Monday, June 26, 2017

Sambutan Hari Menentang Penyalahgunaan Dadah dan Perdagangan Haram Antarabangsa

Sambutan Hari Menentang Penyalahgunaan Dadah dan Perdagangan Haram Antarabangsa

Sambutan Hari Menentang Penyalahgunaan Dadah Antarabangsa, diadakan setiap tahun pada 26 Jun, sebagai peringatan kepada kita untuk memainkan peranan di dalam mewujudkan momentum ke arah dunia yang bebas daripada kemudaratan penyalahgunaan dadah.

Dadah

Kempen ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran terhadap masalah yang dibawa oleh dadah haram kepada masyarakat.

Tiada individu, keluarga ataupun masyarakat yang selamat jika sekiranya dadah haram mengambil alih.

Dadah-dadah tersebut mungkin boleh mengawal badan dan pemikiran seseorang yang mengambilnya, tanaman dadah dan pengedar-pengedar dadah mungkin mengawal petani yang menanamnya, perdagangan haram dan jenayah mungkin mengawal masyarakat.

Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) percaya bahawa mengambil dadah ATAU tidak adalah satu pilihan buat seseorang individu.

Pendidikan yang lebih baik dan kemahiran hidup amat diperlukan untuk memberitahu anak-anak muda tentang kesan-kesan buruk yang berpotensi disebabkan oleh dadah serta membantu mereka menolak sebarang tekanan untuk cuba menghampiri dadah.

Usaha-usaha diperlukan untuk meningkatkan kesedaran tentang bahaya dadah kerana ia merupakan suatu masalah sosial; bukan disebabkan ianya haram semata-mata.

Dadah penyebab masalah-masalah kesihatan dan mental. Apabila seseorang itu menjadi ketagih, ia boleh membawa padah kepada pengguna-pengguna dan mereka yang rapat dengan pengguna-pengguna tersebut. Apabila diambil secara intravena, ia boleh menyebarkan HIV.

Sebagai maklumbalas terhadap HIV dan dadah, kita mestilah berpandukan pengetahuan sains dan bukan berdasarkan ketakutan dan kejahilan.

Untuk memastikan keberkesanan di dalam perjuangan menentang HIV/AIDS dan membuat sesuatu yang betul, kita perlu memberi layanan yang lebih baik kepada pengguna-pengguna dadah, iaitu dengan memberi mereka penghormatan seperti kita memberi hormat kepada mereka yang mempunyai keperluan, dan yang berkeluarga.

Apabila kita membantu pengguna-pengguna dadah kekal bebas daripada HIV, kita juga melindungi pasangan-pasangan seks mereka, anak-anak yang bakal mereka perolehi di masa hadapan dan juga masyarakat secara amnya.

Usaha-usaha kami juga termasuk bekerja untuk mengurangkan bekalan – melalui penguatkuasaan undang-undang, dan bekerja dengan negara-negara yang mengeluarkannya agar dapat memberi para petani alternatif tanaman lain untuk menggantikan tanaman haram.

Melalui cara ini, kita mesti berusaha untuk menangani masalah kemiskinan dan juga bekalan dadah pada masa yang sama.

Ini merupakan cabaran-cabaran yang tidak mudah untuk ditangani. Tetapi kita tidak boleh putus asa kerana bilangan kematian yang disebabkan oleh dadah-dadah haram semakin meningkat di dalam masyarakat.

Di Malaysia sahaja, terdapat sekurang-kurangnya 300,000 orang yang telah menyalahgunakan dadah.

Sekiranya kita tidak melawan ancaman ini dengan sains dan juga ehsan, kita tidak akan dapat mengurangkan kesengsaraan mereka, atau orang yang disayangi oleh mereka.

Penyalahgunaan Dadah

Lebih kurang 200 juta orang di seluruh dunia menggunakan dadah-dadah haram, iaitu bersamaan dengan 5 peratus daripada penduduk global yang berumur di antara 15-64 tahun mengikut Laporan Dadah Sedunia 2006 daripada Pejabat Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu berkaitan Dadah dan Jenayah (UNODC).

Kanabis (ganja, hashish, THC) mendahului dengan 162 juta pengguna, manakala diikuti dengan ATS (amfetamin, methamfetamin, ekstasi, methkathinon) seramai 35 juta pengguna.

Secara global, dijangka lebih kurang 16 juta orang menggunakan opiat (opium, morfin, heroin, opiat sintetik) dan lebih kurang 13 juta orang menggunakan kokain.

Kebanyakan pengguna-pengguna heroin di Malaysia menyuntik dadah tersebut secara intravena.

BACA INI JUGA:

sumber: unicef

CoinBox, Servis Jual Dan Beli Bitcoin Di Malaysia

CoinBox, Servis Jual Dan Beli Bitcoin Di Malaysia

Bagi anda peminat Bitcoin, Malaysia sebenarnya sudah mempunyai perkhidmatan jual beli Bitcoin sendiri. Coinbox adalah ciptaan dan dibangunkan oleh anak tempatan Malaysia.

coinbox

Coinbox menyediakan perkhidmatan seperti:
  • Bitcoin Wallet (tempat menyimpan Bitcoin)
  • Trading (tukaran mata wang)
  • Jual Beli Bitcoin

Servis yang sangat pantas & rate yang tinggi. Yang paling penting adalah PERCUMA!

Coinbox bukan sahaja membantu rakyat Malaysia untuk mendapatkan Bitcoin, tetapi juga menyediakan pendapatan cukai ke Malaysia, tidak seperti syarikat asing yang terletak di luar Malaysia.

Kini rakyat Malaysia untuk membeli dan menjual Bitcoin di Coinbox, di mana anda boleh bertemu orang lain untuk bercakap dan berbual secara percuma.

Semua deposit Coin dan pengeluaran adalah PERCUMA. Anda hanya akan membayar yuran transaksi (miner fee).

Lapisan Keselamatan (Security Layer) secara percuma

Sistem Coinbox secara automatik mengesan tingkah laku pengguna dan akan menghalang mana-mana log masuk mencurigakan ke dalam akaun anda, yang melindungi wang anda dan bitcoin.

Coinbox menyediakan tambahan 2 faktor lapisan keselamatan pengesahan untuk ahli secara percuma tanpa sebarang kos tambahan.

Coinbox menggunakan enkripsi 256bit tertinggi termasuk audit keselamatan setiap hari.

Coinbox mematuhi standard  PCI DSS 6.6.

Coinbox berjalan 24 jam sehari, tanpa cuti. Anda boleh menggunakan servis Coinbox bila-bila masa & dimana sahaja.

Apa yang saya paling suka tentang COINBOX adalah, kadar tukaran Bitcoin ke Ringgit Malaysia atau Ringgit Malaysia ke Bitcoin adalah sangat tinggi berbanding dengan syarikat lain.

Coinbox menyediakan 2 akaun untuk kita deposit ke dalam sistem untuk membeli Bitcoin:
  1. Akaun syarikat Coinbox (caj tambahan 6%)
  2. Akaun peribadi pemilik COINBOX (tiada caj tambahan)

Jika kita sudah menjual Bitcoin dan mahu mengeluarkan duit ke dalam akaun bank kita, Coinbox boleh melakukan pengeluaran sepantas 24jam sahaja untuk kesemua jenis bank yang ada di Malaysia dengan kadar caj 1% dari jumlah pengeluaran.

Sangat mudah, cepat, murah dan selamat.

Saya sangat menyarankan kita semua menggunakan servis buatan Anak Malaysia, Coinbox.

NOTA: COINBOX dilaporkan tidak lagi boleh dilayari dan kami mencadangkan kepada anda LUNO bitcoin wallet sebagai alternatif untuk menyimpan, membeli dan menjual BITCOIN anda.

INFO TENTANG LUNO: LUNO Platform Membeli, Menjual Dan Mengumpul Bitcoin

BACA INI JUGA: Apa Itu Matawang Digital Bitcoin?

sumber: sifubitcoin

Sunday, June 25, 2017

10 Tips Buat Anda Yang Takut Berat Naik Selepas Raya

10 Tips Buat Anda Yang Takut Berat Naik Selepas Raya

Bila masuk raya ada yang dah mula risau dengan kawalan diet semasa hari pertama Aidilfitri lagi.

Tips+Raya

Sini saya ada beberapa tip dan trik diet bagaimana untuk elakkan berat badan naik mendadak semasa raya.

1. Silakan beraya

Hehe. Ini tip pertama untuk mereka yang nak diet masa raya. Jangan terperap saja di rumah.

2. Jimatkan kalori air manis

Ingat, fokus kita masa raya nanti adalah juadah makanan yang jarang kita dapat selain dari hari raya. Abaikan air manis. Bawa bekal air kosong banyak-banyak.

3. Jangan lupa, segelas air sirap sudah 110 kcal

Itu baru segelas. Kalau dua gelas? Kalau beraya banyak rumah? Huhu. Ingat. Air manis tak mampu hilangkan dahaga.

4. Amalkan syarat 20 minit makan

Untuk merasa kenyang perut ambil masa selama 20 minit untuk hantar isyarat kenyang. Ambillah masa untuk makan.

Bersembang dengan tuan rumah atau tetamu yang datang, sambil kunyah perlahan-lahan.

5. Dahulukan juadah berat

Ia akan buat kau lebih cepat kenyang. Hidangan berat ini termasuklah nasi, soto, bihun sup, atau apa saja selain dari kuih-muih yang gebu tu.

6. Dahulukan protin dari ayam atau daging

Yang penting bahagian protin yang dipilih haruslah yang paling kurang lemak. Contohnya dada ayam.

6. Jangan lebihkan kuah

Semasa nikmati juadah di hari raya kuantiti kuah juga amat penting. Ambil kering-kering saja terutama rendang.

Dahulukan isi berbanding kuah yang berlemak dan tinggi minyak. Begitu juga sup, jika terlalu masin tetap tidak bagus.

7. Bersenam di Hari raya

Ya. Siapa cakap kau tak boleh senam di hari raya. Banyakkan berjalan, tolong basuh pinggan, kemas rumah bahkan gosok baju pagi raya pun bakar kalori tau. Hehe. Aktifkan diri.

8. Kuih muih dan kerepek jadikan pilihan yang terakhir

Lepas kenyang makan yang berat, bolehlah jadikan kuih ini sebagai kudapan. Almond London saja sudah 70 kcal satu biji. Jadi pandai-pandailah bajet. Dua biji kuih satu rumah itu dah ok.

9. Senaraikan keperluan untuk makan semasa raya

Misalnya raya pertama kau dah cheat day. Raya kedua pun sama. Maka raya ketiga haruslah kembali ke darat. Jangan kelaut lama-lama sangat. Huhu.

10. Puasa 6

Ini antara yanh terbaik. Selain raih pahala setahun berpuasa ia juga dapat bantu untuk kau kembali reset balik diri untuk kembali ke landasan diet yang tepat.

Kesimpulan

Masa raya ini tak perlu terkurung saja dalam bilik. Kononnya alasan diet. Tak nak makan segala hidangan. Huhu. Tak bagus macam tu.

Masa raya ini tujuan kita adalah menyambung tali silaturrahim dan membina hubungan mesra sesama insan. Makanan tu hanya penghias suasana. Makanlah sekadar perlu.

Bila ziarah ke rumah orang, dahulukan untuk sembang mesra dan bukan fokus pada makan semata-mata. Kalian harus ingat Ramadan telah banyak ajar erti sabar.

Yang penting hilang 5kg masa Ramadan janganlah naik 10kg pula masa Syawal. Huhu. Inilah tip yang wajib saya buat setiap tahun.

Bab air kosong tu dalam kereta memang sentiasa asa bekal. Kahkah.

Semoga bermanfaat. Kau boleh share untuk simpanan dan maklum pada kawan-kawan yang lain.

Selamat Hari Raya ye..

BACA INI JUGA: Tips Beli Lemang Dari 'Pakar' Yang Anda Patut Baca

sumber: thevocket

Asal Usul Dodol, Dari Mana Datangnya Makanan Tradisi Ini?

Asal Usul Dodol, Dari Mana Datangnya Makanan Tradisi Ini?

Dodol adalah antara juadah popular tatkala menjelangnya hari raya. Masakan tradisional Melayu lama ini sehingga kini masih lagi mendapat tempat di hati masyarakat Malaysia.

Dodol

Tetapi dari manakah asal usulnya manisan ini? Dan bagaimana masayarakat dulu boleh terfikir untuk menjadikan ia sebagai hidangan istimewa yang mengambil masa berjam-jam untuk disiapkan?

Dodol dikatakan berasal dari Betawi, Indonesia. Seperti di Malaysia, ia dijadikan sebagai pemanis mulut istimewa semasa menjelangnya lebaran.

Kehadiran dodol yang berunsur beras di dalamnya adalah simbol kepada budaya agraria masyarakat Betawi dulu kala. Pada waktu itu, dodol dikatakan hanya untuk kalangan tertentu dan orang-orang kaya.

Perkataan "Dodol" ada tercatat dalam kamus tahun 1852 yang berjudul "A grammar and dictionary of the Malay language: with a preliminary.", Jilid 2 oleh John Crawfurd. Menurut kamus tersebut, perkataan "confectionery" memberi erti "manisan" atau "dodol".

Bagaimanapun, dodol turut terkenal di Singapura, Brunei, Filipina (terutamanya di Luzon dan Mindanao), Sri Lanka dan Myanmar di mana ia dipanggil "mont kalama".

Apa pun namanya, teknik membuat dodol tetap sama iaitu dengan menggunakan santan, gula perang atau gula melaka dan tepung beras sebagai ramuannya.

Di Malaysia, makanan tradisional ini lebih digemari dan terkenal di Melaka, Negeri Sembilan dan Muar, Johor. Berlainan dari negeri-negeri lain, di Negeri Sembilan, masyarakat di negeri itu menamakan dodol sebagai "penganan".

Selain dodol berwarna coklat biasa, kini dodol mempunyai banyak perasa lain. Yang paling popular ialah dodol perasa durian yang dipanggil lempuk.

Ia berwarna kuning dan lebih popular di Thailand, Kelantan dan Terengganu. Dodol durian juga popular di Medan, Indonesia dan bandar-bandar lain di Sumatera.

Tetapi tahukah anda di Goa, India, dodol dimakan sewaktu menjelangnya perayaan Krismas? Ia dipanggil sebagai "halwa" di India dan Afrika Timur.

Halwa biasanya diperbuat dengan gula, susu, tepung gandum, semolina dan juga tepung jagung.

Lain pula di Bali, dodol di sana dijual di dalam daun jagung yang kering. Makanan tradisional ini juga telah terkenal di negara-negara Timur Tengah.

Boleh dikatakan, masyarakat Indonesia adalah antara yang paling kreatif dalam menghasilkan dodol. Terdapat pelbagai jenis dodol yang anda boleh cuba di sana.

Antaranya adalah dodol garut, dodol kacang hijau, dodol bengkoang, dodol nangka, dodol ubi talam, dodol sirsak (durian belanda), dodol tomato, dodol pita, dodol apel malang, dodol salak, dodol rumput laut, dodol pisang, dodol nanas, dodol mangga dan dodol lidah buaya.

Di Malaysia, "Dodol Pilah" adalah salah satu yang paling popular dan anda boleh mendapatinya di R&R Jemapoh di sepanjang Jalan Kuala Pilah-Bahau, Negeri Sembilan.

Sedikit berlainan dengan dodol biasa, di sini mereka menggunakan gula enau/gula kabung dan bukannya gula Melaka. Rasa dodol yang dihasilkan lebih enak dan berlemak.

Proses membuat dodol juga bukanlah dalam masa yang singkat. Ia memerlukan masa yang agak lama sekitar 4 jam hingga 8 jam bergantung kepada kuantiti bahan-bahannya.

Dodol

Ya, memang lama. Pernah atau tidak anda terfikir bagaimana orang dulu kala boleh menghasilkan makanan ini yang mana ia mengambil masa yang lama untuk masak?

Kami sendiri tidak tahu jawapannya tetapi ia boleh dikatakan sangat-sangat unik!

Dodol hendaklah sentiasa dikacau dari awal menyediakannya sehinggalah masak. Ini adalah untuk memastikan segala bahan yang digunakan dapat bercampur sebati. Proses mengacau dodol ini memerlukan lebih daripada seorang.

Sebabnya adalah tekstur dodol akan berubah menjadi likat. Jadi ia akan menjadi lebih sukar untuk dikacau.

Kata orang seelok-eloknya bergilir-gilirlah mengacau dodol. Kalau tidak nanti boleh sakit pinggang dibuatnya.

BACA INI JUGA: Asal Usul Kuih Popia

sumber: says

6 Perangai Yang Kita Selalu Jumpa Semasa Hari Raya

6 Perangai Yang Kita Selalu Jumpa Semasa Hari Raya

Menyambut Hari Raya Aidilfitri. Excited betul rasanya. Yelah, raya ni kan setahun hanya sekali saja!
Kata orang waktu inilah kita berpeluang berkumpul dengan adik-beradik dan saudara-mara yang sudah lama tidak berjumpa.

Lucu Hari Raya

Antara yang paling gembira sewaktu lebaran nanti pastinya kanak-kanak kerana waktu inilah untuk mereka kumpul duit raya banyak-banyak sampai tak cukup tabung.

Manakala, aktiviti kunjung-mengunjung juga pastinya akan memeriahkan lagi suasana raya itu nanti.

Tambahan lagi kalau sudah lama tak jumpa. Pastinya banyak cerita yang akan dikongsi bersama sambil makan rendang, ketupat, lemang, lontong dan macam-macam lagi. Seronoknya!

Tapi kan, bila bercakap pasal raya, korang mesti akan jumpa perangai-perangai biasa yang selalu ada sewaktu hari raya ni. Betul tak?

1. Beraya tak sampai 5 minit

Ini selalunya terjadi bila tetamu kita tu kanak-kanak. Diorang ni kadang-kadang bila datang boleh penuh satu rumah.

Tapi itulah selalunya bukan nak raya sangat pun. Kadang-kadang kuih pun tak nak makan sebab diorang ni datang nak duit raya je. Hahaha..

2. Suka tanya "bila nak kahwin?"

Soalan ini adalah soalan paling popular sekali sewaktu hari raya. Buat sesetengah orang ini boleh dikira sebagai soalan maut. Kalau kena tanya soalan ni rasa nak lari je.

Haha... selalunya yang suka tanya soalan ni mestilah mak-mak sedara kita. Yelah, anak dia semua dah kahwin, peliklah bila tengok korang yang tak kahwin-kahwin tu.

Agak-agak kalau kena tanya soalan macam ni korang akan jawab apa? :P

3. Complain duit raya sikit

Ada juga jenis yang suka complain bila dapat duit raya sikit. Kadang-kadang tu bila kita beri angpau dekat diorang, dengan slumber je di buka depan kita dan cakap "banyak ni jer?"

Amboi tu pun nasib baik ada kan? Kalau ikutkan malas nak bagi haha..

4. Menyorok dalam bilik

Haaa.. agak-agak korang pernah buat tak perangai macam ni? Bila ada orang datang rumah je mesti akan berlari menyorok masuk bilik.

Alasannya segan, padahal malas nak tolong mak siapkan apa patut kat dapur tu kan?

5. Asyik tanya "tahun ni SPM ke?"

Inilah jadinya bila jumpa setahun sekali. Umur kita sendiri pun sedara mara tak tahu. Daripada kita sekolah sampailah dah bekerja pun diorang masih ingatkan kita tingkatan 5.

Kadang-kadang dah naik letih nak jawab kan?

Hahaha... tapi nak buat macam mana, biasalah tu orang tua-tua ni ingatan tak berapa nak kuat lagi dah. Hehe..

6. Tak bagi tetamu tolong

Rasanya peranagai macam ni hanya ada pada kaum ibu saja. Mak-mak korang pun mesti macam ni kan.

Bila ada tetamu datang dan bila tetamu nak tolong kemas ke apa mesti mak kita tak bagi. Ayat biasa yang sering kita dengar "takpe, letak je situ tak payah basuh."

Last-last kita juga yang kena. Masuk dapur je tengok dah berlonggok pinggan mangkuk dalam sinki. Haha!

BACA INI JUGA: 7 Sunnah Dan 7 Kesilapan Menyambut Hari Raya

sumber: says

Peristiwa Penting Hari Ini Dalam Sejarah Dunia (25 Jun)

Peristiwa Penting Hari Ini Dalam Sejarah Dunia (25 Jun)

Tarikh 25 Jun merupakan hari ke 176 (hari ke 177 dalam tahun lompat) dalam kalendar Gregory dan tinggal 189 hari lagi sebelum memasuki tahun selepasnya.

Michael Jackson

Hari ini juga merupakan sambtan Hari Taraf Negara di Croatia dan Slovenia dan Hari Kemerdekaan di Mozambique (1975).

Peristiwa

1876 - Perang Black Hills: Kolonel Tentera Darat Amerika Syarikat George Armstrong Custer (gambar) terbunuh dalam Pertempuran Little Bighorn.

1919 - Aircraft Transport and Travel (AT&T) melancarkan penerbangan perdagangan yang pertama di dunia dengan penerbangan antara London dan Paris.

1950 - Perang Korea bermula dengan serangan awal fajar Korea Utara melintasi paralel utara ke-38 ke Korea Selatan.

1967 - Lebih 400 juta orang di seluruh dunia menonton Our World, rancangan televisyen satelit antarabangsa langsung yang pertama.

1991 - Croatia dan Slovenia mengisytiharkan kemerdekaan daripada Yugoslavia.

1996 - Pengeboman Menara Khobar di Khobar, Arab Saudi menyebabkan kematian 19 anggota tentera Amerika Syarikat dan seorang Saudi, serta 372 orang berbilang kewarganegaraan cedera.

2006 - Askar Israel Gilad Shalit diculik Hamas dalam satu serangan rentas perbatasan di Genting Gaza, dan ditahan sehingga 2011.

2012 - Calon Parti Kebebasan dan Keadilan Mohammed Mursi secara rasmi terpilih sebagai Presiden Mesir.

2013 - Amir Qatar Syeikh Hamad bin Khalifa Al Thani menyerahkan kuasa kepada puteranya Tamim bin Hamad Al Thani.

Kelahiran

1936 - Jusuf Habibie, Presiden Indonesia ke-3.

Kematian

1861 - Abd-ul-Mejid I, Sultan Empayar Uthmaniyyah.

2009 - Bintang pop Michael Jackson akibat kegagalan jantung, usia 50 tahun.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Peristiwa Penting Hari Ini Dalam Sejarah Dunia (24 Jun)

sumber: wikipedia

Bitcoin Wallet Untuk Menyimpan Bitcoin Secara Online

Bitcoin Wallet Untuk Menyimpan Bitcoin Secara Online

Bitcoin Wallet adalah aplikasi perisian untuk menyimpan bitcoin. Ia adalah dompet yang anda boleh gunakan untuk berbelanja menggunakan bitcoin dan juga untuk menerima bitcoin.

Bitcoin Wallet

Ia berfungsi seperti akaun bank online, tetapi boleh diakses sebagai wang tunai dalam dompet biasa.

Sebelum memperoleh sebarang bitcoin, anda WAJIB mempunyai wallet Bitcoin. Ini untuk mengumpul satoshi yang anda kumpul secara percuma.

Dimana Saya Nak Dapatkan Wallet Untuk Menyimpan Bitcoin Saya?

Terdapat banyak laman web yang menyediakan wallet untuk bitcoin, namun kita boleh memilih wallet mana yang sesuai untuk kita, kerana setiap wallet ada perbezaan masing masing.

Wallet ada dua jenis, iaitu:
  1. Desktop
  2. Laman Web

Untuk desktop kita kena download software yang telah disediakan untuk mengakses wallet. Saya memilih laman web, kerana ianya lebih mudah.

Bergantung kepada tahap keselamatan yang anda mahu, wallet yang berbeza akan memberikan peringkat keselamatan yang berbeza.

Kesimpulannya, sebelum anda menceburi dunia cryptocoin bitcoin ni, anda WAJIB memiliki wallet bitcoin untuk menyimpan balance bitcoin anda.

Senarai pilihan Bitcoin Wallet

1. Blockchain.info

Untuk membuat Bitcoin Wallet di web online, saya mengesyorkan Blockchain.info kerana Blockchain boleh diakses menggunakan website, Andoid app & IOS app.

2. Coinbox.biz

Coinbox.biz juga merupakan pilihan terbaik terutamanya bagi pengguna di malaysia. Buat masa ini, tiada app untuk Andoid & IOS.

Tetapi mereka memberi perkhidmatan wallet bitcoin, dagangan semasa, jual beli bitcoin dan topup kredit telefon bimbit anda.

Melalui Coinbox, pengguna boleh transfer Bitcoin ke akaun bank tempatan masing-masing.

***

Banyak lagi sebenarnya pilihan lain Bitcoin Wallet diluar sana yang anda boleh pilih, tetapi saya cuba berikan buat anda Wallet terbaik yang saya gunakan juga.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: 7 Sebab Untuk Melabur Dalam Bitcoin

-SENTIASAPANAS.COM

Saturday, June 24, 2017

Skandal 1MDB Secara Ringkas, Berapa Banyak Wang Yang Hilang?

Skandal 1MDB Secara Ringkas, Berapa Banyak Wang Yang Hilang?

Mungkin sesetengah kita masih keliru tentang skandal 1MDB melibatkan ‘kehilangan’ puluhan bilion ringgit wang negara.

NAJIB+1MDB

Apa yang pasti, skandal terbesar dalam sejarah Malaysia ini telah membabitkan nama Perdana Menteri, Najib Razak sendiri.

Ramai yang tertanya-tanya apa dan berapakah jumlah nilai yang telah diseleweng serta apa pula kaitannya dengan rakyat Malaysia.

Bercakap dalam Sidang Meja Bulat Selamatkan Malaysia, Tony Pua berkata, jumlah wang yang ‘digelapkan’ ialah AS$5.612 bilion atau RM24.7 bilion.

RM24.7 bilion jumlah pelaburan yang ‘diangkat’ dari akaun 1MDB sudah hilang.

Ini tak termasuk kerugian daripada aktiviti dan transaksi ‘rasmi’ seperti pengambilalihan syarikat penjanakuasa, fi (caj) melampau kepada Goldman Sachs, diskaun bon luar biasa, pelaburan hartanah dan sebagainya.

Apa dan berapa jumlah yang diseleweng?

1) AS$1.83 bilion – Pelaburan Petrosaudi

2) AS$1.367 bilion – “Cagaran” Aabar (BVI)

3) AS$0.855 bilion – “Cagaran Tambahan” Aabar (BVI)

4) AS$1.56 bilion – Pelaburan 1MDB “Global Investment”

Jumlah: AS$5.612 bilion atau RM24.7 bilion

1MDB bukanlah agensi kerajaan. Namun, apa yang pasti, 1MDB ialah syarikat pembangunan milik penuh Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Kewangan Malaysia. Kerajaan juga turut memberi beberapa pinjaman dan jaminan hutang yang dibuat oleh syarikat itu.

Jumlah jaminan hutang, pendahuluan dan lain-lain bayaran yang dijamin kerajaan berjumlah RM39.8 bilion dan ini belum termasuk pinjaman lain yang melibatkan projek Bandar Malaysia, Tun Razak Exchange (TRX) dan lain-lain.

Berikut disenaraikan apa dan berapa yang terpaksa ‘ditanggung’ rakyat Malaysia:

5) RM5.0 bilion – Bon 30 tahun jaminan kerajaan (2009)

6) RM0.8 bilion – Pinjaman 10 tahun dari SOCSO pada 2010 (dijamin kerajaan)

7) US$3.5bn – Bon 10 tahun dijamin IPIC yang ditanggung MOF Inc (Kementerian Kewangan Diperbadankan) (2012)

8) AS$3.0 bilion – Bon 10-tahun, “Surat sokongan” kerajaan (2013)

9) AS$1.0 bilion – Pendahuluan IPIC, ditanggung by MOF Inc (2015)

10) AS$0.23 juta – Bayaran faedah oleh IPIC, ditanggung MOF Inc (2015/6)

Jumlah = RM5.8 bilion + AS$7.73 bilion = RM39.8 bilion

11) Oleh kerana hutang 1MDB terlalu besar dan membebankan, kerajaan terpaksa pula ‘tutup lubang’ hutang 1MDB melalui Projek East Coast Rail Link (ECRL) yang berjumlah RM30 bilion melibatkan syarikat China Communications & Construction Company (CCCC).

Bagaimana hutang 1MDB ditutup?

Kos Projek East Coast Rail Link (ECRL) ialah RM30 bilion manakala kontrak yang ditawar kepada CCCC berjumlah RM55 bilion.

Persoalannya, jika kos projek ECRL berjumlah RM30 bilion, mengapa kontrak yang ditawar kepada syarikat dari negara China itu mempunyai lebihan RM25 bilion?

“…kekhuatiran terbesar rakyat Malaysia bahawa projek dengan kos berlebihan sebanyak RM55 bilion ECRL ini merupakan cubaan untuk menyedut sehingga RM25 bilion untuk membayar hutang 1MDB, bagi menutupi puluhan bilion ringgit yang telah diubah secara haram di luar negara” – Petikan dari kenyataan bersama pimpinan Pakatan Harapan bertarikh 15 November 2016.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: 5 Watak Terbaharu Diburu DOJ Skandal 1MDB

sumber: roketkini

8 Cara Menyambut Hari Raya Menurut Sunnah Nabi SAW

8 Cara Menyambut Hari Raya Menurut Sunnah Nabi SAW

Setelah sebulan menahan nafsu, lapar dan dahaga alangkah baiknya jika hari raya disambut mengikut syariat Islam.

Hari Raya

Terdapat pelbagai amalan baik yang boleh dilakukan untuk menyambut hari raya Aidilfitri sesuai dengan ajaran Rasulullah SAW yang mana baginda telah menunjukkan contoh terbaik meraikan Aidilfitri.

Antara cara terbaik menyambut hari raya adalah:

1. Bertakbir

Melaungkan takbir adalah disyariatkan pada hari raya Aidilfitri yang mana waktu yang dibolehkan bertakbir adalah pada malam hari raya sehinggalah solat sunat hari raya.

Digalakkan untuk terus bertakbir di tempat yang sesuai asal saja tidak sampai membuat orang lain merasa terganggu.

2. Mengucapkan selamat hari raya Aidilfitri dengan doa

Kebiasaannya kita akan mendengar saudara mara, rakan dan taulan mengucapkan "selamat hari raya, maaf zahir batin".

Tetapi ada ucapan yang lebih bertepatan dengan sunnah yang mana dilafazkan oleh para sahabat baginda yang berupa satu doa.

Lafaznya berbunyi, 'Taqaballahu Minna wa minkum' yang maksudnya: Semoga Allah menerima amalan kami dan amalan kamu.

Jadi, apa kata kita ubah sedikit cara pengucapan kita yang mana di samping mengucapkan selamat hari raya, maaf zahir batin, kita panjatkan sama doa ini.

Moga-moga Allah mendengar doa kita dan menerima segala amal kebaikan kita dalam bulan Ramadhan yang telah berlalu.

3. Melakukan Qiamullail

Sesuatu amalan yang baik adalah amalan yang walau sedikit tetapi dilakukan secara istiqomah.

Pastinya ramai orang mengambil kesempatan di bulan Ramadhan untuk memperbanyakkan amalan seperti membaca Al-Quran, berzikir, bersedekah di samping melakukan Qiamullail yang mana setiap amalan dijanjikan pahala berlipat kali ganda.

Menjelang syawal, janganlah pula kita tinggalkan amalan-amalan ini, sebaliknya teruskan segala amalan baik ini dengan istiqamah untuk meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah.

4. Mandi sunat Aidilfitri

Sebelum menunaikan solat sunat Aidilfitri, anda disunatkan mandi, bersugi dan membersihkan diri.

Disunatkan memakai bau-bauan yang wangi bagi orang lelaki dengan bauan yang sederhana.

Janganlah anda mengabaikan kebersihan diri agar tidak mengganggu jemaah lain untuk melakukan ibadah dengan bauan anda yang tidak menyenangkan.

5. Makan sebelum solat Aidilfitri

Berpuasa pada hari raya pertama adalah haram. Sesuai dengan amalan Rasulullah, baginda akan makan sebelum menunaikan solat sunat Aidilfitri.

Nabi Muhammad SAW akan makan beberapa biji tamar dalam bilangan yang ganjil sebelum menunaikan solat sunat Aidilfitri.

Bagi anda, jika tiada tamar, makanlah apa saja, asalkan baik dan dari sumber yang halal sebagai tanda mengikut sunah nabi.

6. Memakai pakaian yang baik

Pakailah pakaian yang terbaik pada pagi hari raya seperti yang disunatkan. Imam Syafie pernah berkata, "Aku lebih menyukai seseorang memakai pakaian terbaik yang dimilikinya pada hari raya, hari Jumaat, di majlis perkahwinan dan pakailah wangi-wangian.

Kaum wanita juga disunatkan memakai pakaian yang terbaik tetapi janganlah tabarruj iaitu berlebihan sehingga menjadi zina mata dan fitnah.

7. Berjalan kaki ke tempat solat

Rasulullah SAW menuju ke tempat solat dengan berjalan kaki melalui jalan yang berbeza pergi dan balik.

Rasulullah melakukan amalan tersebut supaya baginda dapat bertemu dengan sahabat yang berbeza di sepanjang perjalanan.

Hikmah daripada perbuatan baginda ialah silaturrahim yang dicipta antara Baginda dan para sahabat semakin erat dan mereka dapat bertemu serta bersalam salaman sambil mengucapkan Selamat Hari Raya dan berdoa untuk satu sama lain.

8. Menunaikan solat sunat Hari Raya Aidilfitri

Solat sunat Aidilfitri boleh sahaja dilakukan di mana-mana sama ada secara berjemaah di masjid, surau ataupun di tempat-tempat yang dikhaskan untuk solat Hari Raya ataupun dilakukan secara bersendirian di rumah.

Rasulullah SAW ketika dahulu mengadakan solat sunat hari raya di kawasan lapang dan bukan di masjid.

Ini bagi membolehkan baginda berdakwah dalam apa jua keadaan dan menyampaikan ilmu melalui khutbah ke seluruh umat semasa mereka berkumpul termasuk wanita yang sedang haid.

Selamat menyambut hari raya.

BACA INI JUGA: Pemberian Duit Raya, Sedekah Atau Beban?

sumber: edisirakyat