Wednesday, July 31, 2013

Psy Mengaku Kaki Botol Dan Vodka Adalah Teman Baiknya!

Psy Mengaku Kaki Botol Dan Vodka Adalah Teman Baiknya!

Penyanyi Gangnam Style, Psy mengaku dia memang kaki botol dan menyifatkan vodka sebagai “teman baiknya”.


Bintang ternama Korea Selatan berusia 35 tahun itu yang turut meminati wiski dan tequila mula menjadi kaki botol sejak berusaha untuk menyesuaikan diri dengan kemasyhuran yang diraihnya.

Psy berkata: “Jika saya gembira, saya minum. Jika saya sedih, saya minum. Jika hari hujan, saya minum. Jika hari cerah, saya minum. Jika hari panas, saya minum dan jika hari sejuk, saya juga minum.” Psy juga berkata, dia “banyak berkhayal” akibat mengambil dadah.

Laporan sebelum ini mendedahkan, Psy menjalani hukuman penjara sebelum lagu popularnya, Gangnam Style dilancarkan kerana didapati bersalah memiliki ganja pada 2001.

Bercakap buat kali pertama mengenai pengalamannya di penjara, dia menyifatkannya sebagai “kejatuhan amat teruk dalam hidupnya”.

“Tetapi sebagai artis, lebih banyak pengalaman, lebih baik hasilnya. Saya seorang yang positif. Jadi, jika sesuatu yang buruk berlaku, saya fikir mungkin ia terjadi kerana terlalu banyak kebahagiaan datang kepada saya.”

Psy turut berkata dia mempersembahkan Gangnam Style 1,000 kali di 20 negara berbeza tahun lalu dan tidak bertemu dengan isteri serta anak perempuan kembar mereka yang berusia lima tahun sejak April.

-Agensi

Monday, April 15, 2013

Baru Sehari Video Baru Psy Ditonton 10 Juta Kali

Baru Sehari Video Baru Psy Ditonton 10 Juta Kali

Video muzik baru bintang ‘Gangnam Style’ ditonton lebih 10 juta kali di YouTube kurang daripada 24 jam selepas dia mempamerkan tarian barunya di Seoul.


Bintang pop Korea Selatan itu, kelmarin membuat persembahan kali pertama tarian goyang pinggul untuk meniru kejayaan ‘Gangnam Style’ dan gerak tari kudanya dalam single terbaru, ‘Gentleman.’

Video itu diterbitkan sehari selepas lagu berkenaan mendapat sambutan hangat menerusi online di seluruh dunia dengan catatan 10.7 juta tontonan dalam masa 15 jam selepas dilancarkan di satu konsert penuh sesak di Seoul.

Video berkenaan menunjukkan Psy dengan cermin mata hitamnya menari di beberapa lokasi di sekitar Seoul termasuk di sebuah kedai pakaian ternama, restoran dan kolam renang.

Seni kata lagu itu mengisahkan penyanyi itu mengajuk dan membuat lawak praktikal terhadap wanita termasuk menarik kerusi mereka ketika mereka hendak duduk sebelum dia bertemu buku dengan ruas.

Video ‘Gangnam Style’ dan tarian kuda Psy membolehkan dia menjadi terkenal di seluruh dunia tahun lalu selepas dimuatnaikkan ke YouTube.

Bagaimanapun, video yang menunjukkan dia melawat serta tarian baru goyang pinggulnya menarik perhatian peminat.

“Lagu itu agak menarik! Saya duduk mendengarnya sambil menggoyangkan pinggul saya walaupun saya tidak faham apa yang dinyanyikannya,” kata seorang pengguna YouTube.

“Percayalah video ini akan menjadi yang kedua mencatatkan 1 bilion pengunjung,” kata seorang lagi pengulas sementara yang lain berkata: “Selamat Tinggal Harlem Shake,” merujuk kepada satu lagi tarian yang menjadi tarikan di seluruh dunia baru-baru ini.

-AFP