapuskan sepenuhnya.

APA YANG KITA BOLEH LAKUKAN?

1. Kita perlu teruskan hidup selepas ini bersama-sama Covid-19 untuk berbulan-bulan atau bertahun. Tak perlu dinafikan atau cemas. Usah sia-siakan hidup kita. Marilah belajar hidup dengan fakta.

2. Anda tidak boleh menghapuskan virus Covid-19 yang meresap ke sel-sel dinding dengan meminum bergelen air panas. Anda hanya perlu ke bilik air sekerap mungkin.

3. Basuh tangan dan kekalkan jarak 2 meter (6 kaki) dari orang lain adalah cara terbaik melindungi diri kita.

4. Jika tidak ada pesakit Covid-19 di rumah, tak perlulah sembur permukaan kediaman.

5. Bungkusan kiriman, pam di stesyen, trolly di pasaraya dan ATM tidak menyebabkan jangkitan. Basuh saja tangan, teruskan hidup seperti biasa.

6. Covid-19 bukannya jangkitan dari makanan. Ia berkait dengan titisan seperti selsema. Tidak ada bukti ia disebar dengan memesan makanan.

7. Anda mungkin hilang deria bau dan mengalami pelbagai alahan dan jangkitan. Ini adalah bukan simptom Covid-19 yang nyata.

8. Bila balik rumah, tak perlu tukar baju dengan segera dan ke bilik air. Kebersihan penting, taksub tak perlu.

9. Virus Covid-19 tidak berada di udara. Titisan jangkitan yang memberi kesan jika berhubungan. Oleh itu, sentiasa kekalkan jarak anda.

10. Udara adalah bersih, anda boleh berjalan-jalan di taman (pastikan kekal jarak selamat).

11. Memadailah menggunakan sabun biasa untuk Covid-19, bukan sabun anti bakteria. Ianya virus bukan bakteria.

12. Anda tidak perlu risau bila memesan makanan. Tapi anda boleh panaskan guna mikrowave jika perlu.

13. Peluang untuk membawa Covid-19 ke rumah dengan kasut anda adalah sesuatu yang tidak diterima akal. Saya bekerja melawan virus selama 20 tahun, titisan jangkitan tidak tersebar seperti itu.

14. Anda tidak boleh menghalang virus dengan mengambil cuka, air tebu dan halia. Ini untuk pencegahan, bukan merawat. Tetapi tidak salah jika dimakan selalu untuk menguatkan antibodi tubuh.

15. Menguna mask/topeng muka terlalu lama akan mengganggu pernafasan dan kadar oksigen. Gunalah bila berada di tempat awam.

16. Memakai sarung tangan juga tidak perlu. Virus akan berkumpul ke dalam sarung tangan dan mudah merebak jika anda sentuh muka anda. Lebih baik basuh saja tangan sekerap mungkin.

17. Kekebalan menjadi lemah bila terlalu lama berada di kawasan yang kerap dinyahkuman. Walaupun mengambil makanan yang berkhasiat, anda perlu keluar rumah. Pergilah taman atau pantai.

18. Ketahanan akan meningkat dengan mendedahkan diri pada PATHOGEN, bukan duduk di rumah dan makan makanan yang berminyak, berempah, bergula dan minuman berkarbonat.

Virus COVID-19 Tidak Akan Hilang

Untuk pandemik ini berakhir, dunia memerlukan vaksin yang pastinya akan mengambil masa bertahun untuk sesuatu populasi penduduk membentuk imunisasi berkumpulan bagi COVID-19.

Walaupun satu vaksin yang efektif berjaya dihasilkan dalam masa terdekat, ia tetap memerlukan kerja yang banyak untuk menghasilkannya dan tempoh yang lama untuk mengagihkan vaksin ke seluruh dunia.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

Saturday, May 30, 2020

Khasiat Kuaci Untuk Kesihatan Yang Ramai Tidak Tahu

Khasiat Kuaci Untuk Kesihatan Yang Ramai Tidak Tahu

Biji bunga matahari, juga dikenali sebagai kuaci ialah buah bunga matahari (Helianthus annuus) dan terdapat tiga jenis benih bunga matahari yang biasa digunakan: benih minyak linoleik (paling umum), minyak oleik tinggi dan minyak bunga matahari.

Khasiat Kuaci

Berikut kami kongsikan beberapa khasiat kuaci bunga matahari:

1. Kandungan Nutrien

Kuaci biji bunga matahari mengandungi sejumlah besar vitamin E iaitu 61.5% daripada nilai harian yang diperlukan tubuh.

Ia juga mengandungi vitamin B1, mangan, tembaga, magnesium, vitamin B6, fosforus dan beberapa nutrien penting lain.

2. Manfaat Vitamin E

Vitamin E adalah sangat penting untuk badan, tetapi kebanyakan daripada kita tidak mendapatkannya dengan cukup.

Jika anda mempunyai artritis atau isu-isu radang lain, mengambil lebih vitamin E boleh membantu anda mengurangkan gejala.

Biji bunga matahari adalah makanan ringan yang sangat baik sebagai sebahagian daripada diet anti radang.

Vitamin E meneutralkan radikal bebas dan membantu kulit anda, organ-organ dan tisu-tisu lain untuk kekal sihat.

Ini adalah salah satu sebab mengapa vitamin E adalah elemen penting dalam produk kecantikan, termasuk sabun dan syampu.

Vitamin E boleh membantu untuk menjaga kulit sentiasa segar dan mungkin mempunyai kesan anti-penuaan pada penampilan diri, juga boleh menguatkan rambut dan melindunginya daripada kerosakan.

Kajian telah menunjukkan bahawa pengambilan vitamin E membantu mengurangkan risiko mendapat kanser kolon atau penyakit kardiovaskular.

Vitamin E juga dapat menghentikan tindakan radikal bebas dan menghentikan tindakan pengoksidaan kolesterol yang menghalang sumbatan dalam arteri jantung (kolesterol teroksida hanya untuk dinding saluran darah anda).

Akhir sekali, satu faedah lebih vitamin E adalah pengurangan hot flashes semasa menopaus.

3. Manfaat Phytosterols

Terdapat bahan yang terdapat di dalam biji bunga matahari dipanggil phytosterols dan lebih menarik lagi, bahan kimia ini adalah sama dengan struktur kolesterol, namun ia dapat mengurangkan jumlah kolesterol dalam darah.

Dengan mengurangkan kolesterol dalam saluran darah, phytosterols pada biji bunga matahari menambah manfaat kesihatan kardiovaskular dan juga boleh melindungi kita daripada kanser.

4. Magnesium

Biji bunga matahari mengandungi kadar Magnesium yang tinggi dan merupakan satu lagi nutrien penting untuk kesihatan yang ramai orang tidak mendapatnya dengan mencukupi.

Jika anda seorang penghidap asma, Magnesium boleh mengurangkan gejala asma anda.

Jika mempunyai tekanan darah tinggi, ia mungkin boleh menurunkannya.

Sesiapa yang selalu mengalami migrain juga boleh mengambil kuaci biji bunga matahari untuk mengurangkan rasa migrain.

Wanita yang menghidap PMS (premenstrual syndrome) iaitu sakit kepala apabila menghampiri tempoh haid dan sering disertai migrain dan kekejangan otot serta saraf, pengambilan magnesium boleh mengimbangi beberapa kesan-kesan ini.

Magnesium tambahan menyokong pertumbuhan tulang yang sihat dan boleh meningkatkan tahap tenaga anda dan melawan kelesuan.

Pada masa yang sama, magnesium membantu merehatkan saraf dengan bertindak sebagai penghalang saluran kalsium.

Ini membolehkan saraf anda terhindar dari gejala overactivating yang menyebabkan tekanan darah tinggi, kekejangan otot dan migrain.

5. Selenium

Selenium bukanlah nutrien yang terkenal, tetapi ia adalah sangat penting kerana kajian telah menunjukkan bahawa kanser boleh berlaku akibat dari pengambilan selenium yang tidak mencukupi.

Selenium boleh memperlahankan atau menghentikan penyebaran sel-sel kanser dan juga membina dan memperbaiki sel-sel bukan kanser yang rosak dalam tubuh.

Selenium juga mempunyai hubungan penting dengan protein yang melindungi badan daripada toksin karsinogenik.

Nilai Gizi Kuaci

Kandungan nutrisi dalam 30 gram atau 1/4 gelas kuaci:
  • Kalori: 163 Kkal.
  • Lemak: 14 gram.
  • Protein: 5.5 gram.
  • Karbohidrat: 6.5 gram.
  • Serat: 3 gram.
  • Flat: 17% dari keperluan harian.
  • Vitamin E: 37% dari keperluan harian.
  • Zat besi: 6% dari keperluan harian.
  • Zink: 10% dari keperluan harian.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: maheera/fb

SBDJ Siri 146: Bertarung Di Batanghari

SBDJ Siri 146: Bertarung Di Batanghari

Hati saya menjadi kecut gadis yang nampak lemah lembut dan penuh sopan santun rupa-rupanya menguasai Cakar Kera dan Bangau Putih. Ini sungguh hebat, saya tak boleh main kasar dengannya, kalau main kasar alamat gigi saya tercabut atau tulang terkehel. Dia bukan gadis sembarangan.

SBDJ siri 139

Celakanya, hati saya sudah terpaut dengan wajahnya yang bujur sirih. Dan gadis-gadis yang terlekat di hati terus padam dari ingatan saya.

"Nurul Hayat, kau cantik," jerit batin saya sambil menggigit lidah dan menelan air liur.

Mata nakal saya sering saja merenung ke arah tingkap dapur dan mengharapkan Nurul hayat segera keluar membawa minuman untuk kami.

Saya jadi resah, tidak tentu arah.

"Kenapa kamu nampak gelisah," tidak saya duga itu yang diungkap oleh Haji Mat Nor di saat sepasang anak matanya menerpa ke wajah saya. Dia tersenyum sinis.

"Agaknya dia nak minum, sabarlah," tingkah Fuad Hassan.

Satu sindiran yang amat tajam untuk saya. Datuk tidak memberi sebarang komen, dia hanya tunduk saja.

"Aku jadi sewa bot kamu, ini baki dari duit pendahuluan dulu," Haji Mat Nor hulur wang kepada Fuad Hassan.

Saya lihat Fuad Hassan seperti keberatan mahu menerima wang tersebut. Dia nampak resah semacam sambil merenung ke arah saya.

"Bila nak bertolak?" tanya Fuad Hassan.

"Lepas sembahyang zuhur," jawab Datuk.

Perbualan terhenti sebentar kerana memberi kesempatan pada Nurul Hayat mengaturkan kopi dan hidangan di depan kami.

Kesempatan itu saya gunakan dengan sebaik mungkin untuk menatap wajah bujur sirih yang dilindungi selendang sutera warna kemerah-merahan.

Mata nakal saya terus mengenyit ke arahnya sebaik saja dia meletakkan cawan.

Saya kira kenyitan itu pasti mendapat balasan dengan senyuman, perkiraan saya tidak tepat.

Saya menerima kerlingan tanda marah yang dituruti dengan jegilan sepasang mata yang bersinar garang dan secara tidak langsung memperlihatkan ciri-ciri pendekar.

Lagi sekali jantung saya berdegup dan terus merenung lantai.

Nurul Hayat meninggalkan kami di pelantar. Sebagai anak muda, ekor mata saya yang nakal terus menyorot langkah dan lenggang-lenggok Nurul Hayat. Hati kecil saya sudah terpikat dengannya.

"Minumlah cepat, apa menung-menung," sergah Datuk.

Saya tersipu-sipu malu, kerana di saat Datuk menyebut perkataan tersebut biji mata Haji Mat Nor dan Fuad Hassan tertumpu ke arah saya.

Bagi menghilangkan rasa malu, kopi segera saya hirup. Biji mata Haji Mat Nor dan Fuad Hassan tidak lagi tertumpu ke wajah saya.

Mereka terus mengunyah kuih dan menghirup kopi, perasaan saya jadi aman dan tenteram.

"Aku memilih menyewa bot kamu kerana itu kemahuan Nakhoda Amirul. Katanya, kamu boleh berlebih kurang dan arif dengan selok-belok Sungai Batanghari," Haji Mat Nor terus menjentik badan cawan dengan kuku jari telunjuk untuk beberapa kali.

Kemudian menghirup sisa kopi yang masih ada untuk kali terakhir.

"Puas hati dengan bayaran sewa? Kalau tak puas hati cakap terus-terang, biar aku sampaikan dengan Nakhoda Amirul.

"Kalau kamu memerlukannya sangat-sangat, boleh aku dulukan duit aku," cukup tenang Haji Mat Nor bersuara.

"Ah, ini pun dah lebih dari cukup, lagi pun Nakhoda Amirul banyak membantu aku," sahut Fuad Hassan.

"Kalau begitu biar kami balik dulu," Haji Mat Nor tepuk bahu Fuad Hassan. Saya dan Datuk berpandangan.

"Macam mana kalau kita makan tengah hari di sini," permintaan dari Fuad Hassan yang tidak berapa saya senangi.

Saya kira Datuk juga keberatan untuk memenuhi permintaan tersebut.

"Minta maaf saja," jawab Haji Mat Nor.

"Bagaimana dengan awak pula?"

"Saya juga minta maaf, lagi pun dah janji nak makan tengah hari di rumah sahabat saya ni," Datuk meluruskan jari telunjuk ke arah Haji Mat Nor. Cepat-cepat Haji Mat Nor anggukkan kepala.

"Lagi pun saya belum berkemas," tambah Datuk lagi.

Dan saya lihat Fuad Hassan anggukkan kepala mendengar alasan yang diberikan oleh Datuk dan kami pun berangkat meninggalkan kawasan rumah Fuad Hassan.

Bila sampai dekat pokok bunga tanjung yang besar dan rimbun, saya menoleh ke arah rumah yang berbumbung limas itu dengan harapan Nurul Hayat akan muncul di jendela untuk memberikan senyuman terakhir.

Harapan saya tidak menjadi kesampaian dan dalam putus asa itu, saya terus melangkah sembarangan.

Entah macam mana kaki kanan tersepak seketul kayu. Akibatnya saya tersungkur ke bumi.

"Ke mana mata kamu? Orang berjalan merenung ke bumi, bukan renung ke sana ke sini macam rusa masuk kampung," rungut Datuk dengan wajah yang kurang menyenangkan.

Dan terasa diri serba salah, hayun tangan dan langkah kaki semuanya tidak menjadi.

Lebih menghampakan lagi bila terlihat Haji Mat Nor tersenyum sinis ke arah saya. Terasa tebal kulit muka.

Apa mahu dikata, itulah nasib diri yang sudah di amuk mabuk kepayang terhadap Nurul Hayat. Langkah saya teruskan.

BERANGKAT

Setelah selesai makan dan sembahyang zuhur, Haji Mat Nor pun mengajak saya dan Datuk ke pengkalan bot Kuala Tungkal.

Sebaik saja kami sampai ke jeti (pengkalan), dari jauh sudah kelihatan Fuad Hassan berada di atas bot.

Dia melambaikan tangan ke arah kami sambil menjerit nama Haji Mat Nor dengan lantang. Langkah kami panjangkan untuk mendekatinya.

Bila hampir dengannya saya dapati botnya cukup besar. Bahagian badan bot dicat dengan warna biru macam air laut. Bahagian atas pula dicat dengan warna putih.

"Saya harap awak selesa dengan bot ini," katanya sebaik saja saya dan Datuk berdiri di atas botnya. Haji Mat Nor masih lagi berdiri di atas jeti.

"Selain dari kami tak ada orang lain," mulut nakal saya mengajukan pertanyaan.

Datuk gigit bibir sambil menggelengkan kepala dengan pertanyaan yang saya kemukakan kepada Fuad Hassan.

Memang tidak saya sangka sama sekali Haji Mat Nor yang berada di atas jeti dapat mendengar pertanyaan tersebut. Dia tersenyum lucu.

"Kenapa kau tanya macam tu, Tamar?" soal Haji Mat Nor.

"Sengaja nak tanya."

"Tak salah dia bertanya, biar saya berterus terang. Bila saya hantar mereka ke Jambi, masa balik bot saya kosong. Saya perlukan kawan maklumlah keadaan sekarang bukannya bagus sangat," kata-kata yang keluar dari mulut Fuad Hassan membuat saya tersentak begitu juga dengan Haji Mat Nor dan Datuk.

"Siapa dia kawan yang kamu bawa?"

Fuad Hassan tersenyum dengan sepasang matanya merenung tajam ke arah Haji Mat Nor yang berdiri atas jeti dalam panas terik.

Badan saya sudah berpeluh, rasa panas cukup perit menggigit kulit muka. Angin dari Selat Bengkalis tidak dapat menyejukkan seluruh tubuh.

Datuk tetap tenang merenung ke arah ombak laut yang beralun.

"Siapa dia kawan kamu tu, Fuad?" ulang Haji Mat Nor.

Perhatian saya dan Datuk mula tertumpu kepada Fuad Hassan. Berdebar menanti jawapan darinya.

"Saya yang nak temankan ayah."

Bila mata saya dan Datuk tertumpu ke arah hujung bot, Nurul Hayat berdiri di situ dengan kain selubung yang menutupi sebahagian dari wajahnya.

Saya tergamam untuk beberapa saat sebelum saya menghadiahkan senyum untuknya.

Nurul Hayat segera kembali masuk ke perut bot. Saya menarik nafas hampa.

Saya kira alangkah baiknya kalau Nurul Hayat mahu berdiri di situ selama lima minit sambil menjatuhkan kain selubungnya untuk saya tatap wajahnya.

"Haji, sekarang kamu dah tahu siapa kawan aku."

"Apa kamu yakin dia dapat menolong kamu kalau di serang orang jahat?"

"Aku yakin dia boleh menolong. Kalau masa pergi ada perompak nak rampas bot aku tak bimbang, sebabnya kami ada berempat. Apa yang aku bimbangkan bila masa nak balik nanti."

"Kalau kamu dah yakin dengan kemampuannya, dengan izin Allah kamu boleh mengalahkan musuh," kata haji Mat Nor sambil mengesat peluh di dahi dengan belakang tangannya.

"Aku harap kawan kita dari semenanjung tidak kecil hati dengan cara ni. Kalau dia kecil hati aku minta maaf. Aku terpaksa buat demi keselamatan aku."

Saya tahu kata-kata itu ditujukan oleh Fuad Hassan untuk Datuk.

"Saya tak kecil hati, tak marah. Saya megah kerana awak beringat sebelum kena. Memang menjadi budaya kita orang Melayu, sediakan payung sebelum hujan, beringat sebelum kena," sahut Datuk dengan spontan.

Datuk dan Fuad Hassan berbalas ketawa penuh mesra dalam sinaran matahari yang kian menggigit, Haji Mat Nor tumpang senyum dari jauh.

"Rasanya waktu yang baik untuk bertolak, matahari dah condong angin pun tak berapa kuat," kata Datuk sambil merenung ke dada langit melihat awan gemawan yang bergerak perlahan-lahan ke arah utara.

"Saya mengikut saja," jawab Fuad Hassan.

"Biarlah kami pergi dulu," jerit Datuk ke arah Haji Mat Nor.

"Silakan, semoga Allah menyelamatkan perjalanan kamu semua, diharapkan tak ada halangan yang menghalang, elakkan diri dari musuh kecuali sudah terpaksa," nasihat Haji Mat Nor.

Fuad Hassan menyelinap ke dalam perut bot. Beberapa minit kemudian terdengar bunyi enjin bot.

Air dipinggir bot nampak berbuih dan bergelombang. Fuad Hassan keluar dari perut bot, bersalaman dengan Haji Mat Nor.

Bot mula bergerak memisahkan badannya dengan jeti.

MEMUSINGKAN

Setelah memusingkan badannya, bot pun menghalakan haluannya ke arah yang ingin ditujui.

Bunyi jentera bot makin kuat, ombak dan alun buritan bot kian hebat.

Saya dan Datuk masih lagi merenung ke arah pelantar, begitu juga dengan Fuad Hassan.

Kami berbalas-balas lambaian tangan dengan Haji Mat Nor.

Tiba-tiba saya terfikir siapa yang mengemudi bot yang kami naiki, sedangkan Fuad Hassan yang sepatutnya memandu bot masih berdiri di kanan Datuk. Dada saya berdebar.

"Siapa yang bawa bot?"

Serentak dengan pertanyaan itu, wajah Fuad Hassan saya tenung lama-lama.

Dia tersenyum lalu membongkok mengambil sesuatu di atas lantai bot dan terus dibaling ke laut.

"Iya, siapa yang bawa bot, tak mungkin bot berjalan sendiri," Datuk yang mula perasan dengan apa yang saya katakan terus mengeluarkan pertanyaan.

"Siapa lagi kalau bukan Nurul Hayat," kata Fuad Hassan.

"Nurul Hayat," kata saya.

"Iya, anak saya tu serba boleh, kalau calang-calang orang lelaki tak dapat mengatasi kebolehannya," saya kira kata-kata itu adalah sindiran yang tajam untuk saya.

Makin lama makin jauh jeti Kuala Tungkal kami tinggalkan, bot-bot yang berlabuh di situ nampak berbalam-balam dan akhirnya terus ghaib dari kuasa mata saya.

Kami berselisih dengan beberapa bot yang sedang menuju ke Selat Bengkalis atau pergi ke Kuala Tungkal.

Datuk dan Fuad Hassan sudah masuk ke perut bot, mereka tidak kuasa menentang matahari yang terus memancar keras.

Walaupun badan sudah berpeluh tetapi saya masih rasa selesa berdiri atas bot. Terhibur rasa hati menatap kehijauan pepokok yang tumbuh di kiri kanan tebing sungai.

Kicau burung adalah nyanyian yang terindah buat saya.

Sesungguhnya menyusuri Sungai Batanghari yang panjang itu sungguh mengasyikkan. Saya rasa terhibur dan damai sekali.

Rasanya saya tidak akan turun ke bahagian perut bot untuk baring atau duduk di situ.

Angin dari Sungai Batanghari menghalau rasa panas dari tubuh saya.

Di tengah-tengah keghairahan menatap panorama alam sekitar, saya terlihat kemunculan sebuah bot kecil dari sebelah kanan tebing.

Bot kecil yang laju itu memburu dan memintas bot yang kami naiki. Tiga orang lelaki yang berada di dalamnya menjerit menyuruh kami berhenti.

Fuad Hassan dan Datuk segera keluar dari perut bot dan berdiri di sisi saya. Enjin bot dimatikan.

Sebaik saja bot kecil itu rapat ke bot yang kami naiki dua orang lelaki melompat ke atas bot.

Lelaki yang melilit kain merah di kepala menyandang senjata api, manakala yang memakai topi koboi membawa parang panjang memperlihatkan keramahan dan persahabatan.

"Bawa senjata api?" tanyanya

Fuad Hassan gelengkan kepala.

"Makanan?"

"Tak ada," jawab Datuk.

"Awak orang luar?"

Datuk anggukkan kepala.

"Biasanya orang luar banyak wang dan bawa emas, bila mahu ke Jambi. Awak orang Tanah Melayu?"

"Benar, saya dari Tanah Melayu. Saya tak bawa wang dan emas. Saya mahu ke Jambi nak jumpa sanak saudara," kata Datuk dengan sopan dengan lemah lembut.

Si topi koboi ketawa berdekah-dekah sambil gelengkan kepala. Tidak percaya dengan apa yang Datuk katakan.

RENUNG

Bila ketawanya berakhir si topi koboi renung muka Fuad Hassan. Macam tadi juga dia memperlihatkan rasa persahabatan dan kemesraan, macam orang baik-baik.

"Orang ni sewa bot kamu?"

"Iya?"

"Duit sewanya mana, aku mahu duitnya."

"Tinggal di rumah, di Kuala Tungkal."

"Aku nak ambil bot ni."

"Itu tak patut, kerja saya dengan pelanggan belum selesai. Tak elok saya biarkan orang yang menyewa bot saya susah."

"Begini, kita buat perjanjian."

"Perjanjian apa?" Fuad Hassan terkejut.

"Begini, kamu boleh hantar pelanggan kamu ke Jambi, masa balik nanti kamu di sini, masa tu kau serahkan saja bot ni kepada kami.

"Sekarang kami nak periksa dulu, mana yang patut kami ambil."

Belum pun sempat Fuad Hassan memberi jawapan, kedua-dua lelaki itu terus masuk ke bahagian perut bot dengan wajah yang bengis.

"Siapa mereka?" tanya Datuk kepada Fuad Hassan.

"Orang jahat, lanun sungai," kata Fuad Hassan.

"Hai, jangan buat kurang ajar," terdengar suara Nurul Hayat meninggi.

Datuk dan Fuad Hassan berpandangan dengan wajah yang cemas.

"Anak kamu Fuad," nada suara Datuk lemah.

Tidak ada jawapan dari Fuad Hassan. Wajahnya gusar sekali.

Saya melangkah dengan niat untuk menolong tetapi ditegah oleh Datuk.

Dalam saat perasaan yang serba salah itu, saya lihat Nurul Hayat berlari ke arah kami.

Dua orang perompak terus memburunya, sebaik sampai di tempat lapang Nurul berhenti, bersedia menghadapi sebarang kemungkinan dari kedua-dua lelaki itu.

"Dia ni siapa?" lelaki bertopi koboi mengajukan pertanyaan kepada Fuad Hassan.

"Anak saya."

"Dia kurang ajar."

"Kenapa kata macam tu?"

"Dia tak mahu menyerahkan gelang, cincin dan rantai yang dipakainya. Bila nak rampas dia melawan. Sekarang kamu suruh dia serahkan barang-barang emas kepada kami, kalau dia mahu hidup."

"Saya tak mahu masuk campur, itu urusannya. Sudah semestinya dia mempertahankan haknya."

"Kamu mahu anak kamu mati?"

"Kalau janji Allah dia mati di tangan kamu, saya relakan," jawapan dari Fuad Hassan membuat si topi koboi naik angin.

Tanpa membuang masa dia menerpa ke arah Nurul Hayat dengan parang panjang tergenggam di tangan.

Saya jadi cemas bila melihat mata parang berkilau di terpa sinar matahari. Satu pandangan yang cukup mendebarkan hati dan saya berharap Fuad Hassan tidak akan membiarkan anaknya bersendirian.

"Bantu dia," kata saya kepada Fuad Hassan.

"Biar dia selesaikan sendiri."

"Dia perempuan tentu tak boleh lawan orang lelaki, bantu dia Datuk," saya merayu kepada Datuk.

"Ah, kamu selalu sibuk, duduk diam di situ," herdik Datuk kepada saya.

Tidak dapat saya gambarkan betapa kecewanya hati dengan sikap Datuk itu.

Tetapi, mata saya tetap tertumpu ke arah si topi koboi yang menyerang Nurul Hayat bertalu-talu.

Dengan ilmu pertahanan diri yang dimilikinya Nurul Hayat berjaya menepis serangan.

Dalam satu gerakan yang pantas Nurul Hayat berjaya melepaskan tendangan di pangkal bahu sebelah kanan si topi koboi.

Tubuh yang tegap itu terhuyung-hayang lalu terkandas pada bendul bot. Parang panjang yang tergenggam di tangan terlucut lalu jatuh ke dalam sungai.

Si topi koboi tidak mudah mengaku kalah. Dia melompat tinggi dengan sebelah kaki kanannya diluruskan untuk memberi pukulan maut dipangkal leher Nurul Hayat.

Sebaik saja dia melepaskan tendangan, Nurul Hayat menyambar pergelangan kaki si topi koboi lalu dipulas dan dipusing dengan sekuat hati di udara.

Sekujur tubuh Nurul Hayat turut berpusing macam gasing. Kemudian saya lihat Nurul hayat melepaskan tumbukan kencang dari tangan kiri ke bahagian kemaluan si topi koboi.

Terdengar jeritan dan serta merta Nurul hayat melepaskan kaki yang dipegang.

Tubuh si topi koboi bagaikan terbang dan melayang lalu terjunam ke dalam sungai.

Melihat keadaan kawannya itu, lelaki yang melilitkan kain merah di kepala segera bertindak dengan menghalakan senapang kampung berlaras dua ke arah Nurul Hayat.

Belum sempat dia menarik picu senapang, Fuad Hassan menerpa ke arahnya untuk merampas senjata api. Satu pergelutan berlaku.

Semasa pergelutan terdengar bunyi ledakan dan saya lihat yang kepalanya dililit kain merah terkapar atas lantai bot. Darah keluar dari dadanya.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 146/284

BACA: SBDJ Siri 145: Ilmu Si Bangau Putih
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Sifat Riyak (Bangga Diri) Adalah Tanda Buruknya Amalan

Sifat Riyak (Bangga Diri) Adalah Tanda Buruknya Amalan

Adalah lebih baik jika ibadat yang kita lakukan disembunyikan namun, jika kita berbuat sesuatu bukan untuk menunjuk-nunjuk, kemungkinan ia menjadi ikutan kepada orang lain. Apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan riyak (riya')?

Sifat riyak

Firman Allah SWT yang bermaksud: "(iaitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya. (Juga bagi) orang-orang yang berkeadaan riyak (bangga diri dalam ibadat dan bawaannya)." (Surah al-Ma'un, ayat 5-6)

Imam Fakhruddin al-Razi menjelaskan, riyak ialah menzahirkan sesuatu yang tidak ada pada hatinya supaya orang ramai melihatnya sebagai orang kuat pegangan agama. (Rujuk Mafatih al-Ghaib-32/301)

Firman Allah yang bermaksud: "Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhan-Nya, hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya." (Surah al-Kahfi, ayat 110)

Dalam sebuah hadis qudsi, Allah SWT berfirman bermaksud: "Aku bebas daripada segala sekutu yang ada pada amalan yang dilakukan di mana dia mensyirikkan-Ku dengan yang lain. Maka aku akan tinggalkannya dan sekutunya itu." (Riwayat Muslim)

Al-Qadhi Iyadh menyebut: "Hadis ini membawa makna (seakan-akan Allah menyebut) Aku menolak amalannya. Sifat riyak itu adalah dalil kebodohan, pandangan yang teruk dan juga tanda buruknya amalan."

Dalam hadis lain, Nabi SAW pernah menjelaskan makna riyak, yang diriwayatkan oleh Mahmud bin Labid bermaksud: "Perkara yang paling aku takut terjadi pada kalian adalah syirik kecil. Sahabat bertanya, apa itu syirik yang kecil wahai Rasulullah. Nabi SAW bersabda: Itulah riyak."

Allah SWT berfirman pada hari kiamat kelak: "Pergilah kepada orang yang kamu hendak tunjukkan amalan kamu kepadanya di dunia dan lihatlah adakah di sisi mereka itu ganjaran (dengan sebab amalan kamu)." (Riwayat Ahmad)

Sheikh Farid al-Ansari membahagikan riyak kepada beberapa bahagian iaitu riyak pada agama, tubuh badan, percakapan dan lain-lain:
  • Contoh riyak pada agama dan badan ialah menzahirkan badan kurus dan tidak kemas supaya orang menganggapnya bersungguh-sungguh melakukan ibadat serta seakan-akan dia bersedia menghadapi hari akhirat.
  • Riyak pada percakapan ialah memberi nasihat dan peringatan dengan niat menzahirkan keprihatinan terhadap hal ehwal orang Islam atau berzikir kuat-kuat di hadapan orang ramai.
  • Riyak pada amalan pula seperti contoh menzahirkan qiyam dan rukuk yang panjang ketika solat di hadapan orang ramai.

Abu Umamah al-Bahili ketika melihat orang menangis ketika sujud di dalam masjid, beliau berkata: "Hei kamu, alangkah baiknya (jika menangis) di rumah."

Jika ibadat suruhan yang mesti dilakukan, maka hendaklah dilakukan juga sekalipun datang riyak tetapi hendaklah mujahadah untuk hilangkan riyak seperti pergi ke masjid untuk menunaikan solat jemaah.

Sekiranya ibadat itu ada pilihan, maka lebih baik dilakukan secara sembunyi kalau riyak boleh datang dalam diri seperti sedekah. Lebih baik baginya bersedekah secara sembunyi.

Sekiranya menunjuk itu dengan niat menggalakkan seseorang mencontohinya sebagai satu sunnah yang baik, maka ia dibolehkan.

Semoga Allah menjauhkan kita daripada sifat riyak.

(Dipetik dari Al-Kafi Li al-Fatawi, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan)

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

Thursday, May 28, 2020

Rupanya Fungsi Pada Remote Aicond Boleh Jimatkan Elektrik!

Rupanya Fungsi Pada Remote Aicond Boleh Jimatkan Elektrik!

Selama ini, kita ingatkan remote aircond hanya berfungsi bagi memudahkan kita menekan butang dari jauh untuk membuatkan ruang rasa sejuk, namun ramai yang tidak tahu, rupanya seting pada remote aircond boleh menjimatkan elektrik.

Dry and cool mode

Cuaca di Malaysia sememangnya sangat panas kerana walaupun teriknya di siang hari, sampai ke malam pun kita masih boleh merasai bahangnya.

Jadi, bagaimana mahu menyejukkan ruang dan dalam masa yang sama anda masih boleh berjimat bil elektrik? Remote aircond boleh membantu anda.

Sejukkan suhu bilik

Untuk mengelakkan pembaziran elektrik, anda perlu tahu setiap fungsi dan mode semasa yang sesuai untuk anda gunakan.

Kenali Dry Mode Dan Cool Mode

Pengguna biasanya keliru dengan perbezaan antara dry mode dan cool mode.

Jika pada alat kawalan jauh menunjukkan lambang titisan air, ia bermaksud dry mode, manakala jika lambang yang ditunjukkan adalah empingan salji, ia adalah cool mode.

Bagi penjimatan tenaga yang efisien, anda digalakkan untuk menggunakan dry mode kerana untuk mod ini, kompresor tidak berpusing pada kadar maksimum untuk menyejukkan ruang.

Sensor juga akan mengesan perubahan suhu dan mengekalkan suasana nyaman dengan kadar kelembapan sebanyak 60% sahaja dalam ruang udara.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: maskulin

SBDJ Siri 145: Ilmu Si Bangau Putih

SBDJ Siri 145: Ilmu Si Bangau Putih

Di luar, bayu subuh terus bertiup lembut menyentuh dedaun di hujung ranting. Geseran antara dedaun melahirkan irama yang tidak menentu nadanya. Kokok ayam masih bersahut-sahutan. Dingin subuh terasa menguasai kulit.

SBDJ siri 139

Haji Mat Nor bangun dan terus mengemaskan ikat kainnya. Letak songkok putihnya dibetulkan begitu juga dengan baju yang dipakai. Dia membuka jendela merenung ke arah kaki langit.

"Subuh dah hampir," katanya sambil merapatkan daun jendela.

"Jadi, elok kita pergi sekarang?" sahut Datuk.

"Iya."

Haji Mat Nor pun membuka pintu. Kami segera berangkat ke masjid.

Sampai saja di kawasan halaman masjid, kelihatan para jemaah duduk di bangku sambil berborak sesama sendiri.

Kalau tidak silap perkiraan saya, jumlah para jemaah yang ada di situ lebih kurang dua puluh orang. Saya dan Datuk pun diperkenalkan oleh Haji Mat Nor dengan para jemaah yang ada.

"Boleh saya mulakan azan Pak Imam, waktu dah cukup," tutur anak muda itu sambil menatap wajah Haji Mat Nor.

"Nanti dulu," tahan Haji Mat Nor.

Saya lihat wajah anak muda berkulit sawo matang itu segera berubah. Mungkin dia berasa malu, bila ditahan melakukan sesuatu di depan saya dan Datuk yang dikiranya tetamu besar.

"Bagaimana, kalau kita minta orang muda dari tanah seberang melaungkan azan subuh," suara Haji Mat Nor meninggi.

Ekor matanya menjeling ke arah saya dan perasaan saya mula gementar. Kenapa saya? Mengapa tidak anak muda itu.

Dalam keresahan yang tidak menentu itu, saya lihat Datuk senyum panjang. Dia pun mendekati saya.

"Mereka mahu menguji kamu. Orang di sini, kalau budak sebaya kamu tidak tahu membaca Quran, berzanji, tak tahu sembahyang, tak tahu azan, tak boleh jadi imam atau membaca doa, dikira bukan anak muda yang sempurna, walau pun dia lulus sekolah tinggi, masih dikira tidak berilmu dan kurang iman," itu yang Datuk bisikkan kepada saya.

Bisikan Datuk itu membuat saya didatangi semangat baru. Sesungguhnya saya tidak rela di anggap sebagai anak muda yang kurang iman atau tidak cinta pada agama.

"Tentu, memang saya boleh membuatnya," terpancut ungkapan itu dari kelopak bibir saya. Semua yang berada di situ berpandangan sama sendiri.

"Wah, ini sudah cukup baik," tutur anak muda yang ditahan oleh Haji Mat Nor daripada melaungkan azan.

Dia mendekati saya, menjabat tangan dan memeluk tubuh saya dengan erat.

Dengan sopan dia memimpin saya ke dalam masjid dan menunjukkan di tempat mana yang harus berdiri untuk melaungkan azan. Beberapa detik kemudian suara saya menguasai ruang angkasa Kuala Tungkal.

Selesai melakukan solat, lalu dilanjutkan dengan kuliah subuh yang disampaikan oleh haji Mat Nor.

Perkara yang di bentang oleh Haji Mat Nor ialah berhubung dengan hal ketakwaan insan kepada Allah.

Memang menarik dan mempesonakan cara Haji Mat Nor menyampaikan kuliahnya.

Semasa saya mahu keluar dari masjid untuk menuju ke rumah Haji Mat Nor, saya dapati para jemaah berkumpul di muka pintu.

Kerana Datuk ada di kanan, Haji Mat Nor di kiri saya tidak merasa cemas atau bimbang dan terus melangkah ke ambang pintu.

Di luar dugaan, sebaik sampai di muka pintu, para jemaah yang ada terus menyerbu ke arah saya, menghulurkan salam persahabatan dan memuji saya.

"Dia sudah membuktikan kemampuannya," Haji Mat Nor terus memeluk saya.

"Diharap ramai lagi anak-anak muda serumpun bangsa yang boleh diharap seperti dia ni," tambah Haji Mat Nor. Kalau tadi saya dipeluk, kini bahu saya ditepuk.

"Segala-galanya atas izin Allah," kata saya.

"Ya atas kehendak-NYA juga kita berjumpa bangsa serumpun seagama di depan masjid," balas Datuk lalu di sambut dengan senyum oleh para jemaah yang ada.

Semua telapak tangan jemaah saya jabat penuh mesra.

Ada juga yang sempat bertanya kepada saya tentang beberapa penduduk kampung saya yang menurut mereka ada pertalian keluarga dan mereka juga menyatakan keinginan ke tanah semenanjung.

SEDIA

Sepanjang jalan pulang dari masjid ke rumah, perbualan Datuk dengan Haji Mat Nor cukup rancak.

Topik perbualan mereka berkisar tentang sejarah lampau tentang kehebatan pahlawan-pahlawan Melayu sama ada di Sumatera, Pulau Jawa, Tanah Melayu menentang pemerintahan sultan-sultan yang zalim.

Pahlawan-pahlawan itu sanggup menggadaikan nyawa demi untuk menegakkan kebenaran dan keadilan untuk rakyat jelata.

Dari kisah silam, perbualan melarat tentang kebangkitan orang Melayu di tanah semenanjung menentang Inggeris untuk merebut kemerdekaan tanah air dan orang-orang Indonesia pula menentang Belanda.

Saya tidak campur dalam perbualan yang rancak itu, saya lebih banyak mendengar saja.

Akhirnya, kami sampai ke rumah. Sarapan sudah tersedia. Harum bau kopi asli Jambi menusuk ke lubang hidung saya.

Isteri Haji Mat Nor menghidangkan pulut kukus bersama telur goreng dan ikan gelama masin.

Ada dua pilihan sama ada mahu makan pulut berlaukkan telor goreng atau ikan masin goreng.

Bau dari hidangan yang tersedia membuka selera saya. Selera Datuk saya tidak tau.

"Silakan."

Haji Mat Nor meletakkan sepiring pulut di depan saya bersama secawan kopi tanpa susu yang masih berasap.

Pada saat saya mahu menjamah pulut, isteri Haji Mat Nor meletakkan sepiring pisang nangka goreng.

"Kalau tak suka pulut, makan saja pisang goreng," tutur isteri Haji Mat Nor. Saya tersenyum.

"Banyak sangat makanan yang disediakan," kata Datuk.

"Manalah banyaknya, sekadar untuk menjamu orang jauh," haji Mat Nor bersuara sambil tersenyum riang.

Datuk juga turut senyum megah menerima penghormatan yang diberikan kepadanya.

Kerana sudah menjadi kebiasaan kepada Datuk tidak akan mengisi perut dengan bahan makanan yang berat-berat, dia hanya mengunyah sepotong pisang nangka goreng dan setengah cawan kopi.

Haji Mat Nor agak terkejut dengan sikap Datuk.

"Kenapa cepat berhenti?"

"Cukuplah, makan pagi sekadar mengalas perut aje."

"Agaknya makanan tak sedap."

"Subhanallah, semua makanan yang ada ini sedap-sedap belaka, sudah menjadi kebiasaan saya makan sikit," Datuk berharap penjelasan itu akan membunuh segala keraguan yang mahu berbunga di hati Haji Mat Nor.

Ternyata Haji Mat Nor dapat menerima dapat menerima penjelasan itu dengan hati yang terbuka. Datuk gembira sekali.

Kami meninggalkan ruang dapur (ruang makan) menuju ke bahagian anjung dan terus duduk di situ.

Bunyi kicau burung gamat sekali bersama sinar matahari yang memancar lembut.

"Duduk sekejap."

"Awak nak ke mana?"

"Saya..." Haji Mat Nor tidak meneruskan kata-katanya.

Dia seperti menyedari ada kesilapan yang dilakukan secara tidak sengaja. Dia tidak jadi berdiri dan duduk semula. Telapak tangan Datuk segera dipegangnya erat-erat.

"Maafkan saya, sudah menjadi tabiat bila cuaca pagi cerah dan elok, saya terpaksa membuat gerak silat di halaman rumah, kerana terlalu suka nak bersilat saya terlupakan awak," lanjut Haji Mat Nor.

Datuk anggukkan kepala. Dia tidak kecil hati atau tersinggung dengan apa yang dilakukan oleh Haji Mat Nor.

"Silakan, ilmu yang ada mesti diamalkan, kalau berilmu tidak diamalkan ibarat perahu tidak berdayung," tingkah Datuk.

"Saya setuju," Haji Mat Nor tepuk bahu kanan Datuk dengan sopan.

"Awak mengamalkan ilmu silat bangau putih."

"Iya," angguk Haji Mat Nor.

"Gerak silat tu lembut, tetapi buah yang dilepaskan cukup padu, pantas dan laju."

"Betul, awak tahu tentangnya?"

"Saya cuma belajar sekadar nak tahu saja."

"Tapi kalau sesak boleh dimanafaatkan," suara Haji Mat Nor lembut tetapi amat mengesankan. "Biar saya mulakan," sambungnya.

"Silakan, " kata datuk.

Bersama kicau beburung di reranting, seiring dengan pancaran matahari pagi, saya lihat haji Mat Nor membuka dan mengorak langkah silat.

Sungguh tangkas dan gagah sekali. Dan pengamatan saya ternyata ilmu silat bangau putih yang dimilikinya amat tinggi sekali.

PELUH

Haji Mat Nor menghabiskan masa empat puluh lima minit untuk berlatih. Bila seluruh badannya bermandikan peluh, barulah ia berhenti.

Langkahnya bagaikan pendekar muda dalam usia menuju ke arah saya.

Peluh yang di tampar sinar matahari nampak seakan-akan bercahaya berkilau di samping otot-otot yang menonjol di lengan dan bahagian dada dan leher.

"Dia bukan orang sebarangan, dia pendekar yang berilmu dunia dan akhirat," bisik datuk ke telinga saya, di saat Haji Mat Nor sudah hampir benar ke kaki tangga.

"Apa yang di bisikkan tu."

"Memberitahu cucu, awak bukan sebarangan orang."

"Jangan sampai begitu sekali, kita ni manusia ada kelemahan dan kekurangan. Awak tak mahu bersilat?"

"Biarlah dulu, nanti sampai tempat yang di tuju barulah elok berlatih silat."

"Oh ya..." Haji Mat Nor menyapu peluh di dahu dengan belakang tangan.

"Semuanya sudah saya aturkan," tokoknya lagi lalu memijak anak tangga. Kemudian duduk di depan datuk.

Saya lihat ada keresahan bermain di wajah datuk. Dua tiga kali dia mengedutkan dahi luasnya hingga kelihatan berlapis.

Dia melagakan gigi atas dengan gigi bawah berkali-kali. Ternyata Haji Mat Nor bagaikan mengetahui apa yang bergolak dalam batin datuk.

"Kamu kurang faham dan merasa pelik dengan apa yang aku cakapkan," kata Haji Mat Nor. Datuk anggukkan kepala.

"Bukankah kamu berdua nak ke Jambi?" Pertanyaan dari Haji Mat Nor membuat saya tersentak dari mengelamun panjang.

"Iya," cepat-cepat datuk menjawab.

"Dengan apa kamu berdua nak pergi ke sana?"

"Tentulah dengan bot."

"Sudah ada botnya?"

"Sekejap lagi saya nak cari bot sewa yang mahu ke sana atau naik bot penambang biasa."

Saya lihat Haji Mat Nor termenung panjang. Dua tiga kali menggosok pangkal hidungnya. Sepasang anak matanya merenung jauh ke halaman rumah yang di sinari matahari pagi.

Datuk kelihatan aman dan bersedia mendengar sebarang komen yang bakal diluahkan oleh Haji Mat Nor.

"Bukan mudah nak dapatkan bot sewa, kalau tak buat tempahan awal-awal. Bot penambang juga susah, kalau orang luar, dia orang keberatan nak bawa," kata-kata Haji Mat Nor itu membuat Datuk tersentak.

"Benarkah begitu?" soal Datuk.

Haji Mat Nor anggukkan kepala.

"Saya orang sini, saya bukan orang luar, saya orang Jambi."

"Tapi awak sudah lama merantau," Haji Mat Nor renung muka datuk.

Perlahan-lahan datuk anggukkan kepala. Setuju dengan pendapat Haji Mat Nor.

Datuk benar-benar dalam keresahan yang memanjang tetapi, terus berfikir untuk menguasai masalah agar perjalanan yang diatur tidak menemui kegagalan.

"Bagaimana cara yang mudah untuk ke sana? Maksud saya mudah mendapatkan bot sewa atau mudah naik bot penumpang," itulah cara Datuk meminta bantuan atau pertolongan dari Haji Mat Nor.

Tidak dinyatakan secara terang-terangan, tetapi maksudnya cukup jelas sekali.

"Perkara inilah yang nak aku bincangkan dengan kamu, sayangnya kamu tak dapat menangkap maksud aku tu," Haji Mat Nor mengakhiri ungkapan dengan senyum.

Di luar sinar matahari terus marak, nyanyian beburung mula berkurangan. Beberapa orang penduduk kampung lalu di halaman rumah Haji Mat Nor.

Saya diberitahu, mereka menggunakan halaman rumah tersebut sebagai jalan pintas menuju ke ladang untuk bercucuk tanam.

"Macam mana? Kamu setuju dengan apa yang aku atur?"

"Maksudnya?"

"Aku sudah berjanji dengan Fuad Hassan nak menyewa botnya untuk membawa kamu ke Muara Jambi. Duit cengkeramnya sudah pun aku berikan. Kalau setuju mari kita pergi ke rumahnya, kita selesaikan pembayaran sewanya."

"Macam mana boleh jadi begini," kata datuk penuh dengan wajah yang terkejut.

Haji Mat Nor terus meraba-raba hujung dagunya. Senyum terus bermain di kelopak bibir.

"Nakhoda Amirul yang menyuruh menyediakan semuanya itu, duit sewa pun disediakan bukan duit aku. Aku cuma menjalankan amanahnya saja," lanjut Haji Mat Nor lagi.

Lagi sekali saya lihat datuk temenung panjang. Dia menggelengkan kepalanya dengan lemah lalu merenung wajah Haji Mat Nor dengan tepat.

"Tak saya duga sampai sejauh itu persiapan yang disediakan oleh Nakhoda Amirul," keluh datuk.

"Katanya, sebagai penghargaan kerana awak banyak membantu perjuangan rakyat Acheh menentang Belanda."

"Ah, apa yang saya buat sekadar kewajipan, menolong bangsa serumpun dan seagama. Saya tidak mengharapkan balasan."

"Sudahlah tu, tunggu di sini. Biar saya bersiap dulu, kemudian kita sama-sama jumpa Fuad Hassan," Haji Mat Nor terus bangun menuju ke ruang dalam.

BERSIAP

Sementara menanti Haji Mat Nor selesai bersiap, datuk mengambil kesempatan meluruskan sepasang kakinya.

Saya pula tumpukan perhatian ke arah beburung yang rancak melompat di reranting pokok.

Sayup-sayup terdengar suara merbuk, amat nyaring dan memikat. Saya juga terdengar burung terkukur yang bergok tiga dan hati saya terpikat.

Tanpa disedari saya bergerak perlahan-lahan ke arah tangga.

"Hai, nantilah dulu Tamar, kita pergi bersama-sama."

Segera saya menoleh ke arah Haji Mat Nor yang berdiri dekat datuk. Dia memakai seluar putih, baju kuning lengan panjang. Kopiah putih masih terlekap di kepala.

"Dia bukan nak kesana tu, dia terpikat dengan suara burung terkukur dan merbuk," kata datuk lalu disambut dengan ketawa oleh Haji Mat Nor. Saya tersipu-sipu malu.

"Di rumah Fuad Hassan banyak burung merbuk dan terkukur, dia suka membela burung," tingkah Haji Mat Nor.

Saya hanya mampu terasenyum.

Dibawah rimbunan dedaun dari pohon besar, sinar matahari masih mampu menjilat permukaan bumi yang kami lalui.

Langkah kami cukup rancak sekali. Setelah melalui kawasan berpokok, kami lintasi kawasan tanah lapang yang boleh dianggap sebagai padang kecil.

Di hujung kawasan tanah lapang itulah terletaknya rumah Fuad Hassan. Halamannya cukup bersih dengan rumput yang menghijau, (baru lepas di sabit).

Di bahagian halaman sebelah kanan terdapat pepokok buah-buahn seperti delima, mangga, rambutan, manggis dan bermacam-macam lagi.

Kawasan tanahnya cukup luas, pada hemat saya lebih dari dua ekar.

Berdasarkan pada pepohon buah-buahan yang saya lihat ternyata Fuad Hassan orang yang rajin bercucuk tanam.

Semasa kami sampai, Fuad Hassan sedang mengumpulkan dedaun tua yang gugur di sudut halaman.

Melihat kedatangan kami, dia terus berhenti dari mengutip dedaun tersebut. Dia segera mendekati Haji Mat Nor.

"Jadi sewa bot saya?"

Itu pertanyaan pertama yang dituturkan oleh Fuad Hassan tanpa memberi peluang kepada haji Mat Nor untuk memperkenalkan diri datuk dan saya kepadanya.

"Kita perlu berunding lagi Fuad."

"Berunding?" Fuad Hassan jegilkan biji mata.

"Iya," angguk Haji Mat Nor.

Saya dan datuk hanya memerhatikan saja gelagat mereka. Haji Mat Nor dan Fuad hassan bertepuk bahu antara satu sama lain dengan penuh mesra.

"Kalau begitu kita ke sana, duduk di pelantar bawah poko kelapa gading, kita minum kopi dulu, baru seronok berunding."

"Baik juga tu, jom kita ke sana," sahut Haji Mat Nor.

Kami pun segera melangkah ke tempat yang dimaksudkan.

Dalam perjalanan ke tempat tersebut barulah Haji Mat Nor memperkenalkan diri saya dan datuk kepada Fuad Hassan. Tadi sekadar bersalaman dan bertukar senyum.

Sekali-kali datuk turut campur dalam perbualan yang difikirkan perlu dan wajar.

Kami terus duduk bersila atas pelantar yang dibuat dari papan. Tingginya dari permukaan tanah lebih kurang dua kaki dan mempunyai empat tiang dari kayu teras.

Dari pelantar Fuad Hassan yang berusia lebih kurang enam puluhan mengangkat tangan ke arah dapurnya.

Hati saya berdebar. Saya ternampak kelibat gadis di jendela dapur untuk beberapa detik.

Bagi menghilangkan debaran di dada, saya pun menelan air liur dan menggigit bibir hingga terasa sakit.

Saya terus merenung ke arah kawasan di luar halaman rumah yang dipenuhi dengan rimbunan pepokok kecil.

"Ada apa ayah?"

Saya menoleh ke kanan. Lagi sekali dada saya berdebar, rasanya kelopak mata bagaikan tidak berkedip melihat sesusuk tubuh gadis terpacak kaku di depan mata.

Aduh! Dia tersenyum dan terpamerlah lesung pipit di pipi. Sungguh mempersonakan dengan sepasang anak mata yang lembut menawan.

"Buat kopi untuk kawan-kawan ayah. Suruh emak kamu buat sikit jemput-jemput."

"Baiklah ayah."

Supaya tidak ketara yang saya terpegun dengan gadis berkulit hitam manis itu, segera saya alihkan wajah ke arah lain tetapi ekor mata masih menjeling ke arah gadis tersebut.

"Dah besar anak kamu, kalau tak silap ini anak bongsu kamu. Namanya Nurul Hayat," kata Haji Mat Nor.

"Kuat juga ingatan kamu, dah tiga bulan dia balik dari Padang Panjang."

"Tak belajar sekolah agama lagi?"

"Dah tamat."

"Rasa aku dia anak perempuan kamu yang lulus ujian silat Cakar Kera dengan Pendekar Seman. Dia belajar silat dengan aku cuma peringkat menengah saja."

"Iya," angguk Fuad Hassan.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 145/284

BACA: SBDJ Siri 144: Rahsia Sebilah Pedang
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Sejarah Gundik Maharaja China

Sejarah Gundik Maharaja China

Dalam institusi maharaja China, salah satu perkara penting yang perlu diambil kira oleh maharaja adalah memastikan kelangsungan dinasti, yang hanya boleh dicapai apabila permaisurinya melahirkan seorang putera.

Gundik Maharaja China
Gambar hiasan.

Untuk tujuan itu, maharaja China mempunyai sebuah harem yang besar, dipenuhi oleh kaum wanita sebagai gundik.

Terdapat hierarki khusus di dalam harem ini, namun kelas-kelasnya sentiasa berubah dari masa ke semasa, dan secara umumnya harem mengandungi tiga hierarki iaitu; permaisuri, gundik atasan dan gundik biasa.

Selain itu, sida-sida yang berkhidmat untuk wanita-wanita diraja ini juga boleh dianggap sebagai sebahagian daripada harem tersebut.

HIERARKI DI DALAM HAREM

Puncak hierarki di dalam harem Diraja China adalah permaisuri, iaitu seorang 'isteri rasmi' Maharaja.

Permaisuri adalah wanita yang paling dihormati dan pemimpin yang dimuliakan bagi kaum wanita China, memandangkan beliau dianggap sebagai 'ibu seluruh dunia'.

Di dalam harem, hanya maharaja dan ibundanya sahaja berkedudukan lebih atas berbanding permaisuri. Kesemua individu lain perlu patuh terhadap perintahnya.

Tambahan lagi, terdapat juga suatu kedudukan khusus buat permaisuri yang dinamakan sebagai maharani balu, merujuk kepada permaisuri-permaisuri yang usianya melebihi usia maharaja.

Antara maharani balu yang masyhur dalam sejarah adalah Wu Zetian dari Dinasti Tang (yang kelak menjadi maharaja wanita pertama China) dan Cixi dari Dinasti Qing.

GUNDIK-GUNDIK ATASAN DALAM HAREM DIRAJA CHINA

Tingkat di bawah permaisuri diduduki oleh gundik-gundik atasan, yang mana bilangan dan gelaran gundik-gundik atasan ini berbeza mengikut dinasti yang memerintah.

Sebagai contoh, pada zaman pemerintahan Dinasti Qing, sebuah harem diraja mengandungi seorang Gundik Kehormat Diraja, dua orang Gundik Kehormat, dan empat orang Gundik Atasan.

Tingkat di bawah gundik-gundik atasan ini diduduki oleh kelas gundik-gundik biasa dan bilangannya berbeza mengikut maharaja.

Menurut catatan Adat-Istiadat Zhou, seorang maharaja ditetapkan agar memiliki 9 orang gundik berkedudukan tinggi, 27 orang gundik berkedudukan pertengahan dan 81 orang gundik berkedudukan rendah.

Namun, pada zaman pemerintahan Dinasti Han (206SM-220M), tiada penetapan had bilangan gundik atasan bagi seseorang maharaja.

Malah, pada era Maharaja Huan dan Maharaja Ling, dicatatkan terdapat lebih 20,000 orang wanita mendiami Kota Larangan.

Pada zaman pemerintahan Dinasti Ming (1368-1644M), terdapat sebuah sistem rasmi dalam pemilihan gundik-gundik yang bakal menyertai harem maharaja, yang berlangsung di dalam Kota Larangan setiap tiga tahun.

PEMILIHAN GUNDIK

Calon-calon yang dipilih kebiasaannya berusia dalam lingkungan 14 hingga 16 tahun dan perlu menjalani proses penelitian latar belakang, keperibadian, tingkah laku, rupa paras dan keadaan tubuh.

SIDA-SIDA – LELAKI YANG DIBENARKAN DALAM HAREM

Sida-Sida China adalah satu-satunya kaum lelaki yang dibernarkan berada di dalam harem, dan untuk memastikan setiap bayi yang dilahirkan adalah anak kandung maharaja, lelaki sama sekali tidak dibenarkan untuk berkhidmat kepada wanita yang mendiami harem.

Satu-satunya pengecualian yang diberikan ke atas peraturan ini adalah sida-sida, iaitu lelaki yang telah dikembiri atau dikasi.

Sepanjang sejarah China, sida-sida sememangnya hadir untuk memainkan peranan dalam menumpahkan khidmat kepada keluarga diraja, termasuklah di dalam harem.

Namun, bagi sida-sida yang bercita-cita tinggi, mereka tidak hanya sekadar berkhidmat kepada keluarga diraja, sebaliknya mereka turut melibatkan diri dalam politik harem demi menduduki jawatan yang berpengaruh dan meraih kekayaan.

Pada zaman pemerintahan Dinasti Ming, dicatatkan terdapat sekitar 100,000 orang sida-sida yang berkhidmat untuk maharaja dan haremnya.

Dalam situasi harem yang penuh dengan wanita-wanita maharaja, perseteruan dikalangan mereka demi merebut perhatian maharaja tidak dapat dielakkan.

Kedudukan yang paling menjadi rebutan tidak lain dan tidak bukan adalah status sebagai permaisuri.

Masing-masing bersaing untuk mengandung, seterusnya melahirkan putera maharaja yang akan memberikan kelebihan buat mereka.

PERSETERUAN DI DALAM HAREM

Sememangnya menjadi kelaziman untuk wanita yang bercita-cita tinggi di dalam harem menyusun rancangan demi menjatuhkan seterunya.

Untuk mencapai tujuan tersebut, tidak kurang ada yang menjalinkan kerjasama dengan sida-sida.

Seandainya helah yang diatur itu membuahkan hasil, kedudukannya di dalam harem meningkat dan sebagai balasan, sida-sida yang memberikan sokongan akan dibalas dengan dilantik dalam mana-mana jawatan berautoriti.

Permainan politik di dalam harem sebegini kerap berlaku dalam sejarah China, misalnya pada zaman Dinasti Tang, terdapat salah seorang gundik atasan Maharaja Gaozing bernama Wu Zetian.

Menurut cerita, Wu Zetian pernah mengarahkan agar puteranya yang baru dilahirkan dibunuh, kemudian menudingkan kesalahan pada Permaisuri Wang.

Akibatnya, Permaisuri Wang dilucutkan pangkat dan gelaran itu diambil-alih oleh Wu Zetian.

Apapun, harem maharaja tidaklah diselubungi sepenuhnya oleh suasana konflik politik, lebih-lebih lagi pada zaman pemerintahan Maharaja Huangdi.

Beliau mempunyai empat orang gundik yang mana setiap seorang daripada mereka tidak dilantik berdasarkan rupa paras, sebaliknya atas faktor kebolehan.

Salah seorang gundiknya merupakan pencipta resipi masakan dan kayu penyepit makanan. Gundik yang lain pula ada yang dipercayai mencipta sikat dan secara bersama, gundik-gundik ini membantu Huangdi dalam memerintah empayar.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thepatriots

Wednesday, May 27, 2020

Kenapa Hormon Testosterone Penting Untuk Lelaki Dan 6 Jenis Makanan Untuk Meningkatkannya!

Kenapa Hormon Testosterone Penting Untuk Lelaki Dan 6 Jenis Makanan Untuk Meningkatkannya!

Testosterone ialah sejenis hormon lelaki yang dihasilkan oleh sel-sel Leydic di testis dari kumpulan Androgen dan merupakan HORMON SEKS utama lelaki, adalah penting untuk nafsu keinginan seksual, ketegangan zakar dan pancutan sperma.

Hormon Testosterone

Antara kepentingan tahap testosterone yang optimum adalah kerana peranannya yang penting dalam pembangunan tisu pembiakan seperti testis dan prostat, serta ia dapat menjaga kesihatan libido, meningkatkan pembinaan otot yang kuat dan kesihatan serta kekuatan tulang.

KENAPA HORMON TESTOSTERONE BEGITU PENTING KEPADA LELAKI?

Kerana melalui kajian yang dilakukan dalam tempoh 20 tahun di negara barat untuk menilai paras testosteron dan hubungkait dengan penyakit-penyakit yang boleh membawa kematian, mendapati bahawa lelaki yang mempunyai paras Testosteron yang rendah, 40% berisiko lebih tinggi untuk mati lebih awal berbanding mereka yang mempunyai paras testosteron normal tanpa mengira usia dan kandungan lemak badan.

APA AKAN BERLAKU KALAU TESTOSTERONE MENURUN?

Tahap Testosteron

Malangnya ramai juga antara kita yang kurang sedar yang kadar pengeluaran hormon semakin menurun apabila umur semakin meningkat setiap tahun sebaik saja memasuki usia 30 tahun.

Apa akan berlaku kalau hormon testosteron menurun?
  • Sentiasa lesu dan kurang stamina.
  • Sukar menumpukan perhatian.
  • Selalu tertekan, cepat marah dan gangguan tidur.
  • Peningkatan lemak dalam badan.
  • Kegemukan, perut mudah buncit dan boroi.
  • Risiko penyakit diabetes.
  • Masalah pada jantung.
  • Sakit sendi tulang.
  • Penurunan kepadatan mineral pada tulang.
  • Tidak bernafsu untuk seks.
  • Sukar mencapai orgasme & hilang ghairah seks.
  • Kurang daya tahan ketika bersama.
  • Gangguan ereksi zakar.

APA PUNCA TESTOSTERON MENURUN?

1. Obesiti

Obesiti atau berat badan berlebihan adalah antara puncanya.

Kajian dalam Clinical Endocrinology Journal mendapati, lelaki obes berumur 14-20 mempunyai testosterone 50% lebih rendah.
 
Bayangkan sekiranya mereka berumur antara 30-60 tahun. Berapa peratuslah yang tinggal.

2. Kurang Tidur

Dalam kajian lain mendapati, lelaki yang tidur kurang dari 5 jam, level testosteronenya menurun 15%. ​Lebih teruk lagi bagi mereka yang tidur di bawah 4 jam.

Menariknya setiap jam tambahan pada waktu tidur mampu meningkatkan testosterone sebanyak 15%.

Kalau tidur 6 jam, 15% hormon testosterone lebih tinggi. Kalau tidur 7 jam tambah lagi 15%.

3. Stres

Stres juga menurunkan tahap testosterone. Sebabnya apabila stres, hormone stres iaitu kortisol akan dikeluarkan. Lebih tinggi kortisol lebih rendah testosterone.

6 MAKANAN YANG TERBUKTI BOLEH MENINGKATKAN TESTOSTERON BADAN ANDA

Kebiasaannya, seseorang yang mempunyai kadar testosteron secara semulajadi cenderung mempunyai badan yang tegap dan kuat dan lebih berotot dari orang yang mempunyai kadar testosteron rendah.

Masalahnya bila usia kita menjangkau lewat 20an, kadar testosteron semulajadi kita mula menurun sedikit demi sedikit, menjadikan kita lemah, cenderung untuk menambah lemak, dan membuatkan kita susah untuk membina otot.

Terdapat suplemen dipasaran yang direka untuk membantu menambah kadar testosteron, namun sesetengah orang agak skeptikal samada suplemen itu betul-betul boleh membantu atau tidak.

Dan berita baiknya, samada anda semakin tua atau anda memang dilahirkan dengan kadar testosteron yang rendah, anda boleh menambah kadar testosteron anda hanya dengan memakan makanan yang betul.

Disini kita akan lihat 6 jenis makanan yang telah terbukti secara drastik boleh menambah kadar testosteron dalam secara semulajadi hanya dalam berberapa minggu.

1. UDANG

Udang adalah sajian terbaik untuk melonjakkan kadar hormon semulajadi dalam badan anda, khasnya testosteron. Salah satu sebab utamanya ialah kerana udang kaya dengan vitamin D, yang mana ia membantu mengisi semula testosteron. Vitamin D adalah nutrien penting untuk membantu badan menyerap mineral Kalsium.

Berberapa kajian yang dijalankan selama berberapa tahun bagaimanapun, mendedahkan kekurangan vitamin D banyak berkait rapat dengan kadar testosteron rendah.

Bukan itu sahaja, kajian juga mendapati individu yang mengambil makanan tinggi vitamin D juga menampakkan peningkatan kadar testosteron semulajadi selepas berberapa minggu.

Jadi, udang adalah sumber ideal kerana ia kaya dengan vitamin D, dan tambahan pula ia juga kaya dengan protein dan asid amino, juga berkait dengan pengeluaran testosteron.

2. TIRAM

Tiram dianggap sebagai afrodisiak semulajadi dan salah satu sebab utamanya kerana ia membantu menambah kadar testosteron, yang mana ia memainkan peranan penting terhadap libido dan kesihatan seksual dan fungsi.

Tiram kaya dengan berberapa jenis mineral termasuk selenium, magnesium dan zink, dimana kesemuanya didapati sangat berguna apabila kita memperkatakan tentang peningakatan testosteron secara semulajadi dalam badan. Ia juga kaya dengan protein dan asid amino.

3. PISANG

Pisang juga adalah salah satu sumber ideal kerana berberapa sebab tertentu. Pisang mengandungi apa yang dikenali sebagai enzim bromelain, potasium dan vitamin B. kesemua nutrien ini membantu meningkatkan testosteron dalam secara semulajadi.

4. TELUR ORGANIK

Meskipun banyak orang berkata tentang kuning telur dan kolestrol, mengatakan bahawa tidak boleh mengambil banyak setiap hari/minggu, 2-4 biji kuning telur sehari tidak akan memudaratkan langsung kadar kolestrol badan anda.

Malah, kajian terbaru mendapati kolestrol yang terdapat di dalam kuning telur boleh membantu merendahkan kadar kolestrol jahat (LDL) dalam badan anda.

Telur organik sangat baik bagi kadar testosteron kerana ianya kaya dengan protein dan didatangkan lengkap dengan segala profil asid amino, melebihi jumlah asid amino dari apa jua makanan lain (SUPERFOOD!).

Gabungan protein dan asid amino seperti yang kita tahu dapat melonjakkan kadar testosteron, ditambah pula dengan vitamin dan mineral yang cukup banyak dalam kuning telur (putih telur hanya mengandungi protein semata-mata), ianya memastikan meter RPM testosteron anda sentiasa berada pada red line!

5. DAGING MERAH KURANG LEMAK

Daging merah kurang lemak adalah salah satu makanan paling berkesan untuk meningkatkan kadar testosteron kerana bukan sahaj ianya tinggi protein dan asid amino, tetapi juga sejumlah besar mineral seperti zat besi dan zink, seperti yang mungkin anda sedia maklum, sangat bagus untuk menigkatkan kadar testosteron.

Bukan itu sahaja, zinc yang terkandung dalam daging merah adalah dalam bentuk mudah terserap oleh badan, membolehkan ia bertindak balas dalam badan.

6. HALIA

Kalau anda suka herba sebagai alternatif, ashwaganda dan halia adalah terbaik, kerana kajian mendapati ashwagandha dapat meningkatkan testosterone sebanyak 17% pada lelaki dan meningkatkan sperma sebanyak 167%.

Pada masa yang sama, ia menurunkan hormon stres iaitu kortisol sebanyak 25%.

Jadi, pastikan sekurang-kurangnya satu dari enam makanan ini ada dalam menu harian anda.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2


Lelaki Rendah Hormon Testosteron Berisiko Kematian Akibat Covid-19!

Lelaki Rendah Hormon Testosteron Berisiko Kematian Akibat Covid-19!

Seorang lelaki yang mempunyai testosteron rendah dan dijangkiti virus Covid-19 berdepan risiko kematian yang lebih tinggi, kerana kajian terbaharu mendedahkan kaum lelaki dua kali ganda mati akibat koronavirus, namun pasukan doktor masih belum dapat menjelaskan sebab-sebabnya.

Bahaya rendah Testosteron

Kajian yang telah dilakukan di hospital Jerman terhadap 45 orang pesakit Covid-19 yang sedang dalam rawatan rapi mendedahkan, hormon testosteron seks lelaki memainkan peranan penting.

Hormon diketahui membantu mengatur tindak balas imun badan tetapi apabila seorang lelaki mempunyai kadar testosteron yang rendah, sistem kekebalan tubuh tidak dikendalikan dan terkena infeksi akibat jangkitan.

Ini seterusnya akan membawa kepada masalah cytokine storm (kumpulan sel yang terlibat dengan imunisasi badan) yang berlaku apabila sistem kekebalan tubuh tidak terkawal ketika cuba membunuh patogen.

Cytokine storm akhirnya mula merosakkan badan itu sendiri dan jika dibiarkan ia boleh membawa maut.

Golongan lelaki berisiko kematian lebih tinggi jika dijangkiti Covid-19 jika mengalami hormon testosteron rendah.

Tahap hormon setiap pesakit dinilai pada hari pertama mereka di berada ICU, sebelum menerima prosedur invasif.

Sampel dari pesakit Covid-19 diuji untuk 12 hormon, termasuk testosteron dan dihydrotestosteron.

Testosteron adalah kunci utama, bagaimana tubuh memulakan dan mengatur pelbagai tindak balas imun, termasuk memerangi jangkitan virus.

Ia memainkan peranan penting dalam imuniti lelaki kerana adalah hormon seks lelaki utama.

Dari pesakit Covid-19 lelaki yang dihantar ke ICU di hospital Jerman, lebih daripada dua pertiga (68.6 peratus) mencatatkan tahap testosteron yang rendah.

Sebaliknya, majoriti pesakit wanita (60 peratus) mengalami peningkatan kadar testosteron.

Walaupun tahap testosteron rendah tidak dapat mengawal tindak balas imun pada lelaki, kajian mendapati bahawa pada pesakit Covid-19 wanita, tahap testosteron yang lebih tinggi dikaitkan dengan tindak balas keradangan yang lebih ketara.

Profesor Gülsah Gabriel dari Institut Leibniz dari Virologi Eksperimen di Hamburg, yang terlibat dalam penyelidikan itu memberitahu, sebilangan besar pesakit Covid-19 lelaki mempunyai tahap testosteron yang rendah dan pesakit Covid-19 lelaki yang meninggal, majoritinya juga mempunyai tahap testosteron yang rendah.

Oleh itu, tahap testosteron yang rendah pada lelaki didapati menjadi faktor risiko untuk penyakit yang teruk dan bahkan membawa maut kepada lelaki apabila dijangkiti dengan virus pernafasan yang disebut 'cytokine inducing'.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: mstar