Saturday, July 20, 2019

Kenapa Grab Dan MyCar Jauh Lebih Baik Berbanding Teksi?

Kenapa Grab Dan MyCar Jauh Lebih Baik Berbanding Teksi?

Perkhidmatan teksi sudah amat serasi dengan masyarakat dan merupakan antara penggerak utama ekonomi, malangnya dalam dekad ini, kita mula menyaksikan peningkatan pengguna yang lebih selesa menggunakan perkhidmatan internet.

Grab vs MyCar lebih baik berbanding teksi

Ini disebabkan oleh fasiliti yang disediakan memudahkan pencapaian internet kepada lebih ramai pengguna walaupun di pedalaman.

Seiring dengan internet, kita juga menyaksikan lebih ramai yang mampu memiliki telefon bimbit pintar.

Dengan hadirnya banyak pemain baru dalam industri telefon pintar, maka kita dapat menjangka, kos pemilikannya pasti akan menurun, supaya syarikat-syarikat ini dapat bersaing dalam pasaran.

Lebih ramai pengguna telefon pintar, maka kita juga dapat melihat banyak inovasi baru muncul terutama aplikasi telefon.

Banyak urusan seharian dapat dimudahkan dengan hadirnya pelbagai aplikasi yang inovatif.

Daripada berkomunikasi dengan rakan dan keluarga kepada urusan kewangan dan bisnes, banyak urusan dapat dilakukan dengan mudah dan cepat dengan adanya aplikasi tersebut. Begitu juga dengan industri pengangkutan awam.

Syarikat Grab dan MyCar telah menawarkan servis dengan membuat aplikasi di mana pengguna dapat memanggil pemandu dengan menggunakan aplikasi telefon dengan mudah, malah kos tambang yang jauh lebih murah berbanding teksi, tanpa perlu bersusah payah ke stesen teksi.

Di samping itu, syarikat e-Hailing telah membuka peluang pekerjaan besar kepada orang ramai, dengan mendaftar sebagai pemandu syarikat tersebut.

Prosedur pendaftarannya amat mudah, tiada birokrasi seperti mendaftar teksi. Semuanya dapat dilakukan atas talian.

Seperti yang dijangka, Grab dan MyCar telah berjaya mengatasi teksi dalam permintaan pelanggan.

Lebih ramai yang menggunakan Grab dan MyCar oleh sebab harga tambang yang jauh lebih murah dan kereta yang lebih berkualiti kerana syarikat menetapkan kereta yang diguna hendaklah tidak lebih 10 tahun dari tempoh pembuatan.

Oleh sebab ini, hampir semua pemandu teksi hilang sumber pendapatan, walaupun kos yang perlu dikeluarkan untuk teksi tetap sama, bahkan naik, menyebabkan ketidakpuashatian dan pemandu-pemandu teksi mula memprotes kehadiran syarikat e-hailing tersebut.

Adilkah persaingan ini?

Dari perspektif pengguna, mereka amat mengalu-alukan kedatangan syarikat e-hailing kerana ia amat memudahkan dan menjimatkan.

Secara fakta, servis yang diberikan oleh pemandu e-hailing jauh lebih baik, jimat dan lebih memudahkan pengguna berbanding teksi.

Di Malaysia, pemandu teksi wajib berdaftar melalui birokrasi yang tidak mudah, dengan pelbagai syarat dikenakan. Mendapatkan permit teksi bukan mudah seperti mendaftar Grab dan MyCar.

Pemandu teksi diwajibkan menjalankan pemeriksaan kesihatan, pemeriksaan kenderaan 6 bulan sekali di PUSPAKOM, dan pelbagai lagi, semuanya menggunakan duit poket sendiri.

Dengan permintaan yang terjejas sekarang, pemandu teksi terpaksa membayar kos-kos tersebut demi sesuap nasi.

Jadi kenapa pemandu teksi tidak turut serta jadi pemandu e-hailing?

Rahsia kejayaan syarikat e-hailing ini di Malaysia, sebenarnya sangat mudah difahami tetapi gagal diambil kesempatan oleh teksi biasa.

Rahsia Kejayaan e-Hailing

E-hailing sebenarnya hanya memudahkan pengguna memanggil teksi, maka teksi biasa ini yang sekadar menunggu penumpang yang malas berjalan kaki atau lokasi terlalu jauh, lalu teksi yang enggan berubah dan kekal dengan cara lama, malah ramai pemandu dianggap cerewet, tidak dapat bersaing kerana e-hailing yang jauh lebih murah dan mudah dihubungi.

Apakah yang boleh dibuat untuk membantu pemandu teksi yang terhimpit ini?

Pemandu teksi perlu menerima hakikat bahawa penggunaan teknologi terkini adalah perkara wajib bagi memastikan perkhidmatan berkenaan kekal relevan.

Teknologi adalah kaedah terbaik yang harus dipakai oleh pemandu teksi kerana dengan menggunakan teknologi seperti e-hailing, ia memudahkan orang ramai kerana majoritinya tidak mahu lagi menahan atau menunggu teksi di tepi jalan.

Budaya berkenaan sudah berkurangan kerana pengguna lebih selesa membuat tempahan menerusi dalam talian seterusnya mengetahui senarai harga yang ditetapkan sebelum bersetuju menggunakan perkhidmatan teksi itu.

Jika masih lagi nak guna acara tradisional, pasti pemandu teksi akan terus ketinggalan dan hanya menunggu pupus ditelan zaman.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: borneoauto

6 Negara Buang Butang 'Like' Di Instagram

6 Negara Buang Butang 'Like' Di Instagram

Instagram mula menyembunyikan butang “like” di platformnya sebagai percubaan bagi negara Australia, Brazil dan beberapa lagi pasaran utama, susulan menerima kritikan atas sebab kesihatan mental.

Instagram remove like button

Percubaan laman media sosial milik Facebook itu bermakna pengguna di enam buah negara tidak lagi akan melihat bilangan 'like' pada setiap hantaran.

“Kami mahu orang ramai selesa di Instagram,” kata Pengarah Polisi Facebook Australia dan New Zealand, Mia Garlick dalam satu kenyataan.

“Kami berharap percubaan ini akan menghilangkan tekanan mengenai berapa banyak ‘like’ yang akan diterima supaya anda boleh terus berkongsikan perkara yang anda suka.”

Australia, Itali, Ireland, Jepun, Brazil dan New Zealand adalah enam negara yang terlibat dalam percubaan itu yang dilancarkan di Kanada pada Mei 2019 lalu.

Instagram tidak menyebut tempoh percubaan dijalankan.

BACA INI JUGA:

sumber: sinarharian

Friday, July 19, 2019

Pakar Mampu 'Mengetahui' Tahap Kesihatan Anda Melalui Penggunaan Perkataan Di Status Facebook

Pakar Mampu 'Mengetahui' Tahap Kesihatan Anda Melalui Penggunaan Perkataan Di Status Facebook

Peranan Facebook nampaknya bukan lagi sekadar untuk bersosial bersama rakan, kerana siapa sangka kini ia boleh dijadikan medium oleh pakar kesihatan untuk menjalankan kaji selidik tentang tahap kesihatan seseorang.

Kesihatan melalui Facebook

Menerusi kajian dilakukan oleh sekumpulan penyelidik di Universiti Pennsylvania dan Universiti Stony Brook, mereka mengkaji lebih 20 juta perkataan yang digunakan oleh 999 responden menerusi sejarah catatan (posting) di laman sosial itu bagi mengetahui penyakit dihidapi mereka.

Kesemua responden itu juga turut membuat pautan data rekod perubatan elektronik dengan Facebook masing-masing namun informasi mengenainya tidak dapat diakses secara terbuka oleh kenalan mereka.

Menerusi Facebook, pengkaji boleh mengetahui sama ada anda mempunyai masalah mental atau pun tidak.

Para pengkaji membina tiga model untuk menganalisa sama ada posting yang dibuat mampu memberi maklumat mengenai masalah kesihatan yang dialami mereka menerusi 21 kategori penyakit.

Salah satu model itu menganalisa penggunaan bahasa digunakan pemilik profil menerusi status yang ditulis, manakala yang lain bagi mengasingkan demografi serta umur dan jantina mereka.

Hasilnya yang diterbitkan menerusi jurnal Plos One menunjukkan semua 21 masalah kesihatan yang disenaraikan boleh dijangka hanya menggunakan Facebook.

Malah, data Facebook adalah lebih baik dalam menganalisis 10 jenis penyakit mengikut informasi demografi seperti darah tinggi, diabetes termasuk kesihatan mental.

Penggunaan perkataan oleh pengguna di status juga sudah cukup untuk menggambarkan masalah kesihatan tertentu seperti contoh apabila kerap menggunakan perkataan 'minum' dan 'botol' - ia adalah tanda jelas seseorang itu mempunyai masalah alkohol.

Facebook bukan sahaja medium untuk bersosial tetapi tempat 'permainan' penyelidik.

Bagi yang sering menggunakan perkataan bersifat keagamaan seperti 'tuhan' dan 'doa' ia menunjukkan mereka mempunyai masalah diabetes.

Penggunaan perkataan kasar seperti 'bodoh' atau ayat mencarut yang lain di laman sosial, memberi gambaran bahawa pemilik profil itu seorang penagih dadah atau mempunyai masalah mental.

Bagaimanapun, menurut Dr Andrew Schwartz, kajian itu masih di peringkat awal namun kaitan di antara penggunaan bahasa dan penyakit tertentu sangat berkait rapat.

Dari sudut positif, kajian ini diharap dapat membantu sesiapa sahaja yang mungkin tidak menyedari mereka sedang berdepan dengan masalah atau penyakit berbahaya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: mstar

SBDJ Siri 93: Masih Dalam Ujian

SBDJ Siri 93: Masih Dalam Ujian

Hujan turun mencurah-curah. Dentuman petir memekakkan telinga dan mengecutkan tali perut. Tempias hujan terus menerpa ke kamar, lalu jatuh atas halaman akhbar yang tersadai di dada meja. Rasa dingin terasa menggigit kulit tubuh. Tingkap segera saya rapatkan.

Toyol jadi-jadian

Bunyi deru hujan amat jelas kedengaran. Dalam saat-saat tertentu saya tersentak oleh bunyi petir, diikuti dengan cahaya kilat yang tajam menyelinap menerangi ruang kamar.

Bagi menghilangkan kebekuan itu saya terus membaca berita yang termuat dalam akhbar.

Sejak pulang dari kampung halaman guru silat, saya dan Datuk menghabiskan masa ke kebun getah atau pisang, pada sebelah pagi.

Pada sebelah petangnya pula, pergi ke sawah. Kalau tidak turun ke sawah kami pergi memburu ayam hutan atau melihat jerat di pinggir belukar.

Satu hal yang membanggakan Datuk ialah, kerana saya sudah pun menamatkan ilmu persilatan dengan guru silat.

Sudah diadakan ujian dan menutup gelanggang tetapi, Datuk tetap mengatakan apa yang saya tuntut itu masih belum cukup.

Mesti diperlengkapkan dengan pengalaman dan ujian-ujian yang tidak diduga.

Di samping itu, Datuk tetap menyuruh saya menambahkan ilmu mempertahankan diri sebanyak yang terdaya oleh saya.

“Kau harus belajar lagi, jangan sampai terpesong dari ajaran Islam. Kau harus mendalami ilmu agama kamu,” secara mendadak sahaja saya teringat cakap Datuk. Saya senyum sendirian. Bunyi deru hujan mula beransur reda.

Sudah hampir enam bulan saya meninggalkan kampung halaman guru silat.

Tidak ada berita tentang bomoh tua yang disampaikan oleh adik guru silat kepada Datuk.

Apakah bomoh tua itu sudah bertaubat atau kian mengganas? Apakah adik guru silat tidak pernah menulis surat pada abangnya? Timbul pertanyaan dalam diri saya.

Saya membuat keputusan sendiri. Besok atau lusa saya akan menemui guru silat untuk bertanyakan perkara tersebut.

Kalau guru silat enggan bercerita, saya sendiri akan menulis surat pada beberapa orang kawan di kampung halaman guru silat.

“Bagaimana kalau aku sendiri pergi ke sana, menyiasat keadaan yang sebenar? Tidak mungkin. Kalau Datuk tahu aku pergi sendirian ke sana, teruk aku kena penamparnya,” bisik hati kecil saya.

Saya senyum sendirian teringatkan tingkah laku bomoh tua di hari meninggalkan kampung halaman guru silat.

Bomoh tua itu menahan perjalanan kami yang mahu pergi ke perhentian bas. Dia mengingatkan Datuk tentang hasratnya untuk bersahabat dengan Datuk, ingin belajar sesuatu dari Datuk.

Ternyata hati Datuk tidak dapat dilembutkannya. Datuk menyuruh dia bertaubat dulu serta kembali ke jalan yang betul.

Pada mulanya, saya begitu menyesali sikap Datuk yang tidak mahu bertolak ansur itu.

Saya kesal kerana Datuk begitu angkuh dengan orang yang mahu menjalinkan persahabatan dengannya. Rasa kesal saya itu berakhir bila saya menerima penjelasan dari guru silat.

“Tuk kamu tak angkuh Tamar. Dia tahu bomoh tua tu tak ikhlas, bomoh tu mahu memperdayakan dirinya,” satu penjelasan dari guru silat.

Tapi, saya kurang yakin dengan penjelasan itu. Guru silat segera melanjutkannya.

“Kau sendiri tahu, Datuk kau bersikap lembut. Dia suruh bomoh tua itu bertaubat. Bila bomoh itu mengetahui dan bersedia mahu bertaubat tentu dia mahu bersahabat. Datuk kau terlalu berhati-hati,” sambung guru silat ketika berada dalam bas, waktu kami pulang dulu.

Akhirnya saya percaya dengan apa yang diluahkan guru silat tersebut. Sebabnya bukan apa-apa. Saya mahu mendapat keterangan yang tepat dari Datuk.

Kata Datuk, dia memang menghargai hasrat bomoh tua itu tetapi, dia tidak yakin apa yang dikatanya itu ikhlas dan jujur.

Buktinya, waktu kami mahu naik bas, bomoh tua itu cuba menggunakan ilmu hitamnya dengan memasukkan segenggam pasir ke dalam beg kain yang saya galas.

Pasir tersebut bila berada dalam beg dalam jangka waktu lebih kurang tiga jam akan bertukar menjadi habuk yang cukup halus macam habuk rokok. Melekat pada pakaian.

Bila pakaian itu dipakai, seluruh tubuh menjadi bengkak dan gatal. Bila terlalu kerap digaru, kulit akan tercalar lalu berair. Dan air itu akan mengeluarkan bau yang busuk.

Tidak ada ubat yang boleh menghilangkan penyakit tersebut kecuali dengan cara tradisional iaitu menggunakan pasir yang sudah digoreng dengan hampas tebu. Hanya orang-orang yang tahu sahaja yang boleh melakukannya.

Bukan senang mencari orang yang tahu cara perubatan tradisional itu. Kalau tidak menemui orang yang tahu, alamat si sakit akan menderita sampai mati.

Mujurlah Datuk sempat bertindak. Kalau lambat, padahnya akan ditanggung sampai mati. Cara Datuk mengesan perbuatan bomoh tua itu juga amat menarik.

Bila Datuk terpandangkan bomoh tua menaruh pasir ke dalam beg yang saya galas, Datuk segera mengoyakkan bahagian bucu beg.

Semua pasir di dalamnya terus jatuh di permukaan jalan raya, menjadi debu. Melihat tindakan Datuk itu, bomoh tua berasa malu lalu meninggalkan kami tanpa mengucapkan sesuatu.

Walaupun begitu Datuk masih yakin bomoh tua itu akan membalas dendam. Bila masanya bomoh tua mahu bertindak tidak ada sesiapa pun yang tahu.

Walaupun begitu, Datuk tetap berjaga-jaga dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan. Datuk serahkan segala-galanya pada Allah yang maha kuasa.

“Assalamualaikum.”

Saya tersentak dari lamunan.

“Wa'alaikumsalam, naiklah,” terdengar suara Datuk menjawab.

Perasaan saya bagaikan digaru-garu mahu mengetahui suara siapakah yang memberi salam. Rasa-rasanya saya pernah mendengar suara itu. Di mana dan bila, saya kurang pasti.

Saya terus mengamati dengan teliti suara orang yang bercakap dengan Datuk itu.

“Ah, dia datang.”

Saya melonjak kegembiraan dan terus bangun. Buku jendela, titik hujan sudah berhenti luruh dari dada langit.

Saya keluar dari kamar lalu menuju ke ruang tengah. Senyum tetap terukir di bibir dan hati terus dikocak kegembiraan.

“Kamu dari mana Tamar?” tanya guru silat.

“Apa lagi, buat tahi mata lebih-lebih lagi waktu hujan begini,” tingkah Datuk. Saya terus duduk dekat guru silat.

“Saya tak tidur tuk!”

“Kalau kau tak tidur, kau buat apa dalam bilik?”

“Saya membaca tuk.”

“Kau baca apa?”

“Baca surat khabar.”

“Hummmmm aku ingatkan baca kitab,” Datuk juihkan bibir sambil menarik nafas panjang.

Guru silat terus senyum. Belakang saya ditepuknya dua tiga kali berturut-turut.

Saya merenung ke arah jam dinding. Sudah petang. Secara mendadak saya teringat hari itu adalah hari Khamis.

Bila matahari terbenam di kaki langit, saya akan berada dalam suasana malam Jumaat.

Ada beberapa aturan yang mesti saya patuhi. Peraturan itu amat membosankan tetapi apakan daya saya terpaksa mematuhinya.

Biasanya setelah menunaikan fardu Maghrib, Datuk berwirid panjang. Lepas itu membaca surah al-Waqiah atau surah al-Mulk atau surah at-Taubat. Jika tidak membaca salah satu surah itu, dia akan membaca surah Yasin.

Pokoknya, dari waktu Maghrib hingga sampai waktu Isyak mesti diisi dengan kegiatan yang mendatangkan faedah.

Kegiatan itu ditamatkan setelah menunaikan sembahyang Isyak.

Memang menjadi kebiasaan saya, setelah selesai menunaikan fardu isyak saya menyusur tepi dinding perlahan-lahan kemudian menyelinap masuk ke kamar lalu mematikan diri. Saya tidak mahu melibatkan diri dengan Datuk untuk membaca Quran.

“Eh, apa yang kamu menungkan, Tamar?”

nenek sergah saya.

Cepat-cepat saya renung ke arah Datuk dan guru silat. Mereka juga saya lihat mengelamun tetapi anehnya kenapa nenek tidak menegur mereka.

“Jangan fikir apa-apa. Minum kopi panas ni,” tambah nenek lalu meletakkan cawan kopi di depan saya, di depan Datuk dan guru silat. Asap nipis merayap di permukaan cawan.

“Kopi bujang aje ke?” usik Datuk.

“Ada kawannya. Tunggulah dulu.”

Nenek terus menuju ke dapur. Datang kembali bersama mangkuk bubur kacang. Bau daun pandan yang ditaruh dalam mangkuk bubur membuat selesa saya terbuka luas.

“Memang bagus ni,” kata guru silat.

“Silakan,” pelawa Datuk.

“Ya, sila. Jangan malu,” tingkah nenek.

“Jangan bimbang, fasal makan saya memang tak tolak punya,” guru silat berjenaka disambut dengan ketawa.

Nenek kembali ke ruan dapur. Saya memang mengharapkan kedatangan guru silat pada petang itu akan membawa cerita yang baru dan segar untuk saya.

Kopi dalam cawan sudah habis, bubur dalam mangkuk juga sudah selesai. Cerita yang saya harapkan dari guru silat tidak juga muncul.

Dia dan Datuk asyik bercerita tentang harga getah, asyik bercerita tentang babi hutan dan monyet yang menyerang tanaman di kebun. Cerita yang membosankan.

Tetapi, saya masih bertahan di ruang tamu. Masih mengharapkan cerita dari guru silat.

LUNTUR

Dalam cita-cita yang meluap-luap itu tiba-tiba semangat jadi luntur untuk duduk berdepan dengan guru silat dan Datuk.

Tidak ada gunanya menjadi kucing yang menunggu ikan dipanggang. Saya segera angkat punggung.

Meraut bilah buluh di pelantar untuk membuat bubu lebih baik dari duduk di depan wajah manusia ini, bentak batin saya. Saya segera mencari pisau raut dan mengeluarkan bilah buluh dari tempatnya.

Sebaik sahaja saya bersila di pelantar, saya terdengar suara Datuk mengajukan pertanyaan pada guru silat.

“Apa kau tak dapat berita dari adik kamu?”

“Ada, pagi tadi saya terima surat darinya.”

“Apa cerita?" soal Datuk lagi.

Guru silat saya lihat menarik nafas dalam-dalam. Dia termenung sejenak. Saya terus memasang telinga. Dan mengharapkan kata-kata yang terhambur dari guru silat akan menggembirakan hati saya.

Cepatlah, aku nak dengar cerita dari kampung halaman kamu guru silat, suara batin saya melonjak-lonjak. Saya jeling ke arah guru silat dan Datuk. Mereka kelihatan tenang dan bersahaja.

Mungkin tidak ada sesuatu cerita yang menarik, sebab itulah agaknya guru silat tak mahu cerita apa-apa pada Datuk. Saya cuba mendamaikan perasaan yang bergelora dalam dada.

“Saya bersyukur pada Allah.”

“Sebabnya?” Datuk menyoal.

“Bomoh tua tu…,” kata guru silat sambil menggosok batang hidungnya dua tiga kali.

Saya keresahan menanti kata selanjutnya dari guru silat.

“Kenapa dengan bomoh tua tu? Dia dah bertaubat?” suara Datuk agak keras, mungkin tanda protes kerana guru silat lambat sangat menyambung kata-kata yang terputus.

“Bukan bertaubat.”

“Kalau bukan bertaubat, dia dah mati agaknya,” Datuk buat ramalan.

“Dia tak mati.”

“Habis dia buat apa?”

“Pindah ke tempat lain,” guru silat telan air liur.

“Ke mana?” Datuk tidak sabar lagi.

“Ke Langkawi.”

“Langkawi,” mulut Datuk separuh terbuka.

Guru silat tunduk menatap permukaan lantai. Batang tubuh bomoh tua segera terpamer dalam tempurung kepala saya. Ketika itu juga saya bagaikan terdengar-dengar suaranya di gegendang telinga saya.

“Biarlah dia dengan halnya. Tapi, adik ipar kamu macam mana? Aku lebih suka mendengar cerita tentang dirinya dari mendengar cerita bomoh tua tu,” Datuk memperkemaskan silanya.

Kali ini saya cuba melintasi di depan Datuk. Berdiri dekatnya sebentar. Tiada teguran dari Datuk.

Ini menandakan Datuk tidak akan marah kalau saya duduk di sisinya untuk mendengar perbualan selanjutnya antara dia dengan guru silat.

Dengan batuknya yang dibuat-buat, saya pun bersila tidak jauh dari guru silat.

“Menurut suratnya pada saya, dia dah boleh turun ke bendang, sudah boleh membuat kerja-kerja berat,” jelas guru silat.

“Syukurlah. Aku harapkan apa yang dialaminya akan mendatangkan keinsafan pada dirinya. Kemudian aku harap dia akan mengikut perintah Allah. Tidak lagi macam dulu, suka membuat kerja yang sia-sia,” Datuk menarik nafas dalam-dalam.

Saya terus melunjurkan sepasang kaki. Perbuatan saya segera ditegur oleh Datuk. Perbuatan saya itu, tidak senonoh dan biadab. Teguran dari Datuk segera saya patuhi. Guru silat nampak resah. Sesekali ekor matanya merenung ke arah saya.

“Saya juga harap macam tu,” guru silat bersuara lembut.

“Dari apa yang aku tahu, adik ipar kamu tu buas juga orangnya. Suka berjudi, suka menipu orang,” celah Datuk.

“Macam mana awak tahu semuanya ini,” mata guru silat terbeliak.

“Dari orang-orang kampung kamu dulu.”

“Ha, siapa yang cerita?” guru silat kerutkan kening.

“Beberapa orang yang aku jumpa di kedai kopi dulu yang menceritakan pada aku.”

“Tapi, saya tak nampak awak bercakap dengan sesiapa pun masa di kedai tu dulu.”

“Masa aku bercakap dengan mereka kau belum datang lagi ke kedai tu. Bila aku dah selesai bercakap, baru kamu datang.”

“Hum. Kalau macam tu, tak hairanlah kalau kamu tahu perangainya,” guru silat ketawa kecil. Perlahan-lahan dia menepuk pangkal paha Datuk.

“Aku harap kedua-duanya bertaubat,” ujar Datuk.

“Saya harap juga macam tu. Kedua-duanya lebih kurang saja perangainya,” guru silat menambah. Senyum terus berbunga di kelopak bibirnya.

“Kau,” guru silat renung ke arah saya.

“Selalulah datang ke tempat aku untuk mendalami ilmu yang ada,” sambung guru silat.

“Betul nasihat kamu tu, ilmu yang ada belum cukup lagi.”

“Bukan apa-apa. Saya cuma mengingatkan, ramai anak murid saya yang sudah tamat tak tamu datang lagi ke tempat saya untuk bertanya itu dan ini,” keluh guru silat.

Di wajahnya terbayang kehampaan yang amat sangat.

“Ada masa saya tetap ke sana. Saya tahu apa yang ada pada saya ni masih belum cukup. Banyak perkara lagi yang mesti saya pelajari,” itulah janji saya pada guru silat.

Ternyata janji itu menghadiahkan kegembiraan yang amat sangat untuknya.

“Dah pukul berapa sekarang Tamar?”

“Ha,” saya segera meraba pergelangan tangan kiri.

Hari ini saya terlupa memakai jam. Saya segera bangun tetapi terpaksa duduk kembali. Guru silat memegang pergelangan tangan kanan saya.

“Kamu nak ke mana Tamar?”

“Nak tengok jam.”

“Jam tangan kamu yang aku hadiahkan minggu lalu mana dia?”

“Saya lupa pakai pak guru.”

“Tak tahu menghargai pemberian orang. Cuai dan pelupa,” Datuk memberi teguran pahit dalam suasana yang tidak menyenangkan.

“Kamu tak payah tengok jam. Aku tahu, sekarang pukul lima lebih. Kau tengok jam gantung di dinding,” guru silat mengarahkan jari telunjuknya ke dinding.

Saya segera merenung ke arah yang ditunjuknya.

Kenapa ketika pertanyaan itu diajukan, saya tidak teringat atau memandang ke arah jam dinding? Apakah ini menandakan daya ingatan saya terlalu lemah? Timbul pertanyaan dalam hati saya.

Lebih memalukan bila guru silat berkata,

“Orang muda mesti mempunyai ingatan yang kuat. Mesti ingat apa yang ada dalam rumah.”

“Semuanya itu memerlukan latihan,” Datuk turut campur.

“Selain itu mesti ada rasa cinta atau perhatian pada keadaan sekeliling kita, saudara-mara kita, keadaan rumah kita sama ada dari luar atau dari dalamnya. Semuanya ini memerlukan ketelitian,” guru silat memulakan syarahan pendek.

“Saya cuba belajar semuanya itu.”

“Bagus,” guru silat tepuk bahu saya.

Ternyata usaha saya untuk membersihkan mereka dari memperkatakan kelemahan diri saya beroleh kejayaan.

Kini tajuk perbualan sudah berubah pada perkara menanam pokok dan memelihara binatang.

Memang saya mengharapkan perbualan itu akan berjalan terus. Semoga salah seorang daripada mereka tidak akan mengungkit-ungkit hal saya.

“Biarlah saya balik dulu,” guru silat minta diri.

“Tunggulah sampai maghrib baru balik,” Datuk menahan.

“Hajat saya mahu menyampaikan berita sudah tertunai. Saya juga meminta maaf kerana terpaksa balik. Bukan tak sudi dengan pelawaan awak, tapi saya ada hal.”

“Kalau ada hal pun tak akan sampai tak boleh ditangguhkan,” Datuk berusaha agar guru silat memenuhi permintaannya.

Sikap Datuk itu membuat guru silat berada dalam keadaan serba salah.

“Saya minta maaf, balik lepas waktu maghrib merbahaya.”

“Merbahaya?”

“Ya, sekarang musim harimau mengganas,” wajah guru silat cemas.

“Oh. Kalau begitu, saya faham. Eloklah kamu balik, musuh jangan dicari.”

“Saya pun berpendapat macam tu.”

Datuk dan guru silat berjabat tangan.

Datuk dan saya hantar guru silat hingga ke basikal tuanya yang tersandar di pangkal pohon manggis.

Sebelum naik atas basikal, lagi sekali Datuk dan guru silat bersalaman. Guru silat terus kayuh basikal keluar dari kawasan rumah.

Saya dan Datuk mendoakan agar perjalanan guru silat diberkati oleh Allah, terhindar dari segala bencana.

“Cuba kamu pergi tengok jerat aku di kaki bukit.”

“Bila tuk? Esok ke atau petang ni.”

“Petang ni, dah suntuk tuk,” saya mula berdalih.

“Tak suntuk. Baru pukul lima. Setengah jam berjalan sampailah ke tempat tu. Cuma ada enam jerat saja. Manalah tahu, kalau dapat ayam hutan. Biasa lepas hujan ayam hutan selalu keluar.”

“Tapi tuk?”

“Tak ada tapi, pergi sekarang. Bawa parang dan kayu panjang untuk memudahkan kamu berjalan.”

“Saya takut tuk.”

“Eh budak ni, belajar silat dah tamat. Sebanyak sedikit petua dah tahu. Apa kamu tak berani pergi ke kaki bukit. Eh Tamar, orang lelaki mesti berani tau.”

“Saya tau tuk, tapi…”

“Pergiiiii…,” jerkah Datuk.

TERKEJUT

Saya terkejut dan dalam sekelip mata saya seperti memperoleh kekuatan yang amat sangat. Tanpa berkata apa-apa pada Datuk saya meluru ke dalam rumah. Pakai baju dan seluar. Dengan parang di tangan saya melangkah.

“Kau tak bawa kayu panjang.”

“Tak payah,” jawab saya tegas.

Langkah saya diatur. Saya tidak tahu apa kata Datuk tentang sikap yang saya tunjuk itu.

Satu hal yang pasti ketika saya berada agak jauh dari kawasan rumah saya terdengar sayup-sayup suara batuk Datuk memanjang.

Saya yakin benar bahawa batuk itu sengaja dibuat-buat oleh Datuk. Mungkin dia cuba menarik perhatian supaya menoleh ke arahnya. Saya keras hati tidak mahu menoleh.

Kali ini saya mahu buktikan pada Datuk yang saya bukanlah seorang cucu yang penakut atau pengecut.

Saya mampu pergi ke mana-mana sendirian. Mampu melakukan apa sahaja seperti apa yang dilakukan oleh anak-anak muda yang seusia dengan saya. Langkah pun saya percepatkan.

Berjalan di celah pepohon kecil selepas hujan memanglah amat menyulitkan. Kesan air hujan di daunan bila kena baju atau seluar membuat pakaian terasa lembap. Bila kena kulit, tubuh terasa sejuk. Semuanya terpaksa saya hadapi.

Sesekali saya dongak ke langit. Matahari tidak mahu bersinar lagi. Dalam waktu tertentu, saya gunakan parang untuk memotong reranting yang menghalang perjalanan saya.

Dalam keadaan yang dingin itu, badan saya berpeluh. Nafas tercungap-cungap terasa amat penat sekali.

Siapa pun akan merasai penat bila berjalan dalam keadaan yang agak mendaki. Cuaca tidak begitu menggalakkan.

Sejak hujan berhenti, matahari terasa amat malas untuk bersinar. Pada hal kalau cuaca baik, saya tidak mengalami keadaan seperti ini.

Hati kecil saya terus merungut dan merasakan tindakan Datuk memang tidak patut. Saya jadi marah dengan tiba-tiba.

Rasa marah itu terus membara dan tidak boleh dikawal lagi. Bagi melepaskan rasa marah itu, saya patahkan ranting kayu yang menghalang perjalanan saya.

Perbuatan itu tidak mendatangkan kepuasan. Saya ambil parang lalu ranting yang sudah patah itu saya tetak beberapa kali hingga menjadi potongan kayu yang amat kecil.

Tidak memadai dengan itu, ranting kayu yang sudah potong itu saya pijak-pihak hingga terbenam dalam bumi.

Semuanya tidak mendatangkan kepuasan dalam diri. Rasa marah terus menjadi-jadi. Pertama kali saya mengutuk Datuk dengan semahu-mahunya.

Saya tuduh Datuk manusia kejam, suka memerintah dan timbul sebuah azam dalam hati untuk memusuhi Datuk, tidak mahu menghormatinya lagi.

Saya tikam bumi dengan parang, terpacak di situ. Ulu parang yang dibuat dari gading itu saya urut beberapa kali.

“Yahooooooo, kamu kejam.”

Begitulah saya memekik dengan sekuat hati, bergema ke seluruh kawasan di kaki bukit.

Saya kira mengejutkan monyet dan lotong di dahan. Mengganggu perjalanan beburung dan haiwan. Tidak memadai dengan itu, saya tendang apa yang ada di kiri kanan saya.

Sesungguhnya saya luahkan perasaan marah saya pada apa sahaja yang ada di sekeliling saya.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 93/284

BACA: SBDJ Siri 92: Bomoh Tua Bawa Bencana
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-SENTIASAPANAS.COM

Umur 18 Tahun Kini Boleh Mengundi Di Malaysia

Umur 18 Tahun Kini Boleh Mengundi Di Malaysia

Usul pindaan Perlembagaan Persekutuan yang dibentangkan di Dewan Rakyat bagi menurunkan had umur layak mengundi daripada 21 kepada 18 tahun, kini telah diluluskan, menjadikan Malaysia menyertai majoriti negara di dunia yang memberikan hak mengundi kepada warganya yang berusia 18 tahun ke atas.

18 Tahun Layak Mengundi

Dewan Rakyat pada tanggal 16 Julai, akhirnya meluluskan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi menurunkan had umur layak mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

Rang undang-undang itu mendapat sokongan 211 ahli Parlimen sekali gus meraih majoriti lebih dua pertiga daripada 222 bilangan Ahli Dewan Rakyat untuk diluluskan tanpa sebarang pindaan.

Selepas kiraan undi belah bahagi dilakukan, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof mengumumkan, seramai 211 ahli Dewan Rakyat bersetuju, manakala tiada yang tidak bersetuju atau tidak mengundi.

Selain itu, pindaan berkenaan juga membolehkan pendaftaran secara automatik sebagai pemilih oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dilaksanakan sebaik sahaja seseorang warganegara itu mencapai usia 18 tahun.

Turut dipinda, Rang Undang-Undang ini turut menurunkan umur layak untuk menjadi calon pilihan raya pada seawal usia 18 tahun.

Negara Lain

Di Asia Tenggara termasuk Myanmar, umur mengundi bagi kebanyakan negara ialah 18 tahun, manakala Indonesia meletakkan umur layak mengundi yang lebih rendah iaitu 17 tahun. Hanya Malaysia dan Singapura sebelum ini masih kekal dengan 21 tahun.

Usia itu ditentukan sejak penggubalan Perlembagaan Tanah Melayu oleh Suruhanjaya Reid berdasarkan umur mengundi di British ketika itu.

Namun, British sendiri telah meminda undang-undang mereka bagi menurunkan umur mengundi kepada 18 tahun sejak 1969 lagi.

Umur mengundi 18 tahun ini bukanlah suatu yang asing apatah lagi aneh jika kita mengambil kira fakta bahawa pada usia ini, remaja tidak lagi dianggap sebagai kanak-kanak tetapi seorang dewasa yang dianggap cukup layak untuk membuat keputusan bagi dirinya.

Pada usia ini, mereka tidak memerlukan kebenaran untuk berkahwin, membuat perjanjian jual beli, malahan untuk membuat hutang puluhan ribu, tetapi mereka tidak boleh mengundi!

Berdasarkan statistik, hampir 80 peratus rakyat Malaysia hanya memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebagai sijil tertinggi.

Ini bermaksud kebanyakan lepasan SPM ini akan terus memasuki pasaran kerja sebaik sahaja meninggalkan sekolah menengah.

Pada usia 18 tahun, mereka telah secara aktif menyumbang kepada ekonomi negara tetapi semenjak pilihan raya mula dilaksanakan di negara ini, mereka belum lagi berkesempatan mengundi.

Akan tetapi, hal ini bukanlah mudah apabila terdapat (sebelumnya) beberapa cabaran yang bersifat bukan undang-undang terhadap pelaksanaan hasrat ini.

Pertama, pastinya prejudis kita terhadap golongan muda sendiri.

Apabila hasrat ini dilontarkan oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan pengerusi SPR Azhar Harun sendiri, rata-ratanya menunjukkan reaksi skeptikal.

Ramai yang menghujahkan bahawa orang muda berusia 18 tahun belum lagi matang untuk menyertai politik.

Mereka tidak minat untuk terlibat dan hanya akan mengundi mengikut emosi serta mudah diperalatkan.

Kalau pun benar tanggapan ini, apa yang harus dilakukan adalah memberdaya kumpulan ini agar mereka mampu terlibat secara konstruktif dan kemudian membuat keputusan secara rasional.

Umur Bukan Tanda Matang

Kita berpendapat, mereka cukup matang untuk memilih, asal sahaja diberi kesempatan dan maklumat yang secukupnya.

Malah, soal kematangan ini terlalu abstrak sebenarnya untuk ditentukan.

Sejak bila kita meletakkan kematangan politik sebagai syarat untuk layak mengundi?

Jika kematangan politik menjadi syarat wajib, berapa ramai daripada kalangan kita yang dewasa ini tidak layak sebenarnya? Jujur saja.

Beri nafas baru

Perbincangan yang lebih 'matang' dan 'rasional' dalam hal ini bukanlah dengan meremehkan orang muda tetapi bagaimana untuk - parti politik - menanggapi golongan ini.

Mereka ialah demografi baru yang kita tidak pasti dengan jelas orientasi politik, minat dan kecenderungan mereka yang mungkin berbeza dengan kumpulan umur yang lain.

Apakah wujud kemungkinan kumpulan umur ini mampu membawakan nafas baharu kepada politik Malaysia?

Apakah mereka ialah jawapan kepada jalan keluar daripada politik komunal sempit untuk beranjak kepada politik yang lebih inklusif dan progresif?

Apakah mereka ini yang akan memaksa kita untuk mula serius bercakap tentang pemanasan global, pembangunan mampan serta teknologi hijau?

Apa yang perlu difikirkan parti politik ialah bagaimana untuk tampil menarik di mata kumpulan ini dan pada masa sama, bukan sahaja meraih undi mereka, tetapi menjemput tenaga muda ini untuk aktif meremajakan parti politik dan politik Malaysia sendiri.

Akan tetapi, harus diinsafi bahawa tidak banyak yang Pakatan Harapan - sebagai sebuah gabungan politik - mampu laksanakan dalam mendepani kumpulan ini.

PAS memiliki sistem pengkaderan orang muda yang sangat tersusun bukan sahaja di institut pengajian tinggi, malahan juga di sekolah.

Itu belum lagi mengambil kira Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) sebagai intervensi awal untuk mendekati komuniti.

Umno sendiri telah menurunkan umur keahliannya daripada 18 tahun kepada 16 tahun untuk melatih lebih ramai ahli muda.

Semua ini harus diraikan kerana lebih ramai orang muda yang menyertai politik, lebih baiklah politik Malaysia. Mudah-mudahannya begitu.

Namun, Pakatan Harapan harus melakukan refleksi - apakah kita masih lagi dalam andaian bahawa secara alaminya, orang muda memang menyokong mereka.

Di kalangan orang muda, PH sebagai parti pemerintah dilihat sebagai status quo, establishment. Oleh itu tidak ada sebab untuk berasa selesa.

Akan tetapi, prinsip adalah prinsip dan hak adalah hak. Seperti tindakan kerajaan Pakatan Harapan membuka akses media kepada pembangkang, langkah menurunkan umur mengundi ini juga merupakan pemulangan hak demokrasi kepada rakyat.

Ini menyebabkan Pakatan Harapan harus bekerja jauh lebih baik berbanding kerajaan sebelumnya. Tetapi ia juga bermakna PH akan menjadi kerajaan yang lebih baik.

Adakah kita bersedia?

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

Fenomena FaceApp Di Seluruh Dunia, AS Tuduh Aplikasi Pengintipan Milik Rusia

Fenomena FaceApp Di Seluruh Dunia, AS Tuduh Aplikasi Pengintipan Milik Rusia

Laman sosial seperti Instagram mula dibanjiri foto-foto 'wajah tua' semenjak dua menjak ini, berikutan fenomena baharu dalam kalangan orang ramai yang menggunakan aplikasi FaceApp yang boleh menyunting foto biasa untuk diubah menjadi foto lebih berusia, dengan kesan khas seperti kedutan dan rambut beruban.

Fenomena FaceApp Di Seluruh Dunia
Cef terkenal, Gordon Ramsay turut menggunakan aplikasi itu.

Bagaimapun, aplikasi yang dibangunkan dari Rusia itu turut terpalit dengan isu keselamatan, apabila Jawatankuasa Demokratik Kebangsaan Amerika Syarikat (AS) membuat satu kempen untuk menentang penggunaan aplikasi FaceApp.

Menurut jawatankuasa berkenaan, isu keselamatan menjadi fokus utama memandangkan ia merupakan produk ciptaan negara Rusia.

"Ia tidak jelas setakat ini apakah risiko keselamatannya, tetapi lebih baik jika kita mengelakkan penggunaannya.

"Jika anda sudah menggunakan aplikasi itu, kami sarankan agar ia dipadam serta merta," ujar ketua jawatankuasa itu, Bob Lord.

Untuk rekod, aplikasi itu dilancarkan pada 2017 dan mempunyai lebih 80 juta pengguna. Ia kemudiannya menjadi fenomena sekali lagi sejak beberapa hari lalu.

Selebriti antarabangsa seperti penyanyi rap Drake, kumpulan Jonas Brothers dan cef Gordon Ramsay turut memuat naik foto suntingan mereka yang menggunakan aplikasi itu ke media sosial.

FaceApp dimiliki oleh Wireless Lab yang berpangkalan di St. Petersburg.

Dalam pada itu, pengasas FaceApp, Yaroslav Goncarov berkata, tiada apa yang perlu dirisaukan memandangkan tiada data pengguna disalurkan ke Rusia.

Malah, mereka turut memadam foto pengguna dalam sistem mereka, dalam tempoh 48 jam selepas ia disunting.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: mstar
'Saya Mahu Jadi Wanita Terakhir Dalam Hidup Baginda'

'Saya Mahu Jadi Wanita Terakhir Dalam Hidup Baginda'

Sehari selepas dilaporkan bercerai talak tiga, bekas ratu cantik Rusia, Rihana Oksana Gorbatenko terus berkongsi detik-detik indahnya bersama Sultan Muhammad V, dengan satu video disiarkan di laman sosial Instagram yang memaparkan temu bual Rihana bersama Sultan Kelantan dalam suasana romantis.

Sultan Muhammad V Cerai Rihana

Selepas 12 jam, video berkenaan telah ditonton kira-kira lebih 240,000 kali oleh pengguna media sosial.

Menariknya, video berkenaan turut disulami dengan alunan muzik yang romantik dan diselitkan dengan aksi manja Rihana bersama Sultan Muhammad V.

Selain itu, video itu juga turut memaparkan Rihana dan Sultan Muhammad V menari bersama dan pada akhir video itu menunjukkan unggun api bagai melambangkan kehangatan cinta mereka.

Dalam temu bual itu juga, Sultan Muhammad V menyatakan keutamaannya terhadap anak adalah perkara utama.

Kisah rumah tangga pasangan diraja ini mencuri perhatian apabila Sultan Muhammad V dilaporkan sudah bercerai dengan wanita warga Rusia itu.

Istana Kelantan setakat ini masih lagi berteka-teki tentang status mereka tetapi sudah mengeluarkan penegasan bahawa tiada pihak boleh digelar permaisuri Kelantan, raja perempuan Kelantan, sultanah Kelantan atau Queen of Kelantan tanpa pengumuman rasmi.

***

Rihana Oksana Gorbatenko

Kepada semua pengikut pengikut saya yang dihormati, jutaan Terima Kasih diucapkan ke atas komen-komen anda.

Saya amat senang hati apabila membaca ucapan ikhlas dari anda semua.

Kehidupan kami telah berubah sejak anak comel ini dianugerahkan kepada kami suami-isteri dan membawa bersamanya kasih sayang dan cinta.

Alhamdulillah, sekarang kami adalah keluarga yang bahagia dan sifat kekeluargaan adalah penting dalam kehidupan kita semua.

Oleh itu, diharap kita sama-sama menjaga keluarga kita dan juga satu sama lain.

Dan semoga kita dan ahli keluarga kita terus sihat sejahtera dan sentiasa dilindungi dan dirahmati Allah SWT.

Dear Followers!

Thank you for your warm kind comments. I am very pleased to read your congrats.

Our life has changed since this little cute bunny came to our world. He came here to be give love and to be loved. When one person starts to take care of another one more than about himself, love turns into a family. Family and children are the most important things in this life. Take care of each other.

Дорогие подписчики!

Спасибо за ваши тёплые слова. Мне очень приятно читать ваши поздравления.

Наша жизнь изменилась с появлением этого

***

Dalam temu bual itu Rihana menceritakan keperibadian Sultan Muhammad V yang begitu mengambil berat terhadap dirinya dan keluarga.

"Saya mahu menjadi wanita terakhir dalam hidup baginda," kata Rihana dalam temu bual berkenaan.

Tunggu Kenyataan Rasmi Istana

Kerajaan Kelantan meminta supaya semua pihak supaya menunggu pengumuman daripada Istana Kelantan berhubung perkembangan berita perceraian Sultan Muhammad V dengan bekas ratu cantik Rusia, Rihana Oksana Gorbatenko.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, hanya Pejabat Istana Kelantan yang boleh mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai isu pernikahan dan perceraian Sultan Muhammad V.

Ahmad berkata, pihaknya tidak menerima sebarang maklumat pernikahan dan perceraian kerana maklumat rasmi hanya dikeluarkan oleh Pejabat Istana Sultan Kelantan.

Istana Kelantan setakat ini masih berdiam diri berkaitan isu itu tetapi sudah mengeluarkan penegasan bahawa tiada pihak boleh digelar permaisuri Kelantan, raja perempuan Kelantan, sultanah Kelantan atau Queen of Kelantan tanpa pengumuman rasmi.

Apa maksudnya? Entahlah.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

Cara Menghadapi Gangguan Was-was Dalam Islam

Cara Menghadapi Gangguan Was-was Dalam Islam

Soalan: Saya selalu was-was. Kalau saya ambil wuduk, saya selalu rasa tidak puas. Saya selalu syak rasa macam wuduk saya batal. Saya buat seperti diajar kepada saya agar saya mengurut kemaluan selepas membuang air kecil supaya pastikan habis air kencing.

Gangguan Was-was

Tapi sejak itu pula was-was datang. Saya selalu rasa macam ‘terkencing’ atau ‘keluar angin’ masa solat. Sehingga saya selalu risau apabila hendak beribadah. Saya selalu berulang wuduk dan cuba memastikan tiada air kencing di pakaian saya. Apakah penyelesaiannya?

JAWAPAN DR MAZA:

Semoga Allah membaiki urusan saudara. Berikut beberapa perkara yang perlu saudara ambil perhatian;

1. Perasaan was-was yang mengganggu ibadah adalah gangguan fikiran dan syaitan

Hindarkan jiwa dari melayannya. Ini kerana melayannya bererti mengikut kehendak syaitan yang cuba menghilang fokus seseorang kepada ibadah dan cuba menjadikan seseorang itu akhirnya bosan, bimbang dan jemu dengan ibadah. Para ulama seperti Ibn Jauzi (meninggal 597H), Ibn al-Qayyim (meninggal 751H) dan ramai lagi sejak dahulu menulis dalam berbagai karya untuk membenteras penyakit yang buruk ini.

2. Antara sebab utama berlakunya was-was

Tidak memahami atau berpuas hati dengan praktikal Nabi s.a.w yang mudah dan senang dalam ibadah, terpengaruh dengan ajaran fekah yang suka menyusahkan orang ramai dengan berbagai petua yang membebankan, dan juga terlalu melayan gangguan perasaan. Kata al-Imam Ibn al-Qaiyyim: “Tanpa syak lagi sesungguhnya syaitan adalah punca kepada was-was. Mereka yang was-was mentaati syaitan, menyahut seruannya dan mengikuti perintahnya. Mereka berpaling daripada sunnah dan jalan baginda sehinggalah seseorang mereka menganggap apabila dia berwuduk sama seperti wuduk Rasulullah s.a.w, atau mandi seperti baginda masih tidak bersih dan tidak hilang hadasnya. Jikalau tidak disebabkan dia diberikan kemaafan kerana kejahilannya, maka tindakan itu dianggap menentang Rasulullah s.a.w” (Ighathah al-Lihfan Min Masaid al-Syaitan, 134, Beirut: Dar Ibn Zaidun)

3. Antara ajaran yang menyebabkan was-was ialah pendapat yang mewajib mengurut kemaluan selepas kencing

Tiada nas yang sahih dalam perkara tersebut. Hanya yang diperintah agar kita membersihkan diri dari air kencing, bukan disyaratkan mesti mengurut kemaluan sehingga dipastikan segala yang ada dikeluarkan. Anggapan bahawa jika tidak diurut sehingga habis tidak sah solat adalah tidak benar. Kata al-Syeikh Abd al-‘Aziz Ibn Baz r.h: “Adapun mengurut zakar agar keluar sesuatu adalah salah dan tidak wajar. Ia antara sebab berlakunya was-was dan tidak lawas. Hendaklah dihindari perkara ini. Sebaik sahaja terhenti kencing, maka berintinjak (cuci) dengan air…” (Ibn Baz, al-Fatawa al-Muta’allaqah bi al-Tibb wa Ahkam al-Marda, 35, Riyadh: Idarah al-Buhuth).

4. Bagi mengelakkan was-was yang merasai air kencing terkena pakaian atau masih terkeluar dari kemaluan

Dicadangkan agar selepas membuang air kecil, diambil air dan direnjis pada pakaian yang berhampiran. Tujuannya, agar jika ternampak apa-apa kesan air, maka anggaplah itu air renjisan tadi. Al-Imam Ahmad telah ditanya oleh seorang lelaki yang selepas berwuduk masih merasa berhadas. Kata al-Imam Ahmad: “Ambil air dalam tapak tangan dan renjis pada kemaluanmu dan jangan peduli lagi, kerana itu menghilangkan syak insyaAllah”. (Ibn Qudamah, al-Syarh al-Kabir 1/94)

Cadangan al-Imam Ahmad ini berteraskan hadis Al-Hakam bin Sufyan:

رَأَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَوَضَّأَ ثُمَّ نَضَحَ فَرْجَهُ

“Bahawa Nabi s.a.w kencing, kemudian berwuduk dan merenjiskan air pada kemaluan baginda” (Riwayat Ahmad, Nasai, Abu Daud, Ibn Majah dll. Sekurang-kurang hasan kerana syawahid).

Nabi s.a.w melakukan perbuatan tersebut sebagai panduan kepada kita untuk mengelakkan was-was.

5. Adapun rasa ‘keluar angin’ (kentut) tetapi tidak pasti atau tidak yakin bahawa betul-betul keluar atau hanya perasaan sahaja, maka itu tidak membatal wuduk dan solat

Nabi SAW mengajar kita agar perasaan was-was seperti ini tidak diambil kira. Dalam hadis al-Bukhari, “Seorang lelaki mengadu kepada Nabi s.a.w bahawa dia merasa sesuatu semasa dalam solatnya, apakah dia patut berhenti?

Jawab Nabi SAW:

لاَ يَنْفَتِلْ - أَوْ لاَ يَنْصَرِفْ - حَتَّى يَسْمَعَ صَوْتًا أَوْ يَجِدَ رِيحًا

“Jangan berhenti sehinggalah mendengar bunyi (kentut) atau mendapati bau (kentut)”.

Maksudnya, Nabi s.a.w mengajar agar seseorang yang merasa terbatal wuduknya secara was-was atau tidak pasti tidak berhenti dari solat sehingga beliau benar-benar yakin terbatal. Solatnya tetap sah, mainan perasaan tidak diambil kira.

Termasuklah dalam hal ini mereka yang terasa macam terkeluar air kencing, tetapi tidak pasti samada hanya perasaan atau benar-benar berlaku, maka solat masih dianggap sah. Melainkan dia yakin tanpa ragu bahawa angin atau air kecil benar-benar telah terkeluar.

6. Was-was adalah berpunca dari kurang faham sifat Islam ini

Sebahagiannya datang ajaran sesetengah guru yang suka memayah-mayahkan cara ibadah. Sedang Nabi s.a.w memberitahu kita:

إنَّ الدِّينَ يُسْرٌ وَلَنْ يُشَادَّ الدِّينَ أَحَدٌ إِلاَّ غَلَبَهُ فَسَدِّدُوا وَقَارِبُوا وَأَبْشِرُوا

“Agama itu mudah. Tiada seorang yang memberat-beratkannya melainkan dia menjadi susah. Maka bersederhanalah, dekatilah yang tepat dan gembirakanlah mereka” (Riwayat al-Bukhari).

Oleh itu, elakkan mempelajari fekah dari guru yang suka berfalsafah sendiri dan berteori tanpa berlandaskan nas-nas al-Quran dan al-Sunnah.

7. Orang yang selalu merasa was-was dalam ibadah sehingga melakukannya berulang-ulang kali, atau melayan perasaannya yang sentiasa merasa bebanan was-was hendaklah bertanyakan dirinya sendiri; untuk apa ia lakukan itu semua?

Jika ia untuk Allah SWT maka hendaklah dia tahu bahawa Allah tidak meredhai tindakannya melayan gangguan perasaan atau syaitan yang seperti itu. Layanan kepada perasaan was-was itu hanya mentaati syaitan atau ganggu emosi yang salah bukan mentaati Allah.

Ikutilah arahan Allah SWT dan RasulNya tanpa melayan was-was. Was-was akan memalingkan seseorang dari mengikuti arahan Allah dan rasulNya secara betul.

8. Al-Quran menceritakan bahawa senjata was-was ini jugalah yang digunakan oleh Iblis sehingga membawa Adam melanggar arahan Allah

Firman Allah:

فَوَسْوَسَ إِلَيْهِ الشَّيْطَانُ قَالَ يَاآدَمُ هَلْ أَدُلُّكَ عَلَى شَجَرَةِ الْخُلْدِ وَمُلْكٍ لَا يَبْلَى (120) فَأَكَلَا مِنْهَا فَبَدَتْ لَهُمَا سَوْآتُهُمَا وَطَفِقَا يَخْصِفَانِ عَلَيْهِمَا مِنْ وَرَقِ الْجَنَّةِ وَعَصَى آدَمُ رَبَّهُ فَغَوَى

Maksudnya, “Setelah itu maka syaitan telah mewas-waskan kepada Adam dengan berkata: "Wahai Adam, Mahukah aku tunjukkan kepadamu pohon yang menyebabkan hidup selama-lamanya, dan kekuasaan yang tidak akan hilang lenyap? Kemudian mereka berdua memakan dari pohon itu, lalu terdedahlah kepada mereka aurat masing-masing, dan mereka mulailah menutupnya dengan daun-daun dari syurga; dan dengan itu derhakalah Adam kepada Tuhannya, lalu dia tersalah jalan. (Surah Taha: 120-121)

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

sumber: facebook

Thursday, July 18, 2019

Kilang Pembuatan Senjata Purba Berusia 10,000 Tahun Berjaya Di Temui

Kilang Pembuatan Senjata Purba Berusia 10,000 Tahun Berjaya Di Temui

Sebuah kilang senjata berusia 10,000 tahun yang digunakan bagi menghasilkan senjata seperti lembing dan pisau daripada gading gajah mamot ditemui oleh pasukan penyelidik di Pulau Kotelny, Siberia, yang menurut ahli-ahli paleontologi, ditemui bersebelahan bangkai seekor mamot dalam keadaan beku di pulau tersebut.

Kotelny Siberia weapons

Pakar mamot dari Akademi Sains Yakutia yang memeriksa kilang senjata tersebut berkata, terdapat kesan pertukangan pada gading serta tulang rusuk bangkai gajah berkenaan, menandakan ia diburu oleh manusia.

“Kesan proses, mungkin oleh lelaki purba, ditemui pada cebisan gading gajah ini,” kata pakar berkenaan, Innokenty Pavlov kepada akhbar The Siberian Times.

Gading yang diukir itu mempunyai bahagian tajam yang sesuai digunakan untuk memotong daging serta dibuat senjata untuk membunuh.

Terdapat contoh penggunaan gading yang dijadikan lembing di beberapa lokasi lain di Siberia.

Keadaan gading itu jelas menunjukkan manusia memotongnya dan menjadikan ia sebagai senjata.

Kajian lanjut akan dilakukan untuk mengetahui sama ada haiwan tersebut diburu menggunakan lembing yang dibuat daripada gading haiwan itu sendiri atau gajah lain.

Pakar akan menentukan usia gading gajah tersebut menggunakan teknik radio karbon tetapi buat masa ini, usianya tidak kurang dari 10,000 tahun, kata Pavlov.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com