Saturday, October 01, 2016

6 Fakta Penting Ibu Bapa Perlu Tahu Tentang Rotavirus!

6 Fakta Penting Ibu Bapa Perlu Tahu Tentang Rotavirus!

Masalah kanak-kanak diserang cirit-birit adalah perkara biasa, tetapi awas kerana serangan cirit birit yang teruk mungkin petanda anak anda sebenarnya diserang jangkitan virus berbahaya yang dikenali sebagai Rotavirus.

Roda+Rotavirus

Apa itu Rotavirus? Apa punca jangkitan Rotavirus? Rotavirus mendapat namanya dari perkataan Latin rota yang bermaksud roda. Virus bahaya Rotavirus ini dinamakan sedemikian disebabkan bentuknya seperti roda.

Virus Rotavirus boleh menyebabkan suhu demam yang tinggi, cirit-birit dan juga kejang atau sakit perut yang berterusan.

Selepas dijangkiti Rotavirus, jangkitan ini biasanya mengambil jangka masa dua hari sebelum timbul gejala kepada kanak-kanak terbabit.

Sebagai ibu bapa yang mempunyai anak kecil, anda hendaklah memahami tentang bahaya Rotavirus supaya tindakan segera boleh diambil sekiranya anak diserang virus berbahaya Rotavirus yang boleh membawa maut ini.

1. Siapa Yang Berisiko Mendapat Serangan Rotavirus?

Hampir setiap kanak-kanak berusia lima tahun ke bawah mungkin pernah mengalami jangkitan virus Rotavirus ini dan lebih di kalangan usia tiga bulan hingga dua tahun. Jangkitan Rotavirus boleh dikenal pasti melalui pemeriksaan sampel najis.

Ada lima jenis Rotavirus tetapi Rotavirus A ialah penyebab utama sakit di kalangan kanak kanak.

Biasanya, setiap kali selepas terkena jangkitan Rotavirus, kanak-kanak terbabit mendapat imuniti. Oleh itu, kanak-kanak yang mendapat jangkitan Rotavirus tersebut untuk kali kedua mengalami kesan yang kurang daripada jangkitan Rotavirus kali pertama.

2. Apakah Gejala Yang Akan Dihadapi Oleh Pesakit Yang Dijangkiti Rotavirus?

Gejala Rotavirus adalah dehidrasi seperti letih, lesu, bibir dan lidah kering, tiada air mata ketika kanak-kanak menangis, cengkung kedua mata, ubun-ubun mencengkung ke dalam (pada bayi kecil) dan kekurangan air kencing.

3. Apa Kesan Serangan Rotavirus?

Masalah utama jangkitan Rotavirus ini ialah, ia boleh menyebabkan pesakit mendapat penyahidratan (kehilangan cecair atau bendalir badan) atau dehidrasi yang teruk sehingga menyebabkan kerosakan pada organ dalaman seperti buah pinggang.

Jika penyahidratan ini tidak dirawat dengan segera, ia boleh membawa maut disebabkan komplikasi kegagalan buah pinggang.

4. Bagaimana Cara Penyebaran Rotavirus?

Cara penyebaran rotavirus adalah melalui feco oral iaitu virus merebak melalui pendedahan daripada najis ke mulut kanak-kanak lain.

Sebagai contoh, ia berlaku jika seseorang menukar lampin bayi, terkena najis yang mengandungi Rotavirus pada tangan dan tidak membasuh tangan lalu memegang peralatan, permukaan atau makanan.

Sekiranya kanak-kanak lain menyentuh peralatan atau permukaan tersebut dengan tangannya dan selepas itu tangannya di masukkan ke dalam mulut, Rotavirus tersebut tersebar kepada kanak kanak itu.

Rotavirus boleh merebak melalui tangan, mainan kanak-kanak atau objek di persekitaran tercemar, pengambilan makanan atau minuman tercemar dan sentuhan pada permukaan tercemar.

Mereka yang mengendalikan lampin bayi perlu mencuci tangan selepas menukarnya manakala mainan kanak kanak serta peralatan di sekitarnya perlu sentiasa bersih dari Rotavirus.

5. Apakah Jenis Rawatan Yang Diperlukan Untuk Merawat Rotavirus?

Di Malaysia, jangkitan rotavirus adalah punca cirit-birit utama yang menyebabkan kanak-kanak memerlukan rawatan hospital dalam bentuk rawatan transfusi (memasukkan) air melalui saluran darah (intravena).

Kira kira 25 sehingga 50 peratus kes cirit-birit yang memerlukan kemasukkan wad berpunca dari Rotavirus.

Tiada rawatan khusus untuk membunuh Rotavirus tersebut dan rawatan lebih penting dalam memastikan pesakit yang mengalami sakit ini adalah mempunyai kandungan air yang mencukupi dalam badan untuk mengelakkan dehidrasi (kehilangan air dan garam galian yang teruk menerusi muntah dan cirit).

Untuk menpercepatkan penyembuhan anak daripada jangkitan Rotavirus, pastikan ibu bapa memberi anak minum air menggunakan sudu atau cawan sekerap mungkin jika muntah.

Selain itu, doktor akan memberikan rumusan minuman air garam (ORS) untuk mengelakkan dehidrasi.

Sekiranya mengalami dehidrasi yang teruk, pesakit Rotavirus memerlukan rawatan hospital dengan memberikan cecair melalui intravena.

6. Apakah Langkah Terbaik Mengelakkan Rotavirus?

Jangkitan Rotavirus sukar dibasmi sepenuhnya kerana mudah merebak. Beberapa kaedah pengawalan Rotavirus adalah pembasmian kuman di tempat permainan atau nurseri dengan kerap dan amalan kebersihan diri dengan mencuci tangan selepas menukar lampin atau pergi ke tandas.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (World Health Organisation, WHO) menyarankan pelalian imunisasi Rotavirus sebagai satu strategi pencegahan terhadap punca dan jangkitan Rotavirus.

Di Malaysia, walaupun tidak terdapat di dalam program imunisasi kebangsaan, vaksinasi terhadap jangkitan Rotavirus ini masih boleh di dapati di klinik atau hospital swasta.

Vaksinasi Rotavirus dalam bentuk cecair yang perlu diminum boleh diberi pada bayi seawal usia enam minggu. Terdapat dua jenis vaksin dalam pasaran iaitu pengambilan dua atau tiga dos.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Awas! Bahaya Penyakit Akibat Cakaran Kucing

Sumber: majalahpama

Friday, September 30, 2016

Bahaya Kepada Kanak-kanak, Apa itu Rotavirus?

Bahaya Kepada Kanak-kanak, Apa itu Rotavirus?

Di negara membangun, Rotavirus gastroenteritis adalah penyebab utama kematian kanak-kanak dan mengakibatkan sebanyak setengah juta kematian setiap tahun di kalangan kanak-kanak di bawah usia lima tahun.

Rotavirus

Apa sebenarnya punca utama jangkitan Rotavirus terhadap kanak-kanak?

Rotavirus adalah sejenis virus berbahaya yang menjadi punca cirit-birit teruk terutama di kalangan kanak-kanak.

Ia bukan sahaja berjangkit di kalangan bayi, malah kanak-kanak yang berusia di bawah lima tahun juga berpotensi dijangkiti virus berbahaya ini.

Rotavirus amat bahaya kerana apabila menjangkiti, ia akan merosakkan sel-sel usus kecil yang mengakibatkan gastroenteritis. Ia adalah punca dan penyebab utama cirit-birit dehidrasi yang teruk di kalangan bayi dan kanak-kanak.

Rotavirus tidak memilih mangsa dan tempat untuk dijangkiti walaupun berada di tempat dengan air bersih dan sanitasi yang baik.

Hampir semua kanak-kanak akan dijangkiti rotavirus menjelang usia lima tahun.

Kajian terkini menunjukkan bahawa 86.1 peratus daripada punca kes gastroenteritis rotavirus berlaku dalam kalangan kanak-kanak yang berusia antara tiga hingga 35 bulan.

Mengekalkan tahap kebersihan yang tinggi sahaja adalah tidak mencukupi untuk mencegah jangkitan dan bahaya rotavirus.

Namun demikian, vaksin rotavirus telah didapati paling berkesan dan selamat dalam pencegahan jangkitan rotavirus di kalangan kanak-kanak.

Ibubapa di Malaysia perlu membuat pertimbangan untuk memvaksinkan bayi mereka terutama bayi yang berumur kurang dari enam bulan dengan vaksin rotavirus untuk melindungi mereka daripada sebarang bahaya rotavirus dan mengelakkan jangkitan.

Tanda-tanda, Bahaya Dan Simptom Jangkitan Rotavirus

Adalah sukar untuk membezakan cirit-birit yang disebabkan oleh rotavirus dengan yang disebabkan oleh jangkitan lain.

Perbezaan ini sukar dikenalpasti kerana simptomnya mungkin sama. Walau bagaimanapun, simptom jangkitan rotavirus selalunya lebih bahaya dan serius daripada cirit-birit akibat jangkitan lain.

Antara simptom jangkitan yang boleh dikenalpasti adalah muntah yang berlanjutan sehingga lapan hari, cirit-birit yang teruk melebihi sepuluh hari, sakit pada bahagian abdomen dan demam yang berlarutan.

Cirit-birit yang berlanjutan sehingga tiga minggu dan muntah secara kerap boleh menyebabkan dehidrasi iaitu kehilangan cecair dalam badan.

Jika keadaan ini tidak dirawat, dehidrasi yang teruk boleh membahayakan kerana akan mengakibatkan kerosakan organ, kejutan malah kematian di kalangan kanak-kanak.

Kanak-kanak boleh menyebarkan rotavirus sebelum dan selepas mereka jatuh sakit. Demikian pencegahan dan perlindungan dari ibu bapa dapat mengelak bahaya virus rotavirus ini menjangkiti mereka.

Langkah-langkah Pencegahan Rotavirus

Pembasmian kuman pada alat permainan dengan kerap dan mengamalkan amalan kebersihan diri yang baik iaitu mencuci tangan sebelum mengendalikan makanan, selepas menggunakan tandas dan selepas menyentuh permukaan yang tercemar.

Ibu bapa juga dinasihatkan mengambil pelalian rotavirus kerana kanak-kanak yang dijangkiti rotavirus mengumuh 100 billion partikel virus setiap gram najis dan hanya 10 partikel rotavirus yang berbahaya dan berjangkit sudah cukup menyebabkan berlaku jangkitan.

Walaupun amalan kebersihan diri yang baik merupakan langkah pencegahan yang lazim, kesannya adalah terhad untuk mencegah penyebaran rotavirus.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyarankan pelalian rotavirus sebagai sebahagian daripada program imunisasi bayi kerana ia merupakan strategi pencegahan terbaik terhadap bahaya jangkitan rotavirus.

BACA INI JUGA: 14 Suntikan Pelalian Yang Wajib Untuk Anak Anda

Sumber: Utusan