Monday, November 25, 2013

Israel Berang Iran Bersetuju Henti Program Nuklear

Israel Berang Iran Bersetuju Henti Program Nuklear

Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu semalam mengutuk perjanjian di antara kuasa besar dunia dengan Iran sebagai “kesilapan bersejarah” yang menyebabkan Teheran bakal menguasai senjata atom.

Iran Nuclear

Dengan wajah berang Netanyahu menentang sekeras-kerasnya perjanjian berkenaan dan memberitahu Kabinet, mereka tidak terikat kepada perjanjian itu.

Dia juga mengulangi kemungkinan untuk bertindak secara ketenteraan terhadap Iran walaupun anggota Kabinet menyedari pilihan yang adalah terhad.

“Apa yang dicapai di Geneva bukanlah perjanjian bersejarah tetapi kesilapan bersejarah.

“Dunia menjadi semakin berbahaya kerana rejim berbahaya di dunia mengambil langkah besar untuk memiliki senjata paling berbahaya di dunia,” katanya.

Arab Saudi mahu Iran dihukum

Iran Nuclear

Penduduk Timur Tengah “tidak akan dapat tidur malam” selepas kuasa besar dunia menandatangani perjanjian dengan Iran, kata penasihat luar Arab Saudi semalam.

Pengerusi Majlis Syura Abdullah al-Askar berkata dia tidak pasti bagaimana reaksi Riyadh terhadap perjanjian berkenaan tetapi mengakui secara peribadi khuatir terhadap kesannya.

“Saya bimbang Iran akan menyerahkan sesuatu (melalui program nuklearnya) untuk mendapatkan keuntungan politik daripada kuasa besar dunia.

“Saya juga bimbang dengan ruang lebih luas diberi kepada Iran di Timur Tengah,” katanya.

Iran bersetuju menandatangani perjanjian mengehadkan program nuklearnya sebagai pertukaran untuk mengurangkan sekatan yang dikenakan terhadap negara itu.

Perjanjian itu disepakati sehari sebelum Hassan Rouhani menyambut hari ke-100 pentadbirannya sebagai Presiden Iran.

Di sebalik tindakan keras Barat - terutama AS, Arab Saudi menjadi antara negara paling menonjol mahu menghukum Iran dengan lebih keras.

Beberapa jam sebelum itu raja dari Arab Saudi, Qatar dan Kuwait bertemu untuk membincangkan isu “kepentingan bersama.”

Abdullah berkata, dari semasa ke semasa Teheran membuktikan mereka mempunyai agenda jahat di Timur Tengah.

Dalam keadaan begitu, kata Abdullah, tiada sesiapa di rantau berkenaan “tidak dapat tidur malam” dan menjangkakan keadaan akan berjalan dengan baik.

“Orang ramai tahu dasar dan cita-cita Iran dan negara itu akan campur tangan dalam politik banyak negara serantau,” katanya.

Iran kawal program nuklear

Iran Nuclear

Iran bersetuju untuk mengawal program nuklear negara itu sebagai balasan kepada pengurangan sekatan dikenakan Barat, dalam persetujuan yang dicapai dengan enam negara kuasa dunia kelmarin.

Mengikut persetujuan Iran dengan Amerika Syarikat (AS), Britain, Rusia, China, Perancis dan Jerman, Teheran akan mengehadkan aktiviti pengayaan uranium kepada tahap rendah.

Iran juga akan meneutralkan keseluruhan stok simpanan uraniumnya kepada tahap sederhana iaitu 20 peratus dalam tempoh enam bulan, menurut Setiausaha Negara AS, John Kerry di Geneva.

Selain itu, Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) juga dibenar meluaskan pemeriksaan terhadap program nuklear Iran, tindakan yang tidak pernah dibuat sebelum ini.

Sebagai balasannya, Teheran akan memperolehi pelonggaran sekatan bernilai kira-kira AS$7 bilion (RM22.4 bilion) dan negara-negara kuasa dunia itu berjanji untuk tidak mengenakan sekatan baharu dalam tempoh enam bulan jika persetujuan tersebut dipatuhi.

White House bagaimanapun menyatakan, sebahagian besar sekatan termasuk berkaitan minyak, kewangan, perbankan dan pertanian yang dikenakan ke atas Iran masih dikekalkan dan kelonggaran itu hanya bersifat terhad serta sementara.

Presiden AS, Barack Obama dalam pada itu berkata, persetujuan awal yang dicapai selepas diplomasi selama sedekad dan peningkatan ketegangan, adalah 'langkah pertama yang penting' bagi mengurangkan kebimbangan Iran akan membuat bom nuklear.

Presiden Iran, Hassan Rohani pula menyifatkan kejayaan itu sebagai 'pilihan rakyat Iran yang mahukan kesederhanaan' dan akan 'membuka ruang baharu'.

Namun, pejabat Perdana Menteri Israel menganggapnya sebagai 'persetujuan yang buruk' kerana masih memberi keupayaan kepada Iran untuk membuat senjata nuklear.

Sumber: Reuters/AFP

Friday, January 04, 2013

Lagi Pesawat Pengintip AS Di Tembak Jatuh

Lagi Pesawat Pengintip AS Di Tembak Jatuh

Iran, kelmarin mendakwa mereka sekali lagi telah menembak jatuh dua pesawat pengintip RQ-11 milik Amerika Syarikat (AS) dalam tempoh 15 bulan.

Pesawat pengintip canggih Agensi Perisikan Pusat (CIA), RQ-170 Sentinel 
juga dilaporkan telah ditembak jatuh oleh Iran pada 2011.

Kenyataan itu dimaklumkan oleh Laksamana Amir Rastegari kepada stesen televisyen tempatan dan agensi berita Fars.

Menurut beliau, kedua-dua pesawat pengintip tersebut ditembak jatuh pasukan pertahanan udara antara Ogos 2011 dan November tahun lalu tanpa memberi butiran lanjut berhubung lokasi dan bukti kukuh untuk mengesahkan 'kejayaan' tersebut.

Difahamkan, pesawat AeroVironment RQ-11 yang boleh bergerak pada kelajuan sehingga 95 kilometer sejam dalam tempoh 80 minit itu sememangnya digunakan oleh perisik tentera AS termasuk negara sekutunya.

Bulan lalu, Iran turut mendakwa mereka telah menembak jatuh pesawat pengintip kecil AS, ScanEagle di ruang udara Teluk, namun ia dinafikan oleh Tentera Laut AS.

-AFP

Saturday, December 29, 2012

Tentera Laut Iran Berlatih Persediaan Perang

Tentera Laut Iran Berlatih Persediaan Perang

Tentera laut Iran hari ini mengadakan latihan ketenteraan selama enam hari di Selat Hormuz, satu daripada laluan utama minyak dunia bagi mempamerkan keupayaan armada tentera negara itu, lapor agensi berita IRNA.


Komander Tentera Laut Iran, Habibollah Sayyari berkata, latihan 'Velayat 91' akan berlangsung sehingga Rabu depan di kawasan kira-kira satu juta kilometer persegi di Selat Hormuz, Teluk Oman dan sebahagian kawasan utara Lautan Hindi.

Katanya, latihan ketenteraan itu diadakan bagi menunjukkan kemampuan ketenteraan Iran dalam mempertahankan wilayahnya sekali gus menghantar mesej keamanan dan persahabatan kepada negara berjiran dengannya.

Pegawai Iran kerap mengulangi kenyataan akan menghalang penghantaran 40 peratus daripada eksport minyak dunia melalui selat itu sekiranya mereka diserang ekoran pertikaian program nuklear.

Iran turut mengadakan latihan yang sama selama 10 hari pada Disember tahun lalu dan menghantar sebuah kapal selam dan kapal pemusnah ke perairan Teluk, empat bulan selepas Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya mengadakan latihan ketenteraan di perairan sama bagi memastikan laluan perdagangan sentiasa terbuka.

Habibollah berkata pada Selasa lalu, latihan itu akan menguji kemampuan sistem peluru berpandu tentera laut, kapal tempur, kapal selam dan kaedah rondaan dan peninjauan.

Penghantaran armada tentera laut Barat yang besar di perairan Teluk dibuat bagi menghalang sebarang usaha menutup laluan berkenaan.

-REUTERS

Wednesday, December 26, 2012

Virus Stuxnet Kembali Menyerang Iran

Virus Stuxnet Kembali Menyerang Iran

Sebuah loji kuasa dan tapak industri di selatan Iran diserang virus komputer yang dikenali sebagai Stuxnet.


Bagaimanapun laporan media menyebut serangan siber itu berjaya dikawal daripada terus merebak.

Serangan siber Stuxnet dipercayai menjadi virus pertama yang khusus disasarkan untuk melumpuh infrastruktur stesen-stesen jana kuasa.

Pembangunan nuklear Iran mula terjejas teruk sejak 2010 susulan serangan Stuxnet, yang turut didakwa menjejaskan kawasan industri dan kilang.

Ketua Pertahanan Awam Wilayah, Ali Akhbar Akhavan berkata, sektor perindustrian Iran sejak dahulu lagi telah menjadi sasaran "serangan siber mush", khususnya di wilayah Hormozgan.

“Di bandar Abbas, serangan siber turut melibatkan syarikat yang memberi bekalan elektrik tetapi kami mampu mencegahnya daripada terus mengganas dengan mendapatkan kerjasama penggodam yang mahir,” katanya.

April lalu, serangan 'malware' di kementerian minyak Iran dan syarikat minyak memaksa kerajaan untuk menarik semula kemudahan minyak utama yang mengendalikan kebanyakan eksport ke Teheran.

Akhir tahun lalu, Iran berkata beberapa sistem komputer yang dijangkiti virus Dugu dipercayai direka bagi mencuri data bagi membantu serangan siber.

-Sinarharian

Thursday, December 20, 2012

Israel Yakin Kalahkan Iran Dengan Mudah

Israel Yakin Kalahkan Iran Dengan Mudah

Ahli parlimen dari Parti Likud, Danny Danon, berkata Israel mampu membinasakan Iran dengan mudah bagi menghalang negara itu memiliki senjata nuklear.


Kata Danon, Israel sedia bertindak sendiri ke atas Iran bagi mencapai matlamat berkenaan. “Kami akan melakukan apa yang perlu, termasuk menggunakan tentera, kerana program Iran itu bukan saja menjadi ancaman kepada Israel, tetapi juga rakyat Amerika Syarikat,” katanya. Justeru, kata Danon, AS perlu terbabit dalam konflik berkenaan jika Israel menyerang Iran.

Merujuk kepada sejarah, Danon berkata, konflik di antara Israel dan Arab sentiasa berpihak kepada rejim Zionis itu. “Kami melakukannya di Iraq pada 1981 dan kami sedia melakukan perang yang sama ke atas Iran,” katanya.

-Agensi

Tuesday, December 11, 2012

Pakar Iran Bantu Majukan Roket Korea Utara

Pakar Iran Bantu Majukan Roket Korea Utara

Sekumpulan pakar peluru berpandu Iran di Korea Utara menawarkan bantuan teknikal dengan pelancaran roket jarak jauh yang dirancang sungguh pun mendapat kecaman masyarakat antarabangsa.


Akhbar Chosun Ilbo melaporkan, seorang pegawai ketenteraan Korea Utara mempelawa sekumpulan pakar Iran untuk meninjau lebih dekat roket Pyongyang yang gagal dilancarkan April lalu.

“Mereka dibawa menaiki kenderaan khas untuk melihat tapak pembuatan roket bersama beberapa pakar tempatan,“ menurut laporan itu.

Laporan juga memetik, kehadiran pakar luar itu menyaksikan Korea Selatan dan Iran mempunyai perkongsian idea dalam pembangunan pembuatan peluru berpandu.

Kerjasama erat ini dimeterai sejak 1980 bagi menyaksikan kemunculan negara di luar Timur Tengah kecuali Rusia yang turut terbabit dalam industri pembuatan dan pembangunan peluru berpandu.

-AFP