Monday, December 05, 2016

Faiz Subri Pemenang Anugerah Puskas Fifa 2016!?

Faiz Subri Pemenang Anugerah Puskas Fifa 2016!?

Ketika bola sepak negara tidak menunjukkan tanda-tanda ke arah pencapaian lebih tinggi, Faiz Subri menjadi 'penyelamat'.

Faiz Subri

Gol Mohd Faiz Subri sememangnya nasib. Tetapi ia adalah nasib yang baik. Malah bukan saja nasib baik untuk dirinya sendiri sebagai pemain bola sepak, bahkan terbias menjadi nasib yang membanggakan seluruh Malaysia.

Kemaskini: Faiz Subri Muncul Pemain Pertama Asia Menang Anugerah Puskas Fifa

Cukuplah perdebatan tentang jaringan luar biasa Faiz sama ada nasib atau tidak. Sudah jelas ia mempunyai kelas tersendiri sehingga mendapat tempat di pentas antarabangsa.

Bola sepak Malaysia sekurang-kurangnya dikenali dunia untuk sebab yang betul. Sebab yang tidak betul ialah jika Malaysia terkenal - misalnya - kerana skandal rasuah, seks, atau penganiayaan.

Walaupun kehebatan Faiz hanya dipertaruhkan melalui rakaman video, orang luar akan sedar adanya negara Malaysia dan mampunya pemain negara ini mencipta tendangan gol begitu cantik.

Kata penyair besar Indonesia - Chairil Anwar - "Nasib adalah kesunyian masing-masing".

Dan nasib Faiz hadir dalam bentuk kegembiraan yang mengubat kekecewaan kita terhadap sukan bola sepak negara.

Sebaik dicalonkan dalam 10 penjaring gol tercantik bagi dicalonkan sebagai penerima Anugerah Puskas Fifa 2016, Faiz sudah mencipta sejarah.

Faiz Subri bukan sekadar hidangan 'nasi kandar' penyedap rasa tetapi adalah calon yang selayaknya menang Anugerah Puskas Fifa 2016.

Di kakinya ada tuah

Kini, pemain tengah berusia 29 tahun itu telah dipilih sebagai tiga calon akhir untuk merebut gelaran berprestij itu.

Faiz menyifatkan ia sebagai satu bonus dan berlapang dada untuk apa jua keputusan diumumkan pada 9 Januari depan. Semoga nasib baik memihak kepada anak kelahiran Ayer Hitam itu lagi.

Secara ringkas peminat bola sepak yang mengikuti perkembangan pemain kelahiran Kedah ini pasti tidak akan menganggap gol tersebut sebagai 'nasib', atau bahasa mudah sebagai 'tidak sengaja'.

Sepanjang perjalanan bola sepak Faiz, jaringan-jaringan yang dilakukan sebelum gol istimewa itu boleh dikatakan ada kesinambungan meyakinkan.

Di kakinya ada 'tuah' yang menyusuli bakat bola sepak itu sendiri. Kita boleh menyaksikan bagaimana gol-gol yang dihasilkan Faiz Subri sebelum ini.

Jaringan Faiz terhasil dengan kesempurnaan teknik

Seperti dinyatakan bekas jurulatih Pulau Pinang Jacksen Ferreira Tiago sebelum ini, dia selalu melihat Faiz berlatih melakukan tendangan bebas.

Kata Tiago, tendangan ala Roberto Carlos itu pernah dilakukan Faiz sama ada ketika latihan atau dalam perlawanan sebenar dan dia tidak terkejut.

Jurulatih kelahiran Brazil itu percaya, tendangan Faiz adalah hasil usahanya selama ini yang tak jemu mencuba sebelum menghasilkan keajaiban.

Untuk mengulangi lagi pastinya sukar. Sesuatu yang istimewa tidak sering berlaku walaupun menjadi lumrah manusia selalu mengharap.

Akhirnya, waktu ini bukan lagi untuk kita berdebat jaringan Faiz itu tidak disengajakan, nasib atau kebetulan.

Sekarang waktu untuk kita memberi sokongan penuh kepada pemain Malaysia pertama yang sedang mengukir nama dalam sejarah bola sepak dunia.

Faiz sudah menyingkirkan bintang dunia seperti Lionel Messi dan Neymar. Sedikit sebanyak meruntuhkan ego kehebatan Argentina dan Brazil sebagai kuasa besar bola sepak dunia.

Walaupun Brazil masih mempunyai wakil sebagai pencabar melalui Johnath Marlone Azevedo da Silva di samping cabaran pemain wanita dari Venezuela, kitalah akan menentukan nasib Faiz seterusnya.

Sebelum entah bila lagi pemain bola sepak Malaysia akan dicalonkan dan menang Anugerah Puskas Fifa lalu membanggakan negara lagi, mari kita beri undian sebanyak mungkin kepada Faiz.

Kita semua pastinya mahu melihat kelibat pemain dari Malaysia berada di atas pentas, menang Anugerah Bola Sepak Terbaik Fifa 2016 di Zurich nanti.

Jom undi Faiz Subri Finalists Fifa Puskas Award 2016.

BACA INI JUGA: Apa Itu Anugerah Puskás FIFA?

Sumber: MK

Misteri Kebakaran Besar Israel Terbongkar!

Misteri Kebakaran Besar Israel Terbongkar!

Apabila berlaku sesuatu yang melibatkan Israel, ia pasti mengundang kontroversi termasuk kebakaran besar yang melanda negara itu sekarang. Ramai orang terus membuat kesimpulan itu adalah pembalasan tuhan.

Kebakaran Israel

Lebih-lebih lagi apabila insiden kebakaran tersebut dikaitkan dengan larangan azan menggunakan pembesar suara oleh rejim Zionis baru-baru ini yang turut menyaksikan seorang anggota Parlimen berketurunan Arab, Ahmed El-Tibi melaungkan azan di dalam Knesset, dewan Parlimen Israel.

Sebenarnya, ramai tidak tahu bahawa siri kebakaran dalam skala besar bukanlah sesuatu yang luar biasa di negara Yahudi itu sejak beberapa tahun kebelakangan.

Apa yang berlaku ada kaitan dengan pendekatan Jewish National Fund (JNF) yang sejak 1930an telah menanam pokok pine di beberapa kawasan pedalaman negara itu sebagai kaedah terancang menyembunyikan tindakan jahat rejim Zionis merampas dan memusnahkan kawasan penempatan penduduk Palestin.

Mereka menanam pokok pine di tapak bekas penempatan itu demi menghilangkan imej asalnya sebagai tanah kediaman yang dirampas.

Gilad Atzmon, seorang aktivis Yahudi yang pro Palestin dalam artikelnya, Why Israel is Burning? disiarkan www.gilad.co.uk pada 25 November lalu, mendedahkan bahawa sejak 1936, JNF telah menaman 1.7 juta pokok di tanah seluas 1,750 hektar. Dalam tempoh 50 tahun, lebih 260 juta pokok pine ditanam di seluruh Israel.

Apa tujuannya?

Selain menyembunyikan kesan tindakan jahat mereka merampas tanah milik orang Palestin, strategi menaman pokok pine juga bermotif untuk mengeropahkan bumi padang pasir itu.

Ini ada kaitan dengan asal usul pendatang haram Israel yang kebanyakannya adalah imigran dari negara-negara Eropah.

Atas sebab itu, mereka mahu menjadikan tanah yang dijarah sama seperti daerah asal mereka. Dikelilingi hutan pine adalah satu daripada caranya.

Little Switzerland

Kerana itu, mereka bukan sahaja perlu memusnahkan imej kesan penempatan Palestin yang ada malah pokok zaitun sebagai tanaman asal juga perlu dihapuskan dan ditukarkan dengan pine.

Lantaran banyaknya pine yang ditanam, kawasan pergunungan Carmel, salah satu bahagian pergunungan Palestin (Israel) kemudiannya dikenali dengan julukan ‘Little Switzerland’.

Bagaimanapun pada 2010, kawasan Little Switzerland terbakar dan yang tinggal kini hanya sejarah, juga impian orang Yahudi yang tidak kesampaian untuk hidup di kawasan yang persis suasana Eropah.

Wilayah Israel yang beriklim subtropika adalah bercuaca panas. Salah satu kawasannya, Tirat Zvi di Lembah She'an yang bersempadan dengan Jordan termasuk antara 10 kawasan paling panas di dunia dengan suhu mencecah 47.2 hingga 53.8 darjah selsius.

Menurut Atzmon, pokok pine yang sinonim dengan iklim sederhana memang sukar untuk beradaptasi dengan persekitaran seperti itu, sama dengan orang Yahudi yang tidak dapat berasimilasi dengan masyarakat Arab di sekeliling mereka.

Ini ditunjukkan dengan fakta bahawa daripada 10 anak pine yang ditanam, hanya empat yang mampu hidup.

Lalu apa kaitannya dengan kebakaran yang sedang berlaku di Israel?

Pokok Pine

Pokok pine adalah jenis kayu yang mudah terbakar. Di negara beriklim sederhana (seperti yang sedang berlaku di Amerika Syarikat) kebakaran hutan yang berlaku pada musim panas lazimnya berpunca daripada kayu pine.

Pengganas

Justeru, ia amatlah tidak sesuai untuk ditanam di kawasan bercuaca panas seperti Israel. Adanya beribu-ribu hektar hutan pine di negara itu adalah seumpama mewujudkan zon maut setiap kali tiba musim panas.

Atas sebab itulah, pakar menjangkakan kebakaran besar-besaran yang sedang berlaku di Israel akan berlarutan untuk tempoh beberapa tahun akan datang jika langkah pencegahan tidak dilakukan dengan berkesan.

Siapa Gilad Atzmon?

Gilad Atzmon yang menghebahkan perkara ini kepada dunia, kini jadi sasaran kecaman orangnya sendiri.

Meskipun lahir dalam keluarga Yahudi totok, pada usia dewasanya, dia lantang menentang kekejaman Zionis terhadap orang Palestin malah secara terang-terangan menyelar pengusiran bangsa pribumi itu.

Tulennya keyahudian keluarga Gilad Atzmon, datuknya adalah komandan organisasi pengganas Zionis, Irgun yang dikepalai oleh Menachem Begin, bekas Perdana Menteri Israel.

Ketika usianya mencecah 17 tahun, Gilad Atzmon menyertai pasukan tentera kerahan Israel Defense Force (IDF) dan diserap dengan doktrin Zionisme yang ekstrem.

Sepanjang tempoh itu, dia terlibat dengan beberapa siri pertempuran termasuk ketika Perang Enam Hari pada Jun 1967 yang dimenangi tentera Zionis sekali gus merampas Baitulmaqdis (Jerusalem) dan Tebing Barat daripada penguasaan orang Arab.

Jiwa Gilad Atzmon bagaimanapun berubah 180 darjah apabila dia mula mendalami muzik jazz yang telah menyerapkan falsafah kedamaian menerusi melodi ke dalam diri dan kehidupannya. Sejak itu, dia mula mengelak setiap kali ada panggilan untuk tugasan ketenteraan.

Gilad Atzmon mulai sedar bahawa dasar dan tindak-tanduk Israel tidak harus didukungi oleh seorang insan yang berakal waras sepertinya lalu pada 1994, dia berhijrah ke United Kingdom.

Gilad Atzmon

Dia meninggalkan Tel Aviv dengan keyakinan bahawa Israel harus angkat kaki dari tanah yang dijajah atas dua sebab; pertama kerana bumi yang diduduki itu sememangnya dan selamanya adalah milik orang Palestin.

Kedua, dia percaya bahawa selagi pemimpin dan rakyat Israel berpegang jati politik yang rasis dan bongkak, Zionisme tidak akan bermetamorfosis menjadi ideologi yang berupaya untuk menunjukkan tahap peradaban manusia yang bertamadun.

Sejak itu, Gilad Atzmon aktif menulis meluahkan pandangannya untuk menunjukkan kepada dunia betapa tidak adil kaumnya sendiri yang dirasuk oleh ketamakan dan kesombongan hingga sanggup berlaku kejam terhadap mereka yang lebih berhak, iaitu orang Palestin yang telah berdekad-dekad dizalimi.

Selain buku dan makalah, Gilad Atzmon yang juga seorang saksofonis turut memperjuangkan seruan keadilan untuk bangsa Palestin menerusi konsert jazz persembahannya..

Atas semangat dan perjuangannya, Dr. Kevin Barret, seorang sarjana Amerika yang banyak menjalankan kajian mengenai Timur Tengah terutama yang berkaitan konflik Palestin - Israel langsung memberi julukan 'Nabi Musa Era Ini' kepada Atzmon.

Setidak-tidaknya Gilad Atzmon telah menunjukkan kepada kita, bukan semua orang Yahudi bersetuju dengan Zionis walaupun bilangan mereka adalah sangat terpencil dan pastinya turut diancam, sama seperti penentang kuasa hegemoni itu yang lain.

BACA INI JUGA: Soalan Yahudi Tentang Solat

Sumber: SH

Cara Permohonan Dan Kemaskini BR1M 2017

Cara Permohonan Dan Kemaskini BR1M 2017

Permohonan dan kemaskini maklumat Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2017 kini dibuka mulai 5 Disember hingga 31 Disember 2016.

BR1M 2017

Manakala notis dan surat pemakluman lulus atau gagal permohonan BR1M 2017 akan diposkan kepada pemohon mulai minggu kedua Februari 2017.

Bayaran BR1M akan mula dimasukkan ke akaun penerima secara berperingkat pada pertengahan Februari tahun 2017.

Berikut adalah maklumat berkaitan dengan pengemaskinian BR1M 2017 bagi penerima sedia ada yang mahu membuat pengemaskinian butiran peribadi mereka dan permohonan baru bagi yang belum pernah menerima bantuan BR1M sebelum ini.

Penerima BR1M Sedia Ada Tidak Perlu Membuat Permohonan Baru

Sebagai makluman, penerima BR1M sedia ada tidak perlu mengemukakan permohonan baru sebaliknya hanya perlu membuat kemaskini bermula pada tarikh pengemaskinian maklumat BR1M di buka.

Bagi penerima yang tidak memberikan maklumat nombor akaun bank pada permohonan lalu, disyorkan memberikan maklumat akaun bank untuk BR1M 2017 melalui sistem kemaskini online atau manual (guna borang) bagi memudah dan mempercepatkan penyaluran bantuan BR1M.


Saranan bagi tujuan pengemaskinian adalah untuk melancarkan atau memudahkan proses penyaluran bantuan kepada penerima berdasarkan maklumat rekod terkini

Kenapa Perlu Kemaskini BR1M 2017?

Banyak permohonan yang gagal disebabkan maklumat peribadi seperti nombor kad pengenalan yang tidak tepat dan jelas.

Pembayaran BR1M tahun 2017 akan dibuat secara berperingkat. Pemohon perlu mengemukakan maklumat akaun bank supaya bayaran dapat dibuat dengan lebih cepat.

Banyak surat kelulusan tidak dapat diposkan kerana alamat salah dan tidak lengkap.

Maklumat waris penting dinyatakan supaya pembayaran Skim Khairat Kematian (SKK) dan baki BR1M dapat dibuat dengan sempurna.

Akaun Bank yang dikemukakan mestilah tepat agar tidak berlaku kesilapan atau kegagalan pembayaran kepada pemohon yang berjaya.

Kegagalan pemohon mengemaskini dan mengemukakan maklumat secara tidak tepat boleh menyebabkan permohonan gagal atau lambat diproses.

Syarat-syarat Kelayakan Permohonan BR1M 2017

1. Siapakah yang layak membuat Permohonan BRIM 2017?

Pemohon yang layak membuat permohonan BRIM 2017 mesti memenuhi syarat seperti berikut:

Warganegara Malaysia yang menetap di Malaysia sahaja
  • Lelaki atau perempuan yang menjadi ketua kepada ahli yang tinggal serumah dengan jumlah pendapatan kasar bulanan isi rumah RM4,000 dan ke bawah

Warga emas yang hidup bersendirian (berumur 60 tahun dan ke atas) dengan jumlah pendapatan kasar bulanan RM4,000 dan ke bawah

Bujang yang berumur 21 tahun dan ke atas dengan jumlah pendapatan kasar bulanan RM2,000 dan ke bawah

Pelajar yang menerima Baucar Buku 1Malaysia dikecualikan.

2. Bilakah pemohon boleh mula membuat permohonan BRIM 2017?

Permohonan BRIM 2017 boleh dibuat mulai 5 Disember 2016 hingga 31 Disember 2016 (tertakluk kepada pindaan).

3. Bagaimanakah pemohon membuat Permohonan BRIM 2017?

Permohonan BRIM 2017 dilaksanakan dengan mengisi dan menghantar Borang BRIM 2017 sama ada secara dalam talian atau melalui borang.

Permohonan Dalam Talian

BR1M 2017


Permohonan dalam talian hanya boleh dibuat dengan menggunakan komputer sahaja dan simpan salinan permohonan bagi tujuan rekod pendaftaran.

Aplikasi e-BRIM tidak direka bentuk untuk capaian peranti mudah alih.

Permohonan Melalui Borang

Borang BRIM 2017 boleh diperoleh secara percuma di lokasi tersebut:
  • Portal Rasmi BRIM LHDNM (Muat turun/Download borang) www.hasil.gov.my
  • Cawangan LHDNM
  • Pusat Khidmat Hasil (PKH) LHDNM
  • Pusat Transformasi Bandar (UTC) LHDNM
  • Pejabat Daerah
  • Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK)
  • Pejabat Jabatan Pembangunan persekutuan (JPP)
  • Pejabat Residen

4. Dimanakah pemohon boleh menghantar Borang BRIM 2017 yang telah diisi dengan lengkap?

Pemohon boleh menghantar Borang BRIM 2016 di kaunter-kaunter berikut:
  • Cawangan LHDNM / Pusat Khidmat Hasil (PKH) LHDNM / Pusat Transformasi Bandar (UTC) LHDNM
  • Pejabat Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP)
  • Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK)
  • Pejabat Daerah/Pejabat Residen

Penghantaran secara faks dan e-mel tidak akan diterima.

5. Apakah dokumen yang perlu dikemukakan bersama Borang BRIM 2017?

Pemohon perlu mengemukakan Boring BRIM 2017 dengan dokumen berikut:
  • Salinan pengenalan pasangan/tanggungan yang menggunakan jenis pengenalan Pasport atau Sijil Lahir
  • Salinan sijil perceraian/sijil kematian pasangan (jika ada) sekiranya pemohon berstatus Ibu/Bapa Tunggal/Balu/Janda/Duda

6. Adakah pemohon perlu mengemukakan semula bagi Permohonan Kemas Kini BRIM 2017 jika pemohon telah mengemukakan salinan pengenalan pasangan/tanggungan semasa BRIM 2016?

Sekiranya maklumat pasangan/tanggungan pemohon adalah sama atau tiada sebarang perubahan. Pemohon tidak perlu mengemukakan semula maklumat tersebut.

7. Bagaimanakah pemohon mengemukakan dokumen sokongan sekiranya Borang BRIM 2017 telah dihantar sebelum ini?

Pemohon boleh mengemukakan dokumen sokongan yang diperlukan ke Cawangan LHDNM yang berhampiran dengan mengisi Borang Serahan Dokumen Sokongan BRIM 2017 (BK-17) yang boleh diperolehi di Cawangan LHDNM atau muat turun dari Portal Rasmi BRIM LHDNM.

Pemohon perlu memastikan keratan Akuan Penerimaan Permohonan BRIM 2017 telah diperoleh apabila menghantar borang tersebut sebagai rekod penyerahan.

Penghantaran secara faks dan e-mel tidak akan diterima.

8. Adakah pemohon perlu mengemukakan dokumen sokongan sekiranya pemohon telah menghantar Permohonan BRIM 2017 secara dalam talian?

Ya. Pemohon perlu mengemukakan dokumen sokongan yang diperlukan sekiranya menerima mesej peringatan yang dipaparkan semasa permohonan dalam talian dibuat.

9. Adakah penerima BRIM 2016 perlu membuat permohonan semula?

Penerima BRIM 2016 perlu mengemaskini maklumat terkini BRIM 2017 pemohon seperti Status Perkahwinan, No. Telefon, Maklumat Akaun Bank (Persendirian), Alamat Surat-Menyurat Terkini, Maklumat Isi Rumah dan Maklumat Waris secara dalam talian di Portal Rasmi BRIM LHDNM atau mengisi Borang BRIM 2017.

10. Adakah ahli isi rumah/waris layak menerima BRIM 2017 sekiranya penerima BRIM 2016 telah meninggal dunia?

Isi rumah/waris tidak layak menerima BRIM 2017 kerana penerima BRIM 2016 telah meninggal dunia.

Isi rumah/waris perlu membuat Permohonan Baru BRIM 2017 jika melepasi syarat kelayakan.

11. Sekiranya pemohon telah bercerai pada pertengahan tahun 2016 dan nama pemohon tersebut telah dimasukkan sebagai pasangan kepada bekas suami/isteri pemohon tersebut semasa permohonan BRIM 2016. Adakah saya layak membuat Permohonan BRIM 2017?

Ya. Pemohon seperti tersebut perlu membuat permohonan baru BRIM 2017 dengan status Ibu/bapa Tunggal/Balu/Janda/Duda dengan memasukkan tarikh perceraian.

Salinan sijil perceraian perlu dikemukakan ke Cawangan LHDNM bagi membolehkan kemas kini maklumat bekas suami /isteri dibuat.

12. Jika pemohon telah bercerai pada pertengahan tahun 2016 dan baru berkahwin semula dan nama pemohon tersebut telah dimasukkan sebagai pasangan kepada bekas suami/isteri pemohon tersebut semasa Permohonan BRIM 2016. Adakah suami/isteri semasa pemohon tersebut boleh memasukkan nama pemohon tersebut sebagai pasangan di dalam Borang BRIM 2017?

Ya. Pemohon tersebut perlu mengemukakan Sijil Perkahwinan dan memaklumkan kepada Cawangan LHDNM bagi memastikan kemas kini boleh dibuat bagi maklumat bekas suami/isteri.

13. Adakah pemohon boleh memohon BRIM 2017 sekiranya pasangan pemohon tersebut merupakan penerima BRIM 2016 tetapi telah menghilangkan diri?

Pemohon seperti tersebut perlu mengemukakan laporan polis bagi membatalkan permohonan pasangan di Cawangan LHDNM dengan mengisi Borang Pembatalan Permohonan BRIM 2017.

Anda boleh membuat Permohonan Baru BRIM 2017 dengan berstatus kahwin (sekiranya belum bercerai).

14. Apakah jumlah pendapatan yang perlu pemohon laporkan pada Borang BRIM 2017 jika pendapatan terkini pemohon tersebut termasuk gaji bulanan, bonus dan elaun-elaun lain?

Pemohon perlu melaporkan gaji kasar bulanan dan elaun-elaun lain kecuali bonus bagi semua isi rumah.

15. Apakah yang pemohon perlu melakukan sekiranya pemohon tersebut tidak mengisi nombor akaun bank semasa Permohonan BRIM 2017?

Pengisian nombor akaun bank adalah digalakkan bagi memudahkan dan mempercepatkan urusan pembayaran.

Jika tidak, pemohon perlu menghadiri majlis penyerahan baucar dan penunaian perlu dibuat di bank.

16. Adakah saya layak membuat Permohonan BRIM 2017 sekiranya saya hanya mempunyai Kad Pengenalan Lama dan tidak pernah membaharuinya?

Pemohon perlu merujuk Jabatan Pendaftaran Negara untuk mendapatkan MyKad kerana Permohonan BRIM 2017 mewajibkan penggunaan MyKad.

17. Adakah pemohon layak membuat permohonan BRIM 2017 sekiranya Pemohon tersebut merupakan Warganegara Asing?

Bantuan ini adalah untuk Warganegara Malaysia sahaja. Warganegara Asing tidak layak membuat permohonan BRIM 2017.

18. Adakah pemohon layak membuat permohonan BRIM 2017 jika pemohon tersebut tidak menetap di Malaysia?

Bantuan ini adalah untuk Warganegara Malaysia yang menetap di Malaysia sahaja. Warganegara Malaysia yang menetap di luar Negara tidak layak membuat permohonan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Jadual Dan Tarikh Pembayaran BR1M 2017

Sumber: BR1M

Ferenc Puskás, Lagenda Bola Sepak Di Sebalik Anugerah Puskás FIFA

Ferenc Puskás, Lagenda Bola Sepak Di Sebalik Anugerah Puskás FIFA

Seperti yang semua sudah maklum, Anugerah Puskas FIFA adalah anugerah untuk mengiktiraf gol paling cantik setiap tahun yang dijaringkan pemain dari serata dunia.

Ferenc Puskás

Persoalannya, siapa insan hebat di sebalik nama anugerah Puskás ini?

Ferenc Puskás dilahirkan pada 1 April 1927. Beliu bermain untuk Hungary dan seorang striker yang profilik. Rekod gol beliau adalah 84 gol dalam 85 perlawanan kebangsaan dan 514 gol dalam 529 perlawanan liga.

Boleh dikatakan ratio gol Ferenc Puskás adalah 1 gol dalam setiap perlawanan dan sepanjang kariernya beliau cuma bermain untuk tiga kelab; Kispect, Budapest Honvéd dan Real Madrid.

Ketika era 1950an dan 1960an, Ferenc Puskás adalah antara pemain ternama di era itu. Beliau beraksi di Real Madrid ketika usianya 31 tahun dan meninggalkan impak yang besar pada Real Madrid.

Peminat sebenarnya terkejut dengan kehadiran Ferenc Puskás di real Madrid kerana beliau sudah berusia dan pasukan Real Madrid sudah mempunyai ramai pemain bintang ketika itu.

Ferenc Puskas menepis semua kritikan itu apabila beliau menyumbat 180 gol dalam 156 perlawanan bersama Real Madrid.

Beliau juga merangkul Penjaring Terbanyak Liga Sepanyol (Trofi Pichichi) selama 4 kali berturut-turut (1959-1964) ketika bermain di Real Madrid.

Ferenc Puskás
The Legendary Trio: Alfredo Di Stéfano, Francisco Gento & Puskás Ferenc.

Real Madrid turut mengiktiraf Ferenc Puskás sebagai ‘pemain kaki kiri terbaik pernah bermain di Santiago Bernabéu’.

Ferenc Puskás turut mempunyai nama timangan yang diberi kepadanya oleh peminat iaitu Pancho dan Cañoncito pum.

Ketika di Real Madrid, Ferenc Puskás sempat bermain bersama legenda Real Madrid yang lain antaranya Alfredo Di Stéfano, Kopa, Rial, Santamaría, Gento dan Domínguez.

Ferenc Puskás juga adalah salah seorang dari The Golden Team pasukan Hungary yang merangkul pingat emas di Olimpik 1952.

Ferenc Puskás meninggal dunia pada 17 November 2006 dan sebagai tribute untuk pemain hebat ini, sebuah anugerah diberi atas namanya iaitu Anugerah Puskás FIFA, sebuah anugerah untuk mengiktiraf gol cantik dari serata dunia yang dimulakan pada tahun 2009.

Pemenang untuk anugerah Puskás yang pertama adalah Cristiano Ronaldo melalui gol knuckleball yang beliau jaringkan ketika menentang Porto ketika Ronaldo masih menyarungkan jersi Manchester United.

Ferenc Puskás

Dengan kehebatan dan abiliti beliau menjaringkan gol, memang tepat untuk meletakkan nama Puskas pada anugerah ini.

Ramai beranggapan namanya yang unik menjadikan beliau The one and only great Puskas dan nama yang tepat untuk anugerah ini.

BACA INI JUGA: George Best Lagenda MU Yang Bazirkan $100 Juta Untuk Wanita

Sumber: Thevocket

Sunday, December 04, 2016

6 ‘Rahsia’ Penerbangan Yang Anda Mungkin Tidak Tahu

6 ‘Rahsia’ Penerbangan Yang Anda Mungkin Tidak Tahu

Menaiki kapal terbang kini bukanlah sesuatu yang pelik atau jarang, namun begitu, tahukah anda terdapat beberapa perkara mengenai penerbangan yang biasanya cuma diketahui juruterbang dan anak kapal sahaja?

Rahsia Pramugari

Laman sosial soal jawab Quora mengumpulkan beberapa “rahsia” sewaktu berada di dalam kapal terbang, antaranya diberikan oleh beberapa juruterbang dan pakar penerbangan sendiri.

Elakkan risau terhempas ketika penerbangan

Risau kapal terbang terhempas ketika dalam penerbangan? Mengikut statistik, lebih daripada separuh kemalangan penerbangan sebenarnya berlaku ketika berlepas dan mendarat.

Berhati-hati minum air

Kopi anda rasa pelik? Elakkan minum air jika bukan dihidangkan terus daripada botol, kerana air di dalam kapal terbang telah dirawat dengan bahan kimia untuk mengelakkan kuman.

Juruterbang dapat hidangan khas

Anda mungkin cemburu jika dapat tahu juruterbang anda dihidangkan makanan lain daripada anda. Untuk mengelakkan mereka sakit dan keracunan makanan, kedua-dua juruterbang turut dihidangkan dua makanan berlainan.

Kod rahsia jika kapal terbang dirampas

Biasanya, juruterbang akan menurunkan “flap” di sayap - yang digunakan untuk memperlahankan kapal terbang - selepas mendarat.

Jika “flap” tersebut tidak diturunkan, itu tandanya ada sesuatu berlaku di dalam kapal terbang.

Juruterbang dibayar lumayan

Ini mungkin bukan rahsia besar, tetapi juruterbang untuk syarikat penerbangan besar mendapat gaji setinggi £97,000 (RM620,000) setahun.

Walau bagaimanapun, jumlah ini dianggap lebih murah berbanding gaji juruterbang di zaman dahulu.

Tiada masalah gunakan peranti elektronik

Sebenarnya tiada bukti kukuh bahawa menggunakan peranti elektronik akan mengganggu sistem penerbangan. Namun, anda masih perlu patuh dengan arahan anak kapal untuk mengelakkan kekecohan.

BACA INI JUGA:

Sumber: TMO

Kenapa Kita Perlu Dan Patut Menderma Darah?

Kenapa Kita Perlu Dan Patut Menderma Darah?

Setiap hari darah diperlukan untuk menyelamatkan nyawa semasa pembedahan, mangsa kemalangan, untuk merawat pesakit leukemia, barah, pesakit jantung, penyakit hati dan hemophilia.

Derma Darah

Sumbangan anda mungkin mampu menyelamatkan nyawa seseorang kerana hospital sentiasa kekurangan darah.

Sebab itulah betapa pentingnya kita semua, sekiranya layak dan dibenarkan untuk menderma darah, patut menderma darah setiap 3 bulan.

Siapa Yang Layak Menderma Darah?

Jika anda berumur 17 tahun ke atas (pengesahan umur diperlukan) dan mempunyai berat badan melebihi 45 kg.

Pada amnya, pengambilan ubat tidak menjadi halangan untuk menderma darah kerana penerimaan dan penolakan berdasarkan laporan perubatan.

Bagaimanapun, sekiranya anda mengambil sebarang ubat, sila beritahu sebelum menderma darah.

Berapa Lama Masa Diambil Untuk Menderma Darah?

Proses menderma darah akan mengambil masa diantara 7-10 minit, tetapi anda dinasihatkan supaya berada di tempat menderma selama lebih kurang satu jam.

Adakah Suntikan Jarum Menyakitkan?

Anda cuma berasa sakit sedikit dan tidak lagi selepas itu.

Berapa Banyak Darah Yang Akan Diambil?

Darah anda akan diambil mengikut berat badan.

Contohnya: Jika berat badan anda 45 kg hingga 50 kg sebanyak 350ml dan 50 kg ke atas sebanyak 450ml sahaja.

*1 pain darah adalah sebanyak 586 ml).

Bagaimana Rasanya Selepas Saya Menderma Darah?

Anda akan berasa begitu gembira dan mendapat kepuasan apabila dapat membantu pesakit-pesakit yang memerlukan darah.

Bolehkah Saya Bersukan Selepas Menderma Darah?

Boleh. Cuma elakkan dari melakukan aktiviti yang berat untuk tempoh 5 jam selepas menderma darah.

Banyakkan minum air dalam tempoh 24 jam.

Berapa Lama Masa Yang Diambil Untuk Menggantikan Darah Yang Telah Didermakan Itu?

Plasma darah digantikan semula selepas 24 jam. Anda perlu minum 4 gelas air dan jangan melakukan kerja berat dalam tempoh 5 jam.

Darah merah memerlukan jangkamasa 8-12 minggu untuk digantikan dan anda boleh menderma semula selepas itu.

Apa Yang Berlaku Kepada Darah Yang Telah Anda Dermakan?

Darah anda akan diuji untuk menentukan kumpulan darah, jangkitan virus seperti Sifilis, Hepatitis B & C dan AIDS (HIV), kemudian disimpan untuk kegunaan pesakit.

Darah juga boleh diasingkan kepada beberapa komponen darah dan boleh digunakan untuk merawat lebih dari seorang pesakit.

Fakta Transfusi (Pemindahan) Darah

Jika anda seorang pesakit yang perlukan rawatan pemindahan darah, atau ada ahli keluarga yang menerima pemindahan darah, pastikan anda mendapat maklumat yang jelas daripada doktor sebelum menerima transfusi (pemindahan) darah.

Apa Itu Transfusi (pemindahan) Darah?

Transfusi darah ialah rawatan yang melibatkan pemindahan produk-produk darah ke dalam badan pesakit.

Produk-produk darah termasuklah:
  • Sel darah merah
  • Plasma
  • Platelet
  • Cryoprecipitate
  • Immunoglobulin atau faktor 'concentrate'

Jenis produk darah yang digunakan untuk transfusi adalah berdasarkan keperluan klinikal.

Apa Tujuan Transfusi Darah?

Transfusi darah diperlukan untuk merawat dan menyelamatkan nyawa pesakit.

Antara keadaan yang memerlukan transfusi darah ialah;
  • Pendarahan serius yang terjadi disebabkan kemalangan, pembedahan major, atau kompilasi semasa bersalin.
  • Demam denggi berdarah.
  • Anemia seperti thalasemia, leukimia atau kanser.
  • Mangsa kebakaran.
  • Bayi peringkat neonatal yang mengalami kekuningan yang teruk.
  • Pesakit haemofilia.

Adakah Transfusi Darah Selamat?

Beberapa langkah telah diambil bagi memastikan bekalan darah itu selamat.

Diantaranya:
  • Pemilihan penderma dari kalangan mereka yang selamat dan berisiko rendah.
  • Darah penderma disaring (diuji) untuk mengesan virus HIV, Hepatitis B, Hepatitis C dan Sifilis, menggunakan kaedah ujian semasa (terkini).
  • Hanya darah yang disahkan bebas dari agen jangkitan diatas akan digunakan untuk transfusi darah.
  • Menjalankan ujian kumpulan darah, RH dan keserasian ke atas darah anda dan darah penderma.

Sebelum transfusi darah, sampel darah anda akan diambil dan dihantar ke makmal bagi menjalankan ujian tersebut.

Walaubagaimanapun, masih terdapat risiko yang minima berkaitan dengan transfusi darah diantaranya;
  • Jangkitan virus HIV, Hepatitis B, Hepatitis C dan Sifilis, sekiranya pendermaan darah dibuat dalam masa 'window period'.
  • Jangkitan virus, bakteria atau parasit yang tidak dapat dikesan oleh ujian-ujian semasa.
  • Reaksi transfusi yang akut. Sebilangan kecil pesakit boleh mengalami tindakbalas transfusi darah.

Tanda-tandanya termasuklah;
  • Demam
  • Ruam
  • Kulit terasa gatal
  • Menggigil kesejukan
  • Sesak nafas dan sebagainya

Hanya darah yang benar-benar serasi sahaja akan digunakan untuk transfusi darah.

Apa Itu 'Window Period'?

Tempoh masa diantara waktu virus memasuki badan sehingga ianya dapat dikesan melalui ujian makmal.

Jika pendermaan darah dibuat dalam masa 'window period', ujian saringan akan menghasilkan keputusan yang negatif.

Apakah Tindakan Yang Sepatutnya Dilakukan Jika Berlaku Reaksi Transfusi Yang Akut?

Anda perlu memberitahu doktor dan jururawat dengan segera.

Transfusi darah akan dihentikan dan rawatan yang bersesuaian akan diberikan kepada anda.

Sebelum menerima transfusi darah, pastikan anda mendapat penjelasan dari doktor mengenai:
  • Tujuan transfusi darah.
  • Faedah serta risiko transfusi darah.
  • Alternatif atau pilihan lain selain transfusi darah (jika ada).

Apa Langkah-langkah Yang Diambil Semasa Proses Transfusi Darah?
  • Penerangan oleh doktor tentang tujuan, faedah serta risiko mengenai transfusi darah.
  • Anda memberi persetujuan untuk transfusi darah setelah memahami penerangan yang diberikan oleh doktor.
  • Anda mesti memberi pengenalan diri yang tepat kepada doktor dan jururawat yang akan mengambil sampel darah.
  • Sampel darah anda diambil untuk ujian penentuan kumpulan darah, RH dan ujian keserasian.
  • Darah yang diuji keserasiannya diberikan kepada anda dengan pengawasan doktor dan jururawat.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Khasiat Sayur Peria Membersihkan Darah Dalam Badan

-SENTIASAPANAS.COM

9 Makanan Yang Tidak Sepatutnya Dipanaskan Semula

9 Makanan Yang Tidak Sepatutnya Dipanaskan Semula

Tahukah anda, tidak semua makanan boleh dipanaskan semula, khususnya jika menggunakan microwave, kerana akan memberikan kesan sampingan.

Saderi

Senarai di bawah adalah, 9 jenis makanan yang tidak elok untuk dipanaskan semula kerana akan menyebabkan kehadiran toksik, mahu pun menyebabkan permasalahan sistem penghadaman.

1. Kentang

Memanaskan semula kentang boleh menggalakkan pertumbuhan, ‘botulism’, iaitu satu bentuk keracunan makan yang disebabkan oleh, bakteria C. botulinum.

Memanaskan mereka begitu sahaja, atau dengan membalut menggunakan aluminium foil adalah antara cara yang tidak sepatutnya.

Haba yang terhasil dari proses pemanasan semula makanan akan memberi tempat untuk terhasilnya pertumbuhan bakteria, dan bukan membunuh bakteria tersebut.

2. Ayam

Apabila anda ingin menikmati semula masakan ayam, anda sama ada memakannya secara sejuk, atau memanaskan semula dengan suhu yang rendah dalam jangka masa yang panjang.

Protein yang telah membeku setelah berada lama dalam peti sejuk, akan berubah setelah dipanaskan semula. Ini akan menjadi faktor utama sakit perut. Mikrowave juga tidak membantu dalam proses yang betul.

3. Cendawan

Seperti juga ayam, cendawan mempunyai protein tertentu yang boleh menyebabkan masalah usus atau hati, jika ianya dipanaskan semula selepas sehari disimpan.

Mungkin anda harus memakannya pada hari yang sama. Bagi lebihan makanan, sebaiknya makan ketika masih sejuk, kerana dapat menghalang dari permasalahan tersebut.

4. Nasi

Nasi adalah makan ruji bagi kebanyakan penduduk di dunia, dan ianya juga mempunyai risiko tinggi untuk tercemar.

Ia mungkin mengandungi spora berbahaya yang ada sebelum dimasak lagi, dan tidak akan hilang ketika proses memasak.

Perkara terburuk yang mungkin anda sering lakukan adalah dengan membiarkan pada suhu bilik, yang menyebabkan bakteria untuk terus membiak.

Cara terbaik adalah dengan menyimpannya di dalam peti sejuk selama beberapa jam, sebelum boleh memanaskannnya semula.

5. Minyak

Minyak boleh menjadi tengik atau bertukar menjadi lemak apabila dikenakan haba yang tinggi. Ini termasuk juga kacang hazel, avokado, walnut, atau biji anggur. Gunakan mereka pada suhu bilik adalah lebih baik.

6. Ubi Bit

Ubi bit mengandungi sejumlah besar nitrat yang bermanfaat, terutama apabila dimakan mentah atau dibuat jus.

Apabila dimasak dan dipanaskan semula, ianya akan bertukar menjadi toksik. Cuba untuk memakan ubi bit pada hari yang sama.

7. Lobak Bulat

Seperti ubi bit, lobak adalah sayur berakar yang terdedah kepada nitrat di dalam tanah. Masak dan makan pada hari yang sama untuk mengelakkan akan risiko ‘carcinogenic’(potensi untuk menyebabkan kanser), atau, buang lebihan lobak putih dalam masakan anda, sebelum memasaknya kembali.

8. Saderi

Bahan yang sering digunakan jika membuat sup, saderi juga turut mempunyai nitrat apabila dipanaskan.

Nitrat adalah toksik yang menghubungkan kepada risiko carcinogenic, dan dicadangkan untuk mengeluarkan saderi dari masakan, sebelum dipanaskan semula.

9. Telur

Telur rebus atau telur hancur apabila dipanaskan semula, mempunyai potensi untuk membuatkan anda jatuh sakit.

Khususnya jika ianya dipaskan berulang kali, kerana haba boleh menyebabkan toksin terhasil di dalam telur tersebut.

***

Menurut USDA, dan Agensi Piawaian Makanan, proses penyimpanan dan penyejukan makanan yang betul adalah kunci untuk mencegah penyakit bawaan atau kematian.

Dicadangkan bahawa, makanan perlu disimpan dalam peti sejuk dalam masa 2 hingga 4 jam, dan makan di antara sehari atau dua hari. Jika disimpan lebih dari masa tersebut, anda mungkin boleh jatuh sakit.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: 3 Bahan Yang Mampu Kempiskan Perut Buncit Dalam Masa Satu Minggu

Sumber: Siakapkeli

Angkasawan China Terdengar Bunyi Misteri Di Angkasa Lepas!

Angkasawan China Terdengar Bunyi Misteri Di Angkasa Lepas!

Angkasawan pertama China, Yang Liwei mendakwa pernah terdengar bunyi ketukan misteri semasa penerbangan pertama ke angkasa, namun tiada siapa yang mampu menjelaskan sebab terjadinya perkara itu.

Yang Liwei

Menurut Yang Liwei, bunyi pelik itu menyebabkan dia berasa sangat gementar dan melihat ke angkasa lepas namun tidak melihat apa-apa yang luar biasa.

Yang Liwei yang kini merupakan pegawai utama Tentera Udara China berkata, bunyi misteri di angkasa itu kedengaran seperti seseorang yang sedang mengetuk kapal angkasa dan menyamakan bunyi itu seperti hentakan tukul pada baldi besi.

Yang Liwei yang kini berusia 51 tahun berkata, pengalaman tersebut telah menimbulkan pelbagai teori termasuk makhluk asing.

Tambahnya lagi, dia tidak pernah mendengar bunyi sedemikian ketika perjalanan pulang ke bumi.

Pada tahun 2003, Yang Liwei menjadi orang pertama yang dihantar ke angkasa lepas melalui program angkasa China, mengorbit bumi beberapa kali semasa penerbangan 21 jam.

Angkasawan itu menceritakan pengalaman dalam satu temu bual bersama media China, bunyi ketukan misteri berlaku tanpa sebab.

"Ia tidak datang dari luar mahupun dalam kapal angkasa, tetapi kedengaran seperti seseorang mengetuk badan kapal angkasa seperti mengetuk baldi besi dengan tukul kayu.

Yang Liwei mengakui dia sangat gementar apabila mendengar bunyi misteri tersebut dan cuba untuk menyiasat punca bunyi berkenaan, namun gagal untuk melihat apa-apa yang luar biasa.

BACA INI JUGA: Misteri Kematian Yuri Gagarin Akhirnya Terjawab

Sumber: SH

Saturday, December 03, 2016

Bagaimana Manusia Menjadi Genius Dan Memiliki IQ Tinggi?

Bagaimana Manusia Menjadi Genius Dan Memiliki IQ Tinggi?

Nama-nama dibawah ini merupakan antara individu terkenal dunia yang memiliki IQ tinggi dan kepintaran luarbiasa berbanding manusia lain.

High-IQ

Stephen Hawking, Andrew Wiles, Paul Gardner Allen, Judit Polgar, Garry Kasparov, Rick Rosner, Kim Ung-Yong, Christopher Hirata, Marilyn Vos Savant dan Terence Tao.

Pasti ramai tertanya-tanya, bagaimana manusia genius seperti mereka memiliki IQ yang sangat tinggi?

Adakah ianya diperolehi melalui susur galur keturunan keluarga atau atas kemahiran tertentu?

2 Faktor Yang Menjadikan Manusia Genius

Secara am, terdapat dua faktor yang mempengaruhi seorang individu memiliki IQ genius.

Pertama, mungkin disebabkan faktor genetik atau warisan semulajadi daripada kedua-dua ibu bapa.

Kedua, ia dikaitkan dengan faktor asuhan yang terbahagi kepada beberapa perkara iaitu, kasih sayang, persekitaran, kesihatan dan pemakanan.

Walau bagaimanapun, faktor keturunan semata-mata mungkin tidak mampu meningkatkan kepintaran seseorang individu.

Ini kerana tidak semua orang dilahirkan oleh kedua ibu bapa yang memiliki IQ tinggi.

Tetapi, jika berlaku gabungan faktor baka dan asuhan, ia akan memberi kesan yang sangat besar kepada tahap kepintaran dan potensi seseorang.

IQ Perlu Dirangsang

Ramai pakar bersetuju bahawa genetik ibu bapa menyumbang kepada asas dan potensi mental anak.

Namun, potensi tersebut perlu dibangunkan dan dirangsang melalui pelbagai kaedah.

Persoalannya, sejak umur berapakah manusia mula menunjukkan IQ yang tinggi? Adakah sewaktu kanak-kanak atau selepas dewasa?

Menurut penyelidikan psikologi perkembangan, kebolehan IQ genius boleh dikesan pada peringkat bayi lagi.

Pada ketika itu, sel-sel neuron di dalam otak sudah mula menunjukkan rangsangan.

Jadi, semakin sel otak bayi dirangsang, percambahan sel akan menjadi semakin banyak dan berhubung antara satu sama lain.

Berat otak bayi semasa dilahirkan adalah lebih kurang 350 gram atau 25 peratus dari berat otak orang dewasa.

Dan pertambahan serta perkembangan otak bayi berkembang pesat pada dua tahun pertama kehidupan mereka.

Sebagai contoh, pada usia dua tahun perkembangan otak kanak-kanak boleh mencapai kira-kira 50 hingga 75 peratus berat otak orang dewasa.

Jika ia sentiasa dirangsang tidak mustahil akan membentuk lebih banyak sinaps dan menyumbang kepada pertambahan berat otak bayi.

Jika diteliti lebih mendalam, pembentukan otak dan sel neuron mula terbentuk sejak dalam kandungan lagi.

Dianggarkan, terdapat 100 bilion sel saraf neuron yang masih belum berhubungan, bersedia untuk berfungsi sewaktu bayi baru lahir.

Apabila sel-sel berhubung, maka kanak-kanak akan lebih mudah belajar dan mengingati pelbagai maklumat dengan baik.

Contohnya, kanak-kanak yang sentiasa membaca buku berpotensi menjadi seorang yang pintar berbanding kanak-kanak yang kurang membaca.

9 Bidang Kepintaran Manusia

Menurut teori pakar psikologi Barat, Howard Gardner, manusia mempunyai kepintaran yang berbeza.

Kebolehan istimewa ini boleh dilihat pada sembilan bidang kecerdasan.

Antaranya;
  • Pintar linguistik
  • Pintar logik matematik
  • Pintar muzik
  • Pintar ruang (spatial)
  • Pintar Kinestetik
  • Pintar interpersonal
  • Pintar intrapersonal
  • Pintar alam semulajadi (naturalist)
  • Pintar kerohanian (spiritual)

Merujuk kepada sembilan jenis kepintaran diatas, majoriti manusia genius diungguli oleh lelaki berbanding wanita.

Lelaki Lebih Pintar Berbanding Wanita?

Secara amnya, tiada jawapan tepat yang boleh mengukuhkan dakwaan ini kerana piawaian kepintaran yang digunakan lebih bersifat subjektif.

Berdasarkan teori hasil kajian yang dijalankan oleh dua orang penyelidik dari Universiti Chicago, Profesor Larry Hedges dan Amy Nowell, IQ lelaki lebih tinggi jika diukur daripada aspek pemahaman bacaan, kelajuan persepsi dan perhubungan memori.

Perkara sama turut dinyatakan oleh seorang penyelidik dari Universiti Ulster, Profesor Richard Lynn.

Menurut teori beliau, purata IQ lelaki melebihi tiga hingga empat mata berbanding wanita.

Nisbah antara lelaki dan wanita yang memiliki IQ genius adalah 8:1.

Beberapa kajian lain menunjukkan bahawa tahap IQ lelaki meningkat sekaligus berbanding wanita seawal usia 16 tahun.

Secara umumnya, lelaki diakui lebih pintar dalam perkara-perkara berkaitan jika dibandingkan dengan wanita.

Antaranya;
  • Penyelesaian masalah
  • Teknikal
  • Kejuruteraan
  • Pengetahuan am
  • Memori

Otak Besar Faktor Genius?

Selain itu, IQ genius mungkin disebabkan oleh beberapa faktor lain misalnya saiz otak lelaki yang lebih besar berbanding wanita.

Selain itu, cara hidup dan tanggungjawab yang perlu digalas oleh lelaki memerlukan kepintaran supaya dapat berhadapan dengan situasi yang memerlukan kemahiran penyelesaian masalah dan daya pemikiran tajam.

Kemungkinan juga kepintaran ini dipengaruhi oleh sifat semulajadi lelaki yang memiliki hormon testosteron.

Dalam penyelidikan psikologi, hormon testosteron mampu mencetuskan tenaga dalaman seperti sifat daya saing dan motivasi tinggi seseorang lelaki yang menginginkan kejayaan.

BACA INI JUGA: Jourdan Toh, Jaguh Matematik Yang Di Gelar 'Manusia Kalkulator' Dari Malaysia!

-SENTIASAPANAS.COM

Jenis-jenis Baja Organik Dan Kesesuaiannya Pada Tanaman

Jenis-jenis Baja Organik Dan Kesesuaiannya Pada Tanaman

Baja organik ialah baja yang digunakan di kebun atau ladang di mana tipikalnya terhasil melalui satu bahan dan membekalkan nutrisi yang diperlukan untuk kebun anda.

Baja Organik

Untuk mengklasifikasikan kualiti sesuatu baja organik tersebut, bahan yang digunakan adalah bahan-bahan semulajadi.

Baja organik adalah baja yang mengandungi satu atau lebih bahan organik di dalamnya. Bahan-bahan mungkin terdiri daripada haiwan atau tumbuhan atau kombinasi antara keduanya.

Baja organik atau organik fertilizer adalah baja yang dihasilkan melalui bahan berasaskan binatang, tumbuhan dan bahan mineral.

Namun, secara umum pengeluaran baja organik yang terbesar antara bahan-bahan ini ialah daripada bahan mineral seperti limestone, phosphate rock dan ammonia (dalam pengeluaran industri).

Penting diketahui bahawa definisi organik sama dan teraplikasi juga kepada makanan organik di mana elemen pengomposan fertilizer yang dihasilkan adalah bahan alami tanpa campuran komponen sintetik atau additives. Ini bermaksud, baja organik adalah 100 peratus semulajadi.

Jenis-jenis Baja Organik

Contoh-contoh dan sumber baja organik lazimnya berbeza penggunaan kerana perbezaan sumber nutrisi.

Setiap bahan mempunyai fungsi berbeza mengikut keperluan kebun dan tanaman anda. Tidak seperti baja kimia yang mungkin mempunyai baja pelbagai-guna.

Berikut ialah contoh-contoh baja organik dari sumber berlainan.

1. Sumber haiwan

Sumber tinja binatang seperti ayam, lembu, kuda, arnab dan guano (tahi kelawar). Selain itu juga bahan-bahan binatang seperti tulang, darah dan sebagainya diproses menjadi baja organik seperti darah dan tulang kambing, lembu dan ikan.

Misalnya, bloodmeal, bone meal, hides, hoofs dan tanduk adalah sumber penghasilan baja organik.

2. Sumber tumbuhan

Bahan tumbuhan yang sesuai diproses menjadi baja organik seperti kompos, baja alfalfa, baja biji-kapas, baja gluten jagung dan baja rumpai laut.

3. Sumber mineral

Sumber mineral yang kaya dengan kalsium, magnesium dan phaspate di mana boleh membantu untuk membaiki tanah serta memudahkan tumbuhan menyerap makanan.

Contohnya serbuk kapur, batu phosphate, chilean saltpeter.

Kadang-kadang peat juga digolongkan dalam kelompok sumber mineral walaupun sebenarnya tidak membekalkan nilai nutrisi kepada tumbuhan tetapi memperbaiki pengudaraan dan menyerap air pada batas.

Kesesuaian Baja Organik Pada Tanaman

Seringkali kita mengatakan bahawa membubuh satu jenis baja organik sudah memadai untuk tanaman. Pendapat ini silap sama sekali.

Setiap baja organik berbeza kandungan nutrisi untuk tanaman kerana bahan yang digunakan untuk membuat baja organik tidak semua mempunyai nilai nutrisi atau hanya sedikit sahaja jumlahnya.

Oleh yang demikian, penanam hendaklah tahu kandungan nutrisi pada setiap jenis baja organik.

Berikut adalah contoh baja organik dan fungsi pada tanaman.

1. Tinja haiwan

Tinja haiwan kaya dengan kandungan nitrogen. Nitrogen adalah bertujuan untuk tumbuhbesaran tanaman di mana membantu kesuburan pada batang dan daun.

Oleh itu, selepas dua minggu anak benih pokok ditanam bubuh kompos tinja binatang bagi membantu pertumbuhan pada batang dan daun.

Lazimnya, sayuran berdaun memerlukan nitrogen yang banyak.

Contoh tinja haiwan ialah tinja kambing, tinja lembu, tinja arnab dan tinja kelawar (guano). Selain itu, blood meal juga tinggi kandungan nitrogen untuk pertumbuhan tanaman dengan baik.

2. Bone meal

Dihasilkan dari tulang haiwan yang kaya dengan phosphorus di mana berfungsi menguatkan akar dan bunga. Membekalkan kalsium dan sedikit nitrogen.

Untuk bunga dan buah pada tanaman bubuh baja ini untuk pengeluaran hasil buah yang baik.

Kebaikan Baja Organik Kepada Batas Dan Tanaman

1. Membaikpulih tanah kepada tanah yang kaya humus untuk tanaman.

2. Kelembapan tanah dan melambatkan kekeringan pada tanah.

3. Sumber nutrient yang tinggi kepada tanaman.

4. Memberi lebih pengudaraan dan saliran yang baik kepada tanah.

5. Penambahan mikroorganisma yang baik dalam batas membolehkan ia menguraikan komponen baja organik seterusnya menghasilkan nutrisi kepada tanaman.

6. Struktur tanah lebih gembur dan peroi dengan kehadiran kompos.

7. Mesra alam tanpa pencemaran.

Menggunakan baja organik pada tanaman adalah satu tindakan yang bijak. Pastikan kita mengikut peraturan penggunaan seperti mana pada label pembungkus.

Baja organik bukan sahaja penguaran tanaman organik tetapi ia tidak mencemarkan alam sekitar.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

Sumber: Tanomkinotuan