Tuesday, July 05, 2016

Sains Buktikan Manfaat Puasa Dua Kali Seminggu

Sains Buktikan Manfaat Puasa Dua Kali Seminggu

Akhirnya masyarakat barat kini sudah mula berjinak-jinak berpuasa dua kali seminggu selepas banyak kajian membuktikan tentang kelebihannya.

Fasting

Pakar kesihatan dan pemakanan barat telah memperkenalkan amalan berpuasa dua kali seminggu sebagai Alternate Day Fasting (ADY).

Sebahagian saintis terkemuka dunia turut menamakan amalan tersebut sebagai Intermitten Fasting (IF).

Walaupun berbeza nama, tujuannya tetap sama iaitu untuk meningkatkan kesihatan secara keseluruhan.

Secara ringkas, ADY dan IF merupakan kaedah berpuasa 5:2 atau gaya diet yang begitu popular dan menjadi trend di barat sejak kebelakangan ini.

Mereka menggunakan cara ini bukan sahaja untuk menurunkan berat badan, tetapi juga sebagai alternatif bagi menjaga kesihatan tubuh.

Dr. Michael Mosley dalam dokumentari bertajuk 'Eat, Fast and Live Long' di BBC, memberitahu bahawa beliau sendiri telah mencubanya.

Dalam percubaan itu, beliau menjadikan dirinya sendiri sebagai bahan uji kaji dengan mengamalkan formula diet 5:2, iaitu makan secara sihat selama lima hari dan berpuasa dua hari.

Selepas menjalani amalan itu secara berkala selama beberapa bulan, keputusan yang diperolehi sangat mengejutkan. Beliau yang dahulunya mengalami beberapa masalah kesihatan telah disahkan sihat.

Dr. Mosley sangat gembira kerana beliau tidak lagi mengalami masalah obesiti, kandungan paras gula di dalam tubuhnya juga turun ke paras normal dan tiada lagi masalah kolesterol.

Seorang pesakitnya yang berhadapan dengan masalah hormon IGF-1 turut menunjukkan perubahan positif selepas berpuasa secara berkala.

Manfaat amalan itu juga pernah dilaporkan dalam The American Journal of Clinical Nutrition pada tahun 2007.

Dalam laporan itu, sekumpulan manusia yang berpuasa secara berkala telah diuji untuk melihat sejauh mana kesan sampingan amalan puasa mereka.

Menakjubkan, menerusi pengawalan diet itu, sampel berjaya mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular dan kanser.

Kajian Dr. Yuri Nikolayov dari Institut Psikologi Moscow turut mendapati, sebanyak 65 peratus pesakit mental yang dikendalikan beliau menunjukkan perubahan positif selepas berpuasa dan menukar diet harian mereka.

Badan dan Akal Sihat Dengan Berpuasa

Berpuasa dua kali seminggu mungkin perkara baharu bagi masyarakat barat, namun selain puasa wajib 30 hari pada bulan Ramadhan, berpuasa dua kali seminggu iaitu Isnin dan Selasa merupakan amalan sunat yang biasa dilakukan oleh umat Islam.

Amalan berpuasa Isnin dan Khamis ini adalah yang sering dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW. Baginda tidak pernah meninggalkan amalah sunat ini selama hidup baginda.

Dari Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawa Nabi bersabda, "Dibentangkan amalan-amalan dihadapan Allah pada hari Isnin dan Khamis. Maka aku menyukai dibentang amalanku (dihadapan Allah) pada ketika aku berpuasa." Hadis riwayat Tirmizi

Kajian telah membuktikan bahawa puasa merupakan penawar dan pencegah daripada sebarang penyakit.

Dengan berpuasa, ia dapat merangsang beberapa perubahan pada metabolisme badan dan seterusnya membantu membersih dan membaiki sistem badan.

Ketika berpuasa juga, organ di dalam badan dapat berehat dan ini membantu badan manusia membuang segala kotoran serta toksin keluar dari tubuh.

Sejarah turut menunjukkan bahawa puasa merupakan cara rawatan tertua di dunia dan telah diamalkan oleh orang-orang terdahulu untuk memelihara kesihatan tubuh.

Melihat kepada fadhilat puasa dan dibuktikan manfaatnya oleh saintis, semoga umat Islam membudayakan amalan sunat ini.

BACA INI JUGA: Kisah Penciptaan Nafsu Yang Degil Dan Suruhan Berpuasa

-SENTIASAPANAS.COM

Thursday, June 30, 2016

Sains Membuktikan Larangan Hadis Bahaya Tidur Meniarap!

Sains Membuktikan Larangan Hadis Bahaya Tidur Meniarap!

Lama sebelum masyarakat dunia mula mempersoalkan bahaya tidur meniarap, ramai percaya cara ini adalah sangat baik.

Bahay tidur meniarap.jpg

Sebelum ini juga, sains percaya tidur dengan dada dan perut dibawah baik untuk mengurangkan masalah dengkur dan apnea, suatu keadaan dimana pernafasan terhenti seketika ketika sedang tidur.

Pada tahun 1958, Dr. Benjamin Spock, seorang pakar kanak-kanak telah berkongsi ilmu dalam bukunya yang berjudul The Common Sense Book of Baby and Child Care.

Dalam buku yang laris terjual itu, dia memberi amaran terhadap amalan menidurkan bayi dalam keadaan terlentang.

Kerana katanya, pada posisi itu, jika bayi muntah, si kecil cenderung tercekik sehingga menyekat saluran pernafasan.

Namun, melalui kajian ramai saintis telah melahirkan penemuan-penemuan yang bercanggah.

Saintis dari American Academy of Paediatrics misalnya, menyatakan bahawa posisi tidur yang sihat bagi bayi adalah secara terlentang dan bukan meniarap.

Bahkan, statistik kes kematian bayi secara mengejut atau Sudden Infant Death Syndrome (SIDS) telah berkurangan sebanyak 50 peratus sejak posisi tidur bayi secara terlentang dicadangkan pada tahun 1992.

Bukti Bahaya Tidur Meniarap

Ilmuwan Islam, Dr. Zafir Al-Attar menjelaskan bahawa seseorang yang tidur diatas perutnya dalam tempoh tertentu akan mengalami kesukaran untuk bernafas.

Ini kerana ketika seseorang sedang tidur meniarap, bebanan badan akan menekan dada sehingga menghalang untuk ia merenggang ketika bernafas.

Halangan ini boleh menjejaskan kesihatan jantung dan kecergasan otak kerana kekurang oksigen untuk sampai ke bahagian tersebut.

Menerusi kajian Mayo Clinic, tidur diatas perut bukan sahaja akan menyebabkan masalah pernafasan, malah ia juga boleh mencetuskan beberapa kesakitan dibahagian leher, belakang dan sendi.

Dr. Jan Lefkowitz dari Body In Balance Chiropractic juga senada dengan perkara itu.

Menurut Dr. Jan, tidur secara meniarap merupakan satu perbuatn yang paling berbahaya.

Katanya lagi, seseorang yang menghabiskan waktu tidur dengan posisi begini boleh mengakibatkan tulang belakang beralih dan mencetuskan sakit teruk pada bahagian belakang dan leher.

Bukan itu saja, tidur meniarap dengan kepala ke satu sisi juga terbukti boleh menyebabkan masalah juling kerana ia memberikan tekanan yang lebih pada bahagian leher.

Panduan Cara Tidur Dalam Islam

Daripada Ya'isyh bin Takhfah al-Ghifari meriwayatkan bahawa ayahnya pernah berkata, "Ketika aku sedang tidur meniarap di dalam masjid kemudian seorang lelaki datang menggerakkan aku dan berkata, "Sesungguhnya tidur meniarap seperti ini tidak disukai oleh Allah." Lalu aku memandang kepadanya dan mendapati bahawa lelaki tersebut ialah Nabi Muhammad SAW." Hadis riwayat Abu Daud.

Hadis diatas merupakan tegahan yang bersifat makhruh, dengan kata lain perbuatan tidur meniarap tidak akan mendatangkan dosa jika dilakukan, tetapi akan mendapat pahala sekiranya ditinggalkan.

Adapun tidur meniarap kerana disebabkan sakit atau uzur, ia tidaklah menjadi makruh.

Posisi tidur seperti yang diajarkan oleh Rasulullah SAW, iaitu mengiring ke sebelah kanan telah terbukti secara saintifik antara posisi tidur yang terbaik.

Kajian sains mendapati bahawa tidur mengiring ke kanan mampu membantu melancarkan aliran darah sehingga dapat mengurangkan tekanan pada jantung, saluran pencernaan dan hati.

Ulama turut menyatakan bahawa tidaklah menjadi masalah jika pada saat tidur nanti posisi kita berubah ke sebelah kiri, asalkan tidak tidur meniarap.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA: Sains Merungkai Larangan Lelaki Memakai Emas!

-SENTIASAPANAS.COM

Monday, June 13, 2016

Vantablack, Warna Paling Hitam Di Dunia!

Vantablack, Warna Paling Hitam Di Dunia!

Berita baik buat penggemar warna hitam! Apabila menyebut tentang warna ini, umum hanya membayangkan satu jenis warna saja.

Vantablack.jpg

Kini, tidak lagi dengan adanya penemuan terbaru mengenai warna paling hitam di dunia oleh sekumpulan saintis.

Kajian mengenai warna paling hitam di dunia telah dijalankan oleh sekumpulan saintis daripada Surrey Nanosystems dan diketuai oleh Ben Jensen dan penemuan baru ini pada mulanya telah ditemui oleh The National Physical Laboratory (NPL).

Dikenali dengan nama 'Vantablack' dan disebut sebagai warna paling hitam di dunia, agak mustahil sebenarnya untuk memikirkan kewujudan warna yang lebih hitam daripada hitam.

Jadi, apakah perbezaan 'Vantablack' dengan warna hitam biasa yang kita sering temui?

Sudah tentulah kepekatan ton yang dimiliki oleh penemuan baru ini lebih tinggi daripada biasa.

Dengan kata lain, jika kita berada didalam sebuah ruang yang dipenuhi 'Vantablack', kita tidak akan dapat melihat sebarang cahaya. Terlalu gelap!

Sekiranya bulatan 'Vantablack' diletakkan pada dahi, ia membuatkan seseorang itu kelihatan memiliki dahi berlubang.

Vantablack_Laser

Bagi membuktikan kelainan wrna 'Vantablack', satu ujian khas telah dilakukan oleh saintis.

Dalam ujian tersebut, cebisan 'Vantablack' telah diletakkan didalam kepingan kertas timah.

Saintis kemudiannya memancarkan sinaran laser ke atas permukaan warna 'Vantablack'.

Sangat mengejutkan, cahaya inframerah tidak lagi kelihatan, sedangkan apabila ia diuji ke atas warna hitam biasa, pancaran cahaya laser dapat dilihat dengan jelas.

Dianggarkan, sebanyak 99.9% cahaya mampu diserap 'Vantablack'!

Eksperimen itu benar-benar membuktikan kelainan yang dimiliki warna hitam 'Vantablack'.

Disebabkan memiliki kehitaman warna yang sangat luarbiasa, 'Vantablack' telah mendapat pengiktirafan daripada Guiness World Records yang dicatatkan secara rasmi pada 19 Oktober 2015, sebagai warna paling hitam di dunia.

Vantablack - Anish-Kapoor-Descension-2015.jpg
Anish Kapoor, Descension, 2015.

Malangnya, penemuan baru ini bukanlah bahan yang boleh dimiliki umum sewenang-wenangnya.

'Vantablack' buat masa ini hanya untuk kegunaan pihak NASA yang digunakan dalam kajian penerbangan angkasa lepas dan seorang artis terkenal, Anish Kapoor, namun mendapat kririkan ramai pihak.

BACA INI JUGA: Ketahui Rahsia Warna Untuk Kesihatan

-SENTIASAPANAS.COM

Thursday, June 09, 2016

Saintis Akui Puasa Mampu Mencegah Kerosakan Otak

Saintis Akui Puasa Mampu Mencegah Kerosakan Otak

“Puasa dua kali seminggu memberi pertahanan kepada otak!”. Itulah antara penemuan yang dilakukan oleh kumpulan saintis yang diketuai oleh Mark P. Mattson.

BenefitsofFasting

Beliau yang merupakan Profesor Neurosains daripada John Hopkins University, USA telah menjalankan kajian secara selular dan molekular ke atas sel tikus makmal dan manusia yang telah melihat kesan langsung berpuasa dua kali seminggu.

Apa yang menakjubkan, amalan ini bukan sahaja memberi kesan provokasi ke atas sel supaya lebih aktif, malah ia meransang pertumbuhan sel otak yang baru.

Di samping itu, otak menjadi lebih rentan terhadap pertumbuhan plak yang menjadi pemacu kepada penyakit Alzheimer dan Parkinson yang ditakuti ramai.

“Puasa menyebabkan sel menjadi tertekan, namun pada konteks yang baik,” kata beliau sambil mengulas bahawa terdapat peningkatan dalam kebolehan menghadapi tekanan apabila seseorang itu mengamalkan puasa dua kali seminggu.

Kajian yang dilakukan Mattson ini tersiar di dalam jurnal Nature Reviews Neuroscience edisi Januari 2013.

Beliau turut menekankan bahawa otak yang normal, jika terlebih makan akan menyebabkan keterujaan pada peringkat selular yang sukar dikawal sehingga boleh merosakkan fungsi otak.

Mereka mendapati haiwan-haiwan eksperimental yang berpuasa dua kali seminggu ini membina pertahanan terhadap serangan strok dan mekanisma lain yang boleh merosakkan otak.

Sebelum ini, beliau turut menerbitkan artikel kajian klinikal ke atas pesakit asma yang mempunyai berat badan berlebihan yang telah menunjukkan pengurangan simptom-simptom asma selepas mengamalkan puasa selang sehari selama dua bulan.

Walau bagaimanapun terdapat perbahasan di kalangan pengamal perubatan yang skeptikal terhadap amalan ini yang mengatakan puasa boleh mendatangkan kesan sampingan kepada pesakit.

“Apa yang kami temui di dalam kajian terhadap haiwan dan manusia ini adalah baik untuk kita mencabar otak kita, terutamanya dalam jangka waktu yang singkat sebegini,” tambah beliau.

Puasa Cegah Kerosakan Otak

Secara kesimpulannya, puasa sebagaimana yang diketahui umum adalah amalan sunat yang dianjurkan agama Islam dan menjadi amalan para Nabi dan Salafussoleh, ia bukan sahaja puasa badan iaitu menahan diri daripada makan minum, namun penghayatannya adalah lebih daripada itu, merangkumi segala aspek iaitu spiritual, mental, fizikal, kimiawi, seksual dan emosi.

Kita banyak diingatkan tentang kebaikan amalan ini daripada sudut keagamaan yang mana puasa mendekatkan hamba kepada Tuhan yang menciptanya dan kini amalan mulia ini diselidiki secara empirikal di makmal-makmal dan membuktikan hikmah serta kebaikan pada amalan tersebut yang diamalkan secara patuh oleh umatnya.

Namun, penemuan kebaikan tuntutan ini secara eksperimental mengukuhkan lagi keyakinan dan melunaskan fitrah manusia yang bersifat ingin tahu.

Maha Suci Allah, besar hikmahnya yang kita dapati daripada puasa ini dan sebenarnya lebih banyak lagi yang belum dirungkaikan, menjawab kebijaksaan Allah sebagai Sang Pencipta yang mengatur urus tadbir kehidupan manusia di dunia ini.

Wallahu a’lam.

RUJUKAN
  • Michael Anft, Don’t Feed Your Head, John Hopkins magazine, Summer 2012
  • David Stipp, ScientificAmerican.com/jan2013
  • Arjun Walia, Neuroscientist Shows What fasting Does to Your Brain & Why Big Pharma Won’t Study It, Disember 2011
  • Mohd Husain Yee Abdullah, Science of Fasting: Aspect from Islam Perspective, Fasting and Sustainable Health Conference, 2010

BACA INI JUGA: Kenapa Umat Islam Diwajibkan Berpuasa?

Sumber: Majalahsains

Wednesday, May 18, 2016

Teknologi Membaca Minda!

Teknologi Membaca Minda!

Teknologi membaca minda tidak lagi terhad dalam kisah fiksyen sains atau fantasi. Sebaliknya, teknologi ini makin hampir direalisasikan.

Teknologi Membaca Minda!

Menerusi sains, imej di dalam otak manusia dapat dicipta semula menggunakan teknik pengimbas yang popular dalam bidang perubatan.

Proses membaca minda ini melibatkan fungsi pengimejan resonans magnetik (MRI) dan pengimejan resonans magnetik kefungsian (fMRI), sejenis alat pengimbas yang sering diaplikasikan bagi pendiagnosisan tumor dan anomali otak.

Terkini, fMRI dan model simulasi pengkomputeran digunakan oleh ahli sains bagi mencipta semula imej dinamik yang dilihat oleh manusia secara visual.

Hal ini bermakna apa-apa yang dilihat dan difikirkan oleh manusia dapat dinyahkodkan dengan bantuan sains dan teknologi.

MRI merupakan alat diagnostik yang digunakan bagi menangkap imej organ di dalam tubuh. Antaranya termasuklah otak, sumsum tulang belakang, saraf, dada, perut, pembuluh darah dan jantung.

Alat ini kerap dipilih oleh doktor kerana medan magnet dan gelombang frekuensi radio yang digunakan tidak memudaratkan pesakit.

Malah MRI didapati sesuai digunakan bagi pesakit yang menderitai penyakit pada tahap kronik, seperti kanser.

Hal ini dikatakan demikian kerana sebarang pembedahan atau pendedahan terhadap radiasi sinar-X tidak diperlukan.

BACA INI JUGA: MK Ultra, Projek Rahsia Kawalan Minda CIA

Sumber: Dwnkosmik

Friday, May 01, 2015

Ibn Firnas, Manusia Pertama Terbang Di Udara

Ibn Firnas, Manusia Pertama Terbang Di Udara

Ketika hagemoni Barat berjaya mengajar masyarakat dunia tentang sejarah Wright Bersaudara, jangan lupa tentang hal yang satu ini.

Ibn Firnas

Lebih seribu tahun sebelum Wright Bersaudara menerbangkan pesawat mereka, Ibn Firnas telah berjaya terbang di udara lebih awal dari itu.

Ibn Firnas atau nama sebenarnya, Abbas Qasim Ibn Firnas merupakan seorang pakar sains Islam di Sepanyol. Beliau dilahirkan di Ronda, Sepanyol, pada tahun 810 Masihi dan membesar disana sehingga menjadi seorang tokoh Islam terkenal.

Pada zaman pemerintahan Khalifah Umaiyah di Sepanyol (dulu bernama Andalusia), ilmuwan ini suka bermain muzik dan mengarang puisi. Malah, pernah menjadi salah seorang penuntut serta pengikut Ziryab, seorang ahli muzik terkenal dan berperwatakan dramatik dari Iraq.

Semasa hidupnya, Ibn Firnas tersohor dalam bidang kimia. Dia seorang cendekiawan yang tidak pernah kering idea, sentiasa memiliki daya kreativiti dan rajin mencipta teknologi baru pada waktu itu.

Paling menonjol ialah dia telah mendahului dunia penerbangan yang mana berjaya membina sebuah model pesawat terbang bagi membolehkan manusia terbang di udara.

Model tersebut adalah berupa sayap burung, diperbuat daripada kayu dan bulu burung kemudian dijahit dengan sutera. Beliau mendapat idea tersebut selepas lebih 20 tahun meneliti bagaimana burung terbang dan cara daun, benih serta bulu yang gugur mendarat ke permukaan bumi.

Pada tahun 875 Masihi, Ibn Firnas menjemput warga Cordova untuk datang menyaksikan hasil ciptaannya itu. Ditengah kerumunan orang ramai, dia kemudian terjun dari menara Masjid Mezquita dengan menggunakan sepasang sayap yang dipasangkan pada tubuhnya.

Terjunan itu menyebabkan dia melayang-layang di udara selama 10 minit. Namun, sesuatu yang tidak dijangka berlaku selepas itu.

Ibn Firnas terhempas ke tanah bersama pesawat ciptaannya gara-gara cara meluncur yang kurang baik. Insiden itu dikatakan berpunca daripada kelalaian sendiri kerana dia dikatakan tidak mengambil kira cara burung mengepak ketika menjunam dan mendarat pada bahagian ekor.

Akibat kemalangan itu, beliau disahkan mengalami kecederaan parah dibahagian belakang. Kesakitan yang dialami membuatkan dia tidak berdaya lagi meneruskan uji kaji bagi percubaan seterusnya.

Ibn Firnas [2]

Pada tahun 888 Masihi, Ibn Firnas meninggal dunia selepas 13 tahun menanggung kesakitan akibat kecederaan dialami. Walauppun telah tiada, negara Libya menunjukkan tanda memperingati beliau dengan mengeluarkan setem wajah Ibn Firnas. Negara Iraq turut mengenang ketokohan beliau dengan membina tugu.

Tugu Ibn Firnas boleh dilihat dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Iraq dan Lapangan Terbang Ibn Firnas di utara di utara Baghdad, juga dinamakan sempena namanya.

Sejak hari bersejarah itu, pelbagai penciptaan dan uji kaji dilakukan, sebelum akhirnya tercipta pesawat terbang seperti mana yang wujud pada hari ini.

BACA INI JUGA: Penerbangan Komersial Paling Singkat Di Dunia

-SENTIASAPANAS.COM

Wednesday, July 30, 2014

Hadis Membuktikan Manusia Memiliki 360 Sendi

Hadis Membuktikan Manusia Memiliki 360 Sendi

Sebahagian besar masyarakat moden hari ini tidak mengetahui berapakah jumlah sendi di dalam tubuh manusia.

Sendi Manusia

Pada awal abad ke-21, kebanyakan ahli perubatan dan bedah tulang juga tidak mengetahui secara pasti perkara ini.

Rata-ratanya cuma menyebut secara anggaran jumlah tulang dalam kerangka manusia adalah diantara 200 hingga 300. Manakala, sekitar 100 hingga 340 pula terdiri daripada sendi.

Malah, sejumlah besar ensiklopedia dunia juga secara terang-terangan tidak mengklasifikasikan perkara itu secara terperinci.

Jumlah tepat sendi manusia sebenarnya telah lama diketahui Nabi Muhammad SAW iaitu sejak 1,400 tahun dahulu lagi.

Daripada Aishah r.a bahawasanya Nabi Muhammad SAW bersabda yang maksudnya, "Anak Adam diciptakan di atas 360 sendi tulang. Setiap 360 tulang sendi itu hendaklah diberikan sedekah setiap hari." (Riwayat Imam Muslim)

Sendi Telinga Manusia
Telinga turut mempunyai sendi.

Sebelum ini, berlaku percanggahan mengenai jumlah sebenar sendi manusia terutama berhubung pembuktian saintifik. Jadi, para sarjana tidak melihat ucapan Nabi Muhammad SAW sebagai fakta.

Hanya disekitar tahun tahun 1990an, ahli sains membuat kajian selanjutnya dan menemui sesuatu yang selama ini para sarjana terlepas pandang.

Rupa-rupanya, apabila diteliti di dalam bahagian telinga didapati alat pendengaran juga mempunyai sendi-sendi, sebanyak 10 sendi disebelah kanan dan 10 lagi disebelah kiri. Apabila dicampurkan dengan jumlah sendi sedia ada, 20 + 340, makan lengkaplah sendi manusia sebanyak 360 kesemuanya!

Berdasarkan perincian yang dilakukan, tulang belakang manusia memiliki 147 sendi, dada memiliki 24 sendi, bahagian atas tubuh dan bawah tubuh masing-masing mempunyai 86 dan 92 sendi, manakala sekitar perut pula memiliki 11 sendi.

Manusia Memiliki 360 Sendi

Tulang dan sendi merupakan dua perkara berbeza dari segi istilah perubatan. Tulang ialah rangka tubuh manusia untuk melindungi organ lembut dan sensitif. Ia bersifat keras dan boleh dirasa. Tanpanya, kita tidak dapat bergerak, duduk, berjalan dan sebagainya. Hanya dengan adanya tulang, kita boleh melakukan semua aktiviti itu.

Setiap manusia dewasa, lelaki mahupun wanita mempunyai jumlah tulang yang sama iaitu 208. Dalam tulang tersebut, terdapat banyak sendi. Sendi pula berbeza dengan tulang kerana ia merupakan tempat perhubungan tulang-tulang atau pertemuan dua ruas tulang.

Jumlahnya seperti yang disebutkan oleh Nabi dalam hadis sahih dan dibuktikan secara saintifik iaitu 360.

Sendi manusia pula secara umum dikategorikan kepada tiga jenis. Sendi pertama ialah tidak boleh bergerak seperti tengkorak. Kedua, pergerakannya terkawal dan sedikit sahaja, contohnya tulang belakang.

Manakala kategori ketiga ialah seperti mana yang diketahui ramai iaitu bergerak atau disebut sebagai sendi sinovial, cecair yang menjadikan struktur menjadi licin dan mudah bergerak. Sendi jenis ini biasanya terdapat pada bahagian bahu, siku, pergelangan tangan dan kaki, jari-jemari, lutut dan tulang belakang.

Allah menciptakan sedemikian bagi membolehkan bahagian tubuh manusia mudah bergerak dan fleksibel. Disinilah, kenapa Nabi Muhammad SAW berpesan kepada umat Islam supaya sentiasa bersyukur kepada Allah.

Bersedekah kepada tubuh

Cara bersyukur itu adalah dengan bersedekah sekurang-kurangnya sejumlah sendi (360) yang ada dalam tubuh kita pada setiap hari.

Untuk bersedekah sebanyak 360 kali setiap hari sebenarnya tidaklah susah. Ini kerana, setiap perbuatan baik dan amal ibadat seperti menolong orang, bertabih, bertahmid, tahlil, berzikir dan menyeru orang berbuat baik, setiap satu daripadanya akan dikira satu sedekah.

Oleh itu, melakukan sedekah untuk 360 tulang sendi dalam satu hari bukanlah perkara susah dan membebankan.

-Sentiasapanas.com