Tuesday, September 01, 2015

Tun Mahathir Dedahkan Sebab Sertai BERSIH 4.0

Tun Mahathir Dedahkan Sebab Sertai BERSIH 4.0

Tun Mahathir hari ini menggunakan blog popular beliau bagi menjelaskan sebab beliau membuat keputusan menghadiri perhimpunan Bersih 4 pada hujung minggu lepas, mengatakan beliau terpaksa berbuat demikian bertujuan mencari penyelesaian kepada kemelut didepani negara.

Tun Mahathir BERSIH 4.0

Bekas perdana menteri itu berkata pendiriannya terhadap demonstrasi jalanan seperti yang disuarakan sebelum ini tetap utuh tetapi mendakwa, pentadbiran di bawah Perdana Menteri Najib Razak ketika ini memusnahkan semua saluran yang ada untuk menyelamatkan negara.

"Saya tidak setuju dengan tunjuk perasaan kerana ada saluran lain yang boleh digunakan untuk menekan kerajaan apabila menyalahgunakan kuasa.

"Kita boleh buat laporan polis, dengan harapan polis dan pendakwa raya akan ambil tindakan, menghadapkan pihak yang dituduh ke mahkamah.

"Tetapi sekarang Najib sudah bubar dan musnahkan institusi-institusi kerajaan yang ditugas untuk melindungi hak rakyat," katanya.

Katanya, segala cara menukar perdana menteri yang mengikut undang-undang dan Perlembagaan negara sudah ditutup Najib.

"Hanya dengan suara keramat rakyat, dibantu dengan undi tidak percaya Dewan Rakyat sahaja yang boleh menjatuhkan Najib dan menyelamatkan negara daripada perasuah.

"Oleh itu saya terpaksa menyertai demonstrasi jalanan anjuran Bersih yang bertema singkirkan Najib kerana rasuah," kata Tun Mahathir.

Tun Mahathir berkata, beliau sedar kehadirannya di perhimpunan itu membuatkan ramai tertanya-tanya apakah beliau kini penyokong Bersih, parti pembangkang dan pemimpinnya Lim Kit Siang.

"Ada juga yang bertanya saya sudah memihak kepada orang Cina," kata pengkritik paling tegar Najib itu.

Beliau dalam tulisannya mengulangi beberapa perkembangan terbaharu yang dianggapnya menimbulkan persoalan termasuk pembubaran pasukan petugas khas menyiasat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) hingga pelantikan pegawai yang tidak berminat meneruskan siasatan atas syarikat pelaburan strategik negara yang sarat hutang itu.

Ini menunjukkan katanya, semua saluran untuk menyiasat 1MDB dan dana RM2.6 bilion yang dikatakan dimasukkan ke dalam akaun bank peribadi Najib sebagai sumbangan politik, sudah tidak lagi ada.

"Rakyat menunggu hasil siasatan ini. Tiba-tiba pendakwa raya disingkir oleh Najib, ketua badan pencegah rasuah diarah bercuti, dan gabenor bank diugut kononnya kerana Bank Negara bocor maklumat.

"Dan terhentilah siasatan oleh badan ini," kata Dr Mahathir sambil menambah pada masa sama, pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dan 3 lagi ahli diberi jawatan dalam kerajaan dan siasatan berkenaan wang 1MDB oleh PAC turut dihentikan.

"Yang ditinggal dan yang baharu dilantik adalah orang yang tidak tunjuk minat untuk membuat siasatan, bahkan sengaja menghalang apa-apa siasatan terhadap 1MDB dan duit RM2.6 bilion dalam akaun Najib," katanya lapor The Malaysian Insider.

BACA INI JUGA: Tun Mahathir Cabar Zahid Dedah Identiti Penderma RM2.6 Bilion!

Misteri Pulau Anak Patung Xochimilco

Misteri Pulau Anak Patung Xochimilco

Xochimilco sebuah daerah di Mexico City, Mexico yang terkenal dengan banyak bangunan bersejarah dan terusan menghubungkan beberapa penempatan menarik.

Xochimilco

Pada 1987, Xochimilco diisytiharkan Tapak Warisan Dunia UNESCO, sekali gus menarik jutaan pelancong dari seluruh dunia ke daerah itu.

Namun, keterujaan pelancong mungkin bertukar menjadi perasaan seram sekiranya mereka melawat sebuah pulau dikenali sebagai Pulau Anak Patung.

Pulau terpencil yang terletak di satu kawasan berpaya ini dianggap berhantu dan dipenuhi ratusan anak patung yang menyeramkan.

Untuk sampai ke pulau ini, pengunjung perlu menaiki perahu dari Mexico City selama dua jam melalui terusan yang berliku.

Sebaik sahaja kaki menjejak ke pulau ini, pengunjung disambut dengan ratusan anak patung yang usang dan suasana yang menakutkan.

Hampir seluruh pulau kecil mempunyai anak patung digantung di pokok dan wayar berkarat.

Xochimilco [2]

Keadaan anak patung yang usang akibat terlalu lama terdedah dengan cuaca dan menjadi sarang labah-labah serta serangga cukup menggerunkan.

Walaupun pulau ini bukan destinasi pelancongan popular di Mexico City, ia tetap dikunjungi ribuan jurugambar dan pengunjung yang mahukan kelainan pada setiap tahun.

Jurugambar, Cindy Vasko yang melawat pulau itu baru-baru ini menggambarkan ia sebagai tempat paling menakutkan yang pernah dilawatinya.

“Perjalanan ke pulau ini, saya dihiburkan dengan pemandangan hutan yang menarik dan haiwan liar seperti burung berkicauan.

“Bagaimanapun, apabila sampai ke pulau itu, suasana berubah sekelip mata dan tiba-tiba perasaan seram terus menyelubungi diri saya,” katanya.

Ujarnya, melihat puluhan anak patung yang tergantung di pokok dan wayar cukup mengganggunya.

“Anak patung ini bukan sahaja tergantung di pokok, tetapi di tanah, di tepi bangunan dan pagar.

“Selama berpuluh-puluh tahun anak patung itu dibiarkan terdedah menyebabkan ia mula mereput.

“Ada anak patung dilitupi sarang labah-labah, ada yang kehilangan anggota badan serta ada hanya kepala yang tergantung,” jelasnya.

Xochimilco [3]

Penduduk di daerah itu percaya pulau itu berhantu selepas seorang budak perempuan mati di lokasi berkenaan kira-kira 50 tahun lalu.

Mayat kanak-kanak itu dijumpai seorang lelaki, Julian Santana Barrera yang tinggal seorang diri di pulau berkenaan.

Barrera mendakwa mayat budak itu dijumpai hanyut di terusan bersama anak patungnya.

Sejak itu, Barrera diganggu dengan jeritan dan bayangan kanak-kanak berkenaan yang berjalan di hutan.

Kerana tidak tahan dengan gangguan itu, Barrera menggantung anak patung milik mangsa di pokok sebagai menghormatinya.

Barrera kemudian menggantung ratusan anak patung lagi untuk mententeramkan roh kanak-kanak berkenaan.

Lelaki itu terus tinggal seorang diri di pulau terpencil berkenaan sehingga dia dijumpai mati secara misteri pada 2011.

Xochimilco [4]

Mayat Barrera dijumpai terapung di terusan yang sama dia menemui mayat budak perempuan itu.

Sehingga kini, penduduk dan pengunjung yang melawat pulau itu mendakwa masih mendengar suara orang menjerit dan kadangkala anak patung seperti berbisik serta merenung ke arah mereka.

Ramai pengunjung juga membawa anak patung ­untuk diletakkan di pulau berkenaan sebagai penghormatan kepada roh di lokasi itu.

BACA INI JUGA: Misteri Patung Badut

Sumber: Hmetro.com.my

Trend 'Tanam' Pokok Atas Kepala Di China

Trend 'Tanam' Pokok Atas Kepala Di China

Macam-macam ragam, itulah yang berlaku di China sekarang, mana tidaknya fesyen 'menanam' tumbuhan kecil di atas kepala kini menjadi ikutan ramai di negara itu.

Trend 'Tanam' Pokok Atas Kepala

Berdasarkan laporan Taobao, fesyen itu menjadi ikutan bukan sahaja kepada kaum wanita muda, malah lelaki dewasa serta kanak-kanak kini secara beramai-ramai menanam tumbuhan di atas kepala mereka.

Trend ini terjadi rupa-rupanya dek kerana masyarakat China terpengaruh dengan karektor kartun maskot Yan Jun, yang memiliki tumbuhan di atas kepalanya.

Oleh kerana merasakan comel dan uniknya karektor Yan Jun, masyarakat di China cuba mencontohi karektor tersebut.

BACA INI JUGA: Fesyen-fesyen Terkini Tapi Pelik

Trend 'Tanam' Pokok Atas Kepala [2]
Trend 'Tanam' Pokok Atas Kepala [3]
Trend 'Tanam' Pokok Atas Kepala [4]

Sumber: Sinarharian.com.my

Monday, August 31, 2015

Kisah Ashabul Kahfi

Kisah Ashabul Kahfi

Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka dan kami tambahi mereka dengan hidayat lagi petunjuk. (al-Kahfi: 13)

Gua Ashabul Kahfi

Pemuda-pemuda itu berhenti melepaskan lelah. Peluh menitis membasahi dada dan tengkuk. Terikan matahari menambah lagi rasa haus. Mereka sungguh letih, mereka juga lapar. Tetapi mereka tidak boleh berhenti lama.

Musuh bila-bila masa sahaja akan dapat menghidu gerak langkah mereka. Mudarat terlalu besar jika mereka terus berada di kota atau bertahan lebih lama. Akhirnya langkah mereka sampai ke gua.

Oh Tuhan, Kurniakanlah kami rahmat dari sisi-Mu dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami.

Gua yang gelap menjadi pilihan Allah untuk mereka. Boleh jadi ada kerahmatan dari sisi Allah untuk mereka di sini setelah seisi kota memusuhi mereka.

Bukan! Bukan! Mereka bukan sahaja bermusuh tetapi ingin merejam dan membunuh mereka.

Bumi yang luas dirasakan sempit apabila desakan dan tentangan dakwah mereka diancam. Jika mereka terus tinggal, satu persatu nyawa mereka akan hilang sedangkan mereka masih muda.

Mereka masih baru. Mereka perlu selamatkan diri. Dakwah ini lebih panjang. Desakan demi desakan yang membahayakan menjadikan mereka hampir lemas dan tewas.

Tidak! Iman tidak sesekali akan tewas pada kekufuran. Itulah nekad mereka. Mereka bangkit berdiri. Mereka telah nyatakan apakah yang hak dan apakah yang batil. Buat masa ini mereka perlu bertahan.

Mungkin berundur sebelum mengambil langkah seterusnya. Barangkali gua yang suram boleh membuka jalan ilham dari Allah yang lebih terang.

Barangkali Allah ingin tunjukkan bahawa memadai dalam gua yang kecil ini mereka mampu mengatur semula langkah dakwah yang lebih besar dan lebih berkesan pada keesokan hari.

Akhirnya mereka bersandar di dinding gua, menghela nafas yang panjang. Takut, waspada, redha dan syukur. Perasaan bercampur-baur. Tetapi hati mereka tetap cemas. Bimbang dan cemas untuk menutup mata.

Bagaimanakah jika mereka tertidur musuh datang mengheret mereka? Bagaimana jika mereka terlelap keselamatan saudara-saudara seperjuangan akan terancam?

Masing-masing memandang wajah-wajah saudara mereka yang sudah keletihan. Mereka juga letih seperti dirinya.

Tetapi mereka masing-masing sanggup buat apa sahaja untuk menjaga keselamatan sahabat-sahabat seperjuangan.

Mereka sanggup meminggirkan kantuk, membuang penat sendiri kerana mengenangkan saudara-saudara mereka ini yang bertungkus menghayun langkah dan dakwah.

‘Tuhan kami ialah Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi!’

‘Kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan yang lain daripadanya’

‘Jika kami menyembah yang lain, bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh dari kebenaran.’

Peristiwa, tutur kata dan karektor berani sahabat-sahabat mereka di kota tadi bagaikan tayangan yang berulang. Peristiwa itulah pengalaman dakwah yang paling kemuncak mereka lakukan.

Biarpun pedih dengan kata nista yang dilemparkan, biarpun teruk layanan yang mereka terima akan tetapi mereka tetap hadapi tekanan, bantahan dan celaan dengan sabar.

Keadaan menjadi kian runcing, apabila mereka menjadi buruan, mereka diisytihar sebagai kumpulan yang salah dan diancam dengan hukuman, maka demi keselamatan mereka dan masa depan dakwah akhirnya membawa mereka ke gua.

‘Sepatutnya kaum kita yang menyembah tuhan-tuhan yang banyak nyatakan hujah,’ kata salah seorang dari mereka.

‘Ya, sepatutnya mereka boleh datangkan hujah dan bukti tentang tuhan yang mereka sembah,’ sahut seorang lagi.

‘Mereka zalim dan menzalimi diri sendiri,’ ujar yang lain pula.

Andainya mereka berfikir untuk mencari-cari hujah. Bukan mengikut emosi, bukan hanya mengikut sahaja cara hidup tradisi.

Sudah tentu mereka tidak menolak. Mereka bukan tidak cerdik. Ada yang memimpin masyarakat. Ada yang bijak mencari kekayaan. Ada yang memimpin kota dan berkuasa sebagai penguasa.

‘Tidak sepatutnya mereka menolak dan berdusta terhadap Allah Tuhan yang sebenarnya.’

Pemuda Ashabul Kahfi

Menurut para ulama’ Ashabul kahfi (penghuni gua) yang dimaksudkan dalam ayat di atas, terdiri daripada tujuh orang pemuda bernama;
  1. Tamlikha
  2. Maksalmina
  3. Marthunus
  4. Nainunus
  5. Saryunus
  6. Zunuwanus
  7. Falyastathyunus

Dan semasa dalam perjalanan ke gua itu, ketujuh-tujuh mereka telah ditemani oleh seekor anjing bernama Qithmir.

Diriwayatkan juga bahawa Qitmir adalah anjing milik Tamlikha, salah seorang daripada tujuh orang pemuda tersebut.

Anjing itu turut bersama-sama dengan mereka berlindung dan bersembunyi di dalam gua tersebut. Oleh kerana keletihan, ketujuh pemuda ini tertidur sementara si anjing berada di sekitar pintu gua.

Jasad Terpelihara

Sementara itu di dalam gua, kesemua tujuh pemuda tersebut diberi ketenangan dan keselamatan oleh Allah SWT. Mereka telah ditidurkan oleh Allah SWT dengan nyenyaknya dalam gua tersebut untuk sekian lama.

Allah SWT berfirman tentang mereka di dalam gua, “Lalu Kami tidurkan mereka dengan nyenyaknya di dalam gua itu bertahun-tahun lamanya.” (Surah Al-Kahfi; Ayat 11).

Allah SWT ingin menzahirkan bukti-bukti kekuasaanNya kepada hamba-hambaNya melalui peristiwa ini.

Maka Allah SWT telah mentakdirkan pemuda-pemuda ini tidur dalam jangka masa yang sangat lama iaitu selama 309 tahun: tiga ratus tahun (dengan kiraan ahli kitab/Tahun Masihi) dan tambah sembilan tahun lagi (dengan kiraan kamu/Tahun Hijrah).

Firman Allah, “Dan mereka telah tinggal tidur dalam gua mereka selama tiga ratus tahun (dengan kiraan ahli Kitab), dan hendaklah kamu tambah sembilan tahun lagi (dengan kiraan kamu) (yakni menjadi 309 tahun).” (Surah Al-Kahfi; Ayat 25)

Walaupun mereka tidur amat lama dan tanpa makan dan minum, tetapi dengan kuasa Allah SWT, badan dan jasad mereka tidak hancur atau rosak.

Dengan kuasaNya juga, kedudukan gua tempat persembunyian ketujuh-tujuh pemuda yang berada di sebelah utara secara tidak langsung telah memelihara pencahayaan, pengudaraan dan kesegaran tubuh mereka sepanjang 3 abad itu.

Firman Allah, “Dan kamu akan melihat matahari ketika terbit, condong ke kanan dari gua mereka; dan apabila ia terbenam, meninggalkan mereka ke arah kiri, sedang mereka berada dalam tempat yang luas dalam gua itu. Yang demikian ialah dari tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan) Allah. Sesiapa yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah, maka dia lah yang berjaya mencapai kebahagiaan; dan sesiapa yang disesatkanNya maka engkau tidak sekali-kali akan beroleh sebarang penolong yang dapat menunjukkan (jalan yang benar) kepadanya.” (Surah Al-Kahfi; Ayat 17)

Allah SWT sengaja memberi ilham kepada ketujuh-tujuh pemuda tersebut untuk menemui gua tersebut sedangkan mereka sendiri tidak mengetahui bahawa Allah SWT telah menetapkan aturannya.

Bahkan Allah SWT menyatakan bahawa; jika kita lihat keadaan mereka di dalam gua itu, nescaya kita tidak akan percaya bahawa mereka sedang tidur. Maha Suci Allah Yang Maha Bijaksana.

FirmanNya lagi, “Dan engkau sangka mereka sedar padahal mereka tidur; dan Kami balik-balikkan mereka dalam tidurnya ke sebelah kanan dan ke sebelah kiri (supaya badan mereka tidak dimakan tanah), sedang anjing mereka mengunjurkan kedua lengannya di muka pintu gua. Dan jika kamu menyaksikan mereka tentulah kamu akan berpaling dari mereka dengan melarikan (diri) dan tentulah (hati) kamu akan dipenuhi dengan ketakutan terhadap mereka.” (Surah Al-Kahfi; Ayat 18)

Kebangkitan

Masa terus berlalu, zaman pun telah berganti dari beberapa generasi. Kini kerajaan yang dahulu dipimpin oleh raja kejam dan musyrik telah berubah menjadi sebuah negeri yang maju dan bebas dalam menjalani keyakinan agama masing-masing.

Apabila sampai tempoh yang ditetapkan Allah (300 + 9 tahun), mereka pun dibangunkan. Pemuda-pemuda tersebut telah terjaga kerana perut mereka terasa lapar, dan ketika bangun mereka saling bertanya tentang berapa lama mereka tertidur.

Para pemuda menyangka mereka hanya tertidur dalam masa sehari atau separuh hari sahaja, tanpa menyedari bahawa mereka telah tidur dalam jangka masa yang amat lama di dalam gua.

“Berkatalah salah seorang di antara mereka: “Sudah berapa lamakah kamu berada (di sini?).” Mereka menjawab, “Kita berada (di sini) sehari atau setengah hari..” (Surah Al-Kahfi; Ayat 19)

Atas rasa lapar itu, lalu sebahagian daripada mereka mencadangkan agar dihantar seorang wakil untuk ke bandar bagi mencari sesuatu untuk di makanan. Akhirnya mereka memilih pemuda bernama Tamlikha untuk ke kota Afsus. Kebetulan semasa mereka melarikan diri dulu mereka membawa bersama bekalan wang perak.

“Maka suruhlah salah seorang di antara kamu pergi ke kota dengan membawa wang perak kamu ini, dan hendaklah dia lihat manakah makanan yang paling baik (yakni yang bersih dan halal), maka hendaklah dia membawa makanan itu untuk kamu, dan hendaklah dia berlaku lemah lembut dan janganlah sekali-kali menceritakan hal kamu kepada seseorangpun. Sesungguhnya jika mereka dapat mengetahui tempatmu, nescaya mereka akan melempar kamu dengan batu, atau memaksamu kembali kepada agama mereka, dan jika demikian nescaya kamu tidak akan beruntung selama-lamanya.” (Surah Al-Kahfi; Ayat 19-20)

Lihatlah betapa bersihnya hati dan akhlak mereka. Walaupun dalam keadaan yang cemas dan sukar serta kelaparan, mereka masih berpesan kepada sahabat mereka yang ditugaskan ke kota mencari makanan itu supaya mencari dan memilih makanan yang bersih lagi halal.

Ini menandakan bahawa mereka adalah pemuda-pemuda yang bertakwa kepada Allah.

Dipendekkan cerita, Allah dedahkan rahsia mereka kepada orang ramai supaya manusia mengetahui bahawa janji Allah menghidupkan semula orang mati adalah benar, dan bahawa pada hari kiamat itu tidak ada sebarang syak padanya; pendedahan itu berlaku semasa orang-orang itu berbantahan sesama sendiri mengenai perkara hidup semula orang mati.

Firman Allah, “Dan demikianlah Kami dedahkan hal mereka kepada orang ramai supaya mereka mengetahui bahawa janji Allah menghidupkan orang mati adalah benar, dan bahawa kedatangan hari kiamat tidak ada keraguan padanya.” (Surah Al-Kahfi; Ayat 21)

Pendedahan ini berlaku semasa orang ramai bertelagah sesama sendiri mengenai perkara hidupnya semula orang mati. Allah telah mendedahkan perihal pemuda-pemuda Ashabul Kahfi semasa wakil mereka itu datang ke kota hendak membeli makanan.

Pemuda yang keluar menuju ke pasar mencari makanan. Dengan perasaan khuatir dan takut, akhirnya sampai ke kota. Dia berasa hairan melihat keadaan kota tersebut dan penduduknya yang berubah sama sekali, tidak seperti ketika ditinggalkan dahulu.

Dalam terpinga-pinga itu, akhirnya sampai juga dia ke pasar dan menemui salah seorang penjaja makanan. Namun penjual hairan dan pelik dengan wang yang digunakan oleh pemuda ini.

Penduduk kota yang telah kehairanan melihat keadaan dia dan mereka semakin syak apabila melihat wang perak yang dibawanya ialah wang yang sudah berzaman tidak digunakan lagi.

Dia telah disyaki menjumpai harta karun lalu dipanggil penguasa pasar yang sangat bijak. Dalam perbualannya, maka terbuktilah kepada orang ramai bahawa pemuda itu adalah pemuda yang lari dari kepungan raja pada tiga abad yang silam.

Mereka mengetahui akan peristiwa itu, daripada cerita yang masyhur dan telah disedia maklum oleh orang ramai. Larinya pemuda-pemuda itu kerana tidak rela menjual agama mereka kepada raja yang zalim dan memaksa mereka untuk menyembah batu.

Lalu salah seorang di antara mereka berkata kepada pemuda tersebut, “Janganlah kamu khuatir kepada raja ganas yang kamu katakan tadi. Raja itu sudah mati 300 tahun yang lalu. Raja yang memerintah sekarang ini adalah seorang raja mukmin yang soleh juga baik hati. Raja kami yang sekarang ini orangnya beriman seperti mana yang kamu imani.”

Barulah pemuda itu sedar dan insaf akan apa yang sebenarnya sudah terjadi. Dengan ketenangan yang amat jelas serta dengan alasan dan bukti-bukti yang cukup terang, maka terbuktilah bahawa mereka berada dalam gua bukan semalam atau setengah hari tetapi sudah tiga abad lamanya.

Orang ramai kemudiannya membawa pemuda tersebut mengadap raja beriman yang mengambil berat hal agama itu.

Betapa terkejutnya raja ketika pemuda menceritakan siapa dia sebenarnya, raja memeluk pemuda dengan juraian air mata yang tak terhingga.

Seketika suasana istana menjadi sangat hening dan terharu oleh kehadiran pemuda yang luar biasa tersebut.

Raja yang soleh ini kemudian menjelaskan kepada pemuda itu bahawa raja kejam Diqyanus telah mati 309 tahun yang lalu.

Selepas mendengar kisah menakjubkan itu, raja lalu mengajak para pembesarnya dan semua orang yang hadir berangkat ke Gua Ashabul Kahfi bersama wakil pemuda itu, untuk menjemput dan bertemu dengan kesemua pemuda tersebut, apalagi mereka sedang menunggu dengan kelaparan dalam gua, di samping ingin mengetahui keadaan di gua dan untuk mendengar kisah sebenar mereka.

Setelah mereka keluar dari gua itu, mereka disambut raja dan penduduk negeri. Raja membawa mereka ke dalam istana dan diberinya tempat di istana yang indah itu.

Tidak lama kemudian walaupun raja berkali-kali meminta agar para pemuda ini tetap tinggal di istana, tapi kumpulan pemuda tersebut menolak dengan baik dan tetap memilih untuk kembali ke gua semula.

Para pemuda tadi lalu berkata kepada raja, “Kami ini sudah tidak mengharap hidup yang lebih panjang lagi kerana kami sudah melepasi beberapa keturunan dan kesemuanya telah meninggal dunia, malah negeri dan binaan besar yang dahulu pun sudah runtuh semuanya; yang kami lihat sekarang ini adalah serba baru. Kami pun puas hati melihat raja dan penduduk yang hidup di negeri ini sudah sama-sama beriman kepada Allah.”

Di hadapan orang ramai, para pemuda ini menyarankan supaya mereka hendaklah sentiasa beriman kepada Allah, jangan sesekali tunduk kepada sesiapa yang mengajak pada jalan kesesatan dan kemusyrikan.

Tidak lama kemudian selepas mereka memberi ucapan selamat tinggal kepada raja dan rakyatnya yang beriman itu. Para pemuda lalu sama-sama bersujud dan berdoa ke hadhrat Allah agar menurunkan rahmatNya dan agar Allah mengizinkan mereka pulang ke rahmatullah.

Sejurus selepas mengucapkan doa itu mereka merebahkan badan di tempat pembaringan lalu menghembuskan nafas mereka yang terakhir dengan tenang dan tenteram. Termaklumlah bahawa Allah telah mengambil roh pemuda-pemuda itu dan kembali kepadaNya untuk selama-lamanya.

Keadaan dan kejadian itu, menjadi asas yang amat kuat bagi mereka untuk tetap beriman dan tunduk kepada Allah, Tuhan yang Maha Kuasa. Mereka makin percaya bahawa janji Allah itu benar belaka dan Hari Qiamat serta akhirat itupun benar semuanya.

Sepeninggalan para pemuda itu, orang ramai lalu berbincang bagaimana cara untuk memberi penghormatan sewajarnya agar mereka sentiasa dapat memperingati pemuda-pemuda suci itu.

Ada yang mencadangkan supaya didirikan sebuah bangunan atau tugu sebagai kenangan. Manakala Raja mencadangkan agar sebuah masjid (rumah ibadat) dibinakan di sisi gua itu supaya dari dalam masjid itu orang ramai dapat sama-sama menyembah dan membesarkan nama Allah dan sentiasa insaf akan kebesaran Allah.

Hal ini diceritakan Allah dengan firmanNya, “Setelah itu maka (sebahagian dari mereka) berkata: “Dirikanlah sebuah bangunan di sisi (gua) mereka, Allah jualah yang mengetahui akan hal ehwal mereka”. Orang-orang yang berkuasa atas urusan mereka (pihak raja) pula berkata: “Sesungguhnya kami hendak membina sebuah masjid di sisi gua mereka.” (Surah Al-Kahfi; Ayat 21)

Lokasi Gua Ashabul Kahfi

Telah menjadi perdebatan daripada zaman berzaman mengenai gua dan tempat persembunyian Ashabul Kahfi.

Banyak tempat mendakwa dimana berlakunya kisah ini seperti di Gua di Jabal Qassiyyun, Syria dan Gua di Ephesus (Tarsus), Turki.

Namun Gua Ashabul Kahfi (Kahf Ahlil Kahf) yang terletak di Abu Alanda, kira-kira 7 km dari pusat bandar Amman, Jordan, merupakan lokasi sejarah yang lebih menepati ciri-ciri yang dikisahkan di dalam Al-Quran.

Kawasan ini suatu ketika dahulu dikenali sebagai ‘Ar-Raqim’ kerana terdapat kesan tapak arkeologi yang bernama Khirbet Ar-Raqim di kawasan tersebut.

Perkataan ‘Ar-Raqim’ juga disebut di dalam Al-Quran dan Ahli Tafsir menafsirkan ‘Ar-Raqim’ sebagai nama anjing dan ada menyatakannya sebagai batu bersurat.

Walau bagaimanapun, Allah SWT tidak menunjuk dan menyatakan dengan jelas di mana tempat sebenar mereka bersembunyi.

Sebab utamanya adalah kerana ia tidak memberi manfaat bagi umat Islam kerana Allah hanya mahu hamba-Nya mengambil iktibar kisah pejuangan tujuh pemuda mempertahankan akidah mereka.

Namun begitu berdasarkan ayat 17 surah al-Kahfi, dapat kita ketahui kedudukan sebenar pintu gua yang menjadi tempat persembunyian ketujuh-tujuh pemuda tersebut berada di sebelah utara.

Firman Allah SWT, “Dan kamu akan melihat matahari ketika terbit, condong ke kanan dari gua mereka; dan apabila ia terbenam, meninggalkan mereka ke arah kiri, sedang mereka berada dalam tempat yang luas dalam gua itu. Yang demikian ialah dari tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan) Allah. Sesiapa yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah, maka dialah yang berjaya mencapai kebahagiaan; dan sesiapa yang disesatkanNya maka engkau tidak sekali-kali akan beroleh sebarang penolong yang dapat menunjukkan (jalan yang benar) kepadanya.” (Surah Al-Kahfi; Ayat 17)

Rahsia Ashabul Kahfi

Tetapi Allah jualah pemilik dan pengatur yang mutlak terhadap rahsia yang berlaku di gua yang kecil. Allah juga biarkan kita terus-menerus tertanya-tanya berapakah bilangan Ashab al-Kahfi seperti pemuda-pemuda bertanya-tanya sesama sendiri berapa lamakah mereka tertidur.

Allah biarkan kita tertanya-tanya dan tidak terduga banyak perkara dan kejadian. Agar kita tidak berhenti untuk mencari-cari rahsia dan kemukjizatan-Nya. Agar jiwa kita hidup, tidak buntu dan sentiasa berfikir seperti pemuda Ashabul Kahfi.

"Katakanlah (wahai Muhammad): Tuhanku lebih mengetahui akan bilangan mereka, tiada yang mengetahui bilangannya melainkan sedikit. Oleh itu, janganlah engkau berbahas dengan sesiapapun mengenai mereka melainkan dengan bahasan (secara sederhana) yang nyata (keterangannya di dalam Al-Quran) dan janganlah engkau meminta penjelasan mengenai hal mereka kepada seseorangpun dari golongan (yang membincangkannya). Sesungguhnya kisah Ashab al-Kahfi hanyalah secebis dari rahsia keagungan Allah." (Al-Kahfi: 22)

"Dan mereka telah tinggal tidur dalam gua mereka: Tiga ratus tahun dan sembilan tahun." (Al-Kahfi: 25)

"Katakanlah (wahai Muhammad): Allah jua yang mengetahui tentang masa mereka tidur; bagiNyalah tertentu ilmu pengetahuan segala rahsia langit dan bumi; terang sungguh penglihatanNya (terhadap segala-galanya)! Tidak ada bagi penduduk langit dan bumi pengurus selain daripadaNya dan Dia tidak menjadikan sesiapapun masuk campur dalam hukumNya." (Al-Kahfi: 26)

"Adakah engkau menyangka (wahai Muhammad), bahawa kisah “Ashaabul Kahfi” dan ‘Ar-Raqiim’ itu sahaja yang menakjubkan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Kami?" (Al-Kahfi: 9)

BACA INI JUGA: Kisah Benar Novel Yang Mencari Penulisnya!

Sumber: Sebuah Kisah Dari Wahyu


Ketahui Beberapa Versi Windows 10 Untuk Pasaran Berbeza

Ketahui Beberapa Versi Windows 10 Untuk Pasaran Berbeza

Setakat ini Microsoft sudah melancarkan Windows 10 secara rasmi pada 29 Julai 2015 keseluruh dunia. Menurut maklumat awal mengenainya, Microsoft dijangka menawarkan beberapa versi edisi yang disasarkan untuk pasaran yang berbeza.

Versi Windows 10

Berikut adalah gambaran awal sebahagian daripada edisinya.

Windows 10 Mobile

Edisi ini merupakan naik taraf Windows Phone 8.1 yang digunakan pada telefon pintar, phablet dan tablet mini dengan skrin bersaiz dibawah 8 inci.

Bakal dijual secara runcit dan setakat ini tersedia sebagai naik taraf telefon pintar untuk pelanggan sedia ada yang menggunakan Windows Phone 8.1.

Lebih menarik, edisi ini menyokong fungsi Continuum untuk telefon pintar, bukan sekadar untuk peranti baru malah peranti yang belum dipasarkan.

Windows 10 Mobile Enterprise

Edisi ini adalah tawaran baru yang hanya tersedia untuk pelanggan perusahaan atau perniagaan yang membeli secara Volume Licensing.

Tawaran ini dikatakan menyediakan apa sahaja yang ada dalam Windows 10 Mobile selain keupayaan untuk perniagaan mengurus bagaimana dan bila kemaskini akan dihantar.

Selain itu, Windows 10 Mobile Enterprise dikatakan akan menerima kemaskini keselamatan terkini sebaik sahaja sudah disediakan.

Windows 10 Home

Edisi ini adalah kemaskini untuk Windows 8.1. Namanya lebih jelas kerana bit terasnya hanya aspek dalaman untuk produk generasi Windows 8.

Edisi ini disasarkan kepada pengguna dan peranti seperti tablet, 2 dalam 1, laptop dan PC.

Lebih menarik edisi ini tersedia sebagai naik taraf secara percuma untuk mana-mana pengguna dengan peranti yang berasaskan Windows 7 atau 8.1, semasa tahun pertama selepas Windows 10 dilancarkan.

Windows 10 Pro

Edisi ini ialah naik taraf untuk Windows 8.1 Pro yang dibina diatas Windows Home dengan ciri-ciri tambahan untuk perniagaan kecil.

Ini termasuk pengurusan peranti, desktop jarak jauh dan Windows Update akan datang untuk khidmat awam perniagaan.

Edisi ini bakal tersedia secara naik taraf percuma untuk mana-mana pengguna dengan peranti yang berasaskan Windows 7 atau 8.1, semasa tahun pertama selepas Windows 10 dilancarkan.

Windows 10 Enterprise

Edisi ini ialah naik taraf untuk Windows 8.1 Enterprise. Seperti mana sebelumnya, adalah lebih tinggi daripada Windows 10 Pro kerana mempunyai ciri-ciri tambahan yang ditujukan kepada organisasi bersaiz sederhana dan besar.

Edisi ini akan tersedia untuk pelanggan yang membeli secara Volume Licensing sahaja, termasuk dengan jaminan perisian.

Pelanggan untuk edisi ini juga boleh memilih bagaimana dan bila kemaskini akan digunakan.

Windows 10 Education

Edisi ini adalah tawaran baru yang berasaskan Windows 7 Enterprise untuk sekolah. Disediakan hanya melalui pembelian akademik secara Volume Licensing yang disasarkan kepada guru, pelajar, kakitangan dan pentadbir sekolah.

Cuma tidak jelas bagaimana produk ini berbeza dengan Windows 10 Enterprise. Tetapi sekolah dengan peranti berasaskan Windows 10 Home dan Windows 10 Pro boleh dinaik taraf kepada Windows 10 Education.

Beberapa Edisi Lain

Khabarnya, Microsoft juga akan menawarkan versi Windows 10 Enterprise dan Windows 10 Mobile Enterprise bagi peranti kategori menegak seperti ATM, titik jual runcit (PoS), terminal bimbit dan robotik.

Selain itu, juga akan disediakan Windows 10 loT Core untuk peranti bersaiz kecil dan kos rendah seperti Raspberry Pi 2.

Malah, Windows 10 akan menyediakan versi khusus untuk Xbox One, Microsoft HoloLens dan Surface Hub.

Kesimpulan

Wujudnya pelbagai versi Windows 10 ini boleh mengelirukan pengguna, sedangkan Apple hanya membuat satu versi Mac OS X dan iOS.

Malah, edisi seperti Windows 10 Mobile Enterprise dan Windows 10 Education juga dilihat sebagai berlebihan. Edisi Home/Pro pula sepatutnya digabungkan menjadi Windows 10 sahaja.

Apa pun, mungkin ada maklumat lanjut mengenai setiap edisi diatas selepas ini.

BACA INI JUGA: Cara Memulihkan Google Chrome Yang Selalu Crash

-SENTIASAPANAS.COM

Dari Sudut Manakah Kita Melihat Kemerdekaan?

Dari Sudut Manakah Kita Melihat Kemerdekaan?

Secara kasar kebanyakan orang menafsirkan kemerdekaan sebagai bebas daripada belenggu penjajahan yang bersifat fizikal.

Malaysia-Merdeka

Penjajahan yang berbentuk fizikal yang dikenali sebagai imperialisme merupakan suatu rentetan hidup yang sangat menghinakan suatu bangsa.

Selepas perang dunia kedua, imperialisme semakin meorosot dengan kemerdekaan negara-negara yang dijajah. Namun, kebanyakan negara-negara yang dijajah tersebut masih lagi belum keluar dari belenggu penjajah. Belenggu apa lagi?

Jika anda melihat kemerdekaan dari sudut fizikal semata-mata, kemerdekaan sebenarnya tidak dikecapi dengan sepenuhnya. Setelah penjajahan fizikal berakhir, negara-negara membangun masih lagi terjajah dengan sistem yang ditinggalkan oleh penjajah termasuk sistem sosial, ekonomi, perundangan dan pendidikan.

Bahkan, negara-negara tersebut kebanyakan masih tertindas dan ketinggalan dalam sudut ekonomi walaupun telah merdeka selama berpuluh tahun kerana dikawal oleh kuasa kapitalis.

Adakah kita sudah merdeka sekiranya ekonomi negara kita ditadbir dan dikawal oleh orang luar? Adakah kita rela hasil mahsul bumi kita dikaut dan dinikmat oleh orang luar secara tidak adil?

Ternyata ekonomi merupakan suatu sektor yang sangat penting dalam membangunkan sesebuah bangsa dan negara. Namun sekiranya pemikiran mereka masih terjajah, apa jua lapangan samada sosial, ekonomi, perundangan dan pendidikan pasti tidak dapat dibangunkan dengan identiti sendiri. Penjajahan pemikiran merupakan suatu bentuk serangan yang paling bahaya dan memberi impak yang besar.

Bukan menjadi suatu kesalahan meniru atau menggunakan teknologi atau apa jua perkara yang baik dan positif, malangnya kebanyakan manusia lebih cenderung kepada perkara-perkara yang menyeronokan, negatif dan merosakkan diri.

Sebagai contoh, ramai yang cenderung kepada gejala hedonisme dengan menjadi hiburan sebagai tumpuan hidup. Ramai juga manusia yang tertarik dengan dunia dan material sehingga mengabaikan nilai-nilai positif sehingga sanggup terlibat dengan rasuah, pecah amanah dan korupsi.

Kebanyakan manusia membuat tafsiran dan memahami suatu perkara dalam konteks duniawi sahaja lebih-lebih bagi mereka yang tidak beriman dengan kehidupan selepas mati.

Oleh itu, tafsiran bagi setiap perkara dalam kehidupan ini hanya dilihat pada sudut keduniaan yang hanya nampak oleh pandangan kasar secara fizikal.

Islam memberikan kefahaman yang lebih luas dalam perkara kemerdekaan. Syed Qutb menukilkan kisah dialog antara tentera Muslim yang diutus kepada panglima tentera Parsi yang menjadi prosedur sebelum peperangan dimulakan dalam Petunjuk Sepanjang Jalan sangat menarik dan wajar diperhatikan.

Panglima angkatan tentera Parsi iaitu Rustam bertanya kepada ketiga-tiga wakil iaitu Rab’a bin ‘Amir, Huzaifah bin Muhsan dan Al-Mughirah bin Syu’bah yang dihantar dalam tempoh tiga hari berturut-turut sebelum berlakunya peperangan Qadisiah.

Rustam bertanya kepada mereka, “Apakah yang mendorong kamu ke mari untuk berperang dengan kami?”

Jawapan mereka adalah bersamaan antara satu dengan yang lain, tidak berubah dan tidak berbeza. Jawapan mereka berbunyi begitu. “Bahawa Allah telah mengutus kami untuk mengajak dan menyeru tuan-tuan dan semua orang yang menumpahkan taat setianya kepada sesama manusia untuk bersama-sama dengan kami menyembah dan menumpah pengabdian kepada Allah Yang Maha Esa, dan menarik mereka keluar daripada kesempitan hidup dunia kepada medan hidup yang lebih selesa di dunia dan akhirat, dari keganasan dan kekejaman agama-agama kepada keadilan Islam lalu diutus-Nya utusan-Nya kepada seluruh umat manusia. Sesiapa sahaja menerima Islam maka kami sambut mereka dan kami akan meninggalkan negeri mereka, kami tinggalkan mereka terus berkuasa di negeri mereka sendiri. Sebaliknya sesiapa sahaja yang angkuh dan enggan menerima Islam maka kami akan memerangi mereka sehingga kami mendapat kurnia syurga Allah atau kami beroleh kemenangan.”

Kemerdekaan dalam pemahaman yang lebih luas ialah menarik manusia itu keluar dari kancah pengabdian oleh sesama manusia kepada pengabdian dan kepatuhan kepada Tuhan Yang Esa.

Namun kita tidak dapat lari daripada keperluan hidup di dunia ini, tetapi kehidupan di dunia yang fana ini sepatutnya tidak melalaikan kita kepada kehidupan yang kekal di akhirat nanti.

Oleh itu, kemerdekaan yang lebih besar ialah terlepas daripada seksaan azab di akhirat nanti. Di dunia, kita perlu berusaha mendapatkan kemerdekaan seperti yang dinyatakan oleh tiga orang tentera Islam kepada Rustam dan kita juga perlu berusaha untuk memperolehi kemerdekaan di akhirat nanti (dengan izin dan rahmatNya).

BACA INI JUGA: Islam Diperangi Kerana Dolar Dan Minyak!

Sumber: Wmazmi

Sunday, August 30, 2015

10 Gunung Paling Sukar Ditakluki Di Dunia

10 Gunung Paling Sukar Ditakluki Di Dunia

Nampak mudah, tapi sebenarnya mendaki gunung bukanlah semudah yang ramai sangkakan. Jangankan gunung tertinggi, bukit dibelakang rumah kita sekalipun sudah terasa amat payah.

Disini kami ingin kongsikan kepada pembaca, 10 Gunung Paling Sukar Ditakluki Di Dunia.

1. Annapurna

Gunung Annapurna

Gunung Annapurna terletak di Nepal dan memiliki ketinggian sekitar 8,000 meter. Gunung ini termasuk dalam senarai 10 gunung tertinggi di dunia serta salah satu gunung paling merbahaya kerana ramai pendaki yang terkorban ketika cuba menakluki Annapurna.

Berdasarkan catatan,sejak pertama kali dibuka pada tahun 1950, gunung ini telah menelan korban seramai 53 pendaki.

2. K2

K2

Gunung yang terletak di atas Athabasca River Valley of Jasper National Park, 1.5 km dari East of Mount Kitchener, Kanada ini merupakan gunung kedua tertinggi di dunia.

Dikenal sebagai gunung paling sukar didaki di dunia, sehinggakan hanya pendaki yang berpengalaman sahaja mampu mendaki gunung tersebut.

Malah, rute yang di anggap paling mudah pun, memerlukan kerja keras dan sangat rumit. Ini disebabkan gunung yang curam, serta perlu melintasi dinding-dinding ais yang nipis, yang boleh runtuh bila-bila masa tanpa sebarang amaran.

Kesukaran-kesukaran ini membuatkan gunung tersebut menjadi salah satu gunung paling berbahaya di dunia.

3. Nanga Parbat

Nanga Parbat

Nanga Parbat berada di urutan ke 9 gunung tertinggi di dunia yang terletak di Pakistan. Jika ditinjau dari sudut kesukaran, medan gunung Nanga Parbat disebut sama sukarnya dengan K2.

Sukarnya mendaki gunung ini membuatnya mendapat julukan "The Man Eater", kerana ramainya pendaki yang terkorban di sana.

4. Kangchenjunga

Kangchenjunga

Kangchenjunga adalah gunung ke 3 tertinggi di dunia selepas gunung Everest dan Chogori, dengan ketinggian 8,586 (28.169 kaki). Gunung ini juga merupakan gunung ke 2 tertinggi di Nepal.

Kangchenjunga bererti lima harta karun salji. Sebabnya, gunung itu berdiri diatas 5 puncak dan 4 di antaranya mencapai lebih 8,450 meter.

Harta karun ini melambangkan 5 benda milik dewa, iaitu emas, perak, permata, biji bijian dan kitab suci.

Jumlah kematian di gunung ini antara yang paling tinggi jika di bandingkan ditempat lain, 22% kematian bagi setiap pendakian.

5. The Eiger

The Eiger

The Eiger juga disebut Nordwand (wajah utara) di puncak pergunungan Swiss. Gunung ini malah menjadi impian bagi para pendaki yang gemarkan aktiviti merbahaya di pergunungan.

Gunung ini mula di daki pada tahun 1938. Medan berbahaya pada gunung itu memerlukan pendaki memiliki skill tertentu dan perlu mengerahkan segala kemampuannya ketika mendaki di sana, sehinggakan gunung tersebut mendapat julukan murder wall.

6. The Matterhorn

The Matterhorn

Gunung ini memiliki bentuk yang sangat unik. Menyerupai trompet yang naik dari lembah sekitarnya. Gunung ini terkenal sebagai salah satu gunung yang memiliki rekod kematian yang tinggi.

Ada beberapa faktor yang menyebabkan perkara itu. Antaranya ialah persekitaran yang sangat sukar, seperti runtuhan salji dan batu-batuan yang berlaku secara tiba-tiba.

7. Mt.Vinson

Mt.Vinson

Mt.Vinson adalah gunung yg paling tinggi di antartika, tetapi bukan perihal tingginya yang penting, melainkan peringkat kesukaran dan tingginya kematian di sana, yang membuatkannya masuk kedalam senarai gunung paling berbahaya di dunia.

Satu hal paerkara yang mungkin harus menjadi pertimbangan kepada para pendaki adalah cuaca dingin yang sangat ekstrim dan sukar dijangka.

8. Baintha Brakk

Baintha Brakk

Popular dengan sebutan raksaksa, Baintha Brakk merupakan salah satu gunung yang paling sukar didaki. Gunung ini dibuka pada tahun 1971.

Salah seorang pendaki yang telah merasai kekejaman Baintha Brakk adalah Dooug Scott, yang patah kakinya dan terpaksa turun dari gunung dengan merangkak melawan angin kencang menuju ke base camp.

Ini sungguh luar biasa, namun tidak mampu menghalang para pendaki untuk terus mencuba.

9. Everest

Everest

Dicatatkan bahawa 1,500 orang yang cuba mendaki gunung paling tinggi di dunia ini, hanya 50 orang yang mampu sampai ke puncak.

Bila di lihat dari ketinggian gunung tersebut, tidak dapat di sangkal bahawa gunung ini merupakan gunung paling berbahaya di dunia.

10. Denali

Mt. Denali

Mt.Mckinley yang juga dikenali sebagai Denali adalah gunung yang paling tinggi di Amerika Utara. Walaupun ketinggianya hanya 20,320 kaki, namun cuaca dan suhu merupakan perkara paling serius ketika mendaki gunung ini.

Kadar kejayaan mendaki gunung ini hanyalah 50 peratus dan sebahagian besar pendaki menyerah kalah sebelum sampai ke puncak.

BACA INI JUGA: Keindahan Gunung Pelangi Di China Membuktikan Kebenaran Al-Qur'an

6 Aplikasi Hebat Setanding Whatsapp

6 Aplikasi Hebat Setanding Whatsapp

Sejak perlepasannya pada tahun 2003, Whatsapp kian meningkat dan ketika ini dianggap sebagai raja aplikasi pesanan atau mesej segera (IM).

Walau bagaimanapun, mungkin ada yang kini kurang menyukainya kerana sudah dibawah penguasaan Facebook.

Namun, hakikatnya tiada satu pun aplikasi yang dapat memenuhi keperluan setiap orang termasuk beberapa pilihan lain seperti Hangout, Skype dan Facebook Messenger.

Tambahan pula ada beberapa alternatif lain selain Whatsapp dipasaran sekarang ini yang menawarkan ciri-ciri serupa atau malah lebih baik.

1. Kik Messenger

Kik Messenger

Kik merupakan satu lagi aplikasi yang bermula pada tahun 2009 diplatform Blackberry, telefon pintar yang berada dipuncak popularitinya ketika itu. Aplikasi ini menyediakan khidmat mesej percuma selain beberapa cirinya yang menonjol.

Antaranya, tidak perlukan nombor mudah alih anda untuk berfungsi sedangkan nombor ini diperlukan aplikasi mesej yang lain. Namun, Kik bergantung kepada nama panggilan untuk dijadikan sebagai identiti anda.

Anda boleh memulakan kumpulan sembang hanya menggunakan hastag dan boleh juga membentuk kumpulan peribadi. Kik ketika ini amat popular dikalangan generasi muda.

Turut disertakan dalam aplikasi ini adalah sebuah pelayar web bagi menjadikan carian dan peluncuran lebih selesa.

Jika anda letih menggunakan Whatsapp dan mahu beberapa perubahan, Kik adalah alternatif yang sesuai.

Sesuai untuk iPhone, Android dan Windows.

2. Telegram

Telegram

Telegram merupakan aplikasi baru yang dilepaskan satu dan setengah tahun yang lalu. Aplikasi ini juga seperti aplikasi Whatsapp yang telah ditambah baik.

Aplikasi ini menawarkan banyak ciri pesaingnya itu dengan beberapa tambahan. Malah, antaramukanya juga hampir sama dengan Whatsapp.

Dalam aplikasi ini anda boleh berkongsi fail, imej dan video sehingga 1.5GB! Saiz yang cukup besar berbanding saiz apa yang boleh ditawarkan Whatsapp.

Selain itu, anda boleh membentuk kumpulan sehingga 200 ahli, dua kali ganda berbanding had yang ditetapkan oleh Whatsapp ketika ini. Lebih menarik lagi, anda mampu menghantar mesej musnah sendiri seperti ciri yang ada pada aplikasi Snapchat.

Selain pantas, aplikasi ini juga selamat malah turut memiliki program dengan ganjaran USD$200,000 bagi mencari lompong-lompong keselamatannya.

Sesuai untuk iPhone, Android dan Windows.

3. LINE Messenger

LINE Messenger

LINE ketika ini adalah antara pesaing terbesar Whatsapp. Selain pesanan percuma, turut menawarkan panggilan suara dan video percuma kepada pengguna LINE yang lain.

Aplikasi ini memiliki aspek rangkaian sosial kerana anda boleh mengemaskini status dan mengeposnya kepada garis masa anda.

Mungkin inilah satu-satunya aplikasi yang menyokong pelbagai platform - Windows, iOS, Android, Blackberry, OS X, Windows Phone, Nokia Asha dan Firefox OS.

Selain itu, LINE menawarkan ciri pelekat yang disebut sebagai emojis. Melaluinya anda boleh melahirkan emosi dengan cara tersendiri. Kalau emosi anda lebih rumit, anda boleh membeli pelekat yang sesuai dikedai pelekat.

Aplikasi ini memiliki asas pengguna yang besar (sekitar 600 juta pengguna) dan semakin berkembang dengan pantas.

4. BBM

BBM

BBM boleh dianggap sebagai perintis kerana telah membawakan IM kedalam arus perdana sebelum Whatsapp. Biarpun hari ini Blackberry masih bergelut untuk bersaing tetapi situasi BBM agak berbeza.

Blackberry akhirnya melepaskan aplikasi ini untuk kegunaan di platform lain, langkah yang sepatutnya dibuat lebih awal, yang mungkin mampu menghalang Blackberry daripada menghadapi 'kepupusan' seperti hari ini.

BBM hari ini menawarkan ciri yang setanding dengan Whatsapp. Pin alpha-numerik yang digelar pin BBM digunakan bagi mengenalpasti pengguna.

Ciri utamanya ialah saluran dimana anda boleh melanggan saluran yang dikehendaki. Anda boleh bersembang terus dengan pemilik saluran dan pemilik saluran ada antaramuka web bagi menerbitkan kandungan.

Disamping itu kualiti mesej suaran dalam BBM jauh lebih baik berbanding Whatsapp.

Sesuai untuk iPhone, Android, Windows dan Blackberry.

5. WeChat

WeChat

Sebelum ini aplikasi WeChat yang dibangunkan oleh Tencent Holdings yang berpangkalan di China, dinamakan sebagai W ixin.

Biapun pada peringkat awal popularitinya tidak setanding Viber dan Kik, namun ketika ini popularitinya kian meningkat khususnya dikalangan remaja.

Menawarkan banyak ciri menarik antaranya sembang berkumpulan, pelekat, sembang video, panggilan percuma antara pengguna selain penyiaran mesej.

Aplikasi ini terus dikemaskini dar masa ke semasa dan mempunyai reka bentuk perisian yang menarik. Lebih menarik lagi, ia boleh digunakan secara percuma untuk selama-lamanya.

Aplikasi ini juga menawarkan permainan percuma dimana anda boleh bermain dengan rakan-rakan anda yang menggunakan WeChat.

Aplikasi ini begitu popular di China dan kini meluaskan penggunaannya diluar negara.

Sesuai untuk iPhone, Android dan Windows.

6. Viber

Viber

Viber juga ada kelebihannya berbanding aplikasi yang lain. Antaranya, servis yang disediakan mungkin yang paling meluas dalam senarai ini.

Ciri utama yang ditawarkan adalah panggilan percuma kepada mana-mana pengguna Viber dan panggilan dengan kadar rendah dikenakan kepada pengguna Viber.

Lebih menarik lagi, aplikasi ini juga menyokong beberapa platform termasuk Android, iPhone, Blackberry, Windows Phone, Symbian dan Bada.

Pada mulanya, Viber hanya dibangunkan untuk iPhone dan pernah disebut-sebut sebagai pesaing kepada Skype; yang kini berkembang menjadi syarikat permesejan yang mempunyai lebih 200 juta pengguna diseluruh dunia, selain menyokong lebih sedozen bahasa yang berbeza.

Akhirnya, Viber telah dikuasai oleh Rakuten, sebuah syarikat e-dagang dan berasaskan internet, pada harga USD$900 juta.

Sesuai untuk iPhone, Android dan Windows.

BACA INI JUGA: 5 Ciptaan Terhebat Umat Islam Yang Mengubah Dunia!

-SENTIASAPANAS.COM