Monday, July 14, 2014

Messi Tidak Layak Terima Anugerah 'Bola Emas'?

Messi Tidak Layak Terima Anugerah 'Bola Emas'?

Keputusan Persekutuan Bolasepak Dunia (Fifa) untuk menganugerahkan gelaran pemain terbaik kejohanan Piala Dunia 2014 kepada kapten Argentina, Lionel Messi telah disambut dengan perasaan berbelah bahagi di seluruh dunia.

Messi Pemain Terbaik Piala Dunia 2014

Tidak dinafikan Messi memberikan persembahan yang baik di peringkat kumpulan dengan menjaringkan empat gol dalam perlawanan menentang Bosnia, Iran dan Nigeria tetapi penampilannya boleh dikatakan tidak menonjol di peringkat kalah mati, suku akhir dan separuh akhir.

Pemain Barcelona gagal mencipta gol dalam perlawanan di peringkat kalah mati menentang Switzerland, kemudian di suku akhir menentang Belgium, selepas itu di separuh akhir menentang Belanda dan begitu juga dalam perlawanan menentang Jerman di final.

Malah dalam perlawanan akhir, dia gagal mempengaruhi permainan untuk menumpaskan Jerman.

Tetapi Messi tetap memenangi gelaran pemain terbaik kejohanan mengatasi calon-calon yang lebih layak seperti penyerang sensasi Colombia, James Rodriguez, pemain sayap Belanda, Arjen Robben dan trio Jerman, Manuel Neuer, Bastian Schweinsteiger dan Thomas Muller.

Ini mencetuskan cakap-cakap yang Messi selaku duta khas Adidas, telah diberikan keistimewaan tersebut kerana anugerah itu ditaja oleh Adidas.

Miroslav Klose
Lagenda Piala Dunia.

Spekulasi juga tercetus kerana untuk pertama kalinya anugerah itu ditentukan oleh Jawatankuasa Teknikal Fifa. Sebelum ini ia ditentukan oleh wakil-wakil media yang membuat liputan sepanjang kejohanan ini berlangsung.

Bekas pemain antarabangsa England, Rio Ferdinand mengulas dalam BBC: "Saya rasa James Rodriguez lebih layak. Dia telah memperlihatkan permainan yang menarik dengan minda menyerang sepanjang kejohanan ini tetapi Messi memperlihatkan permainan yang tidak konsisten."

Seorang lagi pengulas Piala Dunia, di stesen BBC, Alan Hansen memberi pandangan yang sama.

"Saya rasa Messi tidak melakukan secukupnya untuk menerima anugerah berkenaan sedangkan empat atau lima pemain Jerman lebih berhak untuk menerima gelaran tersebut," kata Hansen.

Messi gagal memahatkan namanya dalam buku sejarah selepas perlawanan akhir itu memberi dia peluang terbaik untuk menyertai senarai pemain tersohor Piala Dunia selepas pemain berusia 27 tahun itu merakamkan segala detik gemilang bersama Barcelona.

Pele, Zinedine Zidane dan Ronaldo, semuanya berjaya menjaringkan gol dalam final manakala Diego Maradona mencipta gol yang mengesahkan kemenangan Argentina selaku juara Piala Dunia 1986.

Tapi, Messi dibayangi gol masa tambahan oleh Mario Goetze yang memberi Jerman gemilang di bumi Amerika.

INFO Senarai anugerah FIFA 2014
  • Pemain terbaik kejohanan: Lionel Messi (Argentina)
  • Penjaring terbanyak: James Rodriguez (Colombia) - 6 gol
  • Penjaga gol terbaik: Manuel Neuer (Jerman)
  • Pemain muda terbaik: Paul Pogba (Perancis)
  • Anugerah Fair Play: Colombia

Sunday, July 13, 2014

Kejutan Terbesar Sepanjang Sejarah Piala Dunia

Kejutan Terbesar Sepanjang Sejarah Piala Dunia

Beberapa kejutan terbesar berlaku dalam sejarah Piala Dunia sebelum Jerman membelasah pasukan tuan rumah Brazil pada separuh akhir di Belo Horizone.

Amerika Syarikat 1 England 0 (1950)

Amerika Syarikat 1 England 0 (1950)

England membuat penampilan pertama di final Piala Dunia dengan status sebagai pasukan pilihan untuk muncul juara apabila hanya tewas empat dari 30 perlawanan. Berdepan pasukan bukan pilihan, England merehatkan pemain bintang mereka, Stanley Matthews di bangku simpanan akhirnya memakan diri apabila pemain pasukan lawan kelahiran Haiti, Joe Gaetjens memastikan AS beroleh kemenangan 1-0.

Uruguay 2 Brazil 1 (1950)

Uruguay 2 Brazil 1 (1950)

Perlawanan yang dikenali sebagai 'Maracanazo' namun kini ada lebih trauma selepas kekalahan memalukan terbaru Brazil. Pasukan Brazil menjadi tuan rumah ketika mereka melakar keputusan seri 1-1 dan mengikut format lama mereka hanya perlu menunggu 10 minit untuk menjulang Piala Dunia pertama di Maracana.

Bagaimanapun, harapan mereka punah di tangan Alcides Ghiggia yang meledakkan jaringan untuk menjadikan kedudukan 2-1. Meskipun stadium itu boleh memuatkan 200,000 penonton, Ghiggia yang kini berusia 87 tahun dan satu-satunya pemain yang masih hidup memaklumkan stadium itu menjadi 'sunyi sepi'.

Korea Utara 1 Itali 0 (1966)

Korea Utara 1 Itali 0 (1966)

Pak Do Ik tampil di Piala Dunia dengan meledakkan jaringan tunggal untuk memastikan kemenangan 1-0 ke atas Itali dalam saingan peringkat kumpulan yang disifatkan sebagai perlawanan tidak popular di Middlesbrough, England. Ia bukanlah petanda era kebangkitan bola sepak Korea Utara apabila mereka perlu menunggu sehingga 2010 untuk membuat penampilan seterusnya di pentas final.

Bagaimanapun, Do Ik membuka mata satu dunia. "Saya belajar bahawa bermain bola sepak mampu memperbaiki hubungan diplomatik dan menggalakkan keamanan," katanya yang mengimbau kenangan penuh emosi apabila kembali ke Middlesbrough pada 2002. Korea Utara tewas kepada Portugal 5-3 di suku akhir.

Jerman Timur 1 Jerman Barat 0 (1974)

Jerman Timur 1 Jerman Barat 0 (1974)

Ia adalah salah satu perlawanan politik dalam sejarah Piala Dunia membabitkan Perang Dingin dan persaingan sengit di antara kedua-dua negara dan kemuncaknya apabila Jerman Barat menjadi tuan rumah Piala Dunia. Dua negara itu terbahagi kepada dua sejak Perang Dunia, sentiasa berjuang membuktikan kuasa mereka dalam arena sukan dengan pertembungan dua negara itu yang disifatkan satu perlawanan berprofil tinggi.

Jerman Barat dipenuhi dengan pemain bintang namun Jerman Timur hadir ke kejohanan itu dengan dirangsang kemenangan menjuarai Piala Magdeburg. Penyerang Jurgen Sparwasser menjaringkan gol tunggal perlawanan. Jerman Barat bagaimanapun muncul sebagai juara manakala Jerman Timur terkeluar pada pusingan seterusnya.

Algeria 2 Jerman Barat 1 (1982)

Algeria 2 Jerman Barat 1 (1982)

Negara Afrika Utara itu membuat penampilan pertama di final Piala Dunia dan berpeluang menentang Juara Eropah di Sepanyol. Pemain Jerman Barat menganggap ia satu perlawanan yang mudah untuk dimenangi.

"Seseorang daripada pemain dalam pasukan itu berkata mereka akan bermain menentang kami dengan rokok di mulut," kata pemain pertahanan Algeria Chaabane Merzekane kepada The Guardian selepas itu.

Keyakinan itu memakan barisan Jerman apabila pemain Algeria melakar kemenangan 2-1 dengan Rabah Madjer membuka jaringan sembilan minit selepas babak kedua. Jerman menyamakan kedudukan menerusi Karl-Heinz Rummenigge dan aksi kemuncaknya bermula dengan pergerakan menarik dipamerkan oleh barisan Algeria membolehkan mereka mencipta gol kemenangan yang disempurnakan oleh Lakhdar Belloumi.

Cameroon 1 Argentina 0 (1990)

Cameroon 1 Argentina 0 (1990)

Argentina selaku juara bertahan membuka saingan 1990 di Itali menentang Cameroon dengan kehadiran beberapa pemain bintang. Bagaimanapun tandukan Francois Omam Biyik dibantu dengan kesalahan yang dilakukan Nery Pumpido, membolehkan mereka mencipta kemenangan menakjubkan 1-0 dalam perlawanan yang menyaksikan mereka beraksi dengan sembilan pemain.

"Kami benci apabila wartawan Eropah bertanya kepada kami adakah kami makan monyet dan menggunakan sihir. Kami adalah pemain bola sepak sebenar dan kami membuktikannya malam ini," kata Biyik.

Cameroon terkeluar daripada saingan di peringkat suku akhir dengan bermaruah dan menjadi pasukan yang diberi perhatian di pentas Piala Dunia.

-Sentiasapanas.com

Friday, July 11, 2014

Siapa Penjaga Gol Terbaik Piala Dunia 2014?

Siapa Penjaga Gol Terbaik Piala Dunia 2014?

Dalam Piala Dunia pada kali ini beberapa penjaga gol dikenal pasti sebagai antara yang terbaik dalam mengawasi gawang mereka dengan pelbagai percubaan-percubaan berbahaya daripada pasukan lawan.

Antara penjaga gol yang dianggap terbaik kerana ketangkasan mereka mengawal gawang dari dibolosi dan membuka mata pasukan-pasukan ternama untuk mengambil mereka termasuklah:

Thibaut Courtois

Thibaut Courtois

Penjaga gawang Chelsea yang dipinjamkan ke kelab Sepanyol Atletico Madrid selama dua musim ini begitu matang dalam kawalan pintu golnya meskipun umurnya baru menginjak 22 tahun.

Aksi cemerlangnya itu berjaya mengenepikan seorang lagi penjaga gol Belgium yang beraksi untuk Liverpool iaitu Simon Mignolet yang kini hanya memanaskan bangku simpanan sepanjang kejohanan Piala Dunia ini.

Courtois begitu kental mengawal gawang Belgium ketika perlawanan peringkat kumpulan dan hanya melepaskan satu gol sahaja ketika menentang Algeria dan aksi menyelamat terbaik ketika menidakkan peluang pemain Amerika Syarikat, Clint Dempsey pada minit-minit akhir berjaya membawa Belgium ke peringkat suku akhir bertemu Argentina.

Namun kecemerlangannya itu berakhir apabila penyerang Argentina, Gonzalo Higuain berjaya membolosi gawangnya pada awal perlawanan.

Vincent Enyeama

Vincent Enyeama

Penjaga gol Nigeria, Vincent Enyeama beraksi cemerlang dengan menyelamatkan gawang daripada dibolosi terutamanya ketika perlawanan peringkat kumpulan menentang Iran dan Bosnia-Herzegovina.

Enyeama melepaskan tiga gol ketika peringkat kumpulan dan gol yang bolos itu datangnya ketika menentang Argentina dan meski tewas perlawanan itu dengan keutusan tipis 2-3, Enyeama berjaya membawa Nigeria ke peringkat kalah mati.

Berdepan bekas Juara Piala Dunia 1998, Perancis, Enyeama begitu cemerlang dalam menggagalkan usaha pemain ‘Les Bleus’ seperti Karim Benzema, Paul Pogba dan Mathieu Valbuena dan lain-lain lagi.

Perancis dikerah untuk berhempas pulas sehingga menuju babak-babak akhir perlawanan dan kesilapan Enyeama menampan bola secara tidak kemas menyebabkan bola menuju ke Paul Pogba yang mudah menanduk untuk gol Perancis

Cabaran Nigeria terus berakhir apabila pertahanan Nigeria, Joseph Yobo tertampan gol ke gawang sendiri menewaskan Enyeama.

Manuel Neuer

Manuel Neuer

Tidak dapat dinafikan penjaga gawang Jerman, Manuel Neuer juga merupakan salah satu penjaga gol terbaik sepanjang Piala Dunia 2014 menerusi usaha menyelamat gawang gol yang dilakukan semasa bertemu Perancis.

Selepas aksi cemerlangnya dalam dua musim lalu membantu Bayern Munich merangkul Liga Juara-Juara Eropah menewaskan musuh tradisi, Borussia Dortmund, Neuer sekali lagi muncul sebagai Pemain Jerman Nombor 1 yang akan mengawasi pintu gol negara Bavaria itu.

Tiga aksi tanpa bolos berjaya dicatatkan oleh beliau ketika bertemu Portugal, Amerika Syarikat dan terakhir Perancis berjaya menobatkan beliau sebagai antara penjaga gol terbaik sepanjang Piala Dunia ini.

Dek ketangkasannya itu juga berjaya meloloskan Jerman ke peringkat separuh akhir dan bertemu dengan lawan yang sukar iaitu tuan rumah, Brazil dan Neuer dijangka sekali lagi akan menampilkan aksi menyelamat hebatnya dalam usaha untuk membawa Jerman ke final.

Rais M'Bolhi

Rais M'Bolhi

Penjaga gol Algeria, Rais M'Bolhi tidak pernah diletakkan sebarang harapan untuk menyinar namun prestasi memberangsangkannya berjaya mengheret Jerman untuk bermain dalam masa tambahan sebelum tewas.

Penjaga gawang kelab CSKA Sofia di Bulgaria ini dianugerahkan sebagai ‘Man of The Match’ ketika menentang Jerman kerana penyelamatan gol daripada cubaan berbahaya dari pelbagai sudut oleh pemain Jerman berjaya mengheret perlawanan tersebut hingga ke masa tambahan.

Pemain kelahiran Paris, Perancis yang nama sebenarnya adalah Adi Rais Cobos Adrien M’Bolhi ini tidak menggunakan alasan berpuasa sebagai untuk tidak menyerlah ketika menentang Jerman malah keupayaannya menyelamatkan banyak percubaan agak menakjubkan.

Guillermo Ochoa

Guillermo Ochoa

Penjaga gol ini antara penjaga gol yang mendapat perhatian kelab-kelab terkemuka dunia selepas aksi cemerlangnya ketika bertemu Brazil dengan menyelamatkan pelbagai cubaan berbahaya daripada pemain Neymar, Oscar, Fred dan pemain Brazil yang lain sehingga membuatkan pemain Brazil yang lain ‘pening’ untuk menembusi gawang Mexico.

Penjaga gawang Mexico, Guillermo Ochoa dinobatkan sabagai 'Man of The Match' sebanyak dua kali ketika bertemu Brazil dan Belanda kerana ketangkasan beliau menyelamatkan pintu gol daripada bolos.

Keylor Navas

Keylor Navas

Penjaga gol Costa Rica yang bermain untuk kelab Levante di Liga Sepanyol ini begitu tangkas dalam mengawal gawangnya daripada dibolosi oleh pemain-pemain Belanda yang bertubi-tubi melancarkan serangan berbahaya dalam perlawanan peringkat suku akhir.

Ketangkasannya itu juga memaksa Belanda terpaksa membuat perhitungan dengan Costa Rica melalui penentuan sepakan penalti dan nasib Costa Rica agak tidak baik apabila dua daripada sepakan pemain mereka berjaya disekat oleh penjaga gol gantian Belanda, Tim Krul.

Walaupun tewas, Navas turut dianugerahkan sebagai ‘Man of The Match’ dalam perlawanan itu. Malah, beliau hanya melepaskan dua gol daripada lima perlawanan yang dilalui oleh Costa Rica termasuklah bertemu dengan pasukan gergasi seperti Uruguay, Itali, England dan Greece.

Tim Krul

Tim Krul

Percaturan Louis van Gaal membawa masuk Tim Krul untuk menjaga gawang Belanda ketika sepakan penalti melawan Costa Rica nyata membuahkan hasil apabila beliau berjaya menyelamatkan dua sepakan penalti.

Tim Howard

Tim Howard

Ketika bertemu Belgium, penjaga gol Amerika Syarikat, Tim Howard mencatatkan rekod menyelamat gawang sebanyak 16 kali dan rekod tersebut tidak pernah dicapai oleh sebarang penjaga gol di Piala Dunia.

David Ospina

David Ospina

Penjaga gol Colombia, David Ospina melakukan aksi menyelamat gawang ketika bertemu Brazil dan persembahan luar biasanya berjaya membawa Colombia ke peringkat suku akhir sebelum tewas kepada Brazil.

Ospina hanya melepaskan dua gol pada peringkat kumpulan ketika bertemu Ivory Coast dan Jepun sebelum disusuli dengan bolosnya dua gol ketika bertemu Colombia di peringkat suku akhir yang mengakhiri cabaran beliau.

Namun begitu, aksi yang ditampilkan ketika berhadapan Uruguay pada peringkat kalah mati nyata membuka mata peminat bola sepak dimana Uruguay bermati-matian mencari gol untuk menyekat penguasaan Colombia namun ketangkasan Ospina yang kelihatan berada di setiap penjuru dan ruang pintu gol menyukarkan Uruguay untuk memperoleh gol.

BACA INI JUGA: Calcio Storico, Pertandingan Bola Sepak Paling Ganas Di Dunia

Sumber: AA

Impak Strategi Hebat Jerman Dan Argentina

Impak Strategi Hebat Jerman Dan Argentina

Selepas perlawanan akhir Piala Dunia 2014, dua pasukan membuktikan kejayaan mereka melahirkan pasukan mantap dari projek pembangunan.

Jerman dan Argentina [2]

Pasukan Jerman membariksan beberapa pemain yang menjuarai Kejohanan Euro Bawah 21 pada 2009 manakala Argentina diwakili pemain yang menjuarai pingat emas Sukan Olimpik 2008 Beijing.

Kehadiran Sergio Romero sebagai penjaga gol yang begitu serasi dengan Ezequil Garay serta Pablo Zabaleta di barisan pertahanan, bukan kebetulan.

Pemain tengah bertahan bertaraf dunia Javier Mascherano pernah mengetuai barisan pemain muda di Sukan Olimpik 2008, tetapi menyerahkan lilitan lengan kepada Lionel Messi sebagai tanda hormatnya terhadap kebolehan pemain terbaik dunia itu.

Ezequiel Lavezzi pula dibantu dan menerima sokongan Messi di barisan depan dan dengan itu enam pemain ini saling memahami pergerakan rakan sepasukan.

Ini tidak termasuk pemain seperti Fernando Gago, Angel di Maria serta Sergio Aguero yang tidak beraksi dalam kesebelasan utama.

Argentina Final 2014

Apa jua keputusan di final, lebih penting kemajuan pemain serta pasukan melakukan projek pembangunan masing-masing.

Jerman membariskan pemain yang sudah kenal serta memahami corak serta kekuatan rakan sepasukan.

Bermula dengan Manuel Nueur yang mirip banjaran besar, pasangan Jerome Boateng, Mats Hummels serta Benedikt Howedes pula dengan tenang menerajui barisan pertahanan sejak Jerman menjuarai Kejohanan Euro Bawah 21.

Sami Khedira serta Mesut Ozil pula tonggak barisan tengah pasukan Jerman.

Kehadiran kedua-dua pasukan ini di final memang tepat walaupun perlawanan yang membabitkan Argentina menentang Belanda tiada pesta gol.

Mesut Ozil

Brazil pula lebih kepada satu kumpulan individu yang kebanyakannya menjadi beban kepada pasukan, terutama Fred dan Hulk.

Jelas sekali Brazil kehilangan identiti apabila menurunkan pemain yang disanjung dalam liga asing seperti Liga Perdana Inggeris.

Liga yang kerap memukul gendang sendiri itu seharusnya malu melihat Fernandinho dan Paulinho, gagal menyerlah.

Pembangunan bola sepak terperinci saja boleh menjanjikan kejayaan pada masa akan datang. Dan andai Persatuan Bolasepak Malaysia sewaktu melafazkan impian pada 1999 untuk beraksi di Brazil 2014 melahirkan Projek Misi 2014, sekurang-kurangnya hari ini sudah tentu kita dapat melahirkan bintang bola sepak berkaliber.

FAM Malaysia Bodoh

Tetapi apa nak buat. Hanya pada 2014 kita mengorak langkah pertama dengan Projek Pembangunan Bola Sepak Negara..

Entahlah Labu...

Sumber: Hmetro

Wednesday, July 09, 2014

Brazil Terburuk 100 Tahun, Klose Penjaring Terbanyak Piala Dunia

Brazil Terburuk 100 Tahun, Klose Penjaring Terbanyak Piala Dunia

Maruah Brazil dicalar apabila dibelasah Jerman 7-1 untuk layak ke final Piala Dunia pada hari yang menyaksikan Miroslav Klose melakar rekod baru muncul penjaring terbanyak sepanjang zaman dalam temasya Piala Dunia.

Miroslav Klose 16 Goals [2]

Belum pernah Brazil menanggung kekalahan besar seperti ini dalam mana-mana kejohanan antarabangsa dengan benteng rapuh sebegini ketika membenarkan jentera serangan Jerman menjaringkan empat gol dalam tempoh 18 minit pertama dengan tiga gol hanya dalam tempoh 179 saat sahaja.

Wajah-sedih-Brazil
Wajah-wajah peminat yang sedih.

Thomas Mueller membuka tirai jaringan pada minit ke 11, Klose selepas 23 minit, Toni Kroos menambah derita dengan gol minit ke 24 dan 26, Sami Khedira minit ke 29 dan pemain gantian, Andre Schuerrle menambah dua lagi selepas rehat pada minit ke 69 dan 79.

Oscar menyumbat gol sagu hati Brazil pada minit ke-90.

Rekod Baharu Penjaring Terbanyak

Miroslav Klose 16 Goals

Miroslav Klose mencipta rekod baharu Piala Dunia apabila menjaringkan gol ke 16 ketika menentang Brazil dalam separuh akhir di Stadium Mineirao.

Penyerang Lazio berusia 36 tahun itu sebelum ini menyamakan rekod lama iaitu 15 gol ciptaan Ronaldo ketika meledak satu ketika menentang Ghana dalam saingan peringkat kumpulan pada 22 Jun lalu.

Klose adalah pemain ketiga dalam sejarah Piala Dunia menjaringkan gol pada empat edisi berlainan dan dia juga penjaring terbanyak Jerman dengan 71 gol daripada jumlah 135 penampilan untuk skuad negara.

Seperkara lagi, Jerman tidak pernah kalah dalam perlawanan dia menjaringkan gol.

INFO:

Berikut pecahan gol jaringan Miroslav Klose
  • Piala Dunia 2002 – 5 gol
  • Piala Dunia 2006 – 5 gol
  • Piala Dunia 2010 – 4 gol
  • Piala Dunia 2014 – 2 gol

Lima penjaring terbanyak Piala Dunia
  • 16 – Miroslav Klose (Jerman)
  • 15 – Ronaldo (Brazil)
  • 14 – Gerd Muller (Jerman)
  • 13 – Just Fontaine (Perancis)
  • 12 – Pele (Brazil)

Saksikan video 16 gol Miroslav Klose dibawah;



Saturday, July 05, 2014

Video Neymar Retak Tulang Belakang!

Video Neymar Retak Tulang Belakang!

Terjahan pemain Columbia, Juan Zuniga terhadap penyerang berbisa Brazil, Neymar meranapkan impiannya untuk mengiringi Brazil menjulang gelaran juara Piala Dunia 2014.

Neymar Retak Tulang Belakang!

Neymar terbaring di atas padang selepas mengalami kecederaan.

Doktor pasukan Brazil, Rodrigo Lasmar, mengesahkan Neymar mengalami keretakan tulang belakang yang memerlukan masa untuk kembali pulih.

"Berita ini bukanlah mudah tetapi Neymar tidak akan bermain sepanjang Piala Dunia. Sekurang-kurangnya empat hingga enam minggu diperlukan untuk dia pulih," katanya seperti yang dipetik melalui The Guardian.

Neymar da Silva Santos mengalami kecederaan serius selepas Zuniga mengasari bahagian belakang tubuh pemain tersebut dengan menggunakan lutut dalam saingan suku akhir di Fortaleza malam tadi.

Pemain berusia 22 tahun itu dilihat tidak mampu untuk bangun atau berjalan dan terpaksa diusung keluar dari padang oleh pasukan perubatan.

Brazil akan bertemu Jerman pada perlawanan separuh akhir.

Jurulatih Skuad Brazil, Scolari kini berhadapan dengan situasi sukar bagi menggantikan bintang Brazil itu.

Ini kerana Neymar dilihat sebagai tonggak utama buat pasukan kendalian Luiz Felipe Scolari yang mampu mengangkat Brazil sehingga ke perlawanan akhir.

Setakat ini, Neymar, 22, sudah menjaringkan sebanyak empat gol dalam edisi kejohanan kali ini bersama-sama dengan penyerang Argentina, Lionel Messi dan penyerang Jerman, Thomas Muller.

-Sentiasapanas.com

Neymar Retak Tulang Belakang! [2]
Neymar Retak Tulang Belakang! [3]
Neymar Retak Tulang Belakang! [4]
Neymar Retak Tulang Belakang! [5]

Thursday, June 19, 2014

La Roja Tersingkir, 5 Sebab Juara Bertahan Terkulai

La Roja Tersingkir, 5 Sebab Juara Bertahan Terkulai

Juara bertahan Sepanyol terkulai di peringkat kumpulan selepas tewas 0-2 kepada Chile dalam pertemuan Piala Dunia Kumpulan B di Stadium Maracana.

Penyokong Sepanyol kecewa

Chile yang tidak pernah menewaskan Sepanyol dalam 10 pertemuan sebelum ini memulakan perlawanan dengan lebih agresif dan mendahului hasil jaringan Eduardo Vargas pada minit ke 20.

Derita Sepanyol berganda apabila penjaga gol, Iker Casillas membuat kesilapan menampan lemah sepakan percuma Alexis Sanchez tepat ke arah Charles Aranguiz yang merembat masuk ke gawang pada minit ke 43.

Masuk babak kedua, Sepanyol cuba mencari peluang untuk merapatkan kedudukan namun Chile berjaya mengekang asakan bertalu-talu jentera serangan La Furia Roja.

Keputusan ini bermakna Belanda dan Chile menjadi dua pasukan terawal melangkah ke pusingan kalah mati.

Sepanyol pula menjadi juara bertahan ketiga gagal layak ke pusingan seterusnya selepas Perancis pada 2002 dan Itali (2010).

Berikut lima sebab mengapa juara Piala Dunia 2010 dan Euro 2012 itu gagal menyerlah kali ini.

Masih mengharapkan pemain lama

Iker Casillas

Selepas tewas 5-1 kepada Belanda, pengurusnya Vicente del Bosque terpaksa menggugurkan pemain bintang Xavi Hernandez serta Gerard Pique dan digantikan dengan Pedro Rodriguez dan Javi Martinez.

Walaupun ia dilihat untuk memperkukuhkan pasukan, ia sepatutnya dilakukan lebih awal. Koke, pemain tengah Atletico Madrid, yang penuh bertenaga dan semangat pula lewat ditampilkan dalam pasukan.

Keputusan terus memberi kepercayaan kepada penjaga gol, Iker Casillas terbukti satu kesilapan. Tambahan pula, kapten pasukan yang hebat sebelum ini bukan lagi pemain tetap untuk kelabnya Real Madrid, tetapi Del Bosque sepatutnya mempunyai banyak pilihan lain walaupun penjaga gol kedua, Victor Valdes cedera.

Pertahanan yang longgar

Carles Puyol with Spain

Jika dia dipersalahkan, Casillas juga mungkin akan menyalahkan barisan pertahanan yang sepatutnya mengawal dan melindunginya setiap kali kubu mereka diserang.

Lagipun, kejayaan Sepanyol pada 2010 dan Euro 2012 banyak bergantung kepada kehebatan pertahanannya mengekang asakan lawan.

Inspirasi Carles Puyol tiada kali ini. Gandingan pertahanan tengah, Pique and Sergio Ramos amat cemerlang beberapa tahun lalu, tetapi gagal menyerlah kali ini.

Keputusan menurunkan Javi Martinez pula terbukti gagal ketika menentang Chile. Kegagalan mengekang kepelbagaian formasi Belanda dan Chile menyebabkan Sepanyol dibolosi tujuh gol hanya dalam dua perlawanan.

Pemilihan Diego Costa

Diego Costa with Spain

Apabila Del Bosque memujuk Diego Costa mewakili negara angkatnya dan mengenepikan negara asal Brazil, amat jelas bahawa bintang Atletico Madrid itu akan menjadi pemain dalam kesebelasan utama.

Bagaimanapun, Sepanyol tidak membantu penyerang tengah itu menyesuaikan diri dengan corak permainan pasukan itu.

Dia seorang pemain yang memerlukan ruang setiap kali mendapat bola untuk merobek gol lawan, tetapi malangnya dia kelihatan seperti ‘dungu’ ketika berdepan dengan pertahanan Chile.

Dia tidak selesa dalam posisi itu sehingga rakyat Brazil sendiri bersorak memarahinya kerana memilih bermain untuk Sepanyol.

Gagal berubah daripada tiki-taka

Spain tiki-taka

Sepanyol tersilap langkah kerana terlalu mempercayai sistem itu yang amat berjaya dalam banyak kejohanan lalu. Corak permainan pasukan La Roja digerakkan seperti cara permainan Barcelona sehingga mencipta banyak kejayaan di bawah pengurus Pep Guardiola.

Namun, kejatuhan Barcelona dan bagaimana pasukan Bayern Munich kendalian Guardiola diratah oleh Real Madrid dalam separuh akhir Liga Juara-juara baru-baru ini, memberi isyarat bahawa era kehebatan tiki-taka telah pun berakhir.

Ia terbukti apabila rentak permainan Chile yang memberi tekanan kepada Sepanyol, menyebabkan pemainnya gagal membuat hantaran tepat dan tidak mampu mengawal bola seperti ia melekat di kaki yang selama ini menjadi kehebatan sebenar Sepanyol.

Bermain di Amerika Selatan

Maracana Fan - Spain vs Chile 2014

Pasukan Eropah memang sukar untuk menang Piala Dunia di benua Amerika dan ia tidak pernah berlaku. Kejatuhan Sepanyol sebenarnya telah bermula di Maracana setahun lalu apabila tewas 3-0 kepada Brazil dalam perlawanan akhir Piala Konfederasi dan kemerosotan berterusan ketika tewas kepada Chile.

Setiap pasukan Amerika Selatan dalam kempen kali ini mendapat sokongan daripada peminat dari benua itu. Kekalahan 5-1 kepada Belanda, menyebabkan Sepanyol memerlukan kemenangan ketika menentang Chile, tetapi penonton di Maracana menyokong Chile sehingga menyebabkan mereka seolah-olah bertarung sebagai tuan rumah. -AFP

Saksikan gol-gol menarik dalam perlawanan diantara Sepanyol dan Chile.


-Sentiasapanas.com