Tuesday, February 20, 2018

Fakta Menakjubkan Tentang Sotong

Fakta Menakjubkan Tentang Sotong

Mungkin ada antara kita belum tahu yang sotong kurita sebenarnya tersenarai sebagai antara haiwan paling bijak pernah wujud di Bumi, walaupun keupayaannya masih kurang didedahkan oleh para pengkaji namun semakin mendapat perhatian para saintis dek kelicikannya dalam berburu dan melepaskan diri.

Fakta Menakjubkan Tentang Sotong

Malah, ahli biologi Australia, Julian Finn dari Muzium Victoria di Melbourne, yang mula-mula memerhatikan tingkah laku sotong ketika mengetuai pasukannya membuat kajian di Indonesia menyifatkan sotong mempunyai sifat yang mengagumkan!

Mana tidaknya, keupayaan luar biasanya untuk meloloskan diri sentiasa mengejut dan mengagumkan manusia!

Sifat sotong kurita yang tidak mempunyai tulang pada tubuhnya menyebabkan haiwan licik ini begitu mudah melepaskan diri daripada ruang sempit mahupun tertutup.

Selain itu, sotong kurita juga bijak membuat penyamaran bagi mengaburi pemangsa yang sering memburunya.

Sotong kurita berupaya menyembunyikan diri dengan menyamar sebagai batu karang, membuatkan dirinya kelihatan seperti ular laut atau menyamakan dirinya seperti ikan singa (lionfish) hanya dalam tempoh 0.3 saat!

Tidak cukup dengan itu, sotong kurita juga bijak menggunakan objek yang terdapat dalam laut, misalnya tempurung kelapa untuk menyembunyikan diri.

Sotong akan menggunakan sesungutnya dan mencakupkan kedua tempurung bagi memberi perlindungan daripada musuh.

Percaya atau tidak, keupayaan yang dimiliki sotong kurita ini mengatasi kebijaksanaan cimpanzi dalam menyelesaikan masalah!

Sotong kurita juga akan menggunakan seluruh kebijaksanaannya ketika berburu.

Seekor sotong boleh memburu mangsanya dengan apa cara sekalipun, meskipun mangsanya berada dalam botol berpenutup!

Dalam satu pemerhatian yang direkodkan menerusi National Geography, seekor sotong kurita boleh membuka penutup botol yang tertutup rapat sebelum merenggut mangsanya dengan menggunakan sesungutnya yang panjang.

Sotong kurita juga boleh memuatkan dirinya mengikut saiz sesuatu ruang bagi membolehkan mereka memburu mangsa mereka.

Tidak perlu risau sekiranya sesungut sotong terputus kerana ia akan tumbuh semula seperti sedia kala.

Selain itu, seekor sotong kurita juga dikatakan membawa neuro-toksin yang bukan sahaja mengaburi penglihatan dan pandangan musuh, malah juga boleh membunuh musuh.

Sotong Terbang

Fakta Menakjubkan Tentang Sotong

Sotong tidak melompat keluar dari air seperti dolfin tetapi, sotong memancutkan air dari mantel badan mereka dengan kuat sehingga mengeluarkan tenaga yang membuatkan mereka seakan terbang di udara.

Mereka juga akan membentukkan badan mereka sehingga berbentuk seakan-akan roket!

Malah, kelajuan sotong di udara lima kali lebih laju berbanding mereka berada di dalam air.

Saintis berpendapat bahawa sotong menggunakan kebolehan ini untuk melarikan diri dari pemangsa serta mempercepatkan migrasi mereka.

Sotong boleh terbang sejauh melebihi 50 meter dalam satu-satu masa.

Fakta Menarik Lain Tentang Sotong

Sotong kurita sedikit berbeza daripada sotong biasa. Nama yang diberikan kepada sotong jenis ini adalah ‘octopus’ manakala sotong biasa ‘squid’. Namun begitu kedua-dua jenis sotong ini memiliki banyak persamaan dari segi kebolehan, tetapi sotong kurita mempunyai sedikit kelebihan dan keunikan tersendiri.

Sesetengah sotong mempunyai organ bioluminescent menyebabkan ia bercahaya dalam gelap.

Sotong kurita memiliki lapan lelengan yang dipenuhi dengan ‘cup’ penyedut dan dari sinilah ia mendapat namanya ‘octo’ yang bermaksud lapan. Lelengan ini membantu sotong untuk menangkap mangsanya, bergerak, memegang sesuatu dan melakukan pelbagai aktiviti yang anda tidak sangka dapat dilakukan oleh seekor sotong kurita yang kecil.

Sotong merupakan haiwan karnivor: makan ikan, krustasia dan sotong yang lebih kecil.

Sotong kurita adalah haiwan yang aktif dan perlu melakukan sesuatu untuk mengelakkannya menjadi bosan. Suasana yang tidak memberangsangkan akan menyebabkan sotong menjadi murung dan tidak terkawal. Sotong yang tinggal di kawasan-kawasan yang membosankan adakalanya akan memakan tangannya sendiri akibat kebosanan.

Sotong mempunyai 3 jantung.

Sotong juga mempunyai racun. Dikatakan kesemua sotong kurita mempunyai racun tersendiri dengan kekuatan yang berbeza-beza. Kebanyakan racun tersebut tidak mendatangkan bahaya kepada manusia. Tetapi sotong kurita dari jenis ‘blue-ringed’ boleh mengakibatkan seseorang lumpuh dalam masa beberapa minit sahaja dan sotong ini amatlah kecil.

Sotong berenang paling pantas di antara haiwan-haiwan invertebrata.

Sotong kurita mempunyai usia yang singkat. Usia sotong-sotong ini adalah di antara beberapa tahun dan ada di antaranya yang hanya mencapai usia hanya enam bulan sahaja.

Sotong terbesar yang pernah dilaporkan sepanjang 60 kaki dan seberat 1,980 paun, manakala sotong paling kecil bersaiz 0.7 inci dengan berat 0.02 oz.

Cup penyedut pada lelengan sotong adalah yang paling baik dan sangat sensitif. Dikatakan terdapat hampir 240 penyedut pada satu lengan sotong kurita biasa dan setiap satunya berfungsi secara berasingan. Bagi cup penyedut yang besar mempunyai kekuatan untuk memegang beban seberat 35 lbs. Cup-cup penyedut ini juga dapat mengesan kandungan kimia secara berasingan dan masih mampu menyedut apabila ianya dikuncupkan sedikit.

Spesis Mimic octopus mempunyai kemahiran penyamaran yang paling tinggi.

Sekiranya anda pernah melihat artikel mengenai sotong gergasi, anda akan mendapati kesan cengkaman sotong tersebut melalui cup penyedutnya pada kulit ikan paus yang tebal.

Flapjack octopus merupakan spesis sotong laut dalam yang paling unik.

Sotong kurita memerlukan persekitaran yang memberangsangkan ini kerana sifatnya yang suka bermain. Sotong kurita yang berada di dalam aquarium didapati menggunakan penutup botol yang diletakkan berhampiran air yang mengalir ke dalam aquarium tersebut secara berulang-ulang sama seperti permainan bola yang dilantunkan, seperti yang diperhatikan oleh seorang saitis dan melaporkannya di dalam “Octopus!”

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Makan Sotong Kering Lebih Bahaya Dari Asap Rokok?

sumber: sinarharian | itufakta | myrokan

Monday, February 19, 2018

Sejarah Surat Khabar Kuno Dan Wartawan Purba

Sejarah Surat Khabar Kuno Dan Wartawan Purba

Berdasarkan rekod dan catatan sejarah, akhbar telah menjadi bahan bacaan manusia sebagai medium penyebaran berita bermula sejak abad ke 2 sebelum masihi, ketika era pemerintahan kerajaan Rom.

Sejarah Surat Khabar Kuno Dan Wartawan Purba

Sebagai sebuah kerajaan yang berkuasa dan mempunyai wilayah jajahan yang luas, Rom mempunyai sistem tersendiri untuk menyebarkan sesuatu berita kepada orang ramai.

Caranya ialah dengan menulis atau mengukir perkara yang hendak disebarkan di atas papan, logam atau batu.

Ia kemudiannya diletakkan di tempat umum dan disebut sebagai 'Forum Romanum' dan akhbar kuno ini dikenali sebagai Acta Diurna.

Dalam bahasa latin, Acta Diurna bermaksud 'Laporan harian umum' yang diterbitkan dua atau tiga hari sekali, bergantung kepada kepentingan sesuatu isu yang hendak disampaikan.

Dan selepas beberapa hari dipaparkan, papan kenyataan yang lama akan diturunkan dan digantikan dengan lembaran yang baru.

Bentuk pertama Acta Diurna muncul sekitar tahun 131 SM dengan isi berita kebanyakannya berkisar tentang urusan rasmi kerajaan Rom.

Dalam era perkembangannya, informasi berita kemudian diperluaskan kepada perkara-perkara lain seperti pemberitahuan kelahiran, perkahwinan dan kematian pembesar-pembesar serta kerabat istana.

Ia kemudian ditambah baik dengan memasukkan elemen-elemen lain dalam paparan berita berkenaan seperti kes jenayah, subsidi kerajaan, harga syiling makanan asas seperti gandum, acara melibatkan pembesar kerajaan, berita astrologi, politik, acara gladiator, sehinggalah kepada kisah-kisah kemanusiaan seperti anjing yang hilang dan menemui jalan pulang.

Surat Khabar Pertama Di Dunia

Sejarah Surat Khabar Kuno Dan Wartawan Purba

Pada tahun 59 SM, Julius Caeser secara rasmi telah mengangkat Acta Diurna sebagai akhbar rasmi kerajaan dan memerintahkan penerbitannya diperbanyak dan dipasang di pasar, pintu kuil dan disemua tempat awam.

Pada awal abad pertama Masihi, Acta Diurna lebih banyak diisi dengan berita tentang politik, uji kaji saintifik, keputusan kehakiman, kegiatan ahli senat dan strategi peperangan.

Seiring dengan perkembangannya, Acta Diurna turut melahirkan 'Diurnarii' - wartawan yang ditugaskan untuk mencari berita bagi dimuatkan dalam akhbar berkenaan.

Pada peringkat awal, Diurnarii dilantik oleh kerajaan namun, kerana sentimen kemasyarakatan yang mementingkan pelbagai berita dan informasi setempat, orang-orang awam juga mula melakukan tugas Diurnarii dan menjual catatan mereka kepada sesiapa sahaja yang memerlukannya.

Disebabkan itulah berlakunya persaingan diantara Diurnarii untuk mencari berita diseluruh pelusuk kota Rom.

Bahkan, ada sesetengahnya turut menulis berita dari luar kota Rom.

Wartawan Pertama Dihukum Mati

Sejarah Surat Khabar Kuno Dan Wartawan Purba

Persaingan itu kemudiannya telah menyebabkan korban pertama dalam sejarah kewartawanan.

Seorang Diurnarii bernama Julius Ructicus telah dihukum gantung atas tuduhan menyiarkan berita yang belum disahkan, rahsia kerajaan!

Dianggarkan, penerbitan ini bertahan selama lebih 600 tahun dan cetakan terakhirnya berakhir pada tahun 555 Masihi.

Selepas runtuhnya empayar Rom, kegiatan jurnalistik merudum, terutamanya pada zaman gelap Eropah.

Tiada lagi Acta Diurna dan pada ketika itu sistem kewartawanan lenyap begitu sahaja.

Tahukah anda, daripada perkataan Acta Diurna inilah muncullah perkataan 'Diurnal' yang kemudiannya diadaptasi ke dalam bahasa Perancis menjadi 'Du jour' dan bahasa Inggeris 'Journal' yang bermaksud 'hari', 'catatan harian' ataupun 'laporan'.

Manakala perkataan Diurnarii pula diterjemahkan kepada 'Diurnalis' atau 'Journalist' yang bererti wartawan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Penemuan Epik Kuno Yang Menceritakan Perang Nuklear Pernah Terjadi!

-SENTIASAPANAS.COM

Misteri Mumia Firaun 'Menjerit’

Misteri Mumia Firaun 'Menjerit’

Muzium Mesir di sini telah mengadakan pameran “Screaming Mummy” (Mumia Menjerit) yang merupakan jasad putera seorang firaun yang dipercayai dihukum gantung kerana merancang pembunuhan ayahandanya.

Misteri ‘Mumia Menjerit’ Zaman Firaun

Dinamakan hanya sebagai “lelaki tidak dikenali E”, mumia yangs ebelum ini hanya disimpan untuk tujuan kajian dilihat seperti seseorang yang meninggal dunia dengan cara yang amat menyeksakan.

Kementerian Antikuiti Mesir berkata analisis DNA mengesahkan bahawa mumia tersebut merupakan anak lelaki kepada firaun Ramses III.

Mumia tersebut menunjukkan petanda bahawa lelaki itu telah digantung dan dibalut dengan kulit kambing, yang dianggap masyarakat tamadun Mesir sebagai tidak suci.

Pentawere, putera Ramses III, telah dijatuhkan hukuman gantung kerana merancang pembunuhan bapanya.

Dia bersekongkol dengan ibunya, Tiye, yang merupakan isteri kedua Ramses III, menurut satu lukisan purba pada papyrus purba yang menceritakan konspirasi pembunuhan tersebut.

Ianya tidak dapat dipastikan jika Ramses III berjaya dibunuh ataupun terselamat, namun terdapat bukti-bukti yang menunjukkan firaun itu telah ditikam di bahagian leher.

Sebentuk azimat Eye of Horus yang melambangkan penyembuhan dan perlindungan telah diletakkan di bahagian tekak Ramses III, menurut kenyataan kementerian itu lagi.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Punca Kematian Misteri Firaun Ramses III Akhirnya Terbongkar

sumber: mynewshub

Siapa Pencipta Permainan Video Pertama Di Dunia?

Siapa Pencipta Permainan Video Pertama Di Dunia?

Pasti anda semua pernah dengar permainan legenda seperti Super Mario, Contra, Super Tank, Street Fighter dan bermacam-macam lagi dan sekarang permaianan video lebih canggih dari yang sebelumnya.

Siapa Pencipta Permainan Video Pertama Di Dunia?
Tennis for Two.

Tidak kira orang dewasa atau kanak-kanak, pasti ramai yang menyukai permainan video. Bermain permainan video perlu menggunakan konsol melalui televisyen skrin besar dan pada zaman ini, game boleh dimainkan hanya di telefon pintar dan juga komputer.

Setiap tahun industri permainan video mengaut pendapatan lebih daripada $17 bilion hanya melalui game.

Para penggemar video permainan pula pasti sentiasa mencari pengalaman terkini dalam permainan dan juga grafik yang tinggi.

Mari melihat kembali ke masa silam yang akan mendedahkan sejauh mana permainan video ini bermula.

Siapakah orang yang pertama mencipta permainan video?

Walaupun ia kelihatan seperti pertanyaan yang mudah tetapi sebenarnya sejarah perkembangan permainan video ini agak rumit.

Permainan video yang pertama dicipta

Siapa Pencipta Permainan Video Pertama Di Dunia?

Seawal tahun 1940an, Thomas T. Goldsmith Jr dan Estle R. Mann menggunakan peranti yang mereka cipta dan dipanggil alat amatur Tube Katod Ray.

Ia adalah peranti elektronik yang menggunakan skrin untuk bermain permainan asas yang langsung tidak menyerupai apa yang kita fikirkan sehingga wujudnya permainan video yang sebenar.

Pada tahun 1958, William Higinbotham mencipta permainan elektronik dipanggil Tennis for Two yang boleh dipaparkan pada osiloskop.

Penciptaannya juga adalah permainan yang asas tetapi sekali lagi ia bukan permainan yang banyak digunakan dan dapat dimainkan dengan mudah oleh orang ramai. Bayangkan ia dipaparkan pada osiloskop?

Permainan video seterusnya tidak dicipta sehinggalah pada tahun 1967 apabila seorang jurutera bernama Ralph H. Baer telah mencipta prototaip pertama yang akhirnya dikenali sebagai Magnavox Odyssey yang merupakan permainan konsol video pertama di dunia.

Baer juga amat dikenali sebagai "Bapa Permainan Video" merupakan orang pertama yang membuat sistem penukaran isyarat elektronik menjadi gambar pada skrin televisyen melalui corak raster atau apa yang kita kenali sekarang sebagai permainan video.

Magnavox Odyssey asalnya menampilkan beberapa permainan yang mudah seperti permainan mengejar, dam dan permainan menembak menggunakan peranti senapang elektronik.

Sistem ini dilengkapi dengan dua pengawal paddle serta beberapa aksesori lain. Ia adalah suatu kejayaan yang besar kerana Magnavox Odyssey telah terjual lebih 700,000 unit dalam tiga tahun pertama pengeluarannya.

Siapa Pencipta Permainan Video Pertama Di Dunia?

Sebagai permainan video yang sangat laris terjual pada waktu itu telah menampakkan wujudnya saingan baru.

Walaupun populariti mereka kian melonjak, namun ada orang lain yang tidak lama kemudian mula membangunkan sistem yang baru.

Nolan Bushnell dan Ted Dabney tealh mencipta Atari Computers pada tahun 1972 dan pada tahun 1975, Atari mengeluarkan permainan video rumah, yang dikenali sebagai Pong.

Pong telah membawa kepada perubahan yang sangat besar dalam populariti permainan video.

Tidak lupa juga pada kanak-kanak generasi 80an yang berpeluang bermain permainan video yang mempunyai warna iaitu Nintendo Entertainment System.

Mula dikeluarkan dan dipasarkan pada 15 Julai 1983, Nintendo Entertainment System (NES) adalah konsol permainan video 8-bit yang dikeluarkan oleh Nintendo untuk pasaran di Amerika Utara, Amerika Selatan, Eropah, Asia, Oceania dan Afrika.

Siapa Pencipta Permainan Video Pertama Di Dunia?

NES adalah konsol permainan video rumah pertama di Nintendo yang dikeluarkan di luar Jepun.

Di Jepun, ia dikenali sebagai "Family Computer" atau singkatannya disebut Famicom dan telah terjual sebanyak 61.91 juta unit di seluruh dunia.

NES membantu menghidupkan semula industri permainan video berikutan berlakunya kemalangan pada permainan video pada tahun 1983 dan ia telah menetapkan piawaian untuk konsol berikutnya dalam segala hal dari reka bentuk permainan sehingga tatacara dan amalan perniagaan.

The NES adalah konsol pertama yang mana terbuka untuk mengutuk pemaju pihak ketiga yang membangunkan NES.

Sejak lewat tahun 90an banyak jenis permainan video dan konsol telah wujud dengan sistem terkini.

Siapa Pencipta Permainan Video Pertama Di Dunia?

Pada masa ini, Microsoft Xbox dan Sony Playstation tetap menjadi dua konsol permainan video yang paling popular di dunia.

Manakala kanak-kanak dan orang dewasa juga masih ramai yang menikmati permainan video di komputer dan telefon pintar mereka.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Kos Pembikinan Video-video Game Terkenal

sumber: iluminasi

14 Herba Terpilih Dalam Perubatan Islam

14 Herba Terpilih Dalam Perubatan Islam

Ringkasan sebahagian herba-herba dari ilmu Khazanah Perubatan Islam yang terpilih antaranya terkandung dalam cairan dan campuran herba Khal Tamar Plus dan digunakan untuk ingatan, minda dan akal, dan kesihatan tubuh badan bersumberkan al-Quran, hadis Nabi SAW dan kitab-kitab ulama perubatan Islam.

1. 'Asal (Madu Lebah, Forest Honey)

14 Herba Terpilih Dalam Perubatan Islam

Madu lebah merupakan salah satu perubatan menurut wahyu disebut dalam al-Quran dan hadis Nabi SAW. Dalam kitab perubatan Islam dinyatakan bahawa madu hendaklah dicampurkan dengan beberapa bahan lain untuk kecerdasan minda.

Seperti mana yang diterangkan dalam al-Quran, Surah al-Nahl : 68-69, maksudnya: "Dan Tuhanmu mewahyukan kepada lebah buatlah sarang-sarang di bukit-bukit, di pohon-pohon kayu dan di tempat-tempat yang dibuat manusia kemudian makanlah dari tiap-tiap (macam) buah-buahan dan tempuhlah jalan Tuhanmu yang telah memudahkan (bagimu). Dan dari perut lebah itu keluar minuman (madu) yang bermacam-macam warnanya. Di dalamnya terdapat ubat yang boleh menyembuhkan penyakit bagi manusia. Sesungguhnya pada demikian itu, benar-benar terdapat tanda kebesaran Tuhan bagi orang yang memikirkannya."

Dalam kitab Al-Has Ali Al-Hafizul Ilmi oleh Abdul Rahman Al-Juzi (meninggal dunia 598H) menyatakan yang bermaksud: "Hendaklah kamu mengambil madu kerana ianya baik untuk ingatan."

Kami memilih madu dari negara-negara Islam kerana khasiatnya yang banyak disebabkan lebah di sana menghisap madu di pokok-pokok kurma, tin, zaitun, delima dan sebagainya yang mana kesemua buah-buahan ini disebut dalam al-Quran dan kitab-kitab perubatan Islam tentang khasiatnya yang banyak.

2. Za'faran (Saffron, Crocus Sativus)

Bunga Za'faran atau Saffron merupakan herba yang sangat terkenal dan termahal, dikenali sebagai "King of Spices". Terlalu banyak dalam kitab menyatakan bahawa Za'faran sangat baik untuk kecerdasan minda.

Dalam kitab Tib Al-Imam Ali m.s. 381 Saiyidina Ali (k.w) menyatakan yang bermaksud, "Sesiapa yang mengambil sebahagian Za'faran tulen dan Su'dun satu bahagian dicampurkan dengan asal (madu), diminum sebanyak dua misqal (dua sudu) pada setiap hari, maka dikagumi tentang ingatannya sehingga dituduh melakukan sihir."

3. Karaps (Saderi, Celery, Apium Graveolens)

14 Herba Terpilih Dalam Perubatan Islam

Dalam kitab Tib Al-Nabi m.s. 47 Nabi SAW sendiri menyatakan kebaikan karaps untuk kecerdasan minda dengan sabda Baginda SAW yang bermaksud, "Makanlah oleh kamu karaps, kerana ianya menguatkan ingatan, karaps dari makanan Khidir (Nabi Allah Khidir a.s.)."

Sabda Baginda SAW lagi tentang kebaikan karaps yang bermaksud, "Hendaklah kamu mengambil karaps, jika sekiranya sesuatu dapat menambahkan akal maka ianya adalah karaps."

4. Qaranful (Cengkih, Cloves, Eugenia Caryophyllus)

Dalam kitab Tib Al-Imam Al-Sodiq m.s. 381 Imam Ja'afar Al Sodiq (r.h.) (lahir pada 80H, guru kepada Imam Abu Hanifah r.h.) pernah menerangkan masalah kecerdasan minda kepada muridnya Abi Basir yang bermaksud, "Berkata Abi Basir, aku bertanya kepada Al-Sodiq (Imam Ja'afar Al-Sodiq), "Bagaimanakah kami berupaya mengingati ilmu yang engkau sebarkan kepada kami?"

Lalu Imam Ja'afar Al-Sodiq berkata, "Ambillah seberat 10 dirham (lebih kurang 10 sudu) qaranful, begitu juga kundur zikri (lubban) serta ditumbuk halus keduanya, lalu diletakkan di atas lidah (dihisap) pada setiap hari."

5. Adas (Dal, Lentils)

14 Herba Terpilih Dalam Perubatan Islam

Adas adalah makanan yang disebut dalam al-Quran (Surah al-Baqarah: 61).

Adas dapat menguatkan ingatan seperti mana dalam kitab Tibbul Aimmah m.s. 389 menyebutkan yang bermaksud, "Terdapat berita menyatakan bahawa perkara yang menguatkan ingatan ialah memakan daging di kawasan tengkok binatang (halal), makan makanan manis-manis (seperti madu), makan adas, makan roti dan membaca ayat-ayat Al-Kursi."

Kajian menunjukkan bahawa adas yang mempunyai kandungan tinggi seratnya berkeupayaan merendahkan tahap kolesterol dan dapat mengawal paras gula daripada meningkat tinggi selepas sarapan.

Disamping itu juga adas amat baik untuk jantung kerana ia mengandungi folate dan magnesium yang boleh menghalang berlakunya penyempitan pada saluran arteri dan ini memudahkan pergerakan darah, oksigen dan nutrien ke seluruh tubuh.

Majalah Health telah memilih adas sebagai salah satu daripada lima makanan paling sihat.

6. Khardal (Brassica Juncea)

14 Herba Terpilih Dalam Perubatan Islam

Secara ringkas, kebaikan khardal dan kecerdasan minda mengikut kenyataan Imam Ali Al-Ridho r.h. (121-203H) menyuruh kita memakan khardal dan zanjabil bersama madu setiap hari.

7. Na'na (Mentha Longifolia)

14 Herba Terpilih Dalam Perubatan Islam

Dr. Riyad Muhammad salah seorang ulama perubatan Islam moden dari Mesir dalam kitabnya m.s. 298 menyuruh kita memasukkan daun na'na dan habbatus sauda' ke dalam madu untuk kecemerlangan minda, beliau menyatakan yang bermaksud, "Digoreng (dikeringkan) na'na serta dihaluskan kemudian dicampur dengan madu, selepas itu di masukkan tujuh titik minyak habbatus sauda' diminum suam-suam serta dibaca ayat Al-Ruqayyah sebanyak 7 kali, ayat Syifa serta surah Yaasin."

8. Zabib (Kismis, Raisin)

Dalam kitab Tib Al-Nabawi oleh Ibnu Qayyim Al-Juzi, m.s. 241 menyebutkan yang bermaksud, "Imam Al-Zuhri berkata, 'Sesiapa yang ingin menghafal hadis, maka dia hendaklah makan zabib (kismis)'."

9. Lubban (Getah Pokok Frankincense)

14 Herba Terpilih Dalam Perubatan Islam

Lubban (kemenyan arab) disebut sebagai kundur zikri mengikut kitab Tib Al-Imam Al-Sodiq m.s. 381 oleh Imam Ja'afar Al Sodiq (r.h.) pada kenyataan sebelumnya. Lubban dikenali umum oleh orang Arab sejak dahulu kala sebagai makanan kecerdasan minda.

Banyak riwayat di antaranya dalam kitab Tib Al-Nabawi m.s. 355 menyebutkan riwayat dari Ibnu Abbas (r.d.), Anas (r.a) dan Saiyidina Ali (k.w.) maksudnya, "Diriwayatkan dari Saiyidina Ali (k.w.) bahawa dia menyatakan kepada seorang lelaki yang mengadu kepadanya tentang masalah penyakit lupa. Lalu Sayyidina Ali (k.w.) menyuruh ia menggunakan lubban, kerana lubban dapat menguatkan hati serta menghilangkan masalah kelupaan."

10. Habbatus Sauda' (Nigella Sativa)

Habbatus Sauda' adalah sejenis bijirin yang sangat terkenal khasiatnya dalam perubatan Islam, mempunyai dalil atau nas yang terlalu banyak dari Nabi SAW sendiri dan ulama perubatan Islam.

Di antara sabda Rasulullah SAW dalam hadis sahih diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, Baginda SAW bersabda yang bermaksud: Daripada hadis Abi Salamah (r.d.) bahawasanya Rasulullah SAW bersabda, "Hendaklah kamu mengambil habbatus sauda' ini, kerana ianya penyembuh bagi setiap penyakit, melainkan mati."

Ibnu Sina dalam kitabnya Al-Qanun Fi Al-Tib m.s. 856, menyatakan bahawa, "Habbatus sauda' dapat melegakan angin dalam badan, masalah paru-paru, sakit kerongkongan, sakit kepala, buah pinggang, kencing, gastrik, menguatkan jantung, menghilangkan keletihan dan membuang keracunan badan (toksin)."

Begitu juga dengan pendapat ulama perubatan Islam lain seperti Ibnu Al-Baithor dalam kitabnya Jamiah, Daud Al-Intoqi dalam kitab Tazkirah dan lain-lain.

11. Hindiba' (Cichorium Intybus)

14 Herba Terpilih Dalam Perubatan Islam

Pokok Hindiba' sangat terkenal sebagai herba yang baik untuk kesihatan sejak zaman Yunani, Pliny (A.D 23-79), Napoleon, Greek, Rom dan Mesir Purba (kerajaan Firaun).

Setelah Kedatangan Nabi Muhammad SAW, hindiba' menjadi semakin terkenal kerana Baginda sendiri banyak meriwayatkan tentang hindiba'.

Ulama perubatan Islam menyebut bahawa hindiba' dapat menyembuhkan berbagai-bagai penyakit manusia dan ianya sesuai dimakan bersama madu lebah.

Dalil-dalil kebaikan hindiba' - Bersabda Rasulullah SAW yang bermaksud, "Makanlah oleh kamu hindiba' dengan cara kesemuanya bahagian pokok tersebut. Sesungguhnya tidaklah sehelai daripada daun hindiba' itu melainkan mengandungi air dari syurga."

Kenyataan kebaikan hindiba' oleh ulama perubatan Islam terkenal zaman silam iaitu Imam Ja'afar As-Sodiq (83-148H), "Hendaklah kamu memakan hindiba' kerana ianya dapat menyuburkan air mani dan mencantikkan muka."

Mencantikkan muka dapat dimaksudkan sebagai awet muda.

Khasiat hindiba' menurut Ibnu Sina (370-428H) yang terjemahannya, berkata Ibnu Sina, "Hindiba' dapat membuka segala yang tersumbat di saluran makan (di usus) dan di dalam urat saraf. Mengubati penyakit mata, menghapuskan penyakit mata, menghapuskan penyakit keputihan di mata (selaput mata) dan menstabilkan denyutan jantung. Bermanfaat untuk penyakit kerongkong (kemerahan kerongkong), dapat melegakan kahak, gelema serta memperbaiki usus-usus di perut. Hindiba' merupakan penawar terpilih untuk mengatasi masalah kelemahan di perut."

Khasiat hindiba' menurut ulama perubatan Islam Ibnu Qayyim Al-Juziyah (691-751H), dalam kitabnya Tib Al-Nabawi m.s. 368, beliau mengatakan, maksudnya, "Apabila dimakan maka hindiba' boleh melegakan luka-luka dalam perut, bermanfaat untuk segala yang tersekat di perut, penyakit kepanasan mata (masalah penyakit mata), menguatkan perut, membuka segala yang tersumbat di hati, bermanfaat untuk penyakit kepanasan dan kesejukan badan, membuka segala yang tersumbat di limpa, di urat-urat saraf, di saluran makanan (perut), membersihkan buah pinggang, membersihkan segala penyakit di dada, membersih (menghilangkan) kepanasan darah, penyakit kencing serta hindiba' mempunyai kekuatan menghapuskan segala masalah keracunan badan (toksin)."

12. Babunaj (Matricaria Chamomilla)

14 Herba Terpilih Dalam Perubatan Islam

Sejak zaman dahulu hingga kini masyarakat Arab dan Farsi menganggap pokok babunaj sebagai pokok herba yang sangat istimewa untuk mereka.

Bunga babunaj yang berwarna putih kekuningan sangat berkhasiat untuk mengubati berbagai-bagai penyakit.

Di antara khasiat bunga babunaj seperti mana yang disebut dalam kitab-kitab perubatan Islam ialah dapat melawaskan kencing, mengubati kesakitan ketika haid, mengubati usus kecil dan besar, sistem penghadaman, gastrik, buang angin di badan, menghilangkan kepanasan di badan, sakit kepala, sakit-sakit sendi serta dapat memberi semangat dan tenaga kepada seseorang.

Lihat kitab Al-Qanun Fi Al-Tib Ibnu Sina, Jilid 1, m.s. 473-474, kitab Sidlit Al-Athor Ibnu Al-Baithor m.s. 89-90, kitab Sidlit Al-A'sab Daud Al-Intoqi, m.s. 60 dan lain-lain kitab perubatan Islam.

13. Zanjabil (Halia, Zingiber Officinale)

Sudah menjadi amalan kebiasaan orang Arab sejak zaman dahulu sehingga sekarang, mereka memasukkan zanjabil dalam minuman harian, teh, kopi susu dan madu kerana khasiatnya yang sangat banyak menurut perubatan Islam.

Zanjabil adalah salah satu herba yang disebut dalam al-Quran (Surah al-Insan : 17) yang bermaksud, "Mereka dalam syurga itu diberi sejenis minuman yang dicampurnya dari zanjabil."

Khasiat zanjabil menurut kitab-kitab perubatan Islam, zanjabil dapat mengatasi masalah kelemahan kesihatan seperti sakit dada, jantung, lelah, lemah paru-paru, angin dalam badan, mengubati darah, penghadaman, usus serta membuang keracunan badan.

Lihat kitab Al-Qanun Fi Al-Tib Ibnu Sina m.s. 558-559, kitab Tib Al-Nabawi m.s. 293, kitab Sidlit Al-Athor m.s. 293-294, kitab Sidlit Al-A'sab m.s. 253.

14. Hulbah (Halba, Fenugreek, Trigonella Foenum-Graecum)


Hulbah adalah sejenis bijirin herba yang digunakan secara meluas dalam perubatan Islam sejak zaman dahulu kala lagi.

Terdapat banyak riwayat tentang kebaikan hulbah sama ada dari Nabi SAW sendiri dan ulama perubatan Islam, di antaranya bermaksud, Disebut daripada Al-Qasim bin Abdul Rahman, dia berkata, Rasulullah SAW bersabda, "Berubatlah kamu dengan hulbah."

Kebaikan hulbah menurut kenyataan Ulama Perubatan Islam, "Seandainya manusia mengetahui manfaatnya Hulbah, tentulah mereka akan membelinya dengan emas yang sama timbangannya."

Khasiat hulbah dalam kitab-kitab perubatan dinyatakan bahawa hulbah mengubati masalah sakit kerongkong, kahak, sakit dada, lelah, melegakan pernafasan, menambahkan air mani, masalah usus, angin (gastrik), jantung, buah pinggang dan keracunan badan (toksin).

Lihat kitab Al-Qanun Fi Al-Tib Ibnu Sina, m.s. 597-598. Kitab Tib Al-Nabawi m.s. 276, kitab Sidlit Al-A'sab Daud Al-Intoqi oleh Muhsin Aqil m.s. 162-163, kitab Sidlit Al-Athor Ibnu Al-Baithor oleh Muhsin Aqil m.s. 191-912.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Air Cap Badak Buang Panas Badan, Kesan Dan Pantang Larang Anda Wajib Tahu

sumber: khaltamarplus

Sunday, February 18, 2018

Misteri Kejadian Pelik Bilik 307

Misteri Kejadian Pelik Bilik 307

Semasa menyertai rombongan perniagaan pada akhir tahun 1950an, George D. Bryson mendaftar di Brown Hotel, Louisville, Kentucky, Amerika Syarikat, hotel yang dikhaskan untuk delegasi tersebut.

Misteri Kejadian Pelik Bilik 307

Dia diberikan kunci bernombor 307 dan sebelum masuk ke bilik, George berhenti di kaunter surat dan melihat kalau-kalau ada warkah dikirimkan kepadanya.

Memang ada! Terdapat sepucuk surat yang dialamatkan untuk George D. Bryson, bilik 307.

Bagaimanapun, surat itu bukan untuknya, sebaliknya untuk lelaki lain yang menetap di bilik 307 tetapi mempunyai nama yang sama!

Misteri kan!

BACA INI JUGA: Misteri Batu Terbelah Al-Naslaa

-SENTIASAPANAS.COM

10 Tanda Tubuh Kekurangan Air

10 Tanda Tubuh Kekurangan Air

Air merupakan suatu elemen yang sangat penting untuk tubuh manusia tapi sayangnya ramai yang endah tak endah tentang keperluan air yang cukup untuk manusia. Bila di tanya, berapa banyak sudah minum hari ini? Jawapan mereka, banyak. Walhal baru 2-3 gelas.

Tanda Tubuh Kekurangan Air

Tahukah anda 70% daripada badan kita adalah dipenuhi dengan air? Jadi, dengan hanya 2-3 gelas tidaklah mencukupi. Paling kurang ialah 8 gelas sehari.

Ada juga kajian menunjukkan mestilah mengikut berat badan contohnya, setiap 20 kg berat anda memerlukan 2 liter air, bermakna jika berat 80kg memerlukan 4 liter air!

Air diperlukan tubuh untuk mengawal suhu badan, melindungi organ dalaman dan membantu peredaran oksigen dalam sel tubuh.

Kekurangan air dalam tubuh akan menyebabkan pelbagai masalah tubuh berlaku dan bagi mereka yang sedang berusaha nak turunkan badan pula, pasti tak akan berjaya kalau air yang diambil seharian tidak mencukupi.

Badan manusia ini cukup kreatif. Apabila ia kekurangan sesuatu, tubuh akan cepat-cepat memberi signal untuk kita tahu dan ambil langkah awal.

Berikut antara 10 tanda badan kita akan tunjukkan kalau kekurangan air:

1. Mulut kering dan lidah bengkak

Anda lihat di cermin. Bibir anda merekah dan mengulas, itu tandanya kurang air. Begitu juga kalau lidah nampak bengkak lebih daripada biasa. Biasanya akan berlaku ketika anda dalam keadaan yang sangat haus.

2. Kulit menjadi kurang kenyal

Cuba cubit bahagian lengan anda, kemudian perhatikan. Kalau nampak kurang kenyal atau lambat kembali kepada bentuk asal, itu bermakna anda mengalami dehidrasi, iaitu kurang air dalam badan. Segera dapatkan air dan minum!

3. Panas dalam badan

Pernah anda rasa tiba-tiba panas semacam, tapi badan tak berpeluh pun? Jika pernah, itu petanda badan anda kurang air.

Apabila badan kurang air, suhu badan anda akan meningkat. Bahayanya, takut sistem organ terjejas.

4. Air mata kering

Aduh! Asal bahang sangat kat mata ni? Pernah rasa tak? Itu bermakna mata anda tidak lagi mengeluarkan air mata yang bertujuan mencuci dan melembabkan mata, disebabkan kurang air.

Mata akan jadi kemerah-merahan dan kering.

5. Jantung berdebar-debar

Aliran darah boleh berkurangan disebabkan oleh dehidrasi. Ini akan menyebabkan akan berdebar-debar secara tiba-tiba disebabkan oleh perjalanan sistem badan yang tidak baik.

6. Pening

Dehidarsi boleh menyebabkan anda pening atau pengsan. Biasanya terjadi ketika anda bangun dengan cepat daripada posisi duduk atau tidur.

7. Mudah penat

Baru berjalan sedikit dah mengah. Dah tua ke aku nieh? Bukan dah tua, tapi anda tu yang malas nak minum air.

Apabila air kurang, aliran darah akan berkurangan dan tekanan darah turut menurun.

Oksigen dalam darah juga akan berkurangan. Ini akan menyebabkan otot dan saraf bekerja dengan lambat dan menyebabkan anda senang penat.

8. Kejang otot

Biasanya berlaku kepada altet atau orang yang aktif bersukan. Apabila melakukan aktivit, badan akan berpeluh dan mengeluarkan air yang sangat banyak.

Justeru, anda akan senang terkena kekejangan otot terutamanya yang banyka digunakan seperti betis kalau tidak minum air semula.

9. Air kencing berwarna kuning pekat

Bila badan anda kurang air, buah pinggang akan automatik cuba menjimatkan air dalam badan dengan mengurangkan pengeluaran air kencing.

Tapi badan tetap juga perlu buang air kecil dan akibatnya, air kencing akan nampak gelap dan berwarna kuning pekat.

10. Susah buang air besar

Seksanya rasa kalau terpaksa meneran berjam-jam dalam bilik airkan? Antara faktornya badan kurang air dalam usus, menyebabkan tahi menjadi keras dan kering. Sebab itu susah nak keluar dan menyakitkan!

Minum jangan tak minum!

BACA INI JUGA: Dehidrasi, Bahaya Kekurangan Air Dalam Tubuh

sumber: lelakisihat

Bolehkah Kapal Komersial Terbang Sampai Ke Angkasa Lepas?

Bolehkah Kapal Komersial Terbang Sampai Ke Angkasa Lepas?

Semasa dalam penerbangan, adakalanya kapten akan buat pengumuman bahawa kapal sedang terbang pada berapa ketinggian altitud dan ada juga syarikat penerbangan yang menyiarkan maklumat ini di skrin tempat duduk hadapan.

Bolehkah Kapal Komersial Terbang Sampai Ke Angkasa Lepas?

Bila anda pandang luar tingkap, anda hanya nampak kepulan awan. Dah tak nampak langsung bumi.

Ketika dalam situasi begitu, pernah tak anda terfikir ia boleh pergi sejauh mana? Kalau kapten terbuat silap, bolehkah kapal terbang itu naik lebih tinggi menuju ke angkasa lepas?

Tapi sebenarnya, bolehkah kapal terbang naik tinggi-tinggi?

Kapal terbang komersial kebiasaannya terbang pada altitud antara 28,000 hingga 35,000 kaki walau bagaimanapun, ini bukanlah jarak maksimum yang kapal terbang boleh pergi.

Kapal penumpang sebenarnya boleh naik lebih tinggi sedikit, namun majoriti kapal terbang penumpang tidak direka untuk naik melebihi 40,000 kaki.

Cuma ada satu saja pengecualian iaitu jet komersial supersonik Concorde yang boleh naik sehingga 60,000 kaki.

Kemudian ada lagi sebuah kapal terbang dipanggil Helios yang boleh naik sehingga 97,000 kaki. Tapi kapal terbang ini bukanlah kapal terbang calang-calang kerana ia direka oleh NASA.

Berapa jauh kena terbang baru boleh sampai ke angkasa lepas?

Bolehkah Kapal Komersial Terbang Sampai Ke Angkasa Lepas?
Helios.

Jarak 'pintu masuk' angkasa lepas yang paling dekat dari permukaan bumi adalah sekitar 100km.

Manakala kapal terbang hanya pergi sejauh lebih kurang 10km sahaja iaitu di lapisan kedua atmosfera yang dipanggil stratosfera.

Jauh lagi? Ingatkan dah dekat dengan angkasa lepas.

Benar, kapal terbang tidak akan boleh naik sehingga ke angkasa lepas kerana dua sebab iaitu rekabentuk kapal terbang menghadkan pergerakannya serta jumlah bahan api yang tidak mencukupi untuk naik lebih tinggi.

Sesebuah kapal terbang boleh terbang hanya kerana mempunyai sayap yang besar dan mampu mengangkatnya untuk berada di udara.

Proses 'mengangkat' ini terjadi disebabkan peredaran angin di bahagian atas dan bawah permukaan sayap.

Pada dasarnya, udaralah merupakan komponen yang membolehkan kapal terbang naik tinggi manakala enjin cuma memberikannya kuasa untuk terus bergerak menentang seretan aerodinamik.

Disebabkan rekaannya yang bergantung kepada udara, cara kapal terbang beroperasi juga dipengaruhi oleh 'kualiti' udara.

Apabila altitud semakin tinggi, kepadatan udara semakin berkurang dalam erti kata lain, udara menjadi semakin nipis apabila semakin tinggi sehingga sampai satu tahap di mana persekitaran terus menjadi vakum dan tidak mempunyai udara langsung.

Pengangkutan udara seperti kapal terbang dan helikopter memerlukan udara untuk kekal terbang. Jika tiada udara, bagaimanakah kapal terbang itu boleh diangkat supaya naik lebih tinggi?

Ini juga merupakan salah satu faktor kenapa pasukan penyelamat yang menaiki helikopter sering mengalami masalah jika mereka ingin menyelamatkan orang yang terkandas di kawasan beraltitud tinggi.

Sebab itulah kapal terbang tidak akan boleh naik sehingga ke angkasa lepas. Tak kisahlah kapten dia bercita-cita tinggi macam mana sekalipun, memang sains membuktikan ia suatu perkara yang mustahil untuk dilakukan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Rahsia Kenapa Tingkap Kapal Terbang Bentuk Bujur

sumber: iluminasi