Friday, September 20, 2019

Kenapa Buah Zakar Lelaki Terletak Di Luar Badan?

Kenapa Buah Zakar Lelaki Terletak Di Luar Badan?

Ia mungkin kelihatan bertentangan dengan logik tentang hakikat bahawa organ-organ pembiakan lelaki yang sangat penting terdedah kepada unsur-unsur di luar tubuh, namun saintis mempunyai beberapa teori mengenai persoalan yang sangat penting ini. Mengapa buah zakar tidak disimpan dengan selamat di dalam tubuh badan lelaki?

Buah Zakar
Gambar hiasan.

Menurut pakar, kawalan suhu adalah jawapan yang paling jelas untuk persoalan membingungkan ini.

Penghasilan sperma oleh buah zakar yang paling berkesan adalah pada suhu 35 ° Celcius, iaitu 2° C lebih rendah di bawah suhu yang dikekalkan di dalam tubuh manusia.

Organ yang berfungsi dalam keadaan paling baik pada suhu 37 ° C dilindungi oleh tulang di dalam rongga badan, termasuk otak dan buah pinggang.

Walau bagaimanapun, terdapat beberapa ketidaksepakatan dalam komuniti saintifik mengenai tesis berkenaan dengan suhu ini.

Tidak jelas sama ada buah zakar "turun" atau keluar daripada badan kerana ia perlu lebih sejuk daripada tubuh badan atau sama ada ia berkembang untuk berfungsi dengan lebih baik pada suhu tersebut kerana ia berada di luar.

Tesis tentang penyejukan buah zakar ini berasal dari Universiti Cambridge pada tahun 1890-an.

Saintis tersebut, Joseph Griffiths, melakukan satu eksperimen terhadap anjing, menolak buah zakar haiwan ini masuk kembali ke dalam perut dan menjahit organ tersebut agar tidak terkeluar.

Kurang daripada seminggu kemudian, Joseph mendapati bahawa organ itu telah merosot, dengan tiub di mana penghasilan sperma berlaku menjadi sempit dan sperma tidak muncul.

Beliau mengaitkan perkara itu dengan suhu yang lebih tinggi di dalam badan membuatkan teori ini terhasil.

Kajian ini telah disemak pada tahun 1920 oleh Carl Moore dari University of Chicago.

Menggunakan hasil kerja Charles Darwin, Carl berhujah bahawa apabila mamalia telah beralih daripada haiwan berdarah sejuk kepada berdarah panas, suhu dalaman menghalang pengeluaran sperma.

Spesis jantan yang dilahirkan dengan buah zakar di luar badan menjadi "penternak" paling berjaya dan melepaskan bahan genetik, serta mengekalkan sifatnya.

Walau bagaimanapun, mereka yang menentang teori ini menggunakan contoh mamalia yang masih mengekalkan buah zakar di dalam badan dan terus berjaya membiak.

Banyak mamalia dengan buah zakar dalaman seperti gajah dan burung, mempunyai suhu teras yang lebih tinggi daripada manusia dan primat, yang dikatakan boleh menafikan teori tentang suhu ini.

Sesetengah ahli akademik percaya bahawa suhu yang lebih sejuk ini mungkin untuk menghentikan DNA daripada bermutasi, manakala yang lain percaya bahawa sperma di bawah suhu badan membolehkan kehangatan faraj berfungsi sebagai isyarat mengaktifkan sperma.

Adalah mungkin kedudukan buah zakar luaran dapat dijelaskan oleh teori suhu, yang mana jika spesies betina terpaksa memilih antara dua jantan yang telah menewaskan semua persaingan lain, ia akan memilih jantan yang terpaksa mengatasi halangan terbesar.

Ini adalah kerana kerana ia merupakan petunjuk kepada kekuatan yang lebih hebat.

Sebagai contoh, memanjat Gunung Everest adalah sesuatu yang sangat mengagumkan, tetapi memanjat ke puncak dengan satu tangan diikat di belakang anda adalah lebih hebat, bukan?

Teori kontroversi memainkan beberapa cara untuk menjelaskan beberapa fenomena evolusi yang bermasalah, seperti warna bulu burung jantan yang berwarna-warni dan siulan burung yang kelihatan direka untuk menarik pemangsa.

Apa pun teori tentang buah zakar di luar badan ini, ia tetap membingungkan kita.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

Teknologi MANPADS Dan SAM Menggantikan Jet Pejuang

Teknologi MANPADS Dan SAM Menggantikan Jet Pejuang

MANPADS (man portable air defence system) biasanya digunakan untuk menghadapi ancaman pesawat udara yang terbang rendah dengan menggunakan pelancar yang digalas dibahu penembak dengan jarak serangan sekitar kurang 10 km.

Teknologi MANPADS Dan SAM
MANPADS.

Mengikuti sejarah kejayaan besar Manpads adalah di Afghanistan, apabila Amerika membekalkan 500 pelancar dan 1,000 misil kepada Mujahideen dan hasilnya, pada tahun 1986 hingga 1989 sebanyak 270 pesawat udara Rusia telah ditembak jatuh. Impressive!

Kita berbual lebih sikit pasal SAM (surface to air missile) sebab kita nak cerita pasal penggunaan meriam dan misil pertahanan udara bagi menggantikan jet pejuang.

SAM sebenarnya adalah cheap solution untuk negara yang tidak mampu membeli jet pejuang generasi 4.5 seperti Rafale, Typhoon atau generasi 5 seperti F-22 Raptor atau F-35.

Penggunaan misil (peluru berpandu) SAM bukanlah baru di rantau ini. Vietnam Utara dan Indonesia telah menggunakan SA-2 sejak tahun 60an, begitu juga Singapura dengan misil Bloodhound pada tahun 70-80an.

Perang Vietnam

Penggunaan SA-2 oleh Vietnam telah berjaya menembak jatuh 15 pesawat pengebom B52D/G yg telah melakukan 729 sorties dalam Op Linebacker II.

Kejayaan ini merupakan peratusan kecil iaitu 7.52% sahaja mengenai sasaran.

Soviet telah membekalkan 95 sistem pelancar SA-2 dengan 7,658 misil dimana lebih 6,000 telah dilancarkan tetapi hanya 1,046 pesawat udara dijatuhkan iaitu 31% dari jumlah keseluruhan dengan nisbah 1 kill: 6 misil.

Perang Yom Kippur

Kita lihat pula Perang Yom Kippur 1973 yang menyaksikan penggunaan 40 x bateri SA-2, 85 x bateri SA-3 dan 40 x bateri SA-6 yang diletakkan disepanjang Terusan Suez dengan kelebaran kawasan 23 km.

Untuk makluman, satu bateri (pasukan) biasanya memiliki 6 unit pelancar misil. Payung pertahanan udara ini disokong 50 pusat kawalan, 180 tapak radar, 800 x meriam 23mm, 500 x meriam 57 mm dan beratus-ratus Manpads jenis SA-7.

Lapisan pertahanan udara ini telah berjaya menjatuhkan lebih 50 pesawat udara Israel pada hari pertama peperangan sehinggakan komander tentera udara Israel terpaksa mengarahkan jet tempur mereka dari mengelak zon ini buat seketika.

Kelebihan Buat Negara Kecil

Kedua contoh di atas menunjukkan keberkesanan misil SAM tetapi ia hendaklah digunakan dalam jumlah yang besar dan tidak ekonomik untuk sebuah negara yang luas seperti Indonesia tetapi satu kelebihan kepada Brunei atau Singapura.

Dalam kes Perang Yom Kippur juga ia digunakan disepanjang Terusan Suez sahaja secara tepu.

Tapak pelancar SAM dan radar juga menjadi sasaran serangan udara dan darat jika zon pertahanannya terpisah atau tidak bertindihan antara satu sama lain.

Walaupun begitu, ia masih menawarkan kebaikan kerana mudah disembunyikan dan kos yang murah untuk latihan dan operasi, berbanding satu skuadron jet pejuang.

Skuadron jet pejuang memerlukan landasan dan pembinaan aircraft shelter yang mampu melindungi pesawat dari bom atau serpihannya.

Penggunaan SAM atau Manpads juga terbatas untuk pertahanan sahaja sedangkan jet boleh melakukan rondaan, tinjauan, serangan darat, pemintasan dan lain-lain tugasan yang diperlukan dengan pantas.

SAM Russian Buk-M2
SAM Russian Buk-M2.

Bateri misil SAM juga perlu sering mengubah posisi tembakan, melakukan serang hendap ke atas pesawat yang hampir, menggunakan tapak pelancar dummy dan melakukan pancaran dengan berdisiplin supaya tidak dikesan dengan mudah.

Kegagalan menggunakan kesemua cara diatas telah mendedahkan bateri-bateri pertahanan udara Syria kepada serangan dan dimusnahkan oleh Israel dalam Perang Yom Kippur. Syria kurang cerdik berbanding Mesir.

Kembali kepada rantau ini, contoh terbaik lapisan pertahanan udara adalah seperti Singapura yang meliputi jarak dekat, sederhana dan jauh:
  • RBS70 – 5 km
  • Spyder – 20 km hingga 50 km
  • Hawk – 50 km
  • Aster 30 – sehingga 120 km

Lapisan pertahanan udara Malaysia:
  • Rapier – 8 km
  • Starstreak – 7 km
  • Igla – 5 km
  • Starburst – 7 km
  • Anza – 5 km
  • Pantsir S1M – 30 km

Sekianlah sedikit penjelasan sama ada pasukan pertahanan udara boleh menggantikan peranan jet atau tidak.

Kesimpulannya, Malaysia perlu banyak lagi pelancar misil pelbagai jarak jika mahu merangkumi pertahanan udara di seluruh negara.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thepatriots

6 Surah Palsu Yang Di Tambah Dalam Cetakan Al-Quran

6 Surah Palsu Yang Di Tambah Dalam Cetakan Al-Quran

Ramai rakyat Malaysia gemar membeli buku-buku rujukan Islam dari Indonesia berikutan penerbitan di sana yang nampak lebih rancak bagi memenuhi permintaan masyarakat Indonesia, selaku komuniti terbesar masyarakat Islam di dunia.

Surah Palsu
Gambar hiasan.

Bagaimanapun, berlaku satu penyebaran versi al-Quran yang dikatakan ada berlaku penambahan dengan wujudnya kemasukan 6 surah tambahan dalam versi al-Quran tersebut.

Menurut penyiasatan, terdapat hampir 12 surah palsu yang dicipta untuk ditambah dalam beberapa cetakan Al-Quran, namun ada 6 yang cukup terkenal dan dkenalpasti paling banyak disebar.

1. Al-Iman (Kepercayaan)

'Surah al-Iman' menceritakan berkenaan kisah pengikut Nabi Isa a.s. yang sedang belayar di atas lautan dengan ombak besar melanda mereka.

Dalam kepayahan, mereka ternampak kelibat Nabi Isa sedang berjalan air, yang membuatkan mereka mempersoalkan keadilan Tuhan.

Mendengar keluhan itu, Tuhan pun menegur mereka dan mengingatkan mereka tentang kekuasaan-Nya.

Berkat daripada itu, mereka pun diberikan kebolehan untuk berjalan di atas air yang membuatkan mereka terselamat dan mengucapkan syukur.

Isu 'surah' ini

Manusia biasa boleh berkomunikasi dengan Tuhan secara terus. Jika anda membaca surah ini, sukar untuk dikenalpasti sama ada mereka itu sedang memohon kepada Tuhan ataupun kepada anak Tuhan.

Yang paling jelas, pembohongan paling besar adalah apabila manusia biasa diberikan mukjizat.

2. Al-Muslimun

Surah Al-Muslimun ini berkisar kepada 'peringatan' yang diberikan kepada kaum Muslimin berikutan ketidak percayaan mereka kepada Allah dan Nabi Isa a.s., serta diperingatkan apa balasannya jika Muslimin tidak mempercayai kebenaran Nabi Isa a.s.

Kemudian, Tuhan dalam surah ini menegur Nabi Muhammad SAW kerana telah menyesatkan kaum Muslimin dengan meninggalkan amalan yang dibawa oleh Nabi Isa a.s.

Pada peringkat akhir surah ini, Nabi Muhammad SAW dikatakan memohon maaf kepada Allah SWT atas kesilapannya menyesatkan orang Islam dan menyesal kerana berjaya dihasut godaan syaitan.

Isu 'surah' ini

Rasanya sudah jelas di mana pembohongan surah ini dilakukan. Rasulullah SAW adalah seorang yang terpelihara daripada dosa dan tidak mungkin berjaya diperdayakan syaitan, begitulah juga para Rasul yang lain.

3. Al-Tasajjud (Penjelmaan)

Kisah yang dipaparkan dalam 'surah' ini pula lebih kepada memperingatkan umat Islam berkenaan kekuasaan Allah SWT menjadikan apa saja yang dirasakan mustahil dilakukan.

'Surah' ini cuba mengajak umat Islam untuk menerima konsep Nabi Isa a.s. bukanlah seorang anak kepada Tuhan, tetapi sebenarnya telah pun menjadi sebahagian daripada Allah itu sendiri sejak mula lagi.

Kemudian Nabi Isa a.s. dikatakan dihantar kepada kalangan manusia untuk bercampur gaul dan hidup di kalangan manusia, lalu meninggal di kalangan manusia juga sebelum diangkat 3 hari selepas kematiannya.

Isi surah ini cuba memujuk umat Islam untuk menerima konsep Nabi Isa a.s. itu adalah anak Tuhan dan sesiapa yang tidak mempercayai konsep ini, bersedialah untuk berdepan kemurkaan Allah SWT.

Isu 'surah' ini

Konsep Nabi Isa a.s. sebagai anak Tuhan dan juga sebahagian daripada Tuhan merupakan satu kesalahan akidah yang jelas dalam Islam.

4. Al-Wasaya (Perintah)

Salah satu surah palsu paling pelik yang ada. Kandungannya berkisar kepada perintah-perintah yang dikatakan datang daripada Allah SWT yang bersifat sangat spesifik.

Dalam 'surah' ini diletakkan panduan untuk menguap dan larangan meletak gambar anjing di dinding, sebelum mula mengarut dengan larangan keras terhadap dosa besar memakai kasut dengan kaki kiri terlebih dahulu.

Selain itu, dalam surah ini juga terkandung suruhan orang Muslimin untuk menyerang dan membunuh sesiapa saja kaum yang dikatakan golongan munafik. Selain itu, bersumpah dengan nama Allah digalakkan.

Isu 'surah' ini

Banyak perintah yang disebut dalam 'surah' ini sebenarnya adalah perkara-perkara yang perlu dielakkan.

5. 'Surah' Al-Nurayn dan Al-Wilaya

Dua surah ini sudah lama wujud sejak kurun ke 17 lagi, dengan kedua-duanya dikatakan datang daripada seorang penulis tidak diketahui dari India.

Setakat yang diketahui, belum ada lagi mana-mana versi al-Quran yang mempunyai dua surah ini di dalamnya.

Dikatakan ditulis oleh pengikut fahaman Syiah yang mengagungkan khalifah ke empat selepas kewafatan Baginda Rasulullah SAW berikutan nama Ali bin Abi Talib disebut dalam kedua-dua surah ini.

Surah Al-Nurayn yang membawa maksud 'cahaya' menceritakan tentang dua cahaya yang akan melindungi orang Islam dan menjadi penunjuk kepada jalan yang benar.

Dalam 'surah' tersebut, nama Saidina Ali disebut sebagai seorang alim yang sentiasa berdoa setiap malam agar Allah mengampunkan dosa-dosa orang Muslim.

Kandungan dalam surah Al-Wilaya pula hampir serupa dengan kandungan surah Al-Nurayn dari segi temanya; beberapa peringatan terhadap hari Akhirat dan peringatan kepada mereka yang tidak mempercayai kandungan al-Quran.

Surah tersebut diakhiri dengan pujian kepada Allah dan juga Ali sebagai saksi yang golongan Muslim haruslah tunduk pada Allah SWT.

4 surah pertama yang kami kongsikan di atas dikatakan disebarkan dalam salah satu cetakan Qur'an di Indonesia, namun tidak dapat dipastikan kesahihan kisah ini, sama ada benar-benar telah diedarkan atau tidak.

Surah Al-Nurayn dan surah Al-Wilaya pula telah pun diperdebatkan semenjak kemunculannya dan diakui adalah surah-surah palsu.

Tujuan kami berkongsikan isu ini hanyalah untuk kita bersama-sama mempunyai sedikit pengetahuan untuk mengenal pasti surah-surah palsu yang ada dan dikatakan kerap diletakkan di dalam sumber-sumber rujukan al-Quran dalam internet, yang amat mudah dipergunakan oleh sesiapa saja.

Beberapa pautan laman rujukan al-Quran yang ada dan pernah memaparkan surah-surah ini sudahpun tidak lagi beroperasi, tetapi adalah lebih baik kita mengetahui sendiri nama-nama 'surah' ini agar kita tidak leka dan terpedaya membacanya, tanpa sedar surah yang kita baca itu sebenarnya hasil ciptaan manusia belaka.

Selain enam ini, terdapat beberapa lagi surah palsu yang ada dinamakan Al-Hayat, Al-Afdal, Al-Mukataa, Al-Kitab, Al-Usfoor, An-Nabi dan Ad-Du'a, yang dikatakan berlegar-legar di internet.

Berhati-hatilah ketika membeli dari sumber rujukan dan tidak dikenali penerbitannya.

Sukar untuk dibendung dalam dunia yang bersifat tanpa sempadan, jadi kita perlulah lebih bijak dalam meneliti masalah ini.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

Wednesday, September 18, 2019

Kunyit Hitam: Potensi Lumayan Herba Yang Berharga $2,000 Sekilo!

Kunyit Hitam: Potensi Lumayan Herba Yang Berharga $2,000 Sekilo!

Curcumin yang merupakan bahan aktif dalam Kunyit Hitam (Curcuma Caesia) memiliki kandungan antioksidan dan dikatakan amat kuat, juga merupakan agen antiseptik dan antibakteria semula jadi dan amat bermanfaat kepada kesihatan manusia.

Rizom Kunyit Hitam
Kunyit Hitam.

Curcumin yang terdapat di dalam Kunyit Hitam juga dapat merawat penyakit kanser (kanser prostat, kanser payu dara) dan nyanyuk.

Selain daripada curcumin, Kunyit Hitam juga mengandungi zat besi yang tinggi dan tahap sederhana vitamin B6 serta kalium, adalah merupakan sebahagian daripada diet yang sihat dan seimbang.

Tanaman Kunyit Hitam
Tanaman Kunyit Hitam.

Khasiat Kunyit Hitam secara ringkas:
  • Bersifat anti oksidan, anti depress, anti bakteria, anti inflamasi yang tinggi.
  • Meningkatkan DHA untuk fungsi otak dan kesihatan mental.
  • Meningkatkan ketahanan badan.
  • Boleh dimakan, dimasak, diminum dan sangat bagus untuk kesihatan.
  • Mengawal selia neurotransmiter pada otak.
  • Tumbuhan liar yang sukar ditemui.
  • Berfungsi merawat pelbagai penyakit.
  • Dikatakan mampu merawat masalah penyakit melibatkan alam mistik.

Curcuma Caesia (Kunyit Hitam)
  • Lazimnya Curcuma caesia mempunyai rizom bewarna biru, ungu terang atau gelap, kehijauan.
  • Pokoknya hampir sama dengan pokok kunyit, perbezaannya Curcuma Caesia mempunyai garisan hitam di daunnya. Pokok Curcuma Caesia biasanya setinggi 1 meter dan mempunyai bunga bewarna merah kehijauan.
  • Curcuma Caesia dilaporkan berasal dari India, China dan juga Timur Tengah seperti Turki.

Kunyit hitam
Kunyit Hitam, Curcuma caesia.

Curcuma Caesia lebih tepat digelar Kunyit Hitam kerana perkatan Curcuma adalah merujuk kepada genus 'Turmeric' (kunyit).

Panggilan untuk Curcuma Caesia:
  • Malaysia: Kunyit Hitam
  • India: Kali Haldi
  • English: Black Turmeric
  • China: Black Zedoary

KUNYIT HITAM (Curcuma Caesia) PALING BERNILAI DIPASARAN!

Harga Kunyit Hitam

Harga pasaran sekilo Curcuma Caesia.

Harga Curcuma Caesia

Kunyit Hitam (Curcuma Caesia)

Harga pasaran dunia bagi Curcuma Caesia mencecah RM2,000-8,000 sekilo mentah, disebabkan permintaan yang tinggi dari serata dunia sedangkan bahan mentahnya sangat terhad dan dikawal kerana diklasifikasikan sebagai tumbuhan terkawal.

Antara negara pengeluar terbesar Kunyit Hitam adalah Taiwan dan India.

Manakala di Malaysia, harga Kunyit Hitam adalah dalam lingkungan RM300-RM1,000 sekilo. Lumayan kan?

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

SBDJ Siri 110: Kura-kura Mata Hijau

SBDJ Siri 110: Kura-kura Mata Hijau

Mat Prai berhenti melangkah secara mengejut. Dia menoleh ke arah Datuk dan saya dengan wajah yang pucat. Dia kelihatan berada di dalam keadaan serba salah. Mat Prai seperti enggan meneruskan langkah, dia seperti mahu berpatah balik ke pondok durian. Badannya terus menggeletar seperti orang kena histeria.

Toyol jadi-jadian

"Kenapa Mat Prai," Datuk segera menggoncangkan tubuhnya.

"Saya dah langgar pantang Ayah Alang."

"Nama orang itu tidak boleh disebut atau diberitahu pada orang, siapa yang langgar pantangnya boleh kena penyakit gila babi, ramai orang yang menyebut namanya pada orang lain jatuh sakit," sebaik sahaja selesai Mat Prai bercakap dia terus rebah atas rumput.

Paling mengejutkan, bila Mat Prai terus baring atas rumput.

Dalam keadaan serba salah saya dongakkan muka ke langit melihat matahari yang memancar terang sedangkan awan putih bergerak tenang di dada langit.

Angin bertiup menggugurkan dedaun kering. Datuk terus berusaha memberikan keyakinan pada Mat Prai bahawa apa yang dipercayainya itu adalah karut.

Tetapi, Mat Prai tidak mudah mahu menerima apa yang Datuk katakan itu.

"Aku nak tanya kamu satu perkara dalam dunia ini, baik di langit mahupun di bumi siapa yang berkuasa dan siapa pula yang menghidupkan dan mematikan manusia," Datuk bertanya dengan lembut pada Mat Prai setelah semua usahanya yang dikemukakan pada Mat Prai sebentar ditolak mentah.

"Tentulah Allah yang maha besar," jawab Mat Prai penuh keyakinan.

Dia terus duduk matanya menentang biji mata Datuk.

"Kamu sudah tahu jawapannya, kalau sudah tahu kenapa kamu mesti takut dengannya. Percayalah dia tidak ada kuasa," Datuk memberikan semangat.

"Tapi, ramai percaya dengannya," Mat Prai kelihatan masih ragu-ragu.

Datuk terus gelengkan kepala sambil menarik nafas dalam-dalam. Memang terlalu sukar untuknya memberikan semangat baru pada Mat Prai.

"Sekarang kamu sebut namanya berkali-kali, kamu maki dia. Aku nak tengok pantang larangnya berkesan atau tidak," Datuk mendesak Mat Prai.

Cepat-cepat Mat Prai gelengkan kepala, mukanya bertambah pucat dan Datuk terpaksa bertindak lebih tegas supaya Mat Prai mematuhi arahannya. Kali ini Datuk tidak mahu menentang biji mata Mat Prai.

"Kamu nak ikut cakap aku atau aku tinggalkan kamu di sini. Biar aku balik ke kampung.

"Jangan, kerja Ayah Alang belum selesai lagi."

"Kalau kamu mahu aku selesaikan, dengar cakap aku."

"Baiklah Ayah Alang," ujar Mat Prai dan terus menyebut nama Suhaimi Keraba serta memaki hamunnya dengan semahu hati.

"Berhenti Mat, berhenti."

Mat Prai pun berhenti memaki hamun Suhaimi Keraba. Saya yang sudah tidak sanggup berdiri segera mencari tempat duduk. Sasaran saya ialah batang buruk yang melintang di tepi denai.

"Sekarang kamu duduk diam," itu arahan Datuk kepada Mat Prai.

"Kita tunggu sampai sepuluh minit, kalau benar-benar orang yang pantang namanya disebut itu berkuasa, dan boleh mendatangkan bala kepada kamu, tentu kamu mengalami sesuatu," sambung Datuk sambil mengeluarkan jam saku dari bajunya.

"Nah kau tengok masanya," Datuk menyerahkan jam saku kepada saya.

"Sampai sepuluh minit beritahu aku," saya segera patuh pada perintahnya itu.

CUKUP

Sepuluh minit sudah berlalu, tidak ada perkara yang tidak diingini terjadi pada diri Mat Prai. Saya pulangkan jam saku kepada Datuk.

Sebelum jam itu disumbatkan ke dalam poket, Datuk melihatnya sejenak untuk memastikan sama ada kiraan saya tepat atau sebaliknya.

"Bagaimana Mat Prai? Kau tentu setuju kalau aku katakan yang orang itu tidak ada kuasa," bisik Datuk ke telinga Mat Prai tetapi dengan lemah dia menggelengkan kepala.

"Kenapa Mat?"

"Sebabnya tak jadi kerana Ayah Alang ada pelindung diri, ada pemakai dan petua, sebab itulah sumpahnya tak menjadi."

Datuk tunduk merenung bumi. Mat Prai segera berdiri. Panas terasa kian keras. Kulit dahi dan muka saya terasa pedih.

"Kau selalu memikirkan perkara yang buruk-buruk. Engkau tahu kuasa Allah tetapi, engkau tidak yakin pada-Nya inilah yang merosakkan diri kamu sendiri.

"Kamu kata aku ada ilmu pendinding, sebenarnya perkara yang kau sebutkan itu memang tidak ada pada aku. Apa yang aku lakukan ialah minta perlindungan dari Allah," Datuk mula memberikan pendapatnya.

Dia tidak peduli sama ada pendapat itu dapat diterima oleh Mat Prai atau sebaliknya. Pokoknya, dia harus menyedarkan diri Mat Prai yang terlalu percayakan pada hal yang karut-marut.

"Bagi aku dia tidak ada kuasa, dia orang gila," cetus Datuk.

"Baik Ayah Alang minta maaf padanya, kalau tidak susah diri Ayah Alang."

"Tak payah, dia bukan ada kuasa yang berkuasa ialah Allah, pergi jahanam dengannya.

"Teruskan perjalanan, aku nak sampai ke rumah kamu cepat," tanpa rasa bimbang atau takut-takut Datuk terus bersuara.

Mat Prai jadi termangu-mangu dan serba-salah.

"Jalan cepat. Tak usah fikirkan tentang manusia gila yang tidak bermoral itu," Datuk tolak belakang Mat Prai.

Antara mahu dengan tidak Mat Prai terpaksa meneruskan perjalanan. Kami terus melalui beberapa buah dusun durian milik orang lain.

Perjalanan selanjutnya tidak ada perbualan. Antara kami bertiga, tiada seorang pun yang berminat mahu bertanyakan itu dan ini. Masing-masing melayani khayalan diri sendiri.

"Aduh!"

Datuk yang berada depan saya terus membongkokkan badan. Kedua belah tangannya menekan pangkal belikat sebelah kiri.

Mat Prai segera memangku tubuh Datuk agar jangan tersembam ke bumi. Saya memicit belakang Datuk.

"Kenapa tuk?"

"Ada orang baling benda tajam ke arah aku," jelas Datuk.

Saya segera renung kiri kanan. Anak mata saya tertumpu ke arah bambu runcing sepanjang dua kaki di hujung kaki kanan Datuk.

Buluh itu sudah patah dua dan bahagian yang ditajamkan sudah hancur.

"Carikan aku Daun Dukung Anak," ujar Datuk pada saya.

Tanpa membuang masa saya segera mencarinya. Dengan izin Allah Daun Dukung Anak yang melata di bumi itu saya temui dekat pangkal pokok durian mati pucuk.

"Sapukan di tempat yang terkena buluh tu untuk membunuh bisanya," Datuk keluarkan arahan.

Saya segera selak baju Datuk. Memang ada garisan memanjang yang melukakan kulit tubuh Datuk. Darah mula keluar dari kulit yang terkoyak itu.

"Aku dapat menepisnya, kalau tidak buluh itu tembus ke rusuk kiri," terang Datuk sambil menyuruh saya menghancurkan Daun Dukung Anak dengan telapak tangan.

Atas arahannya juga daun yang sudah hancur itu saya tampalkan ke tempat yang tergaris sesudah membaca tujuh kali al-Fatihah serta sekali selawat.

Lebih dari sepuluh minit perjalanan kami berhenti. Bila Datuk sudah pulih, kami meneruskan perjalanan pulang.

Tetapi, baru enam langkah Suhaimi Keraba muncul di depan kami dengan beberapa batang buluh runcing di tangan kiri.

"Jangan di lawan."

Itu perintah Datuk untuk saya dan Mat Prai.

Peluh yang menguasai setiap sendi membuatkan saya resah. Mat Prai melihat matahari yang terpacak di atas kepala.

"Tengah rembang, kata orang tua-tua alamat tak baik," bisik Mat Prai ke telinga saya.

"Entah," jawab saya.

"Diam jangan banyak cakap, kalau perbuatannya boleh mengancam nyawa kita, cepat-cepat kita lari," datang lagi arahan dari Datuk.

Saya dan Mat Prai anggukkan kepala. Datuk juga menyuruh kami berdiri sebaris menentang wajah Suhaimi Keraba.

"Kamu yang jadi kepala samseng memaki hamun aku. Tak sedar diri masuk kampung orang nak berlagak ayam jaguh," kata-kata itu ditujukan oleh Suhaimi Keraba ke arah Datuk.

"Kamu jadi baruanya," jari telunjuknya mengarah ke wajah Mat Prai.

Suhaimi Keraba terus berlegar-legar di depan kami. Sesekali dia mencabut keris panjangnya. Dua tiga kali diacukannya ke arah saya.

"Aku yang merejamkan buluh tajam kepada kamu, aku sakit hati kerana kamu mencaci dan memperkecilkan aku, apa yang kamu katakan pada aku semuanya dapat aku dengar," Suhaimi Keraba mula memperlihatkan taringnya.

Dan Mat Prai terus merenung ke arah Datuk, seolah-olah mengatakan yang cakapnya sebentar tadi adalah benar.

Melihat kami semua membisu dan tidak kisah membuatkan Suhaimi Keraba naik angin.

Dia mula memaki hamun Datuk dan menyifatkan Datuk dari keturunan orang yang tidak bertamadun. Datuk tetap membisu.

Setelah menggunakan pelbagai cara tetapi Datuk tetap bersikap dingin. Tidak mahu memulakan pergaduhan.

Dia mula menyerang Datuk dengan buluh runcing. Dia merejam sepuluh batang buluh runcing ke arah kami.

Satu kebolehan yang di luar kemampuan manusia biasa. Saya kira ada tenaga lain yang membantu Suhaimi Keraba.

Bagi menyelamatkan diri, saya dan Mat Prai terpaksa berlindung di balik pokok durian.

Datuk tidak berganjak dari tempat dia berdiri. Tegak di situ sambil berpeluk tubuhnya.

Kedua belah matanya dirapatkan cuma kelopak bibirnya sahaja bergerak seperti menyebut sesuatu.

Lebih dari empat batang buluh runcing direjamkan oleh Suhaimi Keraba kepada Datuk.

Tidak satu pun yang mengenai tubuh Datuk. Semuanya menyimpang ke arah lain.

Ada yang melekat pada pokok pisang hutan, terbenam ke bumi dan sebagainya.

Suhaimi Keraba berhenti dari melakukan sesuatu pada Datuk. Dia termenung sejenak. Datuk tetap berdiri dalam keadaan berpeluk tubuh.

Suhaimi Keraba terus memintas arah belakang Datuk sambil membaling buluh runcing secara curi.

Tetapi, sebelum hujung buluh runcing menjamah kulit, terlebih dahulu Datuk menyambarnya.

Buluh runcing itu segera dibenamkan oleh Datuk ke bumi. Serentak dengan itu Suhaimi Keraba menjerit.

Kedua belah tangan tergapai-gapai seolah-olah minta tolong. Suhaimi Keraba jatuh ke bumi.

Perlahan-lahan Datuk membuka kelopak mata sambil menjatuhkan sepasang tangan yang memeluk tubuhnya.

Datuk merenung ke arah Suhaimi Keraba yang tertiarap ke bumi. Berhempas pulas berusaha untuk bangun berdiri.

"Bangunlah, sahabatku," kata Datuk.

Suhaimi Keraba merenung marah ke arah Datuk. Dalam rasa cemas dan takut itu dia berjaya melepaskan diri.

"Kekuatan sahabat tidak sejauh mana. Tidak dapat melawan kekuasaan Allah yang mencipta diri saudara dan saya, yang memberikan nyawa pada kita," ujar Datuk lagi.

"Hisss..." desis Suhaimi Keraba.

"Saudara sudah sesat, kerana sesat itulah hidup saudara dikuasai nafsu syaitan."

"Sudahlah," balas Suhaimi Keraba.

"Terima kasih, saya tidak berniat mahu bermusuh dengan saudara, saya mahu bersahabat," Datuk hulurkan tangan ke arah Suhaimi Keraba.

"Kamu bukan orangnya," Suhaimi Keraba menolak.

"Saudara, kita mahu bersahabat."

"Tidak ada masa untuk bersalam dan bersahabat dengan orang yang tidak berilmu," Suhaimi Keraba mula mencemek.

Saya dan Mat Prai keluar dari tempat persembunyian. Kami segera mendekati Datuk yang kelihatan begitu tenang menghadapi cemuhan yang dilemparkan oleh Suhaimi Keraba terhadap dirinya.

"Saya tahu sejauh mana ilmu yang ada dalam dada saudara," kata Datuk dalam nada suara yang lembut dan mengharapkan akan terjalin tali persahabatan antaranya dengan Suhaimi Keraba.

Ternyata Suhaimi Keraba tidak mempedulikan harapan dan cita-cita Datuk. Dia terus melangkah pergi dengan wajah seribu dendam.

Kami meneruskan perjalanan pulang. Sampai di rumah Mat Prai disambut oleh isterinya dengan pelbagai pertanyaan.

Kenapa kami lambat sampai. Mat Prai memberi jawapan yang kami singgah ke rumah beberapa orang kenalan. Ternyata alasan itu dapat diterima oleh isteri Mat Prai.

Makan nasi durian memang menyelerakan. Itu pengalaman yang menyeronokkan ketika makan nasi durian waktu tengah hari di rumah Mat Prai.

Tetapi apa yang kurang menyeronokkan ialah sikap Datuk yang sering mengingatkan agar saya agar makan 'secukup kenyang!'

Satu ingatan yang boleh mematikan selera makan saya.

Tetapi saya masih beruntung Mat Prai memberikan kerjasama yang baik. Bila dia melihat pinggan yang kosong, secara sembunyi-sembunyi dia menaruh nasi durian ke dalam pinggan saya dan Datuk tidak dapat berbuat apa-apa.

Tengah hari itu, saya makan betul-betul kenyang. Lepas makan saya tersandar di dinding dan Datuk cuma terdaya menjeling marah ke arah saya.

KECIL

Pada petang itu, saya diajak oleh Mat Prai berjalan-jalan sekitar pekan kongsi yang kecil.

Saya ditunjukkan kawasan pasar tempat orang menjual buah dan jeruk buah pala.

Saya juga dibawa ke kawasan hutan kecil yang menurutnya tempat pelanduk berehat.

Tempat tersebut, bertahun-tahun kemudiannya tekah dijadikan ladang ternakan buaya (kini khabarnya ladang buaya itu sudah diberhentikan atas arahan pihak berkuasa demi keselamatan orang ramai).

Lebih kurang pukul empat dua puluh lima minit petang, saya dan Mat Prai kembali ke rumah. Kami dapati Datuk tiada di rumah.

Kata isteri Mat Prai, tidak lama setelah kami meninggalkan rumah, Datuk terus menuju ke arah masjid.

Saya dan Mat Prai terus ke masjid. Cakap isterinya memang benar. Datuk duduk tertonggok di tengah ruang masjid membaca al-Quran.

Oleh kerana waktu Asar sudah hampir tiba, kami terus mengambil air sembahyang dan melakukan sunat tahiyat masjid.

Sepuluh minit kemudian waktu Asar pun sampai. Bilal terus memukul beduk dan seterusnya melaungkan azan.

Dalam kesempatan itu juga Mat Prai memperkenalkan Datuk dengan iman masjid tersebut.

Setelah menunaikan sembahyang Asar Datuk terus berborak dengan imam yang usianya lima atau sepuluh tahun lebih tua dari Datuk.

Dari Imam tersebut Datuk memperoleh cerita yang terperinci tentang diri Suhaimi Keraba serta kejadian aneh yang berlaku di dusun durian beberapa orang penduduk.

"Setahu saya kejadian itu sudah berkurangan. Kalau adapun terjadi kerana pemilik dusun durian tidak mahu mematuhi nasihat kami."

"Apa nasihatnya Pak Imam?" tanya Datuk.

"Perbuatan tu, perbuatan syaitan kita lawan ikut suruhan Allah," Pak Imam bersuara lemah.

"Dari dulu lagi kalau ada kejadian macam tu, kami baca Yasin tujuh malam di dusun orang malang, kemudian kami ingatkan pemilik dusun supaya membayar fitrah kalau memperoleh pendapat lebih, itu saja syaratnya," sambung Pak Imam.

"Hasilnya bagaimana Pak Imam?" tanya Datuk.

"Dengan izin Allah berjaya. Melainkan orang tak mahu ikut nasihat, tidak mahu sembahyang, tidak mahu berpuasa dan mengambil hak orang sebagai milik sendiri.

"Pak Imam tahu durian di dusunnya, dikacau makhluk ganjil," Datuk terus menepuk bahu Mat Prai yang berada di sisinya. Pak Imam renung muka Mat Prai.

"Dia ni cuma datang dan balik ke kampung bila dekat musim durian, jadi dia tidak tahu apa yang berlaku.

"Selain dari dusun ini, ada seorang dua yang dusun mereka kena kacau," ujar Pak Imam dengan wajah yang selamba.

Saya menoleh ke arah Mat Prai. Dia tersenyum tersipu-sipu, cuba menyembunyikan rasa malunya. Rahsia dirinya telah terbongkar.

"Dulu dia bawa bomoh siam nak halau hantu di dusunnya. Hasilnya tak ada apa-apa. Saya hairan kenapa Si Mat ni tak mahu mengadu pada saya, tak mahu berbincang dengan orang-orang kampung, pada hal saya kenal dirinya dari Datuk neneknya lagi. Dia orang sini," Pak Imam meluahkan suara hatinya.

Mat Prai tunduk tidak berkata apa-apa pun.

MESRA

Sebelum berpisah Datuk bersalaman dengan Pak Imam penuh mesra. Datuk sempat memujuk Pak Imam supaya turut sama pergi ke dusun durian Mat Prai.

Pada mulanya Pak Imam itu menolak permintaan Datuk. Setelah didesak barulah Pak Imam itu mahu ikut serta ke pondok Mat Prai.

Malam itu, setelah selesai menunaikan sembahyang Isyak di masjid, saya dan Datuk serta Pak Imam terus menuju ke pondok durian Mat Prai.

Mat Prai pergi lebih awal dari kami dan perjalanan kami lancar tidak mengalami sebarang gangguan yang aneh.

Sampai di pondok, Mat Prai menyambut kami dengan hidangan air kopi panas.

Dua pemuda dari Pulau Betung yang menunggu dusun durian pada sebelah siang segera pulang.

Kali ini Datuk melakukan sesuatu di luar dugaan saya. Mat Prai dan saya disuruh duduk di luar kira-kira dua puluh kaki jaraknya dari pondok asal.

Di situ Datuk dirikan empat batang tiang dan atapnya dibuat dari daun-daun hutan yang lebar.

Tidak sampai dua jam Datuk berjaya mendirikan pondok yang bentuknya macam pondok mainan kanak-kanak.

Kami disuruh duduk di situ. Manakala Datuk dan Pak imam duduk di pondok besar. Mereka terus membaca Quran.

Saya tidak mahu berada jauh dari Mat Prai. Ke mana sahaja Mat Prai bergerak di situ saya berada.

Kami mendengar bunyi buah durian jatuh tetapi, saya atau Mat Prai tidak berhasrat mahu mengutipnya.

"Ular," jerit saya.

Biji mata Mat Prai terbeliak melihat seekor ular hitam sebesar lengan budak berusia lapan tahun. Panjangnya kira-kira dua kaki.

Ular itu terus menuju ke arah pelita minyak tanah. Mat Prai ambil kayu memukul ular itu, kena tepat pada bahagian belakangnya.

Ular itu panggungkan kepala lalu mematuk pelita minyak tanah. Kami berada dalam kegelapan.

Saya raba sana, raba sini, cari kotak mancis. Barang yang saya cari ditemui.

Sumbu pelita menguasai ruang pondok, jelas kelihatan ular hitam menyusup di bawah dedaun kering dan terus ghaib entah ke mana.

Tempat ular itu hilang segera diganti oleh seekor kura-kura yang warna kulitnya kuning keemasan.

Biasanya kura-kura bila terdengar suara atau melihat orang akan menyorokkan kepalanya.

Tetapi kura-kura yang datang mendadak di pondok kami terus menjulurkan kepalanya sambil memakan dedaun kering. Mata kura-kura aneh itu nampak tersembul dan mengeluarkan cahaya hijau.

"Kenapa semuanya mesti terjadi masa Datuk kamu tak ada bersama kita. Aku bunuh kura-kura laknat ni," Mat Prai mula marah dan terus mahu memukul belakang kura-kura dengan kayu yang digunakan untuk memukul ular.

"Jangan."

"Kenapa Tamar?"

"Biarlah dia pergi sendiri."

"Hum..." Mat Prai mengeluh lalu menghempaskan kayu di tangan dengan sekuat hati.

Saya hanya diam sahaja. Kura-kura yang menjulurkan kepalanya masuk ke dalam badannya.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 110/284

BACA: SBDJ Siri 109: Ilmu Suhaimi Keraba
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

4 Punca Badan Masuk Angin Dan Rawatannya

4 Punca Badan Masuk Angin Dan Rawatannya

Bagi kebanyakan orang, masalah angin ini mungkin bukan gangguan yang menjejaskan hidup, tetapi bagi sesetengah orang, ia boleh menjejaskan keyakinan diri dan walaupun gejala yang dialami mungkin sama, tetapi punca masalah ini berbeza antara individu.

Punca Badan Masuk Angin
Gambar hiasan.

Masalah angin dalam badan kebanyakannya berpunca daripada udara yang ditelan dan apabila seseorang dalam keadaan tertekan, mereka lebih kerap menelan udara tanpa disedari.

1. Malaise

Namun, dalam perubatan moden, masalah masuk angin ini disebut penyakit Malaise.

Malaise adalah gejala tidak khusus yang berkaitan dengan hampir semua penyakit berjangkit, metabolik, atau sistemik. Ia sering diiringi oleh keletihan.

Gejala penyakit Malaise adalah kurang bertenaga, sakit, mengantuk dan badan menjadi sangat lemah (lemas badan) yang berpanjangan walaupun selepas berehat lama.

Untuk merawat penyakit Malaise, doktor biasanya akan memberikan anda Vitamin B-Complex.

2. Masalah Usus

Masalah masuk angin juga boleh disumbangkan oleh proses penghancuran makanan oleh bakteria di dalam usus besar yang tidak berlaku seperti sepatutnya. Ini bermakna ia mungkin disebabkan gangguan dalam sistem penghadaman.

Terdapat beberapa kaedah rawatan bagi menyelesaikan masalah ini. Paling utama adalah penghidapnya perlu membuat perubahan kecil dalam pemakanan dengan mengelakkan pengambilan makanan berangin dan bergas, ambil ubat serta cuba untuk tidak menelan terlalu banyak udara.

Kaedah perlu dilakukan penghidap masalah angin:

Menukar jenis makanan

Kandungan gas yang dihasilkan daripada makanan berbeza antara individu. Seseorang itu perlu memastikan jenis makanan khusus yang menyebabkan berlakunya masalah angin ini berdasarkan pengalaman.

Sekiranya makanan itu dapat dikenal pasti, hindarkan daripada mengambil makanan itu.

3. Ubat-ubatan

Ubat-ubatan seperti antasid, simethicone dan arang diaktifkan yang boleh didapati di farmasi dapat membantu mengurangkan masalah angin.

Selain itu, enzim penghadaman seperti laktase membantu menghadamkan karbohidrat di samping membolehkan seseorang mengambil makanan yang biasanya menghasilkan angin.

4. Kurangkan menelan udara

Individu yang mengalami masalah sendawa yang kronik dinasihatkan supaya kurang mengambil gula-gula getah dan gula-gula.

Anda dinasihatkan supaya mengunyah makanan secara perlahan-lahan dan tidak banyak bercakap ketika makan.

Hindari makanan yang menghasilkan angin

Makanan yang mengandungi gula raffinose, fruktosa, laktosa dan sorbitol menghasilkan banyak angin.

Raffinose terkandung dalam makanan seperti kacang yang mengandungi banyak gula kompleks manakala bunga kubis, kubis brussel, asparagus, brokoli dan kubis pula mengandungi fruktosa.

Laktosa ialah gula semula jadi yang terdapat dalam susu dan makanan mengandungi susu seperti keju dan aiskrim.

Fruktosa banyak terdapat pada bawang, buah pir dan gandum. Ia juga banyak digunakan sebagai pemanis dalam minuman ringan dan jus buah-buahan.

Ubatan dan urutan

Selain pengambilan ubat yang sesuai bagi mengurangkan masalah angin sama ada dengan bertemu doktor atau berkunjung ke farmasi terdekat, teknik urutan juga satu daripada kaedah yang dapat membantu anda.

Melalui teknik urutan yang betul, angin dalam badan seseorang itu mampu dikeluarkan dan ia akan memberikan kelegaan segera.

Menurut pakar terapi, teknik urutan yang betul mampu melegakan atau mengurangkan rasa kurang selesa individu berkenaan.

Terdapat pelbagai jenis masalah angin yang biasa terjadi antaranya angin di badan, kepala, rahim, perut dan bawah bahu yang boleh menyebabkan seseorang itu berasa lesu dan mengalami kesakitan.

Masalah angin ini sekiranya tidak dirawat atau diurut dengan betul bukan saja menyebabkan rasa tidak selesa malah boleh menjadi punca kesakitan atau bisa pada badan atau tempat yang bermasalah itu.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: hmetro

Bagaimana Saka Memasuki Tubuh Dan Cara Merawatnya

Bagaimana Saka Memasuki Tubuh Dan Cara Merawatnya

Istilah saka adalah merujuk kepada jin yang diambil sebagai pendamping dan diwariskan dari satu generasi kepada generasi yang seterusnya, manakala gangguan saka pula merujuk kepada keadaan seseorang yang mempunyai tanda gangguan saka dan telah dipastikan setelah dilakukan rawatan ke atas orang itu.

Jin Saka
Gambar hiasan.

Di dalam artikel kali ini, InshaaAllah kami akan kongsikan dengan anda perkara-perkara yang berkaitan dengan saka.

Tujuan Saka Diambil Dan Bahayanya

Oleh kerana jin saka ini berkaitan dengan keturunan, biasanya ia melibatkan generasi terdahulu, yang mengambil jin saka sebagai pendamping demi untuk memenuhi tujuan-tujuan tertentu.

Dan sebagai balasannya, jin saka ini akan membuat perjanjian supaya dirinya akan terus diwariskan ke generasi yang akan datang.

Perjanjian inilah yang membuatkan jin saka akan terus mengganggu keturunan tuannya.

Diantara tujuan-tujuan jin saka ini diambil sebagai pendamping ialah:
  • Untuk tujuan perubatan.
  • Untuk tujuan perlindungan diri.
  • Untuk tujuan kecantikan.
  • Untuk tujuan perbidanan.
  • Untuk tujuan membantu menjaga harta benda.

Maklumat-maklumat di atas adalah hasil daripada pengalaman perawat Islam yang membantu membuang jin saka yang di jalankan keatas pesakit.

Apakah bahayanya mengambil jin saka ini sebagai pendamping?

Kita kena ingat bahawa iblis adalah dari golongan jin, sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah Al-Kahfi ayat 50:

“Dan (ingatlah) ketika Kami (Allah) berfirman kepada para Malaikat: “Sujudlah kamu kepada Adam. Maka sujudlah mereka kecuali iblis. Dia adalah dari golongan jin, maka ia menderhakai perintah Tuhannya. Patutkah kamu mengambil dia dan keturunannya sebagai pemimpin selain Aku, sedang mereka adalah musuhmu? Amat buruklah iblis itu sebagai pengganti (selain Allah).”

Dan iblis yang berasal dari golongan jin ini telah berjanji kepada Allah. Apakah janji iblis?

Janji iblis ini Allah telah rakamkan di dalam Al-Quran iaitu surah Al-A’raf ayat 16 dan 17:

Iblis menjawab: “Kerana Engkau telah menghukumkanku tersesat, maka aku benar-benar akan (menghalang-halangi) mereka dari jalan-Mu yang lurus, kemudian aku akan mendatangi mereka dari muka dan dari belakang mereka, dari kanan dan kiri mereka. Dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur.”

Ya, iblis telah berjanji akan sedaya upaya untuk menyesatkan manusia dari jalan Allah yang lurus dan benar. Inilah bahaya mengambil jin sebagai pendamping.

Jin tidak akan bersetuju untuk menjadi pembantu kepada manusia melainkan manusia itu sanggup mengikut syarat-syaratnya.

Syarat-syarat yang diletakkan oleh jin inilah peluangnya untuk menjadikan manusia itu sesat.

Mari lihat ayat Al-Quran di bawah iaitu dari surah Jin ayat 6:

“Dan bahawa sesungguhnya adalah (amat salah perbuatan) beberapa orang dari manusia, menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada ketua-ketua golongan jin, kerana dengan permintaan itu mereka akan menjadikan golongan jin bertambah sombong dan jahat.”

Jadi, apakah kebaikan yang boleh diharapkan apabila Al-Quran dengan jelas menyatakan bahawa apabila seorang manusia itu meminta pertolongan jin, tindakan itu hanya menambahkan kejahatan jin sahaja.

Bahaya pertama dan utama apabila mengambil jin sebagai pendamping ialah boleh merosakkan akidah.

Ini kerana mereka yang mengambil jin sebagai pendamping akan meyakini bahawa jin mampu membantu mereka mencapai apa sahaja tujuan yang mereka inginkan.

Jadi, hilanglah pergantungan dia kepada Allah, kerana lebih yakin kepada pertolongan jin berbanding pertolongan daripada Allah.

Dan bahaya yang kedua ialah jin saka ini akan berterusan mengganggu generasi yang akan datang, disebabkan perjanjian yang telah dilakukan oleh jin saka ini dengan tuannya yang asal.

Ini adalah bentuk-bentuk kejahatan yang dilakukan oleh jin kepada manusia, kerana kesilapan manusia itu sendiri.

Jenis-Jenis Jin Saka

Kita selalu mendengar pelbagai istilah yang disebut dikalangan masyarakat Melayu berkaitan dengan jin saka ini.

Antara istilah yang digunakan ialah:
  1. Saka keturunan raja.
  2. Saka keturunan jawa.
  3. Saka puteri.
  4. Saka bidan.
  5. Saka harimau.
  6. Saka harimau putih.
  7. Saka harimau berantai.
  8. Saka buaya putih.

Ini adalah istilah-istilah yang popular, namun tidak dapat dipastikan mengapa nama-nama tersebut dipilih dan siapa yang memberikan istilah tersebut.

Itu tidaklah penting. Yang pentingnya kita mesti faham bahawa hakikatnya semua istilah di atas adalah merujuk kepada golongan jin. Hanya panggilannya sahaja yang berbeza.

Di dalam sebuah hadis Rasulullah SAW telah bersabda:

“Jin itu ada tiga golongan. Satu golongan yang mempunyai kepak yang terbang ke sana ke mari (di udara). Satu golongan berbentuk ular dan anjing. Manakala golongan ketiga ada yang tinggal setempat dan ada yang berpindah randah." (Hadis riwayat al-Hakim di dalam al-Mustadrak)

Ada pendapat yang mengatakan bahawa jin yang diambil sebagai saka ini biasanya melibatkan jin dari jenis yang suka berpindah-randah. Namun, kita tidak pasti sejauh mana kebenaran pendapat ini.

Tanda-Tanda Ada Jin Saka

Apabila seseorang itu mengalami gangguan jin, akan zahirlah pada diri orang tersebut tanda-tanda.

Begitulah juga bagi mereka yang ada gangguan dari jin saka. Akan ada juga tanda gangguan tersebut.

Tanda-tanda yang menunjukkan mungkin seseorang itu mengalami gangguan saka ialah:
  • Susah tidur malam tanpa sebab.
  • Sering terjaga pada waktu malam diikuti dengan perasaan takut.
  • Mimpi buruk atau menakutkan contohnya mimpi hantu yang sedang mengejar.
  • Kerap terjadi gejala seakan ditindih oleh seseorang.
  • Mimpi melihat binatang seperti ular, kala jengking dan sebagainya.
  • Selalu mengetap gigi ketika sedang tidur.
  • Kerap bermimpi terjatuh dari tempat tinggi.
  • Selalu bermimpi berada di tempat kotor atau kawasan perkuburan.
  • Selalu bermimpi budak kecil atau bayi. Contohnya mimpi menyusukan bayi.
  • Selalu mimpi melihat salib atau gereja.
  • Selalu mengalami pening kepala yang tidak diketahui puncanya.
  • Sering lupa bahkan ada yang sampai tahap kronik boleh menyebabkan gila.
  • Sering rasa sakit pada salah satu anggota badan tanpa dapat dipastikan sebabnya.
  • Sentiasa/selalu sakit/lenguh dibahagian belakang terutamanya disekitar tulang belakang.
  • Sentiasa mengantuk terutamanya apabila berada di dalam majlis ilmu.
  • Cepat marah walaupun disebabkan perkara kecil.
  • Mudah teremosi dan sensitif.

Anda ada tanda-tanda di atas? Jika ada, itu menunjukkan anda sedang mengalami gangguan jin dan mungkin juga ianya disebabkan oleh gangguan saka.

Sasaran Jin Saka

Bukan semua keturunan yang mempunyai jin saka akan mewarisinya, kerana ia akan memilih siapakah yang dirasakan sesuai untuk menjadi pewarisnya yang baru.

Anda jangan lupa bahawa setiap dari kita Allah telah utuskan qarin dari bangsa jin yang telah berdampingan dengan kita sejak dari kita dilahirkan.

Jadi, jin qarin ini sudah tahu sangat segala-galanya tentang diri kita. Dan jin qarin ini juga tahu di mana kelemahan kita yang memungkinkan jin saka untuk mengambil kesempatan untuk mengganggu kita.

Ciri-ciri mereka yang akan menjadi sasaran jin saka ini ialah:
  • Mereka yang cetek pengetahuan agama dan tidak berusaha untuk mendalaminya.
  • Mereka yang gemar melakukan maksiat.
  • Mereka yang sentiasa meninggalkan amalan-amalan fardhu seperti solat dan puasa.
  • Bagi perempuan yang tidak menutup aurat adalah berisiko diganggu jin saka.
  • Mereka yang mempelajari ilmu-ilmu kebatinan yang melanggar batasan agama.
  • Mereka yang kuat berpegang dengan agama dan rajin beribadah juga tak terkecuali akan cuba diganggu. Bagi golongan begini, pastikan anda mendalami ilmu tauhid dan juga ilmu akhlak. Kerana mereka yang tidak kuat pegangan akidah dan buruk akhlaknya juga berisiko menjadi sasaran jin saka.

Cara Merawat Saka

Dari pengalaman perawat Islam, kes-kes gangguan yang melibatkan saka keturunan bukanlah mudah untuk dirawat. Ia memerlukan kesungguhan terutamanya dari pihak pesakit, tetapi ia tidak mustahil.

Di bawah kami kongsikan langkah demi langkah ruqyah mandiri yang boleh anda lakukan.

PERTAMA: Yakinlah bahawa gangguan saka yang sedang anda hadapi ini sebenarnya adalah suatu bentuk ujian dari Allah

Di dalam sebuah hadis, Nabi SAW menyebutkan bahawa segala musibah penyakit atau bencana yang berlaku kepada kita sebenarnya adalah kafarah (penebus) di atas segala dosa yang kita lakukan selama ini.

Jadi, langkah pertama ialah perlulah bertaubat dengan bersungguh-sungguh kepada Allah. Buatlah dua rakaat solat sunat taubat dan mohonlah ampun kepada Allah.

Apabila seseorang itu hendak bertaubat di atas segala dosa yang dilakukan, ada syarat-syarat yang perlu dipenuhi agar taubat yang kita lakukan diterima oleh Allah.

Sekiranya dosa yang dilakukan itu adalah dosa kepada Allah tanpa melibatkan dosa dengan manusia, syarat-syaratnya ialah:

1. Menyesal dengan bersungguh-sungguh di atas dosa-dosa yang telah dilakukan. Yakni terasa menyesal, sedih, dukacita dan berasa tidak sepatutnya melanggar perintah Allah.

2. Berazam dengan bersungguh-sungguh untuk tidak mengulangi lagi dosa tersebut.

3. Meninggalkan perkara-perkara yang boleh mendatangkan dosa samada dosa kecil ataupun dosa besar.

Jadi, kalaulah sebelum ini kita ada terlibat dengan dosa-dosa besar seperti berzina, meninggalkan solat, tidak berpuasa, minum arak dan sebagainya, maka selepas ini berazamlah untuk tidak mengulangi perbuatan dosa tersebut.

Sekiranya dosa yang dilakukan sebelum ini ada melibatkan dosa dengan manusia, ada satu syarat tambahan yang perlu anda lakukan, selain syarat-syarat di atas iaitu:

1. Perlulah meminta maaf di atas segala dosa yang telah dilakukan kepada orang tersebut

Contohnya jika kita pernah memfitnah orang tersebut, maka perlulah meminta maaf dan menceritakan segala fitnah yang telah dilakukan.

Sekiranya pernah mengambil barangnya, perlulah dipulangkan semula. Jika barang yang pernah diambil itu sudah tiada, perlulah diganti semula atau diminta halal kepada orang tersebut.

KEDUA: Amalkan membaca zikir pagi dan petang setiap hari

Anda boleh dapatkan buku al-Mathurat yang memuatkan bacaan zikir pagi dan petang dikedai-kedai buku agama yang berhampiran dengan anda.

KETIGA: Minum dan mandi dengan air yang telah diruqyahkan dengan ayat-ayat khusus untuk merawat gangguan jin

Air ini anda boleh lakukan sendiri jika anda mampu membaca Al-Quran. Jika tidak mampu, berjumpalah dengan mana-mana perawat berhampiran anda.

KEEMPAT: Pastikan anda sentiasa tidur dalam keadaan berwuduk

Mereka yang tidur dalam keadaan berwuduk akan sentiasa didoakan keselamatannya oleh para Malaikat.

KELIMA: Mesti lakukan solat sunat tahajjud sekurang-kurangnya dua rakaat setiap hari

KEENAM: Langkah ini adalah pilihan

Jika anda rasa langkah-langkah yang dilakukan di atas masih belum mencukupi, dalam masa yang sama anda juga boleh dapatkan rawatan dari perawat berpengalaman yang berhampiran dengan anda.

Kesimpulan

Keenam-enam langkah di atas mestilah dilakukan dengan istiqamah dan bersungguh-sungguh.

Jangan mengharapkan satu kaedah ajaib di mana anda hanya perlu lakukan sekali dan gangguan jin terus hilang selama-lamanya.

Jangan dicari kaedah sebegitu kerana anda tidak akan jumpa sehingga bila-bila.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

sumber: perawatislam

Caruman Perkeso Untuk 1.4 Juta Suri Rumah Bermula Januari 2020

Caruman Perkeso Untuk 1.4 Juta Suri Rumah Bermula Januari 2020

Skim perlindungan sosial Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) baharu ke atas suri rumah di Malaysia, jika berjaya dilaksanakan, akan dapat memberikan perlindungan keselamatan kepada golongan itu biarpun mereka tidak bekerja.

Caruman Perkeso Suri Rumah

Cadangan itu diharap akan menjadi realiti untuk dilaksanakan pada 1 Januari 2020 kepada 1.4 juta suri rumah yang disasarkan.

Suri rumah ketika ini tiada sebarang perlindungan keselamatan sosial dan Menteri Sumber Manusia, turut menyatakan banyak kali termasuk di Parlimen bahawa perlunya ada perlindungan untuk suri rumah.

Jadi, kita amat berharap ia akan menjadi realiti kerana suri rumah tidak ada sebarang perlindungan keselamatan dan sekiranya berlaku apa-apa, tiada sebarang faedah akan mereka perolehi.

Bagi suami yang mampu, mungkin mereka ada membelikan perlindungan insurans untuk isteri masing-masing.

Tapi bagi yang tidak mampu, suri rumah tidak akan ada apa-apa perlindungan jika berlaku kemalangan.

Maka dengan caruman Perkeso, ia sedikit sebanyak memberi perlindungan untuk suri rumah ini seperti yang telah diimplementasikan kepada pemandu teksi, bas dan e-hailing.

Bagaimanapun, mengenai pelaksanaan skim tersebut, ia masih diperhalusi di peringkat kementerian dan kerajaan.

Cadangan ini telah lama (disuarakan), tetapi masih dalam perbincangan dan rakyat berharap ia akan mendapat kelulusan.

Siapa akan membayar caruman itu masih dalam perbincangan kerana pihak Perkeso, sebolehnya tidak mahu membebankan suami, kerana mungkin ada suri rumah yang mampu dan bersedia melakukannya.

Setakat ini usaha itu sedang di peringkat menyediakan undang-undang berkaitan, selain mendapatkan maklum balas lanjut daripada pihak berkepentingan.

Ia adalah sebahagian daripada beberapa pembaharuan yang akan dilaksanakan kerajaan bagi menambah baik Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: sinarharian

Monday, September 16, 2019

10 Penyebab Utama Kematian Di Malaysia

10 Penyebab Utama Kematian Di Malaysia

Punca utama kematian di Malaysia adalah disebabkan oleh penyakit-penyakit tidak berjangkit yang selalunya disebabkan oleh gaya hidup yang tidak sihat dan di bawah ini adalah senarai punca tersebut dan penerangan bagi setiap istilah tersebut.

Penyebab Utama Kematian
Gambar hiasan.

Terima kasih kepada Institute for Health Metrics and Evaluation atas statistik ini, yang boleh dirujuk di halaman www.healthdata.org/malaysia.

1. Penyakit jantung iskemia

Istilah yang biasa diguna orang ramai adalah sakit jantung. Fungsi utama jantung adalah mengepam darah untuk membawa oksigen ke organ di seluruh badan melalui rangkaian saluran darah. Jantung juga memerlukan oksigen untuk menjalankan tugasnya.

Jantung menerima oksigen dari sekumpulan saluran darah yang dipanggil arteri koronari.

Jika saluran ini tersekat dan otot jantung tidak menerima oksigen secukupnya, seseorang itu akan merasa sakit di dada oleh kerana otot tersebut tidak berfungsi.

2. Jangkitan salur pernafasan bahagian bawah

Salur pernafasan adalah jalan yang dilalui udara apabila kita menarik nafas. Semasa menarik nafas, udara akan melalui hidung dan destinasi akhirnya adalah organ paru-paru.

Di antara 2 titik tersebut, udara akan melalui mulut, tekat, pita suara, trakea, bronkus, dan alveoli.

Anda boleh mendapat jangkitan di mana-mana saluran ini dan jangkitan paling umum adalah di bahagian atas di mana seseorang akan mendapat gejala selsema dan batuk.

Jika jangkitan melibatkan bahagian paru-paru, antara penyakit yang boleh membunuh adalah pneumonia.

3. Penyakit salur darah otak

Lebih dikenali sebagai 'stroke' atau angin ahmar, penyakit ini terjadi apabila otak tidak mendapat oksigen yang mencukupi.

Prosesnya hampir seperti sakit jantung bagaimanapun, bukan sahaja sekatan di saluran darah yang membawa kepada 'stroke' malah pendarahan juga menjadi puncanya.

4. Penyakit Alzheimer

Penyakit Alzheimer sering dikaitkan dengan masalah cepat lupa. Bahasa kasarnya adalah nyanyuk. Anda mungkin tertanya-tanya bagaimana penyakit ini boleh membunuh?

Ini kerana penyakit Alzheimer turut membawa masalah lain seperti masalah tidak seimbang semasa berjalan atau tidak dapat mengawal tabiat buang air kecil dan besar.

Mereka yang mengalami penyakit ini lebih berisiko jatuh, patah tulang dan dihidapi jangkitan kerana penjagaan diri tidak teratur.

5. Kemalangan jalan raya

Kebanyakan kematian yang disebabkan kemalangan jalan raya boleh dielakkan. Sentiasa patuh had laju, beri isyarat apabila ingin bertukar lorong dan berhenti rehat jika berasa penat. Ingat. Anda mampu mengubahnya!

6. COPD

Ini merupakan penyakit sekatan pernafasan kronik. Penyakit ini selalunya melibatkan golongan perokok tegar.

Antara punca lain adalah pencemaran udara dan pendedahan kepada bahan pencemar semasa bekerja. Penyakit ini tidak boleh pulih.

Mereka yang menghidapi penyakit ini mudah sesak nafas dan lebih mudah mendapat jangkitan peparu.

7. Kanser paru-paru

Kanser ini adalah keadaan di mana sel-sel di dalam badan tumbuh dengan agresif di luar kawalan biasa, yang tumbuh secara banyak akan merampas sumber nutrisi dari sel biasa.

Seperti COPD, aktiviti merokok akan menaikkan risiko mendapat kanser pau-paru.

Jika anda memerlukan bantuan untuk menghentikan tabiat merokok, anda boleh merujuk nasihat doktor.

Antara langkah awal menghentikan tabiat ini adalah gula-gula getah nikotin.

8. Diabetes

Malaysia terkenal dengan makanan dan minuman yang pelbagai sepanjang masa. Kebanyakan makanan ini bagaimanapun tidak sihat sebaliknya mempunyai kandungan gula yang tinggi.

Diabetes berlaku apabila pankreas didedahkan kepada gula yang terlalu banyak dan akhirnya organ tersebut menjadi 'penat' dan tidak sensitif kepada gula.

Pankreas berfungsi menghasilkan insulin yang memproses gula di dalam badan dan Diabetes mampu merosakkan setiap organ di badan jika tidak dikawal.

Ia boleh merosakkan saraf mata, menyebabkan buta atau merosakkan salur darah di kaki yang membawa kepada amputasi.

9. Penyakit buah pinggang kronik

Ini adalah penyakit jangka panjang di mana prestasi buah pinggang merosot secara berperingkat.

Antara fungsi buah pinggang adalah membuang toksin dalam badan, mengawal tahap air dalam badan, menghasilkan hormon dan melaraskan tahap asid dalam badan.

Namun, ia boleh rosak akibat penyakit diabetes dan tekanan darah tinggi.

10. Kanser kolorektal

Kanser ini melibatkan bahagian usus besar yang terletak di hujung sistem penghadaman makanan.

Jika anda mengalami perubahan dalam tabiat membuang air besar, darah dalam najis dan turun berat badan secara mendadak, sila berjumpa dengan doktor kerana tanda-tanda tersebut mungkin amaran kanser kolorektal.

Gaya hidup tidak sihat seperti tidak makan sayur-sayuran, tidak bersenam, merokok dan pengambilan alkohol meningkatkan lagi risiko bagi kanser ini.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: fmt