Tuesday, August 29, 2017

Peristiwa Penting Hari Ini Dalam Sejarah Dunia (29 Ogos)

Peristiwa Penting Hari Ini Dalam Sejarah Dunia (29 Ogos)

Tanggal 29 Ogos merupakan hari ke 241 (hari ke 242 dalam tahun lompat) dalam kalendar Gregory dengan tinggal 124 hari lagi sebelum memasuki tahun selepasnya.

Sulaiman al-Qanuni
Sulaiman al-Qanuni.

Hari ini juga merupakan sambutan perayaan John Pembaptis dipancung bagi penganut Kristian.

Peristiwa

1526 - Angkatan tentera Uthmaniyyah di bawah Sulaiman al-Qanuni menewaskan dan membunuh raja Hungary dan Bohemia Louis II dalam Pertempuran Mohács.

1533 - Maharaja Atahualpa dibunuh oleh Conquistador di Cajamarca semasa penaklukan Sepanyol ke atas Empayar Inca.

1756 - Frederick II dari Prusia melancarkan serangan sangkal ke atas Sachsen, memulakan Perang Tujuh Tahun.

1907 - Jambatan Quebec, rentang jambatan julur terpanjang di dunia kini, runtuh semasa dibina dan membunuh 75 pekerja.

1944 - Perang Dunia Kedua: Askar Slovakia berpaling terhadap rejim pro-Nazi Jozef Tiso dan Wehrmacht Jerman, memulakan Pemberontakan Kebangsaan Slovakia.

2005 - Luruan ribut Taufan Katrina mengakibatkan rekahan pada tetambak di sekitar New Orleans, Louisiana, dan membanjiri 80 peratus bandar tersebut, mengakibatkan lebih 1,800 kematian.

2007 - Abdullah Gül dipilih sebagai Presiden Turki ke-11.

2008 - Perarakan bantahan konsert Avril Lavigne ke Stadium Merdeka, Kuala Lumpur diadakan oleh Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis).

2011 - Yoshihiko Noda menjadi Perdana Menteri Jepun selepas Naoto Kan meletak jawatan.

Kelahiran

1958 - Michael Jackson, seorang penyanyi, penghibur, penari dan artis rekod Amerika Syarikat.

Kematian

1904 - Murad V, Sultan Empayar Uthmaniyyah.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Peristiwa Penting Hari Ini Dalam Sejarah Dunia (28 Ogos)

sumber: wikipedia

Monday, August 28, 2017

Fakta Ekonomi Meningkat Tapi Bukan Untuk Rakyat Miskin

Fakta Ekonomi Meningkat Tapi Bukan Untuk Rakyat Miskin

Kalau ikut perangkaan rasmi, memang benarlah ekonomi negara kita kembang pesat dalam suku kedua (April hingga Jun) tahun ini. Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) naik 5.8 peratus.

Ekonomi Meningkat

Dengan sendirinya kadar ini cukup menggalakkan apatah lagi kalau dibandingkan dengan negara-negara jiran. Secara kasar ia menggambarkan pemulihan dan pengukuhan ekonomi.

Jadi saya tidak salahkan Gabenor Bank Negara, Datuk Muhammad Ibrahim, kalau beliau begitu gembira dan bangga dengan angka itu. Secara kasarnya ia cukup memberangsangkan.

Tetapi, apabila angka-angka yang positif itu diterjemahkan kepada ringgit dan sen, kesannya kepada rakyat jelata tidaklah sebesar mana.

Sebaliknya rakyat jelata terus dibebani oleh faktor-faktor negatif seperti kenaikan kos sara hidup, upahan yang membeku, produktiviti yang rendah dan pengangguran yang meningkat.

Jabatan Perangkaan melaporkan yang dalam bulan Jun bilangan penganggur naik 1.2 peratus kepada 507,700 berbanding setahun lalu. Kadar purata pengangguran naik kepada 3.4 peratus berbanding 3.28 peratus antara 1998 dan 2017.

Yang amat membimbangkan ialah peningkatan kadar pengangguran dalam kalangan belia, khususnya yang memiliki ijazah dan diploma. Satu kajian Bank Negara mengenai pengangguran remaja dan pemuda mendapati 61 peratus daripada penganggur pada tahun 2015 berumur di antara 15 hingga 24 tahun.

Tidak hairanlah kalau isu kemiskinan kanak-kanak, remaja dan pemuda menjadi semakin mendesak.

Rakyat jelata umumnya tidak merasa kesan positif pertumbuhan ekonomi kerana sumber-sumber yang menyumbang kepada perkembangannya tidak menyentuh sektor di mana mereka mencari makan dan hasil pertumbuhan itu pula tidak meresap turun kepada mereka.

Ahli ekonomi melabelkan keadaan ini sebagai pertumbuhan tanpa pengagihan. Hal inilah yang menyebabkan jurang kekayaan semakin meluas di mana yang kaya menjadi bertambah kaya dan yang miskin bertambah miskin seperti didedahkan oleh penyelidik dan perunding ekonomi bebas, Dr Muhammed Abdul Khalid, dalam bukunya The Colour of Inequality.

Kesan pertumbuhan ekonomi ini akan hanya dirasai oleh rakyat terbanyak jika disertai oleh pertambahan peluang pekerjaan, peningkatan kadar upahan dan kestabilan harga pengguna.

Jadi saya tidak hairan sikit pun apabila banyak pihak mempertikaikan keberkesanan pertumbuhan ekonomi yang diumumkan oleh Bank Negara itu. Sebaliknya saya berasa cadangan Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM) supaya pertumbuhan ekonomi turut diukur dalam Dolar Amerika ada logiknya.

Pengerusinya, Tan Sri Dr Lim Wee Chai berkata, ukuran mengikut dolar adalah logik kerana Malaysia negara perdagangan dan mata wang utama perdagangan antarabangsanya adalah dolar. Perdagangan antarabangsa adalah antara sumber utama pertumbuhan ekonomi.

Lim berkata, pengukuran KDNK menggunakan dolar akan memberikan gambaran yang lebih tetap. Dalam perkiraan beliau, KDNK semasa sebenarnya lebih kecil kerana kejatuhan nilai ringgit.

Kata beliau: “KDNK berkembang 5.8 peratus pada suku kedua tahun 2017. Tetapi itu dalam nilai ringgit. Jika kita kira ikut Dolar Amerika, KDNK sebenarnya kecut 3.3 peratus sebab kadar tukaran ringgit jatuh sembilan peratus.”

Dalam bahasa yang mudah, kita kena bayar sembilan peratus lebih tinggi untuk barangan import. Walaupun barangan kilang kita laku kerana nilai ringgit jatuh, tetapi pendapatan kita dalam bentuk Dolar Amerika kecil dan harga import kita tinggi.

Sebab itulah tugas Bank Negara memastikan kestabilan ringgit sangat penting. Apabila nilai ringgit stabil, harga barang dan perkhidmatan pun stabil.

Atas dasar itulah semua bank negara di dunia terlibat dengan perniagaan tukaran mata wang (forex).

Kita amat yakin kalau suruhanjaya diraja yang sedang menyiasat operasi forex Bank Negara tahun 1990-an faham apa yang mereka lakukan, aspek menjaga kestabilan kadar tukaran ringgit adalah sangat penting.

Kita tengok macam mana dalam masa tiga tahun, dari 30 Jun 2014 kepada 30 Jun 2017, rizab antarabangsa Bank Negara merudum AS$32.94 bilion (kira-kira RM141.64 bilion).

Pada 30 Jun 2014, rizab berjumlah AS$131.86 bilion (kira-kara RM566.99 bilion) tetapi pada 30 Jun 2017 ia jatuh kepada AS$98.92 bilion (RM425.35 bilion).

Kita tidak tahu secara sahih apakah punca kemerosotan itu. Ada ramalan kata kerana Bank Negara guna rizab untuk pertahan nilai ringgit dan ada yang kata untuk bayar balik hutang luar negara.

Boleh jadi kita ambil kesempatan daripada sidang suruhanjaya diraja forex sekarang untuk dapat kepastian apa punca sebenar susutan AS$32.94 bilion itu.

Ini jauh lebih besar daripada jumlah yang sedang disiasat.

Wallahu a'lam.

*Penulis adalah Datuk A Kadir Jasin, Tokoh Wartawan Negara

BACA INI JUGA:

sumber: sinarharian

'Polo Malaysia Menang Aku Bogel' Lala Mohon Maaf Bergurau Tanpa Niat

'Polo Malaysia Menang Aku Bogel' Lala Mohon Maaf Bergurau Tanpa Niat

Seorang wanita, Lala, yang viral susulan kenyataannya di Twitter yang sedia berbogel sama sekali tidak menyangka akan berdepan impak cukup besar buat dirinya.

Lala

Walaupun mengakui kesilapan dan membuat permohonan maaf tetapi timbul dakwaan pihak tertentu bahawa dia telah digantung tugas malah ada yang mendakwa dia dibuang kerja daripada sebuah stesen televisyen.

"Tak sangka ini yang jadi sebab isu bogel. Saya tidak digantung atau dibuang kerja. Alhamdulillah, saya masih diberi peluang untuk bekerja.

"Mereka (syarikat) memahami kesilapan yang berlaku. Saya amat berterima kasih kerana terus diberi peluang dan kepercayaan," kata Nurul Adilla Abd Rahim.

Insiden itu juga memberi pengajaran kepada penolong penerbit yang lebih dikenali sebagai Lala tentang erti persahabatan.

"Sekarang saya baru tahu siapa kawan, siapa lawan. Di saat saya dihimpit dengan dugaan, orang yang selama ini baik dengan saya tidak membantu, malah turut mengecam,” katanya dengan nada terkilan.

Anak sulung daripada tiga beradik ini turut tidak menyangka masih ada yang prihatin terhadap dirinya, dan paling bersyukur apabila mendapat sokongan keluarga.

Biarpun dikecam hebat, ramai yang memberi nasihat dan motivasi supaya tidak mengulangi kesilapan lalu dan lebih berhati-hati selepas ini terutama di laman sosial.

"Ada kawan yang dah lama tak berjumpa pun hubungi saya dan beri kata-kata semangat. Mereka kenal diri saya yang sebenar," katanya.

Mengakui serangan buli siber merupakan sesuatu yang menakutkan, Lala bangkit semula daripada kesilapan lalu dan menjalani kehidupan seperti biasa.

"Saya akui kesilapan yang dibuat secara tidak sengaja. Semua orang pernah melakukan kesilapan dan diberi peluang kedua.

“Alhamdulillah, sekarang dah kembali reda cuma saya perlu memperjelaskan tentang dakwaan membabitkan kerjaya saya,” katanya.

Lala yang baru berusia 23 tahun menjadi perhatian ramai selepas kenyataannya di Twitter bahawa dia mahu berbogel tular di media sosial.

"Aku rasa team Polo Malaysia menang, sebab diorang memang terer. Malaysia menang aku bogel!,” katanya di laman sosial.

Keputusan acara polo ekuestrian Sukan SEA ke-29 Kuala Lumpur (KL2017) pada Selasa berpihak kepada Malaysia yang berjaya menewaskan Brunei 12-4.

Lala telah membuat permohonan maaf berhubung kesilapan itu dan menjelaskan bahawa ia dibuat secara bergurau tanpa berniat untuk melakukannya.

BACA INI JUGA: Gadis Melayu Sanggup Berbogel Jika Bangladesh Menang!

sumber: mstar

Kisah Duka Thanabalan Menyara Rawatan Bapanya

Kisah Duka Thanabalan Menyara Rawatan Bapanya

Saat ini, nama penyerang Harimau Muda, N. Thanabalan disebut-sebut bukan sahaja kerana gaya jambangnya yang menjadi ikutan tetapi kisah hidupnya yang bermain bola demi menyara rawatan perubatan bapanya turut diperkatakan.

N. Thanabalan

Satu muat naik yang dikongsi penyokong pasukan Negeri Sembilan, Buffalo Souljah menceritakan mengenai detik dia bertemu Thanabalan.

Menurut Buffalo Souljah, dia berasa pelik mengapa Thanabalan sanggup mengikat kontrak yang lama bersama pasukan Negeri Sembilan.

Namun, jawapan yang diberi nyata membuatkan dirinya sebak, apabila Thanabalan mengakui bahawa dia berbuat demikian kerana tak sanggup berjauhan dengan bapanya yang uzur.

N. Thanabalan

Thanabalan yang ketika ini bermain untuk pasukan Felcra mengesahkan apa yang diceritakan Buffalo Souljah adalah perkara yang betul.

Sehingga kini katanya, walaupun menjalani latihan di Kuala Lumpur, Thanabalan akan tetap berada dekat dengan keluarganya.

Dalam perlawanan separuh akhir, nama Thanabalan dijulang sebagai hero kerana berjaya menjaringkan gol emas ketika perlawanan menghampiri waktu penghujung.

Gol tersebut melayakkan Malaysia ke pusingan final Sukan SEA tahun 2017 selepas menewaskan seteru tradisi, Indonesia.

Selfie jambang

N. Thanabalan

Kalau ditanya nama individu paling popular di Malaysia ketika ini, jawapannya tentu sekali penyerang Harimau Muda, N. Thanabalan.

Hanya dengan satu gol dalam perlawanan separuh akhir menentang Indonesia semalam, Thanabalan mampu menggembirakan lebih 30 juta penduduk Malaysia.

Watak penting yang dimainkan pemain yang berasal dari Negeri Sembilan itu dalam saingan bola sepak Sukan SEA edisi kali ini, benar-benar diakui ramai.

Gara-gara gol emas yang dijaringkan ketika perlawanan menghampiri waktu kecederaan itu, nama Thanabalan semakin menjadi perhatian.

Di laman sosial, bukan sahaja pujian, malah netizen ada cara tersendiri untuk meluahkan rasa terima kasih kepadanya.

Paling menarik perhatian adalah 'selfie jambang' oleh netizen.

Pengguna laman sosial memuat naik gambar selfie dengan memakai jambang palsu, atau gambar yang disunting sendiri, dengan hashtag #thanabalan.

Pengguna laman sosial memuat naik gambar selfie dengan memakai jambang palsu, dengan hashtag #thanabalan.

Imej sedemikian boleh dikatakan signature dan identiti untuk penyerang berusia 22 tahun itu.

Biarpun agak menggelikan hati, namun ia sedikit sebanyak memeriahkan lagi suasana Sukan SEA kali ini, dan tentunya akan menjadi satu bentuk penghargaan yang akan dikenang si empunya badan sepanjang hayat.

Kecoh restoran Thanabalan muncul!

N. Thanabalan

Kehadiran wira Malaysia N. Thanabalan di sebuah restoran telah mencetuskan kekecohan.

Penyerang skuad bawah 22 tahun (B-22) negara itu datang ke restoran berkenaan untuk bertemu dengan keluarganya selepas tamat perlawanan separuh akhir dengan Indonesia di Stadium Shah Alam.

Bagaimanapun sebaik menyedari kehadiran Thanabalan, semua pelanggan yang kebanyakannya datang selepas menyaksikan perlawanan itu bersorak dan mengucapkan tahniah atas kejayaan skuad muda negara mara ke final.

Kesempatan itu digunakan sebaik-baiknya untuk penyokong berswafoto dengan Thanabalan sehinggakan dia tidak sempat duduk.

Bagi pemain berusia 22 tahun itu, dia tidak menganggap dirinya sudah bergelar bintang namun menghargai segala sokongan yang diberikan oleh penyokong.

"Saya terkejut juga bila masuk ke restoran ini, semua orang bersorak, rasa terharu pun ada. Saya datang nak bertemu dengan keluarga saya termasuk mak saya (Thiru Sundari) yang datang dari Seremban ke stadium.

"Saya masih muda, banyak lagi saya kena belajar. Saya kena berusaha lebih keras untuk lebih berjaya. Saya bersyukur dengan apa yang saya capai ketika ini tapi saya tak anggap diri saya seperti 'superstar' (bintang) namun saya hargai segala sokongan yang diberikan," katanya memetik laporan Berita Harian.

Kerana keadaan semakin sesak dengan ramai pelanggan mahu bertemu dengannya, Thanabalan terpaksa beredar bersama keluarganya ke tempat lain.

Semoga terus sukses N. Thanabalan!

BACA INI JUGA: Kenali Ultras, Penyokong Fanatik Bola Sepak Dan Bezanya Dengan Hooligan (Samseng)

sumber: astroawani

Pelakon Bront Palarae Pengulas Perlawanan Akhir Bola Sepak KL2017?

Pelakon Bront Palarae Pengulas Perlawanan Akhir Bola Sepak KL2017?

Rentetan kejayaan pelakon Bront Palarae membawa watak sebagai pengulas sukan dalam filem Ola Bola, netizen mencadangkan beliau diangkat sebagai pengulas final bola sepak Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

Bront Palarae

Cadangan sama turut disuarakan oleh penyanyi Altimet dengan mengatakan, "Siapa setuju tekan 'like'. Walaupun brader Bront kita cuma mainkan watak pengulas dalam filem Ola Bola," tulisnya di Facebook.

Altimet atau nama sebenarnya Ahmad Abdul Rahman turut menyertakan satu keratan ‘retweet’ Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin supaya cadangan itu menjadi kenyataan.

"Kami mahu Bront Palarae menjadi pengulas sukan final Sukan Sea, tolong jadikan ia kenyataan KJ," itu paparan keratan Twitter tersebut.

Cadangan Altimet itu terus dibanjiri komentar netizen.

Filem, Ola Bola mengambil latar belakang kisah pasukan Malaysia pada zaman 1980an yang berdepan pelbagai rintangan untuk layak ke sukan Olimpik Moscow ketika itu.

Lebih menarik, filem terbitan Astro Shaw itu mengimbau nostalgia penonton merasai suasana dan melihat kehebatan pasukan kebangsaan.

Di sebalik watak 1Malaysia menghidupkan plot penceritaan, lakonan aktor berpengalaman, Bront Palarae sebagai pengulas sukan dalam filem itu menjadikan wataknya paling menyerlah dan menghiburkan.

'Itu bukan bidang saya' - Bront Palarae

Malangnya, bagi empunya badan, tugas sebagai pengulas sukan secara langsung diakui bukan perkara mudah.

Bront, di akaun Twitter, telah retweet status berikut.

SNI @ShakirahhNab
Pengulas sukan bukan nya perlu cakap "Gol" kuat je. Haha. Kne study pasal bola, the players and etc. So not that easy. Chill ok

Pemenang anugerah Pelakon Lelaki Terbaik ASEAN International Film Festival (AIFFA) 2015 menerusi filem Terbaik Dari Langit itu menganggap cadangan itu tidak lebih sekadar pujian terhadap lakonannya.

"Rasanya tidak logik untuk saya menggalas tugas itu. Ia bukan bidang saya, lagipun kita sudah memiliki ramai pengulas sukan yang bagus," katanya.

Biodata Dan Latar belakang Bront Palarae

Nasrul Suhaimin Bin Saifuddin atau lebih dikenali sebagai Bront Palarae, lahir 27 September 1978, ialah seorang pelakon, penerbit, pengarah, penulis dan juga pengacara TV.

Bront Palarae telah meraih anugerah Pelakon Lelaki Terbaik dalam Watak Utama di Festival Filem Malaysia ke-23/2010 menerusi lakonan berkesannya sebagai penyiasat insurans dalam filem Belukar.

Bront Palarae dilahirkan di Alor Setar, Kedah, Malaysia, berketurunan Melayu, Punjabi/Pakistan dan Siam.

Pada tahun 2005, beliau menerima biasiswa daripada kerajaan Itali untuk menghadiri kursus pendek dalam Bahasa & Budaya di Universiti Untuk Orang Asing Perugia, Itali.

Biarpun beliau telah memulakan kerjaya lakonan pada tahun 2000 menerusi drama TV Mat Nor Kushairi & The Velvet Boys, hanya pada tahun 2005 nama Bront Palarae menjadi sebutan apabila beliau muncul dalam drama bersiri Cinta Tsunami di saluran Astro Prima.

Sejak itu, Bront Palarae muncul dalam banyak produksi terutama filem melalui watak-watak pembantu.

Antara lakonan beliau yang paling menjadi perhatian adalah menerusi watak pemain kugiran dalam filem Man Laksa (2005), anak jalanan Anak Halal (2007) dan pembunuh upahan psiko Setem (2009).

Beliau juga pernah muncul dalam telefilem Neon (2003) arahan Mohd Feroz Abdul Kader lakonan Allahyarham Faizal Yusup dan Erik Fuzi bersama ramai pelakon termasuk Azhar Sulaiman, Aziz M. Osman, Saiful Apek, Rashidi Ishak, Sofi Jikan, Aziz Sattar, Kuswadinata, Abby Abadi, Serina Redzuawan, Zila Bakarin, Rita Rudaini, Kartina Aziz dan ramai lagi.

Bront Palarae juga pernah bergandingan bersama aktres Dynas Mokhtar pada tahun 2004 untuk mengacarakan program Beat TV selama 2 musim sebelum beliau mengambil keputusan untuk memberi sepenuh perhatian dalam bidang lakonan dan penulisan.

Pada tahun 2005 juga beliau menerima tawaran biasiswa daripada kerajaan Itali untuk mengikuti kursus jangka pendek dalam jurusan Bahasa & Budaya di University of Foreigners, Perugia Itali.

Beliau meninggalkan seketika bidang seni selama setengah tahun untuk menyempurnakan kursus tersebut.

Pada tahun 2008 nama Bront Palarae mula meniti bibir peminat apabila muncul dalam siri TV Sindarela memegang watak Tengku Hussein, seorang putera raya yang bekerja sebagai mekanik.

Gandingan beliau bersama aktres Sharifah Amani ternyata menimbulkan fenomena tersendiri. Keserasian Bront Palarae dan Amani kemudian diperpanjangkan lagi dalam siri TV Rona Roni Makaroni pada tahun 2009.

2009-2014: Cabaran, hala tuju kerjaya dan Terbaik Dari Langit

Barangkali tidak selesa dengan hala tuju kerjaya lakonannya, Bront Palarae mengambil keputusan untuk mengejar cita-cita di layar perak.

Biarpun dikenali sebagai aktor yang kurang mendapat publisiti media namun kemunculannya dalam filem arahan teman baiknya, aktor Farid Kamil iaitu V3: Samseng Jalanan (2010) ternyata membuahkan hasil apabila filem tersebut mengaut kutipan box-office lebih daripada RM 4 juta.

Menerusi watak Brett dalam filem tersebut, Bront Palarae dicalonkan untuk kategori Pelakon Lelaki Terbaik dalam Watak Pembantu di Festival Filem Malaysia ke-23.

Ketika membintangi filem Belukar bersama Daphne Iking

Seterusnya Bront Palarae muncul dalam filem Belukar arahan Jason Chong. Menerusi watak penyiasat insurans dalam filem tersebut, nasib Bront Palarae mula menyinar apabila dicalonkan dan seterusnya memenangi anugerah Pelakon Lelaki Terbaik dalam Watak Utama di Festival Filem Malaysia ke-23 menewaskan nama-nama hebat seperti Esma Daniel, Farid Kamil dan Zulhuzaimy Marzuki.

Bront Palarae juga mengulangi kejayaan sama di Anugerah Skrin 2010 dengan menewaskan pemenang FFM 22, Afdlin Shauki yang cemerlang menerusi filem Papadom.

Beliau juga berganding bersama pemenang Pelakon Wanita Terbaik dalam Watak Utama di FFM 23 iaitu Lisa Surihani dalam filem Sekali Lagi arahan Ismail Bob Hashim.

Antara judul filem lain yang akan menampilkan figuran Bront Palarae adalah Bunga Lalang arahan Dain Iskandar Said dan Jiwa Taiko (Osman Ali).

Pada tahun 2010 juga, Bront Palarae telah mengasaskan produksi filem Otto Films yang akan menjadi platform untuk beliau meneroka bidang penerbitan filem dan melalui syarikat itu, beliau mengarah, menulis dan mengarahkan bersama filem Kolumpo, sebuah filem yang dikeluarkan pada tahun 2013.

Beliau juga pernah berkhidmat di Camwerk Studios sebagai Perunding Kreatif untuk membantu membangunkan Penculikan Ammar Affendi dan terjamin bersama tawaran penerbitan dengan RexMedia (US) di Marche Du Film di Festival De Cannes pada tahun yang sama.

Beliau kemudiannya telah dilantik sebagai Duta Jenama untuk Edwin Denim Malaysia dan juga wajah pereka fesyen tempatan Fairuz Ramdhan.

2015-kini: Halfworlds dan melangkah serantau

Bront Palarae Ola Bola

Pada 2016, Bront Palarae membintangi sebuah filem bola sepak sukan Malaysia Ola Bola, filem terkini Chiu Keng Guan selepas memecah rekod The Journey.

Bukan itu sahaja filem yang mengutip RM15.85 juta dan menjadi filem Malaysia dengan kutipan tertinggi kelima sepanjang masa, Bront Palarae juga memenangi Anugerah Pilihan Pengkritik Kuala Lumpur 2016 dalam kategori Penyokong, kerana peranannya dalam filem itu.

Selepas memenangi anugerah Pelakon Terbaik untuk Terbaik Dari Langit di Festival Filem Antarabangsa Asean (AIFFA) 2015, beliau turut membantu dalam siri bertajuk Halfworlds di HBO Asia diarahkan oleh pembikin filem Indonesia, Joko Anwar.

Beliau kemudiannya menyertai Mo Brothers pada filem terkini Headshot, yang dibintangi oleh Iko Uwais.

Bront Palarae menyertai barisan pelakon filem komedi My Stupid Boss lakonan Bunga Citra Lestari dan Reza Rahadian sebagai kerjasama dengan lain pembikin filem Indonesia, Upi Avianto.

Di Anugerah Televisyen Asia 2016, Bront Palarae telah dicalonkan untuk peranannya dalam telefilem Eropah, Here I Am menerusi kategori "Pelakon Lelaki Terbaik Dalam Peranan Utama".

Aktiviti kemanusiaan

Pada tahun 2012, Bront Palarae menyertai percutian Bantuan Kecemasan AQSA2Gaza11 untuk Gaza yang dianjurkan oleh Aqsa Syarif, sebuah pertubuhan bukan kerajaan Malaysia yang memberi tumpuan kepada membantu rakyat Palestin yang terjejas oleh konflik Gaza-Israel yang berlaku pada tahun itu.

Beliau merupakan duta muhibah untuk kempen My Promise To Children UNICEF untuk menekankan hak-hak kanak-kanak di Malaysia.

Kehidupan peribadi

Bront Palarae dan kenalan lamanya, Rozi Isma sah menjadi pasangan suami isteri dengan sekali lafaz di Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr. Ismail pada 31 Ogos 2013, sempena Hari Kemerdekaan Malaysia ke-56.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Kenapa Pemenang Sukan SEA 2017 Di Hadiahkan Anak Pokok

sumber: sinarharian | wikipedia

Floyd Mayweather TKO Conor McGregor Pusingan 10

Floyd Mayweather TKO Conor McGregor Pusingan 10

Floyd Mayweather, menewaskan Conor McGregor dari Ireland dengan kemenangan TKO pada pusingan ke-10 dalam pertarungan yang menjadi perhatian seluruh dunia, sekaligus mengekalkan rekod sempurna dalam sukan tinju.

Floyd Mayweather vs Conor McGregor

Floyd Mayweather yang kembali dari persaraan pada usia 40 tahun untuk pertarungan ini, memperbaharui rekod pertarungan beliau kepada 50-0 melepasi rekod bintang legenda tinju Rocky Marciano (49-0) untuk jumlah kemenangan terbanyak tanpa kalah atau seri.

Conor McGregor, juara seni mempertahankan diri campuran (MMA) yang membuat penampilan sulung profesional dalam sukan tinju, gagal melakukan apa yang mungkin menjadi kejutan terbesar dalam sukan tinju tetapi menjadi pertarungan lebih menarik berbanding apa yang diramalkan oleh kebanyakan pakar sukan tinju.

Floyd Mayweather, juara dunia kelas welterweight, menangani permulaan meyakinkan McGregor tetapi selepas pusingan keempat, ternyata menguasai pertarungan.

Kemenangan TKO hadir apabila Conor McGregor yang jelas keletihan, menyandar dua kali di tali gelanggang selepas terkena tumbukan padu tangan kiri.

Ia adalah penamat hebat kepada pertarungan utama di TMobile Arena yang terbukti pertarungan sengit di awal pusingan dengan McGregor berjaya melakukan beberapa tumbukan padu.

Tetapi, sebaik sahaja Floyd Mayweather menemui rentak dan Conor McGregor mulai keletihan, ia kelihatan jelas hanya ada seorang pemenang.

Pertarungan itu berakhir seperti yang diramalkan oleh ramai pihak tetapi Conor McGregor, pada penampilan sulung dalam sukan tinju, tidak perlu berasa malu dengan kekalahan itu.

Floyd Mayweather akan meneruskan apa yang beliau katakan, persaraan dengan rekod sempurna 50-0!

Floyd Mayweather juga dijangka mengaut keuntungan 200 juta dolar, menjadikan pendapatan dari pertarungan sepanjang kerjayanya mencecah sekitar 1 bilion dolar.

Walaupun tewas, Conor McGregor akan menerima sekitar 100 juta dolar.

BACA INI JUGA: Joe Louis Juara Tinju Yang Akhirnya Menjadi Penyambut Tetamu

sumber: pressreader

DNLV, Roket Pertama Malaysia Bakal Mendarat Di Bulan!

DNLV, Roket Pertama Malaysia Bakal Mendarat Di Bulan!

Tahukah anda, Malaysia mempunyai sekumpulan penyelidik yang telah membangunkan roket untuk dihantar ke angkasa.

DNLV
DNLV.

Melalui penubuhan sebuah syarikat yang dinamakan sebagai Independence-X Aerospace (IDXA), Izmir Yamin, anak jati Kuala Lumpur bersama beberapa orang rakan penyelidik lain telah memulakan misi mencipta roket sejak tahun 2013.

Syarikat yang bertapak di Taman Teknologi Malaysia, kumpulan ini berjaya menghasilkan sejenis roket yang dinamakan sebagai DNLV (Dedicated Nano Launch Vehicle).

Idea DNLV bermula dengan mengembangkan teknologi roket Soyuz, yang merupakan teknologi roket yang telah berjaya melakukan misi ke angkasa lepas sejak puluhan tahun dahulu.

IDXA juga sedang bersiap sedia menyahut cabaran dunia melalui misi Google Lunar X Prize yang menawarkan hadiah sebanyak USD30 juta.

Untuk memenuhi keperluan ini, IDXA akan bekerjasama dengan pasukan Synergy Moon daripada USA bagi melaksanakan misi penting ini.

Cabaran memang getir dan misi ini dijangka bakal siap menjelang tahun 2018.

Dalam cabaran ini, bukan saja menerbangkan roket ke bulan tetapi pasukan yang bertanding juga perlu mendaratkan kapsul di atas bulan, mengambil gambar dan menghantarnya ke stesen bumi sebelum pulang semula ke bumi.

BACA INI JUGA:

-SENTIASAPANAS.COM

Peristiwa Penting Hari Ini Dalam Sejarah Dunia (28 Ogos)

Peristiwa Penting Hari Ini Dalam Sejarah Dunia (28 Ogos)

Tarikh 28 Ogos merupakan hari ke 240 (hari ke 241 dalam tahun lompat) dalam kalendar Gregory dengan tinggal 125 hari lagi sebelum memasuki tahun selepasnya.

Scientific American
Scientific American, edisi pertama.

Mari kita lihat peristiwa-peristiwa penting yang telah berlaku hari ini sepanjang sejarah dunia.

Peristiwa

475 – Flavius Orestes mengambil alih ibu negara Empayar Rom Barat Ravenna, memaksa Maharaja Julius Nepos melarikan diri.

1565 – Pedro Menéndez de Avilés mengasaskan St. Augustine di Florida Sepanyol, petempatan Eropah yang sentiasa diduduki tertua di Amerika Syarikat.

1640 – Perang Biskop: Angkatan Scotland pimpinan Alexander Leslie menewaskan tentera Inggeris berhampiran Newburn, England.

1789 – Dengan teleskop berapertur 1.2 m (3.9 ka) baharunya, ketika itu yang terbesar di dunia, William Herschel menemui sebuah bulan Zuhal, kemudian dinamakan Enceladus.

1845 – Majalah sains popular Scientific American diterbitkan buat pertama kali.

1850 – Opera romantis Lohengrin oleh Richard Wagner dipersembahkan buat pertama kali di Weimar, Jerman kini.

1963 – Martin Luther King, Jr. menyampaikan ucapan "Saya Mempunyai Impian" di suatu perhimpunan politik di Washington, D.C., A.S.

2007 – Darurat diisytiharkan di Greece akibat kebakaran hutan yang berleluasa.

2013 - Pegawai Tentera Darat A.S. Nidal Malik Hasan dijatuhkan hukuman mati kerana membunuh 13 orang di Fort Hood, Texas pada 2009.

Kelahiran

1938 - Paul Martin, Perdana Menteri Kanada Ke-21.

1942 - José Eduardo dos Santos, Presiden Angola ke-2.

1963 - Jennifer Coolidge, pelakon Amerika Syarikat.

Kematian

1984 - Muhammad Naguib, Presiden Mesir pertama.

1992 - Mohd Asri bin Haji Muda, seorang Menteri Besar Kelantan ke-14.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Peristiwa Penting Hari Ini Dalam Sejarah Dunia (27 Ogos)

sumber: wikipedia

Sunday, August 27, 2017

Misteri Kellie's Castle, Bangunan Paling Berhantu Di Malaysia!

Misteri Kellie's Castle, Bangunan Paling Berhantu Di Malaysia!

Tentu anda sudah tahu bahawa Kellie's Castle di Batu Gajah, Perak, merupakan salah sebuah bangunan paling berhantu di Malaysia.

Kellie's Castle

Kellie's Castle, bangunan agam itu dibina pada tahun 1915 oleh William Kellie Smith, seorang peladang dari Scotland, sebagai hadiah cinta untuk isterinya, Agnes dan dua anak mereka, Helen dan Anthony.

Mengikut perancangan asal, apabila siap kelak, banglo itu akan mempunyai 14 bilik yang lengkap dengan lif, menara enam tingkat, gelanggang tenis serta lapangan hiburan.

Kos pembinaan Kellie's Castle adalah sebanyak 300,000 pound sterling. Seramai 70 orang pekerja dibawa dari Madras, India, untuk membinanya. Batu-batunya juga diimport dari india.

Malangnya, Kellie menghadapi masalah kewangan sebelum sempat banglo itu disiapkan.

Pembinaannya terbengkalai apabila dia meninggal dunia pada 12 Disember 1926 di Lisbon, Portugal, akibat radang paru-paru.

Kellie's Castle

Sejak itu, penduduk sekitar sering kali melihat jelmaannya berkeliaran sambil memerhatikan segenap sudut rumah.

Dia seolah-olah kecewa kerana tidak dapat menyiapkan banglo tersebut untuk tinggal disitu bersama isteri serta anak-anaknya.

Akhirnya Kellie's Castle digelar sebagai 'Istana hantu'.

Jadi, kalau anda cukup berani, datanglah bertandang. Huh.

BACA INI JUGA: 10 Tempat Paling Berhantu Dan Menyeramkan Di Malaysia

-SENTIASAPANAS.COM

England, Negara Samseng Bola Sepak Paling Ganas Di Dunia

England, Negara Samseng Bola Sepak Paling Ganas Di Dunia

Jika di Brazil bola sepak diibaratkan sebagai agama, di England bola sepak adalah satu kegilaan walaupun pasukan negara ini hanya pernah memenangi Piala Dunia sekali pada tahun 1966.

England Hooligan

Sekadar menjadi juara dunia hanya sekali, England yang merupakan tempat kelahiran permainan bola sepak moden tentulah tidak memiliki rekod yang boleh dibanggakan sangat.

England juga tidak mencatatkan rekod yang cemerlang dalam pertandingan peringkat kelab Eropah, walaupun kejohanan Liga Inggeris ditonton melalui televisyen oleh sebilangan besar penduduk dunia.

Walaupun terkenal gah dengan Liga Bola Sepak Inggeris (EPL), England turut memegang satu rekod bola sepak yang tidak menjadi kebanggaan kerajaan dan persatuan bola sepaknya.

England mempunyai penyokong bola sepak paling ganas di dunia dengan perlawanan antara dua kelab di stadium sering sahaja diiringi dengan pertempuran antara penyokong di luar stadium, yang kerap kali berakhir dengan kematian.

Penyokong Fanatik

Setiap kelab bola sepak di England mempunyai penyokong fanatik. Jika mereka menyokong sesebuah kelab, sokongan yang bermula daripada zaman kanak-kanak akan kekal hinggalah ke akhir hayat mereka.

Tidak ada penyokong yang berpaling tadah, walau bagaimana teruk sekalipun prestasi pasukan yang mereka sokong.

Bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair adalah penyokong setia kelab Newcastle dari dulu hingga sekarang.

Sebilangan besar mereka bukan sahaja memakai jersi pasukan pada setiap hari perlawanan, tetapi juga mempunyai tatu lambang kelab yang diabadikan di lengan atau bahu.

Mereka bukan sahaja memiliki tiket bermusim bagi semua perlawanan di gelanggang sendiri, tetapi juga sanggup mengambil cuti dan berbelanja besar untuk menghadiri perlawanan di tempat jauh.

Sebilangan penyokong datang ke stadium bukan sekadar untuk memberikan sokongan moral kepada pasukan mereka, tetapi membawa pisau dan rantai untuk membelasah para penyokong pasukan lawan.

Selepas minum bir selama berjam-jam sebelum perlawanan, bayangkanlah apa yang boleh berlaku di luar stadium. Dunia mengenali mereka dalam bahasa Inggeris sebagai footbal hooligan atau samseng bola sepak.

England adalah negara samseng bola sepak yang paling ganas di dunia anehnya, kumpulan-kumpulan samseng bola sepak yang bermusuhan di peringkat kelab ini, bersatu padu untuk menyokong pasukan England di peringkat antarabangsa.

Senarai panjang yang mengandungi gambar dan nama semua ketua dan anggota-anggota kumpulan samseng bola sepak England telah dibekalkan kepada polis Perancis.

Polis England menyimpan rekod penjenayah bola sepak itu selepas Akta Penyokong Bola Sepak dikuatkuasakan pada 1989 untuk membanteras keganasan yang semakin berleluasa di dalam dan luar stadium.

Di bawah undang-undang itu, mahkamah boleh mengeluarkan perintah melarang samseng bola sepak daripada menjejakkan kaki di mana-mana kawasan stadium di England. Mereka juga dihukum penjara jika ditangkap semasa bergaduh.

Malangnya, polis England hanya menyimpan senarai mereka yang pernah ditangkap atau dihadapkan ke mahkamah.

Hooligan, Samseng Bola Sepak

Siapa sebenarnya samseng-samseng bola sepak ini?

Beberapa tahun lalu, beberapa buku yang memberikan jawapan kepada banyak pertanyaan mengenai samseng bola sepak telah diterbitkan.

Kesemua buku itu ditulis oleh bekas samseng bola sepak yang telah menjalani hukuman penjara atas kesalahan terlibat dalam keganasan.

Ada di antara buku-buku itu telah dicetak beberapa kali kerana laris.

Buku yang mendedahkan maklumat paling menarik ialah Everywhere We Go yang ditulis oleh dua beradik - Dougie dan Eddy Brimson - yang menjadi kepala samseng kumpulan penyokong kelab Watford.

Mereka menafikan tanggapan umum kononnya samseng bola sepak ini hanya terdiri daripada golongan berpendapatan rendah.

"Orang-orang yang terlibat dalam keganasan bola sepak datang daripada pelbagai lapisan. Mereka menjadikan bola sepak sebagai saluran untuk mencari kelegaan daripada tekanan seharian di tempat kerja atau rumah.

"Saya kenal ramai orang yang berpendapatan tinggi dan golongan profesional yang terlibat secara langsung sama ada dalam mengendalikan kumpulan atau kegiatan ganas bola sepak.

"Sebenarnya, pada hari ini tidak ramai penganggur menyaksikan bola sepak kerana tiket masuk sangat mahal."

Dougie dan Eddy Brimson juga menjelaskan sebab-sebab mereka dan para pengikut mereka menjadi samseng bola sepak.

"Orang bergaduh kerana mereka suka bergaduh. Bola sepak hanya menjadi alasan untuk mereka bergaduh.

"Mereka menggunakan bola sepak sebagai alasan untuk membelasah orang lain kononnya untuk mempertahankan maruah pasukan, bandar atau negara mereka."

Dougie dan Eddy Brimson juga menafikan anggapan media kononnya samseng bola sepak tidak berminat sangat terhadap permainan itu, tetapi datang ke stadium semata-mata untuk bergaduh.

"Mereka ini sanggup berjalan jauh, berdiri atau duduk dalam hujan atau salji, semata-mata kerana menyokong pasukan mereka.

"Mereka sebenarnya sangat cinta dan setia kepada kelab mereka.

"Keganasan bola sepak adalah seperti menghisap rokok. Jika anda cuba sekali dan tidak suka, anda tidak akan melakukannya lagi. Tetapi jika anda cuba dan suka, amat sukar untuk berhenti.

"Tidak guna bertanya kenapa mereka terlibat dalam perbuatan ganas itu. Jika anda bertanya kaki judi atau kaki arak soalan yang sama, jawapannya juga adalah sama. Mereka suka berbuat begitu."

Samseng-samseng bola sepak ini juga terdiri daripada pelbagai kaum, tetapi sebilangan besar adalah orang kulit putih.

Seorang lagi bekas ketua kumpulan penyokong kelab Manchester United, Mickey Francis dalam bukunya Guvnors (nama kumpulan samseng bola sepak itu) menceritakan betapa media dan masyarakat telah berlaku tidak adil kerana menganggapnya penjenayah walaupun dia tidak pernah mencuri, merompak atau terlibat dalam dadah.

"Apa yang saya lakukan hanyalah bergaduh. Saya suka bergaduh kerana saya dibesarkan dalam masyarakat yang ganas. Saya tidak mempunyai belas kasihan terhadap sesiapa yang dibelasah."

Barangkali, keganasan bola sepak di England ini menggambarkan suatu perubahan sikap orang Inggeris yang pada suatu masa dulu berbangga dengan gelaran English gentlemen.

Orang Inggeris selepas 80-an semakin kasar dan ganas.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: 25 Tahun Liga Bola Sepak England (EPL)

sumber: utusan

Bunga Ros Yang Tidak Akan Layu Selama-lamanya!

Bunga Ros Yang Tidak Akan Layu Selama-lamanya!

Tahukah anda ada sebuah syarikat dikenali sebagai Forever Rose telah memperkenalkan kepada umum tentang bunga mawar (ros) yang mampu hidup selama-lamanya.

Forever Rose

Walau bagaimanapun, bunga ros itu hanya akan bertahan sekiranya diletakkan di dalam sebuah bekas khas atau kubah kecil (dome).

Apa yang ajaibnya, bunga ros ini mampu hidup dengan subur untuk tempoh abadi.

Kelebihan luarbiasa ini menjadikan bunga ros tersebut berjaya menarik perhatian ramai terutamanya jika anda pernah menonton filem gay 'Beauty and the beast'.

Menurut pengasas syarikat Forever Rose, Ebraheem Al Samadi, terdapat ramuan istimewa yang digunakan.

Bagaimanapun, bahan rahsia itu menjadi rahsia syarikat dan tidak akan didedahkan kepada umum.

Ebraheem Al Samadi

Apa yang pasti, selain dari bahan rahsia yang digunakan, bunga ros yang digunakan diimport dari pergunungan Ecuador yang kaya dengan sumber mineral.

Kelebihannya, kelopak bunga ros tumbuh sepuluh kali ganda lebih besar berbanding bunga ros lain.

Bunga ros ini juga didatangkan dengan lebih 30 jenis warna sebagai pilihan kepada orang ramai.

Dan jika bunga ros tersebut dikeluarkan daripada bekasnya, ia masih mampu hidup tetapi hanya bertahan selama tiga tahun tanpa sumber air dan cahaya matahari.

Sebenarnya, pada awal kemunculan bunga ros yang sangat unik ini, ia hanya dijual kepada kerabat diraja kerana keindahannya yang begitu ekslusif dan cantik.

Forever Rose

Namun, selepas mendapat permintaan, ia kemudiannya mula dijual kepada orang awam.

Harga bagi setiap hiasan Bunga Ros Abadi ini dijual antara USD$200 sehingga USD$4,000, bergantung kepada jenis hiasan dan bilangan kuntum.

Ada sesiapa yang berminat?

BACA INI JUGA: 'Jenazah Isteri Harum Seperti Bunga Ros, Balasan Mentaati Suami'

-SENTIASAPANAS.COM