Thursday, July 04, 2013

Wikileaks Tiada Rekod Wang RM209 Juta Anwar

Wikileaks Tiada Rekod Wang RM209 Juta Anwar

Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin hari ini menafikan dakwaan yang mengatakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar mempunyai 20 akaun luar negara.

Wikileaks

Menurut Tze Tzin, dakwaan tersebut adalah tidak berasas dan berbaur fitnah.

"Semalam pihak PKR telah membuat semakan terhadap data yang didakwa oleh penyokong BN itu.

"...hasil semakan mendapati terdapat 17 rekod Wikileaks mengenai Malaysia, namun satu pun tidak ada kaitan dengan pendedahan Anwar miliki 20 akaun," katanya di lobi Parlimen hari ini.

Semalam penyokong BN Liang Teck Meng (BN-Simpang Renggam) mendakwa beliau mendapat maklumat itu daripada laman web Wikileaks.

Anggota Parlimen Permatang Pauh itu dikatakan mempunyai 20 akaun bank dengan jumlah simpanan kira-kira AS$66 juta (RM209 juta) dan SGD$49 juta (RM123 juta) di bank di Amerika Syarikat, China, Singapura dan Israel.

"Perkara ini tersebar luas dalam internet, dan apabila saya membaca perkara ini, terlintas dalam kepala ialah dari mana datangnya wang sebanyak ini," katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong pada sidang Dewan Rakyat semalam.

Mengulas lanjut Tze Tzin menegaskan ahli Parlimen itu perlu menjawab kepada rakyat Malaysia tentang perkara ini.

"Ahli Parlimen Renggam perlu menampilkan bukti yang jelas, jangan hanya melihat kepada sumber yang tidak mempunyai bukti konkrit," katanya di lobi Parlimen hari ini.

Anwar nafi miliki 20 akaun bank di luar negara

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan pendedahan Ahli Parlimen Simpang Renggam yang diperoleh dari WikiLeaks, mendakwa beliau mempunyai 20 akaun bank di luar negara.

Sebaliknya, Ahli Parlimen Permatang Pauh itu, terus menyalahkan blogger UMNO atas pendedahan tersebut.

"Saya sudah semak, tiada langsung laporan itu di WikiLeaks. Ini dimulakan oleh blogger UMNO dan Simpang Renggam (Liang Teck Meng) membaca teks yang diedarkan UMNO.

"Ia (dakwaan) tidak berasas. Dia kata daripada WikiLeaks, bila diperiksa, ia (maklumat) daripada blogger UMNO, pasport pun lain, nombor pun lain dan semua lain," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen di sini hari ini.

Semalam, Teck Meng membuat pendedahan berhubung dakwaan Anwar mempunyai 20 akaun di luar negara dengan jumlahnya mencecah AS$66 juta (RM209 juta) dan SG49 juta (RM123 juta).

Beliau berkata, 20 akaun tersebut masing-masing terdapat di bank-bank di Israel, Amerika Syarikat, Singapura serta China dan kesemua maklumat itu diperoleh daripada internet seperti didedahkan oleh WikiLeaks.

Kata beliau, setiap akaun mempunyai maklumat terperinci termasuk nama pemegang, jawatan, nombor pasport, jenis, nombor, tarikh akaun dibuka dan tarikh matang.

Dalam pada itu, Anwar turut memberi peluang kepada Teck Meng untuk membuat penjelasan berhubung pendedahan tersebut.

Menurutnya, sekiranya gagal berbuat demikian, beliau akan merujuk perkara itu kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Ahli Parlimen.

BACA INI JUGA: Gempar! WikiLeaks Dedah Wang RM209 Juta Anwar Di Luar Negara

Sumber: Utusan