Saturday, June 04, 2016

Kefardhuan Dan Hukum Mengeluarkan Zakat Fitrah

Kefardhuan Dan Hukum Mengeluarkan Zakat Fitrah

Zakat dari segi bahasa bermaksud bersih, suci, subur dan berkembang. Zakat Fitrah bermaksud zakat diri yang diwajibkan ke atas setiap individu muslim lelaki dan perempuan dalam bulan Ramadhan mengikut syarat-syarat yang ditetapkan.

wAJIB+ZAKAT.JPG

Zakat Fitrah difardhukan pada tahun kedua hijriah iaitu pada tahun yang sama difardhukan kewajipan puasa Ramadhan.

Dalil-dalil yang menunjukkan kewajipan ini adalah sebagaimana ayat Al Qur'an dan hadith-hadith berikut:

Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 43: Maksudnya: Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan tunaikanlah zakat dan rukuklah kamu bersama-sama orang yang rukuk.

Daripada Ibnu Umar: Sesungguhnya Rasulullah SAW telah memfardhukan Zakat Fitrah pada bulan Ramadhan dengan kadar satu gantang daripada tamar atau satu gantang daripada gandum ke atas setiap yang merdeka dan hamba, lelaki dan perempuan di kalangan orang-orang Islam.

Daripada Ibn Said berkata: Sesungguhnya kami mengeluarkan zakat fitrah pada masa kami bersama Rasulullah SAW satu gantang daripada makanan atau satu gantang daripada kurma atau satu gantang daripada gandum atau satu gantang daripada anggur kering atau satu gantang daripada susu masam. Dan aku mengeluarkan zakat ini sebagaimana aku mengeluarkannya sebelum ini.

Daripada Ibn Abbas berkata: Rasulullah SAW memfardhukan zakat fitrah supaya dengannya membersihkan jiwa orang yang berpuasa daripada perkara yang sia-sia dan memberi makan kepada orang-orang miskin. Barangsiapa yang menunaikannya (zakat fitrah) sebelum solat hari raya maka ia adalah zakat yang diterima dan barangsiapa yang menunaikannya selepas solat hari raya maka ia adalah sedekah seperti sedekah-sedekah yang lain.

Hukum Zakat Fitrah

Mengeluarkan Zakat Fitrah hukumnya adalah wajib ke atas setiap orang Islam yang merdeka dan mampu mengeluarkannya pada waktunya. Orang Islam adalah meliputi golongan tua dan muda, lelaki atau perempuan dan berakal atau tidak.

Fadhilat Mengeluarkan Zakat Fitrah

1. Menampung kekurangan semasa berpuasa.

Maksudnya: Berkata Waki’ bin al Jarah : Zakat Fitrah di dalam bulan Ramadhan seperti sujud sahwi di dalam solat, menampung kekurangan berpuasa sebagaimana sujud sahwi menampung kekurangan dalam sembahyang.

2. Membantu fakir dan miskin pada Hari Raya.

Maksudnya: Daripada Ibn Umar, bersabda Rasulullah SAW: Kayakanlah mereka (fakir miskin) daripada meminta-minta pada hari ini (Hari Raya).

Syarat-Syarat Wajib Zakat Fitrah

1. Islam dan merdeka.

2. Mempunyai harta yang lebih daripada keperluan perbelanjaannya untuk dirinya dan orang-orang di bawah tanggungannya pada hari raya dan malamnya.

3. Wajib Zakat Fitrah ialah apabila terbenam matahari pada akhir Ramadhan.

Sehubungan itu tidak wajib zakat Fitrah ke atas orang-orang berikut:

1. Orang yang mati sebelum terbenam matahari pada akhir Ramadhan.

2. Anak yang lahir selepas terbenam akhir Ramadhan.

3. Orang yang memeluk agama Islam sesudah terbenam matahari pada akhir Ramadhan.

4. Tanggungan isteri yang dinikahi selepas terbenam matahari pada akhir Ramadhan.

Waktu Mengeluarkan Zakat Fitrah

1. Waktu Harus. Bermula dari awal bulan Ramadhan sehingga akhir bulan Ramadhan.

2. Waktu Wajib. Selepas terbenam matahari pada akhir bulan Ramadhan.

3. Waktu Afdhal. Selepas solat Subuh pada hari akhir Ramadhan sehingga sebelum mengerjakan
sembahyang sunat Aidil Fitri.

4. Waktu Makruh. Selepas sembahyang sunat Aidil Fitri sehingga sebelum terbenam matahari.

5. Waktu Haram. Selepas terbenam matahari pada hari raya Aidil Fitri.

Jenis Dan Kadar Bayaran Zakat Fitrah

1. Jenis zakat yang dikeluarkan ialah berdasarkan makanan asasi sesebuah negeri seperti beras.

2. Kadar yang dikeluarkan ialah satu gantang Baghdad bersamaan timbangan metrik 2.60 kilogram (2600 gram).

3. Nilai bagi kadar ini adalah berubah dari semasa ke semasa bergantung kepada harga beras yang dimakan oleh kebanyakan penduduk Islam di sesebuah negeri.

BACA INI JUGA: Kisah Penciptaan Nafsu Yang Degil Dan Suruhan Berpuasa

Sumber: Maij.gov.my

Tuesday, July 15, 2014

Penyelewengan Zakat Di Majlis Agama Islam Johor?

Penyelewengan Zakat Di Majlis Agama Islam Johor?

Jika disebut perihal zakat, pasti ada saja persoalan yang diajukan mengenainya.

Penyelewengan Zakat

Ia termasuklah sejauh mana ketelusan badan atau institusi yang dilantik untuk menguruskan kutipan zakat mengagihkan wang zakat yang telah dikutip kepada pihak yang sepatutnya menerima.

Selain itu, kerenah birokrasi sehingga menyukarkan fakir miskin memohon untuk menerima bantuan juga pernah timbul.

Persoalan demi persoalan ini diutarakan lantaran masih banyak masalah kemiskinan di kalangan umat Islam di negara yang belum berjaya diatasi.

Terbaru, menerusi portal Ameno World, satu lagi cerita kurang enak timbul mengenai pengurusan duit zakat kepada pelajar-pelajar miskin di Johor.

Alkisahnya, seorang pengadu melaporkan pihak pegawai Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) telah membuat pembelian basikal untuk 60 pelajar miskin dengan harga keseluruhan RM30,000.

Justeru, ia bermaksud harga bagi sebuah basikal ialah RM500.

Bagaimanapun, selepas diselidik, harga basikal berjenama Schwin Candy itu hanyalah dalam lingkungan RM190 – RM200.

Penyelewengan Zakat [2]

Hasil tinjauan seorang lagi pengguna Facebook turut menemukan harga seunit basikal yang sama hanyalah RM235.

Penyelewengan Zakat [3]

Persoalannya, bagaimana pihak pegawai MAIJ tersebut boleh mengemukakan harga sehingga RM500 untuk seunit basikal?

Memang agak pelik di situ. Adakah kita perlu bersangka baik dengan mengatakan pegawai MAIJ tersebut ditipu oleh pembekal atau sebagainya?

Apapun, diharap agar pihak pentadbiran MAIJ akan mengambil inisiatif untuk melakukan siasatan mengenai perkara ini bagi mengembalikan kepercayaan orang ramai mengenai ketelusan pengurusan zakat di negara ini.

Sumber: Mynewshub.my