Saturday, June 03, 2017

Minum Jus Buah-Buahan Ketika Sahur Untuk Kekal Cergas

Minum Jus Buah-Buahan Ketika Sahur Untuk Kekal Cergas

Minum jus buah-buahan semasa bersahur adalah antara tindakan yang baik untuk memastikan umat Islam sentiasa bertenaga dan sihat sepanjang hari pada Ramadan ini.

Jus Buah-buahan

Ketua Jabatan Dietetik dan Sajian Hospital Kuala Lumpur (HKL), Ridzoni Sulaiman berkata, dengan meminum air buah-buahan segar, ia dapat mencegah tubuh daripada mengalami dehidrasi pada bulan puasa ini.

Air buah-buahan ini mengandungi pelbagai jenis nutrien seperti vitamin, potasium dan glukosa, dan berperanan sebagai bekalan tenaga di dalam badan.

Rasa letih, penat dan mengantuk bukannya disebabkan kekurangan makanan tetapi ia adalah disebabkan kuantiti air di dalam badan berada pada tahap rendah.

Bila berlakunya dehidrasi, tubuh kita kehilangan air serta garam galian seperti sodium, potasium, kalsium, fosfat dan sebagainya, sebab itu air memainkan peranan penting di dalam tubuh kita.

Selain meminum air buah-buahan, orang ramai perlu mengelak daripada meminum kopi ataupun teh pada bulan puasa kerana minuman itu mempunyai kesan deuratik.

Minuman tersebut akan merangsang pengeluaran air kencing dan akibatnya, badan akan mengalami dehidrasi dan tekak menjadi sangat haus.

Tubuh badan memerlukan sekurang-kurangnya lapan gelas air sehari bagi memastikan sel-sel tubuh dapat berfungsi dengan baik.

Jadi, walaupun pengambilan air yang mencukupi dititikberatkan namun orang ramai turut dinasihat memakan makanan seimbang.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Adakah Puasa Menjadikan Kita Lemah?

sumber: mstar

Wednesday, May 17, 2017

Puasa 3 Hari Boleh Tingkatkan Imunisasi Badan

Puasa 3 Hari Boleh Tingkatkan Imunisasi Badan

Baru-baru ini sahaja ahli penyelidik dari Barat baharu menemui kebaikan dari segi kesihatan sekiranya seseorang itu berpuasa selama tiga hari berturut-turut.

Kelebihan Puasa

Walaupun kebanyakan pakar nutrisi Barat tidak bersetuju dengan amalan berpuasa yang dikatakan sebagai satu kaedah tidak sihat, namun satu kajian yang dilakukan oleh para saintis dari University of Southern California ini membuktikan sebaliknya.

Menurut saintis yang menjalankan penyelidikan tersebut, amalan berpuasa selama tiga hari dipercayai boleh memperbaiki sistem imunisasi terutamanya bagi pesakit kanser yang menjalani rawatan kemoterapi.

Dalam kajian itu juga menyebut dengan berpuasa juga, golongan warga emas boleh memperbaiki sistem ketahanan badan yang semakin menurun berikutan faktor usia.

Penyelidik mendapati dengan berpuasa ia dapat menambah sel darah putih dalam badan sekali gus dapat memperbaiki sistem ketahanan badan seseorang individu.

Menurut Profesor Sains Biologi dan Penuaan universiti tersebut, Prof Valter Longo, dengan berpuasa ia memberikan masa yang secukupnya untuk membentuk sel baharu yang mampu memperbaiki imunisasi badan.

“Berita gembiranya juga dengan berpuasa, ia dapat membuang terus sel-sel darah yang sudah rosak dan tua.

“Jika anda sistem sel badan anda rosak teruk akibat rawatan kemoterapi atau melalui proses penuaan, dengan berpuasa ia mampu mengembalikan sel baharu yang lebih baik untuk daya ketahanan badan,” kata Prof Valter.

Dalam kajian itu, saintis mendapati dengan berpuasa, ia boleh menurunkan enzim PKA; enzim yang mempercepatkan proses penuaan serta meningkatkan risiko penyakit kanser dan tumor.

BACA INI JUGA: Puasa Nabi Daud Paling Disukai Allah

sumber: mynewshub

Friday, May 12, 2017

Hari Yang Di Haramkan Berpuasa Dalam Islam

Hari Yang Di Haramkan Berpuasa Dalam Islam

Selain puasa wajib, Allah turut menggalakkan umat-Nya menunaikan puasa sunat. Hari untuk puasa sunat sudah diketahui umum oleh umat Islam antaranya, puasa 6 hari pada bulan Syawal atau puasa pada hari Isnin dan Khamis.

Hari Di Haramkan Berpuasa

Bagaimana pula dengan hari yang diharamkan puasa? Mungkin ada sesetengah daripada kita yang mengetahui akan hari-hari tersebut tetapi ada juga yang tidak mengetahuinya.

Bagi yang mengetahuinya pula, mungkin tidak mendapat penjelasan kenapa hari-hari tersebut diharamkan berpuasa. Keterangan di bawah mungkin menjawab semua soalan yang bersarang di minda kita.

1. Hari Syak (30 Syaaban)

30 Syaaban dipanggil Hari Syak iaitu hari di mana keesokan harinya umat Islam akan memasuki bulan Ramadhan untuk menjalani ibadah puasa.

Menurut mazhab Syafie, Qaul masyhur Maliki dan Hambali, Hari Syak ialah pada 30 Syaaban, dan mazhab Hanafi mengatakan ianya pada hari terakhir bulan Syaaban.

Ada sesetengah mazhab berpendapat makruh berpuasa pada hari ini dan ada juga yang mengatakannya haram.

Daripada Abu al-Yakzan iaitu Amar bin Yasir r.a katanya, "Sesiapa yang berpuasa pada hari yang diragukan apakah bulan Syaaban sudah habis atau bermulanya sudah bulan Ramadhan, sesungguhnya ia telah melanggar perintah Nabi SAW.” (Abu Daud dan at-Tirmidzi)

Salah satu bentuk persiapan dalam menghadapi Ramadhan yang seharusnya dilakukan oleh kaum Muslimin adalah menghitung bulan Syaaban, kerana satu bulan dalam hitungan Islam adalah 29 hari atau 30 hari sebagaimana yang dijelaskan Rasulullah SAW, “Satu bulan itu 29 malam. Maka jangan berpuasa sampai kalian melihatnya (anak bulan). Jika kalian terhalang (dari melihatnya), maka genapkanlah 30 hari.” (al-Bukhari).

2. 1 Syawal (Hari Raya Aidilfitri)

Pada 1 Syawal umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri, selepas sebulan berpuasa di bulan Ramadhan.

Hari ini sememangnya hari yang dinanti oleh umat Islam. Waktu inilah masa yang diambil untuk bermaafan dan berkunjung ke rumah saudara mara.

Dari Umar bin Khattab ra., ia berkata bahwa dua hari ini hari yang dilarang Rasulullah SAW untuk berpuasa, iaitu hari raya Aidilfitri setelah kalian berpuasa (Ramadhan) dan hari raya makan (daging korban) setelah kalian menunaikan ibadah haji.

Antara hikmah diharamkan berpuasa seperti yang disebut dalam hadis di atas ialah ketika semua orang bergembira, seseorang itu hendaklah turut bersama meraikannya.

3. 10 Zulhijjah (Hari Raya Aidiladha)

Hari Raya Aidiladha iaitu 10 Zulhijjah merupakan hari di mana umat Islam meraikan Hari Raya Korban. Hari Raya Korban yang membawa maksud hari penyembelihan binatang ternakan bagi yang berkemampuan.

Hari ini sehingga 13 Zulhijjah umat Islam yang berkemampuan dianjurkan atau disunatkan menyembelih binatang ternak untuk dikorbankan.

Dari Abu Hurairah r.a katanya: “Rasulullah SAW melarang puasa pada dua jenis hari. Iaitu pada Hari Raya Aidiladha (10 Zulhijjah) dan Hari Raya Aidilfitri (1 Syawal).”

Amalan korban dan ibadah korban ini tidak ada di bulan yang lain, hanya di bulan Zulhijjah. Ia merupakan pengorbanan dari binatang peliharaan untuk mencapai darjat hamba ALLAH yang bertaqwa, sebagaimana ALLAH S.W.T menyatakan perintah berkorban ini di dalam Al-Quran.

4. Hari Tasyrik pada 11,12,13 Zulhijjah

Hari Tasyrik yang jatuh pada 11, 12 dan 13 Zulhijjah iaitu pada hari ke-2 hingga ke-4 Hari Raya Korban. Hari tersebut umat Islam juga diharamkan untuk berpuasa.

Berkorban dengan melakukan penyembelihan binatang ternakan selama 4 hari berturut-turut (pada 10, 11,12 dan 13) di bulan Zulhijjah bagi orang-orang yang berkemampuan, adalah satu tuntutan syariat yang telah ditentukan.

Dari Nubaisyah Al-Hudzali r.a katanya, “Rasulullah SAW bersabda: Hari-hari Tasyrik (11,12 dan 13 Zulhijjah) adalah hari-hari makan minum.”

Oleh yang demikian hari ini diharamkan berpuasa. Umat Islam diharamkan berpuasa pada hari ini kerana mereka masih lagi meraikan Hari Raya Korban.

Kita sedia maklum yang ibadah korban yang dijalankan adalah berupa penyembelihan binatang peliharaan seperti lembu, biri-biri, kambing dan binatang peliharaan yang dibenarkan dalam Islam.

Ibadah ini dilakukan dengan penuh keikhlasan beserta niat kerana ALLAH SWT.

BACA INI JUGA: Kenapa Umat Islam Diwajibkan Berpuasa?

sumber: pokokkekden

Friday, April 28, 2017

Hari Yang Sunat, Makruh dan Haram Berpuasa

Hari Yang Sunat, Makruh dan Haram Berpuasa

Allah SWT menggalakkan umat-Nya menunaikan puasa sunat namun, ungkin ada sesetengah daripada kita yang belum mengetahui hari-hari yang digalakkan berpuasa dan juga hari yang diharamkan berpuasa.

Puasa

Keterangan di bawah mungkin menjawab soalan yang bersarang di minda kita.

1. Puasa Sunat yang elok diamalkan

Puasa Isnin dan Khamis

Dalam riwayat Abu Hurairah ra, Rasulullah SAW bersabda, “Diangkat amalan seseorang pada Isnin dan Khamis, maka aku lebih suka amalanku diangkat dalam keadaan aku berpuasa” (Hadis Tarmizi).

Puasa tiga hari setiap bulan

Ini mungkin senang sikit nak diamalkan. Tak kisah hari apa atau tarikh bila. Dalam sebulan ada 30 hari. Ambil tiga hari sahaja untuk berpuasa.

Maknanya ada 27 hari lagi untuk makan-makan. Tapi yang afdalnya pada hari putih iaitu 13, 14 dan 15 setiap bulan Hijrah.

Pada tiga tarikh ini, bulan sedang mengambang penuh. Jadi cahaya bulan menerangi. Itu pasal nama ‘Hari Putih’

Sabda Nabi SAW maksudnya, “Apabila kamu berpuasa tiga hari dalam sebulan, maka puasalah pada hari ketiga belas, empat belas dan lima belas” (Riwayat Tirmizi)

Puasa hari ini, esok tak puasa

Lusa puasa semula, tulat tak puasa. Ini maknanya puasa sehari, tak puasa sehari. Selang seli antara keduanya. Ini juga termasuk puasa sunat yang afdal.

Sabda Nabi SAW maksudnya, “Seafdal-afdal ialah fesyen puasa Nabi Daud. Adalah Nabi Daud berpuasa sehari dan berbuka puasa sehari” (Riwayat Bukhari)

Puasa pada hari Arafah

Bagi orang yang tidak mengerjakan haji. Hari Arafah ini ialah Sembilan Zulhijjah. Puasa pada hari tersebut besar fadilatnya. Rugi jikalau puasa hari Arafah ditinggalkan.

Sabda Nabi SAW maksudnya, “Puasa hari Arafah, aku mengharapkan pahala kepada Allah bahawa ia menghapuskan dosa setahun sebelumnya dan dosa setahun selepasnya.” (Riwayat Muslim)

Hari kelapan Zulhijjah

Amat elok berpuasa pada hari kelapan Zulhijjah iaitu maknanya dua hari berturut-turut. Ini kerana ada keazaman Nabi SAW untuk berpuasa pada sembilan Zulhijjah.

Puasa pada bulan-bulan ‘Haram’ iaitu bulan Muharram, Rejab, Zulkaedah dan Zulhijjah.

Tidaklah puasa empat bulan penuh tetapi maksudnya memperbanyakkan puasa pada bulan-bulan ini.

Sabda Nabi SAW maksudnya, “...dan seafdal-afdal puasa selepas Ramadhan ialah bulan Allah iaitu bulan Muharram.” (Riwayat Muslim)

Puasa bulan Syaaban

Ini juga besar fadilatnya. Nabi SAW memang selalu berpuasa bulan Syaaban sebagaimana yang diceritakan oleh isterinya Aishah r.ha. (Riwayat Bukhari)

Puasa ‘Asyura

Puasa ‘Asyura ini dilakukan pada hari kesepuluh dari bulan Muharram dan lebih baik jika ditambahkan pada hari kesembilan.

‘Asyura berasal perkataan Arab iaitu ‘Asyarah yang bermakna sepuluh.

2. Hari-hari yang dimakruhkan untuk berpuasa dalam Islam adalah seperti berikut:
  • Puasa pada hari ‘Arafah bagi orang yang mengerjakan haji
  • Puasa pada hari Sabtu sahaja (ditunggalkan)
  • Puasa pada hari Jumaat sahaja (ditunggalkan)
  • Puasa sepanjang tahun (sepanjang masa)

3. Hari haram berpuasa sunat
  • Puasa pada Hari Raya Aidilfitri iaitu pada satu Syawal
  • Hari Raya Aidiladha iaitu pada sepuluh Zulhijjah
  • Hari Tasyriq iaitu pada 11, 12 dan 13 Zulhijjah
  • Hari wanita sedang uzur syari’I iaitu kedatangan
  • Puasa sunat seorang isteri tanpa izin suaminya
  • Puasa pada separuh kedua daripada bulan Syaaban

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Puasa Nabi Daud Paling Disukai Allah

sumber: astroawani

Wednesday, July 02, 2014

Adakah Puasa Menjadikan Kita Lemah?

Adakah Puasa Menjadikan Kita Lemah?

Apa yang hendak dikongsikan kali ini adalah berkenaan cara rakyat Malaysia (Muslim) berpuasa. Apa yang kita lihat adalah kebanyakannya berpuasa dan seronok apabila berbuka bersama-sama keluarga dan juadah yang pelbagai.

Puasa

Tetapi di satu hal yang lain pulak, kita lihat sendiri, ada yang menjadikan puasa itu sebagai sebab untuk mereka tidak aktif di dalam kelas atau semasa bekerja. Mengapakah begitu?

Bukankah ini masanya untuk kita mencabar diri kita untuk menjadi lebih bersemangat?

Ada juga yang sibuk set JAM untuk bangun dan masak untuk sahur, selain menunggu waktu untuk berbuka. Tetapi malangnya solat langsung tidak dilakukannnya. Bukankah solat itu tiang agama? Bukankah solat itu rukun Islam yang penting dan selepas itu barulah puasa.

Jadi, disini dapat dilihat bahawa puasa yang dilakukannya hanyalah sia-sia.

Ada juga yang sibuk berpuasa dan membeli juadah di bazar ramadhan. Bagus sebab itu adalah masanya untuk orang Islam mencari rezeki lebih dengan berniaga di bulan Ramadhan, tetapi ada juga yang datang ke bazar ramadhan dengan memakai pakaian yang tidak senonoh.

Berhimpit-himpit sesama lelaki dan wanita ketika waktu di akhir-akhir, adakah itu yang kita mahukan?

Bukankah lebih baik sekiranya kita memasak sendiri lauk daripada berhimpit sebegitu rupa sehingga menyebabkan pahala puasa terus hilang akibat kejadian sebegitu.

Satu lagi hal yang memalukan adalah apabila penganut agama lain melihat orang Islam lemah ketika di bulan Puasa.

Ini adalah akibat daripada sikap dan tutur bicara yang diungkapkan ketika sedang berpuasa. Sebagai contohnya, "Saya penat berpuasa, jadi saya tak dapat bekerja dengan baik", "Saya tak dapat buat latihan ini sebab saya berpuasa."

Perlukah menjadikan puasa itu sebagai alasan untuk menjadi lemah?

Memalukan apabila penganut agama lain melihat bahawa betapa susahnya orang Islam untuk menghadapi bulan puasa.

BACA INI JUGA: Bila Sebenarnya Malam Lailatulqadar?