Thursday, February 06, 2014

Aset Anak Lelaki Taib Mahmud Bernilai RM1.395 Bilion!

Aset Anak Lelaki Taib Mahmud Bernilai RM1.395 Bilion!

Seorang akauntan memberi keterangan di Mahkamah Tinggi Syariah di sini bahawa aset anak Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud bernilai antara RM976 juta dan RM1.395 bilion.

Datuk Seri Mahmud Abu Bekir dan Isteri

Akauntan bertauliah, Andrew Heng, 39, berkata sebelum ini beliau memaklumkan kepada mahkamah bahawa aset Datuk Seri Mahmud Abu Bekir bernilai RM916 juta hingga RM1.344 bilion.

Beliau berkata angka baru itu diperolehi setelah memasukkan dua aset yang dimiliki Mahmud yang terdiri daripada sebuah kereta Audi dan kepentingannya di Menara Titanium di Brighton Square, Kuching, Sarawak.

Andrew telah dilantik oleh bekas isteri Mahmud, Shahnaz A. Majid, 50, untuk mengenalpasti aset milik Mahmud dan nilai pegangan sahamnya dalam 49 syarikat di Malaysia.

“Berikutan penemuan baru itu, angka terkini di antara RM976 juta dan RM1.395 bilion selepas mengambil kira kedua-dua aset.

“Angka tersebut berdasarkan kepada lima komponen termasuk yang diwarisi daripada arwah ibu Mahmud, tanah kelapa sawit, saham dalam 49 syarikat Malaysia dan kini, kenderaan Audi yang dimiliki oleh Ivy Kraf Sdn Bhd di mana beliau mempunyai 50 peratus kepentingan dan juga Menara Titanium,” kata Andrew.

Andrew telah memberi keterangan semasa pemeriksaan balas oleh peguam Shahnaz, Akbardin Abdul Kader dalam perbicaraan tuntutan mutaah RM100 juta beliau.

Shahnaz yang merupakan kakak kepada ratu jazz, Datuk Sheila Majid, menuntut RM400 juta yang mana RM300 juta adalah harta sepencarian sebagai sebahagian daripada penyelesaian perceraian.

Shahnaz juga menuntut 50 peratus daripada semua aset yang dimiliki oleh Mahmud, 50, termasuk kereta mewah, rumah di pelbagai lokasi, tanah di Sarawak dan saham.

(Baca: Bethany Mota, Gadis Yang Menjadi Jutawan Kerana YouTube)

Mereka telah berkahwin pada Januari 1992 dan bercerai pada 2011.

Mereka mempunyai seorang anak lelaki berusia 20 tahun, Raden Murya.

Andrew berkata kenderaan mewah Mahmud, jenis Bugatti, bernilai RM1.18 juta tidak termasuk duti dan eksais yang dibayar dan Lamborghini bernilai RM498,000.

“Dua kenderaan lain Mahmud adalah Bentley Continental dianggarkan bernilai RM478,000 dan Toyota Alphard, RM190,000,” katanya.

Pada akhir prosiding, peguam utama Mahmud Datuk Zainul Rijal Abu Bakar memberitahu mahkamah bahawa mereka memerlukan dua bulan untuk akauntan anak guamnya mengkaji laporan oleh Andrew.

“Kita perlu mendapatkan nasihat daripada pakar dalam bidang perakaunan sebelum boleh meneruskan pemeriksaan balas kami,” katanya.

Walau bagaimanapun, peguam utama Shahnaz, Dr Rafie Mohd Shafie membantah permohonan itu, dengan menyatakan ia tidak adil untuk mereka dan menambah bahawa aset Mahmud adalah berdasarkan laporan kewangan syarikat-syarikat beliau.

Mahkamah kemudian menanguhkan perbicaraan kepada 14 dan 30 April bagi pembelaan untuk pemeriksaan balas Shahnaz.

Sumber: mStar

Thursday, January 16, 2014

Rakyat Malaysia 'Paling Ramai Gemuk' Di Asia Tenggara!

Rakyat Malaysia 'Paling Ramai Gemuk' Di Asia Tenggara!

Selain terjejas oleh obesiti dan kencing manis, rakyat Malaysia juga mengambil pelbagai makanan yang tidak berkualiti dan bernutrisi tinggi, menurut laporan kualiti makanan di seluruh dunia, Oxfam International.

Obesiti di malaysia

Kajian dan penyelidikan oleh kumpulan penyelidik kemiskinan dan bantuan bencana yang berpangkalan di United Kingkom (UK) yang baharu sahaja didedahkan ini menunjukkan Malaysia berada di kedudukan 44 dalam 125 negara (Lebih tinggi skor indeks, lebih teruk kedudukan negara).

Dengan tajuk 'Good Enough to Eat Index', ia menunjukkan Malaysia memperoleh 76 daripada 100 skor di bawah kategori kepelbagaian diet, yang menunjukkan walaupun makanan adalah cukup di Malaysia, pilihan pelbagai makanan bagaimanapun tidak berkhasiat.

Kemampuan makanan juga seolah-olah menjadi masalah bagi Malaysia, apabila negara memperoleh skor yang lebih tinggi daripada purata 57 dari segi tahap harga.

Tahap ini, menurut Oxfam adalah relatif kepada barangan dan perkhidmatan lain.

Kecenderungan untuk harga makanan turun naik bagaimanapun rendah, dengan Malaysia mendapat skor 14.

(Baca: Wanita New Zealand Memandu Sejauh 300 Kilometer Ketika Tidur!)

Malaysia juga didapati berada pada anak tangga yang lebih rendah dalam kategori obesiti dan kencing manis, dengan masing-masing mendapat 29 dan 37 skor.

Menurut laporan, kira-kira 2.6 juta rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas adalah pesakit kencing manis.

Angka ini dijangka mencecah 4.5 juta pada tahun 2020.

Malaysia turut disenaraikan negara 'paling gemuk' di Asia Tenggara dan yang keenam di rantau Asia Pasifik.

Walaupun kajian itu mendapati bahawa rakyat Malaysia tidak menghidap sebarang kekurangan zat makanan, tetapi menunjukkan sebilangan kanak-kanak yang kurang berat badan dengan skor 28.

Negara ini juga secara keseluruhannya berkongsi tempat ke-44 dengan enam negara lain: Maldives, Kazakhstan, Mexico, Moldova, Rusia dan Chile.

Di Asia Tenggara, Malaysia berada di tempat kedua di belakang Thailand, yang menduduki tempat ke-42 di seluruh dunia.

Negara jiran, Filipina (67), Vietnam (71), Indonesia (83) dan diikuti Laos (112).

Singapura dan Myanmar tidak termasuk dalam senarai.

"Walaupun dalam zaman moden dan kemajuan teknologi, kita masih gagal untuk menyediakan rakyat dengan makanan asas yang mereka perlukan untuk terus hidup dan makan secara sihat," kata kenyataan Oxfam.

Dalam perbandingan yang dibuat, Belanda mendapat tempat yang pertama sebagai negara yang mempunyai makanan yang paling berkhasiat dan sihat.

Sumber: mStar online

Friday, November 15, 2013

35 Tahun Menggunakan IC Palsu!

35 Tahun Menggunakan IC Palsu!

“Saya sudah menetap di negara ini sejak 35 tahun lalu dengan hanya menggunakan kad pengenalan rakan yang diimbas,” kata seorang pengawal keselamatan dikenali sebagai Subramaniam, 59, yang ditahan dalam Op Kutip dijalankan Jabatan Imigresen Selangor di sekitar Klang dan Shah Alam, semalam.

IC Palsu!
Subramaniam ditahan kerana guna kad 
pengenalan imbas milik rakan (gambar kecil).

Lelaki warga emas terbabit ditahan ketika bertugas di sebuah kondominium di Taman Bayu Perdana, dekat Klang, mendakwa berasal dari Singapura dan berkahwin dengan warga tempatan hingga mendapat dua anak serta empat cucu di negara ini.

“Saya baru bekerja di syarikat keselamatan berkenaan dan ketika memohon pekerjaan, mereka langsung tidak meminta sebarang dokumen pengenalan daripada saya.

“Sepanjang berada di negara ini, saya hanya bersedia dengan kad pengenalan yang diimbas milik rakan kalau-kalau ada pemeriksaan pihak berkuasa,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Selangor di sini, semalam.

Subramaniam turut mendakwa dia keluar dan masuk negara ini tanpa sebarang masalah sejak 1979 walaupun tiada dokumen perjalanan dengan menaiki pengangkutan awam.

“Saya lebih selesa tinggal di negara ini berbanding Singapura kerana keluarga saya semuanya di sini dan saya sudah tiada saudara-mara di sana.

“Saya pernah cuba memohon status penduduk tetap negara ini, namun akibat ketiadaan dokumen pengenalan diri serta tidak mendaftar perkahwinan, usaha itu tidak dapat dilakukan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Penolong Pengarah Operasi Jabatan Imigresen Selangor Othman Montil berkata, operasi bermula jam 10.30 pagi itu dianggotai 12 anggota dan pegawai.

“Op selama lima jam itu bertempat di Taman Bayu Perdana dan juga sebuah pusat beli-belah dekat Klang serta dua premis mencuci kereta di Seksyen 7, dekat sini.

“Kami menahan 15 warga asing yang turut membabitkan empat wanita kerana melakukan pelbagai kesalahan seperti tiada pasport serta melanggar syarat permit pekerjaan dan mereka yang ditahan akan dibawa ke Depoh Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sumber: Harian Metro

Saturday, July 27, 2013

Surat Ancaman Pengganas Sulu Tidak Benar!

Surat Ancaman Pengganas Sulu Tidak Benar!

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib semalam mengulangi penegasannya bahawa surat yang mendakwa ada gelombang kedua pencerobohan pengganas Sulu ke Sabah bulan depan adalah tidak benar.


Sehubungan itu beliau meminta rakyat di Sabah agar tidak bimbang kerana pada masa yang sama pasukan keselamatan tetap mempertingkatkan kawalan.

"Elakkan menyebarkan khabar angin hingga boleh menakutkan penduduk negeri ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat Ibu Pejabat Polis Daerah Sandakan.

Beliau berkata polis masih menyiasat mengenai surat itu yang dikatakan dihantar oleh pengganas dari selatan Filipina.

Surat bertarikh 3 Julai itu yang ditandatangani oleh ‘Komando Militan’ bagi pihak Kesultanan Sulu dan keluarga Kiram telah dihantar kepada pegawai daerah Tambunan, pegawai polis dan masyarakat Tambunan, memberi amaran mereka mahu memulakan perang di daerah itu pada Ogos ini sebagai membalas dendam terhadap pertempuran di Kampung Tanduo, Lahad Datu, Mac lepas.

Dalam pada itu Hamza turut meminta orang ramai, khususnya pemimpin masyarakat agar menyalurkan sebarang maklumat mengenai kegiatan yang dipercayai ada kaitan dengan pengganas kepada pihak keselamatan. -Bernama

Friday, July 26, 2013

Gempar Buaya Tembaga Gergasi Terdampar Ditepi Sungai

Gempar Buaya Tembaga Gergasi Terdampar Ditepi Sungai

Penduduk sekitar Bukit Belimbing dekat sini gempar selepas dua nelayan menemui bangkai buaya besar yang tersangkut di tepi sungai ketika mahu memancing udang di Jeti Jalan Tok Empat Masjid, Kampung Bukit Belimbing kira-kira lewat malam kelmarin.

Dua nelayan terkejut menemui bangkai buaya yang 
tersangkut di tepi sungai ketika mahu memancing udang.

Nelayan, Zaidi Jaafar, 23, berkata, dia tidak menyangka suluhan lampu rakannya ketika menyusuri Sungai Selangor untuk memancing udang tertumpu pada objek besar yang disangka kayu yang tersangkut pada dahan kayu di tebing sungai.

“Kami mula menjarakkan sampan dan meneliti dari jauh. Namun, beberapa minit kemudian kami memberanikan diri untuk melihat lebih dekat kerana buaya itu tidak bergerak. Saya cuba menguis menggunakan pendayung dan dapati buaya itu sudah tidak bergerak.

“Selepas sah buaya itu sudah mati, kami terus mendekati untuk melihat keadaan fizikal buaya itu yang mungkin cedera di mana-mana yang mengakibatkan kematian, namun hanya didapati gigi dan kuku sudah tiada,” katanya ketika ditemui petang semalam.

Rakannya, Rosnizam Moktar, 30, berkata, penemuan itu menjadi satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan seumur hidupnya sepanjang tempoh 10 tahun menjadi nelayan sungai di kawasan itu kerana berdepan dengan buaya jenis muara tembaga yang cukup besar.

“Namun ramai rakan lain pernah cakap mereka pernah terserempak dengan buaya jenis itu dengan saiz lebih besar namun reptilia itu tidak pernah mengganggu atau mengganas terhadap nelayan yang mencari makan di sepanjang Sungai Selangor yang kaya dengan udang dan pelbagai jenis ikan.

“Saya pun pernah terserempak dengan buaya ketika memancing di kawasan sungai ini tapi tidak pernah haiwan itu mengganggu nelayan atau kaki pancing yang sering mengunjungi Sungai Selangor untuk memancing udang yang terkenal dengan saiz yang agak besar,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Selangor Rahim Ahmad menjelaskan, pihaknya segera ke lokasi kejadian sebaik dimaklumkan dengan penemuan itu dan mengangkut bangkai buaya terbabit ke Pusat Konservasi Hidupan Liar Sungai Dusun untuk bedah siasat.

“Kita tidak boleh memberi sebarang komen buat masa ini berhubung punca kematian, usia, jenis jantina dan saiz sebenar kerana menunggu keputusan bedah siasat nanti dan penemuan ini adalah yang pertama dilaporkan kepada Perhilitan di negeri ini,” katanya.

“Sebelum ini kita tidak pernah menerima laporan penemuan buaya dengan saiz yang agak besar bagaimanapun sehingga kini kita juga tidak pernah menerima aduan berhubung keganasan buaya di sepanjang sungai ini yang mengakibatkan kematian,” katanya.

-Hmetro

Saturday, July 20, 2013

Keputusan Majlis FATWA Haram Menghisap Shisha

Keputusan Majlis FATWA Haram Menghisap Shisha

Muzakarah khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam memutuskan shisha adalah haram bagi umat Islam.


Selain menghisap shisha, muzakarah yang bersidang pada Rabu lepas, turut melarang umat Islam daripada menyediakan perkhidmatan menghisap shisha atau apa-apa aktiviti berkaitan shisha.

Ini diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin dalam kenyataan hari ini.

“Setelah mendengar pembentangan dan penjelasan pakar daripada Kementerian Kesihatan dan meneliti maklumat serta bukti perubatan dan saintifik terperinci yang dikemukakan dari dalam dan luar negara mengenai kesan dan kemudaratan besar yang dihadapi akibat shisha…maka muzakarah bersetuju memutuskan shisha adalah haram,” katanya.

Abdul Shukor menjelaskan penggunaan shisha akan memberi kesan dan kemudaratan besar dari segi kesihatan ummah, pembangunan ekonomi negara serta pembentukan generasi akan datang.

Muzakarah khas itu, katanya, mendapati semua dapatan saintifik menerusi pelbagai kajian komprehensif yang dilakukan di negara ini mahupun di peringkat antarabangsa berjaya membuktikan shisha memberi kesan amat berbahaya dan penularannya amat membimbangkan, khususnya dalam kalangan remaja dan wanita.

“Dalam hal ini, muzakarah menasihatkan seluruh umat Islam supaya tidak terlibat dengan apa-apa aktiviti berkaitan shisha kerana pengharamannya adalah berdasarkan nas-nas syarak daripada Al-Quran dan hadis serta kaedah Fiqhiyyah,” kata Abdul Shukor.

Ini, katanya, bagi memastikan lima perkara asas bagi manusia yang terkandung dalam Maqasid Syari’yyah iaitu menjaga agama, jiwa, akal, keturunan dan harta dapat dipelihara seperti mana tuntutan syarak.

“Shisha jelas memudaratkan kesihatan, membazir dan mensia-siakan masa dan harta serta dikategorikan sebagai perkara buruk atau keji yang perlu dihindari oleh semua umat Islam,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Abdul Shukor berkata muzakarah khas itu juga kecewa terhadap perlakuan pihak-pihak yang sengaja menimbulkan isu bagi mencetuskan kemarahan umat Islam, sekali gus menggugat keharmonian hidup masyarakat berbilang agama dan bangsa di Malaysia.

“Muzakarah khas berpandangan siri-siri penghinaan yang dilakukan golongan tidak bertanggungjawab ini semacam sudah dirancang dan sengaja dilakukan lebih-lebih lagi di bulan Ramadan yang amat mulia bagi umat Islam,” katanya.

Menurutnya, perbuatan yang dilakukan golongan itu telah melampaui batas kesabaran umat Islam.

“Dengan pelbagai penghinaan yang dilakukan sebelum ini, kita tidak mahu lagi kata-kata atau perlakuan biadap dan tidak bertamadun oleh rakyat Malaysia atau mana-mana warga asing dipandang sebelah mata tanpa diambil tindakan tegas dan hukuman maksimum mengikut undang-undang sedia ada,” katanya.

Abdul Shukor menekankan tindakan tegas dengan kadar segera perlu dilaksanakan pihak berkuasa supaya perbuatan menghina Islam tidak terus berulang selain menjadi pengajaran buat semua.

Beliau menarik perhatian perbuatan menghina dan mengeluarkan kenyataan yang mencetuskan kemarahan umat Islam dan kemudian memohon maaf sudah menjadi mainan pihak-pihak berkaitan, dan ini tidak harus dibiarkan berlaku.

Justeru, Abdul Shukor berkata muzakarah khas itu menggesa umat Islam supaya bersatu dalam menghadapi niat jahat pihak-pihak yang biadap itu demi mempertahankan kesucian agama dan maruah umat Islam di negara ini. –Bernama

Semua Agama Sewajarnya Dihormati

Semua Agama Sewajarnya Dihormati

Rakyat Malaysia pelbagai kaum dan etnik harus saling menghormati agama serta adat resam masing-masing bagi mengelak berlakunya ketegangan dalam masyarakat.


Apabila sesuatu kaum itu sengaja menghina atau mempermainkan kesucian dan kemuliaan agama tertentu sudah tentu akan menimbulkan kemarahan pihak berkenaan dan boleh berlakunya perbalahan kaum.

Apabila kemuliaan Islam dihina dan dipermainkan oleh bukan Islam sedangkan Islam merupakan agama rasmi negara, sudah tentu akan membangkitkan kemarahan umat Islam din negara ini.

Semua pihak terutama generasi muda seharusnya berpegang kepada prinsip perlembagaan negera untuk menghormati agama dan budaya masing-masing.

Islam merupakan agama rasmi negara yang dianuti oleh majoriti rakyat negara ini yang tidak boleh dipertikaikan oleh mana-mana pihak.

Sejarah sudah membuktikan bahawa Islam merupakan agama rasmi negara ini dan kesuciannya tetap akan dipertahankan oleh penganutnya walaupun apa yang bakal terjadi.

Kegagalan pihak berkuasa untuk segera bertindak menangani sebarang kes yang membabitkan pelanggaran terhadap kesucian terhadap agama Islam akan mendapat tindak balas daripada umat Islam.

Penghinaan dan pencercaan yang dilakukan oleh pasangan Alvin Tan dan Vivian Lee yang sebelum ini mendapat kecaman seluruh masyarakat Malaysia terutama orang Islam yang mempersendakan bulan Ramadhan dengan sup tulang babi ternyata diluar batas manusia normal dan sewajarnya dikenakan tindakan berat.

Perlakuan Alvin dan Vivian satu contoh perbuatan yang amat jijik dan seharusnya dijadikan iktibar oleh generasi muda supaya tahu menghormati agama lain sejajar dengan semangat kenegaraan.

Seluruh umat Islam di negara ini telah terluka dengan perbuatan jahat pasangan tersebut dan hanya hukuman paling berat yang patut dikenakan keatas mereka. –BERNAMA

Friday, June 28, 2013

Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) Masih Dalam Peringkat Kajian

Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) Masih Dalam Peringkat Kajian

Kerajaan masih belum memuktamadkan pelaksanaan dan kadar bagi Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) kerana ia masih lagi diperingkat kajian, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah.


Ahmad Husni berkata, Putrajaya bagaimanapun telah mempertimbangkan untuk memberikan cukai sifat kepada barangan keperluan asas dan kegunaan harian seperti produk makanan, air, dan elektrik yang diperlukan rakyat daripada golongan berpendapatan rendah.

"Kerajaan masih belum membuat kata putus lagi dan akan dimaklumkan keputusan itu kelak," katanya menjawab soalan ahli Parlimen Setiawangsa Datuk Ahmad Fauzi Zahari ketika sesi perbahasan di Parlimen hari ini.

Ahmad Husni berkata, termasuk Malaysia, hanya 11 sahaja negara yang belum melaksanakan GST, sedangkan 160 negara telah melaksanakan sistem percukaian berkenaan.

"Negara mahukan sistem kutipan cukai terbaik dalam menguruskan kewangan. Peningkatan hasil peningkatan perbelanjaan untuk kesejahteraan rakyat," kata Ahmad Husni, yang juga ahli Parlimen Tambun.

Antara cadangan sifar cukai itu jelas Ahmad Husni adalah termasuk barang makanan, seperti beras, minyak masak, ternakan dan daging, ukan udang, bekalan eletrik 200 kilowat, bekalan air 30 meter padu.

"Barangan dan produk diperingkat penjualan akhir, tidak dikenakan GST," katanya, dan menambah ia berkurangan daripada peraturan yang dikenakan, ia melibatkan teksi, bas dan rumah kediaman.

"Ada dua impak yang kita lihat , bebanan kepada rakyat, berbanding cukai jualan dan berapa banyak pertambahan sekiranya berlaku dan apakah kaedah ini sekiranya dan kadar faedah ini sedang kita kaji," katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, walaupun dalam kajian kerajaan, GST merupakan sistem yang baik dan dilaksanakan di 140 negara bagi menggantikan cukai jualan dan perkhdimatan, namun dengan mengambil kira prinsip rakyat, maka kerajaan tidak melaksanakan cadangan itu pada masa sekarang.

Rang Undang- Undang GST telah dibentangkan di Parlimen untuk bacaan pertama pada Disember 2009, namun bacaan kedua yang dijadualkan pada Mac 2010, telah ditangguhkan.

Ia pada mulanya dijangka dilaksanakan pada pertengahan 2011 bagi menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan.

[Sumber]

Sunday, June 23, 2013

Samseng Black 505 Belasah 2 Pekerja DBKL

Samseng Black 505 Belasah 2 Pekerja DBKL

Perhimpunan haram anjuran pakatan pembangkang di Padang Merbok, di sini semalam kecoh apabila dua anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diserang sekumpulan peserta perhimpunan haram itu.


Dalam kejadian jam 4.50 petang itu, kedua-dua anggota terbabit menasihatkan peserta perhimpunan supaya tidak mendirikan khemah di padang berkenaan kerana melanggar Undang-undang Kecil Kerajaan Tempatan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 1992 iaitu berkumpul tanpa permit dan kesalahan mendirikan khemah mengikut Akta Jalan, Parit, dan Bangunan 1974.

Bagaimanapun, kumpulan itu yang tidak berpuas hati bertindak agresif membaling botol air selain mengheret, seterusnya mengasari anggota penguat kuasa itu sebelum mangsa berjaya diselamatkan polis dan ditempatkan sementara dalam kenderaan DBKL.

Peserta terus bertindak di luar kawalan apabila mengerumuni kenderaan terbabit selain mengugut mahu menterbalikkan van itu sebagai memprotes arahan DBKL, namun dihalang anggota polis bertugas.

Keadaan bertambah kecoh apabila kedua-dua anggota penguat kuasa DBKL itu, dibawa keluar daripada van berkenaan diiringi pegawai dan anggota polis termasuk mereka berpakaian awam untuk dihantar ke hospital.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah, mengesahkan salah seorang daripada anggota penguat kuasa terbabit mengalami kecederaan serta dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Berdasarkan maklumat yang diterima polis, beberapa khemah didirikan tanpa kebenaran di Padang Merbok oleh kumpulan Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM). Berikutan itu, dua anggota penguat kuasa DBKL bertindak melarang mereka meneruskan pemasangan khemah berkenaan.

Mangsa dipukul

“Bagaimanapun, ketika melaksanakan tugas itu, kedua-dua mereka dilaporkan dipukul, dengan salah seorang daripada mereka mengalami kecederaan dan terpaksa dihantar ke HKL untuk rawatan,” katanya.

Chin Wah berkata, polis sedang menjalankan siasatan terperinci berhubung kejadian itu, termasuk mengenalpasti individu yang melakukan serangan.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad ketika ditemui, berkata walaupun berlaku kekecohan, keadaan secara keseluruhannya adalah terkawal dan tiada sebarang tangkapan dibuat setakat ini.

Ketua Pengarah DBKL, Datuk Salleh Yusop dalam kiriman sms malam tadi, memaklumkan pihaknya akan mengambil tindakan sewajarnya mengikut undang-undang.

Dalam kejadian berasingan, kira-kira 10 peserta perhimpunan memanjat landasan KTMB berhampiran Padang Merbok sehingga menyebabkan perjalanan komuter dari Batu Caves menuju ke Pelabuhan Klang tergendala selama hampir 15 minit.

Pembangkang degil terus berhimpun di Padang Merbok

Pembangkang menolak tawaran kerajaan untuk mengadakan perhimpunan mereka di Stadium Merdeka, sebaliknya berdegil untuk terus berhimpun di Padang Merbok di sini walaupun tanpa permit.

Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata selepas berbincang, kepemimpinan pakatan pembangkang sebulat suara bersetuju untuk tidak menerima cadangan dikemukakan kerajaan.

“Memang pada mulanya saya bersetuju untuk kita mengakhiri perhimpunan ini di Stadium Merdeka dengan berarak dari Padang Merbok tetapi disebabkan banyak pergerakan, kita memilih untuk tidak menerima cadangan itu,” katanya ketika berucap pada perhimpunan haram itu, semalam.

Anwar juga mengakui banyak pihak meminta supaya pembangkang menangguhkan perhimpunan berkenaan berikutan cuaca jerebu yang boleh mengganggu kesihatan.

Terdahulu, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata pihaknya akan membuat laporan polis jika penganjur perhimpunan itu tetap meneruskan rancangan untuk mengadakannya di Padang Merbok.

“Pintu Stadium Merdeka juga sudah dibuka untuk mereka, cuma mereka perlu berurusan dengan polis untuk mendapatkan permit,” katanya selepas meninjau sekitar Padang Merbok bagi memberi sokongan kepada pegawai dan anggota Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang bertugas di situ, tengah hari semalam.

-Bharian

Friday, June 07, 2013

Inilah Punca Jambatan Terpanjang Asia Tenggara Di Pulau Pinang Runtuh

Inilah Punca Jambatan Terpanjang Asia Tenggara Di Pulau Pinang Runtuh

Menurut laporan awal, ketidakstabilan besi penyokong pada struktur pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang dipercayai menjadi punca kepada runtuhnya struktur tersebut.


Semasa kerja-kerja pembinaan sedang dijalankan, didapati besi penyokong jambatan tersebut berada dalam keadaan tidak stabil dan akibatnya telah berlakunya runtuhan selepas itu.

Adakah bahan mentah import dari China yang diketahui umum tidak berkualiti punca berlaku malapetaka ini?

Projek pembinaan jambatan berharga kurang daripada RM4.5 bilion itu adalah usahasama antara China Harbour Engineering Company Ltd dan UEM Builders Bhd, yang bermula pada 2008 dan dijangka disiap pada November 2013.


Jambatan Kedua Pulau Pinang sejauh 24 kilometer itu merupakan yang terpanjang di Asia Tenggara apabila siap kelak, menghubungkan Batu Maung di bahagian Pulau dan Batu Kawan di bahagian tanah besar.

Dalam kejadian jam 7.15 malam itu, jalan kedua-dua arah dikatakan sibuk dengan kenderaan berikutan waktu pulang bekerja.

Seorang pemandu lori simen Ahmad Saad, 39, yang berada di tempat kejadian berkata, lima minit sebelum kejadian, dia bersama beberapa pekerja terdengar bunyi retakan disusuli penyambung konkrit rangka jambatan itu bergoyang dan runtuh.

Dia yang ketika itu berada di dalam lori melompat keluar dan terus berlari menyelamatkan diri sebaik melihat enam pekerja melarikan diri dalam debu yang melingkungi 200 meter kawasan jam kejadian.

Dia mendengar bunyi rekahan kira-kira lima minit sebelum memberitahu lapan pekerja yang ketika itu berada di atas penyambung jambatan yang sedang melakukan kerja konkrit.

“Tidak lama selepas itu, saya dan juga rakan melihat besi perancah penghadang konkrit bengkok sebelum kami terus melarikan diri meninggalkan lori,” kata pemandu lori konkrit itu.

Menurutnya, dia bersama seorang lagi rakan menghantar bancuhan konkrit menggunakan lori berhampiran lokasi kejadian.

“Sejurus melihat besi penghadang konkrit bergoyang kami terus melarikan diri dan menjerit memaklumkan lapan pekerja yang melakukan kerja konkrit di atas sambungan jambatan terbabit.

“Enam daripada mereka sempat lari menyelamatkan diri, manakala dua yang lain terjatuh bersama sisa runtuhan konkrit terbabit,” katanya.

Menurutnya, kejadian berlaku begitu pantas dan runtuhan struktur penyambung jambatan sepanjang 50 meter dan seberat 200 tan itu menyebabkan gegaran kuat bagaikan gempa bumi.

“Mendengar bunyi kuat itu, semua rakan kerja di tempat bancuhan konkrit kira-kira 200 meter dari lokasi kejadian bergegas ke tempat runtuhan.

“Mereka menarik keluar dua pekerja yang tertimbus dalam sisa runtuhan konkrit terbabit dan saya sempat melihat kedua-duanya dalam keadaan parah dengan darah meleleh keluar melalui telinga dan hidung,” katanya.

Menurutnya, dia turut ternampak dua kereta orang awam yang menggunakan laluan di bawah binaan sambungan jambatan itu dihempap sisa runtuhan konkrit.

“Hingga sekarang saya masih terbayangkan kejadian yang berlaku di depan mata itu dan bersyukur kerana sempat melarikan diri,” katanya.

“Kami bernasib baik kerana lewat tiga saat, jika tidak pasti kami juga menjadi mangsa runtuhan jambatan ini,” kata dua sahabat, G Gajashaantini dan R Thilashantini, masing-masing berusia 24 tahun.

Mangsa runtuhan mungkin dibawa keluar selewat-lewatnya petang ini

Sementara itu, pasukan mencari dan menyelamat dijangka dapat mengeluar mangsa di dalam sebuah kereta yang terperangkap dalam kejadian runtuhan penyambung susur keluar Jambatan Kedua Pulau Pinang di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu di Batu Maung selewat-lewatnya petang ini.

Timbalan Ketua Polis Negeri Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata pasukan itu sedang menunggu jentera pemotong untuk memotong besi penyambung yang runtuh itu bagi membolehkan mangsa dibawa keluar.

Katanya runtuhan tanjakan konkrit dan besi itu terpaksa dipotong lebih kecil bagi memudahkan kerja mengalihkannya dibuat.

"Seramai 350 anggota dan pengawai yang terdiri daripada polis, bomba, Jabatan Pertahanan Awam, pekerja syarikat pembinaan dan kontraktor sedang bertungkus-lumus mengalihkan runtuhan konkrit dan besi seberat beratus-ratus tan itu.

"Jurutera yang bertugas memaklumkan mangsa yang terperangkap mungkin boleh dikeluarkan tengah hari ini atau selewat-lewatnya petang ini selepas bantuan jentera pemotong tiba," katanya pada sidang akhbar di tempat kejadian di sini hari ini.

Abdul Rahim berkata setakat ini sekurang-kurangnya seorang mangsa di dalam sebuah kereta jenis Perodua Kelisa warna hijau terperangkap di dalam runtuhan berkenaan.

Beliau berkata menerusi kamera khas yang digunakan bomba mendapati terdapat seorang mangsa di bawah timbunan berkenaan, bagaimanapun identiti dan jantina mangsa belum dapat dikenal pasti kerana hanya beberapa bahagian badannya sahaja yang kelihatan.

"Mangsa juga tidak memberi sebarang respons dan bila dipanggil mangsa tidak menyahut. Saya percaya beliau berada dalam keadaan kritikal berdasarkan fizikalnya," katanya.

Beliau meminta orang ramai yang kehilangan anggota keluarga sejak semalam supaya membuat laporan polis kerana maklumat yang diperoleh setakat ini berbeza-beza.

"Ada yang kata beberapa buah kereta dan motosikal terperangkap di dalam runtuhan itu, jadi saya minta orang ramai yang kehilangan anggota keluarga supaya membuat laporan polis.

"Setakat ini kita cuma nampak sebuah kereta dan kita juga gagal untuk kenal pasti nombor pendaftaran kenderaan berkenaan berikutan ia telah pecah. Kita hanya nampak nombor (pendaftaran) 437 sahaja," katanya.

Abdul Rahim berkata operasi mencari dan menyelamat sejak 12 jam lepas itu berdepan beberapa kesukaran berikutan perlu menggunakan beberapa jentera termasuk kren seberat 300 tan.

"Pelbagai usaha sedang dijalankan oleh semua pihak dan kita mendapat kerjasama yang baik daripada syarikat kontraktor termasuk beberapa syarikat lain bagi membantu melancarkan kerja operasi ini," katanya.

-Hmetro/Bharian/Bernama

Wednesday, June 05, 2013

Panas! Inilah Mesej Melissa Gooi Menghina Sultan Sehingga Di Tangkap Polis

Panas! Inilah Mesej Melissa Gooi Menghina Sultan Sehingga Di Tangkap Polis

Seorang wanita yang menggunakan nama Melissa Gooi di laman sosial Facebook yang didakwa mengeluarkan kenyataan menghina Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah baru-baru ini, ditahan semalam.


Wanita berusia 32 tahun itu ditahan di Taman Nirwana, dekat Ampang, Selangor pada pukul 9.30 pagi.

Menurut Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh, wanita itu ditahan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.

Tambahnya, polis turut mencari empat individu lain iaitu Weennee Tan, Shuh Chien Loo, Hun Keat Wong dan Carol Tay bagi membantu siasatan," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Difahamkan, keempat-empat individu itu dicari setelah memuat naik komen yang didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong pada salah satu status Facebook milik Melissa Gooi.


Status dan komen terbabit tersebar meluas di internet sehingga mendapat bantahan ramai pihak menerusi laporan polis yang dibuat kerana didakwa biadab serta tidak menghormati Yang di-Pertuan Agong.

Sebelum ini, Gooi dan rakan-rakannya dikatakan menulis kata-kata penghinaan di laman sosial berkenaan ketika Yang di-Pertuan Agong bertitah yang disiarkan secara langsung di Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Dalam titah ucapan itu, Seri Paduka mahu rakyat negara ini akur dengan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 yang ditentukan mereka sendiri.

Berikutan itu, berpuluh-puluh laporan polis dibuat di samping mencetuskan bantahan orang ramai.

Blogger Popular Hina YDP Agong


Begitu juga yang berlaku kepada seorang blogger popular, Effi Obefiend, penulis Blog Serius dimana beliau dengan beraninya telah mengutuk dan menghina kedaulatan Yang di-Pertuan Agong dari Twitternya.

Dalam keratan Twitter Obefiend, dia seakan-akan telah menyamakan YDP Agong "sebagai anjing" dan patung kerajaan.

Dibawah adalah gambar keratan Twitter Effi Obefiend yang menghina YDP Agong.


Namun sehingga kini belum ada sebarang tangkapan dibuat.

-SP

Gempar! Pendaki Malaysia Maut Di Puncak Gunung Everest

Gempar! Pendaki Malaysia Maut Di Puncak Gunung Everest

Seorang pendaki Malaysia yang menyertai misi ke Base Camp Everest dilaporkan meninggal dunia, dipercayai akibat penyakit akut ketinggian (Acute Mountain Sickness)


Jurucakap Kedutaan Malaysia di Kathmandu, Nepal mengesahkan mangsa, Mohammad Shahrulnizam Ahmad Nazari, 25, yang juga kakitangan Perbadanan Putrajaya (PPj) sedang mengikuti ekspedisi anjuran PPj, sementara seorang lagi rakannya sedang dalam keadaan kritikal selepas menderita simptom sama.

Mayat mangsa difahamkan kini berada di Labuche pada ketinggian 4,100 meter dari aras laut dan operasi untuk membawa turun mangsa sukar kerana cuaca buruk.


Timbalan Pengarah Kanan Komunikasi Korporat PPj, Zaharah Salamat berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai keadaan Mohammad Shahrulnizam pada pukul 1.30 petang dan usaha telah dilakukan untuk membawanya turun ke Kathmandu.

“Sebaik sahaja menerima maklumat ini, PPj telah menghubungi Wisma Putra untuk membantu menyelaras usaha menyelamat bersama Pejabat Perwakilan Malaysia di sana dan diberitahu bahawa cuaca buruk menghalang usaha tersebut.

“Usaha membawa mangsa turun gagal kerana cuaca buruk dengan awan tebal menghalang penerbangan helikopter ke lokasi kejadian.

“Klinik perubatan terdekat di Phericche pula telah ditutup kerana musim pendakian utama telah tamat,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Apa Itu Acute Mountain Sickeness (Penyakit gunung akut)?

Penyakit gunung akut adalah penyakit yang boleh menjejaskan pendaki gunung, pejalan kaki, pemain ski, atau pelancong pada ketinggian tinggi, biasanya di atas 8,000 kaki (2,400 meter).

Penyakit yang juga disebut altitude sickness ini terjadi kerana ketidakmampuan tubuh untuk beradaptasi dengan keadaan alam di pegunungan yang berbeza dibandingkan dataran rendah. Di daerah pergunungan, tekanan udara dan kadar oksigen lebih rendah dibanding dengan dataran rendah, perkara ini menyebabkan tubuh kekurangan oksigen.

Beberapa penyebab acute mountain sickness antara lain adalah:
  • Ketinggian yang dicapai
  • Medaki terlalu cepat
  • Kelelahan
  • Kekurangan cecair dalam badan

Gejala yang ditimbulkan oleh acute mountain sickness boleh terjadi secara ringan hinggalah yang paling berat. Gejala yang sering timbul antara lain adalah sakit kepala, kelelahan, sakit perut, penurunan nafsu makan, pening dan gangguan tidur. Pada beberapa petanda yang berat, penyakit ini boleh menyebabkan penompokan cairan pada paru-paru atau otak, yang apabila terjadi pendaki akan mengalami demam, kebingungan, tidak seimbang, muntah, pengsan, gangguan penglihatan, sesak nafas dan kebiruan pada bibir atau kuku. Keadaan tersebut boleh menyebabkan kematian apabila tidak mendapat pertolongan dengan segera.

Untuk pencegahan keadaan seperti ini boleh dicegah dengan mendaki secara perlahan, sehingga memberikan waktu bagi tubuh untuk beradaptasi dengan keadaan lingkungan yang baru. Selain itu, jangan terlalu tergesa-gesa dan minum cukup air.

Terapi terbaik untuk acute mountain sickness adalah dengan turun gunung. Pada keadaan yang ringan, pendaki boleh berisitirehat sejenak hingga keadaan tubuh stabil dan terbiasa dengan kadar oksigen yang rendah. Pemberian oksigen pula boleh dilakukan untuk memperbaiki keadaan pendaki. Apabila ada doktor atau pasukan perubatan, rawatan dengan acetazolamide akan diberikan untuk mempercepat kemampuan tubuh untuk beradaptasi pada ketinggian.

-SP

Tuesday, June 04, 2013

Akses Ke Laman Facebook Akan Di Sekat Di Malaysia?

Akses Ke Laman Facebook Akan Di Sekat Di Malaysia?

Malaysia boleh mengikut langkah Iran dan China yang menyekat akses ke laman web sosial sekiranya langkah itu mampu membendung sebarang perbuatan atau tindakan yang boleh menggugat keamanan negara.


Pengerusi Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (Gaps), Hamidzun Khairuddin berkata, tindakan itu perlu difikirkan kerana ada pengguna yang menggunakan laman sosial itu untuk menyebarkan fitnah, menghina agama dan kaum serta mencaci-maki pemimpin negara.

Beliau berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) juga perlu membangunkan mekanisme bagi menyekat bahan-bahan yang boleh menimbulkan kemarahan atau menghina di laman sosial itu dan juga blog.

“Memang tidak wajar menyekat penggunaan internet tetapi Facebook perlu disekat sebelum parah kerana ramai yang telah menyalahgunakan fungsi laman sosial itu dengan melakukan perkara-perkara yang di luar faedah,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Sekumpulan pengguna Facebook bertindak biadab terhadap ucapan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah menerusi laman sosial itu.

Mereka dipercayai menulis kata-kata itu di laman sosial berkenaan sewaktu Yang di-Pertuan Agong menyampaikan titah ucapan sempena ulang tahun keputeraan rasmi Seri Paduka yang disiarkan secara langsung di Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Pada masa yang sama kata Hamidzun, beliau berharap Kementerian Dalam Negeri (KDN) bertindak tegas dengan menghukum mereka di bawah Akta Hasutan agar ancaman sebegitu tidak berleluasa dan menghancurkan keamanan dikecapi negara kini.

“Kalau boleh perketatkan lagi undang-undang siber yang sedia ada supaya tidak sewenang-wenangnya mereka melakukan jenayah di laman sosial. Tindakan tegas perlu dikenakan supaya mereka bersalah dapat dihadapkan ke mahkamah,” katanya.

Pengerusi Majlis Belia Selangor (MBS) Petaling, Badrul Hisham Badrudin turut menyokong sekiranya kerajaan bertindak awal menyekat penggunaan Facebook yang kini telah disalahguna untuk tujuan negatif seperti mana laman web lucah.

"Laman sosial sepatutnya diguanakan secara berhemah, bukan tempat untuk mencaci, menghasut dan menipu. Facebook ini jika tidak disekat akan membawa lebih banyak mudarat. Saya rasa tidak ada ibu bapa atau cendekiawan yang membantah sekiranya kerajaan menyekat laman sosial ini," katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Perkasa Selangor, Abu Bakar Yahya turut berharap KDN di bawah kepimpinan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak bertolak-ansur dengan golongan yang dianggap ‘pelampau’ yang sanggup menghina pemimpin negara dalam laman sosial.

“Bila bagi amaran mereka umpama tak peduli maka sudah tiba masanya KDN kenakan tindakan keras supaya semua pihak dapat menghormati Perlembagaan. Tindakan tegas perlu diambil supaya keamanan negara dapat terpelihara daripada ancaman anasir-anasir seperti ini,” katanya.

-Sinarharian

Monday, June 03, 2013

Panik! Pedalaman Keningau Kehabisan Stok Minyak Petrol

Panik! Pedalaman Keningau Kehabisan Stok Minyak Petrol

Berikutan kejadian tanah runtuh di Kampung Babagon, di kilometer 21 Jalan Penampang-Tambunan jumaat lalu, pengguna kenderaan di Pedalaman Keningau, Sabah panik kerana rata-rata stesen menjual minyak petrol dan diesel kehabisan stok.


Sejak kejadian tanah runtuh minggu lalu, kenderaan terpaksa berbaris panjang untuk mengisi minyak kerana risau bekalan minyak lambat dihantar berikutan tanah runtuh berkenaan adalah laluan utama bagi lori-lori tangki bagi membekalkan minyak di daerah itu.

Ramai dikalangan pengguna dilihat membawa gelen-gelen kosong untuk diisi sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya masalah ini berterusan.

Daerah-daerah yang terlibat adalah Keningau, Tambunan, Tenom, Sook dan Nabawan yang memiliki sejumlah lebih daripada 200,000 orang penduduk.


Walaupun Jabatan Kerja Raya Sabah telah memaklumkan bahawa kerja-kerja membaiki telah dijalankan dan laluan boleh dilalui menggunakan lencongan sementara, namun pembelian panik dijangka akan terus berlaku dikalangan pengguna kerana kelewatan penghantaran bekalan minyak ke daerah pedalaman berkenaan.

-SP

Harga Rokok Dunhill Naik Bermula 3 Jun 2013

Harga Rokok Dunhill Naik Bermula 3 Jun 2013

British American Tobacco Malaysia (BAT) mengumumkan harga rokok tertentu akan dinaikkan bermula esok, 3 Jun 2013.


Pengarah Urusan BAT, Datuk William Toh berkata, kenaikan harga rokok terbabit tidak dapat dielakkan kerana syarikat tersebut berhadapan peningkatan kos operasi.

“Seperti syarikat-syarikat lain BAT berdepan dengan tekanan inflasi, tenaga buruh dan kos input yang mengakibatkan kos operasi semakin meningkat dari semasa ke semasa.

“Di samping itu perundangan industri tembakau, perdagangan haram turut memberi impak kepada jualan rokok secara sah kami,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini.

Justeru, William mendakwa pihaknya mengambil keputusan menaikkan harga rokok pada kadar 3 peratus mulai esok bagi menangani peningkatan mendadak kos dan perdagangan haram.

Sehubungan itu, kata beliau, bermula 3 Jun ini harga rokok Dunhill range, Kent range, Benson & Hedges akan naik kepada RM10.50 sekotak.

Manakala harga rokok Peter Stuyvesant dan Pall Mall naik kepada RM9 sekotak dan Pall Mall Plain, Lucky Strik plain serta Rothmans International naik RM10.90 sekotak.

Kerajaan Akan Kurangkan Tar, Nikotin

Sementara itu, Kementerian Kesihatan akan meminta syarikat rokok di negara ini mengurangkan lagi kandungan tar serta nikotin dalam tembakau sebagai langkah menghapus tabiat merokok di kalangan rakyat Malaysia.

Menterinya, Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, langkah itu serta beberapa tindakan lain akan dibuat melalui dua fasa iaitu mulai Januari 2014 dan Jun 2015.

“Kita akan kurangkan kandungan tar dalam sebatang rokok dari 20 miligram kepada 10 miligram dan kandungan nikotin dari 1.5 miligram kepada 1 miligram,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia Peringkat Kebangsaan 2013 di pusat membeli belah Sunway Pyramid di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Pengasas dan Pengerusi Sunway Group, Tan Sri Dr Jeffrey Cheah dan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Dr Subramaniam berkata, langkah lain yang akan dibuat ialah gambar kempen anti merokok pada setiap kotak tembakau atau kotak rokok akan dibesarkan kepada 50 peratus dari saiz 40 peratus sekarang.

Semua tindakan itu akan dibuat secara berperingkat dan kementerian juga akan mengambil langkah untuk menghalang promosi rokok secara langsung dan tidak langsung termasuk pengiklanan serta pemberian diskaun.

Pengharaman promosi termasuk melalui penglibatan dengan aktiviti kemasyarakatan atau sukan walaupun tujuannya murni, kata beliau.

Beliau tidak menolak kemungkinan negara akan mengambil langkah sama seperti di beberapa buah negara termasuk Thailand dan Australia di mana rokok tidak akan dipamerkan di rak khas seperti sekarang ini sebaliknya akan disimpan di dalam laci dan akan dikeluarkan apabila pelanggan datang membeli.

“Di Malaysia, antara 10 peratus hingga 12 peratus atau 10,000 punca kematian setiap tahun adalah berpunca dari tabiat merokok. Pada tahun 2011, 11,056 kematian di hospital kerajaan boleh dikaitkan dengan tabiat menghisap rokok,” katanya.

Katanya, dianggarkan seramai empat juta rakyat Malaysia adalah perokok.

-BERNAMA

Saturday, June 01, 2013

Adakah Nurul Izzah Penjenayah Paling Kejam Bagi Rakyat Sabah?

Adakah Nurul Izzah Penjenayah Paling Kejam Bagi Rakyat Sabah?

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mempertikaikan tindakan kerajaan Sabah melarang Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar daripada memasuki negeri itu malam semalam.


Ketua Penerangannya, Riduan Mohd. Nor yang berang dengan perkembangan tersebut turut menyindir kerajaan Sabah dengan membandingkan larangan yang dikenakan ke atas pemimpin pembangkang itu dengan insiden pencerobohan pengganas Sulu sebelum ini.

(Baca: Nurul-Izzah Di Halang Memasuki Sabah Sempena Tadau Kaamatan Satu Tragedi)

“Nurul Izzah dianggap seperti insan yang paling berdosa dan penjenayah paling kejam bagi rakyat Sabah. Mungkin beliau adalah pengganas Sulu yang paling dikehendaki atau individu yang memiliki senjata api dan boleh membunuh rakyat di sana. Kerana itu beliau diharamkan dari menjejak kaki ke negeri tersebut,” sindirnya melalui satu kenyataan media hari ini.

Riduan seterusnya mendakwa larangan memasuki Sabah yang dikenakan keatas Nurul Izzah tidak sepatutnya berlaku kerana setiap rakyat Malaysia berhak untuk melancong atau merantau ke setiap negeri dalam negara ini.

Dakwanya, warga Malaysia yang memiliki kad pengenalan sah dan tidak mempunyai rekod jenayah serta tidak mempunyai sebarang masalah dengan kerajaan tidak sepatutnya dihalang daripada memasuki Sabah.

“Tatkala pengganas Sulu berjaya menjejak dan mendarat di Lahad Datu, Nurul Izzah pula yang baharu sahaja dinobatkan sebagai Ahli Parlimen dinafikan hak untuk sampai ke Sabah,” sindirnya lagi.

Media semalam melaporkan Jabatan Imigresen Sabah mengesahkan bahawa larangan terhadap Naib Presiden PKR tersebut daripada memasuki Sabah dibuat mengikut lunas undang-undang.

Pengarahnya, Noor Alam Khan A. Wahid Khan dipetik sebagai berkata, larangan itu tertakluk kepada bidang kuasa kerajaan negeri dan pihaknya hanya mematuhi arahan yang dikeluarkan dari Pejabat Ketua Menteri.

“Beliau ditolak masuk mengikut Seksyen 65 (1)(a) Akta Imigresen 1959/1963 atas arahan pihak Kerajaan Negeri Sabah,” katanya.

-Mynewshub