Tuesday, August 13, 2019

Kisah Nabi Khidir Untuk Renungan Umat Akhir Zaman

Kisah Nabi Khidir Untuk Renungan Umat Akhir Zaman

Suatu hari, seorang dari Bani Israil menemui Musa dan kemudian bertanya, “Wahai Nabiyullah, adakah di dunia ini orang yang lebih berilmu darimu?” Tersentak, Nabi Musa a.s. pun menjawab, “Tidak”.

Kisah Nabi Khidir
Gambar hiasan.

Tentu saja, siapa yang mampu menandingi ilmu Nabi Musa, utusan Allah kala itu. Sumber tuntunan agama dan sumber pengetahuan wahyu Allah ada di genggaman Musa. Ia memiliki Taurat dan pelbagai mukjizat dari-Nya.

Namun, rupanya Allah memiliki hamba lain selain Musa yang lebih berilmu. Allah pun menegur dengan mewahyukan pada Musa bahawa tak seorang pun di muka bumi yang mampu menguasai semua ilmu.

Selain Nabi Musa, di bumi ini terdapat seseorang yang memiliki ilmu luar biasa. Ilmu yang tidak dimiliki Nabi Musa sekalipun.

Mengetahui hal tersebut, Nabi Musa pun ingin berguru kepada orang tersebut. Ia bersemangat ingin menuntut ilmu dan menambah pengetahuannya.

Walau bagaimanapun, Nabi Musa yang mempunyai ilmu syariat sekalipun bingung dengan tiga tindakan Nabi Khidir yang nampak seperti bersalahan dengan syariat tetapi mempunyai hikmah mendalam yang tidak difahami oleh Nabi Musa.

Tiga tindakan Nabi Khidir tersebut adalah seperti berikut:

1. Tindakan pertama Nabi Khidir ialah merosakkan perahu yang mereka tumpangi

Hikmah yang terkandung di dalam tindakan ini ialah perahu tersebut dimiliki oleh orang miskin dan di hujung sungai tersebut terdapat seorang raja yang akan merampas perahu yang elok dan perahu yang telah rosak tersebut tidak akan dirampas oleh raja tersebut.

Tindakan Nabi Khidir ini sebenarnya mempunyai pesanan yang tersirat untuk umat akhir zaman.

Di akhir zaman ini, ramai orang yang sudah kaya seperti seorang raja, tapi masih lagi ingin bertambah kaya dengan mengambil harta orang lain.

Walau bagaimanapun, cara mereka mengambil harta orang lain tersebut bukanlah dengan secara kasar seperti merampas bahkan dengan secara halus seperti riba.

Sistem riba adalah sistem yang diharamkan oleh Allah SWT tetapi umat akhir zaman sudah menjadi biasa dengan sistem tersebut lalu menerima sistem riba sebagai keperluan hidup.

Tahukah anda hutang rumah yang berharga RM500,000 setelah dibayar kembali melalui sistem riba hutang selama 40 tahun, anda akan membayar sebanyak RM1,500,000?

Dan bunga sebanyak satu juta itu dibayar oleh orang miskin yang tidak mampu membeli rumah secara tunai kepada orang yang sudah kaya iaitu pemilik bank yang sudah kaya-raya.

Oleh yang demikian, lebih baik kita umat akhir zaman ini bersederhana dalam memiliki harta, umpama memiliki perahu yang sudah bocor.

Dan sekurang-kurangnya perahu kita yang bocor itu tidak akan dirampas oleh raja yang zalim.

2. Tindakan kedua Nabi Khidir ialah membunuh seorang budak yang tidak mempunyai apa-apa kesalahan

Hikmah yang terkandung di dalam perbuatan ini ialah budak tersebut apabila dewasa akan menjadi seorang yang jahat dan akan menyusahkan ibu bapanya.

Sedangkan ibu bapa budak tersebut akan mendapat seorang anak lain yang apabila dewasa akan menjadi seorang yang soleh dan menggembirakan ibu bapanya.

Pesanan yang tersirat Nabi Khidir untuk umat akhir zaman ialah tentang kesusahan ibu bapa di akhir zaman ini untuk mendidik anak agar menjadi seorang yang soleh.

Terdapat banyak cabaran bagi ibu bapa untuk mendidik anaknya di akhir zaman kerana perkara yang buruk dan negatif sangat senang diperolehi di akhir zaman, melalui televisyen, internet dsb.

Kanak-kanak akhir zaman akan terdedah kepada budaya negatif seperti couple, zina, gay, lesbian, dadah, bohsia, bohjan, rempit dan bermacam-macam lagi.

Sekiranya anak yang dididik dengan nilai agama oleh ibu bapanya menjadi seorang yang jahat, apakah yang boleh dilakukan oleh ibu bapanya?

Kita sebagai umat Nabi Muhammad SAW adalah tertakluk kepada hukum syariat dan tidak boleh membunuh seorang jiwa tanpa hak kecuali melalui hukum Qisas dsb.

Oleh yang demikian, perkara yang boleh dilakukan oleh ibu bapa tersebut adalah memutuskan hubungan dengan anak tersebut.

Walau bagaimanapun, tindakan nabi Khidir ini adalah peringatan kepada umat akhir zaman bahawa mereka mempunyai tanggungjawab yang sangat berat dalam mendidik anak-anak mereka.

3. Tindakan ketiga Nabi Khidir ialah membaiki tembok yang hampir runtuh di sebuah kampung di mana penduduk kampung tersebut sangat kedekut dan tidak memberikan mereka makanan mahupun tempat berlindung

Hikmah disebalik tindakan Nabi Khidir ini ialah di bawah tembok tersebut tertanam harta anak yatim.

Sekiranya tembok itu runtuh, harta anak yatim tersebut akan dijumpai oleh penduduk kampung tersebut dan akan dirampas mereka.

Dengan membaiki tembok tersebut, anak yatim tersebut akan menjumpai harta tersebut setelah mereka dewasa.

Pesanan tersirat Nabi Khidir untuk umat akhir zaman ialah tentang sedikit sekali orang yang amanah di akhir zaman ini.

Seumpama bapa anak tersebut yang terpaksa menanam hartanya di bawah tembok kerana tiada seorangpun yang amanah di kampungnya yang boleh diamanahkan harta tersebut.

Kita sebagai umat akhir zaman lebih baik mengamanahkan harta yang kita ada kepada institusi yang kukuh seperti Tabung Haji, Amanah Raya dan sebagainya, yang diumpamakan sebagai tembok yang kukuh daripada kepada seorang individu kerana sangat sedikit individu yang amanah di akhir zaman ini.

Walau bagaimanapun, insitusi yang kukuh seperti Tabung Haji pun sebenarnya hampir runtuh selepas dipegang oleh mereka yang tidak amanah.

Surah Al Kahfi pelindung dari Dajjal

Nabi Khidir yang mempunyai ilmu Laduni iaitu ilmu tentang masa hadapan yang diberikan secara langsung oleh Allah SWT.

Oleh yang demikian, kisah tentang Nabi Khidir dan Nabi Musa ini mempunyai pesanan tersirat untuk umat akhir zaman.

Semoga kita sebagai umat akhir zaman mendapat manfaat dari kisah Nabi Khidir dan Nabi Musa ini.

(Ceramah Sheikh Imran Hosein - Khidr and Akhirulzaman)

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

Durian Belanda Kemoterapi Semulajadi Terbaik

Durian Belanda Kemoterapi Semulajadi Terbaik

Durian Belanda atau nama saintifiknya, Annona muricata, amat sinonim untuk merawat kanser dan khasiatnya dikhabarkan 200 kali ganda lebih efektif berbanding membuat rawatan kemoterapi yang amat menyeksakan.

Durian Belanda Kemoterapi

Mungkin kerana dakwaan itu jugalah membuatkan buah eksotik yang pada asalnya tumbuh liar kini dikomersialkan berdasarkan permintaan yang banyak.

Kandungan glukos dan fruktosanya yang tinggi menyumbang sebanyak 81.9 hingga 93.6 peratus rasa manis dan berkrim selain mempunyai kebaikan vitamin C.

Khasiat

Khasiat buah durian belanda boleh diperoleh dengan dimakan segar ataupun dibuat jus.

Pun begitu, sebaiknya buah durian belanda tidak dimasak terlalu lama supaya kandungan nutrisi dapat dikekalkan pada tahap optimum.

Buah durian belanda memenuhi keperluan harian manusia yang memerlukan sejumlah 60 miligram (mg) vitamin C untuk mencapai tahap kesihatan yang baik.

Pendek kata, durian belanda mempunyai banyak khasiat kesihatan.

Antaranya ialah:

1. Merawat kanser

Seperti yang disebut, khasiatnya dipercayai 200 kali ganda lebih efektif daripada kemoterapi dan dilaporkan boleh membunuh sel kanser payudara.

Selain itu, durian belanda juga dilaporkan mempunyai kesan penghalang terhadap angiogenesis iaitu satu proses pembentukan saluran darah baharu yang mana ia merupakan titik pertumbuhan kanser tumor.

Buah itu juga dipercayai mempunyai kesan menyekat pembiakan virus, antikeradangan untuk mengurangkan kesan lebam, antiparasit dan antimikrob.

2. Merawat osteoporosis

Elemen kandungan sodium yang tinggi 14 mg/100 gram (g), phosphorus, potasium sebanyak 278 mg/100 g yang terdapat dalam buah durian belanda sangat bermanfaat untuk membina tulang yang kuat dan merawat penyakit osteoporosis.

Untuk mendapatkan keberkesanan maksimum dari aspek kesihatan, ia bergantung pada kuantiti yang diambil oleh pengguna.

3. Atasi kencing tidak lawas

Kandungan ferum atau iron yang ada pada buah durian belanda juga dapat membersihkan buah pinggang dan membaiki sistem penghadaman.

Di samping itu, ia mengurangkan risiko batu karang yang terbentuk daripada mendapan garam galian pada badan kita.

4. Mengurangkan migrain

Masalah migrain berlaku disebabkan terdapatnya kandungan bahan kimia seperti serotonin yang berupaya untuk mengecilkan saluran darah.

Dengan pengambilan buah durian belanda, ia mempunyai kesan angiogenesis.

5. Mengatasi anemia

Durian belanda menjadi salah satu pembekal sumber zat besi kerana kekurangan zat besi boleh menghalang pembentukan sel darah merah (hemoglobin) yang berperanan dalam melancarkan perjalanan oksigen dalam darah.

ANEKDOT

Mengenali durian belanda:
  • Berasal dari sekitar Peru, Mexico dan Argentina.
  • Memiliki kulit berduri lembut, isi buah berwarna putih dan rasa masam-masam manis.
  • Termasuk antara 16 jenis buah-buahan tempatan yang diberi keutamaan oleh negara ekoran potensi yang boleh dimanfaatkan kepada pengguna.
  • Guna buah itu dalam kadar sewajarnya kerana ia boleh memberi kesan negatif kepada kesihatan antaranya seperti menyebabkan penyakit Parkinson.

Khasiat lain:
  • Kaya vitamin C, merupakan antioksidan yang sangat baik untuk meningkatkan daya tahan dan melambatkan proses penuaan.
  • Meningkatkan tenaga kandungan fruktos dan karbohidrat semula jadi membuatkan diri kekal segar dengan bekalan tenaga secukupnya.
  • Merawat kekurangan air dalam badan.
  • Memberi ketenangan dan tidur lena.
  • Melegakan kesakitan kerana daun buah durian belanda mengandungi sifat-sifat analgesik bertindak sebagai pain killer.
  • Merawat ulser mulut.
  • Mengawal tekanan darah dan hipertensi.
  • Mencegah keracunan makanan dihadapi oleh bayi.
  • Merawat buasir.
  • Mengawal jangkitan ringan pada hati.
  • Menghalang jangkitan parasit dalam badan.
  • Merawat demam.
  • Menguatkan sistem imunisasi.
  • Melegakan sakit belakang.
  • Mengawal kandungan gula dalam darah.
  • Mengurangkan masalah hati.
  • Merawat kulit menggelupas.
  • Merawat kaki bengkak.
  • Manfaat antipenuaan.
  • Mengatasi masalah rambut gugur, nipis dan kelemumur.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: sinarharian

Sunday, August 11, 2019

Gambar 'Pengintip Kota Mekah’ Dilelong RM1.1 Juta

Gambar 'Pengintip Kota Mekah’ Dilelong RM1.1 Juta

Gambar pertama pemandangan Mekah yang dirakam oleh seorang cendekiawan Belanda yang mengintip penduduk tempatan Arab Saudi ‘dengan menggunakan identiti palsu seorang mualaf’ serta mendapat akses ke kota suci berkenaan, bakal dilelong pada harga 212,000 pound (RM1.1 juta).

Gambar Pengintip Kota Mekah

Foto yang dimuatkan dalam buku berjudul ‘Mekka’ dan ‘Bilder aus Mekka’ oleh Christiaan Snouck-Hurgonje ditulis ketika dia bekerja di Konsulat Belanda di Jeddah pada pertengahan 1880-an selama satu setengah tahun.

Latar belakang pendidikan Snouck-Hurgonje dalam pengajian Islam menjadikan dirinya calon sesuai bagi kerajaan Belanda untuk dihantar mengintip golongan bangsawan Indonesia di Arab Saudi.

Snouck-Hurgonje merupakan cendekiawan Barat pertama yang diberikan akses ke Mekah dan menukar namanya kepada Abdul Ghaffaar.

Tambahan pula, rumah Snouck-Hurgonje di Jeddah berdekatan dengan golongan bangsawan terkemuka dari Aceh yang ingin dipantau oleh Belanda.

Ketika itu, Syarikat Hindia Timur Belanda sedang memperluaskan kuasanya ke Indonesia dan memerlukan maklumat berhubung rakyat Indonesia terkemuka di Mekah, selain untuk memahami budaya Islam.

Bukunya menceritakan tentang kehidupan seharian penduduk Mekah dan turut me­ngandungi dokumen amalan Majlis Ulama Indonesia, yang terdiri daripada cendekiawan Islam serta menjadi perhatian Syarikat Hindia Timur Belanda.

Beberapa keping foto yang dirakam oleh Snouck-Hurgonje menunjukkan jemaah dari Indonesia di Mekah selain jemaah yang sedang menunggang unta.

Ketika Perang Aceh dari 1873-1914, Snouck-Hurgonje memberikan nasihat kepada Belanda bagaimana untuk ‘menghancurkan’ penduduk tempatan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: utusan

SBDJ Siri 101: Muncul dan Hilang Sekelip Mata

SBDJ Siri 101: Muncul dan Hilang Sekelip Mata

Din Tarzan tunduk merenung bumi. “Awak rompak saya dekat Changkat Jering.” Tambah Wak Juno. “Ya,” tidak diduga Din Tarzan yang gagah dan bongkak membuat pengakuan secara terbuka. “Kau nak duit lagi, nanti saya beri, jangan kacau saya nak cari rezeki cara halal, berapa banyak yang awak mahu?” muka Wak Juno pucat.

Toyol jadi-jadian

“Saya tak mahu semuanya tu, saya nak minta maaf pada awak tentang perangai saya yang lalu.”

“Saya sudah maafkan, saya halalkan wang yang awak rompak dari saya tu.”

“Ha...”, Din Tarzan terkejut lalu memeluk tubuh Wak Juno.

Kemudian Din Tarzan menangis, meraung dengan sekuat hati. Perbuatannya itu menarik perhatian orang ramai.

Kejadian yang menyayat perasaan itu berlaku sekitar lima minit. Orang ramai terpegun dan tidak berkata apa-apa.

“Lupakan perkara yang lalu, bila kamu datang jumpa aku minta maaf, ertinya kamu berusaha untuk membetulkan kesilapan kamu lalu, perbuatan kamu ini semua digerakkan oleh Allah, ini menandakan Allah masih sayangkan kamu,” Wak Juno cuba menenangkan perasaan Din Tarzan.

Pertama kali, saya dengar Din Tarzan mengucap dua kalimah syahadat dan menyebut nama Allah berkali-kali.

“Saya sekarang mahu jumpa semua orang yang saya aniaya, saya nak minta maaf,” jelas Din Tarzan.

Din Tarzan juga memberitahu pada orang ramai yang berada di situ bahawa sejak akhir-akhir ini, bila sampai waktu sembahyang, dia sering dikunjungi oleh seorang lelaki tua yang mendesak dirinya supaya menunaikan sembahyang dengan segera.

Kalau dia berlengah-lengah, orang tua itu akan memukul tubuhnya dengan rotan.

“Pukul satu, pukul tiga pagi dia mengejutkan saya dari tidur, suruh saya bertaubat, dia suruh saya minta ampun pada orang-orang yang saya aniaya,” kata Din Tarzan sambil mengesat air mata yang mengalir di pipinya.

“Kau kenal orangnya?” tanya saya.

“Tak kenal.”

“Tak apalah, apa yang penting orang itu mengajar kamu supaya menjadi manusia yang baik,” Wak Juno bersuara lembut.

Din Tarzan tunduk merenung tanah.

“Orang yang Wak bawa ke hospital dulu, sudah mati,” Din Tarzan membuka rahsia.

Saya dan Wak Juno terkejut besar.

“Mana kamu tahu?” soal saya.

“Orang tua itu beritahu saya, katanya dia membawa Amjal Kamal ke masjid untuk sembahyang.

"Amjal tak mahu malah dia lari ke arah Bukit Larut, masuk dalam hutan di situ terus berlari-lari di celah-celah batu, akhirnya jatuh ke dalam gaung,” lanjut Din Tarzan. Saya menarik nafas panjang.

Din Tarzan minta maaf untuk kali yang kedua pada Wak Juno.

Dia tetap melahirkan hasratnya untuk mencari orang-orang yang pernah dianiayanya untuk memohon maaf.

Din Tarzan bersedia menerima sebarang risiko. Rela dituduh atau dimaki hamun.

Saya membatalkan niat saya untuk menemui Najib. Wak Juno saya tinggalkan dan terus kembali ke rumah.

Fikiran saya masih berlegar-legar tentang apa yang diceritakan oleh Wak Juno dan Din Tarzan.

Saya masih tertanya-tanya apakah orang tua yang ditemui oleh Wak Juno dan Din Tarzan adalah orang tua yang sama.

Mungkin orang tua yang mereka temui itu juga orang tua yang saya jumpai. Semuanya berlegar-legar dalam kepala saya.

MENUNG

Saya terus termenung di pangkal pokok manggis. Jaraknya dari rumah kira-kira tiga rantai sahaja.

Tempurung kepala masih digayuti persoalan tentang orang tua yang dikisahkan oleh Wak Juno sebentar tadi.

Timbul pertanyaan dalam diri, kenapa kejadian yang tidak masuk di akal, harus terjadi pada saya?

Dalam usaha mencari jawapan pertanyaan tersebut, tanpa diduga Agam muncul di depan saya.

Dari arah mana dia muncul, sukar untuk dipastikan. Agam hulurkan tangan. Segara saya sambut.

“Aku sekadar nak menumpang lalu saja di sini Tamar. Aku gembira kau sihat.”

“Abang ini dari mana?” aku segera memanggilnya abang, tanda hormat pada orang yang lebih tua.

"Singgah dulu, jumpa Datuk dan nenek saya.”

“Tak payahlah, sampaikan salam aku pada Datuk kau, sebut nama aku dia mesti tahu.”

“Betul tak mahu naik?” Agam melepaskan telapak tangan saya yang digenggamnya.

“Betul Tamar, aku tak menentang niat.”

“Niat aku cuma nak menumpang lalu, bila aku selesai melihat saudaraku yang sakit di hujung kampung,” jelas Agam sambil jari telunjuknya menuding ke arah hutan kecil di pinggir kampung yang tak pernah dikunjungi oleh sesiapa pun.

Orang-orang kampung mendakwa kawasan hutan kecil itu dijaga oleh orang Bunian.

Sesiapa yang masuk ke situ pasti sesat sampai berminggu-minggu dan pulang dalam keadaan bodoh.

“Sekejap pun tak boleh?” desak saya.

“Saya tak boleh melakukan sesuatu yang tidak pernah terniat dalam hati.”

“Begitu.”

“Memang begitu aturan hidup saya,” Agam hulurkan tangan untuk bersalam.

Tiba-tiba darah tersirap, dua tiga kali saya gerakkan kelopak mata.

Macam mana tidak terkejut, telapak tangan Agam yang digenggam erat ghaib secara tiba-tiba. Sekujur tubuhnya turut sama hilang.

Dahi segera saya tepuk dua tiga kali sambil menarik nafas dalam-dalam.

Gegendang telinga menangkap bunyi telapak kaki orang melangkah di sebelah kanan.

Saya toleh ke kanan, apa yang saya lihat ialah dedaun pokok yang bergerak seperti baru dirempuh atau disentuh sesuatu.

Ah, tak mengapalah, kenapa perkara sekecil ini harus difikirkan setengah mati, fikir saya. Saya terus duduk di pangkal manggis kembali.

Seronok juga melihat beberapa ekor burung murai melompat direranting.

Sesekali dedaun manggis bergoyang-goyang akibat dilompati tupai jantan yang mengejar tupai betina.

Bayu yang bertiup membuat kelopak mata terasa berat. Rasa mengantuk mula datang. Dua tiga kali saya tersenguk-senguk dan hampir terlelap.

Antara sedar dengan tidak, saya bagaikan terpandang-pandang batang tubuh orang tua yang diperkatakan oleh Wak Juno.

Rasanya, orang tua itu bagaikan berdiri di depan saya. Anehnya, bila saya buka kelopak mata lebar-lebar, bebayang orang tua itu hilang.

Perkara itu berlaku berulang kali, akhirnya saya merasa terkhayal.

Perasaan saya seperti mengembara ke satu tempat yang amat jauh, merempuh padang, merempuh paya dan hutan belukar.

Dalam khayalan yang tidak bertepi itu, saya berhenti di tebing sungai yang airnya mengalir jernih.

“Kau pernah tengok aku?”

Saya segera dongakkan kepala menatap orang tua yang berdiri di depan. Dia senyum sambil menggaru-garu pelipis sebelas kanannya.

“Pernah,” jawab saya.

“Dalam bas. Kemudian kau terkejut melihat aku turun di kawasan hutan tebal,” lanjut orang tua itu.

“Ya," saya anggukkan kepala.

“Kemudian kau terus-menerus memikirkan tentang diri aku, bukan begitu hai orang muda?” tanyanya dengan wajah selamba sambil tersenyum.

"Betul.”

“Sekarang sudah berdepan dengan aku. Apa kau masih memikirkan tentang diri aku lagi?”

Saya terdiam. Susah untuk memberikan sebuah jawapan.

Sesungguhnya, orang tua itu tidak jauh bezanya dengan orang-orang tua yang terdapat di kampung saya.

Cuma yang peliknya, orang tua di depan saya ini boleh muncul dan hilang dengan tiba-tiba.

“Orang-orang yang bijak tidak mempersoalkan kebesaran Allah tetapi mereka mengaguminya, kerana apa yang dikehendaki oleh Allah itulah yang berlaku. Mana yang tidak dikehendaki oleh Allah pasti tidak akan berlaku,” orang tua itu memberi ceramah pendek, secara tidak langsung mematahkan hasrat saya untuk menyoal dirinya.

“Kau kenal Agam?” tanyanya.

“Ya,” cepat-cepat saya anggukkan kepala.

“Dunia aku, kampung halaman aku, asal-usulku serupa dengan Agam, sesungguhnya makhluk kamu dan makhluk aku dijadikan oleh Allah untuk menyembah-Nya,” lanjut orang tua itu lagi.

Saya tetap setuju dengan kata-katanya itu.

Saya bersedia mendengarnya kalau dia mahu melanjutkan percakapan.

MUKA

Perlahan-lahan orang tua itu memalingkan mukanya ke kanan. Dia melihat air yang mengalir dan dedaun yang bergerak disentuh angin. Dia merenung ke arah saya kembali.

“Terlalu banyak yang Allah berikan pada makhluk tetapi terlalu sedikit pula yang makhluk berikan kepada Allah.

"Kau tidak pernah mengucapkan syukur atau berterima kasih pada Allah yang menjadikan angin dan air sungai ,” lanjutnya.

Saya menggigit bibir. Saya akui apa yang dikatakannya itu.

“Barangkali, kau tidak berapa senang dengan apa yang aku katakan. Tak apalah, cukup setakat ini saja. Kau pun sudah tahu siapa aku yang sebenarnya.

"Jangan peningkan kepala kamu memikirkan tentang diri aku,” orang tua itu terus menepuk bahu saya tiga kali berturut-turut.

Dia ketawa kecil sambil jari kelengkengnya menggaru hujung pelipis sebelah kiri.

“Apa lagi yang mahu kau tanya padaku?” soalnya.

Saya terus menelan air liur, sambil terus berfikir tentang pertanyaan yang akan saya ajukan padanya.

“Kata Din Tarzan, Amjal Kamal dah mati, betulkah cakapnya itu,” saya kira itu pertanyaan yang paling baik untuknya.

Orang tua itu termenung sejenak.

“Ya, dia sudah mati,” katanya dengan nada suara yang merendah.

Matanya merenung sayu ke arah pepohon dan air sungai yang mengalir.

"Dia mati kerana menyangkakan ilmu dunia yang dituntut itu dapat melawan kekuasaan Allah,” tambahnya dengan tenang.

“Dia melawan awak?”

“Berbudi bahasa sedikit, hormatilah orang tua kerana kamu juga akan tua, bila kamu tak mahu menghormati orang tua, jangan marah bila kamu sudah tua nanti orang muda tidak mahu menghormati kamu.”

“Maafkan saya.”

“Aku lebih tua dari Datuk kamu.”

“Maafkan saya tuk,” saya segera menundukkan kepala setelah menyedari kesilapan yang telah saya lakukan. Saya jadi malu pada diri sendiri.

“Dia lari bila aku ajak ke masjid, paling menyakitkan hati bila mengejek-ejek dan mengetawakan aku. Bila aku ajak dia sembahyang,” wajah orang tua itu dibalut rasa kesal yang amat sangat.

“Ke mana dia lari?”

“Lari ke arah Bukit Larut, dia tak peduli dengan orang mengejarnya. Sesiapa yang cuba menangkap, semuanya kena tendang.”

“Apa yang dibuatnya ke situ?”

“Dia panjat batu besar lalu berdiri di situ, sepasang tangannya diluruskan ke arah matahari, macam orang menyembah sesuatu. Entah macam mana badannya terlayah jatuh dalam gaung.”

“Kesian,” saya gelengkan kepala.

Orang tua itu meraba pangkal dagunya dua tiga kali. Matanya tetap merenung awan yang berarak lemah di dada langit.

Dalam diam-diam saya gambarkan wajah Amjal Kamal dalam kepala. Orang tua itu terus meraba-raba kulit pipi sebelah kanannya.

“Dari tempat tinggi aku lihat tubuhnya terkapar di bumi, tidak bergerak-gerak. Aku segera mendekatinya tetapi....” orang tua itu mengerutkan dahinya.

“Apa yang jadi padanya?” tergesa-gesa saya menyoal.

“Tubuhnya hilang. Apa yang aku lihat ialah kesan darah. Aku yakin dia akan menuntut bela terutama pada orang yang pernah melihat dia berlawan dengan Agam.”

“Ha,” kata saya dengan cemas.

“Betul dia mahu menuntut bela?”

“Barangkali begitulah, mengikut andaian aku. Dia akan menuntut bela dalam bentuk lain, kamu harus hati-hati,” lanjut orang tua itu.

Saya tergamam. Macam-macam perkara buruk datang bertandang dalam tempurung kepala saya.

“Jangan susah hati,” bahu kanan saya ditepuknya dua kali berturut-turut.

"Aku nak balik dulu,” sambung orang tua itu.

Kali ini suaranya terdengar sayup-sayup. Bahu kanan saya yang ditepuknya terasa amat sakit.

Orang tua yang tadi nampak cukup jelas terus bertukar menjadi samar-samar dan berbalam. Akhirnya terus hilang.

“Astaghfirullahlah,” kata saya sambil menepuk dahi.

Cepat-cepat saya menoleh ke kiri dan ke kanan. Saya yakin, bahawa saya tidak lagi berada dalam dunia khayalan.

Saya dongakkan kepala, merenung reranting dan dedaun manggis.

Saya menarik nafas dalam-dalam. Saya puas hati. Apa yang selama ini menjadi tanda-tanda sudah pun terjawab.

Apa yang saya ketahui dan saya alami harus diberitahu pada Najib. Kemudian meminta dia merahsiakannya daripada orang ramai.

Pada Datuk dan nenek juga perkara ini mesti dirahsiakan, saya membuat keputusan tersendiri.

BANGUN

Sebelum beredar dari bawah pohon manggis, saya terpaksa menggeliat dua tiga kali untuk menghilangkan rasa lenguh-lenguh di sendi pinggang dan di pelipat kaki.

Saya memutuskan untuk pulang ke rumah, kalau saya rajin boleh ikut nenek ke ladang.

“Eh Tamar, bagaikan nak mampus aku mencari kamu, rupanya kamu bersenang-senang di sini,” teriak Najib dalam jarak tiga rantai dari saya.

Mata saya tertumpu ke arah seorang anak muda yang memakai baju putih dan berseluar hitam, berdiri di samping Najib.

Setelah puas mengamat-amatinya, saya yakin anak muda itu tidak saya kenali.

Dia orang baru, mungkin keluarga Najib atau kenalan rapatnya, fikir saya dalam hati.

Najib dan anak muda itu terus melangkah mendekati saya. Dan saya menanti dengan penuh sabar.

Dari jauh anak muda yang mengekorinya memberikan senyuman keramahan dan persahabatan untuk saya.

“Ramli Ahmad dari Kota Sarang Semut, Kedah,” Najib memperkenalkannya pada saya.

Segera saya hulurkan tangan. Buat beberapa saat tangan kami bergoncang.

“Saya Tamar, saya gembira berkenalan dengan awak. Saya harap awak gembira di sini," kata saya berbudi bahasa.

“Ya, saya juga megah dan gembira kerana berjumpa dengan awak. Najib dah banyak ceritakan tentang diri awak pada saya,” kata-kata Ramli itu amat mengejutkan saya.

Wajah Najib segera saya renungi. Dia senyum lalu menganggukkan kepala. Setuju dengan apa yang diungkapkan oleh Ramli.

Hati saya berdebar, mungkin Najib sudah menceritakan sesuatu yang tidak wajar diceritakan pada Ramli.

Saya memisahkan diri dengan Ramli lalu mendekati Najib.

“Apa yang kau cakapkan dengannya Jib?”

“Tak ada apa-apa. Cuma aku ceritakan tentang keberanianmu, Tamar.”

“Aku tak percaya.”

“Sumpah, aku tak tipu kamu,” jelas Najib tetapi rasa ragu-ragu terus menyelubungi diri saya.

“Kau ceritakan apa yang kita alami dalam hutan dulu?” aku mula membuat tuduhan melulu.

“Kau gila, aku tak sebodoh itu. Aku bukannya budak-budak tau!” herdik Najib.

Mukanya mula merah padam. Bila sudah sampai tahap tersebut, saya tidak berani melemparkan sebarang tuduhan lagi pada diri Najib.

Kalau diteruskan, boleh menimbulkan kemarahannya. Saya terus membisu dan membuat kesimpulan Najib memang bercakap benar dengan saya. Ramli terus mendekati kami.

“Ke mana lagi kita nak pergi?” Ramli mengajukan pertanyaan pada Najib.

Saya menarik nafas dalam-dalam. Saya harus mengambil kesempatan ini untuk menenangkan perasaan Najib.

“Bagaimana kalau kita melihat jerat pelanduk,” kata saya.

“Boleh juga,” sahut Ramli lalu merenung muka Najib sepupunya.

Najib tersenyum lalu merenung ke arah saya. Dia gelengkan kepala.

“Kenapa Najib?” saya menyoal.

“Tak ada apa-apa tetapi aku keberatan untuk pergi ke dalam hutan lagi, susah aku nak cakapkan pada kamu, Tamar.

"Tapi aku harap kamu faham kenapa aku tak mahu pergi,” satu penjelasan dari Najib yang jawapannya sudah ada dalam tempurung kepala saya.

Dan saya tidak pula mendesak. Perkara itu mati di situ sahaja.

Demi kebaikan dalam persahabatan, saya penuhi permintaan Najb yang mengajak saya minum kopi di warung Pak Mah Noh.

Sesungguhnya, minum di warung sama ada minum kopi atau minum minuman dalam botol, bukanlah kegemaran saya.

Pesan Datuk, sebaik-baiknya saya mengelakkan diri dari minum di warung, kecuali kalau sudah terdesak.

Di warung Pak Mat Noh, Najib minum kopi, Ramli minum teh dan saya minum air sejuk yang sudah dimasak.

Najib memberitahu, sepupunya masih menuntut di salah sebuah sekolah Inggeris di negerinya.

Musim cuti dia suka menghabiskan masanya dengan mengembara dalam hutan serta memanjat gunung lalu berkhemah di situ bersama kawan-kawan yang sehaluan dengannya.

“Cuti kali ni, orang tua saya tak benarkan saya pergi masuk hutan atau daki gunung,” Ramli membuka rahsia dirinya.

“Jadi kerana itu kau datang ke mari,” celah saya.

“Ya, memang tepat,” jawabnya ringkas lalu menepuk bahu kanan saya berkali-kali.

Kemesraan dalam keramahan segera terjalin dengan eratnya antara saya dengan Ramli.

Banyak pengalaman menarik yang dialaminya ketika mendaki gunung diceritakan pada saya.

Lepas minum di warung Pak Mat Noh, saya dan Najib membawa Ramli ke gelanggang orang belajar silat.

Kemudian membawa dia ke rumah Pak Din yang handal membuat wau dan gasing.

Akhirnya, kami berkubang di sungai. Bila sudah kecut kulit badan baru berhenti mandi.

Kata Ramli, pengalaman yang diperolehnya bersama saya dan Najib amat menyeronokkan.

Saya terpisah dengan Najib dan Ramli.

Kami berjanji untuk bertemu pada petang besoknya dengan beberapa rancangan yang menarik.

PULANG

Seminggu Ramli di kampung, saya rasa cukup seronok dan bahagia sekali.

Ramli yang tidak dapat memisahkan dirinya dari bercakap dalam loghat Kedah itu, ternyata manusia yang kaya dengan humor.

Kadang-kadang dia membuat saya ketawa hingga tidak kering gusi.

Tidak hairanlah, ketika dia mahu berangkat ke Kota Sarang Semut, saya dan Najib seperti keberatan mahu melepaskannya.

“Sebenarnya, aku nak balik minggu depan tapi, orang tua aku dah datang ambil, aku tak boleh buat apa-apa,” katanya pada saya dari tingkap kereta Austin Eight, berwarna hitam milik ayahnya.

“Cuti yang akan datang, dia tak boleh ke mana-mana. Dia mesti menumpukan masa pada pelajaran,” tanpa diduga ayah Ramli yang jadi guru sekolah Melayu di tempatnya memberikan keputusan muktamad.

Saya dan Najib berpandangan. Kereta Austin Eight yang membawa Ramli pun bergerak meninggalkan kami.

Beberapa tahun kemudian, saya mendapat tahu Ramli telah melanjutkan pelajarannya ke Jerman Barat, kemudian bekerja di Singapura, kemudian di Kedah iaitu di Sungai Petani. Akhir sekali dia berkhidmat dengan MARA di Kuala Lumpur.

Beberapa jam selepas Ramli pulang, saya meninggalkan rumah Najib tetapi hasrat kami untuk pergi ke Alor Setar tetap tidak pudar.

Bila sampai ketika dan saat yang baik semuanya akan dilaksanakan.

Kerana hari sudah hampir gelap, saya mengambil jalan dekat untuk pulang ke rumah.

Bila saya memilih jalan dekat, ertinya saya terpaksa melalui kawasan getah yang amat luas dan sunyi.

Cuma ada sebuah sahaja rumah dalam ladang getah tersebut. Rumah itu sudah lama tidak didiami tetapi, masih ditunggui oleh beberapa ekor anjing.

Pemilik rumah sebuah di tengah ladang itu seorang lelaki India yang berusia sekitar empat puluhan.

Dia ditugaskan oleh pemilik ladang tersebut mengawasi pokok getahnya dari ditoreh secara curi pada sebelah petang oleh orang yang tidak bertanggungjawab.

Kira-kira tiga bulan yang lalu, lelaki India itu telah mengamuk, memburu dua orang anak lelakinya yang berusia sekitar 16-17 tahun dari pangkal ladang hingga ke hujung ladang dengan pisau sabit.

Dia jadi demikian, kerana kecewa dengan sikap isterinya yang lari dari rumah mengikut lelaki lain.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 101/284

BACA: SBDJ Siri 100: Orang Tua Misteri
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Panduan Mudah Membuat Baja Subur Cecair Organik Di Rumah

Panduan Mudah Membuat Baja Subur Cecair Organik Di Rumah

Kita sudah sedia maklum bahawa kebanyakan baja organik sama ada pellet, tablet, serbuk atau cecair sangat mahal harganya. Apatah lagi baja organik import dari negara luar, terlebih lagi jika kegunaannya sangat banyak.

Baja Subur Cecair Organik
Gambar hiasan.

Oleh itu, bagaimana kita hendak mendapatkan baja organik yang murah? Bolehkah kita membuat baja organik sendiri?

Berikut adalah cara dan panduan membuat baja organik cecair yang anda boleh buat di rumah dengan bahan-bahan yang mudah didapati.

Bahan-bahan yang diperlukan ialah:
  • 1 kilogram tumbuhan hijau (rumput, daun pokok renek dan sebagainya).
  • 1 kilo molussa non-sulfur atau gula perang.
  • 1 liter air tanpa klorin. Sekiranya menggunakan air berklorin, dedahkan air itu kepada cahaya dan udara selama dua malam untuk membebaskan klorin tersebut.
  • Kontena atau baldi untuk menyimpan atau menjeruk bahan-bahan organik.
  • Kain atau plastik untuk penutup.
  • Getah atau tali.
  • Botol dan penapis.

Cara membuat baja organik cecair:

Pertama, masukkan tumbuhan hijau pilihan anda (boleh guna rumput di halaman rumah anda, daun pokok renek, atau potongan dahan bunga anda. Ambil daunnya sahaja) ke dalam baldi atau kontena.

Kedua, tambahkan air satu liter ke dalam baldi yang berisi tumbuhan hijau tadi. Boleh menambah air jika merasakan ianya kurang.

Ketiga, masukkan molussa non-sulfur atau jika tidak ada boleh guna gula perang yang ada dijual di kedai atau pasaraya. Gaul hingga gula perang atau molussa sebati dengan air dan bahan tumbuhan tersebut.

Keempat, tutup menggunakan kain atau plastik dan ikat ketat agar tidak ada bendasing yang masuk ke dalam yang boleh nerosakkan proses penjerukan baja.

Kelima, simpan baldi berisi bahan proses baja organik cecair tersebut di tempat selamat contohnya di stor atau kawasan jauh dari ganguan orang ramai. Tempat menyimpan harus ditempat gelap (cahaya kurang). Jangan buka dan jangan alihkan baldi dalam tempoh seminggu agar proses penjerukan berjalan lancar.

Keenam, selepas seminggu buka penutup tersebut dan jangan terkejut kerana baunya yang kurang menyenangkan dan kulat di permukaannya kerana baja organik cecair anda sudah sempurna.

Ketujuh, alihkan air dan sisa baja organik cecair anda dengan menapisnya ke dalam botol yang disediakan. Jangan tutup ketat penutup botol tersebut agar udara boleh memasuki botol yang berisi baja cecair organik. Simpan botol di tempat gelap seperti dalam stor atau garage.

Cara Penggunaan

Maka setelah anda menapis baja organik cecair, maka selesai dan sempurnalah sudah proses membuat baja cecair organik anda.

Cara untuk menggunakan baja cecair organik ini ialah, tuang satu gelas penuh baja organik cecair anda dan campurkan dengan satu atau dua liter air tanpa klorin.

Sembur pada daun, batang dan batas atau tuang ke batas secara langsung di awal pagi atau waktu petang pada tanaman anda.

Goncang botol tersebut seminggu sekali agar oksigen dapat dibekalkan kepada bakteria di dalamnya.

Baja cecair organik ini mengandungi kandungan nitrogen yang tinggi dan sedikit mineral lain. Ia sesuai untuk tumbuhbesaran tanaman anda namun, perlu juga membubuh baja NPK organik untuk hasil yang memuaskan.

Baja cecair organik ini fungsinya sama dengan kompos teh cumanya bahan yang digunakan antara keduanya adalah berbeza.

Baja organik cecair ini berbeza dengan kompos teh di mana baja organik cecair dibuat menggunakan tumbuhan hijau manakala kompos teh pula diproses melalui kompos yang berkualiti.

Anda boleh membuatnya di rumah kerana bahannya mudah diperolehi dan senang prosesnya.

Belailah tanaman anda dengan baja cecair organik untuk menghasilkan tanaman yang bersih dan selamat dari bahan-bahan kimia.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: tanomkinotuan

Ahli Politik Adalah Pendusta

Ahli Politik Adalah Pendusta

Berpuluh-puluh kali diulangi bahawa politikus itu kerjanya ialah memuaskan nafsu mereka sendiri dan untuk puas mereka akan melakukan apa saja asalkan sampai ke puncak, namun bukanlah kami maksudkan bahawa mereka itu hanya memikirkan hal kelamin semata-mata.

Ahli Politik Adalah Pendusta

Apa yang mahu kami sampaikan ialah, mereka - politikus itu - adalah sekumpulan manusia yang sanggup melakukan apa saja untuk mencapai cita-cita untuk berkuasa.

Lalu kita dihiburkan dengan telatah tipu daya mereka setiap kali datangnya pilihan raya.

Mereka menjanjikan langit dan bersumpahkan bumi. Menganggap diri adalah Mahdi yang dijanjikan. Pada masa sama mereka menyebarkan dakyah bahawa sesiapa pun yang menentang adalah syaitan besar.

Pada masa tertentu mereka akan menangis bersimpati atas nasib malang yang menimpa kita, sepertinya kita dan mereka itu bersaudara.

Di ketika yang lain mereka akan bergembira bergelak bertepuk bertampar seolah-olah kita dan mereka membesar bersama.

Lakonan mereka adalah kerana mahukan kuasa, yang lazimnya tidak datang sendiri. Kuasa datang dengan laba dan justeru itu sajalah yang ada dalam fikiran mereka.

Setelah pilihan raya, yang kalah akan - untuk beberapa ketika - menjerit ke sana sini kerana menyangka mereka dianiaya, sementara yang lain diam meratapi nasib sambil menunggu pusingan pilihan raya yang akan datang.

Yang menang akan terjerit-jerit kesukaan seperti tanggungjawab yang diperolehi itu adalah hadiah daripada tuhan. Mereka mabuk kerasukan. Setelah bertenang mereka akan mula memasang jalan untuk memegang jawatan paling atas dalam pentadbiran.

Apa saja akan mereka lakukan. Jika cara murni tidak berkesan lalu cara busuklah yang akan mereka lakukan.

Malu tidak ada dalam kamus hidup mereka. Dibukanya semua untuk dilihat manusia. Dalam masa yang sama apa yang dilaungkan adalah keadilan.

Yang paling bodoh antara kita tentu saja yang memilih untuk berpihak secara mutlak. Berpihak tanpa syarat.

Kita pun ketawakan keaiban orang. Kita bergaduh sesama sendiri kerana mempertahankan kumpulan manusia hamis tadi. Bersoraklah kita yang menentang dan berasa malanglah kita yang menatang.

Biar perit tekak memberitahu kamu bahawa politikus ialah manusia jahat yang kerjanya mencari ruang untuk menonjolkan diri sendiri dan kamulah alat yang paling sesuai untuk dijadikan bidak dan tapak bagi menolak mereka ke atas.

Sampai bila kita mahu menjadi baghal yang ditunda? Taat seperti haiwan peliharaan. Manja kerana diberi makan, meminta-minta mahu disuapkan sentiasa dan tidak sedar bakal disembelih dan dagingnya dijual untuk laba.

Keluarlah dari kebodohan politik kepartian dan berdoalah agar tuhan menjauhkan kita semua daripada syaitan dan ahli politik yang berlawan, mahu menentukan nafsu siapa yang lebih tegang.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: malaysiakini

Kurang Hormon Serotonin Punca Anda Tidak Gembira!

Kurang Hormon Serotonin Punca Anda Tidak Gembira!

Ada kalanya seseorang itu boleh dilanda perasaan sedih berpanjangan, tidak bersemangat, bosan, hilang harapan, enggan bertemu sesiapa dan mudah berputus asa yang sebenarnya berkait rapat dengan emosi yang terganggu dan faktor-faktor ini boleh menyumbang kepada masalah kemurungan.

Kurang Hormon Serotonin

Kebanyakannya lebih gemar berkurung di dalam bilik yang sekali gus boleh memburukkan lagi masalah kemurungan. Ini kerana kurang mendapat cahaya semula jadi mencukupi boleh menyebabkan hormon serotonin menurun.

Apa itu Serotonin?

Serotonin adalah sejenis hormon yang bertanggungjawab meningkatkan emosi seseorang selain mengawal rasa lapar dan keyakinan diri, misalnya perasaan gembira dan rasa puas hati.

Pengeluaran serotonin meningkat apabila seseorang mendapat cahaya matahari secukupnya. Cahaya kelam yang masuk ke dalam bilik melalui celah tirai tidak cukup untuk meningkatkan kadar serotonin dalam badan.

Simptom Kurang Serotonin

Antara simptom kemurungan adalah suka me­nyendiri, tidur seharian selama beberapa minggu, keyakinan diri menurun, terlalu terganggu walaupun disebabkan perkara yang kecil, rasa malu melampau dan serangan panik.

Mereka yang dihimpit rasa murung juga selalunya mengalami masalah tidur kerana mereka tidak cukup hormon serotonin untuk ditukarkan kepada melatonin yang membantu tidur lebih nyenyak.

Lebih parah, kekurangan serotonin juga boleh menyebabkan selera bertambah, sekali gus boleh membuatkan seseorang makan dalam jumlah lebih banyak dan meningkatkan berat badan.

Apabila berat badan bertambah, emosi jadi lebih tidak stabil kerana kurang senang dengan saiz badan yang semakin besar.

Namun berita baiknya, kandungan serotonin dalam tubuh boleh ditingkatkan dengan pengambilan pemakanan seimbang.

Antara makanan yang boleh membantu meningkatkan tahap serotonin dalam tubuh adalah seperti berikut.

1. Sayuran berdaun hijau

Sayuran hijau antaranya bayam dan kailan antara makanan kaya nutrien. Selain baik untuk mengelak kanser dan meningkatkan sistem pertahanan badan, sayuran hijau, bawang, kekacang, cendawan, kumpulan buah beri dan bijian mampu memberi kesan menenangkan pada diri, seterusnya membantu menghindari masalah murung.

Ini kerana ia mampu mengurangkan masalah radang dan membuatkan tubuh dapat berfungsi dengan baik.

2. Kacang walnut

Walnut adalah kekacang yang kaya dengan asid lemak Omega 3 dan beberapa kajian mendapati asid lemak itu mampu me­nyokong kesihatan dan fungsi otak, sekali gus mengurangkan simptom kemurungan.

Kajian Jurnal Psikiatri British menerangkan bahawa 80 peratus daripada otak terdiri daripada lemak lipid yang mempunyai peranan kritikal bagi memastikan kelancaran fungsi otak.

3. Avokado

Avokado mempunyai lemak sihat sebagai makanan otak dan membantunya dapat berfikir lebih tajam. Kira-kira 75 peratus daripada lemak avokado daripada lemak tidak tepu dalam bentuk asid oleik.

Ia juga mengandungi protein, vitamin K, kumpulan vitamin B, C dan E. Selain rendah kandungan gula, ia juga kaya dengan serat yang sesuai untuk mereka sedang berdiet.

4. Kumpulan buah beri

Bluberi, rasberi, strawberi dan beri hitam kaya dengan antioksidan yang baik untuk mengurangkan masalah keradangan.

Menurut kajian, pesakit yang dirawat selama dua tahun dengan antioksidan didapati kemurungan mereka berkurangan.

Kumpulan buah beri umpama pemulih DNA kerana ia mampu membantu memperbaiki sel dan menguatkan ketahanan tubuh.

5. Cendawan

Kandungan kimia dalam cendawan mampu menurunkan kadar gula dalam darah, seterusnya menenangkan mood seseorang.

Ia juga bersifat probiotik dan menggalakkan bakteria baik dalam perut. Kesihatan perut mempengaruhi penghasilan serotonin yang banyak mempengaruhi perasaan.

6. Bawang

Tumbuhan dalam kumpulan bawang seperti bawang putih, bawang merah, bawang besar dan juga daun bawang yang dimakan secara konsisten mampu menjaga kesihatan perut.

Bawang kaya dengan flavonoid yang bersifat antikeradangan dan ia secara tidak langsung menjaga kesihatan tubuh, seterusnya minda.

7. Tomato

Ia mengandungi kadar asid folik dan asid alfa lipoik yang tinggi, kedua-duanya berkesan melawan kemurungan.

Menurut beberapa kajian, kekurangan folat dalam tubuh manusia boleh menyumbang kepada masalah kemurungan.

Asid folik boleh mengelak kandungan sejenis asid amino, homosistin berlebihan yang boleh menyekat penghasilan serotonin.

Asid alfa lipoik pula menyalurkan zat ke otak dan membantu tubuh menukar glukos kepada tenaga, seterusnya menstabilkan mood.

8. Kekacang

Kekacang bagus untuk jantung, mengelak masalah kencing manis dan membantu menghilang­kan berat badan berlebihan. Kekacang dicerna secara perlahan, sekali gus menstabilkan kadar kandungan gula dalam darah.

9. Bjirin

Antaranya biji bunga matahari, biji chia dan flax bagus untuk mengawal mood kerana ia kaya dengan asid lemak omega-3.

10. Epal

Epal juga adalah sejenis buah yang kaya dengan antioksidan dan membantu memperbaiki kerosakan sel akibat radikal bebas pada peringkat selular. Ia juga kaya dengan serat yang baik untuk kesihatan perut dan mengawal paras gula dalam darah.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: hmetro

Panduan Mudah Menanam Kacang Tanah

Panduan Mudah Menanam Kacang Tanah

Kacang Tanah (Arachis hypogea) atau Groundnuts merupakan sejenis tanaman kontan yang semakin kurang popular ditanam, walaupun Malaysia kini merupakan pengimport tegar kacang tanah dari luar negara untuk pelbagai kegunaan domestik.

Menanam Kacang Tanah

Hanya beberapa negara di dunia yang menanam kacang tanah secara meluas untuk dijadikan produk pertanian utama negara tersebut.

Keluasan tanaman kacang tanah di Malaysia semakin menurun semenjak 20 tahun lalu kerana kurang menarik minat petani.

Hanya beberapa negeri sahaja yang masih menanam kacang tanah iaitu di Perak, Kelantan, Johor, Terengganu, Sabah dan Sarawak.

Hampir sebahagian besar kacang tanah yang ditanam di Malaysia adalah untuk kegunaan segar sahaja iaitu dibuat kacang rebus dan sebahagian kecil pula diproses menjadi Kacang Goreng.

Di pasaran dunia, bijirin kacang tanah banyak digunakan sebagai minyak, marjerin, sabun, kacang goreng dan sebagainya.

Minyak Masak (cooking oil) yang dibuat daripada kacang tanah merupakan salah satu produk global yang didagangkan.

Kacang tanah juga mengandungi banyak nutrien seperti niacin, folate, serat, magnesium, vitamin E dan sebagainya.

Kacang tanah merupakan sumber niacin yang baik untuk kesihatan otak dan perjalanan darah di samping kandungan unsur antioksidan.

Kesesuaian Tanah

Secara ummumnya, antara keperluan bentuk muka bumi dan keadaan tanah bagi tanaman ini sebaiknya dari jenis tanah rata hingga sedikit bercerun atau tanah berpasir seperti tanah bekas lombong.

Tanah dipilih untuk tanaman kacang tanah mestilah tiada berlaku kejadian air bertakung dengan saliran air yang baik kerana tanaman ini akan rosak jika ada masalah takungan air.

Sebaiknya kedalaman tanah melebihi 50 cm dengan tekstur tanah yang longgar dan pH tanah sekitar pH5.5 - 7.0.

Persediaan Awal

Lazimnya, proses penyediaan tanah sebelum menanam dibajak dengan bajak piring untuk membalik-balikkan tanah untuk menghapuskan rumpai dan pada waktu yang sama semestinya dilakukan aktiviti menambah bahan organik atau baja tahi ayam atau kompos dengan kadar disyorkan.

Ia kemudian diikuti dengan kerja membajak putar untuk menghancurkan tanah untuk mendapatkan tekstur yang sesuai.

Pemasangan sistem pengairan sangat digalakkan dengan jenis sistem pengairan renjis (sprinkler system) terutama untuk peringkat awal pertumbuhan kacang tanah.

Jika kawasan menpunyai kelembapan mencukupi seperti tanah tepi sungai maka keperluan sistem pengairan boleh disesuaikan.

Penanaman kacang tanah menggunakan biji benih berkualitii yang boleh di beli daripada Jabatan Pertanian atau kedai swasta atau benih sendiri simpanan petani yang dibuat pada musim sebelumnya.

Cara Penanaman

Keperluan dan kadar biji benih serta jarak tanaman perlu dilkira awal sebelum menanam.

Kadar biji benih kacang tanah yang disyorkan adalah 60kg sehektar.

Biji benih perlu dirawat dengan racun kulat sebelum ditanam bagi tujuan mengelakkan serangan kulat.

Jarak tanaman yang sesuai adalah 50 cm x 10 cm dimana sebaiknya bubuh sebiji selubang dengan kepadatan 200,000 pokok sehektar.

Cara penanaman kacang tanah dikawasan tradisional adalah dengan menggunakan tugal atau menggunakan jentera bagi kawasan tanaman luas.

Apa yang penting dalam penanaman kacang tanah adalah bagaimana menguruskan amalan agronomi.

Pembajaan

Pembajaan perlu dilakukan mengikut jadual dimana kadar pembajaan yang biasa adalah menggunakan baja NPK dengan kadar iaitu 34:56:56 kg sehektar, bergantung kepada kesuburan tanah.

Kacang tanah memerlukan unsur kalsium yang lebih tinggi terutama pada peringkat pembentukan lengai dimana jika berlaku kekurangan unsur ini akan menyebabkan lengai tidak berisi.

Sumber kalsium ini boleh didapati dari baja kapur dimana adalah disyorkan ditabur pada peringkat pokok mula berbunga.

Penggunaan kapur seperti GML dan sebagainya akan membantu meningkatkan kutipan hasil.

Kawalan Rumpai

Pengawalan rumpai dikawasan tanaman kacang tanah amat penting dilakukan yang lazimnya kacang tanah akan kalah dengan pertumbuhan rumpai yang lebih dominan jika tidak dikawal dari peringkat awal penanaman.

Penggunaan racun rumpai pracambah seperti Lasso boleh digunakan sebelum menanam.

Aktiviti merumpai pusingan pertama boleh dijalankan antara 14 dan 21 hari selepas menanam dan pusingan kedua dia antara 30 dan 35 hari selepas menanam dan kebun yang bebas dari rumpai akan menjamin hasil yang bakal dituai.

Serangga Perosak

Kacang tanah adalah tanaman yang mempunyai ancaman serangan serangga perosak dan penyakit.

Diantara serangga perosak yang sering menyerang kacang tanah adalah seperti Ulat Makan daun.

Ulat daun seperti Spodotera litura dan Heliothis arnigera lazimnya akan memakan daun, menyebabkan daun berkurangan dan pokok lambat naik dan boleh dikawal dengan racun serangga yang bersesuaian.

Jenis perosak lain adalah seperti Ulat Perosak Lengai seperti Etella zinckenella yang masuk dalam lengai kacang tanah dan merosakannya.

Cara kawalan adalah dengan racun serangga Diazinon yan disembur mengikut aturan.

Perosak lain yang boleh merendahkan penghasilan adalah serangan haiwan iaitu Tikus.

Ini kerana tikus merupakan perosak utama yang boleh menyebabkan kerugian besar penanaman kacang tanah seperti mana didakwa oleh petani.

Amalan kultura yang baik dan kebersihan kawasan didapati mampu mengurangkan serangan tikus.

Ada juga petani yang menggunakan racun dan umpan untuk mengawal serangan tikus dari berlaku.

Bagi serangan penyakit seperti serangan oleh Penyakit Layu Bakteria disebabkan oleh Pseudomonas solanacearum boleh menyebabkan pokok kacang tanah layu dan mati.

Penyakit lain iaitu Mozek Kacang Tanah pula yang disebarkan oleh kutu daun (aphid) menyebabkan daun bertompok-tompok berwarna hijau tua.

Selalunya penyakit kacang tanah dapat dikawal dengan amalan kultura yang baik termasuk penggiliran tanaman.

Hasil

Kajian mendapati aktiviti pemungutan hasil kacang tanah boleh dikutip antara 90 dan 110 hari selepas ditanam bergantung kepada varieti yang ditanam, dengan purata anggaran hasil adalah 3-3.7 tan sehektar.

Harga pasaran bagi kacang tanah mentah adalah sekitar RM5-7 sekilogram.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: animhosnan

Saturday, August 10, 2019

Fakta Pelaburan Unit Trust Yang Anda Wajib Tahu

Fakta Pelaburan Unit Trust Yang Anda Wajib Tahu

Tahukah anda mengenai pelaburan ‘Unit Trust’ atau kata lainnya iaitu Unit Amanah? Tahukah anda tentang kelebihan unit trust ini yang berpotensi memberi keuntungan berlipat ganda kepada para pelaburnya?

Fakta Pelaburan Unit Trust

Namun, masih ramai di antara kita yang dilihat masih tidak yakin dengan potensi pelaburan unit trust itu sendiri. Mengapa perkara tersebut boleh terjadi?

Kadangkala, perkara tersebut terjadi bukan kerana kita tiada wang untuk melabur, tetapi disebabkan oleh ketidakfahaman kita tentang maksud sebenar unit trust yang seterusnya membina kesangsian terhadap potensi unit trust itu sendiri.

Unit trust juga dikenali sebagai Mutual Fund di negara lain seperti Amerika Syarikat secara amnya merupakan suatu pelaburan berkelompok.

Pelaburan ini membenarkan pelabur yang mempunyai objektif pelaburan yang sama mengumpulkan wang mereka untuk dilaburkan ke dalam sesebuah portfolio sekuriti yang diuruskan oleh pengurus dana profesional.

Ini bermakna, pemegang unit pelaburan unit trust sebenarnya tidak membeli saham terus kepada portfolio atau di kaunter saham sebaliknya, pemilikan saham akan dibahagikan kepada unit.

Jika nilai saham naik atau turun, nilai setiap unit yang dilaburkan juga akan naik atau turun.

Setiap pelabur yang berdaftar akan menerima sijil penamaan yang dikenali sebagai Sijil Unit Amanah.

Bilangan unit yang dipegang oleh setiap pelabur pula bergantung kepada harga belian unit pada masa pelaburan dibuat dan jumlah wang yang dilaburkan oleh pelabur.

Bagaimana pelaburan unit trust ini berfungsi?

Di dalam pelaburan unit trust, wang anda akan dikumpulkan bersama pelabur-pelabur lain sehingga menjadi jumlah yang besar dan akan dilaburkan ke dalam pelbagai saham ‘equity’ dan ‘bond’.

Kepelbagaian pelaburan ini dapat mengurangkan risiko kerana tidak terhad untuk bergantung kepada satu saham semata-mata.

Jika anda memilih untuk melabur di dalam unit amanah yang berlandaskan Islam/Syariah, wang yang anda laburkan hanya akan digunakan ke dalam saham-saham yang mematuhi syariah Islam sahaja.

Hal ini sebenarnya secara tidak langsung telah membantu pertumbuhan sistem kewangan Islam.

Pelaburan dan aktiviti jual beli saham anda pula akan diuruskan oleh pengurus dana profesional yang berpengalaman.

Oleh itu, anda tidak perlu risau untuk memantau turun naik harga saham di pasaran setiap hari, kerana pengurus dana yang dilantik akan sentiasa berusaha untuk memaksimumkan keuntungan pelaburan anda.

Konsep mudah

Kita minta orang lain urus dan laburkan duit kita. Berikan kepercayaan anda kepada Fund Manager untuk kembangkan duit anda.

1. Unit Trust = Unit Amanah = Amanah Saham.

Konsep sama seperti ASB (ASB juga adalah sejenis dana unit trust). Bezanya keuntungan ASB dalam bentuk dividen + bonus sedangkan keuntungan Unit Trust melalui dividen + kenaikan harga unit dana.

2. Unit Trust Management Company, UTMC = Syarikat Pengurusan Unit Amanah.

UTMC ini dipantau oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC) Malaysia, dibenarkan operasi oleh Bank Negara Malaysia dan Kementerian Kewangan Malaysia.

Sehingga 31 Oktober 2016, terdapat 37 Syarikat Pengurusan Unit Amanah, antaranya adalah PMB Investment Berhad, Phillip Mutual Berhad, CIMB Principal, Kenanga, RHB Asset Management, Eastspring Investment dan banyak lagi.

3. Fund/Dana = Tabung

Setakat 31 Oktober 2016, terdapat 641 dana yang diluluskan di Malaysia dan 199 daripadanya adalah berasaskan patuh syariah (Islamic Fund).

Antara dana yang popular (beri pulangan yang tinggi) adalah Kenanga Syariah Growth Fund, Eastspring Investments Dana Al-Ilham, PMB Shariah Aggressive Fund.

Apa maksudnya melabur Unit Trust tanpa guna duit poket?

Maksudnya, selain tunai, pelabur juga boleh menggunakan sebahagian dari Akaun 1 KWSP namun, ia hanya tertakluk kepada dana yang diluluskan oleh KWSP sahaja.

Selain itu, melabur guna KWSP agak leceh. Hanya boleh dikeluarkan sekali setiap 3 bulan. Maknanya setahun 4 kali kena isi borang.

Dimana Unit Trust laburkan duit kita?

Apabila kita membeli unit trust yang berasaskan ekuiti, sebenarnya kita melabur dalam pasaran saham (Bursa Malaysia atau pasaran saham dunia). Cuma yang tolong jual beli saham itu adalah fund manager yang dilantik.

Berapa minimum untuk mula melabur dalam Unit Trust?

Nilai minimum untuk pelaburan adalah berbeza-beza mengikut mengikut syarikat atau dana. Selalunya sekitar RM100 – RM1,000.

Berapa purata pulangan Unit Trust?

Secara keseluruhannya, daripada laporan BANK NEGARA (2002 – 2012) purata pulangan;
  • Akaun simpanan bank biasa: 1.3%
  • Simpanan Tetap (FD): 3.47%
  • Unit Trust: 9.78% (Purata pulangan semua dana ekuiti di Malaysia).

Isu-isu berkaitan Unit Trust

1. Halal atau Haram

Ramai yang mungkin tertanya-tanya sama ada pelaburan di dalam unit trust ini adalah halal atau tidak.

Jadi, adalah menjadi tanggungjawab kepada pelabur untuk membuat kajian tentang unit trust yang bakal disertai kerana di Malaysia terdapat banyak unit trust berdaftar yang berlandaskan syariah.

Islamic Unit Trust yang telah tersenarai di Suruhanjaya Sekuriti adalah yang telah diluluskan dan halal untuk dibuat pelaburan.

2. Adakah Skim Cepat Kaya

Selain itu, unit trust adalah satu perniagaan yang telah diluluskan oleh kerajaan. Pelaburan unit trust bukanlah perniagaan haram skim cepat kaya.

Portfolio akan dibahagikan kepada unit dan pelabur-pelabur dikenali sebagai ‘unit holders’.

Untuk menjaga kepentingan kepentingan para pelabur, seorang pemegang amanah (trustee) akan dilantik.

'Trustee’ merupakan pemilik sah ke atas semua aset dalam Unit Trust Scheme bagi pihak pemegang unit.

Apa kelebihan melabur dalam unit trust?

1. Kepelbagaian atau Diversification

Unit Trust memberi peluang pelaburan untuk pelabur-pelabur kecil membuat pelaburan dengan mudah.

Dengan modal yang sedikit, pelabur berpeluang menyertai lebih banyak sektor/aset.

Kepelbagaian atau diversification ini mampu meminimumkan risiko para pelabur kerana tidak melabur dalam satu portfolio sahaja.

Jika pelabur mengalami kerugian di satu portfolio, kerugian tersebut boleh diimbangi dengan keuntungan yang diperolehi daripada portfolio yang lain.

2. Pengurusan dana profesional

Pelaburan dana dalam unit trust akan diuruskan oleh pengurus dana profesional dan terlatih jadi, anda tidak perlu risau kerana mereka ini bukan sahaja berkemahiran, malah berpengalaman dalam menguruskan pelaburan.

Mereka akan memastikan wang yang kita labur akan dilaburkan dalam syarikat-syarikat yang mampu menghasilkan keuntungan lumayan berdasarkan kaji selidik yang telah mereka jalankan.

3. Liquidity (Kecairan) yang tinggi

Perkara yang paling penting bagi seorang pelabur untuk melakukan satu pelaburan adalah tahap kecairan aset yang dilabur itu.

Semakin tinggi tahap kecairan aset, semakin tinggi nilai aset tersebut. Unit trust membolehkan pelabur menebus atau menjual semula unit-unit yang dipegang pada bila-bila masa dan bayaran akan diperolehi dalam jangka masa yang singkat.

Masalah dan keburukan pelaburan unit trust

1. Tiada hak pengawalan dalam pengurusan dana

Dalam pelaburan unit trust, pelabur tidak mempunyai hak untuk memilih portfolio pelaburan mereka sendiri kerana pemilihan tersebut hanya dikendalikan oleh pengurus dana profesional yang telah dilantik.

2. Kos yang agak tinggi

Bagi menanggung kos pengendalian dana, permohonan dan pengurusan akaun dan lain-lain lagi, pelabur akan dikenakan caj permulaan sekitar 3% hingga 6%.

Disebabkan kita menggunakan khidmat pengurus dana untuk melaburkan duit kita, terdapat fees yang dikenakan:
  • Sales charge: dikenakan hanya sekali untuk setiap transaksi pembelian.
  • Management fee: dikenakan setahun sekali.
  • Trustee fee: dikenakan setahun sekali.
  • Switching fee: dikenakan jika pelabur ingin menukar ke dana pelaburan lain.
  • Redemption fee: dikenakan jika pelabur ingin menjual unit pegangan.

Namun, caj-caj tersebut dikawal selia serta diluluskan oleh Suruhanjaya Sekuriti dan bertujuan bagi menanggung kos pengurusan dana.

Selain itu, semua caj yang dikenakan akan dimaklumkan terlebih dahulu kepada para pelabur melalui prospektus skim unit trust.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2