Friday, March 20, 2015

Jangan Takut Undang-Undang Hudud – Nik Abduh

Jangan Takut Undang-Undang Hudud – Nik Abduh

Tiada apa perlu ditakutkan dengan undang-undang hudud kerana perundangan itu tidak menghukum mereka yang tidak bersalah, kata Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

Nik Abduh

Menurut beliau, Hudud memberi pengadilan yang secukupnya kepada mereka yang didakwa termasuk pembelaan kepada mangsa dengan hukuman diyyat (ganti rugi).

“Perundangan Islam telah menjadi hasrat dan impian masyarakat muslim sejak sekian lama walaupun mendapat tentangan dan kritikan daripada pelbagai pihak.

“Ia hanya undang-undang daripada Allah S.W.T untuk menghapuskan kesalahan jenayah dalam masyarakat dan negara,” tegasnya dalam satu kenyataan.

Nik Mohamad Abduh yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, kejayaan membentangkan undang-undang hudud di DUN Kelantan merupakan hak rakyat Kelantan yang perlu dihormati.

Beliau dalam pada itu yakin ada negeri lain akan turut membentangkan pelaksanaan undang-undang hudud di Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Tidak mustahil jika tindakan kerajaan Kelantan ini akan turut diikuti negeri-negeri yang lain kerana jaminan keadilannya adalah daripada Allah S.W.T,” ujarnya.

BACA INI JUGA: Dosa Besar Lalu Di Hadapan Orang Bersolat

Sumber: Mynewshub.cc

Thursday, March 19, 2015

DUN Kelantan Sebulat Suara Lulus Hudud

DUN Kelantan Sebulat Suara Lulus Hudud

Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan hari ini (19/3/2015), meluluskan rang undang-undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) yang hanya terpakai kepada orang Islam mukallaf sahaja apabila ia dilaksanakan kelak di negeri ini.

Hudud-Kelantan

Kesemua 44 anggota dewan meluluskan sebulat suara rang undang-undang berkenaan.

Sejarah tercatat apabila kesemua 12 anggota dewan daripada Barisan Nasional (BN) menyokong rang undang-undang itu yang dibentangkan kerajaan negeri pimpinan PAS melalui Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob.

Sebelum ini, Kanun Jenayah Syariah II 1993 atau dikenali hukum hudud, qisas dan takzir, tertangguh pelaksanaannya lebih 20 tahun selepas ia diluluskan DUN Kelantan pada 1993 kerana kekangan dari segi perundangan.
Usaha kerajaan negeri untuk melaksanakan kanun berkenaan menempuh pelbagai kontroversi terutama tentangan daripada orang bukan Islam khususnya DAP iaitu rakan PAS dalam pakatan pembangkang.

Semalam, parti Gerakan memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi di sini, bagi memohon deklarasi pembatalan terhadap Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 itu.

Beberapa pindaan dibuat pada kanun berkenaan iaitu ia hanya terpakai kepada orang Islam mukallaf sahaja berbanding sebelum ini yang memberi pilihan kepada orang bukan Islam untuk memilih pemakaian undang-undang itu ke atas mereka.

Pindaan turut dibuat pada Seksyen 15(2) kanun tersebut dengan penambahan peruntukan hukuman takzir bagi kesalahan liwat ke atas isteri.

Pindaan lain adalah tentang kelayakan hakim, pemberhentian hakim, gaji dan elaun hakim serta struktur mahkamah daripada Mahkamah Agung kepada Mahkamah Persekutuan dan penukaran kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri yang telah wujud daripada Suruhanjaya Kehakiman Negeri yang belum wujud.

Pindaan turut dilakukan pada struktur ayat untuk disesuaikan dengan undang-undang sedia ada.

Kanun ini juga menyediakan peruntukan untuk kesalahan hudud dan hukuman bagi tujuh kesalahan iaitu sariqah (mencuri), hirabah (merompak), zina, liwat, qazaf, syurb (minum arak) dan irtidad (murtad).

Antara hukuman yang diperuntukkan di bawah kanun itu adalah bagi kesalahan mencuri kali pertama, pesalah akan dipotong tangan kanan, kesalahan kali kedua dipotong tangan kiri dan kesalahan kali ketiga pula dipenjara tidak melebihi 15 tahun.

Bagi kesalahan merompak, pesalah boleh dihukum bunuh atau disalib, dihukum bunuh jika mangsa dibunuh tetapi hartanya tidak diambil dan dipotong tangan kanan dan kaki kiri jika harta sahaja diambil.

Kesalahan qazaf pula, pesalah boleh dihukum sebat sebanyak 80 kali dan minum arak pula, sebatan tidak lebih 80 kali dan tidak kurang 40 kali.

Selain itu, bagi kesalahan zina, pasangan yang berkahwin boleh direjam sehingga mati manakala belum berkahwin boleh disebat 100 kali dan pejara setahun.

Bagi kesalahan murtad pula, mesti bertaubat dalam tempoh tiga hari dan jika enggan, boleh dihukum bunuh.

Rang Undang-Undang itu yang sepatutnya dibentangkan pada persidangan dewan Disember tahun lepas telah ditangguhkan berikutan banjir luar biasa yang melanda Kelantan

Speaker DUN Datuk Abdullah Ya’kub kemudiannya menangguhkan sidang DUN kepada tarikh yang akan ditetapkan kemudian. –BERNAMA

BACA INI JUGA: Kontroversi Peraturan Baru Memeluk Islam di Negeri Sembilan

Wednesday, April 30, 2014

Brunei Mula Laksanakan Hudud Bermula Esok

Brunei Mula Laksanakan Hudud Bermula Esok

Sultan Hassanal Bolkiah mengumumkan pelaksanaan hukum hudud fasa pertama bermula esok.

Brunei laksana hudud

"Dengan rasa rendah diri dan bersyukur kepada Allah SWT ingin diumumkan bahawa pelaksanaan hukum hudud fasa pertama akan bermula esok, 1 Mei 2014 dan fasa berikutnya akan dilaksana secara berperingkat," katanya dalam ucapan, hari ini.

Pelaksanaan hukum hudud termasuk hukum sebatan, memotong anggota badan dan rejam sampai mati akan dibuat secara berperingkat dari semasa ke semasa berdasarkan jenis jenayah yang dilakukan.

Walaupun ramai majoriti Melayu Islam telah menyuarakan sokongan, langkah tersebut mencetuskan kebimbangan di kalangan ramai rakyat bukan Islam dan membawa kritikan serta menjadi topik hangat di laman sosial.

Bagaimanapun, Sultan bertitah supaya kritikan tersebut dihentikan. -AFP

Pakatan Pembangkang Bergolak Sebab Hudud!

Pakatan-Rakyat-Hudud

Sementara itu, di Malaysia pula, pertelingkahan yang berlaku antara parti-parti komponen pakatan pembangkang disebabkan rancangan PAS mahu melaksanakan undang-undang hudud di Kelantan semakin kronik.

Jika rancangan itu sebelum ini cuma menimbulkan polemik antara PAS dengan DAP, kini kemelut isu tersebut turut dibebani Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Ia apabila Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam satu kenyataan hari ini secara terbuka mendakwa Naib Presiden Parti Keadilan, Tian Chua sebagai penipu kerana membuat kenyataan tidak benar berhubung pendirian DAP ke atas undang-undang hudud.

“Saya telah mengemukakan kemarahan kepimpinan DAP kepada Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap pembohongan Tian Chua yang mendakwa DAP pernah bersetuju dengan rancangan PAS melaksanakan hudud di Kelantan dan Terengganu.

“DAP menganggap ia perbuatan tidak bertanggungjawab, salah dan tidak beretika oleh Tian Chua kerana mengheret DAP ke atas pendiriannya menyokong PAS melaksanakan hudud,” tegasnya melalui satu kenyataan media hari ini.

Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, pimpinan DAP amat terkejut dengan kenyataan Tian Chua tersebut dan lebih teruk kenyataan pemimpin PKR itu mendapat liputan meluas media.

Tegas beliau, Tian Chua mempunyai hak untuk menyokong pelaksanaan undang-undang hudud tetapi beliau tidak sepatutnya mengheret dalam pendirian tersebut.

Justeru, beliau menggesa Tian Chua supaya menghentikan pembohongan tersebut.

Guan Eng dalam pada itu meminta pimpinan PAS memberi tumpuan terhadap isu pengurusan ekonomi yang merupakan faktor utama yang menentukan kemenangan atau kekalahan dalam pilihan raya.

Beliau mengingatkan PAS bahawa parti itu menang dalam pilihan raya umum 2008 bukan disebabkan isu hudud tetapi disebabkan isu salah guna kuasa dan kegagalan menguruskan ekonomi.

“Jika UMNO boleh menang pilihan raya tanpa berkempen melaksanakan hudud, PAS sepatutnya boleh melakukan perkara sama,” katanya. –Mynewshub.my

-Sentiasapanas.com

Wednesday, April 23, 2014

Brunei Tangguh Pelaksanaan Hukum Hudud

Brunei Tangguh Pelaksanaan Hukum Hudud

Brunei menangguhkan pelaksanaan undang-undang Islam yang sepatutnya bermula semalam ketika negara itu menerima kecaman Majlis Hak Asasi Manusia PBB.

Brunei Laksana Hukum Hudud

Pembantu Pengarah Unit Undang-undang Islam Brunei, Jauyah Zaini berkata, tiada tarikh baru ditetapkan untuk memulakan pelaksanaan undang-undang syariah itu yang menyediakan peruntukan hukuman sebat, memotong tangan atau kaki serta rejaman hingga mati.

Namun, Jauyah berkata, undang-undang itu akan tetap dilaksanakan “dalam masa terdekat.” Katanya, pelaksanaan undang-undang itu terpaksa ditangguh atas sebab yang tidak dapat dielakkan.

Pengumuman itu dibuat ketika Sultan Hassanal Bolkiah mengadakan lawatan rasmi ke Singapura dan kerajaan dipercayai menunggu pemerintah berkuasa itu kembali sebelum memperkenalkan undang-undang sensitif berkenaan.

Namun, penangguhan pelaksanaan hukuman itu mampu mengubah pendirian sultan berusia 67 tahun itu.

Pihak berkuasa baru-baru ini menjalankan beberapa taklimat untuk agensi rasmi dan organisasi bukan kerajaan bagi menerangkan mengenai hukuman berkenaan.

Peguam dan aktivis hak asasi, Nizam Bashir berkata, pengenalan undang-undang itu bagaikan satu tembok bagi mengatasi globalisasi.

“Jika anda cuba melompat tembok itu, akan timbulnya beberapa isu.

“Setiap kali anda menerima jawapan, soalan lain akan bermula dan memberikan mereka idea yang tidak selari dengan konsep yang difahami,” katanya.

Sementara itu, Majlis Hak Asasi Manusia PBB menyatakan “sangat bimbang” dan mendakwa, hukuman seperti merejam dengan batu diklasifikasi undang-undang antarabangsa sebagai hukuman “penderaan kejam dan tidak berperikemanusiaan.”

Hampir 70 peratus daripada 400,000 rakyat Brunei adalah Melayu Muslim, manakala kira-kira 15 peratus lagi etnik Cina bukan Islam. -AFP

Hudud bukan mudah pelaksanaannya

Brunei Laksana Hukum Hudud [2]

Sejarah membuktikan hudud pernah dilaksanakan di Tanah Melayu (kini Malaysia) ketika zaman Kesultanan Melayu Melaka selepas kemasukan Islam di Melaka pada 812 Hijrah (1409 Masehi).

Hudud daripada segi bahasa bermaksud sempadan, had, halangan atau sekatan dan pada sudut istilah pula bermaksud hukuman yang tidak boleh dipinda dan ditetapkan oleh Allah di dalam al-Quran dan Sunnah. Hudud dianggap sebagai hak Allah, dan hukumannya tidak boleh diubah, dipinda, ditambah atau dikurangkan oleh badan perundangan, pemerintah atau hakim.

Terdapat enam kesalahan hudud yang disepakati oleh semua ulama, iaitu zina, qazaf (menuduh seseorang melakukan zina tanpa saksi), mencuri, hirabah (rompakan), minum arak dan murtad.

Hakikatnya, orang Islam pada dasarnya memang tidak boleh menafikan hukum-hakam yang disebut di dalam al-Quran, tetapi harus diketahui bahawa terdapat batas-batas dalam mentafsirkannya.

Ini kerana apabila manusia mentafsir hukum-hakam dalam al-Quran, dikhuatiri tidak sama dengan maksud yang terkandung dalam kitab suci itu. Sebagai contoh, hudud yang dilaksanakan di Pakistan dan Somalia telah mengundang banyak kritikan daripada pelbagai pihak.

Selain itu, orang bukan Islam juga perlu diberi pendedahan tentang tujuan sebenar pelaksanaan hudud kerana kita tidak mahu mereka kata hudud adalah sesuatu yang kejam.

Anggapan negatif hukum hudud bahawa ia undang-undang zalim termasuk hukuman kerat tangan bagi kesalahan mencuri telah sekian lama dipropagandakan oleh media Barat sehingga menakut-nakutkan orang bukan Islam.

Namun ia tidak bermaksud tidak boleh dilakukan asalkan masyarakat dan kerajaan bersetuju secara dasar untuk melaksanakannya. -Utusan Malaysia

-Sentiasapanas.com

Thursday, November 14, 2013

Kelantan Sudah Bersedia Laksana Hukum Hudud!

Kelantan Sudah Bersedia Laksana Hukum Hudud!

Mahkamah Syariah Kelantan sedia melaksanakan hukuman hudud di negeri ini kerana kemudahan di bangunan baru Kompleks Mahkamah Syariah di Tunjung di sini, cukup dan sempurna.

Hudud

Bagaimanapun, Ketua Hakim Syarie negeri, Datuk Daud Muhammad berkata, pelaksanaan itu memerlukan kelulusan daripada kerajaan negeri dan pelantikan hakim khas pula harus dibuat.

“Dalam keadaan sekarang, jumlah bangunan dan dewan yang ada, insya-ALLAH hudud boleh dilaksanakan. Mahkamah sudah bersedia pada bila-bila masa sahaja dan tidak ada halangan” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian kompleks berkenaan di sini, semalam.

Hadir mencemar duli menyempurnakan perasmian kompleks bernilai RM25.8 juta itu, Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.

Turut hadir Tengku Mahkota Kelantan, Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra; Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Panel Hakim Mahkamah Rayuan Syariah Kelantan, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim.

Datuk Daud Muhammad
Datuk Daud Muhammad.

Beliau berkata, biarpun tiada ada sebarang bantahan daripada pihaknya berhubung perkara tersebut, pelaksanaan tetap tidak boleh dilakukan oleh mahkamah itu sendiri.

“Kita tidak boleh laksana sendiri dan mesti ada pelantikan dari kerajaan negeri. Undang-undang sudah ada dan hanya perlu lantik hakim-hakim khas untuk melaksanakan hudud itu sahaja.

“Dalam undang-undang hudud ada disebut perlu pelantikan hakim-hakim khas untuk melaksanakannya, jadi jika mahu kuat kuasa, maka jumlah hakim yang sedia ada perlu ditambah,” katanya.

Dalam pada itu, Daud berkata, tidak ada lagi kes tertunggak membabitkan umat Islam di Mahkamah Syariah negeri ini dan ia dianggap sebagai satu kejayaan.

“Kita sudah berjaya menyelesaikan sejumlah kes tertunggak sebelum ini dan sasaran kita pada masa depan ialah dapat menyelesaikan kes secepat mungkin. Paling lama pun akan memakan masa setahun,” katanya.

Sumber: Sinar Online