Friday, July 04, 2014

Makhluk Yang Lebih Jahat Daripada Firaun

Makhluk Yang Lebih Jahat Daripada Firaun

Ada satu cerita, Iblis terkutuk berdebat dengan Firaun durjana. Tiada yang baik antara keduanya, namun ada yang teruk macam mereka.

Firaun

Kononnya, pada suatu malam, Iblis pergi ke istana Firaun ketika ‘sahabatnya’ itu hendak tidur. Tiba sahaja di hadapan kamar Firaun, Iblis pun mengetuk pintu lalu memanggil Firaun keluar.

Firaun berang tidak terkira kerana ada yang berani mengganggunya ketika dia mahu melelapkan mata. “Siapa yang berani ketuk pintu bilik tidur aku?,” tanya Firaun yang sombong itu dengan suara bengis.

“Hai! Bukankah engkau sentiasa dakwa diri engkau tuhan, tapi aku ada di sebalik pintu depan engkau pun engkau sudah tidak tahu. Tapi tidak apalah. Sebenarnya aku Iblis. Keluarlah sekarang kerana aku mahu berbincang dengan engkau,” jawab Iblis selamba.

Dia menyeringai, puas hati kerana awal-awal lagi dia sudah berjaya memperlekehkan Firaun, seorang raja negara besar yang digeruni ramai.

Maka, setelah Firaun membuka pintu dan melihat Iblis tercegat bercekak pinggang di hadapannya, dia jadi bertambah marah.

“Engkau memang makhluk tidak berguna. Dengan makhluk lain, bahkan Nabi Adam, engkau bersikap biadab. Dengan aku pun engkau mahu tunjuk keras kepala?,” sergah Firaun.

Iblis senyum. “Anggapan engkau salah. Sebenarnya engkau lebih teruk daripada aku,” jelas Iblis yang tidak terkesan pun dengan kemarahan Firaun.

“Kenapa engkau kata begitu?,” tanya Firaun, api kemarahannya semakin membara.

“Cuba engkau fikir. Aku lebih tua, lebih cerdas dan lebih kuat daripada engkau. Tapi aku tidak seberani engkau. Aku hanya tidak mahu tunduk pada Nabi Adam apabila diperintah ALLAH kerana aku lebih hebat.

“Aku dijadikan daripada api, sedangkan Adam (manusia) dijadikan daripada tanah. Mana boleh aku tunduk padanya! Bagaimanapun, aku tidak pernah tolak keesaan ALLAH.

“Tetapi engkau; walaupun hanya manusia biasa, tiada kelebihan apa pun, namun engkau berani mengaku kononnya engkau tuhan,” kata Iblis.

Firaun sedar kelemahannya. Dia teringat betapa dia cuba menghalang ancaman terhadap diri dan kekuasaannya dengan mengeluarkan perintah supaya semua bayi lelaki dibunuh, tetapi dengan kuasa ALLAH, Nabi Musa AS membesar di istana sebagai anak angkatnya sendiri dan akhirnya menjadi apa yang dianggap sebagai musuh yang akhirnya menyebabkan seluruh tentera serta dirinya tenggelam di lautan.

“Benar apa yang kamu katakan. Kalau begitu aku mahu bertaubatlah,” kata Firaun kepada Iblis.

Iblis

Iblis, yang sentiasa penuh dengan tipu-helah itu menjawab: “Jangan. Penduduk Mesir sudah menerima engkau sebagai tuhan. Bila kamu cabut taraf ketuhanan daripada dirimu itu, mereka akan berpaling daripadamu, akan memusuhimu dan memporak-perandakan kekuasaanmu. Akhirnya kamu akan menjadi orang yang hina-dina.”

“Benar juga kata-kata engkau. Tetapi, aku mahu tahu adakah di dunia ini ada makhluk lain yang jahat selain aku?,” tanya Firaun.

“Ada,” kata Iblis.

“Orang yang tidak sudi menerima permohonan maaf,” kata Iblis, sebelum beredar.

ALLAH yang Maha Berkuasa pun sentiasa mengalu-alukan hambaNya memohon ampun daripadaNya dan ALLAH bersedia mengampunkan hambaNya walaupun dosa mereka banyak.

Rasulullah SAW mengajarkannya kepada isteri Baginda, Aisyah, ketika Aisyah bertanya kepada Baginda: “Wahai Rasulullah, andainya aku berjumpa lailatul qadar, apa yang perlu aku katakan?.”

Baginda bersabda: “Katakanlah: Ya ALLAH, sesungguhnya Engkau Maha Pemaaf dan Engkau cintakan kemaafan, maka maafkanlah kami.”

ALLAH berfirman (Sohih Muslim) yang maksud: "Sesiapa yang mendekatiKu sejengkal Aku akan mendekatinya sehasta. Sesiapa yang menghampiriKu sehasta aku akan menghampirinya sepemeluk dan sesiapa yang datang kepadaKu dalam keadaan berjalan Aku akan pergi kepada dalam keadaan bersegera".

"Dan sesiapa menemuiKu (selepas mati) dengan dosanya sebesar bumi tetapi tidak syirik padaKu dengan sesuatu, nescaya Aku akan menemuinya dalam keadaan mengampuni dosa sebesar bumi itu".

Wallahualam. Selamat berpuasa.

BACA INI JUGA: Banyaknya Kebaikan Dan Amalan Ketika Hujan

[Sumber]

Mengapa Lebih Letih Jika Tidur Selepas Subuh?

Mengapa Lebih Letih Jika Tidur Selepas Subuh?

Adakah anda tergolong dalam kalangan orang yang akan tidur semula selepas bersahur dan menunaikan solat subuh?

Menguap

Jika ya, kami yakin anda bersetuju jika kami katakan anda akan lebih letih selepas bangun daripada tidur.

Menurut pegawai perubatan, Dr. Zubaidi Ahmad, tidur semula selepas subuh sebenarnya akan mengganggu pusingan biologi dalam badan sekaligus menambahkan keletihan seseorang.

Ia disebabkan gangguan ke atas pengeluaran hormon kortisol yang berfungsi sebagai hormon kecergasan bagi seseorang.

Sebenarnya, apabila seseorang bangun daripada tidur setiap pagi pada pukul lima pagi untuk bersahur, rutin ini akan merangsang pengeluaran hormon kortisol pada pukul tiga atau empat pagi dan akan memuncak pada pukul 11 pagi.

Bagaimanapun, jika rutin ini ditukarkan secara tiba-tiba, dengan tidur semula selepas Subuh, pengeluaran hormon ini akan terganggu dan kita keletihan sepanjang hari berpuasa.

Justeru, adalah lebih baik jika anda tidak tidur selepas Subuh, sebaliknya melakukan aktiviti lain bagi mengisi masa sebelum ke tempat kerja.

Namun, jika anda benar-benar perlukan tidur, Dr. Zubaidi mencadangkan agar anda memperuntukkan 30 minit sebelum Zohor untuk melelapkan mata.

Insya-Allah, selepas berwudhu’ dan solat Zohor, anda akan rasa lebih segar untuk meneruskan ibadah puasa.

BACA INI JUGA: Orang Beriman Gembira Menyambut Ramadan

Sumber: Facebook Dr Zubaidi Hj Ahmad

Sukarnya Melahirkan Anak Di India!

Sukarnya Melahirkan Anak Di India!

Kelahiran seorang bayi lazimnya disifatkan sebagai detik penting dan pengalaman bahagia bagi golongan wanita.

Sukarnya Melahirkan Anak Di India!

Ia turut menjadi detik yang sentiasa dinantikan ahli keluarga. Oleh itu, wanita yang berpeluang melahirkan anak di hospital dalam keadaan selesa serta dilengkapi kemudahan yang sedia ada dianggap sudah cukup baik bagi kelompok masyarakat ini.

Namun, keselesaan dan kemudahan seperti itu adalah suatu yang sukar untuk dinikmati dengan mudah oleh kelompok masyarakat ini.

Justeru, bagi menikmati keselesaan seperti itu, malangnya mereka terpaksa berkorban. Pengorbanan yang dilakukan bukanlah mudah. Ia memerlukan daya ketahanan fizikal dan mental yang kuat.

Ladakh, Utara India - Menelusuri sungai
Ladakh, Utara India - Menelusuri sungai [2]
Menyelusuri sungai Chadar.

Bagi masyarakat di kawasan pedalaman yang menghuni daerah Ladakh, Utara India, mereka menyifatkan detik melahirkan anak adalah pengalaman yang sangat mencabar terutama bagi wanita yang bersalin anak sulung.

Ini disebabkan faktor geografi tempat tinggal mereka yang terletak jauh dikawasan pedalaman serta terpinggir daripada kemudahan perubatan.

Walaupun begitu, kelompok masyarakat di sana tidak mempunyai pilihan. Ketiadaan pakar perbidanan di kawasan penempatan mereka menyebabkan masyarakat ini terpaksa mencari alternatif lain untuk mendapatkan rawatan.

Jadi, mereka perlu meneruskan tradisi tersebut iaitu menempuh perjalanan sejauh 45 kilometer untuk sampai ke hospital berdekatan.

Mahu atau tidak, mereka perlu menempuhi cabaran tersebut yang sememangnya bakal menguji tahap ketahanan fizikal dan mental ibu yang sedang sarat mengandung dan ahli keluarganya.

Bayangkan, bagaimana payahnya keadaan seorang ibu yang sedang sarat mengandung terpaksa berjalan kaki selama sembilan hari dibawah cuaca sejuk dibawah paras beku hanya untuk melahirkan anak di hospital.

Ladakh, Utara India - Bersama bakul untuk anak
Bersama bakul untuk meletakkan bayi.

Sudah menjadi kelaziman ahli keluarga akan turut serta bersama-sama menempuhi cabaran tersebut. Setelah selamat melahirkan anak, mereka terpaksa mengulangi perjalanan selama sembilan hari untuk pulang ke rumah.

Bagi sesetengah orang, ini mungkin sesuatu yang tidak masuk akal tapi inilah pengorbanan ibu-ibu disini setiap kali melahirkan anak.

Dan kerana itulah masyarakat disana memiliki tanggapan bahawa semangat yang kuat sangat diperlukan untuk melahirkan anak. Bagi masyarakat disini, bukan keselesaan yang menjadi keutamaan mereka tetapi keutamaan lebih ditumpukan kepada keselamatan anak yang bakal dilahirkan.

Begitulah tingginya nilai kasih sayang seorang ibu. Mereka sanggup menghadapi pelbagai cabaran hanya untuk anak di dalam kandungan.

Ladakh, Utara India - Bersama bayi
Seorang Ibu bersama bayinya dalam perjalanan pulang.

Boleh dikatakan hampir setiap langkah yang terpaksa mereka tempuhi untuk ke hospital sangatlah sukar.

Jalan yang mereka perlu lalui bukanlah jalan yang mudah. Mereka perlu merentas sungai Chadar pada ketinggian 11,123 kaki. Setiap hari mereka akan berjalan kaki tanpa henti selama lapan jam.

Bagi kelompok masyarakat ini, keadaan itu merupakan perkara lumrah yang perlu dilakukan oleh penduduk kampung yang mahu bersalin. Ia bukanlah perkara baharu bagi mereka malah amalan yang sudah menjadi tradisi sejak dahulu lagi.

Malah, situasi ini merupakan rutin bagi semua keluarga di Utara India.

BACA INI JUGA: 7 Sebab Kita Perlu Kaya

-Sentiasapanas.com

Thursday, July 03, 2014

GILER! Video Selfie Paling EKSTRIM Atas Motorsikal!

GILER! Video Selfie Paling EKSTRIM Atas Motorsikal!

Pada masa kini, perbuatan ‘selfie’ ataupun mengambil gambar diri sendiri tanpa memerlukan bantuan orang lain begitu meluas dilakukan orang di seluruh dunia.

Selfie Paling EKSTRIM

Disebabkan ia sudah pun dilakukan ramai orang, maka lebih ramai orang mahu melakukan selfie mengikut cara mereka tersendiri untuk menjadikan selfie mereka lebih berbeza daripada orang lain.

Di Facebook, telah tersebar satu video rakaman yang dibuat secara selfie melibatkan seorang penunggang motosikal yang melakukan aksi berani sambil selfie.

Pelbagai aksi yang ekstrim dilakukan antaranya melakukan pusingan dengan motosikalnya 360 darjah dan merebahkan badannya, sebelah tangan memegang handle manakala sebelah lagi memegang monopod.

Satu aksi di dalam video berkenaan menunjukkan dia menunggang motosikal sambil mengheretkan kepalanya di atas jalan raya tanpa terjatuh.

Banyak komen orang ramai yang telah menonton video selfie antara terhebat ini menyuarakan kekaguman mereka pada aksi berani dan berbahaya ini.

Tidak kurang juga yang memuji kepekaan brader mat motor ini yang mengenakan pakaian keselamatan termasuk topi keledar ketika melakukan aksi berkenaan. -Mynewshub

BACA INI JUGA: Gambar Selfie Rakam Imej Hantu!


Hina Bazar Ramadan, Azwan Ali Jangan Kufur Nikmat!

Hina Bazar Ramadan, Azwan Ali Jangan Kufur Nikmat!

Memang banyak teguran dan ulasan mengenai budaya dan habit mengenai bazar ramadhan, tetapi apa yang dinyatakan oleh Azwan Ali memang terlalu menghiris hati.

Azwan Ali Hina Bazar Ramadan

Tidak salah menasihati tentang kebersihan, tentang keberkatan dan pembaziran, tetapi telahan ‘sampah’ itu amat tidak wajar, amat biadab, menghina dan mengguris hati banyak pihak.

Nasihat kami buat Azwan Ali ialah banyakkan istighfar dengan ulasan itu. Ancaman untuk BLOCK saja sesiapa yang tegur beliau juga menunjukkan sifat riak dan togho (toghut) beliau.

Telahan itu amat zalim dan menghinakan sekali terhadap penjual dan pembeli di bazar Ramadhan.

JANGAN KUFUR NIKMAT, AZAB ALLAH AMAT BERAT

Dalam pada kita dilimpahi rezeki yang melimpah ruah selaku artis yang menjual bakat kurniaan Allah, janganlah lupa kepada keluarga yang terkais kais mencari rezeki kerana Allah di bulan mulia ini.

Bukan sangat untuk mereka nak beli kereta baru, perabut baru dan baju baru sekalipun. Sebahagian mereka bergaji rendah, anak ramai dan kos sara hidup amat tinggi.

Bagi keluarga yang hidup cukup makan saja pada hari hari biasa, hujung bulan wang tidak cukup untuk bayar itu dan ini, maka ketibaan syawal adalah amat meresahkan. Anak anak mengharapkan untuk dapat ganti persalinan.

Nenek dan datuk mereka rindu menanti kepulangan anak cucu, sedangkan kita di bandar terkais kais saban hari.

Itu tidak termasuk keperluan warga yang bekerja dan tidak sempat menyiapkan juadah berbuka. Semuanya turut terasa dengan penghinaan Azwan.

Dalam pada kita mewah berganti kereta saban tahun, jangan lupa ada keluarga yang terpaksa membawa muatan 2 kereta menjadi satu. Sudahlah sempit, aircond tiada, tayar botak, cukai jalan mati dan sebagainya.

Ingatlah masih ramai yang tidak mampu memiliki kereta dan terpaksa mencari wang untuk menyewa atau beli tiket bas dan keretapi.

Lebih malang lagi, anak-anak itu adalah anak yatim yang kematian bapa. Si ibu berhempas pulas mencari nafkah. Tergamak kita menghina mereka?

Kami ada buat jual beli dan sewa kereta untuk mengumpul dana. Ada yang sewa kereta/van buruk dalam bulan puasa hanya untuk berniaga.

Situasi ini kami saksikan berlaku saban tahun. Ia termasuk satu keluarga 8 anak yatim yang di bawah pemantauan kami.

Rumah Pengasih Warga Prihatin

Kami yakin ungkapan yang menghinakan ini tergamak dikeluarkan bila enggang hanya terbang tinggi bersama enggang sahaja, tidak pernah merendah bergaul dengan pipit. Kita jadi sombong dan takbur dalam segala tindak tanduk kita.

Di Rumah Pengasih Warga Prihatin (RPWP), antara ramai yang prihatin adalah ibu tunggal. Mereka sering berlinang air mata bila datang berziarah.

Mengapa? Kerana mereka dapat merasai keperitan hidup ditinggal suami atau bapa kepada anak anaknya.

Ada kalanya kami sendiri tidak sampai hati menerima sumbangan mereka namun mereka kata mereka mampu, cuma tolong tengok anak mereka bila mereka sendiri telah tiada nanti, iaitu bila anak mereka jadi yatim piatu.

Antara sumbangan mereka ialah lebihan juadah jualan bazar ramadhan yang Azwan Ali hina itu. Kerana itu kami juga turut merasai kesan penghinaannya.

Awam juga sering mengaitkan anggota polis sebagai jahat, zalim, makan rasuah dan seumpamanya.

Malam hari pertama ramadhan lalu, kami terkejut apabila seorang anggota polis trafik datang menghantar 25 bungkus nasi bariyani lepas tengah malam untuk juadah sahur anak anak.

Rupanya beliau adalah muallaf dan itu adalah lebihan juadah jualan beliau di bazar ramadhan untuk mencari rezeki untuk berhari raya.

Untuk apa beliau bersusah payah berniaga? Mengapa tidak ambil rasuah saja?

Itulah kita. Jika kita tidak bergaul dengan mereka, mulut jahat kita akan terus menuduh yang semua polis adalah kaki rasuah.

Suka kami kongsikan bahawa anggota polis juga adalah manusia biasa. Mereka adalah antara golongan yang prihatin dan menyumbang di RPWP. Ada yang pangkat tinggi bahkan bergelar Datuk, dan ada yang konstable juga.

Memang ada antara mereka yang menyeleweng, tetapi ramai juga yang sangat prihatin seperti sebahagian kita juga. Jadi hati hatilah bila melontar prasangka.

Beberapa kerat saja yang mampu berbuka di hotel atau membeli makanan dari restoran mewah macam Azwan Ali. Janganlah dihina golongan marhaen ini.

Jika ada makanan yang kurang enak di bazar ramadhan, itu mungkin kebetulan berlaku sekali sekala kerana mereka memasak dalam keadaan berpuasa, tidak dapat merasa sepertimana hari hari biasa.

Mungkin coretan Saiful Nang ini boleh membantu furqon kita. Walaupun tidak semua tepat, namun kami setuju pada kebanyakkannya. Sila baca dan perhati dengan mata hati.

ORANG POYO SELALU UNTUNG

Teguran Buat Azwan Ali Hina Bazar Ramadan, Jangan Kufur Nikmat

Saya tak pergi Pasar Ramadhan dah 3 tahun. Tapi saya tak pernah tergamak nak kata macam Azwan Ali katakan.

15 tahun yang lalu, saya business jual roti John di Pasar Ramadhan dan bagi yang kenal saya yang meniaga di Ampang Jaya tahun 2002 dahulu anda mungkin akan perasan sebuah kedai yang beria buat roti john siap pakai topi chef, baju chef warna putih dengan roti john yang tak sama macam biasa. Ada roti john daging, ayam, sardin dan roti john telur (biasa)

Ada 1 soalan yang orang boleh kenal gerai saya mungkin sampai hari ini. Biasa saya akan tanya "Berapa orang nak berbuka?" dan setelah dijawab saya akan jeling-jeling juga juadah yang telah diborong.

Ayat seterusnya ialah "Nasihat". "Banyak membeli bang/akak... harap jangan membazir ye... orang kat Afrika ramai tak makan".

Ada yang turn down terasa annoying dengan nasihat tu. Ada yang buat tak kisah tetapi yang saya tahu... sehari boleh jual sampai 500-700 roti john hanya di Pasar Ramadhan sedangkan gerai-gerai di sebelah menyebelah merungut tak cukup untung.

Business bukan untuk DUIT semata-mata.
Business untuk dakwah dan jalan berpesan-pesan.
Rezeki... ALLAH yang bagi bila suruhan Allah kita lakukan.

Mungkin sebab itu Allah pilih utusannya di kalangan BUSINESSMAN seperti Nabi Muhammad SAW dan bukannya penceramah-penceramah agama atau politik.

Mungkin kerana kita POYO sangat buat kedai roti john siap pakai topi chef dan bila baju kotor sahaja terus tukar.

Pastikan dia sentiasa putih bersih. Betullah.. orang POYO selalu untung, orang kontrol macho yang datang beli dengan orang poyo ini... poyolah mereka tu.

Untuk ambil sisi positif Azwan ni cakap ada betul juga, memang ada peniaga (honestly) dari pengalaman yang anggap makanan yang nak dijual macam sampah jer.

Setakat ayam jatuh ke tanah, kuis lebih kurang masuk balik dalam kuali itu standard... biasa nampak. Lauk semalam tak dapat jual, hari ini tukar bentuk (itu kat kedai mamak pun banyak).

Azwan Ali... hang mulut jangan capoi sangat... nak kena tafff mulut tu. Jangan sampai nanti hang punya rezeki Allah tarik balik sampai hang betul-betul makan sampah.

SAIFUL NANG

P/s Azwan Ali ni dalam kategori orang poyo yang selalu untung juga (cuma saya segan nak mengaku dia satu kategori).

BACA INI JUGA: Satu Kata Yang Kita Selalu Ingat Namun Kurang Dimaknai

Sumber: Mymediahub.my

Wang Zakat Berjuta Ringgit, Orang Miskin Hidup Melarat

Wang Zakat Berjuta Ringgit, Orang Miskin Hidup Melarat

Betul kata orang, kebanyakan rakyat di negara ini, kalau ada sesuatu isu cepat saja memberi ulasan dalam media sosial. Sedap-sedap saja menyalahkan semua pihak yang terlibat dalam isu itu, kecuali diri sendiri.

Orang-miskin

Mengambil kes remaja orang kurang upaya (OKU) Muhammad Firdaus Dullah dan beberapa kes keperitan hidup orang lain, ramai hanya pandai mengutuk pihak yang terlibat. Sedangkan, mereka ini, entah pernah atau tidak membantu orang susah.

Hakikatnya, hanya orang yang susah atau pernah melalui kepayahan hidup memahami apa yang sedang dialami oleh orang susah yang lain.

Bukan semua orang boleh atau mahu membantu orang yang tidak berkemampuan ini.

Ada yang mahu membantu tetapi menghadapi kekangan kewangan dan ada yang mampu tetapi memberi macam-macam sebab untuk tidak membantu - antaranya keluarga sendiri dulu perlu lebih diutamakan, sudah membuat potongan zakat pendapatan, jadi tidak perlulah bersedekah lagi kerana sedekah itu bukannya wajib dan juga hanya mahu menolong orang yang benar-benar susah.

Ada orang yang membuat takrifan kemiskinan itu sebagai kehidupan yang begitu daif. Kalau orang yang susah itu, ada sebuah televisyen dan sebuah peti sejuk di rumahnya, itu bukan dikira susah.

Pada mereka, kalau keluarga itu mampu membeli dua peralatan elektrik tersebut, itu sudah dikira senanglah!

Orang jenis ini mengkelaskan kemiskinan itu sebagai orang yang tidak punya apa-apa langsung. Kalau boleh tempat berlindung pun tiada.

Itu pun belum tentu dia mahu atau boleh menolong kerana tiada masa mencari orang yang hidup gelandangan ini.

Sebenarnya juga, tidak semua orang susah dan miskin suka meminta-meminta. Sebab itu mereka tidak pergi ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan mana-mana Pusat Zakat untuk mengisi borang bantuan yang disediakan. Maka hiduplah dia dalam kemiskinan. Yang tahu keperitan itu hanya dia dan keluarganya.

Ramai golongan miskin yang tidak mahu meminta-minta. Ada yang hidup dengan menjual kuih saja. Dia berusaha memberi anak-anaknya makan. Tetapi jangan tidak tahu, jual kuih pun ada cabarannya.

Bila si ibu meminta anaknya menjual kuih kepada rakan-rakan sekelas, pihak sekolah pula tidak benarkan kerana pihak kantin bising! Membantu sangatkah kita ini?

Orang miskin vs orang kaya [2]

Justeru adalah menjadi tanggungjawab wakil-wakil rakyat yang telah dipilih oleh rakyat termasuk si miskin ini turun padang untuk mengetahui masalah dan keadaan rakyat di kawasan mereka.

Jangan asyik sibuk berpolitik. Jangan cakap berdegar-degar hendak buat projek yang nilainya berjuta-juta ringgit, usah cerita pasal mencari keadilan dan mahu meringankan beban rakyat tetapi rakyat di kawasan sendiri terbiar tanpa pembelaan.

Letih betul kita melihat gelagat wakil rakyat yang sebegini.

Dalam pada itu, pihak yang memegang dana kewangan seperti JKM, Pusat Zakat dan yayasan-yayasan kebajikan yang ada ini juga sepatutnya jangan duduk di pejabat saja untuk menunggu orang susah mengadu dan meminta bantuan kepada mereka. Carilah mereka yang susah ini.

Sebenarnya tidak susah pun hendak mencari keluarga yang hidup susah dan miskin melarat ini.

Pergilah kawasan-kawasan penempatan semula setinggan dan kawasan perumahan kos rendah terutamanya di kawasan bandar. Di sinilah mereka tinggal.

Janganlah difikirkan sangat kenapa rumah orang yang mengadu susah hidupnya itu ada televisyen, peti sejuk atau kipas. Lebih baik tanya, sama ada bil elektrik rumah itu sudah langsai atau belum?

Janganlah mempertikaikan mengapa mereka ada telefon bimbit. Sedangkan telefon bimbit itu hanya jenis yang boleh membuat dan menerima panggilan serta mesej.

Janganlah mengambil perkiraan begitu. Ini semua kemudahan yang sepatutnya ada dalam setiap rumah tidak kira orang miskin atau kaya.

Sedangkan yang berpendapatan sederhana dan kaya-raya pun yang mempunyai macam-macam peralatan elektrik di rumah, bil elektrik mereka pun bertunggak berbulan-bulan. Inikan pula mereka yang miskin ini.

Kita pun tidak pasti apakah prosedur yang perlu dilalui oleh orang yang susah ini untuk mendapat bantuan, tetapi kalau orang itu benar-benar hidup susah tidak payahlah merumitkan lagi proses untuk dia mendapat bantuan.

Permudahkanlah, sebabnya wang peruntukan sudah ada. Bukan perlu tunggu untuk mendapatkannya. Tujuan wang itu diperuntukkan pun untuk membantu orang susah, apa lagi mahu macam-macam kerenah birokrasi.

Orang miskin vs orang kaya [3]

Kita tidak mahu, kita ada wang kutipan zakat yang berjuta-juta ringgit dan wang bantuan JKM yang berjuta-juta ringgit juga tetapi yang hidup miskin melarat pun masih ramai tidak dapat bantuan.

Mereka ini tetap dibiarkan hidup kesempitan, sudah biasa berlapar atau makan nasi dengan kicap. Yang kasihannya jika anak-anak dan orang tua yang menanggung keperitan ini.

Dan kepada syarikat-syarikat korporat, tidak perlulah menunggu bulan Ramadan untuk mencari orang susah untuk bersedekah dan memohon liputan media. Mereka ini susah sepanjang tahun bukan pada masa Ramadan sahaja.

Maka untuk mencapai negara yang berpendapatan tinggi, memang pelbagai usaha perlu dibuat dan banyak cabarannya, tetapi menjadi persoalannya nanti, di mana letaknya golongan miskin ini dalam masyarakat kita ketika itu?

Marilah kita jadikanlah Malaysia ini, negara yang bertuah untuk diduduki bukan saja kepada orang yang berada tetapi ju­ga kepada yang tidak punya apa-apa termasuk OKU, keluarga OKU mahupun penjaga OKU.

Oleh Fauziah Arof
Penulis rencana Utusan.com.my

BACA INI JUGA: Bina Istana Dengan Kos Rumah Murah

Wednesday, July 02, 2014

Penjawat Awam Terima Bonus RM500 Sempena Aidilfitri

Penjawat Awam Terima Bonus RM500 Sempena Aidilfitri

Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan Bayaran Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM500 sebagai persiapan Aidilfitri kepada penjawat awam bagi Gred 1 hingga Gred 54.

Bonus-Raya-2014

Perdana Menteri turut mengumumkan Bayaran Bantuan Khas Kewangan RM250 kepada 684,000 pesara kerajaan bagi menghargai jasa, bakti dan perkhidmatan mereka.

"Pembayaran bagi bantuan khas itu akan dibuat pada 15 Julai ini," katanya dalam kenyataan di sini.

Bayaran Bantuan Khas Kewangan kepada penjawat awam dan pesara kerajaan ini membabitkan peruntukan kewangan sebanyak RM890 juta, katanya.

Kerajaan berharap bantuan khas kewangan itu dapat meringankan beban kewangan penjawat awam dan pesara bagi persiapan menyambut hari lebaran pada hujung bulan ini, katanya. -Bernama

Bonus Sebulan Gaji Untuk Penjawat Awam Selangor

Bonus Sebulan Gaji Untuk Penjawat Awam Selangor

Sementara itu, Kerajaan Selangor mengumumkan pemberian bonus tahunan dan sempena sambutan Aidilfitri ini kepada semua kakitangannya, hari ini.

Menurut Menteri Besarnya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Exco Kerajaan Negeri Selangor bersetuju memberi bonus ekoran prestasi laporan kewangan negeri menunjukkan peningkatan.

"Exco negeri bersetuju beri bonus sebulan gaji ikut tempoh perkhidmatan bertarikh 31 Jun ini, sejumlah RM32.7 juta diperuntukkan bagi tujuan pemberian bonus ini.

"Keputusan ini dibuat kerana laporan kewangan negeri menunjukkan pertumbuhan kutipan hasil meningkat dari tahun 2013 sehingga 30 Jun 2014," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Exco, di sini, hari ini.-Sinar Online Harian

-Sentiasapanas.com


SERAM! Entiti Misteri Terakam Sewaktu Majlis Perkahwinan

SERAM! Entiti Misteri Terakam Sewaktu Majlis Perkahwinan

Tak dapat dinafikan, dunia ini bukan diciptakan Allah SWT untuk manusia semata-mata. Sebaliknya kita berkongsi dengan makhluk-makhluk Allah lain. Sesetengahnya berada di alam ghaib di mana pengetahuan kita tentangnya amat terbatas.

Gambar Seram Perkahwinan

Namun sesekali, manusia akan dapat melihat tanda-tanda kewujudan makhluk ghaib ini tanpa disengajakan.

Contohnya dalam sekeping gambar yang dikongsikan di laman Oh! Media, dapat dilihat satu kepala misteri terjengul di dalam keretapi lama yang dijadikan lokasi penggambaran sepasang pengantin baru.

Kehadiran entiti ini disedari sendiri oleh pengantin tersebut selepas meneliti gambar yang diambil di telefon pintar.

Entiti misteri tersebut menjadi persoalan memandangkan gambar diambil oleh jurugambar dan pembantunya manakala mereka hanya berempat di lokasi yang terletak di Gemas, Negeri Sembilan ketika kejadian.

Difahamkan, gambar diambil sekitar maghrib yang sering dikaitkan dengan waktu makhluk halus berkeliaran. Dapat dilihat dengan jelas, makhluk itu kelihatan sedang mengintai penuh minat apa yang dilakukan oleh manusia.

Secara tak langsung ia mengingatkan kepada kes lebih kurang serupa iaitu 'pemerhati misteri' dalam kejadian kemalangan di LPT.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
-SENTIASAPANAS.COM

Azwan Ali Mengamuk Makanan Bazar Ramadan Tak Sedap!

Azwan Ali Mengamuk Makanan Bazar Ramadan Tak Sedap!

Kalau bab melahar rasanya sampai sekarang tak ada orang boleh lawan Azwan Ali. Bukan apa, ayatnya kadang-kadang terlalu bombastik sampai terkedu nak faham.

Azwan Ali Maki Hamun Penjual Bazar Ramadan Tak Sedap!

Terbaru Azwan telah memaki hamun kebanyakan penjual bazar Ramadan sekitar KL yang disifatkannya menjual makanan tak sedap dan rasa sampah.

Azwan Ali Maki Hamun Penjual Bazar Ramadan Tak Sedap! [3]

Tak tahulah peniaga bazar Ramadan mana yang sudah menekan suis kemarahan Azwan tahun ini apabila dia termakan tahu sumbat basi tapi kata Azwan dia sudah pangkah semua bazar Ramadan sekitar KL.

Azwan Ali Maki Hamun Penjual Bazar Ramadan Tak Sedap! [4]

Bila ditegur beberapa pengikut yang tidak setuju dengan kenyataannya Azwan terus meroyan dengan menyamakan mereka ini sebagai anak setan, keturunan pemakan sampah dan hidup merempat sampai tergamak makan tahi.

Azwan Ali Maki Hamun Penjual Bazar Ramadan Tak Sedap! [5]
Azwan Ali Maki Hamun Penjual Bazar Ramadan Tak Sedap! [6]

Maka ‘anak-anak setan’ ini kata Azwan, dengan segera akan diblok oleh pembantu peribadinya yang dibayar RM3,000 seminggu untuk tugas begini secepat mungkin.

Azwan Ali Maki Hamun Penjual Bazar Ramadan Tak Sedap! [7]

Peh, dahsyat betul cara Azwan menggambarkan perasaan hatinya kan? Tak dinafikan apa yang dikatakan Azwan memang ada benarnya cuma mungkin ayat digunakan keterlaluan sampai ke tahap menghina.

Azwan Ali Maki Hamun Penjual Bazar Ramadan Tak Sedap! [8]

Semoga sempena Ramadan ini, keberkatannya dapat melembutkan sedikit hati seorang Azwan Ali agar berfikir dalam-dalam sebelum berbicara. -Mynewshub.my

Adakah Puasa Menjadikan Kita Lemah?

Adakah Puasa Menjadikan Kita Lemah?

Apa yang hendak dikongsikan kali ini adalah berkenaan cara rakyat Malaysia (Muslim) berpuasa. Apa yang kita lihat adalah kebanyakannya berpuasa dan seronok apabila berbuka bersama-sama keluarga dan juadah yang pelbagai.

Puasa

Tetapi di satu hal yang lain pulak, kita lihat sendiri, ada yang menjadikan puasa itu sebagai sebab untuk mereka tidak aktif di dalam kelas atau semasa bekerja. Mengapakah begitu?

Bukankah ini masanya untuk kita mencabar diri kita untuk menjadi lebih bersemangat?

Ada juga yang sibuk set JAM untuk bangun dan masak untuk sahur, selain menunggu waktu untuk berbuka. Tetapi malangnya solat langsung tidak dilakukannnya. Bukankah solat itu tiang agama? Bukankah solat itu rukun Islam yang penting dan selepas itu barulah puasa.

Jadi, disini dapat dilihat bahawa puasa yang dilakukannya hanyalah sia-sia.

Ada juga yang sibuk berpuasa dan membeli juadah di bazar ramadhan. Bagus sebab itu adalah masanya untuk orang Islam mencari rezeki lebih dengan berniaga di bulan Ramadhan, tetapi ada juga yang datang ke bazar ramadhan dengan memakai pakaian yang tidak senonoh.

Berhimpit-himpit sesama lelaki dan wanita ketika waktu di akhir-akhir, adakah itu yang kita mahukan?

Bukankah lebih baik sekiranya kita memasak sendiri lauk daripada berhimpit sebegitu rupa sehingga menyebabkan pahala puasa terus hilang akibat kejadian sebegitu.

Satu lagi hal yang memalukan adalah apabila penganut agama lain melihat orang Islam lemah ketika di bulan Puasa.

Ini adalah akibat daripada sikap dan tutur bicara yang diungkapkan ketika sedang berpuasa. Sebagai contohnya, "Saya penat berpuasa, jadi saya tak dapat bekerja dengan baik", "Saya tak dapat buat latihan ini sebab saya berpuasa."

Perlukah menjadikan puasa itu sebagai alasan untuk menjadi lemah?

Memalukan apabila penganut agama lain melihat bahawa betapa susahnya orang Islam untuk menghadapi bulan puasa.

BACA INI JUGA: Bila Sebenarnya Malam Lailatulqadar?

Tuesday, July 01, 2014

Seorang Wanita Dan Kisah Sepotong Kuih

Seorang Wanita Dan Kisah Sepotong Kuih

Seorang wanita membeli majalah dan beberapa ketul kuih. Sambil menunggu kereta api tiba, dia duduk di sebuah kerusi panjang.

Gadis cantik bertudung
Gambar hiasan.

Disebelahnya, duduk seorang lelaki. Tidak diendahkan, wanita itu asyik membaca majalah yang baru dibelinya. Tiba-tiba, sudut matanya perasan lelaki disebelah mengambil kuihnya.

Wanita itu mulai geram. Tapi, dia berdiam diri. Dalam hati, dia mengutuk tindakan lelaki itu mencuri kuihnya.

Apabila dia mengambil sepotong kuih, lelaki itu pun ikut sama mengambilnya. Bahkan, lelaki itu tersenyum memandangnya sambil memakan kuih.

Hati wanita itu kian panas. Sudahlah lelaki itu curi kuihnya, tiada langsung rasa bersalah. Jauh sekali mengucapkan terima kasih.

Sampailah hanya tinggal sepotong kuih dalam plastik itu. Tanpa rasa bersalah, lelaki itu mengambil kuih terakhir. Dia membahagikannya kepada dua bahagian. Satu, dihulur kepada wanita itu. Dan yang satu lagi dimakannya.

Wanita itu mengambil bahagian kuih terakhir. Hatinya semakin membara. Kebetulan kereta api tiba. Lantas wanita itu bangun dengan wajah marah, tidak langsung memandang ke arah lelaki yang dianggap telah mencuri kuihnya dan tidak tahu berterima kasih.

Setelah duduk, wanita itu membuka plastik yang tersangkut pada beg sandangnya. Dia terkejut melihat kuih yang dibeli rupa-rupanya masih ada di dalam beg plastik itu.

Jadi, yang dimakannya tadi bukanlah kuihnya? Tapi, ia adalah kepunyaan lelaki itu! Bermakna sekarang, bukan lelaki itu yang mencuri dan tidak tahu berterima kasih. Tapi dialah pencuri yang sebenar!

Gadis malu

Wanita itu tersandar. Bagaimana dia hendak meminta maaf? Kereta api sudah bergerak laju meninggalkan lelaki tadi yang masih duduk di kerusi itu.

Sebenarnya, kisah diatas bagai metafora yang biasa berlaku dalam kehidupan. Kita mudah berprasangka buruk pada orang lain.

Tanpa sedar kita sebenarnya adalah si pencuri kuih itu!

BACA INI JUGA: 20 Tanda Seorang Lelaki Serius Dalam Percintaan

-Sentiasapanas.com