Sunday, March 15, 2020

Misteri Angka 13 Membawa Sial, Disumpah Dan 'Berhantu' Masyarakat Barat

Misteri Angka 13 Membawa Sial, Disumpah Dan 'Berhantu' Masyarakat Barat

Sebahagian masyarakat Barat akan mengalami rasa takut yang sangat luar biasa terhadap angka 13 sehinggakan mereka sanggup berbuat apa sahaja untuk mengelakkan diri daripada memperoleh nombor itu dalam kehidupan.

Misteri Angka 13

Fobia terhadap angka 13 itu bukan saja melanda orang bawahan tetapi pengarah syarikat dan kalangan intelektual sehinggakan situasi kronik itu menimbulkan beberapa keadaan yang pelik di negara terbabit, termasuk Amerika Syarikat (AS) dan Kanada.

Antara keadaan pelik itu ialah, ada bangunan tinggi di kota besar di negara itu tidak memiliki tingkat bernombor 13.

Sekiranya anda menaiki lif di bangunan berkenaan, anda akan melihat butang lif menunjukkan tingkat nombor 10, 11, 12 kemudian terus ke 14.

Selain itu, ada juga lapangan terbang yang tidak memiliki pintu pelepasan bernombor 13, kerusi pesawat tanpa nombor 13, hotel atau hospital yang tidak memiliki bilik dengan nombor 13, malah kenderaan tidak menggunakan angka 13 pada nombor plat.

Jadi, ke mana menghilangnya tingkat, bilik, pintu atau plat kenderaan bernombor 13?

Keadaan itu memang menghairankan tetapi fenomena pelik yang melanda segelintir masyarakat Barat atau mungkin ramai penduduk di seluruh dunia itu tercetus lantaran mereka beranggapan angka 13 membawa sial, disumpah dan 'berhantu'.

Fobia Pelik

Kajian terhadap fenomena pelik itu menyebabkan ketakutan terhadap angka 13 digelar 'triskaidekaphobia' dan individu yang mengalami fobia itu pada tahap kronik akan menganggap penggunaan angka 13 dalam hidup akan membawa malang atau maut buat mereka.

Beberapa kejadian aneh yang berlaku pada hari Jumaat yang jatuh pada 13 hari bulan menambahkan ketakutan segelintir pihak terhadap angka 13.

Selain angka 13, ada juga warga Barat, termasuk Britain, Jerman, Poland, Bulgaria dan Portugis, yang amat fobia terhadap hari Jumaat yang jatuh pada 13 hari bulan yang diklasifikasikan sebagai 'paraskavedekatriaphobia' atau 'friggatriskaidekaphobia'.

Institut Fobia dan Pengurusan Tekanan AS di Utara Carolina menganggarkan antara 17 juta hingga 21 juta penduduk AS percaya, Jumaat yang jatuh pada 13 hari bulan sebagai hari sial.

Kesannya, pelbagai industri di negara itu kerugian antara AS$800 juta hingga AS$900 juta (antara RM2.9 bilion dan RM3.2 bilion) pada hari Jumaat yang jatuh pada 13 hari bulan kerana ramai penduduk enggan menaiki penerbangan atau keluar rumah pada hari itu.

Mitos Angka 13

Lif No 13

Kepercayaan masyarakat Barat kononnya angka 13 sebagai sial, disumpah dan berhantu dipercayai bermula daripada beberapa momokan berkaitan alam mistik dan keagamaan yang tersebar sejak dulu lagi.

Antaranya, mengikut ajaran Kristian, iblis iaitu ketua syaitan pada asalnya dianggap sebagai 'malaikat ke-13' tetapi digugurkan kerana menderhaka kepada Tuhan.

Selain itu, pada majlis 'Santapan Terakhir' yang dipercayai dalam doktrin agama Kristian, rakan yang mengkhianati Jesus iaitu Judas dikatakan lelaki yang ke-13 duduk di meja makan.

Ketika ahli sihir Rom purba menyeru kehadiran syaitan, mereka akan berkumpul seramai 12 orang dan orang ke-13 yang hadir pada upacara itu adalah jelmaan syaitan.

Selain itu, kepercayaan terhadap sumpahan angka 13 turut berasal daripada pegangan kaum Viking.

Dikisahkan, ketika 12 dewa Norse sedang mengadakan majlis makan malam, tiba-tiba datang Loki iaitu dewa yang tidak diundang ke majlis tersebut.

Loki dianggap tetamu ke-13 pada majlis itu dan menjadi perancang utama pembunuhan Baldr, dewa kegembiraan.

Kematian Baldr menyebabkan seluruh dunia menjadi gelap dan hari itu tidak lagi disinari kegembiraan atau dengan kata lain, kononnya hari itu sial dan malang.

Menerusi kisah itu jugalah, wujud kepercayaan tahyul kononnya apabila 13 orang berkumpul, maka seorang daripada mereka akan mati.

Fobia terhadap angka 13, termasuk hari Jumaat pada 13 hari bulan diperkuatkan dengan beberapa kejadian aneh yang berlaku membabitkan angka itu. Antaranya, penahanan dan pembunuhan pasukan Knights Templar dalam perang salib, yang berlaku pada hari Jumaat, 13 Oktober 1307.

Pada Jumaat 13 Oktober 1066 juga menjadi hari terakhir pemerintahan King Saxon Harold II sebelum dia dibunuh Duke of Normandy, William.

Ekspedisi ke bulan menggunakan pesawat Apollo 13 dianggap gagal kerana ia menyandang nombor 13, malah diterbangkan pada jam 13:13 pada 11 April 1970.

Dalam laporan kajian National Geographic, saintis Pusat Pendidikan Sains dan Matematik Universiti Delaware, Thomas Fernsler, menjelaskan pengkaji numerologi menganggap nombor 12 sebagai angka yang lengkap dan seimbang sehingga wujud banyak keadaan berakhir dengan 12 seperti 12 bulan dalam setahun. Justeru, lebihan satu nombor selepas 12 akan menyebabkan ia mengganggu keseimbangan dalam turutan nombor.

Dalam menilai fenomena fobia ini, persoalan paling penting ialah adakah benar angka 13 atau hari Jumaat yang jatuh pada 13 hari bulan adalah angka dan hari yang disumpah, sial atau berhantu?

Kebanyakan penyelidik percaya, kepercayaan berkenaan sebenarnya tidak lebih daripada perasaan manusia semata-mata.

Ini kerana, masih ramai lagi pihak yang menggunakan angka 13 dalam kehidupan tetapi tiada sebarang kejadian buruk yang berlaku kepada mereka.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: bharian

Wednesday, February 26, 2020

Misteri Meriam Keramat Segamat

Misteri Meriam Keramat Segamat

Bunyi dentuman kuat yang mengejutkan dan mencetuskan tanda tanya dikalangan penduduk terutamanya kawasan perkampungan di Segamat, terus kekal misteri dan ada yang mendakwa ia adalah petanda banjir besar akan berlaku.

Meriam Segamat

Seorang penduduk Kampung Jawa, Segamat berkata, ketika berada di rumahnya sekitar 9.30 malam, dia terdengar dentuman kuat yang tidak diketahui puncanya.

Bunyi berturutan didengari itu seolah-olah letupan meriam, tetapi sudah pasti bukan letupan dari kuari kerana kedudukan kuari jauh dari situ.

Tidak mungkin bunyi letupan itu daripada aktiviti meletup batu kerana ia hanya dibenarkan pada waktu siang sahaja.

Cuaca pada masa itu juga baik dan mustahil untuk mengaitkannya dengan dentuman guruh atau petir.

Meriam Misteri

Kisah meriam misteri di daerah Segamat yang dikatakan akan meletup sendiri sebelum banjir melanda turut dikaitkan dan diceritakan sejak turun temurun.

Orang lama Segamat tentunya arif dengan kisah bunyi letupan meriam misteri itu dan sekiranya meriam itu meletup, mereka bersiap sedia kerana ia petanda banjir bakal melanda dan kebetulan ia berlaku pada 2006.

Kisah bunyi letupan meriam sebagai petanda awal banjir adalah berdasarkan cerita mulut ke mulut oleh generasi waris keluarga terdahulu.

Mitos Meriam Lama

Meriam Bendahara Tepuk
Meriam dipercayai milik Bendahara Tepuk ditemui pada bulan Disember 1981.

Cerita mengenai Bendahara Tepok atau juga dikenali sebagai Bendahara Lubok Batu tidak asing lagi bagi warga Segamat namun misteri cerita dan mitos sentiasa menjadi bualan sehingga kini.

Ramai yang tidak mengetahui bahawa meriam yang dijumpai pada tahun 80an di bawah tapak Masjid Makam Lubok Batu kini dijaga dan disimpan rapi oleh pihak Muzium Melaka.

Apabila kita menceritakan tentang meriam keramat tersebut secara tidak langsung hal ini berkaitan tentang sejarah Masjid Makam Lubok Batu dan kisah sejarah Bendahara Tepok.

Masjid Makam Lubok Batu ini asalnya adalah pondok singgah untuk berteduh dan berehat bagi penziarah makam tersebut.

Penduduk kampung mempercayai pondok itu didirikan oleh pengikut-pengikut Bendahara Tepok.

Sebelum tahun 1918, orang-orang luar yang menyusur atau memudik sungai Segamat akan bersolat di Masjid Tebing Sungai di Pengkalan Esah.

Sebagaimana yang diceritakan oleh Allahyarham Tuan Haji Yahya Bin Kubu, Ahli Pakar Sejarah Tempatan, bahawa Tuan Haji Ibrahim Bin Kindang, Imam Masjid Teluk Belanga telah balik sementara ke Kampung Lubok Batu lalu mencadangkan supaya dibina sebuah surau untuk penduduk Kampung Lubok Batu.

Dengan terbinanya surau itu, Tuan Haji Dasil bin Mahmud telah dilantik menjadi imamnya, manakala bilal disandang oleh A. Bakar Bin Sudin.

Sekitar tahun 20an, Sungai Segamat masih menjadi laluan penting bagi orang-orang luar datang ke Segamat.

Secara tidak langsung aktiviti-aktiviti perniagaan telah bertambah pesat kerana wujudnya "Pasar Tepi Sungai" di Pengkalan Lubok Batu.

Kemudian, surau itu diserahkan sebagai wakaf oleh Sultan Ibrahim dan tiada sesiapa yang berani merobohkan surau tersebut kerana surau itu dijaga oleh Istana Johor.

Pada tahun 1928, atas usaha Mohd Tap, Pegawai Daerah Segamat ketika itu, sebuah surau baru dari binaan batu yang pelan tapak dan reka bentuknya diambil dari Kota Tinggi telah dibina setelah mendapat perkenan DYMM Sultan Ibrahim Al-Marhum Sultan Johor.

Semasa pengubahsuaian surau tersebut, jemaah surau telah menemui sebuah meriam lama yang diperbuat daripada batu berukuran empat kaki panjang yang tertanam dibawah mimbar masjid serta peluru-peluru diperbuat daripada batu (buat masa ini penulis masih tidak ketahui dimana simpannya meriam yang dijumpai pada tahun 1930).

Hal ini menyebabkan wujudnya mitos meriam keramat tersebut oleh orang-orang kampung.

Bah Merah

Sebelum meriam itu dijumpai, cerita-cerita mengenai meriam keramat tersebut sudah lama menjadi bualan cerita rakyat daerah Segamat khususnya penduduk Kampung Lubok Batu.

Ini kerana pada tahun 1926, banjir besar telah melanda daerah Segamat yang dikenali sebagai Bah Merah 1926.

Banjir itu telah menyebabkan harta benda dan nyawa terkorban, menyebabkan sungai Segamat menjadi lengang dan tidak berfungsi lagi sebagai laluan orang-orang luar datang ke sana.

Menurut orang-orang tua, terdapat beberapa petanda sebelum berlakunya banjir besar itu, antaranya orang-orang kampung akan terdengar bunyi tembakan meriam tiga hari berturut-turut pada waktu Asar (kononnya bunyi meriam keramat).

Meriam Masjid Lubok Batu
Meriam yang dijumpai di Masjid Lubok Batu pada bulan Mac 1979.

Pada tahun 1943, ketika penjajahan Jepun, surau tersebut dinaiktaraf kepada masjid, yang dirasmikan oleh Tuan Syed Ahmad Bin Syed Abdullah Al-Habshee, Kadi Daerah Segamat.

Pegawai-pegawai pula telah bertukar dan digantikan oleh Tuan Haji Ibrahim Bin Kindang sebagai Imam manakala Tuan Haji Abdul Samad bin Haji Karim sebagai bilal.

Ketika perasmian itulah nama masjid itu diberi nama Masjid Makam Lubok Batu.

Pada bulan Mac 1977, YB Dato Haji Ahmad Bin Arshad didalam ucapannya sebagai Pengerusi Sambutan Jubli Emas Sekolah Kebangsaan Gemereh, telah memohon dana bagi peruntukan membangunkan semula Masjid Makam Lubok Batu kerana penduduk Kampung Lubok Batu telah bertambah ramai dan masjid tersebut tidak dapat lagi menampung jemaah sedia ada.

Permohonan beliau telah dipersetujui oleh YAB Dato Haji Othman Bin Saat, Menteri Besar Johor pada ketika itu dalam ucapan balasnya pada hari perasmian Sambutan Jubli Emas sekolah tersebut.

Pada awal tahun 1980 masjid lama dirobohkan dan dibina bangunan masjid yang baharu.

Sekali lagi berita mengenai meriam keramat tersebut menggempar dan mengejutkan penduduk Kampung Lubok Batu setelah hampir 50 tahun berlalu mitos meriam lama dijumpai.

Setelah hampir keseluruhan masjid dirobohkan, ahli jemaah masjid menjumpai sebuah lagi meriam pada bulan Disember 1981.

Meriam tersebut dipercayai sebahagian daripada senjata Bendahara Tepok serta pengikut-pengikutnya ketika menentang Portugis.

Sejak puluhan tahun lagi penduduk Kampung Berata, Jalan Temenggong, Kampung Paya Dalam dan Taman Bendahara seringkali mendengar bunyi meriam berdentum sebelum turunnya hujan lebat dan banjir.

Hampir keseluruhan penduduk telah mendengar tembakan meriam keramat tersebut yang dahulu hanya dipercayai mitos semata-mata, kini menjadi bualan cerita benar rakyat daerah Segamat.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

Monday, February 24, 2020

Misteri 'Wuhan 400' Dalam Buku Tahun 1981 Yang Meramal Virus COVID-19!

Misteri 'Wuhan 400' Dalam Buku Tahun 1981 Yang Meramal Virus COVID-19!

Misteri, suratan atau kebetulan? Sebuah buku yang diterbitkan 39 tahun lalu pada 1981 telah meramal bahawa satu wabak penyakit baharu akan menyerang seluruh dunia pada tahun 2020, yang baru-baru ini, satu posting artikel tentang sebuah buku yang bertajuk 'The Eyes of Darkness' mengisahkan tentang makmal tentera China mencipta sejenis virus berbahaya sebagai program senjata biologi.

Misteri Wuhan 400

Paling mengejutkan apabila dalam buku tersebut telah menyatakan mengenai satu virus yang dikenali sebagai Wuhan-400, adalah COVID-19 virus yang datang dari Wuhan, China.

Penulis Amerika, Dean Koontz, menulis tentang seorang ibu, Christina Evans, yang merantau untuk mencari anaknya Danny, sama ada masih hidup atau tidak ketika perkhemahan.

Dia kemudian dapat menjejaki anaknya di lokasi ketenteraan dimana dia 'disimpan' setelah tidak sengaja berjangkit dengan mikro organisma buatan manusia yang dihasilkan di pusat penyelidikan Wuhan.

Pusat penyelidikan yang ditulis di dalam buku boleh merujuk kepada Institusi Virologi Wuhan, makmal Biosafety Cina yang terletak di tingkat empat.

Ia mempunyai makmal klasifikasi kedudukan tertinggi yang menyelidik virus dan terletak 32 km dari tempat dimana Covid-19 mula tersebar.

End Of Days

End Of Days

Bukan sahaja Dean Koontz yang meramal wabak COVID-19 namun Sylvia Brown, penulis Amerika turut menerbitkan buku pada tahun 2008 yang bertajuk, End of Days: Predictions and Prophecies About the End of the World.

Buku itu mengisahkan tentang penyakit yang berkaitan dengan pernafasan yang akan merebak di seluruh dunia malah menyatakan mengenai tahun 2020.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: borakdaily

Tuesday, February 11, 2020

Misteri Serangan Ular Gunung Pelee

Misteri Serangan Ular Gunung Pelee

Gunung Pelee merupakan sebuah gunung berapi yang terletak di Kepulauan Caribbean, Martinique, dengan ketinggian melebihi 4,500 kaki dan pada awal tahun 1902, puncak gunung ini menunjukkan beberapa petanda kecil, kepulan asap, belerang dan debu kelihatan dikeluarkan oleh gunung.

Ular Gunung
Gambar hiasan.

Namun, keadaan itu tidak diendahkan oleh mana-mana pihak. Mereka menganggap situasi itu tidak merbahaya.

Pada akhir bulan April, berlaku letusan kecil. Gegaran turut dirasai oleh penduduk terutamanya di sekitar St. Pierre. Debu mula memenuhi ruang udara.

Tidak lama kemudian, penduduk didatangi tetamu tidak diundang. Pelbagai jenis serangga berbisa dan ular menyerang manusia dan ternakan.

Suasana ketika itu digambarkan sangat menakutkan kerana secara tiba-tiba, sejumlah besar binatang berbisa seakan membuas semasa menyerang.

Akibatnya, seramai 50 orang dan lebih 200 ekor ternakan ditemui mati. Pada masa yang sama, tiada siapa pun yang mengetahui punca berlakunya insiden itu.

Lebih malang lagi, kejadian yang disangkakan sudah berakhir selepas serangan binatang berbisa ternyata meleset.

Letusan Gunung Pelee 1902
Letusan Gunung Pelee 1902.

Insiden yang berlaku secara tiba-tiba itu rupa-rupanya membawa kepada kedatangan malapetaka lebih besar!

Pada 8 Mei 1902, Gunung Pelee meletus dan memuntahkan lava besar. Gelombang lahar yang terhasil adalah pada kelajuan 100 batu sejam.

Stim dan gas yang dibebaskan didakwa memiliki kepanasan melampau melebihi suhu 1075 darjah selsius (1967 Fahrenheit).

Tidak sampai satu minit, lava panas sampai ke kawasan penduduk. Suasan kelam kabut.

Akibatnya, semua penduduk mati tanpa sempat menyelamatkan diri.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

Wednesday, December 25, 2019

Misteri Menara Jam Lago deResia Di Tasik Lake Reschen!

Misteri Menara Jam Lago deResia Di Tasik Lake Reschen!

Sebuah menara misteri yang terletak disebuah tasik, Lake Reschen, Itali, sememangnya menjadi tanda-tanya kepada sesiapa sahaja yang melihatnya. Tasik ini merupakan tasik buatan manusia terbesar di Itali dengan kapasiti 120 juta meter padu.

Misteri Lago deResia
Lago deResia.

Namun, siapa menyangka disebalik tasik ini, dahulunya merupakan sebuah perkampungan indah yang didiami manusia, yang diberi nama Kampung Graun dan terletak di wilayah Vitchgau, Itali.

Perkampungan itu menempatkan 163 buah rumah dan sebuah gereja yang unik seni binanya serta lengkap dengan menara loceng.

Gereja itu dikenali sebagai 'Church of Altgraun' dan terkenal dikalangan masyarakat tempatan.

Kebanyakan mereka bekerja sebagai petani dan penternak sehinggalah semuanya berubah sekelip mata.

Pada tahun 1939, sebuah syarikat elektrik terbesar ketika itu, Montecatini, yang kini dikenali sebagai Edison Energia, merancang untuk membina sebuah tasik buatan sedalam 22 meter.

Dengan tujuan pembinaan untuk menjana kuasa elektrik, tasik buatan yang bakal dibina akan menyatukan dua buah tasik semulajadi berdekatan perkampungan tersebut iaitu Tasik Reschensee dan Tasik Mittersee.

Bagaimanapun, rancangan tersebut mendapat tentangan hebat daripada penduduk tempatan.

Ini kerana jika kedua-dua tasik bercantum, ia akan mengakibatkan banjir besar dan perkampungan mereka bakal tenggelam.

Malangnya, tentangan mereka tidak diendahkan oleh syarikat tersebut dan pembinaan tetap diteruskan pada bulan April 1940.

Namun, kerja pembinaan hanya sementara apabila penduduk tempatan menentang sekeras-kerasnya dan dikatakan telah berlaku peperangan yang menyebabkan pembinaan terbengkalai separuh jalan.

Pada bulan Julai 1950, bahagian utama gereja diperkampungan itu telah dirobohkan dan puncanya tidak diketahui sehingga sekarang.

Dikatakan, ia adalah agenda syarikat tersebut untuk meneruskan perancangan untuk membina tasik tetapi yang peliknya menara jam tidak pula dirobohkan.

Akhirnya pada hujung tahun 1950an, perkampungan berdekatan tasik buatan ini, Graun dan Reschen, lama-kelamaan tenggelam disebabkan banjir besar yang melanda.

Punca banjir dikatakan akibat pembinaan tasik yang terbengkalai dan kesannya, semua rumah dan tanah seluas 523 hektar tenggelam.

Apa yang tinggal hanyalah menara jam sisa runtuhan gereja yang dirobohkan sebelum itu.

Sehingga kini menara itu masih kelihatan dan dianggap misteri kerana kedudukannya ditengah-tengah tasik.

Kini, menara jam itu dikenali sebagai Lago deResia dikalangan masyarakat tempatan dan jika dilihat sekali imbas, menara tersebut seolah-olah terapung dipermukaan tasik.

Hakikatnya, menara jam tersebut sebenarnya tenggelam separuh.

Apa yang menarik, menara jam kurun ke-14 ini juga masih kelihatan utuh berbanding usianya.

Malah, sehingga kini ia masih boleh dilihat diatas permukaan air setinggi 20 kaki.

Ketika musim sejuk, ketika tasik membeku, menara jam itu boleh dikunjungi sesiapa saja dengan hanya berjalan kaki. Ia juga menjadi salah satu daya tarikan yang menjadikannya sebagai lokasi untuk dilawati.

Namun, disebalik keunikan itu, terdapat satu misteri yang belum dapat dirungkai sehingga sekarang.

Menurut lagenda, bunyi loceng dari menara jam masih lagi kedengaran pada waktu malam terutamanya ketika musim sejuk.

Yang peliknya, loceng yang ada dimenara jam itu telah dialihkan pada 18 Julai 1950, seminggu sebelum gereja dirobohkan!

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

Sunday, December 01, 2019

Misteri Kota Purba El Tajin

Misteri Kota Purba El Tajin

Dalam dekad-dekad kebelakangan ini, banyak kota purba yang hilang telah ditemui semula oleh ahli-ahli arkeologi atau peneroka dan salah satu penemuan semula kota purba yang paling misteri adalah kota purba El Tajin yang terletak di Veracruz, Mexico.

Kota Purba El Tajin
El Tajin.

Kota tersebut telah pun disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada tahun 1900an memandangkan kesemua monumen yang terdapat di El Tajin, termasuklah lanskap sekitarnya telah menggagahi kurun yang panjang, tersembunyi dari manusia di sebalik hutan tropika.

MISTERI EL TAJIN

Kota purba tersebut dibina dan dihuni pada tempoh 800SM hingga 1200M oleh sebuah tamadun yang ilmuwan berpendapat dipengaruhi oleh Olmecs, walaupun siapa sebenarnya mereka masih lagi belum diketahui secara pasti.

Sebahagian ilmuwan berpendapat bahawa mereka adalah nenek-moyang kepada Toltecs, atau paling tidak, mereka adalah salah satu cabang dari bangsa Maya yang gagah.

Beberapa bukti yang ada memberikan petanda bahawa masyarakat yang membina El Tajin ini adalah nenek-moyang kepada masyarakat Huastec yang masih hidup di Veracruz pada hari ini.

Bukti arkeologi yang ditemui mengisyaratkan bahawa kota purba tersebut bersifat mewah dan kaya. Malah, ia dipercayai merupakan ibu kota bagi sebuah kerajaan yang mendominasi bahagian barat daya Mexico. Ia memainkan fungsi sebagai rangkaian perdagangan yang penting dan merupakan sebuah bandar multi-etnik.

Pada masa-masa kemuncaknya, terdapat sekitar 20,000 orang menetap di El Tajin, terutamanya di sekitar kawasan bukit. Kota purba tersebut dan kawasan sekitarnya terselamat dalam keruntuhan sosial yang berlaku di Zaman Klasik dan malah, terus berkembang maju.

Namun, pada tahun 1300 Masehi, bandar ini diserang oleh sebuah komuniti nomad yang dikenali sebagai Chitimec, yang hidup di kawasan Mexico utara.

Sebahagian daripada kota purba ini habis dimusnahkan dan ditinggalkan. Penghuninya kemudian menubuhkan sebuah kota baharu di tempat yang jauh. Kota purba El Tajin yang ditinggalkan ini diketahui oleh Toltecs dan kemudian Aztecs.

Mereka mengaitkan runtuhan kota purba tersebut dengan alam ghaib dan alam kematian. Selepas era penaklukan Sepanyol, kota ini sama sekali dilupakan.

Mungkin, kelupaan ini mempunyai kaitan dengan runtuhnya komuniti Huastec berikutan perang dan wabak penyakit.

PENEMUAN SEMULA KOTA PURBA EL TAJIN

El Tajin terletak di tanah tinggi semi-tropika dan justeru ia dengan pantas diselubungi oleh pokok-pokok hutan.

Kota purba ini tersembunyi di sebalik hutan tebal dan hanya ditemui semula oleh seorang pegawai kerajaan yang sedang mencari ladang-ladang tembakau haram pada tahun 1785 Masehi.

Model El Tajin
Model El Tajin berskala kecil.

Khabar penemuan kota purba yang hilang ini mencetuskan kekecohan, namun hanya pada kurun ke-20 barulah kota ini menjalani kerja-kerja ekskavasi. Penemuan minyak pula membuatkan kawasan hutan tersebut mula dibersihkan oleh ahli-ahli arkeologi.

Walau bagaimanapun, sehingga ke hari ini hanya 50% sahaja dari kota El Tajin telah diselidik dan diisytiharkan sebagai tapak arkeologi negara demi melindungi runtuhan-runtuhan yang terdapat di dalamnya.

KEAJAIBAN EL TAJIN, MEXICO

Bahagian tertua pada kota ini adalah kawasan yang disebut sebagai Kumpulan Aroyo (Aroyo Group), iaitu sebuah plaza yang dikelilingi oleh sejumlah piramid bertangga yang ditemukan semula di sebalik hutan tebal. Di bahagian puncaknya pula terdapat sejumlah kuil.

Sebelum kota tersebut tumbang, plaza ini digunakan sebagai pasar yang turut dihiasi dengan pelbagai patung.

Mungkin, bangunan yang paling penting yang terdapat di El Tajin adalah Piramid Ceruk. Piramid tersebut mendapat namanya lantaran banyaknya ceruk yang terdapat di setiap tingkat, seolah-olah ianya adalah gua yang mensimbolkan laluan masuk ke alam kematian.

Binaan ini diperbuat daripada batu-batu ubin (flagstone) dan berdiri setinggi tujuh tingkat. Piramid Ceruk terdiri daripada tiga sisi yang cerun dan satu dinding yang menegak – suatu ciri lazim bagi Mesoamerika.

Piramid Ceruk El Tajin
Piramid Ceruk, El Tajin.

Apa yang membuatkan piramid ini dan juga piramid-piramid lain yang lebih kecil agak menonjol adalah penggunaan sagang-sagang terbang (flying butrresses). Ramai pakar meyakini bahawa piramid tersebut pernah diwarnakan merah dan pada puncaknya terdapat sebuah patung dewata yang besar.

Tidak seperti kuil-kuil yang lain, Kuil Biru yang berada di puncak Piramid Ceruk tidak mempunyai sagang-sagang terbang.

Satu lagi kawasan penting yang terdapat di El Tajin adalah Tajin Chico, iaitu sebuah kompleks bangunan yang sebahagiannya merupakan bangunan pentadbiran. Kawasan ini terpelihara dengan baik dan ia turut diperbuat daripada batu-batu ubin.

Terdapat sekurang-kurangnya 17 buah gelanggang bola di kota purba ini, di mana para peserta bermain satu permainan yang mempunyai signifikasi keagamaan yang cukup besar.

Dipercayai bahawa tradisi ini diambil daripada kaum Maya, di mana pihak yang kalah akan dipancung dan dikorbankan kepada dewata.

TIPS SEBELUM MENGUNJUNGI EL TAJIN

Terdapat bas-bas yang bergerak dari Poza Rica/Papantla ke bandar El Tajin. Penginapan juga tersedia di kawasan berhampiran kota purba tersebut. Selain mengunjunginya secara berjalan kaki sendirian, pengunjung juga boleh mengupah pemandu pelancong.

Gelanggang bola El Tajin
Gelanggang bola di El Tajin.

Terdapat sebuah muzium yang mengandungi banyak artifak seperti altar. Relif-relif daripada sejumlah monumen seperti Piramid Ceruk juga terdapat di sana, justeru menawarkan pengalaman unik terhadap kehidupan masyarakat Mesoamerika dan kepercayaan mereka.

Pada setiap tahun dalam bulan Mac, terdapat sebuah keraian yang dilangsungkan bagi menyambut budaya dan muzik asli.

Di samping itu, bandar moden Tajin juga mempunyai mercu-mercu tanda yang penting seperti gereja Iglesias de la Asuncion.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thepatriots

Sunday, October 06, 2019

Misteri Amukan Roh Bathsheba, Kisah Benar Yang Diabadikan Dalam Filem 'The Conjuring'

Misteri Amukan Roh Bathsheba, Kisah Benar Yang Diabadikan Dalam Filem 'The Conjuring'

Pada tahun 1970, pasangan suami isteri, Roger dan Carolyn Perron berpindah ke sebuah rumah ladang yang baru dibeli mereka yang terletak di Harrisville, dalam daerah Rhode Island dan mempunyai 14 bilik. Rumah yang dibina pada tahun 1736 itu terletak dikawasan The Old Arnold Estate, sebuah kawasan ladang seluas 200 hektar.

Bathsheba The Conjuring
The Conjuring.

Bagi pasangan itu, rumah dengan suasana desa itu menjadi pilihan tepat untuk membesarkan lima anak perempuan mereka, Andrea, Nancy, Christine, Cindy dan April.

Rumah itu sudah agak lama terbiar tanpa penghuni dan pada hari pertama mereka berpindah, anjing mereka tidak berhenti-henti menyalak dan enggan masuk ke dalam rumah.

Keesokkan harinya, Carolyn mendapati tubuhnya lebam-lebam setelah bangun dari tidur dan tambah mengejutkan, anjing mereka ditemui mati diluar rumah.

Dan sejak dari hari itu, satu persatu perkara pelik mula berlaku di rumah ini.

Semakin lama mereka tinggal disitu, satu-persatu entiti misteri memunculkan diri. Entiti ini juga tidak sekata, masing-masing mempunyai identitinya sendiri.

Antara kelibat yang sering muncul ialah bayangan lelaki tua, budak lelaki dan kelibat wanita yang selalu menyapu membersihkan bilik-bilik dirumah tersebut.

Selalunya, apabila anak-anak Perron cuba menghampiri entiti yang muncul, ia akan hilang serta-merta bagaikan kabus.

Walaupun pada mulanya mereka sekeluarga ketakutan, namun semakin lama keluarga Perron sudah mula terbiasa dan tidak kisah dengan kehadiran entiti misteri di dalam rumah itu.

Malangnya, ketenteraman itu tidak lama. Bukan semua roh dirumah itu bersikap 'mesra' dan sudi menerima kehadiran mereka sekeluarga. Pelbagai perkara lebih aneh mula berlaku.

Katil beralih daripada posisi asal, telefon melayang-layang di udara, kerusi ditarik tiba-tiba, pintu ditutup dan dihempas sendiri, barang-barang dalam rumah beralih sendiri, barang-barang terjatuh sendiri sehingga pecah dan banyak lagi.

Kejadian berubah menjadi lebih serius apabila anak-anak Perron mula diusik. Rambut dan kaki mereka sering ditarik semasa tidur, adakalanya ditarik dengan kuat sehingga menyakitkan kulit kepala.

Tidur mereka juga sering dikejutkan dengan jeritan kanak-kanak yang memanggil ibunya sepanjang malam.

Carolyn sendiri pernah terjaga daripada tidur dan terkejut apabila melihat bayangan seorang wanita tua tergantung dibiliknya dengan wajah mengerikan. Matanya tersembul!

Malah, Carolyn mendengar dengan jelas wanita itu menghalaunya keluar dari rumah. Semakin lama, gangguan itu mula bertindak kejam, terutamanya terhadap Carolyn.

Dia sering dicubit, ditampar, bahkan dilempar dengan barangan secara tiba-tiba dan pernah terkunci sendiri diruang bawah tanah pada waktu malam.

Diwaktu lain, bayangan wanita tua itu menyerang salah seorang anaknya. Kerana tidak tahan dengan gangguan itu, mereka mula menyiasat sejarah rumah tersebut.

Tragedi Kematian

The Conjuring Ed dan Lorraine
Ed dan Lorraine yang sebenar.

Baru mereka tahu, rumah yang mereka diami banyak terpalit dengan kematian.

Sebelum mereka, ada lapan generasi keluarga yang pernah mendiami rumah tersebut dan kebanyakannya pernah terbabit dengan kematian.

Antaranya, kes bunuh diri, keracunan, pemerkosaan, pembunuhan, lemas dan mati kesejukan.

Dipercayai dengan sebab itulah banyak roh yang masih terperangkap di dalam rumah tersebut yang tidak diketahui oleh keluarga Perron sebelum mereka berpindah masuk ke situ.

Apabila gangguan semakin serius hingga mendatangkan kecederaan, pasangan Perron memutuskan untuk mendapatkan bantuan Ed dan Lorraine, pasangan suami isteri yang terkenal sebagai penyelidik paranormal.

Siasatan pasangan Warren mendapati, wanita tua yang mengganggu keluarga Perron adalah roh jahat bernama Bathsheba Thayer.

Roh inilah yang sering mengganggu dengan kejam keluarga Perron terutamanya Carolyn.

Siapa Bathsheba?

Bathsheba seorang wanita yang lahir di Rhode Island pada tahun 1812, seorang suri rumah, mempunyai empat orang anak, tiga darinya mati sewaktu keil, suaminya seorang petani dan tinggal dirumah ladang ini pada awal kurun ke 19.

Cerita dari mulut ke mulut mendakwa, Bathsheba seorang pemuja syaitan dan kononnya, anak-anaknya mati angkara ritual penyembahan syaitan yang dijalankannya.

Bathsheba meninggal dunia pada Mei 1885 kerana sakit tua, empat tahun selepas kematian suaminya dan disemadikan ditempat kelahirannya, Rhode Island.

Adakah kedatangan Ed dan Lorraine berjaya mengatasi masalah gangguan dirumah keluarga Perron?

Tidak!

Malah, kehadiran ahli paranormal terkenal itu hanya menyebabkan roh Bathsheba marah dan menjadi semakin ganas. Lebih banyak kerosakan dilakukannya termasuk merasuk Carolyn.

Bathsheba kini lebih kerap memunculkan diri, menunjukkan sosok wajahnya yang pucat dan merekah, seakan sarang lebah yang sudah kering. Pada wajahnya ada torehan panjang, lehernya pula seakan patah, terkulai sebelah.

The Conjuring

The Conjuring Roger dan Carolyn Perron Family
Pelakon dan keluarga sebenar keluarga Perron.

Pengalaman seram yang dilalui keluarga Perron kemudiannya dipndahkan ke layar perak melalui filem The Conjuring yang box-office pada tahun 2013.

Filem ini mendapat kerjasama dari Lorraine yang bertindak sebagai konsultan berdasarkan pengalamannya bersama mendiang suaminya semasa berhadapan dengan kes paranormal yang melibatkan keluarga Perron.

Malangnya, pengakhiran kisah filem The Conjuring tidak segembira seperti yang sebenarnya berlaku.

Tiada istilah 'happy ending' dalam kejadian misteri dan menakutkan yang dialami keluarga Perron.

Adakah Ed dan Lorraine berjaya menghalau roh tersebut? Tidak!

Kemunculan Ed dan Lorraine dirumah keluarga Perron hanya menambahkan amarah roh jahat Bathsheba.

Pada satu ketika, roh itu menguasai tubuh Carolyn dan membuat tubuhnya dilambung-lambung ke segenap ruang bilik.

Melihat keadaan meruncing yang membahayakan isterinya, Roger meminta Ed dan Lorraine keluar dari rumah dan tidak lagi datang ke rumah mereka. Ya, mereka tidak berjaya menghalau roh jahat itu untuk pergi!

Keluarga Perron pula terpaksa terus menduduki rumah tersebut kerana masalah kewangan menyebabkan mereka tidak mampu berpindah.

Dan sepanjang tempoh itu juga, mereka terpaksa menerima semua gangguan dan kerosakan yang disebabkan oleh roh jahat di dalam rumah tersebut.

Hanya 10 tahun kemudian iaitu pada tahun 1980, barulah keluarga Perron berjaya berpindah keluar dari situ.

Andrea Perron, anak pertama keluarga ini turut menghasilkan buku House of Darkness, House of Light yang menceritakan pengalaman seram sepanjang tinggal dirumah ladang itu.

Adakah rumah menakutkan itu masih wujud hari ini? Ya. Rumah itu masih ada dan diduduki oleh pemilik baru sehingga ke hari ini.

Malangnya, seperti dahulu sesiapa sahaja yang berpindah masuk ke dalam rumah ini akan mengalami pelbagai gangguan misteri yang sama.

Adakah roh Bathsheba masih disitu? Mungkin!

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com