Wednesday, February 19, 2020

Awas Penipuan Sindiket Lesen Terbang Di Malaysia!

Awas Penipuan Sindiket Lesen Terbang Di Malaysia!

Turut dikenali sebagai 'lesen Kopi-O', lesen terbang merupakan lesen memandu yang diperoleh secara tidak sah dan haram dengan membayar pihak-pihak tertentu tanpa perlu menduduki ujian bertulis dan praktikal.

Lesen-terbang_01116717456

Sebelum ini, sindiket lesen terbang membabitkan 12 'orang dalam' daripada kakitangan JPJ yang terdiri daripada pegawai dan anggota biasa, namun telah ditangkap.

Tetapi awas, ada pihak yang ingin mengaut keuntungan cepat dengan menawarkan sindiket menjual lesen memandu atas talian secara terbuka kepada orang ramai tanpa belajar memandu dan menjalani ujian di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Pelanggan hanya perlu memberikan gambar, dokumen dan maklumat peribadi serta membayar kos ditetapkan, sebelum mereka boleh mendapat lesen memandu pasaran gelap itu dalam masa 2-3 hari.

Sindiket itu mendakwa lesen yang diperolehi adalah lesen memandu yang sah dan maklumat pelanggan akan dimasukkan dalam sistem JPJ, bagi memudahkan urusan memperbaharui lesen memandu apabila tamat tempoh.

Harga lesen yang ditawarkan juga jauh lebih murah berbanding jika pelanggan mengikuti kelas seperti biasa.

Malangnya, tiada lesen memandu akan dikeluarkan kepada pelanggan walaupun pembayaran telah dilakukan.

Scammer Aktif Sindiket Lesen Terbang Di Malaysia

Lesen-terbang_01116717456_lesen-sah

Anda dinasihatkan untuk berhati-hati dengan Scamer sindiket Lesen terbang ini. Paling popular di Malaysia sejak bertahun-tahun dan masih belum ditangkap.

Lesen-terbang_01116717456_promosi

Sekiranya anda menghubungi atau dihubungi oleh nombor ini, promosi untuk mendapatkan lesen motosikal dan kereta pada harga yang sangat murah akan dihantar kepada anda setiap hari.

Lesen-terbang_01116717456_offer

Seperti juga scammer lain, anda akan diarahkan untuk transfer duit ke dalam akaun bank mengikut nilai pakej yang dipilih dengan remark "123".

Lesen-terbang_01116717456_whatsapp

Penipu lesen terbang ini juga berjanji untuk menyiapkan lesen dalam tempoh 2-3 hari, selain akan tolong setel saman jika ada.

Detail Scammer Lesen Terbang:

Sangat aktif di Instagram.

Akaun bank:
  • Maybank (512848521468) TLK TRADING.
  • Maybank (564472610950) Vietcom Marketing.
No Tel: 01116717456

PDRM PERKENAL PLATFORM CCID INFOLINE

Commercial Crime Investigation Department (CCID) Infoline Polis Diraja Malaysia, adalah jabatan khas yang telah diwujudkan bagi membolehkan orang ramai menyalurkan maklumat, aduan atau pertanyaan berhubung jenayah komersil seperti Macau Scam atau pinjaman tidak wujud dan sebagainya.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman Datuk Pahlawan Mazlan Mansor berkata platform yang dikendalikan JSJK itu juga diwujudkan untuk menambah baik sistem penyampaian melalui perkhidmatan yang cepat dan tepat kepada masyarakat.

Platform baharu itu juga boleh digunakan sebagai medium untuk menyemak dan mendapatkan pengesahan berkenaan kes-kes komersil.

Laporan polis serta perkembangan kes boleh disemak dengan mengemukakan maklumat seperti nombor laporan polis dan tangkap layar (screen shot) laporan polis.

Aduan Jenayah Melalui Whatsapp

Orang ramai boleh menyemak atau menyalurkan maklumat berhubung kes-kes komersil menggunakan talian CCID Infoline 013-2111222.

Talian ini hanya beroperasi melalui SMS (khidmat pesanan ringkas) serta WhatsApp dan tiada panggilan suara akan diterima atau keluar daripada infoline ini.

Waktu operasi adalah dari 8 pagi hingga 12 tengah malam setiap hari dan maklum balas setiap aduan, maklumat atau pertanyaan yang diterima akan diberikan dalam tempoh masa terdekat.

Sebarang aduan mesti menggunakan nombor telefon yang berdaftar dengan syarikat telekomunikasi di Malaysia.

Maklumat atau butiran pengaduan mestilah bukan bersifat jahat dan sebarang gurauan tidak akan dilayan. Tindakan undang-undang akan diambil sekiranya didapati ada pihak sengaja mengadakan keterangan palsu.

Orang ramai juga dinasihati menyemak status penglibatan jenayah dengan melayari laman web semak mule di http://ccid.rmp.gov.my/semakmule sebelum mengambil tindakan selanjutnya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1

Tuesday, February 18, 2020

Arak Lebih Berbahaya Dari AIDS!

Arak Lebih Berbahaya Dari AIDS!

Arak atau alkohol lebih berbahaya daripada jangkitan Sindrom Kurang Daya Tahan Penyakit (AIDS), keganasan dan kemalangan jalan raya, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kerana tiga juta orang maut di seluruh dunia kerana minum arak dan kaum lelaki golongan yang paling berisiko.

Bahaya Arak

Laporan terbaru pada tahun 2020 agensi itu mengenai kesan arak terhadap kesihatan menyatakan bahawa, alkohol adalah penyebab lebih daripada satu dalam setiap 20 kematian setiap tahun di seluruh dunia.

Ia membabitkan kes kemalangan kerana memandu dalam keadaan mabuk, keganasan disebabkan alkohol selain beberapa penyakit dan masalah kesihatan.

Kaum lelaki paling ramai dengan tiga suku daripada kematian adalah disebabkan arak, menurut laporan hampir 500 muka surat itu.

Terlalu ramai termasuk keluarga dan masyarakat menghadapi kesan buruk arak melalui keganasan, kecederaan, masalah mental dan penyakit seperti barah serta serangan jantung.

Sudah tiba masanya kita mengambil langkah menghalang ancaman serius ini ke atas pembangunan masyarakat sihat, katanya dalam satu kenyataan.

Minum arak dikaitkan dengan permasalahan 200 penyakit terhadap anggota tubuh termasuk masalah sel hati dan kanser tertentu.

Pemandu Mabuk Bakal Berdepan Hukuman Penjara 20 Tahun

Sementara itu, di Malaysia, pemandu yang didapati bersalah kerana memandu di bawah pengaruh alkohol, dadah dan memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kematian dicadangkan dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun.

Kabinet secara prinsipnya bersetuju dengan cadangan Kementerian Pengangkutan (MOT) untuk mengenakan hukuman yang lebih berat terhadap pemandu yang membuat kesalahan tersebut.

Pada 29 Januari 2020 lalu, menurut Menteri Pengangkutan, Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 akan dipinda untuk memberi hukuman lebih berat kepada mereka yang memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah serta memandu secara berbahaya hingga mengakibatkan kematian.

Ia melibatkan pindaan tiga seksyen di bawah APJ 1987 iaitu Seksyen 41, 44 dan 45.

Pada masa ini, pesalah jalan raya yang memandu secara berbahaya dan di bawah pengaruh alkohol dikenakan hukuman mengikut Seksyen 41(1) APJ 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 10 tahun serta denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM20,000.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

Maut Angkara 'Tripping Jump Challenge', Ketahui Bahaya Hentakan Di Kepala!

Maut Angkara 'Tripping Jump Challenge', Ketahui Bahaya Hentakan Di Kepala!

Tripping Jump Challenge atau juga dikenali sebagai Skullbreaker Challenge di TikTok, saat ini adalah salah satu daripada beberapa 'social media challenges' yang sangat berisiko kerana mampu mengundang padah kepada mereka yang melakukan aksi bodoh ini.

Maut Tripping Jump Challenge

Anda, terutamanya pelajar sekolah adalah dinasihatkan agar tidak melakukannya kerana ia berupaya mendatangkan bukan saja kecederaan serius, bahkan meragut nyawa.

Selain itu, impak jatuh mengejut juga boleh menyebabkan sakit belakang kronik dan kecederaan pada tulang serviks yang akhirnya akan membawa kepada lumpuh.

Di Amerika Syarikat sebenarnya, sudah ada laporan kanak-kanak cedera akibat melakukan aksi dalam challenge ini.

Di Brazil seorang remaja wanita berusia 16 tahun meninggal dunia selepas melakukan aksi Tripping Jump Challenge.

Emanuela Medeiros, cedera di bahagian kepala selepas kepalanya terhentak di lantai sekolahnya, di Mossoro, Rio, Brazil.

Mangsa mengalami trauma di kepala dan dihantar pihak sekolah ke hospital dalam kejadian yang berlaku pada November 2019 lalu, tetapi viral semula di media sosial pada bulan Februari 2020.

Difahamkan, Emanuela melakukan Tripping Jump Challenge bersama dengan 2 rakannya yang sebelum itu mengajaknya untuk bermain permainan itu.

Selepas melompat, 2 rakannya menendang kaki Emanuela menyebabkan mangsa terjatuh dan kepalanya terhentak kuat di lantai.

RISIKO KEPALA TERHENTAK

Sementara itu, pakar perubatan memberi amaran bahawa permainan seperti itu adalah berbahaya dan boleh menyebabkan kecederaan otak, kecederaan di bahagian tulang belakang, retak tempurung kepala dan maut.

Kecederaan otak boleh berlaku akibat daripada beberapa bentuk trauma di kepala iaitu:
  • Hentakan yang kuat secara langsung.
  • Hentakan yang kuat secara tidak langsung.

Kebanyakan kecederaan kepala adalah kecederaan ringan, tetapi kecederaan kepala yang teruk boleh mengakibatkan:
  • Kecederaan otak yang teruk apabila berlaku pendarahan dalam otak.
  • Bengkak pada tisu otak
  • Kerosakan otak yang teruk.
  • Kecederaan kepala yang teruk boleh mengakibatkan kerosakan saraf yang kekal dan kematian, juga berkaitan dengan kecederaan bahagian tubuh yang lain, terutamanya leher.

Siapa yang berisiko tinggi mendapat kecederaan kepala?
  • Melakukan aksi Tripping Jump Challenge.
  • Penunggang dan pembonceng motosikal golongan yang paling berisiko mendapat terhadap kecederaan kepala.
  • Pengguna jalanraya.
  • Pekerja-pekerja binaan.
  • Ahli sukan tempur dan aktiviti lasak.

Bagaimana mengesan keadaan kecederaan kepala?

Pesakit yang mengalami kecederaan kepala mungkin menunjukkan tanda-tanda dan gejala berikut:
  • Terlibat dalam aksi Tripping Jump Challenge.
  • Terlibat dalam trauma atau kemalangan.
  • Bengkak atau luka pada kulit kepala.
  • Sakit dan pening kepala.
  • Kabur pandangan.
  • Muntah.
  • Hilang ingatan.
  • Sawan.
  • Tahap kesedaran berkurangan atau pengsan.

Bagaimana mengesan kecederaan kepala yang serius?

Jika pesakit mengalami salah satu daripada tanda-tanda seperti berikut, kecederaan kepala yang serius mungkin berlaku:
  • Tahap kesedaran yang berkurangan.
  • Mengantuk yang teramat sangat.
  • Muntah yang berpanjangan.
  • Sakit kepala yang teruk.
  • Tidak mampu menggerakkan tangan atau kaki dan berkurangan deria sentuhan.
  • Tidak dapat bercakap dengan betul.
  • Penglihatan semakin kabur.

Bagaimana saya boleh membantu orang yang mengalami kecederaan?

Sesiapa yang disyaki ada mengalami kecederaan kepala mestilah dibawa segera ke hospital atau klinik.

Di tempat kejadian, alihkan mangsa ke kawasan yang lebih selamat. Angkat mangsa dengan cermat bagi mengelakkan kecederaan lebih teruk.

Jika pesakit itu tidak sedarkan diri, anggap mangsa mengalami kecederaan di leher. Gunakan alat penyokong leher atau ikat mangsa ke papan yang keras.

Ketika diangkat, gunakan 'splint' untuk mengelakkan pergerakan bahagian tubuh yang cedera.

Rawatan kecemasan mungkin diperlukan. Lakukan pertolongan cemas sementara menunggu petugas yang terlatih tiba.

Apakah masalah lain yang berlaku akibat kecederaan kepala?

Kesan kecederaan kepala bergantung kepada keterukan kecederaan yang dialami. Bagi konkusi otak (tidak sedarkan diri dalam tempoh singkat selepas berlakunya kecederaan kepala), kebanyakan pesakit pulih sepenuhnya selepas beberapa jam atau hari.

Bagi kecederaan kepala yang teruk seperti yang melibatkan pendarahan bahagian dalam otak, pesakit mungkin pulih dengan mengalami ketidakupayaan kekal, malah boleh menyebabkan kematian.

Bagaimana kita boleh mencegah kecederaan kepala?
  • Elakkan aksi Tripping Jump Challenge.
  • Sentiasa gunakan peralatan keselamatan.
  • Apabila menggunakan kenderaan: Motosikal – pakai topi keledar dengan betul. Kereta – pakai tali pinggang keledar. Sentiasa patuhi peraturan jalan raya demi keselamatan semua.
  • Bagi pekerja-pekerja binaan: Pakai topi keselamatan setiap masa dan sentiasa patuhi peraturan-peraturan keselamatan di tempat kerja.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

3 Produk 'Kuat Lelaki' Energy Candy Diharamkan Kerana Mengandungi Viagra!

3 Produk 'Kuat Lelaki' Energy Candy Diharamkan Kerana Mengandungi Viagra!

Kementerian Kesihatan memaklumkan bahawa produk untuk menguatkan tenaga batin lelaki, Energy Candy, mengandungi bahan terlarang, tadalafil, yang merupakan ubat terkawal digunakan bagi merawat masalah mati pucuk.

Energy Candy Diharamkan

Perkara itu disahkan selepas KKM menjalankan pemantauan ke atas produk itu susulan tular di media sosial bahawa terdapat bahan terlarang penggunaannya, di bawah Akta Makanan 1983.

Tadalafil adalah ubat terkawal yang digunakan dalam merawat pesakit yang mengalami masalah erectile dysfunction (mati pucuk).

Ubat ini hanya boleh diberikan kepada pesakit di bawah pemantauan ahli profesional kesihatan berdaftar.

Penyalahgunaan tadalafil tanpa pengawasan boleh menyebabkan komplikasi pengurangan atau kehilangan penglihatan dan pendengaran, penurunan tekanan darah mendadak sehingga ke peringkat yang berbahaya dan kesan terhadap sistem kardiovaskular seperti strok dan serangan jantung.

Produk yang terlibat adalah; ExtrAli Energy Candy, Extra Strong Energy Candy dan Mixed Fruit Candy.

KKM melarang import yang dikeluarkan serta-merta dan memberi amaran mana-mana pihak yang menyimpan stok produk terlarang itu, supaya tiada aktiviti pengedaran atau penjualan.

Pengguna juga dinasihatkan supaya tidak membeli produk tersebut dan sekiranya telah membeli, tidak memakannya dan mendapatkan nasihat daripada profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.

BAHAYA UBAT KUAT SEKS

Kebanyakan ubat kuat lelaki yang dijual di pasaran bercampur dengan bahan-bahan beracun seperti sildenafil, tadalafil dan verddanafil yang juga bahan aktif perangsang seks lelaki.

Sildenafil, tadalafil dan verdanafil adalah ubat yang digunakan untuk rawatan erectile dysfunction yang hanya boleh diberikan kepada pesakit oleh doktor atau ahli farmasi berlesen dengan preskripsi dari seorang doktor.

Kesan sampingan ubat itu adalah sangat berbahaya kepada pesakit jika diambil tanpa pengawasan doktor.

Adalah tidak berbaloi kepada mereka yang mengambil ubat kuat lelaki kerana ia mempunyai banyak kesan sampingan dan akan merosakkan badan.

Antara mudarat ubat itu ialah serangan jantung, strok, pendarahan otak, peningkatan tekanan darah, kehilangan pendengaran dan kehilangan penglihatan yang kadangkalanya adalah kekal.

Produk mengandungi bahan-bahan aktif perangsang seks lelaki juga semakin dipelbagaikan dan mudah didapati dalam bentuk minuman seperti kopi dan teh o ais limau.

Jenis Ubat Kuat

Terdapat pelbagai jenis ubat kuat di luar sana. Ada di antaranya dalam bentuk gel tahan lama, kapsul, serbuk, minyak, mahupun ramuan herba namun, tidak semuanya selamat digunakan, malah ada juga yang boleh membawa maut.

Selain itu, ramuan ubat kuat jenis sapu akan memberikan kesan yang terbaik terhadap zakar apabila sapuan ubat kuat tersebut diserap masuk kedalam kulit.

Anda perlu kenal dan tahu jenis serta ramuan yang digunakan supaya anda mendapat ubat kuat lelaki yang selamat.

Ramuan ubat kuat yang digunakan didalam mana-mana ubat kuat lelaki di farmasi atau ubat kuat tradisional biasanya mampu untuk menjadikan: zakar lebih besar, lebih panjang, lebih keras, tahan lebih lama dan tidak mudah pancut.

Siapa yang tidak gembira kalau dapat beraksi dengan lebih lama bersama isteri. Malu kalau selalu kalah. Tak sampai lima minit dah "tewas". Itulah realiti pahit yang terpaksa ditelan dan dihadapi oleh ramai lelaki.

Jika tidak, masakan ubat kuat laki akan mendapat tempat dan permintaan yang sangat tinggi.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

Pelakon Ashraf Sinclair Meninggal Dunia, Aishah Dan Vida Gaduh Balik!

Pelakon Ashraf Sinclair Meninggal Dunia, Aishah Dan Vida Gaduh Balik!

Pelakon Malaysia yang mencipta nama di Indonesia, Ashraf Sinclair, 40, suami kepada pelakon dan penyanyi popular Indonesia, Bunga Citra Lestari atau BCL, disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung di Jakarta, Indonesia.

Ashraf Sinclair Meninggal

"Betul (meninggal dunia). Serangan jantung. Pagi tadi," kata Doddy yang juga pengurus BCL, menerusi aplikasi WhatsApp kepada pemberita.

Difahamkan Ashraf menghembuskan nafas terakhir kira-kira 4 pagi.

Ashraf dilahirkan di London pada 18 September 1979, abang kepada model jelita Aishah Sinclair, mula dikenali ramai sejak membintangi filem Gol dan Gincu pada tahun 2005.

Ashraf kemudian berkahwin dengan BCL pada 8 November 2008 di Masjid Al Bina Senayan, Jakarta.

Ashraf meninggalkan seorang balu dan seorang anak lelaki yang baru berusia 10 tahun, Noah Aidan Sinclair.

AISHAH DAN VIDA KEMBALI PANAS!

Vida vs Aishah

Sementara itu, pergeseran antara jutawan kosmetik Hasmiza Othman dengan penyanyi Aishah sebelum ini yang tampaknya sudah sejuk kembali 'panas'.

Kedua-dua selebriti yang sering mengundang perhatian dalam dunia hiburan itu tiba-tiba kembali menghangatkan industri seni tanah air apabila mereka saling berbalas kenyataan di media sosial.

Terbaru, Hasmiza atau Vida berang dengan Aishah apabila penyanyi itu menyindir isu ganti rugi berlian palsu yang pernah terjadi antara mereka suatu ketika dulu.

Hal itu berlaku ketika ahli perniagaan itu merancang untuk menyaman selebriti kontroversi Azwan Ali dalam satu sidang media sebelum ini.

“Aduhai kau nak apa lagi wahai hamba Allah. Kes dah tutup dah selesai. Apa yang kau nak semua aku dah bagi. Aku suruh kau pilih sendiri sampai kau puas hati.

“Ikut kehendak.. Macam mana yang kau nak. Berlian sebiji, sebiji tak pernah dibuat orang. Kalau orang lain la... aku rasa... kalau dah bagi pilih.. pilihlah perhiasan yang boleh pakai.

“Ni pilih berlian sebiji, sebiji, 1 karat. Ada tak tokey kedai berlian satu dunia ni bagi berlian butir? Sekali cincin suami aku bayar, aku turutkan saja janji kau puas hati, janji aku boleh berniaga dengan tenang dan semoga ada hikmah,” katanya di media sosial.

Aishah sindir Vida

Kenyataan itu dikeluarkan sebagai respons kepada kata-kata Aishah tidak lama dahulu yang mengaitkan isunya dengan cara mohon maaf Azwan atau Diva AA kepada Hasmiza.

“Begitulah sakitnya hati dan jiwa bila permintaan maaf diperlekehkan seperti dipermainkan, diperlekehkan, rasa terhina kan? Makan dalam kan?” katanya juga di media sosial.

Bagi menyelesaikan isu antara mereka berdua sebelum ini, Aishah menuntut lima barang kemas daripada Hasmiza.

Pengusaha produk itu kemudian menjelaskan tuntutan tersebut dengan membuat aksi seolah-olah ingin menelan barang kemas berkenaan.

Vida makan emas

Dalam perkembangan berkaitan, penyanyi Camar Yang Hilang itu mengingatkan, kehilangan rakan-rakan seperjuangan secara mengejut dari arena seni tempatan buat selama-lamanya seharusnya dijadikan iktibar.

Kata Aisyah, sebelum dijemput ajal, carilah satu kesudahan yang bermanfaat.

“Ambil iktibar dari pemergian tiba-tiba rakan satu industri. Kita semua boleh pergi bila-bila masa. Allahuakbar, marilah kita cari kesudahan yang baik,” katanya.

Terdahulu, Hasmiza merungut di akaun Istagram miliknya bahawa dia meragui permohonan maaf daripada pengacara Azwan Ali yang didakwanya tidak ikhlas.

Azwan turut mengadakan sidang media sehari selepas Hasmiza berbuat hal yang sama untuk memohon maaf susulan video klip berbaur penghinaan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

Gambar Imej Sebenar COVID-19, Cantik Tapi Membunuh!

Gambar Imej Sebenar COVID-19, Cantik Tapi Membunuh!

Pada 11 Februari 2020, pakar-pakar di Institut Alergi dan Penyakit Berjangkit Kebangsaan (NIAID) di Montana, Amerika Syarikat telah memuat naik sebuah galeri yang mengandungi imej terbaharu koronavirus menggunakan pelbagai jenis mikroskop pengimbas elektron.

Imej COVID-19
Imej virus yang diimbas melalui mikroskop elektron. - Flickr, NIAID

Imbasan mikroskop elektron ini menunjukkan SARS CoV-2 (kuning), penyebab COVID-19.

Menurut laman rasmi NIAID, sampel imej koronavirus SARS-CoV-2 (yang dahulu dikenali sebagai 2019-nCoV) ialah sebahagian daripada kajian di Regional Medical Laboratory (RML).

Berikut lagi beberapa hasil imbasan makmal COVID-19:

Sampel diambil daripada pesakit di Amerika Syarikat.

AS COVID-19
Imej COVID-19 hasil imbasan mikroskop elektron. -Flickr, NIAID

Imbasan mikroskop elektron ini menunjukkan SARS-CoV-2 (jingga), diambil daripada seorang pesakit di Amerika Syarikat.

Mahkota COVID-19
Imej COVID-19 berbucu tajam seperti mahkota. -Flickr, NIAID

Zarah muncul dari bahagian bawah sel yang dikultur di makmal daripada sampel yang diambil daripada seorang pesakit di Amerika Syarikat.

Bucu di bahagian luar zarah virus inilah yang memberikan koronavirus namanya kerana bentuk bucunya yang tajam seperti mahkota.

Senator Amerika Syarikat Dakwa Coronavirus Berasal Dari Makmal Di China!

Sejak mula wabak COVID-19 tersebar, orang ramai seakan tertanya-tanya dan terus berspekulasi mengenai kehadiran wabak ini, dengan beberapa individu dan pakar mempunyai teori masing-masing.

Menurut Senator Amerika Syarikat, Tom Cotton, dalam sebuah temu bual Sunday Morning Futures, beliau dengan tegas mengatakan kerajaan China sememangnya sebuah kerajaan yang tidak lekang dengan penipuan. Kenyataan beliau dibuat setelah mendakwa kerajaan China sanggup menipu mengenai angka sebenar mangsa yang dijangkiti wabak coronavirus.

Menurutnya, virus ini berpunca daripada sebuah makmal bio-keselamatan yang terletak tidak jauh dari pasar basah Wuhan.

Walau bagaimanapun, dia mengakui Amerika Syarikat tidak mempunyai sebarang bukti mengenai dakwaan yang dibuat serta mengaitkannya dengan ketidakjujuran China.

Selain Tom Cotton, laporan dari South China University of Technology turut merumuskan perkara yang sama dimana wabak coronavirus ini berkemungkinan besar berasal dari sebuah makmal di Wuhan.

Kenyataan ini dikuatkan lagi selepas makmal ini menyimpan 605 ekor kelawar yang berpotensi sebagai pembawa penyakit bagi mengkaji dengan lebih mendalam mengenai penyakit penafasan yang dihidapi oleh haiwan ini.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

Monday, February 17, 2020

SBDJ Siri 124: Badi Ekor Buaya

SBDJ Siri 124: Badi Ekor Buaya

Dari bawah pohon jati, Datuk mengawasi segala kerja yang saya lakukan. Dua tiga kali, Khoja Lisut merayu supaya saya memberhentikan menyiram air ke kepalanya. Saya tidak dapat menunaikan permintaannya itu, selagi belum menerima perintah dari Datuk.

Toyol jadi-jadian

Saya memang simpati dengan Khoja Lisut yang selalu kelemasan dan bersin itu.

"Cukup Tamar."

Saya toleh ke arah pohon jati. Datuk sedang melangkah ke arah saya. Di tangan kanannya ada batang tepus yang berdaun lebar.

"Aku nak balik sembahyang Zuhur, kamu tunggu di sini sampai aku datang," sepasang biji mata Datuk tertumpu ke batang hidung saya. Datuk berpaling ke arah Khoja Lisut.

"Kenapa saya dibuat begini?"

"Bukankah ini yang kamu mahu Khoja?"

"Saya minta, sakit saya diubati, bukan ditanam dalam pasir."

"Inilah caranya Khoja."

Selesai saja Datuk bercakap, batang tepus terus dipalu ke muka Khoja Lisut bertalu-talu. Suara jeritan Khoja Lisut menguasai kawasan sekitar.

Datuk tidak peduli dengan rayuan dan rintihan Khoja Lisut, akhirnya manusia yang terbenam dalam pasir itu terkulai lemah lalu pengsan, batang tepus terus patah dan hancur, muka Khoja Lisut jadi hitam birat. Baju Datuk basah di mandi peluh.

"Bila dia sedar, dia minta air dari kamu. Jangan beri air. Kamu suruh dia gigit upih yang aku letakkan di tepi sungai," jari telunjuk Datuk menghala ke bibir sungai.

"Suruh dia gigit bahagian pangkal yang terkena air," sambung Datuk lagi.

"Jadi, saya tak payah jirus air lagi tuk."

"Tunggu sampai aku suruh, lagi satu aku nak beritahu kamu, apa juga jenis binatang yang melata di bumi menuju ke arah kepala Khoja, jangan dihalau, faham!"

"Ya, saya faham tuk."

"Sekarang kamu pergi duduk bawah pokok jati." Arahan Datuk saya patuhi. Dan Datuk pun meninggalkan saya dan Khoja Lisut di situ.

Sebaik saja batang tubuh hilang di balik rimbunan pepokok di situ, Khoja Lisut tersedar dari pengsan. Dia terus menjerit meminta air.

Saya berlari ke gigi sungai mengambil upih. Saya hulurkan bahagian hujung upih yang basah ke mulut Khoja Lisut. Saya suruh dia gigit hujung upih.

Dalam panas terik itu, saya rasa kulit muka seperti terbakar. Kepala Khoja Lisut bergerak ke kiri ke kanan, lidahnya terjelir, dia enggan menggigit hujung upih yang saya hulurkan kepadanya.

"Gigit," kata saya.

"Aku nak air, bukan itu," sahut Khoja Lisut.

Saya terus menolak hujung upih ke mulutnya. Khoja Lisut tidak ada pilihan, dia terpaksa gigit hujung upih yang sudah diresapi air sungai.

Tiga kali gigit, Khoja Lisut tersedar dan terus muntah. Saya lihat benda putih yang lekat pada lidahnya tertanggal sendiri. Jatuh atas permukaan pasir berkeping-keping.

Kulit muka Khoja Lisut seperti udang kena bakar. Khoja Lisut pengsan kembali. Saya lari semula ke bawah pokok jati.

Sebaik saja saya duduk di akar jati, terdengar bunyi air sungai berkocak kuat. Macam ada sesuatu yang mahu timbul dari dasar sungai ke permukaan air.

Saya bangun lalu merenung ke arah lubuk dan gigi sungai. Dua tiga kali saya gosok kelopak mata, saya seakan-akan tidak percaya dengan apa yang saya lihat.

Seekor buaya menimbulkan dirinya di permukaan lubuk dan berenang ke tepian.

Buaya itu merangkak atas pasir landai, renung kiri kanan mengawasi diri dari musuh.

Saya yakin, kemunculan buaya dari lubuk tersebut adalah untuk menjemur diri di pantai, mungkin juga untuk bertelur.

Memang, sejak saya melihat bentuk kawasan berpasir di selekoh sungai itu, hati saya sudah berkata yang kawasan itu memang menjadi kegemaran buaya berjemur atau bertelur.

Hal ini dikuatkan lagi dengan adanya sebuah lubuk di depan kawasan berpasir atau boleh juga disebut sebagai kawasan pantai sungai.

Saya menggigit jari. Buaya yang merangkak itu tidak mengubah haluan. Tetap menghala ke arah Khoja Lisut yang terkulai pengsan.

Buaya itu pasti mengamuk, bila mendapati kawasannya di ceroboh oleh manusia.

Hati kecil saya terus berdoa; "Oh, Tuhan kau selamatkan manusia yang bernama Khoja Lisut dari korban buaya. Si malang itu, berada di situ kerana berubat, Allah yang maha besar, selamatkanlah Khoja Lisut. Dia sudah insaf dan menyesali perbuatannya yang lalu."

Doa saya bagai tidak diperkenankan oleh tuhan. Buaya itu terus merangkak mengheret tubuh ke arah kepala Khoja Lisut yang tersembul di permukaan pasir.

GUGUR

Dalam debar bersama cemas itu, saya pejamkan mata dan saya bayangkan dalam tempurung kepala saya begini:

Buaya yang marah itu mengelilingi kepala Khoja Lisut beberapa kali. Buaya itu mengangkat dan menggerakkan ekornya. Dan sekali libas kepala Khoja Lisut terpisah dari badan, bergolek macam buah kelapa gugur.

Darah membuak-buak keluar dari sebahagian batang leher yang masih berada dalam pasir.

Buaya itu terus menggoncang kepala Khoja Lisut ke gigi sungai. Titisan darah memanjang di pasir.

Perlahan-lahan buaya itu menenggelamkan tubuhnya di permukaan air sungai lalu membawa kepala Khoja Lisut ke dasar lubuk yang airnya bergerak tenang.

Beberapa saat kemudian buaya itu muncul lagi lalu menjulang tinggi kepala Khoja Lisut di permukaan lubuk.

"Tamarrrrrr.."

Saya segera membuka mata. Khoja Lisut menggerakkan kepalanya ke kiri ke kanan. Buaya yang hanya berada dalam jarak beberapa kaki saja dari kepalanya terus membukakan mulut dengan luas. Giginya yang besar jelas kelihatan.

"Tolong aku Tamar."

Jeritan Khoja Lisut kian lantang.

Saya jadi serba salah. Terfikir juga oleh saya untuk menjerit. Tetapi, mana mungkin Datuk dapat mendengar jeritan saya.

Lagipun, kalau buaya itu terkejut, kemungkinan besar bertindak balas lebih pantas untuk mematahkan kepala Khoja Lisut.

"Tolong aku Tamar, aku tak mahu mati dalam mulut buaya ni," pekik Khoja Lisut.

Sepasang biji matanya terbeliak menyorot ke arah mulut buaya yang ternganga. Saya lihat buaya itu berhenti merangkak. Agaknya, terkejut dengan kelantangan suara Khoja Lisut.

Rasa kasihan dan belas terhadap Khoja Lisut mula berbunga dalam hati. Timbul hasrat untuk mengusir buaya tersebut.

Tanpa sedar, sepotong kayu sudah berada dalam tangan saya. Di saat saya mahu melontarkan kayu ke arah buaya, wajah Datuk terbayang dalam ingatan.

Serentak dengan itu terngiang-ngiang suara Datuk menyentuh gegendang telinga saya.

Saya segera membatalkan hasrat hati untuk menghalau buaya di dada pasir. Kayu di tangan segera saya lepaskan. Peluh terus mengalir di pipi dan di dahi.

Apakah yang perlu saya lakukan sekarang? Ternyata saya tidak dapat berbuat apa-apa. Saya hanya pasrah kepada Allah saja.

Khoja Lisut berusaha berhempas pulas mahu mengeluarkan tubuhnya yang tertanam dalam pasir.

Saya mengedutkan dahi, melihat daya usaha seorang kenalan di saat-saat menghadapi bahaya.

Saya segera terfikir mana mungkin Khoja Lisut dapat mengeluarkan tubuh yang terbenam separas leher di perut pasir.

Pasir sekeliling lehernya nampak bermanik dan bercahaya akibat sinaran matahari yang kian terik.

Saya yakin sesiapa yang memijak pasir ketika itu tanpa sepatu akan menjerit kepanasan.

"Tolong aku."

Suara Khoja Lisut amat lemah dan untuk kesekian kalinya dia terkulai pengsan.

Saya tetap macam tadi, masih terpaku di bawah pokok jati. Panas terik membuat tekak terasa amat kering sekali.

"Maafkan saya, Pak Cik Khoja,"

Itu yang berkocak dalam diri. Sepasang anak mata, saya arahkan ke lubuk tempat buaya berendam.

Air di permukaan lubuk kelihatan tenang. Kicau burung di hujung dahan rancak berbunyi. Saya alihkan pandangan ke arah Khoja Lisut. Kasihan, dia masih terkulai pengsan.

Peluh terus memercik di muka dan seluruh badan. Angin yang bertiup tidak dapat memberikan kedinginan ke seluruh tubuh. Dan buaya yang di dada pasir terus merangkak.

Sebaik saja muncungnya mahu mencecah rambut Khoja Lisut, buaya itu berhenti merangkak.

Saya tergamam sejenak, buaya itu membuka mulutnya dengan luas sekali. Batang giginya jelas kelihatan dan pada saat itu juga, saya terlihat lalat langau menghurungi mulut buaya di tengah panas yang terik.

Andainya, buaya itu bergerak ke depan sedikit dan merapatkan muncungnya, sudah pasti seluruh kepala Khoja Lisut berada dalam rahangnya.

Saya segera mencapai sepotong kayu yang berada di sebelah kaki kiri saya. Sekiranya buaya itu mematahkan kepala Khoja Lisut, saya akan meluru ke arahnya lalu menikam matanya dengan kayu yang ada di tangan saya.

"Syukur."

Itulah yang terluah dari mulut saya. Buaya mengubah haluan kedudukannya. Muncungnya yang terbuka dihalakan ke arah saya.

Kemudian, mulutnya yang ternganga segera dirapatkannya perlahan-lahan. Buaya itu mendekatkan badannya yang bersisik ke lubang hidung Khoja Lisut.

"Kalau dibiarkan lama-lama begitu, matilah Khoja Lisut kelemasan," fikir saya sambil mencari helah bagaimana mahu menghalau buaya tersebut.

Dalam saat saya berfikir, saya lihat buaya itu bergerak lagi. Kali ini, muncungnya yang diarahkan kepada saya berubah haluan, dihalakan ke tepi sungai.

Dengan tiba-tiba saja buaya itu meluru ke lubuk macam ada sesuatu yang mengejarnya.

Air sungai yang mengalir tenang terus berkocak dan bergelombang, sebaik saja badan buaya menghempapnya.

Buat beberapa saat buaya tersebut terkapar di permukaan sungai. Akhirnya perlahan-lahan menenggelamkan dirinya ke dasar lubuk. Air sungai yang bergelombang mula beransur tenang.

Saya menarik nafas kelegaan, buaya yang mengancam nyawa Khoja Lisut sudah pulang ke sarangnya.

Semoga, buaya itu tidak akan datang lagi. Begitulah harapan saya.

"Huhhhh..."

Segera saya toleh ke arah Khoja Lisut, ternyata dia baru sedar dari pengsan. Dua tiga kali, Khoja Lisut menggerakkan kepalanya.

"Weeeeeeeekkkkkkkkk..."

Saya lihat Khoja Lisut muntah dan muntah itu meresap ke dalam pasir. Dari jauh saya dapat melihat muntahnya berwarna putih bercampur kemerah-merahan.

Macam nanah bercampur darah dan muntah itu berlanjutan hampir setengah jam.

TELINGA

Setiap kali Khoja Lisut muntah, rambutnya seakan-akan menjadi tegak. Mukanya nampak kembang. Telinganya nampak merah.

"Aduh!!! rasanya semua isi perut aku nak keluar. Tolong aku Tamar, aku dahaga, janganlah aku diseksa begini," Khoja Lisut merayu.

Saya segera mengambil daun keladi besar. Saya berlari ke sungai. Daun keladi yang sudah dibuat macam kelongsong segera saya isikan dengan air untuk Khoja Lisut. Saya bersedia mahu melangkah ke arahnya.

"Buuuummmm..."

Terdengar sesuatu dari lubuk. Kelongsong daun keladi besar di tangan terlepas. Saya menoleh ke arah lubuk.

Sang buaya menimbulkan muncungnya dengan sepasang mata yang tertonjol, merenung tajam ke arah saya.

"Tuuukkkk..."

Saya menjerit dengan sekuat hati. Tanpa disedari saya sudah berada di bawah pohon jati.

Badan menggigil dan terasa seakan-akan ada sang buaya mengekori saya. Sepasang kaki menjadi lemah dan saya terus jatuh.

Antara sedar dengan tidak, saya terasa seperti ada orang berdiri di depan. Walaupun sepasang kelopak mata tidak terkatup tetapi, saya tidak dapat melihat dengan jelas dalam keadaan panas yang amat terik itu.

Penglihatan saya agak kabur dan berpinar-pinar. Pada saat itu juga saya terfikir, tidak mungkin yang terpacak di depan saya itu Khoja Lisut. Dia tidak berkeupayaan mengeluarkan dirinya dari pasir.

"Kamu pitam, agaknya perut kamu kosong."

Saya cuba mengamati suara itu. Sudah pasti itu suara Datuk. Saya cuba menjawab, ternyata saya kehilangan suara.

Saya cuba menggerakkan tubuh, saya gagal. Malah untuk menggerakkan kaki kanan saya tidak mampu.

"Kamu lapar."

Tubuh saya digoncang berkali-kali, kemudian ditegakkan lalu disandarkan dipangkal jati.

Kalau tadi, kelopak mata saya tidak terkatup, kini macam ada kuasa tertentu yang memaksa kelopak mata saya terkatup rapat.

"Bangun Tamar, bangun."

Badan saya terus digoncang. Saya tidak terdaya melakukan sesuatu.

Anehnya, kicau burung dan suara Khoja Lisut yang berada di tengah panas dapat saya dengar dengan jelas. Untuk menjawab pertanyaan Datuk, saya tidak mampu.

"Kau lemah semangat, kamu lemah semangat, kamu terkejut kerana terserempak dengan sesuatu yang tidak pernah kamu tengok sebelumnya," cukup jelas suara Datuk.

Apa yang dituturkannya itu memang benar. Saya tidak tahu bagaimana mahu menyatakan ya padanya.

Mahu bersuara, suara tidak keluar. Mahu anggukkan kepala, batang leher jadi keras macam besi.

"Ha ini habuan kamu."

Sebaik saja kata-kata itu berakhir, muka saya di rimbas dengan daun kayu dan dituruti dengan pukulan ranting kayu bertubi-tubi di belakang saya. Sakitnya terasa bukan kepalang.

"Aduhhhh.."

Saya menjerit sekuat hati. Gemanya menguasai kawasan sekitar dan saya seperti terkejut.

Tidak yakin, apa yang saya dengar itu adalah suara saya sendiri. Bagi memastikannya, saya terus menjerit lagi.

"Aduhhhhhh.."

Sudah sah, itu adalah suara saya. Di saat saya berusaha mahu bangun, Datuk membuka penutup botol besar air (yang dibawa dari rumah) dan kepala saya dijirusnya dengan air.

Serta-merta saya melompat. Bagaikan kilat Datuk menyambar tangan saya lalu dikilaskannya ke belakang. Saya ditolak ke kanannya hingga terjatuh.

"Apa yang kamu nampak, Tamar?"

"Buaya timbul dari lubuk."

"Hum, bangun. Bawa botol air ke tempat Khoja Lisut. Jirus kepalanya dengan air ni, kalau dia dahaga beri dia minum," Datuk mengeluarkan perintah.

Tanpa banyak soal jawab saya ambil botol yang dihulurkan oleh Datuk. Saya mengatur langkah ke arah Khoja Lisut.

MATAHARI

Di bawah sinar matahari yang terik, saya berdiri di depan Khoja Lisut. Rasanya, tidak sopan berdiri di depan orang yang badannya hampir keseluruhan berada dalam pasir.

Bagi menghormati Khoja Lisut, saya duduk berdiri lutut sambil membuka penutup botol besar dan bersedia untuk menjirus air ke kepalanya.

"Tamar..."

Saya tidak jadi menjirus air ke kepala Khoja Lisut. Saya segera memandang ke arah Datuk yang berada di bawak pondok jati.

"Bismillah dan selawat."

Saya segera anggukkan kepala.

"Mulakan sekarang, Tamar."

Saya membaca bismillah dan terus selawat nabi. Dan air dari perut botol pun jatuh atas kepala Khoja Lisut. Lelehan air di bibir terus masuk ke mulut lalu diteguk penuh nafsu.

"Terima kasih, Tamar."

Khoja Lisut dongakkan kepalanya, sepasang anak matanya yang kuyu merauti paras saya. Bibirnya yang pucat nampak kering, begitu juga dengan kulit mukanya.

"Aku dahaga," ucapnya lagi.

Ucapannya itu saya jawab dengan anggukkan kepala.

"Haus, saya haus." suara Khoja Lisut tidak berapa jelas.

Muncung botol saya dekatkan ke bibirnya. Perlahan-lahan punggung botol saya tinggikan. Dengan berbuat demikian memudahkan Khoja Lisut meneguk air.

"Cukup Tamar, mari ke mari."

Saya toleh ke arah Datuk. Dia menggamit saya supaya segera mendekatinya. Cepat-cepat muncung botol saya tutup.

Khoja Lisut mengeluh, dia bagaikan tidak merestui saya meninggalkannya. Saya segera menghampiri Datuk dan berdiri di depannya.

"Banyak kamu beri dia minum,"

"Sikit saja, tuk."

"Hum..." biji mata Datuk menjeling ke arah botol kosong yang saya pegang.

Botol kosong itu saya serahkan padanya. Datuk letakkan botol kosong di atas akar pohon jati.

"Kamu pergi balik, makan nasi dan sembahyang Zuhur," Datuk keluarkan perintah.

Matanya tidak berkedip merenung batang tubuh saya, dari atas ke bawah dari bawah ke atas. Tidak selesa rasanya saya dipandang begitu. Saya jadi serba salah.

"Apa kata kamu Tamar," biji mata terbeliak, macam mahu keluar dan saya serentak.

Saya sudah terlanjut. Ungkapan saya keluar secara spontan dari mulut itu, benar-benar menyinggung perasaan Datuk.

"Saya balik dulu, tuk."

Itulah helah saya, melarikan diri menghadapi kemarahan Datuk. Saya mempercepatkan langkah. Kalau boleh saya mahu menghilangkan diri dengan sekelip mata di hadapan Datuk.

"Tamar nanti dulu, aku tak suruh kamu pergi, kenapa kamu pergi? Kamu ni makin biadab. Mari ke sini."

Saya sudah melangkah beberapa ela darinya terpaksa sorot kembali dan terus berdiri di depannya.

Suara Khoja Lisut minta air, tidak dipedulikan oleh Datuk. Wajahnya masih masam. Saya bersedia menerima apa saja kutukan dan sumpah seranah darinya.

Saya menarik nafas kelegaan. Datuk menggigit dan terus mencari akar kayu untuk duduk.

Dia senyum ke arah saya dan perlahan-lahan dia gelengkan kepala, agaknya dia terasa lucu dengan pertanyaan yang tidak wajar saya kemukakan kepadanya.

"Kamu tolong nenek kamu, apa yang patut."

"Ya, tuk."

"Kamu datang ke sini, bila kamu dah selesai sembahyang asar."

"Ah.." terkeluar keluhan kecil dari mulut.

Kenapa mesti lepas sembahyang Asar. Kenapa tidak selepas sembahyang Zuhur, kenapa mesti menolong nenek. Apa yang Datuk katakan itu memang praktikal.

Sepatutnya, lepas sembahyang Zuhur, saya mesti ke sini, melihat detik peristiwa yang dialami oleh Khoja Lisut. Apa yang bergolak dalam dada tidak berani saya luahkan. Terpaksa dipendamkan dalam kalbu.

"Masa kamu nak datang ke mari, bawakan aku putik manggis tujuh biji, putik rambutan tujuh biji serta air masak dari putik pinang," Datuk memberikan pesan.

"Jadi saya kena rebus putik pinang, tuk?

"Tak payah, semua barang-barang tu dah disediakan oleh nenek kamu. Kamu cuma bawa saja ke sini."

"Jalan terus ke rumah, jangan merayau-rayau ke mana-mana," itu pesanan terakhir dari Datuk untuk saya, sebelum melangkah pulang.

Lebih kurang setengah rantai jarak antara saya dengan Datuk, dan saya yakin Datuk tidak dapat melihat pergerakan saya kerana dilindungi oleh pepokok kecil, saya terus berlari.

Pada saat itu juga saya menganggap diri saya terlepas dari cengkaman Datuk. Saya berlari dengan semahu-mahunya.

PINTU

Nenek yang secara kebetulan berdiri di depan pintu dapur tercengang melihat saya berlari tercungap-cungap ke arahnya.

Tanpa menegurnya saya terus memanjat anak tangga dan duduk di muka pintu.

"Apa yang mengejar kamu, Tamar?"

"Tak ada apa-apa?"

"Habis kenapa kamu lari."

"Seronok lepas dari kawalan Datuk, saya lapar nek."

"Hum....," nenek gelengkan kepala.

"Dah sembahyang?" susulnya lagi.

Saya cuma mampu tersengih.

"Sekarang pergi bersihkan badan kamu, lepas tu sembahyang Zuhur, sementara kamu sembahyang biar aku siapkan makanan," turut nenek sambil menggaru pipi sebelah kanannya.

"Macam mana kalau saya makan dulu, nek."

"Tak baik begitu, bersihkan badan dan sembahyang dulu, barulah seronok makan. Tuhan suka orang yang bersih, makan dalam keadaan penat dan badan kotor, kata orang makan bersama syaitan. Kamu mahu makan sama syaitan, Tamar?"

"Heee.. tak mahu, saya tak mahu kawan dengan syaitan."

"Kalau tak mahu, kamu pergi mandi. Buat apa yang aku cakap," sambung nenek.

Dan saya segera menuju ke perigi.

Cakap nenek memang tepat, selesai menunaikan solat Zuhur, saya dapat menikmati hidangan makanan tengah hari dengan selesa dan bernafsu sekali.

Selesai makan saya tersandar di dinding merehatkan tubuh badan tetapi, kenikmatan itu hanya dapat saya rasai dalam waktu yang pendek. Lepas makan duduk bersandar, memang pantang besar bagi nenek.

"Kalau nak duduk tu, biarlah nasi jatuh ke perut dulu. Pergi jalan-jalan atau buat kerja ringan. Kamu tahu Tamar, orang yang makan kenyang kemudian duduk tersandar, minta celaka diri."

"Apa ertinya cakap nek ni, saya tak tahu," tanya saya.

"Minta papa kedana, pemalas. Kalau diamalkan selalu, perut boroi, sakit urat-urat perut mudah datang. Boleh jadi barah tahu, nanti perut kamu boleh meletup.

"Saya tak mahu perut saya meletup," saya terus menjerit dan melompat.

Sekali gus melakukan senaman.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 124/284

BACA: SBDJSiri 123: Tubuh Terbenam Dalam Pasir
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Menurut Kajian Tekanan Akan Membuatkan Rambut Cepat Beruban

Menurut Kajian Tekanan Akan Membuatkan Rambut Cepat Beruban

Pernah dengar yang tekanan akan membuatkan rambut kita cepat beruban? Ia bukan sekadar kata-kata kerana tekanan benar-benar akan membuat anda cepat beruban - dan apabila rambut sudah memutih, ia tidak akan kembali ke warna asal.

Rambut Cepat Beruban
Gambar hiasan.

Kajian sekumpulan penyelidik Universiti Harvard mendapati hormon norepinephrine dibebaskan ketika badan berada dalam keadaan fight or flight.

Di bawah tekanan yang luar biasa, norepinephrine dibebaskan ke dalam saluran darah di mana ia meningkatkan kadar denyutan jantung dan menyediakan tubuh bertindak balas terhadap sebarang ancaman.

Tetapi, keadaan itu merosakkan sel stem melanocyte (MSC), iaitu sel kulit yang menghasilkan pigmen yang turut berfungsi memberikan warna pada rambut.

Umumnya manusia akan mula beruban pada usia 30-an, dan rambut akan putih keseluruhan ketika usia menjangkau 50 tahun.

Mereka yang beruban pada usia remaja kebiasaannya adalah disebabkan faktor genetik.

Dalam hasil penyelidikan yang diterbitkan dalam jurnal Nature menyebut, kebanyakan kita mempunyai anekdot tentang bagaimana tekanan memberi reaksi terhadap tubuh mereka.

"Paling utama pada kulit dan rambut mereka, satu-satunya tisu yang dapat kita lihat dari luar.

"Kami mahu memahami jika hubungan ini adalah benar dan jika ya, bagaimana tekanan membawa perubahan dalam tisu yang pelbagai," kata Dr Ya-Chieh Hsu, profesor sel stem dan biologi regeneratif di Harvard.

Sudah diketahui sebelum ini, hormon yang dihasilkan sebagai tindak balas kepada tekanan memberi kesan kepada sel stem yang memberi warna rambut.

Tetapi apa yang ingin ditentukan ialah hormon manakah yang sering diperkatakan dan dari mana ia datang.

Para penyelidik mendapati bahawa tekanan menyebabkan sistem saraf mengeluarkan norepinephrine ke salur darah.

Norepinephrine dihasilkan otak dalam keadaan tertekan menjadikan tubuh lebih berjaga-jaga dan bersedia untuk melawan tekanan.

Tetapi ia juga menyebabkan sel stem dalam folikel rambut diaktifkan secara berlebihan, menurut kajian itu.

"Apabila kita memulakan kajian ini, saya tahu tekanan beri kesan buruk, tetapi rupa-rupanya ia jauh lebih teruk daripada yang saya bayangkan.

"Selepas beberapa hari saja, semua sel pemulihan stem hilang dan anda tidak boleh menghasilkan semula pigmen lagi. Kerosakan itu kekal," tambah Cheih Hsu.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: astroawani

Bahaya Aksi 'Tripping Jump Challenge' Boleh Menyebabkan Kematian!

Bahaya Aksi 'Tripping Jump Challenge' Boleh Menyebabkan Kematian!

Ketika ini, satu lagi cabaran baharu yang sedang popular di seluruh dunia sedang hangat diperkatakan, bukan kerana keseronokan mencuba 'tripping jump challenge', sebaliknya kerana ia boleh menyebabkan kematian.

Bahaya Tripping Jump Challenge

Dalam cabaran tripping jump challenge ini, kesudahan aksi boleh meragut nyawa mereka yang mencubanya.

Jadi, apa sebenarnya tripping jump challenge ini sehingga dianggap berbahaya kerana boleh mendatangkan kecederaan serius?

Menerusi perkongsian video di laman sosial, kelihatan tiga orang berdiri sederet akan melompat tinggi serentak, kemudian dua orang rakan yang berada di kiri dan kanan, akan menyepak kaki rakan mereka yang berada ditengah-tengah.

Sepakan dua rakan itu pada bahagian belakang buku lali akan menyebabkan dia terjatuh lantas kepala terhentak di lantai.

Dalam pelbagai versi cabaran yang dilakukan, individu yang berdiri di tengah itu mungkin sudah mengetahui bahawa dia perlu mengelak sepakan rakan di sebelahnya.

Ada juga versi 'prank' di mana individu di bahagian tengah tidak tahu niat rakan untuk menyepak kakinya.

Lebih malang, ada yang turut berkongsi pengalaman di mana kepalanya terjatuh ke lantai konkrit di sebuah taman permainan.

Berdasarkan pengamatan melalui video-video yang sedang tular di media sosial, terdapat beberapa risiko yang boleh berlaku kepada individu yang melakukan cabaran itu.

Risiko paling ketara, ia boleh menyebabkan hentakan di bahagian kepala dan sekali gus boleh menyebabkan kecederaan serius kepada otak.

Jika terkena impak yang besar, ia boleh menyebabkan kematian otak atau 'brain dead' kerana jika dilihat video cabaran itu, individu akan terjatuh secara mengejut.

Selain itu, bahagian tengkuk juga boleh tercedera yang akan menyebabkan kecederaan pada tulang serviks yang boleh menyebabkan, bukan sahaja maut malah lumpuh seperti strok.

Risiko lain, ia boleh menyebabkan kecederaan belakang yang kronik, cedera pada otot, serta kecederaan pada organ dalaman.

Ibu bapa dan guru sekolah diingatkan agar memantau aktiviti ini dan mereka perlu mengambil perkara yang perlu untuk menghalangnya dari dilakukan.

Ini kerana, tripping jump challenge boleh menyebabkan kecacatan kekal, yang akan memberi kesan buruk kepada masa hadapan.

Kepada ibu bapa dan guru-guru di sekolah, sila awasi anak-anak anda supaya tidak tidak terjebak dengan cabaran viral ini.

Perlu diingatkan bahawa, kesan aktiviti tripping jump challenge boleh menyusahkan ramai pihak dan mereka perlulah berfikir seribu kali sebelum memilih untuk melakukannya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:


sumber: astroawani