Sunday, August 11, 2013

Maxis Untung Bersih RM530 Juta Suku Tahun Kedua 2013

Maxis Untung Bersih RM530 Juta Suku Tahun Kedua 2013

Maxis Bhd (Maxis) mencatatkan peningkatan keuntungan bersih 11.3 peratus pada suku kedua tahun ini kepada RM530 juta berbanding RM476 juta pada suku pertama.


Pengerusi Maxis, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda berkata, prestasi itu didorong oleh perniagaan selain suara khususnya internet mudah alih yang lebih tinggi dengan pelancaran perkhidmatan data yang inovatif.

“Pengguna telefon pintar terus meningkat, di mana sebanyak 6.5 juta daripada 12.4 juta pelanggan Maxis adalah pengguna telefon pintar, tidak termasuk pelanggan jalur lebar.

“Ini sekali gus mewakili kadar penembusan 52 peratus,” katanya dalam sidang media ketika mengumumkan laporan kewangan suku kedua syarikat telekomunikasi negara itu di Kuala Lumpur.

Menurutnya, Maxis juga terus menerajui pasaran dengan jumlah pelanggan 13.9 juta setakat ini.

Katanya, dalam mengekalkan dan meningkatkan perkhidmatan rangkaian sedia ada, syarikatnya turut melaburkan RM407 juta dalam tempoh setengah tahun pertama 2013.

Mengulas berhubung perancangan seterusnya, Arshad berkata, Maxis akan terus mengembangkan rangkaian 4G evolusi jangka panjang (LTE).

“Sejak pelancarannya awal tahun ini, Maxis telah berjaya meluaskan liputan ke luar Lembah Klang iaitu ke Pulau Pinang dan Johor Bahru.

“Kami juga menjadi yang pertama menyediakan perkhidmatan itu di Sabah dan Sarawak bermula di Kuching dan Kota Kinabalu,” katanya.

Menurutnya, akhir Jun lalu, Maxis mencatatkan 250,000 pelanggan dengan peranti 4G LTE dan berharap untuk mencapai sasaran 18 peratus populasi di Malaysia menjelang akhir tahun ini.

10 peratus penduduk pilih 4G LTE Maxis

Maxis Berhad (Maxis) dalam landasan yang betul untuk mencapai sasaran 18 peratus penduduk Malaysia mendapat akses perkhidmatan 4G LTE menjelang akhir tahun ini.

Pengerusinya, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda berkata, buat masa ini liputan perkhidmatan berkenaan mencapai 10 peratus daripada penduduk di Malaysia selepas ia mula diperkenalkan awal tahun ini.

“Sejak diperkenalkan awal tahun ini, perkhidmatan 4G LTE boleh didapati di Lembah Klang, Pulau Pinang, Johor Bahru, Kota Kinabalu dan Sarawak.

“Sehingga Jun lalu, kami mencatatkan 250,000 pelanggan dengan peranti 4G LTE dan dijangka mencapai sasaran 18 peratus penduduk Malaysia menggunakan perkhidmatan ini menjelang akhir tahun,” katanya.

Menurutnya, pihaknya juga akan terus mengembangkan eko-sistem dengan pelbagai peranti pintar 4G, kandungan dan perkhidmatan menarik untuk pengalaman digital yang lebih kaya.

“Kerana itu, sebahagian besar daripada perbelanjaan modal yang diperuntukkan adalah untuk tujuan meningkatkan rangkaian dengan jumlah RM407 juta,” katanya selepas pengumuman prestasi kewangan Maxis bagi suku kedua 2013.

Syarikat juga mencatatkan hasil sebanyak RM2.2 bilion hasil pertumbuhan kukuh dalam data yang membantu mengatasi penurunan hasil suara dan SMS.

-SinarOnline/Hmetro