Tuesday, May 21, 2019

Salah Guna Istilah Makanan Sunnah, Mengeliru Dan Mencemar Khasiat Sebenar Produk

Salah Guna Istilah Makanan Sunnah, Mengeliru Dan Mencemar Khasiat Sebenar Produk

Antara kemusykilan yang dikenal pasti berhubung produk makanan sunnah dipasaran hari ini ialah iklan yang mendakwa boleh merawat penyakit tertentu tanpa pembuktian saintifik termasuk dakwaan yang berlebihan tentang kebaikannya.

Penyalahgunaan Makanan Sunnah

Dakwaan sedemikian dibiarkan tanpa sebarang tindakan oleh pihak berkuasa kerana produk nutraseutikal (makanan tambahan) tidak memerlukan ujian dan keizinan khas daripada badan khusus sebelum dipasarkan kepada orang ramai seperti yang dikenakan terhadap produk farmaseutikal.

Peniaga juga menggunakan agama dengan meletakkan petikan ayat al-Quran dan hadis pada pelekat iklan atau memaparkan gambar tokoh yang membawa imej Islam bagi menarik pengguna membeli produk yang dijual.

Walaupun produk berkenaan mengandungi makanan yang disebut dalam al-Quran dan makanan kegemaran Rasulullah SAW seperti kurma, barli, buah ara, anggur, madu, tembikai, susu, labu, cendawan, minyak zaitun, buah delima dan cuka; namun bahan itu bukannya asli kerana telah dicampur dengan pelbagai makanan lain.

Kebanyakan dakwaan khasiatnya adalah berdasarkan penemuan saintifik bahan asas yang terdapat dalam produk tersebut dan bukannya berasaskan campuran atau suplemen.

Kemungkinan dengan campuran berkenaan, komposisi kimia makanan tersebut dan khasiatnya turut berubah berbanding bahan asal itu sendiri.

Maka, adakah wajar produk tersebut didakwa sebagai makanan sunnah?

Had kuantiti sesuatu jenis makanan dalam produk juga perlu diambil kira. Contoh yang paling mudah adalah seperti jus kurma.

Sekiranya jus kurma yang dijual tersebut bukan sekadar mengandungi kurma, tetapi juga gula tambahan, adakah ia baik untuk kesihatan?

Oleh itu, produk-produk campuran sedemikian perlulah dibuat kajian secara saintifik sekali lagi bagi dibuktikan kesahihan khasiat dan manfaatnya untuk kesihatan.

Dakwaan pengeluar ataupun testimoni pengguna bukanlah dalil terbaik untuk menjamin keselamatan, keberkesanan dan kualiti sesuatu produk.

Oleh itu, berhati-hatilah dengan teknik pemasaran produk makanan sunnah yang giat dimanipulasikan oleh pihak tertentu sebagai berkhasiat dan mujarab untuk mengelakkan persepsi negatif terhadap amalan pemakanan Rasulullah SAW.

Di pihak pengguna, kita perlu sedar bahawa makanan yang dijual peniaga terbabit adalah berbentuk suplemen dan bukanlah pengganti kepada diet harian yang didakwa mengandungi pelbagai jenis vitamin yang berguna untuk tubuh.

Harus juga diingatkan bahawa di dalam Islam, tidak ditetapkan jenis makanan yang perlu diambil, sebaliknya yang ditekankan ialah makanan yang halal lagi baik.

Apa sahaja makanan boleh diambil asalkan menepati makanan halal lagi baik dan tidak hanya tertumpu kepada makanan kegemaran Rasulullah SAW sahaja.

Jika kita amati, makanan yang dimakan oleh Rasulullah SAW tertumpu kepada bahan-bahan atau tumbuhan yang boleh diperoleh di sekitar tanah Arab. Justeru, itulah yang diamalkan dan disarankan oleh baginda.

Bagaimanapun, tidak bermakna kepelbagaian makanan lain yang Allah anugerahkan kepada hamba-hamba-Nya tidak memberi manfaat sebaiknya.

Bagaimana pula dengan banyak lagi makanan yang lain, daripada rezeki yang dikurniakan Allah kepada manusia tetapi tidak dinyatakan dalam hadis-hadis ini?

Adakah makanan-makanan ini kurang keistimewaannya berbanding dengan apa yang dirujuk sebagai makanan sunnah itu?

Sebab itulah, perlu juga dilakukan kajian terhadap khasiat pelbagai jenis makanan yang terdapat di negara kita dalam konteks halal lagi baik.

Ini kerana, tidaklah selamanya kita mahu bergantung kepada makanan import yang tidak terdapat secara semula jadi di negara kita.

Konsep pemakanan dalam Islam juga tidak hanya tertumpu kepada aspek fizikal makanan semata-mata iaitu baik dan berkhasiat, bahkan turut menjangkau aspek etika, rohaniah dan perundangan (halal).

Dalam erti kata lain, diharuskan untuk kita memakan semua jenis makanan asalkan bahan berkenaan halal dan baik, tidak lupa mensyukuri kepada-Nya, tidak berlebih-lebihan dan tidak membazir.

Satu lagi hakikat yang perlu disedari, hadis-hadis yang menyentuh tentang makanan dan minuman Rasulullah SAW adalah termasuk dalam kalangan perbuatan yang harus sahaja dan bukannya sunat ataupun wajib.

Oleh itu, terserahlah kepada setiap orang, sama ada mahu menurutinya ataupun tidak.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: utusan

Legenda Tasik Buyut Di Kota Marudu

Legenda Tasik Buyut Di Kota Marudu

Kisah legenda Tasik Buyut yang terletak dalam daerah Kota Marudu di utara negeri Sabah, seakan dilupakan dan hanya berdiri sebagai sebuah tasik untuk tujuan penyelidikan dan penternakan semata-mata.

Legenda Tasik Buyut
Tasik Buyut.

Namanya tidak sehebat Tasik Chini di Pahang yang sinonim dengan kisah naga yang mendiami tasik tersebut, jauh sekali jika dibandingkan dengan kehebatan Tasik Malaya atau Tangkuban Perahu di Indonesia.

Malah, sebahagian penduduk negeri di bawah bayu tidak menyedari kewujudan tasik ini namun, Tasik Buyut tetap berdiri sendiri menyulam cerita keterlanjuran manusia yang dibuai nikmat dunia sehingga menyimpang dari amalan hidup seharian.

Kewujudan Tasik Buyut dikaitkan dengan sikap segelintir manusia yang alpa dengan keseronokan dan kemewahan dunia lantas melaksanakan sesuatu perkara secara melampaui batas sehingga menyimpang dari landasan yang sepatutnya dilalui.

Akhirnya, ketelanjuran tersebut mengundang kutukan dari maha pencipta dengan menurunkan bala untuk menghapuskan manusia yang melampaui batas itu sambil memberi pengajaran kepada yang lain.

Kampung Bogaya

Kisahnya legenda Tasik Buyut bermula disebuah perkampungan yang dikenali sebagai Kampung Bogaya kira-kira 500 tahun lampau.

Kampung ini dihuni oleh suku Mandungus yang hidup sebagai petani dan sudah menjadi kebiasan suku Mandungus apabila tanaman mengeluarkan hasil berlipat ganda, diraikan dalam satu majlis yang meriah melibatkan seluruh penduduk kampung.

Secara kebetulan penduduk Kampung Bogaya tinggal dalam Rumah Panjang suku ini yang kenali sebagai “Binatang”.

Majlis keramaian yang dijalankan disulami dengan paluan gong dan kulintangan sambil dimeriahkan dengan kumpulan penari yang menggayakan tarian mongigol dan mangandak.

Acara minum tapai merancakkan lagi majlis tersebut dan akibat telalu banyak minum tapai yang memabukkan, para penari semakin mabuk.

Langkah tari semakin perlahan dan akhirnya terkulai layu menyembah lantai. Mahu tidak mahu mereka terpaksa mencari penari baru yang lebih mantap gerak tarinya.

Salah seorang yang hadir menyarankan supaya beruk dan kucing mengambil alih peranan sebagai penari.

Cadangan itu dipersetujui oleh yang lain, lantas mereka bertungkus lumus mengandam kedua ekor haiwan tersebut supaya kelihatan anggun.

Ternyata bakat mengandam suku Mandungus sememangnya hebat kerana aksesori yang dipakai oleh kedua ekor haiwan tersebut tidak ubah seperti penari sebenar.

Tanpa membuang masa, mereka memapah haiwan-haiwan tersebut menari yang pada mulanya agak sukar juga haiwan-haiwan tersebut menghayun langkah tarian mongigol.

Lama–kelamaan haiwan-haiwan itu menari sendiri tanpa perlu dibimbing, seolah-olah telah dirasuk syaitan sehingga tidak perlu lagi dibantu oleh manusia.

Kerancakan tarian kedua ekor haiwan tersebut menyemarak kemeriahan majlis itu.

Manusia yang hadir ketawa berdekah-dekah melihat gelagat haiwan yang menari tanpa menyedari tindakan tersebut mengundang kemurkaan yang maha pencipta.

Bala Dari Langit

Stesen perikanan Tasik Buyut
Stesen Jabatan Perikanan, Tasik Buyut.

Langit yang pada mulanya terang–benderang tiba-tiba menjadi gelap. Hujan lebat turun mencurah-curah tanpa henti. Kilat sabung-menyabung. Guruh berdentum-dentum.

Namun, manusia yang sedang leka bersukaria sedikitpun tidak menghiraukan perubahan alam tersebut. Hanya seorang dua yang mula merasakan kelainan mula mengasingkan diri mencari tempat yang lebih selamat.

Setelah tiga hari tiga malam hujan turun dengan lebatnya, tanah mula menjadi lembut. Rumah panjang bergoyang-goyang dan mula menyusut ke bawah. Tanpa menyedari apa yang berlaku, penghuni rumah panjang terus leka bersuka ria.

Apabila lantai dibasahi air, barulah sebahagian dari mereka sedar bahaya yang bakal menimpa. Namun, semuanya sudah terlambat. Mereka tenggelam bersama seluruh isi rumah panjang.

Setelah rumah panjang tersebut tenggelam sepenuhnya, paluan gong masih kedengaran sayup-sayup di dalam bumi.

Bagi mereka yang terselamat, suatu pengajaran yang amat bernilai telah mereka perolehi pada hari tersebut iaitu melampaui batas pasti akan mendapat balasan.

Nota: Tasik Buyut kini merupakan sebuah Pusat Penternakan Ikan Air Tawar, di bawah seliaan Jabatan Perikanan Sabah, cawangan Kota Marudu.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-SENTIASAPANAS.COM

Sunday, May 19, 2019

Wanita Kongsi Pengalaman Anak Nampak 'Kakak' Ketika Bermalam Di Hutan

Wanita Kongsi Pengalaman Anak Nampak 'Kakak' Ketika Bermalam Di Hutan

Pastinya ada ujian getir buat para pendaki lagi-lagi yang suka membawa bersama anak bermalam di dalam hutan pergunungan apatah lagi saat berdepan gelap malam, debaran mistik yang boleh terlihat oleh hijab pandangan anak yang mulus hatinya.

Nampak Hantu

Inilah yang dilalui Nour Seedah yang berkhemah dalam hutan di Thailand bersama suami dan anak kecilnya ketika Allah membuka hijab mata anak ini untuk melihat ‘kakak’ yang mahu masuk ke dalam khemah mereka.

Namun, niat tiga beranak ini sekadar mahu melihat kebesaran Ilahi yang terbentang luas di hadapan mata. Penuh debaran pengalaman ‘mahal’ itu.

Cuma baru-baru ini saja hati Nour Seedah tergerak untuk berkongsi cerita. (Kami sunting dan kongsikan buat semua pembaca).

‘KAKAK’ NAK MASUK KHEMAH TIGA BERANAK DI HUTAN, THAILAND

Masa tu baru pertama kali Ayesha tidur dalam hutan. Berdebor juga. Kat Thailand pulak tu.

Teringat pula cerita Nang Nak Masa malam pertama tidur di sini. Mestilah ada kejadian mistik.

Masa malam tu Ayesha tanya dengan onde (bonda). Masa tu tengah lepak luar khemah. “Onde kenapa kakak tu tak masuk dalam rumah kita (khemah)?”

Mau tak meremang bulu roma. Hahaha. disebabkan onde tak nak tunjuk takut depan anak, Onde pun cakaplah, “Oh! Akak tu rumah dia di tempat lain, jangan bagi dia masuk sebab dunia dia berbeza dengan kita.”

Ayesha jawab, “Tapi onde dia nak masuk la, kesian dia kat luar sorang-sorang.” Onde terus seram.

BACA DOA NABI SULAIMAN DAN DOA PELINDUNG DIRI

Nampak Hantu Hutan

Lepas tu onde bacalah doa nabi Sulaiman dan pelbagai doa pelindung diri sambil cakap, “Wahai makhluk Allah, anak aku tak nak berkawan dengan kau. Dia manusia, kau jin. Tak sesuai berkawan. Lagipun niat kami nak tengok kebesaran Allah SWT bukan nak ganggu kau. Kami berniat baik untuk ziarah, bermusafir.”

Entahlah tak tau tetiba macam meremang bulu roma lepas cakap macam tu.

Tiba-tiba Ayesha cakap, “Onde, kawan dah takdelah kat pokok tu.”

Fuhh legaaa. Atas izin Allah SWT “dia tak jadi ganggu” Nauzubilahiminzalik.

Yang penting jangan terlalu takut dengan makhluk halus dan jangan terlalu berani. Bersederhanalah.

Semoga Acap dijumpai dan dikuatkan semangat untuk melawan anasir jahat. Allahumma amiin ya mujib.

Nota: Keluarga ini turut berkhemah dengan kumpulan keluarga yang lain termasuk kakak ipar dan anak buah mereka.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

sumber: mw

7 Khasiat Ajaib Buah Delima

7 Khasiat Ajaib Buah Delima

Penyelidikan yang telah dilakukan terhadap buah delima, bukan sahaja menjadi bahan kajian pengkaji tempatan malahan Barat dan kedua-dua pihak tidak menafikan kebaikan khasiat buah delima.

Khasiat Buah Delima

Kehebatan buah delima atau nama saintifiknya Punica Granatum tidak hanya meniti di bibir manusia, malah telah banyak diperihalkan dalam beberapa teks-teks, kitab-kitab keagamaan, antaranya dalam Perjanjian Lama, Homeric Hymns dan antara 6 buah berkhasiat yang disebut dalam Al-Quran.

Sudah pasti ada sesuatu yang luar biasa di sebalik buah ini!

Buah delima merupakan sumber potasium yang sangat baik untuk tekanan darah, jantung dan buah pinggang.

Kajian juga mendapati, amalan mengambil sedikit jus delima pada setiap hari dapat meningkatkan kesihatan jantung.

Pokok delima berasal daripada Barat Daya Asia dan telah ditanam secara semulajadi di seluruh kawasan Lembah Mediterranean dan Kaukasus sejak zaman purba.

Delima juga ditanam secara meluas di seluruh Afghanistan, Algeria, Armenia,

Azerbaijan, Iran, Iraq, India, Pakistan, Syria, Turki, bahagian-bahagian lebih kering di Asia Tenggara, Semenanjung Malaysia, India Timur dan kawasan tropika di Afrika.

Pokok delima telah dibawa masuk ke Amerika Latin dan California oleh para peneroka Sepanyol pada tahun 1769 dan kini ditanam di sebahagian California dan Arizona untuk pengeluaran jus.

Berikut adalah 7 khasiat Buah Delima untuk kesihatan.

1. Merawat kanser prostat

Ujian terhadap 50 lelaki yang meminum 205 gram jus delima setiap hari berjaya mengurangkan penggandaan ukuran perkembangan kanser prostat atau Prostate Specific Antigen (PSA) dan dapat mengurangkan rawatan seperti kemoterapi atau terapi hormon.

2. Menurunkan paras kolesterol

Kajian menunjukkan jus delima mengandungi dua hingga tiga kali ganda fungsi antioksida jika dibandingkan teh hijau.

3. Mengurangkan tekanan darah tinggi

Saintis mendapati, kandungan antioksida yang tinggi secara semula jadi dapat mengurangkan tekanan darah tinggi.

4. Mencegah dan melambatkan penyakit Alzheimer

Dalam sebuah kajian, tikus yang dibiakkan untuk mengembangkan penyakit Alzheimer diberikan jus delima.

Mereka mengumpulkan plak amiloid yang lebih sedikit dan melakukan tugas-tugas mental yang lebih baik.

5. Sumber nutrisi

Saintis mendapati, sebiji buah delima memiliki sekitar 40 peratus Vitamin C harian untuk orang dewasa dan mengandungi asid folat, serat, kalium, niasin termasuk Vitamin A dan E.

6. Mencantikkan kulit

Sumber asid folat dan antioksidan dalam buah delima dapat merangsang, menyahtoksid, meningkatkan kecantikan kulit dan melahirkan anak sihat dan cerdas.

7. Baik untuk ibu mengandung

Buah delima dapat melindungi otak bayi semasa kelahiran. Jusnya dapat melahirkan anak sihat dan cerdas.

Keburukan Buah Delima

Meskipun demikian, pesanan khas kepada pesakit yang mengambil ubat, khususnya rawatan penyakit jantung dan darah tinggi. Pastikan anda mendapatkan nasihat doktor dahulu sebelum mengamalkan jus buah delima setiap hari.

Makan buah atau minum jus delima juga boleh meningkatkan kesan sampingan ubat-ubatan seperti ubat Fluoxetine, Codeine dan Ondansetron.

Begitu juga ubat penyakit jantung dan darah tinggi seperti ubat kumpulan ACE Inhibitor (Lisinopril, Enalapril, Captopril) yang boleh bertindak balas/dipengaruhi oleh buah delima kerana (makan buah delima bersama ubat darah tinggi) boleh sebabkan tekanan darah menjadi terlalu rendah.

Sebaik-baiknya, pesakit menjarakkan masa antara makan ubat dan pengambilan buah Delima.

Tips memilih buah delima

Pilih buah Delima yang berat dan pastikan kulitnya bersih dan tidak merekah.

Buah delima boleh tahan 6 bulan jika disimpan dalam peti sejuk.

Untuk produk berasaskan delima, mohon semak label kandungan sebelum membeli. Pastikan paras gulanya tidak terlalu tinggi kerana niat baik kita untuk mendapatkan khasiat delima, takut nanti bertukar menjadi mimpi ngeri pula!

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: sinarharian

Coklat, Kacang Dan Kismis Boleh Membunuh Kucing Anda!

Coklat, Kacang Dan Kismis Boleh Membunuh Kucing Anda!

Terdapat banyak objek di rumah yang boleh membahayakan keselamatan anak anda dan kerana itulah kita semua memastikan persekitaran dalam rumah selamat untuk anak-anak namun, sering kita lupa bahawa perkara sama harus dilakukan demi menjaga keselamatan haiwan peliharaan seperti kucing.

Makanan boleh membunuh Kucing
Gambar hiasan.

Objek yang kelihatan tidak membahayakan untuk manusia mungki memberikan kesan sebaliknya kepada haiwan, termasuklah makanan seperti kacang almond, walnut, pekan, bawang merah, bawang putih dan daun kucai. Semua ini adalah beracun untuk haiwan peliharaan.

Selain itu, anggur dan kismis juga boleh menyebabkan kegagalan buah pinggang, manakala coklat pula boleh mengakibatkan 'arrhythmias', kekejangan dan kematian ke atas haiwan.

Jadi, anda harus memastikan semua makanan dan kekacang tersebut dijauhkan daripada kucing atau anjing!

Begitu juga halnya dengan ubat-ubatan dan bahan kimia. Sekiranyanya anda menjauhkan semua itu daripada dicapai oleh anak-anak, peraturan sama terpakai ke atas haiwan di rumah.

Ubat-ubatan yang dihasilkan untuk manusia boleh menyebabkan haiwan peliharaan mengalami sakit perut, penyakit gastrousus, ulser, kegagalan hati dan buah pinggang sekiranya dimakan.

Bagi sesiapa yang mempunyai bahan tambahan 'anti-freeze' di rumah, jangan biarkan objek tersebut diletakkan di kawasan yang mudah dicapai oleh haiwan.

Bahan yang terdapat dalam 'anti-freeze' mengeluarkan bau manis dan mengandungi etilena glikol yang amat disukai oleh anjing.

Bahan ini adalah sangat bahaya dan boleh menyebabkan kerosakan saraf dan kekejangan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: mstar

Sejarah Dusun Liwan Di Sabah

Sejarah Dusun Liwan Di Sabah

Suku Liwan, merupakan salah satu suku Dusun paling berpengaruh di Sabah, memiliki peranan penting dalam pembentukan sejarah lama di negeri itu, merupakan salah satu suku terbesar dalam rumpun Dusunic.

Sejarah Dusun Liwan
Tarian Sumazau.

Suku Liwan merupakan kelompok Dusun pedalaman yang berasal dari Ranau, sebelum tersebar ke Tambunan, Tamparuli, Keningau, Papar, Sook, Tenom dan sebagainya.

Dialek Dusun Liwan merupakan salah satu dialek yang berpengaruh dan tersebar secara meluas di Sabah, kerana lebih mudah difahami oleh suku-suku Dusun lain.

Menurut kisah, istilah Liwan belum wujud pada zaman Nunuk Ragang, walaupun kelompok "de facto" Liwan sudah ada di Nunuk Ragang.

Ketika populasi Nunuk Ragang bertambah ramai, maka nenek moyang kaum Liwan telah berhijrah mencari penempatan baharu.

Kelompok penghijrah ini telah melahirkan puak-puak Liwan yang nama mereka berasal dari nama-nama tumbuhan ketika dipakai untuk membuat tempat berteduh, rumah.

Puak-puak Liwan tersebut adalah seperti Kogosingan, Tuhawon, Polupuh, Gana, Pulutan, Tibabar, Tolinting dan sebagainya.

Di antara puak-puak asal Liwan ini, ada yang berhijrah sampai ke Sarayo Ranau (hulu) hingga bertembung dengan Dusun Bundu yang datang berhijrah dari Tamparuli.

Pertembungan ini menghasilkan istilah "Liwan," konotasi yang diberikan pada puak-puak yang berseberangan dengan suku Bundu.

Akhirnya, istilah Liwan ini kekal di antara kaum Dusun di Sarayo Ranau, maka puak-puak yang memiliki dialek sama dengan Dusun Sarayo juga mulai disebut Liwan.

Pada zaman pre-kolonialisme, puak-puak Liwan terkenal sebagai suku yang kuat.

Antara suku Liwan yang paling agresif adalah dari puak Kogosingan, yang pada zaman dahulu mendiami rumah panjang, gemar melakukan 'head hunting' dari Ranau sampai ke Paitan dan Kota Marudu, melawan kaum Tinagas, Lingkabau, Rungus, Kimaragang, Talantang dan sebagainya.

Suku-suku Lingkabau, Tinagas dan Rungus dikatakan pernah bersekutu untuk melawan puak Kogosingan dan salah seorang pahlawan Kogosingan yang terkenal pada zaman dahulu adalah Aki Lontogon.

Daerah Kota Marudu akan menjadi huru hara setiap kali Aki Lontogon muncul, kerana dia akan menyerang rumah-rumah panjang kaum lain sesuka hatinya tanpa satu orang pun dapat mengalahkannya.

Satu hal yang menarik lagi adalah mengenai asal usul istilah "Lotud" yang kononnya berasal dari sebutan orang Liwan terhadap orang-orang Bontoi Tamparuli yang kalah perang dengan orang-orang Liwan, sehingga mereka mulai disebut "Dusun Lotud."

Suku Lotud berperang sampai ke Kudat, Pitas, Kota Marudu, Kota Belud, Ranau dan Rundum, tapi di Ranau mereka mengalami kekalahan dalam satu pertempuran dengan kaum Liwan, sehingga memaksa mereka berundur ke Tamparuli.

Antara puak Lotud yang menyerang Ranau adalah puak Kohub, puak yang pakar membuat terowong bawah tanah.

Pada zaman British, kaum Liwan terus mewarnai perjalanan sejarah Sabah dan menjadi salah satu suku yang berperanan penting ketika menentang British.

Sekitar tahun 1897, Mat Salleh telah disokong kuat oleh suku kaum Liwan Ranau dan Tambunan dalam menentang British.

Kaum Liwan berperang bersama-sama Mat Salleh di Ranau, mempertahankan kubu mereka.

Orang kanan Mat Salleh yang terpenting iaitu Mat Sator, merupakan pahlawan dari kaum Dusun Liwan, Ranau.

Mat Sator kemudian menjadi pemimpin pasukan Mat Salleh di Ranau dan Tambunan.

Mat Sator inilah yang mendirikan Kubu di Kepayan Tambunan yang dipanggil "Kota Mat Sator."

Dalam perang Tambunan, pihak Liwan terbahagi kepada dua, iaitu Liwan yang berpihak pada Mat Salleh dan sebahgian lagi menentangnya.

Secara prinsipnya, kaum ini kaum yang damai, tetapi pantang ditindas dan sebab kaum Liwan Mukim Sunsuron, Tambunan menentang Mat Salleh adalah kerana mereka merasa dimanipulasi.

Suku Liwan yang memilih melawan Mat Salleh adalah kaum Liwan di kawasan Sunsuron sehingga Tontolob.

Mereka mendirikan Kubu di Sunsuron dan berperang secara gerila melawan Mat Salleh.

Menurut sejarah, ketika British datang menyerang, kaum Liwan yang menentang telah membantu pihak British, sementara yang lain membantu Mat Salleh.

Sewaktu kubu Mat Sator diserang dan ditakluk pada 21 Januari 1900, Mat Sator sempat melarikan diri.

Pada 28 April 1900, Mat Sator memimpin 400 pasukan Dusun, Iranun dan Bajau menyerang Kudat; turut ikut serta adalah Kamunta dan Mat Daud.

Beberapa pahlawan Liwan juga melakukan penentangan terhadap British, tapi kisah mereka tidak tertulis dalam buku sejarah; salah satu maklumat menyebut, Genda dan Gontodon yang dikatakan tinggal di utara Tambunan, melakukan penentangan terhadap British.

Demikianlah kisah singkat mengenai suku Liwan dalam peta sejarah North Borneo.

Pakaian Tradisi

Dalam hal pakaian tradisional, suku Dusun Liwan memilliki beberapa pakaian tradisional wanita seperti Sinombayaka, Gonob, Pinolongon dan Lapoi yang selalunya dihiasi dengan Sunduk/Kulu dengan aksesori seperti Tangkong/Sinsing, Betungkat/Limpogot, Giring-Giring, Babagas, Haboi dan Sinaggalloi dan sebagainya.

Lelaki suku Dusun Liwan pula memakai baju dari kulit pokok, cawat (santut), kogos dan sebagainya.

Dalam seni tari pula, terdapat beberapa tarian Dusun Liwan, tapi yang paling popular adalah tarian "Modtomu Sumirid".

Tarian ini adalah tarian untuk mengirim dan menyambut para pahlawan, juga ditarikan pada saat pertemuan untuk perdamaian (Modtomu).

DUSUN LIWAN KETURUNAN PEMBESAR KERAJAAN BRUNEI KUNO?

Versi 2

1. Penghijrahan Suku Kaum Dusun

Menurut legenda, sekitar 800 tahun dahulu, sebahagian suku kaum Dusun menetap di Brunei dan sebahagian menetap di Sabah. Mereka mendirikan kerajaan Boni kuno yang berpusat di Teluk Brunei, kerajaan ini juga digelar “poguni”, yang mungkin berasal dari akar kata “pogun”, ertinya “negeri” atau “daerah”.

Pada zaman ini, suku kaum Melayu belum wujud di Brunei. Melanau, satu bangsa Dayak di Sarawak yang ketika itu berada di bawah pengaruh Majapahit, telah mengumpulkan sekutunya lalu menyerang wilayah kerajaan Boni; serangan ini dipercayai atas bantuan Sambas dan Majapahit. Raja Tugau berjaya mengalahkan Maharaja Boni yang ketika itu menguasai sekitar 14 negeri, kerajaan ini disebut “Fo-Ni” (Brown 1978:45-56).

Beberapa penulis barat merujuk sumber dari catatan China mengatakan pada tahun 1345, kerajaan Boni diperintah oleh penguasa yang digelar Sri Maharaja (Groeneveldt 1880:39). Pada abad ini (1300an), Boni mengalami tekanan dari dua pihak, satu daripada Sulu yang dikatakan telah menyerang wilayah Brunei dan bahkan ibu kota Brunei.

Setelah Sulu diusir dan wilayah Boni aman selama beberapa waktu, muncul serangan baru yang lebih besar dari Kerajaan A-Lako dari Dayak Melanau yang ketika itu diperintah oleh Raja Tugau (juga dikenali sebagai Raja Makatunau dalam hikayat Visaya).

Raja Tugau berjaya menakluk Bintulu, Baram dan sampai ke Tutong Brunei. Cukup menarik, kerana di kalangan penduduk di Limbang dan Lawas Sarawak hari ini, masih ada legenda kaum Dusun yang telah bertukar etnik atau menyembunyikan identiti mereka, bagi mengelakkan dibunuh oleh musuh.

Maka, kaum Dusun di Baram dan Brunei telah melakukan penghijrahan, bergabung dengan kaum Dusun di Sabah. Mereka melakukan pelayaran dengan menyusuri laut, kemudian belayar ke arah Timur Sabah dan masuk ke pedalaman dengan melalui Sungai Labuk ke Sungai Liwogu (Shim [peta] 2007:18).

2. Datu Gorodong, pengasas sub suku Dusun Liwan, iaitu Liwan Pahu

Rombongan penghijrah ini terdiri dari 9 orang datu dan 1 orang pangeran, salah satu daripada 9 datu itu adalah Datu Gorodong.

Menurut legenda Dusun, Datu Gorodong merupakan salah satu daripada pemimpin kaum Dusun, puak yang dipimpinya kelak akan dipanggil “Dusun Liwan” yang telah membawa puaknya ke satu kawasan, yang terletak di selatan Ranau dan di utara Tambunan, di mana dia kemudian mengasaskan Kampung Pahu.

Dusun ini kelak akan dipanggil dengan nama “Dusun Liwan Pahu”. Keturunan puak ini kemudian tersebar di kawasan selatan Ranau dan utara Tambunan, mereka menjadi salah satu dari cabang puak Dusun Liwan.

Salah satu daripada puak Liwan, iaitu puak Tuhawon, merupakan sub-suku Liwan yang berhijrah ke wilayah selatan Tambunan dan tersebar ke kawasan Mukim Sunsuron, Mukim Nambayan dan sampailah ke Mukim Monsorulung.

3. Kelahiran pemimpin besar Liwan

Setelah beberapa ratus tahun berlalu, populasi suku Dusun Liwan dari sub Pahu mula berkembang. Banyak di kalangan mereka berkahwin campur dengan suku Dusun Bundu yang datang dari Tamparuli dan Ulu Tuaran.

Pada zaman ini, tidak ada sistem pemerintahan bercorak kerajaan di pedalaman, puak-puak Dusun dipimpin oleh pemimpin lokal dan mereka bertahan hidup dengan menjalankan hubungan antara sesama puak dan dengan suku Dusun yang lain, kerana pada zaman ini kegiatan head hunting menjadi budaya dan endemik di kalangan beberapa suku Dusun.

Pada sekitar tahun 1820an, berkahwinlah Gubau dan Konditim dari suku Liwan Pahu dan suku Bundu, Konditim melahirkan anak yang mereka namakan Bungkar; anak ini lahir pada tahun 1830.

Pada sekitar tahun 1844, di usia sekitar 14 tahun, anak muda Pahu ini telah pergi ke Kampung Sayap untuk mempelajari ilmu mempertahankan diri. Ia menamatkan pelajarannya pada usia 17 tahun, kemudian ia pulang ke Pahu.

4. Bungkar menjadi “Paramount Leader” untuk suku Dusun Liwan

Bungkar, mewarisi jiwa dan wibawa kempimpinan Datu Gorodong. Puak Pahu ketika itu mendiami kawasan yang agak kecil di wilayah utara Tambunan. Untuk menjamin survivaliti puak, mereka perlukan tanah dan jaminan keselamatan.

Untuk itu, Gubau dan Konditim, dua tokoh Pahu yang terkenal kerana pemikiran bijaksana mereka telah mengambil langkah bijak dengan menjodohkan anak mereka dengan anak ketua puak Liwan terbesar di tambunan, iaitu, Liwan dari sub Tuhawon.

Gubau dan Konditim bersama rombongan dari Pahu telah pergi ke Sunsuron dengan tujuan melamar anak ketua kampung.

Ketua kampung Sunsuron ketika itu menerima dengan berbesar hati, kerana ketika itu mereka menghadapi konflik dengan suku Tagahas dan memerlukan sekutu untuk menjaga keselamatan puak mereka. Bungkar akhirnya dinikahkan dengan anak ketua kampung Sunsuron yang cantik jelita bernama Enuoi.

Setelah Bungkar dan Enuoi berkahwin, Bungkar dan keluarganya sebanyak 7 orang telah berpindah ke Sunsuron dan mendirikan penempatan di tempat bernama “Borotutuan”, berdekatan kampung Sunsuron dan mengusahakan sawah padi.

Penempatan ini dikatakan dikubui dengan “rudang”, tembok yang diperbuat dari bambu dan kayu yang diruncingkan bagi menghadapi sebarang kemungkinan serangan musuh.

Setelah itu, ramai puak Pahu yang mengikuti jejak Bungkar, menetap di Sunsuron dan berkahwin campur dengan puak Tuhawon, sehingga suku Liwan Sunsuron menjadi bertambah ramai, sehingga menjadi perkampungan terbesar di Tambunan ketika itu.

Ketika konflik terjadi antara suku Liwan dan Tagahas, rumah Bungkar diserang oleh suku Tagahas, suku Dusun yang terkenal gagah perkasa dan pemberani.

Bungkar dan beberapa saudaranya melakukan serangan balas dan berjaya membunuh ramai musuh.

Kerana Bungkar terkenal hebat dalam ilmu pertempuran, maka suku Liwan Sunsuron mengangkatnya menjadi pemimpin mereka, ketika itu Bungkar baru berusia sekitar 22 tahun.

Bermula daripada Datu Gorodong, suku Liwan Pahu telah melahirkan seorang pemimpin besar yang bernama Bungkar.

Ketika peperangan semakin meluas ke seluruh daerah, puak-puak Liwan membentuk sekutu di bawah pimpinan Bungkar Gubau, puak-puak Tagahas pula membentuk pakatan di bawah pimpinan Sambatang.

Perang head hunting antara kedua suku berterusan selama bertahun-tahun; dan hanya berhenti ketika Bungkar Gubau berjaya membunuh Sambatang.

Terdapat dua versi kisah kematian Sambatang, satu kisah mengatakan dia dibunuh ketika Bungkar dan pasukannya mengepung kubu Sambatang di Kampung Tibabar, Sambatang terbunuh ketika mempertahankan kubu mereka di Tibabar.

Satu kisah lagi menceritakan, Sambatang terbunuh ketika Bungkar dan pasukannya menyerang Sambatang di rumahnya di Minodung.

Serangan ke atas Minodung ini bertujuan untuk membalas dendam atas kematian kakak Bungkar yang dipotong kepalanya oleh Sambatang.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

Saturday, May 18, 2019

5 Makanan Untuk Menambah Tenaga Anda Di Bulan Puasa

5 Makanan Untuk Menambah Tenaga Anda Di Bulan Puasa

Dibulan Ramadhan semestinya badan berasa lesu dan tidak bertenaga, jadi untuk mengelakkan badan berasa tidak bertenaga sepanjang bulan Ramadhan, anda perlu mengambil makanan yang mampu memberi tenaga dan berkhasiat.

Puasa tapi bertenaga
Gambar hiasan.

Kali ini kami ingin berkongsi beberapa jenis makanan yang boleh anda makan ketika sahur supaya badan kekal cergas.

1. Madu

Air madu bersama perahan lemon dapat membantu menghilangkan dahaga dan membantu pencernaan dan detoksifikasi.

2. Oat

Oat bagus untuk jantung dan mengurangkan kolestrol dalam badan tetapi ia juga member tenaga yang berpanjangan.

Anda boleh makan oat bersama susu rendah lemak, hirisan kurma dan madu semasa sahur.

3. Tembikai

Just tembikai ketika berbuka sangat menyegarkan dan menghilangkan dahaga. Vitamin C yang tinggi di dalam tembikai meningkatkan sistem imunisasi dalam badan.

4. Kurma

Kisar kurma yang telah direndam di dalam air panas bersama setengah kotak susu segar dan beberapa ketul ais. Boleh ditambahkan madu untuk rasa manis semula jadi.

5. Roti Serat

Anda boleh makan roti serat bersama dengan hirisan pisang dan juga mentega kacang ataupun kegemaran ramai, Nutella.

Jadi buat anda yang beragama Islam, kami ucapkan selamat berpuasa dan pastikan anda mengambil makanan yang berkhasiat untuk memberi tenaga sepanjang hari.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: syok

Friday, May 17, 2019

Kenapa Allah Tidak Menjadikan Semua Orang Jutawan?

Kenapa Allah Tidak Menjadikan Semua Orang Jutawan?

Cuba bayangkan kalau semua orang di Malaysia, bangun pagi, cek akaun melalui online banking, punyalah terkejut sebab ada berjuta wang dalam akaun sebab, rupa-rupanya malam semalam Allah bagi RM10,000,000.00 setiap seorang terus masuk ke dalam akaun bank masing-masing.

Tiba-tiba Jutawan

Kita pun merancang untuk masukkan duit dalam pelaburan, bagi emak dan ayah, bayar hutang, beli kereta baru, beli rumah baru, shopping sakan dan pergi Melancong dan Umrah.

Kita pun call emak di kampung, emak cakap tak perlu bagi emak duit lagi sebab emak pun rupa-rupanya sudah menjadi seorang jutawan.

Kita keluar rumah untuk pergi selesaikan urusan kita tadi. Keluar rumah, baru nak hidupkan kereta myvi, kereta pula rosak. Terus terbayang nak tukar dengan BMW 328i Sport.

Sebelum tu, kena ada kereta lain dulu untuk ke Auto Bavaria. Kita pun call 012-xxxxxxx untuk sewa kereta, "Maaf, kami tidak beroperasi selama setahun kerana semua staff cuti. Mereka sudah jadi jutawan."

Kita pun terus membuka applikasi Grab dan MyCar. Ternyata tiada yang available kerana semua sudah jadi jutawan.

Kita mula melangkahkan kaki keluar untuk mendapatkan teksi. Ternyata teksi juga tiada kerana semua pemandu teksi sudah jadi jutawan.

Kita teruskan melangkah ke bank untuk mengeluarkan duit. Bank juga tutup kerana semua pegawai bank sudah jadi jutawan.

Duit di dalam mesin Atm juga sudah habis kerana kita lewat dan tiada penghantaran duit kerana mereka yang bekerja dengan Securiforce juga sudah jadi jutawan.

Kita mula buntu dan cuba melangkah longlai ke kedai mamak berhampiran untuk pekena teh ais kaw bagi menghilangkan rasa tertekan. Ternyata kedai mamak juga tutup kerana semua pekerjanya sudah jadi jutawan.

Kita semakin buntu. Kelihatan banyak projek pembinaan bangunan tidak berjalan kerana semua pekerja Indonesia dan Bangla juga sudah jadi jutawan.

Kita melangkah masuk ke kedai 24 jam, 7 eleven. Buat kali pertama kedai 7 eleven juga tutup kerana semua pekerjanya sudah jadi jutawan.

Banyak stesen minyak yang tutup kerana terputus bekalan minyak kerana pemandu lori minyak juga sudah jadi jutawan.

Keadaan jalan menjadi semakin sesak, tetapi tiada Polis Trafik yang bertugas menjaga lalu lintas kerana semua Polis Trafik juga sudah jadi jutawan.

Jadi, bagaimana dengan kita?

Kesimpulannya, Allah menjadikan setiap perkara itu adil dan sempurna.

Kepada mereka yang Allah berikan nikmat rezeki dan pangkat yang lebih, jangan sesekali sombong, berlagak dan memandang hina pada orang yang serba kekurangan atau biasa-biasa sahaja ini.

Kerana tanpa disedari, mereka inilah yang banyak memudahkan urusan harian anda dengan izin Allah.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-SENTIASAPANAS.COM

Ditemui atau Ditemukan, Menemui atau Menemukan?

Ditemui atau Ditemukan, Menemui atau Menemukan?

Pasti ramai ingin bertanya tentang perbezaan maksud dan penggunaan imbuhan bagi kata "ditemukan" dan "ditemui" serta "menemukan" dan "menemui", berdasarkan kekerapan pihak akhbar mula menggunakannya sejak akhir-akhir ini.

Mayat Ditemukan

Ditemui atau Ditemukan?

Menurut DBP, ayat ditemukan ialah kata kerja pasif menemukan yang bermaksud dijumpai sesuatu yang dicari, seperti ayat "kereta yang dicuri telah ditemukan dalam kawasan hutan berhampiran."

Manakala ditemui ialah kata kerja pasif menemui bermaksud bertemu dengan, berjumpa dengan seseorang atau pergi bertemu dengan, seperti ayat "gadis idamannya belum lagi ditemui."

Contoh:

Yang manakah betul; Batu tersebut telah ditemukan di Kuala Kangsar atau Batu tersebut telah ditemui di Kuala kangsar?

Ayat yang betul ialah, 'Batu tersebut telah ditemukan di Kuala Kangsar' kerana kata terbitan ditemukan lebih tepat untuk terjemahan found something dalam bahasa Melayu, manakala kata ditemui ialah terjemahan meet somebody dalam bahasa Melayu.

Menemui atau Menemukan?

Begitu juga dengan ayat menemukan yang membawa maksud finding dalam Bahasa Melayu, manakala menemui membawa maksud meet dalam Bahasa Melayu seperti Ahmad menemui sahabatnya di Kuala Lumpur.

Sebagai tambahan, "ditemukan" ialah kata kerja pasif menemukan yang bermaksud dijumpai sesuatu yang dicari, seperti ayat "kereta yang dicuri telah ditemukan dalam kawasan hutan berhampiran."

Manakala "ditemui" ialah kata kerja pasif menemui bermaksud bertemu dengan, berjumpa dengan seseorang atau pergi bertemu dengan, seperti ayat "gadis idamannya belum lagi ditemui."

Lucu Tapi Tidak Kelakar

Mari kita berikan contoh ayat yang kita telah biasa gunakan selama berpuluh tahun dengan penggunaan ayat-ayat baru yang nampak pelik ini.

1. Ditemui/Ditemukan

Mayat seseorang telah ditemukan di dalam sebatang sungai.

Lucu: Adakah dua mayat (mungkin pasangan kekasih) telah ditemukan di dalam sungai?

Bukankah penggunaan ayat ditemui lebih sesuai?

2. Menemui/Menemukan

Polis telah menemukan gadis cantik yang telah di culik dalam sebuah rumah banglo.

Lucu: Adakah polis perlu menemukan gadis tersebut dengan sesiapa terlebih dahulu sebelum diselamatkan atau dihantar pulang kepada keluarganya?

Bukankah ayat menemui yang juga bermaksud telah menjumpai lebih sesuai?

Kenapa selama ini penggunaan ditemukan dan menemukan tidak pernah digunakan dalam silibus generasi lama?

Kita tiada masalah dengan perubahan tetapi penggunaan ayat-ayat ini terlalu pelik dan janggal.

Mungkinkah ini hasil dari sistem pendidikan KBAT yang sebenarnya telah dianggap gagal kerana hanya gah diatas kertas tapi hasilnya sangat menghampakan?

Aras berfikir KBAT dianggap terlalu tinggi dan hanya layak digunakan makhluk asing yang sangat genius dan tinggal di planet Marikh.

Apa kata anda?

BACA INI JUGA:

-SENTIASAPANAS.COM