Thursday, May 23, 2019

6 Tips Jimat Elektrik Paling Mudah

6 Tips Jimat Elektrik Paling Mudah

Cuaca di Malaysia sememangnya panas dan secara tidak langsung ia boleh menyebabkan kenaikan caj bil elektrik disetiap rumah. Mana taknya, air cond dan peti sejuk perlu ‘berkerja keras’ untuk maintainkan suhu.

Tips jimat elektrik

Bila sudah pasang air cond, pasang kipas pula lagi, manalah bil elektrik tak melambung. Itu belum kira penggunaan peralatan elektrik yang lain lagi.

Berikut ini adalah tips cara menjimatkan tenaga elektrik untuk panduan anda.

1. Tetapkan suhu penyaman udara pada 24 – 26 C

Perubahan dari 20 ºC ke 24 ºC dapat menjimatkan tenaga hampir 33%. Tingkap dan pintu mesti sentiasa di tutup rapat untuk mengelakkan udara sejuk daripada terbebas.

2. Bersihkan peralatan anda lebih kerap

Apabila kotoran mula terkumpul di atas permukaan peralatan tersebut, ia akan menggunakan lebih banyak tenaga elektrik. Sebagai contoh kipas siling kat rumah korang tu, kalau berhabuk sangat baik bersihkan!

3. Seterika

Menyeterika pakaian dengan banyak sekaligus, ini boleh mengelakkan pembaziran pemanasan semula seterika setiap kali digunakan.

4. Tutup suis kipas apabila anda tiada dalam bilik

Kipas hanya mengurangkan kepanasan badan, ia tidak dapat mengurangkan suhu bilik. Dengan membiarkan kipas berfungsi ia tidak dapat menjadikan bilik sejuk.

5. Tutup atau cabut plag peralatan elektrik apabila tidak digunakan

Semua peralatan seperti television, Astro decoder dan radio menggunakan sedikit tenaga apabila dalam mod rehat (tidak dimatikan). Mod rehat biasanya menggunakan hampir 20% tenaga berbanding kegunaan biasa.

6. 5 Bintang

Beli barangan elektrik yang jenis cekap tenaga “5 bintang”. Lebih banyak bintang, lebih jimatlah tenaga.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: syok

Perintah Gaji Minimum (Pindaan) 2018, Berkuatkuasa 1 Januari 2019

Perintah Gaji Minimum (Pindaan) 2018, Berkuatkuasa 1 Januari 2019

Semua majikan digesa mengambil berat dan mematuhi Perintah Gaji Minimum (Pindaan) 2018 yang dikuatkuasakan mulai 1 Januari 2019, yang menetapkan sebanyak RM1,100 sebulan bagi pekerja yang dibayar kadar gaji bulanan dan RM5.29 sejam bagi pekerja yang dibayar gaji ikut jam.

Perintah Gaji Minimum

Bagi pekerja yang dibayar kadar gaji harian, kadar gaji minimum adalah ditetapkan berdasarkan bilangan hari bekerja dalam seminggu.

Perintah Gaji Minimum (Pindaan) 2018 mula berkuat kuasa pada 1 Januari 2019 di seluruh Malaysia dan perintah tersebut memperuntukkan kadar gaji minimum yang seragam bagi seluruh negara.

Sebelum ini, Perintah Gaji Minimum 2016 memperuntukkan kadar gaji minimum sebanyak RM1,000 sebulan bagi Semenanjung Malaysia dan RM920 sebulan bagi Sabah, Sarawak serta Wilayah Persekutuan Labuan.

Perintah Gaji Mimimum turut dinikmati oleh pekerja asing yang bekerja di Malaysia.

Dengan penetapan gaji minimum sama rata seluruh negara ini, secara tidak langsung dapat merapatkan jurang sosio-ekonomi negeri Sabah, Sarawak dan Labuan dengan negeri-negeri lain di Semenanjung.

Cukupkah Gaji Minimum RM1,100?

Kedatangan 1 Januari 2019 lalu begitu amat bermakna bagi pekerja sektor swasta kolar biru atau gred bawahan kerana ia tarikh penguatkuasaan pelaksanaan gaji minimum RM1,100 sebulan atau RM5.29 sejam.

Ini kerana buat julung kalinya dalam sejarah negara pelaksanaan kadar gaji minimum seragam dikuatkuasakan di seluruh negara menjadi kenyataan.

Berdasarkan Survei Gaji dan Upah yang dijalankan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pada 2017, seramai 7.05 juta orang atau 57.8 peratus daripada keseluruhan 12.21 juta orang penduduk bekerja warganegara adalah pekerja swasta.

Pekerja swasta ini merujuk kepada pekerja yang bekerja sekurang-kurangnya enam jam sehari atau sekurang-kurangnya 20 hari sebulan bagi pekerjaan biasa yang dilakukan secara tetap.

Maklumat yang diperolehi daripada Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan daripada 7.05 juta pekerja swasta ini, 18.1 peratus atau 1.28 juta orang merupakan penerima gaji dan upah di bawah RM1,100.

Jumlah ini tidak termasuk yang bekerja sendiri, pekerja keluarga tanpa gaji dan majikan.

Kurangkan bebanan

Bagi pekerja swasta, kenaikan kadar gaji yang diterima sebanyak RM100 itu mungkin dilihat kecil oleh sesetengah pihak, tetapi tidak buat golongan tenaga kerja bawahan seperti mereka.

Pelbagai faktor

Pada mulanya, penetapan gaji minimum menjadi polemik sebaik kerajaan PH mengumumkan pelarasan gaji minimum seragam di seluruh negara iaitu sebanyak RM1,050 sebulan atau RM5.05 sejam berkuatkuasa 1 Jan 2019.

Jumlah itu dibantah sesetengah pihak kerana didakwa terlalu rendah dan menuntut kerajaan menilai kembali pelaksanaan kenaikan gaji selaras dengan keperluan semasa.

Akhirnya, penetapan kadar baharu kenaikan gaji minimum sebanyak RM1,100 diumumkan dan turut berkuatkuasa pada 1 Jan 2019.

Dalam hal ini, Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad mengakui, kerajaan menghadapi kesukaran menentukan gaji minimum yang tinggi memandangkan sebahagian besar kewangan negara digunakan untuk membayar hutang.

Beliau dipetik sebagai berkata, kerajaan pada masa ini tidak mampu untuk meningkatkan jumlah perbelanjaan memandangkan hutang yang ditanggung terlalu besar.

Namun demikian, kerajaan komited terhadap agenda yang dijanjikan dalam manifestonya iaitu menaikkan gaji minimum secara beransur-ansur kepada RM1,500 sebulan dalam tempoh penggal pertama pentadbiran atau lima tahun.

Keputusan untuk meningkatkan gaji pada kadar tersebut tidaklah bermakna untuk merendah-rendahkan sumbangan pekerja terutamanya golongan B40.

Kerajaan tidak akan menaikkan gaji minimum RM1,500 sekali gus, kerana jika dilakukan sedemikian akan menyusahkan syarikat swasta kerana pendapatan mereka akan berkurangan sehingga menyebabkan perniagaan tidak boleh beroperasi.

Dalam membuat keputusan ini, kerajaan perlu mengambil kira pelbagai faktor seperti menilai kedudukan keseluruhan ekonomi, kewangan negara, kemampuan majikan, kebajikan pekerja supaya peningkatan gaji itu adalah selaras dengan situasi ekonomi semasa negara.

Langkah wajar

Pensyarah ekonomi Universiti Malaya, Prof Dr Fatimah Kari berkata walaupun kenaikan itu dilihat agak rendah terutamanya dari segi kos sara hidup yang tinggi khususnya di bandar namun ia adalah langkah wajar berdasarkan iklim ekonomi sedia ada.

Pelaksanaan dasar gaji minimum adalah mendokong cita-cita menuju ke arah negara maju dengan menetapkan gaji lantai bagi semua pekerja di Malaysia. Dengan ini juga ia memartabatkan golongan pekerja.

Dasar skim gaji minimum adalah untuk memastikan keperluan asas seseorang pekerja dipenuhi seperti makanan, tempat tinggal selain perlindungan jangka masa panjang untuk kesejahteraan hari tua mereka dengan meningkatkan caruman KWSP, Perkeso dan kadar bayaran kerja lebih masa.

Dalam satu kenyataan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), semua caruman minimum majikan dan pekerja kepada KWSP akan diselaras mengikut Perintah Gaji Minimum (Pindaan) 2018 sebanyak RM1,100 bermula 1 Januari 2019.

Menerusi langkah itu, caruman minimum sebanyak RM264 dijangka diterima daripada setiap pekerja yang mendapat gaji bulanan, tertakluk kepada khidmat penuh selama sebulan.

Caruman minimum yang berbeza bagaimanapun akan membabitkan ahli yang menerima bayaran gaji pada asas mingguan, harian atau jam.

Sebanyak 1.64 juta atau 23 peratus daripada 7.11 juta ahli aktif KWSP mencarum kurang daripada gaji minimum semasa iaitu sebanyak RM1,000.

Pelarasan gaji minimum itu sepatutnya dapat membantu ahli KWSP mencapai jumlah simpanan mencukupi bagi tujuan persaraan selain dapat meningkatkan daya tahan kewangan mereka pada masa depan.

Statistik KWSP menunjukkan 64 peratus ahlinya yang mencapai usia 54 tahun memiliki simpanan kurang RM50,000 yang tidak setimpal dengan peningkatan kos sara hidup dan hutang isi rumah.

Tidak ada gulung tikar

Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja (MTUC) berkata, pihak Kongres menerima penetapan gaji minimum sebanyak RM1,100 itu berlandaskan janji kerajaan bahawa ia akan meningkat kepada RM1,500 dalam tempoh lima tahun.

Dalam konteks ini, MTUC bersetuju dan akan memantau perkara ini kerana kenaikan mendadak yang terlalu tinggi agak memudaratkan.

Kenaikan kadar gaji minimum turut akan meningkatkan kadar bayaran kerja lebih masa kepada pekerja dan menyebabkan syarikat lebih suka menggunakan pekerja sedia ada buat kerja lebih masa daripada ambil pekerja baharu.

Kenaikan bayaran kerja lebih masa membantu meningkatkan keupayaan daya beli seseorang pekerja namun, peningkatan gaji minimum secara mendadak menyebabkan tidak ada pekerja baharu diambil.

Rungutan sesetengah majikan yang mempertikaikan pemberian gaji minimum akan merugikan dan menyebabkan perniagaan gulung tikar, beliau berkata pelaksanaan sebelum ini membuktikan tidak ada satu syarikat pun yang terpaksa tutup operasi disebabkan penetapan gaji berkenaan.

Kajian mendapati ia mempunyai kesan langsung kepada peningkatan produktiviti pekerja kerana mereka rasa dihargai di mana pada jangka masa panjang menyumbang secara positif kepada keuntungan syarikat.

Selain berjaya menarik minat anak tempatan untuk menceburi pekerjaan yang sebelum ini banyak tertumpu pada pekerja asing.

Sejarah 2013 iaitu tahun pertama pelaksanaan gaji minimum di mana kenaikan kadarnya adalah sebanyak 100 peratus, tidak ada satu syarikat pun yang tutup atau gulung tikar disebabkan gaji minimum.

Majikan perlu faham apabila menubuhkan sesebuah syarikat, mereka sebenarnya tidak boleh mengambil untung 100 peratus yang bermakna, mereka mempunyai kewajipan untuk pembangunan tenaga kerja dan membangunkan teknologi.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

10 Manfaat Air Barli Menjauhkan Penyakit

10 Manfaat Air Barli Menjauhkan Penyakit

Barli adalah sejenis bijirin yang kaya dengan vitamin B kompleks, zat besi, kalsium, magnesium, manganese, selenium, zink, protein, asid amino, serat dan beberapa jenis antioksida yang lain. Anda boleh mendapatkan semua khasiat tersebut dengan memakannya, tetapi apa yang lebih baik adalah dengan membuat air barli dan dapat kelebihannya (tanpa sedikit kurang pun).

Manfaat Air Barli

Pengamalan minum air barli secara berkala boleh membantu menyihatkan badan, pada masa yang sama menjauhkan pelbagai jenis penyakit.

Selain minum air barli, anda juga boleh memasukkan beras barli ini ke dalam salad dan sayur.

Selain barli, antara makanan kegemaran Rasulullah SAW adalah seperti kurma, buah ara, anggur, madu, tembikai, susu, labu, cendawan, minyak zaitun, buah delima dan cuka; namun, harus diingat semua makanan sunnah ini adalah asli tanpa dicampur dengan pelbagai makanan lain.

Kebanyakan dakwaan khasiatnya adalah berdasarkan penemuan saintifik bahan asas yang terdapat dalam makanan tersebut dan bukannya berasaskan campuran atau suplemen.

Pada kali ini, anda akan didedahkan 10 khasiat air barli kepada kesihatan tubuh badan anda.

1. Merawat UTI

UTI merujuk kepada urinary tract infections, ataupun jangkitan saluran kencing. Dengan pengamalan air barli, anda boleh merawat ataupun mencegah masalah kesihatan ini.

Beras barli adalah diuretik, meningkatkan kadar penghasilan air kencing untuk membantu memperbanyakkan kadar pengeluaran toksik dan bakteria yang menyebabkan jangkitan dari badan.

Pada masa yang sama, air barli juga boleh membantu mencuci buah pinggang dan bertindak sebagai bahan anti-keradangan untuk sistem urinari.

Oleh sebab itu, air barli sangat sesuai untuk merawat penyakit seperti cystitis, batu karang dan tahap kreatinin yang tinggi, juga berperanan untuk mengurangkan bau air kencing.

Beras barli kaya dengan magnesium, yang mana boleh mencegah penghasilan batu karang, selain membantu menyahtoksinkan racun dari badan.

Untuk merawat UTI, anda perlu minum beberapa cawan air barli setiap hari sehingga masalah tersebut berkurangan dan kemudiannya sembuh.

2. Membantu Mengurangkan Berat Badan

Air barli adalah sumber minuman kesihatan yang sangat baik bagi orang yang ingin mengurangkan berat badan.

Barli tinggi serat, terutama beta-glucan, memberikan anda rasa kenyang dalam jangka masa yang lama, mengelakkan anda daripada makan berlebihan (dan tidak perlu).

Tambahan lagi, air barli sangat baik untuk sistem penghadaman badan dan meningkatkan metabolisme lemak.

Untuk mendapatkan hasil yang memuaskan, minum 3 cawan air barli setiap hari.

3. Merendahkan Tahap Kolestrol

Air barli juga baik untuk mengurangkan kadar kolestrol dalam darah, lantas mengurangkan risiko masalah sakit jantung.

Serat yang terdapat di dalam beras barli juga tinggi beta-glucan yang boleh mengelakkan penyerapan kolestrol dari makanan ke perut dan usus.

Beta-glucan yang terdapat di dalam beras barli dipercayai boleh mengurangkan kadar kolesterol, lipoprotein berketumpatan rendah (LDL atau ‘kolestrol buruk’) dan trigliserida.

4. Jantung Lebih Sihat

Selain berperanan merendahkan kadar kolestrol di dalam badan, air barli turut mencegah anda daripada mendapat atherosclerosis, iaitu satu kondisi di mana dinding saluran arteri (saluran darah) disekat oleh gumpalan lemak yang boleh membawa kepada pelbagai penyakit kardiovaskular dan boleh membawa maut.

Air barli mempunyai vitamin B (niacin) yang tinggi dan boleh melambatkan proses berlakunya atherosclerosis, kerana sifatnya yang anti-keradangan dan lipid-altering effects.

Tambahan lagi, air barli boleh mengurangkan kadar tekanan darah, salah satu lagi faktor kepada masalah jantung dan strok.

5. Membantu Sistem Penghadaman

Air barli boleh membantu dan memudahkan perut dan usus kita mencerna makanan. Ini kerana air barli datang dalam keadaan beralkali dan dipenuhi dengan serat. Oleh itu ia boleh mempercepatkan proses penghadaman nutrisi makanan, pada masa yang sama mengekalkan kesihatan usus.

Anda juga boleh mengamalkan air barli semasa mengalami cirit-birit untuk menstabilkan kembali bendalir dan elektolit anda.

6. Mengawal Kencing Manis (Diabetes)

Air barli adalah minuman yang sesuai diamalkan oleh orang yang menghidap kencing manis, kerana ia boleh menstabilkan kadar gula dalam darah.

Beta-glucan yang terdapat di dalam beras barli dapat membantu mengurangkan kadar penyerapan glukosa selepas makan dan mengurangkan peningkatan glukosa dan insulin dalam badan.

Terdapat banyak kajian telah menemui bahawa beta-glucan boleh mengawal kadar gluosa darah dan insulin.

Ia juga boleh mengurangkan risiko untuk obesiti (berat badan berlebihan), penyumbang utama kepada kencing manis tahap 2.

Tambahan lagi, beras barli dianggap sebagai salah satu makanan yang mengandungi kadar glycemic yang rendah.

Ini secara tidak langsung membantu anda mengawal kadar glukosa di dalam darah.

Manakala, phytochemicals yang terdapat di dalam beras barli bermanfaat untuk mengawal diabetes, penyakit jantung dan kanser.

7. Kulit Yang Lebih Sihat dan Cerah

Air barli boleh membantu anda mengeluarkan toksik dari badan yang boleh memberikan anda kulit yang lebih sihat dan cerah.

Lagipun, beras barli mengandungi satu bahan yang dikenali sebagai asid azelaic yang digunakan untuk merawat masalah jerawat.

Pada masa yang sama, ia juga boleh mengurangkan keradangan pada kulit, mengelakkan daripada liang pora kulit tersumbat.

Tambahan lagi, antioksida yang terdapat di dalam air barli boleh melawan radikal bebas yang boleh melambatkan proses penuaan dan mengekalkan awet mudah untuk jangka masa yang lebih lama.

Selain daripada minum air barli, anda juga boleh menyapu pada permukaan muka, biarkan selama 10 minit dan kemudian bilas dengan air yang bersih.

Anda boleh mengamalkan kaedah ini untuk beberapa kali seminggu.

8. Menyejukkan Tubuh

Air barli adalah antara pilihan terbaik untuk anda menghilangkan rasa haus dan menyejukkan badan, terutama pada cuaca yang panas terik. Selain menghidratkan badan anda, ia juga boleh mengurangkan haba di dalam badan.

Daripada anda minum air berkarbonat, apa kata mulai hari ini anda bertukar kepada air barli, ia lebih menyihatkan dan dapat meningkatkan kelancaran saluran darah.

Anda boleh menjadikan air barli lebih menyegarkan dengan menambah perahan limau, lemon dan sedikit gula.

Anda boleh hidangkannya dalam keadaan suam ataupun sejuk kerana kesannya bukanlah pada suhu air tersebut, tetapi pada ciri-cirinya yang boleh menyejukkan badan.

9. Membekalkan Nutrisi Penting Kepada Ibu Mengandung

Dengan kebaikannya yang banyak, air barli juga sangat sesuai untuk diamalkan oleh ibu-ibu yang mengandung.

Tambahan lagi, ia mempercepatkan proses penghadaman, mencegah sembelit, mengawal kadar gula dalam darah untuk mengelakkan sebarang masalah semasa mengandung.

Air barli boleh mengeluarkan toksik dan air berlebihan dari badan yang boleh mencegah daripada edema.

Para ibu yang menyusukan anak juga boleh mengambil manfaat air barli ini untuk meningkatkan kadar penghasilan susu badan mereka.

Anda boleh mencampurkan air barli yang panas dengan 1 sudu teh jintan manis, biarkannya selama 5-10 minit sebelum diminum.

10. Meningkatkan Sistem Pertahanan Badan

Air barli dipenuhi dengan pelbagai nutrisi seperti vitamin B, zat besi, kalsium, magnesium, zink dan selenium – semua ini memainkan peranan penting di dalam sistem pertahanan badan kita.

Tambahan lagi, beta-glucan yang sedia ada di dalam beras barli mempunyai keupayaan untuk mengaktifkan sistem imunisasi badan.

Sistem pertahan badan adalah perkara yang penting, untuk melindungi badan daripada jangkitan dan serangan kuman seperti demam, selesema dan lain-lain.

Selain itu, air barli turut mengandungi zat besi untuk mencegah daripada anemia dan keletihan (fatigue).

Resepi Air Barli?

Membuat air barli sendiri di rumah adalah lebih baik daripada membelinya di gerai-gerai, kerana anda boleh mengawal sendiri kadar penggunaan gula di dalam air tersebut.

Lagipun, anda boleh mendapatkan beras barli dengan mudah di kedai-kedai ataupun pasar raya berdekatan, dengan harga yang murah.

Cara-caranya adalah seperti berikut:

Bahan-Bahan:
  • 1 cawan beras barli.
  • 5 cawan air.
  • Perahan limau (pilihan, untuk rasa).
  • 1 sudu teh madu (pilihan, untuk rasa).
  • 1 kayu manis (pilihan).
  • 1 akar halia (pilihan, untuk rasa).

Langkah-Langkah:
  • Bilas beras barli dengan air bersih yang mengalir, kemudian rendam di dalam air sekurang-kurangnya sejam.
  • Keluarkan air tersebut dan campurkan 1 cawan beras barli yang basah itu dengan 3-4 cawan air, halia dan kayu manis.
  • Rebus, kemudian reneh selama 45 minit sehingga 1 jam, sehingga beras tersebut masak sepenuhnya dan lembut.
  • Biarkannya sejuk.
  • Tuangkan air tersebut ke dalam gelas/cawan.
  • Minum 1-2 cawan air barli setiap hari untuk mengekalkan tahap kesihatan. Anda boleh menambah limau ataupun madu untuk menaikkan rasa.
  • Simpan air barli yang lebih itu di dalam peti ais. Boleh bertahan selama 3 hari.

Nota:
  • Jangan buang beras barli yang direbus itu tadi, anda boleh memakannya jika mahu.
  • Lebihan beras barli boleh digunakan semula:
  • Masukkan di dalam salad.
  • Blender dan jadikan bahan tambahan kepada smoothie.
  • Masukkan di dalam bubur.

Amaran:
  • Air barli adalah diuretik, bermaksud ia akan mempercepatkan proses pengeluaran air dari badan. Oleh itu, jangan minum melebihi 6 gelas air barli setiap hari.
  • Air barli mengandungi gluten, tidak disarankan kepada orang yang mempunyai alahan pada gluten.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-SENTIASAPANAS.COM

Wednesday, May 22, 2019

Asal-usul Bubble Tea Di Malaysia

Asal-usul Bubble Tea Di Malaysia

Ini kisah orang pertama yang menjadikan budaya minum bubble tea sebagai satu cara hidup yang bergaya ke dalam Malaysia. Namanya ialah Bryan Loo, seorang bekas jurujual di syarikat bioteknologi.

Asal Bubble Tea Malaysia

Tanpa pengalaman di dalam bisnes makanan dan minuman (F&B), dia telah memutuskan membawa masuk bubble tea ke Malaysia dari Taiwan di bawah jenama Chatime.

Sifat Keusahawanan Dari Kecil Lagi

Bryan mula minat berniaga pada usia 7 tahun. Semasa bersekolah di Perlis, dia mencipta buku komik dan kemudian menyewakannya kepada rakan kelas dengan caj RM0.50.

Dari situ dia belajar mencari duit poket sendiri. Dia juga belajar tentang bisnes melalui ibu bapanya.

Tetapi, apabila dia berpeluang menyambung pelajaran di peringkat ijazah sarjana muda, Bryan memilih jurusan sains kerana mahukan kelainan.

Bryan meminati biologi dan bagaimana tubuh manusia dan binatang berfungsi jadi, dia mengambil jurusan bioteknologi di Universiti Monash.

Sekembalinya ke Malaysia, dia bekerja sebagai eksekutif jualan di StemLife, syarikat bioteknologi stem cell yang menyimpan darah tali pusat bayi baru lahir untuk kegunaan masa depan.

Selepas 2 tahun bekerja menjual produk orang lain, Bryan mahu menjual produknya sendiri dan dengan latihan saintifik, pengalaman kerja dan minat terhadap bisnes telah membantu Loo memajukan bisnesnya.

Bryan juga menggunakan kemahiran penyelidikan dan pembangunan untuk mengkaji perisa baru sama ada bersesuaian atau tidak dengan citarasa orang tempatan.

Peluang Bubble Tea Di Malaysia

Bryan melihat ada kelompongan di dalam industri F&B berkaitan air teh. Meskipun rakyat Malaysia sinonim dengan air teh tetapi tiada tempat yang baik dan moden untuk lepak dan minum air teh seperti Starbucks dan Coffee Bean di Malaysia.

Dalam masa yang sama, global dilanda penangan bubble tea yang berasal dari Taiwan.

Bubble tea ialah sejenis minuman air teh Asia yang dicampurkan dengan susu atau sirap buah-buahan dan kebiasaannya ia mengandungi bebola ubi kayu.

Kepopularan budaya minum bubble tea telah membuka mata Bryan sewaktu dia berada di Taiwan.

Maka, selepas membuat kajian berkaitan dengan bubble tea, Bryan telah mendatangi 10 jenama pembuat teh yang terkenal untuk melihat sama ada mereka mahu atau tidak membuka pasaran baru di Malaysia. Sayangnya, semua menolak idea Bryan.

“Saya bertemu dengan mereka satu demi satu, saya ditolak.” – Bryan Loo.

Tetapi tuah Bryan bermula apabila seorang kawan mengkhabarkannya tentang sebuah syarikat di Taiwan yang dikenali sebagai Zhi Qu Cha Tsai.

Jalannya dipermudahkan apabila syarikat tersebut membuka peluang kepada Bryan untuk berbincang.

Dipendekkan cerita, Bryan berjaya membawa hak franchise Zhi Qu Cha Tsai ke Malaysia dan menjenamakannya semula sebagai Chatime supaya serasi dengan pasaran Malaysia.

Kedai pertama Chatime dibuka pada September 2010 dan kini ia mempunyai 172 kedai dengan 880 orang staf di seluruh Malaysia.

Budaya Moden Minum Teh Di Malaysia

“Menjadikan minum teh sebagai satu budaya yang bergaya di Malaysia adalah satu cabaran,” kata Bryan.

Ini kerana masyarakat sering mengaitkan bubble tea atau air teh susu mutiara yang dicampurkan dengan teh, sirap, mutiara ubi kayu, buah dan susu sering dikaitkan dengan gerai pasar malam.

Jadi, untuk menjadikan minuman berasaskan teh sesuatu yang bergaya, Bryan mensasarkan golongan muda yang trendy dan ada kesedaran kesihatan serta suka minum kopi sebagai pelanggan Chatime.

Pada permulaan Chatime, Bryan perlu meyakinkan pihak pengurusan pusat membeli-belah bahawa Chatime akan menarik orang ramai sebagai pelanggan seperti mana Starbucks.

Semua usaha itu berbaloi apabila kini Chatime menyediakan 1.2 juta cawan teh setiap bulan dan pendapatan tahunan mencecah lebih RM100 juta.

Selepas kejayaan Chatime, Bryan yang bekerjasama dengan isteri (pengawal kewangan syarikat) kini mempunyai rangkaian piza dan mesin air sparkling yang pertama di Malaysia.

Ini menunjukkan Bryan tidak akan berhenti mengembangkan bisnesnya dan sentiasa berusaha menjadi contoh dan usahawan yang berjaya supaya satu masa nanti syarikatnya akan membolosi pasaran di negara ASEAN yang lain.

9 Fakta Menarik Bubble Tea

1. Bubble tea pertama kali muncul di Singapura pada tahun 1992

Bubble tea pertama kali diperkenalkan di Singapura pada tahun 1992. Kedai bubble tea pertama dibuka di Marina Square dan saat itu mereka lebih seperti kafe. Hanya pada tahun 2001 minuman tersebut menjadi sangat popular.

2. Dahulu bubble tea disebut boba tea

Ketika pertama kali muncul di Singapura pada tahun 1992, Bubble tea dinamakan Boba tea, dengan dua ukuran mutiara, iaitu mutiara besar dan mutiara kecil.

Istilah boba tea muncul kerana pada mulanya menggunakan mutiara kecil namun, beberapa orang lelaki memutuskan untuk membuat mutiara besar dan menyebutnya "boba".

Sebenarnya, boba adalah bahasa pasar untuk payudara besar dalam bahasa Cina.

3. Bukan hanya digemari orang Asia, tetapi dunia

Percaya atau tidak, bubble tea kini telah menguasai dunia. Banyak bubble tea bermunculan di negara-negara bukan-Asia seperti Eropah dan Amerika Syarikat.

Yang lebih menarik adalah munculnya makanan selain minuman, seperti roti bubble tea, hot tea bubble tea dan bubble tea pizza.

4. “Gelembung” dalam bubble tea bukanlah mutiara

“Gelembung” sebenarnya adalah buih yang anda dapatkan ketika mengocok minuman. Bubble tea yang paling otentik sebenarnya dibuat dengan teh hitam atau hijau yang baru diproses, susu dan gula, kemudian dikocok bersama ais di dalam pengocok koktail.

Mengocok teh inilah yang memberikannya busa buih di atas minuman.

5. Bubble tea tidak mengandungi mutiara

Faktanya, bubble tea paling asli sebenarnya tidak mengandungi mutiara. Ini adalah kesalahfahaman ramai orang.

Itu sebabnya penjual selalu bertanya, adakah anda ingin memakai mutiara atau tidak?

6. Asal mula mutiara yang beracun

Mutiara terbuat dari tapioka, sejenis pati yang diekstrak dari tanaman ubi kayu, merupakan sumber makanan seharian, tetapi tahukah anda bahawa jika tidak ditangani dengan betul sebelum dimakan, sisa sianida mungkin tertinggal?

Mutiara adalah zat beracun yang ketika dicerna boleh menyebabkan sakit kepala, mual, muntah dan menyebabkan kelumpuhan, tetapi jangan khuatir, memasak sudah cukup untuk menghilangkan semua racun.

7. Sangat murah dan mudah dibuat

Adanya pelbagai rasa baharu dan menarik membuatjan harga bubble tea menjadi mahal. Tapi sebenarnya, bubble tea sangat mudah dan murah untuk dibuat!

Anda hanya perlu membeli bubble di supermarket, merebusnya dengan air gula, kemudian menambahkannya ke teh kegemaran anda. Cukup mudah bukan?

8. Bubble tea memiliki kalori tinggi

Meskipun memiliki rasa yang lazat, ternyata bubble tea mengandungi banyak kalori. Bahkan tanpa sebarang campuran, teh itu sendiri mengandungi gula yang tinggi dan perisa tambahan.

Selain itu, seperempat cawan bubble menambah lebih dari 100, sehingga 300 kalori.

Bubble tea juga rendah kandungan vitamin, rendah mineral, rendah serat dan hanya menyediakan sejumlah kalori kosong. Kerana itu, anda cenderung mengalami sembelit setelah meminum bubble tea.

9. Bubble tea boleh menjadi minuman sihat

Bubble tea yang dibuat secara tradisional dengan bahan-bahan buatan, teh yang tidak segar dan banyak kandungan gula yang digunakan, membuatkan persepsi umum bahawa bubble tea termasuk minuman yang tidak sihat.

Tapi, tahukah anda bahawa bubble tea juga boleh menjadi minuman sihat. Caranya, ketika membeli bubble tea, mintalah kadar gula lebih rendah, mintalah susu segar sebagai pengganti krim bukan-susu, mintalah bubble tea tanpa mutiara tapioka pekat atau susu untuk mengurangkan kalori dan terakhir mintalah pilihan topping yang lebih menyihatkan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

Robert Pattinson Pelakon Watak Terbaharu Batman

Robert Pattinson Pelakon Watak Terbaharu Batman

Pelakon filem yang popular dengan filem sekuel Twilight, Robert Pattinson dikhabarkan bakal memegang watak Batman, dalam satu filem gubahan semula (reboot) Batman yang akan diarahkan oleh Matt Reeves.

Robert Pattinson Batman
Robert Pattinson as Batman.

Robert Pattinson telah menandatangani perjanjian untuk melakonkan watak itu dan menggantikan Ben Affleck yang telah menarik diri disebabkan isu peribadi serta di belakang tabir yang melibatkan syarikat DC Comics.

Pengarah Matt Reeves telah menulis skrip filem berkenaan yang memfokuskan kepada kehidupan awal Bruce Wayne sebelum menjadi Batman.

Bagaimanapun, tarikh mula penggambaran itu masih belum dinyatakan, dijadual untuk diterbitkan pada 25 Jun 2021.

Robert Pattinson juga dikatakan bakal memulakan penggambaran filem terbitan Warner Bros yang diarahkan oleh Christopher Nolan dan akan bergandingan dengan pelakon John David Washington yang dijangka ditayangkan pada 17 Julai 2020.

Selain itu, Robert Pattinson juga mempunyai empat filem yang bakal ditayangkan pada tahun ini antaranya High Life, The Lighthouse, The King dan Waiting for the Barbarians.

Antara Senarai Pelakon Yang Pernah Memegang Watak Batman Dalam Siri Filem Dan DVD:
  • Lewis Wilson
  • Robert Lowery
  • Adam West
  • Michael Keaton
  • Val Kilmer
  • George Clooney
  • Christian Bale
  • Ben Afflec
  • Rino Romano
  • Roger Craig Smith
  • Diedrich Bader
  • Troy Baker

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: astroawani

Juruterbang Pesawat Turki Berjaya Rakam UFO

Juruterbang Pesawat Turki Berjaya Rakam UFO

Seorang juruterbang, Atilla Senturk, terpegun selepas menyaksikan sendiri objek misteri ketika melakukan penerbangan dari Istanbul, Tukri ke Cologne, Jerman pada 10 Mei 2019 lalu. Juruterbang pesawat Turkish Airlines itu turut berjaya merakam objek putih yang berulang kali terbang dalam bulatan dengan kelajuan yang luar biasa dari kokpit pesawat.

Atilla Senturk UFO

Ia menunjukkan objek terbang yang tidak dikenali (UFO) sehingga memberikan pantulan cahaya di udara.

"Semasa penerbangan ke Cologne, Jerman, kami melihat terdapat objek terang pada paras ketinggian yang tinggi.

"Ia bukan satelit atau bintang. Saya tidak pernah sesuatu terbang begitu laju seperti itu," kata juruterbang yang segera merakam objek berkenaan.

Seperti tiga keping pizza terbang, wanita sukar percaya lihat UFO ketika memandu sendirian

UFO Pizza

Terbaharu, seorang wanita mendakwa dia melihat UFO sewaktu sedang memandu kereta bersendirian di Tennessee, Amerika Syarikat.

Malah, dakwaan itu turut disertakan dengan bukti rakaman. Menerusi video itu, kelihatan tiga entiti berbentuk segi tiga seperti pizza yang sedang terbang.

Dia kemudiannya memuat naik rakaman itu ke laman Twitter. Dikenali sebagai @sadeyezriri, dia turut menghubungi suaminya sejurus melihat UFO berkenaan.

Sewaktu kejadian, dia sedang memandu sambil menyanyi. Kata wanita itu lagi, tiga UFO berkenaan dianggarkan bersaiz seperti tiga buah kereta.

Saksikan video dibawah.

BACA INI JUGA:


sumber: 1 | 2

Cara Samak Yang Betul Jika Menyentuh Anjing

Cara Samak Yang Betul Jika Menyentuh Anjing

Antara riwayat yang menceritakan berkaitan cara menyucikan bekas yang dijilat anjing adalah daripada Abu Hurairah r.a., bahawa Nabi SAW bersabda yang maksudnya, “Apabila anjing meminum pada bekas salah seorang daripada kamu, maka kamu basuhlah ia (bekas) sebanyak tujuh kali." Riwayat al-Bukhari (172)

Cara Samak yang betul

Mengikut pendapat Mazhab Syafie wajib dibasuh tempat yang terkena najis Mughallazah sebanyak tujuh kali iaitu satu kali dengan menggunakan tanah (air tanah) dan 6 kali lagi dengan air mutlak (air suci pada dirinya dan dapat menyucikan orang lain).

Jika di dapati najis itu tetap ada ain (nampak), bau dan rasanya maka ia perlu dibasuh lagi dengan air mutlak sehingga hilang najis tersebut.

Caranya ialah:
  • Pertama: Buang najis terlebih dahulu (jika ada).
  • Kedua: Basuh tempat yang terkena najis anjing itu dengan air yang bercampur tanah (sekali sahaja).
  • Ketiga: Bilas dengan air biasa yang suci sebanyak enam kali.

Apakah kaedah dan jenis tanah yang sesuai untuk digunakan bagi tujuan samak?

Di dalam hadis tidak diisyaratkan bahawa Nabi SAW memerintahkan sahabat agar menggali permukaan bumi bagi mendapatkan tanah untuk bersuci.

Hukum Membasuh Dengan Tujuh kali basuhan

Para ulama al-Malikiyyah berpandangan bahawa membasuh bekas dengan tujuh kali basuhan adalah Ta’abudiyy maka dengan itu mereka berpandangan bahawa air yang dijilat anjing adalah suci.

Adapun jumhur iaitu ulama al-Hanafiyyah, al-Syafi’eyyah dan al-Hanabilah berpandangan bahawa Ta’abbud hanya pada bilangan tujuh dan bukan pada amalan menyucikan kerana ia adalah mu’allal (bersebab). Di sebabkan itu, air yang dijilat oleh anjing adalah najis.

Di dalam masalah ini juga, para ulama berbeza pendapat adakah wajib membasuh sebanyak tujuh kali kepada dua pendapat:

Pertama: Wajib membasuh tujuh kali dan ini adalah pendapat di dalam mazhab Malik, mazhab al-Syafie dan juga mazhab Ahmad. Mereka ini berdalilkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a.

Kedua: Tidak wajib membasuh sebanyak tujuh kali dan ini merupakan pendapat mazhab Abu Hanifah. Ini kerana, mereka mengatakan bahawa air liur anjing seperti najis-najis yang lain cukup sekadar membasuhnya dengan sekali basuhan jika itu telah menghilangkan kenajisannya. Akan tetapi membasuh sebanyak tujuh kali adalah mustahab bukannya wajib.

Mereka berdalilkan bahawa Abu Hurairah r.a. pernah mengeluarkan fatwa bahawa cukup membasuh sebanyak tiga kali bagi kenajisan air liur anjing seperti yang terdapat di dalam riwayat-riwayat yang diriwayatkan oleh Imam al-Thahawi dan al-Daraquthni. Ini menunjukkan bahawa bilangan tujuh itu termansuh.

Pendapat kedua ini boleh dijawab dengan beberapa jawapan, antaranya:

Fatwa Abu Hurairah ini bertentangan dengan apa yang diriwayatkan. Beramal dengan apa yang beliau riwayatkan daripada Nabi SAW adalah lebih utama berbanding daripada apa yang beliau fatwakan.

Abu Hurairah juga pernah berfatwa agar dibasuh sebanyak tujuh kali dan sanadnya lebih kuat.

Membasuh sebanyak tujuh kali itu bertepatan dengan riwayat Marfu’ iaitu sampai kepada Nabi SAW.

Hukum Tatrib Pada Menyucikan Najis Anjing

Ulama al-Syafi’eyyah dan al-Hanabilah berpandangan bahawa wajib menggunakan tanah bersama air pada menyucikan najis anjing, khinzir dan apa yang lahir daripada keduanya.

Mereka beristidlal pada menyatakan pendapat itu dengan apa yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya, “Sucinya bekas salah seorang di antara kamu apabila ia (bekas) dijilat anjing adalah dengan cara membasuhnya sebanyak tujuh kali dan yang pertama (basuhan) dengan tanah”. [Riwayat Muslim (279) dan Ahmad (9511)]

Mereka juga mengqiyaskan khinzir dengan anjing. Manakala ulama’ al-Hanafiyyah dan al-Malikiyyah berpendapat tidak wajib menggunakan tanah pada menyucikan hal itu (najis anjing atau khinzir). [Lihat: Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 114/3]

Kesimpulan

Berdasarkan kenyataan di atas, kami berpendapat bahawa ulama telah berbeza tentang hukum penggunaan tanah bagi menyucikan najis mughallazah, hanya ulama Syafieyyah dan Hanabilah yang mewajibkan penggunaan tanah.

Turab di dalam Bahasa Arab membawa maksud bahagian tanah yang lembut pada permukaan bumi.

Definisi ini boleh didapati di dalam kamus serta mu’jam Bahasa Arab seperti Mu`jam al-Ghaniy, Mu`jam al-Ra’id, Mu`jam al-Lughah al-`Arabiyyah al-Mu`asir dan Mu`jam al-Wasit.

Adapun tanah mengikut Kamus Dewan, ia membawa maksud lapisan bumi yang di atas sekali iaitu lapisan luar yang terzahir di atas muka bumi ini.

Ulama yang mewajibkan sertu (samak) tidak berkhilaf tentang jenis tanah yang digunakan.

Justeru itu, dibolehkan menggunakan segala jenis tanah lembut samada di atas atau di bawah permukaan bumi sebagaimana yang difahami orang Arab melalui ensiklopedia (mu’jam) atau kamus mereka.

Maka, samada ianya adalah tanah (soil) atau tanah liat (clay) seperti yang difahami oleh ahli geologi, kedua-duanya dibolehkan.

Tambahan pula, agama kita terbina bagi memudahkan umatnya dalam melaksanakan sesuatu dan menolak sikap takalluf iaitu sifat membebankan diri dalam beribadah.

Akhirnya, semoga Allah SWT merahmati dan memberi kita kefahaman dalam agama. Amin.

Wallahu a’lam

BACA INI JUGA:

sumber: muftiwp

Tuesday, May 21, 2019

Rangsangan Klitoris Untuk Wanita Mencapai Orgasme

Rangsangan Klitoris Untuk Wanita Mencapai Orgasme

Dalam satu kajian yang dijalankan, telah dibuktikan bahawa ramai isteri tidak puas atau tidak mencapai klimaks ketika berasmara bersama dengan pasangan masing-masing dan untuk wanita mencapai klimaks, mereka memerlukan satu rangsangan penting, iaitu: Rangsangan di klitoris (biji kelentit).

Rangsangan-Klitoris

Sebanyak 73% wanita mengaku mereka memerlukan rangsangan di klitoris ketika berhubungan seks, barulah mereka mencapai klimaks.

Tapi mengapa rangsangan di klitoris? Tidak cukupkah rangsangan dan teknik godaan yang dibuat oleh suami?

Sebenarnya, menurut kajian dari Indiana University School of Public Health, setiap rangsangan dan teknik godaan suami tidak mendatangkan sebarang masalah pun, tetapi isteri masih memerlukan rangsangan di klitoris agar lebih mudah klimaks.

Wanita mencapai klimaks dengan rangsangan klitoris yang tepat

Hanya 18% isteri mengaku mereka boleh berasmara dan mencapai klimaks tanpa rangsangan atau sentuhan di klitoris, manakala hampir 9% pula tidak pernah puas dalam hubungan kelamin.

Kajian ini membuktikan satu perkara, ramai suami benar-benar tidak tahu bagaimana cara untuk memuaskan isteri masing-masing.

Jadi, pengkaji menyoal subjek kajian (1000 wanita) untuk memahami bagaimana rangsangan di klitoris yang mereka mahukan.

Jawapannya:
  • 64% isteri suka ada sentuhan dan rangsangan di klitoris dalam bentuk up-and-down.
  • 50% isteri mahu sentuhan di klitoris dalam gerakan melingkar.
  • Bakinya mahu kedua-dua cara di atas.

Namun, satu perkara penting yang anda perlu ketahui, tidak semua wanita menyukai rangsangan klitoris.

Kerana itu, sebelum melakukannya, tanyakan terlebih dulu pada pasangan adakah dia mahu diberikan rangsangan di kawasan sensitif ini?

Kedudukan klitoris pada setiap wanita berbeza

Pengkaji kesihatan, Brian Dodge percaya sentuhan berbentuk seksual ini bersifat universal. Maksudnya, ia tidak pelik, tapi sebenarnya normal.

Tidak seperti lelaki, jalan untuk wanita mencapai klimaks atau merasa puas selepas berjimak bukanlah mudah.

Kadang-kadang, walaupun pasangan sudah menggesel klitoris, namun wanita itu masih tidak boleh orgasme! Mengapa?

Ini mungkin kerana kedudukan bahagian dalam klitoris yang agak jauh dari vagina. Bahagian luar klitoris pula mempunyai sekitar 8,000 saraf sensor. Ia lebih sensitif berbanding penis!

Menurut Medical Daily, wanita yang tidak berjaya mencapai klimaks, walaupun selepas dirangsang di klitoris, biasanya disebabkan jarak yang besar antara klitoris dan vagina. Jarak ini boleh mencapai sehingga 5 cm!

Wanita capai klimaks sebanyak beberapa kali

Menurut Dr. Susan Oakley, pengkaji dari Good Samaritan Hospital pula, klitoris yang besar memiliki lebih banyak saraf. Sebab itu wanita masih boleh mencapai klimaks beberapa kali walaupun selepas orgasme.

Apa bentuk posisi seks yang boleh bantu wanita capai klimaks?

Ada beberapa posisi yang setiap pasangan suami isteri harus cuba tapi, kunci yang paling penting adalah komunikasi.

Cakaplah dengan pasangan apa yang anda mahukan agar kalian sama-sama puas kerana tanpa komunikasi, pasangan mungkin hanya “berlayar” seorang diri.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: theasianparent

Tahukah Anda Sejarah Permulaan Insurans?

Tahukah Anda Sejarah Permulaan Insurans?

Anda pernah disapa atau didatangi ejen insurans? Pasti anda merasa jengkel kerana cara sesetengahnya cuba melakukan jualan, sehinggakan pekerja-pekerja industri insurans membawa persepsi yang agak buruk di kalangan masyarakat.

Sejarah Ejen Insurans

Walau bagaimanapun, tidak dapat kita nafikan insurans (atau takaful) memberikan perlindungan yang sangat berfaedah tatkala kita benar-benar memerlukannya.

Bagaimanapun, stigma masyarakat terhadap perniagaan ini sangat sukar untuk diperbaiki kerana insurans merupakan satu bentuk perniagaan yang sangat bergantung kepada keterbukaan penerimaan seseorang.

Tahukah anda, insurans sebenarnya mempunyai sejarah yang sangat panjang, sudah pun bermula beribu tahun lamanya?

Insurans kerugian dalam bentuk awal

Secara asasnya, insurans merupakan satu bentuk pemindahan risiko daripada satu pihak kepada satu pihak lain.

Tindakan ini sebenarnya sudah dimulakan oleh pedagang-pedagang di China sejak tahun 3,000BC dengan peniaga-peniaga ketika itu akan membahagikan muatan kargo mereka kepada beberapa buah kapal, bagi meminimakan kerugian sesama mereka seandainya ada kapal gagal sampai ke destinasi.

Dalam era yang sama di Babylon, peniaga-peniaga di situ pula mengamalkan satu sistem yang digelarkan 'bottomry' di mana sebarang pinjaman yang sudah dikeluarkan kepada peniaga, akan dianggap langsai seandainya berlaku insiden semasa barangan peniaga itu hilang di lautan.

Kod Hamurrabi

Bermula sekitar tahun 1,750BC dengan pengenalan Kod Hamurrabi, undang-undang atau peraturan berkenaan pemindahan risiko dan kerugian ini mula dicatatkan secara rasmi.

Kod 100 hingga 107 dalam Kod Hamurrabi menerangkan secara ringkas berkenaan peraturan urus niaga, kontrak serta siapa yang patut menanggung kerugian, sekiranya urusan gagal diselesaikan ekoran bencana.

Berikutan pengenalan kod Hamurrabi ini, idea 'bottomry' mula berkembang ke seluruh masyarakat dunia ketika itu, seiring dengan peningkatan hubungan ekonomi di antara negara-negara yang ada.

'Bottomry' mula berkembang

Sekitar tahun 1,200BC, pedagang-pedagang Phoenician (kini Lebanon) mula memindahkan risiko perjalanan mereka kepada pihak penanggung risiko.

Penanggung risiko akan menanggung risiko seandainya kargo atau kapal milik pedagang hilang atau karam di lautan disebabkan bencana atau serangan lanun.

Pedagang pula perlu membayar sejumlah wang yang sudah dipersetujui sekiranya perjalanan kapal itu selamat sampai ke destinasi.

Sekiranya pedagang gagal membayar yuran yang telah ditetapkan, undang-undang Phoenicia membenarkan penanggung risiko merampas kapal milik pedagang.

Penggunaan laluan laut yang semakin kerap menyebabkan sistem yang diamalkan bermula di Greek dan diperkemaskan di Phoenicia ini semakin popular, mula berkembang di sekitar kepulauan Meditteranean dan Asia bermula tahun 400BC.

Undang-undang yang diperkenalkan diperkemaskan lagi oleh masyarakat Itali sekitar abad ke 14 di Genoa.

Individu-individu kaya yang memiliki tanah dan pengaruh mula bekerjasama berkongsi menjadi penanggung risiko, meletakkan hartanah mereka sebagai jaminan tanggungan kerugian.

Kontrak rasmi insurans yang dipercayai pertama di dunia dibuat menerusi sebuah perjanjian di Genoa pada tahun 1347.

Bagaimana pula dengan insurans nyawa?

Kisah insurans nyawa sedikit berbeza, namun sejarahnya tetap panjang dan bukti pertama wujudnya kerjasama anggota masyarakat dalam menanggung risiko kematian bermula sejak tahun 2500BC di Mesir.

Keluarga-keluarga pengukir batu yang kerjanya berisiko tinggi bersama-sama mengumpulkan wang dan harta bagi membolehkan mereka sama-sama menanggung kos pengebumian ahli keluarga yang terkorban.

Idea itu ditambah baik oleh masyarakat Greek dan Rom sekitar tahun 3BC dengan kewujudan kumpulan masyarakat yang bersama-sama menanggung beban belanja pengebumian.

Selain itu, wang yang dikumpulkan mereka juga akan disedekahkan kepada keluarga si mati sebagai satu bentuk bantuan hidup.

Polisi insurans nyawa pertama dunia dipercayai ditulis pada penghujung abad ke 16 di England.

Penubuhan kumpulan pekerja serta ahli masyarakat yang berkongsi dana menanggung kematian berlaku dengan pesat, namun kebanyakannya gagal bertahan lama disebabkan kelemahan pengurusan serta kerugian yang terlalu besar.

Kerugian ini sebenarnya berpunca daripada kegagalan mereka menganggar dengan lebih baik usia kematian seseorang.

Masalah sama turut sama dihadapi oleh beberapa syarikat terawal insurans yang rata-ratanya mengenakan bayaran sama kepada setiap orang, tanpa mengambil kira usia dan risiko.

Tahap risiko kematian seseorang mula diambil kira sekitar tahun 1693 dan sedikit sebanyak membantu menyelesaikan masalah ini.

Sekitar tahun 1762, Society for Equitable Assurances on Lives and Survivorships - sebuah syarikat pengendali insurans nyawa yang mengambil kira usia dan risiko seseorang berjaya ditubuhkan dan menjadi syarikat insurans moden pertama di dunia, menjadi batu asas kepada penubuhan banyak syarikat insurans lain di serata dunia.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi