Wednesday, December 18, 2013

Isu Syiah, Mat Sabu Saman Zahid!

Isu Syiah, Mat Sabu Saman Zahid!

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu akan memfailkan saman fitnah kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi atas tuduhannya semasa Perhimpunan Agung Umno 2013 yang menuduhnya sebagai penganut fahaman Syiah.

Mat Sabu saman Zahid

Mohamad berkata, tindakan saman ke atas Ahmad Zahid diambil kerana kenyataan Menteri Dalam Negeri itu mencetuskan fitnah yang didasari niat jahat, menjatuhkan maruah dan integriti.

"Saya menyerahkan kepada panel peguam PAS untuk mengambil tindakan mahkamah ke atas Zahid di atas kenyataan beliau di perhimpunan agung Umno baru-baru ini.

"Beliau menuduh saya pemimpin Syiah dan mengaitkan Syiah adalah sesat dan mengancam keselamatan negara," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PAS di Kuala Lumpur, kelmarin.



Mohamad yang juga dikenali sebagai Mat Sabu berkata, Ahmad Zahid juga didapati menyalahgunakan kuasa apabila beliau sebagai Menteri Dalam Negeri memberi kuasa kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk mengambil tindakan ke atas dirinya.

Ahmad Zahid semasa membuat ucapan penggulungan di perhimpunan agung Umno awal bulan ini memberikan kuasa kepada Jakim untuk menahan pemimpin kedua tertinggi PAS kerana didakwa mengamalkan fahaman Syiah.

(Baca: Panas! KDN Dedah 10 Bukti Mat Sabu Penganut SYIAH!)

Naib Presiden Umno itu berkata, beliau sudah mengenal pasti perkara itu dan menyeru PAS untuk mengetepikan perbezaan politik, dan bersatu menentang ancaman Syiah kerana ini merupakan soal akidah dan keselamatan negara.

"Kita tak faham kenapa pilih pemimpin Syiah itu jadi orang nombor dua dalam PAS. Datuk Seri Jamil Khir, KDN beri kuasa ambil tindakan terhadap kepimpinan kedua parti itu," katanya merujuk kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang bertanggungjawab memegang portfolio agama.

Mohamad berkata arahan Ahmad Zahid merupakan satu bentuk penyalahgunaan kuasa kerana Jakim tidak terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Katanya, satu laporan polis akan dibuat berhubung arahan Ahmad Zahid itu dan beliau berharap polis bersikap profesional dan tidak berat sebelah berhubung kenyataan naib presiden Umno itu.

“Atas dasar apa KDN secara arbitrari memberi kuasa kepada Jakim untuk mengambil tindakan terhadap saya?” katanya yang selepas ini enggan mengulas lanjut berhubung isu itu dan menyerahkan kepada peguamnya.

Sementara itu, peguam kepada Mohamad, Hanipa Maidin berkata kenyataan KDN yang meminta Mohamad untuk menafi dan bersemuka adalah tidak relevan kerana menuduh tanpa bukti yang kukuh.

Katanya, saman yang dikemukakan khas ditujukan kepada Ahmad Zahid dan bukan kepada kerajaan kerana enggan mencetuskan permusuhan yang menurutnya kenyataan itu secara tiba-tiba tanpa menerima tekanan daripada pihak Mohamad.

“Deklarasi Amman Message yang ditandatangani kerajaan mengiktiraf Syiah daripada kumpulan Jaafariyah dan Zaidiyah serta mengakui ia sebahagian dari ajaran Islam.

“Turut sama dalam deklarasi itu adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kasim, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi,” katanya yang menyifatkan pendirian pemimpin berkenaan berbeza ketika di dalam dan luar negara.

Hanipa berkata kenyataan KDN yang mempunyai bukti gred A dan gred B adalah tidak masuk akal kerana beliau tidak melihat peruntukan undang-undang yang boleh membuat pertuduhan kepada Mohamad di luar mahkamah.

Katanya, satu surat tunjuk sebab (LOD) akan dihantar kepada Ahmad Zahid bagi meminta pihaknya menarik balik kenyataan sebelum ini, membuat permohonan maaf dan membayar kos ganti rugi.

“Ahmad Zahid adalah pencetus kepada tuduhan ini dan beliau telah pun menyatakan kesediaan untuk hadir ke mahkamah.

"Surat tunjuk sebab akan dihantar dalam minggu ini dan tempoh masa tiga hari diberikan kepada beliau untuk menjawabnya," katanya yang menyifatkan terlalu awal untuk untuk menyatakan jumlah kerugian yang akan dituntut.

Bukti KDN tak cukup tuduh Mat Sabu Syiah, Ibrahim Ali

Bukti KDN tak cukup tuduh Mat Sabu Syiah, Ibrahim Ali
Imam Khomeini perjuang menumbangkan regim Syah Iran, kata Ibrahim Ali.

Datuk Ibrahim Ali berkata bukti yang dikemukakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak mencukupi bagi membuktikan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu menganut fahaman Syiah kerana beliau sendiri pernah bertemu dengan pemimpin besar Revolusi Islam Iran Ayatollah Ruhullah Musawi al Khomeini.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) itu berkata, dakwaan pihak tertentu beliau menganut Syiah adalah satu jenaka besar kerana pertemuan sahaja tidak boleh dijadikan seseorang cenderung mengikuti fahaman tertentu.

“Menyanjung tinggi Revolusi Islam Iran tiada kena mengena dengan kefahaman Syiah. Itu adalah perjuangan politik rakyat Iran menentang bekas pemerintah zalim ketika itu, Mohammad Shah Reza Pahlavi,” katanya dalam satu wawancara eksklusif bersama The Malaysian Insider.

“Jika isu bertemu dengan Khomeini, saya dikatakan Syiah, ini satu jenaka paling besar kerana pertemuan kita dengan sesiapa tidak harus menjadikan kita setuju atau mengikut fahaman mereka. Isu Mat Sabu dikaitkan dengan Syiah, saya tak tahu. Itu beliau kena jawab dan tiada kena mengena pertemuan saya bersama Khomeini."

(Baca: Ulama Sunni Sepakat Menolak Ajaran Syiah)

KDN pada Khamis mendedahkan 10 bukti penglibatan Mohamad Sabu atau juga dikenali sebagai Mat Sabu dalam kegiatan Syiah yang kebanyakannya melibatkan perjuangan Imam Khomeini.

Sejurus selepas pendedahan KDN, gambar Ibrahim bersama Khomeini tersebar di laman sosial Facebook dan Twitter.

Antara yang didedahkan KDN adalah Mohamad pernah menggesa umat Islam mencontohi kepimpinan Islam berdasarkan cara Imam Khomeini melalui tulisan di Harakah pada Julai 2008.

Ibrahim berkata KDN hanya boleh membuat dakwaan ke atas Mohamad sekiranya mempunyai bukti yang lebih kukuh berbanding pendedahan yang dilakukan kementerian itu sebelum ini.

“Jika bertemu Khomeini seperti saya sekali pun, saya tidak akan mendakwa Mat Sabu pengikut Syiah tetapi jika KDN ada lebih banyak bukti, itu saya tak campur. KDN bukan sahaja perlu menunjukkan bukti tetapi adakah pemimpin itu pernah menyertai latihan atau pengkaderan anjuran kumpulan Syiah.

“Mantan Perdana Menteri Tun Abdul Razak pernah bertemu dengan Mao Tze Tung dan merintis hubungan diplomasi dengan China. Saya tidak fikir Tun Razak menyokong ideologi komunis. Tun Dr Mahathir Mohamad banyak kali mengadakan pertemuan bersama Friedel Castro, tidak bererti beliau juga berfahaman sosialis,” katanya.

Ibrahim berkata, beliau sangat berbangga apabila pertemuannya bersama Imam Khomeini didedahkan semula di media sosial kerana menurutnya 35 tahun dahulu banyak pihak yang menafikan pertemuan itu.

Gambar yang menjadi kontroversi
Gambar yang menjadi kontroversi.

Katanya, peristiwa itu sukar dilupakannya kerana Khomeini sendiri tidak suka bergambar pada ketika itu kerana berada dalam keadaan revolusi.

“Saya teruja apabila didedahkan semula dengan Imam Khomeini kerana dahulu apabila saya tunjuk gambar mereka mendakwa itu gambar tipu. Sesetengah pihak berasa tidak senang hati saya dapat bergambar dengan Imam Khomeini.

“Gambar itu diambil pada tahun 1978, lebih kurang 35 tahun lalu. Saya fikir saya satu-satunya rakyat Malaysia yang dapat bertemu Khomeini sebelum revolusi,” katanya yang menyatakan pertemuan bersama Khomeini adalah secara kebetulan ketika sedang berbulan madu selepas baru berkahwin.

Menceritakan sejarahnya bertemu Imam Khomeini, Ibrahim berkata beliau ketika itu dalam perjalanan menjelajah ke Amerika, London dan kemudian ke Paris sebelum menuju ke Mekah untuk menunaikan umrah.

Katanya, kisah wawancara bersama pemimpin revolusi Iran itu dimuatkan dalam bukunya bertajuk “Wawancara bersama Ayatollah Khomeini” yang diterbitkan pada 1979 dan 35,000 naskhah habis dijual.

“Ketika isu revolusi Iran sedang hangat diperkatakan. Saya bertemu Khomeini untuk menemubualnya. Ketika berjumpa saya solat Zohor, Asar, Maghrib dan Isyak berjemaah di satu tempat bernama Chateu Melu, satu jam setengah perjalanan dari Paris.

“Beliau menceritakan tentang kezaliman Mohammad Reza yang dikenali juga sebagai Shah Iran. Bagaimana pemimpin itu membolot kekayaan dan menjadi tali barut Amerika. Ini yang beliau ceritakan. Langsung tidak bercerita tentang fahaman Syiah,” katanya.

(Baca: Cubaan Memadam Cahaya Allah)

Ibrahim berkata Imam Khomeini tidak bertutur bahasa Inggeris dan perbualannya bersama pemimpin itu menggunakan khidmat penterjemah.

Katanya, Imam Khomeini hanya bertutur dalam bahasa Perancis dan Parsi serta turut menggambarkan pemimpin itu sebagai orang yang cukup lembut dan bersuara halus.

“Saya tidak lihat beliau sebagai pejuang politik. Beliau hanya menentang Mohammad Reza yang zalim terhadap rakyat. Sebab itu apabila revolusi Iran berjaya, Khomeini tidak jadi presiden tetapi pulang ke Qom dan meneruskan dakwahnya,” kata beliau yang menyifatkan pertemuan bersama Khomeini adalah satu perjalanan hidup bagi mengenali perjuangan pemimpin hebat dunia.

Bekas ahli parlimen Pasir Mas itu berkata, Khomeini bukanlah satu-satunya pemimpin dunia yang ditemuinya tetapi beberapa pemimpin hebat lain turut ditemui seperti Castro, Al-Gore dan Mohd Kutub.

“Saya pernah bertemu dengan Mohd Kutub, adik kepada Syed Kutub, pemimpin Ikhwanul Muslimin dari Mesir ketika berada di Mekah. Saya tinggal bersamanya selama tiga bulan sementara menunggu bulan haji," katanya.

Kedua-dua Ibrahim dan Mohamad merupakan bekas mahasiswa UiTM.

Sumber: MalaysiaKini

Friday, December 13, 2013

Dituduh SYIAH, Mat Sabu Saman KDN?

Dituduh SYIAH, Mat Sabu Saman KDN?

Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu berkata beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana mendakwa dia seorang pengikut ajaran Syiah.

Mat Sabu Syiah

Mohamad yang lebih dikenali dengan panggilan Mat Sabu berkata tindakan serupa juga akan diambil terhadap Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi kerana didakwa mengemukakan ‘bukti’ yang memfitnahnya.

“Saya telah menghubungi peguam untuk mengambil tindakan selanjutnya terhadap fitnah Naib Presiden Umno dan KSU Kementerian Dalam Negeri terhadap saya,” katanya dalam satu kenyataan.

Mat Sabu berkata beliau yakin bukti yang didedahkan KDN pada Khamis adalah satu fitnah yang cuba menjatuhkan imej dan kredibiliti beliau sebagai pemimpin nombor dua PAS.

“Kita yakin sidang media pendedahan bukti yang mendakwa saya pengamal ajaran syiah itu dibuat lanjutan daripada kenyataan Ahmad Zahid dalam ucapan penggulunggan di Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini.

“Kenyataan beliau memang tidak bertanggungjawab. Beliau pernah mengeluarkan kenyataan dalam satu kes membanteras jenayah seperti, ‘tembak dulu, baru siasat’,” katanya.

(Baca: Kisah Gadis Melayu Ditarbiah Syiah)

Mat Sabu menegaskan kenyataan Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri turut memberi imej buruk kepada kerajaan dan negara ini.

Pada Khamis, Abdul Rahim dalam satu sidang media mendedahkan beberapa bukti yang mengaitkan Mat Sabu sebagai seorang pengikut ajaran Syiah.

Antara lain, beliau mendakwa Mat Sabu sering membaca ‘Selawat’ mengikut ajaran Syiah serta menyatakan rasa kagumnya terhadap kempimpinan dan perjuangan ulama Syiah Iran, Imam Khomeini yang merupakan ikon mazhab tersebut.

Dalam Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini, Ahmad Zahid mendakwa pemimpin nombor dua PAS cenderung dan terlibat fahaman syiah.

(Baca: Fakta Sejarah Membuktikan Puak Syiah Adalah Munafik Terulung)

Abdul Rahim juga berkata Mat Sabu semasa mengulas perutusan Hari Krismas pada 2008 bagi penganut Kristian di Malaysia, turut menggunakan pendekatan Imam Khomeini sebagai terma rujukan untuk meraih sokongan politik dan agenda perpaduan di mana kenyataan itu dimuatkan dalam Harakah Daily pada 25 Disember 2008.

Bukan itu sahaja, Abdul Rahim mendakwa Mat Sabu secara terang-terangan turut memuji Pemimpin Syiah Lubnan, Sayyid Hassan Nasrullah dan mengaku beliau serta isterinya bertemu dengan pemimpin Syiah berkenaan lebih daripada empat kali.

Beliau turut mendakwa seorang tokoh agama juga pernah menjelaskan Mat Sabu merupakan salah seorang penganut Syiah kerana beliau sendiri beberapa kali pernah melihat pemimpin PAS itu menunaikan solat menggunakan sebiji batu kecil leper di tempat sujudnya dan amalan tersebut cukup sinonim dengan kumpulan Syiah.

Sumber: mStar Online

Panas! KDN Dedah 10 Bukti Mat Sabu Penganut SYIAH!

Panas! KDN Dedah 10 Bukti Mat Sabu Penganut SYIAH!

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Abd. Rahim Mohd. Radzi mendedahkan sepuluh maklumat yang menunjukkan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu (Mat Sabu) cenderung dan terlibat dengan fahaman Syiah.

Bukti mat sabu pengikut syiah

1) Mat Sabu didapati menggesa umat Islam mencontohi kepimpinan Islam berdasarkan cara ulama Syiah Iran Imam Khomeini melalui tulisannya bertajuk "Teladan Pemerintahan Nabi Yusuf Khomeini" dalam ruangan Fikrah, akhbar Harakah halaman 16 pada 5 hingga 15 Julai 2008.

2) Mat Sabu dalam ucapannya sebagai Timbalan Presiden PAS pada 13 Jun 2011 turut menyatakan kekaguman dengan kepemimpinan dan perjuangan Khomeini yang banyak mencorak pemikiran beliau.

3) Mat Sabu semasa mengulas perutusan Hari Krismas pada 2008 bagi penganut Kristian di Malaysia, turut menggunakan pendekatan Imam Khomeini sebagai terma rujukan untuk meraih sokongan politik dan agenda perpaduan di mana kenyataan itu dimuatkan dalam Harakah Daily pada 25 Dis 2008.

Kenyataan itu ialah, Imam Khomeini telah menghantar mesej kepada penganut Kristian melalui siaran agensi-agensi berita. Para penyokong yang mengiringi Khomeini ketika dalam buangan di Neaupe Le Chateau, Perancis menceritakan mereka diminta oleh Imam Khomeini supaya membahagi-bahagikan hadiah kepada penduduk di situ pada Hari Krismas.

4) Temuramah dibuat oleh agensi berita 'Antara Pos' dengan Timbalan Presiden Jalur Tiga (Jati) Datuk Aidit Ghazali menjelaskan Mat Sabu merupakan ikon Syiah dan gagal menafikan dirinya mempunyai kaitan dengan Syiah..

5) Beliau juga secara terang-terangan memuji Setiausaha Agung Syiah Lubnan iaitu Sayyid Hassan Nasrullah dan mengaku beliau dan isterinya kerap bertemu dengan pemimpin Syiah berkenaan lebih daripada empat hingga lima kali.

6) Berdasarkan maklumat, Mat Sabu juga didapati membuat lawatan ke sebuah masjid Syiah di Kampung Aluar, Wilayah Satun, selatan Thailand pada 2011 untuk mengunjungi pemimpin Syiah dan menghadiri majlis ramah mesra di sana.

7) Mat Sabu juga didapati beberapa kali menghadiri kelas pengajian di sebuah rumah di Bukit Merah, Semanggol, Perak pada 2011, dan kelas pengajian itu dikendalikan dua ustaz berfahaman Syiah yang bertugas di sebuah daripada sekolah agama di Gunung Semanggol.

8) Berdasarkan temuramah pegawai KDN Ustaz Zamihan Mat Zin bersama C.N. Afghani (sahabat Mat Sabu selama hampir 20 tahun) di Masjid Jamek, Kuala Lumpur pada 9 Dis 2013 yang menjelaskan Mat Sabu kerap kali melawat Iran dan pernah terlibat dalam program penghantaran pelajar Malaysia di Qom, Iran.

9) Menurut temuramah Ustaz Zamihan bersama Prof Madya Dr Abdul Aziz Hanafi (tokoh ulama), Abdul Aziz menjelaskan Mat Sabu pernah melafaz selawat seperti diamalkan penganut Syiah pada satu sesi ceramah PAS di Madrasah Diniah, Arau, Perlis pada 2005.

10) Tuan Guru Haji Abd Rahim dari Sg Jagung, Pendang, Kedah juga menjelaskan Mat Sabu merupakan salah seorang penganut Syiah kerana beliau sendiri beberapa kali pernah melihat Mat Sabu menunaikan solat menggunakan sebiji batu kecil leper di tempat sujudnya. Amalan yang sinonim dengan golongan Syiah.

Segala fakta yang dikemukakan jelas menunjukkan pemimpin PAS itu mempunyai kaitan dengan fahaman dan aktiviti Syiah.

Secara kesimpulan, Mat Sabu juga menggesa umat Islam Malaysia mencontohi pemikiran dan corak pemerintahan Imam Khomeini yang jelas berasaskan Syiah.

Selain itu keterangan beliau sendiri melalui kata-kata, penulisan, rakaman ceramah dan aktiviti yang disertainya sama ada di dalam atau luar negara tidak dapat sama sekali menyembunyikan kaitan beliau dengan Syiah.

Keterangan daripada rakan-rakan Mat Sabu yang pernah bersama-sama berjuang dalam lapangan politik yang sama turut memperakui kaitan beliau dengan Syiah.

Syiah Isu Akidah Bukan Isu Politik

Zahid Hamidi - Isu Mat Sabu Penganut Syiah

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan parti Pas perlu mengetepikan soal politik apabila berhadapan dengan isu Syiah yang masuk ke dalam negara ini.

Ini kerana, isu Syiah yang kian menular di kalangan umat Islam di Malaysia merupakan soal akidah yang perlu ditangani dengan serius sebelum ia mengelirukan umat Islam.

Zahid juga menyatakan, Pas perlu berfikir dengan wajar untuk menolak semua pemimpin parti mereka yang terang-terangan mengamalkan fahaman Syiah dan bukanlah berlandaskan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Parti Pas, ketepikanlah soal politik, kerana ini adalah soal akidah. Alangkah baiknya jika Pas menyatakan mereka menolak fahaman Syiah, termasuklah menolak pemimpin yang amalkan Syiah. Kita tahu siapa pemimpin mereka,” kata Zahid dalam ucapan penggulungan sempena Perhimpunan Agung UMNO 2013.

Zahid memberi amaran keras dalam isu Syiah ini di mana pemimpin Pas yang berselindung mengamalkan ajaran Syiah akan diambil tindakan keras dan sewajarnya.

Malah, premis-premis berdaftar yang mengamalkan ajaran Syiah secara senyap juga akan disita.

“Jangan berselindung! Kita akan ambil tindakan kepada pemimpin Pas yang amalkan Syiah. Jika ada pemimpin-pemimpin Syiah di premis-premis berdaftar, Menteri Dalam Negeri juga akan menyita terus,” katanya.

Bagi Zahid, isu Syiah mampu memberikan ancaman kepada soal keselamatan negara dan memecah-belahkan akidah umat Islam.

Justeru, beliau menyatakan Malaysia telah mendifinisikan agama Islam adalah agama yang mengikut fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah secara terang-terangan.

“Negara Malaysia, terang-terangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dan UMNOlah wadah yang memulakan Ahli Sunnah Wal Jamaah, bukanlah parti lain. UMNO hanya Ahli Sunnah Wal Jamaah,” tambah Zahid.

Sumber: MYKMU/mStar