Wednesday, March 11, 2020

Luahan Hati Pesakit OCD, Sangat Kasihan Dan Menginsafkan Kita

Luahan Hati Pesakit OCD, Sangat Kasihan Dan Menginsafkan Kita

Kecelaruan obsesif-kompulsif (sering dipendekkan menjadi OCD) adalah penyakit mental yang menyebabkan pemikiran dan tindakan yang berulang dan tidak diingini, menghadkan keupayaan untuk mengambil bahagian dalam perhubungan, tempat kerja dan dalam masyarakat secara amnya.

A. Akmal OCD
A. Akmal.

Tahukah anda apa sebenarnya OCD? Dan tahukah anda penyakit 'OCD' boleh menjadi serius dan dikelaskan sebagai penyakit mental?

Mari kita dengarkan luahan hati seorang lelaki bernama A. Akmal, yang menghidapi penyakit Pure O OCD sejak kecil.

MENTAL

Apabila kita sebut tentang penyakit mental, kebanyakan orang akan membayangkan manusia gila isim. Selekeh, serabai, cakap tak betul dan sebagainya. Itulah apa yang saya sebut sebagai mitos. Stigma.

Saya merupakan penghidap Pure O OCD sejak kecil. OCD, Obsessive Compulsive Disorder ialah penyakit mental yang berpunca daripada masalah genetik dan komposisi kimia otak yang berlainan, menyebabkan penghidapnya mempunyai masalah dalam mengawal pemikirannya sendiri.

Bunyi macam tak teruk, tapi sebenarnya teruk. Sekarang, bayangkan ada empangan yang membatasi sungai daripada mengalir deras. Katakanlah, empangan itu pecah, maka sudah pastilah sungai itu akan mengalir deras, melimpah keluar dan merosakkan kawasan yang berdekatan.

Secara analoginya, sungai beraliran deras itu ialah pemikiran kita dan empangan itu ialah bahan kimia yang mengawal had pemikiran kita. Minda penghidap OCD adalah seperti sungai berempangan pecah.

Mindanya tak mampu dikawal dek bahan kimia otak yang sedikit. Oleh sebab itulah, mereka akan selalu ada suara-suara hati yang mengatakan itu, ini dan menyuruh berbuat itu ini.

Saya terpaksa terangkan tentang masalah OCD ini kerana ramai orang masih lagi salah faham. Sifat terlampau pembersih, fobia kuman tak semestinya anda seorang penghidap OCD. Masalah tak boleh kawal minda itulah sifat utama penghidap OCD.

Sebagai contoh, minda OCD akan mendesak anda untuk melihat sama ada pintu pagar di rumah sudah dikunci atau belum. Anda tahu bahawa anda sudah mengunci pagar, tapi oleh sebab desakan minda OCD itu sangat dahsyat, anda tak mempunyai pilihan lain selain melihat pintu pagar anda, sama ada sudah dikunci atau belum, berkali-kali.

Desakan minda itu ialah Obsessive dan bagi meredakan minda OCD anda, anda akan melakukan ritual seperti memeriksa pagar (Compulsive). Inilah OCD.

Pure O OCD

Berlainan dengan OCD tradisional, Pure O OCD ialah OCD yang paling berbahaya. Pure O OCD ialah OCD yang tak mempunyai sebarang aktiviti Compulsive. Kamu cuma ada Obsessive sahaja.

Sebab itulah Pure O. Purely Obsessional. Itulah penyakit saya. Kalau saya nak terangkan OCD dengan melalui muzik, lagu yang sesuai ialah Sad But True dan The Frayed Ends Of Sanity-Metallica.

Gejala terawal penyakit ini muncul pada saya barangkali sewaktu berumur 4 tahun. Saya masih lagi tak reti nak bercakap sewaktu saya berumur 4 tahun (boleh jadi sebab ibubapa saya bercakap dialek lain-lain lalu menyebabkan kekeliruan).

Selain itu ialah obsesi saya tentang bagaimana rasanya mati. Saya banyak kali terbayang apa perasaan perut ditikam pisau sewaktu umur tersebut. Nasib baik TV1 banyak tayang iklan masyarakat tentang bahaya bermain benda berbahaya.

Semasa saya berumur 8 tahun, saya dan keluarga saya bercuti di A'Famosa bagi menyambut hari lahir saya. Hadiah yang saya dapat waktu itu ialah ensiklopedia sains berbahasa inggeris dan set arkeologi olok-olok (batu simen plaster yang boleh digali seperti arkeologi).

Dari sinilah, bermulanya cinta saya kepada sains. Buku tersebut habis dibaca dalam masa sehari.

Bapa saya mula menanyakan soalan-soalan berdasarkan buku tersebut dan saya mampu menjawab kesemua soalan itu.

Faktor ini dan juga keputusan peperiksaan saya yang cemerlang, ibubapa saya mula membeli majalah dan buku ilmiah kepada saya dan seluruh keluarga saya, tak kisah dari belah mak atau ayah, mula menganggap saya sebagai prodigi.

Sebenarnya apa yang membuatkan fakta-fakta itu melekat ialah minda OCD saya yang mahukan jawapan yang lebih mendalam, memaksa saya membaca dan terus membaca, sehinggakan perpustakaan mini di rumah sepupu saya habis dibaca dalam dua minggu.

Dulu, saya banyak kali diharamkan menjawab soalan dalam kelas oleh cikgu. Tanya boleh, jawab tak boleh. Inkuiri saya terlampau tinggi, dan saya tak boleh mengawalnya.

Semasa saya dalam darjah 6, sesuatu yang traumatik berlaku pada saya. Ibubapa saya bercerai. Di sini, OCD saya menjadi dahsyat. Saya cuba memahami kenapa ibubapa saya bercerai.

Saya sentiasa patuh pada ibubapa saya. Saya buat apa yang mereka suruh. Saya tak terjebak dengan gejala sosial dan buli. Malah, saya turut berikan mereka keputusan peperiksaan yang cemerlang sebab kata mereka, keputusan cemerlang ialah hadiah yang paling bagus.

Jadi, saya ada berbuat salahkah sampai mereka bercerai? Saya ini jahat sangatkah sampai dihukum takdir sebegitu?

Minda OCD saya mula mencelah, kalau saya budak baik, kenapa saya dapat bad ending? Bukankah Tuhan itu Maha Baik? Kalau inilah yang terbaik untuk saya, adakah itu adil?

Sebagai contoh, adakah adil Tuhan menghantar taufan menyapu habis sebuah negara, sedangkan masih ada orang yang tak bersalah? Bolehkah itu dianggap sebagai adil?

Di akhir rumusan minda saya, minda OCD saya mengatakan Tuhan sebenarnya tak wujud. Apa yang saya tak tahu waktu ini ialah minda OCD saya mengutarakan paradoks Epicurus:

"Adakah Tuhan berniat untuk menghalang kejahatan, tapi tak mampu? Maknanya Dia maha lemah. Adakah Tuhan mampu, tapi tak mahu halang? Maknanya Dia maha zalim. Adakah Dia mampu untuk berniat dan menghalang? Jadi, mengapa ada kejahatan? Adakah dia tidak mampu untuk berniat dan menghalang? Jadi, mengapa panggil-Nya Tuhan?"- Paradoks Epicurus

Apa yang membuatkannya menjadi lebih teruk ialah minda OCD saya mula memutarkan memori terindah saya diselang dengan memori terburuk saya. Memori diangkat oleh bapa saya sambil ibu saya mengatakan saya ialah hadiah terindah, diselang dengan memori diberitahu berita penceraian oleh bapa saya sendiri.

Benda ini berterusan dalam beberapa tahun. Akibatnya, saya tewas kepada desakan minda OCD saya dan menjadi agnostik freethinker seawal 12 tahun. Saya menolak agama.

Berikutan keputusan UPSR yang cemerlang, saya dimasukkan ke Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor (SEMASHUR). Dua tahun selepas itu, sewaktu saya melihat bintang-bintang di waktu malam, saya mula menyoal kembali pandangan minda OCD saya.

Betulkah Tuhan tak wujud? Kalau nak kata Tuhan tak wujud, saya perlukan ilmu Pengetahuan Mutlak, sebab sesiapa yang ada Pengetahuan Mutlak, dialah Tuhan itu.

Secara konklusinya, saya tak boleh kata Tuhan tak wujud sebab ilmu saya sedikit. Saya mula meneroka kembali Islam, bertaubat dan setelah sekian lama, hati dan minda saya menjadi tenang. Saya mula kembali menjadi diri saya yang positif.

Masa terus berlalu dan saya menginjak masuk Tingkatan 4. Waktu ini, minda OCD saya mula menjadi agresif. Personaliti saya boleh bertukar menjadi ganas sekirannya diancam, termasuk sparring.

Sejak dari itu saya mula menghindari aktiviti seni bela diri, kerana tak mahu cederakan orang. 2 tahun selepas itu, saya berjaya mendapat keputusan A straight bagi SPM dan sekali lagi, minda OCD saya menyerang.

Saya gagal dalam temuduga JPA ke luar negara, ditambah lagi dengan tekanan daripada orang ramai, saya akhirnya jatuh ke fasa psikosis, fasa paling teruk bagi pesakit mental. Saya tak boleh tidur seharian dan minda OCD mampu menjelma menjadi suara yang boleh didengari.

OCD Boleh Disembuhkan

Psikosis ni bukan benda kelakar. Rasa macam nak mati. Gelak sambil menangis, pada masa yang sama rasa gembira tapi murung. Semua jenis perasaan ada. Lagi teruk daripada depresi. Selepas itu barulah saya pergi klinik psikiatari dan di diagnos mempunyai OCD.

Walaupun saya sudah pulih, sudah mampu hidup tanpa ubat, kecederaan mental oleh psikosis tetap menjadi kekal. Saya sudah tak mampu nak berempati dengan manusia. Saya tak mampu bersedih, merasai dan memberi cinta, padahal itulah apa yang membuatkan manusia menjadi manusia.

Saya sedikit pun tak rasa apa-apa apabila saudara dan rakan yang agak rapat dengan saya meninggal. Bagi saya, itu ialah normal. Manusia mati setiap hari. Kalau boleh, saya nak rasa sedih tapi tak boleh.

Sebab itu jugalah, saya tak beberapa kisah kalau saya hidup membujang dan keseorangan sampai tua, sebab hati dah tak rasa apa-apa bila berinteraksi dengan manusia. Namun, itulah masalahnya.

Tak kisahlah sejauh mana pun saya cuba hidup keseorangan, pasti ada yang akan menarik saya kembali hidup bermasyarakat walaupun saya tak ada keperluan apa apa pun dengan manusia lain. Oleh sebab itu, saya menghargai nilai persahabatan dan kekeluargaan, sekalipun dah tak mampu nak merasakan cinta.

Jadi, dengan semua cerita ini, adakah saya menganggap penyakit saya sebagai sesuatu yang malang? Tidak. Saya menganggap penyakit saya sebagai rahmat. Saya bersyukur saya mempunyai perjalanan hidup yang kaya dengan asam garam dan pahit manis kehidupan.

Saya lebih menghargai apa yang saya pandang enteng suatu ketika dahulu. Malah, penyakit ini sangat membantu saya dalam memahami falsafah.

Sejarah saya yang ini selalunya saya simpan dan pendam, tapi sudah tiba masanya saya menjadi terbuka dan menyokong gerakan hapuskan stigma penyakit mental.

Bukan Gila


Penyakit mental tak bermaksud gila. Penyakit mental ialah normal, semua orang berisiko mendapat penyakit mental walaupun bukan disebabkan genetik seperti depresi dan PTSD. Malah, depresi sebenarnya sangat berleluasa dalam kalangan masyarakat. Inilah apa yang perlu dibendung sekali dengan stigma.

Sekiranya anda menjumpai orang yang dibelenggu masalah mental, jangan kata dia ni lembik, atau bersikap tak matang. Anda tak layak cakap begitu kalau anda tak pernah kena. Jadilah manusia yang membantu. Cuba fahami mereka dan bantu apa yang boleh.

Saya tak malu dengan penyakit mental saya, saya tak malu berkongsi rahsia gelap saya dan saya ialah penyokong #TeamNotAshamedMY #ImNotAshamed.

Mari kita bersolidariti dengan kesemua pesakit mental! You guys rock! What doesn't kill you makes you stronger!

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: says

Monday, March 09, 2020

Apa Itu Personaliti Obsessif Kompulsif (OCD)?

Apa Itu Personaliti Obsessif Kompulsif (OCD)?

Personaliti Obsessif Kompulsif atau Kecelaruan Personaliti Obsessif Kompulsif, adalah sejenis kecelaruan personaliti yang dicirikan oleh sifat individu yang amat mementingkan ketelitian, kesempurnaan serta keinginan untuk mengawal persekitaran serta hubungan dan biasanya bermula pada peringkat awal dewasa serta lebih banyak dialami oleh lelaki berbanding wanita.

Apa itu OCD

Ini agak mengejutkan kerana kita sentiasa beranggapan bahawa wanita lebih mementingkan ketelitian, perinician serta kesempurnaan.

Dari segi statistik, dianggarkan bahawa di antara 2.1 sehingga 7.9 peratus daripada populasi mengalami masalah kecelaruan personaliti obsessif kompulsif menjadikan ianya sebagai jenis kecelaruan personaliti yang paling kerap ditemui.

Pesakit OCD mempunyai simptom yang terbahagi kepada empat kategori iaitu kebersihan, keselamatan, kepercayaan (spiritual) dan susun atur (struktur), yang mana terdapat pesakit memiliki lebih daripada dua kategori berkenaan.

Adakah anda mempunyai kecelaruan personaliti Obsessif Kompulsif?

Ya. Jika anda adalah seseorang yang sentiasa mempunyai keinginan untuk mencapai kesempurnaan serta cenderung mengawal persekitaran dan hubungan dengan orang lain secara berterusan.

Anda juga perlu mempunyai lebih dari empat ciri-ciri yang disenaraikan di bawah:
  • Terlalu fokus tentang perincian, peraturan, senarai dan susunan sehinggakan terlepas pandang kepada objektif utama dalam sesuatu aktiviti.
  • Terlalu berusaha untuk mencapai kesempurnaan sehingga lambat menyiapkan sesuatu tugasan.
  • Terlalu mementingkan pekerjaan dan produktiviti sehinggakan mengabaikan masa untuk diri sendiri, keluarga atau teman-teman.
  • Sukar untuk membahagikan tugas kepada orang lain kerana bimbang orang lain tidak mampu mencapai tahap yang kita inginkan. Sekiranya tugas diberikan kepada orang lain, anda turut menyenaraikan secara terperinci apa yang anda harapkan mereka lakukan.
  • Terlampau berpegang kepada moral dan etika serta patuh kepada peraturan tanpa pengecualian.
  • Sukar untuk membuang barangan yang tidak lagi digunakan kerana memikirkan bahawa ia mungkin berguna di suatu hari.
  • Sukar untuk membelanjakan wang untuk diri sendiri atau orang lain kerana bimbang wang tersebut diperlukan untuk masa hadapan.
  • Tidak fleksibel.

Tetapi jika anda cuma mempunyai satu atau dua ciri sahaja, ini tidak dikira sebagai Kecelaruan Personaliti Obsessif Kompulsif, tetapi cuma mempunyai ciri-ciri (traits) personaliti tersebut.

Adakah ini satu masalah? Tidak jika ia tidak menjejaskan fungsi harian anda, malah ia dapat membantu menguruskan aktiviti harian dengan lancar.

Bagaimana pula jika anda memenuhi kriteria diagnosa tersebut? Terdapat rawatan seperti psikoterapi dan ubatan yang dapat membantu jika anda merasakan bahawa kecelaruan personaliti anda menjejaskan fungsi harian serta hubungan anda dengan orang lain.

Gejala penyakit OCD, seperti definisi penyakitnya adalah terdiri dari dua komponen iaitu Komponen Obsesif dan Kompulsif.

Komponen Obsesif (pemikiran):
  • Obsesif pemikiran adalah sentiasa terfikir tentang kebersihan.
  • Berulang kali memikirkan tentang keselamatan.
  • Was-was terhadap ingatan atau persepsi tentang sesuatu seperti tentang tutup suis seterika.
  • Kepatuhan yang jitu dan terlalu tegar terhadap sesuatu peraturan.
  • Terlalu mementingkan susunan dan simetri.
  • Pemikiran yang sering terpusatkan terhadap sesuatu tanpa boleh diganggu.

Komponen Kompulsif (tindakan):
  • Mencuci tangan berulang kali.
  • Mengecek kunci kereta dan rumah berulang kali.
  • Berulang melakukan hal yang sama seperti apabila menghitung sesuatu barang.
  • Sentiasa menyusun dan mengemas walhal baru sahaja selesai mengemas.
  • Hoarding ataupun sifat suka menimbunkan barang secara berlebihan dan enggan untuk membuang barangan yang sudah tidak diperlukan seperti contohnya baju yang telah lusuh.
  • Biasanya pesakit sering perlu meluahkan isi hati dikeranakan perasaan insecure yang kuat.
  • Mempunyai tabiat suka menyenaraikan sesuatu atau membuat checklist sebagai satu cara mengurangkan obsesif fikiran.

PENYAKIT OBSESSIF KOMPULSIF (OCD)

Masyarakat umum mengenalinya sebagai penyakit was-was kerana biasanya mereka yang mengalami penyakit tersebut seringkali mempunyai perasaan ragu-ragu sehinggakan melakukan tindakan yang sama berulang kali.

Kajian di Amerika Syarikat (AS) menunjukkan bahawa kadar sepanjang hayat (lifetime prevalence) untuk penyakit ini adalah dua atau tiga peratus dari populasi.

Kebanyakanya berlaku pada usia muda di mana dua per tiga daripadanya bermula sebelum usia 25 tahun manakala cuma 15 peratus sahaja yang bermula selepas usia 35 tahun.

Lelaki dan wanita mempunyai kadar yang sama untuk mendapat penyakit ini. Bagaimanapun, lelaki biasanya mendapat penyakit ini pada usia yang lebih muda serta mempunyai gejala yang lebih teruk berbanding wanita.

Pemikiran Obsessif dicirikan oleh kriteria tertentu, iaitu:
  • Pemikiran yang tidak rasional, imej atau idea yang berulang, tidak diingini serta mendatangkan rasa resah pada diri.
  • Individu mengenal pasti bahawa perkara tersebut adalah berasal dari fikirannya, tetapi tidak mampu mengawalnya.
  • Pemikiran ini adalah sangat menganggu sehinggakan individu tersebut melakukan tindakan kompulsif sebagai satu langkah untuk mengalihkan perhatian dari pemikiran tersebut.

Kompulsif secara ringkasnya adalah desakan untuk melakukan sesuatu yang akan meringankan rasa tidak selesa akibat pemikiran obsesif.

Contoh perlakuan kompulsif adalah seperti mencuci tangan berulang kali kerana beranggapan ia kotor atau memeriksa selak pintu berulang kali bagi memastikan ianya berada dalam keadaan terkunci.

Ada juga yang mengira sesuatu nombor berulang-ulang untuk memastikan bahawa bilangan yang dikehendaki adalah tepat dan menyimpan barang-barang yang tidak terpakai seperti surat khabar, bekas makanan atau baju-baju yang sudah buruk.

Ramai juga yang mengambil wuduk berulang kali kerana berasakan bahawa masih belum sempurna.

Penyakit Obsessif Kompulsif boleh menjejaskan mempunyai fungsi harian individu. Ini disebabkan individu tersebut didominasi oleh pemikiran atau obsessi yang mengganggu diikuti perbuatan kompulsif secara berulang-ulang untuk mengurangkan keresahan yang dialami.

Namun, perbuatan itu hanya berkesan untuk sementara waktu kerana obsesi ini akan kembali dan dia terpaksa mengulangi perbuatan yang menghilangkan keresahannya.

Disebabkan itu, ramai yang mengalami penyakit ini juga mempunyai kemurungan.

PENYEBAB OCD

Terdapat pelbagai faktor yang mempengaruhi untuk seseorang itu mendapat Penyakit Obsessif Kompulsif (OCD):

Genetik atau keturunan

Mereka yang mempunyai sejarah keluarga mempunyai penyakit ini adalah lebih berisiko.

Organik

Keabnormalan pada struktur otak serta fungsi otak atau jangkitan pada bahagian otak tertentu boleh mencetuskan gejala penyakit ini.

Personaliti

Mereka yang mempunyai Personaliti Obessi Kompulsif mempunyai risiko yang lebih tinggi.

Trauma

Pengalaman trauma pada masa lampau seperti penderaan fizikal atau seksual.

Konflik atau tekanan

Mereka yang mengalami konflik atau tekanan yang berteusan dalam hidup.

DERITA DALAM DIAM PESAKIT OCD

Berada di dalam bilik air berjam-jam, melakukan sesuatu perkara berulang-ulang dan mengelak untuk berjabat tangan, memegang tombol pintu, butang lif atau meja makan.

Itu antara simptom yang sukar ditinggalkan oleh penghidap Gangguan Obsesif Kompulsif (OCD) sehingga ada antara mereka diberhentikan kerja, dibuang daripada institusi pengajian tinggi (IPT), selain bergaduh dengan ahli keluarga.

Penghidap OCD suka melakukan sesuatu perkara secara berulang-ulang kerana merasakan apa yang dilakukan sebelum itu tidak sempurna selain sentiasa merasa resah, tertekan dan cemas.

Setiap manusia mempunyai tahap kebersihan dan kerisauan sendiri namun bagi pesakit OCD, ia tidak boleh dikawal dan sangat melampau.

Kebanyakan pesakit OCD ini obses dengan aspek kebersihan dan keselamatan.

RAWATAN

Meskipun kebanyakan penderita OCD ini tahu mereka bermasalah, namun enggan mendapatkan rawatan awal kerana bimbang dilabel sebagai pesakit mental.

Terdapat rawatan psikoterapi, terapi tingkah laku serta ubatan yang dapat membantu untuk merawat penyakit ini.

Jika anda mengalami gejala-gejala penyakit ini, anda boleh mendapatkan rawatan di hospital yang menawarkan perkhidmatan psikiatri.

Rujukan kepada perkhidmatan psikiatri boleh dibuat oleh mana-mana klinik kesihatan atau klinik swasta yang berhampiran kerana rawatan serta pengesanan awal dapat membantu merawat penyakit ini dengan lebih berkesan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2