Tuesday, December 27, 2022

SBDJ Siri 184: Pengawal Bertelinga Kuda

SBDJ Siri 184: Pengawal Bertelinga Kuda

Andi Kamarool memperlihatkan reaksi yang sungguh berbeza. Dia meluruskan badan, menegakkan kepala. Sepasang matanya bercahaya garang terpanah ke wajah Haji Simpul. Pandangan mereka bertembung, sama-sama tidak mahu mengalah. Hati saya kembali berdebar, bimbang terjadi sesuatu yang tidak diingini. Lebih dari lima minit mereka beradu kekuatan, selama itu jugalah jantung saya berdenyut kencang.

Toyol jadi-jadian


Ternyata dalam pertarungan itu, kekalahan berada di pihak Andi Kamarool. Matanya, berair dan meleleh di cerun pipi. Andi Kamarool tidak mampu menandingi kekuatan anak mata Haji Simpul.

Dengan segera Andi Kamarool mengalihkan pandangan ke arah lain. Dia merenung ke lantai. Suasana dalam rumah terasa sepi sekali. Sukar untuk diramalkan, siapakah di antara kami bertiga akan bersuara lebih awal.

"Bagaimana Andi?" Andi Kamarool panggungkan kepala. Dengan sinar mata yang layu dia renung muka Haji Simpul.

"Apa dia tuan haji."

"Boleh kamu beritahu keputusannya sekarang," kata Haji Simpul.

"Maafkan saya, susah nak buat keputusan. Nanti dululah, tuan haji. Bila sampai masanya, saya beritahu tuan haji."

Jawapan Andi Kamarool itu membuat Haji Simpul mengkerutkan dahi dan termenung sejenak. Macam ada sesuatu yang difikirkannya. Tiba tiba dia senyum sinis sambil merenung keluar, melihat dedaun pisang yang melintuk-liuk ditolak angin rembang.

"Nanti dulu tu, bila Andi?" Haji Simpul minta kepastian.

Andi Kamarool terus membisu dan resah. Dua tiga kali dia menelan air liur.

"Seminggu, sebulan atau dua bulan?" Tambah Haji Simpul.

"Nanti, saya beritahu kemudian, tuan haji."

"Tapi, kamu suka pada Mia."

"Iya tuan haji," angguk kepala Andi Kamarool.

"Mia juga sukakan Andi, tuan haji," sampuk saya.

Air muka Andi Kamarool berubah. Dia tersipu-sipu.

"Perkara tu, saya tak tahu tuan haji," Andi Kamarool gelengkan kepala tanpa mahu merenung ke arah saya.

"Kalaulah cakap Tamar betul, jangan persiakan hajat Mia," tambah Haji Simpul bersama senyum panjang. Penuh makna dan kiasan.

Ternyata senyuman yang terukir di kelopak bibir lelaki tua itu, membuat Andi Kamarool menundukkan wajahnya merenung lantai.

SALAH

Bila melihat Andi Kamarool berada dalam keadaan serba salah, saya tersenyum panjang. Andi Kamarool tahu, senyuman saya itu menyindirnya. Buktinya Andi Kamarool, mencubit paha saya sambil menunjukkan penumbuk. Haji Simpul yang nampak gelagat Andi Kamarool ketawa kecil.

"Mahu bergaduh," katanya.

Kami berdua cuma mampu tersenggih saja.

Setelah hampir dua jam berlabuh di rumah Haji Simpul, banyaklah rahsia tentang rumah batu, tentang ladang peninggalan orang tua Mia, kami ketahui.

Apa yang kami perolehi tetap menjadi rahsia, tidak boleh disebarkan kepada orang lain. Itu pesan Haji Simpul yang pasti patuhi.

Kalau dilanggar, padahnya sedia menanti. Apakah padah yang menanti, tidak pula diberitahu kepada kami.

Saya dan Andi Kamarool segera minta diri untuk pulang. Dengan senang hati Haji Simpul merestui kepulangan kami.

"Silakan, hati-hati dengan orang yang kamu temui. Kalau boleh, rahsiakan kedatangan kamu berdua ke sini jika ada yang bertanya. Kalau tak ada yang bertanya, lagi bagus," dari muka pintu Haji Simpul mengingatkan kami.

Apa yang mampu kami lakukan ialah menganggukkan kepala.

Sebaik saja telapak kaki memijak bumi, secara tidak semena-mena hujan panas turun berderai. Kami terpaksa naik ke rumah kembali. Haji Simpul turut merasa hairan dengan peristiwa yang terjadi.

Menurutnya, jarang terjadi hujan panas turun mendadak tanpa sebarang tanda. Dia bergegas turun ke kaki tangga lalu mendonggakkan kepala ke langit.

"Hujan biasa," katanya selamba.

Dia naik semula ke rumah. Bersila seperti tadi di ruang tamu yang luas. Kali ini perbualan dan cerita sudah habis diluahkan.

Bagi mengatasi kesepian, saya dan Andi Kamarool lebih hanyak bercerita tentang minat diri kami pada Haji Simpul. Orang tua yang baik hati itu sedia mendengarnya. Meskipun cerita yang kami tuturkan tidak layak untuknya dan membosankan.

Haji Simpul mempelawa kami makan tengah hari dan sembahyang zuhur di rumahnya. Permintaannya tidak kami hampakan. Makan nasi dengan sayur lemak pucuk ubi, sambal belacan berulamkan jering muda yang dihidangkan oleh piut Haji Simpul memang menyelerakan.

Kira-kira pukul tiga petang, rumah Haji Simpul kami tinggalkan. Saya dan Andi Kamarool menyusuri jalan tanah merah hingga sampai ke kawasan kedai sederet.

Kerana cuaca tidak begitu panas, angin bertiup berterusan menyebabkan badan kami kurang berpeluh. Kedai runcit paling hujung kami masuki.

Andi Kamarool membeli kira-kira tiga kepul beras, ikan masin, tiga biji telur ayam dan sedikit sayur segar.

"Cukup tak, untuk kita makan malam Tamar."

"Lebih dari cukup, Andi."

Andi Kamarool segera menjelaskan harga barang yang dibeli kepada si penjual bertubuh kecil, berkulit hitam manis dan sentiasa senyum.

"Terima kasih, saya jual, halal," katanya.

"Saya beli, halal," balas Andi Kamarool. Mereka berbalas senyuman dan akhirnya saling bersalaman.

ASING

Mungkin kerana kami orang asing,sudah tentu kedatangan kami ke kedai runcit paling hujung itu jadi perhatian para pelanggan kedai sederet.

Semasa mahu keluar dari kedai runcit, secara tidak sengaja bahu kiri saya berlaga dengan bahu seorang lelaki setengah baya yang mahu masuk ke kedai runcit.

"Maafkan saya."

"Tak mengapa, sepatutnya saya yang minta maaf bukannya kamu, saya yang tak merenung orang," kata lelaki yang setengah baya. Kami segera bersalam. Kemudian Andi Kamarool juga turut bersalaman.

"Tetamu Mia?"

Kami segera anggukkan kepala. Hairan, bagaimana lelaki setengah baya itu tahu yang kami jadi tetamu Mia. Saya renung batang tubuh lelaki itu dari atas ke bawah. Dari bawah ke atas hingga dia resah semacam.

"Adik saya bekerja di ladang Mia, dia jadi mandor parit. Dia yang ceritakan kepada saya tentang kamu berdua."

"Begitu," sahut kami serentak dengan perasaan lega.

Kerana berdiri di laluan orang keluar masuk, kami segera beredar dari situ. Berlabuh di kaki lima kedai runcit. Orang yang lalu di situ, kalau merenung akan menjeling ke arah kami.

"Bagaimana dengan pengalaman di sana?"

Pertanyaan yang menimbulkan rasa cemas dalam hati. Saya dan Andi Kamarool saling berpandangan. Saya beri laluan pada Andi Kamarool untuk menjawab.

"Macam biasa," jawab Andi Kamarool.

"Tak mengalami perkara-perkara ganjil."

"Maksudnya?" celah saya.

Lelaki itu terdiam, macam berfikir sesuatu.

"Kata orang kawasan rumah tu ada penunggu, hebat juga bila awak berdua boleh tinggal di situ."

"Hummmmm... kami tak alami semuanya itu," saya membohonginya.

Andi Kamarool tersenggih. Dia mula menyedari yang saya mula jual temberang. Apa yang pasti, kata-kata saya tadi membuat lelaki setengah baya itu termenung panjang.

Saya tidak tahu, apakah dia percaya atau tidak. Pokoknya, saya dan Andi Kamarool tidak mahu dia bertanya lebih terperinci tentang kami, tentang rumah batu, tentang Mia.

"Dah jumpa Haji Simpul."

Lagi sekali kami dikejutkan oleh lelaki setengah baya. Kami kini, berada di saat yang sungguh genting. Kalau tidak berhati-hati, semua rahsia akan terbongkar.

"Kami tak kenal dia," sahut saya.

"Tak adakah pekerja Mia yang beritahu tentang kehebatan Haji Simpul."

"Tak ada," Andi Kamarool mula menjawab.

"Pembantu rumah Mia, si Harisun."

Jawapan saya itu membuat lelaki setengah baya menarik nafas dalam- dalam. Dia mengigit bibir sambil merenung orang yang lalu lalang di jalan tanah merah. Kemudian merenung bungkusan yang dibimbit oleh Andi Kamarool. Dari air mukanya, dapat diduga keinginannya untuk mengetahui apa yang ada dalam bungkusan.

"Barang dalam bungkusan tu, untuk makan malam."

"Ha..." lelaki setengah baya tersentak.

Dia terkejut kerana tidak menduga yang saya mahu memberitahu barang dalam bungkusan (di tangan Andi Kamarool) kepadanya.

"Nampaknya, awak berdua ni bukan sebarang orang, dada awak berisi," nada suaranya lembut.

"Itu sangkaan saja," balas saya.

Mungkin menyedari yang kami tidak memberi tindak balas yang baik dan berfaedah untuk dirinya, membuat lelaki separuh baya itu tawar hati untuk mengajukan sebarang pertanyaan kepada kami.

"Biar saya masuk kedai dulu, saya nak beli rokok," dia minta diri secara hormat dan spontan.

"Silakan," saya memberi laluan.

"Terima kasih."

Lelaki setengah baya itu pun masuk ke kedai runcit. Dan kami pun beredar dari kaki lima kedai runcit tersebut.

SELATAN

Mungkin rencana yang disusun begini, setelah membeli barang di kedai runcit, kami harus meninjau arah selatan kawasan kedai sederet. Kemudian bergerak lagi menyusuri sebatang parit kecil yang airnya tidak seberapa. perjalanan akan berakhir di satu kawasan lapang, di mana terdapat kira sepuluh buah rumah papan.

Kami harus minta tolong pada para penghuni rumah di kawasan tersebut agar menunjukkan di mana rumah kaum kerabat Kak Sun.

Ternyata, rancangan kedua tidak terlaksana. Baru kira-kira setengah rantai menyusur tepi parit, kami bertembung dengan seekor ular sawa sebesar batang pinang.

Ular sawa itu, seolah-olah menanti kedatangan kami dengan perasaan marah. Si ular membuka mulut dengan luas, bersedia untuk membelit tubuh salah seorang dari kami.

Saya dan Andi Kamarool mencari jalan selamat. Kami berpatah balik dan lari dengan sekuat-kuat hati, meredah onak dan duri. Sebaik saja kami memasuki kawasan ladang Mia, Kak Sun menanti di bawah pohon sena yang berdahan rendang.

"Kamu jumpa Haji Simpul," katanya.

Kami tidak menjawab dan meneruskan perjalanan ke rumah papan. Kak Sun terus mengekori.

"Kenapa tak beritahu aku," tambahnya.

Kami terus membisu. Langkah dipercepatkan. Kak Sun tidak putus asa. Dia terus bertanya.

"Kamu berdua memang tidak tahu menghargai budi baik orang. Menyesal aku berbudi kepada kamu," Kak Sun tidak dapat mengawal perasaan, seperti tadi juga, kami buat tidak kisah dengan apa yang dituturkannya.

Kami berpisah dengan Kak Sun sebaik saja sampai di halaman rumah batu. Tergesa-gesa dia masuk ke rumah batu dan kami meneruskan perjalanan ke rumah papan.

Peristiwa bertemu ular sawa di tepi parit, meninggalkan kesan yang mendalam di hati kami. Pelbagai tanggapan dan andaian muncul dalam kepala saya dan Andi Kamarool.

Kesimpulannya, ternyata Kak Sun mempunyai peranan yang tersembunyi dalam perkara ini. Dia menjadi dalangnya. Dia menjadi orang suruhan penunggu rumah batu.

"Paling baik untuk keselamatan berdua. kita jangan ke mana-mana malam ni," turut saya sambil menatap wajah Andi Kamarool yang gusar. Dia bersandar di dinding.

"Kita tak pergi jemaah maghrib dan Isyak dengan orang kampung sebelah?"

"Tak payah, kalau kita pergi entah apa pula yang terjadi."

"Ok, sahut Andi Kamarool. Dia tidak memperlihatkan sebarang reaksi.

PENDEK

Setelah menunaikan sembahyang Isyak dan melakukan wirid pendek. Kami terus ke dapur, masak ala kadar untuk makan malam. Kali ini Andi Kamarool memperlihatkan bakat tersembunyi dalam bidang masak memasak.

"Sedap," itu komen yang setelah perut kenyang.

"Itu baru permulaan," sahut Andi Kamarool, saya sambut dengan ketawa yang panjang. Ketawa saya terhenti dengan serta merta.

Andi Kamarool menahan nafas, pinggan dan piring di depan bergerak ke kiri dan ke kanan. Terdengar seperti orang bersilat di ruang tamu. Dinding rumah seperti dipalu dengan kayu. Pada saat itu juga muncul lembaga hitam dengan sepasang tangan dan kaki yang berbulu.

"Pengawal rumah batu," bisik Andi Kamarool.

"Barangkali, segala-galanya akan berakhir di sini, Andi," kata saya cemas.

"Bertenang, Tamar."

Lembaga hitam itu kian berani, wajahnya yang selama ini disembunyikan dari kami dipamerkannya.

Bentuk wajahnya agak bulat, bibirnya tebal melentur ke bawah, menutup bahagian dagunya yang tajam macam muncung musang. Telinganya macam telinga kuda. Sepasang biji matanya yang sebesar telur ayam tersembul keluar, memancarkan cahaya merah dan biru silih berganti. Kulit mukanya berbulu, macam bulu kuda.

Dalam tempoh lima minit, wajahnya boleh bertukar menjadi harimau, anjing, ular tedung atau orang utan.

Apa yang terjadi membuat saya tergamam, mati akal untuk berikhtiar. Semua ayat-ayat Quran yang saya amalkan selama ini, tidak dapat saya ingati. Saya lupa dan bodoh. Segala-galanya saya serahkan kepada Andi Kamarool untuk mengendalikannya.

"Biar aku uruskan semuanya, Tamar."

"Terpulanglah pada kamu Andi."

Dengan perlahan-lahan Andi Kamarool berdiri, berdepan dengan lembaga yang mengerunkan. Bau nafas si lembaga hitam amat busuk sekali, macam bau bangkai. Tekak saya jadi loya dan mahu muntah.

"Aku terpaksa menentangnya, Tamar," kata Andi Kamarool setelah dia berdiri di sudut yang baik untuk melakukan serangan.

Biji mata lembaga menyorot setiap gerak-geri dan langkah Andi Kamarool dengan teliti. Sepasang tangan yang berbulu digerakkan ke kiri dan ke kanan.

"Aku terpaksa, Tamar."

Selesai saja dia bersuara, Andi Kamarool terus melompat dan membuka silat bangau putih, tubuh lembaga diserang dengan tendangan yang padu, buah penumbuk dilepaskannya ke sasaran yang dikirakan dapat melemahkan si lembaga hitam. Temyata semuanya tidak berbasahi badan.

Andi Kamarool merangkak perlahan-lahan mendekati saya. Lembaga hitam yang berbulu tebal terus menyeringgai memperlihatkan deretan gigi sebesar kapak.

"Aku mesti mencuba dengan pelbagai cara, kau bantu Tamar."

"Bantu dengan apa Andi?"

"Dengan apa saja," kata Andi Kamarool.

Dia terus mengambil air sembahyang. Kemudian duduk bersila di kanan saya. Kerana saya hafaz yassin, saya terus membacanya dalam hati. Andi Kamarool terus berzikir.

Lembaga hitam, tidak berganjak di depan kami. Dia semakin garang, pinggan dan piring terus berterbangan dan hancur berderai.

Saya terkejut besar, secara mendadak Andi Kamarool melompat ke arah tangan kanan lembaga hitam yang berbulu. Tangan lembaga itu, dipegangnya sekuat hati dan pada saat itu juga wajah lembaga yang mengerunkan itu bertukar menjadi wajah Kak Sun.

"Muka Kak Sun," jerit saya sekuat hati.

Dengan sekelip mata, lembaga hitam ghaib depan mata kami. Di tangan kanan Andi Kamarool tergenggam seruas buluh kuning yang sudah hampir reput. Manakala di sebelah kiri saya terdapat cebisan kain kafan yang dilekati tanah merah. Saya menggigit lidah menahan rasa cemas yang menggoncang dada.

"Kita berhasil mengusirnya Tamar" nada suara Andi Kamarool riang.

"Semoga dia tak datang lagi."

"Aku juga harap begitu, kita bersihkan serpihan pinggan. piring dan gelas," Andi Kamarool segera mencampakkan seberkas penyapu lidi kepada saya.

Ruang dapur yang berserakkan dengan serpihan tembikar pinggan, piring dan kaca gelas terus dibersihkan. Dilonggokkan di suatu sudut ruang dapur, sebelum disumbatkan, ke dalam raga sampah.

Tetapi bau busuk masih berlegar-legar di ruang dapur. Beberapa helai bulu, seperti bulu nibung terlekat di dinding.

"Aku fikir bulu tu, milik makhluk aneh," kata saya.

"Aku fikir juga macam tu, biarkan di situ. Jangan di usik," jawab Andi Kamarool.

BEREDAR

Kerana semuanya sudah selesai. Kami pun beredar ke ruang tamu. Andi Kamarool terus berzikir. Dan saya juga turut berzikir.

Suara Andi Kamarool yang keras beransur menjadi lemah dan perlahan, akhirnya terus hilang. Bila saya toleh ke arahnya. saya dapati dia sudah rebah di lantai. Dia keletihan, fikir saya.

Bila berseorangan, saya tidak dapat meneruskan wirid dengan baik. Macam-macam yang datang dalam tempurung kepala. Badan saya rebahkan di sisi Andi Kamarool dengan harapan dapat tidur segera.

Setengah jam masa berlalu tetapi, saya masih belum tidur. Masih mengiring ke kanan, mengiring ke kiri, menelentang menatap lelangit rumah. Berpuluh-puluh kali, kelopak mata saya rapatkan tetapi, mata saya masih terbeliak, masih segar tidak ada sedikit pun tanda-tanda mahu mengantuk.

Suasana malam yang sepi membuat saya tidak tentu arah. Rasa takut dan cemas silih berganti datang dalam diri.

Bila terdengar suara lolongan anjing, suara burung hantu, desiran dedaun yang berlaga sama sendiri membuat bulu roma yang tegak berdiri. Rasanya, pada saat itu juga saya mahu mengejutkan Andi Kamarool. Biarlah dia tidur, saya membuat keputusan.

Saya terus duduk mencangkung memeluk sepasang lutut, merenung tiap sudut ruang. Beberapa ekor cicak berlarian di dinding dan ke langit mengejar seranga yang merayap di situ. Apa yang peliknya, saya sentiasa merasa cemas, takut dan seram.

Bagi mengatasi masalah tersebut, saya harus melakukan sesuatu. Dengan berbuat demikian secara langsung rasa seram dan takut akan terusir dari saya.

Tiba-tiba secara tidak sengaja, saya terpandang dupa tembaga di tepi tiang. Di kaki tembaga terdapat beberapa ketul kemenyan. Tanpa berfikir panjang, saya terus membakar dan menghidupkan bara api dalam dupa. Ketul kemenyan saya pecah-pecahkan menjadi butir-butir kecil. Bahang bara dari dupa menghangatkan tubuh.

Butir-butir kemenyan saya campakkan ke dalam dupa. Asap nipis mula mengembang bersama bau yang kurang menyenangkan.

Dua tiga kali saya tersedak dan mata terus berair. Bila sudah begitu. saya sepatutnya berhenti mencampakkan butir-butir kemenyan dalam dupa. Tetapi, saya tidak berbuat demikian, sebaliknya saya terasa seronok bermain dengan bara dan asap kemenyan.

Akibat dari keseronokkan tanpa batas itu, seluruh ruang dipenuhi dengan asap kemenyan membuat saya sesak nafas.

Dalam kepulan asap itu, saya terlihat pintu sebelah kanan dan kiri (yang pernah digunakan oleh datuk dan Haji Basilam) bergerak dengan kuat memukul dinding.

Bunyinya memekakkan anak telinga. Rumah bergegar semua barang yang tergantung dan berada di tempat tinggi, jatuh berserakkan di lantai. Batang tubuh Andi Kamarool bergolek ke arah pintu ruang dapur, terkandas di bendul. Anehnya, Andi Kamarool tidak terjaga dari tidur.

Saya cuba berdiri tetapi, tidak berhasil. Saya mula terasa rumah seperti berpusing, macam gasing. Pandangan saya berpinar-pinar. Saya cuba menjerit malangnya suara tidak keluar.

Saya benar-benar takut dan cemas. Andi Kamarool masih terbujur macam mayat.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 184/284

BACA: SBDJ Siri 183: Matanya Mula Merah
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Friday, November 11, 2022

SBDJ Siri 183: Matanya Mula Merah

SBDJ Siri 183: Matanya Mula Merah

Penjelasan dari Haji Simpul itu, secara tidak langsung seolah-olah menyuruh kami berfikir tentang Kak Sun. Hati kecil saya lantas membuat kesimpulan, Kak Sun memang tidak ikhlas. Dialah, batu penghalang hasrat kami bertemu dengan Haji Simpul.

Toyol jadi-jadian


"Aku kadang-kadang, risau dengan perangai si Harisun. Dia suka, dengan keadaan yang tidak baik itu terjadi kepada diri Mia dan dirinya. Berkali-kali aku terangkan padanya, masaalah Mia boleh diatasi, begitu juga dengan masaalah dirinya. Salah seorang dari mereka, harus mengadu hal pada aku atau minta bantuan aku. Kemudian barulah aku berusaha memecahkan masalah yang mereka hadapi."

"Agaknya, Kak Sun merasakan perkara itu susah," tingkah saya.

"Memanglah susah, rohani mereka berdua mesti dibersihkan dengan amalan-amalan yang terpuji. Perkara begini, tidak boleh dibuat dalam sekelip mata. Mesti diamalkan secara berterusan, mesti sanggup menghadapi godaan," Haji Simpul berhenti bercakap, matanya merenung lantai.

Barangkali dia berfikir apakah perkara itu harus dibentangkan kepada kami atau dimatikan begitu saja.

Sesungguhnya, saya memang mengharapkan Haji Simpul menghuraikan secara lebih terperinci tentang Mia dan Kak Sun. Malangnya, saya tidak berani menyatakan hasrat tersebut secara terang-terangan.

Syukur! Tanpa diminta Haji Simpul menjelaskan secara terperinci, bahawa apa yang terjadi pada diri Mia dan rumah batu lama itu adalah akibat keterlanjuran nenek moyangnya yang bekerjasama dengan makhluk ghaib yang disebut SAKA.

Selagi zuriat nenek moyangnya ada dibumi ini, saka itu akan menjaga mereka dan mereka pula mesti membela saka mengikut ketetapan syarat yang dibuat dengan nenek moyang dahulu.

"Bila dipersia-siakan syarat dan janji, macam-macam yang datang, seperti yang terjadi pada Mia dan melarat kepada orang gajinya. Kalau dibiarkan para pekerjanya akan turut terlibat. Andi, kamu harus menyelamatkan Mia," dari cara Haji Simpul bercakap dan renungan mata, ternyata kata-kata yang dihambur adalah untuk Andi kamarool.

"Tuan haji suruh saya."

"Iya," balas Haji Simpul.

"Saya seorang," tanya Andi Kamarool cemas.

"Aku bantu kamu," Haji Simpul memberi jaminan.

Jaminan yang diberikan itu, membuat Andi Kamarool menoleh kearah saya dua tiga kali. Walaupun begitu dia nampak tenang. Tidak gugup macam tadi.

Anehnya, saya pula berdebar dan cemas, tidak tentu fasal. Apakah harapan dan permintaan Haji Simpul itu akan memulakan sebahagian babak baru yang lebih baik untuk saya dan Andi Kamarool.

Mungkinkah kami akan terus terpenjara di daerah asing ini dalam jangka waktu yang tidak dapat ditentukan. Semuanya berputar ligat dalam tempurung kepala.

"Bagaimana caranya tuan haji? Apa saya boleh ikut sama?"

Haji Simpul tersenyum. Lagi sekali wajah saya jadi tumpuan anak matanya yang hitam tajam. Bila direnung begitu, saya jadi serba salah. Tidak senang rasanya hati.

"Sudah tentu kamu boleh ikut sama, kamu boleh menolongnya dengan ilmu petua yang ada pada kamu, tetapi..." dengan serta merta Haji Simpul alihkan renungan ke arah Andi Kamarool.

"Kamu ada kelebihan tersendiri yang tidak ada pada orang lain," tambah Haji Simpul.

"Maksud tuan haji..." celah Andi Kamarool.

"Datuk nenek kamu, mengamalkan ilmu dunia yang sealiran dengan ilmu nenek moyang Mia. Mereka berguru dengan orang yang sama. Tetapi, menuntut di tempat yang berlainan. Mereka sama-sama SAKA yang berpenghulukan jin, bapanya harimau. Mereka sudah berjanji untuk memelihara SAKA itu, selagi zuriat mereka ada dimuka bumi."

"Janji yang mencelakakan keturunan sendiri,” terhambur dari mulut saya.

"Ahh kamu..." nada suara Haji Simpul meninggi. Dia memperlihat rasa kurang senangnya, dengan membeliak biji mata kepada saya.

"Maafkan saya."

"Jangan cepat melatah, jangan cepat marah. Berbalik pada diri si Andi ini. Kelebihannya, berjaya mengawal diri dan membuang SAKA datuk neneknya dengan amalan mengikut hukum-hukum Allah. Disamping itu, dia turut dibantu oleh alim ulama," penuh perasaan Haji Simpul bersuara.

"Tetapi, saya tewas juga tuan haji, terjebak juga dengan kepintaran dan penipuan syaitan," potong Andi Kamarul. Tiba-tiba dia menangis tersedu.

Tangisan dan sedu sedan Andi Kamarool berakhir, setelah dipujuk oleh Haji Simpul. Satu suasana yang berlaku diluar dugaan, inilah kali pertama saya melihat Andi Kamarool yang keras hati itu menangis.

BERJAYA

"Tetapi. akhirnya kamu berjaya keluar dari sarang kejahatan itu. Kau menggunakan apa yang ada pada kau untuk menyelamatkan Mia, sekali gus menolong, Harisun yang menjadi hamba penunggu rumah batu, tu."

"Saya tak..."

"Jangan cepat menolak," pintas Haji Simpul. Andi Kamarool terdiam. Dia membiarkan haji Simpul meneruskan percakapan.

"Jangan cepat menolak sebelum berusaha. Menyelamatkan manusia dari kuasa syaitan satu amal jariah. Membetulkan kepercayaan orang Islam yang sudah terpesong, satu kewajipan yang memang dituntut. Apakah kamu berdua tdak mahu membuat amal jariah semasa hidup?"

"Mahu," jawap kami serentak.

"Kalau begitu mulakan, jangan berdolak dalik lagi, Andi," sebuah permintaan yang murni tetapi penuh cabaran.

"Aku sedia membantu, kamu berdua," Haji Simpul melafazkan janji sambil mengenggam penumbuk.

"Bagaimana kalau tuan haji saja menjalankan kerja itu," saya kira kata-kata yang diungkapkan oleh Andi Kamarool merupakan satu helah untuk melepaskan diri tugas berat itu.

"Kamu memang bijak, cara hormat kamu mahu menguji kesungguhan dan kejujuran aku Andi. Dalam hal ini, ada syaratnya untuk aku memulakan tugas tu,"

"Apa syaratnya tuan haji."

"Aku tak boleh jual murah bak kata orang, hidung tak mancung pipi tersorong-sorong. Mia tidak pernah minta tolong, begitu juga dengan Harisun, bagaimana aku mahu memulakan. Kamu suka dengan Mia, Andi," Haji Simpul tidak berselindung lagi.

Andi Kamarool, tidak boleh berdalih lagi di hadapan orang tua yang boleh membaca apa yang tersirat dalam kalbunya.

"Iya tuan haji, saya sukakan dia," pengakuan yang tidak mengejut saya. Memang sudah diduga Andi Kamarool akan berterus-terang.

"Kalau begitu jangan bertangguh lagi," Haji Simpul membakar semangat Andi Kamarool. Saya lihat muka Andi Kamarool mula merah. Dia merasakan dirinya seperti tercabar.

"Tunjukkan jalan untuk saya tuan haji,"

"Ada dua jalan, kamu boleh pilih mana yang kamu mahu. Apa yang pasti, semuanya mempunyai risiko yang tinggi.”

"Terangkan tuan haji," saya mengeluarkan usul.

"Bila aku terangkan, mesti dibuat, jangan berdalih. Paling lewat dalam masa tiga bulan perkara itu mesti berjalan. Kalau tidak dibuat, padahnya kita tanggung bersama."

"Apa padahnya tuan haji?"

"Syaitan menggoda keimanan kita hingga terpesong."

"Ohhhhhh..." serentak kami bersuara.

Haji Simpul memperkemaskan sila, menyandar badan ke dinding. Sepasang tangannya memeluk tubuh dengan kejap sekali.

Sepasang matanya merenung ke depan, bagaikan menembusi dinding mengembara jauh ke kawasan yang tidak bertepi. Dia seperti menafikan kehadhiran kami disisinya. Kelopak matanya tidak berkelip.

KEMAS

"Cara pertama, Andi menikah dengan Mia. Boleh bersama selama satu bulan tetapi, tidak boleh membuat hubungan badan.

"Biasanya dalam tempoh seminggu lawan jenis kamu terus memberontak dan dia akan memperlihatkan tanda-tanda peninggalan nenek moyang di tubuhnya, kalau saka jin harimau, badannya berbelang dan memperlihatkan ciri-ciri seekor harimau,” Haji Simpul menarik nafas dan sepasang tangan yang memeluk tubuh segera dijatuhkan ke lantai.

"Sebaik telapak tangannya bertemu dengan papan lantai, tudung saji, keris panjang dan pedang jepun yang digantungkan di dinding jatuh ke lantai, macam ada sesuatu yang menjatuhkannya.

"Itu amaran kerana aku mahu campur urusan orang lain, aku sudah bersedia. Datanglah," saya dan Andi Kamarool tercengang-cengang, tidak tahu kepada siapa kata-kata itu ditujukan oleh Haji Simpul.

Kami segera merenung ke halaman rumah, dalam panas terik itu kami seakan-akan melihat kemunculan beberapa ekor binatang aneh dalam keadaan yang samar-samar.

Sekali pandang macam kucing hitam, bila dilihat kali kedua seperti musang. Bila mahu diamatiamati, binatang itu terus hilang.

"Jangan pedulikan apa yang ada di luar. Aku bercakap kepada kamu tentang perkara yang lebih besar dari apa yang ada di luar," Haji Simpul melahirkan protes keras.

"Maafkan saya," kata Andi Kamarool.

"Begitu juga dengan saya," saya pula mencelah.

"Masa dia dalam pengalihan itu, kamu juga naik darah kerana kamu memang satu saka dengannya. Secara perlahan-lahan kamu juga turut mengalami masa peralihan menjadi harimau. Bila kamu menyedari perkara itu, kamu mesti bersedia," Haji Simpul telan air liur.

"Apa yang mesti disiapkan?" Tanpa segan sili Andi kamarool bertanya.

“Bacalah surah penghalau syaitan seperti yang diberikan guru agama atau ustaz tempat kamu menuntut ilmu agama. Kamu bertasbih dan kawal perasaaan, hingga peralihan itu terbantut. Bila kamu terbantut, Mia juga terbantut."

"Berapa lama tuan haji?"

"Selama satu bulan, sepanjang masa itu kamu sentiasa diduga dan dicabar. Lepas waktu itu, kamu jadikan rumah batu sebagai surau. Panggil semua pekerja Mia berjemaah disitu pada setiap waktu. Setiap malam Jumaat baca yassin selama empat puluh hari," lagi sekali Haji Simpul berhenti bercakap.

Dia mengeliat dan meraba pipi kanannya yang kemerah-merahan seperti dicakar sesuatu.

"Aku minta pertolongan Allah berusaha untuk membebaskan anak Adam dari cengkaman kamu,” Haji Simpul menunjukkan kata-kata itu pada sesuatu yang tidak nampak dilihat oleh mata kasar kami.

"Kemudian melakukan perkara yang lebih berat dari itu. Bilik kosong di bahagian dapur rumah hendaklah dibersihkan. Buang semua kain atau sebarang benda yang ada disitu. Jadikan bilik itu tempat kamu membaca Quran setiap malam, jadikan tempat kamu bersembahyang sunat. Akhirnya kubur lama dibawah pokok buluh kamu buang, memang tidak ada rangka manusia di situ."

"Macam mana dengan penunggu rumah batu tu, tuan haji," saya pula menyoal.

"Bila rumah batu itu dijadikan tempat ibadat, sentiasa dipenuhi dengan ayat-ayat suci dengan sendiri kepercayaan dan keyakinan para pekerja Mia, si Harisun terhadap penunggu itu dapat dileburkan, penunggu itu akan terus lari. Sekarang dah faham?"

"Iya kami faham," serentak kami menjawap.

Akibat terlalu lama duduk, seluruh sendi terasa lenguh dan sengal. Kami minta izin dari Haji Simpul untuk berjalan-jalan di ruang rumah. Permintaan kami diperkenankan.

Kami bergerak bebas sambil sesekali merenung keluar. Akhirnya, kami duduk baersimpuh di depan Haji Simpul kembali.

DUDUK

"Bagaimana? Dah hilang rasa lenguh."

"Lenguh dah hilang tapi, rasa sengal-sengal masih ada,” saya jawap sambil tersengih. Andi Kamarool sudah duduk bersila terus sambil memicit-micit pangkal pehanya berkali-kali. Semua gerak-gerinya dalam perhatian Haji Simpul.

"Berat juga syaratnya. Susah kerjanya tuan haji," kata saya memberi komentar. Saya lihat Haji Simpul tersenyum.

"Didalam dunia ini, mencari kebaikan dan membuat kebajikan bukannya mudah. Mesti keras semangat, tabah dan yakin," balas Haji Simpul.

Dan Andi Kamarool buat tidak kisah dengan apa yang diungkapkan oleh Haji Simpul. Pada hal kata-kata yang dihamburkan itu memang ditujukan khas untuknya. Dia tetap seperti tadi terus memicit-micit pangkal pehanya.

"Cara kedua macam mana?" susul saya lagi.

Haji Simpul gosok pangkal hidung dua tiga kali. Dia merenung ke arah saya sambil mengecilkan (seperti hujung mata kanannya).

"Huh..." keluhnya sambil membesarkan sepasang mata. Dia merenung ke siling rumah sebelum merenung ke arah saya untuk kesekian kalinya. Sudah tentu perbuatan Haji Simpul itu menimbulkan keresahan pada saya.

"Kau memang tak sabar, kalau kau tak tanya pun, aku tetap terangkan."

Saya jadi tersipu-sipu dengan kata-kata yang terpancut dari kelopak bibir Haji Simpul. Andi kamarool menghadiahkan senyum sinis sambil pura-pura batuk. Saya menarik nafas dalam-dalam.

Sebelum memulakan penerangancara (syarat) kedua, haji Simpul menggeliat, macam orang baru bangun tidur.

Seperti tadi juga, dia terus merenung syiling rumah, macam ada sesuatu yang dilihatnya di situ. Di luar, panas terik terus berkuasa. Tetapi, didada langit kelihatan awan bertompok putih bertukar menjadi tompok-tompok hitam.

"Ada tanda nak hujan,” kata Haji Simpul.

Saya dan Andi Kamarool merenung ke dada langit, Tompok-tompok hitam itu, bergerak agak lemah ke arah selatan.

"Cuaca elok, panas terik. Awan pula bertompok hitam," rungut Haji Simpul. Serentak kami anggukkan kepala, mengiakan kata-kata Haji Simpul.

"Mudah-mudahan hujan tak jadi," jawap saya.

"Aku pun harap hujan pun lambat, boleh jadi pada sebelah petang atau sebelah malam."

Saya kira, apa yang Haji Simpul ungkapkan adalah berlandaskan pengalaman silamnya. Semua yang dilalui dan dirasainya dikutip dan disimpan dalam khazanah diri.

Ia dimanafaatkan bila diperlukan tanpa mengira waktu dan masa. Perkara yang patut dicontohi dari Haji Simpul.

Perlahan-lahan saya menghela nafas panjang dan Andi Kamarool terus merenung dedaun yang bergerak disentuh angin. Buat beberapa detik, suasana dalam rumah terlalu sepi.

"Cara kedua, tuan haji," saya memecah kesunyian.

Haji Simpul memperkemaskan silanya. Seluruh perhatian kami tertumpu kearahnya. Tidak terkedip kelopak mata merenung batang hidungnya.

"Cara kedua..." Haji Simpul tidaj melanjutkan kata-kata.

Kami jadi resah. Hamper dua tiga minit masa terbuang begitu saja. Dia bagaikan tidak berminat untuk menyambung kata-kata yang terhenti.

"Huhh..." saya mengeluh lemah.

"Kamu resah Tamar?"

Saya tidak menjawap. Memang saya sudah duga, Haji Simpul menyambung perkataan yang terputus.

"Setelah menikah dengannya, tinggal tempat itu. Tetapi, cara itu merugikan, tanah dan rumah terbiar, sedangkan syaitan penunggu yang mahu dihalau, tidak mahu lari. Dia sudah dapat pendamping baru."

"Siapa pendamping barunya tuan haji?" mendadak saya bertanya.

"Harisun."

Saya dan Andi Kamarool saling berpandangan.

Cerita yang diluahkan oleh Haji Simpul membuat kening dan dahi Andi Kamarool berkerut. Hati saya mula digoncang keresahan. Saya kira jalan penyelesaian suduh tertutup. Rumah batu dan Mia harus dilupakan. Saya kira Andi Kamarool tidak bersedia melakukannya.

"Bagaimana, kalau rumah batu dan tanah dijadikan tempat beribadat dan diwakafkan?" saya bertanya lagi.

Wajah Andi Kamarool dihiasi senyum. Ibu jarinya ditegakkan kearah saya. Dia bersetuju dan memuji pertanyaan yang saya hamburkan. Sokongan moral yang diberikan membuat saya lebih bersemangat untuk menghujani Haji Simpul dengan pelbagai pertanyaan.

"Boleh Tamar tapi..."

"Tapi, apa tuan haji?"

"Kena usaha menghalaunya dulu, kalau diwakafkan dengan tidak menghalaunya, memang kerja sia-sia. Nanti tak ada orang yang mahu datang ke situ, rumah terbiar, tanah jadi hutan. Kalau dijual pun, tak ada orang yang mahu membelinya," terang Haji Simpul.

TINGKAP

Dia segera bangun. Berjalan ke arah tingkap dan berdiri sebentar di situ. Pepohon dan bebunga yang berkembang di halaman ditatapnya seketika. Dada langit yang digayuti awan hitam juga direnungnya. Haji Simpul kembali duduk bersila di hadapan kami.

"Pelik, semua yang didengar dan dilihat. Pelik belaka," saya merungut sendirian.

"Didalam dunia ini, tak ada yang pelik. Kalau Allah mengizinkan, semuanya boleh terjadi," Haji Simpul mendengar rungutan dan terus memberi komentarnya.

"Kenapa datuk nenek Mia membuat perkara yang menyusahkan cucunya?"

"Sebabnya mudah sekali, masa itu mereka kurang memahami ajaran Islam yang sebenar, mereka lebih yaking dengan pertolongan makhluk ghaib."

"Salahnya, orang yang tahu tentang ugama tidak mahu menunjukkan jalan yang benar. Biasanya orang yang tahu tentang ugama sombong, terlalu memandang rendah pada orang yang tidak tahu jahil. Semua perkara kurafat dan karut ini, berpunca dari alim ulama juga," saya tidak bermaksud mahu membahaskan perkara tersebut, semuanya terjadi secara kebetulan.

"Aku setuju pendapat kamu tu, Tamar."

Dengan wajah yang ramah Haji Simpul menerima pandangan saya. Andi Kamarool tetap seperti tadi, membisu semacam. Barangkali dia sedang mencari rumusan yang terbaik untuk dirinya.

Mungkin salah satu syarat yang diungkapkan oleh Haji Simpul mampu dipenuhinya. Saya tahu kasihnya terhadap Mia terus membuak tetapi, melepaskan Mia dari penunggu rumah batu bukanlah satu tugas yang mudah. Terlalu banyak liku yang harus dilalui.

Apakah Andi Kamarool bersedia melakukannya. Muka Andi Kamarool yang keresahan saya tatap.

"Bagaimana, kamu bersedia?” Haji Simpul menghalakan pertanyaan kepada Andi Kamarool.

"Saya bersedia tuan haji."

Jawapan itu mengejutkan saya. Sukar rasa mempercayai yang kata-kata itu terpancut dari kelopak bibir Andi Kamarool.

"Kamu pilih yang mana, pertama, kedua dan ketiga’” Haji Simpul minta kepastian.

Mulut Andi kamarool terlopong, sukar untuknya meluahkan sebuah kepastian.

Lagi sekali saya lihat kening Andi Kamarool berkerut dan dahinya berkedut. Andainya, dia minta pendapat saya, sudah tentu saya menyarankan kepadanya begini, segeralah menikah dengan Mia, kemudian berhijrah di tempat lain. Sesungguh saya juga akan berbuat demikian, jika berpeluang memiliki Mia.

"Bagaimana? Boleh bagi tahu cara mana yang kamu pilih?"

Saya tersentak, nada suara Haji Simpul cukup keras kali ini.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 183/284

BACA: SBDJSiri 182: Jadi Hamba Iblis
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Wednesday, October 26, 2022

SBDJ Siri 182: Jadi Hamba Iblis

SBDJ Siri 182: Jadi Hamba Iblis

Kerana Andi Kamarool lambat menyambung percakapan yang terputus, keresahan datang dalam diri saya. Rupa-rupanya keresahan yang sama juga dialami oleh Mia. Buktinya, dia tidak dapat duduk dengan aman. Sering saja mengaru-garu pangkal leher dan meraba hujung bajunya.

Toyol jadi-jadian


"Andi," saya bersuara.

Dengan segera Andi Kamarool mengangkat tangan kanannya, memberi isyarat supaya diam. Jangan campur dalam urusannya. Lebih tetap dia menyuruh saya membantu. Mia hanya memperhatikan saja gerak-geri Andi Kamarool.

"Kami berdua ada rancangan nak berjalan-jalan di kawasan kampong, di hujung ladang Mia. Kami nak berkenalan dengan penduduk se tempat," Andi Kamarool berhenti bercakap.

Dia senyum pada saya dan Mia.

"Kali ini, biar aku dan Tamar makan di luar," sambung Andi Kamarool.

Saya anggukkan kepala, setuju dengan apa yang dituturkan oleh Andi Kamarool itu.

Mia tidak memperlihatkan reaksi yang negative. Dia nampak bersahaja menerima kata-kata Andi Kamarool. Cuma hati saya saja yang cemas. Bimbang, kalau dia melenting dan menghalang.

"Eloklah tu, tapi hati-hati. Kalau kamu dengar komen orang kampung tentang aku dan rumah batu, jangan cakap apa-apa. Kamu berdua dengar saja," Mia meluahkan ingatan.

Kami segera mengangguk.

"Tapi jangan lupa makan malam di rumah aku," Mia kemukakan permintaan dalam senyum penuh kemesraan.

Angin yang berlegar di ruang tamu menggerakkan anak rambutnya yang terjuntai di cuping telinga kiri.

"Begini Mia," Andi Kamarool membetulkan duduknya, biar selesa dan seronok, begitu jugak saya.

"Apa lagi Andi?" Mia bertanya.

"Terlanjur dah keluar dari ladang kamu, kami nak beli barang untuk makan malam," dalam nada suara keyakinan saya meluahkan kata-kata.

Sesungguhnya, saya sendiri tidak menduga boleh berbuat begitu. Semuanya tidak dirancang, keluardari mulut secara spontan.

"Maksud kamu, mahu masak sendiri," Mia menghalakan sepasang biji matanya ke wajah saya.

"Nampaknya begitulah Mia. Kami juga nak bersembahyang berjemaah Maghrib dan Isyaak dengan orang kampong," Andi yang menyelamatkan keadaan.

Rasa terkejut terbayang di muka Mia. Dia merenung kosong kearah ruang dapur. Macam ada sesuatu yang bermain dalam tempurung kepalanya. Dia senyum sinis.

"Agaknya nak tukar selera, nak makan masakan sendiri. Maklumlah dah kerap sangat makan masakan aku, terasa juga jemunya," Mia bagaikan menyindir.

Saya dan Andi hanya mampu tersenyum, tidak mahu memberikan sebarang komentar.

"Aku, harap rancangan kamu dapat berjalan dengan lancar," tambah Mia, dia segera berpusing menuju ke ambang pintu.

"Aku balik dulu, hati-hati masa berjalan dalam kawasan kampong orang," Mia mengingatkan lagi.

Dia pun melangkah menuruni anak tangga. Kami juga turut berbuat demikian, tetapi setakat kaki tangga sahaja. Mia pun melangkah pulang, berlenggang penuh sopan.

RANCANGAN

Kira kita jam sepuluh pagi, kami tinggalkan rumah papan menuju ke arah selatan ladang milik Mia.

Setelah melepasi pintu pagar yang tidak berkunci, kami memasuki kawasan tanah paya yang menjadi sempadan antara tanah kampong dengan kawasan ladang peninggalan arwah orang tua Mia.

Lebih kurang setengah jam perjalanan, akhirnya kami sampai kekawasan pinggir kampong. Dari situ, kami melalui jalan tanah merah yang agak sunyi.

Kiri kanan jalan penuh dengan pokok-pokok getah. Bila sampai kekawasan perumahan, suasana terasa agak sibuk, kelihatan ada para penduduk menebas kawasan rumah yang kebanyakannya ditanam dengan pokok-pokok buah-buahan seperti betik, rambutan, ciku dan sebagainya.

Semua orang yang ditemui, sama ada yang berjalan kaki atau naik basikal semuanya ringan mulut. Mudah memberi salam dan menegur sapa.

"Mahu ke mana?"

Tegur seorang lelaki yang berusia sekitar enam puluhan, dibahunya ada seberkas kayu. Parang terselit di pinggang. Dia seperti baru balik dari kebun buah-buahan.

"Kami nak cari rumah Haji Simpul," saya menjawap.

Orang tua itu menurunkan berkas kayu dari bahu, disandarkan pada pangkal pokok ketapang. Dengan secebis kain (yang sukar diteka warnanya kerana sudah lusuh) dia menyapu peluh di dahi.

Dia memperkenalkan dirinya sebagai Lebai Saad. Kami pun beritahu nama kami kepadanya.

"Kamu berdua orang luar?"

Serentak kami anggukkan kepala.

"Begitulah selalunya, orang luar datang ke sini suka sangat mencari Haji Simpul. Nama dan kebolehannya tersebar di mana-mana. Pada kami dia cuma orang tua biasa saja," katanya sambil mengajak kami duduk atas tunggul kayu.

"Apa hal nak jumpa dia?"

"Tak ada apa-apa, saja nak jumpa,” kata Andi Kamarool.

"Ikut jalan ni keutara, kamu jumpa dua deret kedai papan, kamu jalan lagi hingga kamu jumpa sebuah rumah di hujung kampong, berdinding tepas, beratap rumbia. Itulah rumah Haji Simpul," dengan nada suara yang bersahaja Lebai Saad memberi petunjuk.

"Terima kasih, Pak Lebai," kata saya.

"Sama-sama kasih, selamat jalan."

Kami segera bersalaman dan meneruskan langkah.

Semasa sampai di halaman rumah Haji salaim, kami dapati daun pintu rumahnya tertutup rapat. Tetapi, tingkap terbuka luas, suara orang membaca Quran jelas kedengaran.

Berhampiran tangga terdapat sebuah basikal tua. Saya terus memberi salam. Gembira sekali, bila salam yang diberi menerima jawapan.

TEGAP

Daun pintu terkuak, seorang gadis sunti dalam lingkungan usia 12-13 tahun muncul dipintu, memakai tuding.

"Haji ada di rumah?" saya bertanya.

"Ada," si gadis menghilangkan diri.

Tempatnya segera diganti oleh seorang lelaki tua, memakai serban, janggutnya putih sampai kedada. Kelihatan tegap dan sasa.

"Sila masuk."

Kami masuk ke perut rumah. Duduk bersila atas tikar mengkuang. Orang tua itu memanggil gadis sunti suruh masak air.

"Ini piut saya," sambil memegang hujung serban, orang itu bersuara.

Macam tadi, kami anggukkan kepala. Ekor mata saya mengawasi setiap sudut ruang. Semuanya menyenangkan.

"Kamu berdua orang luar?"

"Iya, Tuan Haji," jawap Andi Kamarool.

Saya sudah memutuskan setiap pertanyaan yang diajukan oleh Haji Simpul akan dijawap oleh Andi Kamarool. Saya mahu membisu.

"Dari ladang arwah orang tua Mia?"

"Iya, Tuan Haji."

"Kenapa tak ikut jalan raya? Ikut jalan raya lagi dekat. Tak sampai sepuluh minit dah sampai kesini."

Tiada jawapan yang dihamburkan oleh Andi Kamarool. Dia merenung ke arah saya, seolah-olah meminta bantuan. Kerana saya sudah memutuskan mahu mendengar sahaja, jadi saya buat tak kisah dengan renungan itu.

Andi Kamarool garu cuping telinga tiga kali berturut-turut, sebagai isyarat saya menjawap pertanyaan Haji Simpul. Saya gelengkan kepala, tidak bersedia untuk masuk campur.

"Kerana tak ada orang yang nak beritahu, jadi kamu berdua main redah saja," Haji Simpul mengakhiri ungkapan dengan senyum sinis.

"Iya," cepat Andi Kamarool menyahut.

"Kenapa kau orang tak tanya Harisun orang gaji Mia, dia tahu jalan pintas. Ikut jalan pintas, lagi pintas lagi cepat."

"Dia tak suka kami jumpa Tuan Haji," tidak semena-mena saya ikut campur. Melanggar janji dan azam sendiri.

Haji Simpul tersenyum lagi. Tidak memberikan sebarang komentar.

"Silapnya kerana kami tak bertanya," Andi Kamarool seperti membela Kak Sun.

"Ohh..." sahut Haji Simpul separuh keras. Matanya tertumpu ke arah kami berdua.

TENTANG

Memang saya tidak berdaya menentang biji mata Haji Simpul, sinar matanya saya rasakan menusuk kalbu. Gerak anak mata hitamnya bagaikan membaca rahsia diri.

Pepohon manggis yang tumbuh di kiri kanan rumah membekalkan rasa sejuk, meskipun matahari memancar keras. Bayangkan, berapa panasnya bahang matahari jam sebelas pagi.

Si gadis sunti datang meletakkan tiga cawan kopi hitam didepan kami. Saya mengambil kesempatan melemparkan pandangan keluar menerusi jendela. Si gadis sunti meninggalkan ruang tamu.

"Sila minum," pelawa Haji Simpul.

"Terima kasih," kata saya.

"Terima kasih," kata Andi Kamarool.

Serentak kami angkat cawan dan serentak pula meneguk kopi hitam. Rasa pahitnya bagaikan lekat di tekak. Sepat-cepat saya letakkan cawan. Tidak bersedia untuk menghirup kali kedua.

"Kopi pahit, baik untuk tubuh. Dapat mengelakkan kencing manis. Tapi, kalau minum berlebihan boleh menyebabkan sakit kepala. Kopi yang kamu minum, kopi asli," mungkin kata-kata yang terpancut dari mulut Haji Simpul, akibat melihat wajah kami yang berkerut menelan air kopi yang dibuat oleh piutnya.

"Minumlah lagi," desak Haji Simpul.

Kami berdua jadi serba salah. Menolak tanda kurang sopan, diminum pahitnya bukan kepalang.

Saya dan Andi Kamarool saling berpandangan, saling bertukar senyum pahit. Diantara saya dan Andi Kamarool, siapakah yang terlebih dahulu menghirup kopi untuk kali kedua.

"Minumlah, apa segan-segan pula," Haji Simpul terus mendesak.

"Iya, kami minum," balas kami serentak.

Serentak dengan itu juga, kami terus menelan kopi hitam yang pahit. Tetapi, kali ini kami berusaha agar wajah tidak berkerut. Tidak rela kelemahan diri dikesan oleh Haji Simpul bagi kali kedua.

"Bagus, mula-mula saja rasa pahit, lepas tu terasa sedap. Kita mesti minum air yang ada khasiat."

"Iya, Tuan Haji, cakap Tuan Haji tu memang betul," balas saya sambil menelan air liur untuk menghilangkan rasa pahit ditekak.

Andi Kamarool tersenyum pahit, buah halkumnya nampak bergerak-gerak.

Haji Simpul terus menghabiskan sisa air kopi di cawannya. Dengan perlahan-lahan dia meletakkan cawan kopi dilantai. Jejari kanannya mengurut badan cawan beberapa kali. Dia nampak macam resah saja.

"Kamu ada hubungan keluarga dengan orang tua Mia?" Biji mata Haji Simpul tertumbuk ke wajah Andi Kamarool.

"Tidak kira dari sebelah mana. Samada dari sebelah ibu atau ayah," sambung Haji Simpul.

Dengan sedaya upaya dia berusaha agar biji matanya bertembung dengan biji mata Andi Kamarool, kelopak matanya tidak berkedip.

Andi Kamarool cuba mengelak. Dengan secara mendadak saja, Haji Simpul menjatuhkan telapak tangan kiri ke atas bahu kanan Andi Kamarool. Jari-jarinya memegang erat tulang bahu Andi Kamarool.

"Kamu ada hubungan keluarga?" soalnya lagi.

Andi Kamarool gelengkan kepala.

"Betul, tak ada hubungan keluarga?" dia minta sebuah kepastian yang jitu.

Bahu kanan Andi Kamarool digoncangkan berkali-kali. Wajah Andi Kamarool segera menjadi kemerah-merahan. Dahinya mula ditumbuhi peluh-peluh halus.

"Ada hubungan keluarga?" untuk sekian kali, pertanyaan yang hampir diulangi.

Andi Kamarool bagaikan terpukau, tidak boleh bersuara. Dia hanya menggelengkan kepala.

"Haiiiiiii..." Haji Simpul bagaikan mengeluh.

Dengan serta merta jari jemari yang menyentuh bahu Andi Kamarool diangkat. Selepas itu, tidak ada tindak tanduk atau tutur kata yang terhambur dari mulut Haji Simpul.

SEPI

Suasana terasa sepi. Saya mengigit bibir, Andi Kamarool menggaru pangkal leher beberapa kali. Semuanya yang kami lakukan adalah untuk menghilangkan keresahan.

"Sebenarnya si Harisun banyak bercerita tentang kamu berdua pada aku. Dia mencurigai keikhlasan dan kejujuran kamu," nada suara Haji Simpul yang bersahaja memecahkan kesepian.

Kami tersentak, tidak menduga begitu tanggapan Kak Sun kepada kami. Haji Simpul menarik dan melepaskan nafas dengan tenang.

Dalam suasana yang agak tegang itu, terdengar kicau dan kokok ayam dalam cuaca panas yang kian menyengat.

"Tuan, haji..." Andi Kamarool tidak meneruskan percakapan.

"Katakan, apa yang mahu kamu katakan. Aku bersedia mendengar," Haji Simpul memicit-micit pangkal lengan kanannya.

"Begini tuan haji..."

Andi Kamarool menyambung, "Siapa pun berhak merasa curiga. Bila ada orang luar yang tak dikenali datang tempat kita."

Haji Simpul tersenyum sambil anggukkan kepala tanpa berkata apa-apa.

"Apa hubungan Tuan Haji dengan Kak Sun?" saya bertanya.

Haji Simpul mengkedutkan kening. Macam ada sesuatu yang difikirkannya, sebelum meluahkan jawapan.

"Dia jiran sekampung, selalu datang ke rumah bila ada masaalah. Sekarang ini pun, dia dalam pengawasan aku. Semangatnya cukup lemah, macam ada sesuatu yang ditakuti dan dihormatinya. Dia sentiasa cemas."

Apa yang dituturkan oleh Haji Simpul membuat saya dan Andi kamarool membeliakkan biji mata. Berita baru yang sungguh mengejutkan. Hampir sama dengan apa yang kami lihat terjadi pada diri Kak Sun.

Bahu Andi Kamarool segera saya singgung. Dia menjerit dengan apa yang saya lakukan. Andi Kamarul mencuit kepala lutut saya dengan ibu jari yang bermaksud supaya bertenang.

"Kenapa dengan dia Tuan Haji?" susul Andi Kamarool.

Sebelum memberi jawapan, Haji Simpul melemparkan pandangan keluar rumah sejenak. Kemudian dia mengubah pandangan ke arah kami.

"Kalau aku tak terangkan, kamu berdua sudah tahu. Apa yang dibuatnya, kamu berdua sudah tahu. Apa yang dibuatnya kamu berdua dah tengok. Bukan begitu Tamar?" Haji Simpul merenung muka saya.

"Iya, Tuan Haji," jawap saya.

"Susah aku nak mengatasi masalahnya, sulit," perlahan benar nada suara Haji Simpul.

Dia kelihatan seperti berputus asa. Lutut kanannya segera di tegakkan. Telapak tangan kirinya, pun terdampar atas tempurung lutut kiri. Haji Simpul termenung panjang.

"Kesian Kak Sun, tak boleh dibiarkan dia berterusan begitu. Tuan Haji mesti tolongnya," secara sepontan saya bersuara.

"Aku juga berfikir macam tu," Haji Simpul memberi reaksi yang positif.

Tetapi, Andi kamarool terus termenung panjang. Barangkali, kurang setuju dengan saranan yang saya berikan.

"Kita harus bertindak," saya membakar semangat Haji Simpul.

"Iya, sekarang kita boleh mulakan. Orang yang boleh membantu dan menolong Harisun ialah kamu..." jari telunjuk Haji Simpul menuding ke arah Andi Kamarool.

Lagi sekali saya mengalami kejutan. Bijik mata Andi Kamarool bagaikan mahu tersembul. Mukanya berubah, dia mengalami kejutan yang hebat dari saya.

DIRI

"Saya tuan haji?" Mulut Andi Kamarool melopong.

"Iya, kamu orangnya," angguk Haji Simpul.

"Apa yang saya tahu, Tuan Haji."

"Ahhhhh...," Haji Simpul segera bangun.

Dia melangkah ke tingkap dan berdiri di situ, merenung dedaun pokok yang dipanggang matahari.

Saya hanya menelan air liur sambil mata merenung sisa air kopi yang berada di dasar cawan.

Mungkin kerana tidak selesa berdiri di tepi tingkap menyebabkan Haji Simpul kembali duduk bersila didepan kami.

Dia menghilangkan air kopi, melihat dari gerak-gerinya, ternyata Haji Simpul cuba mencari ketenangan dan keselesaan dalam dirinya.

Saya dengan Andi Kamarool tetap macam tadi, sekejap duduk bersila, sekejap melunjurkan sepasang kaki untuk menghilangkan rasa lenguh.

"Banyak perkara yang ada pada kamu Andi untuk menolong Mia dan Harisun. Barangkali kamu tak tahu semuanya itu atau kamu sengaja buat tak tahu," dengan hati-hati Haji Simpul mengungkap kata-kata.

Renungannya cukup lembut ke arah Andi Kamarool. Saya lihat Andi Kamarool makin bertambah bingung.

"Tuan Haji mempermain-mainkan saya?"

"Tidak, aku bercakap perkara yang benar."

"Saya tak tahu, kalau begini saya boleh jadi gila."

"Bertenang Andi, jangan mengelabah. Dengar cakap aku dulu," Haji Simpul terus menepuk-nepuk bahu Andi Kamarool dengan lembut. Penuh kemesraan.

Saya lihat Andi Kamarool menarik dan melepaskan nafas perlahan-lahan sambil merenung lantai. Dia sedang berusaha menenangkan perasaannya.

"Aku tahu apa yang kamu berdua rasa dan lihat di kawasan rumah Mia. Macam-macam benda pelik terjadi. Betul tak cakap aku ini, Tamar."

"Betul tuan haji."

"Satu lagi, aku nak bagi tahu kamu berdua, kebanyakan benda pelik yang terjadi itu, memang Mia tidak tahu. Tapi, Harisun tahu. Aku pernah pesan pada Harisun, suruh kau berdua datang jumpa aku. Itulah sebabnya aku tidak terkejut, bila kamu berdua datang jumpa aku,” penjelasan dari Haji Simpul membuat saya termenung panjang.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 182/284

BACA: SBDJ Siri 181: Rahsia Hujung Kampung
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Wednesday, July 27, 2022

SBDJ Siri 181: Rahsia Hujung Kampung

SBDJ Siri 181: Rahsia Hujung Kampung

Bila situasi tegang dapat diamankan, secara diplomasi Andi Kamarool menceritakan secara terperinci tentang apa yang saya alami malam tadi. Dan Andi Kamarool juga menceritakan bagaimana dirinya terbabit dalam kejadian itu.

Toyol jadi-jadian


"Memang sudah ditetapkan, Tamar seorang saja berdepan dengan pengawal rumah. Tetapi, semasa dia mahu menghubungi penunggu rumah secara ghaib, tiba-tiba saja dia seperti kena rasuk dan terus balik ke rumah. Dia kejutkan aku suruh sembahyang subuh, katanya hari sudah siang. Pada hal masa itu baru pukul dua pagi," Andi Kamarool mengulangi kisah yang saya lalui menjelang subuh.

"Kemudian apa terjadi?" Mia kelihatan tidak sabar.

"Aku tenteramkan perasaannya. Kemudian aku ajak dia kerumah batu lama. Masa aku dan Tamar mahu mengelilingi rumah batu lama, kami bertembung dengan Kak Sun. Dia menunggu kamu di pintu belakang," sambung Andi Kamarool.

"Tunggu aku? Kenapa dia tunggu aku?"

"Iya, tunggu kamu selesai hiaskan diri."

"Hias diri? Mahu kemana?" Mia seperti merungut.

"Nak pergi ke kubur di bawah pokok buluh. Kejadian selanjutnya seperti apa yang Tamar sebutkan tadi. Tak payahlah aku ulangi lagi, nanti kau marah pula Mia," Andi Kamarool berhenti bercakap. Dia menelan air liur.

"Ohhhhh..."

Mia seperti terkejut dan tidak mahu meneruskan kata-kata. Saya dan Andi Kamarool berpandangan. Nyanyian beburung pagi, di luar rumah, tidak menarik perhatian kami berdua, Mia menundukkan muka, merenung lantai.

Hampir lima minit berlalu, tiada sepatah perkataan yang terungkap dari mulut kami bertiga (Mia,saya dan Andi Kamarool). Suasana dalam ruang terasa amat sepi sekali.

Kalau ada jarum yang jatuh dapat didengar. Mia masih merenung lantai. Entah apa yang bermain dalam tempurung kepalanya. Entah apa tindakan selanjut yang bakal dilakukan Mia?

Apakah kemarahannya akan meletup dengan tiba-tiba. Mungkinkah dia akan menafikan apa yang dialaminya? Semua berkecamuk dalam kepala saya.

"Andi, Tamar..."

Serentak saya dan Andi Kamarool mengarahkan biji mata kewajah Mia. Perasaan saya tersentuh melihat air jernih bertakung di kelopak matanya dan mengalir membasahi cerun-cerun pipi. Kedua belah sayap bahu bergegar menahan sedu.

"Kenapa nangis, Mia?" tanya saya.

"Aku tak buat perkara yang kamu sebutkan tadi, Tamar."

"Tapi, aku tengok dengan mata kepala aku sendiri. Kamu melakukan nya Mia."

"Susah nak aku jelaskan, Tamar."

Saya segera merenung muka Andi Kamarool. Dengan memberi isyarat mata, saya minta Andi Kamarool membantu.

"Lupakan semua yang berlaku Mia," Andi Kamarool cubamenenangkan keadaan. Dengan jarijemari kanan, Mia mengesat air mata yang mengalir lembut di pipi.

"Inilah masaalah yang aku hadapi. Beberapa orang pekerja pernah melihat aku berjalan malam, sedangkan aku tidak melakukannya. Ada macam-macam cerita yang menakutkan tentang aku. Padahal aku tak buat perkara macam itu," Mia menangis tersedu.

Bagi mengatasi situasi tersebut, Andi Kamarool memperlihatkan kematangan dan kesabarannya. Dia berjaya menjalankan peranannya dengan baik sekali, penuh sopan dan kelembutan. Tangisan Mia berjaya dileraikan.

"Kak Sun tak pernah cerita apa-apa kepada kamu?" Tanya Andi Kamarool sesudah Mia berjaya mengawal perasaannya.

"Tak pernah," Mia gelengkan kepala.

"Sedikit pun dia tak pernah cerita?" saya mencelah.

"Dia cuma kata..." Mia tidak meneruskan kata-kata.

Saya dan Andi Kamarool tidak mendesak. Kami ambil jalan mudah, kalau Mia meneruskan cerita kami bersyukur. Kalau dia tidak mahu, kami tidak akan memusuhinya.

"Dia cuma beritahu, pada malam tertentu dia akan membawa aku ke satu tempat," kami agak terkejut bila Mia bersedia menyambung cerita yang terputus.

"Perkara begini memang sudah lama dilakukannya," sambung Mia dengan nada suara yang terputus-putus.

Bila didesak, dia cuma kata, "Begini, lupakan saja perkara itu. Aku memang mengharapkan kedatangan kamu berdua supaya dapat mengatasi masalah yang aku hadapi," Mia buka rahsia diri.

"Haji Basilam tahu hal ini?" Andi Kamarool cungkil rahsia.

"Tak tahu, cuma Kak Sun seorang saja yang tahu."

Saya dan Andi kamarool termenung panjang mendengar cerita Mia itu. Semuanya serba menyulitkan.

BERNAUNG

Kami tidak boleh lagi bernaung di rumah papan. Kami harus berangkat. Semua yang kami buru semakin jauh. Semua usha yang dilakukan sering berdepan dengan kegagalan.

Tetapi, bila kami fakir tentang nasib Mia, rasanya tidak sampai hati untuk membiarkan dia sendirian menghadapi masaalah yang sungguh kusut itu.

"Begini saja Mia, jangan susah hati," Andi Kamarool cuba memujuk.

"Bila kami sampai di Sungai Penuh nanti, semua yang terjadi kami sampaikan kepada Haji Basilam dan datuk Tamar. Barangkali mereka boleh menolong."

"Tapi..." Mia menelan air liur.

"Aku tahu, kamu merasa serba salah kerana masalah tu tak pernah kamu ceritakan pada Haji Basilam ayah angkat kamu," Tambah Andi Kamarool.

Diluar sinar mentari kian keras, suara nyanyian beburung kian kurang. Tetapi, jeritan ungka di kaki bukit masih kedengaran sekali-sekala.

"Jadi, kamu berdua nak berangkat petang ni juga?" Biji mata Mia silih berganti menatap wajah saya dan Andi Kamarool. Dia bagaikan mohon simpati dan pertimbangan yang sewajarnya.

"Iya," jawab serentak kami berdua.

Mia segera menundukan kepalanya, merenung lantai. Angin pagi yang bertiup agak perlahan, menyentuh kulit pipi saya.

"Begini saja Andi, Tamar," Mia menganggukkan kepala.

Sepasang anak matanya yang lembut memanah wajah saya dan Andi Kamarool. Tentu, ada sesuatu mahu diperkatakannya, fikir saya.

"Apa dia Mia, cakaplah," kata saya sambil menggosok-gosok bibir yang tidak gatal. Andi Kamarool merenung kosong ke luar melalui jendela yang terdedah. Awan gemawan yang lembut, kelihatan bergerak perlahan-lahan.

Mia senyum pendek. Wajah saya direnung, mungkin nada suara lembut yang saya ungkap sebentar tadi, memberi petanda optimis kepadanya.

"Begini saja Tamar, kau dan Andi tidur semalam lagi disini. Pagi esok lepas sembahyang subuh kau orang bertolak, secara kebetulan pula subuh esok si Mandur nak bawa pala, cengkih dan hasil kebun yang lain ke Sungai Penuh. Kamu berdua boleh tumpang dia, naik lori."

"Apa fasal kamu beria-ia sungguh menahan kami supaya bermalam bermalam semalam disini?" tanya saya.

"Kamu nak suruh kami cari pengawal rumah batu lama tu, Mia."

Mia menarik nafas dalam-dalam. Ekornya menjeling tajam ke arah suasana di luar menerusi jendela yang terbuka luas.

"Aku tidak berniat macam tu. Bila kamu bertolak pagi esok, malam ini boleh aku sediakan nasi lemak atau pulut untuk bekal kamu berdua."

BIBIR

"Niat kamu baik Mia. Tapi, sulit untuk kami," balas saya.

Andi Kamarool anggukkan kepala. Setuju dengan apa yang saya luahkan. Tidak ada tindak balas dari Mia. Suasana dalam rumah papan lama terasa bungkam sekali.

Beberapa saat berlalu begitu saja. Tiada suara tiada bicara. Tiga insan dengan tiga persoalan yang berlainan. Mia segera saya jeling. Apakah tindakan selanjut yang bakal dilakukan.

Perlahan-lahan dia membasahkan kedua belah kelopak bibirnya dengan lidah. Dia bagaikan kecewa dengan ungkapan yang saya luahkan.

Andi Kamarool mengosok-gosok lantai papan dengan telapak tangan kirinya. Saya tak tahu kenapa Andi berbuat demikian. Tetapi, apa yang pasti, dia sedang memikirkan sesuatu.

"Apa yang sulit tu Tamar?" satu kejutan dari Mia. Dia minta sebuah kepastian.

"Aku fikir perkara itu tak sulit dan menimbulkan masalah. Cuma semalam sahaja, demi kebaikan kamu berdua," sambungnya tanpa memberi peluang untuk saya menindih hujah yang diajukan.

Tindakannya yang pantas, membuat saya hilang tumpuan. Saya bagaikan tergamam.

"Kalau itu hajat kau Mia, biarlah kami bermalam lagi disini. Subuh esok kami bertolak ke Sungai Penuh dengan lori pengangkutan barang," lagi sekali saya mengalami kejutan.

Andi Kamarool memberi kata putus tanpa berunding dengan saya. Ini sudah keterlaluan, saya perlihatkan rasa tidak puas hati dengan menumbuk lantai papan. Mia terperanjat.

"Jangan mudah naik darah, Tamar!"

Andi Kamarool jegilkan biji mata. Air mukanya berubah menjadi keruh.

"Humm..." saya mengeluh.

"Aku kira kamu setuju. Demi kebaikan kita berdua dan persahabatan dengan Mia, apa salahnya kita tunaikan permintaannya," bahu kanan saya segera ditepuk oleh Andi Kamarool.

Sinar matanya tidak sekeras tadi. Penuh kelembutan meminta simpati. Tindak-tanduk Andi Kamarool itu membuat saya berada dalam keadaan serba salah.

"Kamu setuju, Tamar!" Andi Kamarool bagaikan memaksa.

Saya terus membisu. Sukar untuk saya membuat keputusan. Kalau saya setuju, secara langsung memperlihatkan ketidak tegasan saya pada Mia. Kalau saya menolak, mungkin hubungan saya dengan Andi Kamarool kurang baik.

"Katakan yang kau setuju Tamar," sungguh mengejutkan bila Andi Kamarool mengungkapkan kembali kata-kata itu dalam keadaaan berbisik.

Demi persahabatan, saya anggukan kepala. Keriangan terpancar diwajah Andi Kamarool.

Tetapi, jauh disudut hati saya, berbunga perasaan kurang senang terhadap rakan karib yang pandai membuat keputusan sendiri, tanpa mahu berunding.

"Terima kasih Tamar," Mia renung saya.

"Berikan terima kasih tu pada Andi."

"Kamu marah lagi, Tamar," sahut Andi Kamarool.

"Tidak," kata saya tenang.

"Malam ni, kami mahu tidur saja, kami mahu rehat, tak mahu cari dan tak mahu fikir tentang penjaga rumah batu kamu," sambil menggeliat Andi Kamarool mengeluarkan ingatan.

Anak matanya terpaku ke wajah Mia.

"Aku tidak mengharap perkara itu."

"Jadi kamu mahu kami berehat," saya mencelah.

"Memang itu yang aku harapkan," tingkah Mia.

Ternyata Mia tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya. Harapannya berhasil menjadi kenyataan.

Namun begitu, sebagai manusia hati kecil saya disulami dengan pelbagai persoalan. Macam-macam saya fikirkan. Mungkin "bekal" yang diucapkan oleh Mia itu mempunyai maksud tertentu. Mungkin budi yang mahu dihulurkan adalah perangkap untuk kami.

"Mia," lagi sekali anak matanya saya tenung.

"Kenapa Tamar?"

"Kamu ikhlas mengajak kami."

"Iya," angguk Mia.

Saya tidak meneruskan pertanyaan. Dalam senyum, anak matanya yang jernih berada dalam anak mata saya. Saya merasakan ada keikhlasan dan kejujuran dalam kolam mata Mia.

"Kamu berdua sangsi dengan aku?"

"Kenapa kamu cakap macam itu Mia," sampuk Andi Kamarool gugup.

"Renungan Tamar, lain macam aje," balas Mia.

Kali ini renungan ditumpukan ke wajah Andi Kamarool yang sejak tadi cuma pasangkan telinga saja. Kenapa dia tak mahu pandang aku? Timbul pertanyaan dalam hati.

"Aku juga merasakan macam tu, gerak geri Tamar penuh dengan tandatanya," Andi Kamarool setuju dengan komen yang diluahkan oleh Mia. Keadaan saya benar-benar tersepit kini.

"Aku tak pernah sangsi, aku tak pernah bimbang dengan kamu Mia," saya bersuara perlahan sambil mengelengkan kepala.

Andi Kamarool tersenyum. Mia membetulkan anak rambutnya yang terjuntai di dahi.

"Pengakuan ikhlas dari Tamar. Kamu bagaimana Andi?" saya lihat sepasang anak mata Mia bercahaya ke arah Andi Kamarool.

"Aku juga macam Tamar, tak perna sangsi terhadap kamu."

Kami bertiga segera bertukar senyuman dan pandangan.

"Semuanya sudah terjawap, semuanya sudah selesai. Kalau begitu biar aku balik dulu," Mia terus bangun.

Tetapi, beberapa minit kemudian dia duduk bersila kembali. Tindak tanduk yang dilakukan oleh Mia menimbulkan tanda tanya dalam hati kami berdua.

"Kenapa Mia?" saya menyoal.

"Biar aku bersihkan cawan dan piring dulu."

"Tak payah, kami boleh basuh," Andi Kamarool melarang.

"Tak apalah," balas Mia selamba.

KUMPUL

Mia pun mengumpulkan, cawan dan piring, ditaruh atas talam. Dengan langkah yang teratur, dia menatang talam menuju ke ruang dapur.

Mungking kerana tidak ada apa-apa yang mahu diperkatakan Andi Kamarool segera bangun dan melangkah ke arah tingkap. Dia berdiri di situ melihat pepucuk kelapa yang melintuk liouk ditolak angin.

Saya segera meluruskan sepasang kaki sambil menyandarkan belakang pada dinding rumah.

"Dia ringan tulang, Andi."

"Siapa Tamar?" Andi Kamarool menoleh kearah saya.

"Mia."

"Hummmm. Aku juga berpendapat begitu Tamar."

Saya membengkok sepasang kaki, terus duduk bersila. Tetapi belakang masih melekap pada dinding. Bunya cawan dan piring berkaga jelas kedengaran di ruang dapur.

"Tapi, aku kurang senang dengan kamu, Andi."

Bagaikan kilat Andi Kamarool menerpa kearah saya dan terus duduk. Kami bertentangan wajah.

"Apa yang kau kurang senang dengan aku, Tamar."

"Perangai kamu."

"Kenapa dengan perangai aku, Tamar?"

"Kamu terlalu berlembut bila berdepan dengan Mia. Kamu selalu mengalah, suka mendengar cakapnya."

"Maksud kamu, Tamar?" Air muka Andi Kamarool nampak resah.

Sekejap dia gigit bibir, sekejap melagakan gigi atas dengan bawah. Sekejap renun ke tingkap, sekejap renungan ke dapur. Apa yang dibuat, semuanya tidak kena. Andi Kamarool benar-benar keresahan.

"Maksudnya," kata saya dengan tenang.

"Kerana Mia, kau paksa aku secara tak langsung supaya menunaikan permintaannya. Cara kamu menyakitkan hati."

Saya ledakan apa yang bergolak dalam batin selama ini. Andi Kamarool menggosok pangkal hidungnya dua tiga kali. Keresahan diwajahnya beransur kuran.

Dia tidak terkejut dengan apa yang saya luahkan. Senyum mula berlari dikelopak bibirnya. Saya tunduk merenung lantai.

Sinar matahari yang kian keras terus menerpa ke setiap sudut rumah. Keadaan luar bertambah panas, bahangnya tersa sehingga ke dalam rumah. Kicau burung langsung tiada kedengaran.

Tetapi, sekali terdengar suara "burung merbah tanah" memanggil anak mencari cacing pengisi perut. Hati saya berdebar menanti reaksi dari Andi Kamarool berhubung dengan kata-kata yang saya hamburkan sebentar tadi.

"Aku ada muslihat," tuturnya memecahkan kesepian.

"Muslihat apa? Muslihat mengenakan kawan, menguntungkan orang lain," sanggah saya. Nada suara agak keras sedikit.

"Tak semua muslihat dan rahsia mesti diceritakan atau dibawa berunding dengan kawan. Kalau kita fikirkan, muslihat itu menguntungkan kita boleh buat keputusan sendiri," kata Andi Kamarool sambil melunjurkan sepasang kakinya.

Kemudia dia menginsut ke pintu, merenung halaman rumah yang dimamah matahari.

"Apa muslihatnya?" sergah saya.

Andi Kamarool berpatah balik ke sisi saya.

"Bukankah kita merancang nak jumpa Haji Simpul, Tamar. Inilah peluang," gembira sekali nada suara Andi Kamarool.

Bahu kanan saya ditepukmya berkali-kali. Kelopak bibirnya mengukir senyum. Untuk kesekian kalinya wajah Andi Kamarool saya tatap.

"Bukan kerana permintaan Mia?" ulang saya.

"Tidak," Andi kamarool gelengkan kepala.

"Memang pada mulanya aku mahu menolak. Tetapi. Bila aku fikirkan dalam-dalam, tidak rugi memenuhi permintaannya. Ini peluang terbaik untuk kita berjumpa Haji Simpul," sambung Andi Kamarool lagi.

"Aku tak menduga sampai di situ," kata saya tenang.

MATI

Dialog selanjutnya terpasa dimatikan. Anak telinga kami menangkap bunyi telapak kaki Mia dari ruang dapur menuju ke ruang tengah.

Kami segera bangun. Masing-masing cari haluan sendiri. Saya berdiri dimuka pintu, pura-pura merenung rerumput di halaman.

Andi kamarool memilih jendela, pura pura melihat awan gemawan dan beburung yang terbang. Kami pura-pura buat tidak tahu yang Mia sudah berada di ruang tengah.

"Hai, dua-dua mengelamun. Satu jadi jaga pintu dan satu lagi teropong kapal terbang lalu," usik Mia.

Kami pura-pura terkejut besar dan segera berpaling ke arahnya. Serentak, kami mendekati Mia, hingga kedudukannya berada di tengah-tengah (dia antara saya dan Andi Kamarool).

"Terima kasih kerana tolong basuhkan cawan dan piring," Andi Kamarool mula bersuara sambil tersengih.

"Sepatutnya aku yang mengucapkan terima kasih kerana kamu berdua sudi menunaikan permintaan aku. Tengah hari ini makan di rumah aku."

"Tapi..." kami bersuara serentak.

Saya terpaksa mengalah untuk memberi laluan pada Andi Kamarool. Biar dia uruskan, barangkali dia dapat memberikan alasan yang bernas dan lojik.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 181/284

BACA: SBDJ Siri 180: Dirasuk Kucing Jantan
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Friday, July 08, 2022

 SBDJ Siri 180: Dirasuk Kucing Jantan

SBDJ Siri 180: Dirasuk Kucing Jantan

Bagi menghilangkan rasa cemas, saya menarik nafas dalam-dalam sambil memeluk tubuh penuh erat. Kedinginan membuat kelopak bibir bergetar. Dengan ekor mata saya jeling ke arah Andi Kamarool yang keresahan.

Toyol jadi-jadian

Adakah Andi Kamarool mahu berada di sini sehingga fajar pagi terbit di kaki langit? Suara batin terus bergema. Dan dalam keadaan yang seba tidak kena itu, perlahan-lahan saya dongakkan kepala, merenung langit yang cerah. Awan nampak bersih sekali, bintang bertaburan di manamana. Bulan sabit kian mengecil.

Saya segera berfikir, cara paling baik mengatasi masaalah yang dihadapi ialah dengan menyuarakan apa yang ada di dalam hati.

"Berapa lama kita harus berada disini Andi?" dalam keadaan separuh menggigil saya bertanya.

"Oh..." Andi Kamarool kerutkan kening. Tetapi sepasang anak mata nya masih menyorot ke rumpun bambu kuning.

"Aku tak tahan berdiri di sini lama-lama. Aku sejuk Andi," suara saya tertahan-tahan.

"Iya, aku juga macam kamu Tamar. Jadi apa yang mesti kita buat?"

"Kita balik saja Andi."

"Tapi, macam mana dengan Mia dan Kak Sun?"

"Pedulikan, mari kita balik Andi."

"Jum..."

Sebelum langkah pertama dimulakan untuk pulang kerumah papan, serentak saya dan Andi Kamarool membuang pandangan ke arah perdu buluh kuning yang diterangi cahaya lilin.

Mia begitu khusyuk menghadapi timbunan batu kubur. Kak Sun yang berdiri membelakangi Mia tersenyum sambil mengamit kami agar medekatinya.

"Jangan dekati dia Andi," bisik saya.

Andi Kamarool mengangguk. Tetapi Kak Sun, mengamit.

"Jangan pedulikan dan jangan kata apa-apa. Dia ada pendamping, sebab setiap kali aku kutuk dan maki hamun Kak Sun, macam ada sesuatu yang datang kacau aku. Ada masanya aku ditampar, ditolak, ditendang. Aku tak dapat kesan benda aneh tu," saya pegang tangan kanan Andi Kamarool.

"Aku faham Tamar."

"Mari kita balik, Andi."

"Jum..."

Dan perjalanan ke rumah papan diteruskan. Kami membelah kedinginan dinihari yang mencengkam tulang. Salakan anjing liar, suara burung hantu dan musang jalang terus memukul gegendang telinga kami.

Bayu dinihari yang bertiup lembut mengugurkan air embun yang terkumpul di hujung daun. Bila terkena kulit tubuh menambahkan lagi kedinginan.

Saya jadi marah dan meradang semacam, bila perjalanan dihalang oleh reranting yang bertaburan dipermukaan tanah.

Entah mengapa, hati saya cukup ghairah untuk mencapai secepat mungkin ke rumah papan. Saya benci dengan lolongan anjing liar, suara burung hantu dan musang jalang.

Suara binatang tersebut, saya rasakan seperti mengejek diri kami yang dipermainkan oleh Mia dan Kak Sun.

"Sabar Tamar," Andi Kamarool mengingatkan saya.

"Subhanallah..." kata saya.

Memang ganjil sekali, dalam kedinginan yang mencengkam itu, dahi dan muka saya berpeluh. Pokok di kiri kanan jalan yang tadi bergerak lemah disentuh angin, secara mendadak bergoyang dengan keras, macam ada tenaga yang mengoncangnya.

"Ahh..."

Saya terus melompat, beberapa ekor tikus berbulu kuning sebesar lengan melintas ke depan. Suara jeritannya boleh mengoyangkan gegendang telinga.

"Berhenti Tamar..." Andi Kamarool memaut bahu kanan dan langkah saya berhenti.

Bagi meghilangkan rasa berdebar, saya mengucap panjang sambil merenungke kaki langit. Ada cahaya kemerah-merahan mucul di situ, menandakan tidak lama lagi subuh akan menyapa penghuni maya.

"Beri laluan untuk mereka Tamar, bila mereka selesai bari kita pula jalan," tambah Andi Kamarool.

MULUT

Lebih dari sepuluh minit kami berdiri, memperhatikan kumpulan tikus kuning melintas. Bila berdepan dengan kami, kumpulan tikus itu menganga mult, memperlihatkan sepasang gigi siung yang tajam dan panjang, macam gigi singa laut di kutub utara.

Mata sebelah kanan buta dan maakala mata sebelah kiri berukuran sebesar bola pingpong memancarkan cahaya kebiruan-biruan. Suara jeritan kumpulan tikus cukup gamat menenggelamkan suara lolongan anjing, burung hantu dan musang jalang.

Perarakan tikus kuning itu diakhiri denagn tikus hitam yang besarnya hamper menyamai kucing hitam jantan. Muncungnya macam muncung babi.

"Dah habis, sekarang kita teruskan perjalanan," itu yang dibisikkan oleh Andi kamarool ke telinga. Arahannya, segera saya patuhi.

Langkah yang terbantut diteruskan semula. Kali ini, keadaan sungguh berlainan, tiada lagi kedengaran suara lolongan anjing, burung hantu dan musang jalang.

Suasana terasa amat sepi sekali. Langkah pun kami percpatkan. Cahaya merah di kaki langit, kian garang. Rasa dingin mula mengendur, tidak sehebat tadi.

Ketika kami sampai di kaki tangga rumah papan, terdengar kokok ayam bersahut-sahutan. Kerana masih percaya dan patuh dengan pesan orang tua-tua, sebelum memijak anak tangga bongsu, kedua belah telapak tangan kami basuh dengan air embun di hujung daun.

Dan kesan air embun yang masih ada di telapak tangan, kami sapukan ke muka serta kedua belah telinga. Kami segera naik ke rumah papan. Kerana keletihan, kami terus tertidur.

JELMA

Pagi itu, setelah menunaikan fardhu subuh kami tidur kembali. Kira-kira pukul tujuh setengah baru bangun. Badan terasa sihat dan segar.

Dan seperti pagi-pagi sebelumnya kami tetap menanti sarapan yang akan dibawa oleh kak Sun. Menjelang jam sembilan, sarapan yang diharapkan itu, tidak kunjung tiba.

"Tak payah tunggu Kak Sun Tamar, buat air kopi sendiri. Di dapur ada kopi, gula, ada air dan periuk," Andi Kamarool mengemukakan cadangan dan saya menerima tanpa sebarang bantahan.

Kami terus ke ruang dapur.

"Apa yang kita rasa ni, adalah akibat dari peristiwa malam tadi. Mia mogok masak untuk kita dan Kak Sun pula tak mahu datang ke sini," suara Andi Kamarool separuh lemah dari atas bendul.

Dia tersenyum melihat saya terkial-kial menghidupkan api di dapur.

"Ini baru amaran pertama, ada lagi akibat yang bakal kita terima. Mungkin lebih buruk dari ini Andi," balas saya tenang.

"Sebelum keadaan menjadi lebih buruk, ada baiknya kita tinggalkan tempat ini."

"Bila waktu nya Andi?" saya mendesak.

"Tengah hari atau sebelah petang."

"Aku setuju. Tapi, siapa nak beritahu Mia? Apa alasan yang nak kita beritahu dia. Aku tak mahu menganggap rancangan kita gagal, kerana itu kita cabut. Kita kena beri alasan yang cukup lojik, Andi," saya segera memasukkan kopi dan gula ke dalam kolei dan kemudian saya kacau perlahan-lahan.

Andi Kamarool termenung sejenak, dua tiga kali dia melagakan gigi bawah. Barangkali dia sedang mencari formula terbaru untuk menyelesaikan masaalah yang sedang dihadapi.

"Begini saja Tamar."

"Apa lagi Andi?"

"Kita sama-sama jumpa Mia."

"OK, aku setuju tapi..."

"Tapi apa lagi Tamar."

Adi Kamarool tidak jadi menghirup kopi. Cawan di letakkan kembali atas lantai. Matanya tidak berkedip merenung wajahsaya. Dia bagaikan tidak sabar menanti kata-kata yang bakal saya luahkan. Tentu sekali perasaannya berdebar cemas.

"Kita perlu jumpa Haji Simpul, orang tua yang disebut-sebut, Kak Sun pada kita tu. Dari orang tua itu, kita cuba korek rahsia diri dan keturunan Mia. Apa macam kau setuju tak?"

"Aku setuju Tamar, bila kita nak jumpa Haji Simpul?"

Andi Kamarool menggeleng-gelengkan kepalanya. Tidak setuju dengan rencana yang saya susun. Bagi menghilangkan rasa resah, saya menghirup kopi. Andi Kamarool juga berbuat seperti apa yang saya buat.

"Kenapa kamu tidak setuju Andi?"

"Ada baiknya, kita jumpa Haji Simpul dulu, sebelum kita jumpa Mia. Kemudian kita minta kepastian dari Mia, apakah cerita yang kita dapat dari Haji Simpul itu benar atau tidak."

"Iya, aku setuju dengan pendapat kamu tu, Andi."

Kami terus ketawa. Dan untuk kesekian kalinya, kopi terus kami teguk. Kerana saya sudah menyediakan air kopi, kerja-kerja untuk mengemaskan barang dan pakaian ke dalam beg menjadi tugas Andi Kamarool pula. Dan kini, masa untuk saya berehat pula.

MARAK

Sinar matahari pagi berebut-rebut masuk ke ruang tamu, setelah daun tingkap saya kuak. Terpaku saya di jendela mendengar kicau burung pagi. Aman rasanya mata dan hati melihat pohon yang menghijau.

Sinar matahari terus marak, beberapa orang pekerja Mia memikul cangkul dan pungkis melintas di depan rumah menuju ke ladang. Mereka tidak lokek mendermakan senyum untuk saya. Andi Kamarool terus bergelut dengan tugasnya.

"Aku harap datuk kamu dan Haji Basilam tidak ke mana-mana. Tetap menanti kita di Sungai Penuh," Andi Kamarool bersuara.

"Seingat aku, datuk jarang mungkir janji,” balas saya.

Dan perbualan kami mati di situ saja. Andi Kamarool kembali dengan tugasnya semula.

Sambil menikmati keindahan alam semula jadi, secara diam-diam saya sorot kembali tindakan yang telah kami lakukan. Apakah kami telah memilih jalan yang betul atau jalan yang salah, sehingga kami terperangkap dalam dilemma yang seba sulit ini?

"Andi, Andi buka pintu."

Bagaikan kilat saya menerpa kearah Andi Kamarool yang terhenti dari melipat pakaian. Kami saling berpandangan.

"Itu suara Mia," bisik Andi Kamarool.

"Iya, aku juga fikir begitu."

Kami kembali membisu. Kembali pandangan dengan seribu pertanyaan. Apa yang timbul dalam kepala saya ialah malapetaka. Mungkin kedatangan Mia dengan segumpal kemarahan yang meluap-luap.

"Pergi buka pintu, kalau kedatangan baik, kita sambut dengan baik. Kalau jahat kita sambut cara jahat. Kita harus bersedia menghadapi seribu kemungkinan," begitu bersemangat Andi Kamarool meluahkan kata-kata, mendorong saya melangkah ke pintu dan membukanya.

"Baru bangun tidur."

Mia tercegat di depan, menatang setalam mangkok untuk sarapan pagi. Dia kelihatan menarik sekali dengan rambut yang disisir rapi. Ada sekuntum bungah cempaka di celah rambut sebelah kiri.

Baju kebaya biru dengan kain putih amat cocok sekali dengan dirinya. Dia memang anggun.

"Kenapa tercegat, ambil lah talam ni."

Talam tembaga segera saya sambut.

"Berkemas?"

Saya anggukkan kepala.

"Mahu kemana?"

Pertanyaan itu tidak saya jawap. Walau bagaimanapun Mia tetap melangkah ke ruang tamu,. Andi Kamarool tercegat di situ menanti kedatangan Mia.

Wajah Mia yang ceria segera berubah menjadi keruh, bila melihat teko dan kesan air kopi di kolei yang tersadai di ruang tamu.

Dengan perlahan-lahan ekor matanya melirik tajam ke arah dua beg pakaian yang tersandar di sudut dinding.

Dan sambil meletakkan ke atas lantai, saya lihat bibir Mia bergerak-gerak. Macam ada sesuatu yang diperkatakannya.

"Kami ingat tadi, tak ada air dan kuih muih untuk kami, jadi kami pun buat kopi sendiri. Duduklah Mia, buat apa berdiri macam patung," lembut sekali nada suara Andi Kamarool.

"Terima kasih."

Mia terus duduk bersimpuh penuh sopan di sisi saya. Beberapa saat kemudian Andi Kamarool turut duduk. Kami bertiga (Mia berada di tengah) menghadapi hidangan.

SEMERBAK

Bau kopi asli yang harum semerbak berpadu dengan bau lepat pisang membuat saya hilang malu. Tanpa segan silu, tudung saji dari mengkuang segera saya buka.

"Kamu ini, memang tak sabar. Gelojoh sangat, tuan punya belum pelawa kau dah mulakan," Bisik Andi Kamarool.

"Kopi yang aku buat dengan air kopi yang Mia buat lain rasanya. Air tangan Mia, memang sedap," saya berjenaka.

Di tengah-tengah deraian ketawa Mia dan Andi Kamarool, saya terus mengunyah dan menelan lepat pisang. Air kopi panas yang wangi saya teguk. Tubuh terasa segar dan bertenaga.

"Bernafsu sungguh kamu makan Tamar, jangan lupa orang yang kemudian," kata Andi Kamarool, lalu saya sambut dengan senyum.

"Terlambat hantar, maafkan saya," Mia renung batang hidung Abdi Kamarool.

"Tak mengapa, bantuan dan pertolongan yang diberikan selama ini, rasanya tak dapat kami balas," sambil menjamah lepat pisang Andi Kamarool bersuara.

Kemudian dia menghirup kopi panas. Mia masih senyum dengan sepasang mata masih tertumpu pada dua beg di tepi dinding.

"Berkemas mahu ke mana Tamar, Andi?"

Pertanyaan yang sememangnya suda diduga. Tetapi, untuk memberi jawapannya memang sulit. Kerana tidak memperolehi jawapan segera, membuatkan anak mata Mja berputar kearah saya dan Andi Kamarool.

Hasil dari renungannya itu, membuat kami jadi serba salah. Antara saya dan Andi Kamarool saling bertukar pandangan.

"Mahu meninggalkan rumah ini."

Mia sendiri menemui jawapannya. Serentak kami anggukkan kepala, macam merpati jantan panggil merpati betina.

"Kami berdua nak jumpa datuk Tamar dan Haji Basilam," Andi Kamarool bersuara tunduk. Dia bagaikan tidak sanggup menatap muka Mia.

"Ke Sungai Penuh?" soal Mia.

"Betul Mia," balas saya.

Mia dongakkan muka merenung siling rumah. Kemudian meraba kuntum bunga cempaka di kepala yang kedudukannya sudah agak senget kekanan.

"Terlalu cepat, agaknya kamu dah jumpa penunggu rumah batu."

"Tak jumpa Mia, kami gagal," tutur saya kehampaan.

"Sepatutnya kamu berdua teruskan hingga berjaya, jangan cepat putus asa dan mudah mengalah."

Kata-kata yang terpancut dari kelopak bibir Mia, membuat saya dan Andi Kamarool menggigit bibir. Saya kira debar dada Andi Kamarool tidak sehebat debar di dada saya.

Sebenarnya, secara tidak langsung Mia mencabar kami. Saya dan Andi Kamarool terus membisu. Pertanyaan Mia tidak mendapat tindak balas dari kami.

"Malam tadi macam mana?"

Pertanyaan itu membuat saya tersentak. Mustahil Mia tak tahu apa yang berlaku malam tadi. Lantas saya membuat kesimpulan, Mia tahu tapi sengaja buat tak tahu.

"Kami gagal," sahut saya.

"Tak mahu diteruskan lagi?" soalnya serius.

"Tak mahu, kami dipermain-mainkan," sahut Andi Kamarool.

"Maksud kamu Andi?" sepasang bijik mata terbeliak menghala ke batang hidung Andi Kamarool.

Saya lihat Andi Kamarool resah. Barangkali dia terjerat dengan pertanyaan itu atau tidak mahu mengungkit-ungkit hal yang sudah berlalu kerana perbuatan itu boleh memalukan Mia.

"Cuba terangkan, aku tak faham Andi," Mia terus mendesak.

"Malam tadi, kamu menghias diri. Pergi kekubur lama di bawah pokok buluh kuning, apa kamu sudah lupa Mia? Kamu mahu mempermainkan kami."

Ungkapan yang saya luahkan itu membuat Mia terkejut. Dahinya berkerut dan wajahnya agak pucat. Andi Kamarool tunduk merenung lantai.

"Aku tak faham Tamar, kamu menuduh sebarangan saja," sanggah Mia.

"Malam tadi, kamu membalut tubuh dengan kain hitam, kamu mengelingi kubur berkali-kali. Kak Sun menemani kamu. Aku dan Andi tengok segala-galanya. Usah berdalih Mia, usahlah mempermain-mainkan aku dan Andi," semua yang bergolak dalam hati terus saya luahkan.

Andi kamarool membiarkan, dia seolah-olah tidak mahu membabitkan diri dalam situasi yang agak yang agak tegang ini.

"Aku tak buat perkara tu, Tamar," suara Mia meninggi. Dia mula memperlihatkan riak kemarahan dan terus melompak bagaikan harimau menerkam pelanduk.

Dalam sekelip mata Mia terus berdiri tercegat.

"Kamu jangan menuduh sebarangan Tamar," dia mula menjerit dan menghentak-hentak kakinya ke lantai.

Piring dan cawan yang ada didalam talam tembaga turut bergegar. Mia benar naik angin, gerak gerinya tangkas sekali, bagai seorang lelaki. Sifat gadis yang lembut terus hilang darinya.

"Mia, nanti dulu jangan melenting," Andi Kamarool segera bertindak dengan mendekati Mia.

"Kamu tak boleh menuduh sebarangan pada Mia, kamu harus bertanya dengan cara baik," sambung Andi Kamarool sambil melepaskan pandangan yang tajam terhadap saya.

Entah apa ilmu yang digunakan oleh Andi Kamarool, kemarahan Mia yang meluap segera menjadi sejuk. Dia nampak tenang dan duduk bersimpuh kembali.

"Maafkan Tamar, Mia..." pohon Andi Kamarool.

Mia anggukkan kepala.

Agar situasi menjadi aman, Andi Kamarool mengungkap kembali kisah-kisah lucu yang pernah dialaminya yang disampaikan secara berjenaka, membuat saya dan Mia ketawa terbahak-bahak.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 180/284

BACA: SBDJ Siri 179: Kain Hitam Pembalut Tubuh
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Monday, September 13, 2021

SBDJ Siri 179: Kain Hitam Pembalut Tubuh

SBDJ Siri 179: Kain Hitam Pembalut Tubuh

Selesai saja kata-kata itu diucapkan, bahu kanan saya ditumbuk dengan kuat sekali dan saya seperti tersentak. Bahagian bahu yang ditumbuk segera saya raba dan picit untuk menghilangkan rasa sengal-sengal.

"Tamar."

"Iya Andi."

"Kau tak dikuasai oleh apa-apa sekarang. Cuba lihat keadaan sekeliling kamu."

Toyol jadi-jadian

Permintaan Andi Kamarool tidak saya hampakan. Dengan sepasang mata, keadaan sekitar segera saya sorot dengan tenang.

Saya dapati suasana sekitar cukup sepi. Di padang yang luas, saya lihat ada kabus nipis, terdengar kokok ayam sayup-sayup.

Gegendang telinga dapat menangkap suara Andi Kamarool yang perlahan membaca beberapa potong ayat dari Al-Quran.

"Sekarang lebih kurang pukul dua pagi Tamar."

"Iya," kata saya perlahan.

"Untuk apa, kamu datang ke rumah batu lama?"

"Tadi, sebelum aku mengejutkan kamu, aku berjumpa dengan dua orang perempuan cantik, aku kira mereka berdua masih gadis lagi," saya sudah tidak terdaya menyimpan rahsia.

Andi Kamarool tidak terkejut dengan penjelasan itu.

"Salah seorang darinya mungkin Mia?" Andi Kamarool masih lagi menatap wajah saya tetapi, renungan kali ini lebih tajam. Dengan pantas saya menggelengkan kepala.

"Jadi, kau tak kenal langsung dengan mereka?"

"Iya, aku tak kenal langsung, Andi."

Buat beberapa ketika, Andi Kamarool termenung panjang, macam ada sesuatu yang diflkirkannya.

Dan dalam keadaan yang damai itu, terasa diri ini seperti dipermainkan oleh keadaan.

"Kita keliling rumah batu ni, Tamar."

Cadangan yang membuat bulu tengkuk saya tegak berdiri. Hati terasa cemas semacam.

"Buat apa Andi?"

"Jangan banyak fikir, jangan banyak tanya lagi. Ikut saja cakap aku."

Tangan saya segera ditarik oleh Andi Kamarool. Tidak ada pilihan lain, kecuali mengikut saja kemahuannya.

Dalam suasana dinihari yang dingin itu, kami pun memulakan langkah untuk mengelilingi rumah batu lama dari arah kiri dan kanan.

Ketika melintasi bahagian dapur, terdengar suara perempuan dan lelaki mengerang dan mengeluh seperti menahan rasa sakit yang amat sangat.

Berpandukan pada suara tersebut, saya dapat mengagak usia mereka sekitar tujuh puluhan lebih.

Dan secara spontan, saya teringatkan bilik misteri yang terdapat di bahagian ruang dapur rumah batu lama itu.

Mungkinkah suara itu suara datuk dan nenek Mia? Fikir saya dalam hati.

JUMPA

"Hai, dah jumpa dengan pengawal rumah batu?"

Serentak saya dan Andi Kamarool menoleh ke kanan. Kak Sun tercegat di bucu rumah batu dengan rambut mengerbang.

Sepasang matanya nampak kemerah-merahan. Merenung tajam ke arah saya. Andi Kamarool dan saya tergamam, tidak tahu dari arah mana Kak Sun datang.

Barangkali dia baru keluar dari ruang makan, saya membuat kesimpulan. Tetapi saya lihat pintu dapur bertutup rapat.

Andi Kamarool yang sudah dapat mengawal tergamamnya, begitu tenang menghadapi situasi yang saya kira agak gawat itu.

"Kak Sun bermalam di rumah batu?" Andi Kamarool mengemukakan pertanyaan. Kak Sun mengangguk.

"Sebilik dengan Mia?" tambah Andi Kamarool lagi.

"Tidak, dia di bilik atas, aku di bilik bawah," sambil bercakap mata Kak Sun merenung ke tingkat atas.

Dan secara tidak sengaja, saya dan Andi Kamarool mendonggakkan kepala ke tingkat atas.

Dari cahaya lampu bilik yang agak samar-samar itu, kelihatan bebayang manusia menyisir rambut.

"Itu, kalau tak silap saya, Mia," terkeluar ungkapan itu dari kelopak bibir saya.

Andi Kamarool tidak memberikan sebarang komentar tetapi, dia mengigit bibir.

"Memang benar kata kamu, Mia," sahut Kak Sun.

Aneh sungguh, sudah dinihari masih mahu menghias diri, kemana dia mahu pergi. Fikir saya dalam hati sambil mengerutkan kening.

"Mia belum tidur lagi, sekarang dah pukul dua lebih," Andi Kamarool segera melibatkan diri.

"Dia memang begitu, ada malam-malam tertentu dia terpaksa bangun pukul dua atau empat pagi.

"Masa itulah dia menghias diri dan memakai wangi-wangian dan aku selalu dipanggil tidur di rumah batu ni untuk menemaninya," penjelasan Kak Sun itu memaksa saya dan Andi Kamarool saling bertukar pandangan.

"Dia nak ke mana Kak Sun, berpakaian cantik waktu tengah malam. Mesti ada sesuatu yang tak kena pada dirinya Kak Sun," saya memberikan komentar ikhlas.

Tetapi, Andi Kamarool tidak gemar dengan komentar yang saya luahkan itu. Perkara itu dapat saya kesan dari kenyit matanya.

"Tamar!" sergah Kak Sun secara tiba-tiba.

"Kenapa perkara itu yang kamu tanyakan? Itu urusan dirinya. Dia nak bangun malam, dia nak menghias diri, itu urusan dia. Kamu sudah keterlaluan Tamar," duga Kak Sun marah dengan tiba-tiba.

Nada suaranya cukup tinggi, wajahnya nampak garang.

"Maafkan saya kak."

"Hisss..." katanya separuh hati.

Saya menarik nafas kesal sedangkan Andi Kamarool tunduk merenung bumi. Dingin dinihari menghimpit diri.

"Kak mengawasi kami," suara Andi Kamarool lembut sekali.

Saya tahu nada suara itu sengaja dilembutkan dengan harapan api kemarahan Kak Sun akan menurun. Dia nampak tenang dan selesa.

"Kak memang tak berhajat nak mengawasi kamu berdua Andi."

"Jadi untuk apa kak berada di sini?"

"Begini Andi. Aku cuma nak menemani Mia ke..." Kak Sun tidak meneruskan kata-kata.

Dia donggakkan muka ke tingkat atas. Mia masih menghias diri.

Angin yang bertiup lembut menambahkan lagi rasa sejuk. Kokok ayam sekali-sekala tetap kedengaran di sampingnya.

"Ke pangkal pokok buluh kuning," syukur Kak Mia tidak lagi menyimpan rasa marah terhadap saya.

"Di situ kubur datuk neneknya," celah Andi.

"Kenapa? Kamu takut?"

Andi Kamarool terdiam, saya menggigit bibir.

"Sejuk, embun dah jatuh atas kepala," Kak Sun seperti merungut, kemudian dia memeluk tubuhnya dengan erat untuk menghilangkan rasa dingin.

CAHAYA

Malam yang sudah beransur tua, membuat saya resah dan mula menggigil kedinginan. Kak Sun masih merenung ke arah bilik Mia yang masih diterangi cahaya lampu.

Dia bagaikan tidak ambil peduli dengan suara burung hantu, lolongan anjing liar dan desiran angin yang merempuh dedaun sekitar kawasan rumah. Bagi saya, suasana sedemikian amat menyeramkan.

"Bagi kak, apa yang dibuat oleh Mia adalah biasa. Setiap sepuluh, lima belas, dua puluh dan dua puluh lima haribulan Islam, dia mesti pergi ke kubur di perdu buluh kuning.

"Pukul tiga atau empat pagi, bila masuk waktu subuh baru dia balik," tambah Kak Sun lagi.

Penjelasan Kak Sun itu memang di luar dugaan. Saya mengalami kejutan yang amat hebat.

Dua tiga kali pangkal hidung saya gosok. Dua tiga kali air liur ditelan, rasa resah tidak juga berkurangan.

Andi Kamarool merenung suasana dinihari yang agak kelam, ada kabus nipis menguasai sekitar. Barangkali dia juga menghadapi keresahan seperti saya.

Memang tidak pernah terfikir dalam benak saya (mungkin juga Andi Kamarool) yang selama ini Mia melakukan kerja-kerja aneh dan pelik.

Memanglah, dia gadis yang diselubungi dengan seribu satu misteri.

Untuk sekian kalinya, saya merenung Andi Kamarool. Dia masih resah, memicit-micit kedua belah tangannya. Meraba-raba batang lehernya beberapa kali.

Apa yang dilakukan oleh Andi Kamarool kelihatan seperti serba tidak kena. Dingin dinihari kian hebat menghimpit tubuh, kabus nipis kelihatan di mana-mana.

Ketika pandangan diluahkan ke kaki langit, saya lihat bintang timur mula bangkit. Bayu yang berhembus lembut membawa suara solakan anjing liar.

Nyanyian burung hantu terus bersahut-sahutan, cukup rancak dan gempita sekali. Bau hamis harimau mula menusuk lubang hidung.

Kak Sun yang berdiri (di antara saya dan Andi Kamarool) cuba mengelak agar bahunya, tidak bersentuhan dengan tubuh saya dan Andi Kamarool.

Kami bertiga (saya, Kak Sun dan Andi Kamarool) berdiri sebaris tetapi, merenung ke arah yang tidak berlainan.

Kak Sun merenung ke arah rumpun buluh kuning, Andi Kamarool ke arah bucu dapur rumah batu lama dan pandangan atau renungan saya lebih berkecamuk lagi, sekejap merenung ke arah jendela bilik Mia di tingkat atas.

Sebenarnya, saya mahu melihat perkembangan Mia, apakah sudah menyisir rambut, dia akan membuka baju tidur untuk digantikan dengan baju yang baru. Tumpuan saya terganggu, macam ada sesuatu yang berlari di bumi.

"Ah! Binatang sial ni," itu yang terungkap di kelopak bibir saya.

Dengan biji mata yang terbeliak, saya melihat kemunculan beberapa ekor kucing hitam dengan sinar mata yang garang.

Cemas juga rasanya, bila kumpulan kucing itu mengiau sambil memperlihatkan siungnya yang tajam dan panjang.

Kemunculan kumpulan kucing hitam itu ternyata tidak menarik perhatian Kak Sun dan Andi Kamarool.

Nampaknya kumpulan kucing hitam itu lebih senang mengelilingi saya, tidak mahu mendekati Kak Sun atau Andi Kamarool.

"Kucing hitam Kak Sun," kata saya sambil merenung wajahnya.

Kak Sun tersenyum sambil menggaru pangkal telinga kiri. Setiap kali kepalanya bergerak, rambutnya juga ikut bergerak.

"Itu kucing peliharaan, jangan diapa-apakan dia, Tamar."

"lyalah, Kak" sahut saya separuh kesal sambil merenung ke arah Andi Kamarool.

Dia kelihatan bersahaja. Tidak kisah dengan kemunculan kumpulan kucing hitam itu, semuanya ini membuat saya tidak senang hati.

Memang saya tidak tahu, dari mana kumpulan kucing hitam itu muncul. Jumlahnya lebih dari tujuh ekor.

Ukuran atau bentuk tubuhnya lebih besar dari kucing Siam, hampir menyamai anak harimau yang baru belajar main ekor ibunya.

Kesemua kucing hitam ganjil itu terus mengelilingi saya dan ada ketikanya mengeselkan tubuh ke kaki. Bulu roma terus meremang dan seluruh sendi terasa lemah.

Saya terus angkat kepala merenung ke arah bilik tidur Mia di tingkat atas. Lampu biliknya sudah padam, langsir sudah dijatuhkan dan bau wangi menguasai sekitar kawasan kami berdiri.

Saya terdengar bunyi daun pintu dapur dibuka dan ditutup. Bila direnung ke situ tidak nampak pun kelibat manusia.

ANGKAT

Ke mana dia menghilang? Barangkali Mia sudah merebahkan tubuh di katil. Begitu saya membuat kesimpulan dan membayangkan bentuk tubuh Mia yang montok terkapar di katil tanpa pakaian.

Saya menelan air liur dan rasa ghairah yang tidak bertepi terus mengusai otak.

"Mia sudah menanti aku di situ."

Saya tersedar dari lamunan. Biji mata saya mengikuti arah yang ditunjuk oleh Kak Sun dengan jari telunjuknya, iaitu perdu buluh kuning.

Kami lihat ada beberapa batang lilin sedang memancarkan cahaya, menerangi sebahagian daripada kawasan di bawah rumpun buluh kuning, termasuk kuburan batu.

Di bahagian kepala kubur terdapat sebatang lilin besar yang diletakkan di atas batu besar dua pemeluk manusia dewasa.

Tidak tahu, siapa yang menyediakan dan menyalakan api lilin tersebut.

Angin dinihari yang lembut turut menggugurkan dedaun buluh yang kering, terdampar atas kubur batu.

Ternampak kelibat manusia yang bergerak dari bahagian kepala. Perbuatan itu diulangi sebanyak tujuh kali berturut-turut.

Manusia yang melakukan perbuatan itu menyalutkan seluruh tubuhnya dengan kain hitam.

Setelah selesai berjalan tujuh kaki (dari kaki ke kepala kubur), manusia yang berpakaian serba hitam berdiri tegak (di bahagian tengah kubur) menghadapi kubur misteri yang ditimbuni dengan bebatu sungai.

"Barangkali itu kelibat tubuh Mia, Andi," saya memberanikan diri bersuara.

"Aku juga fikir begitu."

"Perempuan apa dia ni, berani keluar malam ke kubur lama," komentar saya.

Lalu menatap wajah Kak Sun di sisi. Memang terdapat perubahan di wajahnya. Dia nampak bengis semacam.

"Barangkali ada sesuatu yang dicarinya. Boleh jadi dia menjalankan amanat datuk dan neneknya," Andi kamarool melahirkan pendapat.

"Itu urusan dia," sahut Kak Sun dengan nada suara yang suara yang cukup keras.

"Bukan urusan kamu. Aku nak beritahu kamu berdua, engkau orang tak berhak bertanya begitu, kau bukan kaum kerabatnya, kau tetamu dia, faham," sambung Kak Sun. Dia berang sungguh.

"Maafkan kami Kak," serentak kami bersuara.

Buat beberapa saat, Kak Sun terus membisu. Rasa marahnya masih belum hilang.

Saya dan Andi Kamarool saling berpandangan, menanti penuh sabar apa pula yang bakal Kak Sun luahkan. Pahit atau manis terpaksa kami terima.

"Aku juga nak beritahu kamu berdua," nada suaranya mula menurun, tidak sekeras tadi. Riak mukanya beransur cerah.

"Nak beritahu apa Kak?" saya yang ingin segera tahu terus menyoal.

Dan Kak Sun tidak terkejut dengan tindakan saya itu, tetapi Andi Kamarool kurang setuju dengan cara itu.

Mungkin pada hematnya, tindakan saya itu agak keterlaluan.

"Batalkan saja segala rancangan yang kau orang buat."

"Kenapa pula?" bentak Andi Kamarool.

"Pengawal rumah batu lama tu, tak ingin nak jumpa dengan kau orang berdua. Dia dah beritahu kak, kalau kau orang teruskan memang sia-sia. Tidak ada hasilnya."

Mendengar kata-kata itu darah saya tersirap. Rasa marah dan geram terhadap Kak Sun memuncak.

Barangkali, Kak Sun mempunyai maksud tertentu. Kalau tidak masakan dia bercakap begitu. Fikir saya.

"Apa hak Kak menahan kami. Mia sendiri menyuruh kami berusaha mencari pengawal rumah batu, sama ada secara batin atau lahiriah.

"Dalam hal ni, orang yang berhak menahan kami ialah Mia, dia tuan rumah dan pemilik tanah, bukannya Kak Sun," saya ledakkan kemarahan.

Rasa hormat terhadap Kak Sun mula luntur dan pudar di hati saya. Andi Kamarool menepuk bahu kanan saya dengan lembut. Dia menyuruh saya bersabar dan tenang.

Tetapi, apa yang pasti, Kak Sun tidak terkejut atau panik dengan sikap yang saya perlihatkan itu. Dia nampak bersahaja malah melemparkan senyum sinis ke arah saya.

"Kamu marahkan kak, Tamar?"

Saya terus membisu dan cuba menurunkan tahap kemarahan saya ke tahap normal.

Kalau tadi bahu kanan ditepuk lembut tetapi kali ini, Andi Kamarool mengurut belakang saya.

"Jangan hilang pertimbangan Tamar," bisik Andi Kamarool.

MELAMPAU

"Kamu sudah keterlaluan Tamar, kau sudah melampau," pekik Kak Sun sekuat hati, bergema membelah kedinginan dan kesepian dinihari. Saya tergamam dan Andi Kamarool tersintak.

"Kamu biadab, Tamar," kemarahan Kak Sun berulang kembali.

Dan pada ketika itu, saya terasa pangkal leher seperti dipegang oleh sepasang tangan yang kasar dan berbulu tebal.

Saya cuba menepis tetapi gagal. Pergelangan tangan disambar dan dipulas dan saya terus ditolak hingga jatuh tersungkur. Begitu juga dengan Andi Kamarool.

"Siapa yang menjatuhkan kita Tamar?"

"Makhluk ghaib Andi," sahut saya sambil merenung ke arah Kak Sun yang melihat saja kejadian tanpa mahu memberi pertolongan.

"Kak Sun celaka," kutuk saya dalam hati. Belum pun sempat bangun, mulut saya ditampar dengan kuat.

"Tamar, lihat tu."

Saya segera melihat ke arah yang ditunjuk oleh Andi Kamarool dengan jari telunjuknya. Apa yang kami lihat sungguh mencemaskan.

Tersergam di depan lembaga hitam yang tidak tentu rupa bentuknya. Tingginya bagaikan mencecah awan dan kakinya tidak pula menyentuh bumi. Bahagian kaki yang tidak terbuai-buai menyerupai kaki katak puru.

Bila saya berusaha mendongakkan muka untuk melihat wajah lembaga yang muncul seperti bayang-bayang itu, leher saya dipulas dari belakang dan sepasang tangan lebar yang berbulu menutup sepasang mata saya. Pandangan saya jadi gelap gelita.

Tidak memadai dengan itu, tubuh saya di humban ke bucu dapur rumah batu dan saya terpaksa merangkak untuk mendapatkan Andi Kamarool yang masih tersungkur tidak berapa jauh dari Kak Sun.

Dan lembaga yang menakutkan itu terus ghaib entah ke mana.

"Tak apalah Tamar, tak apalah Andi, aku tak boleh lama di sini. Selamat tinggal, lagi pun orang yang kau cari sudah datang. Selamat tinggal, Mia sudah lama menanti," dalam keadaan terpinga-pinga terdengar suara Kak Sun.

Kerana keadaan kami masih dalam pening-pening lalat, kami tidak begitu mengambil berat tentang kata-kata itu.

Dengan sisa tenaga yang ada, akhirnya saya dan Andi Kamarool berjaya berdiri dengan harapan dapat berdialog dengan Kak Sun tentang peristiwa yang baru berlaku.

Harapan saya dan Andi Kamarool tidak menjadi kenyataan. Kak Sun sudah pun beredar menuju ke arah Mia yang berada di bawah rumpun buluh kuning. Kami ditinggalkan dalam keadaan terpinga-pinga dan terkapai-kapai.

"Kak Sun mempermainkan-mainkan kita, Tamar," keluh Andi Kamarool dengan rasa kecewa.

Saya menggigit lidah kehampaan, tidak diduga sama sekali yang Kak Sun sanggup berbuat demikian.

Apakah maksud sebenar dari tindak-tanduknya itu? Betulkah dia mempunyai hubungan batin yang kental dengan penunggu rumah batu lama? Persoalan yang timbul secara mendadak itu sukar untuk dijawab.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 179/284

BACA: SBDJ Siri 178: Diburu Penunggu Rumah Lama
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-SENTIASAPANAS.COM