Thursday, September 12, 2013

Tatu Sebagai Simbol Kuasa Dalam Kumpulan Kongsi Gelap

Tatu Sebagai Simbol Kuasa Dalam Kumpulan Kongsi Gelap

Ramai di antara ahli kongsi gelap yang cuba lari ke bandar Betong, di selatan Thailand, dikenal pasti sebagai golongan ‘taasub’ tatu apabila mencacah lebih daripada dua tatu termasuk pada leher.

Gambar hiasan.

Mereka beranggapan jumlah tatu yang banyak dan menonjol menjadi simbol ‘kuasa’ serta rasa hormat daripada pengikut masing-masing.

Terdapat pelbagai bentuk tatu terutamanya haiwan pada suspek yang ditangkap dengan setiap simbol membawa makna tersendiri dan imej kumpulan kongsi gelap diwakili.

Malangnya, tatu-tatu ini memudahkan polis untuk melakukan pengecaman dan tangkapan. Sepanjang operasi ‘Op Cantas Khas’ yang dilakukan sejak 18 Ogos hingga semalam, seramai 50 individu sudah ditahan polis dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan kongsi gelap.

Suspek-suspek dipercayai anggota kumpulan beberapa kongsi gelap terkenal dan daripada jumlah itu, seramai 40 individu kini berada dalam tahanan reman polis manakala 10 lagi individu sudah dijamin.

Menurut pihak polis, siasatan awal mendapati 12 daripada suspek ditahan adalah anggota Geng 36, Geng 08 (25), Geng 04 (12) dan seorang daripada suspek yang ditahan di sempadan Pengkalan Hulu-Betong, kelmarin belum dikenal pasti.

Semua suspek berusia 20 hingga 40 tahun dan kebanyakannya mempunyai pelbagai tatu pada anggota badan antaranya berbentuk binatang seperti kala jengking, labah-labah selain matahari yang membawa lambang kepada kumpulan kongsi gelap tertentu.

Ada di antara suspek yang mempunyai rekod lampau dalam kesalahan jenayah dan ada yang tidak mempunyai rekod jenayah.

Mereka ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966. -Hmetro

BACA INI JUGA: Panas! Luahan Terbuka Mantan Ketua Gengster 08 Buat Menteri Dalam Negeri!

-SENTIASAPANAS.COM

Sunday, September 08, 2013

Sembilan Ahli Kongsi Gelap 04 Dan 08 Tertangkap Di Sempadan!

Sembilan Ahli Kongsi Gelap 04 Dan 08 Tertangkap Di Sempadan!

Polis menahan sembilan lelaki yang dipercayai anggota kumpulan kongsi gelap 04 dan 08 di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bukit Kayu Hitam di sini ketika cuba melarikan diri ke negara jiran untuk bersembunyi malam semalam.


Ketua Penolong Pengarah D7 Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Abd Jalil Hasan berkata kesemua mereka berusia antara 24 hingga 47 tahun itu ditahan kira-kira pukul 7.30 malam oleh pasukan Cantas Khas Bukit Aman ketika cuba melepasi pintu sempadan negara.

(Baca: Senarai 49 Kumpulan Kongsi Gelap)

Katanya hasil siastan awal mendapat salah seorang daripada mereka tidak mempunyai sebarang pasport atau dokumen untuk masuk ke negara jiran itu.

Beliau berkata mereka melintasi sempadan dengan berjalan kaki bagi mengelak dikesan pihak berkuasa yang giat menjalankan Ops Cantas Khas terhadap kumpulan kongsi gelap.

“Kita kesan mereka masuk sempadan setiap hari berdasarkan cop Imigresen pada pasport mereka dan kita percaya mereka cuba melarikan diri daripada dikesan polis serta ada yang masuk untuk membuang tatu mereka.

“Kita percaya sembilan individu yang ditahan itu mempunyai jawatan dalam kongsi gelap itu dan ada di kalangan mereka adalah ‘fighter’ yang terlibat dalam kes pergaduhan. Kita akan siasat perkara ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di CIQ Bukit Kayu Hitam awal pagi Sabtu.

Abd Jalil berkata kesembilan lelaki itu berasal dari negeri ini, Perak dan Selangor.

Katanya pihaknya akan meminta bantuan daripada polis negara jiran bagi membantu menjejaki saki baki anggota kumpulan haram itu yang masih aktif dalam negara ini.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya akan terus mengetatkan pintu kawalan bagi mencantas semua penjenayah yang juga anggota kongsi gelap yang cuba memboloskan diri ke sempadan negara jiran itu.

Beliau turut berterima kasih kepada anggota masyarakat yang turut sama membantu polis dalam usaha mengekang kumpulan kongsi gelap haram dan pihaknya tidak akan berkompromi dalam perkara itu.

Nama Ahli Politik Yang Ada Kaitan Kongsi Gelap Bakal Didedahkan?


Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyerahkan kepada pihak polis untuk mendedahkan nama individu yang mempunyai kaitan dengan kongsi gelap dan dikatakan turut bergiat dalam bidang politik di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, polis akan mendedahkan nama individu terlibat bila tiba masanya.

(Baca: Geng 36, 04 dan 08 Kumpulan Kongsi Gelap Paling Bahaya)

“Bila akan didedahkan saya serah pada pihak polis.

“Tiba masanya polis akan dedahkan dan tindakan undang-undang akan dilakukan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra Skuad 1Malaysia Negeri Perak bersama Menteri di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis itu Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Puan Sri Zuraidah Mohamed dan Ketua Polis Perak, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani. -Bernama

Thursday, September 05, 2013

Kongsi Gelap Bersaing Hebat Merebut Kawasan!

Kongsi Gelap Bersaing Hebat Merebut Kawasan!

Bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Tan Sri Zaman Khan Rahim Khan mendedahkan kumpulan kongsi gelap di negara ini kini bersaing hebat sesama sendiri bagi menjadi taikun dadah di sesebuah kawasan.

Kongsi Gelap

Beliau berkata `perang’ di antara kongsi-kongsi gelap itu, yang kini mencetuskan kegusaran orang ramai ekoran penggunaan senjata api secara berleluasa, berlaku kerana mereka mahu menakluk sesebuah kawasan bagi tujuan pengedaran dadah selain menjadi pusat operasi mereka.

“Geng-geng ini berperang sekarang kerana mereka nak merebut kawasan, nak jadi ‘gabenor’ dadah…jadi mereka akan menghapuskan musuh-musuh mereka yang cuba memasuki kawasan mereka dengan senjata api,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Menurutnya kebanyakan kongsi gelap yang aktif di negara ini telah dibekalkan dengan senjata api oleh sindiket dadah antarabangsa, yang dipercayai turut membekalkan pistol dan bom tangan kepada kumpulan itu.

Ditanya mengapa polis sukar membanteras kongsi-kongsi gelap itu, Zaman Khan berkata sejak dahulu lagi, kekangan yang dihadapi polis ialah keengganan saksi tampil memberikan maklumat kepada polis kerana bimbangkan keselamatan mereka.

Beliau berkata ada sesetengah kes, orang awam menjadi mangsa kekerasan senjata api oleh kongsi gelap kerana mungkin dipercayai cuba menjadi ‘hantu polis’ (pemberi maklumat polis).

“Semasa saya jadi pengarah dahulu, perkara ini yang menjadi kekangan polis untuk memerangi kongsi gelap kerana keengganan saksi untuk memberikan maklumat. Jadi, polis perlu memikirkan kaedah untuk mendapatkan maklumat dengan melindungi saksi-saksi ini,” katanya.

Beliau turut mendedahkan kegiatan kongsi gelap bukan sahaja tertumpu kepada pengedaran dadah, malah mereka meminta wang perlindungan daripada setiap premis perniagaan yang dijalankan di `kawasan’ mereka.

Zaman Khan tidak menafikan bahawa selepas Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Ordinan Darurat dimansuhkan, bekas-bekas tahanan jenayah berat dipercayai menubuhkan geng mereka dan bergerak aktif meneruskan kegiatan lama selain membalas dendam terhadap musuh-musuh mereka.

“Perkara ini perlu diperangi habis-habisan oleh pihak polis…ini untuk mengelakkan rasa takut dalam kalangan rakyat,” katanya.

Minggu lepas, Kementerian Dalam Negeri mengumumkan sebanyak 49 kongsi gelap dikesan menjalankan kegiatan memudaratkan ketenteraman awam seperti sindiket pengedaran dadah, memeras ugut, membunuh, menimbulkan pergaduhan antara pertubuhan kongsi gelap dan huru-hara.

Dalam Ops Cantas Khas yang bermula 17 Ogos lepas bagi membanteras kongsi gelap dan individu terbabit jenayah berat di seluruh negara, PDRM menangkap 4,777 orang dan merampas 136 kenderaan curi, lapan senjata api, satu bom tangan, 54 peluru dan 133 senjata berbahaya.

Zaman Khan secara sinis juga menempelak sesetengah pihak yang mengkritik tindakan polis menembak mati lima anggota kongsi gelap Geng ’04′ di Sungai Nibong, Pulau Pinang pada 19 Ogos lepas.

Sambil mempertahankan tindakan Polis Pulau Pinang itu, beliau berkata pihak berkuasa berbuat demikian setelah diancam dengan senjata api.

KDN kenal pasti anggota kongsi gelap sertai politik

Sementara itu, Kementerian Dalam Negeri sudah mengenal pasti individu yang mempunyai kaitan dengan kongsi gelap dan dikatakan turut bergiat dalam bidang politik di negara ini, kata menteri berkenaan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini.

"Sekiranya ahli politik ini adalah bekas anggota kongsi gelap, mungkin mereka sudah bertaubat dan tidak adillah untuk mengaitkan mereka lagi dengan kongsi gelap.

"Tapi, jika siasatan mendapati mereka masih mempunyai kaitan dengan kongsi gelap, maka kami akan dedah nama mereka dan mengambil tindakan undang-undang," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Pingat Kedaulatan Negara kepada 56 anggota pasukan keselamatan.

Ahmad Zahid berkata demikian bagi mengulas pendedahan bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Tan Sri Zaman Khan Rahim Khan bahawa seorang bekas banduan yang pernah menjadi ketua kongsi gelap, kini menjadi pemimpin peringkat rendah sebuah parti politik di Pulau Pinang. -Bernama

Monday, September 02, 2013

Ketua Geng 36 Yang Mati Ditembak Bekas Pegawai TUDM!

Ketua Geng 36 Yang Mati Ditembak Bekas Pegawai TUDM!

Bekas pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang mati ditembak di Taman Rishah di sini pada Ahad merupakan ketua Geng 36 di Batu Gajah.

Geng 36
Gambar hiasan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Perak, Datuk Mohd. Dzuraidi Ibrahim berkata, S. Jambu Keshan, 39, dipercayai ditembak mati oleh musuh kumpulan tersebut kerana ada kaitan dengan dadah.

(Baca: Kita Tertanya-tanya, Selepas Dedah 49 Kongsi Gelap, Apa Tindakan Selanjutnya?)

"Kami juga percaya insiden itu ada kaitan dengan pertelingkahan di antara ahli kumpulan mangsa, Geng 04 dan Geng 08," katanya kepada pemberita di sini Isnin.

Jambu Keshan mati ditembak oleh seorang lelaki bertopeng berhampiran restoran bapanya di Taman Rishah di sini kira-kira pukul 7.15 pagi Ahad.

(Baca: Ketua Kumpulan Kongsi Gelap Geng 21 Mati Ditembak!)

Mohd Dzuraidi berkata polis telah merakam keterangan dua orang saksi dan percaya suspek yang terlibat dalam insiden itu lebih daripada dua orang.

"Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang diambil dari kedai berhampiran menunjukkan lelaki bertopeng itu manakala cermin kereta Toyota Vios yang dipandu rakan suspek itu berwarna gelap. -mStar

Saturday, August 31, 2013

Ketua Kumpulan Kongsi Gelap Geng 21 Mati Ditembak!

Ketua Kumpulan Kongsi Gelap Geng 21 Mati Ditembak!

Seorang ketua kumpulan kongsi gelap berusia 37 tahun ditembak mati dihadapan ahli keluarganya ketika sesi upacara sembahyang di sebuah kuil di Gelang Patah dekat sini pada Jumaat.

Geng 21
Gambar hiasan

Ketika kejadian K. Jeganathan sedang berada dalam kuil bersama isteri dan tiga anaknya.

Kira-kira pada pukul 7.30 malam, dua lelaki yang memakai topi keledar masuk ke dalam kuil berkenaan dan melepaskan beberapa das tembakan terhadap mangsa.

Suspek kemudiannya segera meninggalkan tempat kejadian dengan menaiki motosikal.

Semuanya berlaku dalam beberapa minit sahaja.

Jeganathan, dipercayai ketua kumpulan Geng 21, dikejarkan ke sebuah klinik di Gelang Patah dan namun dia disahkan meninggal dunia sebaik tiba di sana.

Mayatnya di bawa ke Hospital Sultanah Aminah untuk dibedah siasat. -mStar

Lima Lagi Suspek Ahli Kongsi Gelap

Sementara itu, lima lelaki dipercayai anggota kumpulan kongsi gelap Geng 04 dan Geng 08 ditahan dalam Ops Cantas Khas di sini petang Jumaat dan awal pagi Sabtu, menjadikan 183 suspek ahli kongsi gelap ditahan di Kedah setakat ini.

Ketua Polis Kedah Datuk Ahmad Ibrahim berkata empat lelaki dari Kubang Pasu berumur antara 20 hingga 30 tahun diberkas di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bukit Kayu Hitam ketika cuba masuk ke Thailand, kira-kira 5.40 petang Jumaat.

"Polis mendapati semua empat lelaki itu mempunyai tatu lambang ahli kumpulan kongsi gelap dipercayai Geng 04 apabila diperiksa. Mereka kini ditahan reman bagi membantu siasatan," kata Ahmad pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Kedah di sini, Sabtu.

Seorang lagi lelaki berumur 21 tahun yang dipercayai anggota Geng 08 berdasarkan simbol pada badannya ditahan kira-kira 12.45 tengah malam tadi di Kulim, katanya.

Katanya menjadi ahli pertubuhan haram boleh didakwa mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak lebih RM5,000 atau kedua-duanya. -BERNAMA

Friday, August 30, 2013

Geng 36, 04 dan 08 Kumpulan Kongsi Gelap Paling Bahaya

Geng 36, 04 dan 08 Kumpulan Kongsi Gelap Paling Bahaya

Tiga pertubuhan kongsi gelap iaitu Geng 36, Geng 04 dan Geng 08 dikesan sebagai kumpulan samseng paling berbahaya daripada 49 kongsi gelap di seluruh negara yang diumumkan kerajaan kelmarin.

Geng
Gambar hiasan.

Kumpulan itu didapati menjalankan pelbagai jenis jenayah berat dan kegiatan yang memudaratkan ketenteraman awam.

Geng 04 dan Geng 08 yang mempunyai jumlah ahli masing-masing 5,240 orang dan 4,423 orang serta dianggotai kaum India pula dikesan aktif melakukan jenayah di sekitar Kedah, Pulau Pinang, Johor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Melaka.

Jumlah keseluruhan ahli kongsi gelap yang direkodkan ialah seramai 40,313 orang yang bergerak secara aktif dalam 49 pertubuhan kongsi gelap di seluruh negara dengan menjalankan kegiatan seperti pengedaran dadah, memeras ugut, menimbulkan pergaduhan antara pertubuhan kongsi gelap dan huru-hara.

Selain itu, mereka juga melakukan pembunuhan menggunakan senjata api atau barang-barang tajam seperti parang, pisau dan kuku kambing.

Daripada pecahan kaum, orang India paling banyak menyertai kongsi gelap iaitu 28,926 orang diikuti kaum Cina (8,214 orang) dan Melayu (1,923 orang).

Terdapat 21 pertubuhan kongsi gelap di Sabah dan Sarawak yang masing-masing mempunyai ahli sebanyak 329 dan 921 orang.

Kongsi Gelap

Kebanyakan kaum Melayu menganggotai Geng Double 7, Tiga Line dan Geng 30 yang dikesan bergiat aktif di seluruh Semenanjung.

Dalam pada itu, semua kumpulan itu dikategorikan haram mengikut Seksyen 5(1) Akta Pertubuhan 1966 berkuat kuasa serta-merta.

Menerusi pengisytiharan itu, mana-mana individu atau pihak lain tidak boleh menggunakan semula nama berkenaan untuk didaftarkan sebagai pertubuhan dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS) dan segala akaun, aset dan harta pertubuhan-pertubuhan kongsi gelap itu akan diserahkan kepada Jabatan Insolvensi sekiranya ditahan.

Pada masa sama, tiada seorang pun yang boleh menggunakan semula tulisan, senarai anggota, panji atau tanda bagi berhubung dengan sesuatu pertubuhan kerana menyalahi undang-undang berdasarkan kepada peruntukan seksyen 52(3) Akta Pertubuhan 1966.

BACA INI JUGA: Senarai 49 Kumpulan Kongsi Gelap

Thursday, August 29, 2013

Senarai 49 Kumpulan Kongsi Gelap

Senarai 49 Kumpulan Kongsi Gelap

Kementerian Dalam Negeri hari ini mengisytiharkan 49 pertubuhan tidak sah di bawah Akta Pertubuhan 1966 dalam tindakan kerajaan memerangi jenayah dan keganasan dalam negara.


Senarai dikeluarkan hari ini atas arahan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan membabitkan pertubuhan terkemuka seperti Geng 04, Geng 08 dan Geng 36.

Senarai penuh pertubuhan kongsi gelap haram yang dianggotai seramai 40,313 ahli dan aktif beroperasi di seluruh negara, adalah seperti berikut:
  1. Geng 04 - Kedah, Pulau Pinang, Johor dan Kuala Lumpur
  2. Geng 08 - Kuala Lumpur/Selangor, Penang, Perak, Johor, Negeri Sembilan dan Melaka
  3. Double 7 - Seluruh Semenanjung Malaysia
  4. Tiga Line - Dikesan aktif di 20 kawasan sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Kedah dan Perak
  5. Geng 30 - Seluruh Semenanjung Malaysia
  6. Geng 38 - Aktif di 14 kawasan antaranya Kepong, Jinjang Setapak dan Johor Bahru
  7. Geng 24 - Aktif di enam kawasan seperti Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Perak dan Johor
  8. Geng 18 - Aktif di lapan kawasan seperti Selangor, Kuala Lumpur, Perak dan Johor
  9. Geng 36 - Jumlah keanggotaan dianggarkan seramai 8,512 orang dan aktif di 32 kawasan sekitar Perak, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor dan Kuala Lumpur
  10. Geng 21 - Aktif di 11 kawasan sekitar Perak, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor dan Kuala Lumpur
  11. Ang Soon Thong - Aktif di empat kawasan sekitar Kuala Lumpur dan Selangor
  12. Wah Kee - Aktif di tujuh kawasan sekitar Kuala Lumpuir, Perak, Johor dan Selangor
  13. Sio Sam Ong - Aktif di empat kawasan sekitar Kuala Lumpur, Perak, Johor, Pulau Pinang dan Selangor
  14. PNEH - Aktif di tiga kawasan sekitar Kuala Lumpur, Johor dan Selangor
  15. Hong Hong San - Dikesan bergiat di dua kawasan sekitar Kuala Lumpur
  16. Hai San - Aktif di Perak
  17. Siang Ang Bin - Aktif di Kuala Lumpur
  18. New Cell 20 - Aktif di Perak
  19. Jit It Hai - Kumpulan kini wujud di tiga kawasan iaitu di Johor, Kuala Lumpur dan Perak
  20. Sio Koon Tong - Bergiat di satu kawsan saja iaitu di Johor
  21. Gee Lam Kor - Kumpulan ini aktif di Kuala Lumpur
  22. Gee Ah Eng - Kumpulan ini ada di Kuala Lumpur
  23. Loh Kuan - Kumpulan ini ada di Kuala Lumpur
  24. Tiang Yee Tong - Kumpulan ini aktif di Kuala Lumpur
  25. Geng Leng Hor - Kumpulan ini aktif di Kuala Lumpur
  26. Geng 35 - Dikesan sangat aktif di 32 kawasan di Utara Semenanjung Malaysia iaitu Kedah dan Pulau Pinang
  27. Geng 303 - Dikesan sangat aktif di kawasan Selangor
  28. Geng Satu Hati - Beroperasi di kawasan Lembah Klang dan bergerak ke Utara dan Selatan tanah air
  29. ATAP - Kumpulan ini aktif di daerah Kota Kinabalu, Sabah
  30. Hung Ann - Kumpulan ini aktif di daerah Tawau, Sabah
  31. Sui Yuk - Kumpulan ini aktif di daerah Penampang, Sabah
  32. Otai - Kumpulan ini aktif di daerah Kota Kinabalu, Sabah
  33. Borneo Red EMP - Kumpulan ini aktif di Petagas dan Taman Jumbo, Sabah
  34. Ah Ngau - Kumpulan ini aktif di Kuching, Sarawak
  35. Batu Tiga - Kumpulan ini aktif di Kuching, Sarawak
  36. Ah Feng - Kumpulan ini aktif di Kuching, Sarawak
  37. Batu 10 - Kumpulan ini aktif di Kuching, Sarawak
  38. Sibu Ti - Kumpulan ini aktif di Kuching, Sarawak
  39. Ah Seng - Kumpulan ini aktif di Sarekei, Sarawak
  40. Ah Chin - Kumpulan ini aktif di Kuching, Sarawak
  41. Lee Lung - Kumpulan ini aktif di Sibu, Sarawak
  42. Lo Han - Kumpulan ini aktif di Kuching, Sarawak
  43. Sg Merah - Kumpulan ini aktif di Sibu, Sarawak
  44. Sg Badut - Kumpulan ini aktif di Sibu, Sarawak
  45. Ting Ching Lee - Kumpulan ini aktif di Bintulu, Sarawak
  46. Tua Cak Lee - Kumpulan ini aktif di Sibu, Sarawak
  47. Teksi Station - Kumpulan ini aktif di Miri, Sarawak
  48. Pintu Merah - Kumpulan ini aktif di Miri, Sarawak
  49. Krokop - Kumpulan ini aktif di Miri, Sarawak

Menurut Kementerian Dalam Negeri, kongsi-kongsi gelap ini tidak boleh menggunakan nama, lambang, menggunakan premis atau bergerak dalam satu pasukan atas nama atau simbol yang disenaraikan itu.

Mereka boleh dikenakan denda maksimum RM15,000 dan penjara lima tahun (SAHAJA?).

-Sentiasapanas.com