Thursday, May 19, 2016

Fenomena La Nina Selepas Berakhirnya El Nino

Fenomena La Nina Selepas Berakhirnya El Nino

Selepas berakhirnya El Nino, pada hujung tahun 2016 ini negara juga dijangka berhadapan dengan satu lagi fenomena iaitu La Nina yang berlawanan dengan El Nino.

Fenomena La Nina

Berdasarkan model cuaca, keberangkalian berlakunya La Nina adalah pada kadar 60 peratus yang dijangkakan berlaku sekitar hujung tahun.

Sekiranya keadaan sebaliknya, cuaca akan kembali seperti biasa dengan musim tengkujuh pada Disember nanti dengan hujan turun pada kadar normal dengan purata antara 600 hingga 700 mm di sebelah Pantai Timur Semenanjung.
Mengikut pencerapan cuaca di rantau Pasifik, sehingga kini fasa El Nino masih mempengaruhi rantau ini dan hanya akan berakhir pada Jun nanti.

La Nina dijangka menyusul selepas berakhirnya El Nino yang kadarnya sama kuat dengan La Nina yang berlaku pada tahun 2008 dan 2011.

Hujan yang turun kini bukanlah disebabkan fasa La Nina yang telah bermula sebaliknya disebabkan perubahan monsun yang biasa berlaku pada bulan April hingga Mei.

Bukanlah sesuatu yang aneh jika di Kuala Lumpur mendapat hujan lebat ketika perubahan monsun ini. Jika melihat pada rekod intensiti hujan pada April ini tidaklah berbeza dengan iklim sebelum ini.

Masalah banjir kilat disebabkan masalah pembangunan di Lembah Kelang terutama Kuala Lumpur yang sangat pesat terutama masalah sistem perparitan. Kawasan hutan dan tanah lapang yang berdaya menyerap hujan telah diturap oleh jalan konkrit.

Air hujan yang turun kesemuanya menjadi air larian permukaan dan dengan cepat akan bergerak mencari kawasan terendah menghasilkan bajir kilat.

Kawasan Yang Terkesan La Nina

Fenomena La Nina [2]

Kawasan di negeri-negeri Pantai Timur, Sabah dan Sarawak dijangka akan menerima kesan La Nina yang kemungkinan akan berhadapan dengan banjir pada awal musim Timur Laut.

Banjir berlaku bergantung kepada di mana lokasi hujan itu turun dan berapa lama ia turun. Jika turun di kawasan pesisir pantai, ia tidak akan membawa banjir besar seperti yang berlaku pada 2014.

Banjir besar terhasil sekiranya pusat hujan bergerak ke pedalaman dan turun secara berterusan antara empat ke lima hari seperti mana berlaku pada banjir 2014, ia akan menyumbang kepada peningkatan pasas sungai luar biasa iaitu 10 meter di sesetengah kawasan dan menjadi punca banjir besar.

Jerebu

Menurut Pengarah Pusat Penyelidikan Antartika Kebangsaan Universiti Malaya, kawasan lain di rantau ini seperti Sumatera dan Kalimantan masih lagi dalam cuaca panas dan kering kesan daripada El Nino.

Dibimbangi sekiranya kawasan tersebut memulakan musim pembakaran pada bulan Julai nanti, angin barat daya dan selatan akan membawa asap pembakaran untuk menghasilkan jerebu di Malaysia.

Bagaimanapun, jerebu mungkin tidak seteruk 2015 kerana La Nina dijangka semakin kuat pada Julai hingga Ogos yang akan merangsang lebih banyak hujan di rantau ini, katanya.

Kita mempunyai banyak aset di Pantai Timur seperti Kemaman, Kota Bharu yang harus memulakan proses berjaga-jaga seandainya kejadian jerebu merentas sempadan berlaku pada Julai hingga Ogos dan selepas itu siap siaga menghadapi kemungkinan banjir di Pantai Timur dan Sarawak khasnya di Sarawak Selatan iaitu kawasan Kuching.

BACA INI JUGA: Fenomena El-Nino, Punca Dan Kesan Buruk Terhadap Dunia

Sumber: BERNAMA