Wednesday, February 26, 2014

Anak Percaya Pasangan Sweden Akan Dipenjara

Anak Percaya Pasangan Sweden Akan Dipenjara

“Saya hanya merasakan mereka akan didapati bersalah dan dipenjarakan,” kata anak lelaki pasangan Malaysia di Sweden yang dibicarakan kerana didakwa memukul anak-anak mereka.

Ammar

Ketika ditanya apa yang difikirkan Ammar, 12, mengenai masa hadapan, dia berkata ibu bapanya seperti akan dipenjarakan sebelum dia dapat bertemu mereka.

Namun, apabila anggota polis wanita Sweden bertanya apa yang difikirkan mengenai masa depannya, Ammar berkata, apa yang dia boleh fikir adalah memeluk kedua-dua ibu bapanya semula.

“Mereka akan masuk ke dalam penjara, saya tidak tahu untuk berapa hari atau bulan. Apabila mereka dibebaskan, saya boleh bertemu mereka semula,” kata Ammar menerusi temuduga yang direkodkan lebih awal yang dipertontonkan di mahkamah daerah Solna di sini.

Azizul Raheem Awalluddin, seorang pengarah Tourism Malaysia di Stockholm dan isterinya, Shalwati Nurshal ditahan pada 18 Disember tahun lalu selepas Ammar memberitahu kakitangan di sekolahnya bahawa dia dipukul, menyebabkan mereka membuat laporan mengenainya kepada pihak berkuasa.

Memasuki hari keempat perbicaraan, Azizul dilihat memakai jaket baharu berwarna hitam dan tali leher biru, manakala Shalwati memakai jaket berwarna kelabu bersama dengan baju kurung.

Walaupun Shalwati dilihat sentiasa menulis nota pada minggu lepas, ibu kepada anak orang anak itu kini memberi tumpuan kepada video yang dipertontonkan sejak Isnin lalu.

Dalam temubual yang direkodkan itu, Ammar mengakui dia jarang dipukul oleh ibunya dengan rotan, ‘mungkin dua kali sebulan’.


Dia berkata, bapanya kadang kala menggunakan rotan ketika kelas al-Quran, tetapi tidak pernah benar-benar menggunakannya.

Ketika ditanya bila Ammar teringat saat dia pernah dirotan oleh bapanya, kanak-kanak berusia 12 tahun itu berkata, ketika dia mencuri kad kredit ibunya untuk membeli permainan video.

“Saya meminta ibu untuk membelikan alat permainan itu beberapa kali tetapi dia enggan. Jadi saya bertindak mengambil kad kreditnya dan membeli permainan itu sendiri,” kata Ammar.

Namun, Shalwati mengetahui perkara itu, menyebabkan Azizul bertindak memukul anaknya sebagai hukuman.

Ammar berkata, hukuman itu kekal diingatannya kerana dia merasakan bapanya lebih mementingkan wang berbanding dirinya.

“Saya melihat bapa benar-benar marah pada ketika itu,” kata Ammar.

Ini bukan kali pertama Ammar memberitahu bahawa adik-beradiknya yang lain turut dipukul kerana mencuri.

Ammar sebelum ini berkata, kakaknya Aishah turut dipukul beberapa kali kerana mencuri wang dan coklat.

Pada 10 Februari, Shalwati dan Azizul didakwa di atas tuduhan pencabulan integriti kanak-kanak dengan memukul dan mendera anak-anak mereka.

Pasangan itu didakwa melakukan kesalahan itu dirumah mereka di Spanga, Stockholm antara 15 September 2010 dan 17 Disember 2013.

Perbicaraan bersambung pada Selasa. –mStar Online

Friday, February 21, 2014

Anak Pasangan Sweden Dakwa Dipukul Lebih 1,000 Kali

Anak Pasangan Sweden Dakwa Dipukul Lebih 1,000 Kali

Ammar,12, anak pasangan Malaysia yang didakwa di Sweden berkata dia dipukul lebih dari seribu kali oleh ibunya dan beberatus kali oleh bapanya pada tahun 2013. Keterangan Ammar kepada pegawai penyiasat.

Rotan_Pasangan_Sweden

Dia juga telah disuruh berdiri di satu sudut rumah sepanjang hari sehingga bapanya pulang ke rumah sebagai hukuman.

Ia disampaikan dalam video oleh pendakwa Anna Arnell di dalam mahkamah di hadapan Hakim Mattias Moller pada hari kedua perbicaraan.

Memakai seluar jeans dan jaket hijau, Ammar juga memberitahu tentang dua insiden di mana beliau didakwa dipukul oleh ibu bapanya.

Insiden pertama adalah apabila dia mendengar muzik yang kuat ketika melakukan kerja rumah dan ibunya memukulnya dengan penyangkut baju sebagai hukuman.

Insiden kedua adalah ketika dia dan kakaknya bergaduh di dalam kereta semasa bapa mereka memandu mereka ke sekolah.

(Baca: Petua Menasihati Anak Yang Degil)

Beliau berkata beliau telah dipukul di bahu oleh bapanya Azizul Raheem Awaluddin setelah memukul kakaknya.

Ammar juga mendakwa kakak sulungnya, Aishah, 14 tahun, selalu dipukul kerana mempunyai tabiat suka mencuri coklat dari bilik ibu bapa mereka yang dikatakan berlaku pada setiap bulan.

Dalam satu lagi insiden, Ammar mengaku dipukul menggunakan tali pinggang kulit milik Azizul oleh ibunya setelah dia tidak berhenti mengeluh dan mengomel apabila diminta mencuci bilik air, memetik laporan portal Astro Awani.

“Rasa seperti ada darah keluar dari kaki saya. Saya juga rasa seperti ada air panas mengalir ke hujung kaki. Tali pinggang itu dibuat dari kulit. Ia milik ayah saya dan ia berwarna coklat,” ujarnya.

Ammar turut menceritakan satu kejadian ketika dia berusia lapan tahun di mana dia telah dicubit berhampiran kemaluannya oleh Shalwati.

Ammar bagaimanapun gagal mengingati punca dia dihukum sedemikian namun yakin ibunya tidak akan mengulangi hukuman itu.

Ammar

Dalam pada itu, Ammar yang kini berusia 12 tahun turut memberitahu bahawa dia pernah terdengar ibunya mencadangkan kepada Azizul untuk membiarkan dia sahaja yang memukul anak-anak bagi mendisiplikan mereka.

Alasan Shalwati ketika itu ialah kerana Azizul memukul anak-anak mereka terlalu kuat sehingga mereka menangis dengan lebih kuat namun ia berbeza sekiranya Shalwati yang memukul mereka.

Ammar berkata perbualan itu didengarinya ketika melintasi bilik ibu bapanya.

Sebelum itu melalui video berasingan, anak bongsu pasangan itu Arif telah menunjukkan beberapa objek yang diambil dari rumah mereka dan diminta untuk mengenal pasti yang mana digunakan untuk memukul beliau.

Arif, 7, kemudian mengenal pasti dua rotan dan pembersih karpet sebagai objek yang digunakan oleh ibunya, Shalwati Nor Shal untuk memukulnya.

Beliau menyifatkan ia sebagai “rotan yang mempunyai simpulan”.

Sumber: Astro Awani

Wednesday, February 19, 2014

Perbicaraan Di Sweden Bermula, Anak Mengaku Sering Dipukul!

Perbicaraan Di Sweden Bermula, Anak Mengaku Sering Dipukul!

Tiada saksi dipanggil oleh pihak pendakwa untuk memberi keterangan pada hari pertama perbicaraan pasangan rakyat Malaysia di mahkamah daerah Solna di Stockholm, Sweden, kata Pengerusi Sukarelawan Peguam Untuk Semua (Sukaguam) Datuk Khairul Anwar Rahmat.

Azizul Raheem dan Shalwati Norshal

Khairul Anwar, yang tiba di Stockholm pagi semalam berkata perbicaraan sebaliknya menyaksikan pihak pendakwa mengemukakan rakaman video polis Sweden dengan anak bongsu pasangan itu, Arif.

Beliau berkata Sukaguam dimaklumkan bahawa tiada orang dewasa atau jiran pasangan itu akan dipanggil untuk memberi keterangan pada perbicaraan itu.

“Kami membuat andaian bahawa mungkin saksi yang dipanggil terdiri daripada rakan-rakan sekolah anak-anak berkenaan,” kata beliau dalam kenyataan kepada Bernama.

Khairul juga percaya bahawa saksi-saksi utama dan barangan kes penting cuma rakaman video anak pasangan itu.

Pada 10 Feb, Shalwati Norshal, guru yang mengambil cuti tanpa gaji, dan suaminya Azizul Raheem, pegawai Tourism Malaysia di Sweden didakwa secara berasingan di mahkamah daerah Stockholm atas tuduhan mendera anak mereka.

Perbicaraan bermula pukul 9 pagi dan dijangka berlangsung selama dua minggu.

Peguam Shalwati, Kristofer Stahre, juga mengesahkan dalam sebuah akhbar berbahasa Inggeris bahawa anak pasangan itu tidak perlu menghadiri perbicaraan.

Sebelum itu, Khairul Anwar dilaporkan sebagai berkata pihak pendakwa Sweden sebaliknya boleh menghantar wakil ke Malaysia untuk merakamkan kenyataan lanjut daripada anak pasangan itu.

Sementara itu, kakak Shalwati, Noor Azila Makhzan ketika dihubungi Bernama berkata pasangan itu amat gembira apabila bertemu satu sama lain dan anggota keluarga semasa perbicaraan.

“Inilah kali pertama Azizul dan Shalwati (direman berasingan) dapat melihat muka masing-masing. Shalwati menitis air mata melihat Azizul.

“Dia dan Azizul juga melambai tangan melihat keluarga dalam mahkamah,” katanya yang tiba di Stockholm pagi semalam.

Menurut Noor Azila, beliau mendapati bahawa semasa perbicaraan, pihak pendakwa mengemukakan antara lain, rotan, pemukul permaidani dan gambar penyangkut baju pelbagai warna iaitu antara objek yang dikatakan diguna untuk memukul kanak-kanak itu beberapa kali.

“Barang-barang kes ditunjuk kepada Azizul dan Shalwati melalui peguam-peguam mereka di mana Azizul dan Shalwati tidak mengaku memukul anak-anak mereka dengan barang-barang kes tersebut,” katanya.

Perbicaraan ditangguhkan pada 5 petang (12 malam waktu Malaysia) dan akan bersambung pukul 9 pagi esok.

Shalwati dan Azizul didakwa memukul anak mereka di rumah mereka di Stockhoml antara 15 September 2010 hingga 17 Disember 2013.

Mereka berdua bakal berdepan hukuman penjara antara enam bulan dan enam tahun bagi setiap pertuduhan.

Pasangan itu ditahan pada 18 Disember tahun lepas kerana didakwa memukul anak mereka kerana tidak menunaikan solat.

Di bawah sistem kehakiman Sweden, mereka yang dituduh tidak dibenar dibebas dengan ikat jamin.

Keempat-empat anak pasangan itu yang sebelum ini diletakkan di bawah jagaan keluarga angkat bukan Islam susulan kes itu kemudian diserahkan kepada Kedutaan Malaysia di Sweden pada 30 Jan dan kembali ke Malaysia pada hari berikut.

Mereka kini memulakan persekolahan di sebuah sekolah di Kelantan dan dijaga oleh sanak saudara. -Bernama

Mengaku Sering Dipukul Ibu

Anak-anak Azizul Raheem dan Shalwati Norshal

Anak pasangan Malaysia yang kini sedang didakwa di Mahkamah Sweden kerana dakwaan penderaan anak-anak dalam keterangan mereka berkata mereka menanggung penderitaan akibat kerap dipukul oleh ibu mereka Shalwati Norshal.

Seorang daripada anaknya pula berkata, mereka sudah tidak berasa sakit lagi akibat sering dipukul.

Menurut laporan portal berita Sweden The Local, Shalwati dilaporkan memukul anak-anaknya untuk beberapa tahun termasuk menggunakan kayu, penyangkut baju dan juga tali pinggang.

“Saya sudah biasa dipukul oleh ibu.

“Dia selalu memukul saya di belakang dan di kaki, kemudian dia akan menarik telinga saya dan memukul saya di kepala,” kata seorang anak Shalwati.

Menurut laporan media lain, Azizul ketika soal siasat berkata beliau hanya memukul anaknya pada kali kedua mereka sudah melakukan kesalahan untuk mendisiplinkan mereka.

Antara dakwaan yang dikenakan ke atas Azizul ialah beliau memaksa seorang daripada anaknya itu untuk duduk di penjuru rumah selama lapan jam tanpa makanan.

Anak Shalwati yang berusia 12 tahun juga dilaporkan telah menulis surat meminta maaf daripada ibunya.

“Ia adalah hanya kemarahan saya yang memulakan semua ini, saya akan menyayangi ibu dan tiada apa yang akan mengubahnya,” katanya.

Surat itu dimaklumkan oleh peguam bela Shalwati Kristofer Stahre kerana ia ditemui di dalam rumah ketika pemeriksaan dilakukan tetapi surat itu ditolak oleh pasukan pendakwaan untuk dijadikan bahan bukti.

Pendakwa, Ana Arnell pula dilaporkan berkata surat itu tidak diambil kira sebagai bukti kerana ia adalah satu bentuk komunikasi peribadi dalam kalangan ahli keluarga. -Mynewshub

-Sentiasapanas.com

Tuesday, February 11, 2014

Pasangan Malaysia Didakwa Dera Anak Sejak 2010!

Pasangan Malaysia Didakwa Dera Anak Sejak 2010!

Pasangan Malaysia di Sweden, Azizul Raheem Awaluddin dan Shalwati Norshal didakwa di mahkamah di Sweden hari ini, atas tuduhan memukul dan mendera keempat-empat anak mereka dalam beberapa insiden sepanjang tiga tahun sejak September 2010 sehingga Disember tahun lalu.

Pasangan Malaysia Didakwa Dera Anak Sejak 2010!

Pendakwaraya mengemukakan kertas pertuduhan setebal 11 muka surat itu yang bagaimanapun tidak menyebut punca atau sebab kenapa keempat-empat kanak-kanak itu, Aisyah Azizul Raheem, 14, Ammar (12), Adam (11) dan Arif (7) dipukul dan didera.

Perbicaraan kes berkenaan mungkin ditetapkan pada 18 Februari dan dijangka berlangsung selama 14 hari.

Pertuduhan antara lain mendakwa Azizul dan Shalwati memukul sehingga meninggalkan kesan fizikal dan mengakibatkan kesakitan dengan mengunakan objek seperti rotan, tali pinggang dan tangan serta turut dicubit dan dipulas telinga.

(Baca: Hikmah Disebalik Kisah Azizul Dan Shalwati Di Sweeden)

Dokumen tersebut turut menyenaraikan beberapa individu yang terlibat dalam soal siasat bagi kes tersebut termasuk kaunselor dan guru-guru sekolah kanak-kanak terbabit dan petugas kebajikan.

Undang-undang Sweden menetapkan tindakan memukul anak adalah salah disisi undang-undang.

Laporan terdahulu memetik peguam pasangan itu Kristopher Stahre memaklumkan, Azizul dan Shalwati akan mencabar pertuduhan tersebut.

Sebelum ini pihak pendakwaan menghantar permohonan bertulis kepada mahkamah untuk mendakwa pasangan berkenaan sekitar 6 petang waktu Malaysia pada Isnin. Sumber: Astroawani.com

UPDATE!

Bekas Jiran Dedah Perkara Sebenar

Pasangan Malaysia - Sweden

Isu pasangan Malaysia yang ditahan di Sweden semakin mendapat perhatian dan berlarutan agak lama.

Rakyat Malaysia sendiri keliru dan teragak-agak untuk mengecam tindakan pihak Sweden yang menahan reman pasangan terbabit dalam tempoh yang begitu lama.

Semalam, terdapat sekeping gambar skrinshot dari Facebook dimana didalam gambar tersebut, bekas jiran senegara pasangan tersebut di Sweden mendedahkan perangai sebenar mereka.

Menurut jiran tersebut, pasangan yang ditahan di Sweden itu, hanya memberikan alasan ajar anak sembahyang untuk mempertahankan diri dari dicekup pihak berkuasa Sweden.

Dibawah adalah screenshot pendedahan oleh bekas jiran tersebut.

Pasangan Malaysia - Sweden [2]

Sejauh mana kesahihannya adalah masih belum diketahui. Apa pun sama-sama lah kita menanti keputusan mahkamah kelak. Sumber: Akupunyer.com

-Sentiasapanas.com

Saturday, February 08, 2014

Hikmah Disebalik Kisah Azizul Dan Shalwati Di Sweeden

Hikmah Disebalik Kisah Azizul Dan Shalwati Di Sweeden

Kisah pasangan Azizul Raheem Awalludin dan Shalwati Norshal yang ditahan di Sweden kerana mendidik anak-anak mereka supaya tidak meninggalkan solat mendapat perhatian umum.

Azizul Dan Shalwati

Kedua-dua pasangan ini dipenjarakan sementara menunggu perbicaraan di bawah Akta Perlindungan Kanak-kanak Sweden.

Rentetan kisah yang menyayat hati ini, sedikit cebisan senyuman dan harapan dibutirkan oleh pihak kerajaan Malaysia apabila berjaya membawa pulang keempat-empat anak pasangan ini ke tanah air.

Sebelum ini mereka diserahkan kepada keluarga bukan Islam di Sweden setelah ibu bapa mereka ditahan pihak berkuasa Sweden.

Kejadian ini sudah tentunya, membawa seribu satu pengajaran dan hikmah yang boleh dikutip oleh semua lapisan masyarakat di negara kita.

Pertama, golongan kanak-kanak dan remaja boleh mempelajari bahawa ibu bapa yang prihatin dan bertanggungjawab akan senantiasa memastikan kejayaan anak- anak mereka bukan setakat kejayaan di dunia malah di akhirat juga.

Lihat sahaja keprihatinan Shalwati sebagai ibu yang berusaha gigih untuk mendidik anak-anaknya supaya jangan meninggalkan solat.

Tetapi harga dalam mendidik anak dan menegakkan sunnah Baginda Rasulullah SAW terpaksa dibayar dengan hukuman yang berat sehingga terpaksa meringkuk di dalam penjara.

Azizul Dan Shalwati [2]

Dalam hal ini, penulis yakin bahawa setidak-tidaknya anak-anak pasangan ini akan sentiasa ingat untuk tidak sekali-kali meninggalkan solat kerana mengenangkan kesilapan mereka meninggalkan solat telah menyebabkan ibu bapa mereka di penjara.

Kanak-kanak dan remaja lain juga pasti akan ingat bahawa ibu bapa memikul tanggungjawab untuk mendidik mereka bersolat kerana jika anak-anak yang sudah baligh tidak bersolat maka ibubapa turut akan mendapat dosa.

Hikmah kedua ialah peristiwa ini telah membuka mata banyak ibu bapa di luar sana bahawa adalah menjadi tanggungjawab mereka untuk mendidik anak-anak tentang solat.

Mungkin ramai antara kita yang terlupa menyuruh anak solat. Mereka lebih risau jika anak mereka gagal dalam peperiksaan. Namun amat jarang kita dapati ibu bapa mengeluh kerana anak mereka tidak bersolat.

Wajarkah perkara ini berlaku? Sedangkan Rasulullah SAW pernah bersabda: "Apabila seorang anak telah mengenal kiri dan kanan, ajarlah dia bersembahyang".

Dalam sebuah hadis yang lain, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud "Perintahlah anak-anak kamu supaya mendirikan sembahyang ketika berusia tujuh tahun dan pukullah mereka kerana meninggalkan sembahyang ketika berumur 10 tahun dan asingkanlah tempat tidur di antara mereka (lelaki dan perempuan)" (Hadis riwayat Abu Daud).

(Baca: Luarbiasa! Kenapa Bibir Tidak Bergerak Ketika Menyebut Kalimah LA ILA-HA ILLALLAH?)

Justeru, adalah penting untuk mendidik anak-anak tentang kejayaan dunia, namun jangan pula dilupa kejayaan di akhirat.

Hikmah seterusnya ialah terserlahnya keprihatinan masyarakat, badan-badan bukan kerajaan dan pihak kerajaan dalam menangani permasalahan ini.

Umum mengetahui, sejak kes ini dilaporkan di media massa, hampir setiap hari ada sahaja laporan dan berita yang melaporkan keprihatinan masyarakat terhadap keluarga ini.

Orang ramai pasti mendoakan agar kes ini dapat diselesaikan secepat mungkin. Ini menunjukkan masyarakat sangat prihatin dan bersatu dalam sesuatu hal yang melibatkan rakyat negara ini yang berada di perantauan.

Begitu juga halnya dengan badan-badan bukan kerajaan dan parti-parti politik tanah air yang turut bersama-sama dengan pihak kerajaan dalam usaha mencari penyelesaian kepada permasalahan ini.

Ini menunjukkan walaupun dalam banyak hal wujud pertembungan pemikiran akibat perbezaan politik, namun dalam hal yang melibatkan masalah rakyat maka semua pihak bersatu.

Keadaan ini boleh menjadi perintis kepada usaha menyatupadukan lagi rakyat terutamanya kaum Melayu Islam pada masa hadapan.

Pengajaran lain yang dapat dikutip ialah betapa pentingnya setiap Muslim untuk memikirkan persoalan besar di sebalik isu-isu yang menggoncang keamanan negara seperti isu kalimah Allah dan tuntutan Gabungan NGO-NGO Hak Asasi Manusia (Comango).

Tuntutan comango

Peristiwa ini menunjukkan bahawa jika hak asasi manusia menjadi undang-undang yang paling tinggi di sesebuah negara maka akan terbelakah lagi Islam di bumi Malaysia suatu hari nanti?

Sebagai contoh, dalam hak asasi manusia, solat merupakan hak peribadi dan terpulang kepada individu sama ada hendak melakukannya ataupun tidak. Begitu juga dalam soal minum arak. Menurut hak asasi semua manusia termasuk orang Islam boleh minum arak.

Mahukah suatu hari nanti apabila hak asasi ini menjadi undang-undang negara kita? Mahukah kita suatu hari nanti ibu bapa Muslim di Malaysia boleh didakwa memukul anak yang tidak bersolat?

Mungkin juga kita tak mampu berbuat apa-apa lagi apabila anak-anak kita pulang ke rumah sambil memegang botol arak kerana ia adalah hak asasi?

Perkara ini tidak mustahil akan berlaku di negara kita suatu hari nanti jika undang-undang sedia ada diganti dengan undang-undang hak asasi manusia.

Justeru, adalah tidak keterlaluan jika dikatakan Azizul Raheem dan Shalwati layak dinobatkan sebagai pencetus ummah negara.

Tindakan mereka menegakkan sunnah walaupun dilihat kecil di mata kita, namun ia memberi impak yang cukup besar kepada agama, bangsa dan negara.

Semoga kisah ini memberi peringatan dan pengajaran kepada semua rakyat Malaysia.

[Sumber]

Tuesday, January 21, 2014

Penahanan Suami Isteri Di Sweden MEMANG MELAMPAU!

Penahanan Suami Isteri Di Sweden MEMANG MELAMPAU!

Wakil keluarga pasangan Malaysia yang ditahan atas dakwaan memukul anak kerana tidak bersolat mendakwa pihak berkuasa Sweden masih tidak membenarkan mereka menemui suami isteri itu walaupun sudah memasuki hari ke-32 direman tanpa perbicaraan.

Suami-Isteri Ditahan Di Sweden

Sumber yang tidak mahu dikenali itu mendakwa sejak ditahan 18 Disember lepas, beliau dan anggota keluarga lain cuba melawat pasangan itu di penjara Sweden namun tidak dibenarkan.

“Dia ditahan reman di penjara sejak 18 Disember 2013 sementara menunggu siasatan, begitu juga dengan suaminya. (Pada mulanya) pendengaran reman ditetapkan pada 2 Januari 2014 menerusi televisyen jadi kami tidak dapat menemui dia dan suami di penjara berasingan.

“Pendengaran reman ditangguhkan pula kepada 16 Januari, selepas itu ditangguhkan lagi selama dua minggu (akhir bulan ini),” katanya ketika dihubungi.

Azizul Raheem Awalludin dan isterinya, Shalwati Norshal, guru yang bercuti tanpa gaji, ditahan pada 18 Disember untuk membantu siasatan kerana didakwa memukul tangan seorang daripada anak mereka yang tidak bersolat.

Sumber tersebut yang bersedih dengan kejadian yang menimpa keluarga mereka berharap pihak berkuasa Sweden dapat bertimbang rasa dan membenarkan mereka melawat pasangan terbabit secepat mungkin.

Sementara itu, seorang lagi anggota keluarga terdekat yang juga enggan dikenali berkata untuk menemui empat anak pasangan itu, permohonan perlu dibuat terlebih dahulu menerusi peguam kanak-kanak terbabit di Sweden.

(Baca: Manusia Yang Menderita Kerana Penyakit Yang Luar Biasa!)

“Kami sudah pun membuat permohonan kepada pihak peguam di sana. Pihak berkuasa Sweden sudah lantik peguam untuk Encik Azizul (bapa) ada satu peguam, Shalwati (ibu) ada satu peguam, anak-anak (empat beradik) ada satu peguam.

“Ini kerana di Sweden ada dua mahkamah, satu mahkamah jenayah, satu lagi mahkamah pentadbiran, anak-anak ini di bawah mahkamah pentadbiran, kalau hendak berjumpa mesti mendapat kebenaran daripada pihak social service (Khidmat Sosial Sweden) dahulu,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan pihak berkuasa Sweden telah memberi kebenaran kepada wakil anggota keluarga untuk berjumpa dengan empat beradik itu, bagaimanapun beliau difahamkan pertemuan itu hanya boleh dilakukan selepas siasatan selesai dijalankan.

“Siasatan sekarang masih berjalan, jadi kami tidak dibenarkan untuk berjumpa lagi… Dia (Sweden) cakap selagi siasatan dijalankan kita tidak boleh berjumpa budak-budak itu, itu apa yang diarahkan oleh pihak berkuasa Sweden,” katanya.

Mengulas rayuan empat beradik itu supaya diletakkan dalam penjagaan keluarga Melayu Islam dari Malaysia, beliau berkata pihaknya masih belum menerima tarikh perbicaraan berhubung penjagaan kanak-kanak itu.

“Pihak berkuasa Sweden bukan boleh hantar macam itu sahaja, mereka perlu dibawa ke mahkamah, mahkamah pentadbiran yang akan buat keputusan, pada keluarga mana yang nak dihantar.

“Jadi kita masih belum dapat tarikh perbicaraan tentang custody (penjagaan) anak-anak ini di mahkamah lagi. Kita kena tunggu lagi sekarang ini,” katanya.

Sementara itu, rakyat Malaysia turut menyatakan simpati dan sokongan kepada pasangan itu melalui Twitterjaya, komuniti perbincangan dan diskusi mengenai isu semasa di hashtag #SwedenLetThemGo dan #BringThemBack, semalam.

Antaranya @klubbkiddkl, “There is no need to talk of discrimination or religion. #SwedenLetThemGo is about getting back our family, our Malaysians TOGETHER! Respect laws of other nations and how they run it. We just want Azizul and Shalwati to be reunited with their four children.

Komen lain adalah @KhairulARahmat, “Jika benar Sweden dokong hak asasi, maka satukan kembali keluarga Saudara Azizul Raheem Awalludin dan Ketua Pemuda Gerakan Nasional,Tan Keng Liang ; “Agree we should respect Sweden’s law. But sometimes, Swedish should learn humanity. Allow the kids to go back Malaysia.”

Sumber: Bernama