Friday, September 29, 2023

Apa Akan Berlaku Jika Bumi Berhenti Berputar?

Apa Akan Berlaku Jika Bumi Berhenti Berputar?

Bila cukup satu putaran bumi mengelilingi matahari, maka genaplah 365 hari di mana kita akan bertukar tahun. Bumi berputar di atas paksi sambil mengelilingi matahari. Sebab itu terjadi perubahan waktu dari siang ke malam.

Bumi berhenti berputar
Gambar hiasan.

Di luar permukaan bumi pula terdapat pelbagai lapisan atmosfera yang akan turut berputar bersama bumi dengan kadar kelajuan 1,689 kilometer sejam. Tetapi, pernahkah anda terfikir apa akan terjadi jika bumi berhenti berputar?

Menurut The Science Explorer, berikut ini adalah hal yang akan terjadi:

1. Atmosfera terganggu

Pergerakan atmosfera adalah seiring dengan putaran bumi. Tapi bila putaran bumi mula perlahan, setiap lapisan atmosfera akan turut perlahan mengikut kadar yang berbeza dan akan membentuk geseran.

Kalau ini berlaku, hanya akan ada empat titik di pertengahan latitud yang manusia boleh huni.

2. Banjir besar

Sekiranya pergerakan bumi beransur perlahan, air daripada laut akan bergerak ke kutub. Bila bumi berhenti berputar sepenuhnya, air laut akan membanjiri kebanyakan kawasan di bumi dan meninggalkan satu pulau di tengah bumi.

3. Enam bulan siang, enam bulan malam

Perubahan siang dan malam berlaku kerana bumi berputar pada paksinya, sambil mengelilingi matahari. Bila bumi berhenti berputar, perubahan siang ke malam akan mengambil masa enam bulan.

Bayangkan hidup dalam keadaan siang atau malam selama enam bulan. Suhu di waktu siang akan mencecah hingga 57 darjah Celcius, manakala di waktu malam pula -19 darjah Celcius.

4. Gempa bumi di tempat tak sepatutnya

Bumi terdiri daripada tiga lapisan iaitu pusat, mantel dan kerak. Geseran ini akan menyebabkan terjadinya gempa bumi, malah di tempat-tempat yang tak pernah terjadi gempa sebelumnya.

Letusan gunung berapi juga akan berlaku. Gangguan geologi ini akan terus berlaku sehingga bumi berhenti berputar sepenuhnya.

5. Bulan

Dalam putaran biasa seperti sekarang ini, bumi bergerak lebih laju daripada bulan. Maka bulan akan bergerak menjauhi bumi. Bila bumi berhenti berputar, bulan akan bergerak sebaliknya.

Bulan akan terus mendekati bumi hingga keduanya berlanggar atau graviti bumi memusnahkannya. Walaupun diramalkan kebanyakan manusia takkan mampu bertahan bila bumi berhenti berputar, tetapi mungkin segelintir akan selamat. Banyak haiwan akan pupus jika perkara ini terjadi, tetapi haiwan laut terutamanya di iklim sejuk mungkin akan terus hidup.

6. Cuaca

Cuaca akan sepenuhnya bergantung kepada matahari bila bumi berhenti berputar. Keadaan cuaca akan dikuasai sepenuhnya oleh matahari, menjadikan cuaca mudah dijangka. Di bahagian bumi yang cerah, akan terjadi ribut yang sangat kuat.

Kesimpulannya, putaran bumi sangat berkait rapat dengan keseimbangan persekitaran yang sangat penting untuk memastikan kesinambungan kepada semua hidupan sehingga tiba waktunya berakhir.

Semoga memberi manfaat.

Friday, July 08, 2022

7 Rahsia Besar Yang Mungkin Disembunyikan Di Arkib Rahsia Vatican!

7 Rahsia Besar Yang Mungkin Disembunyikan Di Arkib Rahsia Vatican!

Arkib Rahsia Vatican adalah sebuah tempat simpanan bersekuriti tinggi yang menimpan pelbagai dokumen tertua dan paling bernilai milik gereja yang ditubuhkan pada tahun 1611 oleh Paus Paul V.

Sehingga kini, kebenaran untuk memasukinya amatlah sukar dan hanya pegawai Vatican serta ahli akademik yang layak sahaja, itupun dengan surat cadangan dari orang yang pernah memasukinya.

Membuat pencarian di dalamnya juga adalah dilarang, jadi anda perlu memberi senarai tentang dokumen apa yang anda ingin kaji sahaja.

Memandangkan keadaan yang begitu dirahsiakan, banyak khabar angin diperkatakan mengenai arkib di Vatican ini.

Berikut adalah 7 perkara paling popular yang dikatakan disimpan di dalamnya:

1. Bukti Pope Pius XII membantu Hitler dan Nazi

Pope Pius XII

Pope Pius XII dikenali ramai sebagai "Pope Hitler" kerana peranannya dalam menyokong Nazi. Dia juga dilihat tidak pernah mengkritik keganasan tentera Nazi secara terbuka namun pihak Vatican cuba untuk membuat orang ramai percaya bahawa Pope itu tidak menyokong gerakan Nazi.

Vatican menyatakan bahawa Pius XII telah menyelamatkan lebih 800,000 nyawa orang yahudi dan dipotretkan sebagai seorang yang menyayangi Yahudi.

Ketika perjumpaan Pope dengan pegawai atasan Nazi, Vatican mendakwa ia bukanlah untuk bersekongkol tetapi memberi peringatan.

Namun begitu, terdapat beberapa percanggahan. Pertama ialah pihak Vatican menolak untuk menyiarkan dokumen penting mengenai kegiatan mereka semasa era Holocaust dan yang kedua ialah dakwaan dari sumber yang dipercayai bahawa Pope Pius XII telah membantu Hitler untuk berkuasa.

Salah seorang yang membuat dakwaan ini ialah John Cornwell, seorang ahli akademik disegani yang juga seorang penganut Katolik.

Sebelum ini dia dibenarkan untuk meneliti dokumen bagi tujuan membersihkan nama Pope atas tuduhan itu namun apa yang dijumpainya sangat bercanggah.

Bukan sahaja bukti menunjukkan Pope itu membenci Yahudi dan enggan membantu mereka, malah memperlekehkan pihak Katolik dalam menentang Hitler.

Dia juga menentang orang kulit hitam dan mendakwa mereka adalah perogol dan pendera kanak-kanak. Dia mempunyai banyak persamaan dengan Hitler dan salah satunya ialah ingin kekal berkuasa dan juga seorang pemerintah kuku besi di dalam Vatican.

Paling teruk, Pope berdiam diri setelah mengetahui rancangan Holocaust (pembunuhan jutaan kaum Yahudi).

Pada ketika itu, pihak Nazi sedang mengumpulkan seluruh Yahudi di Rome, sementara pelbagai pihak dari seluruh dunia datang dan menuntut agar Pope bertindak.

Apakah benar Pope Pius XII benar menyokong Third Reich masih diperdebatkan. Apa yang pasti ialah dia Pope merupakan orang paling berpengaruh di Eropah dan jika sesiapa ingin menghentikan Hitler, dialah orangnya.

2. Bukti Jesus (Nabi Isa AS) tidak disalib

Jesus tidak disalib

Cerita mengenai Jesus disalib menjadi kepercayaan asas kepada penganut Katolik, namun menurut Michael Baigent yang merupakan seorang penulis buku tentang Jesus bahawa perkara ini tidak berlaku, setidaknya bukan seperti yang diceritakan di dalam Kitab Injil.

Pada pendapatnya bahawa Jesus tidak mati disalib adalah serupa dengan kepercayaan orang Islam namun pada hujah dan perinciannya tidak sedikitpun sama.

Dia mendakwa bahawa Jesus telah terlepas dari disalib dan membuat perjanjian dengan Pontius Pilate iaitu orang yang mengarahkan Jesus dibunuh. Ia dipalsukan di atas beberapa sebab kepentingan oleh pihak gereja.

Namun begitu, Baigent tidak mempunyai bukti kukuh terhadap dakwaannya.

Walaupun terdapat bukti bahawa Jesus tidak mati disalib oleh paderi Perancis iaitu Berenger Sauniere pada tahun 1891, bukti itu kemudiannya hilang dan Sauniere menjadi kaya raya dengan serta merta.

Ini membuatkan Baigent percaya bahawa pihak Vatican membayarnya untuk menyembunyikan bukti itu.

Terdapat beberapa pembayang di dalam gereja Sauniere di Rennes-le-Château.

Tidak seperti gereja lain yang memaparkan gambar Jesus disalib dan dialihkan oleh anak muridnya, gereja ini memaparkan ianya dilakukan pada waktu malam ketika bulan penuh, menunjukkan hari Passover (perayaan Yahudi) telah bermula.

Kaum Yahudi dilarang mengendalikan mayat pada hari Passover, menunjukkan mereka mengalihkan Jesus yang masih hidup, bukanlah mayatnya.

3. Syaitan

Sebagai seorang penghalau hantu senior, Father Gabriele Amorth tahu bagaimana untuk mengesan hantu. Sebelum kematiannya pada tahun 2016, dia telah melakukan ribuan upacara menghalau hantu dan sering berbicara dengan syaitan.

Dia pernah memberitahu pengarah filem The Exorcist iaitu William Friedkin bahawa syaitan itu adalah satu bentuk roh atau semangat yang kadangkala boleh bertukar menyerupai binatang buas.

Gabriele Amorth yang sering dipanggil untuk membantu mangsa kerasukan mendakwa dia menggunakan kaedah yang diasaskan oleh Pope Paul V pada tahun 1614 iaitu dengan mengarahkan roh jahat untuk meninggalkan badan mangsa dengan jampi serapah.

Pada tahun 2010, Gabriele Amorth telah membuat satu kenyataan yang menggemparkan apabila mendakwa bahawa Satan (Azazil) sedang bersembunyi di Vatican.

Pada pandangannya, pelbagai skandal dan korupsi yang melanda gereja dan Vatican adalah berpunca daripada syaitan itu sendiri.

Pope Paul VI juga pernah membuat dakwaan yang sama pada tahun 1972 dengan mengatakan, "tidak diketahui dari mana datangnya, asap berupa Satan telah memasuki gereja ini."

4. Artifak makhluk asing

Dakwaan bahawa pihak gereja telah mengetahui mengenai makhluk asing telah berlaku selama berabad lamanya. Sebelum kejadian Roswell, mereka dikatakan telah mengumpul bukti dan artifak makhluk asing. Begitu juga dengan dokumen yang dikaitkan dengan teknologi dari angkasa lepas.

Walaupun tidak mempunyai bukti yang kukuh, ahli teori konspirasi berpendapat ia dirahsiakan oleh pihak Vatican dengan alasan dunia masih belum bersedia untuk menerimanya.

Vatican juga dikatakan mempunyai maklumat tentang tempat yang mempunyai rahsia masyarakat purba seperti tinggalan peradaban Aztec dan juga Piramid Besar di Giza.

Ahli teori konspirasi mendakwa selepas sahaja Napoleon dan Hitler mengabiskan masa di Vatican, mereka terus menuju ke Mesir untuk mengkaji sendiri rahsia yang terkandung di dalam Piramid itu.

5. Rahsia ketiga Fátima

Rahsia ketiga Fátima

Pada tahun 1917, 3 anak kepada seorang pengembala dari Fátima, Portugal, dikatakan telah menerima visi mengenai Virgin Mary yang dikenali sebagai "Tiga rahsia Fátima".

Rahsia yang pertama dan kedua menceritakan tentang keberadaan neraka dan kebangkitan Komunis di Rusia.

Melalui kanak-kanak itu lagi, Virgin Mary berkata jika pesanan itu tidak disebarkan, ia akan menyebabkan berlakunya perperangan, feminisma, pembunuhan dan kemusnahan dunia yang akan dilakukan oleh pihak Rusia. Apa yang diramal itu sudahpun terjadi.

Kedua-dua pesanan itu telah diterbitkan kepada umum pada tahun 1941, namun pesanan ketiga pula dirahsiakan. Ia dikatakan tulis di atas sekeping kertas, kemudian disampulkan serta diserahkan kepada Bishop of Leiria dan disimpan di dalam Arkib Rahsia Vatican tanpa dibuka.

Pada tahun 1959, sampul itu diserahkan kepada Pope John XXIII, namun dia memilih untuk tidak membukanya. Ia tersimpan dengan rapi sehinggalah dibaca buat pertama kali pada tahun 1965 oleh Pope Paul VI namun tidak mendedahkan perkara itu kepada umum.

Kemudian Pope John Paul II pula membacanya pada tahun 1981 dan hampir terkorban melalui satu cubaan bunuh terhadapnya. Dia juga memilih untuk merahsiakan isi kandungan surat itu.

Akhirnya pada tahun 2000, Pope John Paul II telah mendedahkan ramalan ke-3 itu. Ia menceritakan tentang pertempuran besar di antara kebaikan dan kejahatan dan maklumat terperinci boleh dibaca di dalam laman web Vatican.

Ramai yang tidak percaya mengenai apa yang didedahkan oleh pihak Vatican itu. Malah Pope Benedict XVI yang dilantik pada 2010 juga bersetuju bahawa rahsia ke-3 itu masih belum didedahkan (pihak Vatican menafikan dakwaan beliau).

6. The Grand Grimoire

Grand Grimoire

The Grand Grimoire merupakan satu risalah di mana ia diketahui benar-benar wujud.

Namun, tidak dipastikan siapa penulis asal atau penulis semula risalah ini pada tahun 1750. Risalah asli ini dikatakan ditemui di dalam kubur King Solomon (Nabi Sulaiman AS).

Risalah ini dikatakan mengandungi upacara menyeru Lucifuge Rofocale iaitu Perdana Menteri Neraka yang mendiami alam ghaib. (walaupun kedengaran lucu namun inilah yang diperkatakan ramai)

Dikatakan bagi mereka yang melakukan upacara pemujaan ini juga perlu menyerahkan jiwa mereka sendiri.

Seorang ahli ajaran sihir yang terkenal pada kurun ke-19 iaitu A.E. Waite berkata hanya mereka yang "gila dan rosak teruk moralnya" sahaja yang mampu melakukan upacara sihir ini sepenuhnya.

Risalah Grimoire dikatakan muncul beberapa kali dalam sejarah namun tiada siapa yang mengaku memilikinya.

Hanya satu sahaja risalah yang hampir sama diterbitkan di dalam bahasa Perancis yang diberi nama "Le Dragon Rouge" dan telah tersebar di kepulauan Caribbean. Ia dikatakan masih digunakan sehingga sekarang.

7. Koleksi porno terbesar dunia

Muzium karya erotik Copenhagen mendakwa Vatican mempunyai koleksi porno terbesar di dunia. Tokoh berprofil tinggi yang lain iaitu William F. Buckley Jr. dan ahli akademik Camille Paglia dari Institut Kinsey juga mempunyai pendapat yang serupa.

Institut Kinsey tidak mempunyai bukti ke atas dakwaan mereka dan permohonan mereka untuk masuk ke dalam arkib juga telah ditolak.

Namun begitu, dari masa ke semasa ramai mendakwa pernah melihat ribuan koleksi erotik yang disimpan di dalam arkib itu.

Akan tetapi, sudah diketahui untuk sekian lama tentang seni erotik di Vatican. Sebagai contoh, pada kurun ke-16, salah seorang pelajar Raphael iaitu Guilio Romano telah diperintahkan untuk melukis sejumlah 16 lukisan erotik secara terperinci di dalam kamar mandi Kardinal Bibbiena.

Gambar lukisan itu telah bocor dan tersebar melalui satu risalah yang dinamakan "I Modi", seakan sebuah majalah lucah. Kemudian pihak Vatican telah memenjarakan Romano dan mengiakan lagi khabar angin tersebut.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: (1)

Tuesday, May 24, 2022

Penyakit Hapsburg Yang Terhasil Dari Sumbang Mahram!

Penyakit Hapsburg Yang Terhasil Dari Sumbang Mahram!

Sejarah keluarga Hapsburg bermula dengan seorang bangsawan bernama Guntram the Rich sekitar abad ke-10 Masihi. Setelah cucunya Radbot membina istana Hapsburg, barulah mereka digelar Hapsburg.

The habsburg dynasty

Untuk mendominasi politik, mereka kerap kali mengahwinkan anak-anak mereka dengan bangsawan lain hinggalah Frederick III dipilih oleh Paus Nicholas V mengangkat baginda sebagai Maharaja empayar Holy Roman pada tahun 1452.

Kes sumbang mahram pertama berlaku selepas Philip I, anak maharaja Maximilian dan juga cucu Frederick III mengahwini Joanna daripada Castille, pewaris takhta diraja yang mengawal hampir keseluruhan Sepanyol. Perkara ini mewujudkan cabang Hapsburg di Sepanyol yang kemudiannya mendominasi perihal politik di sana.

Walau bagaimanapun, keluarga Hapsburg Sepanyol kemudiannya mula mengahwinkan keluarga mereka sesama sendiri untuk mengelakkan pergelutan kuasa. Sepupu berkahwin dengan sepupu dan pakcik dengan anak saudara perempuan mereka.

Sebelum kita masuk lebih mendalam tentang penyakit keluarga Hapsburg, mari kita fahami terlebih dahulu penyakit genetik.

Perkara asas yang kita perlu tahu ialah, setiap manusia mewarisi separuh genetik daripada ibu dan separuh lagi daripada bapa. Genetik tersebut juga merangkumi gen rosak daripada ibu bapa kita yang mampu mencetuskan penyakit.

Cabang Hapsburg

Walau bagaimanapun, sekiranya ibu bapa kita bukan pembawa penyakit genetik atau salah seorang sahaja yang ada, kebarangkalian anak mereka mendapat penyakit adalah rendah.

Gen rosak ini kita panggil sebagai gen resesif yang hanya akan diaktifkan jika anak mendapat gen resesif daripada ibu dan bapa. Kalau salah seorang sahaja yang ada, anak ini akan jadi pembawa.

Sekiranya kita pembawa dan kita juga berkahwin dengan pembawa, maka anak kita mempunyai peluang untuk mendapat penyakit genetik sebanyak 25%. Kalau kita pembawa dan berkahwin dengan orang yang ada gen rosak, peluang menjadi 50%.

Sebab itu, pasangan yang mahu berkahwin perlu melalui ujian darah hemofilia, kerana hemofilia termasuk penyakit genetik dan ada kebarangkalian untuk diwarisi.

Sekarang, bagaimana gen resesif dapat diwarisi dengan cara paling mudah selepas berkahwin dengan pesakit genetik? Ya. Berkahwin dengan keluarga sendiri!

Disebabkan bahan genetik antara keluarga lebih kurang sama, maka peluang mendapat penyakit lebih tinggi. Terma untuk penyakit ini disebut sebagai homozigositi.

Untuk sepupu-sepupu, perkahwinan yang pertama ini selamat walaupun masih berisiko, tapi kalau anak mereka ini pun kahwin sepupu juga, yang ini tidak selamat.

Disebabkan keluarga Hapsburg ni kerap ada hubungan sumbang mahram, mereka tanpa sedar telah mewujudkan penyakit genetik kepada keturunan mereka. Sebagai contoh ialah hemofilia, ketidaksuburan dan rahang Hapsburg.

Autosomal Dominant

Disebabkan masalah genetik jugalah tidak banyak keturunan Hapsburg mampu hidup lebih 10 tahun. Ada yang gugur, ada yang meninggal selepas dilahirkan dan ada yang meninggal semasa tempoh neonatal.

Menurut kajian penyelidik daripada Universiti Santiago de Compostela di Sepanyol, kadar koefisi sumbang mahram daripada Philip 1 hinggalah Charles II (pemerintah terakhir Hapsburg untuk empayar Sepanyol) telah meningkat daripada 0.025 kepada 0.254.

Ini kerana Charles II sendiri adalah anak Philip IV yang berkahwin dengan anak saudaranya, Mariana daripada Austria.

Datuk Charles II sendiri, iaitu Philip II, berkahwin dengan anak saudaranya, Anna daripada Austria. Samalah seperti perkahwinan antara ayah dengan anak perempuannya.

Charles II adalah contoh paling teruk penyakit genetik yang muncul angkara sumbang mahram. Produk sumbang mahram selama 200 tahun.

Menurut catatan sejarah, Charles II hanya mampu bercakap pada umur 4 tahun, belajar berjalan pada umur 8 tahun, pendek, mempunyai masalah penghadaman dan kerap kali kencing berdarah.

King Charles II
Charles II.

Diplomat Perancis mencatatkan Charles II sebagai seorang yang hodoh dan nampak seperti sakit dan disebabkan rahang Hapsburg Charles II yang terlalu ketara, beliau mempunyai masalah untuk bercakap dan lidahnya yang besar menyebabkannya susah untuk makan dan air liurnya kerap meleleh.

Charles II juga tidak mempunyai anak, barangkali dek ketidaksuburan dan mangkat pada umur 39 tahun, menyebabkan empayar Sepanyol tidak mempunyai pewaris takhta dan mewujudkan perang takhta.

Demi untuk mengekalkan kekuasaan, mereka berkahwin sesama sendiri. Barangkali mereka tidak pernah menyangka inilah punca kejatuhan mereka.

Jadi, belajarlah daripada keluarga Hapsburg tentang kenapa sumbang mahram tidak dibenarkan dalam Islam.

Dengan kolam genetik yang sangat kecil, makin banyak penyakit genetik lain muncul.

Disebabkan itulah, kalian lebih digalakkan berkahwin dengan orang yang jauh hubungan genetiknya dengan kita.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: (1)

Tuesday, April 19, 2022

Alam Semulajadi Ada Caranya Memberi Amaran Bahaya!

Alam Semulajadi Ada Caranya Memberi Amaran Bahaya!

Alam, seperti lautan, adalah satu tempat yang indah, menarik dan mempesonakan namun, kecantikan ini hadir bersama dengan amaran kerana tempat ini juga boleh jadi berbahaya.

Bersyukurlah, alam semula jadi ada caranya untuk memberi amaran kepada kita tentang bahaya ini sebelum ianya terjadi, tetapi kalau anda tidak tahu tanda-tanda ini, anda mungkin akan menjadi mangsa kepada bencana alam semula jadi terburuk.

1. Ombak Berkotak Di Laut

Ombak-Petak

Apabila dua sistem ombak bertembung di laut, corak petak atau berkotak akan muncul. Ia memang nampak cantik dan menarik tetapi rupanya boleh menipu kerana ia adalah sangat berbahaya sehingga boleh meragut nyawa anda dan memusnahkan kapal besar.

Terdapat ombak yang sangat deras di bawah permukaan air berkotak ini yang cukup kuat untuk menarik anda ke laut dalam.

2. Aras Laut Yang Surut

Laut surut

Apabila air laut di sepanjang persisiran Laut China Selatan mula surut, anda mungkin diancam bahaya Tsunami. Anda perlu pergi ke tempat yang selamat segera. Tsunami selalunya terjadi apabila gempa bumi terjadi di bawah laut dan air di permukaan atas berkocak dan ombaknya bergerak selaju 500 batu sejam merentasi lautan.

3. Pokok Berbentuk J

Pokok berbentuk J

Sekiranya anda melalui kawasan hutan, mungkin ketika sedang hiking, dan anda menemui sekumpulan pokok berbentuk J, itu adalah petanda jelas bahawa tanah runtuh bakal terjadi.

Pokok-pokok ini telah membengkok secara perlahan-lahan kerana pergerakan tanah yang beransur-ansur susut. Nasib baiklah anda baru sahaja terlepas dari bencana.

4. Awan Dinding Di Langit

Awan dinding

Awan dinding merupakan petanda kepada ribut kilat. Oleh kerana tekanan udara meningkat dengan cepat, awan selalunya turun rendah dari ribut untuk membentuk awan dinding yang boleh mencecah sepanjang 5 batu.

Namun, putaran awan dinding boleh membawa kepada ribut tornado atau puting beliung yang memusnahkan.

5. Haiwan Lari Dari Habitatnya

Apabila tikus, serangga dan ular lari dari habitatnya, sudah masanya untuk anda mempertimbangkan perkara yang sama juga. Sejak 373 Sebelum Masihi, ada laporan tentang insiden pelarian ini oleh haiwan yang melarikan diri dari gempa bumi yang besar.

Tetapi, anda perlu melarikan diri dengan lebih cepat kerana gempa bumi bakal berlaku dalam masa beberapa saat sahaja.

6. Haiwan Berlari Ke Arah Manusia

Apabila burung dan haiwan mamalia berlari ke arah manusia, ia sebenarnya sedang melarikan diri ke arah tempat selamat dari kebakaran hutan. Sekiranya anda tidak pasti, lihat ke belakang mereka dan anda akan melihat asap dari kebakaran hutan. Minta bantuan segera!

7. Rambut Berdiri Tegak

Rambut tegak

Petanda biasa akan terjadinya kilat termasuk: barang kemas bergetar dan rambut anda berdiri tegak. Petanda ini bermaksud kilat akan memancar di kawasan berhampiran, jadi anda perlu cari tempat perlindungan segera.

Sekiranya terlambat, berbaring meniarap di atas tanah dengan muka ke bawah sehingga kilat tersebut berhenti.

8. Cincin Di Sekeliling Matahari atau Bulan

Fenomena Halo

Sekiranya anda ternampak cincin halus bersinar yang nampak seolah-olah halo misteri di sekeliling matahari atau bulan, itu adalah petanda berbahaya.

Ada beberapa perkara yang berlaku sebelum terjadinya ribut. Hujan mungkin sedang menuju ke arah anda dan akan turun dengan lebatnya dalam masa 24 ke 48 jam. Itu masa yang mencukupi untuk segera bergerak ke tempat yang selamat.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: thetravelbreeze

Tuesday, December 07, 2021

6 Produk 'Popular' Google Yang Gagal Dan Telah Di Tamatkan

6 Produk 'Popular' Google Yang Gagal Dan Telah Di Tamatkan

Apabila Google disebut, perkara pertama yang terlintas di fikiran adalah carian Google dan walaupun ia adalah produk pertama dan paling berjaya, terdapat banyak produk lain syarikat gergasi ini yang gagal dan terpaksa ditamatkan.

Google failed product

Menurut Android Authority, berikut adalah 5 produk Google yang gagal kerana kurang mendapat sambutan.

1. Google Buzz (2010–2011)

Buzz adalah percubaan besar yang dilakukan oleh Google sebelum Google Plus, berfungsi sebagai medium sosial. Buzz mirip Twitter, yang membolehkan pengguna menyiarkan kemas kini status, gambar, video dan pautan.

Menurut Android Authority, Google menghentikan perkhidmatan tersebut hanya selepas setahun setelah dilancarkan kerana masalah privasi yang memerlukan Google menyelesaikan tuntutan berjumlah $8.5 juta.

Ini kerana Google telah menggunakan maklumat Gmail untuk platform sosial tanpa meminta izin pengguna.

2. Picasa (2002–2016)

Picasa adalah salah satu aplikasi yang dibeli oleh Google menerusi Lifescape, digunakan untuk mengurus dan menyunting gambar. Pada tahun 2016, Google telah menghentikan aplikasi ini dan memberikan fokus utamanya kepada Google Photos.

3. Google Spaces (2016–2019)

Spaces membolehkan pengguna membuat panggilan secara berkumpulan untuk berkongsi pautan, foto dan video. Menariknya, Spaces berkaloborasi bersama dengan YouTube, Chrome dan Search, menjadikan aplikasi ini mudah untuk pengguna.

Malangnya, pada April 2019, Google telah menghentikan aplikasi ini kerana kurang mendapat sambutan daripada pengguna.

4. Google Chrome Apps (2010–2017)

Percubaan Google untuk membuat aplikasi web berasaskan Chrome juga tidak berjaya. Syarikat Google mengakui bahawa hanya satu peratus pengguna Windows, Mac dan Linux menggunakan Google Chrome Apps dalam masa setahun. Sekarang ini aplikasi tersebut telah digantikan dengan Progressive Web Apps.

5. Google Video (2005–2012)

Google Video adalah platform percuma di mana pengguna dapat memuat naik klip video untuk dilihat oleh seluruh dunia.

Google Video menghadapi persaingan yang hebat dari YouTube, lalu akhirnya Google telah menutup Google Video dan membeli YouTube.

6. Google+ (2011–2019)

Google telah melancarkan Google+ secara rasmi pada 28 Jun 2011 dengan ciri-ciri jaringan sosial yang bersifat menyeluruh. Ketika awal pelancaran Google+, ia dilihat membawa potensi yang cukup besar kerana menawarkan sejumlah fungsi unik kepada pengguna.

Salah satu sebab yang mungkin menyumbang kepada kejatuhan Google+ adalah dari segi fungsi yang sedikit mengelirukan.

Sistem perletakkan rakan berasaskan Circle walaupun dilihat berguna, ia sebenarnya telah membuatkan sesetengah pengguna keliru dengan fungsi ini pada mulanya.

Kebanyakan pengguna juga tidak mempunyai masa untuk mengasingkan rakan-rakan mereka di dalam kumpulan tertentu.

Google+ juga menggunakan elemen antaramuka yang berlainan berbanding perkhidmatan media sosial sedia ada. Mereka menggunakan sistem "+1" berbanding simbol yang lebih dikenalpasti oleh pengguna.

Simbol seperti "thumbs up" atau "love" lebih membawa maksud suka, berbanding sistem angka berasaskan "+1" ini. Pengguna juga perlu menggunakan simbol "+" berbanding "@" ketika ingin memanggil (mention) pengguna lain.

Seperti mana perkhidmatan goo.gl yang telah ditamatkan sebulan sebelumnya, Google telah mengumumkan tarikh 2 April 2019 sebagai tarikh penamatan Google+.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: 1 | 2

Tuesday, February 09, 2021

Wabak Demam Borneo Dan Sejarah Menara Jam Atkinson

Wabak Demam Borneo Dan Sejarah Menara Jam Atkinson

Sekiranya anda bertandang ke Kota Kinabalu, kunjungan anda pastinya tidak lengkap sekiranya tidak melawat menara jam Atkinson yang terletak di Bukit Bendera, yang dahulunya juga dikenali sebagai 'Signal Hill' namun, apa kaitan menara bersejarah ini dengan wabak demam Borneo?

Atkinson

Sebelum kita berbicara dengan lebih lanjut mengenai menara jam bersejarah ini molek rasanya kita menyentuh terlebih dahulu mengenai wabak demam Borneo yang pernah meninggalkan igauan ngeri kepada para penjajah yang pernah bertapak di pulau ketiga terbesar dunia ini.

Wabak demam Borneo bukanlah endemik atau 'eksklusif' di kepulauan Borneo sahaja, sebaliknya wabak ini telah dikenali dan memiliki sejarah yang cukup panjang selari dengan sejarah ketamadunan manusia di masa lampau.

Hari ini kita mengenali istilah yang diberikan penjajah British ketika itu kepada wabak ini dengan sebutan demam Malaria.

Selama ribuan tahun lamanya wabak ini menghantui manusia di serata dunia.

Bapa perubatan agung Yunani, Hippocrates, turut merekodkan mengenai wabak malaria ini dalam salah satu teks perubatan karyanya sekitar kurun ke empat sehingga kelima Sebelum Masehi dengan gambaran sebagai salah satu daripada jenis penyakit demam.

Bagi kalangan orang-orang Rom pula, demam ini juga dikenali dengan tanda-tanda 'suhu panas tubuh yang meningkat'.

Pada era moden, orang Perancis menamakan demam Malaria ini sebagai demam yang menyebabkan tubuh menggigil kesejukan.

Bagi orang-orang Inggeris, mereka mengenali demam ini sebagai demam bermusim dan pada era pemerintahan Raja Oslo di Norway, penyakit ini dikatakan kerap kali muncul pada musim panas atau luruh.

Sebelum kurun ke 19, kebanyakan masyarakat di Eropah percaya punca kepada malaria adalah akibat hawa udara tidak sihat yang terbentuk dari kawasan berpaya.

Idea ini pada awalnya digagaskan oleh orang-orang Rom, bahkan perkataan Malaria itu sendiri berasal daripada perkataan Latin yang bermaksud 'udara tidak sihat'.

Walaupun pendapat ini sebenarnya tidak masuk akal namun ia tetap diterima lebih-lebih lagi apabila seorang doktor dari Itali pada kurun ke 18, Giovanni Maria Lancisi mendapat pujian hebat selepas memaklumkan mengenai kewujudan pigmentasi hitam pada organ-organ mangsa yang meninggal dunia akibat Malaria, sekali gus kononnya mmbuktikan tanggapan ini.

Namun, akhirnya pada abad ke 19, tepatnya pada tahun 1882 sewaktu sidang mesyuarat bagi Persatuan Falsafah Washington dianjurkan, kesemua yang hadir sepakat dengan kenyataan bahawa nyamuk adalah antara ejen penyebaran yang bertanggungjawab kepada wabak Malaria walaupun selepas itu wujud cadangan tidak masuk akal daripada jurucakap bagi persidangan berkenaan agar memasang satu kelambu gergasi bagi menutup keseluruhan Washington.

Walaupun cadangan ini tidak praktikal bahkan langsung tidak boleh digunakan, namun kesannya ia berjaya mengubah persepsi ke atas punca wabak malaria yang diyakini selama ini.

Sungguhpun demikian, sebenarnya dua tahun sebelum itu, iaitu pada tahun 1880, salah seorang pakar bedah Perancis, Alphonse Laveran, telah menemui cara bagaimana wabak Malaria tersebar.

Hal ini terjadi sewaktu beliau bertugas sebagai pakar bedah tentera di Algiers yang merupakan ibu negara kepada Algeria yang terletak di Utara Afrika pada hari ini.

Menerusi pemerhatian ke atas pesakit, beliau berjaya mengesan sejenis parasit yang bergerak di dalam sel darah merah.

Penemuan ini telah melayakkan beliau untuk memenangi anugerah Nobel dalam bidang perubatan pada tahun 1907.

Ya, anda tidak salah baca, punca kepada wabak malaria bukanlah daripada bakteria ataupun virus seperti pandemik virus korona 19 yang sedang kita hadapi saat ini.

Sebaliknya ia berpunca daripada sejenis parasit yang dinamakan Palsmodium dan menjadikan nyamuk tiruk betina sebagai perumah.

Apabila parasit ini dipindahkan ke tubuh menerusi gigitan nyamuk ia akan menyebabkan demam, diiringi simptom-simptom berkaitan yang sekiranya tidak dirawat dengan betul boleh mendatangkan kematian.

Demikianlah serba sedikit penerangan mengenai Malaria, jadi apa kaitannya dengan pembinaan menara jam Atkinson?

Pada tahun 1888 Borneo Utara atau dikenali sebagai Sabah pada hari ini menjadi Wilayah Naungan kepada Empayar British.

Sungguhpun demikian pentadbiran masih dijalankan oleh Syarikat Berpiagam Borneo Utara sehinggalah tahun 1946 pasca kemusnahan teruk yang diakibatkan oleh perang dunia ke dua.

Sehubungan itu seorang Pegawai Pentadbir bagi daerah Kota Kinabalu atau Jesselton pada masa itu, daerah Papar dan kawasan yang dinamakan Daerah Keppel Selatan, Francis George Atkinson telah dilantik sebagai Pegawai tadbir Daerah yang pertama berkuatkuasa 24 Januari 1901 dan 23 Mei 1901.

Malangnya, Pegawai Pentadbir muda yang baru berusia 28 tahun itu hanya dapat menjalankan tanggungjawab beliau selama 16 bulan sahaja, bermula pada tahun 1901 sehingga 1902.

Beliau meninggal dunia pada 16 Disember 1902 sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Kristian di Labuan.

Punca kepada kematian beliau adalah disebabkan oleh wabak Malaria atau pihak kolonial pada ketika itu menamakannya sebagai 'Demam Borneo'.

Ibu kepada mendiang, Puan Mary Edith Atkinson yang sedih dengan berita itu kemudiannya berhasrat untuk membina sebuah memorial sebagai kenangan bagi memperingati anaknya.

Bukit Bendera dipilih sebagai lokasi bagi menempatkan sebuah menara jam bermuka dua.

Pembinaan dimulakan oleh Syarikat kontraktor Williams Potts & Sons yang berpangkalan di Leeds, England. Kayu dari jenis Meribau dipilih bagi mendirikan menara setinggi 50 kaki.

Akhirnya, menara jam yang turut berfungsi sebagai 'rumah api' kepada kapal-kapal yang belayar di luar pantai Jesselton siap sepenuhnya pada 20 April 1905.

Pada masa lalu, Stesen Radio Sabah pernah bersiaran berhampiran menara jam Atkinson.

Bunyi dentingan loceng dari menara ini setiap satu jam jelas kedengaran sebagai sebahagian daripada bunyi latar belakang sekali gus memberikan maklumat yang cukup berguna buat para pendengar stesen radio berkenaan waktu pada masa itu.

Bermula pada tahun 1946, Syarikat Perniagaan Jam Yick Ming yang diasaskan Mendiang Wah Kai Yung diberikan tanggungjawab untuk menyelenggara jam gergasi pada menara dan legasi tersebut berterusan sehingga ke hari ini.

Kerja-kerja membaik pulih menara jam bersejarah ini dimulakan pada tahun 1959 sempena sambutan penubuhan Jesselton, yang kini kita kenali sebagai Kota Kinabalu.

Kayu yang rosak kesan pengaruh cuaca tropika kemudiannya diganti dengan kayu lebih keras dan atap yang terbuat daripada kayu juga diganti sebelum menara ini dicat dengan warna putih yang baharu.

Malangnya, plak batu asas yang diletakkan di bawah bangunan ini telah hilang sewaktu kerja-kerja pembaikan dijalankan.

Pada tahun 1983, tapak ini telah digazetkan sebelum diletakkan di bawah Enakmen Warisan Budaya (Pemuliharaan) 1997 dan Enakmen Barang-Barang Kuno dan Harta Karun 1977 Sabah.

Pada 23 Febuari 2018, Menara Jam Atkinson diletakkan sebagai salah satu daripada 24 lokasi bersejarah yang diletakkan di bawah Enakmen Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (Pindaan) 2017.

Sewaktu sambutan ulang tahun ke 100 tahun pembinaan menara jam ini, pihak muzium cuba menghubungi waris dan kaum keluarga mendiang Francis George Atkinson untuk bersama-sama meraikan hari bersejarah berkenaan namun tidak berjaya.

Bangunan bersejarah ini juga dianggap unik kerana mampu bertahan daripada kesan perang dunia ke dua yang banyak membinasakan bandar-bandar utama di Borneo utara pada masa itu.

Namun, apakah pengajaran paling penting yang kita boleh perolehi daripada tragedi ini?

Ya, jangan sesekali memandang remeh pada penyakit berjangkit yang boleh membawa maut seperti Malaria.

Bahkan tahukah anda, Sabah secara purata telah mencatatkan peningkatan mendadak kepada sejenis lagi jangkitan Malaria daripada monyet yang dikenali sebagai Palsmodium Knowlesi.

Nyamuk betina dari spesies Apholeus dikenal pasti memindahkan parasit ini daripada monyet kepada manusia.

WHO dalam salah satu daripada laporan mereka pernah menyatakan jangkitan Malaria di Malaysia khasnya Malaria Monyet banyak dilaporkan berlaku di Sabah dan Sarawak.

Sehingga September 2018 pula sebanyak 1,975 jangkitan Malaria Monyet dicatatkan melibatkan kawasan pedalaman dan berhampiran ladang atau hutan.

Antara individu berisiko dijangkiti wabak ini adalah golongan penoreh getah, peladang dan mereka yang tinggal berhampiran hutan.

Menara jam Atkinson adalah bukti betapa berbahayanya impak sesuatu wabak kepada individu yang dijangkiti tidak kira punca dan bagaimana ia tersebar.

Sikap sambil lewa masyarakat yang memandang ringan hal penting seperti ini juga turut menjadi sebahagian daripada punca, selain faktor seperti gaya hidup, lingkungan tempat tinggal dan jenis pekerjaan yang menjadi punca rezeki.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: fb