Wednesday, May 20, 2015

69 Pesalah Trafik Ditangkap Hari Pertama Ops Warta

69 Pesalah Trafik Ditangkap Hari Pertama Ops Warta

Seramai 69 pesalah trafik yang telah dikenakan waran tangkap ditahan selepas Ops Warta dimulakan di seluruh negara.

Ops Warta
Salah seorang pesalah trafik. - Foto BERNAMA

Timbalan Ketua Trafik Bukit Aman, ACP Mahamad Akhir Darus berkata daripada jumlah itu, sebanyak 36 tangkapan dibuat di Pulau Pinang, 24 di Melaka dan selebihnya di negeri lain.

Manakala untuk tempoh sama, beliau berkata seramai 44 pesalah trafik yang telah dikenakan waran tangkap tampil ke balai untuk menyerah diri.

“Ini termasuk 39 di Sarawak, dua di Terengganu dan tiga di Sabah,” katanya pada sidang media selepas menyertai operasi Ops Warta bersama media di beberapa premis pekerjaan.

Bagaimanapun, Bernama yang turut mengikuti operasi itu mendapati terdapat pesalah trafik yang tidak berada di premis tempat kerja mereka atas alasan mengambil cuti sakit dan cuti kecemasan.

Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, Datuk Mohd Fuad Abdul Latiff turut memaklumkan beliau mendapat maklum balas yang sama daripada pasukan terlibat dalam operasi di negeri-negeri lain, seluruh negara.

“Mungkin mereka (pesalah trafik) ini dah hidu…saya ingatkan kepada mereka ini, bahawa mereka ini tidak akan boleh ambil cuti sakit atau cuti kecemasan selama-lamanya.

Eloklah daripada kami yang mencari, mereka menyerahkan diri di balai-balai berdekatan,” katanya.

Selain premis tempat kerja, Mohd Fuad berkata buat masa ini operasi juga ditumpukan kepada sekatan jalan raya, sebelum fokus diberikan kepada mengesan kediaman pesalah-pesalah trafik ini.

“Sekiranya respons dan tahap pencapaian kami di tahap kurang memuaskan (untuk premis tempat kerja dan sekatan jalan), sehingga tiba tahap itu, baru kami akan ke rumah-rumah. Kami tahu pergerakan mereka, insya-Allah beri masa, kami akan kesan mereka,” katanya.

Ditanya mengenai sasaran, beliau berkata pihaknya tidak meletakkan sasaran harian tetapi berazam mengesan kesemua 1.59 juta waran tangkap, termasuk sekiranya perlu, mengadakan operasi setiap hari, termasuk pada waktu malam dan hari minggu.

Mengulas lanjut, Mohd Fuad berkata kesemuanya berjalan lancar, tiada pergelutan berlaku dan kesemua pesalah trafik yang ditahan memberikan kerjasama kepada pihak polis.

Ditanya mengenai prosedur operasi standard (SOP) ke atas pesalah trafik yang ditahan di dalam Ops Warta, beliau memaklumkan setiap pesalah trafik yang ditahan akan dibawa ke balai berdekatan, sebelum kertas pertuduhan ke atas mereka disiapkan untuk dibacakan di mahkamah.

“Kalau kita tangkap pagi, mahkamah masih bersidang pada petang, sekiranya tangkap petang dan mahkamah tutup kalau ikut SOP waran tangkap mereka akan dibawa ke lokap sementara, melainkan kita bagi mereka bawa penjamin,” katanya.

Ops Warta dilancarkan bagi mengesan pesalah trafik yang mempunyai status waran tangkap yang belum diselesaikan dan jumlah 1.59 juta merupakan baki daripada 1.8 juta saman seperti diumum Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam Ops Selamat 5 yang dilancarkan semasa Hari Raya Aidilfitri tahun lepas. –BERNAMA

BACA INI JUGA: Tahukah Anda Siapa Pencipta Gari?

Sunday, August 18, 2013

‘Ops Warta’ Buru Pemandu Tak Bayar Saman!

‘Ops Warta’ Buru Pemandu Tak Bayar Saman!

Polis Diraja Malaysia merancang mewujudkan semula Ops Warta berikutan kegagalan pendekatan berhemah atau advokasi bagi mendidik pengguna jalan raya, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.


Beliau berkata Ops Selamat yang dilancar sepanjang perayaan Aidilfitri, bermula 1 Ogos lepas dan berakhir kelmarin, tidak memberi kesan memberangsangkan.

“Sepanjang tempoh itu, kes kematian yang melibatkan penguna jalan raya dilaporkan semakin meningkat, malah jumlah kemalangan yang menurun pun tidak begitu membanggakan. Kita perlu membuat sesuatu dengan lebih agresif, bukan hanya setakat memantau tetapi penguatkuasaan yang menyeluruh perlu segera dilakukan.

“Saya berpandangan bahawa untuk mengubah sikap pemandu kita ini agar lebih berhati-hati adalah dengan saman,” katanya kepada pemberita selepas majlis lawatan panel hakim penilai Anugerah Desa Sejahtera di Kampung Gebok, Mantin pada Jumaat.

Khalid berkata walaupun pihaknya ada mengeluarkan saman pada Ops Selamat, namun ia sedikitpun tidak memberi kesan kepada pengguna jalan raya.

Beliau berkata sehubungan itu, antara pendekatan pertama yang akan diambil selepas ini ialah mencari pesalah trafik yang tidak membayar saman melalui Ops Warta dan tidak lagi menunggu sehingga musim perayaan untuk bertindak.

“Hanya pendekatan tegas sahaja yang boleh menyedarkan pengguna jalan raya untuk berubah.

“Punca utama kemalangan ialah akibat sikap mereka sendiri dan bukan faktor lain seperti kejuruteraan jalan raya,” katanya.

Bagaimanapun, Khalid berkata keputusan akhir pelaksanaan Ops Warta hanya akan dibuat selepas mendapat laporan penuh Ops Selamat dalam tempoh satu atau dua hari lagi, selain perbincangan dengan pegawai lain di Bukit Aman.

Ops Warta dilancar di seluruh negara pada 2000 bagi menangkap lebih 260,000 pemilik kenderaan yang dikeluarkan waran tangkap, namun masih belum menjelaskan saman masing-masing. -BERNAMA