Wednesday, April 03, 2013

Nur Misuari Penyokong Tegar Pengganas Sulu

Nur Misuari Penyokong Tegar Pengganas Sulu

Kelantangan bekas pengerusi Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF), Nur Misuari menyuarakan bantahan serta kritikan terhadap Malaysia berhubung isu pencerobohan di Lahad Datu, Sabah baru-baru ini telah menimbulkan kemarahan rakyat di negara ini.


Ramai pihak mempersoalkan campur tangan Misuari dalam konflik di Sabah dan kenyataannya menyokong ketua penggans Jamalul Kiram III, yang mendakwa dirinya sebagai Sultan Sulu menceroboh Sabah.

Kenyataan-kenyataannya itu jelas menggambarkan satu tindakan daripada seorang pemimpin yang gagal, kecewa dan dipinggirkan, bukan sahaja oleh masyarakat antarabangsa tetapi juga oleh kerajaan Filipina dan juga oleh bangsanya sendiri - BangsaMoro.

Kenyataan-kenyataannya juga jelas menunjukkan perasaan cemburunya terhadap kejayaan seterunya dalam Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) yang diketuai Murad Ebrahim mengadakan perjanjian damai dengan kerajaan Filipina, baru-baru ini.

Tindakan pengasas MNLF itu jelas sekadar mahu menarik perhatian masyarakat antarabangsa dan BangsaMoro, serta cuba menebus kegagalannya membawa kemajuan di Mindanao, ketika menjadi gabenor Wilayah Autonomi Islam Mindanao (ARMM) di selatan Filipina selepas mengadakan perjanjian damai dengan kerajaan Filipina pada 1996.

Perjuangan Misuari bersama MNLF mula dipertikaikan apabila beliau secara rasmi menggugurkan tuntutan kemerdekaan Mindanao dalam Perjanjian Tripoli I pada 1976, sekali gus menunjukkan kegagalannya memperjuangkan nasib Bangsamoro di selatan Filipina.

MNLF di bawah pimpinannya mula mengalami perpecahan pertama pada 1976 apabila satu kumpulan dalam MNLF diketuai Hashim Salamat menubuhkan MILF dan perpecahan MNLF kali kedua berlaku pada 1991, apabila Khadaffy Janjalani pula menubuhkan kumpulan Abu Sayyaf.

Namun dengan sokongan Arab Saudi dan Libya, Misuari bijak mengambil kesempatan untuk menaikkan semula reputasinya apabila beliau sebagai pengerusi MNLF menandatangani perjanjian damai dengan kerajaan Filipina ketika itu di bawah pimpinan Fidel Ramos pada 1990-an.

Justifikasi perdamaian itu membolehkan Misuari dilantik sebagai Gabenor ARMM dari 1996 hingga 2002.

Sepanjang tempoh enam tahun bertugas sebagai Gabenor ARMM ketiga, pentadbiran Misuari diselubungi pelbagai kontroversi termasuk isu rasuah, nepotisme dan salah tadbir.

Malah dana yang disalurkan kerajaan Filipina tidak digunakan untuk pembangunan di Mindanao, meski pun banyak projek dalam kertas kerja ARMM telah diluluskan.

Ada laporan menyebut, banyak pelaburan daripada Malaysia juga lesap tanpa dikesan.

Bagi menyembunyikan kegagalannya memerintah ARMM, Misuari kembali melancarkan pemberontakan terhadap kerajaan Filipina di Jolo, Sulu pada November 2001, selepas kerajaan Filipina ketika itu di bawah pimpinan Presiden Gloria Macapagal Arroyo melucutkan jawatannya sebagai Gabenor ARMM.

Misuari menghadapi tamparan hebat kali ini, apabila kerajaan Arab Saudi dan Libya dengan tegas menyatakan pendirian tidak mahu lagi membantu Misuari kerana menyifatkan konflik yang berlaku antara MNLF dan Filipina ketika itu merupakan isu dalaman negara terbabit.

Dendam Misuari terhadap Malaysia dikatakan bermula apabila kerajaan Malaysia menangkapnya dan menyerahkannya kepada kerajaan Filipina untuk dibicarakan atas kesalahan melakukan keganasan selepas beliau melancarkan pemberontakan dan melarikan diri dari negara itu.

Pasukan keselamatan Malaysia menangkap Misuari di perairan Sabah kerana memasuki negara ini secara haram.

Beliau cuba menggunakan nama beberapa anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), yang mengiktiraf MNLF sebagai badan pemerhati OIC, untuk memburukkan nama Malaysia kerana tidak memperjuangkan nasib umat Islam di Mindanao.

Namun taktik meraih simpatinya itu menemui kegagalan selepas duta negara-negara terbabit menafikan dakwaan Misuari.

Sejak itu, Misuari dilihat bersungguh-sungguh menuntut Sabah sebagai hak Kesultanan Sulu dan mencemburui kejayaan MILF dan kerajaan Filipina yang baru-baru ini, menandatangani rangka pelan damai, hasil usaha sama kerajaan Malaysia pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sebaik-baik sahaja perjanjian MILF- Manila ditandatangani, Misuari dengan lantang mengeluarkan kenyataan provokasi yang menyatakan perjanjian tersebut hanya akan mencetuskan lagi perang yang lebih besar.

Sikap itu jelas menunjukkan kekecewaan Misuari apabila beliau tidak dapat mencapai kejayaan seperti yang diperoleh pemimpin MILF untuk mewujudkan wilayah autonomi Islam yang lebih baik daripada pimpinannya sebelum ini.

Tidak hairanlah jika Misuari terus membabitkan dirinya dalam isu pencerobohan di Lahad Datu kerana ingin membalas dendam terhadap Malaysia yang menjayakan rundingan damai antara MILF dan Filipina.

Jika Misuari benar-benar ikhlas untuk mewujudkan wilayah Islam yang berdaulat, kenapa beliau tidak menyokong perjanjian damai antara MILF dan kerajaan Filipina yang ketika ini telah mencapai satu tahap yang lebih baik untuk merealisasikan impian BangsaMoro.

Sebaliknya, Misuari dilihat cuba mencari jalan untuk menggagalkan usaha damai tersebut dan menjadikan isu tuntutan Sabah sebagai batu loncatan untuk menaikkan semula reputasinya sebagai pemimpin MNLF yang disegani.

-Utusan

Tuesday, April 02, 2013

Tali Barut Polis Didakwa Bersama Tujuh Pengganas

Tali Barut Polis Didakwa Bersama Tujuh Pengganas

Tujuh warga selatan Filipina pada Isnin didakwa di Mahkamah Majistret yang bersidang khas di Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu di sini atas pertuduhan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong dan menjadi ahli kumpulan pengganas.


Tiada pengakuan direkodkan daripada tujuh lelaki berumur lingkungan 20-an hingga 63 tahun itu ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Lahad Datu, Rajalingam a/l S.S.Maniam yang bersidang sebagai Majistret.

Pertuduhan asal dalam bahasa Melayu diterjemah ke dalam dua bahasa iaitu Bajau dan Suluk.

Lima tertuduh didakwa terhadap dua pertuduhan iaitu melancarkan perang ke atas Yang di-Pertuan Agong mengikut Seksyen 121 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati dan menjadi ahli kumpulan pengganas di bawah Seksyen 130KA kanun sama yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan boleh didenda jika sabit kesalahan.

Seorang lagi tertuduh menghadapi empat pertuduhan mengikut Seksyen 121, 130KA dan Seksyen 130E iaitu merekrut orang sebagai ahli kumpulan pengganas atau untuk menyertai perbuatan pengganas yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh didenda dan Seksyen 130K iaitu melindungi orang yang melakukan perbuatan pengganas yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan boleh didenda atau penjara maksimum 20 tahun dan boleh denda jika sabit kesalahan. Seorang lagi tertuduh pula menghadapi satu pertuduhan mengikut Seksyen 130KA.

Pendakwaan diketuai Ketua Unit Pendakwaan Sabah Jamil Aripin dan Timbalan Pendakwa Raya Lahad Datu Shukor Abu Bakar.

Mahkamah juga membenarkan permohonan pihak pendakwaan mengikut Seksyen 177A (2) Kanun Acara Jenayah bagi memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi Tawau.

Bagaimanapun tiada tarikh ditetapkan untuk sebutan kes itu di Mahkamah Tinggi.

Sementara itu seorang anggota polis berpangkat Koperal juga didakwa di tempat sama Jumaat lepas mengikut Seksyen 130M iaitu dengan sengaja meninggalkan daripada memberi maklumat mengenai tindakan pengganas, yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

(Baca: Gambar Anggota Polis Yang Menjadi Musuh Dalam Selimut)

Ini menjadikan sehingga hari ini 16 orang didakwa di mahkamah.

Pada 20 Mac lepas, lapan warga Filipina didakwa di tempat sama mengikut Seksyen 121 dan Seksyen 130KA dan sehari selepas itu kes berkenaan disebut di Mahkamah Tinggi Tawau.

Kes itu akan disebut semula di Mahkamah Tinggi 12 April ini bagi mengetahui perkembangan perbincangan Peguam Negara dengan Persatuan Undang-Undang Sabah, Majlis Peguam dan kerajaan Filipina berhubung khidmat guaman yang akan diberikan kepada tertuduh.

-BERNAMA

Lokasi Pengganas di Lahad Datu Disahkan Bersih

Lokasi Pengganas di Lahad Datu Disahkan Bersih

Sembilan kampung yang menjadi lokasi pertempuran dan persembunyian militan dari selatan Filipina sepanjang Operasi Daulat telah digeledah dan disahkan bersih daripada ancaman pengganas.


Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata proses pemindahan penduduk yang mendiami pusat penempatan sementara ke kampung berkenaan giat dijalankan, kecuali Kampung Tanduo yang ditutup.

"Penduduk dari Kampung Sungai Nyamuk, Tanjung Batu, Tanjung Labian dan Tanagian yang ditempatkan di pusat penempatan sementara telah mula dipindahkan ke kampung masing-masing.

"Malah kawasan Sungai Bilis, Lok Sembuang dan Lok Buani juga telah selesai digeledah dan dibersihkan, dengan itu, boleh dikatakan seluruh kawasan Operasi Daulat telah bersih dan orang kampung juga telah dibenar untuk kembali ke rumah masing-masing," katanya pada sidang akhbar di Markas Operasi di Felda Sahabat 16 pada Isnin.

Beliau berkata tiga daripada empat dewan serba guna di Felda Sahabat yang dijadikan pusat penempatan sementara iaitu Fajar Harapan, Cenderawasih dan Gemala Pura juga telah ditutup kecuali Embara Budi disebabkan ada rumah penduduk yang mendiami pusat itu rosak sepenuhnya. Beliau berkata walaupun pusat pemindahan sementara di kawasan Felda akan ditutup sepenuhnya, Operasi Daulat tetap diteruskan kerana fokus utama operasi ialah memastikan seluruh kawasan Lahad Datu, Semporna dan Sandakan benar-benar selamat.

Dalam perkembangan berkaitan, Hamza berkata lapan lagi individu yang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 didakwa di Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu yang dijadikan mahkamah sementara.

"Sehingga kini, 16 orang yang ditahan di bawah Sosma telah dituduh di mahkamah," katanya.

Mengulas laporan media Filipina bahawa 100 orang memasuki perairan Sabah untuk membantu saki-baki pengganas, Hamza berkata: "Mereka boleh mengatakan apa sahaja tetapi saya telah nyatakan bahawa keselamatan di negeri Sabah adalah terjamin".

Dalam pada itu, Hamza berkata pasukan keselamatan mempunyai kepakaran tersendiri dalam menangani taktik pengganas yang mungkin cuba menyamar sebagai orang tempatan dengan berpakaian seperti penduduk kampung.

-BERNAMA

Monday, April 01, 2013

Datuk Seri Mengaku Biayai Pengganas Sulu

Datuk Seri Mengaku Biayai Pengganas Sulu

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib mengesahkan Presiden Pertubuhan Kebajikan Al Ehsan Islamiah Malaysia, Datuk Seri Muhamad Ridzwan Sulaiman ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (SOSMA) 2012.


Ridzwan menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang bagi membantu siasatan berhubung pencerobohan bersenjata di Sabah.

Beliau, yang memakai baju Melayu merah dan berserban, hadir bersama lebih 10 orang kenalannya di balai polis itu pada pukul 11.05 pagi tadi.

Bercakap kepada pemberita sebelum menyerah diri kepada pihak polis, Muhammad Ridzwan mengaku memberi bantuan kewangan kepada Sultan Sulu, Jolo, selatan Filipina iaitu Sultan Muedzul Lail Tan Kiram yang pernah ditemuinya pada 15 dan 16 September tahun lalu.

Beliau bagaimanapun menafikan bahawa Jamalul Kiram, yang dipercayai menjadi dalang pencerobohan di Sabah, adalah Sultan Sulu.

“Saya tidak kenal pun Jamalul Kiram,” katanya.

Muhammad Ridzwan menyerah diri berikutan kenyataan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib semalam yang memintanya menyerah diri dengan segera di mana-mana balai polis berhampiran.

Hamza berkata Muhammad Ridzwan, yang tidak terlibat dengan pengganas bersenjata dari selatan Filipina, boleh membantu pihak polis dalam siasatan mengenai kes pencerobohan di Lahad Datu pada 12 Februari lepas.

-BERNAMA

Sunday, March 31, 2013

Pengganas Suluk Musnahkan Harta Benda Penduduk

Pengganas Suluk Musnahkan Harta Benda Penduduk

Kehidupan kira-kira 1,400 penduduk di Kampung Tanjung Labian di sini ibarat sudah jatuh ditimpa tangga apabila mereka terpaksa menghadapi masa depan suram dan beban hutang gara-gara pencerobohan pengganas Sulu sejak 12 Februari lalu.


Selepas sebulan meninggalkan rumah dan menghuni pusat pemindahan ekoran insiden pencerobohan pengganas Sulu, sebahagian penduduk dibawa memasuki kawasan kampung itu sebelum dikejutkan dengan penemuan banyak harta masing- masing yang musnah terbakar atau dirosakkan.

Tidak cukup dengan rumah, kedai runcit dan bengkel kenderaan, peralatan untuk mencari sesuap nasi seperti bot nelayan turut dimusnahkan.

Sedih dengan apa yang dilihat, beberapa orang penduduk meraung, menangis, menjerit, terduduk dan bertakbir.

Siti Aminah Hiya, 21, berkata, kehidupannya kini sudah tidak bermakna apabila rumah yang dihuni beberapa tahun lalu musnah.

Lebih memburukkan keadaan apabila bot dan enjin yang diguna oleh suami ke laut menangkap ikan turut terbakar.

"Bot dan enjin ini saya dapat hasil pinjaman Amanah Ikhtiar Malaysia sebanyak RM1,500 beberapa bulan lalu dan baru sekali saya bayar balik pinjaman.

"Sekarang bot sudah hancur, bagaimana saya dan suami hendak mencari rezeki bayar balik pinjaman? Rumah juga dibakar dan apa yang ada sekarang hanyalah baju yang kami pakai ini," katanya.

-Kosmo

Hantu Puaka Pengganas Suluk Berkeliaran Di Kg Tanduo

Hantu Puaka Pengganas Suluk Berkeliaran Di Kg Tanduo

Ketahanan mental anggota keselamatan yang bertugas di Kampung Tanduo di sini terus diuji apabila mereka dipercayai sering terlihat kelibat tiga lelaki sedang berkeliaran di kawasan tersebut.

Gambar hiasan

Sumber memaklumkan, kelibat tiga lelaki itu dipercayai roh pengganas Sulu yang ditembak mati dalam pertempuran 1 Mac lalu.

Katanya, kelibat lelaki itu hanya dapat dilihat pada waktu Maghrib.

"Perkara ini tidak logik tetapi inilah yang didakwa dialami anggota keselamatan.

"Mereka lihat tiga lelaki berkeliaran dengan seorang daripadanya memakai serban putih," dakwa sumber itu di sini semalam.

Selepas beberapa saat, kelibat tiga lelaki itu akan hilang.

"Di kampung tersebut ada tiga lubang kubur yang menempatkan ramai mayat pengganas.

"Kebanyakannya mempunyai tangkal di pinggang yang kononnya bertujuan menjadikan mereka kebal," tambahnya.

-Hmetro

Saturday, March 30, 2013

Pengganas Suluk Tidak Tahu Mengucap Dua Kalimah Syahadah!

Pengganas Suluk Tidak Tahu Mengucap Dua Kalimah Syahadah!

Rata-rata pengganas Sulu yang ditahan oleh pasukan keselamatan sepanjang 25 hari Ops Daulat didapati tidak tahu mengucap dua kalimah syahadah walaupun mereka mengakui beragama Islam.


Menurut sumber, perkara tersebut terbongkar apabila anggota keselamatan melakukan soal siasat terhadap pengganas-pengganas terbabit yang ditahan di daerah ini dan Lahad Datu sepanjang operasi itu.

“Soal siasat yang dijalankan mendapati rata-rata pengganas tersebut mengaku diri mereka beragama Islam.

“Bagaimanapun, apa yang mengejutkan, ada dalam kalangan mereka yang tidak tahu mengucap dua kalimah syahadah.

“Tindakan itu membayangkan seolah-olah mereka yang terlibat ini tidak mempunyai asas dalam ilmu agama Islam,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Selain itu, anggota kumpulan pengganas tersebut yang ditahan dan terbunuh juga didapati memakai tangkal pada anggota badan mereka yang dipercayai boleh menjadikan mereka kebal ketika berdepan dengan pihak keselamatan.

Sebahagian besar pengganas Sulu yang maut dan diberkas pihak berkuasa didapati memakai pelbagai tangkal yang tertulis ayat khurafat di leher, lengan, tangan dan pinggang masing-masing yang dikatakan boleh menjadikan mereka kebal.

Mengulas lanjut, sumber itu memberitahu, berdasarkan soal siasat, anggota pengganas yang ditahan itu mendakwa mereka sanggup berperang dengan pasukan keselamatan Malaysia kerana ia dianggap jihad kepada ketua kumpulan pengganas Sulu, Jamalul Kiram III.

Sumber itu menjelaskan, seorang tahanan pengganas yang berusia 25 tahun bertindak membunuh diri di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau pada 15 Mac lalu didakwa bertindak demikian atas alasan sama iaitu jihad.

“Kita telah menahan bapa si mati di balai yang sama dan dia tidak sedih dengan tindakan anaknya itu malah berbangga dan kematian anaknya itu selain membuatkan dia lebih kuat,” katanya.

Difahamkan, bapa si mati merupakan seorang berpangkat panglima dalam kumpulan pengganas tersebut dan ditugaskan melakukan keganasan di daerah ini bersama anaknya.

Punca kematian suspek yang ditahan di bawah Seksyen 130(c) Kanun Keseksaan yang dibacakan bersama dengan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) tidak didedahkan.

Untuk rekod, setakat semalam, seramai 68 anggota pengganas Sulu terbunuh dalam Ops Daulat yang dilancarkan awal bulan ini manakala jumlah yang ditahan di bawah SOSMA ialah seramai 103 orang.

-Kosmo

Friday, March 29, 2013

Hanya Tinggal 10 Pengganas Di Lahad Datu!

Hanya Tinggal 10 Pengganas Di Lahad Datu!

Pasukan keselamatan percaya saki baki pengganas kurang daripada 10 orang.


Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib mengesahkan perkara itu pada sidang media hari ini.

Pasukan keselamatan juga mengesahkan Kampung Tanjung Labian sudah selamat daripada ancaman pengganas selepas operasi pembersihan dan penggeledahan selesai dilakukan.

Sehubungan itu pihaknya akan membawa masuk beberapa penduduk esok hari bersama pasukan penilaian.

-Mynewshub

Kampung Tanduo Akan Ditutup Selama-lamanya!

Kampung Tanduo Akan Ditutup Selama-lamanya!

Kampung Tanduo yang menjadi lokasi pendaratan kumpulan pengganas Sulu dan diduduki penduduk tempatan sejak 50 tahun lalu akan ditutup dan tidak lagi menjadi kawasan penempatan penduduk.


Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata, semua penduduk kampung itu yang kini menghuni pusat pemindahan sementara akan dipindahkan ke lokasi baharu yang diputuskan kemudian.

Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas penilaian Majlis Keselamatan Negara (MKN) mendapati rumah di kampung itu mengalami kerosakan teruk.

Katanya, 12 rumah di kampung itu boleh dikatakan musnah sama sekali akibat pencerobohan pengganas di kampung itu.

“Sebelum ini kita wujudkan pasukan penilaian untuk melihat sejauh mana kerosakan dan kerugian dialami penduduk Kampung Tanduo selain aspek keselamatan.

-Hmetro

Thursday, March 28, 2013

Pengganas Cuba Tetak Anggota Polis Mati Ditembak

Pengganas Cuba Tetak Anggota Polis Mati Ditembak

Pasukan keselamatan menembak mati seorang pengganas dalam pertempuran di Kampung Simunul, Semporna pagi tadi.


Turut ditahan dua wanita masing-masing isteri dan anak kepada pengganas terbabit pagi tadi.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib mengesahkan kejadian itu pada sidang media sebentar tadi dan memaklumkan empat lelaki turut ditahan dipercayai tiada dokumen pengenalan diri.

Kenyataan penuh beliau di bawah ini;

Pada jam lebih kurang 9.00 pagi, semasa membuat pemeriksaan di salah sebuah rumah di Kampung Simunul, pasukan keselamatan telah diserang oleh seorang pengganas dengan bersenjatakan sebilah parang. Pasukan keselamatan tersebut sempat mengelak dan serangan hanya terkena baju kalis peluru dan pengganas tersebut telah ditembak mati.

Dalam kejadian ini, pihak polis telah berjaya menangkap enam orang pengganas dengan pecahan empat lelaki dan dua perempuan serta turut telah merampas sebilah parang.

Daripada enam orang pengganas yang ditangkap, dua orang perempuan disiasat di bawah SOSMA dan empat orang lelaki lagi di bawah Akta Imigresen.

Statistik terkini jumlah tangkapan yang di siasat di bawah Security Offences (Special Measures) Act 2012, (SOSMA) adalah seramai 121 tangkapan. tangkapan kes-kes lain seramai 322 orang.

Jumlah mayat pengganas yang berjaya dibawa keluar adalah seramai 41 orang dan 02 mayat kanak-kanak serta jumlah pengganas yang ditembak mati adalah seramai 65 orang dan 02 orang mayat kanak-kanak.

Orang ramai dinasihati jangan mendengar khabar angin yang tidak benar dan sekiranya terdapat apa-apa maklumat sila lapor kepada pihak polis atau balai polis yang berdekatan.

-Mynewshub

Wednesday, March 27, 2013

Robohkan Saja 'Filipina Mini' Di Kampung Simunul, Semporna!

Robohkan Saja 'Filipina Mini' Di Kampung Simunul, Semporna!

Pengikut Jamalul Kiram III dipercayai bersembunyi di Kampung Simunul, Semporna, sebelum menyerang pegawai dan anggota polis hingga menyebabkan enam daripadanya terkorban pada 2 Mac lalu, kerana yakin lokasi itu paling selamat daripada pemantauan pihak berkuasa.

Perkampungan Simunul, Semporna, berlaku pertempuran 
sepasukan menyebabkan lima anggota polis maut.

Ini berikutan reputasi perkampungan atas air itu sebagai sarang jenayah hingga digelar ‘kampung samseng’ oleh penduduk tempatan.

Imej negatif itu menyebabkan kumpulan pengganas memilih kampung terbabit sebagai lokasi persembunyian dan serangan, biarpun kedudukannya jauh dari perairan Filipina berbanding satu lagi lokasi serangan iaitu Kampung Tanduo di Lahad Datu yang dekat dengan perairan negara jiran itu.

Daripada maklumat penduduk tempatan, Kampung Simunul dikenali penduduk daerah itu sebagai sarang jenayah membabitkan aktiviti penyeludupan rokok dan dadah, termasuk transit kemasukan pendatang haram.

Malah, kebanyakan penduduk sekitar tidak berani memasuki kampung itu kerana dibanjiri pendatang tanpa izin dari negara jiran hingga digelar Filipina mini.

-Hmetro

Kisah Pengalaman Ngeri Ditetak Pengganas Suluk

Kisah Pengalaman Ngeri Ditetak Pengganas Suluk

Inspektor Mohamad Hasnal Jamil menanggung kesakitan hampir 21 jam akibat ditembak dan tangan kanannya hampir putus ditetak berkali-kali oleh pengganas Sulu di Semporna awal Mac lalu, dan pada Selasa, beliau berkongsi cerita tanpa sedikit pun semangat juangnya luntur demi negara.


“Cuma sedikit terkilan dengan pandangan sesetengah pihak yang mengatakan peristiwa itu hanya sandiwara. Kami tidak minta dihargai cukuplah percaya apa yang kami lalui bukan perkara main-main.

“Kami berjuang demi bangsa dan negara. Kalau sesiapa yang mengatakan ia sandiwara, jika berani pergilah ke sana dan lihatlah sendiri,” katanya pada majlis penghargaan dan sumbangan perwira ‘Operasi Daulat’ oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan di sini.

Menurut Mohamad Hasnal, 31, beliau ditembak tiga kali mengenai perut dan lengan kirinya, ditetak tiga kali di kepala dan tiga kali di tangan kanan semasa bertempur dengan musuh di Kampung Seri Jaya, Semunul, Semporna Sabah, kira-kira pukul 7.30 malam, 2 Mac lepas.

“Selepas terkena tembakan itu, saya diserang pula oleh pengganas yang cuba menetak dengan parang, mujurlah saya dapat melawan kalau tidak mungkin menyebabkan leher saya putus.

“Dalam keadaan berlumuran darah saya terpaksa berlari menyelamatkan diri di sebuah rumah kecil di kawasan berhampiran tempat pertempuran,” katanya yang ketika itu merasakan detik kematian begitu hampir.

Beliau bersembunyi di rumah itu bersama sekujur tubuh rakannya yang terkorban bersama sembilan anggota yang lain. Hanya doa yang dapat diungkapkan di saat itu memohon perlindungan Allah.

“Rakan-rakan lain juga banyak memberi sokongan dan kata-kata perangsang untuk saya tabah dan kuatkan semangat, sementara menanti bantuan tiba, mereka membantu saya untuk minum, yang ada hanya air hujan,” katanya.

Malam dirasakan terlalu panjang baginya, ditambah pula tidak dapat melelapkan mata kerana badannya dihurungi lalat dan semut, sebab terlalu banyak darah yang keluar.

Dalam keadaan parah, beliau masih menyembunyikan perkara sebenar apabila dapat menghubungi isterinya pada keesokan pagi.

“Saya perlu tutup telefon sebab bimbang dapat dikesan pengganas, jadi saya cuma beritahu akan menghubungi isteri petangnya.

“Rakan-rakan hanya dapat menjenguk sekejap-sekejap kerana mereka perlu sentiasa berjaga mengawasi pergerakan musuh,” katanya.

Bantuan tiba kira-kira pukul 5.30 petang (3 Mac), dan wira negara itu diterbangkan ke Hospital Tawau untuk rawatan dan pembedahan.

Dua hari kemudian beliau sekali lagi menjalani pembedahan di Hospital Selayang, Kuala Lumpur pula.

Anak kelahiran, Felda Teloi Timur, Sik Kedah itu berkata apa yang dialami tidak melemahkan semangatnya untuk terus menabur bakti, kerana baginya insiden ini antara cabaran dalam tugasan, dan tanggungjawabnya mempertahan kedaulatan negara.

Mohamad Hasnal hadir bersama balu dan waris yang terkorban dalam insiden pencerobohan pengganas di Lahad Datu dan Semporna pada majlis itu.

Dua anggota polis terkorban di Lahad Datu pada 1 Mac dan enam di Semporna Sabah pada 2 Mac.

Beberapa orang lagi cedera dan seorang anggota tentera turut gugur dalam satu lagi pertempuran di Lahad Datu.

Seorang anggota tentera terbunuh dalam kemalangan mengikuti konvoi Operasi Daulat itu.

Suasana pilu turut dirasakan pada majlis itu, apabila syair bertajuk “Ayahku Seorang Perwira” hasil nukilan Setiausaha Akhbar Menteri KPDNKK Datuk Ruhaidini Abd Kadir, dilagukan oleh Tengku Khalidah Tengku Bidin.

-BERNAMA

Tuesday, March 26, 2013

Pengganas Suluk Serah Diri Selepas 15 Hari Tak Makan

Pengganas Suluk Serah Diri Selepas 15 Hari Tak Makan

Berhubung statistik terkini Operasi Daulat, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, berkata seramai 429 individu telah ditangkap dan daripada jumlah itu 116 ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) dengan 42 daripadanya telah dibebaskan.


Beliau berkata 42 mayat musuh telah dibawa keluar dari kawasan pertempuran termasuk dua mayat kanak-kanak yang terbunuh dalam pertempuran di Kampung Tanjung Batu dua hari lepas, manakala 29 mayat telah dikebumikan.

Berhubung seorang pengganas Sulu yang menyerah diri di kawasan Kampung Tanjung Batu petang semalam, Khalid berkata keadaan fizikal militan itu yang lesu setelah 15 hari tidak menjamah makanan adalah gambaran kepada keadaan yang dialami saki-baki pengganas yang bersembunyi di kampung terbabit.

“Jadi kita harap pengganas lain yang berada di dalam semak dan paya berhampiran supaya turut berbuat demikian kerana sudah ketiadaan bekalan makanan selain kehilangan arah berikutan pemerintah tentera mereka telah ditangkap,” katanya.

Dalam pada itu, Khalid berkata 20 ketua keluarga dari Kampung Tanduo telah dibawa masuk ke perkampungan terbabit pagi ini bersama pegawai dari Pejabat Daerah Lahad Datu bagi membolehkan mereka melawat rumah dan harta benda masing-masing.

Ini adalah sebahagian daripada proses penilaian yang sedang dijalankan Majlis Keselamatan Negara serta Majlis Daerah Lahad Datu, dan dibantu Majlis Keselamatan Negeri bagi menilai kerosakan dan jumlah ganti rugi yang perlu diberikan.

-Mynewshub

Nur Misuari Dan Anwar Bertemu Dua Kali Sebelum Pencerobohan!

Nur Misuari Dan Anwar Bertemu Dua Kali Sebelum Pencerobohan!

Pengendali portal propembangkang, Raja Petra Kamaruddin mendakwa memang berlaku pertemuan antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Nur Misuari bagi membincangkan isu politik di Sabah.


Dakwanya, pertemuan pertama Ketua Pembangkang dengan bekas Pengerusi Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) itu berlangsung pada 16 Julai 2012 di Hotel Crowne Plaza, Jakarta dan diatur oleh sahabat baik Anwar sendiri.

Pertemuan seterusnya pula dakwa Raja Petra, berlaku pada 4 Ogos 2012 di Manila bertujuan memuktamadkan segala perbincangan yang dibuat di Jakarta dan penerbangan ke sana menggunakan pesawat Malaysia Airlines.

“Dalam pertemuan itu, Anwar dikatakan meminta pertolongan Nur Misuari bagi memastikan kemenangan pakatan pembangkang pada pilihan raya umum akan datang dengan tumpuan khusus perbincangan adalah berkait isu Sabah.

-Utusan

Azzimuddie Masih Di Sabah - Jacel Kiram

Azzimuddie Masih Di Sabah - Jacel Kiram

Ketua gerombolan pengganas Sulu di Sabah, Azzimuddie Kiram didakwa masih berada di Sabah, walaupun pihak media Malaysia melaporkan dia telah melarikan diri dan kembali ke negara ini, dakwa anak pemimpin pengganas Sulu, Jacel Kiram semalam.


“Kami bercakap dengannya (Azzimuddie) melalui telefon pagi tadi (semalam),” kata Jacel kepada akhbar dalam talian Rappler.com

Katanya, perbualan rutin selama 30 saat setiap hari itu membuktikan Azzimuddie masih berada di Sabah.

Pihak berkuasa Malaysia sebelum ini menyatakan bahawa Azzimuddie, 72, telah meninggalkan orang-orangnya di Lahad Datu dan kini sedang bersembunyi untuk mengelak daripada ditangkap pihak berkuasa negara tersebut.

Jacel menegaskan, bapa saudaranya itu dan beberapa pengikutnya sedang menyembunyikan diri di Sabah.

Dia juga menafikan Datu Amirbahar Hushin Kiram, 40 yang ditahan pihak berkuasa Malaysia berpangkat jeneral dalam tentera Kesultanan Sulu.

Katanya, Amirbahar telah menjadi penduduk tetap Sabah sejak empat tahun lalu.

“Dengan penahanan Amirbahar, pihak berkuasa Malaysia memberitahu masyarakat antarabangsa yang mereka berjaya mengawal keadaan dan ia tidak benar,” kata Jacel.

“Kami perlu berhati-hati. Dia bukan seorang jeneral,” tambahnya.

Sebelum ini Jacel pernah menipu dengan menunjukkan sekeping gambar palsu yang didakwanya sebagai anggota keselamatan Malaysia yang mati selepas bertempur dengan pengikut bapanya.

Gambar itu merupakan askar-askar Thailand yang terkorban pada tahun 2007 yang disiarkan di internet.

Azzimuddie dan sejumlah pengikutnya memasuki Lahad Datu, Sabah pada 12 Februari lalu untuk menuntut tanah yang didakwa hak milik nenek moyang mereka.

-Agensi

Monday, March 25, 2013

Kisah Komando VAT 69 Di Hujani Peluru Dari Jarak 10 Meter

Kisah Komando VAT 69 Di Hujani Peluru Dari Jarak 10 Meter

‘Ibarat hujan peluru’ itulah ungkapan angota-anggota Komando VAT69 bagi menggambarkan pertempuran dengan pengganas dari selatan Filipina di Lahad Datu 1 Mac lepas.


Insp Azwanazlee Saffiai, 33, berkata terdapat dua pasukan yang bertempur dengan kumpulan militan itu iaitu Pasukan Gerakan Khas (PGK) VAT 69 Bravo dan Charlie.

Bertindak sebagai komander kumpulan bagi sektor Bravo terdiri daripada 34 anggota dan pegawai, beliau berkata pertempuran berlaku selepas pengganas cuba mengepung pasukan keselamatan Charlie.

“Sewaktu cuba mengepung pasukan keselamatan Charlie yang juga dianggotai 34 anggota dan pegawai, pengganas memasuki kawasan sektor Bravo dan mereka kemudian mengeluarkan arahan supaya sektor kami (Bravo) beredar meninggalkan kawasan.

“Kami (Bravo) enggan berganjak sebaliknya cuba mendapatkan arahan daripada Komander untuk melepaskan tembakan.

”Pihak pengganas yang sebelum itu memberi amaran ‘berambus Tiger, balik’ (kepada kami) telah melepaskan tembakan kerana kami tidak mahu berundur,” katanya.

“Mereka (pengganas) cuba rapat dengan kami dan mengacukan senjata serta melepaskan tembakan bertubi-tubi dalam jarak kira-kira 10 meter,” katanya.

Pertempuran yang berterusan selama sejam itu mengorbankan dua anggota polis iaitu ASP Zulkifli Mamat, 29, dan Sjn Sabaruddin Daud, 46.

Pasukan keselamatan menembak mati 15 musuh.

Azwanazlee berkata dalam pertempuran di kawasan kelapa sawit yang berpaya itu, beliau mendapati beberapa anggota pengganas sukar ditumpaskan walaupun ditembak bertubi-tubi.

“Kami rasa mereka seolah-olah memakai ilmu kebal kerana walaupun telah ditembak berkali-kali tetapi tidak jatuh. Arahan untuk menembak di bahagian kepala diterima dan ia akhirnya berjaya menumpaskan pengganas itu,” katanya.

Berkongsi pengalaman sama, Kpl Muhammad Imran Abd Talib, 28, yang diatur gerak dalam satu lagi pasukan iaitu sektor Alpha di Kampung Tanduo, berkata beliau dapat menumpaskan pengganas dalam jarak yang paling dekat iaitu kira-kira dua meter.

“Saya masuk kampung Tanduo pada 28 Feb dan pada pagi 1 Mac saya dan rakan lain diletakkan dalam keadaan siap siaga. Ketika itu kami sedang menyediakan makanan sebelum mendengar bunyi tembakan di kawasan sektor Bravo,” kata anak bekas komando itu.

Beliau berkata pokok kelapa sawit menjadi tempat perlindungan daripada serangan pengganas.

“Bertempur dalam hutan tidak sama dengan bertempur di kawasan ladang kelapa sawit dengan binaan rumah yang tidak banyak.

”Pemandangan menjadi lebih luas dania mudah untuk dilihat musuh, itu antara cabaran yang harus ditempuhi ketikaitu.

“Selepas bertempur saya lihat tempat perlindungan saya dipenuhi kesan tembakan. Saya bersyukur kerana peluru yang datang seperti hujan itu tidak mengenai saya,” katanya.

Muhammad Imran yang terpaksa menangguhkan pertunangannya, berkata beliau bangga kerana dapat menyumbang kudrat demi mempertahankan negara

Sementara itu, dalam keadaan musuh menyerang bertalu-talu dan anggota pasukan komando VAT69 ini membalas tembakan mempertahan diri dan negara, dalam insiden 1 Mac lepas, Kpl Mohamad Asrul Osman tidak sedar rakan di sebelahnya gugur dalam pertempuran selama sejam itu.

Beliau berkata laungan ‘Allahhuakbar’ menjadi perisai ketika diserang musuh yang jaraknya agak dekat dalam insiden pencerobohan pengganas militan di Lahad Datu, Sabah.

“Ketika pertempuran saya meniarap bersebelahan arwah (Sjn Sabaruddin Daud, 46). Kami diserang bertalu-talu dan angin daripada tembakan itu memang jelas dirasai betul-betul di sebelah telinga saya.

“Saya tidak sangka tembakan itu mengenai Sabaruddin dan hanya mengetahuinya apabila saya menepuk belakang beliau untuk berundur, tetapi beliau sudah kaku ketika itu,” katanya .

Mohamad Asrul, 33, berkata beliau cedera pada cuping telinga dan kolar pakaian seragamnya koyak rabak dalam pertempuran yang turut mengorbankan ASP Zulkifli Mamat.

“Meskipun hati sebak melihat rakan gugur, ia tidak menjadi kekangan pada saya untuk meneruskan perjuangan demi membela tanah air,” katanya.

Semangat juang yang ditunjukkan pasukan keselamatan negara itu berjaya membunuh 15 musuh.

Beliau berkata kira-kira pukul 5 petang hingga keesokannya harinya (2 Mac) semua pegawai dan anggota diletak dalam keadaan siap siaga bagi menumpaskan pengganas.

“Sehingga kini saya masih terbayang kejadian menimpa Allahyarham,” katanya.

Beliau berkata pengalaman bertempur dengan pengganas yang merupakan pengalaman pertama baginya, itu mendidiknya menjadi lebih berani dan sanggup mempertaruh nyawa sendiri demi menjaga kedaulatan negara.

“Saya masuk Komando pada 2003, insiden pencerobohan di Lahad Datu memberi peluang kepada saya merasai sendiri apa apa yang telah orang lama ceritakan mengenai pertempuran dengan komunis dan bagaimana perasaan bertempur dalam situasi sebenar,” katanya.

Mengambil pendekatan untuk tidak merisaukan orang tersayang, Mohamad Asrul berkata beliau memberitahu ibunya bahawa beliau sedang mengikuti kursus.

“Isteri saya pula hanya dimaklumkan bahawa saya terlibat dalam pertempuran ini tetapi tidak pernah memberitahunya apa yang saya lalui termasuk kecederaan yang saya alami,” katanya.

-BERNAMA