Thursday, June 25, 2015

Riak Ketika Beribadat Lebih Bahaya Dari Fitnah Dajjal

Riak Ketika Beribadat Lebih Bahaya Dari Fitnah Dajjal

Beribadat dan beramal soleh merupakan tuntutan daripada Allah kepada hamba-hambanya, kerana tujuan kita diciptakan di atas muka bumi ini adalah kerana ingin beribadat kepada Allah.

Riak [2]

Tetapi syarat supaya sesuatu amalan itu diterima ialah tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu.

Allah berfirman, "Sesiapa yang ingin bertemu Allah, hendaklah dia beramal soleh. Dan dalam amal solehnya itu janganlah dia mensyirikkan Allah dengan sesuatu pun." (Surah al-Kahfi 18: 110)

Amal ibadat akan berubah menjadi cacat sekiranya dicemari dengan dua jenis virus iaitu sifat riak dan sum'ah. Allah berfirman dalam hadis Qudsi, "Aku paling tidak memerlukan sesuatu. Sesiapa yang mengerjakan suatu amal yang dicampuri dengan perbuatan syirik kepada-Ku, maka Aku tiada kaitan dengannya dan membiarkannya dengan orang yang dia sekutukan." (Riwayat Muslim)

Jenis-jenis riak

Apakah itu riak? Istilah riak berasal daripada kata akar "lihat". Orang yang riak ingin "memperlihatkan" ibadatnya kepada orang untuk mendapat sanjungan, pujian dan penghargaan. Dalam erti kata lain, riak ialah sifat "menduakan" Allah dalam melakukan kebaikan.

Imam al-Ghazali berkata, "Riak ialah mencari kedudukan pada hati manusia dengan memperlihatkan kepada mereka hal-hal kebaikan."

Imam Habib Abdullah al-Haddad pula berkata, "Riak ialah menuntut kedudukan atau minta dihormati orang ramai dengan amalan yang ditujukan untuk akhirat."

Menurut pandangan ulama, berikut merupakan dua jenis riak:

1. Riak Akbar (Riak Besar). Seseorang yang melakukan ibadat semata-mata untuk mendapat sanjungan manusia dan bukanlah untuk mendapat keredaan Allah. Riak jenis ini adalah berpaling secara keseluruhan daripada Allah. Riak beginilah yang paling buruk, jika tidak kerana manusia, maka dia tidak akan beramal.

2.Riak Asgar (Riak Kecil). Tujuan dia melakukan ibadat bercampur-campur antara tujuan mendapat keredaan Allah dan juga penghargaan manusia. Riak jenis ini adalah lebih ringan daripada riak akbar kerana masih mengharap keredaan Allah tetapi pada masa yang sama mengharap juga penghargaan dari manusia.

Risiko penyakit riak

Ramai yang tidak menyedari bahawa riak hakikatnya cuba menipu Allah. Percubaan menipu Allah tidak akan berjaya bahkan mengundang bahaya yang paling besar.

Malahan al-Quran dan hadis banyak sekali memuatkan ancaman riak. Riak bukan sekadar dosa kecil, bahkan termasuk dalam dosa-dosa besar. Berikut antara bahaya riak yang dinyatakan oleh al-Quran dan hadis:

1. Riak lebih bahaya dari fitnah dajal. Rasulullah bersabda, "Mahukah aku khabarkan kepada kalian sesuatu yang lebih aku takutkan terhadap kalian daripada kedatangan dajal?" "Bahkan, kami mahu!", jawab para sahabat. Maka Rasulullah bersabda, "Syirik khafi; iaitu seseorang solat, lalu menghiasi solat, kerana seseorang yang memperhatikan solatnya." (Riwayat Ibnu Majah)

2. Amal tidak akan berkesan. Allah berfirman, "Maka celakalah bagi orang yang solat, iaitu orang yang lalai daripada solatnya, orang yang berbuat riak dan mencegah iaitu menolong dengan barang yang berguna." (Surah al-Ma'un 107: 4-7)

3. Riak akan menghapus dan membatalkan amalan. Allah berfirman, "Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan menyebut-nyebut dan (kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak) dan ia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat. Maka bandingan orang itu ialah seperti batu licin yang ada tanah di atasnya, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ditinggalkannya bersih licin (tidak bertanah lagi). (Demikianlah juga halnya orang-orang yang kafir dan riak itu) mereka tidak akan mendapat sesuatu pahala pun dari apa yang mereka usahakan. Dan ingatlah, Allah tidak akan memberi pertunjuk kepada orang kafir." (Surah al-Baqarah: 264)

Riak

Penawar Riak

Jadi, bagaimana mahu mengatasi rasa riak ini? Adakah orang yang riak ini akan berterusan tenggelam dan syok sendiri dengan amalannya yang tidak membuahkan hasil?

Sudah tentu sekali tidak. Maka riak dapat ditangani sekiranya mereka beringat bahawa apa yang dicari pada manusia akan punah, dan yang kekal hanyalah Allah.

Firman Allah, "Apa yang ada di sisi Allah jua yang kekal." (Surah an-Nahl :96)

Yakinilah bahawa riak hanya akan membawa kepada kehinaan, dan amalan orang yang riak ini langsung tidak akan mendapat ganjaran di akhirat.

Tanya diri kita, mahukah kita berpenat lelah mengerjakan segala amal kebajikan di atas dunia ini, lantas di akhirat kita hanya menjadi seorang yang papa kedana?

Fikirkan juga betapa riak akan menghapuskan pahala dan menambah dosa.

Pada hari kiamat kelak Allah akan berfirman, "Pergilah kepada mereka yang kamu perlihatkan amalan untuknya. Tengoklah adakah pahala pada mereka?" (Riwayat Ahmad)

Apabila terdetik sahaja rasa riak, segeralah ingat kepada Allah dan berlindung daripada godaan syaitan.

Hadapkan hati dan wajah kepada Allah dengan mengenangkan segala sifat keampunan dan kasih sayang dari-Nya, dan bayangkan aib diri akan didedahkan kepada seluruh manusia sekiranya kita beribadat hanya mengharap pujian manusia.

BACA INI JUGA: Selfie Lepas Tarawih Hapus Pahala?

Sumber: Utusan.com.my

Video Penuntut Kolej Selamba Lari Selepas Rempuh Kereta Polis

Video Penuntut Kolej Selamba Lari Selepas Rempuh Kereta Polis

Sebuah video yang merakam bagaimana sebuah kereta dipandu seorang penuntut kolej merempuh kereta peronda polis hingga terbabas kini tersebar.

Langgar+Lari

Bagaimanapun, pesalah tersebut bertindak bodoh apabila dia kemudian memecut laju melarikan diri dari tempat kejadian!

Video kejadian yang kini viral menunjukkan dengan jelas bagaimana sebuah kereta jenis Volkswagen Polo, hilang kawalan lantas merempuh kereta peronda polis yang berada di belah kiri jalan dua lane hingga terbabas ke pembahagi jalan dan melintang di laluan kanan.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur DSP S Markandan menerusi sebuah akhbar tempatan, mengesahkan kejadian yang berlaku pada jam 8.55 pagi semalam, di Jalan Pudu menghala ke pusat bandar.

S Markandan berkata, pemandu kenderaan dikenal pasti merupakan seorang penuntut kolej yang melarikan diri sejurus melanggar kereta peronda polis namun membuat laporan berkaitan kemalangan tersebut tidak lama kemudian.

Penuntut tersebut kini disiasat mengikut kes memandu di bawah pengaruh minuman keras atau dadah.

BACA INI JUGA: Filem-filem Lumba Kereta Terbaik


Sumber: Mynewshub.cc

Awas Seluar Skinny Jeans Merosakkan Otot Dan Saraf Kaki

Awas Seluar Skinny Jeans Merosakkan Otot Dan Saraf Kaki

Awas kepada penggemar fesyen serta pengikut trend industri fesyen terkini, seluar skinny jeans yang kian popular sekarang dikatakan boleh memudaratkan kesihatan si pemakai.

Skinny jeans

Amaran ini telah dikeluarkan oleh doktor sendiri selepas terdapat kes seorang wanita yang memakai seluar jenis itu tidak boleh berjalan selama empat hari tanpa bantuan.

Akibat skinny jeans yang terlalu ketat itu, doktor mengesahkan terdapat kecederaan pada otot serta saraf di kakinya.

Tidak dinafikan, seluar skinny jeans kini memang menjadi pilihan ramai wanita dan lelaki kerana ianya dapat memaparkan sisi kaki yang panjang dan kurus sekaligus menampakkan si pemakai kelihatan segak.

Namun, cantik atau segak perlu diketepikan sekiranya ia boleh menjejaskan serta memudaratkan kesihatan pemakai.

Terdapat satu lagi kes yang melibatkan pemakai seluar skinny jeans ini dimana kaki seorang wanita yang berusia 35 tahun telah membengkak dan seluar yang dipakainya itu terpaksa dipotong untuk rawatan.

Wanita tersebut pada mulanya dikatakan terasa kebas di kaki sebelum mengalami kesukaran untuk menggerakkan kakinya.

Dia kemudiannya terjatuh serta terbaring sebelum ditemui beberapa jam selepas itu dan doktor telah mengesahkan otot dan saraf di kakinya telah rosak akibat tekanan yang berpanjangan.

Ianya berpunca daripada skinny jeans yang terlalu ketat yang memberi tekanan kepada kaki si pemakai dan amaran ini telah dikeluarkan oleh Jurnal Neurologi, Neurosugeri dan Psikiatri.

Menurut Profesor Thomas Kimber, kes ini merupakan komplikasi baru yang melibatkan neurologi akibat daripada pemakaian seluar skinny jeans.

Siapa yang tidak gemar memakai skinny jeans, dari orang biasa, bintang Hollywood sehinggalah isteri kepada Putera William, Kate Middleton juga suka memakai skinny jeans.

Tapi harus diingatkan bahawa seluar yang ‘sendat’ ini boleh memudaratkan kesihatan si pemakai dan bukti yang ada ini perlu dijadikan iktibar supaya tidak berlaku kepada kita.

BACA INI JUGA: Kenapa Seluar Jeans Ada Poket Kecil?

Sumber: Mynewshub

Video Ngeri Hidung Putus Dipancung Pedang!

Video Ngeri Hidung Putus Dipancung Pedang!

Video ini mula viral dan mendapat perhatian orang ramai selepas dimuat naik di laman Youtube beberapa hari lalu.

Hidung putus

Menerusi video ini, saat-saat hidung seorang lelaki dipancung dengan menggunakan pedang telah dirakam oleh rakannya ketika sedang berparti.

Amaran kepada pembaca, gambar dan video yang dipaparkan ini agak mengerikan!

Mangsa yang memakai baju baseball dilihat sedang mendongakkan kepala dengan sosej di mulut untuk dipotong oleh seorang lelaki lain dengan menggunakan pedang panjang.

Hidung putus [2]

Dengan hanya satu libasan semua yang menonton aksi itu tercengang dan terkejut dengan apa berlaku.

Itulah akibatnya kalau terlalu ‘seronok’ ketika berparti, kalau mahu berparti jangan sesekali lakukan perkara yang tidak masuk akal, pelbagai perkara buruk boleh berlaku.

BACA INI JUGA: Isao Machii, Samurai Yang Mampu Membelah Peluru!


Sumber: Mynewshub

Rombakan Kabinet Selepas Raya, Siapa Menteri Yang Bakal Digugurkan?

Rombakan Kabinet Selepas Raya, Siapa Menteri Yang Bakal Digugurkan?

Perdana Menteri, Najib Tun Razak dijangka akan mengumumkan rombakan kabinetnya selepas raya ini, untuk mengukuhkan keyakinan rakyat kepada kepimpinannya.

Rombakan Kabinet 2015

Dijangka beberapa Menteri yang dianggap sebagai ‘beban’ akan digugurkan segera dan diganti dengan mereka yang lebih fresh dan energetik termasuk menukar portfolio beberapa menteri yang suka ‘playsafe’.

Antara menteri yang mungkin akan digugurkan ialah Datuk Hassan Malik, Nazri Tan Seri Aziz, Tengku Adnan Mansor dan Shahidan Kassim.

Beberapa orang Menteri pula akan ditukar portfolio mereka seperti Khairy Jamaludin yang dianggap prestasinya sebagai Menteri Belia dan Sukan agak kurang menyerlah. Kegagalan negara dalam berbagai bidang sukan sejak beliau menjadi Menteri menjadi puncanya. Kejayaan kontijen negara di sukan SEA di Singapura baru baru ini dilihat bukan kejayaan beliau. Khairy juga dilihat gagal dalam program pembangunan belia negara.

Shafie Afdal turut akan bertukar portfolio. Komen-komen beliau mengenai isu 1MDB dan pertelagahan beliau dengan Ketua Menteri Sabah menjadikan beliau bukan lagi Menteri yang sealiran dengan Najib.

Isu pembelian hartanah oleh MARA Incorporation di Australia yang menjadi senjata baru kepada pembangkang, menjadikan kedudukan beliau semakin panas.

Usaha Shafie menjemput Najib merasmikan Persidangan Tahunan Perwakilan UMNO Bahagian Semporna Ogos nanti dilihat tidak mampu menyelamatkan kedudukan beliau apatah lagi sebagai Naib Presiden.

Datuk Ahmad Maslan juga mungkin bertukar portfolio. Beliau menjadi tidak popular kerana sering membuat kenyataan yang mendahului kabinet dan Menteri yang bertanggungjawab terutamanya dalam isu GST.

Antara beberapa nama yang dijangka naik pangkat ialah Datuk Razali Ibrahim. Kalau Datuk Azizah Mohd Dun tidak naik pangkat mungkin Najib akan melantik seorang wanita muda menjadi Senator untuk menyertai kabinet beliau.

Disamping itu beberapa tenaga muda baru telah disenaraikan dan berpotensi untuk dibawa masuk seperti Datuk Anuar (Sekijang), Datuk Nawawi (Langkawi), Datuk Ikmal Hisham (Kelantan) dan Datuk Irmohizam (Selangor). Turut tersenarai ialah beberapa senator seperti Datuk Salim Sharif (Negeri Sembilan) dan Datuk Asyraf Wajidi (Kelantan).

Rombakan kabinet akan menjadikan Najib lebih ‘In Command’ bagi menghadapi PRU ke 14. Ini juga akan mematikan sebarang usaha untuk melemahkan kepimpinan beliau dari dalam.

Keberanian Najib mencabar mana-mana anggota kabinet supaya meletak jawatan jika tidak lagi dapat bersama dengan beliau dalam menangani isu 1MDB membawa impak besar.

Suara suara sumbang sudah tidak kedengaran. Bahkan pendirian majoriti Ketua Bahagian UMNO supaya pemilihan parti 2016 ditangguhkan mematikan sebarang usaha untuk menentang kepimpinan beliau. Difahamkan survey pendirian Ketua Bahagian itu dibuat melalui kumpulan Telegram mereka.

Satu lagi isu ialah, apakah akan ada Menteri Besar yang akan diganti sebelum PRU ke 14? Tunggu dan lihat.

BACA INI JUGA: Najib Mahu Rakyat Terima Kehilangan Berbilion Ringgit - Tun Mahathir

Sumber: Mynewshub.cc

Misteri Patung Badut

Misteri Patung Badut

Kisah ini berlaku disebuah rumah yang terletak di Newport Beach, California dan diceritakan oleh Tamra S. pada tahun 2004.

Badut

Disitu tinggal sepasang suami isteri bersama tiga orang anak yang masih kecil. Kehidupan mewah membuatkan mereka mampu mendiami sebuah rumah bersaiz besar dan selesa.

Jadi, khidmat pengasuh diperlukan bagi memastikan keselesaan dan keselamatan anak-anak mampu terjamin. Maklumlah, kedua-duanya merupakan pasangan berkerjaya.

Kehadiran seorang wanita muda sebagai pengasuh membantu memudahkan urusan rumah. Sikapnya yang ramah membuatkan pengasuh ini disayangi malah sangat bertanggungjawab melindungi anak-anak majikannya sewaktu ketiadaan mereka dirumah.

Hari-hari dilalui tanpa sebarang masalah, sehinggalah satu kejadian pelik berlaku. Semuanya bermula apabila majikannya keluar meraikan ulang tahun perkahwinan mereka. Seperti biasa, pengasuh ini ditugaskan untuk menjaga ketiga-tiga anak majikannya.

Selepas membawa masuk kanak-kanak tidur ditingkat atas, pengasuh duduk menonton tv menunggu kepulangan majikannya. Selepas beberapa ketika, tiba-tiba dia merasakan seperti ada sesuatu mengganggu fokusnya. Dia melihat ada patung badut berdiri disudut berdekatan tv!

Apa yang pelik, dia merasakan segala tingkah lakunya sedang diperhatikan oleh patung badut tersebut. Lebih menakutkan, pandangan badut itu sangat tajam, saiznya pula sama seperti lelaki normal.

Merasakan kepelikan patung badut itu, dia menghubungi majikannya melalui telefon dan meminta izin untuk memindahkan ketiga-tiga anak majikannya dipindahkan tempat tidur ke bilik lain. Alasannya, kerana dia merasa takut dan terganggu dengan apa yang dilihatnya.

Mengejutkan, majikannya segera mengarahkannya membawa kesemua anak-anak itu keluar dari rumah dan menghubungi polis dengan segera.

Pengasuh itu cuba bertanya sebab majikannya mengarahkan berbuat demikian namun tidak mendapat sebarang jawapan. Sebaliknya dia diingatkan berkali-kali supaya bertindak dengan cepat seperti yang diarahkan.

Dengan pantas dia mengejutkan anak-anak majikannya dan membawa mereka keluar dari rumah sebelum menghubungi pihak polis. Selepas membuat aduan, dia menghubungi semula majikannya untuk mendapatkan penjelasan.

Badut [2]

Jawapan yang diterima sangat menakutkan pengasuh itu. Majikannya memberitahu bahawa mereka tidak pernah memiliki sebarang patung badut di rumah. Tambahan pula, sebelum ini anak-anaknya pernah mengadu ada patung badut yang memerhatikan mereka ketika sedang tidur.

Mujurlah, pada malam itu, dengan ketangkasan pihak polis telah berjaya menangkap patung badut yang berada di tingkat atas rumah. Tangkapan itu sekaligus menyangkal dakwaan mengenai patung misteri di dalam rumah.

Sebenarnya, patung badut itu ialah gelandangan yang memakai pakaian badut untuk mengelakkan dirinya daripada diperhatikan orang ramai. Badut itu sering masuk ke dalam rumah ketika waktu malam untuk mencari makanan.

Apa yang peliknya, dia dikatakan tinggal dirumah tersebut selama berminggu-minggu tanpa disedari sesiapa. Tambahan pula, saiz rumah yang besar membolehkan badut itu bergerak bebas tanpa pengetahuan sesiapa.

Bagaimanapun, kisah ini tidak terhenti di sini kerana tidak lama selepas kejadian, cerita yang sama berulang dan menjadi buah mulut orang ramai. Kali ini, pengasuh yang diganggu mengalami pengalaman lebih buruk.

Dia diganggu dengan panggilan telefon sebanyak tiga kali daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai badut. Soalan yang kerap ditanya adalah mengenai keadaan anak-anak tersebut.

Bimbang dengan panggilan itu, dia bertindak melaporkannya kepada polis. Dan selepas membuat aduan, anggota polis menghubunginya semula untuk memberitahu bahawa panggilan daripada badut tersebut sebenarnya datang dari bilik atas rumah tersebut!

Disebabkan teramat takut, pengasuh itu cepat-cepat berlari keluar sambil menunggu kedatangan polis.

Malangnya, selepas polis menjalankan siasatan, tiga orang kanak-kanak yang disangkakan tidur tadi telah dibunuh pleh patung badut. Hanya pisau dan rambut badut yang ditinggalkan di sisi mayat.

Bagaimanapun, kesahihan mengenai cerita misteri badut ini kekal misteri. Ini kerana wujud pelbagai versi yang menimbulkan kekeliruan kepada orang ramai.

Identiti majikan dan pengasuh masih tidak diketahui sampai ke hari ini.

BACA INI JUGA: Tragedi Pembunuhan Wynekoop Mansion

-SENTIASAPANAS.COM

Wednesday, June 24, 2015

Apa Itu Pluralisme Dan Bahayanya Kepada Akidah Umat Islam

Apa Itu Pluralisme Dan Bahayanya Kepada Akidah Umat Islam

Pluralisme adalah pemikiran asing daripada Islam. Fahaman ini mudah bergerak dan berkembang di peringkat golongan elit dan pertengahan yang mencari-cari sesuatu yang berbeza dengan prinsip tradisi Islam.

Pluralisme

Pluralisme dilihat sebagai suatu ancaman terhadap keyakinan umat Islam hari ini. Bagaimanapun kita perlu melihatnya dari beberapa dimensi yang berbeza.

Mengapakah pluralisme bahaya kepada akidah ummah? Fahaman ini bahaya kerana menyamakan semua agama. Ia lahir akibat pengaruh sekularisme dan proses sekularisasi masyarakat Barat yang beragama Kristian.

Fahaman pluralisme percaya agama-agama di dunia hanya berbeza struktur luaran sahaja manakala dalamannya sama iaitu menuju tuhan yang satu.

Fahaman pluralisme dikatakan muncul sekitar abad ke-20 apabila seorang ahli teologi Kristian Erntroesch mengemukakan gagasan pluralisme dengan alasan bahawa di luar gereja ada juga keselamatan.

Sudah tentulah apabila kita melihat dari dimensi akidah Islam, pluralisme salah satu ciri kesesatan kerana ia produk sekular dan atheis. Dari dimensi pluralisme sememangnya pemikir dan pengikut tegar mereka cuba menjadikannya setaraf sebagai ideologi atau mendapat tempat di antara agama demi survivalnya.

Penganut pemikiran pluralisme berusaha mendapat tempat setaraf dengan agama-agama dunia padahal ia sekadar beberapa cebisan pemikiran dan ubah suai pendekatan agama-agama supaya kelihatan semua agama, kepercayaan atau sebarang ideologi adalah sama - iaitu masing-masing inginkan kebaikan dan kebajikan.

Kemungkinan besar konsep pluralisme tidak ditemui langsung dalam agama-agama lain tetapi cuba dijustifikasikan melalui pemikiran liberal yang sesat.

Tokoh-tokoh pembawa aliran pemikiran pluralisme seperti Norcholis Majid dan Harun Nasution di Indonesia, Sayyed Hussin Nasr di Iran dan Hassan Hanafi di Mesir.

Di Malaysia, ia masih menjadi tanda tanya walaupun perbincangan sekitar isu ini seringkali berlaku.

Namun kita mampu mengesani individu-individu terbabit apabila kita memahami apa itu falsafah liberalisme dan sekularisme.

Apa yang berlaku di India melalui pendekatan agama baru, Din Ilahi boleh dijadikan contoh klasik yang ingin menyatukan kesemua agama. Walaupun sekian lama berlalu tetapi gerakan dan pengaruhnya terus tersebar sehingga ke hari ini.

Unsur- unsur ini dapat disaksikan dalam filem Hindustan yang menyelitkan mesej dan lambang-lambang agama berbeza dalam susunan babak yang mempunyai tribulasi jalan cerita panjang. Itulah sebenarnya yang ingin disampaikan oleh pengarah-pengarah filem Bollywood.

Dalam konteks kekeluargaan, perkara ini juga jelas berlaku di Indonesia apabila satu keluarga menganut empat agama berbeza. Dalam sebuah keluarga ahlinya boleh menganut Islam, Kristian, Hindu atau Buddha.

Pluralisme dalam satu unit keluarga terhasil daripada dasar Pancasila di Indonesia. Prinsip ini juga datang dari akar pemikiran sekular yang membuang sebarang kaitan agama dengan urusan dan peraturan duniawi.

Mengapa ini semua berlaku walaupun mereka sesetengahnya dianggap sangat terpelajar seperti Norkholis Majid, Harun Nasution, Kautsar Azhar dan Ulil Abshar di Indonesia? Mereka mengkaji dan memahami Islam samalah seperti penulis Barat, Karen Armstrong menulis A History of God dan John L.Espsito menulis Islam The Straight Path.

Malahan John Burton berani menulis An Introduction to the Hadith, sebuah buku tentang hadis iaitu sumber rujukan kedua selepas al-Quran yang kebanyakan orang Islam sendiri sukar memahaminya. Mereka hanya melihat dan menilai dari sudut sosiologi agama, falsafah dan sejarah.

Agama itu hanyalah disandarkan kepada pembawanya seperti Sikh-Guru Nanak, Kristian-Isa, Yahudi-Musa, Buddha-Gautama Buddha, Hindu disandar kepada Mahatma Ghandi. Begitu juga mereka melihat Islam adalah pembawanya Muhammad.

Kebanyakan penulis barat menggunakan Muhammadisme, merujuk kepada Islam sebagai ideologi Muhammad. Itulah cara mereka berfikir dan meletakkan Islam sama seperti ideologi komunis dan Marxis atau sosialis.

Jadi logiknya, sesiapa sahaja boleh memilih agama yang disukai. Sedangkan dengan tegas ajaran Islam menyatakan Muhammad itu Rasul dan utusan Allah bersifat ummi.

Pemikiran pluralisme jelas apabila rata-rata menggunakan istilah agama Abrahamic merujuk kepada Yahudi, Kristian dan Islam dalam satu kelompok di bawah seruan Nabi Ibrahim.

Lebih malang lagi ada yang menyenaraikan agama Bahai yang sesat dan jauh dari Islam itu di bawah satu kelompok yang sama di atas nama Abrahamic.

Dalam beberapa keadaan lain, pluralisme ini cenderung kepada mulhid kerana agama hanyalah isu kebudayaan yang datang daripada perkembangan dan ubah suai tamadun manusia. Wujud agama atau tuhan itu tidak memberi bekas kepada rasa fitrah manusia.

Ertinya mereka cuba menolak setiap insan mencari penciptanya. Yang wujud hanyalah diri dan segala yang terjadi secara semula jadi, kebetulan dan tabiat alam semata-mata.

Tepat sekali bahawa pluralisme adalah buah yang datang dari sepohon pokok beracun sekular yang menurut mantan Mufti Mesir, Syeikh Atiyyah Saqr, sekularisme itu fahaman yang mencabut agama dalam medan kehidupan.

Maka akhirnya tiada bezanya antara sekularisme dan pluralisme kerana kedua-duanya mempunyai prinsip kesesatan yang sama.

Kaedah inilah yang cuba dibawa dan diserasikan oleh pendukung liberalisme yang membawa kepada pluralisme.

Tidak sukar untuk memahami mengapa ini terjadi terhadap orang seperti Norkholis, Harun, Ulil dan lainnya.

Tidak mustahil perkara ini berlaku melalui pembentukan minda dengan pengajian dan pendedahan yang telah merubah persepsi mereka.

Norkholis lulusan Universiti Chicago, Amerika Syarikat manakala Harun kelulusan Universiti Mc Grill, Kanada.

Sayyed Hussin Nasr tidak begitu teruk fahaman pluralisme dan sekularismenya kerana kajiannya lebih kepada falsafah sains bahkan beliau seorang saintis tulen.

Kaedah-kaedah yang terbina dalam disiplin pengajian Islam sukar dipertikaikan oleh logik manusia ataupun ilmu moden.

Sehinggakan dalam menentukan keabsahan maklumat dan fakta hatta penapisan maklumat dalam jaringan ICT hari ini sekalipun sudah terpakai dalam pengesanan riwayat hadis. Konsep kaedah ini tidak wujud dalam mana-mana agama dan doktrin dunia.

Malangnya Islam cuba dinilai, ditafsir dan dikritik secara bebas tanpa panduan disiplin ilmu seperti berlaku terhadap Kristian yang melahirkan mazhab Protestan. Apakah mereka boleh dilabel sebagai Muslim Protestan?

Kristian dikritik dan ditolak oleh penganutnya sendiri disebabkan para paderi mentafsirkannya sebuah agama yang menolak sains dan paderi mengambil alih kerja tuhan sehingga boleh mengampunkan dosa pesalah.

Maka lahirlah orang seperti Martin Luther yang mengkritik Kristian. Akhirnya mazhab Kristian Protestan ditolak oleh Kristian Katolik serta dianggap sesat.

Islam tidak sama dengan agama lain kerana yang menolak teras Islam dan mempertikaikannya akan menjejaskan akidah.

Sebab itulah ulama banyak memperincikan kedudukan mereka yang mengalami krisis keyakinan dikategorikan sebagai murtad, kafir, musyrik dan munafik.

Orang yang tidak menerimanya sebagai agama (al-Din) tetapi tidak menentangnya dinamakan zimmi, iaitu dilindungi dan dihormati dalam konteks sebuah negara. Islam sangat menggalakkan ijtihad, berfikir, analisis dan mengkaji bukan membuatnya secara bebas yang tidak terikat kaedah dan akidah yang boleh mengundang kesesatan.

Cara berfikir, pengajian dan kajian yang terlepas bebas daripada disiplin ilmu Islam bukan sahaja memberi kesan terhadap gambaran Islam, malah impaknya merebak dan mempengaruhi pengajian di universiti.

Justeru ada universiti meletakkan Pengajian Islam itu setaraf dengan Pengajian Sastera. Ada juga universiti cuba menukar status sebuah fakulti pengajian Islam kepada hanya sebuah unit pengajian yang kecil kerana dianggap tidak bertaraf global.

Terdapat juga universiti menamakannya sains wahyu dengan membuang pembahagian pengajian syariah, usuluddin dan dakwah yang dibina oleh tokoh-tokoh ulama silam.

Mereka melihat persoalan ketuhanan itu tiada bezanya dengan agama lain, sekadar kepercayaan yang boleh ditokok tambah mengikut selera dan kefahaman berdasarkan perubahan pemikiran masyarakat dan tamadun.

Sebenarnya untuk menjawab persoalan pluralisme dan eksklusifnya Islam telah ramai tokoh ulama terdahulu dan kemudian mengulas.

Antaranya Ibnu Taimiyyah dalam kitabnya ensiklopedia Majmu' Fatawa dan Wahbah Zuhaili dalam al-Tafsir al-Munir yang boleh diringkaskan dua perkara berikut:

Pertamanya, Muhammad pembawa nubuwwah dan risalah yang diterangkan sebelum ini oleh Musa dan Isa.

Baginda diutus untuk ummah sejagat dan ialah rasul terakhir sebagai pelengkap. Pengutusannya merangkumi alam manusia dan jin, bangsa dan puak-puak di zamannya dan zaman-zaman seterusnya.

Ini sekaligus membatalkan syariat para nabi dan rasul sebelumnya yang diutuskan kepada umat sezaman dan bangsa-bangsa tertentu sahaja.

Keduanya, menurut Ibnu Taimiyyah, Islam memperakui para nabi, rasul dan kitab-kitab mereka. Tetapi kitab mereka seperti Taurat, Zabur dan Injil telah diselewengkan. Sebab itulah versi kitab mereka boleh ditemui dalam pelbagai bahasa yang gagal dipastikan ketulenannya.

Sedangkan al-Quran hanya satu versi dalam bahasa Arab walaupun para penganutnya dari pelbagai bangsa dunia yang berbeza bahasa.

Dua ciri tersebut ada pada Islam yang bersifat universal menyebabkan ia menjadi agama yang sangat eksklusif. Tidak boleh berkongsi sifatnya dengan agama lain, tunggal, serta tidak boleh berada setaraf dengan agama lain.

Agama-agama tersebut sama ada dalam kelompok Samawi atau budaya. Malahan jauh sekali berbentuk doktrin, kepercayaan atau ideologi daripada tokoh pemimpin agama, politik, pengajian atau negarawan. Kesejagatan Islam telah menjangkau bangsa, bahasa, agama, geografi dan zaman.

Eksklusif dan unggulnya Islam sehingga memperakui kewujudan agama lain tetapi tetap menolak secara mutlak kebenarannya.

Inilah keistimewaan Islam yang datang daripada Allah tanpa campur tangan manusia. Sebab itulah secara jelasnya Allah menegaskan bahawa sesungguhnya, al-Din (agama) itu hanyalah Islam..(Ali-'Imran:19).

Wallahu a'lam.

PENULIS ialah Ketua Penolong Pengarah Seksyen Muamalat dan Sosioekonomi, Bahagian Perancangan dan Penyelidikan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)

BACA INI JUGA: Menanti Penyelamat Akhir Zaman, Imam Mahdi

sumber: utusan

7 Tanda Anak Berbakat Luarbiasa Yang Ramai Ibu Bapa Tak Tahu

7 Tanda Anak Berbakat Luarbiasa Yang Ramai Ibu Bapa Tak Tahu

Anak adalah anugerah Allah yang tak ternilai kepada kita. Mereka merupakan penceria kehidupan rumah tangga.

Smart kids
Gambar hiasan.

Kami nak kongsikan 7 tanda anak anda berbakat dan berkebolehan luar biasa. Tanda-tanda tersebut dimiliki oleh anak pada usia antara 2-4 tahun ialah:

1. Mempunyai bakat tertentu, seperti kebolehan melukis atau kebolehan luar biasa dengan nombor.

2. Mencapai tahap perkembangan fizikal dan berfikir lebih awal dari rakan-rakan.

3. Mempunyai perkembangan menguasai bahasa yang lebih baik berbanding dengan rakan-rakan, seperti perbendaharaan kata yang luas atau keupayaan untuk bercakap dalam ayat yang lebih awal daripada kanak-kanak lain yang sebaya.

4. Mempunyai keinginan untuk tahu dan tidak pernah berhenti bertanya.

5. Sangat aktif (tetapi tidak hiperaktif). Walaupun kanak-kanak hiperaktif sering mempunyai tahap tumpuan (fokus) yang singkat, kanak-kanak aktif dan berbakat pula boleh menumpukan perhatian kepada satu tugas yang diberikan untuk jangka masa yang lama, bersemangat untuk menghabiskan tugas itu, dan suka melakukan aktiviti yang sukar.

6. Mempunyai daya imaginasi yang jelas. Kanak-kanak berbakat boleh bercerita dan berimaginasi tentang suatu pengembaraan dengan baik.

7. Mampu menghafal fakta dengan mudah dan ingat maklumat yang sukar dipelajari dari rancangan televisyen, filem, atau buku. Sesetengah kanak-kanak pintar cerdas menyedari bahawa mereka adalah “berbeza” dari rakan-rakan mereka. Ini boleh membuat mereka merasa terpencil dari rakan-rakan yang lain. Ini menyebabkan mereka menjadi mangsa buli.

Kenali anak kita dan berilah sokongan kepada perkembangan fizikal dan mental mereka. Wallahu a’lam.

BACA INI JUGA: Kenapa Perlu Mencemburui Orang Yang Berbakat?

3 Waktu Paling Mustajab Untuk Berdoa Di Bulan Ramadhan

3 Waktu Paling Mustajab Untuk Berdoa Di Bulan Ramadhan

Secara khusus, ada tiga waktu di setiap hari selama bulan Ramadhan yang merupakan waktu-waktu mustajab untuk berdoa. Berdoalah di waktu-waktu ini, insya Allah lebih mudah dikabulkan Allah.

Berdoa

1. Sepertiga malam terakhir

Pada hari-hari biasa, sepertiga malam yang terakhir merupakan waktu mustajab untuk berdoa. Di bulan Ramadhan, berdoa di waktu ini lebih mudah bagi ramai orang kerana waktu ini adalah waktu sahur.

Rasulullah SAW bersabda:

“Rabb kita Tabaraka wa Ta’ala turun ke langit dunia pada sepertiga malam terakhir. Lantas Allah berfirman, “Siapa saja yang berdo’a kepadaKu, niscaya akan Aku kabulkan. Siapa yang meminta kepadaKu, niscaya Aku beri. Siapa yang meminta ampunan kepadaKu, niscaya akan Aku ampuni.” (HR. Al Bukhari dan Muslim)

2. Sepanjang waktu puasa

Yakni sejak terbit fajar hingga terbenamnya matahari. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

“Tiga orang yang doanya tidak tertolak: (pertama) orang yang berpuasa sampai ia berbuka.” (HR. Ahmad; shahih lighairihi)

3. Ketika berbuka puasa

Perbanyakkanlah doa saat berbuka kerana pada waktu ini sangat mustajab untuk berdoa.

“Sesungguhnya doa orang yang berpuasa ketika berbuka tidaklah tertolak.” (HR. Ibnu Majah; hasan)

Jangan sia-siakan tiga waktu ini, setiap hari selama Ramadhan.

BACA INI JUGA: Hadis Palsu Kelebihan Solat Tarawih Sepanjang 30 Malam Ramadhan

Sumber: Bersamadakwah