Thursday, January 04, 2018

Misteri Asal-usul Tarian Ulek Mayang

Misteri Asal-usul Tarian Ulek Mayang

Tarian Ulek Mayang merupakan tarian yang mengandungi unsur pemujaan, tarian keasyikan keagamaan pra Islam yang diiringi oleh nyanyian dan muzik di Terengganu, berasal dari sebuah pulau berdekatan tidak dikenali di mana orkestra Melayu, mengandungi gendang, gong, biola dan accordion dan sebagainya digunakan.

Misteri Asal-usul Tarian Ulek Mayang

Ulit atau Ulek merujuk kepada berdondang atau mengulit-ngulit yang membawa makna menyeru-nyeru dengan nama memujuk-mujuk supaya kembali semula dan datang semula merujuk kepada makhluk halus.

Biasanya persembahan Ulek Mayang ini berlangsung pada waktu malam apabila tiba musim puja pantai. Selain itu, Ulek Mayang turut ditarikan oleh 10 hingga 15 orang penari.

Namun begitu, pada zaman sekarang Ulek Mayang dijadikan sebagai seni persembahan Melayu yang boleh dianggap seni teater muzika kerana di dalamnya terdapat pelbagai seni persembahan seperti pantun yang dilagukan, tarian mengikut lagu dan irama, serta dilakonkan oleh watak-watak tujuh orang puteri, watak pawang atau bomoh dan pesakit.

Segala unsur-unsur mantera di dalam lirik lagu Ulek Mayang juga turut diubah setelah kedatangan Islam.

Asal-usul legenda Ulek Mayang

Legenda Ulek Mayang atau Ugam Mayang (Pahang) dipercayai telah wujud pada zaman pemerintahan Sultan Umar lagi.

Kewujudan tarian Main Puteri dan persembahan Mak Yong di kelantan begitu popular pada tahun-tahun 1870-an iaitu sezaman dengan permulaan perkembangan drama bangsawan di Tanah Melayu.

Pada zaman tersebut, Ulek Mayang amat popular sebagai upacara rawatan penyakit kepada masyarakat Terengganu dewasa itu.

Disamping itu, tarian Ulek Mayang juga dikatakan berasal dari Tanah Seberang iaitu Kepulauan Jawa.

Sejarah Ulek Mayang bermula pada zaman dahulu, apabila sekumpulan nelayan keluar ke laut menangkap ikan dengan berperahu.

Tiba-tiba, mereka telah dilanda ribut yang amat dahsyat di tengah lautan sehingga jong yang dinaiki mereka telah dipukul ombak ganas.

Kesemua nelayan terhumban di dalam laut yang bergelora sambil terkapai-kapai menyelamatkan diri. Akhirnya mereka kepenatan dan beralah dengan takdir apabila gagal menyelamatkan diri dari kekuatan ombak laut yang tidak dapat dikawal lagi.

Seterusnya, ribut menjadi reda dan kembali kepada sedia kala. Tubuh para nelayan tersebut telah dihanyutkan ke pantai. Seorang demi seorang nelayan terjaga dan berasa beruntung kerana terselamat.

Akan tetapi, salah seorang daripada nelayan tersebut tidak sedarkan diri. Mereka menyangka bahawa nelayan tersebut telah mati namun, ternyata tubuhnya masih bernyawa apabila diperiksa.

Rakan-rakannya berasa sedih dan mengesyaki bahawa nyawa nelayan yang tidak sedarkan diri itu berada di alam lain walaupun jasadnya ada bersama mereka.

Zaman tersebut lebih juga dikenali sebagai zaman animisme dimana bomoh digunakan untuk menyembuhkan penyakit seseorang.

Oleh itu, nelayan-nelayan tersebut memanggil bomoh untuk menyedarkan kembali nelayan tersebut.

Bomoh tersebut mengubatinya dengan bacaan mantera dan apabila diseru, bomoh tersebut mendapati nelayan itu telah dipukau oleh semangat laut.

Rupa-rupanya seorang Puteri Bunian cuba menguji kesemua nelayan tetapi hanya seorang yang tertarik. Dipercayai nelayan itu terperangkap dan merayau-rayau di alam bunian.

Bomoh tersebut cuba membawa semangat nelayan kembali ke dunia nyata namun, Puteri itu telah menyeru seorang kakaknya untuk membantu.

Di tengah-tengah pertarungan itu, dua lagi kakaknya muncul untuk menjampi. Kemudian muncul lagi dua orang puteri sehingga menjadi enam orang kesemuanya.

Pertarungan antara bomoh dan puteri-puteri tersebut menjadi semakin sengit hingga menggegarkan bumi dan menggolakkan laut.

Apabila pertarungan menjadi semakin sengit, muncul Puteri ke-7, iaitu puteri yang sulung. Puteri ini memiliki rupa yang lebih rupawan, lebih kuat dan bijaksana.

Setelah itu, bomoh telah merayu kepada Puteri ke-7 agar dipulangkan semula semangat nelayan tersebut.

Menyedari kenakalan adik-beradiknya, Puteri sulung memerintahkan pertarungan itu dihentikan.

Dalam pertempuran tersebut, puteri sulung berkata, “Aku tahu asal-usulmu. Biarkan yang laut pulang ke laut dan yang darat pulang ke darat.”

Jiwa nelayan telah dipulangkan dan nelayan kembali sedar. Bomoh dan rakan-rakan nelayan berasa terhutang budi kepada sang puteri, lalu mereka mempersembahkan nasi berwarna kepada sang puteri sebagai tanda penghargaan atau berterima kasih.

Upacara ini kekal diamalkan sehinggalah kedatangan Islam, untuk menunjukkan rasa terhutang budi kepada semangat-semangat laut.

Walaupun asal-usul bermulanya tarian Ulek Mayang terdapat dalam pelbagai versi namun, susunan peristiwanya agak serupa iaitu tentang sekumpulan nelayan yang telah mengalami kecelakaan di laut dan salah seorang daripada mereka tidak sedarkan diri.

Tarian Ulek Mayang dilakukan untuk memuja semangat Puteri yang merujuk kepada tujuh semangat yang bersal dari laut.

Semangat puteri ini sudah wujud di kalangan masyarakat Terengganu sebelum kedatangan Islam lagi dan ia berakar umbi dari kepercayaan animisme atau khurafat masyarakat Melayu pada zaman dahulu.

Tujuh Semangat Puteri dikenali sebagai Puteri Satu, Puteri Dua, Puteri Tiga, Puteri Empat, Puteri Lima, Puteri Enam dan Puteri Tujuh.

Terdapat beberapa sumber menyatakan upacara Ulik Mayang dimainkan sewaktu musim puja pantai sebagai persembahan kepada penunggu laut supaya tidak mengganggu nelayan dan upacara mengubati pesakit dengan menggunakan semangat yang dipuja.

Namun begitu, upacara Ulek Mayang telah diubah kepada nyanyian setelah kedatangan Islam dan hanya ditarikan sebagai hiburan tanpa memasukkan unsur-unsur khurafat seperti mantera dan jampi.

Antara kampung yang masih giat memperkembangkan kesenian ini ialah Kampung Pasir Panjang, Kuala Terengganu.

Upacara Ulek Mayang

Upacara Ulek Mayang dipercayai mengandungi mantera yang digunakan untuk memujuk roh atau semangat.

Perkataan “mantera” berasal daripada bahasa Sanskrit, iaitu “mantra” atau “manir” yang merujuk kepada ucapan kudus dam kitab-kitab Veda, serta mengandungi unsur mistik dan jampi serapah.

Mantera menjadi amalan yang merangkumi seluruh hidup masyarakat hindu, untuk tujuan kebaikan (T.plattes dalam Harun Daud:2004).

Harun Daud pula berpendapat bahawa, “Mantera ialah semua jenis pengucapan dalam bentuk puisi atau prosa berirama yang mengandungi unsur magis dan diamalkan oleh orang tertentu, terutamanya bomoh, dengan tujuan kebaikan dan sebaliknya.” (Harun Daud, 2004:xxi).

Kewujudan mantera dalam bentuk puisi dapat dilihat pada kebanyakan mantera seperti yang terdapat dalam lagu Ulek Mayang.

Oleh itu, (Harun Daud:2004) telah menyatakan lima perkara penting dalam keberkesanan mantera iaitu pertama, kepercayaan dan keyakinan diri seseorang pengamal, kedua adalah kesucian diri, ketiga adalah perlakuan diri, keempat pula adalah suasana tempat, masa dan peristiwa dan yang kelima adalah penggunaan peralatan atau benda seperti pengeras, benda pembantu ritual, makanan, pantang larang dan kekuatan isi mantera. Kesemua ciri-ciri ini dapat dilihat dengan jelas dalam seni persembahan Ulek mayang.

Persembahan Ulek Mayang ini dimainkan dengan menggunakan Mayang Pinang yang merupakan bahan utama dalam tarian Ulek Mayang.

Mayang tersebut akan dibangkitkan dengan semangat dan dibangunkan dengan semah asal usul.

Semah bermaksud sajian berupa makanan, binatang dan sebagainya yang disediakan untuk makhluk halus.

Untuk menyembuhkan penyakit, pawang akan menggunakan mayang pinang yang masih lagi dalam seludangnya. Mayang pinang tersebut tidak boleh digunakan untuk kegunaan ritual setelah seludangnya pecah.

Seterusnya, pawang akan menggunakan sebiji guri tembaga atau batil yang berisi air, sebatang lilin yang diperbuat dari sarang dan madu lebah, bertih padi (bertih jantan), kemenyan dan beberapa kuntum bunga yang kebiasaannya bunga cempaka, melati dan melor.

Seterusnya, lilin dinyalakan dan kemudiannya diletakkan dalam batil atau guri tembaga yang berisi air. Apabila sampai waktunya, pawang akan membakar kemenyan dalam dupa yang siap dengan bara api dan seterusnya melihat arah asap yang sekaligus memberi petunjuk bahawa arah itulah nanti penyakit akan dibuang dan dari arah yang berlawanan pula “Puteri Tujuh Beradik” dipanggil bagi menyempurnakan proses pengubatan.

Sewaktu upacara persembahan diadakan, ianya akan diiringi oleh seloka dan pantun oleh rakan-rakan pesakit yang lainnya.

Persembahan ini dilakukan beramai-ramai terutamanya pada waktu malam bulan purnama di tepi pantai dengan membuat bulatan dan pawang yang memegang mayang pinang akan duduk di tengah-tengah bulatan tersebut.

Pada peringkat awal, tidak ada alat muzik yang mengiringi persembahan ini. Biasanya, para pemain terdiri dari mereka yang berusia antara lingkungan 15 hingga 40 tahun.

Setiap peralatan yang digunakan akan diasap dengan kemenyan satu persatu telebih dahulu bermula dengan seludang mayang dan diikuti dengan bunga dan peralatan yang lain.

Setelah itu bomoh akan menutup kepala dengan kain batik lepas dan dililit “semutar” dan separuh badannya ditutupi dengan kain putih yang menggunakan benang kapas dan duduk bersila sambil mengulek atau mengugam.

Mengugam atau mengulek membawa maksud menyanyi dan melihat waktu yang baik untuk memohon pertolongan dan caranya ialah menyanyi dan menari.

Pada waktu bomoh memulakan nyanyian, pukulan rebana mula mengiringi nyanyian pawang dengan tingkah laku tertentu yang mulanya perlahan kemudian kepada nada yang lebih sederhana dan tinggi.

Dalam upacara ini, irama rebana tidak boleh tersalah kerana ini akan mengurangkan konsentrasi bomoh serta tidak akan membawa turun ”Puteri Tujuh” ke alam maya dan semangat.

Lukah, Serkap

Dalam upacara yang dianggap permainan inilah seorang bomoh atau pawang akan memulakan persembahan dengan membaca mentera memuja sejambak mayang pinang atau lukah atau kukur kelapa atau sebuah serkap dan benda-benda itu akan bergerak perlahan-lahan dan menari-nari dengan sesiapa sahaja yang memegang mayang tersebut atau dengan objek-objek lain.

Maksudnya, jika mayang dijadikan objek utama dalam persembahan ini, maka orang yang memegangnya akan ikut bergerak mengikut gerakan mayang yang dipegangnya. Begitu juga dengan lukah atau kukur kelapa, bubu atau serkap.

Terdapat beberapa daerah di Pahang terutamanya di Hulu Tembeling dan Temerloh, lukah atau serkap diberikan pakaian seperti manusia. Jika bomoh itu tinggi ilmunya, lukah atau serkap itu seakan bergerak-gerak tanpa dipegang.

Malah, yang lebih menarik lagi jika kukur kelapa digunakan, kukur itu akan bergerak sendiri.

Menurut kepercayaan, jika kukur kelapa tersebut diletakkan dengan pasangan yang tidak sejenis, maka gerakannya akan menjadi lebih halus dan “romantis” dan jika diletakkan pasangan sejenis, maka ianya ”berperang”.

Dalam tradisi masyarakat di daerah ini, kukur biasa diberikan jantina iaitu kukur jantan dibuat ”sawat” atau alat kemaluan, manakala kukur betina di bawahnya tidak terdapat apa-apa ukiran.

Gerakan “tari” atau “perang” kukur jika menggunakan kukur atau gerakan mayang yang menari-nari dengan pawang itu merupakan kemuncak kepada persembahan ini.

Pada peringkat terakhir, bomoh akan memecahkan mayang kelapa dengan menghempaskannya ke pasir atau menghempaskan sedulang mayang tadi ke telapak tangannya.

Pada saat inilah sedulang mayang tersebut digerak-gerakkan untuk memanggil-manggil tujuh orang puteri seorang demi seorang.

Puteri Satu adalah puteri tertua dan sulung yang harus dipanggil dengan tertib dan hormat sehinggalah Puteri tujuh yang terakhir iaitu puteri bongsu dan merupakan puteri yang paling cantik dan paling sakti.

Dipanggil untuk mengulek dan melihat si pesakit jika bertujuan untuk pengubatan dan akan merahmati persembahan Ulek Mayang jika ianya untuk persembahan hiburan.

Upacara membawa turun tujuh puteri ini dibantu oleh “peduan” (Panduan) yang berfungsi sebagai “Tok Minduk”.

Tok Minduk atau Peduan bermaksud “guru tua” atau guru segala guru dalam pengamalan ilmu seni tersebut.

Kedatangan setiap puteri disambut dengan taburan tujuh biji bertih jantan dan biasanya setiap orang puteri akan memberi salam dan salam ini hanya dapat didengari oleh Pawang atau Peduan sahaja.

Antara dialognya adalah seperti berikut:
Puteri Tujuh: Assalamualaikum!
Peduan: Waalaikumussalam!
Puteri Tujuh: Apa hajat dipanggil hamba turun ni?
Peduan: Nak minta tengok si Fatimah (jika pesakit itu perempuan dan kalau pesakit itu lelaki diberikan nama Ali). Minta tolong tengok dan sembuhkan penyakit (jika untuk persembahan hiburan, minta tenangkan keadaan dan berikan semangat yang baik).
Puteri Tujuh: Ambo (hamba) tak reti (tak pandai), tapi cuba-cuba buat cuba-cuba tengok.
Ketika peduan berbual dengan Puteri ketujuh, penepuk gendang perlu menghentikan rebananya dan jika rebab digunakan sebagai menggantikan rebana, pemain rebab akan menghentikan gesekan rebabnya.

Hal ini kerana untuk mengelakkan penonton “tergerak angin” atau terasuk kerana jika hal ini berlaku, suasana pada ketika itu akan menjadi rumit, iaitu yang diubati tidak sembuh dan yang tidak sakit mendapat penyakit.

Penggunaan mantera dan pantun dalam Ulek Mayang

Mantera dan pantun digunakan serentak dalam persembahan Ulek Mayang sebagai alat berkomunikasi dengan Puteri 7 yang diseru.

Seperti yang difahami umum bahawa pantun adalah seni pengucapan Melayu yang paling indah dan popular dalam masyarakatnya.

Hampir seluruh wilayah-wilayah adat yang termasuk 19 wilayah suku besar Melayu seperti Acheh, Gayo-Alas, Batak-Nias, Minangkabau-Mentawai, Jambi-Engganao, Melayu-Melaka-Medan-Riau-Pontianak, Dayak-Raya, Bangka-Belitung, Sunda, Jawa-Tengah,Jawa-Timor-Madura, Bali-Lombok, Sulawesi-Selatan-Makasar, Teroja, Gorontolo, Flores-Timor, Minahasa-Sanghi-Talaud, Maluku-Utara (Ternate), Malaku Selatan (Ambon), Papua (Jakob Sumardjo:2002), daerah ini mempunyai tradisi pantun masing-masing.

Penggunaan pantun dalam persembahan Ulek Mayang, dapat dilihat kepada fungsi magisnya iaitu sewaktu upacara “memanggil” ketujuh-tujuh Puteri Tujuh turun menyertai acara atau upacara menurun bagi mengubati penyakit.

Puteri Tujuh merupakan lambang daripada mitos masyarakat dan ianya juga sebagai watak-watak yang sentiasa hadir dalam kebanyakan cerita-cerita lisan tempatan, watak atau peristiwa yang ada hubungan legenda dan sejarah tempatan atau pandangan dunia semesta masyarakat Melayu secara umumnya.

Pantun yang digunakan dalam persembahan Ulek Mayang tidak banyak bezanya antara rangkap pertama sehingga ketujuh.
Puteri satu berbaju serong
Puteri satu bersanggul sendeng
Puteri satu bersubang gading
Puteri satu berselendang kuning
Berdasarkan petikan pantun di atas, dasar pembentukan sebuah pantun mestilah dua baris pertama sebagai pembayang dan dua baris berikut adalah maksud yang tidak akan kita temui.

Ini kerana keempat-empat baris merupakan kesinambungan pemerihalan tentang puteri yakni berbaju serong di baris pertama, bersanggul sendeng dibaris kedua, bersubang gading dibaris ketiga dan berselendang kuning di baris keempat dan begitulah hingga puteri ketujuh.

Pantun di atas dinyanyikan pada peringkat menghidupkan mayang. Apabila mayang telah hidup dan ”puteri tujuh” telah turun dan teresap sama ada kepada pesakit, suasana akan menjadi rancak maka pelbagai jenis pantun akan dinyanyikan namun lebih memfokuskan kepada ”puteri” yang dikaitkan dengan semangat suatu bentuk aforisme, iaitu menghaluskan ungkapan sebagai lambang atau kias kepada tujuh jenis semangat yang terdapat di dalam diri pesakit dan juga di alam ghaib termasuk, hantu, jin, penunggu, roh dan sebagainya.

Dalam persembahan Ulek Mayang, struktur persembahan yang diungkap dalam pantun amat berkaitan dengan mentaliti persekitaran hidup mereka.

Pantun-pantun yang diungkap menyebut tujuh alamat bidadari atau puteri yang diundang dalam upacara dalam tubuh dukun atau bomoh.

Dengan ini memberikan kekuatan magis dan berpadu dengan segala rahsia kekuatan hal yang dikisahkannya. Pengkisahan ini amat berhubungan dengan mentaliti masyarakat pendokongnya.

Dia amat memahami perilaku masyarakat yang dia juga hidup bersama. Dari pemahaman inilah setiap pengucapan dukun, bomoh atau pawang dapat memenuhi psikologi khalayak dan dia dianggap orang pandai dan sebagai pengantara antara alam fizikal dan alam batin juga alam ghaib.

Dengan mantera atau jampi serapah yang diawali terdahulunya, suatu bentuk pengucapan antara dia dan “puteri” memberikan nilai mistik dan sakral:
Tujuhkan beradik
Tujuh sebiring
Tujuh segenap
Mengikutlah dari bari
Amboilah kan tujuh
Semangat tujuh
Selangkat tujuh
Tunjanglah kan tujuh
Anggota tujuh
Sifatkan tujuh
Maknuyah tujuh
Ai..turunlah kan tujuh
Belahkan sifat
(Aripin Said: 1997)
Dalam tradisi mantera Melayu terdapat tujuh jenis angin (dilambangkan tujuh puteri) iaitu Angin Dewa tujuh (tambahan dari penulis, Dewa tujuh terdiri Dewa sakti,dewa Muda, Dewa Kecil, Dewa Indera, Dewa Bisnu, Dewa Syahmalik dan Dewa Kesukma Daru ataupun Dewa Semar Daru, iaitu Angin dalam persembahan Main Puteri atau tokoh-tokoh dalam cerita Mak Yong), Angin Bidan ketujuh, Angin Hala Ketujuh, Angin Mambang Ketujuh, Angin Raja Bongsu, Angin Hulubalang atau Pendekar dan Angin Bersenang Pesakit (Hashim Awang:2007).

Pelbagai jenis mantera sama ada dalam bentuk pantun atau mantera biasanya bertujuan yang pertamanya untuk memanggil semangat dan yang keduanya untuk memanggil angin.

Bagi keempat-empat kelompok mentaliti masyarakat Melayu seperti yang diungkapkan di atas, konsep semangat dan angin adalah sama sahaja.

Konsep semangat tujuh ini juga hampir sama dalam mantera masyarakat Jawa. Tujuh bidadari itu adalah Tohok (tuak), Sulasih (air), kuranta (sayur mayur), tunjung biru (laut/garam), Wilotomo(daging/buah), supraba (padi) dan gagar mayang (minuman keras) (Jakob Sumardjo:2002) yang mengambil lambang-lambang dipersekitaran kehidupan mereka.

Ini sesuai dengan konsep perlambangan yang diambil dari alam keseluruhan, yakni gunung, laut, bukit bukau dan lambang-lambang dari flora dan fauna serta anatomi tubuh badan manusia itu sendiri.

Pada kebiasaanya, mantera (juga mantera dalam bentuk pantun) digunakan bagi memulihkan semangat pesakit yang telah dirasuk atau diserang hantu laut (puteri berselendang kuning) manakala hantu gunung (belantara) disebut puteri berselendang hijau:
Bismillah al-Rahman al-Rahim
Syeikh minat raja di kapal
Penjajah pengganti
Kecil besar, tua muda
Jantan betina, riuh rendah
Buta rengek, riuh pikuk
Jangan dikosek
Balik anak cucuku
Orang di hutan kita minta jauhkan diri
Orang di laut kita minta jauhkan diri
Orang di darat kita minta jauhkan diri
Orang di laut ada di darat
Diminta balik ke laut
(Hashim Awang:2007)
Dalam mantera Ulek Mayang, semangat pesakit dipanggil balik serta dipulihkan dengan istilah yang disebut angin bersenang pesakit, dengan ungkapan lemah lembut hantu laut (juga hantu hutan, gunung, belantara) yang merasuk atau mengusai pesakit, diminta kembali ke tempat asal diminta balik ke laut.

Kerasukan hantu ini dipercayai telah masuk ke dalam timun betek timun belulang (ke dalam diri) pesakit sehingga pesakit tidak sedarkan diri, meracau, berkelakuan aneh dan kadangkala tidak sedarkan diri.

Perkara ini terjadi mungkin kerana pesakit secara tidak sengaja telah memasuki ”wilayah” tempat tinggal penunggu laut atau gunung atau tidak menghormati pantang larang, misalnya kencing dalam laut.

Pesakit boleh dipulih dengan menghantar pulang hantu atau penunggu yang menumpang dalam dirinya.

Setelah segala-galanya dapat dikembalikan pulih seperti sediakala akan ada upacara lain iaitu mengirimkan ancak atau sesaji ke laut tanda terima kasih pesakit kepada semangat atau hantu laut.

Ulek Mayang Selepas Kedatangan Islam

Setelah kedatangan Islam, persembahan Ulek Mayang hanya dipersembahkan sebagai hiburan semata-mata tanpa mencampur adukkan unsur khurafat dalam bacaan mantera.

Malah, persembahan hanya berlangsung 10 minit berbanding antara 20 hingga 30 minit (Suzan Ahmad:2009).

Setiap olahan termasuk gerak tari dan susunan muzik dilakukan selaras dengan perkembangan zaman dan penerimaan masyarakat ketika ini.

Permainan Ulek Mayang dimainkan sekadar untuk hiburan, di mana ia melambangkan suatu pemujaan yang mendalam terhadap Puteri Tujuh Beradik.

Persembahan dimulakan dengan membaca doa dan membangkitkan asal Mayang. Mayang yang digunakan dalam persembahan ini diasap kemenyan dan disapu minyak kelapa terlebih dahulu.

Doa dan 'bangkitan' dilakukan untuk memohon perlindungan agar orang yang mengambil bahagian tidak ditimpa sebarang kemalangan.

Lagu Ulek Mayang
Ulek mayang ku ulek
Ulek dengan jala jemala
Ulek mayang diulek
Ulek dengan tuannya puteri
Ulek mayang diulek
Ulek dengan jala jemala
Ulek mayang diulek
Ulek dengan puterinya dua

Puteri dua berbaju serong
Puteri dua bersanggol sendeng
Puteri dua bersubang gading
Puteri dua berselendang kuning

Umbok mayang diumbok
Umbok dengan jala jemala
Nok ulek mayang diulek
Ulek dengan puterinya empat
Puteri empat berbaju serong
Puteri empat bersanggol sendeng
Puteri empat bersubang gading
Puteri empat berselendang kuning
Umbok mayang diumbok
Umbok dengan jala jemala
Nok ulek mayang diulek
Ulek dengan puterinya enam
Puteri enam berbaju serong
Puteri enam bersanggol sendeng
Puteri enam bersubang gading
Puteri enam berselendang kuning
Umbok mayang diumbok
Umbok dengan jala jemala
Nok ulek mayang diulek
Ulek dengan puterinya tujuh

Puteri tujuh berbaju serong
Puteri tujuh bersanggol sendeng
Puteri tujuh bersubang gading
Puteri tujuh berselendang kuning
Umbok mayang diumbok
Umbok dengan jala jemala
Nok ulek mayang diulek
Ulek dengan tuannya puteri

Tuan puteri berbaju serong
Tuan puteri bersanggol sendeng
Tuan puteri bersubang gading
Tuan puteri berselendang kuning

Umbok mayang diumbok
Umbok dengan jala jemala
Nok ulek mayang diulek
Ulek dengan tuannya puteri

Ku tahu asal usul mu
Yang laut balik ke laut
Yang darat balik ke darat
Nasi berwarna hamba sembahkan
Umbok mayang ku umbok
Umbok dengan jala jemala
Pulih mayang ku pulih
Pulih balik sedia kala
Nota: Puteri 2 maksudnya 2 orang puteri turun. Puteri 4 turunnya lagi 2 menjadikan 4 dan seterusnya hingga 1 puteri akhir turun menjadikan puteri 7.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Sejarah Dan Asal-usul Tarian Mak Yong

sumber: ceriteradimensi

Saturday, December 30, 2017

Lagu Yang Diilhamkan Dari Kisah Rompakan Kereta Api Terbesar Dalam Sejarah Dunia!

Lagu Yang Diilhamkan Dari Kisah Rompakan Kereta Api Terbesar Dalam Sejarah Dunia!

Kejadian Great Train Robbery pada 8 Ogos 1963 menggemparkan masyarakat Britain ketika itu. Rompakan berjaya melarikan aset berjumlah 2.6 juta pound, antara rompakan kereta api terbesar dalam sejarah dunia.

Lagu Yang Diilhamkan Dari Kisah Rompakan Kereta Api Terbesar Dalam Sejarah Dunia!

Dalang utama rompakan, Bruce Richard Reynolds melarikan diri dan hidup tenang di luar negara sebelum kembali ke negaranya dan ditangkap oleh pihak polis.

Bruce berjaya ditangkap pada 8 November 1968, dipenjara dan dibebaskan pada tahun 1978.

Lagu Have You Seen Bruce Richard Reynolds digarap oleh Nigel Denver yang diilhamkan berdasarkan kisah kehilangan Bruce secara tiba-tiba selepas rompakan tersebut.

Lagu ini dinyanyikan oleh kumpulan Alabama 3 yang diterbitkan pada tahun 2005.

Lagu Yang Diilhamkan Dari Kisah Rompakan Kereta Api Terbesar Dalam Sejarah Dunia!

Salah seorang anggota kumpulan ini, Nick, adalah anak Bruce Richard Reynolds!

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Perompak Lagenda, Ronnie Biggs, Meninggal Di Usia 84 Tahun!

-SENTIASAPANAS.COM

Friday, December 29, 2017

Geronimo Legenda Pahlawan Puak Apache Yang Menggerunkan Amerika Dan Mexico

Geronimo Legenda Pahlawan Puak Apache Yang Menggerunkan Amerika Dan Mexico

Persengketaan antara puak Apache dan Amerika Syarikat adalah antara helaian kisah menarik dalam sejarah Amerika Syarikat dengan usaha gigih puak Apache melawan USA sehinggakan pemberontakan mereka mengambil masa puluhan tahun untuk ditundukkan, yang dikatakan bermula daripada 1849 dan berakhir sekurang-kurangnya pada tahun 1924 Masihi.

Geronimo Legenda Pahlawan Puak Apache Yang Menggerunkan Amerika Dan Mexico

Salah seorang tokoh besar dalam peperangan melawan Amerika Syarikat ini adalah Geronimo yang dicatatkan menyerah kalah kepada Amerika Syarikat.

Namun nanti dulu, sebelum bendera putih dijulang oleh Geronimo, sesungguhnya Amerika Syarikat pasti merindui seorang musuh sepertinya.

Serangan gerilanya yang membinasakan, pengerakannya yang persis hantu berjaya mengaburi mata sama ada pihak berkuasa Amerika dan Mexico, meninggalkan urban legend yang cukup mendalam dalam jiwa masyarakat Amerika Syarikat ketika berbicara mengenai Geronimo.

Nama asal kepada tokoh pahlawan puak apache yang paling menggerunkan pada abad ke-19 ini adalah Goyahkla yang bermaksud Yang Menguap.

Geronimo lahir pada tahun 1820 dalam puak Chiricahua Apache yang ketika itu, mendiami kawasan disekitar New Mexico dan Arizona.

Geronimo sendiri kononnya adalah nama panggilan yang diberikan kepadanya selepas kejayaan pada usia yang muda, berjaya mengetuai jarahan ke atas Mexico dan nama itu adalah panggilan tentera Mexico yang gerun menghadapi Geronimo.

Lahirnya Geronimo adalah ketika era persengketaan dan konflik antara kerajaan Mexico dan Apache.

Tabiat puak Apache yang seringkali melakukan penjarahan dan serangan semata-mata demi mendapatkan bekalan persenjataan, makanan dan kuda-kuda telah memaksa kerajaan Mexico melakukan serangan ke atas penempatan Apache dan menawarkan ganjaran yang lumayan kepada sesiapa sahaja yang berjaya melakukannya.

Pada tahun 1851, ketika Geronimo bersama dengan beberapa pahlawan Apache yang lain berada di Janos, sebuah pekan di Mexico dalam misi perdagangan mereka, Kolonel Jose Maria Carrasco dari Mexico bersama dengan 400 orang tentera telah menyerang Bedonkohe, tempat tinggal puak Apache.

Antara yang terbunuh di tangan kolonel ini adalah isteri, ibu dan tiga orang anaknya.

“Aku sudah kehilangan segala-galanya,” itulah ucapan terkenal yang merujuk kepada permulaan dendam yang bakal membakar bukan sahaja dirinya, bahkan Amerika dan Mexico.

Lalu dicatatkan bahawa beberapa siri serangan berdarah yang berlaku pada setiap penempatan tentera Mexico yang diketuai oleh Geronimo.

Akhirnya, ungkapan yang lahir dari mulut Geronimos ialah, “Aku sudah membunuh terlalu ramai orang Mexico.

"Aku tidak tahu berapa banyak, namun sebahagian antara mereka, tidak layak pun untuk dikira kematian mereka.”

Pada tahun 1840 sehingga 1850, perang antara Amerika Syarikat dan Mexico tercetus dan Gadsden Purchase, di mana Amerika telah memiliki hak ke atas tanah Mexico, telah meletakkan puak Chicahua Apaches ke dalam kekuasaan Amerika Syarikat.

Apapun yang berlaku ketika itu, ditentang habis-habisan oleh puak Apache yang bekeras tidak mahu berada dibawah penjajah.

Namun, berikutan perang melawan tentera Amerika Syarikat, mereka terpaksa akur pada perjanjian keamanan dengan tentera Amerika Syarikat dengan mereka ditempatkan di tanah simpanan yang terletak di Arizona.

Salah seorang daripada yang terpaksa akur dibawah tentera Amerika Syarikat ketika itu ialah Geronimo itu sendiri.

Ia berlaku pada tahun 1877 apabila dia ditangkap dan di bawa ke San Carlos, salah satu lokasi penempatan untuk puak Apache.

Namun, sebanyak tiga kali Geronimo berjaya melepaskan diri daripada penempatan yang disediakan oleh puak Amerika Syarikat.

Setiap kali mereka berjaya melarikan diri, mereka menjadikan gunung ganang sebagai tempat persembunyian, hanya akan keluar melakukan penjarahan ke atas Amerika Syarikat dan Mexico.

Betapa berita tiga kali dia berjaya lari dari penempatan Amerika Syarikat telah menempah kemasyuran ke atas namanya.

Mungkin kerana kemasyuran yang dikecapinya dalam melawan Amerika Syarikat, menempah kisah legenda pula berkisarkan Geronimo.

Kononnya, beliau ialah seorang manusia yang penuh dengan keajaiban dan kuasa luar biasa.

Geronimo yang merupakan bomoh puak Apache, selalu dikaitkan dengan kelebihan memperlahankan waktu, mengelak peluru yang terbang ke arahnya, kebolehan mengubati orang sakit, kebolehan memanggil hujan bahkan pada satu masa, meramalkan bala yang bakal dilemparkan ke atasnya.

Dalam satu insiden yang berlaku yang diceritakan salah seorang pahlawan dalam puak Apache yang merupakan pengikut Geronimo, dikatakan bahawa betapa ketika mereka sedang berkumpul mengelilingi unggun api, ketika dalam ekpedisi menjarah beberapa buat kota dan pekan dibawah Amerika Syarikat, Geronimo menerima visi seolah-olah bahawa kem mereka telah diserang oleh tentera Amerika Syarikat.

Dua hingga tiga hari selepas visi itu, ketika mereka tiba di kem yang dimaksudkan oleh Geronimo, serangan Amerika Syarikat itu benar-benar terjadi.

Jason Betnzinez menulis, “Aku tidak dapat menerangkan apa yang terjadi hari ini, tetapi aku memang berada di situ dan melihat dengan mata kepala aku sendiri.”

Bahkan, ketika di usia 60-an, pahlawan hebat ini ketika dalam misi melarikan diri dari kem penempatan untuk puak Apache oleh Amerika Syarikat, telah bersama dengan kumpulan pengikutnya mengembara 70 batu sehari untuk mengelak tentera Amerika Syarikat dan peninjau daripada puak Apaches berjaya mengesan jejak mereka.

Dan pada usia setua itu pun, dia berjaya mengetuai serangan demi serangan ke atas Amerika Syarikat.

Pada tahun 1886, semata-mata untuk memburu orang tua berusia 60-an, hampir suku kekuatan tentera Amerika Syarikat ketika itu, dikerah untuk memburu Geronimo bersama dengan 40 orang pengikutnya.

Hanya pada 4 September 1886, barulah Geronimo benar-benar menyerah kalah kepada Jeneral Nelson Miles di Skeleton Canyon, Arizona, menjadikan beliau tokoh pemimpin puak asli Amerika terakhir yang menyerah kalah kepada Amerika Syarikat.

Selepas itu, hidup Geronimo diabadikan sebagai seorang tawanan perang (PWO – prisoner of war).

Dia dibawa untuk melakukan kerja buruh di setiap kem tentera. Beberapa kali juga dibawa berpindah dari satu tempat ke tempat lain.

Kehidupan akhir Geronimo walau sebagai seorang tawanan perang, dia hidup sebagai selebriti.

Geronimo dibenarkan menjual tandatangannya, serta segala barang yang dikaitkan dengan dirinya, seperti panah dan busur panah, serta tongkat yang digunakannya untuk berjalan diusia tua kepada setiap pelancong Amerika.

Bahkan, dia sering tampil dalam beberapa festival seperti Worlds Fair dan juga Wild West Shows, di mana di festival tersebut, dia akan diperkenalkan sebagai Apache Terror atau Tiger of The Human Race.

Meski dalam PWO, Geronimo tetap gigih berjuang untuk nasib anak bangsanya.

Pada 4 Mac 1905, ia adalah antara penampilan awam paling popular Geronimo apabila dia mengambil tempat dalam perarakan pertabalan Theodore Roosevelts di Washington DC sebagai presiden Amerika Syarikat.

Dia ketika itu didampingi oleh lima orang pemimpin puak asli Amerika, menaiki seekor anak kuda sambil orang awam menjerit melaung namanya.

Geronimo mengambil kesempatan ketika itu untuk berbaiah (plead) kepada Roosevelts. 5 hari kemudian, Geronimo mendapatkan kesempatan berjumpa dengan Roosevelts secara berdepan.

Dalam pertemuan itu, Geronimo meminta agar puaknya dihantar semula ke Barat Amerika, tempat asal penduduk asli Amerika Syarikat.

Dalam permintaan itu, Geronimo meminta agar beliau dibebaskan namun, permintaan itu ditolak oleh Roosevelts kerana bimbang satu lagi peperangan akan tercetus sekiranya Geronimo dibebaskan.

Hanya pada tahun 1913, selepas 4 tahun kematian Geronimo, barulah puak Chiricahuas Apache dibebaskan dan dibenarkan untuk pulang ke tanah mereka.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Watak Pahlawan Islam Dalam Filem Pirates of The Carribean

sumber: thepatriots

Monday, December 25, 2017

Shang Yang Tokoh Hebat Disebalik Kebangkitan Dinasti Qin Namun Akhirnya Mati Secara Sadis!

Shang Yang Tokoh Hebat Disebalik Kebangkitan Dinasti Qin Namun Akhirnya Mati Secara Sadis!

361 SM, Duke Xiao of Qin (Quliang: 361 SM-338 SM) menaiki takhta negara Qin ketika masih belia setelah kematian Duke Chu of Qin (Chuzi II: 386 SM-385 SM). Kemajuan negara Qin setelah hampir 300 tahun kematian Duke Mu of Qin telah membentuk peribadi penguasa Xiao bercita-cita untuk meneruskan empayar kekuasaan leluhurnya.

Shang Yang Tokoh Hebat Disebalik Kebangkitan Dinasti Qin Namun Akhirnya Mati Secara Sadis!

Untuk memulakan langkah perluasan kuasa jauh dari negara Qin, maka penguasa Xiao mengatur rancangan pertamanya iaitu untuk mengumpulkan para cendekiawan dari seluruh tanah China datang berkhidmat di bawah pemerintahannya.

KEANGKUHAN NEGARA WEI MENGUNDANG PADAH

Gongsun Yang dari negara Wei datang menemui penguasa Xiao lalu menyatakan hajatnya untuk berkhidmat kepada negara Qin.

Pada mulanya, permintaan Gongsun Yang ditolak mentah-mentah oleh penguasa Xiao setelah Gongsun Yang hanya berbicara panjang lebar tentang sesuatu tanpa diisi dengan perkara yang penting sehingga tidak menarik perhatian penguasa Xiao.

Gongsun Yang yang tidak berputus asa merayu kembali kepada penguasa Xiao untuk diberikan peluang kali kedua menunjukkan bakatnya yang terpendam.

Penguasa Xiao mengizinkan dan pada kali kedua inilah, Gongsun Yang mengeluarkan segala strategi-strateginya dan idea-idea yang bernas untuk menjadikan negara Qin sebagai negara terkuat daripada tujuh negara yang lain.

Setelah tiga malam berturut-turut penjelasan yang panjang lebar disampaikan oleh Gongsun Yang, maka penguasa Xiao yang kagum dengan bakat beliau sehingga Gongsun Yang diangkat sebagai penasihat dalam pentadbirannya.

Berikut adalah strategi dan idea yang dikemukakan oleh Gongsun Yang:

1. Jika ingin menjadikan negara Qin sebagai negara terkuat mula sekarang, maka negara ini memerlukan sebuah pasukan tentera yang kuat dan bekalan makanan yang banyak serta tidak pernah putus.

2. Menawarkan jawatan yang tinggi dalam pemerintahan dan akan dianugerahkan pangkat kehormatan dari pemerintah, iaitu:
  • Tentera Qin yang berjasa dalam peperangan mahupun memberikan idea yang bijak untuk mengalahkan musuh dan memenanginya maka beliau akan diberikan ganjaran yang banyak atau dinaikkan ke pangkat tertinggi dalam jabatan ketenteraan.
  • Masyarakat atau penduduk biasa yang berjaya memberikan hasil pertanian yang bagus serta bijak menguruskan tanah dalam menambahkan penghasilan bekalan makanan mentah yang banyak kepada negara akan diberikan jawatan pangkat yang terhormat di dalam pentadbiran Qin.

IDEA HEBAT

Idea yang dikemukakan oleh Gongsun Yang diterima bulat-bulat oleh penguasa Xiao tanpa bantahan. Arahan baru dikeluarkan, reformasi yang dilancarkan oleh Gongsun Yang berjalan dengan baik sehingga ramai masyarakat berstatus sosial rendah berebut-rebut untuk berjasa ketika perang atau berusaha keras mengeluarkan hasil tanaman yang melimpah.

Berkat kesanggupan penguasa Xiao menerima usul Gongsun Yang membuahkan hasil setelah idea dan strategi penasihatnya ini mencipta suasana baharu dalam pemerintahan negara Qin sehinggakan kekuatan tentera dan ekonomi negara ini yang dahulunya hanya biasa-biasa menaiki aras negara kecil yang setaraf dengan enam buah negara besar yang lain, iaitu Han, Wei, Chu, Zhao, Qi dan Yan.

Akibat daripada reformasi undang-undang baru yang diperkenalkan oleh Gongsun Yang tidak hanya menguatkannya di dalam kedudukan politik, tetapi dalam masa yang sama beliau mencipta musuh daripada bangsawan tempatan yang telah hilang status quo yang telah lama mengakari negara Qin.

Dasar pemerintahan meritokrasi yang diusulkan oleh Gongsun Yang dan dilaksanakan oleh penguasa Xiao mengubah persepsi para bangsawan Qin yang selama ini memiliki pelbagai tanah yang luas disita dan diberikan kepada masyarakat yang berbakti pada negara Qin.

Ajaran Li Kui yang dianuti oleh Gongsun Yang mengajarkannya bahawa segala pangkat darjat dalam kekuasaan, harta dan kehormatan diterima melalui kerja keras bukannya melalui pewarisan harta keturunan atau mempunyai hubungan darah dengan keluarga penguasa.

Melalui tahap-tahap reformasi yang diterapkan oleh kedua tokoh terbabit, maka negara Qin mula berkembang dengan lebih maju dan stabil.

Gongsung Yang mengatur langkah seterusnya untuk meluaskan pengaruh negara Qin. Beliau mencadangkan kepada penguasa Xiao untuk memindahkan pusat pemerintahan ke kota Xianyang iaitu sebuah tempat yang terletak di sebuah tanah tinggi Guanzhong bersebelah sungai Wei.

Kelebihan yang didapati melalui keadaan geografinya iaitu dikelilingi oleh gunung-gunung yang tinggi dan hanya mempunyai satu pintu masuk sahaja, melalui pintu gerbang Hangu lalu serta-merta menjadikan kota Xianyang mudah dipertahankan daripada serangan musuh.

SEMBURAN NAFAS NAGA QIN BERTIUP DI TIMUR

Kedudukan kota baharu yang berdekatan dengan perbatasan timur negara Qin memberikan kesempatan kepada Gongsun Yang mengusulkan cadangan kepada penguasa Xiao untuk menguasai beberapa wilayah dan kota negara Wei yang terletak di kawasan timur.

Dalam tempoh waktu terdekat itu, negara jirannya, iaitu Wei baru sahaja mengalami kekalahan dalam Perang Malingdao (342 SM) terhadap negara Qi.

Gongsun Yang mengambil kesempatan untuk menakluk wilayah negara Wei dengan memperalatkan hubungannya yang baik dengan jeneral perang utama negara Wei iaitu Gongzhi Ang.

Kepercayaan yang diberikan oleh Gongzhi Ang dikhianati oleh Gongsun Yang dengan mengerahkan pasukan tentera Qin dengan keizinan penguasa Xiao merebut kota-kota utama negara Wei iaitu kota Shaoliang, kota Hexi, kota Hedong dan kota Anyi (bekas pusat pemerintahan negara Wei).

Pada masa ini, negara Wei diperintah oleh Raja Hui of Wei.

Melalui kejatuhan beberapa buah kota penting milik negara Wei menjadikan negara Qin serta-merta ditakuti oleh negara-negara besar yang lain. Api yang disembur oleh naga Qin mula terasa bahangnya.

Negara Wei, Qi dan Zhao mula berjaga-jaga dengan segala serangan yang bakal berlaku dari pihak Qin suatu hari nanti.

Atas kejayaan Gongsun Yang menunjukkan kecerdikannya mereformasikan undang-undang dan perluasan kuasa Qin maka penguasa Xiao membalas jasanya dengan menghadiahkan pangkat seorang bangsawan menguasai wilayah Shang dan Yu serta diberikan mandat untuk mentadbir 15 buah kota di wilayah terbabit.

Beliau pun mendapat gelaran yang baharu, gelaran kehormatan yang diberikan langsung oleh penguasa Xiao iaitu Tuan Shang Yang.

UNDANG-UNDANG YANG MEMAKAN DIRI

Segala pangkat, harta dan kekuasaan yang diperlolehi secara susah-payah pasti akan berakhir jua. Begitu juga nasib yang akan dialami oleh Shang Yang.

388 SM

Setelah hampir 30 tahun pemerintahan yang berkembang pesat, penguasa Xiao pun meninggal dunia ketika berumur 44 tahun. Takhta kekuasaan Qin diturunkan kepada putera buangan, iaitu Putera Ying Si dengan memakai gelaran Raja Huiwen (338 SM-311 SM).

Raja Huiwen menyimpan dendam kepada Shang Yang kerana beliaulah baginda menjadi putera dalam buangan pada suatu masa dahulu.

Ketika Raja Huiwen masih muda dan memegang gelaran Putera Ying Si yang bakal mewarisi takhta negara Qin telah melakukan pelanggaran hukum ketika undang-undang Shang Yang diperkenalkan.

Guru-guru Ying Si, Gongsun Jia dan Ying Qian dihukum dengan dipotong hidung lalu ditato kening mereka sementara Ying Si dibuang dari istana.

Setelah menaiki takhta, Raja Huiwen ingin menghukum bunuh Shang Yang. Baginda ingin menampakkan hukum bunuh ke atas Shang Yang bukannnya bersifat peribadi melainkan melalui pelanggaran hukum.

Ditambah pula hasutan oleh para menteri dan para bangsawan yang sudah lama memusuhi Shang Yang, baginda nekad untuk memulakan agendanya ini.

Shang Yang yang sudah mendengar khabar berita kemangkatan penguasa Xiao tidak dapat berbuat apa-apa melainkan hanya ada satu sahaja cara untuknya meneruskan hidup iaitu dengan melarikan diri daripada rumah dan menuju ke negara Wei.

Pasukan tentera Qin yang sudah tiba ke rumah Shang Yang menggeledah dan memburunya di atas alasan mengingkari perintah Raja Huiwen.

Shang Yang melarikan diri secara senyap-senyap pada tengah malam dan sentiasa mengatur perjalannya agar tidak ditangkap oleh pasukan tentera Qin yang mula mendapat perintah rasmi untuk memburunya.

Setelah melakukan perjalanan yang panjang dan lama akhirnya beliau tiba di gerbang kota negara Wei.

Pada waktu ini negara Wei hanya bertahan di sebuah wilayah yang kecil dan lemah tetapi mendapat bantuan perlindungan ketenteraan daripada negara jirannya, negara Zhao.

Pengawal yang menjaga pintu gerbang Wei mengetahui Shang Yang walaupun beliau memakai identiti palsu.

Shang Yang dihalau kerana ulah beliaulah, negara Wei sekarang berada di ambang kehancuran. Shang Yang mati akal. Beliau tidak mempunyai cara lain untuk meneruskan hidup melainkan dengan melancarkan aksi pemberontakan ke atas Raja Huiwen.

Pasukan pemberontak yang dikumpulkan melalui tentera upahan dan pengikutnya yang setia, pasukan Shang Yang membuat kekacauan sehingga memaksa Raja Huiwen mengerahkan angkatan pasukan Qin yang besar untuk mengalahkannya Shang Yang.

Pemberontakan Shang Yang dipatahkan dengan mudah lalu Shang Yang ditawan hidup-hidup dan dibawa ke hadapan Raja Huiwen.

Raja Huiwen membacakan hukuman yang bakal dijatuhkan kepada sesiapa yang melancarkan pemberontakan bersenjata ke atas penguasa Qin.

Undang-undang yang dibacakan oleh Raja Huiwen merupakan undang-undang yang ditulis sendiri oleh Shang Yang.

Bentuk hukuman yang dijatuhkan kepadanya iaitu hukuman mati dengan ditarik oleh empat buah kereta kuda.

Maka tamatlah riwayat hidup seorang manusia yang berjaya membentuk negara Qin sejajar dengan negara lain tetapi segala kebaikannya dibalas dengan sebuah pengakhiran hidup yang sadis.

Walaupun Raja Huiwen membenci Shang Yang, tetapi baginda masih memegang teguh undang-undang yang dibuat olehnya sehingga baginda berjaya meluaskan kuasa negara Qin melalui taklukan ke atas daerah Badan Shu (Sichuan) iaitu sebuah daerah yang kaya dengan hasil tanaman subur.

Dengan taklukan ke atas daerah ini, maka pertahanan negara Qin di bahagian barat semakin kuat.

Bermulanya sebuah era pemerintahan baru di bawah pentadbiran Raja Huiwen yang bakal mengegar enam negara besar yang lain sehinggakan mereka bersatu untuk menangkis ekspedisi perluasan kuasa pasukan Qin di bawah perjanjian bersekutu Anti-Qin (Hezong) 295 SM.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Kejelitaan 'Yang Yuhuan' Meruntuhkan Sebuah Empayar

sumber: thepatriots

Sunday, December 17, 2017

Asal-usul Bangsa Rungus Di Sabah

Asal-usul Bangsa Rungus Di Sabah

Kepelbagaian kaum, budaya dan tradisi malah juga bahasa mahupun dialek adalah antara sumber kekayaan Borneo yang tiada tandingnya sehingga ke saat ini dan berbicara soal ini, Sabah iaitu jiran dan saudara se-Borneo Sarawak juga tidak kurang dengan cerita yang unik apabila berkata mengenai suku kaum mereka.

Asal-usul Bangsa Rungus Di Sabah

Populasi etnik Rungus ramai tertumpu di kawasan seperti Beluran, Kota Marudu, Kudat dan Pitas di Sabah.

Dari segi bahasa pula, bahasa etnik Rungus dikategorikan dibawah kelas bahasa Astronesia, Malayo-Polinesia, North Borneo, Sabahan, Dusunic, Dusun.

Dan selain daripada itu ianya juga kaya dengan dialek-dialeknya berdasarkan kepada tempat kediaman mereka seperti Gandahon, Gonsomon, Nuluw, Pilapazan (Central Rungus, Rungus Tanga).

Adalah difahamkan bahawa dialek Gonsomon dan Nuluw adalah antara yang paling popular dipertuturkan dikalangan etnik Rungus di Sabah sekarang.

Di dalam kita cuba menggodek cerita sebenar asal muasal etnik Rungus dikatakan sehingga ke hari ini para sejarahwan dan antropologi masih belum menemui titik sebenar asal keturunan mereka.

Pakar dari barat dan juga orang Rungus sendiri masing-masing mempunyai pendirian tersendiri apabila berkata mengenai soal keturunan mereka.

Ini kerana kajian dari Barat dikatakan telah menidakkan cerita legenda asal keturunan etnik Rungus yang sememangnya antara nilai sejarah yang paling sentimental dan berharga mengikut kepercayaan etnik Rungus.

Teori Orang Rungus Asal Mongolia (Barat)

“North Borneo was blessed with waterways and channels teeming with marine and human life introduced by early land bridges which had carried migrants in from areas now called Vietnam and Southern China. Some anthropologists believe these people began pouring into Borneo about 20,000 years ago. Then, as global climate warmed, polar ice caps melted. Sea levels rose, washing over the once useful tendrils. This trapped the early explorers on the fertile island of Borneo. Their descendants settled the land to become the island’s first known indigenous peoples.

That’s one version of the story. Another more prevalent theory is that a group from the Mongolian region migrated to Borneo some 5,000 years ago. Naturally enough, these people settled the coastal areas first. Today, these people are defined by modern anthropologists and linguists as the Borneo superstock. Later, as the primarily Muslim Malay, Bajau and Suluk races settled the same areas, the Borneo superstock migrated deeper and deeper into the heartland of North Borneo.” (Granville-Edge, P.J. 1999)

Melihat kepada penyataan petikan dari Granville-Edge ini dapatlah disimpulkan bahawa menurut beliau, kesemua penduduk asal Sabah dikatakan berasal dari Tanah Besar Asia.

Teori pertama menyatakan segala mengkhusus bahawa tanah kelahiran mereka dicatitkan sebagai Vietnam dan Southern China lebih kurang 20,000 tahun yang lalu.

Teori kedua pula menyatakan bahawa penduduk asal Borneo itu berasal dari sekumpulan orang Mongolia yang kemudiannya berhijrah ke Pulau Borneo kira-kira 5,000 tahun yang lalu.

Dan kerana itulah ramai yang menerima pernyataan ini memandangkan jika ditinjau dari warna kulit masyarakat Rungus yang bermata sepet dan berkulit kuning langsat serta fizikal yang “pendek-pendek tagap” ada mempunyai persamaan dengan orang Mongolia itu sendiri.

Teori Tamadun Nunuk Ragang (Legenda dan Sejarah Orang Rungus)

Cerita legenda yang menjadi sejarah oral masyarakat di Borneo adalah antara yang menjadi sandaran apabila berbicara soal asal muasal mereka.

Bagi etnik Rungus pula tidak akan boleh lari daripada kepercayaan mereka terhadap wujudnya satu ketamadunan yang telah diasaskan oleh nenek moyang mereka di Borneo suatu waktu dahulu iaitu Tamadun Nunuk Ragang.

Oleh kerana ianya cerita lisan yang diperturunkan dari satu generasi ke generasi yang lain menjadikan sejarahwan mahupun ahli antropologi Barat tidak mahu menerimanya namun untuk etnik Rungus inilah yang sebenarnya mampu memperjelaskan secara terperinci tentang agama mahupun pemerintah mereka dahulukala.

Menurut legendanya suatu waktu dahulu pernah berdiri satu ketamadunan bagi orang-orang Rungus iaitu yang bernama Nunuk Ragang.

Diasaskan oleh seorang “Usan-Usan” (maksudnya seorang yang tiada mempunyai keluarga).

Diceritakan beliau telah dianiayai oleh keluarganya sehingga menyebabkan beliau dan isteri berserta dengan pengikutnya yang setia dihukum buang negeri dengan menaiki kapal sehingga terdampar ke Borneo iaitu di satu kawasan bernama Pampang Nabalu.

Berada lama di Pampang Nabalu tanpa ada masyarakat lain pada waktu itu menyebabkan mereka dibangkitkan dengan semangat keagamaan iaitu dekatnya mereka kepada penyembahan kepada Lumaag Nabalu.

Hari demi hari bentuk penyembahan itu semakin mendapat sambutan sehinggalah mereka terfikir untuk menjadikannya satu hukum adat istiadat.

Dikala inilah seorang yang paling kanan dengan Usan-usan iaitu Aki Bobolizan Gomburon dipilih kerana kefahamannya tentang Lumaag Nabalu lalu diwartakan menjadi satu peraturan hidup bagi Usan-usan dan masyarakatnya.

Antara hukum adat istiadat ini adalah yang dinamakan Hukum Gomburon yang mana sekiranya ada yang melakukan perzinaan maka akan dihanyutkan di dalam air dengan memasukkannya di dalam bubu atau ‘popok’ bersama-sama dengan batu besar.

Batu itu pula harus dipilih sendiri oleh si pesalah tersebut. Dan dikatakan hukum ini juga masih lagi mempunyai belas iaitu sekiranya jika ada yang sengaja mahu membunuh pasangan tersebut sewaktu di dalam menjalani hukuman maka orang tersebut juga akan turut dihukum bunuh sama.

Apabila Aki Bobolizan Guraumanok menjadi ketua keagamaan, dia telah menghapuskan Hukum Gomburon ala Aki Bobolizan Gomburon.

Berdasarkan kepada wahyu dari Lumaag Nabalu hukum itu diperhalusi iaitu dengan menyatakan bahawa segala dosa yang dibuat boleh dibayar dendanya dengan memberi “mangaraha” iaitu korban penebus bercorak sembelihan khinzir.

Dari sinilah “bobolizan” ini akan menjadi “orang tengah” untuk memohon pengampunan dosa dari “Kinoringan”.

Tamadun Nunuk Ragang akhirnya semakin maju dan makmur lagi-lagi dibawah ketuanya iaitu Aki Nunuk Ragang.

Dengan kepercayaan agama labus (Pagan) yang dianuti mereka menyebabkan rakyat di Nunuk Ragang semakin berkembang.

Dari mereka hanya membuat penempatan di sekitar Nunuk Ragang akhirnya mereka mula menebar populasi mereka ke tempat-tempat yang lain di Borneo.

Ini sejajar dengan wahyu yang diturunkan oleh Lumaag Nabalu menerusi Aki Bobolizan Guraumanok yang menyatakan bahawa semua sungai-sungai yang mengalir dari Gunung Kinabalu sehingga ke lautan lepas adalah milik bangsa mereka.

Sejak itu warisan legasi Aki Nunuk Ragang iaitu tiga orang anak lelakinya telah diperintahkan untuk mula berhijrah ke seluruh kawasan di Borneo.

Dua orang anak lelaki iaitu yang sulung dan kedua yang bernama Aki Rungsud dan Aki Longuvai telah dihantar ke kawasan pesisir pantai Pompod Tana.

Pompod Tana yang dimaksudkan adalah Kudat, Kota Marudu dan Pitas sekarang. Ianya dilakukan agar Pompod Tana tidak akan diceroboh oleh orang-orang Mizonvaig atau Orang Laut.

Hendak dijadikan cerita sewaktu keluar daripada kawasan penempatan asal mereka dikatakan hanya Aki Rungsud yang sampai dahulu di Pompod Tana sedangkan Aki Longuvai pula memulakan perjalanannya agak lewat kerana isterinya sedang sarat mengandung untuk melahirkan anak mereka.

Oleh kerana Aki Rungsud yang memulakan perjalanan kerana beliau tidak mahu adiknya tersesat maka ditandakannya perjalanannya dengan setiap puncak bukit diadakan upacara menyembelih ayam.

Ini sebagai satu tanda pemberitahuan kepada semangat Lumaag bahawa itu merupakan wilayah mereka disamping untuk Aki Longivui mengesan jejak mereka.

Namun apakan daya walau sudah ditandai dengan cara penyembelihan ayam di setiap puncak bukit, Aki Longuvai tetap tersesat jalan dan ianya bermula ketika memilih dua persimpangan yang menuju arah yang berlainan.

Sejak itulah Aki Longuvai telah tersesat sehinggalah beliau sampai ke kawasan yang dinamakan Pinampang atau Penampang sekarang.

Ada satu ketika, Aki Longuvai dan pengikutnya telah kehabisan bekalan makanan maka mereka pun mula bercucuk tanam dan akhirnya di Pinampang itu juga boleh dijadikan penempatan mereka kerana subur makmur.

Aki Rungsud mendengar cerita mengenai adik keduanya lalu menghantar wakilnya meminta adiknya kembali ke Pompod Tana namun Aki Rungsud lebih senang untuk berada di Pinampang. Hanya 17 tahun selepas itu barulah dihantarnya putera sulung yang bernama Aki Bulun untuk ke Pompod Tana.

Dikatakan tujuan ketibaannya adalah untuk membahagikan wilayah Pompod Tana pada masa itu.

Pada hari yang sesuai akhirnya Aki Bulun dan ayah saudaranya Aki Rungsud telah membuat pembahagian wilayah kekuasaan dengan syaratnya adalah sejauh mana bunyi paluan gong Aki Rungsud boleh didengar.

Handalan-handalan dari Aki Bulun telah mula berkampung di puncak bukit sekitar Pompod Tana dan mana-mana yang tidak mendengar paluan gong Aki Rungsud diminta untuk memacakkan sejenis lembing yang bersaiz pengaruh kapal layar dinamakan Binorudan.

Untuk anak lelaki bongsu yang bernama Aki Terumpok diminta untuk menjadi penjaga kepada ayahandanya iaitu Aki Nunuk Ragang.

Beliau bersama ayahandanya sehinggalah beliau meninggal dunia dan dikebumikan di satu danau yang lokasinya dikenali sebagai Kampung Tampias, Lubuk Sugut, Sandakan sekarang.

Menurut legenda setelah 40 hari, Aki Nunuk Ragang dikebumikan, pada hari upacara “Mongupus” tumbuhlah sejenis pokok ara di tengah-tengah kubur Aki Nunuk Ragang.

Pokok ara tersebut agak berlainan kerana ia berwarna merah dan jika daunnya tercalar pokok itu akan mengeluarkan darah manusia.

Lalu pengikut Aki Nunuk Ragang menyembah pokok tersebut dan menamakannya Nunuk Ragang kerana mereka percaya pokok itu merupakan jelmaan Aki Nunuk Ragang.

Dibawah pemerintahan Aki Turumpok diceritakan bahawa Nunuk Ragang menjadi huru-hara kerana beliau tidak begitu tertarik kepada penyembahan agama palasnya, sebaliknya lebih kepada ilmu kebatinan dan dek kerana itulah Nunuk Ragang mendapat bala.

Dari satu penempatan yang aman makmur akhirnya ianya menjadi berpecah belah dan tiada satu aktiviti ekonomi untuk survival hidup mampu dilakukan.

Setiap tanaman tidak akan menjadi, turun ke sungai tiada penghidupan sungai yang mampu ditangkap dan boleh dikatakan segalanya tiada. Ini mengakibatkan kawasan Nunuk Ragang menjadi padang jarak padang terkukur kerana tiada mana-mana masyarakat yang mahu mendiaminya.

Begitulah cerita legenda dan sejarah oral yang dipercayai oleh masyarakat Rungus di dalam mengatakan asal usul keturunan mereka di Borneo atau lebih mengkhusus di Sabah sekarang.

Nenek moyang asal keturunan orang Rungus adalah dipercayai daripada keturunan Aki Nunuk Ragang iaitu Aki Rungsud.

Putera kedua pula iaitu Aki Longuvai adalah nenek moyang kepada orang Kadazan di Penampang sekarang manakala Aki Terumpok pula merupakan nenek moyang semua suku kaum Dusun.

Bagi masyarakat Rungus Gonsumon yang menguasai pantai timur Kudat pula adalah berasal daripada keturunan Aki Bulun yang datang ke Pompod Tana suatu waktu dahulu untuk membahagikan wilayahnya.

Jika dahulu kebanyakan masyarakat Rungus di Sabah masih mempercayai agama pagan namun sejajar dengan waktu ramai antara mereka telah memilih agama Kristian dan Islam sebagai pegangan agama mereka.

Mereka juga sudah terdiri daripada pelbagai kelas masyarakat di Sabah dan ramai yang sudah menjadi tenaga professional penyumbang kepada ekonomi Sabah sekarang.

Tidak Kenal Maka Tidak Cinta!

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thepatriots

Sunday, November 19, 2017

6 Hantu Legenda Paling Popular Di Jepun

6 Hantu Legenda Paling Popular Di Jepun

Pernahkah anda mendengar nama-nama hantu dikalangan masyarakat Jepun? Berikut kami perkenalkan enam hantu legenda paling popular di negara matahari terbit itu.

1. Teke-teke

6 Hantu Legenda Paling Popular Di Jepun

Teke-teke bermaksud bunyi yang dihasilkan oleh siku hantu ini sewaktu bergerak.

Menurut kisah, seorng gadis sekolah telah terjatuh dilandasan kereta api lalu digilis sehingga badannya terputus dua.

Kemudian, hantu gadis itulah yang dikaitkan sebagai hantu Teke-teke dan sering merayau mencari mangsa.

Kononnya, mangsa hantu Teke-teke akan dikerat dua dengan tujuan supaya dia tidak lagi keseorangan.

Kisah yang sering menjadi buah mulut penduduk apabila seorang pelajar lelaki sedang berjalan pulang ke rumahnya sewaktu dia ternampak seorang gadis sedang berdiri dibelakang tingkap sebuah sekolah.

Pelajar lelaki itu tertanya-tanya apa yang dilakukan gadis tersebut dalam sekolah yang dikhususkan untuk pelajar lelaki.

Belum sempat bertanya, gadis itu tuba-tiba terbang daripada tingkap menuju kearahnya dan memotong badannya kepada dua bahagian.

2. Aka Manto

6 Hantu Legenda Paling Popular Di Jepun

Seperti adegan yang sering ditayangkan dalam filem-filem seram Jepun, tandas sekolah dianggap sebagai tempat paling menakutkan bagi pelajar.

Aka Manto ialah hantu yang menghuni tandas terakhir disetiap tandas sekolah.

Kononnya, apabila mangsa menggunakan tandas tersebut, akan ada suara asing yang akan bertanya soalan sama ada mangsa mahukan kertas merah atau kertas biru.

Jika mangsa menjawab merah, dia akan disiat sehingga seluruh pakaiannya berlumuran darah.

Jika menjawab biru, dia akan dicekik sehingga mukanya bertukar warna kebiruan.

Jika mangsa cuba memberikan jawapan yang lain, dia akan dibawa ke alam lain dan tidak akan ditemui sampai bila-bila.

3. Hitobashira

6 Hantu Legenda Paling Popular Di Jepun

Hitobashira membawa maksud 'tiang manusia' dan sangat terkenal dalam budaya Jepun.

Difahamkan sewaktu zaman kuno Jepun, mereka melakukan upacara korban manusia setiap kali ingin membina bangunan besar seperti jambatan, istana dan sebagainya.

Upacara ii adalah sebagai persembahan kepada tuhan-tuhan dan dipercayai dapat mengelakkan bangunan yang dibina daripada ditimpa bencana.

Antara Hitobashira yang terkenal di Jepun ialah Istana Matsue yang terletak dalam wilayah Shimane.

Istana ini dibina sekitar kurun ke 17, namun dipercayai mengalami beberapa masalah antaranya dinding yang runtuh secara tiba-tiba.

Oleh itu, korban manusia diperlukan.

Sewaktu pembinaan istana Matsue, satu festival sedang berlangsung. Askar Jepun kemudiannya menangkap penari paling cantik ketika itu.

Setelah dibunuh, mayat gadis itu ditanam bersama dinding istana. Selepas itu, dikatakan kerja-kerja pembinaan pun berjalan dengan lancar.

Tetapi, selepas pembinaan selesai, kejadian misteri mulai melanda istana ini.

Setiap kali perayaan berlangsung dan ada gadis menari, istana Mitsue dipercayai akan bergegar seperti dilanda gempa bumi.

Sejak dari itu, sebarang pesta tari-menari diharamkan berlangsung di jalan istana Mitsue.

4. Neraka Tomino

6 Hantu Legenda Paling Popular Di Jepun

Terdapat satu cerita dongeng Jepun berkaitan sebuah sajak bertajuk 'Neraka Tomino'.

Ia menceritakan tentang Tomino yang dikatakan mati dan telah jatuh ke neraka.

Menurut kisah orang-orang tua, sajak ini hanya boleh dibaca dalam hati dan dikatakan bahawa sesiapa yang membacanya dengan kuat akan menemui maut.

Sajak ini asalnya ditulis oleh Yomoto Inuhiko dalam sebuah buku berjudul The heart is like a rolling Stone.

Tidak diketahui bagaimana khabar angin mengenai sajak ini bermula namun terdapat amaran yang ditulis bersama-sama sajak ini.

Pernah seorang lelaki menelefon rancangan radio dan membaca sajak ini dengan kuat, baru separuh pembacaan dia tiba-tiba berasa kurang sihat lantas berhenti membaca sajak tersebut.

Dua hari kemudian, lelaki itu dilaporkan telah mencederakan diri sendiri sehingga menerima tujuh jahitan.

Kebetulan? Atau kuasa misteri sajak berhantu itu?

Sehingga hari ini, tiada siapa yang dapat mengesahkan sejauh mana kebenaran sajak itu benar-benar berhantu.

Lagipun, tiada siapa yang berani membacanya dengan kuat.

5. Gozu

6 Hantu Legenda Paling Popular Di Jepun

Gozu bermaksud kepala lembu, berkaitan dengan sebuah kisah dongeng yang diceritakan turun-temurun.

Cerita ini dikatakan terlalu seram sehinggakan sesiapa yang menceritakan kisah ini kepada orang lain akan menerima nasib malang.

Ada yang mendakwa bahawa sesiapa yang mendengar kisah ini akan menggeletar seluruh badan selama beberapa hari sebelum menemui ajal kerana rasa takut yang teramat sangat.

Dikatakan pernah terjadi satu kes dimana sekumpulan pelajar sedang dalam perjalanan pulang dari satu lawatan.

Guru mereka ingin menghiburkan pelajarnya mula menceritakan tentang kisah-kisah dongeng.

Semuanya baik sahaja sehinggalah guru itu mula bercerita mengenai dongeng Gozu kepada murid-muridnya.

Keadaan mula tegang, guru yang terlalu menghayati kisah hantu Gozu telah menakutkan semua muridnya.

Seorang demi seorang pelajar mula menjerit meminta guru tersebut supaya berhenti bercerita tetapi guru yang seperti dirasuk terus bercerita.

Apabila bas tidak tiba ke tempat yang ditujui, polis melancarkan gerakan mencari dan menemui bas itu telah terjunam ke dalam sebuah parit.

Ketika ditemui, semuanya termasuk pemandu berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan mulut berbuih.

Mujurlah kesemua mereka berjaya dipulihkan tetapi tiada seorang pun yang dapat mengingati bagaimana mereka boleh berada di dalam parit tersebut.

6. Kushisake Onna

6 Hantu Legenda Paling Popular Di Jepun

Menurut legenda, Kushisake Onna bermaksud 'wanita mulut terbelah' merupakan hantu yang menjelma sebagai wanita tinggi memakai penutup mulut.

Kisah ini bermula pada tahun 979, apabila penduduk tempatan mengadu melihat bayangan Kushisake Onna.

Hantu ini akan menahan mangsanya yang kebanyakannya adalah kanak-kanak sebelum bertanyakan soalan, "Cantik tak saya?"

Itulah soalan keramat Kushisake Onna.

Jika kanak-kanak tadi menjawab "tidak", dia akan dibunuh dengan sepasang gunting yang dibawa oleh Kushisake Onna.

Jika jawapan "Ya", Kushisake Onna akan membuka penutup mulut lalu mempamerkan mulutnya yang terbelah daripada telinga kiri hingga ke telinga kanan.

Kemudian, Kushisake Onna akan bertanya sekali lagi, "macam mana sekarang?"

Jika mangsany menjawab "tidak", dia akan dibunuh dan jika cuba menipu dengan menjawab "ya", mulut mangsa akan dibelah seperti mulutnya yang mengerikan itu.

Mangsa-mangsa Kushisake Onna tidak berpeluang melarikan diri kerana hantu itu akan terus menjelma dihadapan mangsa.

Pelbagai petua ada diberikan oleh orang-orang terdahulu bagaimana untuk menyelamatkan diri jika terserampak dengan Kushisake Onna.

Antaranya dengan memberikan jawapan yang lain daripada yang ditanya seperti "awak biasa-biasa saja".

Dikatakan cara ini dapat membuatkan Kushisake Onna keliru dan memberi peluang untuk mangsa melarikan diri.

Satu cara lagi adalah dengan menjawab soalan Kushisake Onna dengan soalan yang sama.

Ia dikatakan akan mengelirukan Kushisake Onna lantas meninggalkan mangsa.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: 10 Gambar Menyeramkan Hantu Yang Berjaya Dirakam Kamera!

-SENTIASAPANAS.COM

Monday, October 16, 2017

Legenda Arung Salamiah, Kisah Cinta Klasik Dari Pulau Boheydulang

Legenda Arung Salamiah, Kisah Cinta Klasik Dari Pulau Boheydulang

Generasi muda hari ini pasti tidak pernah mendengar nama Arung Salamiah, seorang gadis rupawan yang menghadapi masalah cinta penuh dramatik dengan pemuda sekampung bernama Tanjung Kalang dari Pulau Boheydulang, Semporna.

Arung Salamiah

Bagi memperkenalkan semula lagenda sejarah cinta klasik pasangan kekasih tersebut, Pertandingan Ratu Lepa dan Anugerah Arung Salamiah pasti diadakan serentak dengan Sambutan Regatta Lepa yang disambut pada April saban tahun.

Menurut penduduk tempatan, kisah Legenda Arung Salamiah berlaku sebelum abad ke-18 ​m​asihi ketika Arung Salamiah membuat persembahan tarian Igal di dalam satu temasya.

Salamiah seorang penari yang baik, para penonton pasti menikmati kelembutan ketika dia menari, liuk lentok badannya dapat menggambarkan perasaannya samada gembira, sedih atau marah.

Tarian yang dibawanya iaitu​ igal-igal adalah tarian tradisional suku kaum Bajau​, ​diambil daripada perkataan inggeris ‘eagle’ yang bermaksud helang. Oleh kerana itu, gerak tari igal-igal seperti gerakan seekor helang.

Kemudian, Arung Salamiah dipinang oleh Datu Atik, terkenal sebagai seorang yang zalim dan mempunyai ramai isteri, kerana tertarik melihat Arung Salamiah ketika melakukan persembahan.

Keluarga Arung Salamiah terpaksa menerima pinangan tersebut kerana menghormati keluarga ternama itu.

Namun, demi menjaga maruahnya, Arung Salamiah melarikan diri ke dalam sebuah gua dan dikatakan ghaib ketika bersembunyi.

Arung Salamiah bersama adik angkatnya, Arung Saria, melarikan diri ke gua itu tetapi sesudah tiba di situ, mereka berdua terpisah untuk mengelak daripada dikesan Atik.

Arung Salamiah dikatakan ghaib ketika bersembunyi di gua tersebut sementara Arung Saria berjaya melarikan diri ke satu tempat lain dan selepas itu berkahwin serta memiliki zuriat.

Sementara Tanjung dan rakan-rakannya, terkorban ketika bertarung dengan pengikut-pengikut Atik di pesisir pantai berdekatan sebuah kampung di pulau berkenaan.

Pengikut-pengikut Atik kemudiannya membunuh seluruh penduduk kampung itu dengan kejam dan rumah-rumah mereka dibakar sehingga tidak ada seorang pun yang tinggal.

Legenda Arung Salamiah bukan kisah dongeng atau rekaan sebaliknya kisah benar yang diceritakan secara turun temurun oleh masyarakat Bajau khususnya di Semporna.

Epik pencinta setia itu, berlaku sebelum abad ke-18 Masehi dan tidak ramai yang mengetahuinya kerana kisah tersebut hanya disimpan oleh keturunan Arung Saria atas sebab keselamatan.

Se​hingga kini, ada yang mengatakan melihat kelibat Salamiah di gua tersebut sedang mengintai seolah-olah menanti kekasihnya yang telah pun dibunuh oleh pengikut-pengikut ​Datu Atik.

Suku k​aum Bajau merupakan kaum yang sangat unik kerana mempunyai firasat yang kuat seperti boleh merasai angin melalui deria bau dan mengetahui arah angin.

Igal juga sama kerana ia bersifat semula jadi, tanpa berlatih pun kaum Bajau akan tetap pandai menari kerana mengigal adalah melalui hati.

Anugerah Arung Salamiah

Penganjuran Anugerah Arung Salamiah setiap tahun diharap dapat mencontohi keperibadian wanita legenda tersebut yang bukan sahaja cantik dan pandai menari, tetapi juga bijak.

Mereka mesti mempunyai semua kombinasi ciri-ciri Salamiah agar dapat menjadi contoh kepada para gadis keturunan Bajau untuk sentiasa menjaga maruah dan keperibadian yang tinggi sebagai seorang wanita.

Selain dinilai berpandukan persembahan tarian mengigal, setiap peserta juga akan ditanya soalan berkaitan kaum Bajau bagi menguji kebijaksanaan dan pengetahuan mereka.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: sayangsabah | utusan

Sunday, October 08, 2017

Lagenda Cik Siti Jalang

Lagenda Cik Siti Jalang

Bagi penduduk di negeri Johor, lagenda Cik Siti Jalang sememangnya tidak asing lagi dimana ianya mengisahkan tentang seorang wanita yang dinikahi oleh 99 orang lelaki.

Lagenda

Individu yang dimaksudkan ialah Siti Aminah atau lebih terkenal dengan panggilan Cik Siti Jalang dipercayai berlaku pada abad ke 17 yang lalu.

Berdasarkan cerita lisan daripada penduduk tempatan, Cik Siti Jalang sebenarnya berasal dari sebuah negeri di pantai timur.

Sejak kecil lagi, dia telah dipelihara oleh sebuah keluarga bangsawan Bugis di Kota Tinggi, Johor.

Dikatakan bahawa, Siti Aminah cantik orangnya, maka tidak hairanlah namanya menjadi sebutan.

Bimbang kesucian Siti Aminah dinodai, ibu bapa angkatnya dipercayai telah mewariskan satu ilmu pendinding bagi mengelakkan sebarang kejadian buruk daripada berlaku keatasnya.

Apabila dewasa, ramailah jejaka menghantar rombongan untuk merisik Siti Aminah.

Bagaimanapun, seorang lelaki dipercayai daripada golongan keluarga berada berjaya menambat hati ibu bapa Siti Aminah.

Usai majlis merisik, akhirnya Siti Aminah selamat diijabkabulkan dalam suasana penuh meriah.

Malam Pertama

Pada malam pertama sebagai isteri, berlaku satu peristiwa yang tidak diduga. Siti Aminah telah diceraikan oleh suaminya.

Punca perceraian berlaku disebabkan suaminya gagal menemui sebarang petanda bahawa Siti Aminah adalah seorang wanita. Kemaluannya tiada!

Biarpun berstatus janda, Siti Aminah tetap menjadi rebutan lelaki yang ingin memperisterikan janda berhias ini sebagai suri hati mereka.

Malangnya, impian semua jejaka yang pernah mengahwini Siti Aminah tidak seperti yag diharapkan.

Setiap kali majlis perkahwinan dilangsungkan, semuanya berakhir dengan perceraian.

Nasib malang yang menimpa janda cantik ini terus berlanjutan sehingga ke majlis perkahwinannya yang ke 99 kali.

Ilmu Kunci Nafsu

Apabila Siti Aminah melangsungkan perkahwinannya yang ke 100 kali, tiada sebarang nasib malang menimpa.

Lelaki tersebut dikatakan seorang yang warak dan memiliki pegangan agama yang kuat.

Suaminya berjaya membuka ilmu kunci nafsu yang diwarisi Siti Aminah daripada keluarga angkatnya.

Apa yang pasti, perkahwinan mereka berdua kekal dan bahagia sehingga ke akhir hayat.

Misteri Disengat Kala Jengking

Selain warisan ilmu pendinding, terdapat satu lagi versi cerita lisan lain berkaitan dengan kisah lagenda ini.

Kononnya, Siti Aminah sebenarnya bukan diceraikan tetapi disebabkan oleh satu sumpahan yang tidak dapat dielakkan.

Sesiapa yang ingin menjadi suami Siti Aminah pasti akan menemui ajal selepas malam pertama mereka.

Sama ada benar atau tidak, punca kematian 99 orang suami Siti Aminah kononnya disebabkan gigitan berbisa Kala Jengking.

Setiap kali dipinang, Siti Aminah kononnya akan meminta jumlah hantaran yang tidak masuk akal kepada sesiapa yang ingin meminangnya.

Dua perkara iaitu sebuah keranda kayu dan sebidang kain kapan bagi persediaan awal pengebumian mereka keesokan harinya.

Semasa hidup, Siti Aminah telah mewasiatkan kepada keluarganya agar jenazahnya dikebumikan jauh dari kampung.

Seperti yang anda boleh lihat sendiri hari ini, kubur Cik Siti Jalang telah dimakamkan dipinggir Sungai Johor yang terletak di Kampung Tembioh, Kota Tinggi, Johor.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA: Lagenda Puteri Lindungan Bulan

-SENTIASAPANAS.COM

Monday, July 10, 2017

Gambar Terakhir P. Ramlee

Gambar Terakhir P. Ramlee

Gambar dibawah ini diambil pada hari Isnin 21 Mei 1973 lapan hari sebelum Allahyarham Tan Sri P. Ramlee meninggal dunia pada waktu subuh hari Selasa 29 Mei 1973.

P Ramlee

Sedikit kronologi sebelum P. Ramlee meninggal dunia yang pernah diceritakan oleh anak kesayangannya Sazali.

Menurut Sazali sebelum bapanya meninggal, beliau telah mengadu kepada Saloma yang beliau sakit dada.

Saloma menawarkan untuk menghantar P. Ramlee ke hospital tetapi beliau menolak dengan memberi alasan ia hanya disebabkan oleh angin dalam badan. Lantas P. Ramlee meminta Saloma hanya menyapu Tiger Balm di dadanya.

Sekitar jam 5.30 pagi, P. Ramlee sekali lagi mengadu pada Saloma yang sakit dadanya telah menyerang kembali. Kali ini lebih sakit dari serangan pertama.

Keadaan bertambah panik apabila P. Ramlee meronta-ronta sambil mengatakan, “i mesti mati, sekejap lagi i mesti mati” kepada Saloma.

P. Ramlee juga sempat berpesan kepada anak-anak beliau yang ada disisinya pada ketika itu supaya menjaga Saloma dengan baik jika ditakdirkan beliau tiada lagi.

Setelah beberapa minit P. Ramlee diam tanpa berkata-apa. Tubuhnya pun tidak lagi bergerak. Saloma dan anak-anaknya menjangkakan yang P. Ramlee hanya pengsan lalu segera menelefon ambulans untuk meminta bantuan.

Apabila sampai di Hospital Kuala Lumpur, P. Ramlee disahkan oleh doktor telah meninggal dunia.

Menurut Nasir, tidak ada bedah siasat dilakukan ke atas jenazah P. Ramlee. Kami menerimanya dalam keadaan yang sempurna, kata Nasir.

Jenazah P. Ramlee kemudian dibawa pulang ke rumahnya di Jalan Dedap yang pada ketika itu sudah ramai didatangi oleh rakan-rakan dan peminat sejurus mendapat tahu P. Ramlee meninggal dunia.

Selepas dimandikan jenazah di sembahyangkan di Masjid Jamek Kampung Baru dan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Jalan Ampang.

Tetapi tahukan anda bahawa pelakon M.Rajoli yang membacakan Talkin pada hari perkebumian P. Ramlee, yang pada ketika itu sedang berkhidmat sebagai salah seorang imam di Masjid Jamek Kampung Baru.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Video Channel History - P. Ramlee Dikhianati Bangsa Sendiri

sumber: thepatriots

Sunday, July 09, 2017

Saleem Iklim Lagenda Pop Rock

Saleem Iklim Lagenda Pop Rock

Saleem legenda pop rock. Atau boleh sahaja dianggap Raja Rock Jiwang tanah air. Senarai 84 lagu nyanyian Saleem disenaraikan sebagai hits.

Saleem Iklim

Saleem mencipta nama bersama Iklim pada 1990 melalui album Satu Kesan Abadi, terbitan Suria Records.

Lagu Suci Dalam Debu meletakkan Saleem sebagai Artis Sepanjang Zaman yang tidak akan dilupakan industri muzik.

Saleem muncul bersama Iklim sehingga 1996 dan pada 1998, Saleem muncul solo melalui album Juwita. Lagi itu meletup, membuktikan Saleem memang penyanyi tulen. Banyak suka-duka hidup penyanyi anak Terengganu ini.

Jeritan “Jom ke laut weiii” dalam lagu Blues Ganu Kita menjadikan Saleem akan dikenang sebagai anak jati negeri nelayan Pantai Timur dalam dunia seni.

Banyak kemelut dilalui Saleem. Tetapi itu warna-warni perjalanan anak manusia dalam kehidupan. Saleem manusia biasa, ada hitam putih dalam sejarahnya. Banyak kebaikan dilakukan Saleem.

Bukan sekadar menyanyi dengan suara serak syahdunya yang berjaya mengisi kemeriahan industri muzik. Malah, sebagai manusia biasa, Saleem memang seorang yang baik.

Ketika di puncak kejayaan, Saleem sayangkan peminatnya. Pasti ramai yang ada pengalaman mengejutkan selama menjadi peminat fanatik ketika menemuinya.

Saleem kalau jumpa peminat, terutama orang yang sanggup menunggunya di belakang pentas, atau merentas jauh menghadiri shownya, dia sangat menghargai.

“Ohhh… jauh mung mari notong ambe,” kata Saleem dengan loghat Ganu masih menebal. Waktu itu, ramai peminat fanatiknya menerima layanan yang amat baik.

Antaranya, dihulurkan wang makan atau belanja buat tambang pulang. Saleem akan menggagau kocek, memberikan apa yang ada. Saleem jenis yang sangat tersentuh dan anggap dirinya budak kampung yang bertuah kerana punya peminat.

Kini Saleem menanti untuk mereliskan lagu baharunya. Judulnya Karma Cinta.

Moga Saleem segera sembuh dan kembali bersama peminatnya. Moga Saleem berpeluang ke Makkah, kerana itu yang diinginkannya.

Cepat sembuh Saleem.

BACA INI JUGA: Sudirman Lagenda Penghibur Terbaik Asia

sumber: mynewshub

Tuesday, June 27, 2017

Lagenda Puteri Lindungan Bulan

Lagenda Puteri Lindungan Bulan

Lagenda Mahsuri bukanlah asing dalam pengetahuan masyarakat di Malaysia kerana kisah wanita berdarah putih itu sering didendangkan sejak dari zaman kanak-kanak sehingga dewasa.

Lagenda
Kisah Puteri Lindungan Bulan pernah dipentaskan di Thailand.

Namun, tidak ramai yang tahu terdapat satu lagi cerita lagenda mengenai seorang wanita yang turut dikatakan memiliki darah putih.

Disebut sebagai Puteri Lindungan Bulan, lagenda puteri berketurunan raja ini memiliki keunikan kisahnya yang tersendiri.

Terletak di atas bukit kecil di Kampung Siputeh, Jitra, makam bersaiz besar daripada biasa ini didakwa milik Puteri Lindungan Bulan.

Peliknya, terdapat empat pasang batu nisan yang berada di atas kubur berkenaan. Jumlah tersebut menunjukkan petak makam itu menyimpan dua jasad.

Dipercayai, makam tersebut bukan hanya menyimpan jasad Puteri Lindungan Bulan, bahkan juga jasad ayahandanya, Sultan Sulaiman Syah.

Penduduk kampung percaya pemilikan makam tersebut, walaupun sehingga kini tidak dapat dipastikan kebenaran mengenai pemilik sebenar dua kubur dalam satu makam berkenaan.

Asal-usul Lagenda Puteri Lindungan Bulan

Lagenda kisah Puteri Lindungan Bulan berasal daripada cerita lisan yang berkembang di sekitar Kota Siputeh.

Puteri Lindungan Bulan mengisahkan tentang seorang puteri keturunan raja, anakanda Sultan Sulaiman Syah.

Sultan Kedah ini memiliki dua orang puteri bernama Puteri Zaleha (Puteri Lindungan Bulan) dan Puteri Mariam.

Diantara keduanya, Puteri Zaleha dikatakan memiliki darah berwarna putih, manakala darah Puteri Mariam berwarna merah seperti individu lain.

Keistimewaan tersebut menjadikan Puteri Zaleha berbeza dengan Puteri Mariam kerana darah putih yang dimilikinya menyebabkan dia kelihatan unik dan namanya sentiasa menjadi sebutan.

Walaupun agak berbeza, kedua-dua puteri itu sama jelita rupa parasnya, memiliki perwatakan sopan dan lemah-lembut.

Meskipun begitu, kecantikan Puteri Zaleha dikatakan lebih menawan. Kasih sayang Sultan Sulaiman Syah juga lebih tertumpah kepada Puteri Zaleha.

Bahkan, hubungan di antara keduanya begitu rapat sehingga tidak boleh berjauhan apatah lagi untuk berpisah, ibarat kata pepatah, 'Bagai menatang minyak yang penuh'.

Kisah Lagenda Tersebar

Berita tentang puteri berdarah putih ini mula tersebar luas sehingga ke negeri Acheh, telah menarik minat baginda Raja Acheh untuk mengetahui dengan lebih lanjut.

Ketika itu, Raja Acheh turut mempunyai seorang anak lelaki bernama Putera Mahkota. Jadi, baginda berkenan untuk mengambil Puteri Zaleha menjadi menantu.

Raja Acheh pun menghantar rombongan untuk meminang puteri Sultan Sulaiman Syah, diketuai oleh adindanya Tengku Panglima Sasa, yang diketahui mempunyai perwatakan panas baran.

Sebelum berangkat ke Kedah, Tengku Panglima Sasa telah menyatakan bahawa, sekiranya keluarga diraja Kedah menolak peminangan mereka, dia tidak akan teragak-agak untuk menyerang negeri berkenaan.

Perkara itu yang telah diketahui oleh bendahara istana kemudiannya menyampaikan berita tersebut kepada Sultan Sulaiman Syah.

Sultan yang berasa terkejut dan khuatir mula menyusun strategi sebelum rombongan tiba.

Baginda tidak sanggup menyerahkan puteri kesayangannya dan dalam masa yang sama tidak mahu Kedah menjadi 'Padang jarak padang tekukur'.

Akhirnya, kerabat diraja sepakat untuk menjadikan Puteri Mariam sebagai galang ganti dalam peminangan tersebut.

Rahsia ini hanya diketahui keluarga diraja Kedah dan menjadi rahsia istana.

Kedatangan rombongan peminangan disambut dan diterima baginda Sultan.

Maka, berlangsunglah perkahwinan di antara Putera Mahkota dan Puteri Mariam di istana Kedah sebelum dibawa ke Acheh.

Acheh Menyerang Kedah

Perkahwinan mereka kekal bahagia selama beberapa ketika sehinggalah terjadi satu insiden ketika berlangsung sebuah majlis istana di Acheh.

Puteri Mariam yang sedang mengapur sirih dan mengacip pinang tanpa diduga terkacip jarinya sendiri lalu berdarah.

Ternyata, darah yang mengalir keluar tidak berwarna putih seperti yang disebutkan sebelum ini.

Peristiwa ini menimbulkan kemarahan Raja Acheh, malah Tengku Panglima Sasa turut berasa marah dan tertipu.

Raja Acheh membuat keputusan untuk menyerang Kedah, namun tidak disertai oleh Putera Mahkota kerana mahu menjaga Puteri Mariam yang sedang hamil.

Dia juga sanggup menerima isterinya meskipun tidak berdarah putih seperti yang dikhabarkan.

Dalam keadaan kucar-kacir akibat serangan Acheh, Sultan Sulaiman Syah sempat menyembunyikan Puteri Zaleha di dalam sebuah lubang kerana tidak mahu anak kesayangannya itu dirampas kerajaan Acheh.

Hanya baginda dan isterinya yang tahu lokasi persembunyian berkenaan dan sebelum meninggalkan puterinya, baginda sempat berdoa supaya Puteri Zaleha dilindungi daripada pengetahuan orang lain.

Menurut beberapa riwayat, Baginda telah berpesan kepada bulan, "Wahai bulan, walau bagaimana terang sekalipun cahayamu menerangi malam, aku mohon supaya engkau tidak menyuluh sinarmu ke tempat persembunyian anakku."

Lagenda Puteri Lindungan Bulan

Kubur

Akhirnya, berlakulah perang antara Acheh dan Kedah. Malangnya, Kedah menghadapi kekalahan menyebabkan Sultan Sulaiman Syah dan isterinya ditangkap dan dibawa ke Acheh.

Dikatakan, beribu-ribu rakyat Kedah turut dibawa bersama sebagai tawanan.

Istana Kedah dimusnahkan dan baginda sultan mangkat semasa berada di Acheh, manakala Puteri Zaleha tidak dapat dikesan oleh tentera Acheh sepanjang berada ditempat persembunyiannya.

Disebabkan tiada siapa yang tahu lokasinya, puteri ini meninggal dunia kerana kehabisan bekalan makanan.

Makan, terjawablah persoalan mengapa Puteri Zaleha digelar sebagai Puteri Lindungan Bulan.

Sementara itu, Puteri Mariam turut mendapat gelaran tersendiri apabila dinamakan sebagai Puteri Bintang Kejora. Cuma, bagaimana nama itu diperolehi tidak dapat dipastikan.

Apa yang pasti, kewujudan makam diatas bukit kecil di Kampung Siputeh bukan hanya menarik kedatangan pengunjung, bahkan mampu menyebarkan kisah Puteri Lindungan Bulan sebagai lagenda yang pernah wujud di negeri Kedah.

BACA INI JUGA:

-SENTIASAPANAS.COM